(Kenyataan PSM bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2021)

oleh Chong Yee Shan

Sudah pun setahun sejak Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan. Di bawah pentadbiran PN, kita menyaksikan beberapa kementerian gagal dalam menyediakan dasar-dasar yang bersesuaian dan penguatkuasaan undang-undang dalam banyak isu, khususnya berkaitan dengan gender. Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyeru, “Jangan tunggu lagi, bertindak sekarang juga!”

PSM mengemukakan cadangan-cadangan yang berikut:

Gubal Akta Gangguan Seksual

Dengan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat mengenai gangguan seksual, sama ada secara lisan, visual, fizikal ataupun dikomunikasikan melalui penulisan atau secara elektronik, undang-undang dan dasar-dasar yang wujud sekarang ini untuk melindungi wanita dan golongan minoriti seksual adalah tidak mencukupi. Peruntukan undang-undang mengenai gangguan seksual yang sedia ada, seperti yang terkandung dalam Akta Pekerjaan, tidak dikuatkuasakan dengan baik dan gagal mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk wanita dan golongan minoriti yang lain. Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan latihan yang lebih sensitif-gender bagi semua pihak berkuasa, pihak berkepentingan dan pengamal perubatan supaya memastikan penguatkuasaan yang tegas dengan mensasarkan sistem patriarki dan kesannya ke atas kedua-dua lelaki dan wanita. Hakikat mengenai pemeliharaan kekuasaan dan keistimewaan oleh kumpulan dominan perlu diketengahkan supaya wujudnya kerjasama antara kuasa-kuasa untuk menghapuskan sistem yang membiak ketidaksamarataan gender. Akta Gangguan Seksual adalah diperlukan untuk melindungi semua gender dan minoriti seksual di samping memastikan kebertanggungjawaban pihak-pihak yang berkenaan.

Hapuskan perkahwinan kanak-kanak

Kajian menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak berkaitan rapat dengan kemiskinan dan paling biasa berlaku di negara-negara termiskin di dunia. Walaupun negara Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun, kewujudan perkahwinan kanak-kanak menunjukkan kekurangan perhatian yang diberikan kepada kesan status sosio-ekonomi yang rendah terhadap isu-isu sosial. Kekurangan pendidikan seks, kekurangan kesedaran kanak-kanak dalam memberi persetujuan dan tanggapan tertentu dalam sesuatu sistem kebudayaan, merupakan sebahagian daripada contoh yang menyebabkan isu perkahwinan kanak-kanak masih wujud dan tertanam kuat dalam jurang perbezaan tahap sosio-ekonomi yang lebar. Apabila sumber kewangan adalah terhad dalam sesebuah keluarga, perkahwinan kanak-kanak dianggap sebagai satu cara untuk anak perempuan dijaga oleh sebuah keluarga yang lain. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa perempuan yang berkahwin muda adalah lebih cenderung menjadi miskin dan kekal berstatus rendah, khususnya apabila terpaksa mengekalkan peranan gender yang tradisional. Negara Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), yang bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan kanak-kanak perempuan daripada perkahwinan kanak-kanak. Kerajaan harus membangunkan dasar-dasar di Malaysia untuk mematuhi garis panduan CEDAW dan CRC.

Pendapatan Asas Sejagat (UBI)

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada ramai wanita B40, khususnya ibu-ibu tunggal yang merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Kekurangan sokongan kerajaan ditunjukkan dalam kisah-kisah ramai orang yang menghadapi kesusahan kerana kehilangan punca pendapatan.

Kerajaan PN telah membelanjakan wang dalam usaha untuk merangsang ekonomi. Namun, masih kurangnya perhatian kepada golongan yang terkesan teruk secara ekonomi. Isu ini dapat ditangani dengan respon kerajaan yang menyediakan skim Pendapatan Asas Sejagat (UBI) yang diubahsuai kepada sesiapa yang tidak mempunyai punca pendapatan pada masa kini. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap orang di dalam negara kita dapat memperoleh makanan asas dan semua keperluan asas. Wanita dan kanak-kanak perempuan juga harus dilibatkan dalam sebarang proses membuat keputusan berkenaan dengan semua dasar ekonomi pada masa hadapan. Dalam jangka masa panjang, kerajaan harus membawa perubahan transformatif berkenaan dengan kerja penjagaan, berbayar dan tanpa bayaran. Tambahan pula, kerajaan harus memberi tumpuan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan semasa menangani kesan sosio-ekonomi dengan lensa gender supaya golongan wanita dapat mencapai kesamarataan dan perlindungan sosial yang lebih besar.

Hak asasi manusia bagi golongan LGBTIQ

Diskriminasi, pencabulan dan pemburuan sihir terhadap golongan LGBTIQ sudah menjadi semakin serius di Malaysia. Pendirian kerajaan yang anti-LGBTIQ ditunjukkan dalam tindakan ahli-ahli politik mengkambinghitamkan golongan LGBTIQ, kerajaan yang nampaknya longgar membiarkan kumpulan-kumpulan konservatif untuk terus menggunakan bahasa dan tindakan yang anti-LGBTIQ, secara langsungnya menyebabkan peningkatan dalam pencabulan dan pengucapan kebencian terhadap golongan LGBTIQ.

Dalam setahun yang lepas, pemburuan sihir terhadap komuniti LGBTIQ daripada beberapa pelaku dan pihak berkuasa telah meningkat. Komuniti LGBTIQ hidup dalam ketakutan, dan mereka terbiar dalam situasi yang sangat terdedah kepada ancaman. Kerajaan harus menjadi teladan, dengan menghentikan segala bentuk pengucapan kebencian dan tindakan yang mensasarkan golongan LGBTIQ, di samping segera mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi sesiapa yang diancam.

Sudah terlalu lama wanita diabaikan, dan mereka yang berkuasa, yang kebanyakannya golongan lelaki, enggan melihat isu-isu dengan menggunakan lensa gender. Kami berharap bahawa perjuangan wanita untuk kesamarataan telah mencetuskan kesedaran rakyat untuk membina sebuah gerakan menuju kesamarataan gender yang lebih besar dan menghentikan stereotaip gender, seksisme serta sistem patriarki. Kita harus berjuang untuk memadamkan peranan gender tradisional daripada pandangan kerajaan negara terhadap masyarakat. Ini bukan lagi abad ke-18 untuk golongan lelaki menikmati “keistimewaan” patriarki. Ini masanya untuk berkongsi secara bersama tanggungjawab penjagaan anak dan keluarga.

==========

Chong Yee Shan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Gender PSM.

2 thoughts on “Jangan tunggu lagi, bertindak sekarang juga

  1. STOP CHILD MARRIAGE..STOP SEXUAL HARASSMENT AGAINS WOMEN AND CHILD…RESPECT US… PILLARS OF WORLD..

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s