Semasa membentangkan Belanjawan 2021 yang bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” pada 6 November 2020, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, “… yang saya pasti dinanti-nantikan, Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan. Pengeluaran ini adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600 ribu ahli yang terjejas.” Di samping itu, kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pihak pekerja dikurangkan daripada 11% kepada 9% mulai bulan Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan atas “alasan meningkatkan pendapatan boleh guna”.

Dunia sedang dilanda pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang teruk, termasuk negara kita Malaysia. Memang ramai orang terkesan kerana penularan wabak COVID-19 dan juga kemelesetan ekonomi. Kehilangan kerja, pekerjaan yang semakin tidak terjamin, pengurangan pendapatan yang diperoleh, kesulitan membayar balik hutang dan sebagainya, sedang menghantui golongan pekerja dan golongan berpendapatan rendah. Golongan yang menghadapi kesusahan untuk menampung kehidupan mereka pada ketika ekonomi merudum ini memang terdesak untuk mendapatkan wang tambahan supaya meringankan beban hidup mereka. Namun, adakah mengeluarkan wang persaraan sebelum bersara daripada KWSP itu satu penyelesaian yang baik?

Sebelum pembentangan Belanjawan 2021 lagi, sudah adanya beberapa pihak, termasuk bekas Perdana Menteri Najib Razak, mengemukakan cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi tujuan kegunaan rakyat yang terjejas kehidupan mereka kerana wabak COVID-19. Saranan ini nampak seolah-olah “masuk akal”, khususnya pada ketika ramai dalam kalangan pekerja dan golongan berpendapatan rendah sedang menghadapi pelbagai kesulitan untuk menampung kehidupan mereka. Namun, implikasi pelaksanaan langkah jangka masa pendek yang nampaknya boleh mengurangkan beban kehidupan rakyat sementara waktu ini adalah agak besar dan bakal menjejaskan lagi kehidupan rakyat pada masa hadapan yang semakin tidak menentu dalam keadaan kerajaan tidak melaksanakan dasar ekonomi yang berbeza daripada yang sedia ada sekarang.

Wang dalam Akaun 1 KWSP, iaitu 70% daripada jumlah wang yang terdapat dalam KWSP untuk seseorang pencarum, adalah jelas dikhususkan untuk persaraan, dan pencarum sepatutnya hanya boleh mengeluarkannya selepas umur persaraan. Wang simpanan ini penting untuk semua golongan pekerja yang mencapai umur persaraan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara kita tiadanya skim pencen sejagat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi), Mohd Naim Daruwish, pernah berkata pada bulan September 2020 bahawa seramai 7.88 juta orang atau 54% daripada keseluruhan 14.6 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM50,000 pada usia 54 tahun. Ini merupakan satu jumlah yang amat rendah berbanding simpanan asas RM240,000 yang diperlukan untuk menjalani kehidupan selama 20 tahun persaraan pada usia 55 tahun.

Jika seorang pekerja sudah pun menghadapi kesukaran dari segi pendapatan untuk menampung kehidupannya pada masa sekarang, berapa besar kemungkinan dia bukan dalam kalangan 54% pencarum KWSP yang mempunyai simpanan kurang RM50,000 apabila dia mencecah umur 54 tahun? Dengan membenarkan pencarum KWSP untuk mengeluarkan wang dalam Akaun 1 sekarang, bermakna jumlah wang simpanan persaraannya akan berkurangan lagi. Tambahan pula dengan pengurangan kadar caruman sebanyak 2 titik peratusan untuk tempoh 12 bulan, sudah pasti akan mengecutkan lagi jumlah wang simpanan hari tua yang sepatutnya diperoleh seseorang pekerja.

Dengan jangka hayat penduduk Malaysia yang semakin meningkat, dengan purata jangka hayat mencecah 75 tahun, tetapi wang simpanan persaraan hanya mencukupi untuk beberapa tahun sahaja selepas mencapai umur persaraan pada 55 atau 60 tahun, di mana seseorang akan mendapatkan sumber pendapatan untuk menjalani hidup lebih satu dekad pada usia tuanya?

Pengeluaran wang simpanan hari tua daripada Akaun 1 KWSP bagaikan memotong daging sendiri untuk menghilangkan kelaparan di depan mata untuk sementara waktu. Langkah ini tidak akan menyelesaikan kemelut yang dihadapi golongan pekerja dan golongan berpendapatan rendah. Selebih-lebihnya, langkah jangka masa pendek dan berakal pendek ini hanya menangguhkan kesusahan golongan pekerja dan keperitan yang melanda pada usia tua ataupun masa akan datang tidak lama lagi akan lebih teruk lagi! Menteri Kewangan berkata rakyat “menanti-nantikan” kebenaran untuk pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP, tetapi dia tidak memberitahu bahawa realiti yang lebih menyakitkan sedang menanti pada usia persaraan.

Kerajaan tidak patut mempergunakan keterdesakan rakyat sekarang ini untuk menyentuh simpanan persaraan mereka. Wang simpanan pekerja sendiri untuk usia tua mereka tidak harus diganggu langsung. Peranan dan tanggungjawab Kerajaan pada saat-saat genting ketika kita sedang menghadapi krisis serius ini adalah memastikan pekerja-pekerja yang kehilangan kerja dan juga golongan kehilangan pendapatan itu dibantu sewajarnya.

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 4 November 2020, “Membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP adalah serupa dengan merompak simpanan persaraan pekerja. Tindakan sebegini akan menjadi teladan yang buruk dan bertentangan dengan idea murni yang mewujudkan skim sebegini pada asalnya. Kenapa semua orang begitu ghairah untuk memasukkan tangan mereka ke dalam tabung persaraan pekerja sedangkan mereka patut memberi tumpuan pada bagaimana membantu mereka?”

“Ahli-ahli Parlimen tidak harus pendek akal dan menyokong pendekatan sebegini. Orang yang pendapatannya harus dipotong untuk mensubsidi yang lain ialah mereka yang sangat kaya termasuk Ahli-ahli Parlimen kita. Ini masanya untuk mereka mengorbankan elaun mereka dan mengambil potongan gaji,” kata Arutchelvan.

Adanya kaedah lain untuk membantu dalam meringankan beban rakyat, tanpa perlunya mengganggu simpanan persaraan pekerja. PSM telah mencadangkan pelaksanaan skim Pendapatan Asas Sejagat (UBI) yang diubahsuai ataupun Pendapatan Asas Terjamin untuk memastikan semua orang yang kehilangan pendapatan kerana krisis ekonomi dilindungi. PSM mencadangkan pemindahan wang tunai sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebulan kepada keluarga-keluarga berpendapatan isi rumah semasa kurang daripada RM1,000 sebulan supaya keperluan asas mereka dapat dipenuhi. Kerajaan juga harus mula mengkaji pelaksanaan skim pencen sejagat untuk memastikan kehidupan usia tua semua orang terjamin. Kerajaan harus melakukan anjakan paradigma dalam merangka dasar negara untuk menghadapi krisis hebat ketika ini dengan meneroka idea-idea baru yang benar-benar mensejahterakan rakyat secara berkekalan, bukannya sekadar “memadam api di depan mata” dengan simpanan yang sudah pun begitu sedikit untuk rakyat pada usia persaraan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *