oleh Brian Khow
Jika anda bertanya, “Apakah tanggapan kalian tentang Karl Marx?”, kemungkinan besar anda akan mendapat jawapan begini: “Siapa tu?”, “Diktator! Totalitarian!”, “Anti-demokrasi! Anti-kebebasan!”, “Dia dah ketinggalan zaman!”, “Dia telah gagal!”, “Negara mundur!” dan sebagainya. Sudah tentu, bagi mereka yang mempunyai pegangan agama yang kuat dan hidup dalam “zon selesa agama” masing-masing, dia juga seorang yang anti-agama! Selain jawapan pertama yang jelas menunjukkan si penjawab tersebut gagal dalam pengetahuan am atau sejarah, jawapan yang lain hampir merupakan tanggapan yang negatif.
5 Mei merupakan hari kelahiran Karl Marx. Rencana ini ingin menampilkan pandangan sebenar Marx tentang kebebasan dan demokrasi, termasuk sumbangan Marx kepada demokrasi dan kebebasan. Sebelum itu, mari kita perkenalkan secara ringkas siapa dia Karl Marx.
Marx dilahirkan di Trier, Jerman. Sebuah dokumentari Jerman Die Deutschen yang mendapat sambutan meriah yang dikeluarkan beberapa tahun lalu, menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang warga Jerman yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia selepas Martin Luther. Selain daripada Manifesto Komunis (Das Kommunistische Manifest), karyanya yang paling penting ialah Das Kapital yang menakjubkan sama ada dari segi ketebalan buku atau ilmu yang mendalam. Apa yang menarik ialah Marx pernah menggunakan perkataan “shit” untuk menggelar Das Kapital.
Dalam keadaan kehidupan miskin yang berpanjangan, bahan bacaan yang tidak berkesudahan dan masalah kesihatan yang berterusan, tekanan untuk menyempurnakan tulisan Das Kapital hampir menenggelamkannya. Dalam surat kepada rakan karibnya Friedrich Engels pada 14 Ogos 1867, dia menulis dengan kelegaan, “Jadi, minggu ini shit itu akan selesai.” (nota 1) Akhirnya, Das Kapital diterbitkan sebulan kemudian pada bulan September 1867.
Diktator! Totalitarian!
Tahun 2018 ialah ulangtahun ke-200 kelahiran Marx yang membawa satu gelombang kebangkitan Marxisme dalam industri penerbitan di Jerman, dan media massa juga membincangkan tentang kepentingan fahaman Marx dalam zaman moden ini. Wartawan menemu bual secara atas talian Gregor Gysi, ahli parlimen berhaluan kiri yang lahir di Jerman Timur, untuk membincangkan perkara itu. Beliau sekarang masih merupakan salah seorang ahli parlimen daripada Parti Kiri Jerman (Die Linke).
Gysi ialah seorang penganut setia fahaman Marx, dan dalam pidato jelajah ke seluruh Jerman ketika ulangtahun ke-200 kelahiran Marx itu, beliau menyeru agar memulihkan dan menghargai kepentingan doktrin Marx yang bersifat demokratik dan pembebasan.
Wartawan melontar soalan yang agak tajam kepadanya ketika itu: jika Marx adalah betul, mengapa semua negara yang memeluk Marx dalam sejarah manusia telah salah? Gysi menegaskan bahawa nilai kebebasan dalam Marxisme sentiasa disalah tafsir atau diamalkan secara tidak tepat. Manifesto Komunistelah menekankan bahawa kebebasan individu merupakan prasyarat untuk kebebasan semua orang (atau kebebasan kolektif), tetapi disalah petik di Jerman Timur dan banyak negara bekas komunis yang hanya menekankan bahagian kebebasan kolektif.
Wartawan itu bertanya lagi, memang kebebasan mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam pemikiran Marx, tetapi bagaimana kita memahami rejim totalitarian seperti negara China yang terus mempergunakan Marx?
Gysi menceritakan bahawa semasa dia melawat ke negara China sebelum itu, dia pernah bertanya kepada Parti Komunis China (PKC) tentang penglibatan China dalam ekonomi pasaran kapitalis. PKC menjelaskan mereka memang mengendalikan ekonomi pasaran kapitalis kerana mereka memahami Marx. Marx berkata bahawa tugas kapitalisme adalah pembangunan perindustrian, jadi China memerlukan ekonomi pasaran kapitalis untuk mencapai tahap perindustrian yang maju. Selain itu, PKC juga menokok tambah lagi bahawa Vladimir Lenin membuat kesilapan besar kerana tidak melakukan ini.
Gysi membalas dengan terus terang pada masa itu, “Tetapi Marx tidak pernah menulis bahawa pemerintahan kediktatoran perlu ditambah ke dalam sistem yang diperkenalkan olehnya! Apa yang dia tegaskan ialah kita memerlukan lebih banyak demokrasi, lebih banyak kebebasan, dan lain-lain.”
Apabila kita mengimbas kembali sejarah, kita akan mendapati bahawa banyak pemerintahan diktator atau rejim fasis sering mencari sumber legitimasi daripada pemikiran politik klasik supaya memperolehi tenaga untuk memobilisasi politik. Pemikiran klasik mempunyai daya tarikan dan kekuatan sedemikian, iaitu golongan daripada pelbagai pendirian politik dapat mencari kandungan yang diperlukan mereka daripada pemikiran klasik dan kemudian menyesuaikannya dengan cara kegunaan mereka sendiri. Sebagai contoh, rejim Nazi memilih Friedrich Nietzsche, manakala Kesatuan Soviet, Jerman Timur dan PKC menerima pakai Karl Marx.
“Aku bukan seorang Marxis,” kata-kata Marx sendiri yang mendedahkan paradoks sedemikian. Sesetengah golongan gagal memahami intipati pemikirannya, tetapi mereka menyalahgunakannya untuk tujuan mereka sendiri.
Demokrasi! Kebebasan!
Dalam bukunya “Kapitalisme dan Kebebasan” (Capitalism and Freedom), Milton Friedman berpendapat bahawa kapitalisme merupakan prasyarat untuk demokrasi dan kebebasan. Hujah sebegini juga merupakan pandangan arus perdana hari ini, walaupun pandangan ini sedang mengalami cabaran yang hebat sejak kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, demokrasi dan kebebasan sering wujud dalam keadaan tidak serasi antara satu sama lain. Kebebasan merupakan keupayaan untuk melakukan sesuatu yang anda inginkan tanpa campur tangan pihak lain, manakala demokrasi merupakan proses penetapan peraturan yang terikat untuk semua orang, terutamanya apabila demokrasi hanya ditafsirkan sebagai keputusan majoriti, maka majoriti pasti menguatkuasakan peraturan yang menginjak-injak kebebasan minoriti secara paksaan.
Namun begitu, keserasian demokrasi dan kebebasan dapat diwujudkan seperti berikut: Dalam masyarakat demokratik sepenuhnya, semua orang mempunyai akses yang sama rata kepada peralatan atau sumber yang diperlukan untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka.
Jika keputusan hanya mempengaruhi saya seorang, maka saya sepatutnya boleh membuat keputusan itu tanpa campur tangan orang lain. Ini disebut sebagai kebebasan. Walau bagaimanapun, jika sesuatu keputusan menjejaskan orang lain, orang tersebut juga sepatutnya boleh mengambil bahagian dalam keputusan itu, atau sekurang-kurangnya bersetuju untuk membenarkan saya membuat keputusan tanpa penyertaan mereka. Terutamanya keputusan yang menyekat secara paksaan terhadap semua orang, iaitu keputusan yang biasanya dilaksanakan oleh kerajaan. Semua orang yang terjejas seharusnya dapat mengambil bahagian secara bermakna dalam proses penetapan peraturan ini. Inilah yang dimaksudkan sebagai demokrasi.
Namun begitu, masyarakat demokratik adalah berbeza dengan negara demokratik, dengan masyarakat demokratik merangkumi aspek yang lebih luas. Masyarakat demokratik mewajibkan orang ramai boleh mengambil bahagian secara bermakna dalam semua keputusan yang memberi kesan besar ke atas kehidupan mereka, sama ada keputusan itu dibuat di peringkat negara atau institusi lain. Tempat kerja yang demokratik, universiti yang demokratik, komuniti yang demokratik dan keluarga yang demokratik, termasuk negara demokratik, semuanya merupakan sebahagian daripada masyarakat demokratik.
Secara praktikalnya, keputusan dan tindakan yang dibuat oleh seseorang pasti akan mempengaruhi orang lain. Untuk mencapai masyarakat yang demokratik dan bebas, kita harus menetapkan persempadanan kepada sektor persendirian dan sektor awam yang boleh diterima oleh sesebuah masyarakat. Dalam sektor persendirian, seseorang individu bebas melakukan sesuatu yang diinginkannya tanpa perlu menawarkan peluang penyertaan demokratik kepada golongan yang terjejas. Dalam sektor awam, jemputan kepada semua pihak yang terjejas secara langsung atau tidak langsung oleh sesuatu keputusan adalah diwajibkan supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan tersebut.
Kapitalisme menggalakkan kewujudan dan pembangunan terhad kebebasan dan demokrasi, pada masa yang sama, ia juga menghalang realisasi sepenuhnya kedua-dua nilai tersebut. Beberapa contoh di bawah menunjukkan bagaimana kapitalisme menjadi batu penghalang kepada pencapaian sepenuhnya kebebasan dan demokrasi:
(1) Keputusan sebuah syarikat untuk memindahkan pengeluarannya dari satu tempat (atau negara) ke tempat lain dianggap sebagai keputusan peribadi. Penutupan kilang di sebuah negara dan memindahkannya ke negara lain yang mempunyai tenaga buruh yang lebih murah dan peraturan alam sekitar yang lebih longgar boleh memberi tamparan besar kepada pekerja kilang asal dan harga perumahan di sekeliling merosot. Walaupun pemindahan tersebut dapat menjana peluang perkerjaan kepada penduduk di tempat baharu, tetapi gaji mereka lebih murah, dengan erti kata lain, eksploitasi menjadi lebih teruk. Tanah di mana kilang dan tempat penginapan dibina mungkin diperoleh dengan cara pengusiran paksa terhadap penduduk asal dan membawa pencemaran industri kepada tempat baharu. Penduduk setempat, terutamanya yang berada di tempat asal, amat terjejas dengan keputusan ini, tetapi mereka tidak berhak untuk mengambil bahagian dalam keputusan itu. Walaupun terdapat hujah bahawa kuasa sedemikian harus ditumpu dalam perusahaan swasta supaya kecekapan peruntukan modal dapat dipertingkatkan, tetapi ia masih melanggar nilai demokrasi bahawa golongan terjejas sepatutnya dapat mengambil bahagian secara bermakna dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka sendiri.
(2) Penguasaan perusahaan swasta dalam pelaburan penting menimbulkan tekanan berterusan kepada sektor awam untuk menggubal peraturan yang memihak kepada pemodal. Ancaman penarikan keluar modal dan pengaliran modal sentiasa muncul semasa perbincangan dasar awam, jadi ahli politik terpaksa mengekalkan persekitaran yang “mesra perniagaan”. Nescaya, kepentingan golongan tertentu (kelas pemodal) mendahului golongan lain merupakan suatu pelanggaran yang jelas terhadap nilai demokrasi.
(3) Golongan mahakaya atau perusahaan kapitalis mempunyai lebih peluang berbanding orang miskin atau golongan marhaen dalam akses kepada kuasa politik melalui cara seperti memberi derma politik, membiayai aktiviti melobi, pelbagai hubungan sosial antara golongan elit, menyogok atau memberi bentuk rasuah yang lain dan sebagainya. Ini melanggar prinsip demokrasi bahawa semua rakyat harus mempunyai akses yang sama rata terhadap kuasa politik.
(4) Kontrak perburuhan memberi kuasa kepada perusahaan swasta dalam mengarahkan pekerja untuk bekerja. Pihak yang meminta kerja bersetuju untuk mematuhi perintah majikan supaya diberi upah. Sudah tentu, majikan juga boleh memberi pekerja tahap autonomi yang tinggi di tempat kerja, tetapi amalan ini sering diiringi dengan motivasi untuk memaksimumkan keuntungan. Lazimnya prestasi pekerja meningkat dengan ketara selepas syarikat memberikan pekerja tahap autonomi yang tinggi, seperti kerja fleksibel, kerja dari rumah dan sebagainya. Dalam erti kata lain, syarikat memperoleh lebih banyak keuntungan daripada amalan tersebut. Walau bagaimanapun, majikan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan bilamasa membenarkan autonomi sedemikian yang sudah tentu melanggar prinsip membuat keputusan untuk diri sendiri yang menjadi asas kepada demokrasi dan kebebasan.
(5) Kebebasan ialah keupayaan untuk menolak sesuatu, tidak kira bagaimana kita mentakrif kebebasan. Golongan kaya dapat memutus untuk tidak bekerja demi gaji dengan lebih mudah berbanding golongan miskin yang tidak mempunyai sumber mata pencarian bebas dan tidak dapat menolak pekerjaan dengan sewenang-wenangnya. Nilai kebebasan bukan sahaja keupayaan untuk menolak tetapi juga keupayaan untuk merealisasikan matlamat hidup seseorang secara proaktif yang dikenali sebagai kebebasan sebenar. Ketidaksamarataan kekayaan yang tersembunyi dalam kapitalisme telah merampas syarat yang diperlukan untuk ramai orang hidup bahagia (nota 3) dan juga menghalang ramai orang daripada mengakses sumber yang diperlukan mereka untuk membuat keputusan bagi diri mereka sendiri.
Jurang antara yang kaya dan miskin yang semakin melebar, parlimen yang dimanipulasi, demokrasi berparlimen yang tidak berupaya, kebebasan sebenar rakyat yang semakin tersekat dan lain-lain lagi, masalah-masalah yang dinyatakan di atas semakin merisaukan masyarakat hari ini. Semakin ramai cendekiawan kembali kepada Marx untuk mencari jawapan kepada dunia yang penuh dengan pelbagai krisis pada hari ini.
Alain Badiou, seorang ahli falsafah berhaluan kiri dari Paris, dalam karya terkenalnya, “Hipotesis Komunis” (The Communist Hypothesis), berpendapat bahawa sistem politik dan ekonomi yang kita hadapi hari ini, di mana demokrasi berparlimen dan kapitalisme bergabung rapat, sebenarnya serupa dengan keadaan yang dihayati ketika Marx berusia muda pada tahun 1840-an. Kita jelas terasa bahawa “tiada jalan keluar”, tetapi Marx dapat membayangkan satu jalan yang mungkin terjadi dalam keadaan yang amat suram pada masa itu dan kita tidak harus berputus asa. Kita masih boleh memikirkan kemungkinan pembebasan politik di bawah andaian komunisme.
Axel Honneth, Pengarah Institut Penyelidikan Sosial di Universiti Frankfurt, menerbitkan buku “Idea Sosialisme” (Die Idee des Sozialismus) pada tahun 2015 yang juga merupakan percubaan untuk kembali kepada Marx. Beliau berpendapat bahawa tradisi sosialisme pada masa lalu bermula dari perspektif ekonomi dan mementingkan isu-isu seperti buruh, hubungan kerja upah, komoditi, pengeluaran, pertukaran, peredaran dan sebagainya yang merupakan isu-isu penting ketika perkembangan perindustrian pada abad ke-19. Pada abad ke-21, sosialisme menghadapi kekangan untuk memberi maklum balas terhadap pelbagai masalah politik dan bentuk kewujudan individu dalam aspek “kebebasan sosial” yang menjadi tumpuan ramai pada hari kini.
Marx menyedari bahawa alienasi atau pengasingan yang wujud dalam bentuk pengeluaran kapitalisme menyebabkan seseorang kehilangan kebebasan. Walaupun ini masih wujud pada hari ini, tetapi masalah yang muncul dalam abad ke-21 adalah lebih meluas lagi. Alienasi bermakna kualiti hidup pekerja merosot dengan kerja di kilang menjadi semakin terhad dan membosankan. Corak kerja yang kaku ini bukan sesuatu usaha kerja yang semula jadi dan spontan. Pekerja hanya dapat benar-benar menjadi diri sendiri apabila mereka meninggalkan persekitaran kerja. Namun, Honnett menganggap bahawa “paksaan dan penguasaan yang terbentuk dalam hubungan individu dengan kehendak demokrasi’… sosialisme hari ini bukan lagi tentang buruh bergaji, tetapi lebih kepada sivik politik”.
Honnett berhasrat untuk mengisahkan semula keadaan sejarah dan sosial kini untuk menerokai dunia yang selaras dengan pengalaman kita dengan idea sosialisme yang diperbaharui untuk memastikan keadaan politik dan kebebasan individu yang wujud dalam masyarakat kini. Lagipun, hari ini kita berada dalam keadaan perpecahan yang aneh: kita sangat tidak berpuas hati dengan bentuk pembangunan sosial dan ekonomi yang penuh kecacatan, serta kapitalisme dan ekonomi pasaran yang penuh kepincangan, tetapi pada masa yang sama, kita juga kehilangan hala tuju yang dapat membimbing kita, kita tidak berdaya untuk melangkaui sistem yang sedia ada dan membayangkan bentuk masyarakat selain daripada kapitalisme.
Kita membantah ketidakadilan, kemerosotan demokrasi, kemunduran kebebasan sebenar, tetapi ke mana kita akan pergi?
Semua gerakan sosial sejak Revolusi Perancis telah memberi tumpuan kepada membina masyarakat masa depan yang ideal, tetapi aliran pemikiran utopia sebegini sudah tergendala dalam masyarakat hari ini. Sebahagian ketidakupayaan untuk membayangkan masa depan juga berkait dengan persepsi pascamoden tentang sejarah yang menolak pemikiran progresif. Hornett percaya bahawa kita mesti kembali kepada sosialisme, untuk mencari imaginasi di luar pengalaman biasa dalam keadaan sejarah baharu dan Marx merupakan tokoh yang memiliki keupayaan ini.
Mahkota yang tidak boleh dicabuli
Satu gelombang revolusi tercetus di seluruh Eropah pada tahun 1848. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada pencetusan revolusi, termasuk perkembangan ekonomi kapitalis dan kebangkitan borjuasi (kelas pemodal). Kelas yang baharu membangkit ini menuntut lebih banyak demokrasi dan kebebasan yang bertentangan dengan kepentingan kelas pemerintah feudal yang lama.
Negara Jerman juga tidak terlepas daripada gelombang revolusi ini. Antaranya, gerakan perlembagaan demokratik pertama di Jerman yang berlaku di Gereja St. Paul di Frankfurt (Paulskirche) dari tahun 1848 hingga 1849 menjadikan gereja ini sebagai simbol suci hak asasi manusia yang amat penting kepada orang Jerman.
Perlembagaan ini mengekalkan maharaja tetapi menghapuskan semua hak istimewa dan gelaran bagi golongan bangsawan. Sistem perwakilan dwidewan diperkenalkan, di samping pemansuhan hukuman mati, menjamin kesulitan surat-menyurat, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan kepercayaan, kebebasan berhimpun dan lain-lain lagi. Malah perlembagaan ini menulis dengan penuh bersemangat, “Kebebasan manusia tidak boleh dicabuli”. Walau bagaimanapun, gerakan perlembagaan akhirnya menemui kegagalan kerana penindasan oleh golongan konservatif terhadap golongan liberal demokratik. Secara amnya, Revolusi Eropah 1848 telah ditindas di kebanyakan tempat dan suasana masyarakat di Eropah diselubungi dengan perasaan “tiada jalan keluar” pada masa itu.
Marx yang berusia muda berasa sangat kecewa dengan revolusi yang gagal itu. Dia mengulas dalam akhbar Neue Rheinische Zeitung pada 15 Disember 1848, untuk mengkritik kumpulan yang mengambil bahagian dalam perlembagaan 1848 kerana mempertahankan sistem monarki berperlembagaan dan mengangkat kesucian maharaja. Gerakan ini ditakdirkan gagal kerana wakil-wakil tersebut keberatan untuk menunjukkan keikhlasan mereka berdampingan dengan rakyat jelata.
Marx membandingkan Revolusi Inggeris 1648, Revolusi Perancis 1789 (nota 4) dan Revolusi Jerman 1848, dengan berpendapat bahawa dua revolusi yang pertama merupakan gerakan politik zaman baharu menentang zaman lama dan kemenangan dimiliki oleh susunan sosial baharu walaupun kelas pekerja belum bangkit dalam masyarakat Eropah kerana belum memasuki fasa industrialisasi.
Semasa Revolusi Jerman, kelas pekerja telah muncul tetapi golongan borjuasi Jerman tidak mempertimbangkan bahawa susunan sosial baharu tidak dapat mengecualikan revolusi kelas pekerjam dan dengan itu ia merupakan revolusi balas (counter-revolution) yang tidak bersesuaian. Marx dengan tajamnya mengkritik golongan liberal hanya mengangkat “mahkota yang tidak boleh dicabuli”, yang merupakan persekongkolan dengan kuasa feudal dan monarki serta pengkhianatan terhadap rakyat. Dengan itu, kita dapat melihat kepercayaan Marx terhadap demokrasi dan kebebasan adalah lebih teguh, lebih menyeluruh dan lebih mendalam berbanding golongan progresif pada masa itu.
Jadi, kita harus meneliti persekitaran semasa dari sejarah, sudah tiba masanya untuk mempersoalkan demokrasi untuk siapa dalam sistem demokrasi yang kita biasa dengan? Demokrasi untuk mahkota? Demokrasi untuk kapitalis? Demokrasi untuk mahakaya? Demokrasi untuk pekerja? Demokrasi untuk rakyat?
Usaha Demokrasi Sosialis yang belum selesai
Salah satu sumbangan Marx yang paling penting ialah dia mendedahkan bagaimana kuasa, terutamanya penggunaan kuasa dalam struktur ekonomi, dalam mempengaruhi masyarakat. Sumbangan sebegini sudah memadai untuk menjadikannya sasaran yang ingin dihapuskan oleh golongan pemerintah dan kapitalis, atau sekurang-kurangnya cuba sedaya upaya untuk mengurung pemikirannya agar tidak disebar secara berkesan.
Kuasa itu sangat kontroversi, dan berikut adalah tafsiran kuasa yang dipermudahkan oleh Erik Olin Wright, seorang Marxis terkenal di dunia: Kuasa ialah keupayaan untuk bertindak dan menghasilkan kesan di dunia. Manusia menggunakan kuasa untuk menyempurnakan sesuatu, sama ada mereka bertindak secara individu atau secara kolektif. Dalam sistem ekonomi, manusia menggunakan kuasa untuk mengawal aktiviti ekonomi, termasuk peruntukan pelaburan, pemilihan teknologi, pengurusan operasi pengeluaran, pengaturan kerja dan sebagainya.
Terdapat tiga bentuk kuasa yang berbeza amat penting dalam sistem ekonomi: kuasa ekonomi, kuasa negara dan kuasa sosial. Kebanyakan orang biasa dengan kuasa ekonomi dan kuasa negara. Kuasa ekonomi merupakan pengawalan terhadap sumber ekonomi, dengan menyogok orang untuk bertindak. Kuasa negara adalah tentang mengawal penggubalan dan pelaksanaan peraturan di sesuatu kawasan, dengan memaksa orang untuk bertindak. Manakala kuasa sosial ialah keupayaan untuk memobilisasi rakyat untuk bekerjasama secara sukarela, dengan memujuk orang untuk bertindak.
Dalam struktur ekonomi kapitalis, peruntukan dan penggunaan sumber dicapai melalui kuasa ekonomi. Pelaburan dan kawalan terhadap pengeluaran merupakan hasil daripada kuasa ekonomi yang dimiliki oleh pemodal. Dalam struktur ekonomi yang dikawalselia oleh negara (statism), sumber diperuntukkan dan digunakan untuk tujuan yang berbeza melalui kuasa negara. Birokrasi negara menggunakan kuasa negara melalui mekanisme pentadbiran negera supaya mengawal proses pelaburan dan pengeluaran.
Dalam struktur ekonomi sosialis, peruntukan dan penggunaan sumber untuk tujuan yang berbeza berlaku dengan penggunaan kuasa sosial. Dalam struktur ekonomi sosialis, keputusan kolektif rakyat biasa memainkan peranan dalam kawalseliaan proses pelaburan dan pengeluaran. Secara amnya, ini bermakna sosialisme merupakan demokrasi ekonomi.
Jika kita ingin beralih kepada sosialisme pada masa depan terdekat, susunan sosial yang paling sesuai untuk sesebuah struktur ekonomi yang demokratik dan sama rata mungkin merupakan gabungan pelbagai jenis perancangan penyertaan (participatory planning), perusahaan awam, koperasi, syarikat dan pasaran swasta yang dikawalselia secara demokratik dan sebagainya, tetapi bukan bergantung semata-mata kepada mana-mana satu sahaja daripada mereka. Selain itu, pendapatan asas sejagat, transformasi bank kepada entiti awam dan perkongsian ilmu juga akan memainkan peranan penting dalam gelombang peralihan demokrasi ini. Walau bagaimanapun, pembentukan struktur ekonomi demokratik dalam zaman pasca-kapitalis yang tahan lasak pasti akan berkembang melalui percubaan dan pertimbangan demokratik.
Warisan Ingatan Dunia
Pada tahun 2013, Manifesto Komunis dan Das Kapital Jilid I telah dipilih sebagai Warisan Ingatan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Karl Marx bukan sahaja meninggalkan karya yang memberi ilham kepada generasi akan datang, tetapi yang paling penting ialah hubungan dialektik antara teori dan praktik: praktik disokong oleh teori, bukan hanya bertindak melulu dan tidak realistik; teori diperhalusi dan diperbetulkan melalui praktik, bukan hanya bercakap kosong atau sekadar retorik.
Marx pada usia mudanya mengejar utopia dengan mengambil bahagian dalam Revolusi 1848 dengan penuh bersemangat. Selepas itu, Marx pada usia lanjutnya masih terlibat dalam gerakan pekerja sehingga beliau meninggal dunia, walaupun mungkin tidak begitu bersemangat jika dibandingkan dengan usianya yang masih muda, tetapi beliau mengkaji keadaan sosial dan ekonomi yang sedia ada dengan teliti supaya mencari kemungkinan untuk perubahan.
Biar saya menjawab soalan yang dikemukakan pada permulaan rencana ini, “Apakah tanggapan anda tentang Karl Marx?”
Filem “Karl Marx Muda” (Der Junge Karl Marx) yang diarahkan oleh Raoul Peck menyaksikan babak yang penuh ketegangan dalam menunjukkan bagaimana Marx bertemu Engels sebelum umur 30 tahun, perubahan Marx daripada seorang wartawan kepada revolusioner dan kehidupan Marx dalam buangan di Perancis dan Britain.
Ingatan saya tentang adegan pembukaan filem ini masih segar: orang miskin yang tidak mampu membeli arang batu pergi ke hutan untuk mengutip ranting mati yang jatuh di atas tanah supaya dapat bertahan sepanjang musim sejuk, kanak-kanak ingin mematahkan ranting dari pokok tetapi dihalang, orang dewasa mengingatkan kanak-kanak hanya memungut ranting-ranting mati di atas tanah yang bukan milik tuan tanah. Tiba-tiba, tuan tanah menunggang kudanya menuju ke arah kumpulan orang miskin itu dan menyebat untuk menghalau mereka. Pada ketika itu, Marx membaca komen tegasnya dalam akhbar selaras dengan belakang babak berkenaan.
Pengarang muda dari Neue Rheinische Zeitung itu tidak berpuas hati dengan konspirasi kelas pemerintah dan kelas kapitalis, mengkritik kegagalan parlimen untuk membuat pembaharuan terhadap “Akta Kecurian Kayu” (Holzdiebstahlsgesetz) dan menyebabkan orang miskin yang memungut ranting mati di atas tanah itu didakwa mencuri. Terdapat jurang antara pemahaman rakyat terhadap undang-undang dengan pihak berkuasa, dan parlimen telah melupakan kewajipan mereka sebagai penggubal undang-undang.
Inilah tanggapan saya tentang Marx.
**********
Nota:
(1) Petikan asal dalam Bahasa Jerman: Diese Woche wird also die Scheiße fertig.
(2) Schapper et al., 1983: 122,124
(3) Erik Olin Wright, profesor sosiologi di University of Wisconsin-Madison, memberi takrifan tentang kehidupan yang bahagia: kebolehan dan bakat seseorang dapat dibangunkan sepenuhnya untuk mengejar matlamat hidup diri sendiri, jadi secara umumnya, seseorang dapat memenuhi potensi dan mencapai matlamat masing-masing.
(4) Revolusi Inggeris menyebab negara Britain menjadi sebuah republik sementara dan kemudian bertukar menjadi sistem raja berperlembagaan. Revolusi Perancis 1789 berjaya menghapuskan sepenuhnya sistem feudal. Kedua-dua revolusi tersebut memberi kesan yang meluas kepada masyarakat kerana keruntuhan sistem atau susunan pemerintahan lama dengan penggantian sistem atau susunan pemerintahan baharu di Eropah.
==========
Brian Khow ialah seorang anggota Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim Parti Sosialis Malaysia (PSM).