20200610 - ppejp-booklet-bm

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menghargai bahawa Kerajaan Perikatan Nasional menyedari perlunya campurtangan Kerajaan dalam menangani kemerosotan ekonomi yang sedang kita lalui. Ini menunjukkan bahawa kerajaan sedar akan pernyataan neoliberal yang mengatakan pasaran boleh memperbetulkan diri itu adalah tidak boleh dipakai dalam situasi sekarang. Namun, sebarang campurtangan kerajaan harus dikonsepsikan dengan baik serta bersesuaian dengan keperluan masyarakat kita. Malangnya, terdapat beberapa kelemahan besar dalam pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tempoh Jun hingga Disember 2020.

Golongan termiskin 20% tidak dilindungi

Kelemahan besar yang pertama adalah Pakej PENJANA tidak menangani kehilangan pendapatan bagi 1.5 juta orang pekerja yang dibayar secara harian dalam sektor tidak formal. Ini juga merangkumi wanita yang melayani pelanggan dan mencuci pinggan mangkuk di restoran, serta individu-individu yang membantu di pasar yang telah ditutupkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan, masyarakat di kawasan luar bandar yang melakukan “kerja kampung” (pekerjaan yang tidak tetap di sekitar kawasan kampung), pembantu pemandu lori, dan ramai pekerja bergaji harian yang lain. Kesemua kumpulan pekerja bergaji harian ini merupakan sebahagian daripada 20% rakyat miskin yang kini tiada sebarang pekerjaan. Tiada sebarang peruntukan dalam Pakej “PENJANA” bagi mereka, dan keluarga mereka akan mengalami tekanan ekonomi yang serius dalam bulan akan datang!

Terdapat sekumpulan besar yang merupakan pengusaha perniagaan mikro di pasar di seluruh negara, tidak akan menerima banyak faedah daripada Pakej PENJANA ini. Pasar-pasar ini tidak dibenarkan untuk beroperasi lagi. Ratusan ribu peniaga kecil tidak mempunyai sebarang pendapatan sejak 18 Mac 2020. Berapa lamakah peniaga kecil akan bertahan dengan bayaran RM 3000 sekali gus yang diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini untuk membantu sebahagian peniaga kecil? Tiada sebarang sokongan pendapatan bagi mereka dalam Pakej PENJANA.

Dua kumpulan di atas dibantu dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dimasukkan sejumlah wang RM1600 ke dalam akaun mereka pada bulan April dan Mei lalu. Ini sangat bermanfaat kepada keluarga mereka. Tetapi tiada sebarang  tindakan lanjut untuk inisiatif BPN. Kedua-dua kumpulan di atas ini tiada sebarang pendapatan untuk menjalankan perniagaan, dan ada yang antara mereka juga menghadapi kesukaran untuk meletakkan makanan di atas meja. Perkara ini perlu dikaji semula dengan segera sekiranya kita serius dengan slogan “tiada golongan yang akan tercicir”!

PSM telah menyeru untuk pelaksanaan Pendapatan Asas Sejagat yang diubahsuai untuk menangani kemerosotan masa kini. Kami mencadangkan bahawa sejumlah wang RM1000 dipindahkan setiap bulan kepada akaun wanita  dalam keluarga di mana kedua-dua suami isteri tidak mempunyai apa-apa pendapatan. Kami menganggarkan bahawa sekitar 2 juta isi rumah memerlukan memerlukan program seperti ini. Program ini akan memastikan golongan masyarakat terbawah 20% tidak mengalami kelaparan! Kami percayai bahawa program sokongan pendapatan seperti ini perlu menjadi sebahagian penting yang melengkapkan sebarang pakej ekonomi kecemasan untuk negara kita pada ketika ini.

Isu sewa rumah tidak diberikan perhatian langsung!

Pakej PENJANA gagal menangani masalah sewa rumah. Adalah dianggarkan lebih kurang 25% keluarga Malaysia tinggal di dalam rumah sewa. Kebanyakan mereka terdiri daripada gologan B40. Sebahagian besar antara mereka akan mengalami penyusutan pendapatan isi rumah sepanjang tahun ini, dan sebahagian daripada mereka akan menghadapi kemungkinan diusir keluar oleh tuan rumah mereka. Isu ini akan menjejaskan puluhan ribu keluarga di seluruh negara, tetapi ia tidak diberi perhatian oleh penggubal Pakej PENJANA. Perdana Menteri mengatakan dalam kata pengantarnya bahawa kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi oleh individu-individu dan akan mengambil langkah proaktif, namun jelasnya di sini sekali lagi golongan miskin antara kita tidak dilindungi oleh pakej rangsangan ini.

PSM mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Tribunal Sewa Perumahan di semua daerah bagi menyelesaikan masalah sewa menggunakan formula Tri-Parti, di mana penyewa yang benar-benar tidak dapat menanggung pembayaran sewa penuh dibantu oleh kerajaan yang membayar 60% daripada kadar sewa biasa mereka, sementara tuan rumah menanggung 40% kerugian daripada kadar sewa biasa. Malangnya, tiada sebarang peruntukan dalam Pakej PENJANA untuk menangani masalah ini.

Kegagalan menangani keperluan kesihatan rakyat yang ketara!

Sistem kesihatan awam negara kita sangat sesak dengan masa menunggu giliran yang lama, walaupun pada waktu bukannya kecemasan umum. Keperluan untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 menyebabkan penangguhan banyak prosedur elektif dan pembedahan sejak bulan Mac 2020. Kesannya, sistem kesihatan kerajaan kita mempunyai lantukan sebanyak lebih kurang 150,000 kes pembedahan dan prosedur selama tiga bulan yang lalu. Tambahan pula, ramai orang yang biasanya akan pergi ke Hospital Swasta untuk rawatan sebelum ini tetapi mereka datang ke Hospital Kerajaan sekarang ini kerana hasil pendapatan mereka telah merosot sejak tiga bulan yang lalu. Kesesakan dan kelewatan di Hospital Kerajaan akan bertambah buruk dan ini juga memberi kesan buruk kepada kesihatan rakyat Malaysia.

PSM telah menggesa kerajaan untuk meningkatkan belanjawan Kementerian Kesihatan Malaysia, supaya bilik pembedahan yang tidak digunakan sepenuh di Hospital-hospital Daerah dapat digunakan, dan jika perlu, doktor pakar di sektor swasta dibayar untuk memberikan perkhidmatan anestetik secara bersesi. Jikalau perlu, doktor-doktor pakar lain dari sektor swasta boleh diambil berkerja secara sambilan untuk memberi rawatan di Hospital-hospital Daerah. Ini akan membantu menyelesaikan kes-kes tertimbun yang sedia ada dan dapat membawa kepada penyediaan perkhidmatan perubatan yang lebih cekap dan tepat pada masanya bagi masyarakat kita. Namun, sekali lagi, keperluan asas yang paling mendesak telah diabaikan. Selain daripada RM 50juta yang diperuntukkan kepada program PEKA, namun tiada sebarang inisiatif yang lain bagi Kementerian Kesihatan. 

Sasaran yang disalah tanggap

Bukan sekadar sesetengah keperluan asas untuk rakyat – makanan (= pendapatan asas terjamin), tempat perlindungan dan kesihatan – yang tidak diberi keutamaan yang secukupnya, bahkan sesetengah teras dalam Pakej PENJANA tidak ditanggapi dengan betul. Dalam pengenalan kepada Bab “Melonjakkan Perniagaan” (muka surat 22 buku kecil “Pelan Jana Semula Ekonomi Negara”), perancang-perancang ekonomi menulis “bantuan bersasar akan dilaksanakan bagi menjana sektor-sektor ekonomi yang paling terkesan”. Selanjutnya (dalam muka surat 28), dokumen ini menyebut tentang dana RM1 bilion yang akan membiayai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelacongan supaya mereka dapat kekal “berdaya saing dalam era norma baharu”.

Ini menunjukkan pemikiran yang bercelaru untuk perancang-perancang tersebut! Masalah utama di sini bukan “keyakinan pengguna” atau “keyakinan perniagaan”. Masalah di sini adalah risiko kena jangkitan! Kerajaan perlu faham dan menerima hakikat bahawa sesetengah sektor dalam ekonomi – seperti penerbangan, hotel, pelancongan – tidak dapat dipulihkan sehingga wujudnya penyelesaian perubatan untuk COVID-19, iaitu menemui vaksin yang efektif atau protokol rawatan yang berkesan. Selagi tidak dapat dijumpai penyelesaian perubatan, selagi itulah keperluan kesihatan awam akan menghalang segala cubaan untuk menghidupkan sektor-sektor tersebut. PSM setuju bahawa sektor-sektor ini memang memerlukan dana, tetapi bukan untuk memulihkan atau membuatkan mereka untuk berfungsi seperti dahulu, sebaliknya untuk membolehkan mereka untuk mengurangkan bilangan pekerja secara terkawal dan adil secara sosial, di samping memelihara aset mereka supaya boleh bertahan untuk “berjuang pada hari yang lain”.

Syarikat-syarikat ini perlu dana untuk membayar faedah pemberhentian pekerja yang sewajar dan menguruskan komitmen kewangan yang tertunggak – bayaran tertunggak kepada pembekal, sewa, pinjaman dan sebagainya. Syarikat-syarikat ini juga memerlukan dana untuk mengekalkan modal tetap mereka – keselamatan dan penyelenggaraan bangunan, simpanan kapal terbang, kenderaan dan mesin yang lain. Pandemik ini akan berlalu juga akhirnya. Pada masa tersebut, syarikat-syarikat ini sepatutntya sudah bersedia untuk memulakan semula perniagaan mereka. Adalah menjadi kepentingan negara jika mereka dapat melakukannya supaya mereka dapat menjana pekerjaan, membawa masuk pertukaran wang asing dan menyumbang kepada hasil pendapatan kerajaan dengan membayar cukai. Jadi, kita perlu membantu mereka untuk mengurus dalam masa yang sukar ini. Tetapi kita perlu memahami dengan lebih jelas mengenai jenis pertolongan yang diperlukan oleh mereka.

Keutamaan yang disalahletakkan

Kenapa kita perlu membantu pemaju perumahan untuk menjual hartanah mewah mereka yang berharga begitu mahal? Inisiatif ini dianggarkan akan menelan wang kerejaan sebanyak RM1 bilion. (muka suarat 44 dokumen PENJANA). Kami berpendapat bahawa ini adalah cara yang salah untuk meneruskannya. PSM telah menyarankan agar kerajaan harus merangsang industri pembinaan dengan memulakan program yang menyediakan perumahan sosial kepada rakyat Malaysia. Kita boleh memulakannya dengan membina 200 unit perumahan di setiap daerah untuk disewakan kepada anak muda yang baru berumahtangga dan keluarga yang tidak mempunyai rumah mereka sendiri. Pendekatan sebegini akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat dalam sektor pembinaan dan industri yang membekalkan sektor pembinaan. Pada masa yang sama, inisiatif seperti ini akan mewujudkan keadilan masyarakat kerana ia akan memenuhi keperluan rakyat yang sebenar.

Terdapat juga beberapa inisiatif lain dalam Pakej PENJANA ini yang faedahnya diragui.

Kembali kepada papan lukisan!

Program-program untuk menangani kemelesetan yang disebabkan oleh COVID-19 harus berlandaskan analisis jelas mengenai sifat masalahnya. Sesetengah sektor ekonomi tertentu tidak dapat dihidupkan kembali ke tahap sebelumnya kerana penjarakan fizikal yang diperlukan untuk mengawal pandemik. Wabak ini masih belum lagi mencecah kemuncaknya di Eropah, AS dan di Amerika Latin. Oleh itu, perjalanan dari rantau-rantau ini harus dibatasi sekurang-kurangnya selama beberapa bulan lagi dan ini akan memberi kesan kepada syarikat penerbangan, hotel dan sektor pelancongan. Di samping itu, banyak syarikat Malaysia mengeluarkan barangan untuk pasaran eksport.

Banyak negara yang kita eksport berada dalam kemelesetan ekonomi. Pasaran eksport kita akan menyusut dalam masa terdekat. Rangsangan dengan suntikan pelaburan yang sejumlah besar mana pun tidak akan dapat mengatai kedua-dua faktor kemelesetan ini.

Memulihkan semula ekonomi Malaysia untuk kembali ke laluan pertumbuhannya yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan pada ketika ini. Kita perlu mempunyai matlamat yang lebih realistik. Cadangan PSM adalah kita harus memastikan bahawa:

a) Setiap orang di negara ini mendapat barang asas berikut – makanan, tempat tinggal dan jagaan Seharusnya tiada kompromi dalam hal ini.

b) Aset produktif ekonomi kita – khususnya Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) – mesti diberi sokongan yang secukupnya sehingga mereka dapat mengatasi kemerosotan ekonomi. Mereka tidak patut dibenarkan tutup kerana masalah aliran tunai.

Berdasarkan semua ini, PSM dengan hormatnya menyeru pada Kerajaan untuk memperbaiki Pakej PENJANA. Walaupun beberapa pekerja dalam pakej yang diumumkan Kerajaan mempunyai kewajarannya, tetapi juga terdapat banyak aspek bermalasah yang harus diubah. Kami telah menggariskan beberapa perkara tersebut dalam rencana ini. Kerajaan harus mendapatkan input daripada pelbagai sumber – parti-parti politik yang lain, kesatuan-kesatuan sekerja, kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, NGO-NGO dan ahli-ahli akademik – untuk memperbaiki Pakej PENJANA.

Perdana Menteri memulakan Kata Pengantar kepada dokumen Pakej PENJANA dengan mengatakan, “pada masa ini, kita hidup dalam keadaan mencabar”. Memang betul kata-kata ini! Kita sedang berada dalam keadaan yang tidak pernah dilalui sekarang ini. Inilah sebabnya mengapa kerajaan harus mengundang dan mempertimbangkan input daripada pelbagai pihak untuk memberikan respon yang terbaik untuk negara kita. PSM sangat sudi dan bersedia untuk mengambil bahagian dalam perbincangan ini.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

 

2 thoughts on “PENJANA – Pelan pemulihan ekonomi yang penuh kelemahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *