PUTRAJAYA – 21 APRIL 2022: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan petani-petani kecil dari beberapa kawasan di Perak mengunjungi Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada hari ini untuk membuat aduan mengenai penyelewengan yang disyaki berlaku dalam urusan tanah kerajaan di negeri Perak.

Mereka yang hadir semasa membuat aduan pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang merupakan mantan Ahli Parlimen Sungai Siput, Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM dan Tan Tean Chee sebagai wakil petani kawasan Kanthan.

PSM telah memberi bantuan kepada petani-petani kecil di beberapa kawasan di negeri Perak yang menghadapi ancaman pengusiran daripada syarikat-syarikat pemaju. Ramai dalam kalangan petani yang terbabit merupakan orang yang menyambung usaha keluarga mereka dalam bercucuk tanam di kawasan yang sama sejak 40 hingga 80 tahun dahulu. Terdapat ramai juga dalam kalangan petani kecil ini pernah memohon Lesen Tumpangan Sementara (TOL) tetapi tidak diluluskan. Dalam tempoh 30 tahun yang lalu, oleh sebab pembangunan bandar yang pesat di Perak, banyak komuniti petani kecil yang bercucuk tanam di atas tanah kerajaan ini telah dan sedang diusir selepas tanah yang diusahakan mereka dilupuskan kepada syarikat-syarikat pemaju untuk projek-projek perumahan atau perindustrian.

Dalam proses membantu petani-petani kecil ini, PSM telah mendapat tahu tentang beberapa perkara yang menimbulkan kesangsian bahawa wujudnya penyelewengan dalam proses pelupusan tanah itu. Oleh itu, PSM bersama dengan petani-petani kecil di kawasan yang terbabit mengemukakan maklumat berkaitan dengan kes pelupusan tanah yang disyaki melibatkan penyelewengan kepada perhatian SPRM, supaya SPRM boleh menjalankan siasatan untuk mengenal pasti situasi yang sebenar.

Syarikat swasta dapat diskaun RM9 juta daripada kerajaan dan untung bersih RM1 juta dalam satu hari

Salah satu kes yang dibawa kepada perhatian SPRM ialah penjualan tanah yang mencurigakan di kawasan Chepor Sentosa. Petani-petani di situ telah bercucuk tanam sejak zaman sebelum Perang Dunia II. Mereka pernah memohon TOL tetapi tidak berjaya. 3,350 hektar tanah di situ telah dilupuskan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). PKNP menjual 48.3 ekar daripada tanah tersebut kepada sebuah syarikat swasta pada 2 Mac 2020 dengan harga jualan RM4.8 juta. Sehari selepas itu, pada 3 Mac 2020, tanah tersebut dijual oleh syarikat yang membelinya sehari sebelum itu kepada sebuah lagi syarikat pemaju swasta yang lain dengan harga RM5.8 juta. Syarikat swasta yang “membeli” tanah daripada PKNP itu mendapat keuntungan bersih RM1 juta, tanpa apa-apa usaha untuk memajukan tanah itu dalam tempoh satu hari, dengan menjualkannya kepada syarikat yang lain.

Yang peliknya adalah, nilai sebenar untuk tanah di kawasan tersebut adalah lebih daripada RM300,000 seekar. Ini bermakna tanah seluas 48 ekar yang dipindah milik itu mempunyai harga pasaran sebanyak lebih kurang RM14 juta, tetapi PKNP hanya menjual dengan harga RM4.8 juta sahaja. Persoalan yang besar di sini ialah: Kenapa diskaun yang begitu besar (iaitu lebih RM9 juta) diberikan kepada sebuah syarikat swasta oleh sebuah perbadanan berkanun di bawah Kerajaan Negeri?

Satu lagi perkara yang menimbulkan persoalan berkaitan isu tanah di kawasan Chepor Sentosa adalah, terdapat satu surat daripada Pengarah Tanah dan Galian Perak yang meminta syarikat swasta yang membeli tanah daripada PKNP itu untuk membayar wang sebanyak RM44,567.60 kepada akaun bank Kelab Sukan dan Kebajikan JHEOA untuk tujuan “penyelesaian isu usaha haram”. Namun, petani-petani di situ belum pernah menerima sebarang pampasan atau bayaran daripada pihak Pejabat Tanah dan Galian Perak.

Apakah jasa seorang taikun sehingga dia boleh dihadiahkan tanah bernilai RM25 juta?

Satu lagi isu yang dibawa oleh PSM dan petani-petani Perak kepada perhatian SPRM ialah penganugerahan tanah seluas 103 ekar di Pusing, Perak, kepada seorang taikun dari Kuala Lumpur. Taikun itu telah menjual tanah tersebut kepada tauke lain dalam tempoh masa 4 bulan dengan harga lebih kurang RM25 juta (berasaskan anggaran daripada wang pendahulan sebanyak RM2.5 juta yang telah dibayar, dengan amalan biasa adalah wang pendahulan merupakan 10% daripada harga jualan sebenar). 20 orang petani kecil yang telah mengusahakan tanah di situ selama 20 hingga 40 tahun (dengan penanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran serta menternak ikan) sedang menghadapi pengusiran kerana pengambilan tanah itu kepada orang luar. Persoalan besar yang ditanya-tanya oleh petani-petani di situ ialah: apakah jasa taikun tersebut yang begitu besar sehingga Kerajaan Negeri Perak menghadiahkan sebidang tanah bernilai RM25 juta kepadanya?

PSM dan petani-petani Perak meminta pada SPRM supaya menyiasat aduan daripada mereka ini untuk mengenal pasti sama ada wujudnya penyelewengan dalam urusan tanah di Perak yang dicurigai ini.

Kekalkan kawasan pertanian pengeluaran makanan

Dr. Jeyakumar berkata, “Pelupusan tanah kerajaan yang sedang digunakan oleh petani-petani kecil bukan sahaja memusnahkan punca pendapatan untuk petani-petani kecil yang terlibat, tetapi juga menjejaskan jaminan makanan bagi rakyat Malaysia. Kenapakah tanah kerajaan dilupuskan dengan diskaun yang sangat besar kepada ahli perniagaan dari luar Perak?”

“Kerajaan Negeri harus mengutamakan jaminan makanan. Semua kawasan pengeluaran makanan yang sedang diusahakan oleh petani-petani pengeluar makanan harus dikekalkan sebagai kawasan pertanian untuk makanan. Jangan jual tanah ini untuk perumahan atau perindustrian. Jika hendak bangunkan perindustrian, kerajaan boleh menggunakan tanah milik syarikat perladangan besar,” tegas kata Dr. Jeyakumar. “Kita perlukan satu sistem di mana tanah sebegini dipajak untuk jangka masa panjang (10-20 tahun) kepada petani, bukannya diberi hak milik kekal kepada mereka, supaya petani-petani ini dapat menggunakannya untuk mengeluarkan makanan selagi mereka hendak melakukannya. Apabila petani-petani ini sudah tua dan tidak lagi mahu bercucuk tanam di situ, tanah berkenaan boleh dipajak kepada petani yang lain. Jadi, kawasan itu kekal sebagai kawasan pengeluaran makanan. Ini sesuatu yang amat penting kepada negara Malaysia untuk jangka masa panjang.”

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “Siasat skandal penyelewengan tanah kerajaan Perak – Seruan kepada SPRM

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s