IPOH, PERAK – 30 MAC 2022: Petani-petani kecil dari kawasan Pusing menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini untuk menggesa supaya satu penyiasatan dijalankan ke atas isu penganugerahan tanah seluas 103 ekar di Pusing kepada seorang taikun dari Kuala Lumpur yang bernama Dato’ Sri Tee Yam pada bulan Ogos 2017.

Turut hadir bersama dengan petani-petani kecil Pusing semasa penyerahan memorandum ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Petani-petani kecil tersebut telah mengusahakan tanah bekas perlombongan di kawasan Pusing, Perak, selama 20 hingga 40 tahun. Keluarga-keluarga mereka telah meneroka kawasan ini dan memulihkan tanah serta kolam-kolam terbiar di sini sehingga kawasan ini dapat mengeluarkan hasil pertanian. Ada yang antara petani-petani kecil ini pernah memohon untuk geran tanah dan lessen tumpangan sementara (TOL) pada tahun 1980-an dan 1990-an, tetapi permohonan mereka ditolak oleh pihak Pejabat Tanah.

Pada bulan Ogos 2017, empat lot tanah di kawasan ini yang berukuran seluas 103 ekar, telah “dikurniakan” oleh Kerajaan Negeri Perak kepada Tee Yam Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat dari Kuala Lumpur. Syarikat Tee Yam mempunyai pengarah dan pemegang saham yang bermastautin di Kuala Lumpur. Mereka tidak pernah memainkan sebarang peranan dalam pemulihan tanah tersebut.

Pada bulan Oktober 2019, syarikat Tee Yam Holdings telah membina sebuah pagar di sekeliling tanah tersebut dan menyuruh petani-petani di situ untuk mengosongkan tanah dalam tempoh masa 3 bulan. Petani-petani di situ cuba berbincang dengan Dato’ Sri Tee Yam dan memohon supaya dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian mereka dengan membayarnya sewa. Tetapi Dato’ Sri Tee Yam tidak setuju dan terus mengganggu usaha petani-petani dalam mengeluarkan hasil tanaman mereka.

Oleh itu, petani-petani kecil di Pusing telah memfailkan satu permohonan di bawah Seksyen 99 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada bulan November 2021. Mereka berjaya mendapat Perintah Mahkamah pada 3 Disember 2021 yang memutuskan bahawa mereka berhak menyimpan milikan tanah yang dipertikaikan itu sehingga disingkir dengan cara undang-undang.

Yang amat pelik dalam perkara ini adalah hakikat bahawa Syarikat Tee Yam Holdings telah menjual segala 103 ekar tanah tersebut kepada individu yang bernama Lai Pin Seong dan Goh Jui Leang pada bulan Disember 2017, dengan harga pendahuluan sebanyak RM2.5 juta. Penjualan tanah ini telah berlaku lebih kurang 4 bulan selepas Tee Yam “dikurniakan” tanah ini oleh Kerajaan Negeri Perak.

Walaupun pihak pemerintah negeri mempunyai hak mutlak terhadap semua tanah kerajaan di negeri itu mengikut Perlembagaan Persekutuan, tetapi kuasa mutlak ini harus digunakan secara amanah dan munasabah.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad selaku Menteri Besar Perak, petani-petani kecil Pusing menyeru pada Menteri Besar Perak supaya menyiasat perkara-perkara berikut:

  • Apakah sebabnya tanah tersebut tidak disewa ataupun dipajak kepada petani dan penternak ikan yang telah dan sedang mengusahakan tanah tersebut selama 20 hingga 40 tahun?
  • Adakah tanah ini diberi secara percuma kepada Dato’ Sri Tee Yam?
  • Jika benar, mengapakah tanah seluas 103 ekar itu diberikan kepada Dato’ Sri Tee Yam? Berdasarkan bayaran pendahuluan sebanyak RM2.5 juta oleh Lai Pin Seong dan Goh Jui Leang, adalah dianggarkan nilai pasaran tanah tersebut berjumlah RM25 juta ataupun lebih. Apakah sumbangan Dato’ Sri Tee Yam kepada negeri Perak yang begitu baik sehingga kerajaan berputus untuk menghadiahkannya tanah bernilai RM25 juta?

Petani-petani kecil Pusing memohon pada Menteri Besar Perak supaya mengkaji perkara-perkara ini dan jika wujudnya unsur salah guna kuasa, maka Kerajaan Negeri Perak harus menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk merampas balik tanah tersebut dan memajaknya pada petani-petani kecil yang sedia ada supaya mereka dapat meneruskan kegiatan pertanian dan penternakan ikan di kawasan ini.

“Harga bijirin dan bahan makanan lain akan naik secara mendadak akibat peperangan Rusia-Ukraine serta sekatan ekonomi terhadap Rusia. Adalah amat penting untuk melindung petani tempatan supaya golongan petani ini dapat meningkatkan bekalan makanan untuk rakyat Malaysia. Ini bukan masanya untuk mengusir petani dan menghancurkan kawasan-kawasan pertanian,” kata Dr. Jeyakumar yang bersama dengan petani-petani kecil dari Pusing semasa penyerahan memorandum kepada Kerajaan Negeri Perak.

Petani-petani Pusing juga menggesa Menteri Besar Perak supaya menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat isu-isu yang telah dikemukakan oleh mereka mengenai pengurniaan tanah tersebut kepada Dato’ Sri Tee Yam dan mengambil tindakan tegas untuk menyelesaikan isu ini secara adil.

3 thoughts on “Petani kecil mempersoal kenapa 103 ekar tanah di Pusing boleh dihadiahkan kepada seorang taikun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *