oleh Hazeeq Ridwan

Ada dua perhimpunan pekerja diadakan pada hari yang sama. Yang pertama ialah di Dewan Kongres Kesatuan Sekerja. Di sana, pekerja yang diberi hak untuk menubuhkan kesatuan pekerja seperti yang dibenarkan oleh majikan mereka sedang seronok berbual sesama sendiri sambil mengambil gambar. 

Mereka memakai baju labuh, dengan warna dan huruf-huruf yang berbeza untuk mewakili kesatuan masing-masing. Sebahagian daripada mereka juga membawa sepanduk yang dibuat secara profesional di kedai cetak. Mereka mempunyai sebab tertentu untuk teruja, kerana Setiausaha Agung Kongres telah memberitahu mereka bahawa Datuk Bandar dan Setiausaha Buruh akan berucap pada perhimpunan kali ini.

(gambar hiasan)

Para peserta perhimpunan kedua telah berkumpul di hadapan stesen kereta api. Mereka terdiri daripada pelajar universiti, tukang cuci, pemandu lori, pekerja gig, petani, peguam, aktivis sosial, aktivis LGBT, penganggur, dan juga sebilangan kecil orang asli dan pekerja asing. Tidak seperti kumpulan pertama, kesatuan sekerja mereka tidak diiktiraf dan diabaikan oleh majikan mereka, dan mereka berharap perhimpunan ini akan menghantar mesej bahawa mereka masih belum berputus asa.

Setelah pekerja di dalam dewan berhawa dingin mengambil tempat masing-masing, mereka mula berspekulasi antara satu sama lain atas sebab kemunculan Datuk Bandar. Mereka telah mendengar khabar angin bahawa akan ada pengumuman mengenai perubahan kepada undang-undang buruh yang amat diperlukan, dengan beberapa menyuarakan keyakinan mereka bahawa suara mereka akhirnya didengari.

Beberapa ahli kesatuan veteran pula lebih ragu-ragu. Mereka masih ingat penggal pertama Datuk Bandar pada tahun lapan puluhan; beliau telah mengambil tindakan yang tegas terhadap pekerja yang mogok dengan membenarkan pihak polis menangkap dan tidak memberi bantuan apabila mereka dibuang kerja. 

Dia juga mengubah undang-undang supaya kesatuan pekerja hanya boleh dibuat dengan persetujuan majikan mereka, dan membiayai kroninya untuk menubuhkan firma yang menawarkan gaji yang lebih baik untuk pekerja yang tidak menyertai kesatuan. Syarikat ini kesemuanya jatuh muflis dalam beberapa tahun, menyebabkan kebanyakan pekerja jatuh dalam kesusahan sementara kroni-kroninya dapat menambah lagi wang dalam akaun bank mereka.

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan kedua menutup kepala mereka dengan sepanduk kadbod dan kain sambil mengesat peluh, merungut kerana cuaca panas sambil menunggu penganjur perhimpunan berunding dengan polis berkenaan laluan yang boleh mereka lalui. 

Selepas lima belas minit, penganjur memberitahu mereka bahawa polis telah mengarahkan mereka menukar laluan mereka. Daripada pelan asal di mana perhimpunan mereka akan berakhir di hadapan Dewan Bandaraya, ianya akan berakhir di sebuah taman, lima ratus meter dari haluan asal.

Kembali ke dewan, orang ramai berdiri dan memberikan tepukan gemuruh apabila kedua-dua tetamu terhormat itu akhirnya memasuki dewan dan melambai kepada mereka sebelum duduk. Selepas tepukan reda, Juruacara Majlis memulakan dengan mengucapkan terima kasih kepada ahli kesatuan yang berhimpun atas kehadiran mereka, sebelum memberi pujian yang melimpah-ruah kepada Datuk Bandar, memberitahu beliau betapa berbesar hati mereka mendapat kehadiran tetamu yang terhormat pada hari ini.

Penganjur perhimpunan kedua pula, dengan pembesar suara di tangan kiri dan melindungi matanya dari matahari dengan tangan kanan, mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir kerana sanggup mengorbankan masa lapang mereka menghadiri perhimpunan ini. 

Dia kemudian bercakap tentang kesusahan yang dihadapi sebahagian daripada mereka, terutama sekali mereka yang datang dari luar bandar hanya untuk menghadiri perhimpunan kali ini. Dia kemudian mengucapkan terima kasih atas dedikasi mereka dan berjanji perjuangan mereka akan membuahkan hasil suatu hari nanti.

Sementara di dewan, Setiausaha Agung mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar atas kemenangan yang dikecapi oleh gabungan politik beliau pada pilihan raya yang lepas dan berharap ia akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat antara kesatuan dan gabungan pemerintah. Dia berjanji, dalam masa sukar yang akan datang, mereka akan memberi sokongan seratus peratus kepada pihak pemerintah, janji yang disambut dengan tepukan gemuruh daripada pekerja yang hadir.

Datuk Bandar kemudian naik ke podium. Dia memulakan dengan menekankan bahawa mereka tidak seharusnya memandang majikan mereka sebagai musuh, tetapi sebagai rakan. Dia kemudian menjelaskan bahawa majikanlah yang memberi pekerjaan kepada mereka, jika tiada majikan, maka tiadalah pekerjaan. Dia kemudian menyambung, jika bukan di atas jasa baik mereka, mereka tidak akan dibenarkan untuk menubuhkan kesatuan dan menyertai perhimpunan seperti yang mereka dapat lakukan pada hari ini. 

Dia mengaku, walaupun mengakui tujuan utama perniagaan adalah untuk menjana keuntungan, beliau ingin mengingatkan mereka bahawa pemilik perniagaan bukanlah raksasa yang tidak berhati perut, sebaliknya, mereka hanya mahukan yang terbaik untuk syarikat dan pekerja mereka.

Di perhimpunan kedua, seorang wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan bertanya kepada salah seorang perarak mengapa dia menyertai perhimpunan itu. Dia menjelaskan bahawa dia pernah bekerja sebagai tukang cuci untuk sebuah syarikat tempatan, tetapi pihak pengurusan menerima khabar bahawa dia dan beberapa pekerja lain berfikir untuk menubuhkan kesatuan dan ingin membuat tuntutan untuk menaikkan gaji mereka, kontrak mereka ditamatkan dengan serta-merta.

Seorang pekerja lain kemudian memberitahu wartawan tentang status pekerjaannya yang tidak menentu. Walaupun sudah sepuluh tahun bekerja di syarikat yang sama, gajinya masih sama seperti orang baru. Dan sebagai pekerja kontrak, dia juga terpaksa melakukan tugas-tugas di luar skop kerjanya semata-mata untuk menggembirakan majikannya, dengan harapan mereka akan memperbaharui kontraknya selama setahun lagi.

Datuk Bandar kemudiannya mengecam sikap segelintir pekerja yang dakwanya sentiasa menuntut gaji yang lumayan namun enggan melakukan pekerjaan yang dianggap kotor dan sukar, sehinggakan pihak majikan terpaksa mengimport pekerja asing supaya kerja dapat berjalan.

Seorang pekerja asing yang ingin bercakap dengan janji yang namanya tidak disiarkan memberitahu wartawan bahawa dia dan rakan-rakannya terpaksa bekerja dalam keadaan yang kurang memuaskan. Apabila tiba di negara ini, pasport dan visa kerja mereka dipegang oleh kontraktor mereka sebelum dihantar ke majikan mereka. Majikan kemudian memerah mereka untuk bekerja di sektor pembinaan dari pagi hingga malam, terutama sekali di bawah matahari yang terik tanpa diberi air minum dan tempat teduh. Malahan, ada juga yang tidak dibekalkan topi keledar.

Buruh asing seperti dia juga terpaksa tinggal di perumahan sementara yang diperbuat daripada kayu atau kontena yang didiami bersama pekerja binaan lain, kadangkala sehingga lima belas orang untuk satu bilik, dan akibatnya, penyakit berjangkit berleluasa di antara mereka. Seorang aktivis migran berkata, jika mereka cedera semasa bekerja, mereka biasanya dibuang kerja dan dihantar pulang ke tanah air, dan jika mereka terbunuh semasa bekerja, kadangkala mereka tidak akan memberi pampasan kepada keluarga si mati. 

Dia menambah, walaupun mereka menyedari hak mereka, kontraktor mereka akan menakutkan mereka dengan memberi amaran yang mereka akan ditahan polis atau dipukul samseng untuk mencegah mereka daripada mengambil tindakan selanjutnya.

Datuk Bandar kemudiannya mengalihkan perhatiannya kepada pemuda hari ini dan mengecam sikap malas mereka. Dia memberi tahu pekerja-pekerja di hadapannya apa yang didengarinya daripada pihak majikan; mengenai bagaimana graduan baru enggan bekerja dengan gaji rendah dan tidak sanggup bekerja lebih masa, tidak seperti zaman dulu, di mana pekerja baru sanggup mengikut arahan yang diberikan majikan mereka tanpa sebarang bantahan.

Salah seorang perarak memberitahu wartawan bahawa dia mempunyai Ijazah Sarjana Muda, tetapi semua pekerjaan yang tersedia untuknya adalah pekerjaan peringkat permulaan, dan lebih menyakitkan hati, gaji yang ditawarkan hanya lebih sedikit daripada gaji minimum.

Seorang lagi pekerja berkata bahawa dia biasa bekerja lebih daripada sembilan jam biasa setiap hari, kadangkala sepuluh, hingga sebelas jam. Walaupun begitu, majikannya enggan memberi pampasan yang sewajarnya.

Seorang lagi perarak berkata dia bukan malas, tapi sedar akan haknya sebagai seorang pekerja. Dia pernah memetik buah di Australia, menjadi buruh pembinaan di Singapura, malah pernah menjadi tukang masak di United Kingdom. Buruh perjalanan ini memberitahu penemuramah bahawa walaupun dengan beban kerja yang tinggi, dia masih mempunyai masa rehat semasa syif yang mencukupi dan juga cuti yang setimpal, manakala di tanah airnya sendiri, dia hanya mendapat satu hari cuti dan hanya dibenarkan lima belas minit untuk makan tengah hari.

Setelah Datuk Bandar selesai mengecam kemalasan golongan pekerja yang berkumpul di hadapannya, beliau berharap semua orang akan bekerjasama dengan komuniti perniagaan dan kerajaan untuk menjadikan bandar itu sebuah bandar yang makmur dan boleh didiami, yang disambut dengan pusingan tepukan daripada penonton.

Setiausaha Buruh kemudian mengumumkan penambahbaikan berikut kepada undang-undang buruh. Pertama, akan ada undang-undang baharu untuk menangani gangguan seksual dan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran buruh. 

Pada masa yang sama, seorang pencemuh menjerit kepada perarakan bahawa jika mereka tidak tahan diganggu di tempat kerja, mereka hanya perlu berkahwin dan menjadi suri rumah.

Beliau kemudian menambah bahawa perubahan akan dibuat untuk memastikan bahawa pekerja tidak akan didiskriminasi, seorang lagi penghina menjerit kepada pekerja yang berkumpul bahawa mereka harus bersyukur kerana mereka dibenarkan tinggal di negara ini, kerana mereka boleh saja menghantar mereka yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan, kembali ke tempat asal mereka.

Para peserta perhimpunan kedua telah tiba di taman. Di bawah pengawasan polis, penganjur mengucapkan terima kasih sekali lagi atas penyertaan mereka. Dia mengingatkan mereka tentang kejayaan mereka pada masa lalu, bagaimana usaha mereka untuk menaikkan gaji minimum telah membuahkan hasil, dan memberitahu para hadirin yang perhimpunan ini hanyalah sebahagian daripada perjuangan berterusan mereka untuk mempertahankan hak mereka dan memperjuangkan maruah mereka sebagai pekerja.

Perhimpunan di dewan juga telah selesai. Penganjur pun memberi seribu terima kasih kepada Datuk Bandar kerana sudi merendahkan diri untuk hadir, sebelum memberi terima kasih kepada Setiausaha Buruh kerana sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk mereka. Dia kemudian meminta penonton untuk satu lagi tepukan yang gemuruh, dan mereka pun akur, membanjiri dewan tersebut dengan tepukan mereka.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *