oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Video and artikel berkaitan keputusan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan Kerajaan Negeri Perak untuk mengusir 132 orang petani kecil yang menghasilkan bahan-bahan makanan di Kanthan, Perak, telah ditonton/dibaca oleh ramai warga Malaysia. Ramai yang membantah keputusan Kerajaan Negeri Perak memusnahkan sebuah kawasan yang membekalkan 50-60 tan sayur dan buah-buahan setiap hari untuk rakyat Malaysia. Tetapi ada juga pembaca yang mempunyai persepsi negatif terhadap petani-petani ini. Antara komen negatif yang keluar di media sosial adalah:
- Petani ini mahu menggunakan tanah kerajaan dengan percuma dan tidak mahu membayar sebarang sewa.
- Tanah ini adalah milikan PKNP dan petani tidak membayar sebarang sewa kepada PKNP sehingga sekarang.
- Kerajaan Negeri Perak telah menawarkan mereka satu tapak tanah alternatif di Changkat Kinding tetapi petani menolak tawaran tersebut.
- Mengapakah PSM yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan sederhana membuang masa dalam membantu satu kumpulan yang kaya?
- Ada pencemaran alam daripada penternakan babi di kawasan itu.
Saya terlibat dalam isu petani Kanthan sejak tahun 2010 kerana kawasan ini berada di sempadan kawasan Sungai Siput dan tahu sedikit berkaitan latar belakang isu ini. Izinkan saya memberi penjelasan ringkas terhadap komen-komen ini.
1. Petani ini mahu menggunakan tanah kerajaan dengan percuma dan tidak mahu membayar sebarang sewa.
Ini tidak benar. Pada tahun 1989, lebih daripada orang 100 petani di kawasan Kanthan telah cuba mendaftarkan diri dengan Pejabat Tanah Kinta dan memohon Lesen Tumpangan Sementara (TOL) daripada Pejabat Tanah. Usaha ini dikoordinasi oleh Setiausaha DAP di Kampung Baru Kanthan pada masa itu. Ada antara mereka yang dapat surat sokongan daripada ADUN kawasan tersebut. Tetapi Pejabat Tanah berdiam sahaja – tidak meluluskan permohonan petani dan mengenakan bayaran sewa, ataupun menolak dan memanggil mereka untuk mengosongkan tanah itu. Jadi, isunya bukan keengganan para petani membayar sewa tanah kepada Pejabat Tanah. Isu sebenarnya ialah Kerajaan Negeri enggan mengiktiraf mereka sebagai petani.
2. Tanah ini adalah milikan PKNP dan petani tidak membayar sebarang sewa kepada PKNP sehingga sekarang.
Komuniti petani ini telah mengusahakan pertanian di kawasan ini sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua – jauh sebelum PKNP diperbadankan (pada tahun 1967). Tanah ini dilupuskan kepada PKNP oleh Kerajaan Negeri Perak lebih kurang 10 tahun yang lalu – walaupun para petani telah memohon tanah ini 25 tahun lebih awal. Pada tahun 2012, PKNP telah menawarkan pajakan tanah dengan bayaran sewa dan hampir kesemua pekebun berminat dan menandatangani dokumen perjanjian. Tetapi PKNP tidak meneruskan dengan cadangan itu. Pada tahun 2016, sekumpulan 14 orang petani dari kawasan ini telah menghadap PKNP ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk memaksanya meneruskan dengan cadangan menyewa tanah kepada mereka seperti yang dijanjikan pada tahun 2012. Akhirnya satu persetujuan bersama (Consent Agreement) telah dicapai di mana 14 orang pekebun itu dibenarkan untuk meneruskan aktiviti pertanian sehingga tahun 2022 dengan janji mereka akan ditawarkan kawasan alternatif jika dikehendaki berpindah. Jadi, adalah jelas bahawa para petani sedia membayar sewa tanah yang munasabah, tetapi Pejabat Tanah dan PKNP tidak membuka ruang untuk bayaran ini.
3. Kerajaan Negeri Perak telah menawarkan mereka satu tapak tanah alternatif di Changkat Kinding tetapi petani menolak tawaran tersebut.
Ini pun tidak benar. 132 orang petani di kawasan ini memang dijemput ke satu perjumpaan di Pusat Pembangunan Usahawan, Bandar Meru Raya, pada 6 Oktober 2021. Notis jemputan itu mengatakan bahawa mereka akan diberi taklimat berkaitan tanah gantian yang ditawarkan kepada mereka. Apabila mereka sampai di tempat mesyuarat, mereka diminta untuk terus membuat pengundian tapak ganti di kawasan baru tanpa sebarang penjelasan terhadap terma-terma berkaitan tawaran itu.
Para petani tidak setuju untuk mengambil bahagian dalam cabutan lot itu dan menulis sepucuk surat bertarikh 10 Oktober 2021 yang
- meminta supaya mereka dibawa ke tapak yang ditawarkan untuk membolehkan mereka melihat kesesuaiannya untuk penanaman sayur-sayuran.
- bertanyakan apakah syarat-syarat tawaran ini – siapakah pemilik tanah, jangka masa pajakan yang ditawarkan, bayaran bulanan, masa yang akan diberi untuk menyediakan tapak baru dan berpindah. Mereka meminta draf perjanjian berkaitan pajakan tanah ini supaya mereka dapat tahu terma-termanya.
- bertanya sama ada bekalan air di kawasan baru mencukupi untuk penanaman sayur.
- menghuraikan masalah kewangan yang akan dihadapi mereka dalam meneroka tanah baru ini jika dikehendaki mengosongkan kebun yang merupakan punca rezeki mereka.
Mereka meminta satu sesi dialog untuk membincangkan perkara-perkara ini. Malangnya PKNP tidak mengadakan mesyuarat susulan untuk memberikan penjelasan seperti yang diminta tetapi terus menghantar Notis Pengusiran yang bertarikh 3 Disember 2021.
Kesimpulannya, para petani tidak pernah menolak tawaran tanah ganti. Mereka hanya memohon butir-butir yang lebih lengkap berkaitan tawaran ini sebelum mereka buat keputusan. Sampai sekarang pihak PKNP dan PTG belum membekalkan maklumat yang dipohon oleh petani.
4. Mengapakah PSM yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan sederhana, membuang masa membantu satu kumpulan yang kaya?
Pertamanya, kebanyakan daripada 132 orang petani ini bukan kaya. Pada jangkaan saya, 1/3 mereka adalah dalam kalangan B40 dan hampir kesemua yang lain adalah dalam kalangan M40. Sila lihat keluasan tanah yang diusahakan oleh mereka seperti jadual di bawah:
Saiz Kebun | Bilangan Petani | Peratusan | Peratusan kumulatif |
0 – < 2 ekar | 24 | 18.2% | 18.2% |
2 – < 4 ekar | 41 | 31.1% | 49.3% |
4 – < 7 ekar | 37 | 28.0% | 77.3% |
7 – < 10 ekar | 18 | 13.6% | 90.9% |
10 ekar ke atas | 12 | 9.1% | 100% |
Jumlah | 132 | 100% |
Statistik berkaitan keluasan kebun adalah hasil kajian PKNP sendiri dan ianya membuktikan bahawa 49.3% daripada petani di kawasan ini mengusahakan kebun yang berkeluasan kurang daripada 4 ekar. Jadi, adalah salah untuk menganggap mereka semua adalah kaya raya.
Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa PSM tidak berpendirian bahawa semua orang kaya adalah musuh yang harus ditentang habis-habisan. Memang ada banyak kes di mana PSM menentang syarikat korporat tetapi ini berlaku apabila mereka menipu, merampas tanah ataupun menindas orang biasa. Kami sentiasa cuba bertindak secara yang adil terhadap semua golongan dalam masyarakat kita. Orang kaya juga manusia dan ramai antara mereka memainkan peranan yang memanfaatkan ekonomi dan negara kita. Hak asasi mereka harus dihormati.
5. Ada pencemaran alam daripada pembelaan babi di kawasan itu.
Ada kemungkinannya. Saya tidak pasti. Sejauh mana yang saya tahu, ada dua orang penternak babi dalam kalangan petani Kanthan-Kuala Kuang. Saya belum menyiasat isu pencemaran berkaitan dengan ternakan babi, tetapi pendirian PSM adalah penternak ayam, babi dan lembu mesti berjaga supaya tidak mencemarkan kawasan sekeliling dan sungai. Agensi kerajaan yang berkaitan mesti memainkan peranan pro-aktif untuk memastikan perkara ini – undang-undang yang sedia ada mesti dikuatkuasakan dan sesiapa penternak yang terus mencemari alam sekeliling harus didenda dan jika degil maka perlu ditutup. Sisa buangan organik adalah masalah terbesar berkaitan ternakan binatang. Teknologi moden harus dipakai supaya sisa buangan organik dapat disalurkan ke dalam tangki dan gas metana daripada sisa organik digunakan untuk menjana kuasa elektrik.
Kesimpulan
Isu pokok di sini bukannya etnik walaupun ada pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk mempromosi sudut pandangan chauvinis. Sebenarnya wujud tiga isu pokok di sini – rezeki sekumpulan pekebun kecil, jaminan makanan untuk rakyat Malaysia dan kesegaran ekonomi luar bandar. Kita harus memastikan pandangan kita tidak diputar-belit oleh satu kumpulan kecil yang sedang menyalahgunakan kuasa untuk mencairkan aset kerajaan (tanah) demi menguntungkan diri sendiri dan proksi mereka.
Kita hanya dapat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat jika kita boleh sentiasa bersikap rasional dan mengutamakan prinsip keadilan dalam mengendalikan setiap masalah yang kita hadapi.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Siput.
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
3 thoughts on “Isu pengusiran petani Kanthan: Penerangan mengenai situasi sebenarnya”