Seorang politikus neoliberal menewaskan seorang politikus pelampau kanan, memang bukannya sesuatu yang mengujakan untuk kelas pekerja dan rakyat biasa walaupun jika yang sebaliknya berlaku… Namun, rakyat Perancis sekali lagi terpaksa memilih antara dua pilihan yang tiada satunya lebih baik daripada satu yang lain dalam pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Perancis 2022. Rakyat Perancis bakal berdepan dengan lima tahun lagi serangan neoliberal dan ancaman pelampau kanan yang lebih hebat!
Emmanuel Macron, penyandang jawatan Presiden Perancis yang merupakan seorang pendukung dasar ekonomi neoliberal, telah menang dalam pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Perancis yang diadakan pada 24 April 2022, dengan menewaskan Marine Le Pen, seorang politikus pelampau kanan yang menunggang sentimen anti-migran dan nasionalis sempit.
Macron sebagai calon parti sentris La République En Marche!, meraih sebanyak 18,779,641 undi (bersamaan 58.54%) dalam pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Perancis. Jumlah dan peratusan undi yang diperolehi Macron adalah lebih rendah berbanding pengundian pusingan kedua dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2017, di mana Macron berjaya memperoleh sebanyak 20,743,128 undi (66.10%) pada masa itu. Ini bermakna undi yang diberikan kepada Macron merosot hampir 2 juta, sementara peratusan undi yang diperolehinya menjunam sebanyak 7.56 titik peratusan. Sementara itu, Le Pen yang mewakili parti pelampau kanan Rassemblement National, meraih sebanyak 13,297,760 undi (41.46%), dengan peningkatan sebanyak lebih 2.6 juta undi atau 7.56 titik peratusan berbanding tahun 2017.
Kemenangan Macron ini bukannya disebabkan Macron ialah seorang ahli politik yang mempunyai sokongan popular yang kuat, tetapi oleh kerana masih mempunyai cukup ramai orang pengundi Perancis keluar mengundi yang menolak politik pelampau kanan. Mereka yang layak mengundi tetapi tidak keluar mengundi dalam pengundian pusingan kedua mencecah 13,655,960 orang (bersamaan 28.01%), meningkat sebanyak lebih 1.5 juta orang berbanding 5 tahun dahulu. Undi kosong dan undi rosak pula melebihi 3 juta atau bersamaan dengan 8.6% undi yang telah dibuang. Pemerintahan di bawah kepresidenan Macron yang bersifat neoliberal dan semakin autoritarian selama 5 tahun yang lalu, bukan sahaja menyebabkan semakin ramai rakyat Perancis tidak berpuas hati terhadapnya, malah mendorong perkembangan politik pelampau kanan yang lebih rasis lagi.
Macron terbukti bukannya penghalang kepada kebangkitan politik pelampau kanan yang berpegang pada fahaman rasis dan fasis. Ini merupakan kali ketiga dalam tempoh 20 tahun yang lalu (dengan 5 kali Pilihanraya Presiden), parti pelampau kanan Rassemblement National (yang sebelum ini dikenali sebagai Front National sehingga tahun 2018) mara ke pengundian pusingan kedua untuk Pilihanraya Presiden Perancis, dan mencatatkan keputusan yang paling dekat dengan kemenangan. Pada tahun 1974, Front National hanya mendapat 0.75% undi dalam pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Presiden, tetapi telah meningkat kepada 15.00% pada tahun 1995. Jean-Marie Le Pen, bapa kepada Marine Le Pen, berjaya melayakkan diri ke pengundian pusingan kedua pada tahun 2002 dengan 16.86% undi. Undi kepada calon pelampau kanan dalam pengundian pusingan kedua pada tahun 2002 ialah 17.8%, tetapi berlipat hampir dua kali ganda kepada 33.9% dalam pengundian pusingan kedua pada tahun 2017, dan kali ini pula mencecah 41.46%. Ini bermakna sekurang-kurangnya 2 daripada 5 orang yang mengundi dalam pengundian pusingan kedua menyokong agenda politik pelampau kanan yang xenofobia, anti-migran, anti-Islam dan anti-LGBT. Ini merupakan satu amaran yang membimbangkan kepada politik Eropah.
Salah satu faktor banyak undi pergi kepada Le Pen adalah kerana dia beretorik bahawa dia berjuang untuk rakyat biasa dan berprihatin pada masalah kos hidup yang semakin meningkat di negara itu. Namun, Le Pen dan parti pelampau kanannya hanya menunggangkan ketidakpuasan hati rakyat untuk mengapi-apikan sentimen anti-migran supaya mewujudkan pemerintahan yang bersifat lebih autoritarian untuk melindungi kepentingan golongan mahakaya di negara itu.
Dasar yang diamalkan oleh kerajaan Macron selama 5 tahun lalu yang menganiayai kelas pekerja, telah memainkan peranan utama dalam meningkatkan lagi sokongan kepada politik pelampau kanan Le Pen. Kerajaan Macron telah menggunakan kekerasan untuk menghancurkan gerakan rakyat yang mencabar neoliberalisme di Perancis, seperti Gerakan Jaket Kuning. Kerajaan Macron juga mengamalkan dasar dan undang-undang yang memangsakan pelarian serta golongan muslim di negara itu. Politik Perancis semakin mencondong ke kanan dengan fahaman nasionalis yang sempit akibat daripada persaingan antara elit politik untuk mengalihkan perhatian rakyat biasa daripada masalah yang disebabkan oleh sistem kapitalis kepada sentimen perkauman yang sempit.
Dengan kemenangan Macron sekali lagi sebagai Presiden Perancis, adalah boleh dijangkakan rakyat Perancis akan menghadapi lima tahun lagi serangan daripada elit politik neoliberal yang menghakis kebajikan masyarakat, meningkatkan usia untuk penerimaan pencen, mendiskriminasi golongan Muslim dan mengancam organisasi kelas pekerja. Ini sudah pasti akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan pelampau kanan atau fasis untuk berkembang lebih besar lagi.
Masa hadapan politik Perancis memang muram, dan cabaran kepada golongan kiri adalah amat hebat. Walaupun Jean-Luc Mélenchon sebagai calon daripada parti berhaluan kiri La France Insoumise mencatatkan keputusannya yang terbaik dalam pengundian pusingan pertama untuk Pilihanraya Presiden, dengan meraih lebih 7.7 juta undi (21.95%), tetapi masih tidak mencukupi untuk bersaing dengan kekuatan politik pelampau kanan. Medan pertempuran untuk perjuangan kelas di Perancis dalam lima tahun akan datang ini adalah di tempat kerja dan jalanan, meneruskan usaha perjuangan Gerakan Jaket Kuning, mogok pekerja yang hebat (seperti mogok yang menentang serangan terhadap pencen pada tahun 2019), gerakan wanita, gerakan alam sekitar dan gerakan anti-rasisme. Hanya perjuangan sebegini dapat menjadi asas kepada perubahan politik yang mampu mencabar kekuasaan elit politik tradisional dan menangkis ancaman daripada pelampau kanan.
4 thoughts on “Pilihanraya Presiden Perancis 2022: Macron menang bukan kerana majoriti rakyat sokong dia”