IPOH, PERAK: Petani-petani kecil yang mengusahakan tanah pertanian di belakang bandar Chemor, Daerah Kinta, Perak, menyeru pada Kerajaan Negeri Perak supaya menghentikan ancaman pengusiran daripada syarikat pemaju swasta dan mengekalkan kawasan tanah yang diusahakan mereka sebagai kawasan pengeluaran sayur dan ikan. Mereka telah menyerahkan satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 13 April 2022.

Turut hadir bersama petani-petani Chemor semasa penyerahan surat tersebut ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Terdapat lebih kurang 20 orang petani yang sedang mengusahakan aktiviti pertanian di atas tanah seluas 80 ekar di kawasan belakang bandar Chemor. Mereka telah bercucuk tanam dan menternak ikan di situ selama lebih 80 tahun. Datuk nenek petani-petani ini meneroka kawasan tersebut dan bercucuk tanam di situ sejak sebelum zaman Perang Dunia II. Pada asalnya keluarga-keluarga petani kecil ini duduk di atas tanah kebun mereka, tetapi mereka telah diarahkan untuk berpindah ke Kampung Baru Tanah Hitam pada tahun 1950-an semasa Darurat. Walaupun begitu, mereka masih dibenarkan oleh pihak Kerajaan British untuk meneruskan aktiviti penanaman sayur-sayuran pada waktu siang hari.

Pada tahun 1980-an, petani-petani di kawasan Chemor telah diberitahu oleh Kerajaan Negeri Perak bahawa pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan projek pertanian sayur di kawasan mereka. Ramai dalam kalangan petani-petani kecil ini telah mengisi borang dan menghadiri temuduga, tetapi malangnya projek tersebut tidak dilancarkan.

Petani-petani kecil di kawasan belakang bandar Chemor ini dikejutkan baru-baru ini pada bulan Mac 2022 oleh surat daripada syarikat Kinding Maju Sdn Bhd yang mengatakan bahawa ia ialah pemilik untuk tanah yang sedang diusahakan oleh petani-petani di situ. Syarikat pemaju itu mendakwa petani-petani kecil yang bercucuk tanam di situ sebagai haram dan mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah berkenaan dalam jangka masa 3 bulan.

Dalam surat yang diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak, petani-petani kecil di kawasan Chemor menuntut pada Menteri Besar Perak supaya menyiasat isu ini. “Mengapakah kami, sebagai petani yang sedang mengeluarkan bahan-bahan makanan untuk rakyat Perak, tidak ditawarkan pajakan bagi tanah ini supaya kami dapat meneruskan malah meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan ikan? Pada masa ini, kami sedang mengeluarkan jagung, beberapa jenis sayur-sayuran dan ubi dari tanah pertanian ini. Kolam-kolam di sini menghasilkan ikan patin, lou han dan tilapia,” begitu katanya surat daripada Jawatankuasa Petani Chemor.

“Kami di sini bukannya meminta geran hak milik kepada petani-petani ini. Kami hanya meminta pada kerajaan untuk memberikan pajakan selama 10 atau 20 tahun supaya mereka dapat bercucuk tanam di situ. Jika anak mereka hendak meneruskan aktiviti pertanian, boleh diserahkan pajakan itu kepada anak mereka. Jika anak tidak mahu meneruskannya, kerajaan boleh memberikan pajakan ini kepada petani-petani lain yang bersedia untuk bercucuk tanam,” kata Dr. Jeyakumar yang turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum.

“Adalah nyata bahawa bekalan makanan akan berkurangan di seluruh dunia akibat Perang Ukraine-Rusia, dua buah negara yang membekalkan sebahagian besar gandum, jagung dan minyak minyak bunga matahari dalam pasaran antarabangsa. Harga makanan akan melambung tinggi dalam beberapa bulan akan datang ini. Ini bukan masanya untuk menghancurkan kawasan-kawasan pengeluaran makanan di negara kita,” ulas Dr. Jeyakumar.

Petani-petani kecil di kawasan Chemor berharap Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, akan mengambil serius terhadap perkara ini, kerana ia bukan sahaja menyusahkan para petani kecil, tetapi juga menjejaskan jaminan makanan negara kita. Kawasan pertanian yang sedang diusahakan oleh petani-petani kecil ini harus dikekalkan sebagai kawasan pengeluaran sayur dan ikan. Pajakan jangka masa panjang (10 hingga 20 tahun) patut ditawarkan kepada para petani dan penternak ikan di situ. Petani-petani kecil ini menyatakan bahawa mereka bersedia untuk menanggung bayaran pajakan ini.

Petani-petani Chemor juga meminta pada Pejabat Menteri Besar Perak untuk menetapkan satu tarikh untuk mereka berjumpa dengan Menteri Besar dan membincangkan masalah mereka demi menyelesaikan kemelut ancaman pengusiran paksa yang sedang dihadapi mereka.

4 thoughts on “Petani Chemor minta kekalkan tanah pertanian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *