Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

IPOH, PERAK – 22 SEPTEMBER 2021: Wakil petani sayur dan penternak ikan yang datang dari beberapa buah daerah di negeri Perak, telah menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Pejabat Menteri Besar Perak, dengan tuntutan kepada Kerajaan Negeri Perak supaya memberi perlindungan yang lebih terjamin bagi golongan petani kecil di negeri tersebut.

Turut hadir bersama dengan wakil petani kecil dan penternak kecil semasa penyerahan memorandum ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Petani-petani sayur dan penternak-penternak ikan berkenaan sedang menghadapi masalah pengusiran keluar dari tanah yang diusahakan mereka selama 3 hingga 8 dekad yang lalu. Di beberapa kawasan yang terlibat, tanah yang diusahakan petani-petani kecil ini merupakan tanah yang terbiar selepas aktiviti perlombongan di situ tamat dan para petani telah memulihkan tanah tersebut sehingga ia menjadi satu aset ekonomi untuk negeri Perak.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak, petani-petani kecil ini berkata, “Bapa-bapa kami telah mengikut nasihat Tun Abdul Razak dan melabur tenaga dan juga dana untuk membangunkan kawasan-kawasan terbiar demi mencari makan dan juga membekalkan makanan bagi masyarakat kita. Pada masa ini, negeri Perak merupakan sumber yang penting untuk bekalan sayur-sayuran dan ikan air tawar di Malaysia. Hasil pengeluaran kami dihantar ke banyak negeri yang lain untuk memenuhi keperluan makanan rakyat kita.”

Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, pernah menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada jaminan bekalan makanan negara kita dengan cara meneroka tanah kosong. Beliau mengumumkan semasa melancarkan Buku Hijau pada bulan Disember tahun 1974 bahawa mengeluarkan bahan makanan adalah lebih penting daripada memegang dokumen pemilikan tanah.

Namun, golongan petani dan penternak yang mengusahakan aktiviti ekonomi di atas kerajaan selama beberapa dekad yang lalu kini sedang diusir keluar oleh pihak pemaju yang hendak melaksanakan projek-projek pembangunan. Biasanya kawasan yang diusahakan oleh petani-petani dan penternak-penternak kecil ini dilupuskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan MB Inc. Selepas itu, tanah berkenaan dijual pula kepada pemaju swasta untuk projek perumahan atau perindustrian. Petani-petani kecil yang mengusahakan tanah berkenaan dikehendaki mengosongkan tanah. Petani-petani kecil ini jarang ditawarkan tanah gantian yang sesuai untuk mereka meneruskan aktiviti penanaman sayur atau penternakan ikan.

Oleh itu, golongan petani kecil ini agak gembira apabila Menteri Besar Perak yang sebelum ini, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, menyatakan bahawa dasar baharu Kerajaan Negeri Perak adalah mengekalkan seboleh mungkin petani-petani kecil yang mengusahakan tanah kerajaan tanpa permit, lesen ataupun geran tanah. Golongan petani kecil di Perak berpandangan bahawa ini merupakan satu dasar bijaksana yang membawa pelbagai faedah kepada masyarakat Perak, termasuk mewujudkan jaminan makanan untuk rakyat umum, memacu ekonomi tempatan dengan membuka ruang untuk penjualan baja dan alat-alat pertanian, perniagaan dalam penjualan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan di pasar dan sebagainya, selain daripada memastikan ratusan petani kecil dapat terus mencari rezeki melalui aktiviti pertanian.

Petani-petani kecil yang sedang mengusahakan aktiviti pertanian di tanah kerajaan ini tidak meminta kerajaan memberikan geran hak milik tanah kepada mereka. Mereka hanya meminta supaya diberikan pajakan tanah selagi mereka masih mengusahakan pertanian di atas tanah tersebut. Mereka berpandangan bahawa kepentingan rakyat Malaysia lebih terjamin jika pengusaha tanah ditawarkan pajakan tanah untuk tempoh masa 20 tahun dengan syarat bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan makanan dan tidak boleh ditukar kegunaannya kepada kawasan penanaman kelapa sawit. Tempoh jaminan 20 tahun ini adalah penting kerana ia dapat mewujudkan keyakinan dan membolehkan petani kecil untuk melaburkan dana serta tenaga supaya mempertingkatkan produktiviti aktiviti penanaman ataupun penternakan mereka. Yang penting sekali adalah, kawasan yang sedang digunakan untuk membekalkan makanan bagi masyarakat kita ini dikekalkan sebagai kawasan pengeluaran makanan.  

Tetapi malangnya, dasar bijaksana yang diumumkan oleh Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu itu tidak dipatuhi oleh beberapa buah agensi dan jabatan kerajaan, termasuk Pejabat Tanah dan PKNP. Pengusiran petani kecil dan penternak kecil sedang terus berlaku di beberapa buah kawasan di negeri Perak.

Oleh itu, Gabungan Petani Perak mengeyorkan supaya dasar yang diumumkan oleh Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini dimaktubkan ke dalam Peraturan-peraturan Tanah Perak 1966 dengan penambahan klausa kepada Fasal 2 Peraturan ini.

Klausa baharu yang dicadangkan oleh Gabungan Petani Perak adalah, “setiap permohonan untuk melupuskan atau memberi pajakan tanah kerajaan kepada pihak swasta harus dirujuk kepada Lembaga Tanah Pertanian Negeri Perak jika tanah itu sedang diusahakan oleh petani kecil”.

Selain itu, satu peraturan baharu, Fasal 47, harus diperkenalkan dalam Peraturan-peraturan Tanah Perak untuk menyatakan komposisi, tugas dan tanggungjawab Lembaga Tanah Pertanian yang disebut di atas. Syor Gabungan Petani Perak mengenai struktur dan fungsi Lembaga ini adalah seperti berikut:

i) Lembaga Tanah Pertanian harus dianggotai oleh –

  • (a) Setiausaha Negeri yang hendaklah menjadi Pengerusi;
  • (b) Pengarah Tanah dan Galian Negeri yang hendaklah menjadi Setiausaha;
  • (c) Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri daripada pihak kerajaan;
  • (d) Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih oleh pihak pembangkang;
  • (e) Dua orang wakil yang dipilih oleh persatuan-persatuan petani dan penternak di negeri Perak.

Ahli Lembaga yang dinyatakan dalam (c) hingga (e) boleh ditukar setiap dua tahun.

ii) Lembaga Tanah Pertanian harus bermesyuarat sekali setiap dua bulan dan semua ahlinya harus dimaklumkan tarikh dan tempat mesyuarat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh berkenaan. Korum untuk bermesyuarat adalah sekurang-kurangnya tiga orang ahli, termasuk Pengerusi Lembaga.

iii) Pentadbir Tanah Daerah yang menguruskan pelupusan tanah kerajaan kepada mana-mana pihak dikehendaki memohon kelulusan Lembaga Tanah Pertanian dengan mengemukakan butiran seperti berikut:

  • Bilangan petani dan penternak yang sedang menjalankan aktiviti pertanian ataupun penternakan di atas tanah berkenaan;
  • Bilangan petani dan penternak yang telah menjalankan aktiviti pertanian ataupun penternakan di atas tanah itu dalam tempoh dua belas bulan sebelum tarikh permohonan;
  • Keluasan kawasan yang digunakan oleh setiap petani dan penternak, dan jenis serta jumlah hasil mereka dalam dua tahun yang lalu.
  • Cadangan Pentadbir Tanah untuk mengendalikan petani dan penternak yang terlibat.

Jika langsung tiada petani dan penternak di atas tanah itu, fakta ini harus dimaklumkan kepada Lembaga Tanah Pertanian oleh Pentadbir Tanah yang menguruskan pelupusan tanah itu.

iv) Lembaga Tanah Pertanian boleh, jika difikirkan sesuai, memanggil mana-mana orang untuk memberi apa-apa kenyataan di hadapannya atau mengemukakan apa-apa dokumen untuk diperiksa olehnya.

v) Lembaga Tanah Pertanian boleh meluluskan permohonan Pentadbir Tanah dengan mengenakan syarat-syarat berkaitan pengendalian petani atau penternak yang mengusahakan tanah itu. Lembaga Tanah Pertanian boleh menolak apa-apa permohonan untuk pelupusan tanah kerajaan ataupun pemberian pajakan terhadapnya jika –

  • ia berpuas hati bahawa apa-apa kenyataan yang dibuat dalam permohonan itu adalah palsu atau salah; atau
  • pentadbir tanah belum mematuhi apa-apa syarat yang disyorkan oleh Lembaga Tanah Pertanian terhadap pengendalian petani dan penternak yang mengusahakan tanah itu; atau
  • ia didapati olehnya bahawa kelulusan permohonan itu bukan bagi kepentingan awam.

vi) Keputusan Lembaga Tanah Pertanian hendaklan mengikut undi majoriti; dan dalam keadaan kesamaan undi, Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus.

vii) Lembaga Tanah Pertanian harus, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang kedua untuk setiap tahun, membentangkan laporan mengenai permohonan-permohonan pelupusan tanah yang diterimanya dalam tahun lalu, keputusan-keputusan yang telah diambil terhadap setiap permohonan tersebut dengan memberi butiran bilangan petani dan penternak yang terlibat dan caranya mereka dikendalikan.

Menurut Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi PSM dan Penasihat Gabungan Petani Perak, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 14(1)(a) Kanun Tanah Negara untuk menyertakan pindaan yang disyorkan oleh Gabungan Petani Perak ini ke dalam Peraturan-peraturan Tanah Perak. “Kami juga percaya bahawa pindaan undang-undang yang diminta ini adalah selaras dengan semangat Kanun Tanah Negara kerana pindaan ini adalah berasaskan pada Seksyen 214A berkaitan Lembaga Tanah Estet,” kata Dr. Jeyakumar.   

“Pengwujudan peraturan-peraturan ini akan menjamin bahawa petani kecil yang mengusahakan tanah kerajaan di negeri Perak mendapat perlindungan yang sempurna dan bekalan bahan-bahan makanan bagi rakyat kita akan terjamin. Pindaan kepada Peraturan-peraturan Tanah Perak seperti yang disyorkan dalam memorandum ini akan juga memantapkan ekonomi tempatan dan memanfaatkan rakyat negeri Perak,” ulas Dr. Jeyakumar.

Gabungan Petani Perak menggesa pada Menteri Besar Perak supaya meluangkan masa untuk berjumpa dengan mereka dan membincangkan syor-syor yang dikemukakan oleh mereka.

4 thoughts on “Kerajaan Perak digesa beri perlindungan yang lebih terjamin untuk petani kecil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *