Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) muncul sebagai parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihanraya Persekutuan Jerman yang menandakan permulaan zaman pasca Merkel. Olaf Scholz, calon Canselor untuk SPD yang merupakan Naib Canselor merangkap Menteri Kewangan dalam kabinet Merkel sejak tahun 2018, telah menyatakan hasratnya untuk SPD membentuk kerajaan campuran dengan Parti Hijau (Grüne) dan Parti Demokratik Bebas (FDP), yang masing-masing merupakan parti yang ketiga dan keempat terbesar dalam Parlimen Jerman selepas Pilihanraya Persekutuan Jerman tahun 2021.

Proses perundingan dan pembentukan kerajaan campuran baharu mungkin akan mengambil masa beberapa minggu jika bukannya beberapa bulan (walaupun mungkin tidak selama seperti negara Belanda yang masih belum terbentuknya kerajaan baharu selepas 6 bulan berlangsungnya pilihanraya pada bulan Mac 2021). Selain membentuk sebuah kerajaan campuran dengan nama julukan “Pakatan Lampu Isyarat Trafik”, berdasarkan warna tradisional parti politik yang terlibat (iaitu merah untuk SPD, kuning untuk FDP dan hijau untuk Grüne), FDP dan Grüne juga boleh membentuk kerajaan campuran dengan Kesatuan Demokratik Kristian (CDU), iaitu parti kedua besar dalam Parlimen Jerman dan dipimpin oleh Merkel sebelum ini, dalam “Pakatan Jamaica” (merujuk kepada warna bendera Jamaica – hitam, kuning dan hijau, di mana CDU diwakili dengan warna hitam).

Walaupun perubahan pucuk kepimpinan kerajaan Jerman melalui pilihanraya tidak begitu dramatik seperti negara-negara yang lain, tetapi oleh sebab negara Jerman merupakan kuasa ekonomi terbesar di Eropah dan juga ekonomi keempat terbesar di dunia mengikut keluaran dalam negara kadar (KDNK), maka pergolakan politik dan perubahan dasar di dalam negara Jerman boleh memberi impak besar kepada dunia.

Pilihanraya Persekutuan Jerman yang terbaru telah diadakan pada 26 September 2021, untuk memilih ahli-ahli Parlimen Persekutuan Jerman (Bundestag) untuk penggal yang baharu. Pilihanraya negeri juga diadakan di Berlin dan Mecklenburg-Vorpommern pada hari yang sama. Angela Merkel daripada CDU yang memegang jawatan Canselor Jerman sejak tahun 2005 tidak bertanding lagi dalam pilihanraya kali ini, menandakan tamatnya zaman pemerintahan Merkel yang sudah berlarutan selama 16 tahun.

Jerman mengamalkan sistem perwakilan berkadar ahli-campuran (MMP) dalam pilihanrayanya, iaitu sejenis sistem pengundian yang menggabungkan unsur perwakilan berkadar (iaitu pengagihan kerusi parlimen mengikut nisbah undi yang diperolehi parti yang bertanding) dengan unsur “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP) seperti yang diamalkan di Malaysia. Seorang pengundi akan diberi dua undi: satu undi untuk kawasan mengundi (undi pertama) dan satu lagi undi senarai parti (undi kedua). Sebanyak 299 orang ahli Parlimen Jerman akan dipilih melalui undi pertama di kawasan mengundi masing-masing; manakala undi kedua digunakan untuk menentukan pengagihan kerusi dalam Parlimen mengikut nisbah undi yang diperolehi parti-parti yang bertanding di negeri masing-masing kemudiannya di peringkat Persekutuan. Sebanyak 735 kerusi telah dihasilkan dalam Pilihanraya Persekutuan Jerman kali ini.

Untuk layak mendapat kerusi berasaskan nisbah undi kedua, sebuah parti politik harus memenangi sekurang-kurangnya 3 kerusi melalui undi pertama atau jumlah undi kedua yang diperolehinya melebihi ambang 5%. Ini bermakna, sekiranya sebuah parti hanya menang satu atau dua kerusi melalui undi pertama di kawasan mengundi tetapi gagal memperoleh sekurang-kurangnya 5% undi undi kedua, maka ia hanya mendapat kerusi yang dimenanginya melalui undi pertama tetapi tidak layak untuk menerima kerusi tambahan melalui undi kedua. Syarat ini tidak terpakai untuk parti peringkat negeri atau wilayah.

CDU terkandas

Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) yang merupakan parti dominan dalam kerajaan campuran yang memerintah Jerman selama 16 tahun lalu di bawah kepimpinan Angela Merkel, telah mencatatkan keputusan pilihanraya yang paling teruk dalam sejarahnya sejak penubuhan parti tersebut pada tahun 1945. CDU hanya memperolehi 18.9% daripada jumlah undi senarai parti (undi kedua) dalam pilihanraya kali ini, merosot sebanyak 7.9 titik peratusan berbanding pilihanraya tahun 2017. Keputusan yang paling teruk untuk CDU sebelum ini ialah pada tahun 1949, dengan perolehan undi sebanyak 25.2%. CDU memenangi 151 kerusi (kurang 49 kerusi berbanding pilihanraya lalu), dengan 98 kerusi daripada undi pertama kawasan mengundi (kurang sebanyak 87 kerusi).

Banyak pemimpin utama CDU, termasuk Menteri dalam kabinet Merkel, telah ditewaskan di kerusi kawasan mengundi masing-masing, walaupun kebanyakan mereka masih dapat dipilih ke dalam Parlimen melalui kedudukan mereka dalam senarai parti untuk undi kedua. Kerusi yang dimenangi oleh Angela Merkel sebanyak 8 kali berturut-turut sejak tahun 1990, iaitu Vorpommern-Rügen – Vorpommern-Greifswald I, telah jatuh dalam tangan calon SPD (Anna Kassautzki) untuk kali pertama dalam sejarahnya.

Kesatuan Sosial Kristian di Bavaria (CSU) yang sentiasa berganding bahu dengan CDU (di mana CDU tidak bertanding di negeri Bavaria), juga mencatatkan pencapaian yang paling teruknya, dengan hanya meraih 5.2% daripada jumlah undi senarai parti, merosot sebanyak 1% berbanding pilihanraya lalu, dan mendapat 45 kerusi (kurang 1 kerusi). Ini merupakan kali pertama sejak tahun 2005, CSU tidak dapat menang semua kerusi kawasan mengundi di negeri Bavaria melalui undi pertama.

Walaupun CDU/CSU memperolehi kerusi Parlimen yang jauh kurang berbanding pilihanraya sebelum ini, namun pemimpin CDU Armin Laschet masih berniat untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan cubaan merundingkan satu “Pakatan Jamaica” dengan Grüne dan FDP, dengan CDU/CSU sebagai parti yang dominan. CDU/CSU juga boleh terus berkuasa sebagai kerajaan dengan membentuk semula “Gabungan Besar” tetapi menjadi rakan kerjasama junior dalam kerajaan campuran yang diterajui SPD. SPD tidak menunjukkan minat untuk meneruskan pembentukan kerajaan campuran “Gabungan Besar”.

SPD bakal kembali jadi parti pemerintah utama

Dalam pilihanraya kali ini, Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) telah mencapai keputusan pilihanrayanya yang terbaik sejak tahun 2005 dan kembali menjadi parti terbesar dalam Parlimen Jerman. SPD meraih sebanyak 11.9 juta undi (bersamaan dengan 25.7%) daripada undi senarai parti (undi kedua), meningkat sebanyak 5.2 titik peratusan berbanding pilihanraya 2017. SPD berjaya memperoleh 206 kerusi (bertambah sebanyak 53 kerusi) dengan 121 kerusi daripada undi pertama. Ini merupakan kali pertama SPD menang semua kerusi kawasan mengundi melalui undi pertama di negeri Mecklenburg-Vorpommern, termasuk kerusi yang dipegang oleh Angela Merkel sebelum ini. Ini juga kali pertama sejak tahun 1998, SPD menyapu bersih semua kerusi kawasan mengundi di negeri Brandenburg dan Saarland.

Olaf Scholz, pemimpin SPD yang bakal menggantikan Angela Merkel sebagai Canselor Jerman sekiranya SPD berjaya membentuk kerajaan campuran baharu. (foto: Odd Anderse / AFP)

SPD ialah parti politik yang paling tua di Jerman, di mana ia ditubuhkan pada tahun 1875. Pada awalnya, SPD ditubuhkan sebagai sebuah parti kelas pekerja yang berlandaskan fahaman Marxis, tetapi kemudiannya semakin beralih kepada fahaman reformis, sehingga mengkhianati prinsip internasionalis apabila ia menyokong kerajaan Jerman untuk menyertai Perang Dunia I. SPD pernah disertai oleh tokoh-tokoh kiri revolusioner yang hebat seperti Rosa Luxemburg, Karl Liebknecht, Clara Zetkin dan Franz Mehring, tetapi mereka meninggalkan SPD selepas kepimpinan parti ini mendukung perang imperialis.  

Sejak tamatnya Perang Dunia II, SPD seringkali membentuk kerajaan di Jerman Barat dan kemudiannya Jerman yang bersatu selepas tahun 1990. SPD pernah membentuk kerajaan campuran “Pakatan Merah-Hijau” dengan Grüne pada tahun 1998-2005 dengan pemimpin SPD Gerhard Schröder sebagai Canselor. Berikutan keputusan pilihanraya yang menghampakan pada tahun 2005 (walaupun masih merupakan parti tunggal yang terbesar dalam Parlimen Jerman), SPD terpaksa menyertai kerajaan campuran “Gabungan Besar” (GroKo) yang dipimpin oleh Angela Merkel pada tahun 2005-2009, dengan niat menyingkirkan kemungkinan Parti Sosialisme Demokratik (PDS) menyertai Kerajaan Persekutuan, kemudiannya menjadi pembangkang pada tahun 2009-2013, dan kembali menyertai kerajaan campuran “Gabungan Besar” di bawah kepimpinan Merkel pada tahun 2013-2021.

Parti Hijau menyerlah

Parti Hijau dengan nama rasminya “Perikatan 90/Hijau” (Bündnis 90/Die Grünen) atau nama singkatan Grüne, mencatatkan keputusan pilihanraya yang terbaik dalam sejarahnya sejak ia ditubuhkan pada tahun 1993. Grüne meraih sebanyak 14.8% daripada undi kedua (undi senarai parti) dengan peningkatan 5.8 titik peratusan, sementara memenangi 16 kerusi melalui undi pertama (undi kawasan mengundi) berbanding 1 kerusi dalam pilihanraya lalu. Grüne berjaya memperoleh 118 kerusi secara keseluruhannya, bertambah sebanyak 51 kerusi. Ini menjadikan Grüne parti yang ketiga besar dalam Parlimen Jerman sekarang ini. Undi hampir 6.5 juta yang diperolehi Grüne dalam pilihanraya kali ini hampir dua kali ganda berbanding jumlah undi dalam pilihanraya lalu (3.7 juta). Sokongan yang semakin meningkat untuk Grüne dalam beberapa tahun kebelakangan ini mempunyai kaitan rapat dengan kebangkitan gerakan keadilan iklim dan peningkatan kesedaran mengenai krisis iklim dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan anak-anak muda.

Walaupun ini merupakan keputusan Pilihanraya Persekutuan yang terbaik bagi Grüne dalam sejarahnya, tetapi ia masih tidak mencapai harapan tinggi yang ditaruh sebelum ini. Grüne pernah meraih sebanyak 20.5% undi dalam Pilihanraya Parlimen Eropah di Jerman pada tahun 2019 dan menjadi parti yang mendapat undi kedua tinggi di Jerman pada masa itu. Sokongan kepada Grüne yang ditunjukkan dalam tinjauan pendapat sebelum ini agak tinggi, pada paras lebih 20% beberapa bulan sebelum ini, malah pernah mengatasi CDU pada bulan April dan Mei 20201, tetapi telah merosot dalam tempoh tiga bulan sebelum pilihanraya sehingga hanya mendapat 14.8% undi. Salah satu punca kepada penurunan sokongan ini adalah disebabkan berita negatif yang menjejaskan imej Annalena Baerbock, pemimpin utama dan calon Canselor untuk Grüne. Banyak pengundi yang menyokong Grüne mengalihkan sokongan mereka kepada SPD pada saat-saat terakhir untuk memastikan CDU tidak membentuk kerajaan.

Sementara itu, Parti Demokratik Bebas (FDP), sebuah parti liberal yang pro-pasaran bebas, turut mencatatkan keputusan kedua terbaiknya sejak penyatuan semula Jerman pada tahun 1990, dengan meraih 11.7% undi (meningkat sebanyak 0.7 titik peratusan) dan memenangi 92 kerusi (bertambah 12 kerusi), menjadikannya parti keempat besar dalam Parlimen Jerman. FDP tidak menang apa-apa kerusi melalui undi pertama (undi mengikut kawasan mengundi).

Kedua-dua Grüne dan FDP yang menguasai bilangan kerusi yang signifikan, telah menjadi sasaran utama kepada kedua-dua SPD dan CDU/CSU untuk dipujuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan campuran baharu yang bakal ditubuhkan. Oleh itu, Grüne mempunyai kelebihan dalam kuasa tawar-menawar, walaupun hanya parti ketiga besar, untuk mendesak tuntutannya mencapai keneutralan karbon dalam tempoh 20 tahun melalui perluasan hebat tenaga boleh diperbaharui. Namun, penerimaan FDP ke dalam kerajaan campuran “Pakatan Lampu Isyarat Trafik” mungkin akan mengkompromikan cita-cita penyahkarbonan ini, kerana FDP hanya berniat untuk mencapai sasaran neutral karbon pada tahun 2050. Kehadiran FDP dalam kerajaan campuran juga bakal menghalang apa-apa pendekatan peningkatan cukai progresif yang lebih radikal.

Ancaman pelampau kanan masih wujud

Alternative für Deutschland (AfD), sebuah parti pelampau kanan yang amat konservatif, anti-imigran, anti-komunis, anti-Islam, anti-LGBT dan mendukung fahaman nasionalis sempit, walaupun kehilangan banyak undi dan merosot daripada parti ketiga besar kepada parti kelima besar dalam Parlimen Jerman, tetapi ia telah muncul sebagai parti yang meraih undi terbanyak di negeri Thüringen (Thüringen ialah satu-satunya negeri yang ditadbir oleh Presiden Menteri daripada Parti Kiri “Die Linke”), dan masih kekal sebagai parti dengan undi terbanyak di negeri Sachsen. AfD mempunyai sokongan kuat di negeri-negeri bekas Jerman Timur, yang sebelum ini merupakan kubu kuat Parti Kiri.

Prestasi Kiri mengecewakan

Die Linke (“Kiri”), sebuah parti berhaluan kiri yang utama di Jerman, telah menunjukkan prestasi yang mengecewakan dalam Pilihanraya Persekutuan Jerman kali ini. Die Linke mencatatkan undi yang paling sedikit dalam sejarah pilihanrayanya, dengan hanya meraih lebih kurang 2.27 juta undi (bersamaan 4.9%) daripada undi kedua (undi senarai parti). Sokongan undi kepada Die Linke telah merosot sebanyak 4.3 titik peratusan berbanding pilihanraya lalu. Jumlah undi yang diperolehi dalam pilihanraya kali ini hanya separuh daripada jumlah undi tertinggi yang diperolehinya semasa ia mencapai keputusan terbaik pada tahun 2009 (4.79 juta undi, bersamaan 11.9%).

Die Linke hampir kehilangan kelayakan untuk mendapat kerusi melalui undi kedua (kerana kurang daripada perolehan undi 5%), jika ia tidak memenangi 3 kerusi menerusi undi pertama (undi mengikut kawasan mengundi). Die Linke masih mampu menang 2 kerusi di kubu kuatnya di Berlin (tetapi kurang 2 kerusi berbanding pilihanraya lalu) dan satu lagi kerusi di negeri Sachsen. Secara keseluruhannya, Die Linke hanya memenangi 39 kerusi dalam Parlimen Jerman, berkurangan sebanyak 30 kerusi berbanding pilihanraya lalu.

(Dari kiri) Janine Wissler (Pengerusi Bersama Die Linke), Dietmar Bartsch (Pengerusi Kumpulan Parlimen Die Linke) dan Susanne Hennig-Wellsow (Pengerusi Bersama Die Linke) mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang menyokong mereka. (foto: Martin Heinlein / Die Linke)

Keputusan pilihanraya yang mengecewakan ini juga menggagalkan usaha Die Linke untuk membentuk kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” yang berhaluan kiri di peringkat Persekutuan Jerman, sesuatu yang paling ditakuti oleh golongan konservatif di negara Jerman dan juga Eropah. Golongan konservatif di Jerman telah mengapi-apikan sentimen “Ketakutan Merah” yang anti-komunis untuk mengasingkan Die Linke daripada masyarakat umum dan menggagalkan pembentukan kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” di peringkat Persekutuan.

Die Linke ditubuhkan pada tahun 2007, hasil penggabungan antara Parti Sosialisme Demokratik (PDS) dan “Buruh dan Keadilan Sosial – Pilihan Alternatif” (WASG). PDS ialah pengganti dan penyambung warisan politik Parti Bersatu Sosialis Jerman (SED) yang merupakan parti pemerintah untuk Republik Demokratik Jerman (iaitu Jerman Timur) dari tahun 1949 sehingga kejatuhan Tembok Berlin pada tahun 1989. WASG pula ditubuhkan oleh golongan berhaluan kiri dalam Parti Demokratik Sosial (SPD) yang dipinggirkan dan tidak bersetuju dengan dasar neoliberal yang dibawa oleh SPD pada awal tahun 2000-an, termasuk Oskar Lafontaine (bekas Menteri Kewangan Jerman). Die Linke pada masa kini masih sering dikaitkan dengan pemerintahan satu-parti di Jerman Timur sebelum penyatuan semula Jerman pada tahun 1990.

Walaupun Die Linke memainkan peranan penting dalam mendukung gerakan sosial seperti Fridays for Future, gerakan penyewa rumah, gerakan menentang undang-undang polis yang menindas dan sebagainya, di samping pencapaian yang menakjubkan oleh beberapa kerajaan campuran yang disertai Die Linke di peringkat negeri, tetapi ia masih gagal meraih sokongan yang lebih besar dalam kalangan pengundi. Sebelum pilihanraya kali ini, sokongan kepada Die Linke dalam tinjauan pendapat adalah tersangkut pada sekitar 7%, dan keputusan pilihanraya pula hampir menyebabkan Die Linke kehilangan semua kerusi dalam Parlimen. Terdapat pelbagai faktor luaran dan dalaman yang menyumbang kepada keadaan Die Linke yang mengecewakan ini.

Die Linke menghadapi cabaran besar dalam menampilkan dirinya di hadapan mata khalayak umum pada masa kini, kerana polarisasi tiga hala dalam politik arus perdana Jerman, antara golongan pemerintah berhaluan “tengah” yang neoliberal, golongan populis pelampau kanan yang diwakili oleh AfD dan golongan yang prihatin pada isu krisis iklim tetapi lebih tertarik kepada menyokong Grüne. “Nilai guna politik” Die Linke tidak cukup jelas bagi ramai pengundi Jerman dalam keadaan polarisasi ini. Ini menyebabkan Die Linke menghadapi kesukaran dalam mendapat perhatian media, malah ia sengaja dipadamkan daripada perhatian umum oleh media arus perdana. (Anda boleh tontoni temubual dengan Janine Wissler, pemimpin utama Die Linke, oleh Deutsche Welle, stesen TV utama di Jerman, untuk melihat bagaimana sikap tidak mesra yang ditunjukkan oleh wartawan media arus perdana di Jerman terhadap ahli-ahli politik daripada Die Linke.)

Penularan pandemik COVID-19 telah mewujudkan keadaan yang lebih sukar untuk Die Linke meneruskan gerak kerjanya, kerana banyak amalan golongan kiri telah tergendala, termasuk mogok pekerja, demonstrasi jalanan, organisasi di kawasan kejiranan, lawatan pintu ke pintu, dan perjumpaan antara kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza di semua peringkat. Satu lagi cabaran besar yang dihadapi oleh Die Linke pada ketika penularan pandemik COVID-19 adalah, pendiriannya kurang menonjol dari segi pengurusan krisis pandemik: di mana Die Linke kelihatan terpaksa menyokong langkah-langkah kerajaan yang tegas dalam membendung penularan wabak, tetapi sementara itu usaha yang membantah langkah-langkah kerajaan sedemikian telah didominasi oleh golongan pelampau kanan seperti AfD. Pendirian Die Linke yang mengambil pendekatan untuk mengimbangi kebebasan sivil dengan hak kesihatan telah dipinggirkan dalam wacana media arus perdana ataupun dianggap sebagai tiada pendirian jelas. Sebaliknya, golongan neoliberal seperti FDP telah mengambil kesempatan mood ini untuk membezakan diri mereka sedikit daripada AfD yang pelampau kanan tetapi membuat kritikan (yang seringkali tidak bertanggungjawab) terhadap langkah-langkah pencegahan wabak untuk meraih sokongan masyarakat yang semakin tidak sabar.

Selain itu, konflik dalaman parti Die Linke yang disebabkan perbezaan pandangan antara golongan berlainan dalam parti mengenai beberapa persoalan politik (seperti perdebatan dalam isu politik kelas dan identiti, isu krisis iklim dan sebagainya) telah diperbesar-besarkan oleh media dan dipergunakan untuk menjatuhkan kredibiliti Die Linke.

Salah satu konflik dalaman parti Die Linke ialah bagaimana menangani persoalan ekologi. Majoriti dalam parti berpandangan bahawa persoalan ekologi dan sosial adalah tidak dapat dipisahkan, dan ini yang membezakan Die Linke dengan Grüne yang lebih bersifat politik liberal. Namun, terdapat satu golongan pemimpin minoriti dalam parti yang mempunyai akses kepada media kerana mereka terkenal, telah menuduh bahawa program ekologi Die Linke yang radikal itu hanya bertujuan untuk bersaing dengan Grüne dan mengalihkan perhatian daripada isu sosial yang sebenar. Ini menyebabkan Die Linke dianggap sebagai parti “atas pagar” dalam persoalan iklim, walaupun ia mempunyai program sosial-ekologikal yang paling progresif menurut pandangan kumpulan alam sekitar dan gerakan iklim yang berkenaan.

Dalam suasana politik yang tidak berpihak kepada Die Linke dan juga pelbagai masalah sama ada luaran atau dalaman, Die Linke memang menghadapi kesukaran yang hebat untuk bersaing dengan parti besar yang lain. Banyak pengundi yang menyokong Die Linke sebelum ini telah mengalihkan sokongan mereka kepada Grüne dan mungkin sedikit kepada SPD yang lebih berpotensi untuk memerintah, malah ada juga yang mengalihkan sokongan kepada AfD kerana pengaruh fahaman populis yang semakin ketara.

Rakyat Berlin sokong ambil alih perumahan daripada tuan tanah besar

Walaupun prestasi Die Linke dalam pilihanraya agak mengecewakan, tetapi masih adanya berita yang memberangsangkan untuk gerakan kiri di Jerman, khususnya di Berlin.

Pada masa yang sama dengan Pilihanraya Persekutuan Jerman dan Pilihanraya Negeri Berlin, pengundi di Berlin juga mengundi dalam satu referendum yang bertujuan untuk menangani masalah sewa rumah yang melambung tinggi di ibu negara Jerman itu.

56.4% pengundi Berlin menyokong tuntutan untuk mengambilalih lebih kurang 240,000 unit pangsapuri (lebih kurang 15% daripada stok perumahan Berlin) daripada pemilik hartanah besar dan memulangkan perumahan ini kepada masyarakat umum melalui perumahan awam.

Referendum ini berjaya diadakan selepas satu kempen rakyat mengutip sebanyak 343,000 tandatangan untuk memasukkan tuntutan pengambilalihan rumah daripada pemilik hartanah besar ini ke dalam kertas undi semasa Pilihanraya Berlin. Kempen pengambilalihan rumah ini telah mensasarkan syarikat hartanah besar seperti Deutsche Wohnen, yang merupakan pemilik hartanah terbesar di Berlin dengan menguasai lebih 113,000 unit rumah.

84% penduduk di Berlin merupakan penyewa unit rumah. Oleh sebab penguasaan pemilik hartanah besar dalam stok perumahan di Berlin, penyewa-penyewa telah menghadapi masalah kadar sewa meningkat berlipat ganda dalam tempoh 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini. Kerajaan Berlin cuba memperkenalkan kawalan sewa di bandaraya tersebut pada tahun 2020 tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Perlembagaan Persekutuan Jerman pada awal tahun 2021. Warga Berlin yang tidak berputus asa berikutan keputusan mahkamah ini telah mengambil pendekatan demokrasi langsung dengan menuntut satu referendum.  

Protes membantah sewa rumah tinggi di Berlin pada 11 September 2021. (foto: Christian Mang / REUTERS)

Kemenangan referendum perumahan di Berlin ini merupakan hasil usaha pengorganisasian dan perjuangan bertahun-tahun lamanya oleh aktivis-aktivis anti-gentrifikasi dan mereka yang terlibat dalam kempen “perumahan untuk semua”.

Dua parti politik yang berada dalam kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” yang mentadbir Berlin, iaitu Die Linke dan Grüne, telah menyatakan sokongan mereka kepada usaha ini. Walaupun SPD, komponen utama dalam kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau”, tidak menyokong tuntutan ini, tetapi sayap pemudanya Jusos telah menyatakan sokongan terhadap usaha ini. SPD meraih undi sebanyak 21.1% (kurang 0.2 titik peratusan berbanding Pilihanraya Berlin pada tahun 2016) dan kekal sebagai parti terbesar dalam Dewan Perwakilan Berlin dengan menguasai 36 kerusi (kurang 2 kerusi). SPD dijangka akan meneruskan kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” di Berlin bersama dengan Grüne dan Die Linke, yang masing-masing meraih 18.9% dan 14.0% undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *