“Setiap revolusi bermakna perubahan secara mendadak dalam kehidupan sejumlah besar rakyat. Selagi masa belum lagi matang untuk perubahan sebegini, tiada revolusi yang sebenar akan berlaku. Seperti mana-mana perubahan dalam kehidupan seseorang individu mengajarnya tentang pelbagai perkara dan membawa pengalaman yang kaya dan tekanan emosi yang hebat, maka revolusi mengajar seluruh rakyat pelajaran yang sangat kaya dan bernilai dalam tempoh masa yang amat singkat.
Semasa revolusi, perkara yang dipelajari oleh jutaan rakyat dalam tempoh seminggu adalah jauh lebih banyak berbanding apa yang dilakukan mereka dalam setahun yang biasa dengan kehidupan yang membosankan. Ini kerana apabila kehidupan seluruh rakyat mengalami perubahan secara mendadak, adalah jelas bahawa matlamat apa yang dikejar oleh rakyat daripada pelbagai kelas, kekuatan apa yang dimiliki mereka, dan kaedah apa yang digunakan oleh mereka untuk bertindak.”
– V. I. Lenin, Lessons of the Revolution, 1917
Revolusi ialah perubahan hebat yang berlaku dalam masyarakat. Ia melibatkan perubahan yang besar dan mendadak dari segi hubungan kuasa politik sehingga struktur susunan masyarakat.
Sepanjang sejarah masyarakat manusia selama ini, perubahan pada hubungan kuasa politik dan struktur susunan masyarakat biasanya berlaku dalam keadaan pergolakan sosial yang hebat. Hampir semua negara moden yang wujud di dunia pada hari ini, merupakan produk daripada proses pergolakan yang hebat (sama ada dalam bentuk revolusi atau perang), termasuklah Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Rusia, China, India, Indonesia, Vietnam dan banyak lagi, malah negara Malaysia yang merdeka juga bukannya dilahirkan dalam keadaan tanpa berlakunya pertembungan kuasa sosial yang hebat. Percanggahan dan konflik dalam masyarakat telah mencetuskan perjuangan rakyat untuk perubahan.
Usaha manusia mengubah keadaan alam sekitar untuk memperbaiki kualiti kehidupan, boleh berlaku dalam bentuk Revolusi Teknologi atau Revolusi Perindustrian, yang melibatkan penemuan atau penciptaan teknologi baharu untuk meningkatkan daya pengeluaran sehingga mengubah corak kehidupan masyarakat keseluruhan. Perubahan terhadap masyarakat untuk mengubah imbangan kuasa dan susunan masyarakat demi mengubah nasib masyarakat, jika berlaku secara mendadak, boleh menjelma kepada Revolusi Sosial.
Revolusi sosial biasanya tercetus daripada pemberontakan rakyat untuk melawan kerajaan atau golongan berkuasa yang memerintah, atas sebab-sebab seperti penindasan daripada pihak atasan (dari segi politik, sosial atau ekonomi) atau kegagalan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat. Revolusi sosial juga biasanya berhubungkait rapat dengan revolusi minda, iaitu perubahan pada pemikiran masyarakat dan pembentukan ideologi baharu hasil daripada gerakan intelek dan pemikiran falsafah yang mencabar ideologi masyarakat lama (misalnya Zaman Pencerahan pada abad ke-17 dan ke-18 yang menyediakan asas ideologi kepada gelombang revolusi sosial di Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 untuk pembentukan negara demokratik yang moden).
Revolusi yang berjaya bukan sahaja akan mengubah rejim pemerintah, malah juga boleh membentuk imbangan kuasa politik yang baharu dan mewujudkan sistem masyarakat yang baharu. Revolusi yang tidak berjaya, walaupun tidak dapat mengubah apa-apa secara nyata pada ketika ia berlaku, tetapi ada kalanya boleh memberi dorongan atau tekanan untuk proses pembaharuan dalam sistem masyarakat di samping menyemaikan semangat revolusi untuk perjuangan masyarakat selepasnya.
Bentuk perubahan masyarakat
Perkataan “REVOLUSI” sudahpun biasa digunakan untuk menggambarkan perubahan hebat yang berlaku dalam masyarakat ataupun cubaan untuk melakukan perubahan (walaupun tidak berjaya akhirnya). Sesuatu perubahan dianggap sebagai “revolusi”, apabila ia mendatangkan perubahan yang besar secara politik, ekonomi, sosial atau budaya kepada mereka yang terlibat dalamnya.
Perubahan dari segi imbangan kuasa politik dan susunan struktur masyarakat boleh berlaku dalam bentuk seperti:
- Perubahan rejim – penggantian kepimpinan kuasa pemerintah sama ada melalui cara yang demokratik (seperti pilihanraya) ataupun cara yang keras (perampasan kuasa).
- Reformasi atau pembaharuan secara institusi (institutional reform) – pembaharuan kepada sistem politik dan susunan masyarakat tanpa melibatkan perubahan sistem secara menyeluruh, biasanya dilakukan oleh golongan pemerintah dari atas (sebagai respon kepada tekanan daripada pergolakan masyarakat), sama ada oleh rejim pemerintah yang sedia ada ataupun melibatkan perubahan rejim.
- Revolusi politik – perubahan kepada sistem politik yang melibatkan peralihan dari sejenis bentuk pemerintahan kepada bentuk kerajaan yang baharu. Misalnya, peralihan daripada sistem monarki mutlak kepada sistem raja berperlembagaan ataupun sistem republik.
- Revolusi sosial – perubahan kepada sistem sosio-ekonomi yang melibatkan hubungan sosial lama digantikan dengan hubungan sosial baharu. Misalnya, penghapusan sistem hamba abdi.
- Perang revolusi – konflik bersenjata untuk memperjuangkan agenda perubahan sosial atau pembebasan nasional, seperti yang pernah berlaku dalam Perang Kemerdekaan Amerika (1775-1783), Perang Revolusi Perancis (1792-1802), Perang Kemerdekaan Venezuela (1810-1823), Perang Saudara Rusia (1917-1922), Perang Kemerdekaan Ireland (1919-1921), Perang Saudara China (1927-1936 dan 1945-1949), Perang Kemerdekaan Indonesia (1945-1949), Revolusi Kuba (1953-1959), Perang Kemerdekaan Algeria (1954-1962) dan sebagainya.
Bentuk-bentuk perubahan ini tidak semestinya berlaku secara eksklusif tetapi boleh merangkumi satu sama lain dalam sesuatu proses perubahan tertentu. Misalnya, perubahan rejim boleh melibatkan revolusi politik, malah menjadi revolusi sosial.
Penentangan dan Revolusi
Di mana adanya penindasan dan ketidakadilan, di situ adanya penentangan dan perjuangan rakyat. Penentangan daripada rakyat terhadap golongan berkuasa tercetus apabila ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat memuncak.
Penentangan rakyat boleh membawa kepada revolusi sekiranya rakyat yang mengambil bahagian dalam proses perjuangan itu mengilhamkan sesuatu yang baharu dan berbeza daripada sistem yang sedia ada. Namun begitu, bukannya semua perjuangan penentangan daripada rakyat itu bersifat revolusioner. Penentangan yang hendak kembali kepada keadaan sebelum tahap penindasan itu menjadi lebih teruk (iaitu keadaan masyarakat kelas di mana konflik masyarakat masih belum lagi berkembang sehingga di luar kawalan golongan pemerintah, dan tidak perlu kaedah penindasan yang hebat daripada kelas pemerintah untuk mengekalkan kekuasaan), bukannya sesuatu yang revolusioner, malah boleh menjadi reaksioner atau halangan kepada usaha mengubah sistem secara total. Penentangan yang melahirkan keinginan untuk perubahan kepada struktur masyarakat, barulah boleh berkembang menjadi revolusi.
Penentangan itu boleh bersifat reaksioner atau menolak sesuatu perubahan yang maju ke hadapan. Sifat reaksioner itu boleh datang daripada rakyat biasa yang terpengaruh kuat oleh ideologi masyarakat lama dan takut pada sesuatu perubahan, ataupun golongan bekas kelas pemerintah yang sudah kehilangan kuasa. Sebagai contoh, gerakan Luddite di England pada abad ke-19, di mana tukang-tukang kraf pembuat kain yang mahir merosakkan mesin-mesin penenun ciptaan baharu semasa Revolusi Perindustrian yang dianggap boleh memusnahkan rezeki mereka. Ataupun golongan tuan tanah yang kehilangan kuasa dan keistimewaan yang dinikmati oleh mereka sebelum ini, menyusun untuk melawan sistem yang baharu. Penentangan yang reaksioner lebih cenderung kepada pemulihan semula kepada sistem lama (yang biasanya juga bersifat regresif) ataupun mengekalkan status quo masyarakat untuk mengelakkannya daripada diubah kepada sistem yang baharu. Penentangan sebegini biasanya tiada idea untuk sebuah masyarakat yang berbeza daripada yang sedia ada.
Penentangan terhadap pencerobohan kuasa luar ataupun penjajahan imperialis, bolehnya bersifat reaksioner (seperti mengekalkan keistimewaan kelas pemerintah lama yang wujud dalam masyarakat kelas pra-kapitalis atau sebelum datangnya kuasa imperialis), tetapi juga boleh bersifat pembebasan, iaitu berjuang untuk menggantikan penjajahan dengan susunan masyarakat yang baharu dan progresif.
Penentangan rakyat yang bersifat revolusioner, bukannya perjuangan yang hendak memulihkan susunan masyarakat yang lama atau mengembalikan kekuasaan golongan pemerintah lama, sebaliknya mencabar status quo dan berusaha untuk mencipta sebuah masyarakat baharu yang mampu membebaskan semua orang daripada kemelut masyarakat yang sedia ada. Perjuangan yang revolusioner, seharusnya perjuangan yang membebaskan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan, pemaksaan dan eksploitasi, bukannya membawa bentuk penindasan yang baharu.
Jenis revolusi mengikut sifat perjuangan kelas
Masyarakat kelas muncul apabila wujudnya segolongan kecil orang dalam masyarakat itu yang menikmati surplus pengeluaran masyarakat tanpa perlunya bekerja (membentuk kelas pemerintah), manakala majoriti orang dalam masyarakat itu (membentuk kelas yang diperintah) terpaksa bekerja dengan menaburkan tenaga buruh mereka, bukan sahaja menghasilkan keperluan untuk kegunaan kehidupan mereka sendiri sahaja, tetapi juga menghasilkan surplus masyarakat yang diambilalih oleh golongan kelas pemerintah.
Ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat kelas kerana ketidaksamarataan pengagihan kekayaan, menjadi asas kepada percanggahan dan pertentangan kelas. Percanggahan kelas pula boleh membawa kepada perjuangan kelas. Perjuangan kelas ialah perjuangan untuk menentukan bagaimana surplus buruh manusia ataupun kekayaan masyarakat itu diagihkan.
Perjuangan kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas. Perjuangan kelas itu boleh berlaku secara tersembunyi atau pasif, juga boleh berlaku secara terbuka (seperti mengadakan aksi piket dan mogok kerja), dan adakalanya boleh memuncak sehingga mencetuskan revolusi.
Revolusi sosial yang berlaku dalam masyarakat kelas boleh digolongkan mengikut sifat perjuangan kelasnya seperti berikut:
Revolusi Borjuis: Revolusi sosial yang bertujuan untuk menghancurkan sistem feudal atau saki-baki masyarakat feudal, membentuk pemerintahan borjuasi, dan mewujudkan sebuah negara kapitalis. Bentuk negara kapitalis yang paling umum pada zaman moden ialah “negara bangsa”. Di dalam negara yang dijajah, revolusi borjuis biasanya berlaku dalam bentuk perang pembebasan nasional. Revolusi borjuis biasanya (tetapi tidak semestinya) mengilhamkan pembentukan sistem politik yang mengamalkan demokrasi berperwakilan.
Revolusi Proletariat: Revolusi sosial yang melibatkan kelas pekerja (proletariat) menggulingkan pemerintahan kelas kapitalis dan menubuhkan kerajaan yang dikuasai oleh kelas pekerja sendiri.
Revolusi Sosialis: Revolusi sosial yang melibatkan peralihan sistem sosio-ekonomi dari kapitalisme (pemilikan swasta terhadap sumber pengeluaran) kepada sosialisme (pemilikan sosial terhadap sumber pengeluaran).
Revolusi Sosialis hanya boleh berkemungkinan sekiranya ia bersifat revolusi proletariat. Revolusi Sosialis bukannya sekadar mencapai keadaan yang lebih baik untuk kelas pekerja dalam sistem ekonomi kapitalis. Ia bukan sekadar pemberontakan atau mogok umum yang tidak mengubah struktur kuasa langsung. Ia juga bukannya perubahan kerajaan yang hanya mengubah wajah pemimpin dalam kerajaan tetapi kelas pemerintah yang sama masih berkuasa. Revolusi Sosialis bertujuan untuk mengagihkan semula kekayaan masyarakat melalui sistem pemerintahan demokratik yang dikuasai oleh kelas pekerja dan rakyat terbanyak. Revolusi Sosialis ialah perubahan menuju ke arah sebuah masyarakat tanpa kelas.
Kenapa Revolusi Sosialis?
Walaupun masyarakat dunia berkembang semakin kaya dari segi kebendaan di bawah sistem kapitalis, tetapi masih adanya ramai orang hidup dalam kemiskinan, di samping eksploitasi dan penindasan terhadap golongan pekerja bawahan masih berterusan malah lebih teruk lagi apabila ekonomi kapitalis mengalami krisis yang berulang-ulang.
Krisis ekonomi berlaku dalam masyarakat kapitalis bukannya kerana masyarakat kita kekurangan kekayaan kebendaan, sebaliknya oleh sebab wujudnya lebihan kekayaan dalam masyarakat. Desakan untuk memaksimumkan keuntungan kerana logik pengumpulan modal (iaitu modal yang dilaburkan harus menjana keuntungan untuk dilaburkan semula sebagai modal), menyebabkan kapitalis perindustrian bersaing secara hebat untuk mengeluarkan komoditi (barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan untuk tujuan dijual) sebanyak mungkin, bukan sahaja mewujudkan pembaziran, malah mendatangkan krisis kepada keuntungan kapitalis itu sendiri apabila komoditi dikeluarkan secara berlebihan. Modal yang dikumpulkan oleh golongan kapitalis yang tidak lagi dapat menjana keuntungan dalam sektor perindustrian, dilaburkan pula ke dalam sektor ekonomi kewangan dengan niat menjana lebih keuntungan tanpa mengeluarkan apa-apa lagi barangan (sama ada berguna atau tidak berguna), sehingga mewujudkan gelembung ekonomi yang mengundang krisis ekonomi yang lebih mendalam lagi. Kelas pekerja dan rakyat miskin merupakan golongan yang paling terkesan apabila tercetusnya krisis ekonomi kapitalis. Apabila berlakunya krisis ekonomi, seringkali rakyat bawahan akan kehilangan kerja dan terjerumus dalam perangkap kemiskinan yang lebih mendalam lagi.
Perlumbaan untuk memaksimumkan keuntungan kapitalis menjadi asas kepada eksploitasi dan pemaksaan terhadap golongan kelas pekerja dan rakyat bawahan. Eksploitasi bukan sahaja berlaku ke atas tenaga buruh (di mana sebahagian besar nilai surplus yang dihasilkan oleh tenaga buruh dibolot oleh golongan pemodal), malah juga berlaku ke atas alam sekitar (di mana golongan pemodal mengektrak sumber alam secara berlebihan sementara melepaskan sisa buangan yang mencemar alam).
Sistem ekonomi kapitalis juga mendatangkan permasalahan alienasi (pengasingan) kepada golongan pekerja. Dalam mod pengeluaran kapitalis, seseorang pekerja bukannya lagi manusia yang wujud secara bebas, berautonomi dan mempunyai realisasi diri, sebaliknya dia hanya wujud mengikut model yang diingini sistem ekonomi kapitalis. Dalam erti kata lain, insan pekerja diasingkan daripada kemanusiaannya di bawah sistem kapitalis.
Faktor-faktor yang memburukkan keadaan hidup rakyat biasa inilah menyebabkan sentiasa wujudnya perjuangan menentang kapitalisme dalam masyarakat moden kita. Perjuangan melawan kapitalisme juga merupakan usaha massa rakyat pekerja untuk memperjuangkan pembebasan sebenar demi menentukan nasib umat manusia secara bebas dan berlandaskan solidariti masyarakat.
Alternatif yang mampu menggantikan kapitalisme adalah diperlukan, supaya kita dapat:
- Mengagihkan semula kekayaan masyarakat untuk membolehkan semua anggota masyarakat menikmati hasil usaha bersama seluruh manusia dan tiada lagi sekumpulan kecil orang yang menguasai sebahagian besar kekayaan masyarakat;
- Mengembalikan fungsi asal ekonomi, iaitu ekonomi bertujuan untuk memenuhi keperluan manusia dan menjamin kesejahteraan hidup masyarakat, bukannya untuk keuntungan korporat;
- Menghentikan eksploitasi terhadap tenaga buruh dan alam sekitar;
- Membolehkan semua orang dan bumi kita bebas daripada alienasi;
- Mewujudkan keadilan sosial yang merentasi batasan kaum, agama, budaya, gender, orientasi seksual, umur, keupayaan, kewarganegaraan dan sebagainya;
- Membina sebuah masyarakat tanpa kelas, iaitu sebuah masyarakat yang bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi, pemaksaan dan penindasan.
Sosialisme merupakan satu bentuk masyarakat alternatif yang lama diperjuangkan oleh gerakan pekerja dan rakyat marhaen. Sosialisme ialah pemikiran yang membawa visi penyusunan masyarakat yang berasaskan kerjasama secara bebas sesama manusia dan pengagihan kekayaan masyarakat secara samarata.
Karl Marx pernah menulis, “Dalam fasa lebih tinggi dalam masyarakat komunis, selepas sudahpun hilangnya subordinasi perhambaan individu kepada pembahagian kerja dan dengannya juga anti-tesis antara buruh mental dan fizikal; selepas buruh menjadi bukan sahaja sumber untuk kehidupan tetapi kehendak utama kehidupan; selepas kuasa produktif juga meningkat dengan pembangunan keseluruhan individu, dan semua sumber untuk kekayaan hasil kerjasama mengalir dengan lebih banyaknya – barulah boleh melepasi sepenuhnya batasan yang sempit untuk hak borjuasi, dan masyarakat boleh menulis atas panjinya: daripada sesiapa mengikut keupayaannya, kepada sesiapa mengikut keperluannya!” (Karl Marx, Critique of the Gotha Program, 1875)
Dalam erti kata lain, masyarakat tanpa kelas yang diperjuangkan golongan sosialis moden ialah sebuah masyarakat yang disusun berlandaskan prinsip “daripada sesiapa mengikut keupayaannya, kepada sesiapa mengikut keperluannya”.
Sosialisme memperjuangkan pembebasan kelas Pekerja yang sebenar. Seperti yang ditulis dalam perlembagaan Kesatuan Pekerja Antarabangsa (atau juga dikenali sebagai Internasional Pertama) yang ditubuhkan pada 1864 oleh golongan revolusioner sosialis, “pembebasan kelas pekerja harus dilakukan oleh kelas pekerja mereka sendiri”. Pembebasan kelas pekerja tidak boleh dicapai atau disempurnakan oleh mana-mana golongan atau badan yang dikatakan mewakili kepentingan kelas pekerja tetapi tanpa penglibatan pekerja itu sendiri. Dokumen yang sama juga menyatakan bahawa “perjuangan untuk pembebasan kelas pekerja bukannya perjuangan demi keistimewaan kelas dan monopoli, tetapi demi hak-hak dan kewajipan-kewajipan samarata, serta penghapusan semua semua pemerintahan kelas”.
Faktor berlakunya revolusi
Untuk berlakunya perubahan sosial yang ketara ataupun revolusi, perlu wujudnya keadaan revolusi. Keadaan revolusi merangkumi keadaan objektif dan keadaan subjektif.
Keadaan objektif untuk revolusi ialah keadaan persekitaran masyarakat yang di luar kawalan subjektif manusia, misalnya:
- Perkembangan tahap kuasa pengeluaran (iaitu tenaga buruh, alatan pengeluaran dan bahan pengeluaran), tahap ekonomi dan kebendaan masyarakat yang mengubah keseimbangan kuasa sosio-ekonomi dalam masyarakat;
- Konflik kelas yang semakin meruncing;
- Krisis ekonomi yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin susah;
- Krisis politik, ataupun krisis yang berlaku dalam kelas pemerintah, sehingga menjejaskan kestabilan negara atau melemahkan secara signifikan keupayaan pihak pemerintah untuk menangani golongan yang mencabar kekuasaannya;
- Masyarakat umum semakin tidak berpuas hati dengan keadaan sedia ada kerana mengalami kesusahan hidup, marah pada rejim yang memerintah kerana gagal menangani masalah yang membelenggu masyarakat secara am;
- Motivasi yang kuat dalam kalangan rakyat sehingga menyatukan rakyat merentasi hampir semua sektor utama dalam masyarakat;
- Pergolakan geo-politik antarabangsa (campurtangan kuasa luar, perang imperialis dan sebagainya).
Perkembangan kuasa pengeluaran mewujudkan percanggahan dalam masyarakat dari segi hubungan pengeluaran, maka menimbulkan konflik kelas. Konflik kelas menjadi semakin meruncing apabila eksploitasi dan penindasan terhadap kelas bawahan semakin teruk. Ini menyemaikan bahan api ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat yang boleh membara apabila berlakunya krisis yang serius dalam masyarakat. Krisis politik biasanya turut berlaku apabila masyarakat terjerumus dalam krisis ekonomi, sekali gus membuka ruang untuk lebih banyak kuasa-kuasa dalam masyarakat yang mencabar kekuasaan pemerintah untuk berkembang dengan lebih pesat lagi.
Dalam tulisannya “Aksi Hari Mei oleh Proletariat Revolusioner” (1913), V. I. Lenin, seorang tokoh revolusioner Rusia yang penting, menulis, “Hanya penindasan sahaja, tidak kira betapa seriusnya, tidak akan selalunya mewujudkan keadaan revolusioner di dalam sesebuah negara. Dalam kebanyakan keadaan, adalah tidak cukup untuk berlaku revolusi sekiranya hanya kelas bawahan tidak mahu lagi hidup dalam cara yang lama. Ia adalah perlu untuk kelas atasan tidak dapat lagi memerintah dan mentadbir dalam cara yang lama.”
Dalam erti kata mudah, keadaan revolusi wujud apabila golongan pemerintah tidak lagi dapat memerintah seperti biasa, sementara golongan bawahan masyarakat juga tidak lagi ingin hidup seperti biasa.
Keadaan revolusi yang objektif boleh mencetuskan revolusi, namun sama ada revolusi itu dapat berjaya dalam mencapai matlamat pembebasan atau membawa perubahan masyarakat yang sebenar atau tidak, khususnya dalam konteks Revolusi Sosialis yang mencabar kekuasaan kapitalis dan berhasrat untuk membina sebuah masyarakat baharu yang berlandaskan pembebasan kelas pekerja, perlunya juga keadaan subjektif yang sesuai.
Keadaan subjektif untuk revolusi ialah syarat yang dimiliki oleh kelas yang tertindas untuk melakukan perubahan dan dapat ditentukan oleh kelas yang tertindas itu sendiri, misalnya:
- Kesedaran kelas;
- Gerakan massa yang hebat;
- Organisasi massa yang bersifat demokratik dan disertai oleh masyarakat secara meluas;
- Organisasi politik revolusioner yang mempunyai aktivis-aktivis berdisiplin tinggi untuk menggerakkan usaha perjuangan;
- Program politik revolusioner yang menggariskan halatuju dan dasar perjuangan yang jelas.
Selain daripada keadaan di mana “golongan pemerintah tidak lagi dapat memerintah seperti biasa, sementara golongan bawahan masyarakat juga tidak lagi ingin hidup seperti biasa”; adalah penting juga untuk massa kelas pekerja dan rakyat marhaen mempunyai keaktifan penyertaan politik yang tinggi, sehingga mereka bersedia untuk mengambil tindakan revolusioner. Keaktifan politik golongan pekerja dan rakyat marhaen tidak akan wujud secara semulajadi apabila wujudnya krisis dalam masyarakat; keaktifan politik ini juga tidak akan berkekalan khususnya dalam keadaan revolusi tidak begitu ketara. Adalah menjadi cabaran kepada golongan revolusioner untuk mengekalkan keaktifan politik kelas pekerja dan rakyat marhaen, melalui proses pembinaan kesedaran kelas dan organisasi yang berterusan, supaya wujudnya kesinambungan dalam perjuangan yang berterusan dan tidak terpesong daripada matlamat asalnya untuk pembebasan masyarakat yang sebenar.
Parti revolusioner ataupun organisasi politik yang revolusioner, memainkan peranan yang sangat penting dalam mewujudkan keadaan subjektif untuk perjuangan revolusi. Sebuah parti revolusioner harus sentiasa berusaha mempersiapkan massa kelas pekerja untuk mengambilalih kuasa dan melakukan perubahan yang bersifat pembebasan apabila berlakunya revolusi.
Kesedaran kelas
Kesedaran kelas merupakan salah satu faktor subjektif yang penting dalam menggerakkan perjuangan kelas dan revolusi.
Kesedaran kelas ialah fenomena sejarah yang lahir daripada perjuangan kelas secara kolektif. Kesedaran kelas tidak wujud secara automatik dalam minda anggota sesuatu kelas sosial. Kesedaran kelas biasanya muncul apabila anggota dalam sesuatu kelas sosial melibatkan diri secara bersama dalam perjuangan kelas.
Kelas sosial wujud kerana kedudukan kumpulan masyarakat yang berbeza dalam hubungan pengeluaran dan pengagihan kekayaan, di mana wujudnya golongan dalam masyarakat yang mengeksploitasi golongan masyarakat yang lain untuk mengumpul kekayaan mereka sendiri. Percanggahaan kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas, termasuk masyarakat kapitalis. Dalam sistem sosio-ekonomi kapitalis, wujudnya kelas kapitalis (yang memiliki modal) dan kelas pekerja (yang menjual tenaga buruh kepada kapitalis). Golongan pekerja mula-mula terbangunnya kesedaran mengenai diri mereka adalah berbeza dengan kelas kapitalis, apabila mereka berkongsi ketidakpuasan hati terhadap kelas kapitalis yang mengeksploitasi mereka, maka membentuk “kelas dalam dirinya” (class-in-itself). Kesedaran ini boleh ditunjukkan dalam usaha perjuangan pekerja untuk menuntut kenaikan gaji, kebajikan pekerja dan layanan yang lebih baik di tempat kerja. Kesedaran ini boleh dibangunkan lebih lanjut lagi melalui organisasi perjuangan kelas sehingga mereka menyedari bahawa golongan pekerja ialah sebuah kelas sosial yang bukan sahaja mampu berjuang menentang penindasan kelas kapitalis, malah boleh menentukan nasib pekerja secara kolektif dengan cara mengambilalih kuasa politik. Dengan ini terbentuknya “kelas untuk dirinya” (class-for-itself), iaitu kesedaran kelas yang membolehkan golongan pekerja berjuang untuk mengambilalih kuasa pemerintahan masyarakat demi mengubah nasib mereka secara bersama.
Pada peringkat “kelas dalam dirinya”, golongan pekerja masih tidak dapat menyedari sepenuhnya punca utama eksploitasi yang dihadapi oleh mereka (misalnya mereka akan menyalahkan mesin yang menggantikan tenaga kerja, ataupun hanya marah kerana perangai majikan yang teruk), tidak menyedari sepenuhnya tentang percanggahan kelas antara kapitalis dan pekerja, dan tidak memahami peranan perjuangan kelas pekerja dalam pembebasan masyarakat. Oleh itu, perjuangan pada peringkat “kelas dalam dirinya” biasanya agak sporadik dan spontan, di samping terhad kepada tuntutan ekonomi. Perjuangan ekonomi yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan memperbaiki kualiti hidup kelas pekerja, mempamerkan “kelas dalam dirinya” untuk kelas pekerja. Namun, perjuangan ekonomi mungkin tidak akan diteruskan lagi apabila tuntutan bersifat reformis daripada kelas pekerja diterima oleh kelas kapitalis, misalnya gaji dinaikkan. Golongan pekerja akan kembali bekerja seperti biasa dalam sistem ekonomi kapitalis yang sedia ada, tanpa mengubah apa-apa sifat asas hubungan sosial dalam masyarakat kapitalis, walaupun mereka mencapai tuntutan ekonomi mereka yang sedikit sebanyak memperbaiki kehidupan mereka. Eksploitasi dan penindasan masih berterusan, dengan perjuangan yang seterusnya akan berlaku lagi apabila golongan pekerja tidak dapat bertahan lagi dengan eksploitasi dan penindasan.
Namun, apabila kelas pekerja membangunkan kesedaran bahawa kelas pekerja boleh mengubah nasib mereka secara bersama melalui tindakan kolektif yang tersusun, maka akan terbangunnya perjuangan politik kelas pekerja untuk mengambilalih kuasa pemerintahan daripada kelas kapitalis. Dengan adanya kesedaran kelas yang menjelma kepada “kelas untuk dirinya”, kelas pekerja dapat mengorganisasi diri mereka sebagai sebuah kelas yang bersifat politik untuk memperjuangkan pembebasan masyarakat.
Pada peringkat “kelas untuk dirinya”, kelas pekerja akan menyedari bahawa punca penderitaan pekerja ialah sistem kapitalis yang bersifat eksploitatif dan akibat daripada penindasan kelas kapitalis terhadap seluruh kelas pekerja melalui jentera negara. Kelas pekerja juga akan menyedari bahawa misi sejarah kelas pekerja ialah menghapuskan segala eksploitasi kelas dan membebaskan masyarakat manusia daripada cengkaman hubungan kelas yang eksploitatif. Untuk mencapai pembebasan masyarakat yang sebenar, golongan pekerja dan rakyat bawahan harus menyatukan kekuatan mereka, untuk melakukan perjuangan ekonomi, perjuangan idea dan perjuangan politik secara sedar lagi teratur.
Walau bagaimanapun, sentiasa wujudnya “kesedaran palsu” dalam minda anggota masyarakat yang menyekat golongan pekerja dan rakyat marhaen daripada membangunkan usaha perjuangan kolektif mereka untuk pembebasan. Kesedaran palsu merupakan pemahaman yang dipesongkan mengenai identiti dan kepentingan sesuatu kelas sosial. “Kesedaran palsu” seperti fahaman perkauman, sentimen xenofobia, pemikiran seksis dan sebagainya, memecah-belahkan kelas pekerja dan melemahkan usaha menggabungkan kekuatan gerakan massa yang mampu menggugat kekuasaan kelas pemerintah. Kesedaran palsu boleh diserap ke dalam minda masyarakat umum melalui sistem pendidikan, media massa, media sosial dan sebagainya yang dikuasai oleh kelas pemerintah. Membangunkan kesedaran kelas yang revolusioner, merupakan satu keperluan untuk menangkis kesedaran palsu sebegini.
Kesedaran kelas dapat dibina melalui organisasi politik pekerja yang revolusioner, pendidikan politik yang berterusan, pendedahan kepada analisis kelas, penglibatan massa dalam proses demokrasi pekerja dan pengalaman perjuangan kelas yang nyata. Dengan adanya kesedaran kelas yang menyedari bahawa kelas pekerja mampu membebaskan diri daripada eksploitasi kelas melalui tindakan politik secara kolektif, perjuangan kelas pekerja tidak lagi terhad kepada perjuangan ekonomi yang sekadar memperbaiki keadaan hidup semasa; tetapi maju ke tahap yang lebih tinggi, iaitu perjuangan politik untuk mengubah hubungan kuasa dalam masyarakat malah mengambilalih kuasa pemerintahan.
Kaedah Revolusi
Revolusi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk perjuangan, dari aksi protes yang aman sehingga pemberontakan bersenjata yang melibatkan kekerasan. Kaedah revolusi mana satu yang patut digunakan adalah bergantung kepada keadaan masyarakat pada masa tertentu, imbangan kuasa antara kelas sosial yang berbeza pada ketika itu dan pilihan yang ada untuk golongan yang ingin melakukan perubahan.
Oleh itu, kita boleh lihat dalam sejarah, di negara-negara yang dijajah oleh kuasa imperialis, biasanya kemerdekaan rakyat di negara-negara itu dicapai melalui perjuangan pemberontakan bersenjata kerana pihak penjajah enggan melepaskan penguasaanya ke atas tanah jajahan yang boleh menjejaskan kepentingan kelas kapitalis negara imperialis. Sementara itu, di negara-negara yang mempunyai sistem demokrasi yang agak maju (walaupun masih merupakan demokrasi borjuis yang dikuasai oleh golongan kapitalis), golongan pekerja dan rakyat biasa yang inginkan perubahan mempunyai lebih banyak ruang demokratik untuk memperjuangkan agenda perubahan mereka, sama ada melalui penglibatan dalam proses pilihanraya, ataupun melalui aksi-aksi protes yang menggunakan taktik seperti demonstrasi jalanan, ketidakpatuhan sivil, mogok kerja, pendudukan (occupy) sesuatu tempat awam dan banyak lagi.
Ruang demokrasi yang membolehkan rakyat biasa untuk membawa suara tuntutan perubahan, sebenarnya juga merupakan hasil daripada perjuangan rakyat itu sendiri. Kelas pemerintah tidak akan mudah melepaskan kuasanya dengan membuka lebih banyak ruang demokratik sekiranya tiada tekanan yang hebat daripada rakyat. Kadang-kadang kelas pemerintah yang berkuasa terpaksa berkompromi untuk melaksanakan tuntutan pembaharuan yang dibawa oleh masyarakat umum, dengan tujuan meredakan kemarahan rakyat kerana ketakutannya digulingkan oleh kebangkitan kuasa rakyat sekiranya tidak berbuat demikian.
Kespontanan massa dan organisasi parti perintis
Kespontanan massa dan organisasi revolusioner yang teratur, bukannya dua jenis aktiviti perjuangan masyarakat yang berlainan, tetapi kedua-duanya wujud pada saat yang berlainan dalam sesuatu proses politik untuk perubahan masyarakat. Kespontanan revolusioner tidak wujud atau kekal lama tanpa adanya organisasi, sementara organisasi revolusioner tidak dapat berkembang lebih besar lagi tanpa adanya kespontanan massa.
Revolusi sosial boleh berlaku secara spontan dari bawah, tanpa bantuan atau kepimpinan sesuatu parti perintis (vanguard). Massa rakyat yang bangkit secara spontan menentang sesuatu rejim pemerintahan dan memperjuangkan transformasi masyarakat, boleh menonjolkan kekuatannya di luar jangkaan dan mempamerkan kreativiti kespontanan massa yang memberontak. Namun, tanpanya organisasi politik revolusioner yang mampu menyusun gerak kerja untuk memajukan lagi perjuangan rakyat, perubahan hebat yang wujud hasil daripada kebangkitan secara spontan mungkin tidak akan kekal lama, malah boleh mengalami kegagalan selepas mencapai kejayaan pada peringkat awal.
Golongan yang berpegang pada pendirian bahawa kespontanan revolusioner ialah satu-satunya pencetus revolusi, mengganggap bahawa revolusi tidak patut berlaku melalui tindakan sekumpulan individu atau sesuatu parti politik yang cuba untuk mencetuskan revolusi. Namun, tokoh revolusioner Rusia, Lenin, tidak bersetuju pada pegangan yang mengagung-agungkan kespontanan massa semata-mata. Lenin mengkritik secara keras bahawa kespontanan revolusioner ialah konsep “revisionis” yang berbahaya, kerana ia membuang sifat pemikiran revolusioner yang berdisiplin dan membiarkan proses revolusi itu berlaku secara arbitari dan tidak efektif.
Walau bagaimanapun, Rosa Luxemburg, seorang tokoh revolusioner Jerman, membawa pula pandangan yang menekankan pada kepentingan kespontanan massa tanpa mengendahkan kepentingan organisasi. Rosa Luxemburg menganggap kespontanan massa sebagai rentak revolusi yang penuh semangat, sementara itu kespontanan massa juga merupakan roda penggerak utama untuk revolusi.
Menurut Luxemburg, aksi mogok secara spontan dapat menghancurkan peraturan dan kebiasaan lama kesatuan sekerja, memecahkan sempadan reformis antara politik dan ekonomi, maka menunjukkan keseragaman dalam perjuangan kelas.
“Setiap perjuangan kelas yang sebenar dan hebat perlu berasaskan sokongan dan penyertaan massa yang paling meluas, dan strategi perjuangan kelas yang tidak mengambilkira penyertaan massa secara meluas dalam perjuangan, di mana hanya bergantung pada idea tentang kemaraan tentera melalui pengaturan secara halus oleh sekumpulan kecil daripada kelas proletariat yang terlatih, adalah ditakdirkan sebagai kegagalan yang menyedihkan.”
– Rosa Luxemburg, Mogok Massa, Parti Politik dan Kesatuan Sekerja, 1906
“Unsur kespontanan memainkan peranan yang begitu utama dalam mogok massa di Rusia, bukan sebab proletariat Rusia ‘tidak terlatih’, tetapi adalah disebabkan revolusi tidak membenarkan sesiapa untuk memainkan peranan sebagai guru sekolah mereka.”
– Rosa Luxemburg, Mogok Massa, Parti Politik dan Kesatuan Sekerja, 1906
Walaupun Luxemburg menekankan pada kepentingan kespontanan dalam perjuangan revolusi, tetapi beliau tidak pernah memandang ringan tentang kepentingan organisasi. Organisasi menjadi pengantara kepada kespontanan, dan organisasi mesti menjadi pengantara kepada kespontanan. Organisasi revolusioner pekerja ialah hasil produk perjuangan kelas pekerja.
Massa rakyat yang bangkit menyertai gerakan perjuangan secara spontan, tidak menjadikan organisasi revolusioner itu kurang penting berbanding kespontanan massa. Sebaliknya, organisasi revolusioner amat penting untuk memajukan kekuatan yang ditunjukkan dalam kespontanan massa.
Proses perjuangan revolusi bukannya satu proses yang statik. Sebaliknya, perjuangan revolusi boleh berubah-ubah seperti bendalir yang dinamik apabila rakyat yang terlibat dalam proses revolusi itu mencuba pelbagai strategi yang berbeza, belajar daripada pengalaman, berundur untuk menilai semula tindakan yang diambil, mencari alternatif yang sesuai dan memajukan perjuangan. Sekiranya tiada organisasi revolusioner yang mampu menawarkan alternatif yang berwibawa untuk membawa perjuangan ke hadapan, kebangkitan rakyat secara spontan yang sehebat mana pun mungkin akan berakhir dengan jalan buntu yang menyebabkan kekecewaan dan putus asa dalam kalangan massa yang berjuang. Tugas yang mustahak untuk organisasi revolusioner ialah melibatkan dirinya dalam kebangkitan massa yang spontan, untuk bergabung dengannya, supaya membangunkan aspek yang terbaik dalam kebangkitan massa. Melalui penggabungan organisasi revolusioner dengan kebangkitan massa yang spontan, pemahaman yang sedar mengenai aspirasi yang wujud dalam tindakan-tindakan perjuangan massa dapat dibangunkan, dan disatukan ke dalam organisasi yang boleh menyediakan alternatif yang konkrit apabila rakyat yang berjuang mula memahami dunia mereka dan kedudukan di mana mereka berada.
Kuasa negara
Salah satu persoalan penting yang menjadi perdebatan antara golongan Marxis dan Anarkis sejak zaman Karl Marx dan Mikhail Bakunin, ialah: Bolehkah kita mengubah dunia tanpa mengambilalih kuasa pemerintahan negara?
Mengikut konsep yang dibangunkan oleh golongan Marxis, negara atau daulah (state) merupakan produk kewujudan masyarakat kelas. Negara bukannya sentiasa wujud, tetapi muncul pada peringkat sejarah yang tertentu dalam perkembangan masyarakat manusia. Negara hanya muncul pada waktu dan tempat di mana wujudnya percanggahan atau pertentangan antara kelas yang menindas dengan kelas yang ditindas. Dalam masyarakat kelas, negara dijadikan alat pemerintahan kelas untuk mengekalkan kuasa kelas pemerintah dan memastikan percanggahan kelas itu terkawal dalam lingkungan yang tidak melepasi tahap yang akan menimbulkan keadaan pergolakan hebat yang akan mengubah hubungan kuasa antara kelas sosial.
Terdapat aliran pemikiran dalam kalangan gerakan revolusioner, khususnya golongan anarkis atau autonomis, mengambil pendekatan memperjuangkan sebuah masyarakat tanpa kelas melalui cara yang tidak mengambilalih kuasa negara sedia ada. Golongan autonomis mengemukakan idea bahawa, untuk membina sosialisme, kita harus mula mengorganisasi diri kita di peringkat komuniti setempat, seperti menubuhkan koperasi pekerja setempat, menjalankan pertanian kolektif, mengamalkan bantuan bersama dan sebagainya. Implikasinya adalah kita akan dapat mengembangkan pengalaman kehidupan masyarakat yang samarata ini ke seluruh negara malah seluruh dunia secara beransur-ansur. Oleh itu, golongan autonomis biasanya tidak menganggap bahawa mengambilalih kuasa pemerintahan negara itu sesuatu yang penting untuk merealisasikan sosialisme.
Berbeza dengan pandangan autonomis, golongan sosialis biasanya berpendirian bahawa kelas pekerja harus mengambilalih kuasa pemerintahan negara daripada tangan kapitalis untuk membangunkan syarat-syarat yang diperlukan untuk mewujudkan sebuah masyarakat sosialis yang berlandaskan solidariti dan kesejahteraan bersama.
Terdapat pendekatan yang berbeza untuk kelas pekerja mengambilalih kuasa pemerintahan, bergantung pada keadaan yang berbeza dan strategi yang dibawa oleh aliran sosialis yang berbeza pandangan mereka. Adanya aliran sosialis yang mengambil strategi mengambilalih kuasa pemerintahan dalam negara kapitalis melalui pilihanraya supaya kelas pekerja dapat menggunakan sistem perundangan di dalam negara kapitalis untuk melakukan pembaharuan secara beransur-ansur demi mencapai sosialisme; adanya aliran yang mengambil strategi pemberontakan bersenjata atau perang gerila untuk merampas kuasa daripada golongan pemerintah di dalam negara kapitalis untuk membina sebuah negara yang baharu; adanya juga aliran sosialis yang membawa pendekatan revolusi pekerja, iaitu menjatuhkan pemerintahan kapitalis melalui mobilisasi massa yang hebat dan membina sebuah negara pemerintahan pekerja yang baharu untuk merealisasikan sosialisme.
Reformasi dan revolusi
Perubahan sistem masyarakat sentiasa merupakan perubahan yang berlaku secara hebat dan mendadak, hasil daripada pergolakan masyarakat yang hebat, seperti peperangan, revolusi atau gabungan kedua-duanya. Hampir semua negara yang wujud di dunia hari ini, merupakan produk yang dihasilkan daripada perubahan besar yang bersifat revolusioner ataupun perjuangan masyarakat yang hebat. Revolusi masyarakat membentuk sejarah moden kita hari ini.
Wujudnya sejenis doktrin politik dalam gerakan sosialis yang menganggap bahawa perubahan menuju sosialisme boleh dicapai melalui reformasi, iaitu pembaharuan (reform) secara beransur-ansur terhadap sistem atau institusi negara kapitalis yang sedia ada, melalui cara melakukan pembaharuan sedemikian dalam sistem itu sendiri. Doktrin politik ini berhubungkaitan dengan kemunculan aliran sosialis evolusioner dalam gerakan sosialis di Eopah pada penghujung abad ke-19 apabila parti-parti pekerja berpeluang besar untuk menang banyak kerusi dalam pilihanraya di bawah demokrasi borjuis (sesuatu yang merupakan hasil perjuangan gerakan pekerja untuk hak mengundi yang sejagat), dan menjadi ideologi yang mendominasi golongan demokrat sosial sehingga hari ini.
Golongan reformis biasanya memperjuangkan perubahan jangka masa pendek dan selalunya tidak dapat menyempurnakan matlamat reformasi kerana diserap sebagai sebahagian daripada sistem yang sedia ada. Golongan revolusioner pula akan berusaha sepenuhnya untuk menyempurnakan reformasi demi membawa transformasi yang menyeluruh kepada masyarakat untuk jangka masa yang panjang.
Kecenderungan reformis yang percaya sepenuhnya pada idea bahawa perubahan asas dalam sistem politik dan ekonomi sesebuah masyarakat boleh dicapai melalui pembaharuan yang dilakukan secara beransur-ansur dalam institusi negara kapitalis yang sedia ada, sering melemahkan gerakan pekerja yang lebih radikal dan terjerumus dalam peraturan permainan politik borjuis sehingga terpesong daripada matlamat asalnya untuk mentransformasi masyarakat secara menyeluruh. Reformisme boleh menjejaskan usaha perjuangan pembebasan masyarakat yang sebenar.
Namun begitu, revolusi tidak akan tercetus seperti buah durian jatuh dari pokok, dan juga tidak akan mencapai kejayaan untuk mentransformasi masyarakat tanpa wujudnya asas material yang sesuai. Oleh itu, sekiranya kita hendak melakukan perubahan yang membawa pembebasan masyarakat dengan revolusi, kita perlu juga melalui terlebih dahulu proses pembaharuan atau perubahan secara beransur-ansur yang mampu mewujudkan asas material (ekonomi, teknologi dan sebagainya) dan asas kemanusiaan (kelas sosial dengan ciri-ciri khusus dan kesedaran kelas tertentu) yang bersesuaian untuk membina masyarakat baharu. Tanpa asas-asas ini, revolusi yang paling hebat pun hanya menghasilkan semula keadaan yang hendak dihapuskan pada awalnya.
Menafikan segala perjuangan reformis, bermakna sanggup membiarkan keadaan kelas pekerja menjadi semakin teruk tanpa melakukan apa-apa tindakan yang konkrit untuk membendungnya, malah hanya sekadar menunggu sehingga keadaan sampai ke satu tahap yang “matang” atau “masak” (apabila seluruh kelas pekerja tidak dapat lagi menerima keadaan teruk yang dialami mereka dan mula memberontak), dengan anggapan bahawa sistem kapitalis akan dijatuhkan dengan serangan sekali gus melalui usaha bersepadu kelas pekerja yang bangkit begitu sahaja. Sikap sebegini hanyalah angan-angan kosong, malah juga bersifat reaksioner. Ia ialah angan-angan kosong kerana golongan “revolusioner” yang bersikap sebegini terlupa bahawa sekiranya kelas pekerja tiadanya keupayaan untuk mempertahankan taraf hidupnya, kerjanya, pendapatannya dan hak asasinya, maka mereka juga akan kehilangan semangat untuk berjuang, dan amat mustahil adanya kekuatan untuk menewaskan kelas kapitalis moden yang menguasai kekayaan masyarakat dan lebih berpengalaman dari segi manipulasi politik. Ia bersifat reaksioner kerana sikap sebegini sebenarnya telah membantu kapitalis: sekiranya pekerja menerima secara pasif realiti sekarang bahawa dirinya hanya hamba yang tidak berkemampuan untuk melakukan sesuatu walaupun pembaharuan yang mengubah sedikit keadaan yang sedia ada, golongan kapitalis akan dengan mudahnya dapat terus mengaut keuntungan dan melindungi kepentingan mereka melalui gaji rendah, pengangguran besar-besaran, penindasan terhadap kesatuan sekerja dan sebagainya.
Penglibatan kelas pekerja dan rakyat bawahan dalam perjuangan menuntut reformasi atau pembaharuan terhadap sistem yang sedia ada untuk menyelesaikan masalah di hadapan mata, boleh dijadikan medan untuk melatih golongan pekerja dan rakyat bawahan supaya menjadi perintis perjuangan kelas. Selain itu, kejayaan dalam membawa pembaharuan yang memperbaiki keadaan hidup kelas pekerja, boleh mewujudkan ruang untuk gerakan pekerja terus berkembang, dan mempersiapkan diri kelas pekerja untuk perjuangan revolusi yang lebih hebat pada masa kelak.
Misalnya, usaha pembaharuan yang mengurangkan masa kerja sehari, menuntut hak mengundi sejagat untuk semua warganegara dan sebagainya, walaupun tidak akan mengubah hubungan kuasa antara kelas-kelas dalam masyarakat kapitalis pada dasarnya, tetapi akan membuka ruang yang lebih meluas kepada gerakan pekerja dan organisasi revolusioner untuk terus berkembang. Dengan masa kerja sehari yang lebih pendek (tanpa pengurangan gaji) ataupun peningkatan gaji (membolehkan pekerja tidak perlu lagi bekerja lebih masa untuk memperolehi pendapatan yang cukup sara hidup), akan mewujudkan lebih banyak “masa lapang” untuk pekerja melakukan perkara yang dapat membangunkan pengetahuan diri dan memikir tentang jalan keluar yang dapat membebaskan diri mereka daripada penindasan kelas.
Satu lagi contoh, menuntut lebih kebebasan untuk berpolitik (seperti hak mengundi, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan dan sebagainya), sememangnya tidak akan mendatangkan perubahan secara menyeluruh kepada sistem pemerintahan yang sedia ada (kerana kelas kapitalis masih berkuasa dan jentera negara kapitalis tetap digunakan untuk menyekat kebangkitan kelas pekerja); tetapi dengan ruang kebebasan demokratik yang lebih luas dan sekatan yang berkurangan, gerakan rakyat dan organisasi revolusioner akan dapat berkembang dengan lebih pesat tanpa perlunya menghadapi penindasan dan tekanan yang amat hebat seperti semasa zaman pemerintahan yang kuku besi (walaupun penindasan yang hebat tetap akan berlaku apabila kekuatan kelas yang tertindas mampu menggugat kelas pemerintah). Oleh itu, reformasi boleh membantu mewujudkan syarat-syarat untuk membangunkan kuasa-kuasa yang revolusioner. Inilah hubungan dialektik antara revolusi dengan reformasi.
Pembebasan kelas pekerja daripada eksploitasi dan penumbangan sistem kapitalis hanya boleh terjadi dengan wujudnya perkembangan sebegini: kekuatan organisasi kelas pekerja semakin bertambah, perpaduan dalam kalangan rakyat yang tertindas semakin kukuh, dan keyakinan diri kelas pekerja untuk mengubah nasib mereka juga semakin meningkat. Perubahan secara subjektif ini tidak boleh hanya terjadi dengan sekadar kerja-kerja propaganda ataupun pendidikan politik (seperti penyebaran risalah, penganjuran sesi diskusi dan sebagainya). Perkembangan sebegini hanya boleh diwujudkan dengan adanya kejayaan yang tercapai dalam perjuangan kelas pada masa kini, dan selalunya perjuangan ini adalah perjuangan yang reformis untuk memperbaiki kehidupan harian.
Untuk mengelakkan daripada menjadi reformis yang akhirnya hanya berfungsi untuk mengekalkan kekuasaan kapitalis dengan cara membawa “pembaharuan” yang bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat atau menyekat kebangkitan rakyat dengan kaedah yang halus, kita harus sedar bahawa, jika tiadanya revolusi yang membawa perubahan secara total, apa-apa hasil kemenangan dalam perjuangan pembaharuan (reformasi) adalah tidak berkekalan dan boleh dirampas semula bila-bila masa apabila imbangan kuasa tidak berpihak kepada kelas pekerja. Segala persoalan penting yang berkaitan dengan pertentangan antara kelas, tidak mungkin akan selesai dengan sepenuhnya tanpa adanya revolusi.
Reformasi menyediakan asas (peningkatan taraf hidup dan perluasan ruang politik) untuk revolusi, manakala revolusi akan mengekalkan segala pencapaian reformasi, malah memperluaskan dan memperdalamkan pencapain itu ke tahap yang lebih tinggi.
Oportunisme dan sektarianisme
Oportunisme dan sektarianisme, merupakan masalah berkembar yang boleh menimpa mana-mana organisasi politik yang dibentuk untuk memperjuangkan sesuatu prinsip, termasuklah organisasi berhaluan kiri yang dibentuk untuk memperjuangkan pembebasan masyarakat.
Oportunis ialah mereka yang sentiasa bersedia untuk menyesuaikan prinsipnya kepada sesuatu keadaan yang sedia wujud, meminimumkan secara hebatnya perbezaan pendapat dalaman, malah sanggup bergabung dengan pihak musuh yang ditentang hebat sebelum ini ataupun mengambil pendekatan memilih “kejahatan yang kurang jahat” (lesser evil).
Oportunis mengutamakan kelebihan taktik berbanding pegangan pada prinsip asasnya. Oportunis juga bersedia membuat kompromi dan sudi mengikut arus secara membuta-tuli atau menumpang pada kekuatan/kejayaan orang lain, selagi dilihat wujudnya “kesempatan”. Oportunisme bermakna menggadaikan prinsip perjuangan. Oportunis yang terlalu ghairah dengan pendekatan reformis dan pencapaian jangka masa pendek, akhirnya akan kehilangan halatuju, mengkhianati revolusi dan mengetepikan matlamat perjuangan perubahan secara total yang berjangka masa panjang.
Sektarian pula merupakan golongan yang menekan pada kebenaran mutlak bagi prinsip yang dipegang oleh mereka. Sektarian cuba mencari setiap perbezaaan pendapat dan menjadikannya perbezaan yang asas. Sektarian lebih mementingkan kesucian dogma berbanding dengan kelebihan taktik. Sektarian enggan berkompromi apa-apa pun atau mengubahsuai sedikit pun strategi mereka. Sektarian berasa bangga pada penampilannya yang melawan arus.
Sektarianisme bermakna berpecahnya solidariti. Golongan sektarian yang tidak mementingkan pencapaian jangka masa pendek untuk membawa perjuangan lebih ke hadapan lagi, malah terlalu ghairah dengan kesucian matlamat revolusi dan teori perjuangan versinya sendiri, akhirnya akan kehilangan sokongan massa dan sekutu dalam perjuangannya.
Oportunisme dan sektarianisme boleh wujud di mana-mana sahaja. Setiap organisasi yang terlibat dalam perjuangan sosial akan sentiasa menghadapi kedua-dua kecenderungan ini. Kita perlu kikis kedua-duanya.
Namun, dalam proses mengikis kecenderungan oportunis dan sektarian, perlunya kita berhati-hati supaya tidak terjeremus sendiri ke dalam amalan kedua-dua kecenderungan ini dan memesongkan matlamat perjuangan. Selalunya wujud keadaan di mana “oportunis” dan “sektarian” menjadi semata-mata label yang digunakan oleh sesuatu pihak untuk menjatuhkan lawannya (atau pihak yang tidak bersetuju dengannya) dalam sesuatu organisasi atau gerakan. Misalnya, golongan oportunis boleh menggunakan label “sektarian” ke atas mereka yang mengkritik tindakan mereka yang berkompromi dengan musuh, manakala golongan sektarian pula menggunakan label “oportunis” ke atas mereka yang cuba bekerjasama dengan kumpulan yang lain yang dilihat sebagai tidak begitu sehaluan.
Satu-satu cara untuk mengelakkan atau menghindarkan berlakunya pelabelan yang tidak perlu, adalah kewujudan demokrasi dalaman organisasi. Ini bermakna setiap keputusan penting dalam organisasi dibincangkan secara demokratik dengan minda dan hati terbuka, dan keputusan dibuat secara konsensus (sebulat suara) seboleh-bolehnya, jika tidak, melalui pengundian yang mengikut majoriti selepas proses perbincangan secara ikhlas dan demokratik. Dalam proses demokrasi dalaman organisasi sebegini, keputusan yang diambil secara konsensus atau pengundian majoriti patut dipatuhi dan dilaksanakan, manakala pandangan minoriti juga patut dihormati.
Kedua-dua kecenderungan menjadi oportunis dan sektarian wujud apabila timbulnya perbezaan yang ketara antara golongan dalam sesebuah organisasi ataupun antara organisasi-organisasi yang bergabung dalam sesuatu gerakan. Perbezaan ketara itu boleh disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam taktik, strategi, program, halatuju sehinggalah persoalan tentang prinsip perjuangan. Perselisihan dan konflik akan berlaku apabila wujudnya perbezaan ketara dalam proses perjuangan. Situasi begini selalunya wujud dan bukannya sesuatu yang berlaku tanpa dijangka langsung. Pemikiran dan pengalaman setiap individu dalam sesebuah organisasi adalah berlainan walaupun mempunyai halatuju perjuangan dan pegangan prinsip politik yang sama. Cabarannya adalah untuk menyelesaikan perselisihan dan konflik dalam perbezaan pendapat ini secara baik supaya persetujuan bersama ataupun keputusan dapat dicapai dalam usaha terus menggerakkan perjuangan ke hadapan.
Oportunis sanggup menggadaikan prinsip perjuangan demi memperoleh kemenangan jangka masa singkat. Oleh itu, golongan oportunis tiada pemikiran yang strategik (berjangka masa panjang) untuk membangunkan kekuatan kelas pekerja dan memperjuangkan pembebasan rakyat tertindas. Oportunis sudi bekerjasama dengan musuh ketat untuk menumpaskan musuh yang lain. Untuk berbuat demikian, golongan oportunis bersedia mencairkan politiknya dan menggadaikan prinsipnya demi menambat hati atau mendampingi “sekutu” yang berpotensi dalam kerjasama oportunisnya. Oportunis akan menggunakan alasan “matlamat menjustifikasikan kaedah” bagi tindakan yang diambilnya. Ini bagaikan mengambil jalan pintas, sedangkan jalan pintas itu tidak semestinya akan membawa kita ke destinasi yang hendak kita sampai.
Tidak salahnya langsung untuk sebuah organisasi perjuangan kelas bekerjasama dengan golongan atau kumpulan yang memusuhinya untuk melawan satu lagi musuh yang lebih besar (misalnya, dalam Perang Dunia Kedua, Kesatuan Soviet dan parti-parti komunis bekerjasama dengan kerajaan borjuasi untuk melawan ancaman Nazi/Fasis), tetapi menjadi terikut-ikut pada golongan yang reaksioner dan mencairkan politik perjuangan kelas dalam proses kerjasama dengan golongan liberal/kapitalis/kanan adalah sesuatu tindakan yang oportunistik, langsung tidak akan membawa apa-apa kebaikan atau kemajuan untuk gerakan perjuangan kelas proletariat.
Oportunis juga akan sentiasa mengabaikan perbezaan nyata yang wujud dalam organisasi, dan cuba menutupi segala perbezaan secara paksaan. Sektarian pula berkelakuan seolah-olah perbezaan pendapat yang wujud dalam sesebuah organisasi itu adalah perbezaan asas padahal sebenarnya bukan. Sektarian akan mencari dan memperbesar-besarkan sesuatu perbezaan walaupun kecil, demi menonjolkan dirinya adalah berbeza daripada yang lain dan lebih hebat.
Namun, adalah tidak mungkin untuk membasmi kecenderungan sektarian sepenuhnya, kerana perbezaan pendapat dan orang yang bersikap sebegini akan tetap wujud. Malah kadang-kadang cubaan membasmi sektarian (atau golongan yang dituduh sebagai “sektarian”) akan mendatangkan juga akibat yang dahsyat, seperti apa yang pernah berlaku di Kesatuan Soviet pada tahun 1930-an di mana ramai yang ditahan dan dibunuh dalam “pembersihan” ke atas mereka yang dituduh sebagai “sektarian”.
Membenarkan perbezaan pendapat itu wujud dan perdebatan tentang perbezaan itu berlaku secara demokratik dalam organisasi, adalah sesuatu yang sihat untuk membina organisasi dan boleh menjadi sumber kekuatan organisasi itu. Revolusioner yang sebenar akan memastikan ruangan demokrasi dalam organisasi itu wujud dan digunakan sebaik-baiknya demi memajukan perjuangan kelas tertindas. Dalam menangani perbezaan, golongan revolusioner yang sebenar harus sentiasa berpegang teguh pada dua prinsip asas:
- Saling hormat-menghormati – Menghormati mereka yang berbeza pendapat dengan kita dan sudi berdebat secara berhemah tanpa melakukan serangan peribadi dan tohmahan bersifat balas dendam.
- Solidariti yang menyeluruh – Apa-apa yang dibincangkan atau didebatkan adalah untuk memperhalusi strategi, taktik dan program perjuangan yang dapat memperkuatkan lagi gerakan kelas pekerja. Peranan asas revolusioner adalah menyatukan kelas pekerja, bukannya memecah-belahkannya.
Revolusi secara berperingkat?
Dalam perjuangan revolusi yang berhasrat untuk mewujudkan sosialisme, wujudnya perbezaan pandangan mengenai pendekatan strategi perjuangan antara aliran pemikiran sosialis yang berbeza. Salah satu perbezaan pandangan ialah, apakah sifat revolusi di negara-negara yang kurang membangun dari segi ekonomi?
Marx dan Engels pernah mengatakan bahawa kapitalisme di negara-negara Barat yang maju telah menyediakan asas ekonomi dan teknologi maju yang diperlukan untuk membangunkan ekonomi sosialis, begitu juga kapitalisme juga melahirkan “penggali kubur” untuk sistem kapitalis itu sendiri, iaitu kelas pekerja. Berasaskan tanggapan ini, adanya sesetengah golongan Marxis berpegang ketat pada pandangan bahawa kewujudan sistem ekonomi kapitalis moden yang maju, merupakan prasyarat yang diperlukan sebelum membina ekonomi sosialis. Ini membawa kepada kemunculan “Teori Dua Peringkat” dalam golongan sosialis di negara-negara yang kurang maju dari segi ekonomi ataupun negara-negara yang dijajah oleh kuasa imperialis.
Salah satu golongan yang berpegang pada Teori Dua Peringkat, ialah golongan Menshevik di Rusia pada awal abad ke-20. Mengikut pandangan golongan Menshevik, negara-negara yang kurang membangun dari segi ekonomi, seperti Rusia di bawah pemerintahan Tsar pada masa itu, perlu melalui peringkat membina kapitalisme terlebih dahulu sebelum melangkah masuk ke peringkat sosialisme. Revolusi di negara yang kurang membangun ataupun negara yang rakyatnya bermajoriti golongan petani seperti Rusia pada zaman pemerintahan Tsar, adalah bermatlamat untuk menyediakan asas untuk pembangunan kapitalisme kerana petani yang dibebaskan akan bertukar menjadi pemilik harta, pengeluar dan pedagang kecil yang membawa kepada perkembangan pasaran komoditi, dan kelas kapitalis yang baharu hanya dapat muncul daripada itu. Oleh itu, bagi golongan Menshevik, gerakan kelas pekerja harus bersekutu dengan golongan borjuis liberal dan membantu golongan borjuis liberal untuk menjayakan revolusi demokratik borjuis terlebih dahulu. Revolusi hanya boleh beralih ke peringkat sosialisme apabila asas-asas masyarakat kapitalis itu dibangunkan sepenuhnya.
Pendekatan revolusi secara dua peringkat ini telah ditolak oleh golongan revolusioner Rusia yang lain, seperti Leon Trotsky yang membangunkan teori “Revolusi Berterusan” (Permanent Revolution) selepas Revolusi 1905 di Rusia. Teori Revolusi Berterusan ini dibangunkan berasaskan pengalaman perjuangan Revolusi 1905, di mana kelas borjuasi di Rusia terbukti tidak dapat menyempurnakan tugasan Revolusi Demokratik Borjuis secara menyeluruh. Proses Revolusi Demokratik Borjuis memang penting, kerana ia dapat mewujudkan demokrasi politik dan menyelesaikan persoalan tanah bagi kelas petani, di samping mewujudkan asas ekonomi untuk sosialisme, tetapi kelas borjuasi yang lemah itu (hasil daripada ekonomi kapitalis yang lebih mundur) tidak boleh diharapkan untuk memimpin revolusi ini. Sebaliknya, kelas pekerja atau proletariat yang baharu muncul, walaupun dalam jumlah yang tidak banyak lagi, memikul tanggungjawab penting bukan sahaja menyempurnakan tugas-tugas Revolusi Demokratik Borjuis yang gagal dilakukan oleh kelas borjuasi, tetapi juga membawa perjuangan ke hadapan melepasi tahap Revolusi Demokratik Borjuasi untuk menuju sosialisme, dengan sokongan daripada golongan petani. Sejauh mana revolusi yang dipimpin oleh kelas pekerja boleh sampai, akan bergantung pada proses perjalanan revolusi itu, bukannya berasaskan pada penetapan secara teori bahawa revolusi itu bersifat “Demokratik Borjuis” sehingga segala tindakan perjuangan kelas pekerja perlu bersesuaian dengan kepentingan golongan borjuis liberal. Oleh itu, revolusi itu perlu dijadikan “berterusan”, bukannya berperingkat.
Lenin dan golongan Bolshevik pada awalnya berpegang pada teori yang terletak antara Teori Dua Peringkat dan Revolusi Berterusan. Lenin mempunyai pandangan yang serupa dengan Trotsky, di mana kelas borjuasi tidak akan dapat menyempurnakan revolusi borjuis. Lenin pada asalnya berpandangan bahawa “Pemerintahan Demokratik” oleh gabungan antara pekerja dan petani dapat menyempurnakan tugas yang tidak mampu dilakukan oleh kelas borjuasi, melalui revolusi secara dua peringkat yang tidak terganggu atau tidak berputus. Namun, pada tahun 1917, ketika gelombang revolusi memuncak di Rusia, pandangan Lenin semakin serasi dengan Trotsky, di mana beliau berhujah bahawa kelas pekerja harus mengambilalih kuasa politik negara kerana kelas borjuasi Rusia tidak mampu menyempurnakan tugas Revolusi Demokratik Borjuis, malah kelas pekerja juga perlu mengambilalih kuasa ekonomi melalui soviet (majlis pekerja). Teori Revolusi Berterusan juga berpegang pada pandangan bahawa revolusi yang diterajui oleh kelas pekerja di negara-negara yang kurang membangun tidak boleh berhenti sekadar hanya mengambilalih kuasa pemerintahan negara sahaja, tetapi perlu mendukung revolusi di peringkat antarabangsa untuk mengelakkan pengasingan revolusi, di samping berusaha menuju sosialisme antarabangsa.
Negara pekerja yang lahir daripada Revolusi Rusia pada tahun 1917 itu memang menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks. Golongan revolusioner di Rusia mengharapkan kejayaan revolusi proletariat di negara Eropah yang lebih maju dari segi ekonomi, khususnya Jerman, tetapi perkara itu tidak berlaku walaupun gelombang revolusi yang hebat memang melanda negara-negara Eropah yang lebih maju seperti Jerman pada penghujung Perang Dunia I. Revolusi Jerman telah diculik oleh golongan reformis yang bersekutu dengan kelas kapitalis untuk mematahkan kebangkitan kelas Pekerja di negara itu. Pengasingan negara pekerja Rusia Soviet dan kehancuran ekonomi akibat perang yang dicetuskan oleh serangan ganas daripada kuasa-kuasa imperialis yang menyokong golongan pemerintah lama di Rusia, menyebabkan Revolusi Rusia menghadapi rintangan yang hebat untuk membangunkan sosialisme dan kemunculan fahaman Stalinis yang menjustifikasikan kekuasaan birokrat yang semakin kuat. Golongan Stalinis telah membangunkan teori “Sosialisme dalam Satu Negara” dan menghidupkan semula “Teori Dua Peringkat” untuk menjadikannya preskripsi yang diberikan kepada semua parti komunis yang mengatur perjuangan di negara-negara kurang maju. Preskripsi bersifat dogmatik ini mendatangkan pelbagai masalah kepada perjuangan revolusioner di negara-negara yang dijajah atau separa dijajah. Misalnya, preskripsi untuk revolusi berperingkat yang diberikan kepada golongan revolusioner di China, yang membawa kepada kerjasama Parti Komunis China dan Kuomintang pada tahun 1924-27, berakhir dengan kehilangan ramai aktivis revolusioner apabila golongan berhaluan kanan Kuomintang melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap anggota parti komunis. Teori Dua Peringkat kemudiannya diubahsuai oleh Mao Zedong yang membangunkan konsep “Revolusi Demokratik Baharu”, yang melibatkan gabungan empat kelas sosial (kelas pekerja, petani, borjuasi kecil dan borjuasi nasional) di bawah kepimpinan Parti Komunis untuk melakukan revolusi yang membebaskan negara China daripada keadaan semi-kolonial dan semi-feudal.
Walau bagaimanapun, “peringkat sejarah” dalam perkembangan masyarakat bukannya sesuatu yang ditetapkan secara atas kertas ataupun mengikut tanggapan subjektif mana-mana orang biarpun golongan revolusioner. Perubahan peringkat sejarah masyarakat adalah penuh dengan dinamik, melibatkan perubahan imbangan kuasa antara kumpulan masyarakat (kelas sosial dalam masyarakat kelas) yang berbeza, hubungan dialektik antara pelbagai faktor (secara sosial, ekonomi, politik atau budaya), dan sebagainya. Oleh itu, adalah menjadi terlalu kaku dalam memahami pergolakan sosial sekiranya terlalu berpegang kuat pada tanggapan peringkat sejarah yang statik. Strategi perjuangan revolusi yang berkesan hanya dapat dibangunkan berdasarkan pemahaman yang dinamik mengenai keadaan semasa dan trajektori perubahan masyarakat yang boleh berubah mengikut keadaan yang berbeza.
Gelombang Revolusi
Sepanjang sejarah masyarakat kelas di dunia, pernah berlakunya banyak perjuangan rakyat yang menentang penindasan dan usaha membina sebuah masyarakat yang baharu daripada susunan masyarakat yang lama. Pemberontakan hamba yang hebat seperti Pemberontakan Spartacus pada zaman Rom Purba, pemberontakan petani di merata tempat semasa zaman masyarakat feudal, revolusi hebat yang melahirkan negara moden, perjuangan kemerdekaan untuk bebas daripada penjajahan, revolusi pekerja dan sebagainya, telah membentuk sejarah kita sehingga hari ini.
Terdapat beberapa gelombang revolusi yang hebat melanda seluruh dunia sepanjang tiga abad yang lalu, iaitu pada ketika dunia kita memasuki zaman moden ataupun zaman kapitalisme. Dari gelombang Revolusi Atlantik yang melahirkan sistem demokrasi berperwakilan moden yang merupakan bentuk paling biasa untuk negara kapitalis, ke gelombang Revolusi Sosialis pada awal abad ke-20 dan gelombang perjuangan pembebasan nasional yang hebat di negara-negara Dunia Ketiga selepas Perang Dunia II, menunjukkan bahawa kebanyakan pencapaian sosial yang kita nikmati pada hari ini bukannya perkara yang wujud secara sendiri dan terasing, tetapi melibatkan perjuangan rakyat yang berterusan. Di samping itu, perjuangan revolusi di satu tempat boleh mendatangkan pengaruh dan menjadi inspirasi kepada perjuangan revolusi di tempat yang lain. Revolusi, sama ada berjaya atau tidak, bagaikan roda bergerak ke hadapan yang tidak dapat diberhentikan.
Revolusi Atlantik dan demokrasi moden
Revolusi Atlantik merujuk kepada gelombang revolusi yang melanda benua Eropah dan Amerika, merentasi Lautan Atlantik, pada abad ke-18 dan ke-19. Revolusi Atlantik merupakan gelombang revolusi borjuis yang mendirikan susunan politik yang sesuai untuk perkembangan masyarakat kapitalis moden. Revolusi borjuis boleh dijejak seawal Revolusi Belanda (1566-1648) yang melahirkan republik pemerintahan borjuis terawal di dunia, dan Revolusi Inggeris (atau dikenali sebagai Perang Saudara England) pada tahun 1642-1651 yang menyediakan asas kepada pembangunan politik borjuis moden di Britain.
Perang Kemerdekaan Amerika (1765-1783) membolehkan Tiga Belas Koloni di Pantai Barat Amerika Utara mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan Kerajaan Britain dan menubuhkan negara demokratik liberal berperlembagaan moden yang pertama di dunia, iaitu Amerika Syarikat. Revolusi Perancis (1789-1799) yang melibatkan siri pergolakan sosio-politik yang hebat telah meninggalkan warisan kaya yang membentuk aspek-aspek asas kepada demokrasi liberal moden. Revolusi Haiti (1791-1804) pula merupakan pemberontakan hamba pertama yang berjaya pada zaman moden apabila hamba-hamba bebas di Saint-Domique (iaitu Haiti hari ini) menewaskan penjajah Perancis. Siri perang kemerdekaan di Amerika Latin telah melahirkan negara-negara baharu yang merdeka seperti Argentina, Chile, Brazil, Peru, Bolivia, Venezuela dan sebagainya.
Gelombang Revolusi Atlantik telah memainkan peranan penting dalam menggulingkan kekuasaan golongan bangsawan, monarki mutlak dan gereja yang berkuasa besar, di samping menyebarkan secara meluas fahaman-fahaman masyarakat moden seperti liberalisme, republikanisme dan prinsip untuk kesamarataan masyarakat yang terhasil semasa Zaman Kesedaran (Enlightenment). Mentaliti revolusioner yang lahir daripada gelombang revolusi ini telah berkembang pesat dan berpengaruh sehingga hari ini.
Gerakan pekerja yang awal, Revolusi 1848 dan Marxisme
Perkembangan mod pengeluaran kapitalis membawa kepada kemunculan dua kelas sosial yang baharu dan saling bertentangan, iaitu kelas kapitalis (yang memiliki modal dan mengupah pekerja untuk menjana keuntungan) dan kelas pekerja (yang tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran kecuali tenaga buruh yang terpaksa dijual kepada golongan kapitalis yang membayar upah kepadanya). Eksploitasi dan penindasan yang dihadapi oleh golongan pekerja di bawah sistem ekonomi kapitalis, menyebabkan ramai dalam kalangan golongan pekerja bangkit melawan.
Gelombang gerakan pekerja mula-mulanya muncul di Eropah kerana perluasan Revolusi Perindustrian pada awal abad ke-19. Pemberontakan pekerja-pekerja penenun kain di Lyon, Perancis (pada tahun 1831, 1834 dan 1848), pemberontakan penenun kain di Silesia pada tahun 1844 dan Gerakan Piagam Rakyat (1838-1848) yang menuntut hak mengundi sejagat di negara Britain, merupakan perjuangan penting yang melibatkan golongan pekerja untuk menuntut kehidupan yang lebih baik dan hak politik bagi menentukan nasib mereka sendiri.
Gelombang revolusi pada tahun 1848, yang melanda lebih 50 buah negara, khususnya di Eropah, merupakan detik sejarah pergolakan masyarakat manusia yang penting, di mana kelas pekerja semakin menunjukkan kepentingannya dalam mencorak perkembangan politik masyarakat. Revolusi yang tercetus di negara-negara seperti Perancis, Jerman, Austria, Hungary, Itali dan sebagainya pada masa itu, sama ada bermatlamat untuk menghapuskan saki baki sistem feudal demi memajukan usaha pembentukan demokrasi moden ataupun memperjuangkan pembentukan negara bangsa yang merdeka daripada kuasa besar, sama ada berjaya atau gagal, telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada sejarah masyarakat dunia moden. Gelombang revolusi ini menyaksikan pembentukan gabungan sementara antara kelas menengah dan kelas pekerja, dalam memperjuangkan ruang demokrasi yang lebih besar, pembentukan negara moden dan jaminan kesejahteraan untuk semua.
Pada masa yang sama dengan pencetusan gelombang Revolusi 1848, tokoh pemikir yang revolusioner, Karl Marx dan Frederich Engels, telah menulis dan menerbitkan Manifesto Komunis, sebuah dokumen politik yang memperkenalkan pendekatan analitik terhadap perjuangan kelas dan menganjurkan idea sosialisme yang saintifik. Pemikiran sosialis revolusioner yang dibangunkan oleh Marx dan Engels, telah mempengaruhi ramai pejuang revolusioner sejak itu.
Golongan kiri yang revolusioner sentiasa berusaha untuk membina solidariti gerakan kelas pekerja antarabangsa untuk memantapkan dan memajukan perjuangan pembebasan masyarakat. Marx dan Engels pernah terlibat dalam penubuhan Liga Komunis (1847-1852) dan Internasional Pertama (1864-1876). Perlembagaan Internasional Pertama yang digubal pada tahun 1864 menyatakan dengan jelas bahawa “pembebasan kelas pekerja harus dilakukan oleh kelas pekerja mereka sendiri” dan “perjuangan untuk pembebasan kelas pekerja bukannya perjuangan demi keistimewaan kelas dan monopoli, tetapi demi hak-hak dan kewajipan-kewajipan samarata, serta penghapusan semua semua pemerintahan kelas”.
Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) yang ditubuhkan pada tahun 1875, hasil daripada penggabungan antara Persatuan Pekerja Jerman Umum (ADAV) dan Parti Pekerja Demokratik Sosial Jerman (SDAP), merupakan salah sebuah parti politik massa pekerja yang paling awal di bawah pengaruh pemikiran Marxis.
Komun Paris yang terbentuk semasa kebangkitan rakyat Perancis di bandar Paris pada tahun 1871, walaupun hanya bertahan untuk tempoh selama dua bulan, tetapi sebagai pemerintahan pekerja yang wujud secara nyata untuk kali pertamanya, ia menjadi inspirasi kepada usaha revolusi sosialis selepasnya.
Marxisme, sebagai ideologi yang berasal daripada perjuangan kelas pekerja dan usaha untuk menjawab persoalan asas mengenai konflik dalam masyarakat kapitalis, menawarkan perspektif baharu dalam menganalisis masyarakat kita dan idea baharu untuk perjuangan pembebasan masyarakat. Tokoh-tokoh gerakan dan pemikiran kiri selepas Marx dan Engels, seperti Vladimir Lenin, Rosa Luxemburg, Karl Kautsky, Daniel DeLeon, Leon Trotsky, Antonio Gramsci, Alexandra Kollontai, Clara Zetkin, Mao Zedong, Amadeo Bordiga, Nikolai Bukharin, Antonie Pannekoek, Paul Mattick, Ernesto Che Guevara, Fidel Castro, Karl Korsch, James Connolly, Louis Althusser, Georg Lukacs, Raya Dunayevskaya, Samir Amin, C. L. R. James, Frantz Fanon, Ralph Miliband, James P. Cannon, George Padmore, José Carlos Mariátegui, Gajo Petrović, Josip Broz Tito, Ho Chi Minh, Tan Malaka, M. N. Roy, Claudia Jones, Guy Debord, Ernest Mandel, Paulo Freire, Abdullah Öcalan dan ramai lagi, telah memperkembangkan lebih lanjut lagi idea-idea Marxis atau sosialis mengikut pengalaman perjuangan dan keadaan masyarakat yang tertentu. Ini telah meninggalkan warisan teori kiri yang kaya untuk dipelajari oleh gerakan-gerakan perjuangan revolusioner di merata tempat sehingga hari ini.
Revolusi Sosialis dan perjuangan anti-imperialis pada abad ke-20
Internasional Kedua yang ditubuhkan pada tahun 1889 oleh parti-parti sosialis dan organisasi-organisasi pekerja yang berkembang pesat pada masa itu, khususnya di Eropah, memainkan peranan penting dalam menyatukan gerakan perjuangan kelas di peringkat antarabangsa. Namun, sesetengah golongan reformis dalam Internasional Kedua mengambil pendirian menyokong kelas pemerintah di negara masing-masing dalam Perang Dunia I, telah menyebabkan perpecahan Internasional Kedua dan menjejaskan solidariti gerakan pekerja antarabangsa.
Revolusi Rusia merupakan revolusi proletariat yang berjaya membentuk negara pekerja yang pertama di dunia. Ia telah menjadi inspirasi kepada gelombang revolusi yang melanda banyak negara selepas Perang Dunia I. Namun, pengasingan Revolusi Rusia selepas kegagalan gelombang revolusi di Eropah untuk membentuk pemerintahan pekerja yang baharu, khususnya di Jerman, Kesatuan Soviet yang lahir daripada revolusi proletariat yang hebat itu menghadapi pelbagai cabaran yang hebat, termasuk kehancuran ekonomi akibat perang saudara dan kemunculan lapisan birokrat yang akhirnya mengambilalih kuasa. Model Stalinis di Kesatuan Soviet cuba ditiru oleh beberapa buah negara yang melalui revolusi di bawah kepimpinan parti komunis, tetapi mengalami pelbagai masalah. Walau bagaimanapun, Revolusi Rusia tetap merupakan peristiwa perjuangan pembebasan masyarakat yang paling penting dalam abad ke-20.
Golongan revolusioner yang berhaluan kiri telah memainkan peranan yang amat penting dalam perjuangan menewaskan kemaraan kuasa fasis semasa Perang Dunia II. Selepas Perang Dunia II, perjuangan revolusioner yang diterajui oleh golongan kelas pekerja di merata tempat telah mencipta keadaan sejarah masyarakat yang baharu. Pergolakan revolusi yang hebat seperti Revolusi China 1949, Revolusi Kuba 1959, Perang Vietnam Menentang Amerika Syarikat, Gelombang Revolusi 1969 dan sebagainya, telah mencorak sejarah dunia pasca Perang Dunia II.
Gerakan pekerja yang hebat di negara-negara perindustrian maju telah memastikan kewujudan sistem negara kebajikan yang memberi jaminan hidup kepada golongan rakyat biasa. Sementara itu, gerakan pembebasan nasional yang melanda benua Asia dan Afrika telah berjaya membebaskan tanah jajahan di Dunia Ketiga daripada cengkaman kuasa imperialis Barat dan mendirikan negara-negara baharu yang merdeka, walaupun proses ini penuh dengan pelbagai rintangan.
Perjuangan revolusi dalam abad ke-21
Setiap generasi perlunya revolusi…
Selepas kejatuhan Tembok Berlin yang menandakan pengakhiran pemerintahan rejim Stalinis di Eropah Timur dan Kesatuan Soviet, golongan pendukung sistem kapitalis di seluruh dunia telah menguar-uarkan bahawa ia merupakan kemenangan kapitalisme di pentas dunia. Ini ditunjukkan dalam slogan “Tiadanya alternatif” (There is no alternative, dalam singkatan TINA) yang digunakan oleh Margaret Thatcher, Perdana Menteri Britain daripada Parti Konservatif yang mentadbir pada tahun 1979-1990.
Kapitalisme versi neoliberalisme (yang berlandaskan pendekatan liberalisasi perdagangan, penswastaan perkhidmatan awam dan penyahkawalseliaan terhadap modal) semakin memperluaskan kekuasaannya melalui proses “globalisasi” yang digerakkan oleh institusi-institusi kewangan antarabangsa (seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Pembangunan Asia dan sebagainya) dan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang bertujuan untuk melindungi kepentingan syarikat korporat transnasional. Dasar ekonomi neoliberal telah memburukkan lagi masalah ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial, di samping mencetuskan krisis ekonomi antarabangsa yang lebih kerap dan lebih serius, sama ada Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Ekonomi Amerika Selatan 2002 ataupun Krisis Kewangan Global 2007-2008 yang dicetuskan oleh Krisis Gadai Janji Subprima di Amerika Syarikat. Rakyat biasa sentiasa menjadi mangsa yang dikorbankan setiap kali berlakunya krisis ekonomi sedangkan golongan kapitalis yang berkuasa akan diselamatkan oleh kerajaan yang mengamalkan dasar pro-kapitalis. Krisis ekonomi yang mendalam juga mewujudkan tapak pembiakan untuk fahaman pelampau yang berunsur rasis, nasionalis sempit dan xenofobik.
Namun demikian, rakyat di merata tempat masih meneruskan perjuangan mereka dalam melawan ketidakadilan sosial yang wujud dan memperjuangkan alternatif yang lebih baik. Dari pemberontakan Zapatista di wilayah Chiapas, Mexico, pada tahun 1994 yang melawan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), sehingga gelombang protes menentang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang memuncak pada tahun 2000-an; dari perjuangan melawan penswastaan air di Cochabamba, Bolivia, pada tahun 1999-2000, sehingga Revolusi Bolivar di Venezuela yang diterajui oleh Hugo Chávez; dari perjuangan melawan dasar pengurangan perbelanjaan di Eropah, sehingga aksi pendudukan (occupy) di merata tempat yang mencabar kekuasaan institusi kewangan; dari aksi mogok pekerja dan petani di India untuk melawan dasar kerajaan berhaluan kanan yang menjejaskan rezeki rakyat bawahan, sehingga perjuangan anak muda dan pekerja di Indonesia untuk menentang Undang-undang Sapu Jagat yang memudahkan golongan kapitalis multinasional dalam mengeksploitasi pekerja dan menggondol sumber alam; semua ini merupakan sebahagian daripada usaha masyarakat di seluruh dunia untuk melawan sistem sosio-ekonomi yang menjejaskan kesejahteraan rakyat bawahan untuk kepentingan kelas kapitalis yang mahakaya pada masa kini. Ini merupakan gambaran revolusi pada abad ke-21.
Tiada formula standard untuk revolusi masyarakat
Sepanjang sejarah masyarakat manusia yang penuh dengan perjuangan rakyat demi kehidupan yang lebih baik, tiadanya model yang standard untuk sesuatu revolusi itu berlaku. Tiadanya satu formula yang standard atau sejagat untuk revolusi yang dapat digunakan dalam semua keadaan pada setiap masa. Setiap masyarakat mempunyai keunikan dan kekompleksannya dalam keadaan yang berbeza pada masa yang berbeza. Oleh itu, setiap revolusi ada keunikan dan kekompleksannya. Tiada satu revolusi boleh meniru atau menyalin sepenuhnya revolusi yang lain. Tambahan pula, dengan perkembangan sejarah yang dinamik, masyarakat yang semakin kompleks bukan lagi bersifat homogenus dari segi komposisi kebudayaan dan pemikiran (walaupun ideologi yang mendominasi masihnya ideologi kelas pemerintah), maka kepelbagaian dalam sesuatu masyarakat juga akan mempengaruhi dinamik pergolakan revolusi.
Namun begitu, masih adanya kesejagatan dalam sifat masyarakat dan prinsip perjuangan yang menggerakkan proses revolusi. Ini termasuklah sifat umum masyarakat kelas, khususnya apabila masyarakat dunia semakin diseragamkan di bawah sistem kapitalis global. Revolusi yang mampu membebaskan masyarakat daripada sebarang bentuk penindasan dan pemaksaan, harusnya memiliki prinsip-prinsip pembebasan masyarakat tertentu yang mempunyai nilai-nilai sejagat.
Kita juga harus sedar bahawa, dalam mana-mana gelombang kebangkitan rakyat yang hebat, akan wujudnya pelbagai aliran pemikiran dalam gerakan perjuangan rakyat itu yang akan berlumba-lumba untuk memainkan peranan dalam menentukan halatujunya. Akan adanya aliran pemikiran yang reaksioner, yang reformis, yang hendak mengekalkan status quo, yang oportunis, atau yang sektarian, begitu juga aliran pemikiran yang revolusioner. Adanya aliran pemikiran yang cuba bersekutu dengan kuasa besar lain untuk mempengaruhi halatuju perjuangan, adanya aliran pemikiran yang hendak memperkukuhkan kepentingan segolongan kecil orang sahaja melalui pergolakan masyarakat yang hebat, adanya juga aliran pemikiran yang hendak membangunkan masyarakat baharu melalui kuasa rakyat dari bawah. Medan revolusi menjadi tempat pertembungan semua aliran-aliran pemikiran ini, adanya yang saling bercanggah. Peranan golongan revolusioner sosialis ialah membawa pemikiran perjuangan yang progresif, bersifat pembebasan dan berlandaskan demokrasi sejati serta keadilan sejagat, melalui organisasi revolusioner yang mampu membantu massa revolusioner untuk memahami keadaan dengan lebih jelas dan membangunkan visi perjuangan yang benar-benar membebaskan rakyat.
Revolusi itu satu proses
Revolusi ialah satu proses perubahan masyarakat yang berterusan. Revolusi yang memberi makna sebenar ialah perubahan yang dapat membebaskan masyarakat daripada belenggu sistem yang sedia ada. Proses revolusi hanya dapat disempurnakan dengan penyertaan anggota masyarakat terbanyak dan mempunyai kesedaran yang tinggi.
Tugas golongan revolusioner ialah menggerakkan usaha perjuangan rakyat melalui organisasi politik yang menggabungkan teori dan praktik perjuangan sebaik-baiknya. Walaupun teori revolusi amat penting untuk membangunkan program yang revolusioner, tetapi golongan revolusioner tidak harus menjadi dogmatik, iaitu tidak sanggup menerima idea baharu dan mengubahsuai strategi perjuangan mengikut keadaan objektif. Golongan revolusioner harus sentiasa menilai keadaan masyarakat dan tindakan yang diambil mereka dalam mengatur perjuangan, supaya kita sentiasa dapat belajar daripada pengalaman dan pengubahsuaian boleh dilakukan jika perlu. Golongan revolusioner juga perlu memastikan semua yang terlibat dalam perjuangan rakyat sentiasa sedar tentang halatuju perjuangan yang bersifat pembebasan.
Prospek untuk sesebuah revolusi terus membawa kemajuan kepada usaha pembebasan masyarakat, sentiasa datang dari bawah, dari masyarakat akar umbi yang melibatkan diri secara aktif dan sedar dalam usaha memperjuangkan kesejahteraan bersama masyakat. Gerakan massa dan organisasi politik yang revolusioner sangat mustahak dalam membina kekuatan revolusioner dari bawah ini.
Mempelajari sejarah mengenai revolusi masyarakat dari zaman dahulu sehingga kini, juga penting untuk kita, bukan sahaja untuk menghargai pengorbanan dan sumbangan daripada perjuangan golongan revolusioner yang sebelum ini, malah juga untuk memperoleh pengajaran, panduan dan inspirasi supaya kita dapat terus memajukan perjuangan pembebasan masyarakat.
Siri Kronologi Revolusi Dunia:
3 thoughts on “Revolusi: Perjuangan masyarakat untuk pembebasan sebenar”