Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

IPOH, PERAK – 10 MEI 2021: Petani-petani kecil dari Kuala Kuang yang sedang mengusahakan tanah di kawasan sebelah Taman Chepor Sentosa, Perak, menyerahkan satu memorandum di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada hari ini, untuk mengetengahkan masalah kelemahan pihak polis dalam mengendalikan ugutan jenayah terhadap petani-petani kecil. Petani-petani dari Kuala Kuang ini ingin mendapatkan temujanji dengan Datuk Mior Faridalathrash Wahid selaku Ketua Polis Negeri Perak untuk membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka.

Turut hadir bersama dengan petani-petani kecil ini semasa penyerahan memorandum tersebut ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Petani-petani yang mengusahakan tanah di kawasan bersebelahan Taman Chepor Sentosa, telah meneroka hutan di kawasan tersebut sejak zaman sebelum kemerdekaan. Adanya antara petani-petani ini pernah memohon untuk hak milik tanah ataupun lesen tumpangan sementara (TOL) tetapi permohonan mereka ditolak oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah. Kawasan berkenaan telah diberikan hak miliknya kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) oleh Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2013. Pada tahun 2020, Lot PT 253410 yang seluas 48 ekar telah dijual oleh PKNP kepada KM Majubina Sdn Bhd, sebuah syarikat pemaju perumahan.

Pada 27 April 2021, sekumpulan orang datang ke kawasan pertanian tersebut dengan 2 buah jentolak, dan mengatakan bahawa KM Majubina Sdn Bhd telah memberi kontrak kepada mereka untuk membersihkan tanah di situ. Kumpulan kontraktor ini, yang diiringi oleh beberapa orang pegawai polis dari Balai Polis Kuala Kuang, telah memotong rantai pintu masuk ke dalam sebuah kebun bersendirian (yang mempunyai geran) untuk memasuki kawasan pertanian yang diusahakan oleh petani-petani kecil berkenaan. Selepas mereka menceroboh masuk ke kawasan tersebut, jentolak telah merobohkan bangunan papan yang digunakan oleh petani di situ sebagai stor dan juga paip pengairan di beberapa buah kebun.

Apabila petani-petani mengadu kepada pihak polis yang berada di situ, jawapan yang diberikan oleh polis ialah, syarikat KM Majubina mempunuyai hak untuk berbuat demikian kerana syarikat itu merupakan pemilik tanah tersebut. Apabila petani-petani memberitahu pada polis bahawa pemilik tanah perlu mendapatkan Perintah Mahkamah sebelum merobohkan bangunan dan memusnahkan tanaman mereka, polis Kuala Kuang mengatakan bahawa kumpulan kontroktor itu memang memegang Perintah Mahkamah. Namun, apabila Dr. Jeyakumar yang berada di situ pada masa itu memeriksa dokumen yang ditunjukkan oleh pihak kontraktor, adalah didapati bahawa:

  • Dokumen berkenaan bukannya perintah mahkamah yang memberi kuasa pada sesiapa untuk membersihkan tanah di Lot PT 253410.
  • Dokumen tersebut ialah satu Penghakiman Persetujuan antara 14 orang petani di kawasan lain di Kanthan dengan pihak PKNP. Nama petani di kawasan ini ataupun nama syarikat KM Majubina tidak tercatat dalam dokumen mahkamah yang ditunjuk oleh kontraktor.
  • Penghakiman Persetujuan itu menyatakan bahawa 14 orang petani yang terlibat dibenarkan untuk bercucuk tanam sehingga bulan September 2022 dan selepas itu akan ditawarkan tanah gantian.

Jadi, adalah jelas bahawa pihak kontraktor telah menipu dan mengelirukan pihak polis Kuala Kuang dengan dokumen mahkamah yang tidak kena mengena dengan kawasan Lot PT 253410 yang hendak dibersihkannya.

Polis Kuala Kuang keliru

Kontraktor upahan syarikat KM majubina telah melakukan beberapa perkara yang bersifat keganasan dan ugutan, antaranya:

  • Mereka memotong rantai pintu masuk dan menceroboh ke dalam kawasan pertanian yang diusahakan oleh petani-petani kecil di situ;
  • Mereka merobohkan bangunan yang terletak di dalam kawasan tanah yang diusahakan petani-petani kecil pada 27 April 2021 dan sekali lagi pada 29 April 2021;
  • Mereka memecahkan paip saliran air di beberapa buah kebun pada 27 April 2021 dan 29 April 2021;
  • Ada antara mereka yang mengugut petani-petani dengan mengatakan bahawa mereka akan menghentam petani jika petani mencuba menghalang mereka.

Selain itu, pihak kontraktor juga menipu polis Kuala Kuang dengan dokumen mahkamah yang tidak berkaitan dengan kebun-kebun yang diusahakan oleh petani-petani di situ.

Petani-petani di situ berasa hairan kenapa pihak polis Kuala Kuang tidak menghentikan pencerobohan dan ugutan yang berlaku pada 27 April 2021 dan 29 April 2021, kerana pihak kontraktor yang diupah oleh syarikat KM Majubina telah melakukan beberapa tindakan yang merupakan kesalahan yang boleh didakwa di bawah seksyen-seksyen Kanun Keseksaan, seperti Seksyen 503 (kesalahan menakutkan secara jenayah), Seksyen 441 (pencerobohan jenayah) dan Seksyen 351 (serangan).

Malangnya, polis Kuala Kuang hanya memerhati secara berpeluk tubuh semua tindakan agresif kontraktor upahan syarikat KM Majubina. Polis Kuala Kuang berkemungkinan percaya sepenuhnya pada cerita bersifat penipuan oleh pemaju bahawa ia mempunyai Perintah Mahkamah untuk mengusirkan petani-petani di situ.

Kelemahan polis beri dorongan kepada pemaju “main keras”

Kelemahan dalam cara pihak polis di peringkat daerah mengendalikan isu pengusiran paksa telah melahirkan satu situasi di mana pihak pemaju berani menggunakan “jalan pintas” untuk mengusirkan petani yang telah mengusahakan tanah yang diberi hak milik kepada pemaju. Kaedah yang sepatutnya mengikut undang-undang adalah mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pengguna tanah dan jika pengguna tanah (petani) tidak bersetuju keluar, merujuk kes ini ke mahkamah supaya mendapatkan Perintah Mahkamah untuk mengosongkan tanah.

Tetapi di Perak, oleh kerana polis di peringkat daerah mudah dikelirukan, pemaju berani menggunakan kumpulan “kontraktor” untuk mengugut dan menakutkan petani dan terus memusnahkan kebun-kebun yang diusahakan oleh petani-petani kecil. Kecenderungan pihak syarikat pemaju mengupah kontraktor Melayu untuk mengusir petani-petani yang beretnik Cina juga menimbulkan risiko yang boleh mencetuskan konflik perkauman. Namun, malangnya sekali sampai sekarang, pihak polis Perak tidak mengambil berat terhadap risiko ini, tetapi membiarkannya berulang.

Polis di peringkat daerah perlukan pendidikan bagaimana kendalikan isu pengusiran

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Ketua Polis Negeri Perak, petani-petani menyatakan pandangan mereka bahawa pihak polis Perak harus mendidik anggotanya di peringkat daerah supaya mana-mana pihak yang memegang geran tanah tidak mempunyai kuasa secara automatik untuk menggunakan kekerasan terhadap sesiapa yang sedang menduduki atau mengusahakan tanah itu. Pemilik geran harus pergi ke Mahkamah untuk mendapatkan Perintah Mahkamah. Sementara itu, pihak petani juga berhak diwakili oleh peguam dalam Mahkamah untuk mempertikaikan pemberian hak milik tanah kepada pihak luar dalam situasi di mana petani-petani telah mengusahakan tanah di kawasan berkenaan sekian lama. Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, barulah Hakim akan memberi keputusan yang harus dipatuhi oleh semua pihak. Inilah caranya mengikut “kedaulatan undang-undang”.

Oleh yang demikian, petani-petani mencadangkan kepada pihak PDRM supaya menubuhkan perkhidmatan guaman yang boleh dirujuk oleh Ketua Polis Balai di seluruh negeri Perak jika mereka tidak memahami isi kandungan dokumen mahkamah yang ditunjukkan oleh kontraktor yang diupah oleh pemaju untuk membersihkan tanah.

Situasi seperti yang telah berlaku di kawasan tanah bersebelahan dengan Taman Chepor Sentosa itu seharusnya tidak boleh dibiarkan terus berulang di kawasan yang lain,” kata Dr. Jeyakumar semasa penyerahan memorandum kepada pihak Ketua Polis Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *