Sejarah masyarakat manusia penuh dengan perjuangan rakyat yang menentang kezaliman dan membebaskan diri daripada penindasan.

Kronologi sejarah revolusi dunia ini (dalam 3 bahagian) menyenaraikan peristiwa-peristiwa perjuangan rakyat di seluruh pelusuk dunia, merangkumi kebangkitan rakyat melawan penindasan, pemberontakan menentang kuasa pemerintahan yang zalim, penentangan terhadap kekuasaan penjajah dan revolusi yang mengubah sistem masyarakat.

(Ini bukannya senarai peristiwa revolusi yang lengkap dan mungkin adanya peristiwa kebangkitan rakyat yang tertinggal.)

Bersambung dari: Kronologi Revolusi Dunia (Bahagian 2)

Kronologi Revolusi Dunia

Bahagian 3: Tahun 1949 – kini

Revolusi China (1949)

Selepas tamatnya Perang Menentang Jepun (1937-1945), Parti Komunis China dan Kuomintang kembali bertempur dalam Perang Kuomintang-Komunis Kedua (1946-1949). Selepas pertempuran penting seperti kempen perang Liaoshen, Huaihai dan Pingjin, Tentera Pembebasan Rakyat yang dipimpin oleh Parti Komunis China mendapat kelebihan strategik dari segi ketenteraan di Utara China dan menguasai semua wilayah di utara Sungai Yangtze pada awal tahun 1949. Tentera Pembebasan Rakyat memasuki bandar Beijing pada bulan Januari 1949; kemudiannya menyeberangi Sungai Yangtze dan menawan Nanjing, ibu negara Kerajaan Kuomintang, pada bulan April 1949. Pada bulan September 1949, Persidangan Perundingan Politik Rakyat yang pertama diadakan di Beijing dan membentuk kerajaan baharu. Pada 1 Oktober 1949, pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong, mengisytihar penubuhan Republik Rakyat China dengan kerajaan pusat di Beijing. Kuomintang berundur ke Taiwan.

Mogok Arang Batu Australia (1949)

23,000 orang pekerja lombong arang batu di Australia bermogok selama 7 minggu, dari 27 Jun hingga 15 Ogos 1949. Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri masa itu, Ben Chifley, mengerahkan tentera untuk mematahkan aksi mogok pekerja di negeri New South Wales.

Pemberontakan Nankar (1949-1950)

Gerakan petani yang diorganisasi oleh Parti Komunis dan Persatuan Petani di Daerah Sylhet, Pakistan Timur, bangkit menentang adat resam Nankar yang membolehkan eksploitasi zamindar (tuan tanah) terhadap petani-petani miskin di situ. Gerakan ini berjaya memaksa Kerajaan Pakistan untuk memansuhkan sistem zamindar pada tahun 1950.

Mogok Umum Menentang Raja Leopold III Belgium (1950)

Kepulangan Raja Leopold III ke Belgium pada bulan Julai 1950 mencetuskan gelombang protes, khususnya di wilayah Wallonia dan Brussels. Gerakan protes ini berkembang menjadi mogok umum yang melumpuhkan seluruh negara Belgium. 4 orang pekerja ditembak mati oleh polis separa tentera Gendarmerie di Grâce-Berleur pada 30 Julai 1950. Mogok umum ini memaksa Raja Leopold III untuk mengumumkan hasratnya turun dari takhta pada 1 Ogos 1951 dan digantikan oleh Raja Baudouin pada bulan Julai 1951. 

Mogok Umum Austria 1950

Parti Komunis Austria (KPÖ) melancarkan mogok umum pada 26 September 1950 berikutan rundingan antara kesatuan sekerja dan kerajaan untuk menangani krisis sosial dan ekonomi menemui jalan buntu. Sejumlah 120,000 orang pekerja bermogok dan memberhentikan laluan keretapi. Aksi mogok kedua diadakan pada 4-5 Oktober 1950, tetapi hanya terhad di bandar Vienna dan wilayah Austria Bawah yang diduduki oleh Kesatuan Soviet pada masa itu.

Pemberontakan Parti Nasionalis Puerto Rico (1950)

Parti Nasionalis Puerto Rico melancarkan pemberontakan bersenjata pada 30 Oktober 1950, untuk menentang penjajahan Amerika Syarikat. Pemberontakan ini dipatahkan oleh Pengawal Nasional Puerto Rico yang berada di bawah arahan Tentera Amerika Syarikat. Pada 1 November 1950, 2 orang nasionalis Puerto Rico cuba membunuh Presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman, di Washington DC tetapi gagal. Pada 1 Mac 1954, 4 orang nasionalis Puerto Rico melepaskan tembakan di koridor Dewan Rakyat Parlimen Amerika Syarikat dan mencederakan 5 orang Ahli Kongres.

Gerakan Anti-Apartheid (1950-1994)

Kerajaan Afrika Selatan yang dikuasi oleh Parti Kebangsaan (NP) mula memperkenalkan dasar apartheid, satu sistem pengasingan kaum secara institusi, pada tahun 1948. Kongres Nasional Afrika (ANC) melancarkan kempen tidak mematuhi undang-undang yang tidak adil pada tahun 1950-an, dengan menggunakan taktik perjuangan bukan keganasan. Anggota-anggota Parti Komunis Afrika Selatan yang diharamkan oleh rejim apartheid telah bekerja dalam ANC untuk mengubah program ANC daripada dasar nasionalis kepada program bukan perkauman yang mengiktiraf kesamarataan hak semua kumpulan etnik yang tinggal di Afrika Selatan. Kongres Rakyat yang diadakan oleh ANC dan sekutu-sekutunya di Kliptown pada tahun 1955 mengemukakan “Piagam Kebebasan”. Golongan nasionalis orang kulit hitam Afrika yang radikal keluar daripada ANC dan menubuhkan Kongres Pan Afrikanis (PAC) pada tahun 1959. Selepas berlakunya pembunuhan beramai-ramai oleh Polis Afrika Selatan di Sharpeville pada tahun 1960 berikutan demonstrasi rakyat yang membantah undang-undang pas, ANC dan PAC mula mengalihkan taktik perjuangan daripada kaedah ketidakbekerjasamaan secara aman kepada pembentukan sayap bersenjata. Pemberontakan Soweto pada tahun 1976 yang ditindas secara ganas oleh pihak berkuasa telah meradikalisasikan lagi generasi muda aktivis masyarakat orang kulit hitam untuk melakukan perjuangan yang lebih agresif. Di peringkat antarabangsa, Gerakan Boikot ditubuhkan di London pada tahun 1959, menganjurkan kempen antarabangsa untuk memberikan tekanan kepada rejim apartheid. Rundingan untuk menamatkan apartheid dimulakan pada tahun 1990. Apartheid dimansuhkan secara rasminya dengan pilihanraya umum multi-etnik yang pertama di negara itu pada tahun 1994. Nelson Mandela, seorang pemimpin gerakan anti-apartheid yang pernah dipenjarakan selama 27 tahun, dipilih sebagai Presiden Afrika Selatan berkulit hitam yang pertama.

Pemberontakan Mau Mau (1952-1960)

Tentera Tanah dan Kebebasan Kenya (KLFA) yang juga dikenali sebagai “Mau Mau”, yang terdiri daripada orang suku kaum Kikuyu, Meru dan Embu, melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap pemerintahan penjajah British di jajahan Kenya. Pihak penjajah menggunakan taktik “pecah dan perintah” untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap pemberontakan Mau Mau. Oleh sebab perpecahan dalaman dan penindasan yang keras daripada pihak penjajah British, pemberontakan Mau Mau akhirnya menemui kegagalan. Pemimpin utama gerakan Mau Mau, Dedan Kimathi, ditangkap oleh pihak British pada tahun 1956 dan dihukum bunuh pada tahun 1957. Lebih 11,000 orang pejuang Mau Mau dibunuh.

Revolusi Nasionalis Bolivia (1952)

Gerakan Revolusioner Nasionalis (Movimiento Nacionalista Revolucionario, MNR) melakukan pemberontakan pada 9-11 April 1952 dan menjatuhkan rejim pemerintahan tentera yang konservatif di Bolivia. Dalam zaman demokrasi selepas revolusi, negara Bolivia ditadbir di bawah Presiden Víctor Paz Estenssoro (1952-56 dan 1960-64) dan Hernán Siles Zuazo (1956-1960), yang melaksanakan reformasi tanah secara meluas, memperkenalkan pengundian sejagat dan memiliknegarakan lombong timah. Revolusi ditamatkan selepas kudeta yang dipimpin oleh René Barrientos dan ketua komander tentera Bolivia pada tahun 1964.

Revolusi Mesir 1952

Kumpulan “Pegawai Tentera Bebas” yang dipimpin oleh Gamal Abdel Nasser dan Muhammad Naguib melancarkan kudeta pada 23 Julai 1952, menjatuhkan Raja Farouk, menamatkan sistem monarki di Mesir dan menubuhkan Republik Mesir. Revolusi 23 Julai ini juga menamatkan pendudukan tentera British di Mesir, sementara Sudan turut mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan kondominium British-Mesir. Kerajaan revolusioner yang ditubuhkan berikutan rampasan kuasa ini mendukung agenda politik yang memperjuangkan nasionalisme Arab, anti-imperialisme dan pendirian berkecuali dalam Perang Dingin. Kerajaan pimpinan Gamal Abdel Nasser melaksanakan reformasi agraria secara menyeluruh dan program industrialisasi yang membawa kepada pembangunan infrakstruktur dan urbanisasi yang hebat di Mesir.

Mogok Pekerja Bas Hock Lee (1953)

Pekerja-pekerja bas daripada syarikat Hock Lee Amalgamated Bus di Singapura bermogok dari 23 April hingga 12 Mei 1953, selepas kegagalan rundingan untuk menambahbaikkan keadaan kerja. Mogok ini mencetuskan pertembungan hebat di jalanan antara golongan pekerja dan pelajar yang menyokong mogok dengan pihak berkuasa. Mogok ini bersama dengan mogok pekerja-pekerja pengangkutan lain pada masa itu menjadi pemangkin kepada pemodenan perusahaan pengangkutan di Singapura.

Pemberontakan Jerman Timur 1953

Pekerja-pekerja pembinaan di Republik Demokratik Jerman (atau dikenali sebagai Jerman Timur) bermogok pada 16 Jun 1953, selepas pihak atasan mereka mengumumkan bahawa akan memotong gaji jika mereka tidak memenuhi kuota kerja mereka. Mogok ini dengan cepatnya bertukar menjadi demonstrasi besar-besaran di seluruh Jerman Timur untuk menentang kerajaan pimpinan parti komunis yang pro-Soviet pada masa itu. Tuntutan demonstran termasuk pengunduran keluar semua tentera luar negara, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, pembebasan tahanan politik, dan pelaksanaan pilihanraya yang bebas. Pemberontakan ini dipatahkan secara kejam oleh polis Jerman Timur dan tentera Kesatuan Soviet yang ditempatkan di situ.

Revolusi Kuba (1953-1959)

Sekumpulan pemberontak yang dipimpin oleh Fidel Castro melancarkan serangan ke atas Berek Moncada di Santiago de Cuba pada 26 Julai 1953. Walaupun serangan tersebut dipatahkan, tetapi menandakan permulaan Revolusi Kuba yang diterajui “Gerakan 26 Julai” (M-26-7) untuk menjatuhkan pemerintahan kediktatoran tentera Fulgencio Batista. Pada tahun 1956, 82 orang pejuang revolusioner, termasuk Fidel Castro, Raúl Castro, Camilo Cienfuegos dan Ernesto Che Guevara, menaiki bot bernama Granma untuk melayar dari Mexico ke Kuba, bagi melancarkan fasa baharu pemberontakan. Pejuang-pejuang revolusioner akhirnya menjatuhkan rejim pemerintahan Batista pada bulan Januari 1959. Hasil daripada Revolusi Kuba, negara sosialis yang pertama diisytihar di Hemisfera Barat dan program pemiliknegaraan dilakukan untuk mentransformasikan ekonomi Kuba. Revolusi ini telah mencabar kekuasaan imperialis Amerika Syarikat sehingga Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadap Kuba. 

Hartal 1953

Parti Lanka Sama Samaja (LSSP) dan parti-parti kiri yang lain di Ceylon (Sri Lanka sekarang) menyeru untuk mengadakan demonstrasi ketidakpatuhan sivil dan mogok, yang dikenali sebagai “hartal”, di seluruh negara itu pada 12 Ogos 1953, untuk memprotes terhadap dasar dan tindakan kerajaan yang dikuasai oleh Parti Nasional Bersatu (UNP). Sekurang-kurang 10 orang mati dalam pertempuran antara demonstran dengan tentera. Aksi hartal ini memaksa Dudley Senanayake meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Peristiwa ini meurpakan aksi politik massa dan krisis sosial utama yang pertama selepas kemerdekaan negara Ceylon.

Mogok Umum Honduras 1954

Pekerja-pekerja ladang pisang yang diupah oleh Syarikat United Fruit mula-mula mengadakan mogok kucing liar untuk menuntut kenaikan gaji, kemudiannya menular menjadi mogok umum yang berlarutan selama 69 hari. Hasil mogok umum ini adalah gaji pekerja mendapat kenaikan gaji yang ketara dan kesatuan pekerja ladang pisang diiktiraf. Pihak Kerajaan Honduras memasukkan sebahagian daripada tuntutan pekerja ke dalam program pembaharuan yang diteruskan sehingga tahun 1970-an.

Perang Kemerdekaan Algeria (1954-1962)

Fron Pembebasan Nasional (Front de Libération Nationale, FLN) melancarkan pemberontakan bersenjata pada 1 November 1954, untuk menentang pemerintahan penjajah Perancis di Algeria. Perang ini menyebabkan kejatuhan Republik Keempat Perancis (1946-1958) dan digantikan dengan Republik Kelima Perancis yang mempunyai sistem kepresidenan yang diperkukuhkan. Keadah keganasan yang digunakan oleh tentera Perancis untuk mematahkan pemberontakan FLN gagal mendapat sokongan daripada rakyat di Algeria dan Perancis, malah menjatuhkan lagi reputasi Perancis di peringkat antarabangsa. Gencatan senjata tercapai selepas FLN dan Kerajaan Perancis menandatangani Perjanjian Évian pada 18 Mac 1962. Pada 1 Julai 1962, dalam referendum yang diadakan di Algeria, 99.72% (lebih 5.9 juta) pengundi yang keluar mengundi menyokong kemerdekaan Algeria. Algeria diisytihar sebagai negara merdeka pada 5 Julai 1962.

Pemberontakan EOKA (1955-1960)

Pertubuhan Nasional Pejuang Cypriot (EOKA) yang ditubuhkan oleh warga Cypriot Greece melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1955, untuk menentang pemerintahan penjajah British di Cyprus dan memperjuangkan penentuan nasib Cyprus untuk bergabung dengan Greece. Selepas Perjanjian London-Zürich yang ditandatangani pada tahun 1959 antara Britain, Turki, Greece dan wakil masyarakat Cypriot (kedua-dua Cypriot Greece dan Cypriot Turki), Cyprus mencapai kemerdekaan pada tahun 1960, tetapi perbalahan kaum masih berterusan.

Mogok pekerja bas Hock Lee (1955)

Pekerja-pekerja bas syarikat Hock Lee Amalgamated Bus Company, di Singapura, mula mengadakan aksi mogok pada 23 April 1955 untuk menuntut keadaan kerja yang lebih baik tetapi ditolak oleh majikan yang hendak melindungi kepentingan perniagaannya. Mogok pekerja ini berkembang menjadi pertempuran antara Kesautan Pekerja Bas Singapura, Kesatuan Pekerja Hock Lee dan Kesatuan Pelajar Sekolah Menengah Cina Singapura dengan pihak berkuasa pada 12 Mei 1955, yang menyebabkan 4 orang mati. Mogok ini bersama dengan mogok pekerja pengangkutan yang serupa, telah membawa kepada nasionalisasi perusahaan pengangkutan di Singapura.

Gerakan Sivil Amerika (1955-1968)

Pada 1 Disember 1955, Rosa Parks, seorang wanita berkulit hitam, mengingkari arahan pemandu bas untuk memberikan tempat duduk kepada orang berkulit putih, mencetuskan kempen Boikot Bas Montgomery (1955-1956), di mana warga berkulit hitam di Amerika Syarikat memboikot bas untuk membantah langkah pengasingan antara orang berkulit hitam dengan orang berkulit putih di atas bas awam. Pada bulan September 1957, berlakunya peristiwa menghalang kemasukan pelajar berkulit hitam di Sekolah Menengah Pusat Little Rock di negeri Arkansas, dan mencetuskan protes hebat oleh masyarakat berkulit hitam. Pada 1 Februari 1960, aktivis hak sivil berkulit hitam mengadakan aksi duduk bantah di Greensboro, Carolina Utara, untuk membantah amalan pengasingan kaum yang diamalkan oleh kedai serbaneka Woolworth, sehingga memaksa syarikat tersebut menghapuskan amalan sedemikian. Pada 13 Februari hingga 10 Mei 1960, tercetusnya aksi duduk bantah besar-besaran yang menentang dasar pengasingan di bandar Nashville, Tennesse. Pada awal bulan Mei 1961, Kongres Kesamarataan Kaum (CORE) melancarkan kempen “Penumpang Bebas” (Freedom Riders), yang mempromosikan Gerakan Sivil orang berkulit hitam melalui jelajah bas merentasi negeri. Antara pertubuhan Gerakan Hak Sivil yang penting pada ketika itu ialah Persatuan Nasional untuk Kemajuan Orang Berwarna (NAACP) dan Jawatankuasa Penyelarasan Bukan Keganasan Pelajar (SNCC). Gerakan Albany yang memperjuangkan penghapusan segregasi dan menuntut hak mengundi untuk warga berkulit hitam ditubuhkan di Albany, Georgia, pada bulan November 1961. Pada bulan Mac 1963, Martin Luther King dan pemimpin lain daripada Persidangan Kepimpinan Kristian Selatan (SCLC) menganjurkan aksi demonstrasi di bandar Birmingham, Alabama, untuk menuntut penghapusan dasar pengasingan di situ. Pada 28 Ogos 1963, organisasi Gerakan Sivil melancarkan “Perarakan di Washington demi kerja dan kebebasan”, dengan 250,000 orang berhimpun di hadapan Memorial Lincoln di Washington DC, di mana Martin Luther King menyampaikan ucapan terkemukanya “I Have a Dream” yang menyeru untuk menghentikan rasisme. Kongres Amerika Syarikat kemudiannya meluluskan Akta Hak Sivil 1964. Pada 21-25 Mac 1965, pertubuhan Gerakan Sivil menganjurkan perarakan dari Selma ke Montgomery untuk menuntut hak mengundi warga berkulit hitam, membawa kepada penggubalan Akta Hak-hak Mengundi 1965. Pada tahun 1967, rusuhan tercetus di kawasan petempatan warga berkulit hitam di lebih 100 buah bandar di Amerika Syarikat, termasuk Detroit, Newark, Cincinnati, Cleveland dan Washington DC. Martin Luther King melancarkan “Perarakan Rakyat Miskin” pada tahun 1968, mengalihkan perjuangan untuk hak sivil kepada perjuangan hak ekonomi. Martin Luther King dibunuh pada 4 April 1968, mencetuskan rusuhan di lebih 100 buah bandar di seluruh Amerika Syarikat. Selain Martin Luther King yang mengambil pendekatan bukan keganasan, terdapatnya sayap Gerakan Sivil yang menggunakan taktik lebih bersifat agresif, termasuk kumpulan yang dipimpin oleh Malcolm X.

Pemberontakan Anyanya (1955-1972)

Juga dikenali sebagai Perang Saudara Sudan Pertama. Bermula dengan pemberontakan anggota Pasukan Pertahanan Sudan di wilayah Selatan Sudan pada bulan Ogos 1955, yang disebabkan ketidakpuasan hati terhadap penguasaan pemimpin politik Utara Sudan di negara yang bakal mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British itu. Selepas pemberontakan askar dipatahkan, mereka yang melarikan diri memulakan pemberontakan berbentuk gerila di kawasan luar bandar. Pemberontakan ini kemudiannya berkembang menjadi gerakan pemisahan Sudan Selatan, dengan tentera pemberontak yang lebih tersusun, “Anyanya”, ditubuhkan pada tahun 1963. Perang ditamatkan selepas Perjanjian Addis Ababa pada tahun 1972 yang mempersetujui penubuhan Wilayah Autonomi Sudan Selatan (1972-1983).

Mogok Umum Finland 1956

Pertubuhan Pusat Kesatuan Sekerja Finland (SAK) melancarkan aksi mogok umum pada 1-20 Mac 1956, untuk menuntut kenaikan paras gaji keseluruhan bersesuaian dengan kenaikan paras harga barangan. Lebih kurang 500,000 orang mengambil bahagian dalam aksi mogok ini. Aksi mogok ini membawa kepada peningkatan gaji sebanyak 6-10% di seluruh negara Finland.

Protes Poznań 1956

Pekerja-pekerja Poland mengadakan demonstrasi pada 28 Jun 1956 untuk menuntut kondisi kerja yang lebih baik tetapi ditindas secara ganas oleh pihak berkuasa. Lebih kurang 100,000 orang berhimpun di pusat bandar Poznań, sementara Kerajaan Poland mengerahkan lebih kurang 400 buah kereta kebal dan 10,000 orang askar untuk mematahkan protes rakyat. Dianggarkan 57-100 orang terbunuh dengan ratusan orang cedera.

Oktober Poland (1956)

Selepas peristiwa Protes Poznań, konflik antara Poland dengan Kesatuan Soviet semakin sengit. Rakyat di seluruh negara Poland mengadakan protes untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pengaruh kuasa Kesatuan Soviet dan polis rahsia yang bermaharajarela. Hasil daripada pergolakan politik yang hebat, Władysław Gomułka, seorang pemimpin yang moderat, dipilih sebagai Setiausaha Pertama untuk Parti Pekerja Bersatu Poland (PZPR) dalam persidangan Plenum ke-8 parti itu, menandakan tamatnya zaman Stalinis di Poland dan bermulanya pembaharuan politik, di samping meredakan ketegangan hubungan dengan Kesatuan Soviet.  

Revolusi Hungary 1956

Bermula apabila ribuan orang berarak dalam protes pelajar di pusat bandar Budapest pada bulan Oktober 1956, dengan tuntutan seperti pengunduran tentera Kesatuan Soviet dari Hungary, pemilihan untuk semua jawatan dalam Parti Pekerja Hungary, menjadikan Imre Nagy sebagai pemimpin utama kerajaan, pilihanraya umum yang demokratik, penghapusan pengaruh Stalin dan sebagainya. Pemberontakan ini merebak dengan cepatnya dan menyebabkan kejatuhan kerajaan yang pro-Soviet. Ribuan rakyat mengorganisasi ke dalam militia untuk melawan polis rahsia dan tentera Soviet. Majlis-majlis pekerja menguasai pentadbiran bandar daripada Parti Pekerja Hungary yang memerintah dan menuntut perubahan politik. Kerajaan baharu yang dipimpin oleh Imre Nagy membubarkan polis rahsia, mengisytihar hasratnya untuk menarik diri daripada Pakatan Warsaw dan menjanjikan pilihanraya bebas. Kerajaan Kesatuan Soviet mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar untuk menakluk Budapest dan wilayah lain di Hungary pada bulan November 1956. Lebih 2,500 orang rakyat Hungary terbunuh dalam konflik dengan tentera Soviet, dan lebih 200,000 orang menjadi pelarian. Kerajaan baharu yang disokong oleh Kesatuan Soviet melenyapkan semua suara pembangkang. Tindakan Kesatuan Soviet memperkukuhkan penguasaannya terhadap negara Blok Timur ini, menyebabkan perpecahan dalam parti-parti komunis di negara-negara Barat.

Gerakan Pelajar Romania 1956

Sebagai reaksi kepada kebangkitan rakyat di Hungary, protes tercetus dalam kalangan pelajar-pelajar universiti di Romania, tetapi dipatahkan oleh Kerajaan Romania dengan penangkapan besar-besaran dan pembuangan pelajar dari universiti.

Kudeta Venezuela 1958

Demonstrasi mula tercetus pada bulan Mac 1957 untuk menentang pemerintahan diktator Marcos Pérez Jiménez. Pergolakan politik memuncak apabila berlakunya kudeta sivik-tentera pada 23 Januari 1958 yang menjatuhkan Marcos Pérez Jiménez dan memulihkan demokrasi di negara itu.

Revolusi 14 Julai (1958)

Sekumpulan askar nasionalis yang dipimpin oleh Abd al-Karim Qasim, Abdul Salam Arif, Muhammad Najib ar-Ruba’I dan pegawai tentera yang lain melancarkan kudeta pada 14 Julai 1958, untuk menjatuhkan pemerintahan monarki Bani Hashim di Iraq yang disokong oleh kuasa imperialis British, dan menubuhkan Republik Iraq (1958-1968). Republik Iraq mengambil posisi berkecuali daripada pengaruh kedua-dua blok kuasa besar zaman Perang Dingin.

Perang Saudara Laos (1959-1975)

Pathet Lao, sebuah organisasi komunis yang mendapat sokongan daripada Parti Komunis Vietnam, berperang dengan Pemerintahan Di-Raja Lao yang disokongan oleh kuasa imperialis Barat untuk lebih 16 tahun. Pathet Lao mengalahkan kerajaan setiaraja Lao pada tahun 1975 dan menubuhkan Republik Demokratik Rakyat Lao.

Pemberontakan Tibet 1959

Pemberontakan orang Tibet meletus di Lhasa pada 10 Mac 1959, untuk menentang penguasaan Republik Rakyat China di wilayah itu. Pemberontakan ini dipatahkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat China dan menyebabkan Dalai Lama melarikan diri ke India.

Revolusi Rwanda (1959-1961)

Rusuhan etnik mula tercetus di Rwanda pada bulan November 1959, dengan dua kumpulan etnik utama di situ, Hutu dan Tutsi, menyerang sesama sendiri. Pergolakan yang hebat ini menyebabkan raja Tutsi melarikan diri, dan mewujudkan peralihan pentadbiran Rwanda daripada jajahan Belgium dengan monarki Tutsi kepada sebuah republik yang merdeka yang didominasi oleh kaum Hutu.

Mogok Pekerja Keluli Amerika Syarikat 1959

Ahli-ahli kesatuan pekerja United Steelworkers of America (USWA) melancarkan mogok yang berlarutan selama 116 hari (15 Julai – 7 November 1959) sehingga melumpuhkan industri keluli di seluruh Amerika Syarikat. Pencetus utama kepada mogok ini adalah pihak pengurusan syarikat keluli cuba mendesak pihak kesatuan untuk menggugurkan peruntukan kontrak yang mengehadkan keupayaan pihak pengurusan untuk mengubah jumlah pekerja yang ditugaskan sesuatu kerja atau memperkenalkan peraturan kerja atau mesin baharu yang akan mengurangkan jumlah jam atau bilangan pekerja. Hasil daripada mogok ini, kesatuan pekerja berjaya mengekalkan peruntukan kontrak kerja tersebut dan juga mendapat sedikit peningkatan gaji.

Revolusi April (1960)

Disebabkan kemarahan terhadap penyelewengan semasa Pilihanraya Presiden Korea Selatan pada bulan Mac 1960 yang membolehkan Syngman Rhee yang berkuasa sejak tahun 1948 menang untuk kali keempat, dan juga keganasan kerajaan pemerintahan kediktatoran Rhee terhadap golongan pembangkang, tercetusnya gerakan protes massa yang disertai oleh pelajar-pelajar dan pekerja-pekerja. Protes mula tercetus pada 11 April 1960 di Masan, selepas mayat seorang pelajar yang hilang semasa protes pada bulan Mac 1960 dijumpai. Protes ini kemudiannya merebak ke bandar Seoul, dengan kemuncak protes yang menyaksikan penyertaan 100,000 orang pada 19 April 1960. Rhee meletak jawatan sebagai Presiden pada 26 April 1960 dan melarikan diri ke Hawaii.

Mogok Umum Belgium 1960-61

Mogok besar-besaran tercetus pada 14 Disember 1960 dan berlarutan selama 6 minggu, dengan 1 juta orang pekerja Belgium mengambil bahagian dalamnya. Mogok umum ini dipanggil oleh Persekutuan Buruh Umum Belgium (ABVV/FGTB) untuk membantah tindakan Kerajaan Belgium yang memperkenalkan langkah-langkah pengurangan perbelanjaan sosial. Mogok ini pada asalnya melanda seluruh negara Belgium, tetapi kemudiannya lebih tertumpu aksinya di wilayah Wallonia, di mana tertumpunya sektor perindustrian berat. Hala tuju perjuangan aksi mogok ini mula berubah apabila pemimpin mogok di Wallonia mengemukakan tuntutan untuk autonomi politik dan ekonomi yang lebih besar untuk wilayah Wallonia. Ini membawa kepada pembentukan ideologi Renardisme (berasaskan pemikiran André Renard, pemimpin kesatuan sekerja semasa Mogok Umum) yang menghubungkan nasionalisme Wallonia dengan sindikalisme, dan meningkatkan lagi polarisasi antara penduduk wilayah Flanders dan Wallonia. Belgium kemudiannya berubah daripada sebuah negara unitari kepada negara persekutuan.

Perang Iraq-Kurdi Pertama (1961-1970)

Juga dikenali sebagai Pemberontakan Aylul. Parti Demokratik Kurdistan yang dipimpin oleh Mustafa Barzani melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Iraq sebagai usaha untuk menubuhkan sebuah pentadbiran Kurdi yang berautonomi di Utara Iraq. Berikutan peperangan ini menghadapi jalan buntu, rundingan damai diadakan dan mewujudkan Perjanjian Autonomi Iraq-Kurdi 1970.

Perang Kemerdekaan Angola (1961-1974)

Pemberontakan pekerja pertanian yang diupah oleh syarikat perladangan kapas Portugis-Belgium pada bulan Januari 1961 dipatahkan secara kejam oleh pihak berkuasa Portugis, disusuli dengan pemberontakan bersenjata di wilayah Afrika Barat Portugis, yang diterajui oleh beberapa kumpulan berbeza, termasuk Gerakan Rakyat untuk Pembebasan Angola (MPLA), Fron Pembebasan Nasional Angola (FNLA) dan Kesatuan Nasional untuk Pembebasan Penuh Angola (UNITA). Perang yang menyaksikan tentera Portugis berjaya mematahkan pemberontakan bersenjata ini tamat selepas “Revolusi Bunga Teluki” di Portugal pada tahun 1974, yang membawa kepada tindakan Portugal melepaskan tanah jajahannya di Afrika. Perjanjian Alvor pada 15 Januari 1975 antara Kerajaan Portugis dengan MPLA, FNLA dan UNITA mengiktiraf kemerdekaan Angola. Namun, Perang Saudara Angola (1975-2002) antara kumpulan-kumpulan gerila anti-kolonial menyusul sejurus selepas itu.

Mogok Pekerja Utusan Melayu (1961)

Pekerja-pekerja akhbar Utusan Melayu yang dipimpin oleh Said Zahari melancarkan mogok pada 20 Julai 1961 hingga 21 Oktober 1961, untuk membantah pengambilalihan akhbar yang bebas itu oleh parti pemerintah UMNO.

Perang Kemerdekaan Eritrea (1961-1991)

Fron Pembebasan Eritrea (ELF) yang dipimpin oleh Hamid Idris Awate (1910-1962) melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Ethiopia di situ pada 1 September 1961. ELF mengalami perpecahan dengan kumpulan pelampau kiri yang berpecah daripadanya dan membentuk Fron Pembebasan Rakyat Eritrea (EPLF). ELF dan EPLF bertempur sesama sendiri dalam Perang Saudara Eritrea Pertama (1972-1974), tetapi mencapai pendamaian pada tahun 1974 atas kehendak rakyat Eritrea untuk mengadakan operasi bersama menentang Ethiopia. ELF dan EPLF bertempur semula dalam Perang Saudara Eritrea Kedua (1980-1981), dengan ELF akhirnya ditewaskan. EPLF menewaskan tentera Ethiopia di Eritrea pada tahun 1991. Referendum kemerdekaan Eritrea diadakan pada tahun 1993, dengan 99.83% undian (lebih 1.1 juta undi) menyokong kemerdekaan Eritrea.

Revolusi Yaman Utara (1962)

Golongan revolusioner republikan di bawah kepimpinan Abdullah al-Sallal (1917-1994) yang mendapat inspirasi daripada ideologi nasionalis Arab yang dibawa oleh Gamal Abdel Nasser, melancarkan rampasan kuasa untuk menggulingkan Raja Muhammad al-Badr. Golongan pemberontak menguasai bandar Sana’a, dan menubuhkan Republik Arab Yaman (1962-1990). Peristiwa ini diikuti dengan Perang Saudara Yaman Utara (1962-1970) yang dimenangi oleh golongan republikan.

Pemberontakan Tuareg (1962-1964)

Masyarakat suku kaum Tuareg di Utara Mali memberontak tidak lama selepas Mali mencapai kemerdekaan daripada Perancis. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Mali dengan bantuan daripada Algeria dan Maghribi.

Pemberontakan Brunei (1962)

Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A. M. Azahari memenangi semua kerusi dalam pilihanraya majlis daerah Brunei pada bulan Ogos 1962, membolehkannya menguasai 16 kerusi dalam Majlis Mesyuarat Negara Brunei (iaitu dewan perundangan di Brunei) yang dipilih oleh majlis daerah. PRB bercadang untuk membawa usul dalam persidangan Majlis Mesyuarat Negara Brunei yang dijadualkan bermula pada 5 Disember 1962, untuk menyatakan bantahan terhadap pembentukan Malaysia, menyarankan penggabungan Sawarak dan Sabah dengan Brunei, dan menuntut kemerdekaan sepenuhnya daripada Britain. Namun, Sultan Omar Ali Saifuddien III menolak usul-usul tersebut dan menangguhkan pembukaan persidangan Majlis Mesyuarat Negara Brunei ke 19 Disember 1962. Berikutan perkembangan ini, Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang dibentuk oleh PRB melancarkan pemberontakan bersenjata pada 8 Disember 1962 dengan menyerang Seria di mana terletaknya kemudahan minyak milik Royal Dutch Shell. Pemberontakan ini dipatahkan tidak lama kemudian oleh tentera British. Sultan Brunei mengharamkan PRB pada 9 Disember 1962.

Mogok Pekerja Keretapi Tanah Melayu (1962-1963)

Kesatuan sekerja Railwaymen Union Of Malaya (RUM) melancarkan aksi mogok pada 23 Disember 1962, untuk menuntut pengiktirafan pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebagai kakitangan kerajaan, pengambilan pekerja harian sebagai pekerja bergaji bulanan dan kenaikan gaji. Seramai 14,000 orang pekerja Keretapi Tanah Melayu menyertai aksi mogok yang berlarutan selama 23 hari ini. Mogok ini berjaya mendesak pihak pentadbiran untuk menerima 90% tuntutan kesatuan pekerja.

Kudeta Syria 1963

Jawatankuasa Ketenteraan Parti Ba’ath Sosialis Arab Cawangan Wilayah Syria yang dipimpin oleh pegawai tentera nasionalis Arab seperti Mohammed Ziad al-Hariri (1930-   ), Muhammad Umran (1922-1972), Salah Jadid (1920-1993), Hafez al-Assad (1930-2000) dan sebagainya, melancarkan kudeta pada 8 Mac 1963, untuk menjatuhkan Kerajaan Syria pimpinan Nazim al-Qudsi dan memulakan pemerintahan Parti Ba’ath di Syria.

Pemberontakan Bale (1963-1970)

Masyarakat suku kaum Oromo dan Somali yang dipimpin oleh Waqo Gutu (1924-2006) melancarkan pemberontakan di wilayah Bale, Ethiopia, untuk menentang sistem feudal yang diamalkan oleh Kerajaan Ethiopia dan juga penerokaan tanah oleh orang Amhara di situ.

Perang Kemerdekaan Guinea-Bissau (1963-1974)

Parti Afrika untuk Kemerdekaan Guinea dan Tanjung Verde (PAIGC) di bawah kepimpinan Amílcar Cabral, yang mendapat sokongan daripada Kuba dan Kesatuan Soviet, melancarkan pemberontakan bersenjata di wilayah Guinea Portugis untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan Portugis. Tentera Portugis gagal mematahkan pemberontakan ini. PAIGC mengisytihar kemerdekaan Guinea-Bissau pada 24 September 1973. Kemerdekaan Guinea-Bissau diiktiraf oleh Portugal pada tahun 1974 selepas berlakunya Revolusi Bunga Teluki.

Demonstrasi di Iran 1963

Protes besar-besaran tercetus pada 5 Jun 1963 di bandar-bandar seperti Qom, Tehran, Shiraz, Mashhad dan Varamin, berikutan penangkapan Ayatollah Ruhollah Khomeini yang mengutuk pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlavi. Demonstrasi ini dipatahkan oleh polis dan tentera dalam tempoh beberapa hari.

Pemberontakan Dhofar (1963-1976)

Fron Pebebasan Dhofar (DLF) melancarkan pemberontakan bersenjata di wilayah Dhofar untuk menentang pemerintahan Kesultanan Muskat dan Oman, dengan tujuan menubuhkan sebuah negara yang merdeka daripada pemerintahan Sultan Oman dan menamatkan pengaruh British di rantau Teluk Parsi. DLF menukar namanya kepada Fron Popular untuk Pembebasan Teluk Arab yang Diduduki (PFLOAG) pada tahun 1968. Tentera pemberontak ditewaskan oleh Kerajaan Oman yang mendapat sokongan daripada Britain dan Iran.

Pemberontakan Simba (1963-1965)

Penyokong-penyokong Patrice Lumumba, Presiden pertama Republik Kongo yang dijatuhkan oleh Joseph Kasa-Vubu dan Joseph-Désiré Mobutu pada tahun 1960 dan kemudiannya dibunuh pada tahun 1961, melancarkan pemberontakan di bahagian Timur Kongo. Pemberontak Simba pada awalnya berjaya menawan sebahagian besar Timur Kongo dan mengisytiharkan penubuhan “republik rakyat” di Stanleyville, tetapi perjuangan ini dipatahkan oleh Kerajaan Kongo yang mendapat sokongan daripada kuasa-kuasa imperialis Blok Barat. Pada masa yang sama dengan Pemberontakan Simba, wilayah Tengah Kongo turut tercetusnya Pemberontakan Kwilu oleh penyokong Lumumba, tetapi juga dipatahkan oleh tentera kerajaan.

Revolusi Zanzibar (1964)

Parti Afro-Shirazi (ASP) bekerjasama dengan Parti Umma untuk melancarkan pemberontakan pada 12 Januari 1964 yang menjatuhkan pemerintahan Kesultanan Zanzibar, menamatkan kekuasaan kelas pemerintah orang Arab dan mendirikan Republik Rakyat Zanzibar. Republik Rakyat Zanzibar bergabung dengan Tanganyika untuk membentuk Republik Bersatu Tanganyika dan Zanzibar yang kemudiannya dikenali sebagai Republik Bersatu Tanzania.

Perang Kemerdekaan Mozambique (1964-1974)

Fron Pembebasan Mozambique (FRELIMO) yang dipimpin oleh Eduardo Mondlane (1920-1969) melancarkan perang gerila di wilayah Afrika Timur Portugis untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan Portugis. Peperangan ditamatkan selepas Revolusi Bunga Teluki di Portugal pada tahun 1974 dan Mozambique mencapai kemerdekaan pada 25 Jun 1975.

Perang Saudara Colombia (1964-   )

Tentera Pembebasan Nasional (ELN) dan Angkatan Tentera Revolusioner Colombia (FARC) masing-masing ditubuhkan dan melancarkan perjuangan gerila untuk menentang tentera Kerajaan Colombia yang menindas masyarakat miskin di negara itu. FARC dan Kerajaan Colombia pernah mencapai persetujuan pendamaian pada tahun 2016, tetapi perjuangan bersenjata disambung semula kerana pihak Kerajaan Colombia tidak mematuhi perjuangan damai.

Revolusi Oktober 1964

Penyerbuan polis terhadap seminar mengenai “Masalah Sudan Selatan” pada 20 Oktober 1964 di Universiti Khartoum, mencetuskan gerakan protes yang hebat. Mogok besar-besaran dan ketidakpatuhan sivil yang berleluasa di seluruh negara Sudan, memaksa Presiden Ibrahim Abboud memindahkan kuasa daripada pemerintahan tentera kepada kerajaan sivil peralihan dan kemudiannya meletak jawatan.

Gerakan Anti-Perang Bantah Penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam (1964-1973)

Gelombang protes anti-perang yang menentang penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam tercetus di Amerika Syarikat, bermula daripada aksi protes pelajar di kampus-kampus kolej. Aktivis-aktivis anti-perang di Amerika Syarikat menubuhkan “Jawatankuasa Mobilisasi Kebangsaan untuk Menamatkan Perang di Vietnam” pada tahun 1967, di mana gabungan aktivis anti-perang ini mengadakan beberapa aksi demonstrasi besar-besaran, seperti demonstrasi pada 15 April 1964, Perarakan menuju Pentagon pada 21 Oktober 1967 dan sebagainya. Gerakan anti-perang ini memangkinkan perkembangan fenomena “kontra-kebudayaan” pada tahun 1960-an yang mencabar golongan berkuasa. Gerakan anti-perang ini memainkan peranan penting dalam memberi tekanan kepada Kerajaan Amerika Syarikat yang akhirnya mengundurkan tentera dari Vietnam. Gerakan menentang penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam juga merebak di negara yang lain.

Perarakan Hari Menuntut Hak Asasi Manusia (1965)

Ahmad Boestamam, pemimpin utama Barisan Sosialis Rakyat Malaya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Februari 1963. Sempena ulangtahun ke-2 penahanan Boestamam, Barisan Sosialis menganjurkan aksi perarakan menuntut hak asasi manusia pada 13 Februari 1965 di Kuala Lumpur. Kerajaan Parti Perikatan pada masa itu bertindak balas dengan penangkapan besar-besaran terhadap pemimpin Barisan Sosialis.

Intifadah Mac (1965)

Aksi protes oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Tinggi Manama di Bahrain untuk membantah pemberhentian kerja ratusan pekerja Syarikat Petroleum Bahrain, dipatahkan oleh pihak tentera penjajah British, tetapi berita tentang penindasan terhadap pelajar-pelajar yang berprotes ini mencetuskan pemberontakan rakyat di Bahrain untuk menentang kolonialisme British di situ. Perjuangan kemerdekaan yang diterajui oleh Fron Pembebasan Nasional – Bahrain akhirnya membolehkan Bahrain mencapai kemerdekaan pada tahun 1971.

Perang Kemerdekaan Namibia (1966-1990)

Pertembungan antara anggota-anggota Pertubuhan Rakyat Afrika Barat Daya (SWAPO) dengan Polis Afrika Selatan pada 26 Ogos 1966 mencetuskan perang perjuangan rakyat Afrika Barat Daya untuk mencapai kemerdekaan daripada Afrika Selatan. Perang ini merupakan sebahagian daripada Perang Sempadan Afrika Selatan dan juga terikat rapat dengan Perang Saudara Angola (1975-2002). Perjanjian Triparti antara Angola, Kuba dan Afrika Selatan pada tahun 1988, menetapkan bahawa tentera Afrika Selatan berundur dari Namibia sementara tentera Kuba berundur dari Angola, kemudiannya dianjurkan pilihanraya Perhimpunan Perlembagaan Namibia pada tahun 1989 yang menyaksikan kemenangan SWAPO. Namibia mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 21 Mac 1990.

Pemberontakan FROLINAT (1966-1979)

Fron Pembebasan Nasional Chad (FROLINAT) melakukan pemberontakan bersenjata terhadap rejim pemerintahan Presiden François Tombalbaye yang bersifat autoritarian dan korup, mencetuskan Perang Saudara Chad. Tombalbaye digulingkan dan dibunuh dalam kudeta yang dilancarkan oleh pihak tentera pada tahun 1975. Pemimpin tentera Félix Malloum yang menggantikan Tombalbaye pula meletak jawatan pada tahun 1979, dan Kerajaan Peralihan Perpaduan Nasional (1979-1982) dibentuk.

Revolusi Kebudayaan China (1966-1976)

Mao Zedong melancarkan Revolusi Besar Kebudayaan Proletariat di Republik Rakyat China, sebagai usaha membasmi unsur-unsur birokratik, revisionis dan borjuis dalam Parti Komunis China dan masyarakat China melalui perjuangan kelas yang menyeluruh. Anak-anak muda dan golongan pekerja menubuhkan Pengawal Merah dan kumpulan pemberontak di seluruh negara untuk menjalankan revolusi. Namun, puak-puak yang berlainan dalam jawatankuasa revolusioner dan Parti Komunis China cuba merebut kuasa dalam proses ini, dan menimbulkan huru-hara sehingga seluruh negara berada di ambang perang saudara. Walaupun Mao sendiri mengisytiharkan Revolusi Kebudayaan tamat pada tahun 1969, tetapi fasa aktif revolusi diteruskan sehingga tahun 1971, apabila Lin Biao yang dituduh merancang untuk melakukan kudeta terhadap Mao mati dalam satu peristiwa penghempasan pesawat. Pemerintahan pusat kemudiannya dikuasai oleh Geng Berempat sehingga ia dijatuhkan pada tahun 1976.

Rusuhan Macau (1966)

Pada 15 November 1966, berlakunya konfrontasi antara demonstran dengan polis Macau apabila pihak berkuasa Macau cuba menghalang kerja pembinaan sebuah sekolah yang ditaja oleh golongan komunis China di Pulai Taipa. Berikutan peristiwa itu, tercetusnya protes menentang kerajaan penjajah Portugis di Macau. Arahan kerajaan penjajah untuk menangkap demonstran menyebabkan penentangan yang lebih hebat, sehingga tercetusnya rusuhan pada 3 Disember 1966. Kerajaan penjajah Portugis mengisytihar darurat dan mengerahkan polis untuk mematahkan demonstrasi. Oleh sebab tekanan daripada golongan peniaga di Macau dan kerajaan China, kerajaan penjajah Portugis bersetuju untuk menunaikan tuntutan demonstran dan memohon maaf atas tindakan keras polis. Peristiwa ini menjejaskan kekuasaan Portugis di Macau dan membawa kepada penguasaan Parti Komunis China secara de facto ke atas Macau.

Mogok Pekerja Ladang Asahan (1967)

Pekerja-pekerja di Ladang Asahan yang terletak di Melaka, Malaysia, mengadakan aksi mogok pada bulan Februari-Mei 1967, untuk membantah pemecatan beberapa orang pekerja yang menyertai kesatuan sekerja dan menggesa pihak pemilik ladang untuk mengiktiraf Kesatuan Pekerja-Pekerja Estet Malaya Bersatu (UMEWU). Pekerja-pekerja menganjurkan perarakan berjalan kaki sejauh 200 km dari Bukit Asahan ke Pejabat Perdana Menteri Malaysia di Kuala Lumpur. Pihak polis cuba menghalang perarakan tersebut dan melakukan tangkapan, namun pekerja-pekerja berarak akhirnya berjaya sampai di Pejabat Perdana Menteri di Kuala Lumpur pada 21 April 1967. Hasil daripada aksi mogok pekerja ini, pekerja-pekerja yang dipecat diambil semula, tetapi UMEWU masih tidak diiktiraf malah diharamkan oleh kerajaan.

Pemberontakan Naxalbari (1967)

Pemberontakan petani bersenjata di kampung Naxalbari, Darjeelling, Bengal Barat, India, pada bulan Mei 1967, walaupun dipatahkan secara ganas oleh polis, tetapi mencetuskan Gerakan Naxalbari yang diterajui oleh “Jawatankuasa Penyelarasan Revolusioner Komunis Seluruh India” (AICCCR), sebuah kumpulan kiri yang berpecah daripada Parti Komunis India (Marxis) [CPI(M)]. AICCCR yang dipimpin oleh Charu Majumdar dan Kanu Sanyal kemudiannya menubuhkan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) [CPI(ML)] pada tahun 1969.

Rusuhan Hong Kong 1967

Bermula dengan aksi perjuangan pekerja di sebuah kilang bunga buatan di San Po Kong, dengan pengaruh daripada Revolusi Kebudayaan China, konflik berkembang menjadi gelombang aksi demonstrasi besar-besaran menentang pemerintahan penjajah British di Hong Kong. Pertempuran ganas tercetus antara demonstran dengan polis Hong Kong. Polis menyerbu banyak markas demonstran yang pro-komunis dan menangkap pemimpin protes, sementara sekolah yang dikendalikan golongan komunis juga diarahkan tutup.

Long, Hot Summer of 1967

Gelombang rusuhan tercetus di Amerika Syarikat kerana ketidakpuasan hati rakyat, terutamanya golongan warga berkulit hitam, terhadap masalah kemiskinan dan pengangguran serta amalan rasisme yang sistematik dalam perniagaan dan kerajaan tempatan yang dikuasai oleh golongan warga berkulit putih. Hampir 160 rusuhan tercetus di Amerika Syarikat sepanjang musim panas tahun 1967, dengan rusuhan yang paling teruk berlaku di Newark dan Detroit.

Musim Bunga Prague (1968)

Pemimpin reformis Alexander Dubček yang dipilih sebagai Setiausaha Pertama Parti Komunis of Czechoslovakia (KSČ) pada 5 Januari 1968, melakukan cubaan pembaharuan yang memberikan hak kekebasan kepada warganegara Czechoslovakia dan menyahpusatkan kuasa pentadbiran. Namun, pembaharuan yang dibawa oleh Dubček tidak disokong oleh Kesatuan Soviet, malah Kesatuan Soviet menghantar tentera untuk menceroboh Czechoslovakia pada bulan Ogos 1968 dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Dubček. Pencerobohan tentera Kesatuan Soviet mendapat bantahan daripada rakyat Czechoslovakia yang inginkan pembaharuan.

Krisis Politik Poland 1968

Pelajar-pelajar dari Universiti Warsaw berarak untuk hak pelajar pada 8 Mac 1968, tetapi dipukul secara keras oleh pihak berkuasa. Ini mencetuskan gelombang protes di Poland. 20,000 orang pekerja dan pelajar berprotes di Gdansk pada 15 Mac 1968. Demonstran bertempur dengan pasukan keselamatan. Kerajaan Poland menutup semua universiti dan menangkap lebih 1,000 orang pelajar untuk mematahkan gelombang protes ini.

Rusuhan Pembunuhan Martin Luther King (1968)

Penembakan mati Martin Luther King Jr., pemimpin terkenal Gerakan Hak Sivil Amerika Syarikat, pada 4 April 1968 di Memphis, mencetuskan rusuhan di banyak buah bandar di seluruh negara Amerika Syarikat, termasuk Washington D.C., Detroit, Baltimore, Chicago, Pittsburgh, Wilmington, Louisville dan Bandar Kansas.

Protes Pelajar Universiti Columbia (1968)

Protes pelajar tercetus di Universiti Columbia, Bandaraya New York, Amerika Syarikat, untuk membantah penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam dan pembinaan gimnasium yang didakwa untuk tujuan pengasingan berdasarkan warna kulit. Pelajar-pelajar menduduki banyak bangunan di dalam university, tetapi disingkirkan secara ganas oleh pihak polis Bandaraya New York.

Gerakan 1968 di Itali

Pelajar-pelajar Itali menduduki universiti untuk mencabar kekuasaan kapitalis dan patriarki. Pelajar yang menduduki Universiti Sapienza Rom telah bertempur dengan polis pada 1 Mac 1968, dalam peristiwa yang dikenali sebagai “Pertempuran Valle Giulia”.

Gerakan Pelajar Jerman Barat

Pemberontakan pelajar Jerman Barat bermula pada tahun 1967 apabila seorang pelajar universiti yang bernama Benno Ohnesorg ditembak mati oleh polis semasa protes membantah lawatan Shah Iran Mohammad Reza Pahlavi ke Berlin Barat. Kemudiannya cubaan membunuh aktivis pelajar Jerman Barat, Rudi Dutschke, yang didakwa sebagai “musuh awam” oleh akhbar Bild-Zeitung, mencetuskan gelombang protes di seluruh Jerman Barat pada bulan April-Mei 1968. Pelajar yang marah dengan tindakan itu telah berprotes dan menyekat pengedaran akhbar Bild-Zeitung. Kerajaan Jerman Barat menggunakan kekerasan untuk mematahkan gelombang protes ini.

Protes Mei 68 di Perancis

Protes pelajar Perancis yang menuntut pembaharuan universiti, berkembang menjadi gelombang protes rakyat yang hebat untuk menentang pemerintahan Charles de Gaulle, Presiden Perancis pada masa itu. Tindakan keras terhadap pelajar yang memprotes mencetuskan mogok simpati daripada kesatuan-kesatuan pekerja. Banyak kilang diambilalih oleh pekerja yang bermogok. Charles de Gaulle terpaksa melarikan diri ke luar negara untuk sementara. Perjanjian Grenelle yang dibuat pada 27 Mei 1968 antara pihak kerajaan, pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja, membolehkan kenaikan gaji minimum yang signifikan (sebanyak 35%) untuk pekerja. Gelombang protes mereda selepas parlimen dibubarkan untuk pilihanraya yang diadakan pada bulan Jun 1968. Walaupun parti politik yang menyokong De Gaulle memang dalam pilihanraya parlimen, tetapi cadangan De Gaulle untuk meminda perlembagaan ditolak dalam referendum pada tahun 1969, sehingga De Gaulle terpaksa meletak jawatan sejurus selepas itu.

Perarakan Seratus Ribu (1968)

Puluhan ribu orang menyertai protes jalanan yang dianjurkan oleh gerakan pelajar di Rio de Janeiro pada 26 Jun 1968, untuk menyuarakan bantahan terhadap pemerintahan kediktatoran tentera di Brazil pada masa itu.

Gerakan Mexico 1968

Gelombang protes tercetus di Mexico, bermula pada bulan Julai 1968, dengan pelajar-pelajar bermobilisasi untuk menuntut perubahan masyarakat, seperti penghapusan amalan politik autoritarian dan pembebasan tahanan politik. Usaha perjuangan pelajar ini mendapat sokongan daripada golongan pekerja, petani, suri rumahtangga, intelek, artis dan guru. Polis dan tentera Mexico membunuh ratusan pelajar yang berprotes di Bandar Mexico pada 2 Oktober 1968 untuk mematahkan kebangkitan rakyat yang hebat ini.

Protes Persidangan Nasional Demokratik 1968

Semasa berlangsungnya Persidangan Nasional Parti Demokratik di Chicago, Amerika Syarikat, pada bulan Ogos 1968, puluhan ribu demonstran yang membantah Perang Vietnam mengadakan aksi bantahan dan bertempur dengan polis di jalanan.

Kudeta Peru 1968

Jeneral Juan Velasco Alvarado, Komander Tentera Peru, melancarkan satu kudeta pada 3 Oktober 1968, untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Fernando Belaúnde. Kerajaan tentera Velasco melaksanakan pembaharuan sosial dan ekonomi yang radikal dengan tujuan memberi keadilan kepada golongan miskin. Velasco dijatuhkan dalam satu kudeta tentera pada tahun 1975.

Gerakan 1968 di Pakistan

Gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh pelajar-pelajar dan pekerja-pekerja tercetus pada bulan Oktober 1968, dengan sokongan daripada masyarakat umum. Protes massa telah melanda kedua-dua bahagian Barat dan Timur negara Pakistan pada masa itu. Kebangkitan rakyat Pakistan yang hebat ini akhirnya menyebabkan pemimpin diktator, Ayub Khan, terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden Pakistan pada bulan Mac 1969.

Pemberontakan Agbekoya Parapo (1968-1969)

Pemberontakan golongan petani tercetus di Negeri Barat, Nigeria, untuk menuntut pengurangan cukai yang membebankan mereka. Kerajaan Nigeria cuba menggunakan kekerasan untuk mematahkan pemberontakan petani ini, tetapi golongan petani melawan balik secara ganas. Pemberontakan petani ini memaksa Kerajaan Nigeria bersetuju dengan tuntutan petani, termasuk menurunkan kadar cukai, menaikkan harga tanaman koko dan menaiktaraf jalan ke kampung.

The Troubles (1968-1998)

Penindasan terhadap Gerakan Hak Sivil golongan republikan yang kebanyakannya nasionalis Katolik, membawa kepada pemberontakan bersenjata oleh Tentera Republikan Ireland Sementara dan kumpulan separa tentera republikan Ireland yang lain terhadap pasukan keselamatan British di Ireland Utara. Golongan republikan juga bertempur dengan golongan Protestan yang mendukung penyatuan Ireland Utara dengan Britain. Konflik ini berlarutan selama 30 tahun sehingga pemeteraian Perjanjian Jumaat Suci pada tahun 1998.

Revolusi Kuasa Hitam (1968-1970)

Hasil daripada pengaruh Gerakan Hak Sivil di Amerika Syarikat, Gerakan Kuasa Hitam (Black Power) berkembang pesat di Trinidad dan Tobago, dengan berlakunya siri aksi protes yang mencabar kekuasan kerajaan pimpinan Perdana Menteri pada masa itu, Eric Williams. Gerakan ini memuncak apabila seorang demonstran dibunuh oleh polis pada bulan April 1970. Pekerja-pekerja bermogok untuk berprotes, dan adanya sebahagian anggota tentera memberontak. Kerajaan Williams mengisytihar darurat dan melakukan penangkapan terhadap pemimpin-pemimpin Gerakan Kuasa Hitam. Williams cuba memperkenalkan Akta Ketenteraman Awam yang menyekat kebebasan sivil, tetapi rang undang-undang tersebut ditarik balik selepas mendapat bantahan awam yang hebat.

Musim Luruh Panas (Autunno caldo) 1969-70

Satu gelombang mogok pekerja di kilang-kilang dan pusat-pusat industri di Utara Itali tercetus pada tahun 1969 dan 1970. Pekerja-pekerja yang bermogok menuntut gaji dan syarat kerja yang lebih baik. Pekerja-pekerja migran, pekerja-pekerja yang tidak berkesatuan dan golongan wanita telah mengambil kepimpinnan dalam mencabar susunan masyarakat lama di Itali pada masa itu.

Protes Poland 1970

Pengumuman Kerajaan Poland yang menaikkan harga makanan asas secara tiba-tiba, mencetuskan protes di bandar-bandar pesisir pantai Laut Baltik seperti Gdańsk, Gdynia, Elbląg, dan Szczecin, pada 14-19 Disember 1970. Tentera di bawah arahan Kerajaan Poland, menggunakan kekerasan untuk menggunakan kekerasan, termasuk melepaskan tembakan terhadap demonstran, untuk mematahkan gelombang protes ini. Władysław Gomułka terpaksa meletak jawatannya sebagai Setiausaha Pertama Parti Pekerja Bersatu Poland yang memerintah untuk meredakan ketegangan masyarakat pada masa itu. Beberapa minggu selepas itu, pada 10 Februari 1971, pekerja-pekerja tekstil di bandar Łódź mengadakan aksi mogok yang berjaya mendesak Kerajaan Poland untuk membatalkan keputusan menaikkan harga makanan.

Perang Pembebasan Bangladesh (1971)

Golongan nasionalis Bengal di Pakistan Timur bangkit menentang tindakan keras daripada pihak tentera Pakistan yang berpusat di Pakistan Barat sehingga mencetuskan perang kemerdekaan Bangladesh yang berlarutan selama 10 bulan. Tentera pemberontak “Mukti Bahini” (Pejuang Pembebasan) menerajui gerakan gerila menentang Pakistan Barat. Perang ini berakhir dengan penyerahan kalah tentera Pakistan Barat dan kemerdekaan Republik Rakyat Bangladesh.

Mogok Umum Quebec 1972

Fron bersama antara tiga organisasi kesatuan pekerja yang terbesar di wilayah Quebec, Kanada, melancarkan mogok pada 11 April 1972, dengan penyertaan lebih 210,000 orang pekerja sektor awam. Pekerja-pekerja menuntut kenaikan gaji yang bersesuaian dengan inflasi, jaminan kerja, hak bersuara mengenai keadaan kerja, gaji minimum 100 dolar Kanada seminggu dan gaji yang samarata. Aksi mogok memuncak dan merebak ke sektor-sektor lain selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap pemimpin kesatuan sekerja yang menganjurkan mogok. Pekerja-pekerja mengambilalih kawalan ke atas stesen radio, sementara memaksa suratkhabar yang anti-kesatuan untuk memberhentikan percetakan. Akhirnya, pendamaian dicapai melalui rundingan, dengan pihak kerajaan bersetuju untuk membebaskan pemimpin kesatuan sekerja yang dipenjarakan sementara kesatuan sekerja bersetuju untuk menyeru ahli-ahli mereka supaya kembali bekerja.

Kudeta di Benin (1972)

Mathieu Kérékou melancarkan rampasan kuasa tentera di Republik Dahomey pada 26 Oktober 1972 dan menjatuhkan sistem pemerintahan yang melibatkan sebuah majlis presiden tiga-orang yang berkuasa secara bergilir-gilir. Kérékou pada awalnya mengangkat fahaman nasionalis dengan mengatakan bahawa negara itu tidak mahu menyalin ideologi asing seperti kapitalisme, komunisme atau sosialisme. Namun, pada tahun 1974, Kérékou mengisytihar negaranya mengamalkan dasar Marxis di bawah penguasaan Majlis Tentera Revolusi (CMR), dan memiliknegarakan industri petroleum serta bank di negara itu, Pada 30 November 1975, Republik Dahomey dinamakan semula sebagai “Republik Rakyat Benin”.

Rotaka (1971-1972)

Gelombang protes petani dan pelajar melanda Republik Malagasy dari bulan April 1971 hingga Mei 1972, dengan tuntutan nasionalis untuk menghentikan pengaruh Perancis di negara itu. Pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap demonstran pada 13 Mei 1972. Beberapa hari kemudian, Presiden Philibert Tsiranana yang mengamalkan dasar anti-komunis mengumumkan perletakan jawatannya dan menyerahkan kuasa kepada pihak tentera. Krisis peralihan kuasa berakhir pada tahun 1975 apabila Didier Ratsiraka dipilih oleh Direktorat Tentera Kebangsaan sebagai Presiden Majlis Revolusioner Tertinggi yang kemudiannya menubuhkan Republik Demokratik Madagascar.

Mogok Umum Uruguay 1973

Kesatuan berhaluan kiri Convención Nacional de Trabajadores (CNT) melancarkan mogok umum selepas kudeta oleh Presiden Juan María Bordaberry yang membubarkan parlimen dan melaksanakan pemerintahan kediktatoran dengan sokongan jeneral tentera pada 27 Jun 1973. Pekerja-pekerja yang bermogok menduduki kilang-kilang di seluruh negara, sementara pelabuhan-pelabuhan, bank-bank dan kedai-kedai ditutup. Mogok yang berlarutat selama 15 hari ini dipatahkan oleh Kerajaan Uruguay yang bertindak mengharamkan kesatuan sekerja dan memenjarakan ramai pemimpin kesatuan sekerja.

Kudeta Afghanistan 1973

Mohammad Daud Khan melancarkan kudeta untuk menjatuhkan pemerintahan Raja Mohammed Zahir Shah pada 17 Julai 1973, dan menubuhkan Republik Afghanistan. Kudeta yang tiada pertumpahan darah ini disokong oleh pegawai-pegawai tentera berhaluan kiri dan anggota puak “Parcham” Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA). 

Kebangkitan Rakyat Thailand 1973

Rakyat Thailand bangkit dalam gerakan demokrasi yang diterajui oleh pelajar-pelajar yang berhaluan kiri. Tindakan keras oleh pihak berkuasa pada 14 Oktober 1973 di Bangkok menyebabkan 77 orang mati dan 857 orang cedera. Kebangkitan rakyat yang hebat ini berjaya menjatuhkan pemerintahan diktator Thanom Kittikachorn yang anti-komunis, dan mewujudkan era demokrasi yang hanya bertahan selama 3 tahun.

Pemberontakan Politeknik Athens (1973)

Pelajar-pelajar di Universiti Politeknik Athens, Greece, melancarkan mogok pada 14 November 1973 untuk berprotes melawan rejim pemerintahan tentera yang berkuasa sejak tahun 1967. Ribuan orang rakyat di Athens turun menyokong aksi protes pelajar ini dan berkembang menjadi demonstrasi besar-besaran. Rejim tentera menggunakan keganasan untuk mematahkan protes, termasuk mengerahkan kereta kebal tentera untuk menyerbu Politeknik Athens pada 17 November 1973. Walaupun kebangkitan pelajar di Politeknik Athens ini dipatahkan, tetapi ia mencetuskan proses pergolakan politik yang akhirnya menjatuhkan rejim pemerintahan kediktatoran tentera pada tahun 1974.

Revolusi Bunga Teluki (1974)

Sekumpulan pegawai tentera berpangkat rendah melancarkan kudeta di Portugal pada 25 April 1974, dan disokong oleh ramai warga Portugis yang bangkit secara spontan. Revolusi ini menjatuhkan pemerintahan “Estado Novo” yang autoritarian, menamatkan Perang Kolonial Portugis (1961-1974) (yang membawa kepada kemerdekaan Angola, Cape Verde, Mozambique, São Tomé dan Príncipe, dan Timor-Leste), dan memulakan proses transisi ke demokrasi di Portugal.

Revolusi Ethiopia 1974

Golongan komunis Ethiopia yang disokong oleh Kesatuan Soviet melancarkan rampasan kuasa dan menjatuhkan pemerintahan Maharaja Haile Selassie pada 12 September 1974. Majlis Tentera Sementara (Derg) mengambilalih kuasa dan menubuhkan sebuah negara pemerintahan satu-parti pada tahun 1975.

Perang Sahara Barat (1975-1991)

Selepas Kerajaan Sepanyol berundur dari Sahara Barat pada tahun 1975 untuk memindahkan kawalan pentadbiran wilayah tersebut kepada Maghribi dan Mauritania, Kerajaan Maghribi cuba menduduki wilayah Sahara Barat dengan mengerahkan tentera ke situ, tetapi mendapat tentangan daripada Fron Polisario yang memperjuangkan kemerdekaan Sahara Barat sejak penubuhannya pada tahun 1973. Fron Polisario mengisytihar penubuhan Republik Demokratik Arab Sahrawi (SADR) pada 27 Februari 1976 dan melancarkan perang gerila untuk menentang Maghribi dan Mauritania. Kerajaan Mauritania menarik diri daripada perang selepas menandatangani satu perjanjian pendamaian dengan Fron Polisario pada tahun 1979. Perang antara Fron Polisario dengan Maghribi berlarutan sehingga satu perjanjian gencatan senjata ditandatangani pada tahun 1991.

Mogok Wanita Iceland 1975

Golongan wanita di Iceland melancarkan mogok pada 24 Oktober 1975 untuk mengentengahkan isu kerja wanita yang amat diperlukan dalam ekonomi dan masyarakat, di samping memprotes terhadap perbezaan gaji dan amalan pekerjaan yang tidak adil mengikut gender. 90% penduduk wanita di Iceland mengambil bahagian dalam aksi mogok ini, dengan tidak pergi bekerja dan tidak melakukan apa-apa kerja rumah atau penjagaan kanak-kanak. 25,000 orang wanita berhimpun di Reykjavik pada hari itu. Aksi mogok ini membawa kepada kelulusan undang-undang dalam Parlimen Iceland pada tahun 1976 yang menjamin gaji samarata.

Peristiwa Tiananmen (1976)

Pada 5 April 1976, ramai orang awam berhimpun di Dataran Tiananmen, Beijing, China, untuk memperingati Zhou Enlai, Perdana Menteri China yang meninggal dunia pada awal tahun itu, di samping menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap “Geng Berempat” yang berkuasa pada masa itu. Pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan rakyat yang berhimpun di Tiananmen. Peristiwa ini menjadi pemangkin kepada rampasan kuasa dalam kerajaan pusat China yang menjatuhkan Geng Berempat pada bulan Oktober 1976.

Peristiwa 6 Oktober 1976

Ribuan pelajar berprotes membantah kepulangan bekas pemerintah diktator, Thanom Kittikachorn, yang kembali ke negara Thailand pada bulan September 1976. Pada 6 Oktober 1976, pasukan polis dan kumpulan separa tentera yang berhaluan kanan melancarkan serangan keganasan terhadap pelajar-pelajar di Universiti Thammasat, dengan lebih 100 orang dibunuh. Pihak tentera melancarkan kudeta pada hari yang sama untuk menjatuhkan kerajaan demokratik dan mendirikan semula kerajaan diktator yang berhaluan ultra-kanan.

Mogok Umum Saint John 1976

Kongres Buruh Kanada menyeru untuk mengadakan protes sehari pada 14 Oktober 1976, untuk membantah pendekatan Kerajaan Kanada yang mengehadkan peningkatan gaji pekerja. Pekerja-pekerja di bandar Saint John mengambil tindakan yang lebih ke hadapan lagi dengan mengadakan aksi mogok umum sehari.

Rusuhan Roti Mesir 1977

Ratusan ribu rakyat Mesir berprotes di bandar-bandar utama di negara itu untuk membantah dasar kerajaan Mesir yang membatalkan subsidi ke atas makanan asas (sehingga menyebabkan kenaikan harga makanan sebanyak 50%) atas arahan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang meminjam wang kepada Kerajaan Mesir pada masa itu. Seramai 70 orang terbunuh dalam rusuhan, sementara lebih 550 orang cedera, dan lebih 1,000 orang ditahan. Kerajaan Mesir menarik balik dasar baharu itu tidak lama kemudian.

Revolusi Saur (1978)

Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA) yang disokong oleh Kesatuan Soviet melancarkan kudeta pada 27-28 April 1978, menjatuhkan pemerintahan Presiden Mohammed Daoud Khan dan menubuhkan Republik Demokratik Afghanistan. Krisis politik yang timbul berikutan peristiwa kudeta ini membawa kepada campurtangan tentera Kesatuan Soviet di Afghanistan dan tercetusnya Perang Soviet-Afghanistan (1979-1989).

Revolusi Iran (1978-1979)

Gelombang protes yang hebat tercetus mulai bulan Januari 1978, melibatkan aksi demontrasi, mogok dan ketidakpatuhan sivil yang disertai oleh golongan masyarakat yang merentasi spektrum politik (termasuk golongan kiri dan Islamis), untuk menentang pemerintahan Shah Mohammad Reza Pahlavi yang mengamalkan dasar pro-Barat dan liberalisasi ekonomi. Seluruh negara Iran dilumpuhkan oleh aksi protes dan mogok besar-besaran pada bulan Ogos hingga Disember 1978. Gelombang kebangkitan rakyat yang hebat ini ahkirnya memaksa Shah Mohammad Reza meninggalkan Iran pada bulan Januari 1979. Revolusi ini menjatuhkan pemerintahan monarki Dinasti Pahlavi dan kemudiannya membawa kepada pembentukan Republik Islam Iran di bawah pemerintahan Ayatollah Ruhollah Khomeini, seorang pemimpin daripada salah satu puak dalam kalangan gerakan revolusi di Iran pada masa itu.

Revolusi Nicaragua (1978-1990)

Aksi protes dan mogok tercetus di Nicaragua pada awal tahun 1978 untuk menentang pemerintahan kediktatoran Presiden Anastasio Somoza Debayle. Fron Pembebasan Nasional Sandinista (FSLN) yang ditubuhkan sejak tahun 1961, melancarkan serangan bersenjata pada bulan Ogos 1978, dan tentera FSLN menguasai hampir seluruh negara Nicaragua dalam tempoh beberapa bulan. Somoza meletak jawatan sebagai Presiden Nicaragua pada 17 Julai 1979 dan FSLN memasuki Managua, ibu negara Nicaragua. Kerajaan baharu FSLN terpaksa berperang dengan Contras, kumpulan bersenjata berhaluan kanan yang disokong oleh Amerika Syarikat. Kerajaan FSLN melaksanakan pembaharuan menuju ekonomi campuran, melibatkan pengambilalihan harta milik keluarga Somoza dan sekutunya, reformasi tanah, dan revolusi kebudayaan. FSLN hilang kuasa selepas tewas dalam pilihanraya umum pada tahun 1990.

Pemberontakan Gerakan New JEWEL (1979)

Gerakan “New Joint Endeavor for Welfare, Education, and Liberation” (New JEWEL) yang dipimpin oleh Maurice Bishop melancarkan pemberontakan bersenjata dan menjatuhkan Kerajaan Grenada yang dipimpin oleh Eric Gairy pada masa itu. Kerajaan Revolusioner Rakyat ditubuhkan dan bertahan sehingga ia dijatuhkan dalam pencerobohan Amerika Syarikat pada tahun 1983.

Perang Saudara El Salvador (1979-1992)

Rampasan kuasa tentera yang disokong oleh Amerika Syarikat pada 15 Oktober 1979 di El Salvador, mencetuskan gelombang protes anti-kudeta tetapi dipatahkan secara kejam oleh rejim kediktatoran tentera. Ini diikuti dengan pemberontakan bersenjata oleh golongan berhaluan kiri. Fron Pembebasan Nasional Farabundo Martí (FMLN) yang ditubuhkan pada tahun 1980, merupakan kumpulan gerila yang utama dalam perjuangan menentang kerajaan tentera yang disokong oleh Amerika Syarikat. Perang saudara ini tamat selepas penandatanganan Perjanjian Damai Chapultepec pada tahun 1992 yang melibatkan penstrukturan semula tentera El Salvador dan pelucutan senjata pasukan gerila FMLN. FMLN bertukar menjadi parti politik sivil dan mengambil bahagian dalam pilihanraya El Salvador sejak tahun 1994. 

Pemberontakan Majlis Sosialis Kebangsaan Nagaland (1980-1997)

Majlis Sosialis Kebangsaan Nagaland (NSCN) ditubuhkan pada 31 Januari 1980, di bawah kepimpinan Isak Chisi Swu, Thuingaleng Muivah dan SS Khaplang, membantah Perjanjian Shillong yang ditandatangani antara Majlis Kebangsaan Naga dengan Kerajaan India. NSCN melancarkan perjuangan bersenjata untuk menamatkan pemerintahan India terhadap masyarakat Naga dan menubuhkan Republik Rakyat Naga. NSCN berpecah kepada dua puak pada tahun 1988 dan bertempur sesama sendiri. Satu perjanjian gencatan senjata dicapai pada tahun 1997 antara NSCN dengan Kerajaan India.

Konflik Dalaman Peru (1980-2002)

Apabila kerajaan tentera Peru membenarkan pilihanraya pada tahun 1980, Parti Komunis Peru – Jalan Bersinar (PCP-SL) yang menolak untuk menyertainya, melancarkan pemberontakan bersenjata pada 17 Mei 1980. Satu lagi kumpulan pemberontak berhaluan kiri, Gerakan Revolusioner Túpac Amaru (MRTA), melancarkan perjuangan gerila yang berasingan untuk menentang Kerajaan Peru pada 31 Mei 1982. PCP-SL mengalami kemerosotan hebat selepas pemimpin utamanya, Abimael Guzmán, ditangkap pada tahun 1992, tetapi masih meneruskan pemberontakan bertahap rendah. MRTA pula ditewaskan sepenuhnya selepas peristiwa Krisis Tebusan Kedutaan Jepun di Lima pada tahun 1997. 

Pemberontakan Gwangju (1980)

Tindakan kerajaan diktator Chun Doo-hwan untuk memperkukuhkan kuasanya dengan cara memperketatkan undang-undang darurat, mengharamkan semua aktiviti politik, menyekat kebebasan akhbar dan menangkap aktivis-aktivis pembangkang, mencetuskan kebangkitan rakyat secara spontan di bandar Gwangju dan wilayah Jeolla Selatan, Korea Selatan, pada 18 hingga 27 Mei 1980. Kerajaan Chun Doo-hwan mengerahkan tentera untuk mematahkan demonstrasi secara kejam. Demonstran pernah menduduki bandar Gwangju untuk beberapa hari, tetapi ditewaskan oleh pihak tentera yang menggunakan kekerasan yang hebat.

Mogok Limbungan Kapal Gdańsk 1980

Pembuangan kerja Anna Walentynowicz, seorang pekerja di Limbungan Kapal Gdańsk, Poland, dengan alasan penyertaannya dalam kesatuan sekerja yang haram, mencetuskan aksi mogok di limbungan kapal itu pada 14 Ogos 1980. Ini diikuti dengan aksi mogok solidariti di tempat kerja yang lain, sehingga membawa kepada pembentukan “Solidarność”, kesatuan sekerja bebas yang pertama diiktiraf oleh kerajaan parti komunis di negara anggota Pakatan Warsaw, selepas Perjanjian Gdańsk yang ditandatangani pada 31 Ogos 1980. Solidarność yang dipimpin oleh Lech Wałęsa kemudiannya memainkan peranan penting dalam menamatkan pemerintahan satu-parti di Poland.

Diretas Já (1983-1984)

Proses rundingan transisi daripada pemerintahan rejim ketenteraan ke demokrasi di Brazil dimulakan pada penghujung tahun 1970-an. Siri demonstrasi jalanan tercetus di bandar-bandar utama negara Brazil sepanjang tempoh tahun 1983 dan 1984, akhirnya membawa kepada Pilihanraya Presiden secara tidak langsung oleh badan perwakilan pemilih yang dimenangi oleh pembangkang pada tahun 1984. Brazil kembali kepada demokrasi secara rasminya selepas Perlembagaan baharu diluluskan pada tahun 1988.

Kudeta Volta Hulu (1983)

Presiden Jean-Baptiste Ouédraogo yang berkuasa di Republik Volta Hulu selepas satu kudeta pada bulan November 1982, melucutkan jawatan Perdana Menteri yang dipegang oleh Thomas Sankara (hanya untuk 4 bulan) pada bulan Mei 1983. Penyingkiran Thomas Sankara yang cuba mendesak pelaksanaan pembaharuan yang lebih progresif ini, telah mencetuskan protes besar-besaran. Ouédraogo dijatuhkan pada 3 Ogos 1983 dalam satu kudeta yang diketuai oleh Blaise Compaoré, dan Thomas Sankara diangkat sebagai Presiden. Republik Volta Hulu ditukar nama kepada Burkino Faso pada tahun 1984. Thomas Sankara melaksanakan dasar anti-imperialis dan pembaharuan sosial yang berhaluan kiri, tetapi dia dibunuh dalam satu kudeta pada 15 Oktober 1987 yang dianjurkan juga oleh Blaise Compaoré untuk membuang dasar haluan kirinya.

Perang Saudara Sri Lanka (1983-2009)

Berikutan siri peristiwa penganiayaan terhadap masyarakat minoriti Tamil oleh golongan chauvinis Sinhala, kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) melancarkan pemberontakan pada tahun 1983 untuk memperjuangkan sebuah negara Tamil Eelam yang merdeka di wilayah Utara dan Timur negara pulau Sri Lanka. LTTE menggunakan kaedah perang konvensional, perang gerila dan serangan keganasan. Namun, LTTE akhirnya ditewaskan secara ketenteraan oleh Kerajaan Sri Lanka pada tahun 2009 dengan pemimpin LTTE, Velupillai Prabhakaran, turut terbunuh dalam pertempuran. Peperangan yang berlarutan selama 26 tahun ini dianggar meragut nyawa sebanyak 80,000-100,000 orang, sementara 800,000 orang menjadi pelarian.

Mogok Umum Uruguay 1984

Gabungan kesatuan buruh “Plenario Intersindical de Trabajadores” (PIT) menganjurkan mogok umum 24-jam pada 18 Januari 1984, untuk menuntut peningkatan gaji, hak kesatuan bagi pekerja-pekerja sektor awam, pembebasan tahanan politik dan kebebasan demokratik. Mogok ini melumpuhkan ibu negara Uruguay, Montevideo. Mogok umum ini telah memberi tekanan kepada kerajaan tentera yang berkuasa sejak tahun 1973 untuk memulakan rundingan peralihan kuasa kembali kepada pemerintahan demokratik. Pilihanraya umum yang pertama selepas rampasan kuasa tentera 1973 diadakan pada 25 November 1984, menandakan transisi pemerintahan kembali kepada demokrasi.

Mogok Pekerja Lombong UK (1984-1985)

Kesatuan Nasional Pekerja-pekerja Lombong (NUM) Britain mengadakan mogok besar-besaran dari 6 Mac 1984 hingga 3 Mac 1985, untuk mencegah penutupan lombong arang batu yang dianggap tidak menguntungkan bagi Lembaga Arang Batu Kebangsaan (NCB). Kerajaan Britain menggunakan kekerasan untuk mematahkan mogok pekerja ini sehingga mencetuskan insiden konfrontasi di Orgreave, Yorkshire Selatan, pada 18 Jun 1984. Mahkamah memutuskan bahawa mogok pekerja lombong ini haram pada bulan September 1984, dengan alasan NUM tidak mengadakan pengundian nasional untuk mogok ini. Kegagalan mogok ini menyebabkan gerakan kesatuan sekerja di Britain dilemahkan dengan signifikannya.

Pemberontakan Kanak (1984-1985)

Fron Kemerdekaan yang memperjuangkan kemerdekaan orang Kanak daripada penjajahan Perancis di New Caledonia memberontak pada bulan Mac 1984, dengan menduduki ladang-ladang di situ. Fron Pembebasan Nasional Kanak dan Sosialis (FLNKS) ditubuhkan pada bulan September 1984. FLNKS memboikot pilihanraya yang diadakan pada bulan November 1984, menduduki pekan Thio di Wilayah Selatan, dan mengisytihar penubuhan kerajaan sementara Republik Sosialis Kanak. Thio ditawan semula pada bulan Januari 1985 dan Éloi Machoro, pemimpin utama FLNKS, turut dibunuh.

Gerakan Demokratik Haiti (1984-1986)

Protes rakyat mula tercetus di bandar Gonaïves pada 23 Mei 1984, untuk menentang pemerintahan kediktatoran Presiden Jean-Claude Duvalier yang mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat. Protes ini dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa tetapi terus merebak tidak lama kemudian ke ibu negara Haiti, Port-au-Prince, dan juga bandar-bandar yang lain. Referendum Perlembagaan Haiti pada bulan Julai 1985 yang bertujuan untuk memperkukuhkan kekuasaan Duvalier mencetuskan lagi kemarahan rakyat dan berlakunya demonstrasi yang lebih hebat. Gelombang protes besar-besaran yang berlarutan untuk beberapa bulan, akhirnya menyebabkan pihak tentera Haiti memaksa Jean-Claude Duvalier untuk meletak jawatan dan meninggalkan negara itu. Ini sekali gus menamatkan rejim Dinasti Duvalier (1957-1986) di Haiti. Kerajaan tentera sementara yang mengambilalih kuasa memperkenalkan perlembagaan baharu yang demokratik pada tahun 1987 yang mendapat sokongan rakyat, mewujudkan parlimen dwidewan, Presiden yang dipilih, dan kerajaan serta mahkamah agung yang dilantik oleh Presiden dengan persetujuan parlimen.

Pemberontakan Kurdi (1984-1999)

Parti Pekerja Kurdistan (PKK) melancarkan pemberontakan terhadap Kerajaan Turki untuk melawan penindasan terhadap masyarakat Kurdi di situ, bermula dengan serangan bersenjata di Eruh dan Şemdinli pada 15 Ogos 1984. PKK yang dipimpin oleh Abdullah Öcalan, Kemal Pir, Cemîl Bayik dan Mazlum Doğan, memperjuangkan autonomi untuk masyarakat Kurdi. PKK mengumumkan gencatan senjata unilateral pada bulan Mac 1993 dengan hasrat merundingkan pendamaian, tetapi konflik bersenjata bersambung dua bulan kemudian. Satu lagi gencatan senjata diumumkan pada bulan Disember 1995, dan pertempuran bersambung semula pada bulan Ogos 1996. Abdullah Öcalan ditangkap di Nairobi, Kenya, oleh Badan Perisikan Negara Turki (MİT) pada bulan 1999 dan dibawa balik untuk dipenjarakan di Turki sejak itu. Penangkapan Abdullah Öcalan mencetuskan protes besar-besaran di Turki dan banyak tempat seluruh dunia pada masa itu. PKK mengisytihar gencatan senjata pada bulan September 1999, berundur ke kawasan pergunungan Qandil di Kurdistan Iraq, dan kemudiannya mengisytihar pada bulan Februari 2000 mengenai perubahan kepada strategi perjuangan yang menggunakan kaedah aman untuk mencapai objektifnya. Namun begitu, aktiviti pemberontakan bersenjata bersambung lagi pada tahun 2004 hingga 2012. Proses pendamaian PKK-Turki diadakan pada tahun 2013-2015 menemui kegagalan dengan konflik berterusan lagi.

Revolusi Kuasa Rakyat (1986)

Undang-undang darurat yang diperkenalkan oleh Presiden Ferninand Marcos sejak tahun 1972, korupsi kerajaan, pembunuhan pemimpin pembangkang Benigno “Ninoy” Aquino Jr., dan Pilihanraya Presiden Filipina pada 7 Februari 1986 yang penuh dengan kepincangan, akhirnya mencetuskan demonstrasi besar-besaran pada 22-25 Februari 1986, dengan lebih 2 juta orang berprotes di Metro Manila. Protes ini membawa kepada pemberontakan tentera dan Marcos melarikan ke Hawaii. Kebangkitan rakyat Filipina yang juga digelar sebagai Revolusi EDSA (Jalan Raya Epifanio de los Santos di Metro Manila yang menjadi tempat untuk rakyat berprotes pada masa itu) ini, menjatuhkan rejim pemerintahan diktator Marcos selama 20 tahun dan memulihkan demokrasi di Filipina.

Gerakan Demokrasi Jun (1987)

Gelombang protes jalanan yang menuntut demokrasi tercetus di Korea Selatan pada 10-29 Jun 1987. Oleh sebab tidak menginginkan peristiwa keganasan berlaku sebelum Sukan Olimpik yang bakal diadakan pada tahun berikutnya, pihak pemerintah tentera dan calon Pilihanraya Presiden daripada parti pemerintah, Roh Tae-woo, berjanji dalam “Deklarasi 29 Jun” bahawa akan meminda Perlembagaan untuk membolehkan pilihanraya presiden secara langsung dan melaksanakan beberapa langkah pembaharuan demokrasi yang memulihkan kebebasan rakyat. Proses pendemokrasian ini melahirkan Republik Keenam Korea Selatan.

Intifadah Pertama (1987-1993)

Pemberontakan rakyat Palestin mula tercetus pada 9 Disember 1987 di kem pelarian Jabalia selepas satu insiden pelanggaran trak tentera Israel dengan sebuah kereta yang membawa pekerja Palestin. Rakyat Palestin melawan pendudukan tentera Israel di Tebing Barat dan Gaza, dengan mengadakan aksi protes jalanan, ketidakpatuhan sivil, serangan dengan lontaran batu dan bom api botol, pemboikotan terhadap institusi pentadbiran Israel, pemboikotan ekonomi, dan sebagainya. Intifadah Pertama berterusan sehingga tercapainya Perjanjian Oslo antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Kerajaan Israel pada tahun 1993, yang membawa kepada penubuhan Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 1994.

Mogok Poland 1988

Gelombang mogok pekerja dan demonstrasi jalanan yang hebat tercetus pada 21 April 1988, dan berlarutan sehingga bulan September 1988. Aksi-aksi protes pekerja ini memaksa Kerajaan Parti Pekerja Bersatu Poland mengadakan rundingan dengan Solidarność yang diharamkan sejak tahun 1982. Rundingan meja bulat pada tahun 1989 membawa kepada pilihanraya yang semi-bebas dan kemudiannya menamatkan pemerintahan satu-parti di Poland.

Rendszerváltás (1988-1989)

Krisis ekonomi di Hungary menyebabkan gelombang demonstrasi yang memaksa János Kádár yang berkuasa sebagai pemimpin tertinggi di negara itu sejak tahun 1956 untuk bersara pada bulan Mei 1988. Golongan pembaharu yang mengambilalih kuasa dalam parti pemerintah, Parti Pekerja Sosialis Hungary (MSzMP), mengadakan rundingan meja bulat dengan kumpulan pembangkang pada tahun 1989, seperti yang dilakukan di Poland, yang akhirnya menamatkan pemerintahan satu-parti MSzMP dan mewujudkan demokrasi berperlembagaan multi-parti di Hungary.

Revolusi Bernyanyi (1988-1991)

Demonstrasi menyanyikan lagu patriotik secara spontan tercetus di Tapak Pesta Lagu Tallinn, Estonia, pada bulan Jun 1988. Pada 23 Ogos 1989, lebih kurang 2 juta orang rakyat Estonia, Latvia dan Lithuania menyertai aksi protes aman “Jalur Baltik”, dengan berpegang tangan membentuk rantai manusia sepanjang 675.5 km yang merentasi ketiga-tiga buah negara Baltik itu. Gelombang protes ini akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara Estonia, Latvia dan Lithuania daripada pendudukan Kesatuan Soviet. Lithuania menjadi republik anggota Kesatuan Soviet yang paling awal mengisytihar kemerdekaan, selepas kemenangan calon-calon pro-kemerdekaan dalam Pilihanraya Soviet Tertinggi Lithuania pada bulan Mac 1990, diikuti dengan Latvia pada bulan Mei 1990 dan Estonia pada bulan Ogos 1991. Kesatuan Soviet pernah cuba mengerahkan tentera ke Lithuania dan Latvia pada bulan Januari 1991 untuk mematahkan usaha kemerdekaan negara-negara Baltik itu tetapi gagal dan berundur tidak lama kemudian.

Pemberontakan 8888 (1988)

Gerakan protes massa yang dimulakan oleh pelajar-pelajar di Yangon untuk menuntut demokrasi tercetus pada 8 Ogos 1988, dan merebak ke seluruh negara Myanmar. Ratusan ribu rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berprotes kerana tidak berpuas hati dengan masalah ekonomi, korupsi dan sekatan ruang demokrasi di bawah pemerintahan tentera. Pihak tentera melancarkan rampasan kuasa berdarah melalui pembentukan “Majlis Pemulihan Undang-undang dan Perintah Negara” (SLORC), dengan mengisytihar darurat dan mengambil tindakan keras yang membunuh ribuan orang yang berprotes terhadap kerajaan untuk mematahkan pemberontakan demokratik ini.

Mogok Umum Sepanyol 1988

Dua kesatuan sekerja utama di Sepanyol, Comisiones Obreras (CCOO) dan Unión General de Trabajadores (UGT), menganjurkan aksi mogok umum pada 14 Disember 1988 yang melumpuhkan seluruh negara Sepanyol selama 24 jam. Mogok tersebut berjaya mendesak Kerajaan Sepanyol untuk berunding dengan kesatuan sekerja, di mana rancangan untuk memperkenalkan kontrak yang lebih fleksibel dibatalkan dan kebajikan sosial ditingkatkan.

Caracazo (1989)

Pelaksanaan program pembaharuan ekonomi oleh Presiden Venezuela, Carlos Andrés Pérez, atas cadangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang termasuk langkah mengurangkan subsidi petrol yang menyebabkan kenaikan hebat harga bahan api dan tambang pengangkutan awam, mencetuskan gelombang protes dan rusuhan. Bermula di bandar Guarenas pada 27 Februari 1989, protes merebak dengan cepat ke bandaraya Caracas dan bandar-bandar yang lain. Protes ini berlarutan lebih seminggu dan melibatkan pertempuran jalanan yang hebat dengan anggaran lebih 2,000 orang terbunuh.

Gerakan Demokrasi China 1989

Aktiviti memperingati Hu Yaobang, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis China, yang baru meninggal dunia pada bulan April 1989, berkembang menjadi gelombang protes yang mengemukakan tuntutan seperti melawan rasuah, menentang birokrat yang menyeleweng, menghapuskan nepotisme, menambahkan peruntukan untuk pendidikan, memansuhkan sekatan terhadap kebebasan akhbar, pilihanraya demokratik untuk sebahagian pemimpin dan sebagainya. Gerakan yang mula-mulanya diterajui oleh pelajar-pelajar di Beijing ini kemudiannya disertai oleh rakyat China daripada pelbagai lapisan yang membanjiri Dataran Tianamen di Beijing. Gerakan protes hebat yang berlarutan selama 7 minggu ini berakhir dengan Kerajaan Pusat China mengerahkan tentera masuk ke dalam bandaraya Beijing pada 3-4 Jun 1989 untuk mematahkan demonstrasi secara keras dan menyebabkan sekurang-kurangnya ratusan orang mati terbunuh.

Pemberontakan Jammu dan Kashmir (1989-   )

Pilihanraya Dewan Perundangan Negeri Jammu dan Kashmir pada bulan Mac 1987 yang diselubungi dengan penipuan, menjadi pemangkin kepada pemberontakan di Jammu dan Kashmir, apabila Fron Pembebasan Jammu Kashmir melancarkan serangan bom pertamanya di bandar Srinagar pada bulan Julai 1989. Kerajaan India memperkenalkan Pemerintahan Gabenor di Jammu dan Kashmir pada tahun 1990. Sebahagian pemberontak memperjuangkan kemerdekaan sementara sebahagian lagi memperjuangkan penggabungan Kashmir ke dalam Pakistan. Kemasukan pejuang Mujahidin ke Lembah Kashmir berikutan tamatnya Perang Soviet-Afghanistan (1979-1989), menyebabkan kemunculan beberapa kumpulan militan baharu yang berfahaman keagamaan yang ektremis. Konflik yang berterusan ini telah meragut puluhan ribu nyawa.

Revolusi Aman Jerman (1989)

Bermula dengan bandar Leipzig pada bulan September 1989, semakin ramai rakyat Jerman Timur menyertai aksi “Demonstrasi Hari Isnin” yang diadakan di bandar-bandar di seluruh negara itu, untuk menuntut hak demokratik seperti kebebasan untuk bergerak ke negara luar dan pilihanraya kerajaan yang demokratik. Oleh sebab gelombang protes rakyat yang semakin hebat, Politbiro Parti Perpaduan Sosialis Jerman (SED) memaksa Erich Honecker untuk meletak jawatannya sebagai Setiausaha Agung SED pada 18 Oktober 1989 dan menggantikannya dengan Egon Krenz yang menjanjikan pembaharuan politik. Aksi protes yang terbesar berlangsung pada 4 November 1989 di Alexanderplatz, sebuah dataran awam di pusat bandar Berlin Timur, dengan anggaran antara 500,000 hingga 1 juta orang turun ke jalanan Berlin Timur pada hari itu. Demonstrasi rakyat secara spontan ini membawa tuntutan untuk sebuah negara Jerman Timur yang bersifat sosialis demokratik. Pada 9 November 1989, Kerajaan Jerman Timur membenarkan rakyatnya melintasi Tembok Berlin untuk memasuki kawasan Jerman Barat di bandar Berlin. Pada 1 Disember 1989, Parlimen Jerman memansuhkan perkara dalam Perlembagaan Jerman Timur yang menakrif negara itu sebuah negara sosialis di bawah kepimpinan SED, maka menamatkan pemerintahan satu-parti di Jerman Timur. Seluruh anggota Jawatankuasa Pusat dan Politbiro SED meletak jawatan pada 3 Disember 1989. Pilihanraya bebas untuk Parlimen Jerman Timur diadakan pada 18 Mac 1990. Jerman Timur bergabung dengan Jerman Barat untuk membentuk negara Jerman yang bersatu pada 3 Oktober 1990.

Revolusi Baldu (1989)

Pada 17 November 1989, demonstrasi pelajar di bandar Prague, Czechoslovakia, dikenakan tindakan keras oleh pihak polis, tetapi mencetuskan gelombang demonstrasi yang berterusan dan lebih besar lagi. Lebih kurang 500,000 orang berhimpun di Prague pada 20 November 1989. Seluruh anggota Politbiro Parti Komunis Czechoslovakia, termasuk Setiausaha Agung Parti, Miloš Jakeš, meletak jawatan pada 24 November 1989, tetapi demonstrasi masih berterusan. Pada 27 November 1989, seluruh rakyat Czechoslovakia mengadakan mogok umum 2-jam untuk menuntut pembentukan kerajaan demokratik yang baharu. Pada 28 November 1989, Parti Komunis Czechoslovakia mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan kuasa dan menamatkan pemerintahan satu-parti. Dua hari kemudian, Parlimen Persekutuan Czechoslovakia memasuhkan seksyen dalam perlembagaan yang memberi monopoli kuasa kepada Parti Komunis. Alexander Dubček, pemimpin negara Czechoslovakia yang digulingkan selepas pencerobohan Kesatuan Soviet pada tahun 1968, dipilih sebagai Speaker Parlimen Persekutuan pada 28 Disember 1989; dan Václav Havel, seorang penulis terkenal yang merupakan tokoh pembangkang, dilantik sebagai Presiden Czechoslovakia pada 29 Disember 1989. Pilihanraya demokratik yang pertama sejak tahun 1946 diadakan pada 8-9 Jun 1990. Czechoslovakia dibubarkan 31 Disember 1992, dan berpecah kepada dua buah negara, iaitu Republik Czech dan Slovakia.

Revolusi Romania (1989)

Protes anti-kerajaan tercetus di bandar Timișoara pada 16 Disember 1989. Nicolae Ceaușescu, pemimpin Parti Komunis Romania yang berkuasa sejak tahun 1965, mengarahkan pasukan tentera untuk melepaskan tembakan ke atas demonstran, dan tindakan keras ini mencetuskan rusuhan yang merebak ke seluruh negara Romania. Rakyat Romania berprotes pada masa itu kerana tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi yang merudum, langkah penjimatan kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan sosial dan penindasan secara keras oleh rejim pemerintah. Pemimpin tentera Romania membelot pada 22 Disember 1989. Ceaușescu ditangkap dan kemudiannya dibunuh pada 25 Disember 1989. Kerajaan sementara yang diterajui oleh Fron Penyelamat Nasional (FSN) ditubuhkan selepas kejatuhan rejim Ceaușescu dan pilihanraya umum diadakan pada 20 Mei 1990 dengan FSN muncul sebagai pemenang.

Gerakan Rakyat 1990

Parti-parti komunis yang bergabung dalam Fron Kiri Bersatu, bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Kongres Nepal, melancarkan gerakan multi-parti pada 18 Februari 1990 untuk memperjuangkan demokrasi di Nepal. Kerajaan Nepal cuba mematahkan gerakan ini dengan menangkap pemimpin-pemimpinnya dan mengharamkan suratkhabar pembangkang, malah polis melepaskan tembakan dan membunuh sebilangan demonstran yang menyekat jalan, namun tetap gagal menghalang kebangkitan rakyat Nepal. Demonstran mengepung bangungan-bangunan kerajaan untuk mendesak Raja Nepal supaya menerima tuntutan mereka untuk mengembalikan sistem demokrasi multi-parti yang pernah wujud pada tahun 1950-an. Raja Nepal, Birendra Bir Bikram Shah, membatalkan pengharaman parti-parti politik pada 8 April 1990. Gerakan yang hebat ini berjaya memaksa Raja Nepal untuk menyerahkan kuasa membentuk kerajaan kepada rakyat, maka menamatkan pemerintahan raja mutlak dan memulakan sistem raja berperlembagaan di Nepal.

Krisis Oka (1990)

Masyarakat orang asal Mohawk di Oka, Quebec, Kanada, mengadakan protes dengan menyekat jalan masuk ke kawasan itu, selepas mahkamah memutuskan untuk membenarkan perluasan padang golf yang menceroboh ke dalam kawasan masyarakat Mohawk. Pertempuran berlaku antara masyarakat orang asal yang mendirikan sekatan jalan dengan pihak polis. Aksi sekatan jalan berakhir selepas rundingan. Projek perluasan padang golf dibatalkan dan tanah yang dipertikaikan itu dibeli oleh Kerajaan Persekutuan Kanada daripada pemaju. Peristiwa ini mengetengahkan isu yang dihadapi masyarakat orang asal dan membawa kepada penggubalan Dasar Kepolisan First Nations di Kanada untuk mengelakkan insiden yang serupa.

Protes Cukai Kepala (1990)

Tindakan Kerajaan Britain yang dipimpin oleh Perdana Menteri Margaret Thatcher daripada Parti Konservatif memperkenalkan “cukai kepala” (cukai taksiran pada kadar tunggal per kapita yang dikenakan ke atas setiap orang dewasa), mencetuskan protes rakyat yang hebat. All Britain Anti-Poll Tax Federation ditubuhkan oleh kumpulan berhaluan kiri, Militant Tendency, pada bulan November 1989. Aksi protes terbesar tercetus di London pada 31 Mac 1990, dan bertukar kepada rusuhan. John Major yang mengambilalih jawatan Perdana Menteri Britain pada bulan November 1990, mengumumkan pemansuhan cukai kepala dalam ucapan pertamanya dalam Parlimen.

Pemberontakan Tuareg (1990-1995)

Berikutan krisis kebuluran pada tahun 1980-an, krisis pelarian dan penindasan politik yang berterusan, kumpulan-kumpulan militan masyarakat Tuareg yang berbeza aliran melancarkan pemberontakan di Niger dan Mali, untuk menuntut autonomi masyarakat ataupun menubuhkan negara bangsa mereka sendiri. Beberapa perjanjian damai ditantatangani untuk menghentikan konflik bersenjata di Niger dan Mali.

Revolusi Balak (1990)

Penduduk-penduduk beretnik Serb yang membantah pemisahan Croatia daripada Yugolsavia dan hendak bergabung dalam Serbia, mengisytihar pembentukan Wilayah Autonomi Serbia Krajina (SAO Krajina) pada bulan Ogos 1990, dan melakukan sekatan jalan yang menghubungkan wilayah Dalmatia dengan seluruh Croatia, dengan menggunakan kayu balak. Ketegangan dan pertempuran antara masyarakat Serb dengan Croat ini semakin meningkat sehingga mencetuskan Perang Kemerdekaan Croatia pada April 1991, yang berakhir dengan kemenangan Kerajaan Croatia.

Kebangkitan Massa Bangladesh 1990

Bermula dengan aksi protes pelajar-pelajar pada bulan Oktober 1990, tercetusnya gerakan demokratik yang hebat di Bangladesh. Gabungan 7-parti yang diterajui oleh Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), gabungan 8-parti yang diketuai Liga Awami dan gabungan 5-parti yang berhaluan kiri, menganjurkan aksi seperti mogok, protes jalanan, sekatan jalan dan sebagainya, selama dua bulan, untuk mendesak perletakan jawatan Presiden Hussain Muhammad Ershad yang berkuasa melalui kudeta tentera pada tahun 1982. Hussain Muhammad Ershad meletak jawatan sebagai Presiden pada 4 Disember 1990. Kebangkitan massa yang hebat ini mengembalikan demokrasi berparlimen di Bangladesh.

Pemberontakan di Iraq 1991

Selepas gencatan senjata tercapai berikutan Perang Teluk (1990-1991), masyarakat Iraq, khususnya golongan Arab Syiah dan Kurdi, yang semakin tidak berpuas hati dengan rejim pemerintahan Saddam Hussein di Iraq, melancarkan siri pemberontakan di wilayah utara dan selatan negara Iraq, pada bulan Mac dan April 1991. Banyak bandar dan wilayah jatuh ke dalam tangan kumpulan pemberontak dalam dua minggu yang pertama, tetapi rejim Saddam Hussein berjaya mematahkan pemberontakan ini secara kejam dengan mengerahkan tentera yang setia padanya.

Mogok Umum Nepal 1992

Jawatankuasa Bersama Agitasi Rakyat yang ditubuhkan oleh kumpulan-kumpulan berhaluan kiri seperti Parti Komunis Nepal (Pusat Perpaduan), Fron Rakyat Bersatu Nepal (SJM), Parti Komunis Nepal (Masal), Liga Komunis Nepal dan Parti Komunis Nepal (Marxis-Leninis-Maois), menganjurkan mogok umum pada 6 April 1992, untuk membantah dasar kerajaan Kongres Nepal yang menyebabkan krisis ekonomi. Pertempuran tercetus antara aktivis pekerja dan polis. 14 orang mati dalam kejadian rusuhan.

Rusuhan Los Angeles 1992

Selepas satu juri perbicaraan memutuskan untuk membebaskan 4 orang pegawai polis yang menggunakan kekerasan berlebihan ketika menangkap Rodney King, seorang warga Amerika Afrika, tercetusnya rusuhan yang merebak di seluruh kawasan metropolitan Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 29 April hingga 4 Mei 1992.

Bulan Mei Hitam (1992)

Gelombang protes rakyat tercetus di Bangkok, Thailand, pada 17-20 Mei 1992, untuk membantah kerajaan pimpinan Jeneral Suchinda Kraprayoon yang berkuasa melalui kudeta tentera pada bulan Februari 1991. Lebih 200,000 orang berdemonstrasi di pusat bandaraya Bangkok pada kemuncak aksi protes. Kerajaan Thailand mengerahkan tentera untuk mematahkan protes ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 52 orang mati dan ratusan orang hilang, di samping lebih 3,500 orang ditahan.

Pemberontakan Zapatista (1994)

Pada 1 Januari 1994, ketika Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) mula berkuatkuasa, Tentera Pembebasan Nasional Zapatista (EZLN) melancarkan pemberontakan selama 12 hari di negeri Chiapas, Mexico. Semasa pemberontakan ini berlangsung, lebih kurang 100,000 orang berprotes di Bandar Mexico untuk membantah cubaan Kerajaan Mexico yang hendak mematahkan Zapatista secara ganas. Pemberontakan ini berakhir pada 12 Januari 1994 selepas persetujuan gencatan senjata dicapai, dan Zapatista masih menguasai sebahagian tanah yang didudukinya semasa pemberontakan. EZLN memperjuangkan kawalan masyarakat orang asal terhadap sumber-sumber tempatan (khususnya tanah) dan menolak dasar ekonomi neoliberal.

Kebangkitan demokratik Bahrain (1994-1999)

Golongan Kiri, Liberal dan Islamis Syiah bergabung tenaga untuk melancarkan gelombang aksi protes, bermula pada bulan Jun 1994, untuk menuntut pembaharuan demokratik di Bahrain, termasuk memulihkan parlimen dan perlembagaan yang digantung oleh Amir Isa bin Salman Al Khalifa sejak tahun 1975. Tindakan keras yang digunakan oleh Kerajaan Bahrain untuk mematahkan kebangkitan rakyat, termasuk penahanan besar-besaran, telah mencetuskan protes yang lebih hebat, sehingga berkembang menjadi rusuhan dan serangan bom. Pemberontakan mereda selepas Hamad bin Isa Al Khalifa mengambilalih sebagai Amir Bahrain pada tahun 1999, dan memperkenalkan Piagam Tindakan Kebangsaan Bahrain yang membawa pembaharuan secara meluas yang mendapat sokongan besar dalam referendum pada tahun 2001.

Mogok Perancis 1995

Dasar Kerajaan Perancis yang hendak memotong perbelanjaan kebajikan (termasuk “pembaharuan” sistem pencen) untuk mengurangkan defisit belanjawan, mencetuskan mogok pekerja, khususnya dalam kalangan pekerja-pekerja sektor awam. Pekerja-pekerja sektor awam mengadakan mogok besar-besaran pada 10 Oktober dan 24 November 1995, untuk membantah pembekuan gaji sektor awam dan rancangan kerajaan memotong perbelanjaan sosial. Pekerja-pekerja landasan keretapi bermogok pada bulan Disember 1995, melumpuhkan sistem landasan keretapi Perancis; sementara pekerja-pekerja lain turut bermogok. Aksi-aksi mogok yang hebat ini memaksa Kerajaan Perancis untuk membatalkan rancangan pembaharuan pencennya.

Perang Rakyat Nepal (1996-2006)

Parti Komunis Nepal (Maois) melancarkan “Perang Rakyat”, pemberontakan bersenjata untuk melawan Kerajaan Nepal, bermula pada 13 Februari 1996. Perang saudara yang berlarutan untuk lebih 10 tahun dan meragut nyawa seramai 17,000 orang ini, berakhir dengan penandatanganan Perjanjian Damai Komprehensif pada 21 November 2006. Pilihanraya Perhimpunan Perlembagaan Nepal pada tahun 2008 menyaksikan kemenangan Parti Komunis Nepal (Maois) yang dipimpin oleh Pushpa Kamal Dahal (atau lebih dikenali dengan nama samaran “Prachanda”). Perhimpunan Perlembagaan Nepal memansuhkan sistem pemerintahan monarki dan mengisytihar penubuhan sistem republik di Nepal dalam persidangannya yang pertama pada 28 Mei 2008.

Mogok Pekerja Korea Selatan 1996-97

Tindakan Kerajaan Korea Selatan yang memperkenalkan undang-undang buruh baharu yang memberi lebih banyak kuasa kepada majikan untuk memberhentikan pekerja, memudahkan majikan mengupah pekerja sementara untuk menggantikan pekerja tetap dan berhenti membenarkan penubuhan kesatuan yang berbeza dalam sesebuah syarikat, mencetuskan gelombang mogok seluruh negara Korea Selatan yang belarutan selama 4 minggu, pada bulan Disember 1996 hingga Januari 1997. Lebih 3 juta orang pekerja terlibat dalam aksi mogok ini, menyebabkan pengeluaran kapal dan kereta tergendala, di samping mengganggu operasi hospital, keretapi bawah tanah dan siaran televisyen. Dua kesatuan sekerja yang utama, Persekutuan Kesatuan Sekerja Korea (FKTU) dan Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (KCTU), terlibat secara langsung dalam penganjuran aksi mogok ini. Kerajaan Korea Selatan kemudiannya meluluskan undang-undang yang hampir sama dengan hanya sedikit kompromi kepada tuntutan pekerja.

Pemberontakan rakyat Albania 1997

Pelbagai skim Ponzi di negara Albania yang menemui kegagalan, dengan rakyat Albania kehilangan sejumlah USD1.2 bilion (USD400 setiap orang), mencetuskan protes dalam kalangan warga Albania yang kehilangan harta mereka. Protes harian diadakan mulai bulan Februari 1997 untuk menuntut pemulangan wang yang dilaburkan oleh rakyat dan perletakan jawatan kerajaan. Lebih kurang 50 orang pelajar di Universiti Vlora melancarkan mogok lapar pada 20 Februari 1997, dan mendapat sokongan daripada banyak pihak. Protes jalanan turut berkembang menjadi rusuhan yang serius dan mencetuskan perang saudara. Sesetengah rakyat Albania menyerbu kem tentera dan merampas senjata untuk melancarkan pemberontakan. Perdana Menteri Aleksandër Meksi meletak jawatan pada 2 Mac 1997 dan Presiden Sali Berisha mengisytihar darurat. Pasukan penjagaan keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh Itali dikerahkan ke Albania pada bulan April 1997 untuk mengembalikan ketenteraman awam di Albania. Pilihanraya umum yang awal diadakan pada bulan Jun 1997, menyaksikan kemenangan parti pembangkang, Parti Sosialis Albania, yang meraih 101 daripada 151 kerusi parlimen; sementara referendum pada masa yang sama berkenaan dengan pemulihan sistem monarki menyaksikan kemenangan undi republikan yang meraih sebanyak 66.7% undi.

Kebangkitan Rakyat Indonesia 1998

Berikutan Krisis Kewangan Asia yang melanda Indonesia pada tahun 1997, pelajar-pelajar Indonesia mengadakan demonstrasi secara aman di kampus-kampus universiti di seluruh negara itu, untuk membantah kenaikan harga bahan api dan menuntut pengunduran Presiden Suharto. Pihak tentera melepaskan tembakan ke atas demonstran di Universiti Trisakti, Jakarta, pada 12 Mei 1998, membunuh 4 orang pelajar. Kemarahan terhadap insiden penembakan ini mencetuskan rusuhan yang serius. Gelombang protes dan krisis politik yang mendalam, memaksa Suharto meletak jawatan sebagai Presiden Indonesia pada 21 Mei 1998. Pergolakan yang hebat ini membawa kepada Era Reformasi di Indonesia dengan ruang politik yang lebih terbuka.

Gerakan Reformasi Malaysia (1998)

Pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan perpecahan dalam parti pemerintah UMNO, mencetuskan gelombang protes yang hebat di Malaysia. Gelombang protes ini membawa tuntutan mendesak perletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia, di samping membanteras masalah rasuah, nepotisme dan kronisme. Kerajaan UMNO-BN cuba menggunakan tindakan keras seperti penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap sesetengah aktivis politik untuk mematahkan gerakan ini. Gerakan Reformasi telah mengubah lanskap politik negara Malaysia dua puluh tahun berikutnya.

Revolusi Bolivar (1999-   )

Selepas Hugo Chávez menang dalam Pilihanraya Presiden Venezuela pada 6 Disember 1998, Gerakan Republik Kelima (MVR) yang dipimpinnya melancarkan Revolusi Bolivar yang mencabar imperialisme dan mewujudkan keadilan sosial untuk rakyat Venezuela. Perlembagaan baharu yang ditulis oleh Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih oleh rakyat Venezuela, diluluskan dalam referendum pada 15 Disember 1999. Kerajaan Venezuela pimpinan Chávez melancarkan siri pembaharuan masyarakat melalui pelaksanaan program-program sosial yang bertujuan untuk merapatkan jurang ketidaksamarataan masyarakat. Golongan oligarki yang tidak senang dengan pembaharuan yang dibawa oleh Chávez, cuba melancarkan kudeta tentera pada 11 April 2002 tetapi digagalkan oleh mobilisasi rakyat yang hebat untuk mempertahankan Revolusi Bolivar. Kerajaan Bolivar di Venezuela memainkan peranan utama dalam menubuhkan Gabungan Bolivar untuk Rakyat Amerika Kita (ALBA), sebuah pertubuhan antara kerajaan yang berasaskan idea integrasi sosial, politik dan ekonomi bagi negara-negara Amerika Latin dan Caribbean, yang mampu mencabar kekuasaan imperialis Amerika Syarikat di rantau itu. Selepas Chávez meninggal dunia, usaha Revolusi Bolivar menghadapi cabaran yang hebat daripada ancaman imperialis dan sabotaj dalaman oleh golongan pembangkang yang berhaluan kanan.

Protes Pelajar Iran 1999

Demonstrasi jalanan yang aman berlaku di Tehran pada 8 Julai 1999 untuk membantah pengharaman suratkhabar reformis, Salam. Sebuah asrama pelajar diserbu oleh polis pada malam selepas demonstrasi dan seorang pelajar terbunuh. Insiden ini mencetuskan demonstrasi jalanan selama 6 hari di seluruh negara Iran. Beberapa lagi orang mati, puluhan orang pelajar hilang, dan lebih 1,000 orang ditahan.

Protes Anti-WTO di Seattle 1999

Aktivis-aktivis sosial berprotes di bandar Seattle, negeri Washington, Amerika Syarikat, pada 30 November 1999, ketika berlangsungnya persidangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Lebih 40,000 orang berdemonstrasi di jalanan Seattle. Sebahagian demonstran melakukan sekatan jalan menuju ke tempat persidangan WTO. Pihak polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan demonstrasi dan menangkap demonstran. Protes berterusan sehingga 3 Disember 1999. Ketua Polis Seattle meletak jawatan tidak lama kemudian kerana kesal dengan tindakannya yang mengguna kekerasan terhadap demonstran, sementara kerajaan bandar Seattle bersetuju untuk membayar sejumlah USD250,000 kepada 157 orang yang individu yang ditangkap semasa protes anti-WTO.

Perang Air Cochabamba (1999-2000)

Penswastaan terhadap bekalan air di bandar Cochabamba, Bolivia, yang menyebabkan kenaikan bil air, mencetuskan gelombang demonstrasi yang hebat dari bulan Disember 1999 hingga April 2000. Rakyat berdemonstrasi untuk mempertahankan hak bekalan air mereka, tetapi dilayan dengan keganasan polis. Kerajaan mencapai persetujuan dengan gabungan masyarakat yang membantah penswastaan air pada 10 April 2000, untuk membatalkan penswastaan air di Cochabamba. 

Intifadah al-Aqsa (2000-2005)

Selepas kegagalan mencapai persetujuan muktamad dalam Persidangan Kem David 2000 untuk proses pendamaian Palestin-Israel, lawatan pemimpin politik Israel, Ariel Sharon, ke Al-Haram Al-Sharif pada 28 September 2000, sesuatu yang dianggap provokatif bagi rakyat Palestin, mencetuskan gelombang protes yang hebat dalam kalangan rakyat Palestin. Pihak berkuasa Israel menggunakan kekerasan untuk mematahkan demonstrasi, maka mencetuskan pertempuran yang sengit. Berikutan tercetusnya Intifadah, Kerajaan Israel mula membina tembok pemisah di Tebing Barat. Konflik yang berlarutan selama lebih 4 tahun ini meragut nyawa lebih 3,000 orang warga Palestin dan 1,000 orang warga Israel. Intifadah al-Aqsa berakhir selepas Persidangan Sharmel-Sheikh pada tahun 2005. Israel berundur keluar dari Gaza pada bulan Ogos-September 2005.

Revolusi 5 Oktober (2000)

Selepas Pilihanraya Umum Yugoslavia pada 24 September 2000, yang menyaksikan calon daripada gabungan parti politik pembangkang, Vojislav Koštunica, menang dalam pusingan pertama pengundian untuk Presiden Yugoslavia, tetapi peratusan undinya kurang daripada 50% yang membolehkannya mengelakkan daripada pengundian pusingan kedua, sesuatu yang didakwa oleh pembangkang bahawa wujudnya penipuan pada pihak kerajaan, mencetuskan gelombang demonstrasi besar-besaran. Ratusan ribu orang berdemonstrasi di bandar Belgrade pada 5 Oktober 2000. Oleh sebab tekanan daripada protes rakyat, penyandang jawatan Presiden, Slobodan Milošević, meletak jawatan pada 7 Oktober 2000.

Revolusi EDSA II (2001)

Selepas kegagalan proses perbicaraan pendakwaan terhadap Presiden Filipina, Joseph Estrada, yang dituduh rasuah, protes jalanan tercetus di Metro Manila pada 17 Januari 2001. Joseph Estrada meletak jawatan sebagai Presiden Filipina pada 20 Januari 2001.

Argentinazo (2001)

Argentina dilanda krisis ekonomi yang mendalam mulai tahun 1998. Apabila Kerajaan Argentina melaksanakan dasar “Corralito” yang mengehadkan rakyat mengeluarkan wang daripada bank, tercetusnya gelombang protes dan rusuhan di bandar-bandar besar di seluruh negara Argentina, dengan kemuncaknya pada 19-20 Disember 2001. Presiden Argentina, Fernando de la Rúa, meletak jawatannya pada 21 Disember 2001, sehari selepas mengisytihar darurat. Argentina memasuki tempoh ketidakstabilan politik selama dua tahun dengan lima orang Presiden bersilih ganti. 

Gerakan Bantah Perang Terhadap Iraq (2003)

Gerakan anti-perang antarabangsa melancarkan kempen membantah rancangan Amerika Syarikat untuk menyerang Iraq sejak bulan September 2002. Kempen anti-perang ini mencecah kemuncaknya pada 15 Februari 2003, apabila lebih kurang 10 juta rakyat di seluruh dunia berhimpun di lebih 600 buah bandar untuk menyatakan bantahan terhadap Perang Iraq. Gerakan anti-perang ini diteruskan selepas pencerobohan tentera Amerika Syarikat di Iraq pada 20 Mac 2003.

Aksi Massa Wanita Liberia untuk Keamanan (2003)

Satu gerakan menuntut keamanan yang bermula di Monravia, Liberia, dengan kepimpinan oleh Crystal Roh Gawding, Leymah Gbowee dan Comfort Freeman, mengadakan pelbagai aksi protes yang akhirnya menamatkan Perang Saudara Liberia Kedua (1999-2003).

Perang Gas Bolivia (2003-2005)

Rancangan Kerajaan Bolivia yang ingin mengeksploitasi sumber gas asli untuk keuntungan syarikat multinasional, mencetuskan gelombang protes hebat yang diterajui oleh masyarakat orang asal di negara itu. Aksi protes memuncak pada bulan September-Oktober 2003, dengan demonstran melakukan sekatan jalan yang melumpuhkan sebahagian besar negara Bolivia dan berlakunya konfrontasi dengan pasukan tentera yang semakin ganas. Presiden Gonzalo Sánchez de Lozada meletak jawatannya pada 17 Oktober 2003 dan melarikan diri ke Amerika Syarikat. Carlos Mesa yang mengambilalih jawatan Presiden Bolivia mengadakan satu referendum mengenai persoalan berkaitan isu gas pada 18 Julai 2004, dengan hasrat meredakan kemarahan rakyat, namun dia enggan melaksanakan pemiliknegaraan hidrokarbon seperti yang diputuskan oleh rakyat melalui referendum, kerana bantahan daripada Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan syarikat-syarikat multinasional. Undang-undang hidrokarbon yang digubal dalam Parlimen Bolivia pada bulan Mei 2005, yang masih membenarkan eksploitasi gas asli oleh syarikat multinasional, mencetuskan protes harian yang akhirnya menyebabkan Carlos Mesa terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden Bolivia pada 6 Jun 2005. Evo Morales daripada Gerakan Menuju Sosialisme (MAS) yang menerajui perjuangan menuntut pemiliknegaraan gas asli, menang dalam Pilihanraya Presiden pada 18 Disember 2005. Morales menandatangani arahan Presiden pada 1 Mei 2006 yang menyatakan semua sumber gas asli di Bolivia akan dimiliknegarakan.

Revolusi Mawar (2003)

Pertikaian terhadap keputusan Pilihanraya Parlimen, mencetuskan gelombang protes besar-besaran di Georgia pada 3 November 2003, yang akhirnya memaksa Presiden Eduard Shevardnadze meletak jawatannya pada 23 November 2003. Pilihanraya yang baharu diadakan pada 4 Januari 2004.

Rusuhan Qamishli 2004

Semasa satu perlawanan bola sepak di bandar Qamishli, Syria, antara pasukan Kurdi tempatan dengan pasukan Arab dari Deir ez-Zor, sesetengah penyokong Arab untuk pasukan tetamu menunjukkan gambar Saddam Hussein (yang pernah mengarahkan pembunuhan besar-besaran terhadap orang Kurdi di Iraq), menimbulkan kemarahan penyokong pasukan Kurdi tempatan dan mencetuskan pertempuran antara penonton-penonton perlawanan bola sepak. Pejabat tempatan parti pemerintah Syria, Parti Ba’ath, di Qamishli, dibakar oleh demonstran Kurdi. Tentera Syria mematahkan protes masyarakat Kurdi dengan menggunakan kekerasan. Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan ribuan orang Kurdi Syria terpaksa melarikan diri ke Kurdistan Iraq.

Revolusi Jingga (2004)

Protes besar-besaran tercetus di Ukraine apabila Viktor Yanukovych, Perdana Menteri Ukraine pada masa itu yang berpendirian politik pro-Rusia, diisytihar sebagai pemenang dalam pengundian pusingan kedua Pilihanraya Presiden Ukraine pada 21 November 2004 yang didakwa berlakunya penipuan. Demonstrasi berlaku secara harian. Mahkamah Agung Ukraine kemudiannya memutuskan pada 3 Disember 2004 bahawa perlu diadakan semula pengundian. Pengundian semula untuk Pilihanraya Presiden diadakan pada 26 Disember 2004 menyaksikan kemenangan Viktor Yushchenko yang meraih sebanyak 51.99% undi.

Pemberontakan Naxal-Maois (2004-   )

Parti Komunis India (Maois) yang ditubuhkan pada 21 September 2004, melalui penggabungan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Perang Rakyat (“Kumpulan Perang Rakyat”) dan Pusat Komunis Maois India (MCCI), melancarkan perang gerila terhadap Kerajaan India. Pemberontakan Naxal-Maois telah merebak di wilayah yang dikenali sebagai “Koridor Merah”, merangkumi kawasan di dalam negeri-negeri seperti Andhra Pradesh, Bihar, Chhattisgarh, Jharkhand, Madhya Pradesh, Maharashtra, Odisha, Telangana dan Bengal Barat. Kerajaan India melancarkan operasi ketenteraan untuk menumpaskan pemberontakan ini, tetapi konflik masih berterusan.

Revolusi Pokok Sedar (2005)

Pembunuhan Rafik Hariri, bekas Perdana Menteri Lubnan, pada 14 Februari 2005, mencetuskan gelombang protes rakyat yang hebat untuk menuntut supaya menamatkan pengaruh Syria dalam politik Lubnan. Gelombang protes yang aman ini berjaya mendesak tentera Syria yang menduduki Lubnan selama 30 tahun itu berundur keluar sepenuhnya pada 27 April 2005.

Revolusi Tulip (2005)

Pilihanraya Parlimen Kyrgyzstan pada 27 Februari dan 13 Mac 2005 yang didakwa dicemari penyelewengan, mencetuskan gelombang protes jalanan yang besar-besaran untuk membantah amalan rasuah dan autoritarianisme yang diamalkan oleh Presiden Askar Akayev yang berkuasa sejak tahun 1990. Pada 24 Mac 2005, demonstran menyerbu dan menawan bangunan pejabat Presiden di bandar Bishkek selepas pertempuran dengan polis dalam satu perhimpunan massa. Penyokong-penyokong pembangkang juga menguasi bandar-bandar yang utama di bahagian selatan negara itu. Akayev melarikan diri ke Rusia, dan meletak jawatan secara rasminya sebagai Presiden Kyrgyzstan pada 4 April 2005 dan diterima oleh Parlimen Kyrgyzstan pada 11 April 2005.

Pemberontakan Tentera Rakyat Paraguary (2005-   )

Tentera Rakyat Paraguay (EPP) yang ditubuhkan oleh sebahagian anggota Parti Tanahair Bebas (PPL) melancarkan pemberontakan bersenjata di bahagian Timur Laut Paraguay, untuk memperjuangkan reformasi tanah yang sebenar. Kumpulan yang berpecah daripada EPP kemudiannya juga melancarkan kempen bersenjata yang berasingan terhadap Kerajaan Paraguay. 

Gerakan Demokrasi Nepal 2006

Hasil daripada desakan masyarakat yang hebat, Raja Nepal, Gyanendra Bir Bikram Shah Dev, memulihkan Parlimen pada 24 April 2006. “Pakatan Tujuh Parti” yang memperjuangkan penamatan pemerintahan autokratik di Nepal menerima pemulihan Parlimen dan mengisytihar bahawa kerajaan baharu akan dipimpin oleh Girija Prasad Koirala daripada Parti Kongres Nepal, di samping menyatakan bahawa Parlimen baharu akan mengadakan pilihanraya untuk memilih sebuah badan yang akan menulis perlembagaan baharu. Parlimen mengundi dengan sebulat suara pada 18 Mei 2006 untuk mengurangkan kuasa raja. Proses ini akhirnya membawa kepada pemansuhan sistem monarki dan pembentukan republik di Nepal.

Protes Anak Muda Perancis 2006

Rancangan Kerajaan Perancis pimpinan Presiden Jacques Chirac untuk melaksanakan “Kontrak Pekerjaan Pertama” (CPE) yang memudahkan majikan memecat pekerja yang berumur di bawah 26 tahun, mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang diterajui oleh anak-anak muda dan kesatuan-kesatuan sekerja. Kerajaan Perancis menarik balik pelaksanaan CPE kerana tekanan yang hebat daripada protes rakyat.

Protes Oaxaca 2006

Tindakan keras yang diambil oleh pihak polis terhadap mogok guru di negeri Oaxaca, Mexico, pada bulan Mei 2006, yang melibatkan pelepasan tembakan ke atas demonstran yang berprotes secara aman, mencetuskan gerakan protes yang lebih besar. Perhimpunan Popular Rakyat Oaxaca (APPO) yang dibentuk oleh pelbagai organisasi masyarakat, mengadakan aksi menduduki jalanan untuk menuntut perletakan jawatan Ulises Ruiz Ortiz sebagai Gabenor Oaxaca. Kerajaan Mexico telah menggunakan pelbagai cara yang keras untuk mematahkan kebangkitan rakyat di Oaxaca ini.

Gerakan Peguam (2007-2009)

Penggantungan jawatan Iftikhar Muhammad Chaudhry sebagai Ketua Hakim Mahkamah Agung Pakistan oleh Presiden Pakistan yang juga merupakan Ketua Tentera, Pervez Musharraf, pada 9 Mac 2007, mencetuskan protes yang diterajui oleh peguam-peguam di Pakistan untuk menentang pemerintahan kediktatoran tentera Pervez Musharraf. Parti-parti pembangkang turut menyokong gerakan ini yang melibatkan pelbagai aksi protes. Gerakan ini akhirnya berjaya memulihkan jawatan Iftikhar Muhammad Chaudhry sebagai Ketua Hakim Mahkamah Agung pada bulan Mac 2009.

Mogok Pekerja Pos UK 2007

Rancangan “pemodenan” oleh Royal Mail, syarikat perkhidmatan pos dan kurier di Britain, yang boleh menyebabkan kehilangan lebih kurang 40,000 pekerjaan di samping menimbulkan masalah berkaitan masa kerja, gaji dan pencen, pekerja-pekerja pos yang menganggotai Kesatuan Pekerja-pekerja Komunikasi (CWU) mengadakan siri mogok pada bulan Jun hingga Oktober 2007.

Mogok Umum Guinea 2007

Kesatuan-kesatuan sekerja dan parti-parti pembangkang di Guinea melancarkan mogok umum pada 10 Januari 2007, untuk mendesak perletakan jawatan Presiden Lansana Conté kerana penyelewengan kuasa dan kegagalan dalam menguruskan ekonomi negara itu. Mogok berhenti pada 27 Januari 2007, selepas persetujuan tercapai antara Conté dengan kesatuan-kesatuan sekerja bahawa dia akan melantik seorang Perdana Menteri yang baharu. Namun, oleh sebab pilihan Conté yang dilantik sebagai Perdana Menteri tidak diterima oleh kesatuan-kesatuan sekerja, aksi mogok bersambung semula pada 12 Februari 2007. Kerajaan Conté mengisytihar darurat tetapi gagal mematahkan aksi mogok. Mogok berakhir pada 27 Februari 2007 dengan Conté melantik seorang yang diterima oleh kesatuan-kesatuan sekerja, iaitu Lansana Kouyaté, sebagai Perdana Menteri.

Protes Myanmar 2007

Gelombang protes tercetus di Myanmar pada bulan Ogos-Oktober 2007, kerana keputusan kerajaan tentera Myanmar yang membatalkan subsidi bahan api. Apabila demonstrasi jalanan yang aman dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa, golongan sami agama Buddha turut berprotes di jalanan mulai bulan September 2007, menjadikan aksi ini digelar sebagai “Revolusi Safron” bersempena warna kuning cempaka pada jubah sami. Walaupun gelombang protes ini dipatahkan, tetapi ia menjadi pemangkin kepada proses pembaharuan politik yang berlaku pada tahun 2011-2015 yang membolehkan Liga Demokrasi Nasional (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi menang dalam pilihanraya umum pada tahun 2015.

Demonstrasi Georgia 2007

Gelombang protes anti-kerajaan tercetus di Georgia pada hujung bulan September 2007 dan memuncak pada 2 November 2007 apabila 50,000-100,000 orang berdemonstrasi di bandar Tbilisi untuk menyatakan bantahan terhadap Kerajaan pimpinan Presiden Mikheil Saakashvili yang dituduh korupsi. Presiden Saakashvili mengumumkan pada 8 November 2007 bahawa pilihanraya presiden yang lebih awal akan diadakan pada 5 Januari 2008 sebagai solusi berkompromi dengan tuntutan parti-parti pembangkang.

Gerakan BERSIH (2007-2016)

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) ditubuhkan pada tahun 2005 untuk memperjuangkan pembaharuan dalam sistem piliharaya di Malaysia. Gabungan BERSIH menganjurkan perhimpunan massanya yang pertama pada 10 November 2007, dengan lebih 30,000 orang berdemonstrasi di jalanan Kuala Lumpur. Bersama dengan aksi perhimpunan HINDRAF pada 25 November 2007, aksi protes ini telah menyebabkan gabungan parti pemerintah UMNO-BN kehilangan kerusi majoriti 2/3 dalam Parlimen semasa Pilihanraya Umum pada tahun 2008. Gabungan BERSIH 2.0 yang disusun semula selepas tahun 2009, menganjurkan aksi perhimpunan massa yang kedua pada 9 Julai 2011, dengan 50,000 orang turun ke jalanan Kuala Lumpur walaupun menghadapi tindakan keras daripada pihak kerajaan. Perhimpunan BERSIH diadakan lagi pada 28 April 2012, 29-30 Ogos 2015 dan 19 November 2016.

Pemberontakan Tibet 2008

Gelombang protes tercetus di wilayah Tibet, China, bermula dengan demonstrasi golongan sami Buddha di Lhasa, untuk membantah penindasan Kerajaan China terhadap warga Tibet. Pihak berkuasa China menggunakan kekerasan untuk mematahkan protes ini.

Mogok Umum Mesir 2008

Pekerja-pekerja di Al Mahallah Al Kubra melancarkan mogok umum pada 6 April 2008, untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap masalah gaji rendah dan kos makanan yang meningkat. Mogok yang diadakan dua hari sebelum pilihanraya tempatan Mesir ini mendapat sokongan daripada Gerakan Anak Muda 6 April, sebuah kumpulan dalam media sosial Facebook yang menularkan tuntutan pekerja secara meluas. 

Gerakan Anti-Dasar Penjimatan Ireland (2008-2015)

Pelaksanaan dasar penjimatan yang melibatkan pengurangan perbelanjaan sosial dan pengenaan levi pendapatan ke atas pekerja, yang diperkenalkan oleh kerajaan campuran Fianna Fáil–Parti Hijau, mencetuskan gelombang protes di Ireland pada bulan Oktober 2008. Lebih 120,000 orang berprotes di Dublin pada 21 Februari 2009 untuk membantah kegagalan kerajaan Ireland dalam menangani krisis ekonomi. Demonstrasi pelajar pada 3 November 2010 diadakan untuk membantah peningkatan yuran pendaftaran universiti, pemotongan bantuan sara hidup pelajar dan peningkatan pengangguran graduan yang disebabkan oleh dasar penjimatan; sementara aksi demonstrasi pekerja pada 27 November 2010 menyaksikan penyertaan 100,000 orang. Gelombang protes ini menyebabkan kejatuhan kerajaan campuran Fianna Fáil–Parti Hijau pada awal tahun 2011, namun protes masih berterusan selepas kerajaan campuran Fine Gael-Parti Buruh ditubuhkan berikutan pilihanraya umum pada bulan Februari 2011.

Rusuhan Greece 2008

Penembakan mati Alexandros Grigoropoulos, seorang pelajar berumur 15 tahun, oleh pegawai polis di Athens, mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang berkembang menjadi rusuhan yang merebak ke bandar-bandar yang lain di Greece. Rakyat Greece, khususnya anak-anak muda, berprotes malah merusuh kerana tidak berpuas hati dengan masalah seperti keganasan polis, rasuah, krisis ekonomi dan peningkatan pengangguran dalam kalangan generasi muda.

Mogok Umum Caribbean Perancis (2009)

Mogok umum mula tercetus pada 20 Januari 2009 di Guadeloupe, yang merupakan salah sebuah wilayah seberang laut Perancis di rantau Caribbean, dan kemudiannya merebak ke Martinique yang berdekatan pada 5 Februari 2009. Mogok umum ini mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di situ seperti kos sara hidup yang membebankan dan harga barangan asas (seperti bahan api dan makanan) yang meningkat. Gabungan kesatuan sekerja yang menganjurkan mogok ini menuntut peningkatan gaji bulanan bagi pekerja-pekerja berpendapatan rendah. Mogok ini ditamatkan 4 Mac 2009 selepas Kerajaan Perancis bersetuju untuk meningkatkan gaji minimum sebanyak €200 dan juga melaksanakan sebahagian besar tuntutan kesatuan sekerja yang lain.

Revolusi Hijau Iran (2009)

Pertikaian terhadap keputusan Pilihanraya Presiden Iran di mana Mahmoud Ahmadinejad diisytihar sebagai pemenang, mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang disertai oleh penyokong-penyokong calon pembangkang, Mir-Hossein Mousavi yang merupakan bekas Perdana Menteri Iran. Gelombang protes yang tercetus mulai 13 Jun 2009 ini, menuntut pengunduran Presiden Mahmoud Ahmadinejad dan pembaharuan demokratik. Pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk mematahkan protes ini.

Revolusi Peralatan Dapur (2009)

Selepas negara Iceland dilanda krisis kewangan yang serius pada tahun 2008 yang melibatkan keruntuhan sistem perbankan di negara itu, tercetusnya protes mulai bulan Oktober 2008 untuk membantah kegagalan Kerajaan Iceland dalam menangani krisis. Protes rakyat Iceland mencapai kemuncak pada 20 Januari 2009 apabila ribuan orang demonstran mengepung bangunan parlimen di bandar Reykjavík. Protes ini memaksa kerajaan yang dipimpin oleh Parti Kemerdekaan yang berhaluan kanan untuk meletak jawatan, dan sebuah kerajaan berhaluan kiri yang terdiri daripada Pakatan Demokratik Sosial dan Gerakan Kiri-Hijau (VG) dibentuk selepas pilihanraya parlimen pada 25 April 2009. Referendum diadakan pada tahun 2020 dan 2011 untuk bertanya pada rakyat Iceland sama ada bersetuju untuk membayar balik hutang yang timbul daripada krisis kewangan atau tidak, dan rakyat Iceland mengundi untuk menolak pembayaran balik hutang yang disebabkan oleh krisis yang ditimbulkan bank. Proses pembaharuan perlembagaan juga dijalankan pada tahun 2011-2013.

Krisis Politik Madagascar 2009

Gerakan pembangkang yang dipimpin oleh Andry Rajoelina, Datuk Bandar Antananarivo (iaitu ibu negara Madagascar), melancarkan protes pada bulan Januari 2009 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Marc Ravalomanana. Marc Ravalomanana digulingkan dan melarikan diri ke Afrika Selatan pada bulan Mac 2009 selepas sebahagian daripada pihak tentera memberontak.

Gerakan Pro-Demokrasi Baju Merah Thailand (2010)

Barisan Bersatu Nasional bagi Demokrasi Menentang Kediktatoran (UDD) yang juga dikenali sebagai gerakan “Baju Merah” mengadakan protes besar-besaran di Bangkok, Thailand, dari 12 Mac hingga 19 Mei 2010 untuk menentang kerajaan pimpinan Parti Demokrat yang mula berkuasa pada bulan Disember 2008 selepas Mahkamah Perlembagaan mengharamkan parti-parti pemerintah yang pro-Thaksin. UDD menggesa Perdana Menteri pada masa itu, Abhisit Vejjajiva, untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya awal. Pihak berkuasa Thailand menggunakan kekerasan untuk mematahkan protes ini sehingga menyebabkan 91 orang terbunuh.

Revolusi April Rakyat Kyrgyzstan (2010)

Demonstrasi di bandar Talas di bahagian Barat Kyrgyzstan pada 6 April 2010 yang membantah korupsi dan kenaikan kos hidup, berkembang menjadi pertempuran dengan pihak berkuasa dan merebak ke seluruh negara. Presiden Kurmanbek Bakiyev mengisytihar darurat pada 7 April 2020, dan polis menangkap ramai pemimpin pembangkang. Golongan pembangkang mengumumkan pada hari yang sama penubuhan kerajaan sementara yang dipimpin oleh Roza Otunbayeva daripada Parti Demokratik Sosial Kyrgyzstan. Demonstran merespon dengan mengambilalih ibupejabat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan stesen TV negara di bandar Bishkek, ibu negara Kyrgyzstan. Bakiyev meletak jawatannya sebagai Presiden Kyrgyzstan dan melarikan diri ke Belarus. Satu referendum perlembagaan diadakan pada 27 Jun 2010 dengan keputusan majoriti pengundi menyokong untuk mengurangkan kuasa Presiden dan membawa kepada pengukuhan sistem berparlimen.

Gerakan Anti-Dasar Penjimatan Greece (2010-2015)

Gelombang protes tercetus di Greece mulai bulan Mei 2010, untuk membantah rancangan Kerajaan Greece yang hendak mengurangkan perbelanjaan awam dan meningkatkan cukai sebagai langkah penjimatan untuk mendapatkan bantuan kewangan sebanyak €110 bilion daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelesaikan krisis hutang kerajaan. Sekurang-kurangnya 28 mogok umum telah diadakan sepanjang tempoh dari tahun 2010 hingga 2015, dengan ratusan aksi mogok dalam sektor yang berlainan berlaku pada tahun 2011 dan 2012. Parti politik berhaluan kiri yang anti-dasar penjimatan, Pakatan Kiri Radikal (SYRIZA), menang dalam pilihanraya umum pada tahun 2015. Namun, Kerajaan Greece pimpinan Alexis Tsipras daripada SYRIZA terpaksa tunduk kepada kekuasaan institusi kewangan antarabangsa dengan mempersetujui syarat-syarat yang dikemukakan oleh “troika” (IMF, Bank Pusat Eropah dan Suruhanjaya Eropah), walaupun rakyat Greece mengatakan “tidak” dalam referendum pada 5 Julai 2015.

Mogok Pekerja Perancis Menentang Pembaharuan Sistem Pencen 2010

Pekerja-pekerja daripada sektor swasta dan awam mengadakan aksi protes serta mogok besar-besaran pada bulan September dan Oktober 2010, untuk membantah rancangan Kerajaan Perancis yang hendak melakukan “pembaharuan sistem pencen” yang meningkatkan umur persaraan normal daripada 65 ke 67 tahun dan persaraan awal dari umur 60 ke 62 tahun. Pelajar-pelajar juga menyokong protes ini dengan mendirikan sekatan di 400 buah sekolah tinggi di seluruh negara itu. 

Revolusi Tunisia (2010-2011)

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Tunisia, selepas Mohamed Bouazizi, seorang penjaja jalanan di Sidi Bouzid membunuh diri dengan cara membakar dirinya pada 17 Disember 2010, berikutan pegawai penguatkuasa tempatan menyita kereta tolak yang digunakannya untuk menjaja. Rakyat Tunisia berdemonstrasi di jalanan untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap masalah pengangguran yang serius, inflasi harga makanan, korupsi, kekurangan kebebasan politik dan keadaan hidup yang susah. Selepas protes hampir 4 minggu, Zine El Abidine Ben Ali yang sudah berkuasa sebagai Presiden Tunisia selama 23 tahun, terpaksa melarikan diri ke luar negara pada 14 Januari 2011. Peristiwa kebangkitan rakyat Tunisia ini mencetuskan tindak balas rantai gelombang protes yang dikenali sebagai “Musim Bunga Arab”.

Revolusi Mesir 2011

Beberapa kumpulan anak muda menganjurkan aksi protes pada 25 Januari 2011 untuk membantah keganasan polis yang semakin teruk di Mesir pada masa itu, mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang melanda seluruh negara Mesir. Rakyat Mesir turun berprotes di jalanan pada masa itu, kerana mereka amat tidak berpuas hati dengan masalah-masalah serius seperti kemiskinan, pengangguran, sekatan terhadap ruang demokrasi, keganasan polis dan korupsi. Gelombang protes yang melibatkan aksi demonstrasi jalanan, pendudukan dataran awam dan mogok pekerja, akhirnya memaksa Presiden Hosni Mubarak yang sudah berkuasa selama 30 tahun itu meletak jawatannya pada 11 Februari 2011. Lebih 846 orang mati sepanjang tempoh pergolakan revolusi yang hebat itu. Kuasa pemerintahan diserahkan kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) selepas Hosni Mubarak dijatuhkan, dan Mesir memasuki fasa pergolakan politik yang baharu.

Revolusi Yaman (2011-2012)

Demonstrasi besar-besaran mula tercetus di Sana’a, ibu negara Yaman, pada 27 Januari 2011. Rakyat Yaman berprotes untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap masalah pengangguran, kemiskinan, keadaan ekonomi yang menyusahkan rakyat, korupsi kerajaan, pencabulan hak asasi manusia dan pemerintahan yang bersifat autoritarian, di samping menuntut perletakan jawatan Ali Abdullah Saleh sebagai Presiden Yaman. Selepas pergolakan politik yang hebat, Ali Abdullah Saleh menandatangani perjanjian pemindahan kuasa yang diselaraskan oleh Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) di Riyadh pada 23 November 2011 untuk meninggalkan jawatannya sebagai Presiden Yaman pada bulan Februari 2012, menamatkan pemerintahannya selama 33 tahun di negara itu.

Kebangkitan Rakyat Bahrain 2011

Rakyat Bahrain mula berprotes di jalanan pada 14 Februari 2011 untuk menuntut pembaharuan perlembagaan yang belum dilaksanakan dan keadilan sosio-ekonomi bagi masyarakat umum. Sebahagian demonstran menuntut pemansuhan pemerintahan Raja Hamad bin Isa Al Khalifa setelah pihak kerajaan menggunakan kekerasan terhadap demonstran. Demonstran menduduki Bulatan Mutiara di bandar Manama untuk berprotes. Kerajaan Bahrain mengerahkan tentera untuk mematahkan demonstrasi. Pada 14 Mac 2011, pasukan tentera dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dikerahkan atas sokongan Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) untuk membantu Kerajaan Bahrain dalam mematahkan protes rakyat Bahrain. Raja Hamad turut mengisytihar darurat selama 3 bulan.

Perang Saudara Libya Pertama (2011)

Protes mula-mulanya tercetus di bandar Benghazi pada 15 Februari 2011 yang menyaksikan pertempuran antara demonstran dan pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan, menular menjadi pemberontakan terhadap pemerintahan Muammar Gaddafi yang melanda seluruh negara Libya. Golongan pemberontak menubuhkan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) pada 27 Februari 2011 untuk memantapkan usaha perubahan rejim. Perang saudara yang berlarutan selama 8 bulan akhirnya menyaksikan tentera pimpinan Muammar Gaddafi ditewaskan. Muammar Gaddafi ditangkap dan dibunuh di bandar Sirte pada 20 Oktober 2011. Selepas kejatuhan pemerintahan Muammar Gaddafi, negara Libya terjerumus dalam keadaan politik yang tidak menentu, dengan pelbagai puak yang terlibat dalam pemberontakan bersenjata menjatuhkan Muammar Gaddafi itu bertelingkah sesama diri, sehingga tercetusnya Perang Saudara Libya Kedua (2014-2020).

Pemberontakan Rakyat Syria (2011)

Rakyat Syria mengadakan protes jalanan secara besar-besaran mulai bulan Mac 2011 untuk menuntut pembaharuan demokratik, tetapi menerima reaksi tindakan keras daripada Kerajaan pimpinan Bashar al-Assad. Konflik memuncak sehingga membawa kepada kemunculan kumpulan pembangkang yang militan dan pembelotan dalam Tentera Syria. “Tentera Syria Bebas” (FSA) ditubuhkan oleh golongan pemberontak pada 29 Julai 2011, menandakan peralihan daripada pemberontakan sivil kepada fasa pemberontakan bersenjata. Sejak itu, negara Syria terperangkap dalam perang saudara yang berpanjangan, melibatkan pelbagai kumpulan bersenjata yang berbeza aliran ideologi. Lebih 400,000 orang telah mati dalam peperangan ini, sementara lebih 5 juta orang menjadi pelarian di luar negara dan lebih 7 juta orang lagi menjadi pelarian di dalam negara Syria.

Gerakan 15-M (2011)

Dasar penjimatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sepanyol selepas krisis kewangan pada tahun 2008, mencetuskan gerakan anti-dasar penjimatan yang juga dikenali sebagai Gerakan Indignados. Demonstrasi besar-besaran yang pertama untuk gerakan ini diadakan pada 15 Mei 2011, dan pelbagai aksi protes menyusul selepasnya. Gelombang protes yang melibatkan aksi menduduki dataran awam ini, mengetengahkan isu-isu seperti kadar pengangguran yang tinggi, pemotongan bantuan kebajikan, korupsi ahli politik dan kegagalan sistem dua-parti di Sepanyol. Gerakan protes ini membawa kepada penubuhan Podemos, sebuah parti politik berhaluan kiri yang anti-dasar penjimatan dan anti-korupsi, pada tahun 2014.

Occupy Wall Street (2011)

Satu aksi protes menduduki Taman Zuccotti, yang terletak di kawasan pusat kewangan Wall Street di bandaraya New York, Amerika Syarikat, mula diadakan pada 17 September 2011, dengan slogan “Kita ialah 99%” (We are the 99%) untuk mengetengahkan isu ketidaksamarataan pengagihan kekayaan ekonomi dan pengaruh korporat yang meluas dalam menentukan dasar kerajaan. Para peserta aksi mewujudkan perhimpunan rakyat untuk membuat keputusan secara konsensus. Pendudukan di Taman Zuccoti diusir secara paksa oleh pihak berkuasa pada 15 November 2011, namun demonstran Occupy Wall Street meneruskan aksi mereka dengan menduduki bank, ibupejabat syarikat korporat, kampus universiti dan sebagainya, untuk membawa tuntutan gerakan ini. Aksi protes Occupy Wall Street ini juga mencetuskan Gerakan Occupy yang merebak di lebih 951 buah bandar di 82 buah negara seluruh dunia, untuk memperjuangkan keadilan sosio-ekonomi dan demokrasi yang sebenar.

Protes Romania 2012

Gelombang protes tercetus di Romania pada bulan Januari 2012, apabila Kerajaan Romania memperkenalkan rang undang-undang kesihatan yang bertujuan untuk mengurangkan perlindungan kesihatan tajaan kerajaan, menyahkawal pasaran insurans kesihatan dan menswastakan hospital awam. Rakyat Romania juga tidak berpuas hati dengan masalah-masalah seperti kadar pengangguran yang tinggi, standard kehidupan yang rendah dan korupsi politik. Protes ini memaksa Perdana Menteri Emil Boc meletak jawatannya pada 6 Februari 2012. Namun begitu, negara Romania terus terjerumus dalam krisis politik yang serius, dengan kerajaan berubah tiga kali dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun 2012.

Mogok Pekerja Lombong Asturias 2012

Lebih 8,000 orang pekerja lombong arang batu di Wilayah Berautonomi Asturias, Sepanyol, mengadakan mogok pada bulan Mei hingga Ogos 2012 untuk membantah pemotongan subsidi perlombongan arang batu yang merupakan sebahagian daripada dasar penjimatan Kerajaan Sepanyol. Berlakunya pertempuran sengit antara pekerja-pekerja yang bermogok dengan pihak polis. Pada bulan Jun 2012, 240 orang pekerja lombong mengadakan perarakan selama 20 hari untuk berjalan kaki dari wilayah Asturias ke Madrid, di mana mereka disambut oleh ribuan orang demonstran apabila tiba di Madrid.

Revolusi Rojava (2012-   )

Ketika Perang Saudara Syria berada di peringkat awalnya, tentera kerajaan Syria berundur dari kawasan yang bermajoriti masyarakat Kurdi di Utara Syria. Unit Perlindungan Rakyat (YPG) yang ditubuhkan oleh Parti Kesatuan Demokratik (PYD), sebuah parti berhaluan kiri yang terdiri terutamanya daripada masyarakat Kurdi, menawan bandar Kobanî pada 9 Julai 2012, diikuti dengan pengambilalihan bandar Amuda dan Afrin pada 20 Julai 2012. PYD dan Majlis Kebangsaan Kurdi (KNC) yang bergabung dalam Jawatankuasa Tertinggi Kurdi (DBK), menubuhkan pentadbiran autonomi di bandar-bandar yang ditawannya. DBK dibubarkan pada tahun 2013 selepas PYD meninggalkannya dan berusaha membina sebuah masyarakat Syria yang berasaskan sistem konfederalisme demokratik yang lebih inklusif. Proses revolusi sosial yang menyeluruh berlaku di wilayah Syria Utara dan Timur yang juga dikenali sebagai Rojava. Pilihanraya diadakan, perhimpunan popular ditubuhkan dan Perlembagaan Pentadbiran Autonomi Syria Utara dan Timur diluluskan. Pentadbiran baharu di Rojava ini, mengamalkan sistem politik yang berlandaskan demokrasi langsung masyarakat akar umbi di samping memperjuangkan kesamarataan gender dan hak masyarakat minoriti. Dengan bantuan daripada sukarelawan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan sebahagian militia Tentera Syria Beas, YPG berjaya menewaskan kumpulan pengganas ISIS yang mengepung bandar Kobanî selama 6 bulan dari bulan September 2014 hingga Mac 2015. Pasukan Demokratik Syria (HSD) yang ditubuhkan dan diterajui oleh YPG, berjaya menewaskan ISIS di Syria dengan sepenuhnya pada tahun 2019. Revolusi Rojava menghadapi ancaman daripada Tentera Turki dan sekutunya di Syria yang menduduki sebahagian kawasan di Utara Syria.

Mogok Pekerja Lombong Marikana (2012)

Pekerja-pekerja lombong platinum di kawasan Marikana, Afrika Selatan, melancarkan mogok pada 10 Ogos 2012 untuk menuntut kenaikan gaji. Konflik turut tercetus antara kesatuan sekerja yang pro-majikan dan kesatuan sekerja yang menyokong mogok. Pihak polis Afrika Selatan menggunakan kekerasan untuk mematahakan aksi mogok, dengan insiden berdarah yang paling serius berlaku pada 16 Ogos 2012, di mana 34 orang pekerja lombong dibunuh dalam tindakan keras polis.

Protes Taman Gezi (2013)

Bantahan terhadap rancangan pembangunan di Taman Gezi, sebuah taman perbandaran yang terletak di sebelah Dataran Taksim, Istanbul, Turki, mencetuskan protes duduk bantah pada 28 Mei 2013 untuk menghalang perobohan taman tersebut. Tindakan keras pihak polis yang menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstran dan membakar khemah yang didirikan oleh demonstran, mencetuskan gelombang protes yang lebih besar lagi. Protes dan mogok yang bersolidariti dengan perjuangan di Taman Gezi merebak ke seluruh negara Turki, dengan para demonstran membangkitkan lebih banyak isu lagi, termasuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, perlindungan alam sekitar dan menentang ancaman Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdoğan yang semakin bersifat autoritarian di negara itu.  

Euromaidan (2013-2014)

Warga Ukraine mula berprotes pada 21 November 2013 di Maidan Nezalezhnosti (Dataran Kemerdekaan) di bandar Kyiv, apabila Kerajaan Ukraine mengambil keputusan untuk menghentikan proses penandatanganan perjanjian kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dan sebaliknya menjalin hubungan kerjasama yang lebih rapat dengan Rusia. Demonstrasi yang dicetuskan oleh sebab ketidakpuasan rakyat terhadap masalah korupsi, penyelewengan kuasa dan pencabulan hak asasi manusia ini, juga menuntut perletakan jawatan Presiden Viktor Yanukovych dan kerajaannya. Protes memuncak pada bulan Februari 2014 sehingga memaksa Presiden Viktor Yanukovych melarikan diri ke Rusia pada 22 Februari 2014, sementara Parlimen Ukraine mengundi untuk melucutkan jawatan Yanukovych sebaga Presiden. Selepas kejatuhan Kerajaan Yanukovych, Ukraine terus terjerumus dalam krisis yang baharu, apabila berlakunya peristiwa pengilhakan Semenanjung Krimea oleh Rusia pada bulan Februari-Mac 2014 dan gelombang protes kumpulan pro-Rusia di wilayah Timur dan Selatan Ukraine yang berkembang menjadi konflik bersenjata mulai bulan April 2014.

Musim Bunga Bosnia (2014)

Rakyat mula berprotes pada 4 Februari 2014 di jalanan bandar Tuzla, Bosnia dan Herzegovina, dengan ramai bekas pekerja di syarikat-syarikat milik kerajaan hendak menuntut pampasan kehilangan kerja akibat daripada kemuflisan syarikat berikutan penswastaan, di samping membantah dasar ekonomi neoliberal yang menyebabkan masalah pengangguran dan kemiskinan. Protes menular dengan cepat ke bandar-bandar yang lain seperti Sarajevo (ibu negara Bosnia dan Herzegovina), Bihać, Mostar, Jajce, Brčko, Zenica dan Kakanj. Demonstran-demonstran mengambilalih ibupejabat kerajaan, dan menubuhkan “Plenum” (Perhimpunan Rakyat) untuk membolehkan warga umum terlibat secara langsung dalam perbincangan membuat keputusan mengenai tuntutan rakyat.

Pemberontakan Ferguson (2014)

Penembakan mati seorang warga Amerika Afrika, Michael Brown, oleh seorang pegawai polis di Ferguson, Missouri, Amerika Syarikat, pada 9 Ogos 2014, mencetuskan gelombang protes dan rusuhan besar-besaran di bandar itu. Protes ini membangkitkan perbahasan hebat mengenai amalan rasisme pegawai penguatkuasa terhadap warga Amerika Afrika dan keganasan polis di Amerika Syarikat.

Gerakan Payung Hong Kong (2014)

Keputusan Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China berkenaan dengan pembaharuan sistem pilihanraya Hong Kong yang dianggap menyekat ruang demokrasi dengan membolehkan Parti Komunis China menapis calon yang bertanding untuk Ketua Eksekutif Hong Kong, telah mencetuskan gelombang protes yang hebat. Bermula dengan aksi boikot kelas oleh pelajar-pelajar pada 22 September 2014, demonstrasi memuncak selepas pihak polis menembak gas pemedih mata ke atas demonstran pada 28 September 2014. Para demonstran menduduki jalanraya utama di Admiralty, Mongkok dan Causeway Bay. Demonstran menuntut pilihanraya bebas tanpa penapisan politik oleh pihak Beijing. Aksi pendudukan jalanan oleh demonstran berlarutan selama 79 hari.

Pemberontakan Bukina Faso 2014

Cubaan Kerajaan Burkina Faso untuk meminda perlembagaan negara itu supaya membolehkan Presiden Blaise Compaoré dapat bertanding dalam pilihanraya lagi untuk memanjangkan tempoh kekuasaannya yang sudah mencecah 27 tahun pada masa itu, mencetuskan gelombang protes dan rusuhan yang merebak di banyak buah bandar di Burkina Faso pada bulan Oktober 2014. Compaoré meletak jawatan sebagai Presiden Burkina Faso pada 31 Oktober 2014 dan melarikan diri ke Côte d’Ivoire.

Protes Bantah Undang-undang Ketenteraan Jepun (2015)

Penggubalan rang undang-undang yang membenarkan Pasukan Pertahanan Diri Jepun untuk dikerahkan ke luar negara oleh Kerajaan Jepun, mencetuskan gelombang protes besar-besaran yang disertai oleh kebanyakannya anak muda. Antara organisasi yang terlibat dalam mobilisasi ialah “Aksi Kecemasan Pelajar-pelajar untuk Demokrasi Liberal” (SEALDs). Demonstrasi terbesar diadakan pada 30 Ogos 2015, dengan lebih kurang 120,000 orang berprotes mengepung bangunan parlimen di Tokyo.

Protes Cahaya Lilin Korea Selatan (2016-2017)

Skandal korupsi Presiden Park Geun-hye mencetuskan gelombang protes besar-besaran di Korea Selatan. Rakyat Korea mengadakan aksi perhimpunan cahaya lilin setiap minggu mulai 29 Oktober 2016. Parlimen Korea meluluskan usul pada 9 Disember 2016 untuk mendakwa Park Geun-hye. Mahkamah Perlembagaan mengekalkan keputusan pendakwaan itu dan menyingkirkan Park Geun-hye daripada jawatan Presiden Korea Selatan.

Gerakan Nuit Debout (2016)

Ribuan orang berprotes di jalanan Paris, Perancis, pada 31 Mac 2016, untuk membantah “pembaharuan” undang-undang buruh yang memudahkan syarikat untuk memberhentikan pekerja, mengurangkan bayaran kerja lebih masa dan mengurangkan faedah pemberhentian kerja. Selepas aksi protes, ribuan orang terus berhimpun pada waktu malam di Place de la République, sebuah dataran di dalam bandaraya Paris. Gerakan pendudukan dataran awam yang digelar sebagai “Malam Berdiri” (Nuit Debout) ini merebak ke seluruh negara Perancis.

Protes Standing Rock (2016-2017)

Masyarakat orang asal Sioux di sekitar kawasan Standing Rock, negeri Dakota Utara, Amerika Syarikat, mula mengadakan aksi protes pada bulan April 2016, dengan mendirikan khemah protes, untuk membantah rancangan pembinaan paip saluran minyak yang melalui kawasan tersebut. Masyarakat orang asal di situ melihat paip minyak itu sebagai ancaman kepada sumber air dan tanah adat mereka di situ. Ramai orang datang ke tapak khemah protes untuk memberi sokongan kepada perjuangan ini. Pihak polis pernah menyerang mereka yang berprotes di situ dengan kekerasan. Walaupun kebenaran untuk pembinaan ditolak pada bulan Disember 2016 semasa pentadbiran Presiden Barack Obama atas desakan masyarakat sivil yang hebat, tetapi Presiden Donald Trump yang mengambilalih kuasa pada bulan Januari 2017 menandatangani arahan eksekutif untuk membatalkan keputusan Kerajaan Obama dan meneruskan pembinaan paip minyak itu.  

Protes Anti-Kerajaan Iceland 2016

Pendedahan “Panama Papers”, iaitu dokumen-dokumen rahsia yang disimpan oleh firma guaman Mossack Fonseca, membongkarkan skandal pengelakan cukai dan penyembunyian kekayaan oleh golongan kaya dan pengawai tinggi kerajaan di banyak negara. Skandal Perdana Menteri Iceland, Sigmundur Davíð Gunnlaugsson, yang gagal mengisytihar kekayaannya yang disimpan di luar negara, yang didedahkan dalam Panama Papers, mencetuskan protes besar-besaran di Iceland pada 4 April 2016. Aksi protes di luar Parlimen Iceland yang disertai oleh lebih kurang 24,000 orang, akhirnya memaksa Sigmundur Davíð Gunnlaugsson meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri Iceland.

Protes Romania 2017

Beberapa hari selepas Kerajaan pimpinan Sorin Grindeanu berkuasa pada bulan Januari 2017, Kementerian Kehakiman mengemukakan ordinan yang memberi pengampunan kepada sesetengah jenayah dan meminda Kanun Keseksaan Romania untuk melonggarkan kawalan terhadap salah guna kuasa. Tindakan ini mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara Romania, yang berjaya mendesak Kerajaan Romania untuk menarik balik ordinan yang penuh kontroversi itu, sementara Menteri Kehakiman, Florin Iordache, meletak jawatannya. Namun, oleh sebab masalah kegagalan kerajaan menangani korupsi yang masih berterusan, aksi protes masih diteruskan selepas itu.

Mogok Umum Brazil 2017

Mogok Umum diadakan pada 28 April 2017 untuk membantah pembaharuan undang-undang buruh yang dibawa oleh Kerajaan Brazil pimpinan Presiden Michel Temer, yang menghakis hak pekerja.

Krisis Catalonia 2017

Kerajaan Catalonia yang dikuasai oleh golongan pro-kemerdekaan dan dipimpin oleh Carles Puigdemont, mengadakan satu referendum pada 1 Oktober 2017, dengan lebih 2 juta orang rakyat Catalonia membuang undi, walaupun dihalang oleh Kerajaan Pusat Sepanyol yang mengerahkan polis dari luar Catalonia untuk menyekat proses pengundian. Parlimen Catalonia meluluskan resolusi pada 27 Oktober 2017 untuk mengisytihar kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol, tetapi Kerajaan Pusat Sepanyol memecat Kerajaan Catalonia dan membubarkan Parlimen Catalonia dengan serta-merta. Ramai pemimpin pro-kemerdekaan Catalonia ditangkap dan didakwa. Kerajaan Pusat Sepanyol mengambilalih pemerintahan Catalonia selama 7 bulan dari bulan Oktober 2017 hingga Mei 2018. Walau bagaimanapun, parti-parti politik yang pro-kemerdekaan masih menguasai majoriti dalam Parlimen Catalonia selepas pilihanraya wilayah Catalonia pada 21 Disember 2017.

Mogok Pekerja Pendidikan di Amerika Syarikat 2018-2019

Golombang mogok pekerja-pekerja pendidikan yang dikenali sebagai “Red for Ed” (dengan pekerja-pekerja yang bermogok sering memakai baju merah untuk bersolidariti) bermula pada 22 Februari 2018 di negeri Virginia Barat, dan kemudiannya merebak ke negeri-negeri lain di Amerika Syarikat, termasuk, Oklahoma, Arizona, Colorado dan Virginia. Mogok ini berjaya memenangkan kenaikan gaji tenaga pengajar dan peningkatan pembiayaan untuk sekolah awam di beberapa buah negeri Amerika Syarikat. 

Protes Jordan 2018

Lebih 30 buah kesatuan sekerja di Jordan menganjurkan aksi mogok umum pada 30 Mei 2018, selepas Kerajaan pimpinan Hani Mulki mengemukakan rang undang-undang cukai baharu dalam Parlimen yang selaras dengan langkah-langkah penjimatan yang disokong oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Tambahan pula dengan tindakan Kerajaan Jordan menaikkan harga bahan api dan elektrik, rakyat Jordan turun berprotes beramai-ramai pada 31 Mei 2018. Protes yang berlarutan selama 4 hari ini akhirnya memaksa Hani Mulki meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 4 Jun 2018, dan kerajaan baharu menarik balik rang undang-undang cukai baharu yang kontroversi itu.

Protes Haiti 2018-2021

Rakyat Haiti yang marah dengan masalah korupsi yang berleluasa di bawah pentadbiran Presiden Jovenel Moïse, mula berprotes pada bulan Julai 2018. Rakyat Haiti juga amat tidak berpuas hati kerana semakin tertekan dengan masalah-masalah seperti kekurangan bekalan bahan api, kekurangan air minuman selamat, kemusnahan alam sekitar, kenaikan harga barangan dan ancaman keselamatan diri kerana jenayah yang berleluasa. Gelombang protes memuncak pada bulan September hingga November 2019, dengan aksi protes harian di Port-au-Prince dan bandar-bandar lain di Haiti, telah mengganggu rangkaian pengangkutan dan menyebabkan penutupan perniagaan dan sekolah. Hampir seluruh negara Haiti dilumpuhkan kerana protes rakyat. Golongan pembangkang yang berprotes menuntut perletakan jawatan Presiden Jovenel Moïse, pembentukan kerajaan peralihan untuk melaksanakan program sosial dan menjalankan pendakwaan terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang korup. Protes ini telah berlarutan sehingga tahun 2020 dan 2021.

Gerakan Jaket Kuning (2018-   )

Gerakan Jaket Kuning (Gilets jaunes) yang tercetus di Perancis pada 17 November 2018 untuk menentang kenaikan cukai bahan api yang diperkenalkan oleh Kerajaan pimpinan Presiden Emmanuel Macron. Gerakan ini berkembang dengan siri aksi protes yang diadakan setiap hujung minggu. Kerajaan Perancis membatalkan cukai bahan api yang dicadangkan, mengenakan moratorium 6-bulan ke atas kenaikan harga bahan api dan juga meningkatkan gaji minimum sebanyak €100 pada bulan Disember 2018. Namun begitu, aksi protes mingguan masih diteruskan.

Revolusi Sudan (2018-2019)

Gelombang protes yang tercetus di Sudan pada 19 Disember 2018, memuncak dan memaksa pihak tentera melancarkan kudeta pada 11 April 2019 untuk menjatuhkan rejim pemerintahan Presiden Omar al-Bashir yang berkuasa untuk hampir 30 tahun. Majlis Tentera Peralihan (TMC) yang menggantikan Omar al-Bashir terlibat dalam beberapa peristiwa keganasan terhadap demonstran yang menuntut pembaharuan demokratik, termasuk peristiwa pembunuhan beramai-ramai pada 3 Jun 2019 di Khartoum terhadap demonstran pro-demokrasi yang berkhemah di jalanan. Selepas rundingan yang berpanjangan, TMC mencapai persetujuan dengan gabungan gerakan protes yang menjatuhkan Omar al-Bashir, untuk memulakan proses peralihan dengan tujuan mengembalikan demokrasi di Sudan. Namun, protes jalanan yang sporadik masih berterusan untuk menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban pihak berkuasa.

Protes Algeria (2019)

Protes mula tercetus pada 16 Februari 2019 dan merebak dengan cepatnya ke seluruh negara Algeria, selepas Abdelaziz Bouteflika yang sudah berkuasa untuk 20 tahun di negara itu mengumumkan bahawa dia akan terus menjadi Presiden Algeria untuk penggal kelima dengan bertanding dalam Pilihanraya Presiden yang akan datang pada masa itu. Gelombang protes selama 7 minggu, berjaya menjatuhkan Abdelaziz Bouteflika pada 2 April 2019. Namun, pihak tentera yang mendesak perletakan jawatan Abdelaziz Bouteflika dan elit pemerintah dalam rejim lama enggan melakukan pembaharuan menyeluruh seperti yang dituntut oleh rakyat yang berprotes. Pilihanraya Presiden Algeria yang pertama sejak kejatuhan Abdelaziz Bouteflika telah diadakan pada 12 Disember 2019, tetapi peratusan keluar mengundi sangat rendah (39.88%) dan peratusan undi rosak sangat tinggi (12.7%) kerana pemboikotan oleh rakyat Algeria yang menuntut perubahan sistem.

Mogok Iklim Sedunia (2019)

Mendapat inspirasi daripada protes oleh Greta Thunberg, seorang pelajar berumur belasan tahun di Sweden yang mengadakan protes di hadapan bangunan parlimen Sweden mulai bulan Ogos 2018, aksi mogok pelajar untuk menuntut tindakan segera dalam menangani krisis iklim telah merebak ke seluruh dunia. Pada 15 Mac 2019, lebih 1 juta orang mengambil bahagian dalam aksi Mogok Iklim Sedunia yang diadakan secara serentak di 125 buah negara. Pada 24 Mei 2019, Mogok Iklim Sedunia yang kedua diadakan di 150 buah negara. Aksi Minggu Global untuk Masa Hadapan pada bulan September melibatkan penganjuran 4,500 aksi di lebih 150 buah negara sepanjang minggu 20-27 September 2019, dengan lebih kurang 4 juta orang terlibat dalam mogok iklim pada 20 September 2019 (1.4 juta orang beraksi di Jerman) dan lebih kurang 2 juta orang lagi menyertai aksi pada 27 September 2019 (lebih 1 juta di Itali). Pada 29 November 2019, iaitu 3 hari sebelum diadakan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP25) di Madrid, lebih kurang 2 juta orang berdemonstrasi di 157 buah negara untuk memprotes terhadap kegagalan kerajaan di banyak negara dalam menangani krisis iklim.

Protes Hong Kong 2019

Bermula dengan aksi protes membantah rang undang-undang ekstradisi anjuran Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF) pada 31 Mac 2019 yang disertai oleh 12,000 orang dan pada 28 April 2019 yang disertai oleh 130,000 orang, gerakan menolak rang undang-undang ekstradisi memuncak pada 9 Jun 2019 dengan aksi protes yang disertai oleh 1 juta orang. Tindakan ganas polis pada 12 Jun 2019 mencetuskan protes yang lebih hebat. Aksi protes pada 19 Jun 2019 dengan penyertaan lebih kurang 2 juta orang mencatat rekod aksi perarakan terbesar dalam sejarah Hong Kong. Walaupun Kerajaan Hong Kong pimpinan Carrie Lam Cheng Yuet-ngor akhirnya menarik balik rang undang-undang ekstradisi melalui pengumuman pada 4 September 2019 (secara rasmi di Dewan Perundangan pada 23 Oktober 2019), tetapi gagal meredakan gelombang protes dengan tuntutan yang lebih daripada itu, termasuk pelaksanaan pengundian sejagat dalam pilihanraya untuk Ketua Eksekutif Hong Kong dan Dewan Perundangan Hong Kong. Demonstran yang berprotes juga melawan keganasan polis Hong Kong yang semakin berleluasa. Undang-undang Keselamatan Negara Hong Kong mula diperkenalkan pada 30 Jun 2020 untuk menyekat kebangkitan rakyat dengan lebih lanjut lagi.

Kebangkitan Rakyat Puerto Rico 2019

Gelombang protes tercetus di Puerto Rico pada bulan Julai 2019 kerana skandal korupsi dan pembongkaran isi kandungan perbualan kumpulan pegawai tinggi kerajaan dalam aplikasi Telegram yang kontroversi yang melibatkan Ricardo Rosselló, Gabenor Puerto Rico pada masa itu. Rakyat Peurto Rico mula turun berprotes di jalanan pada 11 Julai 2019 untuk menuntut perletakan jawatan Gabenor Ricardo Rosselló. Lebih 500,000 orang berprotes di San Juan pada 17 Julai 2019; kemudiannya 750,000 orang berprotes di San Juan pada 22 Julai 2019 selepas Rosselló enggan berundur dari posisinya. Hasil daripada mobilisasi rakyat yang hebat, Rosselló akhirnya tunduk pada kuasa rakyat dengan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Gabenor pada 24 Julai 2019. Pedro Pierluisi yang menggantikan Rosselló sebagai Gabenor Puerto Rico pada 2 Ogos 2019 hanya kekal dalam jawatannya untuk beberapa hari sahaja sebelum digantikan oleh Wanda Vázquez Garced.

Protes Papua 2019

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Papua Barat (Provinsi Papua dan Provinsi Papua Barat, Indonesia) pada bulan Ogos-September 2019 berikutan serangan polis terhadap asrama pelajar Papua di Surabaya, Indonesia, dan layanan rasis yang diterima oleh pelajar dari Papua. Protes dan keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Indonesia, telah menyebabkan lebih 30 orang mati dan ramai orang cedera. Bangunan-bangunan kerajaan di Wamena, Sorong dan Jayapura telah dimusnahkan dalam rusuhan. Seruan untuk “Papua Merdeka” dan “referendum” dilaungkan dalam protes rakyat Papua Barat. Kerajaan Indonesia telah menggunakan pelbagai cara, termasuk sekatan akses internet, untuk mematahkan gelombang protes di Papua Barat.

Protes Pelajar Indonesia 2019

Pelajar-pelajar Indonesia bermobilisasi dan berprotes pada penghujung bulan September 2019, dengan slogan #ReformasiDikorupsi, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap penggubalan beberapa rang undang-undang yang menyekat ruang demokrasi dan menghakis kesejahteraan rakyat Indonesia. Gelombang protes pada bulan September-Oktober 2019 merupakan gerakan pelajar Indonesia yang terbesar sejak tahun 1998.

Intifadah Iraq 2019

Gelombang protes tercetus di Iraq pada 1 Oktober 2019 apabila rakyat di negara itu menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap masalah korupsi, pengangguran dan perkhidmatan awam yang teruk. Oleh sebab tekanan daripada protes rakyat, Kerajaan Iraq pimpinan Adil Abdul-Mahdi mengumumkan beberapa dasar pembaharuan, termasuk pencen untuk semua keluarga tanpa pendapatan, pengagihan plot kediaman kepada golongan miskin, pinjaman kepada orang muda, dan peruntukan 50% untuk anak muda tempatan dalam semua kontrak kerajaan. Namun, pengumuman pembaharuan ini masih tidak menepati hasrat rakyat Iraq yang inginkan perubahan yang menyeluruh. Aksi protes yang reda seketika selepas 8 Oktober 2019, bersambung semula pada 24 Oktober 2019. Adil Abdul-Mahdi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Iraq pada 29 November 2019. Demonstrasi berterusan sehingga tahun 2021, dengan demonstran menuntut penghapusan sistem politik yang diwujudkan sejak pencerobohan tentera Amerika Syarikat di Iraq pada tahun 2003. Ini merupakan gelombang protes yang terbesar di Iraq sejak kejatuhan Saddam Hussein. Sekurang-kurangnya 600 orang telah terbunuh dalam insiden yang berkaitan dengan gelombang protes ini.

Protes Ecuador 2019

Gelombang protes rakyat tercetus di Ecuador pada 3 Oktober 2019, untuk menentang langkah-langkah “penjimatan” yang diumumkan oleh Presiden Lenín Moreno, termasuk pembatalan subsidi bahan api. Langkah-langkah penjimatan tersebut dibuat berdasarkan perjanjian Kerajaan Ecuador dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan dana daripada institusi kewangan antarabangsa tersebut. Presiden Moreno pada awalnya mengisytihar darurat tetapi gagal membendung aksi protes. Masyarakat orang asal Ecuador memainkan peranan penting dalam mobilisasi untuk protes, di samping pekerja-pekerja pengangkutan yang mendapat impak paling teruk akibat pembatalan subsidi bahan api. Protes menjadi begitu hebat sehingga Presiden Moreno terpaksa memindahkan kerajaannya pada 8 Oktober 2019 dari ibu negara, Quito, ke bandar Guayaquil. Pada 13 Oktober 2019, Kerajaan Ecuador mencapai persetujuan dengan Konfederasi Bangsa-Bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE), di mana subsidi bahan api dikembalikan.

Protes Catalonia (2019)

Protes mula tercetus di wilayah Catalonia, Sepanyol, pada 14 Oktober 2019, selepas pengumuman hukuman berat yang dijatuhkan ke atas 9 orang pemimpin politik Catalonia yang terlibat dalam penganjuran referendum kemerdekaan pada tahun 2017. 9 orang pemimpin politik Catalonia tersebut dijatuhkan hukuman penjara selama 9 hingga 13 tahun. Pada 18 Oktober 2019, seluruh bandaraya Barcelona dilumpuhkan oleh aksi mogok umum dan protes jalanan.

Protes Rakyat Chile – El Estallido Social (2019)

Bermula dengan aksi protes anak muda yang membantah kenaikan tambang pengangkutan metro di bandaraya Santiago, ibu negara Chile, demonstrasi jalanan berkembang menjadi kebangkitan rakyat menentang dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan pimpinan Presiden Sebastián Piñera. Dasar neoliberal yang masih diamalkan oleh kerajaan Chile sejak zaman pemerintahan diktator Augusto Pinochet, menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan ketidaksamarataan sosial yang semakin teruk di negara itu. Presiden Sebastián Piñera pada awalnya mengisytihar darurat, tetapi gagal menghalang rakyat daripada terus berprotes. Pada 25 Oktober 2019, lebih 1 juta orang berprotes di Santiago dan menuntut perletakan jawatan Presiden Piñera. Piñera mengumumkan pada 23 Oktober 2019 bahawa Kerajaan Chile akan melakukan pembaharuan terhadap pendidikan, kesihatan dan sistem pencen, sebagai cubaan untuk meredakan keadaan. Kemudiannya pada 28 Oktober 2019, Piñera memecat 8 orang menteri dalam kabinetnya. Pada 15 November 2019, Kongres Nasional Chile bersetuju untuk mengadakan referendum berkenaan sama ada rakyat mahukan satu perlembagaan baharu atau tidak. Referendum diadakan pada 25 Oktober 2020, dengan 78% pengundi menyokong untuk menggubal Perlembagaan baharu.

Protes Lubnan 2019

Gelombang protes tercetus di Lubnan pada 17 Oktober 2019, bermula daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap pengenalan cukai yang membebankan rakyat, termasuk cukai regresif terhadap panggilan protokol suara-melalui-internet (VoIP), kemudian berkembang menjadi kebangkitan rakyat menentang gejala korupsi, pengangguran, ekonomi yang merudum, dan kegagalan kerajaan dalam membekalkan perkhidmatan asas kepada rakyat. Walaupun Kerajaan Lubnan menarik balik cukai yang dicadangkan pada awalnya, tetapi protes masih berterusan dan berkembang menjadi gerakan massa bukan-sektarian yang menentang seluruh kelas elit politik pemerintah. Pengumuman “pembaharuan” oleh kerajaan, seperti pemotongan gaji untuk kebanyakan pegawai tinggi kerajaan dan ahli politik serta program kebajikan untuk golongan miskin dan penganggur, masih tidak dapat membendung penularan kemarahan rakyat. Pada 27 Oktober 2019, hampir 170,000 orang mengambil bahagian dalam aksi membentuk rantai manusia sepanjang 170 km dari Tripoli di utara sehingga ke Tyre di selatan negara Lubnan. Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri, mengumumkan perletakan jawatannya pada 29 Oktober 2019, menandakan kemenangan penting untuk gerakan protes rakyat Lubnan. Walau bagaimanapun, protes jalanan masih berterusan. Peristiwa letupan hebat di Pelabuhan Beirut pada bulan Ogos 2020 mencetuskan gelombang protes yang baharu.

Protes Anti-Kudeta Bolivia (2019-2020)

Golongan berhaluan kanan melancarkan demonstrasi dan rusuhan selepas Pilihanraya Umum di Bolivia yang menyaksikan Evo Morales daripada Gerakan Menuju Sosialisme (MAS) menang dalam pengundian pusingan utama Pilihanraya Presiden pada bulan Oktober 2019 dengan meraih 47.08% undi, 10.57 titik peratusan mendahului pesaing terdekatnya. Golongan berhaluan kanan bersubahat dengan pihak tentera untuk melancarkan kudeta, sehingga Morales terpaksa meletak jawatan sebagai Presiden Bolivia pada 10 November 2019 untuk mengelakkan pertumpahan darah dan meninggalkan Bolivia. Jeanine Áñez mengambilalih jawatan Presiden sementara. Penyokong-penyokong Morales telah bermobilisasi untuk menentang kudeta. Kerajaan berhaluan kanan yang berkuasa melalui kudeta tentera menggunakan keganasan untuk cuba mematahkan aksi protes rakyat. Selepas gelombang aksi protes hebat yang menentang usaha rejim kudeta pimpinan Jeanine Áñez daripada terus menangguhkan pilihanraya pada tahun 2020, Luis Arce, calon MAS untuk Presiden Bolivia, menang dalam Pilihanraya Presiden pada 18 Oktober 2020, dengan meraih sebanyak 55.10% undi. Morales pulang ke Bolivia pada bulan November 2020.

Protes Colombia (2019-2020)

Rakyat Colombia mengadakan aksi mogok dan protes besar-besaran pada 21 November 2019, untuk menentang dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan yang dipimpin oleh Presiden Iván Duque Márquez, dan menyatakan sokongan terhadap proses pendamaian Colombia. Iván Duque mengamalkan dasar neoliberal seperti serangan terhadap undang-undang buruh, penswastaan syarikat awam, pengurangan pencen, dan pengurangan peruntukan untuk pendidikan. Jawatankuasa Mogok Nasional yang menghimpunkan kesatuan-kesatuan sekerja dan organisasi-organisasi masyarakat, telah mengemukakan piagam tuntutan yang merangkumi perkara seperti membatalkan program “pembaharuan” ekonomi yang bersifat neoliberal, pembubaran Skuadron Anti-Rusuhan Bergerak dan pembaharuan terhadap pasukan polis, penarikan balik rang undang-undang “pembaharuan cukai” yang berpihak pada golongan berkuasa, dan kerajaan Colombia harus menghormati perjanjian damai dengan Tentera Revolusioner Colombia (FARC). Protes ini telah berlarutan sehingga tahun 2020. Satu lagi gelombang protes besar-besaran tercetus di pada bulan September 2020 selepas berlakunya insiden kematian Javier Ordóñez kerana keganasan polis.

Gerakan Sardin (2019-2020)

“Gerakan Sardin” (Movimento delle Sardine), bermula dengan aksi protes yang diadakan pada 14 November 2019 di Piazza Maggiore, Bologna, sebagai respon kepada ancaman perluasan pengaruh politik pelampau kanan yang diwakili oleh Lega di bawah kepimpinan Matteo Salvini. Gerakan ini membolehkan gabungan politik berhaluan kiri-tengah mempertahankan kuasanya di wilayah Emilia-Romagna dengan memenangi pilihanraya wilayah itu pada 26 Januari 2020.

Protes Malta 2019-2020

Berikutan penangkapan terhadap ahli perniagaan Yorgen Fenech pada 20 November 2019, yang berkaitan dengan pembunuhan Daphne Caruana Galizia, seorang wartawan dan blogger yang sering melaporkan penyelewengan dalam Kerajaan Malta tetapi dibunuh dalam letupan bom kereta pada tahun 2017, protes besar-besaran tercetus di Malta dengan mensasarkan korupsi dalam kerajaan dan kegagalan kerajaan membendung pelaburan wang haram. Gelombang protes yang terbesar sejak kemerdekaan Malta pada tahun 1964 ini, telah memaksa Perdana Menteri Joseph Muscat meletak jawatannya.

Protes Bantah CAA di India (2019-2020)

Gelombang protes tercetus di India pada bulan Disember 2019 apabila Kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi memperkenalkan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang memasukkan agama sebagai syarat untuk memohon kewarganegaraan India, dengan pelarian Muslim sengaja dikecualikan daripada layak untuk memohon kewarganegaraan India. Bermula di negeri Assam, gelombang protes menentang akta yang mendiskriminasi ini merebak ke semua bandar utama di India. Serangan ganas polis terhadap pelajar yang berprotes di Jamia Millia Islamia dan Universiti Aligarh Muslim, mencetuskan gelombang protes pelajar di seluruh India. Parti-parti berhaluan kiri dan organisasi-organisasi masyarakat sivil telah bermobilisasi dalam aksi protes besar-besaran.

Protes Tolak Omnibus Law (2020)

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Indonesia untuk menentang Omnibus Law (Undang-undang Sapu Jagat) yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Presiden Jokowi. Undang-Undang Sapu Jagat Cipta Kerja yang digubal atas alasan menarik pelaburan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, bertujuan untuk memudahkan golongan kapitalis dan korporat multinasional dalam mengeksploitasi pekerja dan menggondol lebih banyak sumber alam di Indonesia.

Protes Pro-Demokrasi Thailand 2020

Gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda dan pelajar tercetus pada bulan Februari 2020 selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan Parti Maju Masa Depan, sebuah parti pembangkang yang lantang bersuara melawan kekuasaan pihak tentera. Protes jalanan tergendala untuk beberapa bulan kerana penularan wabak COVID-19, tetapi kembali beraksi pada bulan Julai 2020. Gerakan protes ini mengemukakan tuntutan-tuntutan seperti pengunduran Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri untuk pilihanraya baharu, menggubal perlembagaan baharu untuk menggantikan perlembagaan yang bersifat autoritarian, menghentikan gangguan terhadap rakyat yang bersuara mengkritik kerajaan dan melakukan pembaharuan terhadap sistem monarki di Thailand. Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha cuba mengisytihar darurat yang diperketatkan pada bulan Oktober 2020 tetapi gagal menyekat orang ramai daripada turun ke jalanraya. Ramai aktivis didakwa atas pertuduhan hasutan dan lèse-majesté.

Protes George Floyd dan Gerakan Black Lives Matters (2020)

Kematian George Floyd, seorang warga Amerika Afrika, selepas dilayan secara keras oleh pegawai polis di bandar Minneapolis pada 25 Mei 2020, mencetuskan semula gelombang gerakan Black Lives Matter dengan aksi protes besar-besaran merebak ke seluruh negara Amerika Syarikat. Aksi-aksi protes ini telah mengetengahkan isu-isu seperti keganasan polis dan rasisme institusi yang dihadapi oleh golongan keturunan Afrika serta golongan minoriti di Amerika Syarikat. Terdapat juga insiden keganasan polis yang berlaku di beberapa buah bandar yang lain, mencetuskan demonstrasi dan rusuhan, antaranya insiden penembakan Jacob Blake di bandar Kenosha, Wisconsin, pada 23 Ogos 2020, dan dua orang demonstran yang berprotes membantah rasisme dan keganasan polis di Kenosha ditembak mati oleh seorang pendukung fahaman pelampau kanan. Gelombang protes ini juga mewujudkan kempen menurunkan tugu peringatan yang berkaitan dengan sejarah perhambaan dan ketuanan orang berkulit putih. Kerajaan tempatan di beberapa buah bandar di Amerika Syarikat telah melakukan pengurangan belanjawan dan pembaharuan terhadap jabatan polis masing-masing berikutan gerakan protes Black Lives Matter.

Protes Mali 2020

Gerakan protes besar-besaran yang tercetus di Bamako, Mali, pada 5 Jun 2020, akhirnya membawa kepada kudeta tentera yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Ibrahim Boubacar Keïta pada 19 Ogos 2020.

Protes Belarus 2020

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Belarus dan memuncak apabila Alexander Lukashenko diisytihar menang untuk kali keenam dalam Pilihanraya Presiden Belarus yang penuh dengan kontroversi pada bulan Ogos 2020. Kerajaan pimpinan Presiden Alexander Lukashenko yang berkuasa sejak tahun 1994, menggunakan kekerasan untuk mematahkan kebangkitan rakyat Belarus, tetapi demonstrasi jalanan masih berterusan. Gerakan protes ini menuntut perletakan jawatan Lukashenko sebagai Presiden, pilihanraya baharu yang bebas dan adil, pembebasan tahanan politik dan penghapusan keganasan polis.

Protes Petani India 2020-2021

Petani-petani India mengadakan aksi protes besar-besaran untuk menentang undang-undang pertanian baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan India di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi. Tiga undang-undang pertanian baharu yang diluluskan dalam Parlimen India pada bulan September 2020, menyebabkan petani-petani miskin di India lebih terdedah kepada ancaman pasaran bebas yang didominasi oleh golongan kapitalis mahakaya, di samping menurunkan harga jualan hasil tanaman petani serta menghancurkan rezeki golongan petani. Golongan petani di India bermobilisasi melalui gabungan seperti Sanyukt Kisan Morcha (SKM) dan Kesatuan Petani Seluruh India (AIKS). Antara aksi massa yang dianjurkan termasuk Bharat Bandh (mogok petani seluruh negara) pada 25 September 2020, kempen berarak menuju ke Delhi yang dilancarkan serentak dengan mogok pekerja seluruh India pada 26 November 2020, sekatan jalan menuju ke Delhi, dan perarakan traktor di Delhi pada 26 Januari 2021. Petani-petani yang berprotes mengemukakan tuntutan seperti memansuhkan tiga undang-undang pertanian baharu yang menjejaskan rezeki petani, memastikan jaminan harga sokongan minimum (MSP) bagi hasil pertanian, melaksanakan cadangan daripada Suruhanjaya Petani Kebangsaan dan sebagainya.

Protes #EndSARS (2020)

Gelombang protes besar-besaran tercetus di Nigeria pada bulan Oktober 2020, dengan tuntutan membubarkan Skuad Anti-Perompakan Khas (SARS) yang terkenal dengan penggunaan keganasan terhadap orang awam. Pasukan Polis Nigeria mengumumkan pembubaran SARS pada 11 Oktober 2020, namun aksi protes diteruskan kerana rakyat menuntut perubahan sistemik yang sebenar pada badan penguatkuasaan di negara itu.

Protes Poland 2020

Gelombang protes yang hebat tercetus di seluruh negara Poland selepas mahkamah perlembagaan negara itu memutuskan pada 22 Oktober 2020 untuk memperketatkan lagi undang-undang mengenai pengguguran kandungan di Poland, sehingga hampir semua kes pengguguran boleh dianggap haram. Ini merupakan gelombang kebangkitan rakyat yang terbesar di Poland sejak kejatuhan pemerintahan parti komunis di negara itu pada tahun 1989.

Protes Peru 2020

Gelombang protes rakyat yang hebat melanda Peru berikutan pemecatan Martín Vizcarra sebagai Presiden negara itu pada 9 November 2020 yang dianggap sebagai “kudeta parlimen” oleh ramai orang. Manuel Merino yang mengambilalih kuasa sebagai Presiden dan membentuk kerajaan berhaluan pelampau kanan dengan sokongan daripada laksamana-laksamasa Tentera Laut Peru, hanya bertahan selama 5 hari kerana tekanan yang hebat daripada gelombang protes ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s