Sejarah masyarakat manusia penuh dengan perjuangan rakyat yang menentang kezaliman dan membebaskan diri daripada penindasan.

Kronologi sejarah revolusi dunia ini (dalam 3 bahagian) menyenaraikan peristiwa-peristiwa perjuangan rakyat di seluruh pelusuk dunia, merangkumi kebangkitan rakyat melawan penindasan, pemberontakan menentang kuasa pemerintahan yang zalim, penentangan terhadap kekuasaan penjajah dan revolusi yang mengubah sistem masyarakat.

(Ini bukannya senarai peristiwa revolusi yang lengkap dan mungkin adanya peristiwa kebangkitan rakyat yang tertinggal.)

Kronologi Revolusi Dunia

Bahagian 1: Sebelum tahun 1848

Pemberontakan Sumeria (lebih kurang 2380 SM)

Pemberontakan rakyat di Lagash (sebuah bandar di Mesopotamia) menjatuhkan pemerintahan Raja Lugalanda dan mengangkat Urukagina, seorang pembaharu, sebagai raja baharu. Urukagina melaksanakan pembaharuan terhadap pemerintahan Sumeria dengan menyekat kuasa pendeta dan pemilik harta besar, serta mengambil tindakan untuk membendung amalan riba dan rasuah.

Pemberontakan Teman Senegeri (841 SM)

Penduduk di Haojing, ibu kota kerajaan Dinasti Zhou, di Tanah Besar China, memberontak untuk menentang Raja Li dari Zhou yang korup dan menindas rakyat. Raja Li terpaksa melarikan diri. Satu pemerintahan peralihan yang dikenali sebagai “Pemerintahan Gonghe” diwujudkan sehingga Raja Xuan dari Zhou mengambilalih takhta pada tahun 828 SM.

Pemberontakan Babylon (626-620 SM)

Nabopolassar, Raja Babylon yang bangkit berikutan ketidakstabilan Empayar Assyria Baharu, melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan pemerintahan Assyria, dan mendirikan Empayar Babylon Baharu yang menguasai Mesopotamia untuk hampir satu abad.

Revolusi Rom (510-509 SM)

Golongan bangsawan Rom yang dipimpin oleh Lucius Junius Brutus, dengan sokongan daripada rakyat dan tentera Rom, memberontak untuk menyingkirkan pemerintahan Raja Rom Lucius Tarquinius Superbus dan mendirikan sebuah republik yang dipimpin oleh dua orang konsul yang dipilih setiap tahun untuk mentadbir bandar Rom.

Revolusi Athens (507 SM)

Warga Athens bangkit menentang cubaan Isagoras, seorang aristokrat yang disokong oleh Raja Sparta Cleomenes I, untuk membubarkan “boule” (majlis warga bandar yang dilantik untuk mengendalikan urusan harian bandar). Isagoras dan penyokongnya yang dikalahkan kebangkitan rakyat Athens terpaksa melarikan diri. Rakyat Athens memanggil kembali tokoh pembaharuan, Cleisthenes, untuk menjalankan pembaharuan terhadap kerajaan Athens, dan mewujudkan sistem Demokrasi Athens. Cleisthenes memperkenalkan pembaharuan yang menyekat kekuasaan golongan aristokrat dan menghubungkan setiap warga Athens dengan pentadbiran bandar itu.

Pemberontakan Ionia (499 SM – 493 SM)

Rakyat di kebanyakan bandar Greece di rantau Asia Kecil yang diduduki oleh Empayar Achaemenid, bangkit memberontak terhadap pemerintah Parsi di situ. Pemberontakan tercetus di bandar-bandar seperti Ionia, Aeolis, Doris, Cyprus dan Caria. Pemberontakan Ionia mendapat sokongan daripada tentera Athens dan Eretria. Namun, pemberontakan ditewaskan oleh tentera Parsi.

Pemberontakan Plebis (494 SM)

Golongan plebis (warga Rom yang bebas) yang berkedudukan kelas lebih rendah memberontak terhadap kelas patricius (golongan kelas pemerintah) di bandar Rom. Mendengar nasihat daripada Lucius Sicinius Vellutus, golongan plebis meninggalkan bandar Rom dan mendirikan kem di atas bukit Monte Sacro. Hasil daripada rundingan dengan kelas patricius, golongan plebis mendapat lebih banyak hak politik.

Pemberontakan Helot (464 SM)

Golongan hamba di Sparta yang dikenali sebagai Helot, memberontak terhadap pemerintahan Sparta, tetapi gagal.

Pemberontakan Thebes (378 SM)

Bandar Thebes diperintah oleh segolongan kecil oligarki yang disokong oleh tentera Sparta selepas Sparta mengalahkan Athens dalam Perang Peloponnesos. Sekumpulan warga Thebes yang dibuang negeri yang dipimpin oleh Pelopidas menyeludup masuk ke bandar Thebes dan membunuh pemerintah yang pro-Sparta pada tahun 378 SM. Pemberontakan ini mewujudkan demokrasi untuk Thebes. Tentera Liga Boiotia yang diterajui Thebes menewaskan tentera Sparta dalam Pertempuran Leuctra pada tahun 371 SM. Namun, kegemilangan Thebes tidak berkekal lama, sementara kekuasaan Sparta juga tidak dapat dikembalikan.

Pemberontakan Dazexiang (209 SM)

Chen Sheng dan Wu Guang, dua orang pegawai tentera yang diarahkan untuk membawa sekumpulan petani ke barisan pertahanan di Yuyang, telah lewat melaksanakan arahan tersebut kerana hujan lebat. Dengan kebimbangan mereka akan dihukum mati, Chen Sheng dan Wu Guang memimpin petani-petani untuk memberontak di Dazexiang. Tentera pemberontak mendirikan rejim pemerintahan sendiri dan bertempur dengan tentera Qin tetapi tidak berjaya. Chen Sheng dan Wu Guang masing-masing dibunuh oleh pengikut mereka setelah tentera pemberontak berpecah. Ini merupakan pemberontakan petani secara besar-besaran yang pertama di China, dan menjadi faktor penyumbang kepada kejatuhan Dinasti Qin tidak lama kemudian.  

Pemberontakan Spartacus (73 SM-71 SM)

Spartacus, seorang hamba yang dilatih sebagai gladiator, telah bangkit melawan tuan hamba bersama dengan lebih kurang 70 orang gladiator di Capua setelah rancangan mereka untuk melarikan diri terdedah, Spartacus dan hamba yang melarikan ke Gunung Vesuvius dan bertapak di situ. Hamba-hamba dan rakyat miskin dari merata tempat di dalam Republik Rom telah menyertai tentera pemberontakan Spartacus, menjadikan jumlah barisan pemberontakan mencecah 120,000 orang dalam tempoh 2 tahun. Tentera pemberontak Spartacus menyerang dan mengalahkan tentera Rom di banyak tempat. Golongan pemerintah dalam Republik Rom yang bimbang dengan ancaman Spartacus terhadap kekuasaan mereka, telah mengerahkan tentera dari seluruh negara untuk melenyapkan secara kejam pemberontakan hamba yang dipimpin Spartacus. Pemberontakan Spartacus digagalkan dan ramai hamba dibunuh. Pemberontakan Spartacus yang juga dikenali sebagai “Perang Hamba Ketiga” ini merupakan pemberontakan hamba abdi yang terbesar ketika zaman Republik Rom.

Perang Gaetuli (3-6)

Golongan masyarakat Gaetuli yang semi-nomad di wilayah Mauretania (rantau Maghreb hari ini) memberontak menentang pencerobohan Rom yang menyekat pergerakan mereka, tetapi dipatahkan oleh tentera yang dipimpin oleh Cossus Cornelius Lentulus.

Pemberontakan Germania (9-16)

Gabungan puak-puak Jermanik yang dipimpin oleh Arminius, memberontak dan menewaskan tentera Rom dalam Pertempuran Hutan Teutoburg, di mana ia berjaya menghalang penjajahan Empayar Rom ke atas wilayah Germania.

Pemberontakan Kening Merah dan Lulin (17-27)

Kening Merah (Chimei) dan Lülin merupakan dua gerakan pemberontakan petani yang tercetus untuk menentang pemerintahan Maharaja Wang Mang daripada Kerajaan Dinasti Xin. Pemberontakan ini menjatuhkan Wang Mang, dan tentera pemberontak Lülin mengangkat pemimpin mereka, Liu Xuan, sebagai Mahajaraja Gengshi, tetapi dijatuhkan oleh tentera pemberontak Kening Merah tidak lama kemudian yang mengangkat Liu Penzi sebagai maharaja. Tentera Kening Merah kemudiannya ditewaskan pula oleh Liu Xiu yang menjadi pengasas Dinasti Han Timur (25-220).

Pemberontakan Frisii (28)

Masyarakat suku Frisii memberontak menentang pemerintahan Empayar Rom dan memaksa tentera Rom berundur keluar dari wilayah Frisia (Belanda hari ini).

Pemberontakan Adik-beradik Trung (40-43)

Dua orang adik-beradik perempuan, Trưng Trắc dan Trưng Nhị, memimpin pemberontakan terhadap pemerintahan Kerajaan Dinasti Han dari China di wilayah Jiaozhi (Utara Vietnam hari ini). Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Han. Kedua-dua orang adik-beradik Trưng ditangkap dan dibunuh oleh tentera Han.

Pemberontakan Boudica (60-61)

Boudica, isteri kepada seorang raja suku Celt di Britain, dilayan teruk oleh pemerintah Empayar Rom selepas suaminya meninggal dunia, dengan dirinya dipukul, tanahnya dirampas Kerajaan Rom, dan anak perempuannya dirogol. Boudica melancarkan pemberontakan untuk menentang kezaliman kekuasaan Rom. Pemberontakan Boudica ditewaskan dalam Pertempuran Watling Street.

Pemberontakan Yahudi (66-73)

Warga di wilayah Judea yang dikuasai Rom pada masa itu memberontak untuk menentang pemerintahan Empayar Rom. Tentera Rom dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan ini. Bandar Jerusalem dan Kuil Suci di dalamnya dimusnahkan oleh tentera Rom pada tahun 70.

Pemberontakan Batavi (69-70)

Masyarakat suku Batavi di wilayah Batavia memberontak terhadap pemerintahan Empayar Rom. Pemberontakan yang turut disertai oleh suku-suku Celt yang lain di wilayah Gallia Belgica ini dipatahkan oleh tentera Rom, dan wilayah Batavia kemudiannya dimasukkan ke dalam wilayah Germania Hilir di bawah pemerintahan Emapayar Rom.

Pemberontakan Bar Kokhba (132-136)

Masyarakat Yahudi di wilayah Judae di bawah pimpinan Simon bar Kokhba, memberontak menentang pemerintahan Empayar Rom. Pemberontakan ini ditewaskan dan masyarakat Yahudi ditindas dengan hebat oleh pemerintah Rom.

Pemberontakan Serban Kuning (184-205)

Golongan petani yang dipimpin oleh Zhang Jue, Zhang Bao dan Zhang Liang, pengasas kepada mazhab Taoisme yang dikenali sebagai “Taiping Dao”, memberontak untuk menentang Kerajaan Dinasti Han Timur. Walaupun pemberontakan yang utama dipatahkan dalam tempoh setahun oleh panglima-panglima perang Dinasti Han, tetapi saki-bakinya masih meneruskan penentangan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang sebelum dipadamkan sepenuhnya, dan menjadi salah satu faktor kepada kejatuhan Dinasti Han Timur.

Pemberontakan Ba Trieu (248)

Triệu Thị Trinh, seorang hulubalang wanita di Vietnam, melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Kerajaan Dinasti Wu Timur dari China, tetapi akhirnya ditewaskan oleh tentera Wu.

Bagaudae (abad ke-3)

Ketika Empayar Rom dilanda Krisis Abad Ketiga (235-284), munculnya golongan petani yang memberontak, dikenali sebagai “Bagaudae”. Gelombang pemberontakan Bagaudae yang disertai oleh petani, hamba-tani, warga bandar bebas dan tuan tanah kecil yang menghadapi masalah kebankrapan ini, tertumpu di kawasan Gaul dan Hispania. Selepas kebanyakan pemberontakan dihancurkan pada tahun 286, pemberontakan yang serupa muncul berulang kali sehingga kejatuhan Empayar Rom pada abad ke-5.

Pemberontakan Annam (722)

Mai Thúc Loan memimpin petani-petani di Vietnam yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan Dinasti Tang dari China yang memaksa mereka membayar ufti, untuk memberontak menentang pemerintahan Tang, dan menggelar dirinya sebagai Hắc Đế (Maharaja Hitam). Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Tang.

Pemberontakan Barbar (739-743)

Pemberontakan masyarakat Barbar yang dipimpin oleh Maysara al-Matghari pada awalnya untuk menentang pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah di Tangiers, merebak ke seluruh rantau Maghreb dan Al-Andalus. Pemberontakan ini berjaya mengusir keluar Kerajaan Bani Umayyah dan menubuhkan beberapa buah negara Barbar yang merdeka.

Revolusi Abbasiyah (747-750)

Abu al-Abbas al-Saffah yang mendapat sokongan daripada kekuatan tentera di Merv yang dipimpin oleh Abu Muslim, bersama-sama dengan golongan Syiah, melancarkan serangan dan menewaskan Kerajaan Bani Ummayyah. Abu al-Abbas al-Saffah dilantik sebagai Khalifah baharu, dan mendirikan Kerajaan Bani Abbasiyah. Revolusi Abbasiyah telah membawa pembaharuan yang menamatkan kedudukan istimewa orang Arab di Dunia Islam dan menghentikan diskriminasi terhadap orang bukan Arab, maka mewujudkan pemerintahan yang lebih inklusif dan multi-etnik di Timur Tengah.

Stellinga (841-845)

Golongan kasta frilingi (orang bebas) dan lazzi (orang bebas yang merupakan bekas hamba) daripada masyarakat Saxon di dalam Empayar Carolus memberontak untuk menuntut pemulihan hak politik mereka yang dinikmati sebelum menukar agama daripada Paganisme Jerman kepada Kristian. Pemberontakan ini dipatahkan oleh Kerajaan Dinasti Carolus dan sekutunya dalam kalangan golongan bangsawan Saxon.

Pemberontakan Zanj (869-883)

Golongan Zanj (orang dari Afrika Timur yang dijadikan hamba di Timur Tengah) memberontak berdekatan bandar Basra, untuk menentang pemerintahan Kerajaan Abbasiyah. Walaupun pemberontakan dipatahkan akhirnya, tetapi ia telah menggegarkan Kerajaan Abbasiyah pada masa itu.

Pemberontakan Huang Chao (875-884)

Huang Chao, seorang penyeludup garam, menyahut seruan pemberontakan yang dilancarkan oleh Wang Xianzhi pada tahun 874, turut melancarkan pemberontakan petani untuk menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Tang di China. Tentera pemberontak yang dipimpin Huang Chao pernah menawan Chang’an, ibu negara Tang, dan Huang Chao menggelar dirinya sebagai Maharaja Qi. Pemberontakan ini akhirnya ditewaskan oleh tentera Tang, tetapi telah melemahkan pemerintahan Dinasti Tang.

Pemberontakan Slav (983)

Masyarakat Slav yang tinggal di bahagian timur Sungai Elbe di kawasan timur laut Jerman moden, memberontak untuk mengusir perwakilan politik dan agama yang dilantik oleh Kerajaan Dinasti Ottonian daripada Empayar Rom Suci, serta menolak pengkristianian yang dibawa semasa pemerintahan Maharaja Otto I sebelum itu. Pemberontakan ini menghentikan penghijarahan masyarakat Jerman ke timur.

Pemberontakan Wang Xiaobo dan Li Shun (993-995)

Petani-petani di wilayah Sichuan yang dipimpin oleh Wang Xiaobo memberontak untuk menentang Kerajaan Dinasti Sung yang mengenakan cukai yang membebankan penduduk di situ. Wang Xiaobo mati dalam perang, Li Shun mengambilalih kepimpinan tentera pemberontak dan menawan bandar Chengdu. Kerajaan Li Shu yang ditubuhkan oleh Li Shun ditumpaskan oleh tentera Kerajaan Sung tidak lama kemudian.

Pemberontakan Ivaylo (1277-1280)

Oleh sebab tidak berpuas hati dengan pemfeudalan yang dilakukan oleh Empayar Bulgaria Kedua dan kegagalan pihak pemerintah dalam menangani pencerobohan Mongol di wilayah Timur Laut Bulgaria, petani-petani di Bulgaria memberontak di bawah pimpinan seorang petani bernama Ivaylo, menentang pemerintahan Tsar Konstantin Tih. Tentera pemberontak mengalahkan tentera Tsar dan Mongol, memaksa golongan bangsawan mengiktiraf Ivaylo sebagai Tsar Bulgaria. Ivaylo kemudiannya dikalahkan oleh golongan bangsawan yang bersatu dan terpaksa mendapatkan sokongan daripada panglima perang Mongol Nogai Khai, tetapi akhirnya dibunuh oleh orang Mongol.

Pemberontakan Petani Flanders (1323-1328)

Rusuhan yang berselerak di kawasan kampung di wilayah Flanders pada penghujung tahun 1323 berkembang menjadi pemberontakan rakyat yang hebat. Pemberontakan ini disebabkan oleh percukaian membebankan yang diperkenalkan oleh Louis I selaku Count Flanders dan dasarnya yang pro-Perancis. Pemberontakan yang dipimpin oleh Nicolaas Zannekin dari Lampernisse ini, telah menular ke seluruh wilayah Flanders. Raja Perancis mengerahkan tentera untuk mengalahkan pemberontakan ini. 

Kebangkitan Zealot (1342-1350)

Thessaloniki, bandar kedua besar Empayar Bizantium pada masa itu, jatuh dalam tangan satu kumpulan yang digelar “Zealot”, selepas berlakunya pemberontakan rakyat yang menentang golongan bangsawan. Zealot mendirikan sebuah kerajaan sivik sendiri selama 8 tahun. Zealot telah merampas harta golongan bangsawan dan mengagihkan semula kepada rakyat. Thessaloniki jatuh semula dalam tangan golongan bangsawan selepas serangan berterusan.

Pemberontakan Malam Saint George (1343-1345)

Pada 23 April 1343 (Hari Saint George), penduduk berbangsa Estonia melancarkan pemberontakan menentang pemerintahan tuan tanah Kesatria Teuton berbangsa Jerman dan Kerajaan Denmark yang menawan Estonia semasa Perang Salib Livonia. Pemberontakan digagalkan berikutan serangan tentera Kesatria Teuton.  

Pemberontakan Cola di Rienzo (1347)

Cola di Rienza, seorang anak muda yang bercita-cita tinggi, telah memimpin rakyat di Rom untuk menggulingkan pemerintahan golongan bangsawan dan Paus pada 20 Mei 1347. Pemberontakan Cola cuba mengembalikan kehebatan bandar Rom ketika zaman Republik Rom, dan menerajui satu zaman baharu untuk kebebasan dan keamanan, tetapi pentadbiran Cola bertukar menjadi pemerintahan kuku besi, kemudiannya Cola hilang kuasa dan terpaksa hidup dalam buangan selepas 7 bulan.

Pemberontakan Serban Merah (1351-1368)

Pemerintahan Dinasti Yuan yang dikuasai Mongol di China yang penuh dengan penyelewengan dan percukaian yang membebankan, tambahan pula dengan bencana alam yang berterusan, telah mencetuskan pemberontakan petani secara besar-besaran. Tentera Serban Merah dibentuk oleh pengikut agama Teratai Putih untuk menentang Dinasti Yuan, dengan pemimpin utamanya termasuk Han Shantong dan Liu Futong. Pemberontakan ini akhirnya menjatuhkan Kerajaan Dinasti Yuan. Salah seorang pemimpin pemberontak, Zhu Yuanzhang mendirikan Kerajaan Dinasti Ming setelah menewaskan pesaing-pesaing yang lain dalam kalangan pemimpin pemberontak. 

Jacquerie (1358)

Pada ketika Perang Seratus Tahun (1337-1453) antara Perancis dan England, selepas Raja Perancis John II ditangkap tentera England, golongan bangsawan Perancis yang berkuasa pada masa itu mengenakan cukai yang membebankan untuk memeras golongan petani, sehingga menimbulkan kemarahan yang mencetuskan pemberontakan. Pemberontakan yang dipimpin oleh Guillaume Cale ini telah dipatahkan secara ganas oleh golongan bangsawan. “Jacquerie” menjadi lambang pemberontakan petani di Eropah Barat pada Zaman Pertengahan Akhir. (Golongan bangsawan memanggil petani sebagai “Jacques” kerana jubah berpad “jacque” yang dipakai mereka.)

Pemberontakan Ciompi (1378-1382)

Tukang dan buruh yang tidak menganggotai mana-mana kesatuan tukang (maka tidak dapat mengambil bahagian dalam kerajaan bandar Florence, Itali, di samping dieksploitasi dengan upah yang rendah dan cukai yang membebankan), telah memberontak terhadap kekuasaan oligarki bangsawan di bandar itu. Pemberontak membentuk kerajaan yang terdiri daripada pekerja wul (ciompi) dan pekerja-pekerja yang tiada hak mengundi sebelum itu, yang bertahan selama 3 tahun sebelum dijatuhkan.

Pemberontakan Wat Tyler (1381)

Petani-petani di Essex dan Kent memberontak untuk menentang cukai kepala yang dikenakan oleh Raja England. Petani-petani membunuh pegawai diraja yang mengutip cukai dan memberontak. Petani yang memberontak memperjuangan pengurangan cukai dan penghapusan sistem kerja paksa yang dikenali sebagai “serfdom” (hamba-tani). Pemberontakan ini mendapat inspirasi daripada pesanan oleh paderi radikal John Ball, dan dipimpin oleh Wat Tyler. Walaupun pemberontakan ini akhirnya ditewaskan, tetapi memberi pukulan yang hebat kepada sistem feudal di England dan menjadi pemangkin kepada keruntuhan sistem hamba-tani di situ.

Harelle (1382)

Kesatuan-kesatuan tukang di Rouen, bandar kedua besar di Perancis yang sedang terlibat dalam Perang Seratus Tahun pada masa itu, memberontak untuk menentang pengenalan semula cukai perang terhadap rakyat. Banyak tempat juga berlakunya pemberontakan yang serupa. Pemberontakan digagalkan oleh tentera Perancis.

Pemberontakan Samogitia (1401-1404 dan 1409)

Samogitia diberikan kepada Vytautas selaku Duke Besar Lithuania kepada Kesatria Teuton untuk mendapatkan sokongan Kesatria dalam usaha ketenteraannya. Penduduk di Samogitia memberontak menentang pemerintahan Kesatria Teuton dan meminta perlindungan daripada Vytautas. Pemberontakan Samogitia Pertama pada tahun 1401-1404 tidak berjaya. Pemberontakan Samogitia Kedua pada tahun 1409 mencetuskan Perang Poland-Lithuania–Teuton (1409-1411), dengan Kesatria dikalahkan oleh tentera gabungan Poland dan Lithuania.

Pemberontakan Lam Sơn (1418-1427)

Rakyat Vietnam yang dipimpin oleh Lê Lợi memberontak menentang pemerintahan Dinasti Ming dari China. Pemberontakan ini berjaya membebaskan Vietnam daripada penjajahan China dan membolehkan pembentukan Dinasti Lê di Vietnam.

Perang Hus (1419-1434)

Setelah Kerajaan Empayar Suci Rom menghukum mati Jan Hus, seorang tokoh pembaharuan agama yang penting di Bohemia, pengikut-pengikut Hus memberontak menentang Gereja Katolik dan pemerintahan Empayar Suci Rom. Di bawah pimpinan Jan Žižka, tentera pemberontak Hus pada awalnya mengalahkan tentera Jerman beberapa kali, tetapi selepas Gerakan Hus berpecah dan Žižka meninggal dunia, pengikut Hus yang radikal akhirnya ditewaskan.

Pemberontakan Shōchō (1428)

Berikutan kematian Shōgun Ashikaga Yoshimochi, hasil penuaian yang teruk kerana cuaca buruk dan perebakan wabak penyakit, petani-petani di Jepun memberontak untuk menuntut pelepasan hutang. Kedai arak, kedai pajak gadai dan kuil yang terlibat dalam urusan riba dimusnahkan. Hutang petani akhirnya dibatalkan.

Pemberontakan Irmandiño (1431 dan 1467-1469)

Rakyat di Negara Beraja Galicia memberontak menentang golongan bangsawan tempatan yang cuba mengekalkan kekuasaan mereka terhadap golongan petani dan peniaga kecil. Pemberontakan pertama yang diketuai oleh Roi Xordo, seorang hidalgo (bangsawan tanpa gelaran dan berstatus rendah) dari A Coruña, telah ditumpaskan tidak lama kemudian. Pemberontakan kedua tercetus berikutan hasil penuaian yang teruk dan wabak penyakit. Walaupun pemberontakan ini ditewaskan, pemberontak yang bergelar Irmandiños (terdiri daripada petani, penduduk miskin kota, bangsawan berpangkat rendah dan sebahagian paderi) telah memusnahkan lebih kurang 130 buah istana kota dan kubu bangsawan dalam peperangan selama dua tahun.

Pemberontakan Engelbrekt (1434-1436)

Pelombong-pelombong di Dalarna, Sweden, di bawah pimpinan Engelbrekt Engelbrektsson, telah memberontak terhadap Eric of Pomerania, Raja Kesatuan Kalmar pada masa itu. Pemberontakan yang dicetuskan oleh situasi percukaian ini walaupun digagalkan, tetapi telah mewujudkan duluan kepada perjuangan untuk kedaulatan Sweden dan penglibatan petani dalam politik Sweden.

Pemberontakan Petani Transylvania (1437)

Petani-petani di Transylvania (yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Hungary pada masa itu) yang dibebankan dengan cukai yang dikenakan oleh Biskop Transylvania, bangkit memberontak di bawah pimpinan Antal Nagy de Buda. Pemberontakan ini ditumpaskan oleh tentera yang dikerahkan oleh golongan bangsawan.

Pemberontakan Hallvard Graatop (1438)

Hallvard Graatop mengumpulkan tentera pemberontak yang terdiri daripada petani-petani Norway untuk menentang pemerintahan Kerajaan Denmark yang zalim di Oslo, tetapi dikalahkan.

Pemberontakan Kakitsu (1441)

Ketika berlakunya kekacauan politik berikutan pembunuhan Shōgun Ashikaga Yoshinori, petani-petani Jepun memberontak untuk menuntut pembatalan hutang. Shōgun baharu, Ashikaga Yoshikatsu, terpaksa menerima tuntutan pemberontak dan membatalkan hutang petani. Pemerintahan Keshogunan Ashikaga telah dilemahkan dengan hebatnya akibat pemberontakan ini.  

Pemberontakan Petani Funen dan Jutland (1441)

Petani-petani di Pulau Funen dan Semenanjung Jutland bangkit menentang pemerintahan Raja Denmark Christopher III. Pemberontakan di Jutland yang disebabkan cukai tinggi ini, dipimpin oleh Henrik Reventlow. Pemberontakan ditewaskan oleh tentera Raja Denmark.

Pemberontakan Jack Cade (1450)

Petani-petani yang dipimpin oleh Jack Cade memberontak di Kent, kerana kemarahan terhadap penyelewengan rejim pemerintahan Raja Henry VI di England, di samping beban hutang yang diwujudkan oleh peperangan dengan Perancis. Tentera pemberontak pernah pernah memasuki bandar London untuk seketika, tetapi akhirnya ditewaskan oleh tentera England. 

Pemberontakan John dan William Merfold (1450-1451)

Petani-petani dan tukang-tukang di Sussex memberontak di bawah pimpinan dua orang adik-beradik, John dan William Merfold, untuk menentang pemerintahan di bawah Raja Henry VI di England. Pemberontakan ini ditewaskan.

Pemberontakan Petani Gutian (1450-1571)

Golongan petani masyarakat Zhuang di wilayah Guangxi, China, memberontak di Gutian pada tahun 1450-1456, untuk menentang golongan tuan tanah dan kerajaan pemerintahan Dinasti Ming di situ. Masyarakat Zhuang yang memberontak menduduki ibu kota daerah. Kerajaan Ming mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar pada tahun 1492 untuk menumpaskan tentera pemberontak tetapi ditewaskan pemberontak. Tentera pemberontak pernah menawan bandar Guilin pada tahun 1564. Namun, pemberontakan masyarakat Zhuang di Guangxi yang berterusan selama lebih seratus tahun ini ditewaskan pada tahun 1571 di bawah keganasan tentera Ming.

Pemberontakan Morea (1453-1454)

Petani-petani Greece di Morea (iaitu Semenanjung Peloponnesos) yang dipimpin oleh Manuel Kantakouzenos, memberontak menentang pemerintahan Empayar Bizantium, tetapi gagal.

Pemberontakan Remensas (1462-1472 dan 1485-1486)

Petani-petani di Catalonia memberontak menentang golongan bangsawan yang melaksanakan dasar feudal yang mengongkong petani. Pemberontakan pada tahun 1462 hingga 1472 tidak mendatangkan hasil yang muktamad, dan pemberontakan pada tahun 1485 berakhir dengan Raja Aragon, Ferdinand II, mengeluarkan perintah undang-undang “Sentencia Arbitral de Guadalupe” yang menunaikan kebanyakan tuntutan rakyat.

Pemberontakan Petani Carinthia (1478)

Selepas serangan oleh tentera Empayar Uthmaniyah mulai tahun 1473, penduduk kampung di kawasan Duchy Carinthia (di Austria hari ini) menubuhkan Liga Petani di bawah pimpinan Peter Wunderlich pada tahun 1478, untuk mempertahankan kampung halaman secara sendiri dan menentang golongan bangsawan yang gagal melindungi petani daripada serangan tentera berkuda Turki. Ramai tentera petani terkorban apabila bertempur dengan tentera Uthmaniyah yang menceroboh. Selepas tentera Uthmaniyah beredar dari situ, golongan bangsawan menuduh petani-petani yang mempertahankan diri daripada serangan luar itu menderhaka dan menghukum mati pemimpin petani. 

Pemberontakan Kaga (1487-1488)

Ikkō-ikki (kumpulan pemberontak yang terdiri daripada petani, sami Buddha, pendeta Shinto dan golongan jizamurai yang memeluk fahaman mazhab Jōdo Shinshū dalam agama Buddha) di wilayah Kaga, Jepun, memberontak dan menewaskan pemerintahan Shugo Togashi Masachika di situ. Ikkō-ikki memperluaskan pengaruh politik selepas itu dan menguasai wilayah Kaga untuk hampir satu abad.

Pemberontakan Rakyat Cornwall (1497)

Rakyat di daerah Cornwall yang terletak di Barat Daya England, bangkit memberontak kerana tidak berpuas hati dengan cukai perang yang dikutip oleh Raja England, Henry VII, untuk membiayai perang dengan Scotland. Pemimpin pemberontakan terdiri daripada tukang besi Michael An Gof dan peguam Thomas Flamank. Pemberontakan ditewaskan oleh tentera England dan pemimpin pemberontakan dihukum mati.

Pemberontakan Alpujarras (1499-1501)

Penduduk Muslim di Negara Beraja Granada yang di bawah kekuasaan Kerajaan Castile pada masa itu memberontak untuk menentang pemerintah Katolik di situ yang memaksa penduduk Muslim menukar agama kepada Katolik. Pemberontakan hebat tercetus di kawasan pergunungan Alpujarras, tetapi akhirnya ditewaskan oleh tentera Katolik dan penduduk Muslim dikenakan hukuman berat.

Pertempuran Sungai Garam (1510)

Pejuang-pejuang suku kaum Khoikhoi di Tanjung Harapan, Afrika Selatan, menewaskan pasukan tentera penjajah Portugis dan membunuh pemimpin tentera penjajah, Francisco de Almeida.

Pemberontakan György Dózsa (1514)

Ketua Biskop Hungary mengarahkan György Dózsa untuk mengumpulkan tentera untuk berperang dengan Empayar Uthmaniyah. Askar yang dikumpulkan oleh Dózsa kebanyakannya ialah petani. Oleh sebab ketiadaan bekalan dan ketidakpuasan hati terhadap penindasan oleh golongan tuan tanah, askar-askar petani melancarkan perang terhadap kelas bangsawan tuan tanah. Dózsa ditangkap oleh tentera bangsawan dan diseksa. Dózsa kemudiannya dihukum mati bersama dengan pengikutnya.

Pemberontakan Petani Slovenia (1515)

Lebih kurang 80,000 orang petani memberontak demi menuntut hak berdagang dan hak untuk menentukan cukai. Pemberontakan menular ke seluruh wilayah Slovenia yang dikuasai oleh Empayar Suci Rom ketika itu. Pemberontakan ditewaskan oleh tentera upahan yang dibawa oleh Empayar Suci Rom.

Pemberontakan Petani Frisia (1515-1523)

Petani-petani di Friesland (terletak di bahagian utara Belanda) di bawah pimpinan Pier Gerlofs Donia memberontak menentang pemerintahan Kerajaan Habsburg di situ. Walaupun pemberontakan agak berjaya untuk 4 tahun pertama, tetapi selepas Pier Gerlofs Donia meninggal dunia pada tahun 1520, tentera pemberontak di bawah pimpinan penggantinya Wijerd Jelckama semakin hilang kekuatan dan akhirnya ditewaskan.

Pemberontakan Trần Cao (1516-1521)

Rakyat di wilayah Timur Vietnam memberontak di bawah pimpinan Trần Cao, untuk menentang pemerintahan pusat Dinasti Lê. Pemberontakan ini akhirnya ditewaskan.

Pemberontakan Germanies (1519-1523)

Dengan insiprasi daripada sistem republik di Itali, kesatuan-kesatuan pertukangan (germanies) di Negara Beraja Valencia bangkit menentang pemerintahan Raja Charles V. Pemberontakan yang anti-monarki, anti-feudal dan menuntut autonomi wilayah ini turut merangsang pemberontakan di pulau Majorca pada tahun 1521-1523. Pemberontakan ini juga menyaksikan golongan pemberontak memusuhi penduduk Muslim di Valencia dan memaksa mereka menukar agama ke Kristian. Pemberontakan ini tidak berjaya.

Pemberontakan Comuneros (1520-1521)

Penduduk Castile memberontak untuk menentang pemerintahan Raja Sepanyol, Charles I. Pemberontak pernah menguasai bandar-bandar seperti Valladolid, Tordesillas, dan Toledo pada kemuncaknya, tetapi akhirnya ditewaskan oleh tentera yang setia pada raja.

Perang Pembebasan Sweden (1521-1523)

Gustav Vasa (1496-1560), seorang bangsawan Sweden, melancarkan pemberontakan selepas dilantik sebagai hövitsman oleh perwakilan penduduk di Dalarna pada bulan Januari 1521. Pemberontakan ini berjaya menggulingkan pemerintahan Raja Denmark Christian II ke atas Sweden, dan menamatkan Kesatuan Kalmar (yang menyatukan Denmark, Sweden dan Norway di bawah seorang raja). Gustav Vasa dipilih sebagai Raja Sweden pada bulan Jun 1523 di Strängnäs. Perjanjian Malmö yang ditandatangani pada 1 September 1524 menandakan pengiktirafan kemerdekaan Sweden oleh Denmark-Norway. 

Pertempuran Mactan (1521)

Pejuang-pejuang tempatan di Pulau Mactan, Filipina, yang dipimpin oleh Lapulapu, menewaskan tentera Sepanyol yang di bawah arahan penjajah Portugis Ferdinand Magellan. Magellan terbunuh dalam pertempuran dan tentera Sepanyol dihalau keluar dari kepulauan tersebut.

Perang Petani Jerman (1524-1525)

Pemberontakan petani yang berselerak pada mulanya tercetus di bahagian barat daya Jerman dan wilayah Alsace, kemudian merebak ke kawasan tengah dan timur Jerman serta Austria. Dua per tiga daripada petani di seluruh Jerman terlibat dalam perjuangan ini, dengan kemuncaknya disertai oleh 300,000 orang. Petani-petani yang memberontak mengemukakan “Dua Belas Artikel” (Zwölf Artikel), sebuah dokumen draf berkenaan dengan hak asasi manusia, dengan tuntutan seperti penghapusan sistem hamba-tani, pemansuhan cukai yang tidak adil, pemulangan tanah kepada petani, pengharaman hukuman sesuka hati, pemilihan pastor secara bebas oleh setiap kawasan perbandaran dan sebagainya. Adanya sesetengah pemberontak menuntut untuk menggulingkan pemerintahan feudal. Thomas Müntzer, seorang tokoh Reformasi Protestan yang radikal, telah memimpin pemberontakan petani di Thuringia pada bulan Mac 1525 dan menjatuhkan kerajaan di situ. Müntzer mendirikan “Majlis Kekal” di Mühlhausen. Müntzer ditangkap dalam pertempuran di Frankenhausen pada bulan Mei 1525 dan dihukum mati. Golongan bangsawan menggunakan segala keganasan untuk menghancurkan pemberontakan petani yang hebat ini dan ramai petani yang memberontak dibunuh.

Pemberontakan Dalecarlia (1524-1533)

Petani-petani di Dalarna, Sweden, memberontak sebanyak 3 kali untuk menentang pemerintahan Raja Gustav I, kerana krisis ekonomi, perluasan kuasa raja Sweden di wilayah itu dan Reformasi Protestan Sweden yang tidak mendapat sokongan daripada rakyat tempatan. Pemberontakan Pertama berlaku pada 1524-1525, Pemberontakan Kedua pada 1527-1528 dan Pemberontakan Ketiga pada 1531-1533, di mana kesemuanya ditewaskan dan pemberontak ditindas secara zalim.

Pemberontakan hamba di San Miguel de Gualdape (1526)

Pemberontakan hamba Afrika yang pertama di benua Amerika Utara, menentang penjajah Sepanyol di situ.

Pemberontakan Kapten Clement (1534)

Klemen Andersen, atau lebih dikenali sebagai “Skipper Clement”, seorang kapten tentera laut yang bersekutu dengan yang Count Christopher dari Oldenburg, melancarkan pemberontakan petani di Vendsyssel dan Jutland Utara untuk menentang golongan bangsawan di situ. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera yang dikerahkan oleh Raja Denmark, Christian III.

Perang Mixtón (1540-1542)

Masyarakat orang asal semi-nomad di kawasan barat laut Mexico, Caxcan dan suku semi-nomad yang lain, memberontak menentang penjajah Sepanyol dan sekutunya, tetapi ditewaskan.

Perang Dacke (1542-1543)

Petani-petani yang dipimpin oleh Nils Dacke di Småland, Sweden, memberontak menentang pemerintahan Raja Gustav I, kerana tidak berpuas hati dengan beban cukai yang hebat dan pembawaan masuk doktrin mazhab Lutheranisme. Pemberontakan ditewaskan dan Dacke dibunuh.

Perang Bayano (1548-1582)

Golongan Bayano, iaitu hamba Afrika yang dibawa ke Panama, memberontak di Segenting Panama untuk menentang kerajaan penjajah Sepanyol di situ, mencetuskan Perang Bayano Pertama pada tahun 1548-1558 dan Perang Bayano Kedua pada tahun 1579-1582.

Pemberontakan Kett (1549)

Aktiviti “pemagaran” (enclosure) tanah pertanian semasa pemerintahan Raja England Edward VI, mencetuskan pemberontakan petani di Norfolk. Apabila pemberontak memusnahkan pagar di Wymondham, salah seorang petani kaya, Robert Kett, bukan sahaja tidak memberi tentangan, sebaliknya menawarkan diri untuk memimpin pemberontakan. Tentera pemberontak menawan Norwich, tetapi kemudiannya dikalahkan oleh tentera kerajaan. Kett ditangkap dan dihukum mati atas pertuduhan mengkhianati negara. 

Perang Chichimeca (1550-1590)

Konfederasi Chichimeca, sebuah gabungan orang asal di wilayah Bajío, Mexico, yang terdiri daripada suku Zacateco, Guachichil, Pame dan Guamares, memberontak menentang perluasan kekuasaan penjajah Sepanyol. Pemberontakan ini berjaya mengalahkan tentera Sepanyol.

Pemberontakan Dagami (1565-1567)

Masyarakat tempatan di pulau Leyte, Filipina, memberontak di bawah kepimpinan Dagami, seorang ketua puak di Gabi, untuk menentang pemerintahan penjajah Sepanyol di situ. Dagami ditangkap dan dihukum mati pada tahun 1567.

Pemberontakan Belanda (1566-1648)

Rakyat dari Tujuh Wilayah di Negeri-negeri Pamah yang kebanyakannya penganut Protestan, memberontak untuk menentang pemerintahan Raja Sepanyol Philip II daripada Kerabat Habsburg yang beragama Katolik Rom. Pada bulan April 1566, satu gabungan golongan bangsawan tempatan menyerahkan petisyen kepada Gabenor Belanda untuk menuntut supaya menggantungkan penindasan terhadap penganut Protestan dan mengeluarkan tentera Sepanyol, tetapi ditolak oleh Kerajaan Sepanyol. Pada bulan November 1566, tercetusnya aksi penganut Protestan merosakkan patung-patung agama Katolik, dan berkembang menjadi satu pemberontakan yang menuntut kebebasan agama. Kerajaan Habsburg Sepanyol mengerahkan tentera untuk melenyapkan pemberontakan dan mencetuskan “Perang Lapan Puluh Tahun” (1568-1648). Pada 1 April 1572, tentera pemberontak “Pengemis Laut” (Watergeuzen) menawan bandar pelabuhan Brielle, dan menjadi titik perubahan penting kepada pemberontakan ini. Pemberontak yang menguasai wilayah Holland dan Zeeland, memilih William I dari Orange sebagai Pentadbir (Stadtholder) untuk Holland, Zeeland, Friesland dan Utrecht. Tujuh Wilayah di utara Negeri-negeri Pamah menubuhkan Republik Belanda (Republiek der Zeven Verenigde Nederlanden) pada tahun 1581. Kerajaan Habsburg Sepanyol dan Republik Belanda menandatangani “Perjanjian Gencatan Senjata Dua Belas Tahun” pada tahun 1609. Pada tahun 1648, Sepanyol dan Belanda menandatangani “Perjanjian Damai Münster” (yang membentuk sebahagian daripada Perjanjian Damai Westphalia) untuk menamatkan perang dan mengiktiraf kemerdekaan Belanda. Pemberontakan Belanda merupakan perang kemerdekaan pertama yang menang di Eropah dan juga revolusi borjusi yang pertama kalinya berjaya, sehingga mendirikan negara republik pemerintahan borjuasi yang pertama di dunia. 

Pemberontakan Morisco (1568-1571)

Golongan Morisco, keturunan masyarakat Muslim yang telah ditukar agama kepada Katolik, memberontak di wilayah pergunungan Alpujarra, untuk menentang pemerintahan Kerajaan Castile di Granada. Pemberontakan yang dipimpin oleh Aben Humeya ini dikalahkan oleh tentera Sepanyol.

Pemberontakan Gaspar Yanga (1570)

Gaspar Yanga, seorang hamba yang berasal dari Afrika, memimpin satu pemberontakan di ladang tebu berdekatan dengan Veracruz, Mexico. Yanga dan hamba yang dibebaskan berselindung di kawasan tanah tinggi dan mendirikan petempatan sendiri yang terasing untuk 40 tahun. Kerajaan penjajah Sepanyol memusnahkan petempatan ini pada tahun 1609 tetapi gagal menangkap Yanga dan pengikutnya. Satu perjanjian damai tercapai di mana Yanga berjaya merundingkan hak untuk membina wilayah yang bebas selagi membayar cukai kepada Kerajaan Sepanyol.

Pemberontakan Petani Croatia-Slovenia (1573)

Oleh sebab layanan teruk oleh golongan bangsawan terhadap hamba-tani, golongan hamba-tani di kawasan Barat Laut Croatia, Carniola dan Styria bangkit memberontak. Pemberontak menubuhkan sebuah kerajaan petani yang dipimpin oleh Matija Gubec, Ivan Pasanec dan Ivan Mogaić. Pemberontakan selama 12 hari ini ditewaskan oleh tentera golongan bangsawan dan ramai pemberontak dibunuh secara kejam.

Pemberontakan Tagalog (1574)

Lakandula dan Rajah Sulayman di Tondo, Manila, Filipina, memberontak untuk melawan pihak penjajah Sepanyol, selepas Gabenor-Jeneral Filipina memungkiri janji yang termasuk mengekalkan kuasa tempatan mereka dan dikecuali daripada membayar ufti sekiranya menerima pemerintahan Sepanyol. Pemberontakan ini dipatahkan secara keras oleh pihak penjajah Sepanyol.

Pemberontakan Pampaga (1585)

Sesetengah pemimpin masyarakat Kapampangan di wilayah Pampanga, Pulau Luzon, Filipina, memberontak untuk melawan tuan tanah Sepanyol yang menafikan hak warisan tanah bersejarah mereka. Gabenor-Jeneral Filipina mengerahkan tentera untuk menangkap dan menghukum mati pemimpin-pemimpin pemberontak. 

Perang Belantan (1596-1597)

Petani-petani di Finland yang penat dengan peperangan yang berpanjangan, bangkit menentang eksploitasi golongan bangsawan Kerajaan Sweden. Petani-petani yang dipimpin oleh Jaakko Ilkka, Pentti Pouttu dan Hannu Krankka hanya bersenjatakan belantan (cudgel), kayu penebah dan senjata yang tumpul. Pembentokan ini dipukul secara kejam dan dikalahkan oleh tentera bangsawan Sweden.

Pemberontakan Magalat (1596)

Magalat, seorang pemberontak dari wilayah Cagayan, Filipina, menghasut masyarakat tempatan untuk memberontak terhadap pemerintahan penjajah Sepanyol, tetapi pemberontakan ini dipatahkan.

Pemberontakan Thessalia (1600)

Masyarakat Greece di wilayah Thessalia memberontak di bawah kepimpinan Dionysios Skylosophos, seorang biskop Kristian Ortodoks, untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah di situ. Pemberontakan dipatahkan tidak lama kemudian.

Pemberontakan Acaxee (1601-1607)

Masyarakat orang asal Acaxee di wilayah Sinaloa dan Durango, Mexico, memberontak untuk menentang pemerintahan penjajah Sepanyol di situ, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Bolotnikov (1606-1607)

Ivan Bolotnikov (1565-1608) menghimpunkan sekumpulan orang yang terdiri daripada hamba-tani, petani dan gelandangan, untuk melancarkan pemberontakan yang melawan pemerintahan Tsar dan menentang sistem hamba-tani di Rusia. Bolotnikov menjanjikan penghapusan kelas pemerintah dan membentuk sistem masyarakat yang baharu. Pada masa yang sama, berlakunya juga pemberontakan yang disertai oleh Kozak dan golongan atasan yang tidak berpuas hati dengan status quo. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Bolotnikov bergabung dengan tentera pemberontak yang lain untuk menyerang Moscow. Tentera pemberontak yang terdiri daripada golongan atasan akhirnya mengkhianati Bolotnikov. Pemberontakan dikalahkan dan Bolotnikov dibunuh walaupun sudah menyerah kalah.

Pemberontakan Midland (1607)

Rakyat bawahan di daerah Northamptonshire, wilayah Midlands, England, memberontak untuk membantah “pemagaran” (enclosure) terhadap tanah kegunaan awam. Pemberontakan merebak ke Warwickshire dan Leicestershire. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera kerajaan dan pemimpin-pemimpin pemberontakan dihukum mati.

Pemberontakan Tepehuán (1616-1620)

Masyarakat orang asal Tepehuán di wilayah Durango, Mexico, memberontak untuk membebaskan diri mereka daripada pemerintahan Sepanyol, tetapi ditewaskan selepas pengorbanan nyawa yang besar di kedua-dua pihak pemberontak dan penjajah.   

Perang Petani di Austria Hulu (1626-1636)

Cubaan Kerajaan Bavaria untuk memaksa rakyat di wilayah Austria Hulu untuk menerima doktrin agama Katolik semasa “Perang Tiga Puluh Tahun” (1618-1648), mencetuskan pemberontakan petani di situ dengan tuntutan untuk membebaskan Austria Hulu daripada pemerintahan Kerajaan Bavaria. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Bavaria.

Pemberontakan Petani Penghujung Dinasti Ming (1627-1644)

Penyelewengan pemerintahan birokrasi kerajaan, penindasan terhadap petani yang semakin hebat dan bencana alam yang berlarutan, mencetuskan gelombang pemberontakan petani di China pada penghujung zaman pemerintahan Dinasti Ming. Pada tahun 1627, seorang petani bernama Wang Er memimpin pemberontakan di Shaanxi. Gao Yingxiang memberontak pada tahun 1628. Li Zicheng memberontak pada tahun 1629 dan menyertai Gao Yingxiang, sementara Zhang Xianzhong memberontak di daerah Mizhi pada tahun 1630. Tentera pemberontak pimpinan Zhang Xianzhong mendirikan Kerajaan Daxi pada tahun 1644 setelah menawan bandar Chengdu dan menguasai wilayah Sichuan. Tentera pemberontak pimpinan Li Zicheng melaungkan janji membahagikan tanah pertanian secara samarata dan mengecualikan cukai bagi golongan petani. Tentera Li Zicheng menawan bandar Beijing pada tahun 1644 dan menyebabkan kejatuhan pemerintahan Dinasti Ming. Kedua-dua tentera pemberontak Li Zicheng dan Zhang Xianzhong kemudiannya ditewaskan oleh tentera Dinasti Qing dari Manchuria yang menceroboh negara China sejurus selepas kejatuhan Dinasti Ming.

Pemberontakan Shimabara (1637-1638)

Penganut agama Katolik dan ronin yang dipimpin oleh Amakusa Shirō memberontak di jajahan Shimabara untuk menentang Keshogunan Tokugawa, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Catalonia (1640-1659)

Juga dikenali sebagai “Perang Penuai”. Oleh sebab tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Sepanyol yang mengeksploitasi sumber di Catalonia untuk digunakan dalam “Perang Tiga Puluh Tahun” dan pendudukan tentera Castile di situ, petani Catalonia memberontak di Barcelona pada bulan Mei 1640. Pemimpin Kerajaan Catalonia, Pau Claris, mengambil kesempatan untuk mengisytihar pembentukan Republik Catalonia pada bulan Januari 1641. Kerajaan Sepanyol mengerahkan tentera untuk menghancurkan pemberontakan. Kerajaan Catalonia bersekutu dengan Perancis untuk meneruskan perang. Tentera Sepanyol menawan Barcelona pada tahun 1652. Pertempuran yang berselerak diteruskan sehingga penandatanganan Perjanjian Pyrenee yang menyerahkan Roussillon dan bahagian utara Cerdanya kepada Perancis.

Revolusi Inggeris (1642-1660)

Setelah gerakan “pemagaran tanah” (enclosure) bermula pada abad ke-16, sistem ekonomi kapitalis mula berkembang di England. Pemerintahan feudal yang masih wujud pada masa itu menjadi penghalang kepada perkembangan ekonomi dan mencetuskan konflik masyarakat. Berikutan berlakunya pemberontakan di Scotland, Raja England Charles I memanggil untuk mengadakan Parlimen Pendek (dari 13 April hingga 5 Mei 1640) dan Parlimen Panjang (dari 3 November 1640 hingga 20 April 1653). Ketika Parlimen Panjang bersidang, Dewan Rakyat yang dikuasai oleh kelas borjuasi meminta untuk menyekat kuasa raja, maka mencetuskan revolusi borjuasi di England. Charles I meninggalkan London pada bulan Januari 1642 dan mengisytihar perang terhadap Parlimen pada bulan Ogos 1642, mencetuskan Perang Saudara England Pertama (1642-1646). Tentera Parlimen yang dipimpin oleh Oliver Cromwell menewaskan tentera Raja England dan Charles I ditahan. Parlimen England pada awalnya mengharapkan Charles I akan menerima sistem raja berperlembagaan, tetapi Charles I berdegil untuk memulihkan kuasa raja. Charles I dan penyokongnya bersubahat dengan Scotland untuk melancarkan perang sekali lagi ke atas Parlimen pada tahun 1648, mencetuskan Perang Saudara England Kedua (1648-1649). Tentera yang menyokong Charles I dikalahkan sekali lagi. Charles I ditahan, dibicarakan dan disabit kesalahan mengkhianati negara. Charles I menjalani hukuman mati pada 30 Januari 1649. Kerajaan republik yang digelar “Komanwel England” (1649-1660) ditubuhkan. Oliver Cromwell membubarkan Parlimen pada tahun 1653 dan mengisytihar dirinya sebagai “Tuan Penaung”. Cromwell menjalankan pemerintahan bersifat diktator dengan sokongan tentera. Sistem monarki dan Dinasti Stuart dipulihkan pada tahun 1660 dengan Charles II menaik takhta sebagai Raja England. Pergolakan istana England pada tahun 1688 yang digelar “Revolusi Gemilang” menjatuhkan Dinasti Stuart dan Perakuan Hak England (Bill of Rights) digubal pada tahun 1689, membolehkan pembentukan sistem raja berperlembagaan.

Pemberontakan Napoli (1647)

Oleh sebab tidak berpuas hati dengan pemerintahan Kerajaan Habsburg Sepanyol dan percukaian membebankan yang dikenakan semasa “Perang Tiga Puluh Tahun”, pemberontakan tercetus di Palermo di Pulau Sicily pada bulan Mei 1647. Rakyat Napoli turut mengikut jejak rakyat Sicily untuk melakukan pemberontakan pada 7 Julai 1647. Pemberontakan ini dipimpin oleh seorang nelayan yang bernama Masaniello dan Giulio Genoino. Masaniello dibunuh oleh golongan bangsawan pada 16 Julai 1647. Rakyat yang marah memberontak lagi pada bulan Ogos 1647 dan menubuhkan “Republik Napoli”. Kerajaan Sepanyol berjaya merampas semula Napoli pada bulan April 1648.

Pemberontakan Khmelnytsky (1648-1657)

Kumpulan Kozak Zaporizhia yang dipimpin oleh Bodan Khmelnytsky, bergabung dengan Tatar Krimea dan petani-petani Ukraine, untuk melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan bangsawan Poland di wilayah Timur Komanwel Poland-Lithuania, dan menjadi perang untuk Ukraine bebas daripada pemerintahan Poland. Kerajaan Hetmanat Kozak ditubuhkan. Kekuasaan Gereja Katolik Rom di Ukraine merosot akibat daripada pemberontakan ini. Ukraine digabungkan ke dalam Empayar Rusia dalam Perjanjian Pereyaslav pada tahun 1654.

Pemberontakan Kostka Napierski (1651)

Pemberontakan petani di wilayah Podhale yang dipimpin oleh Aleksander Kostka Napierski, tercetus untuk menentang Kerajaan Komanwel Poland-Lithuania, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Guo Huaiyi (1652)

Petani-petani berbangsa Han di selatan pulau Taiwan yang tidak berpuas hati dengan cukai membebankan yang dikenakan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda dan pemerasan oleh pegawai Belanda, memberontak di bawah kepimpinan Guo Huaiyi. Pemberontakan ditewaskan oleh tentera Belanda yang berkelengkapan senjata api dan bersekutu dengan masyarakat orang asal Taiwan.

Perang Petani Switzerland (1653)

Penyusutan nilai mata wang dan cukai tinggi di Konfederasi Swiss Lama, mencetuskan pemberontakan petani yang bermula di wilayah Lucerne, yang kemudiannya merebak ke wilayah Berne, Solothurn, Basal dan Aargau. Petani-petani kawasan luar bandar menuntut pada badan pentadbiran perbandaran untuk mengurangkan cukai tetapi ditolak, maka mereka berpakat untuk mengepung bandar. Pemberontakan ini dipimpin oleh Niklaus Leuenberger dan Christian Schybi. Walaupun pemberontakan ditewaskan oleh kerajaan perbandaran yang memerintah, namun bangsawan yang memerintah melaksanakan pembaharuan dan pengurangan cukai selepas pemberontakan dilenyapkan.

Pemberontakan Baskhir (1662-1664, 1675-1683, 1704-1711 dan 1735-1740)

Masyarakat orang Bashkir di Bashkortostan memberontak beberapa kali menentang pemerintahan Empayar Rusia. Pemberontakan pada tahun 1662-1664 yang berjuang untuk mempertahankan hak tanah, memaksa Kerajaan Rusia menerima tuntutan orang Bashkir. Orang Bashkir memberontak pada tahun 1676 di bawah pimpinan Seyid Sadir. Orang Bashkir memberontak lagi pada tahun 1707 di bawah pimpinan Aldar Isyangildin dan Kûsyom Tyulekyev untuk menentang layanan buruk daripada pegawai Kerajaan Rusia. Pemberontakan pada tahun 1735-1740 melambatkan usaha perluasan Empayar Rusia ke rantau Asia Tengah.

Pemberontakan Petani di Podhale (1669-1670)

Penduduk luar bandar di wilayah Podhale di selatan Poland memberontak kerana tidak berpuas hati dengan cukai tinggi yang dikenakan oleh kerajaan, tetapi ditewaskan oleh tentera Kerajaan Komanwel Poland-Lithuania.

Pemberontakan Stepan Razin (1670)

Pemimpin kumpulan Kozak, Stepan Timofeyevich Razin, melancarkan pemberontakan di selatan Rusia untuk menentang pemerintahan golongan bangsawan Rusia. Stepan Razin mengatakan bahawa dia hendak membentuk Republik Kozak yang samarata. Tentera pemberontak pernah menawan bandar-bandar seperti Tsaritsyn, Astrakhan, Saratov dan Samara. Pemberontakan akhirnya dikalahkan tentera Tsar, dan Razin dihukum mati oleh Kerajaan Tsar Rusia selepas ditangkap.

Pemberontakan Pashtun (1672)

Masyarakat Pashtun di kawasan Afghanistan memberontak di bawah kepimpinan Khushal Khan Khattak, seorang penyair dari Kabul, untuk menentang pemerintahan Empayar Mughal di situ. Pemberontakan ini mula-mulanya tercetus kerana pencabulan terhadap wanita oleh askar-askar di bawah arahan Gabenor Amir Khan. Perebakan pemberontakan telah memberi tamparan hebat kepada penguasaan Empayar Mughal di kawasan Pashtun. Pemerintah Mughal yang menggunakan kaedah penindasan secara ganas dan pemujukan secara rasuah untuk memecah-belahkan pemberontak, telah menumpaskan sebahagian pemberontakan, tetapi tidak dapat lagi memulihkan kekuasaan Mughal di kawasan itu. 

Pemberontakan Messina (1672-1678)

Pada awalnya tercetus pemberontakan tukang-tukang mahir di bandar Messina, Sicily, Itali, untuk menentang kerajaan bangsawan di situ pada tahun 1672. Pada tahun 1674, kesatuan pertukangan di Messina bergabung dengan golongan bangsawan tempatan untuk menentang pemerintahan Sepanyol di situ. Pemberontakan ini disokong oleh kerajaan Perancis dan Messina mendapat kemerdekaan untuk beberapa tahun sebelum diambil semula oleh Sepanyol berikutan tamatnya Perang Perancis-Belanda pada tahun 1678.

Pemberontakan Pueblo (1680)

Oleh sebab penjajah Sepanyol yang menduduki wilayah Santa Fe de Nuevo México memusnahkan agama kepercayaan tradisional masyarakat orang asal Pueblo di situ dan mengharamkan tarian tradisional Pueblo, masyarakat Pueblo bangkit menentang penjajah Sepanyol dan berjaya menghalau mereka keluar dari situ. Penjajah Sepanyol hanya menawan semula wilayah itu 12 tahun kemudian.

Pemberontakan Karposh (1689)

Pemberontakan di wilayah Tengah Balkan yang dipimpin oleh Karposh untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah, tercetus pada bulan Oktober 1689. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Empayar Uthmaniyah dan Karposh dihukum mati selepas ditangkap.

Pemberontakan Kuridža (1704)

Kerajaan Venice mengenakan cukai yang tinggi ke atas wilayah yang baru ditawannya daripada Empayar Uthmaniyah, mencetuskan pemberontakan rakyat miskin yang dipimpin oleh paderi Ortodoks Petar Jagodić “Kuridža” di wilayah Bukovica di Croatia, dan merebak ke wilayah Ravni Kotari. Pemberontakan ini ditewaskan tidak lama kemudian.

Peberontakan Bavaria (1705-1706)

Petani-petani di Bavaria memberontak menentang pendudukan tentera Habsburg Austria ketika Perang Warisan Sepanyol (1705-1706). Pemberontakan yang berlarutan selama 75 hari ini ditewaskan oleh tentera Habsburg.

Pemberontakan Bulavin (1707-1708)

Ramai petani Rusia telah berhijrah ke kawasan Sungai Don untuk melarikan diri daripada sistem hamba-tani. Perluasan kuasa Empayar Rusia di bawah Tsar Peter I telah menceroboh ke dalam kawasan orang Kozak, dan mengancam kehidupan ekonomi dan keadaan politik semi-autonomi yang dinikmati oleh orang Kozak, sehingga mewujudkan ketegangan masyarakat yang serius. Di bawah pimpinan Kondraty Bulavin, masyarakat Kozak Don memberontak untuk menentang Empayar Rusia. Pemberontakan ditamatkan selepas Bulavin mati. Kerajaan Tsar memperketatkan kawalan terhadap kawasan Kozak selepas itu.

Pemberontakan Tzeltal (1712)

Masyarakat orang asal Maya di wilayah Soconusco, barat daya Chiapas, Mexico, melancarkan pemberontakan multi-etnik untuk menentang pemerintahan penjajah Sepanyol di situ, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Hamba di St. John (1733-1734)

Hamba Afrika dari Akwamu (Ghana hari ini) melancarkan pemberontakan pada 23 November 1733 di atas pulau St. John di Kepulauan Hindia Barat Denmark (Kepulauan Virgin Amerika Syarikat hari ini) untuk menentang pemilik dan pengurus ladang di pulau itu. Pemberontak menguasai hampir seluruh pulau itu untuk beberapa bulan sebelum ditewaskan oleh tentera Perancis yang dihantar dari Martinique.

Pemberontakan Dagohoy (1744-1829)

Francisco Dagohoy melancarkan pemberontakan di Pulau Bohol, Filipina, untuk menentang pemerintahan Sepanyol di situ. Pemberontakan ini berlarutan selama 85 tahun sebelum ditewaskan.

Koliyivshchyna (1768)

Oleh sebab ketidakpuasan hati petani-petani terhadap penindasan di bawah sistem hamba-tani, tambahan pula dengan sentimen anti-bangsawan dan anti-Poland dalam kalangan Kozak dan petani setempat, kumpulan separa tentera Kozak yang dikenali sebagai haidamaka mengadakan pemberontakan di Tebing Kanan Ukraine, tetapi ditewaskan oleh tentera Komanwel Poland-Lithuania dan Rusia.

Revolusi Corsica (1755-1769)

Pasquale Paoli mengisytihar kemerdekaan pulau Corsica daripada pemerintahan Republik Genoa pada bulan November 1755. Rakyat Corsica menerima Perlembagaan Corsica yang ditulis dengan prinsip-prinsip Zaman Kesedaran, termasuk pertama kalinya termaktub dalam perlembagaan bertulis untuk pelaksanaan hak mengundi bagi wanita. Eksperimen demokrasi di Republik Corsica ditamatkan setelah diceroboh dan ditakluki oleh tentera Perancis.

Perang Pontiac (1763)

Gabungan longgar antara suku masyarakat Indian di kawasan Tasik-tasik Besar, jajahan Illinois dan jajahan Ohio, memberontak untuk menentang tentera penjajah British di situ. Salah seorang pemimpin pemberontak yang penting ialah Pontiac, pemimpin suku Odawa. Pihak British mula mengadakan rundingan selama 2 tahun dengan suku masyarakat orang asal Amerika Utara pada tahun 1764. Walaupun pemberontakan tidak dapat menghalau keluar penjajah British, tetapi memaksa Kerajaan Britain meminda dasarnya yang menimbulkan ketidakpuasan hati masyarakat Indian.

Revolusi Amerika (1765-1783)

Selepas “Perang Perancis dan Indian” (1754-1763) yang menyaksikan kemenangan kuasa penjajah British terhadap Perancis dalam penguasaan tanah jajahan di Amerika Utara, pemerintahan penjajah British telah melaksanakan dasar ekonomi dan tanah baharu yang menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk di tanah jajahan. Penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan melancarkan gerakan menolak percukaian, dengan slogan “tiada percukaian tanpa perwakilan”. Peristiwa “Jamuan Teh Boston” berlaku pada tahun 1773, kemudian tercetusnya Perang Revolusi Amerika (1775-1783). Penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan mengangkat senjata untuk melawan pemerintahan British. “Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat” diluluskan dalam Kongres Benua Kedua pada 4 Julai 1776. Dengan bantuan daripada Perancis dan Sepanyol, tentera revolusioner di Tiga Belas Jajahan akhirnya mengalahkan tentera British. Wakil dari Amerika Syarikat dan Britain menandatangani Perjanjian Paris pada tahun 1783, dengan Amerika Syarikat diiktiraf sebagai sebuah negara yang berdaulat. Pada tahun 1787, Konvensyen Perlembagaan diadakan di Philadelphia untuk menggubal Perlembagaan Amerika Syarikat, perlembagaan berkanun yang pertama di dunia. George Washington dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama pada tahun 1789. Perakuan Hak Amerika Syarikat diperkenalkan pada tahun 1789 dan berkuatkuasa mulai tahun 1791. Revolusi Amerika mewujudkan sebuah kerajaan nasional persekutuan yang agak kuat dengan merangkumi sebuah badan eksekutif, kehakiman nasional dan sebuah Kongres dwidewan.

Pemberontakan Tây Sơn (1771)

Pemberontakan petani yang dipimpin oleh 3 orang adik-beradik (Nguyễn Nhạc, Nguyễn Huệ, dan Nguyễn Lữ) menjatuhkan pemerintahan Kerabat Nguyễn di Bahagian Selatan Vietnam, kemudian menewaskan pemerintahan Kerabat Trịnh di Utara Vietnam, dan menubuhkan Kerajaan Nhà Tây Sơn (1778-1802).

Pemberontakan Pugachev (1773-1775)

Kumpulan Kozak Ural yang diketuai oleh Yemelyan Pugachev, memberontak terhadap Kerajaan Rusia kerana tidak berpuas hati dengan sistem hamba tani dan perang dengan Empayar Uthmaniyah yang berterusan. Pugachev menubuhkan kerajaan dengan menggunakan nama Tsar Peter III yang dibunuh sebelum itu, mengemukakan slogan “tanah dan kebebasan” di samping mengisytihar penghapusan sistem hamba tani. Kerajaan Maharani Yekaterina II mengerahkan tentera untuk melenyapkan pemberontakan. Pugachev ditangkap pada bulan September 1774 dan dihukum mati di Moscow pada bulan Januari 1775. Pemberontakan ini merupakan salah satu pemberontakan petani yang terbesar di Rusia. Selepas pemberontakan ini sehingga awal abad ke-19, tercetusnya ratusan pemberontakan petani di Rusia.

Pemberontakan Túpac Amaru II (1780-1782)

Pemberontakan masyarakat orang asal dan petani mestizo terhadap pemerintahan Sepanyol di Peru tercetus apabila pemimpin orang asal Túpac Amaru II (1738-1781) menangkap dan membunuh gabenor di daerah Tinta. Túpac Amaru II mengeluarkan arahan untuk membebaskan hamba dan menyeru masyarakat orang asal daripada pelbagai suku kaum bersatu untuk menentang pemerintahan penjajah Sepanyol. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Túpac Amaru II pernah mara menuju ke bandar Cuzco. Walaupun Túpac Amaru II akhirnya ditangkap dan dibunuh oleh penjajah Sepanyol, tetapi pemberontakan diteruskan lagi untuk selama setahun sebelum ditewaskan sepenuhnya.

Revolusi Geneva 1782

Golongan kelas menengah bawah dan golongan revolusioner di negara kota Geneva memberontak pada bulan April 1782 dan mengambilalih bandar itu, selepas badan perundangan yang dikuasai golongan peniaga atasan enggan membenarkan hak mengundi diperluaskan kepada golongan yang berpendapatan sederhana. Perwakilan rakyat dipilih untuk membentuk sebuah jawatankuasa eksekutif yang bertujuan untuk melaksanakan pembaharuan yang meluas. Golongan kaya bandar Geneva mendapat bantuan daripada negara Perancis, negara kota Bern dan negara Sardinia yang menghantar tentera profesional untuk mematahkan revolusi ini. Ramai revolusioner yang melarikan diri dari Geneva kemudiannya terlibat dalam perjuangan revolusioner yang lain seperti Revolusi Perancis (1789-1799).

Pemberontakan Horea, Cloșca dan Crișan (1784)

Oleh sebab ketidakpuasan hati terhadap sistem hamba-tani feudal di Transylvania, petani-petani Romania mula memberontak di kawasan Pergunungan Metaliferi dan kemudian merebak ke seluruh Transylvania. Pemberontakan yang menentang Empayar Austria ini dipimpin oleh Vasile Ursu Nicola (dikenali sebagai Horea), Ion Oargă (Cloșca) dan Marcu Giurgiu (Crișan). Selepas pemberontakan ini ditewaskan, Maharaja Rom Suci, Joseph II, menggubal Paten untuk Penghapusan Hamba-tani di Transylvania pada tahun 1785.

Pemberontakan Patriot Belanda (1785)

Pada tahun 1781, sebuah manifesto yang dipanggil “Kepada Rakyat Belanda” (Aan het Volk van Nederland) diterbitkan oleh Joan van der Capellen tot den Pol yang menjadi pemimpin kepada sebuah gerakan politik radikal yang dikenali sebagai Patriotten. Patriotten menentang kekuasaan Putera Orange William V yang memerintah, dan memperjuangkan bentuk kerajaan yang lebih demokratik. Pada tahun 1785, golongan Patriotten memberontak dan mengambilalih kuasa di beberapa buah bandar untuk mewujudkan sistem perwakilan yang dipilih secara demokratik. Golongan bangsawan Orange bertindakbalas dengan mendapatkan bantuan daripada tentera Prusia untuk menghancurkan gerakan Patriotten pada tahun 1787.

Revolusi Perancis (1789-1799)

Ketidakpuasan hati rakyat Perancis terhadap pemerintahan beraja mutlak dan sistem feudal bangsawan pada abad ke-18, mewujudkan Gerakan Kesedaran (Enlightenment) yang melahirkan tokoh pemikir seperti Montesquieu, Voltaire, Jean-Jacques Rousseau, Denis Diderot dan sebagainya. Pemikiran tentang hak asasi manusia yang semulajadi, kesamarataan rakyat, pemisahan kuasa dan sebagainya berkembang dengan pesat. Etats Ketiga (perwakilan golongan rakyat biasa) dalam États-Généraux (dewan perundangan yang terdiri daripada tiga golongan) mengumumkan penubuhan Perhimpunan Kebangsaan pada bulan Jun 1789, tetapi diisytiharkan haram oleh Raja Perancis Louis XVI. Perhimpunan Kebangsaan menukar nama kepada Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan pada bulan Julai 1789, menuntut penggubalan Perlembagaan dan mengehadkan kuasa raja. Raja Louis XVI cuba membubarkan Perhimpunan Perlembagaan dengan mengerahkan tentera. Pada 12 Julai 1789, rakyat Paris berarak dalam jumlah yang besar untuk menyatakan sokongan terhadap Perhimpunan Perlembagaan dan bertempur dengan tentera upahan Raja Perancis. Pada 14 Julai 1789, massa yang memberontak menyerbu Penjara Bastille yang menjadi lambang kekuasaan monarki. Pada 4 Ogos 1789, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan mengumumkan pemansuhan sistem feudal. Revolusi Perancis berjaya menjatuhkan sistem pemerintahan autokratik beraja feudal, di samping menghapuskan hak istimewa Gereja dan golongan bangsawan. Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan meluluskan Perisytiharan Hak Asasi Manusa dan Warganegara (Déclaration des droits de l’Homme et du citoyen) pada 26 Ogos 1789, yang mengemukakan idea-idea hak asasi sejagat seperti semua orang adalah dilahirkan bebas dan samarata.  

Setelah pergolakan selama dua tahun, Perlembagaan bertulis yang pertama untuk Perancis mula berkuatkuasa pada tahun 1791 dan mendirikan sebuah pemerintahan raja berperlembagaan. Namun begitu, pemberontakan golongan Republikan pada 10 Ogos 1792 membawa kepada pembentukan Republik Pertama Perancis (1792-1804). Raja Louis XVI dihukum mati pada tahun 1793. Negara-negara beraja di Eropah seperti Britain, Empayar Suci Rom, Sepanyol, Belanda dan sebagainya yang tidak senang hati dengan Revolusi Perancis bergabung untuk melawan Perancis, maka mencetuskan Perang Revolusi Perancis (1792-1802). Zaman Revolusi Perancis kemudiannya melalui peringkat “Pemerintahan Ganas” (1793-1794) di bawah Jawatankuasa Keselamatan Awam yang dipimpin Maximilien Robespierre daripada golongan Jakobin, revolusi balas yang dikenali sebagai “Reaksi Thermidor” (1794) membawa kepada pemerintahan di bawah Directoire (1795-1799), dan berakhir dengan kudeta 18 Brumaire pada tahun 1799 di mana Napoleon Bonaparte merampas kuasa sebagai Konsul Pertama Perancis.

Revolusi Perancis membawa kepada penghapusan sistem feudal, penghapusan hak istimewa golongan bangsawan secara berketurunan, pembebasan dari segi hak individu, pembahagian hartanah kepada lapisan masyarakat yang lebih meluas dan pengwujudan kesamarataan dalam kalangan rakyat (walaupun hanya atas nama). Slogan “kebebasan (liberté), persaudaraan (fraternité), kesamarataan (égalité)” menjadi seruan yang biasa diulangi dalam revolusi utama yang lain dalam sejarah moden. Revolusi Perancis merangsang kebangkitan republik dan demokrasi di seluruh dunia. Revolusi Perancis menjadi tumpuan kepada pembangunan ideologi politik moden yang membolehkan penyebaran fahaman seperti liberalisme, radikalisme, nasionalisme dan sekularisme.

Revolusi Liège (1789-1791)

Di bawah pengaruh Revolusi Perancis, rakyat di Liège, sebuah bandar Belgium yang di bawah kekuasaan Empayar Suci Rom pada masa itu, telah memberontak untuk menjatuhkan pemerintahan gereja di bawah Putera-Biskop Liège dan mengisytihar penubuhan Republik Liège. Republik Liège ditewaskan oleh tentera Prusia dan Austria yang menyerang bandar tersebut pada tahun 1791 untuk memulihkan pemerintahan Putera-Biskop.

Revolusi Brabant (1789-1790)

Rakyat di wilayah Brabant bangkit menentang pemerintahan Habsburg dari Austria pada bulan Januari 1789. Pemimpin pemberontak, Hendrik Van der Noot, kemudiannya mengumpul sekumpulan kecil tentera patriot dari Republik Belanda yang dipimpin oleh Jean-André van der Meersch untuk melakukan pemberontakan bersenjata. Perisytiharan Rakyat Brabant diumumkan pada 24 Oktober 1789 di Hoogstraten. Tentera pemberontak mengalahkan tentera Austria Habsburg pada 27 Oktober 1789 di Turnhout, dan Negeri-negeri Bersatu Belgium ditubuhkan. Wilayah Brabant jatuh semula ke dalam tangan Austria pada bulan Disember 1790.

Pemberontakan Petani Sachsen (1790)

Pertikaian mengenai hak memburu mencetuskan pemberontakan petani di sekitar kawasan Dresden, Leipzig dan Zwikau, untuk menentang golongan bangsawan Kerajaan Sachsen. Pemberontakan ini ditumpaskan oleh operasi ketenteraan besar-besaran.

Revolusi Haiti (1791-1804)

Pemberontakan bersenjata hamba berkulit hitam tercetus pada 21 Ogos 1791 di Saint-Domingue, tanah jajahan Perancis di Pulau Hispaniola. Puluhan ribu hamba berkulit hitam bangkit melawan penjajahan Perancis dan menentang sistem perhambaan. Toussaint L’ouverture yang merupakan seorang bekas hamba, muncul sebagai pemimpin pemberontakan yang paling menonjol. Toussaint pada awalnya bersekutu dengan tentera Sepanyol untuk melawan tentera Perancis. Selepas Kerajaan Perancis di bawah penguasaan Jacobin mengisytiharkan penghapusan sistem perhambaan di Perancis dan semua tanah jajahannya pada tahun 1794, Toussaint mula berunding dengan pihak Perancis dan menyokong negara Perancis yang sedang terlibat dalam perang revolusi ketika itu. Toussaint bekerjasama dengan tentera Perancis untuk menghalau keluar tentera Sepanyol dari Haiti dan mengisytihar penghapusan sistem hamba di Haiti. Toussaint mengisytihar perlembagaan yang pertama untuk Haiti pada tahun 1801 selepas menguasai seluruh Pulau Hispaniola. Kerajaan Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte kemudiannya menyerang Haiti pada tahun 1802 untuk mengembalikan kekuasaan penjajah Perancis. Toussaint ditangkap dan dihantar ke Perancis, dan meninggal dunia di penjara kerana sakit pada tahun 1803. Selepas kematian Toussaint, penggantinya Jean-Jacques Dessalines meneruskan revolusi dan Haiti diisytihar merdeka sepenuhnya dari Perancis pada 1 Januari 1804. Revolusi Haiti merupakan satu-satunya pemberontakan hamba di tanah jajahan yang berjaya menubuhkan sebuah negara merdeka yang bebas daripada perhambaan dan diperintah oleh orang bukan Eropah.

Perang Poland-Rusia 1792

Parlimen Komanwel Poland-Lithuania meluluskan Perlembagaan baharu pada 3 Mei 1791 yang membawa pembaharuan seperti pelaksanaan sistem raja berperlembagaan yang lebih berkesan, hak kesamarataan politik antara penduduk bandar dengan golongan bangsawan, dan meletakkan golongan petani di bawah perlindungan kerajaan untuk mengurangkan kesan perhambaan. Golongan konservatif yang membantah Perlembagaan yang bersifat reformis itu bersekongkol dengan Empayar Rusia untuk melancarkan perang pada bulan Mei 1792. Perang tamat apabila Raja Poland, Stanisław August Poniatowski, bersetuju dengan gencatan senjata dan menyertai golongan konservatif yang anti-pembaharuan, yang kemudiannya membawa kepada Pembahagian Poland Kedua pada tahun 1793.

Pemberontakan Kościuszko (1794)

Komanwel Poland-Lithuania yang semakin merosot kekuatannya dibahagikan wilayah di bawah penguasaannya antara Prusia, Austria Habsburg dan Rusia. Selepas Pembahagian Poland Kedua pada tahun 1793, semangat nasionalis rakyat Poland semakin memuncak. Tadeusz Kościuszko, seorang jurutera tentera yang pernah menyertai Perang Kemerdekaan Amerika Syarikat, melancarkan satu pemberontakan pada bulan Mac 1794, dengan hasrat mempertahankan tanah Poland daripada dipecah-pecahkan oleh kuasa luar. Rakyat di Warsaw dan Vilnius memberontak pada bulan April 1794 untuk menyokong pemberontakan Kościuszko dan mengusir tentera Rusia. Pemberontakan yang cuba menentang penguasaan Rusia di Poland ini akhirnya dikalahkan dan Poland dikuasai sepenuhnya oleh tiga kuasa besar Eropah (Prusia, Austria dan Rusia) dalam Pembahagian Poland Ketiga pada tahun 1795.

Revolusi Batavia (1795)

Revolusi Perancis memberi rangsangan hebat kepada rakyat Belanda. Apabila tentera Perancis menceroboh Belanda pada bulan Januari 1795, kumpulan radikal yang bergerak secara bawah tanah bangkit memberontak dan menjatuhkan kerajaan di Amsterdam. Mereka yang memberontak mengisytiharkan pembentukan “Republik Batavia”. Pemerintah Stadtholder William V melarikan diri ke England. Republik Batavia (1795-1806) mendapat naungan daripada Perancis dan mendapat sokongan hebat daripada rakyat Belanda. Tentera Batavia-Perancis berjaya mematahkan pencerobohan tentera Anglo-Rusia pada tahun 1799. Struktur konfederasi dalam Republik Belanda yang lama digantikan dengan sistem negara unitari. Perlembagaan yang digubal pada tahun 1798 mempunyai ciri-ciri yang demokratik, tetapi rampasan kuasa pada tahun 1801 membawa kepada sebuah rejim pemerintahan autoritarian. Maharaja Perancis Napoleon Bonaparte kemudiannya menggantikan Republik Belanda dengan Negara Beraja Holland (1806-1810).

Gelombang Pemberontakan Hamba di Kepulauan Caribbean (1795-1796)

Revolusi Haiti telah merangsang satu gelombang pemberontakan hamba yang melanda seluruh rantau Caribbean, termasuk:

  • Curaçao – Pemberontakan Hamba Curaçao 1795 yang dipimpin oleh Tula
  • Dominica – Pemberontakan Colihault 1795
  • Grenada – Pemberontakan Fédon 1795-1796 yang dipimpin oleh Julien Fédon
  • Guyana – Pemberontakan Demerara 1795 yang dipimpin oleh Jack Gladstone
  • Jamaica – Perang Maroon Kedua 1795-1796
  • Kuba – Pemberontakan hamba berlaku pada tahun 1795, 1798, 1802, 1805, 1812 (dipimpin oleh José Antonio Aponte), 1825, 1827, 1829, 1833, 1834, 1835, 1838, 1839–43 dan 1844 (konspirasi dan pemberontakan La Escalera)
  • Saint Lucia – Perang Belukar 1795
  • Saint Vincent – Perang Carib Kedua 1795-1797
  • Venezuela – Pemberontakan di Coro yang dipimpin oleh José Leonardo Chirino pada tahun 1795
  • Barbados – Pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Bussa pada tahun 1816

Pemberontakan Teratai Putih (1796-1804)

Ketika negara China dilanda krisis kebuluran, pengikut gerakan keagamaan “Teratai Putih” mengadakan pemberontakan di sekitar wilayah Sichuan, Shaanxi, Henan dan Hubei, untuk menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing. Pemberontakan ini ditumpaskan oleh tentera Dinasti Qing.

Pemberontakan Scotland (1797)

Pada bulan Ogos 1797, protes besar-besaran tercetus di seluruh Scotland untuk menentang pengerahan secara paksa anak muda ke dalam tentera, tetapi dipatahkan secara kejam dengan ramai demonstran dibunuh. Kemudiannya Persatuan Warga Scotland Bersatu (Society of the United Scotsmen) yang memperjuangkan hak mengundi sejagat menganjurkan satu pemberontakan tetapi dipatahkan juga oleh tentera kerajaan Britain.

Revolusi Helvetia (1798)

Semasa Perang Revolusi Perancis (1792-1802), tentera Perancis menyerang Switzerland pada tahun 1798. Penduduk di Liestal, kanton Basel, memberontak pada 17 Januari 1798 untuk menuntut hak kesamarataan di sisi undang-undang. Ini diikuti dengan pemberontakan di bandar-bandar yang lain di Switzerland. Selepas tentera Perancis menguasai seluruh Switzerland dan Gabungan Swiss Lama dijatuhkan, perwakilan kanton yang mendukung idea Revolusi Perancis menubuhkan Republik Helvetia (1798-1803), di samping melaksanakan pembaharuan seperti memansuhkan hak feudal dan mewujudkan sebuah negara yang berpusat.

Pemberontakan Ireland (1798)

Rakyat Ireland melancarkan satu pemberontakan pada 24 Mei 1798 dan berlarutan sehingga bulan Oktober tahun itu, untuk menentang pemerintahan British di Pulau Ireland. Society of United Irishmen, sebuah organisasi politik republikan yang radikal, memainkan peranan penting dalam pemberontakan ini, dengan pemimpin utamanya termasuk Wolfe Tone yang dikenali sebagai Bapa Republikanisme Ireland. Kerajaan British mematahkan Pemberontakan Ireland dengan cara yang ganas, membunuh sekitar 10,000 hingga 30,000 orang.

Perang Fulani (1804-1808)

Masyarakat Fula yang dimangsakan dengan percukaian yang membebankan, amalan feudal dan penindasan daripada pemerintah, memberontak untuk melawan Kerajaan Hausa di utara Nigeria. Tentera jihad yang dipimpin oleh Usman dan Fodio secara perlahan menguasai semakin banyak wilayah yang diperintah oleh Kerajaan Hausa dan akhirnya menawan Gobir pada tahun 1808. Usman dan Fodio menubuhkan Khalifah Sokoto (1804-1903).

Revolusi Serbia (1804-1817)

Pemberontakan Serbia Pertama (1804-1813) tercetus pada awalnya sebagai pemberontakan tempatan terhadap pegawai Janissari yang merampas kuasa di situ, kemudiannya berkembang menjadi kebangkitan menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah. Karađorđe Petrović dipilih sebagai pemimpin pemberontakan rakyat Serbia. Kerajaan Revolusioner Serbia ditubuhkan pada tahun 1805, memulangkan tanah kepada rakyat, menghapuskan buruh paksa dan mengurangkan cukai. Pemberontakan Serbia Pertama gagal membebaskan Serbia daripada penguasaan Empayar Uthmaniyah dan kerajaan pemberontak dibubarkan. Hadži-Prodan yang pernah menyertai Pemberontakan Serbia Pertama melancarkan satu pemberontakan pada tahun 1814 tetapi ditewaskan tidak lama kemudian. Empayar Uthmaniyah mempertingkatkan penganiayaan terhadap rakyat Serbia, termasuk menaikkan cukai dan melaksanakan buruh paksa. Pemberontakan Serbia Kedua (1815-1817) tercetus di bawah pimpinan Miloš Obrenović. Pemberontakan Serbia Kedua menyaksikan kemenangan strategik Serbia, di mana Serbia menjadi sebuah negara separa merdeka daripada pemerintahan Empayar Uthmaniyah yang dikenali sebagai Negara Keputeraan Serbia yang mempunyai parlimen, perlembagaan dan kerabat diraja sendiri.

Pemberontakan Tican (1807)

Petani-petani berbangsa Serbia di wilayah Syrmia memberontak kerana tidak berpuas hati dengan peningkatan hebat dalam ufti feudal dan peraturan tanah yang dikenakan oleh pemerintahan Empayar Austria di situ. Pemberontakan ini dipimpin oleh Teodor Avramović Voganjac, Andrija Popović, Pantelija Ostojić, Marko Ognjanović dan Teodor Avramović Tican. Tican bertekad menentang tuan tanah feudal dan oligarki gereja secara habis-habisan. Pemberontakan ini ditewaskan dan pengampunan diberikan kepada kebanyakan pemberontak kecuali Tican yang dihukum mati.

Pemberontakan Dos de Mayo (1808)

Rakyat di Madrid bangkit memberontak pada 2 Mei 1808 untuk menentang pendudukan tentera Perancis di bandar itu. Pemberontakan di Madrid dipatahkan secara kejam tetapi gelombang pemberontakan merebak ke seluruh Sepanyol serentak dengan pencetusan Perang Semenanjung (1808-1814).

Perang Kemerdekaan Amerika Sepanyol (1808-1833)

Ketika Sepanyol diceroboh Perancis dalam Perang Semenanjung (1808-1814), tercetusnya gelombang perjuangan pembebasan nasional dan penuntutan kedaulatan rakyat di tanah jajahan Sepanyol di benua Amerika. Perang kemerdekaan yang berlaku di Amerika Latin termasuk:

  • Perang Kemerdekaan Argentina (1810-1818) – Bermula dengan Revolusi Mei pada tahun 1810 di Buenos Aires dengan Gabenor lantikan Sepanyol digulingkan dan Perhimpunan Pertama (Primera Junta) ditubuhkan. Tentera partriotik Argentina yang dipimpin oleh Manuel Belgrano, Juan José Castelli dan José de San Martín berjaya mengalahkan tentera yang setia pada Raja Sepanyol. Sebahagian amalan perhambaan dihapuskan. Kongres Tucumán mengisytihar kemerdekaan Argentina pada 9 Julai 1816.
  • Perang Kemerdekaan Venezuela (1810-1823) – Junta Suprema de Caracas ditubuhkan selepas Kapten Jeneral di Caracas lantikan Sepanyol dijatuhkan pada 19 April 1810. Pada 5 Julai 1811, 7 daripada 10 wilayah dalam jajahan Capitanía General de Venezuela mengisytihar kemerdekaan, dan Republik Venezuela Pertama (1811-1812) ditubuhkan tetapi tidak kekal lama. Simón Bolívar menerajui satu kempen ketenteraan untuk mengambilalih semula Venezuela daripada kekuasaan Sepanyol, dan menubuhkan Republik Venezuela Kedua (1813-1814), tetapi juga tidak kekal lama selepas ditewaskan oleh kuasa setiaraja. Republik Venezuela Ketiga (1817-1819) diisytihar selepas golongan republikan yang dipimpin oleh Simón Bolívar menguasai semula kebanyakan kawasan di Venezuela. Simón Bolívar melancarkan satu kempen ketenteraan untuk membebaskan New Granada (iaitu Colombia sekarang) pada tahun 1819. Kongres Angostura yang diadakan pada 17 Disember 1819 mengisytihar Gran Colombia (merangkumi kawasan Colombia, Ecuador, Panama dan Venezuela hari ini) sebagai negara yang merdeka. Tentera Gran Colombia mencapai kemenangan penentu terhadap tentera Sepanyol dalam Pertempuran Carabobo pada tahun 1821. Venezuela berpisah dari Gran Colombia dan menjadi negara merdeka pada tahun 1830.
  • Perang Kemerdekaan Bolivia (1809-1825) – Revolusi Chuquisaca pada bulan Mei 1809 dan Revolusi La Paz pada bulan Julai 1809 menubuhkan kerajaan junta di Sucre dan La Paz masing-masing, tetapi ditewaskan oleh Sepanyol selepas itu. Revolusioner di Argentina menghantar bantuan ketenteraan kepada pejuang kemerdekaan di Bolivia dan konflik berkembang menjadi perang gerila. Selepas Simón Bolívar dan Antonio José de Sucre menewaskan kuasa setiaraja di utara Amerika Selatan, Sucre memimpin tentera pembebasan untuk mengalahkan tentera setiaraja di Bolivia. Bolivia mengisytihar kemerdekaan pada 6 Ogos 1825.
  • Perang Kemerdekaan Chile (1810-1821) – Kerajaan Junta Pertama ditubuhkan pada 18 September 1810. Perang tercetus apabila Sepanyol cuba mengambilalih semula penguasaannya terhadap Chile. Chile mengisytihar merdeka pada 12 Februari 1818. Tentera patriot Chile dengan bantuan Argentina, menewaskan tentera setiaraja pada tahun 1821.
  • Perang Kemerdekaan Ecuador (1820-1822) – Beberapa tentera Amerika Selatan bertempur dengan tentera Sepanyol untuk menguasai wilayah Real Audiencia de Quito. Bandar pelabuhan Guayaquil diisytihar merdeka oleh José Joaquín de Olmedo dan perjuang kemerdekaan yang lain. Pemimpin pembebasan Amerika Selatan, Antonio José de Sucre, turut terlibat dalam perang ini. Tentera Sepanyol dikalahkan dan seluruh wilayah Presidencia de Quito (iaitu Ecuador) mencapai kemerdekaan pada bulan Mei 1822.
  • Perang Kemerdekaan Peru (1811-1826) – Berlaku serentak dengan Perang Kemerdekaan Argentina. Pemimpin kemerdekaan dari Argentina, José de San Martín, mengisytihar kemerdekaan Peru pada 28 Julai 1821.
  • Pemberontakan Paraguay (1811) – Satu pemberontakan yang dipimpin oleh José Gaspar Rodríguez de Francia, Fulgencio Yegros, Pedro Caballero dan anggota tentera yang lain menjatuhkan pemerintahan Kerajaan Sepanyol di Paraguay pada 14 Mei 1811 dan menubuhkan kerajaan junta.
  • Perjuangan Kemerdekaan Uruguay (1811-1828) – José Gervasio Artigas memimpin satu pemberontakan pada tahun 1811 untuk menewaskan tentera Sepanyol di Provincia Oriental (Uruguay sekarang) dan menyertai gerakan perjuangan kemerdekaan Argentina pada ketika itu. Provincia Oriental diceroboh oleh Portugal pada tahun 1821 yang cuba menggabungkannya ke dalam Brazil. Treinta y Tres Orientales, sekumpulan militan revolusioner yang dipimpin oleh Juan Antonio Lavalleja dan Manuel Oribe, memasuki Uruguay dan mara ke Montevideo dengan sokongan dari Argentina. Kerajaan sementara dibentuk di La Florida dan Uruguay diisytihar merdeka daripada Brazil pada 25 Ogos 1925. Perang dengan Brazil tercetus dan berlarutan selama 2 tahun. Perjanjian Montevideo yang ditandatangani pada tahun 1828 mengisytihar Uruguay sebagai negara merdeka.

Pemberontakan Travancore (1809-10)

Pemberontakan tercetus di negeri Travancore dan Cochin, di bawah kepimpinan menteri-menteri kerajaan tempatan, untuk menentang kekuasaan Syarikat Hindia Timur Inggeris di situ. Salah seorang pemimpin pemberontak ialah Velu Thampi Dalawa yang merupakan Perdana Menteri Kerajaan Travancore. Pemberontakan ditewaskan oleh tentera British yang disokong oleh raja tempatan.

Perang Kemerdekaan Mexico (1810-1821)

Miguel Hidalgo y Costilla, seorang paderi Katolik, melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan penjajah Sepanyol pada 16 September 1810. Hidalgo dihukum mati pada tahun 1811 selepas ditangkap tentera Sepanyol. Perjuangan diteruskan di bawah kepimpinan José María Morelos dan Ignacio López Rayón. Kongres Anáhuac yang ditubuhkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan, mengisytihar kemerdekaan Mexico pada 13 September 1813. Morelos ditangkap dan dihukum mati oleh Kerajaan Sepanyol pada tahun 1815. Gerakan kemerdekaan diteruskan dalam bentuk perang gerila di bawah pimpinan Vicente Guerrero. Mexico mencapai kemerdekaan selepas penandatanganan Perjanjian Córdoba pada 27 September 1821.

Pemberontakan Pantai Jerman 1811

Golongan hamba kulit hitam dari ladang tebu gula di Wilayah Orleans yang cuba membebaskan diri mereka, melancarkan pemberontakan dan mara ke bandar New Orleans pada bulan Januari 1811. Pemilik ladang dan pegawai pentadbir Wilayah Orleans membentuk militia untuk mematahkan hamba yang memberontak. Hamba yang ditangkap semula telah diseksa dan dihukum bunuh secara kejam.

Pemberontakan Hong Gyeong-nae (1811-1812)

Petani-petani yang dipimpin oleh Hong Gyeong-nae memberontak untuk menentang Kerajaan Dinasti Joseon yang mengenakan sistem cukai yang menindas. Tentera pemberontak pada awalnya berjaya menguasai kebanyakan kawasan di Barat Laut Semenanjung Korea, tetapi kemudiannya ditewaskan oleh tentera Joseon.

Pemberontakan Ambon (1817)

Penduduk di Saparau, Maluku, yang dipimpin oleh Kapitan Pattimura, memberontak menentang penjajah Belanda di situ. Pemberontak berjaya menawan Fort Duurstede di Pulau Saparau pada 16 Mei 1817, tetapi dirampas semula oleh tentera Belanda pada 3 Ogos 1817. Tiga bulan kemudian, Pattimura ditangkap dan dihukum mati oleh pihak penjajah.

Revolusi 1820

Gelombang revolusi yang melanda beberapa buah negara di benua Eropah. Revolusi di Sepanyol, Portugal dan Itali berhasrat untuk mewujudkan sistem raja berperlembagaan yang menggantikan sistem raja multak.

Pemberontakan Scotland (1820)

Juga dikenali sebagai Perang Radikal. Kemelesetan ekonomi selepas tamatnya Perang Napolean menyebabkan ketidakstabilan dalam masyarakat Scotland. Pekerja-pekerja Scotland cuba menuntut pada kerajaan untuk menjalankan reformasi yang dikemukakan oleh golongan radikal. “Jawatankuasa Pengorganisasian untuk Pembentukan Kerajaan Sementara” yang dibentuk oleh golongan Radikal menyeru untuk mogok besar-besaran pada 1 April 1820, dan ramai pekerja di Tengah Scotland mengadakan mogok yang berterusan untuk seminggu. Kerajaan Britain menggunakan ejen provokator untuk menghasut rusuhan dan mematahkan gerakan kebangkitan ini.

Perang Kemerdekaan Greece (1821-1832)

Pemberontakan menentang pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah tercetus di Wallachia pada bulan Februari 1921 tetapi dipatahkan beberapa bulan kemudian. Rakyat Greece di Semenanjung Peloponnesos turut menyahut seruan untuk memberontak. Kebanyakan kawasan di Peloponnesos dikuasai oleh tentera pemberontak pada bulan Mac 1821. Rakyat di Pulau Crete, Madedonia dan Tengah Greece turut memberontak. Pemberontak revolusioner mendirikan jawatankuasa pemerintahan sendiri di tempat masing-masing. Revolusioner Greece mengadakan Perhimpunan Nasional Pertama di Epidaurus pada bulan Disember 1821, dan meluluskan Perlembagaan Greece 1822 yang menandakan kemerdekaan Greece. Perhimpunan Nasional Ketiga di Troezen pada tahun 1827 memutuskan penubuhan Republik Hellenik dan memilih Ioannis Kapodistria sebagai Gabenor Greece. Kuasa besar seperti Britain, Rusia dan Perancis mencamputangan dalam perang antara Greece dengan Turki Uthmaniyah. Negara Beraja Greece ditubuhkan atas campurtangan kuasa besar berikutan Persidangan London pada tahun 1832.

Perang Jawa (1825-1830)

Putera Diponegoro memimpin pemberontakan menentang penjajah Belanda di Pulau Jawa. Pemberontakan ini ditewaskan. Diponegoro ditipu untuk menghadiri rundingan damai dan ditangkap penjajah Belanda, sebelum dibuang negeri ke Makassar.

Pemberontakan Disemberis (1825)

Sebahagian pegawai tentera Rusia yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan autokratik kerajaan Tsar Nicholas I, memimpin satu protes yang disertai 3,000 orang askar di Saint Petersburg pada 26 Disember 1825 (14 Disember mengikut Kalendar Julian), untuk membantah Tsar Nicholas I yang baru menaiki takhtanya. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera yang dikerahkan oleh Tsar.

Pemberontakan Lao (1826-1828)

Sebagai usaha untuk membebaskan Kerajaan Vientiane daripada naugan kuasa Siam, Raja Anouvong melancarkan pemberontakan bersama dengan Kerajaan Champasak, tetapi ditumpaskan oleh tentera Siam. 

Revolusi 1830

Gelombang revolusi yang melanda Eropah, merangkumi dua revolusi nasionalis romatik di Eropah Barat (Revolusi Belgium dan Revolusi Julai di Perancis), di samping revolusi-revolusi di Poland dan Switzerland. Antara revolusi yang berlaku pada tahun 1830:

  • Revolusi Julai – Raja Charles X di Perancis mengumumkan pada 25 Julai 1830 untuk mengehadkan kebebasan penerbitan, membubarkan parlimen yang baru dipilih dan meluluskan undang-undang pilihanraya baharu (menyebabkan kebanyakan pengundi kelas menengah kehilangan hak mengundi), maka mencetuskan revolusi. Pada 27 Julai 1830, rakyat Paris turun berprotes di jalanan. Revolusi Julai menjatuhkan Raja Charles X dan pemerintahan Kerabat Diraja Bourbon, serta mewujudkan sistem raja berperlembagaan di Perancis. Kerabat Diraja Orléans yang lebih bersifat liberal mengambilalih kuasa.
  • Revolusi Belgium (1830-1831) – Ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan Raja William I dari Belanda, perbezaan dalam struktuk ekonomi (Belgium merupakan kawasan dengan perindustrian dan pertanian yang maju, sementara kawasan Belanda menumpu pada perdagangan dan perikanan), kenaikan harga barangan, pengangguran yang serius, dan pengaruh kemunculan fahaman nasionalis dalam kalangan rakyat Belgium, tambahan pula dengan rangsangan daripada Revolusi Julai di Perancis, rakyat Belgium melancarkan perjuangan menentang pemerintahan Kerajaan Belanda. Rakyat di Brussels mula-mula memberontak pada 25 Ogos 1830, dan merebak dengan cepat ke tempat lain. Tentera Belanda yang dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan terpaksa berundur kerana lemah semangat. Rakyat Belgium mendirikan kerajaan sementara, dan mengisytiharkan kemerdekaan pada 4 Oktober 1830. Perhimpunan Nasional Belgium mengundi untuk mengesahkan kemerdekaan pada 18 November 1830. Belgium mengumumkan perlembagaan baharu pada bulan Februari 1831. Raja William I melancarkan serangan ke atas Belgium pada bulan Ogos 1831, tetapi digagalkan kerana campurtangan tentera Perancis.
  • Pemberontakan November (1830-1831) – Juga dikenali sebagai “Revolusi Kadet”. Pegawai tentera muda dari akademi tentera di Warsaw memberontak pada 29 November 1830 di bawah pimpinan Leftenan Piotr Wysocki, untuk menentang Empayar Rusia yang menguasai Poland pada masa itu. Pemberontakan ini disertai oleh ramai rakyat dari Lithuania, Belarus dan Ukraine Tebing-Kanan. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Rusia yang berjumlah besar.
  • Ustertag – Berikutan Revolusi Julai di Perancis, perhimpunan besar diadakan di banyak tempat di Switzerland untuk menuntut perlembagaan canton yang baharu. Pada 22 November 1830, 10,000 orang dari Canton Zürich berhimpun untuk menuntut perlembagaan baharu. Kerajaan-kerajaan canton yang berasingan dengan cepatnya tunduk kepada tuntutan perhimpunan-perhimpunan ini dan meminda perlembagaan mereka.

Pemberontakan Naning (1831-1832)

Penduduk Naning, Melaka, di bawah pimpinan Dol Said selaku penghulu Naning, memberontak untuk menentang kekuasaan Syarikat Hindia Timur Inggeris demi mempertahankan kedaulatan wilayah itu. Pemberontakan berakhir dengan Dol Said menyerah diri kepada British.

Pemberontakan Nat Turner (1831)

Sekumpulan hamba berkulit hitam yang dipimpin oleh Nat Turner memberontak pada bulan Ogos 1831 di Daerah Southampton, Virginia, Amerika Syarikat, tetapi ditumpaskan oleh militia orang putih dalam beberapa hari. Ramai hamba dibunuh selepas itu, sementara Nat Turner ditangkap setelah bersembunyi untuk beberapa minggu dan dihukum mati.

Pemberontakan Canut Pertama (1831)

Pengurangan upah pekerja disebabkan ekonomi yang merudum, mencetuskan kebangkitan pekerja-pekerja penenun kain sutera (canut) di bandar Lyon, Perancis, pada bulan Oktober 1831. Pekerja-pekerja menuntut peningkatan upah tetapi ditolak oleh pemilik kilang. Pekerja-pekerja mengambilalih gedung senjata dan menewaskan tentera tempatan setelah pertempuran hebat selama 3 hari. Namun, kerajaan pusat Perancis mengerahkan tentera yang berjumlah lebih besar untuk mematahkan pemberontakan pekerja ini.

Pemberontakan Hamba Jamaica (1831-1832)

Juga dikenali sebagai Pemberontakan Krismas. Di bawah pimpinan Samuel Sharpe, seorang pendakwah Baptis yang berkulit hitam, bersama dengan pengikutnya, pemberontakan hamba dilancarkan pada 25 Disember 1831 dengan melibatkan 60,000 orang hamba di Jamaica. Pemberontakan selama 11 hari ini akhirnya dipatahkan oleh tentera British, dengan ratusan hamba dihukum mati, termasuk Sharpe. Berikutan pemberontakan ini, Parlimen Britain meluluskan Akta Penghapusan Perhambaan 1883. 

Pemberontakan Jun (1832)

Pada 5 Jun 1832, lebih 30,000 rakyat Paris turun ke jalanan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Jean Maximilien Lamarque, seorang pemimpin Republikan yang meninggal dunia beberapa hari sebelum itu. Golongan Republikan yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Monarki Julai melaungkan slogan anti-kerajaan dan menyokong republik. Pemberontakan golongan Republikan ini ditewaskan oleh tentera kerajaan.

Pemberontakan Lê Văn Khôi (1833-1835)

Rakyat Vietnam Selatan, golongan Katolik dan peneroka Cina telah memberontak di wilayah Vietnam Selatan di bawah kepimpinan Lê Văn Khôi, untuk menentang pemerintahan Maharaja Minh Mạng daripada Dinasti Nguyễn. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Kerajaan Vietnam.

Pemberontakan Petani Syria (1834-1835)

Golongan petani Arab di kawasan Syria Uthmaniyah memberontak untuk menentang pemerintahan Wāli Ibrahim Pasha dari Mesir. Pemberontakan ini melibatkan perjuangan seperti:

  • Pemberontakan Petani di Palestin (1834) – Petani-petani bersama dengan golonan elit bandar dan suku Bedouin memberontak untuk menentang dasar percukaian dan pengerahan secara paksa oleh pemerintah Mesir di Palestin. Pemberontakan yang berlarutan selama 3 bulan ini ditewaskan oleh tentera Mesir.
  • Pemberontakan Eyalet Sidon (1834) – Serentak dengan pemberontakan petani di Palestin, petani-petani di wilayah Galilee juga memberontak. Pemberontak menawan bandar Safad dan Tiberia, dan juga menguasai wilayah Hauran, sebelum ditewaskan.
  • Pemberontakan Alawit (1834-1835) – Golongan Alawit memberontak di wilayah pergunungan Latakia untuk menentang pemerintahan Mesir, tetapi dipatahkan oleh tentera yang pro-Mesir.

Pemberontakan Canut Kedua (1834)

Pekerja-pekerja di Lyon, Perancis, bangkit memberontak sekali lagi pada bulan April 1834, kerana pemilik kilang cuba untuk mengurangkan gaji pekerja. Kebangkitan pekerja Lyon kali ini juga menonjolkan sifat politik yang jelas, apabila pekerja-pekerja mengemukakan tuntutan untuk mewujudkan sebuah republik yang demokratik. Pekerja yang memberontak mendirikan halangan jalan dan bertempur dengan tentera di jalanan selama 6 hari, tetapi akhirnya ditewaskan. Sekurang-kurangnya 300 orang terkorban, sementara 10,000 orang pemberontak dipenjarakan atau dibuang negeri.

Pemberontakan Malê (1835)

Golongan hamba Afrika yang beragama Islam di bandar Salvador, negeri Bahia, Brazil, memberontak pada bulan Januari 1835, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa Brazil.

Mogok Umum Philadelphia 1835

Lebih kurang 20,000 orang pekerja di bandar Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat, bermogok pada 6-22 Jun 1835 untuk menuntut kerja 10 jam sehari dan peningkatan gaji. Mogok umum yang pertama di Amerika Utara ini berjaya memenangkan tuntutan pekerja.

Revolusi Texas (1835-1836)

Selepas pertembungan politik dan budaya selama satu dekad antara peneroka dari Amerika Syarikat di Texas dengan Kerajaan Mexico yang menguasai Texas pada masa itu, peneroka Amerika Syarikat dan Tejanos mengangkat senjata untuk memberontak pada bulan Oktober 1835, untuk menentang Kerajaan Mexico yang semakin memusatkan kuasanya dan menyekat hak rakyat khususnya mereka yang berhijrah dari Amerika Syarikat. Republik Texas yang merdeka ditubuhkan pada tahun 1836, kemudiannya dicantumkan ke dalam Amerika Syarikat pada tahun 1845.

Perang Florida (1835-1842)

Juga dikenali sebagai Perang Seminole Kedua. Cubaan kerajaan Amerika Syarikat untuk memindahkan secara paksaan masyarakat orang Seminole di Florida ke Wilayah Indian yang ditetapkan di bawah Akta Pemindahan Indian 1830, mencetuskan konflik bersenjata yang melanda semenanjung Florida. Pemimpin masyarakat Seminole, Osceola dan Micanopy, ditangkap semasa mereka sedang merundingkan gencatan senjata. Lebih kurang 4,000 orang masyarakat Seminole telah dipindahkan secara paksaan ataupun mati dalam pertempuran. Lebih kurang 350 orang Seminole masih berada di barat daya Florida, dan konflik yang tiada penyelesaian itu membawa kepada Perang Seminole Ketiga (1855-1858).

Pemberontakan 1837

Pada tahun 1837, dua pemberontakan yang berasingan tercetus di Kanada Hilir (selatan Quebec hari ini) dan Kanada Hulu (Ontario hari ini). Kedua-dua pemberontakan ini berlaku kerana kekecewaan rakyat tempatan terhadap kegagalan pembaharuan politik untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Kedua-dua pemberontakan ini ditewaskan oleh Kerajaan British, yang selepas itu menggabungkan Kanada Hilir dan Kanada Hulu menjadi Provinsi Kanada di bawah Akta Amerika Utara British 1840 dengan merealisasikan tuntutan untuk merombak pentadbiran kerajaan penjajah.

Gerakan Piagam Rakyat (1838-1848)

Piagam Rakyat (People’s Charter) dikemukakan pada tahun 1838 oleh sebuah jawatankuasa yang termasuk wakil organisasi pekerja di negara Britain untuk menuntut sistem politik yang lebih demokratik (seperti hak mengundi untuk pekerja, undi rahsia, pekerja dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya, pilihanraya diadakan setiap tahun dan sebagainya), dan mencetuskan gerakan perjuangan pekerja yang hebat di seluruh negara Britain. Gerakan Piagam Rakyat (Chartism) yang dimulakan oleh Persatuan Pekerja London ini, berlarutan untuk 10 tahun, dengan jutaan rakyat terlibat dalam perjuangan untuk pembaharuan politik yang radikal. Kemuncak pertama gerakan ini muncul pada tahun 1839, dengan perhimpunan berskala besar diadakan, petisyen dilancarkan dan 1.3 juta tandatangan dikutip untuk diserahkan kepada Dewan Rakyat, tetapi ahli-ahli parlimen pada masa itu mengundi untuk tidak mendengar tuntutan petisyen ini, sehingga mencetuskan pemberontakan pekerja. Pada tahun 1842, Gerakan Piagam Rakyat berjaya mengutip tandatangan sokongan daripada seramai 3.25 juta orang, tetapi sekali lagi ditolak oleh Parlimen, dan gerakan ini dipukul hebat oleh kerajaan. Pada tahun 1848, seiring dengan gelombang revolusi yang melanda benua Eropah tahun itu, Gerakan Piagam Rakyat memuncak lagi dengan satu perhimpunan besar yang diadakan di Kennington Common pada 10 April 1848 dan satu lagi petisyen yang ditandatangani jutaan rakyat diserahkan ke Parlimen melalui satu perarakan besar-besaran. Parlimen masih enggan menerima petisyen ini dan Kerajaan meneruskan pemukulan terhadap Gerakan Piagam Rakyat. Gerakan Piagam Rakyat merosot pada tahun 1850-an, tetapi semua tuntutannya telah direalisasikan beberapa dekad selepas itu kecuali tuntutan untuk pilihanraya setiap tahun.

Mogok Umum 1842

Juga dikenali sebagai “Rusuhan Plag”, kerana pekerja-pekerja yang bermogok mencabut plag enjin stim di kilang mereka untuk menghentikan operasi kilang. Berikutan penolakan oleh Parlimen Britain terhadap petisyen kedua yang diserahkan oleh Gerakan Piagam Rakyat, pekerja-pekerja lombong di Staffordshire mengadakan mogok kerja, dan merebak ke kilang-kilang di merata tempat. Di pekan pengeluar tembikar seperti Hanley dan Burslem, tercetusnya pemberontakan pekerja yang dipanggil “Rusuhan Tembikar”. Walaupun dicetuskan kerana bantahan terhadap pengurangan gaji oleh pemilik kilang, gelombang mogok pekerja ini berkaitan rapat dengan Gerakan Piagam Rakyat pada masa itu, dengan melibatkan hampir 500,000 orang pekerja.

Pemberontakan 3 September 1843

Tentera yang ditempatkan di Athens, di bawah kepimpinan Kolonel Dimitrios Kallergis dan Kapten Ioannis Makriyannis, berhimpun di dataran di hadapan istana untuk menuntut pada Raja Greece, Otto Friedrich Ludwig, supaya bersetuju dengan penggubalan perlembagaan. Pemberontakan tentera ini mendapat sokongan daripada kebanyakan rakyat. Raja Otto terpaksa tunduk pada tekanan rakyat untuk pembaharuan politik. Perlembagaan Greece 1844 yang digubal bersifat lebih liberal dan memindahkan kebanyakan kuasa kepada parlimen dwidewan, untuk mewujudkan sistem raja berperlembagaan.

Pemberontakan Penenun Silesia (1844)

Ribuan penenun kain di Silesia, Jerman, memberontak untuk menentang golongan pemilik kilang yang menyusahkan hidup mereka. Mereka merosakkan mesin yang baru diperkenalkan dalam kilang yang menyebabkan upah mereka menurun. Kerajaan Prusia bertindak dengan kezaliman yang teruk. Pekerja-pekerja yang memberontak bertempur hebat dengan tentera dan polis, tetapi akhirnya pemberontakan ini dipatahkan.

Pemberontakan Kraków (1846)

Golongan bangsawan dan kelas menengah Poland yang ingin memperjuangkan kemerdekaan negara itu daripada kekuasaan imperialis dan menuntut pembaharuan sosial (seperti penghapusan sistem hamba-tani) memberontak di Kraków di bawah kepimpinan Jan Tyssowski dan Edward Dembowski, untuk menentang Empayar Austria. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Austria dengan bantuan daripada golongan petani. Kerajaan Austria mempergunakan ketidakpuasan hati petani terhadap tuan tanah dan sistem hamba-tani untuk menggalakkan pemberontakan golongan petani terhadap golongan bangsawan Poland.

Pemberontakan Masyarakat Maya di Yucatán (1847)

Masyarakat orang Maya di Semenanjung Yucatán melancarkan pemberontakan terhadap golongan Yucatecos (orang berketurunan Eropah) yang berkuasa, sehingga mencetuskan “Perang Kasta Yucatán” (1847-1901). Orang Maya berjuang untuk mempertahankan tanah mereka daripada dihakis oleh sistem pemilikan persendirian dan menentang kekuasaan orang berketurunan Eropah di situ. Negara merdeka masyarakat Maya ditubuhkan, tetapi ditumbangkan apabila tentera Mexico menawan Chan Santa Cruz, ibu kota Maya, pada tahun 1901.

Perang Sonderbund (1847)

7 buah negeri Katolik yang dikuasai oleh golongan konservatif menubuhkan “Gabungan Pemisah” (Sonderbund) pada tahun 1845 untuk melindungi kepentingan kekuasaan golongan pemerintah di situ dan menentang Perlembagaan baharu Konfederasi Switzerland yang diperkenalkan oleh Tagsatzung (Parlimen Persekutuan) yang majoritinya terdiri daripada golongan liberal. Tagsatzung mengundi untuk mengarahkan pembubaran Sonderbund pada 21 Oktober 1847 kerana Perjanjian Persekutuan 1815. Tentera Persekutuan Switzerland yang dipimpin oleh Guillaume Henri Dufour melancarkan perang ke atas Sonderbund pada awal bulan November dan menewaskan golongan konservatif Sonderbund dalam tempoh kurang sebulan. Kemenangan golongan pembaharu ini mewujudkan asas untuk peralihan Switzerland ke sebuah negara persekutuan.

Bersambung di Kronologi Revolusi Dunia (Bahagian 2)

3 thoughts on “Kronologi Revolusi Dunia (Bahagian 1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *