Sejarah masyarakat manusia penuh dengan perjuangan rakyat yang menentang kezaliman dan membebaskan diri daripada penindasan.

Kronologi sejarah revolusi dunia ini (dalam 3 bahagian) menyenaraikan peristiwa-peristiwa perjuangan rakyat di seluruh pelusuk dunia, merangkumi kebangkitan rakyat melawan penindasan, pemberontakan menentang kuasa pemerintahan yang zalim, penentangan terhadap kekuasaan penjajah dan revolusi yang mengubah sistem masyarakat.

(Ini bukannya senarai peristiwa revolusi yang lengkap dan mungkin adanya peristiwa kebangkitan rakyat yang tertinggal.)

Bersambung dari: Kronologi Revolusi Dunia (Bahagian 1)

Kronologi Revolusi Dunia

Bahagian 2: Tahun 1848-1948

Pemberontakan Canut Ketiga (1848)

Pekerja-pekerja di Lyon, Perancis, bangkit memberontak untuk kali ketiga sejak tahun 1831, ketika benua Eropah dilanda gelombang revolusi. Pemberontakan ini juga dipatahkan.

Revolusi 1848

Gelombang revolusi yang bersifat liberal, demokratik dan republikan melanda benua Eropah pada tahun 1848. Lebih 50 buah negara terkesan dengan revolusi ini, dengan kebanyakan revolusi bermatlamat untuk menyingkirkan struktur pemerintahan monarki dan membentuk negara bangsa moden yang merdeka. Walaupun revolusi di kebanyakan negara pada tahun itu menemui kegagalan, tetapi gelombang revolusi ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada perkembangan sejarah dunia moden.

Revolusi Perancis 1848

Juga dikenali sebagai Revolusi Februari. Pada 22 Februari 1848, rakyat Paris memberontak untuk menentang pemerintahan Kerabat Diraja Orléans yang gagal melaksanaan pembaharuan politik. Raja Louis Philippe I terpaksa berundur dari takhtanya dan pemerintahan Kerajaan Monarki Julai dijatuhkan. Saki baki kekuasaan feudal Perancis telah dikuburkan dalam revolusi ini. Revolusi Februari mendirikan Republik Perancis Kedua (1848-1852) yang tidak bertahan lama. Selepas Revolusi Februari, prinsip hak bekerja telah diwujudkan dan kerajaan baharu menyediakan Bengkel Nasional (Ateliers Nationaux) untuk penganggur. Namun begitu, kerajaan yang dibentuk selepas revolusi mengambil halatuju yang semakin konservatif tidak lama kemudian. Konflik antara golongan Liberal dengan Republikan Radikal semakin memuncak sehingga tercetusnya “Pemberontakan Jun” apabila kerajaan merancang untuk menutup Bengkel Nasional. Pekerja-pekerja Paris memberontak pada 23-26 Jun 1848, tetapi dipatahkan secara kejam oleh tentera, dengan ribuan pekerja dibunuh atau dibuang negeri ke Algeria. 

Revolusi Jerman 1848-1849

Juga dikenali sebagai Revolusi Mac. Pada 18 Mac 1848, demonstrasi besar-besaran tercetus di bandar Berlin, ibu negeri Prusia. Rakyat yang berprotes menuntut kebebasan bersuara, mengadakan perjumpaan bersama dan mengorganisasikan kumpulan rakyat untuk mempertahankan diri. Raja Prusia, Frederick William IV, terpaksa bersetuju dengan sebahagian tuntutan rakyat. Frederick William IV memanggil satu Persidangan Perlembagaan, menyatakan harapannya untuk menubuhkan sebuah Empayar Jerman yang mengamalkan sistem persekutuan dengan adanya parlimen yang dipilih rakyat dan rakyat akan menikmati kebebasan bersuara. Pada 18 Mei 1848, Perhimpunan Nasional yang dipilih oleh rakyat secara demokratik, bersidang di Frankfurt, untuk mencari jalan supaya menyatukan negeri-negeri Jerman yang berpecah-belah dan menggubal perlembagaan. Satu lagi Perhimpunan Nasional Prusia yang juga dipilih secara demokratik, bersidang di Berlin pada 22 Mei 1848. Namun, Raja Frederick William IV memperkenalkan perlembagaan monarkis secara unilateral untuk melemahkan kuasa demokratik. Perhimpunan Nasional di Berlin dibubarkan pada 5 Disember dan digantikan oleh badan perundangan dwidewan yang dibawa dalam perlembagaan monarkis. Di negeri Bavaria, pelajar-pelajar, pekerja-pekerja dan warga-warga bandar berdemonstrasi di Munich dan bandar-bandar lain, untuk menuntut pembaharuan perlembagaan. Raja Bavaria, Ludwig I, terpaksa berundur dari takhtanya pada 20 Mac 1848, namun kabinet kerajaan baharu yang dibentuk oleh golongan liberal pada ketika itu telah berkompromi dengan kekuasaan monarki yang lama dengan membenarkan takhta raja diserahkan kepada Maximilian II selaku anak Ludwig I. Di negeri Sachsen, rakyat berprotes di jalanan bandar Dresden untuk menuntut pada Raja Frederick Augustus II supaya melakukan pembaharuan sistem pilihanraya dan menggubal perlembagaan baharu. Protes rakyat Sachsen berkembang menjadi “Pemberontakan Mei” pada 3-9 Mei 1848, tetapi dipatahkan oleh Kerajaan Sachsen. Di Baden, usaha untuk memperjuangkan sebuah republik, mencetuskan “Pemberontakan Hecker” yang dipimpin oleh Friedrich Hecker, Gustav von Struve dan beberapa orang demokrat radikal pada bulan April 1848, berjuang untuk menghapuskan pemerintahan monarki dan membentuk sebuah republik di wilayah pemerintahan Grand Duke Baden, tetapi ditewaskan oleh tentera Konfederasi Jerman. Pada 21 September 1848, Gustav Struve mengisytihar pembentukan Republik Jerman di bandar Lörrach, tetapi ditumpaskan juga. Pemberontakan tercetus lagi di Baden pada bulan Mei 1849 tetapi dipatahkan. Pada bulan Mei 1849, pemberontakan juga tercetus di Palatine dan Elberfeld untuk perlembagaan yang demokratik. Revolusi Jerman yang tertumpu di wilayah barat dan selatan Jerman, membawa wawasan untuk pembentukan negara bangsa Jerman yang bersatu, penggubalan perlembagaan demokratik, pilihanraya parlimen, kebebasan akhbar dan kebebasan berhimpun.

Revolusi Austria 1848

Pada 13 Mac 1848, pelajar-pelajar universiti menganjurkan demonstrasi besar-besaran di bandar Vienna, menuntut perletakan jawatan Klemens von Metternich sebagai Canselor (iaitu Perdana Menteri) Empayar Austria. Maharaja Austria, Ferdinand I, mengarahkan tenteranya untuk mematahkan demonstrasi, tetapi protes berkembang menjadi pemberontakan rakyat yang meluas apabila kelas pekerja turut mengambil bahagian. Revolusi mula merebak ke seluruh wilayah yang dikuasai Kerajaan Habsburg. Ferdinand I melarikan diri ke Innsbruck ketika revolusi memuncak pada bulan Mei 1848. Ferdinand I berkompromi dengan tuntutan demokratik dan bersetuju untuk menubuhkan Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih rakyat. Ferdinand I kembali ke Vienna pada bulan Ogos 1848, tetapi tidak lama kemudian, golongan pekerja berprotes di jalanan untuk membantah arahan kerajaan yang mengurangkan upah pekerja dan menyatakan kemarahan terhadap pengangguran yang teruk. Rakyat di Vienna berdemonstrasi lagi pada 6 Oktober 1848 untuk membantah tindakan Ferdinand I yang menghancurkan revolusi di Hungary, menyebabkan Ferdinand I melarikan diri dari Vienna, kemudiannya berundur dari takhta dan menyerahkan kuasa kepada anak saudaranya, Franz Joseph I.

Revolusi Hungary 1848

Pada 15 Mac 1848, rakyat di dua buah bandar bersebelahan yang dipisahkan oleh Sungai Danube, Buda dan Pest, bangkit menentang pemerintahan autokratik Empayar Austria dan memperjuangkan pembaharuan masyarakat (termasuk kebebasan akhbar, kerajaan demokratik, penghapusan sistem feudal, penghapusan pengecualian cukai yang dinikmati bangsawan dan sebagainya). Sebuah kerajaan berperlembagaan yang terdiri daripada golongan reformis ditubuhkan di Vienna dan meluluskan beberapa rang undang-undang yang bertujuan untuk memodenkan Hungary menjadi sebuah negaran bangsa. Namun, tentera Empayar Rusia mula memberi bantuan kepada Empayar Austria pada bulan Mei 1849 dan mencetuskan perang kemerdekaan untuk Hungary membebaskan diri daripada pemerintahan Dinasti Habsburg. Revolusi Hungary ditewaskan oleh tentera gabungan Austria dan Rusia pada bulan Ogos-September 1849. 

Revolusi Bohemia (1848)

Golongan nasionalis Czech di wilayah Bohemia berhimpun di Prague pada bulan Mac 1848, menuntut pelaksanaan perlantikan kabinet untuk wilayah itu, dan pengiktirafan status samarata untuk bahasa Czech dan Jerman. Rakyat berbangsa Czech di Prague memberontak pada bulan Jun 1848 tetapi dipatahkan oleh tentera Empayar Austria.

Pemberontakan Slovak (1848-1849)

Rakyat berbangsa Slovak memberontak pada bulan September 1848 di bahagian barat wilayah Hungary Hulu, untuk menentang pemerintahan Kerajaan Hungary di situ. Majlis Nasional Slovak yang ditubuhkan pemberontak dipimpin oleh Ľudovít Štúr, Jozef Miloslav Hurban dan Michal Miloslav Hodža. Pemberontakan ditewaskan oleh tentera Hungary.

Revolusi Serbia 1848-1849

Ribuan orang Serb berhimpun dalam Perhimpunan Mei di bandar Sremski Karlovci pada 1 Mei 1848, dan memilih Stevan Šupljikac sebagai voivode (komander sivil dan tentera Serb). Rakyat berbangsa Serb memberontak pada 6 Jun 1848 di wilayah Vojvodina, untuk menentang Kerajaan Hungary. Pemberontakan ini membawa kepada pembentukan wilayah autonomi Serbia yang berada di bawah Empayar Austria.

Revolusi Sicily 1848

Pemberotakan yang berpusatkan bandar Palermo tercetus di Pulau Sicily pada 12 Januari 1848, untuk menentang pemerintahan Raja Kerabat Bourbon di Negara Beraja Dua Sicily dan memperjuangkan kemerdekaan Sicily. Revolusi Sicily membentuk sebuah negara beraja yang merdeka dengan perlembagaan yang sangat liberal pada masa itu, tetapi hanya bertahan untuk 16 bulan sebelum tentera Bourbon menguasai semula pulau itu pada 15 Mei 1849.

Revolusi di Negeri-negeri Itali (1848)

Revolusi Sicily mencetuskan semangat nasionalis rakyat di Semenanjung Itali yang berusaha untuk membebaskan diri daripada kekuasaan Austria. Pada bulan Februari dan Mac 1848, Napoli, Toscana dan Piedmont mengisytiharkan perlembagaan baharu. Pada 18 Mac 1848, revolusi tercetus di Milan dan Genoa, sehingga berjaya memaksa tentera Austria berundur dari situ. Revolusi di Milan dikenali sebagai “Lima Hari di Milan” (Cinque giornate di Milano). Pemberontakan rakyat turut berlaku di Lombardia, Veneto, Parma dan Modena. Pada 23 Mac 1848, Kerajaan Piedmont-Sardinia di bawah pimpinan Raja Carlo Alberto mengisytihar perang terhadap Empayar Austria, dan membuka tirai kepada “Perang Kemerdekaan Itali Pertama” (1848-1849). Tentera Piedmont-Sardinia dikalahkan pada bulan Julai 1848. Di bandar Rom, golongan liberal dan republikan turun ke jalanan pada bulan November 1848, untuk menuntut sebuah kerajaan yang demokratik, pelaksanaan pembaharuan sosial dan perisytiharan perang terhadap Empayar Austria demi membebaskan rakyat Itali. Paus Pius IX melarikan diri dari Rom pada 24 November 1848. Perhimpunan Perlembagaan yang didominasi golongan republikan bersidang di Rom pada 8 Februari 1849 dan mengisytiharkan penubuhan Republik Rom pada 9 Februari 1849. Perlembagaan Republik Rom ialah undang-undang perlembagaan pertama di dunia yang memansuhkan hukuman mati. Kerajaan Republik Rom yang dipimpin oleh Carlo Armellini, Giuseppe Mazzini dan Aurelio Saffi, tidak kekal lama akibat daripada serangan tentera Perancis. Perancis mula menyerang Rom pada bulan April 1849 dan menawan bandar Rom pada bulan Jun 1849. Paus Pius IX kembali berkuasa di bawah perlindungan tentera Perancis. Di Venice, pemberontakan menentang pemerintahan Habsburg pada bulan Mac 1848 membawa kepada pembentukan Republik San Marco yang bertahan untuk selama 17 bulan sebelum ditawan semula oleh tentera Austria. Kekuasaan Empayar Austria masih mendominasi negara-negara Semenanjung Itali yang berpecah-belah selepas kegagalan revolusi. 

Revolusi Denmark (1848)

Pada 21 Mac 1848, anggota Parti Liberal Nasional menganjurkan satu perarakan menuju ke Istana Christiansborg di Copenhagen, untuk menuntut pelaksanaan sistem raja berperlembagaan. Raja baharu ketika itu, Frederick VII, terpaksa bersetuju dengan tuntutan golongan liberal, dan menubuhkan kabinet pentadbiran baharu yang merangkumi pemimpin Parti Liberal Nasional. Gerakan liberal nasionalis di Denmark berhasrat untuk memansuhkan sistem raja mutlak tetapi mengekalkan sebuah negara yang memusatkan kuasa. Raja Denmark menerima perlembagaan baharu dan bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan sebuah badan perundangan dwidewan, maka terbentuknya sistem raja berperlembagaan di Denmark. Perlembagaan liberal yang baharu tidak dilanjutkan ke wilayah Schleswig di Selatan Denmark, menimbulkan semula “Persoalan Schleswig-Holstein” masih belum selesai. Wilayah Schleswig dihuni oleh orang Denmark dan Jerman. Oleh sebab pengaruh fahaman pan-Jerman, orang Jerman di Schleswig melancarkan pemberontakan pada bulan Mac 1848 sejurus selepas Revolusi Denmark, untuk menentang kerajaan nasionalis Denmark yang ingin mencantumkan Schleswig ke dalam Denmark, maka tercetusnya “Perang Schleswig Pertama” (1848-1851) yang menyaksikan kemenangan pihak Denmark untuk mengekalkan penguasaannya terhadap wilayah Schleswig-Holstein.

Rusuhan Mac (1848)

Gelombang rusuhan tercetus di Stockholm, ibu negara Sweden, pada 18-19 Mac 1848. Rakyat yang berprotes menuntut pembaharuan politik tetapi disuraikan secara keras oleh pihak berkuasa.

Pemberontakan Poznań (1848)

Dengan inspirasi daripada kebangkitan rakyat di Berlin, demonstrasi tercetus pada 20 Mac 1848 di bandar Poznań yang berada di bawah pengaruh kuasa Prusia selepas Pemecahan Poland. Rakyat Poland berprotes untuk menuntut pemerintahan sendiri dan menubuhkan “Jawatankuasa Nasional Poland” di Poznań. Warga berbangsa Poland hendak menubuhkan entiti politik berbangsa Poland, tetapi enggan bekerjasama dengan warga berbangsa Jerman dan Yahudi di Poznań. Kemudiannya pada bulan April 1848, tercetus perjuangan bersenjata orang Poland menentang tentera Prusia tetapi ditewaskan akhirnya. 

Revolusi Moldavia 1848

Sekumpulan golongan intelek muda yang berfahaman liberal dan nasionalis mencetuskan pemberontakan di Moldavia pada bulan April 1848, untuk memperjuangkan pembaharuan politik dan menentang pemerintahan kekuasaan Empayar Rusia di situ. Revolusi yang bersifat moderat ini dipatahkan oleh Rusia.

Revolusi Wallachia 1848

Golongan intelek muda dan pegawai militia di Wallachia yang berfahaman liberal dan nasionalis, mengadakan pemberontakan pada bulan Jun 1848 dan menjatuhkan Kerajaan Putera Gheorghe Bibescu yang berada di bawah naungan Empayar Rusia. Sebuah kerajaan sementara ditubuhkan dan melaksanakan siri pembaharuan progresif. Namun begitu, kerajaan baharu terperangkap dalam konflik antara golongan radikal dengan golongan yang lebih konservatif. Golongan radikal menuntut untuk penghapusan hak istimewa boyar (golongan bangsawan feudal yang berpangkat tertinggi) dan reformasi tanah. Revolusi digagalkan pada bulan September 1848, selepas campurtangan daripada tentera Rusia dan Empayar Uthmaniyah.  

Pemberontakan Ireland Muda (1848)

Ketika Kebuluran Besar Ireland (1845-1849), kumpulan nasionalis Ireland yang dipanggil “Ireland Muda” mengadakan pemberontakan pada 29 Julai 1848 di kampung Ballingarry di wilayah Munster, untuk menentang pemerintahan British, tetapi dipatahkan oleh polis.

Pemberontakan Matale (1848)

Rakyat Ceylon yang terdiri daripada kebanyakannya golongan petani memberontak menentang kerajaan penjajah British di pulau itu tetapi ditewaskan oleh tentera British. Pemberontakan ini menandakan peralihan perjuangan anti-penjajah daripada bentuk penentangan feudal klasik kepada perjuangan kemerdekaan moden di Ceylon.

Pemberontakan Praieira (1848-1849)

Golongan radikal dalam Parti Liberal Pernambuco di Brazil yang dikenali sebagai “Praieira” memberontak pada bulan November 1848, untuk menentang rejim pemerintahan bangsawan di situ. Pemberontakan merebak ke seluruh negeri Pernambuco. Pemberontak mengemukakan “Manifesto kepada Dunia” dengan tuntutan untuk hak mengundi sejagat, kebebasan akhbar, sistem persekutuan dan penghapusan “Poder Moderador” (kekuasaan maharaja Brazil ke aras cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman dalam kerajaan Brazil). Namun, dengan bilangan pejuang yang kecil, gerakan ini ditewaskan oleh tentera kerajaan Brazil.

Revolusi Chile 1851

Dengan inspirasi daripada Revolusi 1848, golongan liberal di Chile memberontak pada bulan September 1851 sebagai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan konservatif yang dipimpin Manuel Montt. Selepas beberapa pertempuran, tentera kerajaan Chile menewaskan golongan pemberontak.

Pemberontakan Taiping (1851-1864)

Gerakan agama “Persatuan Penyembah Tuhan” yang dipimpin oleh Hong Xiuquan, melancarkan pemberontakan di kampung Jintian, wilayah Guangxi, China, pada 11 Januari 1851, untuk menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing dari Manchuria. Gerakan pemberontakan ini menggabungkan ajaran agama Kristian, fahaman “Datong” (visi dunia di mana semua orang hidup secara aman bersama) dan semangat egalitarian petani, untuk mendirikan “Negara Syurga Taiping”. Tentera Taiping menawan bandar Nanjing pada tahun 1853, dan menjadikannya ibu negara bagi Negara Syurga Taiping. Nanjing ditawan semula oleh tentera Qing pada tahun 1864, menandakan kejatuhan Negara Syurga Taiping. Perang antara tentera Taiping dengan tentera Qing ini merupakan perang petani yang paling dahsyat di China, dengan sekurang-kurangnya 20 juta orang terkorban dalam peperangan ini.

Pemberontakan Herzegovina (1852-1862)

Rakyat beretnik Serb di bawah kepimpinan Luka Vukalović di wilayah Herzegovina bangkit memberontak menentang Empayar Uthmaniyah, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Rentap (1853-1863)

Masyarakat orang Iban di bawah pimpinan Rentap, melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Raja Putih James Brooke. Walaupun ditewaskan oleh tentera British dan terpaksa berundur ke Bukit Lanjak Entimau pada tahun 1861, namun Rentap tidak pernah tunduk kepada pemerintahan Brooke sehingga ke akhir hayatnya.

Pemberontakan Epirus 1854

Apabila tercetusnya Perang Krimea (1853-1856), warga berbangsa Greece di wilayah Epirus yang diduduki oleh Empayar Uthmaniyah pada masa itu, memberontak menentang pemerintahan Uthmaniyah. Walaupun mendapat sokongan daripada Kerajaan Greece, pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Uthmaniyah.

Revolusi Ayutla (1854-1855)

Kolonel Florencio Villarreal mendraf satu dokumen perancangan yang bertujuan untuk menjatuhkan pemerintahan Presiden Antonio López de Santa Anna yang konservatif dan bersifat diktator di Mexico, di samping mencadangkan untuk mengadakan perhimpunan perlembagaan bagi menggubal perlembagaan persekutuan. Pelan ini mendapat sokongan daripada pimpinan golongan liberal seperti Benito Juárez dan Juan Álvarez. Tentera Álvarez melancarkan perang gerila untuk menentang Santa Anna dan berlarutan selama 19 bulan. Kekuasaan Santa Anna digulingkan pada 12 Ogos 1855 dan Santa Anna melarikan diri. Selepas mendapat kuasa pemerintahan, golongan liberal menggubal akta-akta bersifat reformasi termasuk memansuhkan keistimewaan yang dinikmati tentera dan gereja, merampas tanah gereja dan sebagainya. Gerakan reformasi liberal ini kemudiannya mencetuskan Perang Reformasi (1857-1861) yang menyaksikan kemenangan golongan liberal.

Pemberontakan Eureka (1854)

Dasar kerajaan penjajah British yang memperkenalkan lesen pelombong yang berbayar, mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelombong emas di kawasan Ballarat, Victoria, Australia. Pada 7 Oktober 1854, seorang pelombong emas yang berasal dari Scotland, James Scobie, di bunuh di Hotel Eureka. Pada 17 Oktober 1854, oleh sebab tidak berpuas hati dengan keputusan majistret yang korup untuk membebaskan suspek utama kes pembunuhan tersebut, iaitu pemilik hotel itu, ribuan pelombong emas berprotes di hadapan Hotel Eureka, dan mereka yang marah telah membakar hotel itu. Penangkapan terhadap pelombong emas yang terlibat dalam peristiwa kebakaran hotel, menimbulkan kemarahan pelombong-pelombong. Pada 11 November 1854, lebih 10, 000 pelombong emas berhimpun dan menubuhkan “Liga Pembaharuan Ballarat” yang dipimpin oleh anggota Gerakan Piagam Rakyat, John Basson Humffray. Liga Pembaharuan Ballarat mendukung prinsip Gerakan Piagam Rakyat di Britain, dan mengemukakan pendirian untuk merdeka daripada pemerintahan British sekiranya keadaan pelombong emas tidak diperbaiki. Dengan perasaan kemarahan yang semakin membara, pelombong-pelombong emas memilih seorang yang lebih militan, Peter Lalor, sebagai pemimpin mereka, dan menubuhkan angkatan bersejata. Pelombong-pelombong emas mendirikan sebuah kubu, tetapi diserang dan dihancurkan oleh tentera kerajaan penjajah British dalam satu pertempuran pada 3 Disember 1854. Kerajaan Victoria kemudiannya menggubal undang-undang pilihanraya pada tahun 1856, memberikan hak mengundi kepada orang lelaki berkulit putih, yang dianggap sebagai tanda kelahiran demokrasi di Australia.

Pemberontakan Petani Vietnam (1854-1856)

Petani-petani di Vietnam memberontak di bawah kepimpinan Cao Bá Quát, seorang penyair yang revolusioner, untuk menentang kerajaan Dinasti Nguyễn, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Jubah Merah (1854-1856)

Anggota-anggota kongsi gelap “Persatuan Syurga dan Bumi” (Tiandihui) di wilayah Guangdong, China, memberontak untuk menentang pemerintahan Kerajaan Dinasti Qing, tetapi ditewaskan.

Pemberontakan Miao (1855-1872)

Masyarakat beretnik Miao di wilayah Guizhou, China, yang tidak tahan dengan eksploitasi ekonomi dan penindasan politik yang zalim oleh Kerajaan Dinasti Qing, memberontak di bawah pimpinan Zhang Xiumei. Pemberontakan yang hebat ini merebak ke seluruh wilayah Guizhou dan wilayah yang berdekatan, tetapi ditewaskan oleh tentera Qing pada tahun 1872.

Pemberontakan Panthay (1856-1873)

Rakyat beretnik Hui di wilayah Yunnan, China, memberontak kerana tidak lagi dapat tahan dengan dasar pengenaan cukai yang berat terhadap mereka oleh Kerajaan Dinasti Qing. Salah seorang pemimpin pemberontak yang terkenal ialah Du Wenxiu. Golongan pemberontak mengemukakan slogan “Hui dan Han bersatu, mendirikan bendera keadilan, mengusir Manchu yang gasar, membangunkan semula Tionghua, menghapuskan korupsi, menyelamatkan rakyat daripada kecemasan”. Gonglan pemberontak mendirikan “Pingnan Guo” (Negara Selatan yang Didamaikan). Pemberontakan ini ditewaskan akhirnya, tetapi telah melemahkan asas kekuasaan Dinasti Qing.

Pemberontakan India 1857

Juga digelar “Perang Kemerdekaan India Pertama”. Askar-askar Sepoy yang diupah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris memberontak di Meerut pada 10 Mei 1857. Pemberontakan askar dan orang awam yang lain juga tercetus di Utara dan Tengah India. Delhi turut diduduki oleh pemberontak. Syarikat Hindia Timur Inggeris mengerahkan tentera untuk menghancurkan gelombang pemberontakan ini. Selepas pemberontakan ini dihancurkan, Kerajaan Britain mengambilalih pemerintahan ke atas India daripada Syarikat Hindia Timur dan meletakkannya di bawah kekuasaan British secara terus.

Perang Mahtra (1858)

Walaupun sistem hamba-tani di Estonia telah dimansuhkan seawal tahun 1816, tetapi tanah di situ masih belum diagihkan dalam kalangan petani dan kerja paksa masih wujud. Petani-petani di tanah ladang Mahtra yang terletak di daerah Rapla, Estonia (di bawah pemerintahan Empayar Rusia), memberontak pada bulan Mei-Julai 1858 untuk menuntut pengagihan semula tanah, tetapi dipatahkan oleh tentera Rusia.

Pemberontakan Pecija Pertama (1858)

Penduduk berbangsa Serbia di Eyalet Bosnia memberontak di Knešpolje, di bawah pimpinan Petar Popović–Pecija, untuk menentang Kerajaan Uthmaniyah yang menindas mereka. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Uthmaniyah.

Perang Kemerdekaan Itali Kedua (1859)

Pemberontakan di Tuscany pada 27 April 1859 menggulingkan pentadbiran Archduke Leopold II di Tuscany dan membentuk sebuah kerajaan sementara. Pada 29 April 1859, Empayar Austria melancarkan perang ke atas Kerajaan Sardinia setelah Sardinia enggan menghentikan mobilisasi tentera di sempadan. Sardinia bersekutu dengan Perancis untuk menentang Austria. Tentera bersekutu Perancis-Sardinia mengalahkan tentera Austria di utara Itali dan membolehkan Sardinia menguasai Lombardy daripada Austria.

Serbuan Harpers Ferry (1859)

Sekumpulan kecil pemberontak yang diketuai oleh John Brown, seorang pemimpin gerakan penghapusan perhambaan, melancarkan serbuan ke atas gedung senjata tentera Amerika Syarikat di Harpers Ferry, Virginia Barat, dengan harapan mencetuskan pemberontakan hamba di negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat yang mengamalkan perhambaan pada masa itu. Serbuan ini dipatahkan oleh Kor Marin Amerika Syarikat. John Brown ditahan bersama beberapa orang pemberontak lagi dan dihukum mati.

Pemberontakan Sioux (1862)

Juga dikenali sebagai “Perang Dakota 1862”. Pencabulan terhadap perjanjian dengan puak orang asal Dakota (atau Sioux Timur) oleh Kerajaan Amerika Syarikat, dan pengenaan bayaran anuiti yang menyusahkan orang Dakota, mencetuskan pemberontakan orang Dakota di sepanjang Sungai Minnesota di barat daya Minnesota, untuk menghalau keluar peneroka orang putih. Tentera Amerika Syarikat dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan Sioux ini. Lebih 1,000 orang Sioux ditahan, dan 38 orang digantung mati sebagai hukuman.

Pemberontakan Dungan (1862-1877)

Oleh sebab penindasan oleh Kerajaan Dinasti Qing dan perbalahan kaum yang berterusan, warga Hui Muslim dan kumpulan masyarakat Muslim yang lain memberontak di wilayah Shaanxi, Gansu dan Ningxia. Pemberontakan turut menular ke wilayah Xinjiang, dengan negara Yetteshahar (1864-1877) ditubuhkan di Kashgar, tetapi ditewaskan oleh tentera Qing.

Pemberontakan Januari (1863-1864)

Anak muda Poland yang membantah pengerahan secara paksa ke dalam tentera oleh Empayar Rusia, melancarkan pemberontakan pada 22 Januari 1863. Pemberontakan mendapat sokongan daripada rakyat pelbagai lapisan. Oleh sebab kekuatan tentera Rusia yang jauh lebih hebat, pemberontak terpaksa megubah strategi kepada perang gerila. Pemberontakan turut merebak ke Lithuania dan Belarus. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Rusia.

Pemberontakan Mejba (1864-1865)

Penduduk-penduduk di Beylik Tunis (Tunisia hari ini), sebuah wilayah berautonomi di bawah Empayar Uthmaniya, memberontak untuk menentang tindakan Muhammad III as-Sadiq, pemerintah di situ, yang melipatgandakan cukai kepala (mejba) ke atas rakyat di situ. Pemberontakan yang paling meluas dalam menentang pemerintahan Dinasti Husainid di wilayah Tunis ini dipatahkan secara kejam oleh kerajaan yang mendapat sokongan daripada Britain dan Perancis.

Pemberontakan Morant Bay (1865)

Pada 7 Oktober 1865, seorang berkulit hitam didakwa dan dihukum penjara kerana menceroboh ke dalam sebuah ladang tebu yang terbiar. Ini menceruskan kemarahan masyarakat orang berkulit hitam di Jamaica. Ratusan rakyat Jamaica yang dipimpin oleh seorang paderi berkulit hitam yang bernama Paul Bogle berprotes pada 11 Oktober 1865 dan berarak ke mahkamah di Morant Bay, untuk menentang ketidakadilan dan kemiskinan yang berleluasa di bawah pemerintahan penjajah British. Militia pro-pemerintah melepaskan tembakan ke atas demonstran dan membunuh 7 orang, sementara demonstran yang marah membakar mahkamah dan bangunan berdekatan. Petani-petani di seluruh wilayah Saint Thomas bangkit memberontak dan menguasai seluruh kawasan itu. Gabenor mengisytihar darurat dan mengarahkan tentera untuk memburu pemberontak. Ramai orang berkulit hitam dibunuh. Seramai 439 orang berkulit hitam dibunuh oleh tentera penjajah British. Bogle ditangkap bersama dengan 353 orang, dibicarakan secara tidak adil dan dihukum mati.

Pemberontakan Siberia (1866)

Lebih kurang 700 orang tahanan politik dan orang buangan dari Poland yang dihantar untuk membina jalan mengelilingi Tasik Baikal, melancarkan pemberontakan pada 24 Jun 1866 untuk menentang tentera Rusia di situ. Pemberontakan ini hanya berterusan untuk beberapa hari sebelum dipatahkan oleh tentera Rusia pada 28 Jun 1866.

Pembaharuan Meiji (1866-1912)

Pemimpin-pemimpin setempat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Keshogunan Tokugawa mula membentuk persekutuan ketenteraan pada tahun 1866, untuk menyokong pemulihan kekuasaan Maharaja dan menggulingkan Keshogunan Tokugawa. Maharaja Meiji naik takhta pada tahun 1867 dan menyokong golongan anti-keshogunan. Shogun Tokugawa Yoshinobu bersetuju untuk menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Maharaja tetapi enggan menyerahkan kuasa tentera dan kawasan jajahannya. Maharaja Meiji mengisytihar pemansuhan pemerintahan shogun pada 3 Januari 1868, maka mencetuskan Perang Boshin (1868-1869) antara Kerajaan Meiji dengan kuasa feudal yang mendukung keshogunan. Setelah menewaskan kuasa yang mendukung keshogunan, Kerajaan Meiji melaksanakan siri pembaharuan untuk memodenkan negara Jepun. Kuasa pemerintahan dipusatkan untuk menghapuskan sistem feudal samurai, dan digantikan dengan pemerintahan oleh kelas hambatsu (oligarki zaman Meiji) dan kapitalis. Perlembagaan pertama untuk Jepun diperkenalkan pada tahun 1889. Pemulihan Meiji merupakan usaha pemodenan yang dilakukan oleh kelas pemerintah dari atas, dan membentuk asas kepada pembangunan kapitalisme di Jepun.

Revolusi Gemilang (1868)

Pemberontakan tentera di bawah pimpinan jeneral yang revolusioner pada bulan September 1868, berjaya menjatuhkan pemerintahan Ratu Isabella II di Sepanyol. Sebuah kerajaan sementara yang terdiri daripada gabungan liberal, moderat dan republikan ditubuhkan dan menandakan permulaan Sexenio Democrático (6 tahun yang demokratik) yang tidak stabil.

Grito de Lares (1868)

Di bawah perancangan Ramón Emeterio Betances dan Segundo Ruiz Belvis, rakyat Puerto Rico memberontak di pekan Lares pada 23 September 1868, untuk menentang pemerintahan penjajah Sepanyol dan menuntut kemerdekaan Puerto Rico. Pemberontak mengisytihar penubuhan “Republik Puerto Rico”. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Sepanyol tidak lama kemudian, namun Kerajaan Sepanyol kemudiannya memberikan lebih kuasa autonomi kepada Puerto Rico.

Perang Sepuluh Tahun (1868-1878)

Carlos Manuel de Céspedes, seorang pemilik ladang tebu, dan pengikutnya mengisytihar kemerdekaan Kuba pada 10 Oktober 1868, maka mencetuskan peperangan dengan tentera Sepanyol. Perang berakhir dengan Perjanjian Zanjón yang menjanjikan status yang sama seperti Puerto Rico di bawah Sepanyol dengan adanya perwakilan dalam parlimen Sepanyol, sementara pemberontak diberikan pengampunan.

Pemberontakan Red River (1869-1870)

Louis Riel, seorang pemimpin politik orang Métis (masyarakat keturunan campuran penduduk orang asal Amerika dengan pendatang Eropah), dan pengikutnya di Jajahan Red River yang bimbang tentang hak tanah dan budaya mereka diancam berikutan pengambilalihan Tanah Rupert oleh Kerajaan Kanada, memberontak dan menubuhkan sebuah kerajaan sementara, untuk merundingkan terma-terma menyertai Konfederasi Kanada. Jajahan Red River kemudiannya menyertai Konfederasi Kanada sebagai wilayah Manitoba.

Pemberontakan Lakhan Thapa (1869-1877)

Lakhan Thapa Magar, seorang bekas kapten tentera, memberontak di Bungkot untuk menentang pemerintahan Kerajaan Jung Bahadur Rana di Nepal. Kerajaan Dinasti Rana mematahkan pemberontakan ini dan mengarahkan untuk menggantung mati pemimpin-pemimpin pemberontak, termasuk Lakahan Thapa Magar.  

Komun Paris (1871)

Perang Perancis-Prusia (1870-1871) membawa kepada kejatuhan Empayar Perancis Kedua. Republik Perancis Ketiga ditubuhkan pada bulan September 1870 dengan kerajaan sementara yang dikenali sebagai “Kerajaan Pertahanan Nasional”. Rakyat Paris menubuhkan Garde nationale (Pengawal Nasional) untuk mempertahankan bandar Paris daripada serangan tentera Prusia. “Kerajaan Pertahanan Nasional” yang terdiri daripada golongan republikan borjuis dan Orléanis yang berhaluan kanan telah menyerah kalah pada Empayar Jerman, dan membenarkan tentera Jerman untuk memasuki bandar Paris. Pada 18 Mac 1871, ketua kerajaan sementara Perancis, Adolphe Thiers, cuba melucutkan senjata Pengawal Nasional, tetapi telah menghadapi tentangan hebat daripada Pengawal Nasional. Di bawah kepimpinan Jawatankuasa Pusat Pengawal Nasional, pekerja-pekerja dan rakyat biasa di Paris melancarkan pemberontakan dan menguasai seluruh bandar Paris. Kerajaan pimpinan Thiers melarikan diri ke Istana Versailles. Pada 26 Mac 1871, rakyat Paris mengadakan pilihanraya untuk Majlis Komun yang terdiri daripada 92 orang ahli. Pada 28 Mac 1871, Komun Paris bersidang untuk kali pertama. Komun Paris melaksanakan siri pembaharuan politik yang bertujuan untuk menghancurkan jentera negara borjuasi yang lama dan mendirikan pemerintahan proletariat. Komun yang revolusioner juga muncul di Lyon, Saint-Étienne, Marseille dan Toulouse, tetapi ditumpaskan oleh golongan pro-kerajaan dalam tempoh yang sangat singkat. Komun Paris sebagai sebuah kerajaan sosialis radikal yang revolusioner, telah diasingkan dalam menghadapi serangan daripada kerajaan sementara dan hanya bertahan untuk tempoh 2 bulan. Kerajaan sementara di Versailles melancarkan serangan terhadap Komun Paris dan mematahkan kebangkitan rakyat Paris secara kejam. Ramai pejuang Komun Paris tumpas dalam pertempuran, sementara ramai dihukum bunuh atau dibuang negeri selepas Komun Paris digagalkan. Komun Paris disifatkan oleh Karl Marx sebagai satu contoh “pemerintahan proletariat”.

Revolusi Liberal Guatemala (1871)

Justo Rufino Barrios, seorang pemimpin tentera yang memberontak di Barat Guatemala, bersama dengan pemimpin tentera dan golongan pembangkang yang lain, mengemukakan “Pelan untuk Tanah Air” pada bulan Julai 1871, dengan hasrat menjatuhkan pemerintahan golongan konservatif. Golongan liberal berjaya merampas kuasa dan melaksanakan pelbagai pembaharuan, termasuk menjamin kebebasan akhbar, menghadkan kuasa gereka, mengambilalih harta gereja dan sebagainya.

Rusuhan Deccan (1875)

Dasar kerajaan penjajah British di India pada abad ke-19 mendatangkan pelbagai tekanan kepada petani-petani kecil termasuk beban hutang yang tinggi, sehingga mencetuskan rusuhan petani pada bulan Mei dan Jun 1875 di negeri Maharashtra.

Pemberontakan Herzegovina (1875-1878)

Warga Serbia di Herzegovina bangkit memberontak pada bulan Julai 1875, untuk menentang pemerintahan Kerajaan Empayar Uthmaniyah yang mengamalkan dasar yang menyusahkan petani-petani di situ. Pemberontakan ini juga merebak ke wilayah Bosnia dan Raška. Pemberontak mendapat bantuan senjata dan sukarelawan daripada Kerajaan Montenegro dan Serbia yang turut mengisytihar perang ke atas Uthmaniyah, sehingga mencetuskan Perang Serbia-Turki (1876-1878) dan Perang Montenegro-Turki (1876-1878) yang membawa kepada Perang Rusia-Turki (1877-1878) dan Krisis Timur Besar. Pemberontakan dan peperangan di rantau Balkan telah membawa kepada Kongres Berlin pada tahun 1878 yang mempertemukan kuasa-kuasa besar Eropah dengan Turki Uthmaniyah. Hasil daripada Kongres Berlin, Montenegro dan Serbia diberikan kemerdekaan, sementara Bosnia dan Herzegovina diduduki oleh Empayar Austria-Hungary untuk 30 tahun walaupun masih kekal sebagai jajahan Uthmaniyah secara de jure (sah di sisi undang-undang).

Pemberontakan April (1876)

Pembentukan semula Gereja Ortodoks Bulgaria pada tahun 1870 telah mendorong kemunculan sentimen nasional warga Bulgaria. Pada bulan April 1876, Jawatankuasa Pusat Revolusioner Bulgaria melancarkan pemberontakan untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah dan cuba mendirikan negara Bulgaria yang berdaulat. Pemberontakan ini dipatahkan secara kejam oleh tentera Uthmaniyah, tetapi mencetuskan Perang Rusia-Turki (1877-1878). Pemberontakan ini secara tidak langsung membawa kepada pembentukan kerajaan Bulgaria yang berautonomi pada tahun 1878.

Mogok Hebat Landasan Keretapi 1877

Oleh sebab syarikat Baltimore and Ohio Railroad (B&O) mengurangkan gaji untuk kali ketiga dalam tempoh setahun, pekerja-pekerja landasan keretapi di Martinsburg, Virginia Barat, Amerika Syarikat, melancarkan mogok pada 14 Julai 1877. Aksi mogok merebak ke negeri Maryland, Pennsylvania, Illinois dan Missouri. Mogok ini berlarutan untuk selama lebih kurang 45 hari sebelum dipatahkan secara kejam oleh militia tempatan dan tentera persekutuan. Dianggarkan lebih kurang 100 orang terbunuh dalam penindasan terhadap aksi mogok.

Mogok Umum St. Louis 1877

Apabila Mogok Hebat Landasan Keretapi di Amerika Syarikat merebak sampai ke St. Louis Timur di negeri Illinois, pekerja-pekerja di bandar yang berdekatan, St. Loius, negeri Missouri, bersolidariti dengan pekerja-pekerja landasan keretapi yang bermogok, dan mencetuskan mogok umum di seluruh bandar St. Louis pada 22-30 Julai 1877. Aksi mogok ini diorganisasikan oleh kesatuan pekerja Knights of Labor dan Workingmen’s Party yang dipengaruhi fahaman Marxis. Kerajaan mengerahkan tentera dan polis untuk mematahkan mogok dan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh.

Pemberontakan Crete 1878

Rakyat Crete memberontak untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah di pulau itu. Golongan pemberontak berjaya menguasai kebanyakan kawasan di atas Pulau Crete. Perjanjian Halepa dicapai antara Kerajaan Uthmaniyah dengan Jawatankuasa Revolusioner Crete untuk memberikan lebih autonomi kepada Crete.

Perang Inggeris-Zulu (1879)

Rakyat Zulu berjuang menentang perluasan kuasa Empayar British di Afrika Selatan. Perang ini berakhir dengan tentera British menduduki wilayah tersebut dan menamatkan kemerdekaan Zulu.

Perang Kecil (1879-1880)

Revolusioner Kuba memberontak menentang pemerintahan penjajah Sepanyol, tetapi tidak berjaya.

Pemberontakan Urabi (1879-1882)

Kolonel Ahmed Urabi, seorang tokoh nasionalis dan pegawai tentera Mesir, memimpin satu pemberontakan dengan hasrat untuk menjatuhkan pemerintahan Khedive Tewfik Pasha, menuntut pelaksanaan pemerintahan berperlembagaan, dan menyekat perluasan pengaruh kuasa Eropah seperti Britain dan Perancis di Mesir. Atas permintaan Khedive, tentera British menceroboh Mesir pada tahun 1882 dan mematahkan tentera pemberontak pimpinan Urabi. Urabi ditangkap dan dibuang negeri ke Sri Lanka. 

Peristiwa Chichibu (1884)

Kerajaan Meiji di Jepun melaksanakan pembaharuan sewa tanah pada tahun 1873, menyebabkan ramai petani kehilangan tanah akibat tidak mampu membayar cukai baharu. Pada tahun 1881, dasar fiskal bersifat deflasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Matsukata Masayoshi menyebabkan penurunan harga padi dan ramai petani muflis. Di bawah pengaruh fahaman “Gerakan Hak Kebebasan dan Rakyat”, tercetusnya banyak peristiwa pemberontakan petani. Pada bulan November 1884, pemberontakan petani besar-besaran tercetus di Chichibu, wilayah Saitama. Pemberontak menyerang bangunan kerajaan dan pejabat lintah darat. Pemberontakan yang berterusan untuk 2 minggu ini dipatahkan secara kejam oleh Polis Metropolitan Tokyo dan Tentera Imperial Jepun.

Pemberontakan Barat Laut (1885)

Orang Métis dan kumpulan masyarakat orang asal di daerah Saskatchewan memberontak di bawah kepimpinan Louis Riel untuk menentang pemerintahan Kerajaan Kanada. Orang Métis tidak puas hati dengan Kerajaan Kanada yang gagal melindungi hak, tanah dan kehidupan orang Métis. Pemberontakan dipatahkan oleh tentera persekutuan Kanada, dan Louis Riel dihukum mati atas pertuduhan mengkhianati negara.

Pemberontakan petani Ancash (1885)

Pedro Pablo Atusparía, seorang pemimpin petani orang asal di wilayah Ancash, Peru, dan beberapa lagi orang ketua kampung ditangkap kerana membantah pengenalan dasar buruh wajib untuk petani di situ. Petani-petani orang asal bangkit dan membebaskan tahanan. Petani-petani memilih Atusparía sebagai pemimpin mereka dalam perjuangan menentang kekuasaan tuan tanah. Pemberontak telah menduduki kawasan Callejón de Huaylas untuk beberapa bulan dan bertempur dengan tentera kerajaan persekutuan. Atusparía ditangkap dalam satu pertempuran dan didakwa dengan pertuduhan mengkhianati negara. Atusparía membunuh diri dengan mengambil racun.

Gerakan Cần Vương (1885-1889)

Perancis mula menguasai Utara Vietnam berikutan kemenangannya dalam Perang China-Perancis (1884-1885). Satu gerakan pemberontakan besar-besaran yang diterajui oleh golongan Mandarin (birokrat terdidik) Vietnam tercetus pada bulan Julai 1884 untuk menghalau keluar penjajah Perancis. Pemberontakan ini akhirnya ditewaskan oleh tentera Perancis.

Mogok Landasan Keretapi Barat Daya 1886

Pekerja-pekerja landasan keretapi di 5 buah negeri Amerika Syarikat (Arkansas, Illinois, Kansas, Missouri dan Texas) melancarkan mogok pada bulan Mac 1886 terhadap syarikat keretapi Union Pacific dan Missouri Pacific yang dimiliki oleh Jay Gould, seorang baron perompak. Aksi mogok ini bertujuan untuk menentang eksploitasi dan penindasan terhadap kesatuan. Mogok yang berlarutan selama 2 bulan ini dianjurkan oleh Knights of Labor dan disertai oleh lebih 200,000 orang pekerja. Syarikat keretapi menggunakan polis dan samseng upahan untuk mematahkan mogok ini, dengan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh. Kegagalan mogok ini menyebabkan kemerosotan Knights of Labor dan pembentukan American Federation of Labor (AFL).

Pemberontakan Sosial 1886

Pada 18 Mac 1886, pekerja-pekerja di Liège, wilayah Wallonia, Belgium, menyahut seruan anarkis untuk berprotes di jalanan demi memperingati ulangtahun ke-15 Komun Paris, sehingga mencetuskan gelombang mogok yang merebak di seluruh wilayah perindustrian Belgium sehingga ke Hainut. Aksi mogok di Hainaut dipimpin oleh sosialis radikal Alfred Defuisseaux. Mogok yang dicetuskan oleh sebab ketidakadilan sosial di Belgium ini ditindas secara kejam oleh Kerajaan Belgium yang mengerahkan tentera untuk mematahkannya. Berikutan mogok ini, Suruhanjaya Buruh ditubuhkan di Parlimen dan menggubal undang-undang buruh yang terawal di Belgium.

Peristiwa Haymarket (1886)

Pekerja-pekerja di seluruh Amerika Syarikat mengadakan aksi mogok dan protes pada 1 Mei 1886, untuk menuntut pelaksanaan sistem kerja 8 jam sejari. Lebih kurang 350,000 orang berarak di jalanan di seluruh Amerika Syarikat, dengan seramai 40,000 orang pekerja menyertai aksi mogok di Chicago. Pada 3 Mei 1886, kerajaan bandar Chicago mengerahkan polis dan samseng untuk mematahkan aksi protes pekerja, dan 2 orang pekerja dibunuh. Pada 4 Mei 1886, pekerja yang bermogok berprotes di Dataran Haymarket di Chicago. Selepas seorang yang tidak diketahui identitinya melemparkan bom ke arah polis, polis melepaskan tembakan ke atas pekerja. Seramai 4 orang pekerja dan 7 orang polis mati dalam insiden tersebut. 8 orang anarkis dituduh membunuh dalam prosiding kehakiman yang tidak adil, dengan 4 orang dihukum mati, dan seorang membunuh diri di dalam penjara. Peristiwa ini menjadi inspirasi kepada sambutan Hari Pekerja Sedunia.

Pemberontakan Petani Banten (1888)

Petani-petani di Banten, Indonesia, memberontak pada 9-13 Julai 1888, untuk menentang kekuasaan pemerintahan penjajah Belanda di situ tetapi ditewaskan.

Revolución del Parque (1890)

Rakyat Argentina bangkit memberontak di bawah pimpinan ahli-ahli Kesatuan Sivik (pelopor parti politik Kesatuan Sivik Radikal) untuk menentang kerajaan pimpinan Miguel Juárez Celman daripada Parti Autononomis Nasional yang konservatif. Walaupun pemberontakan ini ditewaskan dalam beberapa hari dan gagal mencapai matlamat utamanya, iaitu menghapuskan penyelewengan pilihanraya dan korupsi, di samping pembaharuan yang menyeluruh, namun Juárez Celman meletak jawatan tidak lama kemudian selepas itu.

Pemberontakan Dato’ Bahaman (1891-1895)

Oleh sebab tidak berpuas hati terhadap campurtangan di kawasan Orang-orang Besar Pahang, tambahan pula dengan perintah Sultan Pahang melucutkan pangkatnya sebagai Orang Kaya Semantan atas nasihat Residen British, Dato’ Bahaman dan pengikutnya mula bertempur dengan pihak British pada bulan Disember 1891. Dato’ Bahaman bergabung dengan Tok Gajah, Mat Kilau, Mat Lela dan Mat Kelubi dalam penentangannya terhadap penjajah British di Pahang yang berlarutan sehingga tahun 1895. Residen British di Pahang mengerahkan tentera untuk menyerang dan memburu golongan pemberontak hingga ke Terengganu dan Kelantan.

Mogok Umum New Orleans 1892

Pekerja-pekerja di seluruh bandar New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat, melancarkan mogok umum pada 8 November 1892, untuk menyokong tuntutan kesatuan sekerja termasuk kerja 10 jam sehari, bayaran kerja lebih masa dan pelaksaan dasar “union shop” (iaitu semua pekerja di dalam sebebuah kilang harus dijadikan anggota kesatuan). Walaupun golongan majikan cuba mengapi-apikan sentimen kebencian perkauman untuk memecahkan mogok, pekerja-pekerja yang terdiri daripada orang berkulit hitam dan putih bersatu hati untuk bermogok. Mogok selama 5 hari ini berjaya memenangkan kebanyakan tuntutan pekerja.

Mogok Umum Belgium 1893

Selepas Parti Katolik dan Parti Liberal bergabung untuk menyekat rang undang-undang yang memperluaskan hak mengundi dalam kalangan rakyat, Parti Buruh Belgium (POB-BWP) melancarkan mogok besar-besaran pada 12 April 1893. Gelombang mogok ini merebak ke seluruh negara Belgium. Pertempuran hebat dengan pihak berkuasa berlaku di bandar Mons dan Antwerp. Lebih kurang 200,000 orang pekerja menyertai mogok umum selama seminggu ini. Aksi mogok ini berjaya memaksa Kerajaan Belgium untuk berkompromi dengan melonggarkan syarat dalam memperoleh hak mengundi, dan membuka pintu kepada pemilihan wakil daripada parti kelas pekerja ke dalam dewan perundangan. 

Revolusi Radikal 1893

Anggota-anggota Kesatuan Sivik Radikal (UCR) melancarkan pemberontakan untuk menentang kerajaan Argentina yang dikuasai oleh Parti Autonomis Nasional, demi menyambung matlamat Revolución del Parque pada tahun 1890. Walaupun pemberontak mengambilalih kuasa untuk sementara di wilayah seperti Buenos Aires, Santa Fe, San Luis, Tucumán dan Corrientes, tetapi akhirnya ditewaskan juga oleh kerajaan konservatif.

Pemberontakan Liberal Nicaragua (1893)

Golongan Liberal di Nicaragua mengambil kesempatan perpecahan dalam kalangan golongan konservatif yang berkuasa untuk melancarkan satu pemberontakan, yang akhirnya membolehkan José Santos Zelaya mengambilalih kuasa sebagai Presiden pada 25 Julai 1893. Zelaya melaksanakan beberapa pembaharuan progresif seperti penambahbaikan pendidikan awam, pembinaan landasan keretapi dan pengwujudan laluan kapal stim, di samping menggubal perlembagaan yang mewujudkan hak kesamarataan, jaminan harta, habeas corpus, undi wajib, perlindungan terhadap seni, perwakilan minoriti dan pengasingan kuasa.

Pemberontakan Petani Donghak (1894)

Petani-petani Korea yang dipimpin oleh Jeon Bongjun, seorang pengikut gerakan keagamaan Donghak, memberontak untuk menentang Kerajaan Joseon yang mengenakan cukai yang berat terhadap golongan petani. Pemberontakan ini kemudian berkembang menjadi perjuangan bersenjata rakyat melawan pemerintahan golongan bangsawan “Yangban” dan ancaman kuasa asing seperti Jepun dan China. Kerajaan Joseon meminta bantuan daripada Kerajaan Qing China untuk menghantar tentera supaya membantu dalam menewaskan pemberontakan Donghak. Tentera China dan Jepun yang enggan mengundur dari Korea kemudiannya mencetuskan Perang China-Jepun Pertama (1894-1895).

Mogok Pullman (1894)

Hampir 4,000 orang pekerja kilang pembuat keretapi yang diupah oleh Syarikat Pullman melancarkan mogok kilat pada 11 Mei 1894 di Chicago, untuk membantah pengurangan gaji oleh pihak syarikat. Aksi mogok ini kemudiannya merebak ke seluruh negara Amerika Syarikat. Aktivis sosialis seperti Eugene V. Debs, dan Kesatuan Landasan Keretapi Amerika (ARU) menyeru untuk memboikot semua keretapi yang menggunakan gerabak buatan Syarikat Pullman. Mogok ini melibatkan lebih 250,000 orang pekerja di 27 buah negeri di Amerika Syarikat dan mengganggu hampir semua laluan keretapi di sebelah Barat Detroit. Setelah pemogok-pemogok enggan mematuhi injunksi mahkamah yang menyekat mereka daripada bermogok, Presiden Grover Cleveland mengarahkan tentera untuk menghalang pemogok-pemogok daripada mengganggu perjalanan keretapi. Keganasan tercetus di banyak tempat, dengan 30 orang terbunuh. Mogok ditumpaskan pada bulan Julai 1894, Debs dijatuhkan hukuman penjara kerana melanggar perintah mahkamah, dan ARU dibubarkan.

Pemberontakan terhadap Cáceres (1894-1895)

Parti Demokratik Peru yang dipimpin oleh Nicolás de Piérola bersekutu dengan Parti Sivil Peru untuk mengatur pejuang-pejuang gerila supaya menguasai bandar Lima. Pemberontakan ini berjaya menjatuhkan kerajaan pimpinan Andrés Avelino Cáceresm. Piérola dipilih sebagai Presiden pada tahun 1895. Perampasan kuasa ini memulakan era perlembagaan yang stabil di Peru.

Perang Kemerdekaan Kuba (1895-1898)

Pemberontakan menentang penjajahan Sepanyol di Kuba tercetus pada 24 Februari 1895, dan melanda seluruh pulau itu. Manifesto Montecristi yang ditulis oleh José Martí dan ditandatangani oleh Máximo Gómez pada 25 Mac 1895, menggariskan dasar untuk Perang Kemerdekaan Kuba, merangkumi kepentingan penyertaan orang berkulit hitam dan revolusi patut membawa kehidupan ekonomi yang baharu kepada Kuba. Konflik ini kemudiannya berkembang menjadi Perang Sepanyol-Amerika (1898), dengan Kerajaan Amerika Syarikat menghantar tenteranya ke Kuba, Puerto Rico dan Kepulauan Filipina untuk berperang dengan Sepanyol. Perjanjian Paris 1898 yang ditandatangani pada 10 Disember 1898 antara Amerika Syarikat dan Sepanyol mengiktiraf kemerdekaan Kuba, tetapi tentera Amerika Syarikat mendirikan kerajaan tentera sementara di Kuba (1898-1902).

Pemberontakan Mat Salleh (1895-1905)

Mohammad Salleh bin Datu Balu atau lebih dikenali sebagai Mat Salleh, seorang pejuang daripada suku Bajau-Suluk, memimpin pemberontakan masyarakat tempatan di Sabah untuk menentang penjajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Penentangan Mat Salleh mempengaruhi kawasan yang luas dari Sandakan ke Pulau Gaya. Mat Salleh ditewaskan dan terbunuh dalam pertempuran pada tahun 1900, tetapi pengikutnya yang masih enggan mengalah meneruskan perjuangan untuk 5 tahun lagi sehingga tahun 1905.

Revolusi Filipina (1896-1898)

Kumpulan revolusioner Katipunan di bawah pimpinan Andrés Bonifacio melancarkan pemberontakan bersenjata untuk menentang pemerintahan penjajah Sepanyol pada bulan Ogos 1896. Revolusi Filipina berjaya menamatkan penjajahan Sepanyol dan mendirikan Republik Filipina Pertama (1899-1901). Namun, Filipina ditawan oleh Amerika Syarikat dalam Perang Filipina-Amerika (1899-1902).

Intentona de Yauco (1897)

Jawatankuasa Revolusioner Puerto Rico yang terdiri daripada pejuang kemerdekaan yang dibuang negeri, dengan bantuan pemimpin tempatan yang menyokong gerakan kemerdekaan di pekan Yauco, menganjurkan pemberontakan untuk menentang penjajahan Sepanyol, tetapi ditentang oleh golongan konservatif tempatan. Pihak berkuasa Sepanyol bertindak segera untuk mematahkan pemberontakan ini apabila mendengar khabar angin tentangnya.

Pemberontakan Andijan 1898

Di bawah kepimpinan Muhammad Ali Madali (yang juga dikenali sebagai Dukchi Ishan), masyarakat Kirgiz, Uzbek dan Kipchak memberontak di wilayah Andijan (terletak di Uzbekistan) untuk menentang pemerintahan Kerajaan Tsar Rusia. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Rusia.

Rusuhan Yihetuan (1899-1901)

Kekuasaan Kerajaan Qing semakin merosot berikutan kekalahannya dalam Perang Candu (1839-1842 dan 1856-1860), sementara kuasa besar Barat semakin memperluaskan pengaruh di China. Tambahan pula dengan kesusahan hidup akibat daripada bencana alam, tercetusnya Gerakan Yihetuan yang anti-pendatang asing, anti-Kristian dan anti-imperialis, dengan slogan “mendukung Kerajaan Qing, menghapuskan orang asing”. Gerakan Yihetuan mendapat sokongan daripada Maharani Balu Cixi. Ramai orang, khususnya penganut Kristian Tionghua dibunuh oleh pengikut Yihetuan. Gerakan Yihetuan ditumpaskan setelah tentera Perikatan Lapan Negara yang terdiri daripada kuasa besar menceroboh Beijing. 

Pemberontakan Orang Suci (1901-1936)

Pengikut gerakan agama daripada suku-suku Mon-Khmer di selatan Laos yang dipimpin oleh Ong Keo, memberontak untuk menentang pemerintahan Indochina Perancis dan Kerajaan Siam. Kerajaan Siam mematahkan pemberontakan yang berlaku di wilayah penguasaannya pada tahun 1902, sementara pemberontakan berterusan di wilayah penguasaan penjajah Perancis sehingga ditumpaskan sepenuhnya pada bulan Januari 1936. 

Mogok Umum Belgium 1902

Pekerja-pekerja lombong arang batu di wilayah Wallonia melancarkan mogok pada 8 April 1902. Parti Pekerja Belgium (POB-BWP) mengumumkan mogok umum pada 10 April 1902. Mogok umum ini memperjuangkan pembaharuan sistem pilihanraya di Belgium. Seramai 12 orang pekerja mati dalam pertempuran dengan pihak polis. POB-BWP mengumumkan mogok ditamatkan pada 20 April 1902, tetapi objektif pembaharuan pilihanraya tidak tercapai pada ketika itu.

Pemberontakan Ilinden–Preobrazhenie (1903)

Di bawah perancangan “Pertubuhan Revolusioner Macedonia Dalaman” (VMRO), warga Macedonia melancarkan pemberontakan pada 2 Ogos 1903, untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah. Warga Bulgaria di wilayah Thrace turut memberontak pada 19 Ogos 1903 untuk menyokong pemberontakan orang Macedonia. Pemberontakan ini mendirikan “Republik Kruševo” di pekan Kruševo dengan Nikola Karev sebagai Presiden, tetapi hanya wujud untuk 10 hari sebelum dihancurkan oleh tentera Uthmaniyah. Petani-petani Bulgaria yang memberontak di wilayah Edirne mendirikan sebuah komun anarikis bernama “Republik Strandzha” yang hanya bertahan untuk 12 hari.

Revolusi Liberal Paraguay (1904)

Golongan liberal di Paraguay yang hidup dalam buangan di Buenos Aires pulang ke negara asal mereka untuk melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap kerajaan konservatif. Presiden Juan Antonio Escurra daripada Parti Colorado yang konservatif meletak jawatan selepas perjanjian pendamaian dirundingkan dan Parti Liberal mengambilalih kuasa. Namun, pemerintahan Parti Liberal dengan cepatnya terjerumus dalam perbalahan puak, kudeta tentera dan perang sivil, dengan 15 orang presiden saling berganti dari tahun 1904 hingga 1922.

Perang Herero (1904-1908)

Masyarakat orang Herero di Afrika Barat Daya Jerman (Namibia hari ini) memberontak menentang penjajahan Jerman di situ. Tentera Jerman menewaskan pemberontakan dengan membunuh ramai orang Afrika.

Revolusi Rusia 1905

Ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan Tsar di Rusia, mencetuskan gelombang pemberontakan anti-kerajaan yang berterusan dari bulan Januari 1905 hingga Jun 1907, dengan aksi-aksi seperti mogok kerja, pemberontakan petani, pemberontakan askar, rusuhan dan sebagainya. Revolusi 1905 tercetus pada 22 Januari 1905 (bersamaan 9 Januari mengikut Kalendar Julian) apabila paderi Georgy Gapon memimpin satu perarakan yang disertai lebih kurang 30,000 orang pekerja di Saint Petersburg untuk menuntut kerja 8 jam sehari, gaji minimum 1 rubel sehari, menghapuskan birokrat yang lemah, mewujudkan Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih secara demokratik untuk memperkenalkan kerajaan berperwakilan, dan menghentikan perang dengan Jepun. Namun, tentera bertindak menyuraikan massa dengan kekerasan, sehingga mencetuskan gelombang mogok yang melanda seluruh Empayar Rusia. Untuk meredakan kebangkitan rakyat yang hebat ini, kerajaan Tsar Nicholas II mengemukakan Manifesto Oktober yang menjanjikan penubuhan Duma Negara (parlimen), pengwujudkan sistem multi-parti dan penggubalan Perlembagaan Rusia 1906. Revolusi 1905 menyemaikan benih untuk Revolusi Rusia 1917 yang lebih radikal.

Revolusi Argentina 1905

Kesatuan Sivik Radikal yang dipimpin oleh Hipólito Yrigoyen melancarkan pemberontakan bersenjata untuk menentang kekuasaan olligarki dan kerajaan yang diterajui Parti Autonomis Nasional yang konservatif. Pemberontakan ini ditumpaskan oleh Kerajaan Argentina, tetapi menjadi penggerak kepada pembaharuan oleh parti pemerintahan selepas itu.

Pemberontakan Theriso (1905)

Pemberontakan yang dipimpin oleh Eleftherios Venizelos tercetus di Pulau Crete pada bulan Mac 1905, untuk menentang Kerajaan Crete yang merupakan sebuah negara berautonomi di bawah naungan Empayar Uthmaniyah pada masa itu. Pemberontak memperjuangkan “kesatuan politik Crete dengan Greece sebagai sebuah negara tunggal berperlembagaan yang bebas”. Kerajaan Crete mengisytihar darurat dan menewaskan pemberontakan dengan bantuan kuasa besar seperti Rusia dan Britain.

Revolusi Perlembagaan Parsi (1905-1911)

Pada bulan Disember 1905, penderaan dua orang pedagang di khalayak umum oleh pegawai kerajaan di Tehran, menyebabkan protes di Tehran. Kerajaan menyuraikan kumpulan protes yang berselindung di dalam sebuah masjid di Tehran, tetapi mencetuskan gerakan yang jauh lebih besar. Rakyat yang berprotes menuntut pemecatan Perdana Menteri, pembaharuan Kabinet dan mengadakan sidang parlimen untuk menggubal perlembagaan. Disebabkan tekanan daripada massa yang hebat, Raja Mozaffar ad-Din Shah Qajar memecat Perdana Menterinya, dan kemudiannya mengisytiharkan pelaksanaan perlembagaan. Perlembagaan Parsi 1906 lahir daripada revolusi ini. Parlimen Parsi (dipanggil Majlis) yang pertama bersidang pada 7 Oktober 1906. Pada tahun 1907, Raja Mohammad Ali Shah Qajar yang menggantikan bapanya Mozaffar ad-Din yang mangkat, membubarkan parlimen dan mengisytiharkan pemansuhan Perlembagaan. Raja Mohammad Ali Shah menyerang Parlimen dan cuba menghancurkan Gerakan Perlembagaan dengan bantuan ketenteraan dari Rusia dan Britain. Pada bulan Julai 1909, gerakan yang menyokong Perlembagaan berarak dari seluruh negara ke Tehran dan memaksa Raja Mohammad Ali Shah untuk berundur dan menyerahkan takhta kepada anaknya Ahmad Shah Qajar, serta memulihkan Perlembagaan. Gerakan Perlembagaan di Parsi dihancurkan oleh kuasa besar (Rusia dan Britain) yang memecahkan negara itu kepada zon di bawah lingkungan pengaruh mereka. Tentera Rusia menduduki Tehran dan memaksa pembubaran Parlimen serta penggantungan Perlembagaan pada tahun 1911.

Pemberontakan Maji Maji (1905-1906)

Kerajaan penjajah Jerman di Afrika Timur (Tanzania hari ini) mula mengenakan cukai kepala yang membebankan pada tahun 1898 dan bergantung kepada buruh paksaan untuk membina kemudahan bagi penjajah di situ. Kerajan penjajah Jerman juga membangunkan dasar yang memaksa penduduk tempatan untuk menanam kapas sebagai barangan eksport. Masyarakat tempatan yang dipimpin oleh Kinjikitile “Bokero” Ngwale melancarkam pemberontakan bersenjata pada bulan Julai 1905. Tentera Jerman mematahkan pemberontakan ini secara kejam, dan ramai orang mati dalam kebuluran yang berlaku selepas itu.

Pemberontakan Shoubak (1905)

Penduduk di bandar Shoubak, Jordan, memberontak pada bulan Mei 1905, untuk menentang kekuasaan Empayar Uthmaniyah yang memaksa wanita di situ menjadi buruh paksaan sebagai hukuman kepada penduduk di Shoubak yang tidak patuh pada pemerintahannya. Pemberontakan ini dipatahkan secara kejam oleh tentera Uthmaniyah.

Revolusi Poland (1905-1907)

Serentak dengan Revolusi di Rusia, Poland yang dikuasai oleh Empayar Rusia pada masa itu turut dilanda gelombang revolusi yang melibatkan demonstrasi dan pemberontakan dalam kalangan pekerja dan petani, untuk menentang pemerintahan Empayar Rusia. Demonstran di Poland menuntut penambahbaikan keadaan hidup pekerja, kebebasan politik dan lebih autonomi untuk Poland. Pada tahun 1905-1906, berlakunya hampir 7,000 aksi mogok pekerja di Poland, dan melibatkan 1.3 juta orang pekerja Poland. Di wilayah Zagłębie Dąbrowskie, pemberontak menubuhkan Republik Zagłębie (Republika Zagłębiowska), sebuah pemerintahan sosialis Poland yang merangkumi wilayah Zagłębie Dąbrowskie, tetapi hanya kekal untuk 7 hari pada bulan Oktober-November 1905. Di bandar Ostrowiec Świętokrzyski, tertubuhnya satu lagi pemerintahan sosialis yang serupa, Republik Ostrowiec (Republika Ostrowiecka), yang hanya bertahan untuk 2 minggu dari akhir bulan Disember 1905 hingga pertengahan Januari 1906.

Pemberontakan Łódź (1905)

Pada pertengahan bulan Jun 1905, polis Rusia melepaskan tembakan ke atas demonstrasi pekerja di bandar Łódź, Poland, mencetuskan pemberontakan pekerja Łódź pada 21-25 Jun 1905. Pekerja-pekerja mendirikan sekatan jalan dan bertempur dengan polis dan peronda tentera, sementara kerajaan mengisytiharkan darurat. Seluruh bandar Łódź dilumpuhkan. Pemberontakan ini ditewaskan dengan dengan lebih kurang 150 orang mati terkorban. Łódź terus bergolak dengan protes berterusan untuk beberapa bulan selepas itu.

Pemberontakan Warga Tibet (1905)

Masyarakat Tibet yang menganut agama Buddha di wilayah Sichuan dan Yunnan, China, memberontak dan menyerang mubaligh Kristian di situ. Kerajaan Qing mematahkan pemberontakan ini dan membunuh semua golongan Lama (sami agama Buddha Tibet) yang terlibat dalam pemberontakan.

Pemberontakan Zulu (1906)

Masyarakat orang Zulu yang tinggal di Lembah Mpanza, bangkit di bawah pimpinan Bambatha kaMancinza, untuk menentang pemerintahan British dan sistem percukaian yang tidak adil di Jajahan Natal, Afrika Selatan. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera penjajah British. 

Pemberontakan Petani Romania 1907

Oleh sebab tidak berpuas hati terhadap penumpuan pemilikan tanah dalam tangan segelintir kecil tuan tanah besar, petani-petani di wilayah Moldavia memberontak, dan merebak dengan cepatnya ke wilayah Wallachia. Kerajaan Romania mengisytihar darurat pada 18 Mac 1907 dan mengerahkan tentera secara besar-besaran untuk menumpaskan pemberontakan ini secara kejam, dengan ribuan petani dibunuh dan ditahan.

Gerakan Mau (1908-1962)

Gerakan Mau a Pule ditubuhkan di Pulau Savaiʻi, Samoa, pada 1908, untuk memperjuangkan kemerdekaan Samoa daripada penjajahan Jerman. Gerakan ini kemudiannya mengalihkan sasaran penentangannya apabila tentera New Zealand menduduki Kepulauan Samoa pada tahun 1914 ketika tercetusnya Perang Dunia I. Gerakan Mau memuncak pada tahun 1920-an dan 1930-an. Pada 28 Disember 1929, berlakunya peristiwa “Hari Sabtu Hitam” apabila polis tentera New Zealand melepaskan tembakan ke atas penyokong-penyokong Gerakan Mau yang berarak di bandar Apia. Hasil daripada perjuangan Gerakan Mau, Samoa akhirnya mencapai kemerdekaan daripada New Zealand pada tahun 1962.

Revolusi Turki Muda (1908)

Pada 3 Julai 1908, Major Ahmed Niyazi yang merupakan anggota “Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan” (İTC) bersama dengan 200 orang pengikutnya memberontak dan menuntut pemulihan Perlembagaan Uthmaniyah 1876 (yang mendirikan sistem raja berperlembagaan). Pemberontakan ini merebak dengan cepat dan mendapat sokongan yang hebat dalam kalangan pegawai tentera dan rakyat. Pada 24 Julai 1908, Sultan Abdul Hamid II yang gagal mematahkan pemberontakan ini mengumumkan pemulihan Perlembagaan 1876. Sistem multi-parti diwujudkan. Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada bulan November dan Disember 1908, “Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan” memenangi majoriti di dalam parlimen.

Pemberontakan Druze Hauran (1909-1910)

Masyarakat Druze di wilayah Hauran memberontak di bawah kepimpinan Zuqan al-Atrash, untuk menentang kekuasaan pemerintahan Uthmaniyah di Syria. Pemberontakan yang memperjuangkan kemerdekaan ini dipatahkan secara kejam oleh tentera Uthmaniyah.

Mogok Umum Sweden (1909)

Persatuan Majikan Sweden (SAF) menggunakan alasan kemelesetan ekonomi untuk mengurangkan gaji pekerja. Seramai 80,000 orang pekerja dalam industri tekstil, papan dan pulpa dihalang masuk ke kilang. Konfederasi Kesatuan Sekerja Sweden (LO) bertindakbalas dengan menganjurkan mogok umum pada 4 Ogos hingga 4 September 1909. Mogok ini terpaksa diberhentikan kerana kesatuan sekerja kekurangan dana untuk meneruskannya. Kegagalan mogok ini menyebabkan Konfederasi Kesatuan Sekerja Sweden kehilangan separuh ahlinya, dengan sebahagian pekerja kemudiannya menyertai Pertubuhan Pusat Pekerja Sweden (SAC), sebuah kesatuan anarko-sindikalis yang ditubuhkan pada tahun 1910.

Kudeta Goudi (1909)

Pegawai-pegawai tentera Greece yang ingin melakukan pembaharuan terhadap kerajaan negara itu, melancarkan pemberontakan pada bulan Ogos 1909, bermula di berek di Goudi, Athens. Raja Greece, George I, menukar Perdana Menterinya, tetapi tidak dapat memenuhi tuntutan pemberontak yang terus menganjurkan demonstrasi. Dalam keadaan menemui kebuntuan, pemimpin pemberontak menjemput Eleftherios Venizelos dari Crete untuk memimpin mereka. Venizelos yang datang ke Greece mencadangkan pembaharuan parlimen dan menyeru untuk mengadakan pilihanraya yang baharu. Venizelos menjadi Perdana Menteri setelah sekutunya menang berturut-turut dalam pilihanraya Parlimen Greece pada bulan Ogos dan November 1910, dan melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh penyokong Kudeta Goudi.

Revolusi Monégasque (1910)

Rakyat Monaco melakukan siri aksi untuk menuntut pada Putera Albert I supaya menggubal perlembagaan dan menubuhkan parlimen di Monaco. Rakyat Monaco juga berprotes membantah dominasi Perancis terhadap kerajaan dan ekonomi Monaco. Gelombang revolusi ini membawa kepada penggubalan Perlembagaan Monaco pada tahun 1911 dan menamatkan pemerintahan raja berkuasa multlak.

Revolusi Mexico (1910-1920)

Pemberontakan tercetus pada 20 November 1910 di Mexico, dipimpin oleh golongan elit yang anti-kerajaan ketika itu seperti Francisco I. Madero dan Pancho Villa. Pemberontakan ini menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Presiden Porfirio Díaz pada bulan Mei 1911. Madero dipilih sebagai Presiden dalam pilihanraya pada bulan Oktober 1911, tetapi dijatuhkan dan dibunuh pada bulan Februari 1913 dalam satu kudeta tentera yang diketuai oleh Victoriano Huerta yang disokong oleh Amerika Syarikat. Rejim revolusi balas yang berkuasa selepas kudeta ini dijatuhkan pada bulan Julai 1914 oleh gabungan politik yang terdiri daripada kuasa-kuasa revolusioner yang berbeza. Apabila golongan revolusioner gagal mencapai persetujuan politik, tercetusnya perang saudara pada tahun 1914-1915. Dengan puak pendukung perlembagaan yang dipimpin oleh Venustiano Carranza, seorang tuan tanah kaya, memenangi perang saudara pada tahun 1915, golongan revolusioner seperti Emiliano Zapata meneruskan perang gerila. Ketika tercetusnya revolusi, Zapata memimpin pemberontakan petani di Morelos dan menubuhkan Tentera Pembebasan Selatan (ELS). Golongan Zapatista yang memperjuangkan hak tanah untuk petani, pada awalnya bersekutu dengan Madero ketika menentang Porfirio Díaz, tetapi setelah Madero berkuasa dan terbukti tiada niat untuk melaksanakan reformasi tanah, Zapatista menentang Madero. Zapatista kemudiannya melawan kerajaan Huerta dan Carranza. Zapata dibunuh oleh ejen Carranza pada tahun 1919. Perlembagaan Mexico 1917 hasil daripada revolusi ini merupakan perlembagaan di dunia yang pertama kali menggariskan hak-hak sosial. 

Revolusi 5 Oktober 1910

Parti Republikan Portugis yang ditubuhkan pada tahun 1876, memperjuangkan penggantian sistem pemerintahan raja berperlembagaan dengan republik. Pada bulan Januari 1891, golongan republikan melancarkan pemberontakan di Porto tetapi digagalkan. Oleh sebab Kerajaan Portugal yang tunduk kepada pengaruh kuasa British, keborosan kerabat diraja, penyelewengan kuasa Geraja, pentadbiran Perdana Menteri João Franco yang bersifat diktator, ketidakstabilan politik, dan impak daripada proses pemodenan, maka ketidakpuasan hati masyarakat terhadap sistem monarki semakin hebat.  Pada 1 Februari 1908, Raja Carlos I dibunuh oleh seorang Republikan, dan João Franco terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 4 Februari 1908, namun kerajaan yang stabil tidak dapat dibentuk oleh sebab perbalahan puak yang berterusan. Pada 1 Oktober 1910, golongan Republikan mengambil kesempatan lawatan Presiden Brazil masa itu, Hermes da Fonseca, ke Portugal untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran. Pada 3 Oktober 1910, tentera darat Portugal yang enggan melaksanakan arahan untuk mematahkan pemberontakan yang berlaku di atas kapal perang yang berlabuh di Sungai Tangus, telah bergabung dengan tentera laut yang memberontak untuk mengepung bandar Lisbon. Pada 4 Oktober 1910, dua buah kapal perang mula menembak ke arah istana diraja sehingga Raja Manuel II melarikan diri ke Britain. Pada 5 Oktober 1910, golongan Republikan menubuhkan kerajaan sementara yang dipimpin oleh Teófilo Braga dan menubuhkan “Republik Portugal Pertama”. Kerajaan baharu memansuhkan sistem monarki, dan mengamalkan pemisahan politik dengan agama. Perlembagaan baharu Portugal digubal pada tahun 1911.

Pemberontakan Sokehs (1910-1911)

Kerajaan penjajah Jerman menetapkan bahawa penduduk di Pulau Pohnpei, New Guinea Jerman, untuk melakukan buruh paksaan selama 15 hari setahun sebagai pengganti cukai mulai tahun 1907. Pada tahun 1910, masyarakat orang asal di Pulau Sokehs yang mengingkari arahan itu memberontak dan membunuh pengawai Jerman di situ. Pemberontakan ini ditewaskan setelah tentera laut Jerman tiba di situ.

Revolusi Xinhai (1911)

Pada penghujung Zaman Dinasti Qing, tercetusnya banyak pemberontakan di negara China. Pada 27 April 1911, Huang Xing dan revolusioner daripada Tongmenghui (Perikatan Revolusioner China) melancarkan “Pemberontakan Huanghuagang” di Guangzhou tetapi digagalkan oleh tentera Qing. Gerakan protes besar-besaran tercetus di Wilayah Sichuan pada bulan Ogos 1911, untuk mempertahankan landasan keretapi daripada jatuh ke dalam tangan bank asing. Pada 10 Oktober 1911, pemberontakan bersenjata dilancarkan oleh golongan revolusioner di bandar Wuchang, dan merebak ke wilayah yang lain. Kerajaan Tentera ditubuhkan di wilayah-wilayah yang mengisytihar merdeka daripada Kerajaan Qing. Wilayah-wilayah yang bebas membentuk Kerajaan Sementara Republik China di Nanjing pada 1 Januari 1912, dan tokoh revolusioner Sun Yat-sen dipilih sebagai Presiden Sementara. Maharaja terakhir Dinasti Qing, Pu Yi, berundur dari takhta pada 12 Januari 1912. Revolusi Xinhai berjaya menamatkan sistem pemerintahan maharaja di China dan mewujudkan sistem republik. Namun, tidak lama kemudian, kerajaan di Beijing dikuasai oleh Yuan Shikai, seorang pegawai tinggi tentera zaman Dinasti Qing, dan membawa kepada perpecahan politik dan persaingan kuasa antara panglima-panglima perang, termasuk beberapa cubaan untuk memulihkan pemerintahan maharaja.

Pemberontakan Timor Leste 1911-12

Tindakan kerajaan penjajah Portugis untuk mengutip cukai kepala dan melaksanakan kerja paksaan sebagai usahanya untuk membangunkan pertanian tanaman kontan dan membina infrastruktur, telah mencetuskan pemberontakan rakyat tempatan di Timor-Leste. Dom Boaventura, ketua (Liurai) kepada kerajaan orang asal di Manufahi, memimpin satu gabungan kerajaan tempatan untuk melancarkan pemberontakan terhadap penjajah Portugis pada tahun 1911. Pemberontak memasuki ibu kota kerajaan penjajah di Dili pada bulan Februari 1912. Pada bulan Ogos 1912, penjajah Portugis membawa tentera dari Mozambique dan sebuah kapal pembedil dari Macau untuk menumpaskan pemberontakan ini.

Pemberontakan Albania 1912

Warga Albania memulakan pemberontakan terhadap pemerintahan Empayar Uthmaniyah di bahagian barat Vilayet Kosovo pada bulan Januari 1912. Pemberontak mengemukakan tuntutan yang termasuk autonomi untuk wilayah-wilayah yang diduduki oleh masyarakat Albania, perlantikan pegawai yang mengetahui bahasa dan adat tempatan, penggunaan Bahasa Albania di sekolah, pengampunan terhadap semua warga Albania yang terlibat dalam pemberontakan dan sebagainya. Pemberontakan ini ditamatkan selepas Kerajaan Uthmaniyah bersetuju untuk menerima tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh pemberontak.

Mogok Umum Brisbane 1912

Ahli-ahli Persatuan Pekerja Landasan Tram Australia dipecat pada 18 Januari 1912 kerana mereka memakai lencana kesatuan pekerja. Pekerja-pekerja yang dipecat berarak ke Bangunan Kesatuan Sekerja Brisbane, dan seramai 10,000 orang berhimpun di Dataran Pasar pada malam itu. 43 buah kesatuan sekerja di Brisbane menubuhkan Jawatankuasa Kesatuan Tergabung dan melantik satu Jawatankuasa Mogok Umum. Kesatuan-kesatuan sekerja di Brisbane melancarkan mogok besar-besaran pada 30 Januari 1912, bukan sahaja mempertahankan hak untuk memakai lencana kesatuan, tetapi juga memperjuangkan hak pekerja untuk menyertai kesatuan. Jawatankuasa Mogok Umum telah menguasai seluruh bandar Brisbane dalam tempoh beberapa hari.  Pada 2 Februari 1912, polis menggunakan kekerasan dan menyerang pekerja-pekerja yang berdemonstrasi. Mogok ditamatkan apabila Persekutuan Majikan bersetuju untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja yang bermogok. Namun, pekerja-pekerja syarikat tram yang bermogok telah dipecat, dan hanya dipulihkan kerja pada tahun 1922 selepas sistem landasan tram diambilalih oleh Kerajaan Negeri Queensland. Larangan untuk memakai lencana kesatuan masih dikekalkan sehingga tahun 1980.

Mogok Hebat 1913

Pemecatan pekerja-pekerja lombong yang mengorganisasi kesatuan di Huntly, New Zealand, dan pertikaian antara pekerja-pekerja pembinaan kapal dengan majikan mereka di kawasan dermaga Wellington, mencetuskan aksi mogok pekerja yang merebak ke sektor industri yang lain di seluruh New Zealand. Pekerja-pekerja yang bermogok menuntut pemulihan kerja bagi pekerja yang dipecat, kenaikan gaji dan cuti. Antara 14,000 hingga 16,000 orang pekerja menyertai mogok ini. Walaupun mogok yang paling besar dan menggugat kelas pemerintah dalam sejarah New Zealand ini tidak berjaya dengan ramai pemimpin mogok ditangkap, tetapi ia telah menjadi pemangkin kepada perkembangan politik demokrasi sosial dan Parti Buruh di New Zealand.

Mogok Umum Belgium 1913

Parti Pekerja Belgium (POB-BWP) menganjurkan aksi mogok umum pada 14-24 April 1913 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihanraya di Belgium. Lebih kurang 450,000 orang pekerja menyertai mogok umum ini, dan berjaya mendesak golongan pemerintah untuk menjanjikan pembaharuan sistem pilihanraya.

Perang Medan Arang Batu (1913-1914)

Pekerja-pekerja lombong di negeri Colorado, Amerika Syarikat, mengadakan mogok apabila tuntutan pekerja yang diorganisasi oleh United Mine Workers of America (UMWA), seperti kerja 8 jam sehari dan pematuhan peraturan mengenai perlombongan, ditolak oleh syarikat Colorado Fuel and Iron dengan John D. Rockefeller Jr. salah seorang pemiliknya. Pengawal Nasional Colorado dikerahkan untuk menghancurkan mogok pekerja. Pada 20 April 1914, Pengawal Nasional Colorado dan pengawal yang diupah syarikat perlombongan menyerang petempatan khemah yang diduduki oleh 1,200 orang pekerja lombong dan keluarga mereka di Ludlow, dengan melepaskan tembakan senapang mesin ke arah petempatan pekerja, sehingga membunuh 20 orang. Kekejaman majikan menyebabkan pekerja-pekerja memberontak dengan senjata dan tercetus “Perang Sepuluh Hari” di bahagian selatan Colorado. Konflik bersenjata ini tamat selepas Presiden Amerika Syarikat, Woodrow Wilson, mencampurtangan dengan menghantar tentera persekutuan untuk melucutkan senjata kedua-dua pihak.

Pemberontakan Petani Albania (1914)

Petani-petani Muslim yang pro-Uthmaniyah di Albania menganggap Kerajaan Keputeraan Albania yang ditubuhkan mengikut Perjanjian London ialah alat yang dikuasai oleh kuasa-kuasa besar Barat dan tuan tanah besar yang memiliki separuh tanah pertanian di situ. Di bawah kepimpinan Haxhi Qamili, Arif Hiqmeti, Musa Qazimi dan Mustafa Ndroqi, petani-petani di bahagian tengah Albania yang kebanyakannya golongan Muslim memberontak pada bulan Mei 1914, dan menjatuhkan kerajaan Putera Vidi I pada bulan September 1914. Namun, oleh sebab tidak mendapat sokongan daripada rakyat Albania yang lain, pemberontakan yang mengangkat semula bendera Empayar Uthmaniyah ini akhirnya ditumpaskan.

Pemberontakan Boer (1914-1915)

Ketika baru tercetusnya Perang Dunia I (1914-1918), pegawai-pegawai tentera orang Boer (bangsa keturunan Belanda yang menetap di Afrika Selatan) melancarkan pemberontakan pada bulan September 1914 untuk menentang kerajaan Kesatuan Afrika Selatan (dominion yang dikuasai oleh Britain). Pemimpin pemberontak, Jeneral Manie Maritz, bersekutu dengan Jerman. Kerajaan Kesatuan Afrika Selatan mengisytiharkan darurat dan mengerahkan tentera untuk menumpaskan pemberontakan. Maritz ditewaskan pada 24 Oktober 1914 dan melarikan diri ke Afrika Barat Daya Jerman. Pemberontakan ini ditewaskan sepenuhnya pada 4 Februari 1915.

Penentangan Van (1915)

Kerajaan Uthmaniyah menjalankan penghapusan masyarakat bangsa Armenia secara sistematik pada tahun 1914 hingga 1923. Di bandar Van, lebih kurang 30,000 orang berbangsa Armenia di dalam bandar itu dan perkampungan di sekelilingnya, bangkit mempertahankan diri mereka daripada serangan tentera Turki Uthmaniyah pada bulan April 1915. Pada bulan Mei, tentera Rusia masuk ke bandar Van dan membantu penduduk Armenia di situ untuk mengusir keluar tentera Uthmaniyah. Pada bulan Ogos 1915, tentera Uthmaniyah menawan semula Van, tetapi diusir keluar sekali lagi oleh tentera Rusia pada bulan September 1915.

Pemberontakan Rundum (1915)

Pejuang-pejuang suku kaum Murut dari Tenom, Keningau dan Pensiangan, yang dipimpin oleh Ontoros Antanom, bangkit menentang pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di situ. Oleh sebab tidak dapat menumpaskan pejuang-pejuang Murut ini dalam pertempuran, pihak British memasang perangkap dengan menawarkan perundingan damai di Rundum. Antanom dan pengikutnya ditangkap dalam perjalanan ke rundingan damai yang dijanjikan, dan dihukum mati oleh British.

Pemberontakan Tok Janggut (1915)

Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut, mencetuskan penentangan terhadap pentadbiran British di Kelantan pada bulan Mei 1915 apabila berlaku perbalahan antaranya pegawai polis British Sarjan Che Wan Sulaiman yang membawa kepada kematian Sarjan Che Wan Sulaiman. Tok Janggut kemudian bersama dengan pengikutnya menyerang dan menawan pekan Pasir Putih, serta menubuhkan kerajaan sendiri. Tok Janggut yang dianggap sebagai penderhaka oleh Sultan Kelantan yang menerima perlindungan British, terbunuh dalam pertempuran dengan tentera British pada bulan Jun 1915.

Perang Perlindungan Nasional (1915-1916)

Yuan Shikai selaku Presiden Republik China mengisytihar dirinya sebagai Maharaja di Beijing pada bulan Disember 1915. Penglima perang di Yunnan seperti Cai E dan Tang Jiyao, mengisytihar kemerdekaan wilayah Yunnan dan melancarkan pemberontakan terhadap Kerajaan Beiyang pimpinan Yuan Shikai. Tentera Beiyang dikalahkan dan wilayah-wilayah lain di Selatan China turut mengisytihar kemerdekaan. Yuan Shikai akhirnya terpaksa memansuhkan sistem maharaja dan kembali memerintah sebagai Presiden sebelum dia mati beberapa bulan selepas itu.

Pemberontakan Easter (1916)

Ketika minggu Easter pada tahun 1916, organisasi “Persaudaraan Republikan Ireland” melancarkan pemberontakan untuk membebaskan Ireland daripada pemerintahan British. Tentera Sukarelawan Ireland yang dipimpin oleh Patrick Pearse dan Tentera Warga Ireland yang dipimpin oleh James Connolly menduduki tempat yang strategik di bandar Dublin, dan mengisytihar kemerdekaan Republik Ireland. Selepas pertempuran selama 7 hari, pemberontakan ini ditumpaskan oleh tentera British yang berkelengkapan senjata jauh lebih banyak. Kebanyakan pemimpin pemberontak dihukum mati selepas perbicaraan mahkamah tentera. Pemberontakan ini walaupun gagal, tetapi bersama dengan perjuangan selepasnya menjadi pemangkin kepada peningkatan sokongan rakyat untuk kemerdekaan Ireland.

Pemberontakan Asia Tengah 1916

Juga dikenali sebagai Urkun. Pengerahan penduduk Muslim di wilayah Turkestan Rusia untuk dihantar ke medan perang kerana penglibatan Rusia dalam Perang Dunia I, mencetuskan pemberontakan penduduk Muslim di kawasan Semirechye. Pemberontakan ini ditewaskan dan diikuti dengan penindasan zalim oleh tentera Rusia yang menyebabkan ramai terbunuh sementara puluhan ribu orang Kyrgyz dan Kazakh melarikan diri ke China.

Pemberontakan Cochinchina 1916

Gelombang protes dan cubaan pemberontakan tercetus di Selatan Vietnam, melibatkan pelbagai organisasi yang berlainan fahaman, untuk menentang penjajahan Perancis di situ yang dikenali sebagai Cochinchina Perancis, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa Perancis.

Pemberontakan Kaocen (1916-1917)

Masyarakat orang Tuareg yang dipimpin oleh Ag Mohammed Wau Teguidda Kaocen, seorang pemimpin mazhab Sufi Sanusi, melancarkan pemberontakan di kawasan Pergunungan Aïr di utara Niger, untuk menentang pemerintahan penjajah Perancis di situ. Pemberontak menguasai kawasan di utara Niger untuk lebih 3 bulan sebelum ditumpaskan oleh tentera Perancis. 

Pemberontakan Arab (1916-1918)

Syarif Husain bin Ali, Gabenor bandar Mekah, melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah pada bulan Jun 1916. Di bawah pengaruh fahaman Nasionalis Arab, para pemberontak berusaha untuk menubuhkan sebuah negara bangsa Arab yang bersatu yang terbentang dari Aleppo di Syria hingga ke Aden di Yaman. Britain mempergunakan Pemberontakan Arab untuk melemahkan Kuasa Tengah yang turut dianggotai oleh Empayar Uthmaniyah, dan menghantar pegawai tentera serta penasihat tentera untuk membantu tentera pemberontak Arab. Tentera pemberontak Arab berjaya menghalau keluar tentera Uthmaniyah dari wilayah Hejaz dan Transjordan. Kuasa imperialis Britain dan Perancis kemudiannya memecahkan rantau Timur Tengah kepada wilayah-wilayah mandat selepas Perang Dunia I. Wilayah Hejaz menjadi negara yang merdeka di bawah pemerintahan Syarif Husain bin Ali sehingga tahun 1924, apabila ditewaskan oleh Ibn Saud yang mendapat sokongan daripada British.

Revolusi Februari (1917)

Perang Dunia I membawa kehancuran yang teruk kepada ekonomi Empayar Rusia, dan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintahan autokratik Tsar. Pada 3 Mac 1917 (bersamaan 18 Februari mengikut Kalendar Julian), pekerja-pekerja di kilang Putilov di Petrograd, telah mengumumkan mogok untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan. Pada 8 Mac 1917, sambutan Hari Wanita Antarabangsa mencetuskan revolusi. Pekerja-pekerja tekstil wanita yang militan melancarkan mogok besar-besaran di Petrograd, dengan tuntutan mereka termasuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan makanan, menghentikan perang dan menamatkan pemerintahan autokratik. “Tanah, roti dan keamanan” menjadi slogan laungan pekerja. Tentera di bawah arahan Tsar cuba menggunakan keganasan untuk menyuraikan pekerja-pekerja yang bermogok, tetapi semakin ramai askar mengingkari arahan dan memberontak untuk menyertai pekerja-pekerja yang bermogok. Soviet Petrograd ditubuhkan pada 12 Mac 1917. Massa yang memberontak mengambilalih Moscow pada 13 Mac 1917. Tsar Nicholas II terpaksa berundur dari takhtanya pada 15 Mac 1917, menandakan berakhirnya pemerintahan monarki di Rusia. Kerajaan Sementara yang terdiri daripada golongan Liberal dan Sosialis ditubuhkan pada 16 Mac 1917.

Pemberontakan Thái Nguyên (1917)

Pada 30 Ogos 1917, sekumpulan tahanan politik, banduan biasa dan pengawal penjara yang ingkar arahan, memberontak di Penjara Thái Nguyên, Vietnam. Pemberontak menguasai penjara itu dan bangunan pentadbiran bandar di situ untuk 6 hari sebelum ditumpaskan oleh tentera kerajaan penjajah Perancis.

Mogok Umum Australia 1917

Pengenalan sistem pengekosan buruh baharu oleh Jabatan Landasan Keretapi dan Tram New South Wales, mencetuskan mogok pekerja yang merebak ke sektor pekerjaan yang lain dan juga negeri lain di Australia. Mogok besar-besaran yang melibatkan 100,000 orang pekerja ini, kebanyakannya tertumpu di New South Wales dan Victoria, berlarutan selama 6 minggu dari 2 Ogos hingga 8 September 1917, sebelum diumumkan tamat oleh pemimpin mogok. Namun, ramai pekerja akar umbi menolak keputusan untuk menamatkan mogok, dengan sesetengah mogok hanya berakhir pada bulan November 1917.

Mogok Umum Sepanyol 1917

Golongan Sosialis dan Anarkis di Sepanyol menganjurkan mogok besar-besaran, khususnya di bandar Barcelona. Pekerja yang bermogok mendirikan sekatan di jalanan. Kerajaan menggunakan senapang mesin untuk menyuraikan pemogok dan membunuh seramai 70 orang.

Gerakan Mogok Brazil 1917-1919

Gerakan mogok yang hebat melanda negara Brazil pada tahun 1917 hingga 1919. Beberapa mogok umum berlaku pada tahun 1917, dan golongan Anarkis cuba memberontak pada tahun 1918 untuk menggulingkan kerajaan yang oligarki tetapi dipatahkan dengan ramai aktivis pekerja ditahan.

Revolusi Oktober (1917)

Selepas Revolusi Februari, wujudnya situasi di mana kuasa pemerintahan di Rusia, khususnya di ibu negaranya Petrograd, dibahagikan antara Kerajaan Sementara dan Soviet (Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar). Pada bulan Julai 1917, berlakunya pemberontakan di jalanan Petrograd tetapi dipatahkan secara kejam oleh Kerajaan Sementara. Pada bulan September 1917, berlakunya cubaan rampasan kuasa oleh Jeneral Kornilov yang reaksioner, tetapi ditewaskan oleh pekerja-pekerja dan askar-askar yang menyertai Soviet Petrograd. Soviet-soviet yang dikuasai oleh Parti Bolshevik mula mengingkari arahan Kerajaan Sementara. Bolshevik yang dipimpin oleh Lenin dan Leon Trotsky memutuskan untuk menggulingkan Kerajaan Sementara melalui pemberontakan. Soviet Petrograd yang didominasi oleh Bolshevik menubuhkan Jawatankuasa Revolusioner Tentera. Pada 7 Novermber 1917 (25 Oktober 1917 mengikut Kalendar Julian), Jawatankuasa Revolusioner Tentera melancarkan pemberontakan dan menjatuhkan Kerajaan Sementara yang dipimpin oleh Alexander Kerensky. Kongres Soviet-soviet Seluruh Rusia yang Kedua bersidang pada ketika itu meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa semua kuasa di kawasan tempatan hendaklah diserahkan kepada Soviet-soviet Pekerja, Askar dan Petani. Revolusi Oktober melahirkan negara pekerja pertama yang dipimpin oleh sebuah parti berasaskan fahaman Marxis. Kongres Soviet-soviet mengeluarkan perintah untuk keamanan, menjadikan negara Rusia negara pertama yang menarik diri keluar daripada Perang Dunia I. Selain itu, kerajaan revolusioner pimpinan Bolshevik mengemukakan dasar revolusioner seperti pengagihan semula tanah kepada petani, pemiliknegaraan bank, perampasan harta Gereja, pembatalan hutang luar, kenaikan gaji, pengurangan masa kerja, pengawalan soviet terhadap kilang, kesamarataan hak rakyat Rusia dan sebagainya.

Perang Kemerdekaan Ukraine (1917-1921)

Selepas Revolusi Februari di Rusia, kuasa pentadbiran Ukraine dipegang oleh Tsentralna Rada (Majlis Pusat Ukraine) dan mengekalkan hubungan rapat dengan Kerajaan Sementara Rusia. Revolusi Oktober di Petrograd merebak dengan pantasnya ke seluruh wilayah yang dikuasai oleh Rusia. Golongan Bolshevik melancarkan pemberontakan di Kyiv bersama dengan Tsentralna Rada pada 8 November 1917, dan menewaskan tentera Rusia yang ditempatkan di situ. Tsentralna Rada menguasai Kiev dan menubuhkan “Republik Rakyat Ukraine”. Namun, golongan Bolshevik menubuhkan sebuah republik yang bertentangan di bandar Kharkov pada bulan Disember 1917. Tsentralna Rada mengisytihar kemerdekaan Ukraine pada 22 Januari 1918 dan memutuskan hubungan dengan Rusia. Bolshevik Ukraine yang disokong oleh Rusia Soviet melancarkan perang ke atas Kerajaan Kyiv. Kerajaan Kyiv yang tidak mampu menangkis kemaraan Bolshevik meminta bantuan daripada negara Jerman yang pada awalnya bermusuhan dengan Ukraine. Pengawal Merah Bolshevik memasuki Kyiv pada 9 Februari 1918, tetapi diusir keluar oleh tentera Jerman dan Austria-Hungary pada 1 Mac 1918. Setelah Kerajaan Soviet Rusia menandatangani Perjanjian Brest-Litovsk dengan Kuasa Tengah pada 3 Mac 1918 untuk menamatkan keadaan perang di Medan Timur. Bolshevik kehilangan kebanyakan kawasan yang dikuasainya di Ukraine pada bulan April 1918, dan pihak berkuasa tentera Jerman menubuhkan rejim “Hetmanat” yang anti-Bolshevik. Selepas Jerman menyerah kalah pada bulan November 1918, Tentera Merah Rusia mula melancarkan serangan ke atas wilayah di Medan Timur yang dikuasai oleh Jerman. WargaUkraine di Galicia Timur yang dikuasai oleh Austria-Hungary sebelum itu mengisytiharkan “Republik Rakyat Ukraine Barat” pada bulan November 1918, tetapi warga Poland di situ menyokong wilayah itu dikuasai Republik Poland Kedua. Wilayah Galicia Timur kemudiannya diduduki oleh tentera Poland pada tahun 1919. Selepas pembentukan Parti Komunis (Bolshevik) Ukraine di Moscow, Kerajaan Soviet Ukraine yang baharu ditubuhkan pada 21 Disember 1919 dan melancarkan serangan baharu terhadap golongan Nasionalis Ukraine yang kehilangan sokongan tentera daripada Kuasa Tengah yang kalah dalam Perang Dunia I. Selepas Kerajaan Soviet menandatangani Perjanjian Damai Riga dengan Poland pada bulan Mac 1921, Tentera Merah berjaya menduduki kebanyakan wilayah Ukraine. Republik Sosialis Soviet Ukraine menjadi salah sebuah negara anggota pengasas Kesatuan Soviet pada tahun 1922.

Revolusi Finland (1918)

Pengawal Merah daripada Parti Demokratik Sosial Finland melancarkan pemberontakan pada 26 Januari 1918 dan menguasai bandar Helsinki, ibu negara Finland. Republik Pekerja Sosialis Finland (juga dikenali sebagai “Finland Merah”) ditubuhkan pada 29 Januari 1918. Golongan berhaluan kanan bertindakbalas dengan melancarkan serangan tentera ke atas Finland Merah dan mencetuskan Perang Saudara Finland. Campurtangan tentera imperialis yang bersekutu dengan Pengawal Putih dalam Perang Saudara Finland, akhirnya telah menewaskan Finland Merah pada 5 Mei 1918. Lebih 27,000 orang penyokong Finland Merah mati terkorban dalam Perang Saudara. Selepas Revolusi Finland digagalkan, lebih kurang 80,000 orang pekerja dan sosialis radikal dibuang ke dalam kem tahanan.

Pemberontakan Januari (1918)

Pekerja-pekerja di kilang senjata Kyiv melancarkan pemberontakan pada 29 Januari 1918, di bawah kepimpinan Bolshevik Ukraine, untuk menentang Kerajaan Kyiv yang mengisytiharkan kemerdekaan Ukraine. Pekerja-pekerja yang memberontak ini menyokong kemaraan Tentera Merah Bolshevik yang sedang menuju ke Kyiv pada masa itu. Pada 30 Januari 1918, seluruh bandar Kyiv dilumpuhkan oleh mogok pekerja. Kerajaan Kyiv mengerahkan tentera untuk menyerang dan menawan kilang senjata Kyiv demi menumpaskan pemberontakan ini. Pemberontakan selama 6 hari ini walaupun gagal, tetapi membuka jalan kepada kemasukan Tentera Merah ke Kyiv beberapa hari kemudian.

Pemberontakan Ossetia Selatan (1918-1920)

Selepas Revolusi Februari di Rusia, rakyat Ossetia menubuhkan Majlis Nasional Ossetia di pekan Java. Majlis tersebut dikuasai oleh Bolshevik tidak lama kemudian, dan memperjuangkan penyatuan Ossetia Selatan dan Utara di samping bergabung dengan Rusia Soviet. Petani-petani Ossetia enggan membayar cukai kepada Kerajaan Republik Persekutuan Demokratik Transcaucasia yang berpusat di Tiflis, dan melancarkan pemberontakan pada 15 Mac 1918. Pemberontak menguasai bandar Tskhinvali pada 19 Mac 1918, tetapi Pengawal Rakyat Georgia menguasai semula Tskhinvali pada 22 Mac 1918. Pada bulan Oktober 1919, pemberontakan tercetus di banyak kawasan di Ossetia Selatan untuk menentang Kerajaan Republik Demokratik Georgia yang didominasi oleh Menshevik. Pada 23 Oktober 1919, pemberontak di kawasan Roki mengisytiharkan penubuhan sebuah kerajaan soviet, tetapi ditewaskan. Parti Komunis Rusia (Bolshevik) mula menghimpunkan kuasa tentera di bandar Vladikavkaz. Pada 8 Mei 1920, warga Ossetia mengisytiharkan sekali lagi penubuhan Republik Soviet. Tentera Bolshevik memasuki kawasan Georgia untuk membantu pemberontak dalam menewaskan tentera Georgia. Namun, disebabkan Lenin ingin mengekalkan pendamaian dengan Georgia, Bolshevik mula menjauhkan diri daripada perjuangan Ossetia. Pengawal Rakyat Georgia kemudiannya menghancurkan secara kejam pemberontakan rakyat Ossetia.

Revolusi Jerman (1918-1919)

Juga dikenali sebagai “Revolusi November”. Pada 29 Oktober 1918, kelasi-kelasi tentera laut Jerman mula memberontak di Wilhelmshaven, kemudiannya merebak dengan cepatnya ke seluruh Armada Laut Lepas (Hochseeflotte). Pada 4 November 1918, Pelabuhan Kiel telah dikuasai oleh lebih kurang 40,000 orang kelasi, askar dan pekerja yang memberontak. Pada 7 November 1918, massa yang revolusioner telah menguasai bandar-bandar utama seperti Hanover, Brunswick, Frankfurt dan Munich. Pada 9 November 1918, mogok besar-besaran tercetus di kilang-kilang besar di Berlin. Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar ditubuhkan, dan bangunan-bangunan penting telah diduduki oleh massa yang revolusioner. Di Munich, Majlis Pekerja-pekerja dan Askar-askar berjaya memaksa Raja Bavaria Ludwid III untuk mengundur diri dari takhtanya. Pada 8 November 1918, Bavaria menjadi negeri anggota Empayar Jerman yang pertama diisytihar sebagai “Negeri Rakyat” (Volksstaat). Maharaja Jerman, Wilhelm II, mengundur dari takhta pada 9 November 1918, dan Republik Weimar ditubuhkan. Kerajaan baharu yang dibentuk menandatangani persetujuan gencatan senjata untuk menamatkan Perang Dunia I pada 11 November 1918.

Mogok Umum Switzerland (1918)

Lebih kurang 250,000 orang pekerja menyertai mogok umum di Switzerland pada 12-14 November 1918, dengan tuntutan seperti pilihanraya Majlis Kebangsaan dengan perwakilan berkadar, hak mengundi untuk wanita, kerja 48 jam seminggu, memperbaiki bekalan makanan, insurans usia tua dan memaksa golongan kaya untuk membayar cukai negara. Mogok ditamatkan apabila pemimpin mogok tunduk kepada tekanan pihak kerajaan.

Pemberontakan Krismas (1918-1919)

Zelenaši (Hijau), sekumpulan nasionalis Montenegro yang menyokong Dinasti Petrović-Njegoš yang dijatuhkan selepas Perang Dunia I, tidak berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Nasional Besar Rakyat Serbia di Montenegro untuk menggabungkan wilayah Montenegro dengan Serbia ke dalam Negara Beraja Yugoslavia, maka melancarkan pemberontakan menentang golongan Bjelaši (Putih) yang berfahaman pan-Serbia. Pemberontakan yang hanya bertahan seketika ini akhirnya ditewaskan.

Pemberontakan Poland Besar (1918-1919)

Orang Poland di Poznań melancarkan pemberontakan bersenjata pada 27 Disember 1918 untuk menentang pemerintahan Jerman. Tentera pemberontak menguasai kebanyakan kawasan di wilayah Poland Besar (Wielkopolska). Pertempuran antara tentera pemberontak dengan tentera Jerman berterusan sehingga penandatanganan Perjanjian Versailles pada 28 Jun 1919 yang menyerahkan hampir seluruh wilayah Poland Besar kepada negara Poland.

Pemberontakan Simko Shikak (1918-1922 dan 1926)

Masyarakat Kurdi yang dipimpin oleh Simko Shikak, ketua suku Shekak, melancarkan pemberontakan terhadap pemerintahan Dinasti Qajar di Iran pada tahun 1918. Selepas Reza Khan melucutkan kuasa Dinasti Qajar dalam kudeta pada tahun 1921, Kerajaan Iran menumpaskan pemberontakan ini dan Simko melarikan diri ke Turki.  Simko Shikak melancarkan satu lagi pemberontakan pada tahun 1926, tetapi digagalkan selepas dikhianati oleh separuh tenteranya dan Simko melarikan diri ke Iraq.

Pemberontakan Liga Spartacus (1919)

Parti Komunis Jerman (KPD) ditubuhkan pada 1 Januari 1919, dengan Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht daripada Liga Spartacus dipilih sebagai pemimpin utamanya. Pada 5 Januari 1919, ribuan orang turun berprotes di Berlin untuk membantah pemberhentian Ketua Polis Berlin yang enggan mengambil Tindakan keras terhadap demonstrasi pekerja. Kerajaan yang dipimpin oleh Friedrich Ebert menggunakan unit “Freikorps”, pasukan separa tentera yang berhaluan pelampau kanan, untuk mematahkan gelombang revolusi ini. Luxemburg dan Liebknecht dibunuh oleh Freikorps pada 15 Januari 1919.

Perang Kemerdekaan Ireland (1919-1921)

Sinn Féin, sebuah parti nasionalis yang militan di Ireland, mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya umum United Kingdom di Ireland pada bulan Disember 1918. Pada 21 Januari 1919, Sinn Féin menubuhkan kerajaan dan parlimen Ireland sendiri (Dáil Éireann) di Dublin, untuk mengisytihar kemerdekaan Ireland daripada Britain. Kerajaan British enggan mengiktiraf Republik Ireland, maka tercetusnya Perang Kemerdekaan Ireland. Pasukan Sukarelawan Ireland disusun semula sebagai “Tentera Republikan Ireland” (IRA).  IRA melancarkan perang gerila terhadap Kerajaan British di Ireland. Perang berlarutan sehingga 11 Julai 1921 apabila persetujuan gencatan senjata dicapai antara dua pihak. Kerajaan British dan golongan nasionalis Ireland menandatangani Perjanjian Inggeris-Ireland pada 6 Disember 1921, di mana 26 daripada 32 buah daerah di Ireland berpisah daripada pemerintahan British dan menubuhkan “Negara Bebas Ireland” (1922-1937). Perjanjian Inggeris-Ireland menimbulkan perpecahan dalam gerakan nasionalis Ireland, sehingga mencetuskan Perang Saudara Ireland (1922-1923) dengan puak yang pro-Perjanjian menewaskan puak yang anti-Perjanjian.

Mogok La Canadiense (1919)

Pada bulan Februari 1919, kilang penjanaan elektrik hidro di Barcelona cuba mengurangkan gaji pekerja, maka mencetuskan mogok pekerja. Tuan milik kilang cuba menggunakan kekerasan untuk mematahkan mogok, tetapi aksi mogok merebak dengan pantas. Pekerja-pekerja di kilang yang lain turut bersolidariti dengan aksi protes ini. Darurat diisytihar di Barcelona, tetapi aksi mogok masih diteruskan. Kesatuan pekerja percetakan memberi amaran kepada majikan suratkhabar di Barcelona bahawa mereka tidak akan mencetak akhbar yang mengutuk pemogok. Mogok pekerja di wilayah Catalonia ini berlarutan untuk 44 hari, dengan penyertaan 100,000 orang pekerja. Seluruh bandar Barcelona dan 70% kawasan Catalonia dilumpuhkan. Mogok tersebut memaksa kerajaan Catalonia untuk menggubal undang-undang pertama di negara Sepanyol yang mengehadkan masa kerja kepada 8 jam sehari. Tuntutan untuk pengiktirafan kesatuan dan pengambilan semula pekerja yang diberhentikan turut ditunaikan.

Mogok Umum Seattle (1919)

35,000 orang pekerja kilang kapal di Seattle, Amerika Syarikat, bermogok pada 21 Januari 1919 untuk menuntut kenaikan gaji. Majlis Buruh Pusat Seattle menyeru untuk mogok seluruh bandar demi menyokong perjuangan pekerja-pekerja kilang kapal. Lebih 100 buah kesatuan tempatan menyokong untuk bermogok. Lebih 65,000 orang pekerja di Seattle mengadakan mogok besar-besaran dari 6 hingga 11 Februari 1919. Pekerja yang bermogok mendirikan 35 buah stesen pembekalan susu di seluruh bandar, dan mengagihkan 30,000 sajian makanan setiap hari melalui jawatankuasa mogok. Mogok ditamatkan setelah tekanan pimpinan kesatuan sekerja yang membantah tindakan mogok ini. Walaupun mogok ini berlangsung dalam keadaan tanpa keganasan, tetapi Kerajaan Amerika Syarikat dan media arus perdana menjana “Ketakutan Merah” dengan menggambarkannya sebagai konspirasi golongan komunis untuk menggulingkan Kerajaan Amerika Syarikat.

Revolusi Mesir 1919

Selepas tamatnya Perang Dunia I, delegasi nasionalis Mesir yang dipimpin oleh Saad Zaghloul meminta Pesuruhjaya Tinggi British untuk menamatkan pentadbiran negeri naugan di Mesir dan Sudan, di samping membenarkan perwakilan Mesir untuk mengambil bahagian dalam rundingan Persidangan Damai Paris, tetapi ditolak oleh Kerajaan British. Kerajaan penjajah British yang semakin tergugat dengan sokongan hebat rakyat Mesir terhadap Parti Wafd yang dipimpin oleh Zaghloul, bertindak dengan menangkap Zaghloul pada 8 Mac 1919. Penangkapan Zaghloul dan pemimpin Parti Wafd yang lain telah mencetuskan Revolusi Mesir. Rakyat Mesir, tanpa mengira agama, mengadakan demonstrasi dan mogok di seluruh negara itu. Penduduk di kawasan luar bandar menggunakan cara yang lebih ganas untuk memberontak, dan melakukan sabotaj terhadap kemudahan penjajah British. Pemimpin nasionalis termasuk Zaghloul dibebaskan tidak lama kemudian dan dibenarkan untuk menghadiri Persidangan Damai Paris. Namun, cadangan Zaghloul untuk negara Mesir yang merdeka dan demokratik tidak dihiraukan oleh kuasa-kuasa besar. Kebangkitan rakyat Mesir memaksa Kerajaan British mengumumkan kemerdekaan Mesir pada 28 Februari 1922. Namun, Kerajaan British masih mengekalkan penempatan tenteranya di Terusan Suez dan enggan mengiktiraf hak kedaulatan Mesir terhadap Sudan.

Gerakan 1 Mac (1919)

Demonstrasi besar-besaran untuk menuntut kemerdekaan Korea tercetus pada 1 Mac 1919 apabila aktivis kemerdekaan membaca “Deklarasi Kemerdekaan Korea” di Seoul. Aksi ini membuka tirai kepada gelombang kebangkitan rakyat Korea untuk menentang penjajahan Jepun di Semenanjung Korea, dan menjadi pemangkin kepada Gerakan Kemerdekaan Korea. Lebih kurang 2 juta orang Korea mengambil bahagian dalam lebih 1,500 aksi demonstrasi di merata tempat. Ribuan orang dibunuh oleh pasukan polis dan tentera Jepun yang cuba mematahkan gerakan ini.

Revolusi Hungary (1919)

Empayar Austria-Hungary dibubarkan selepas Perang Dunia I. Kerajaan Republik Rakyat Hungary yang baru ditubuhkan gagal menangani masalah sosial dan ekonomi yang serius di dalam negara itu. Parti Demokratik Sosial Hungary dan Parti Komunis Hungary memberontak untuk menjatuhkan Kerajaan Republik Rakyat Hungary. Parti Komunis Hungary yang dipimpin oleh Béla Kun berjaya menguasai kerajaan baharu, dan menubuhkan Republik Soviet Hungary pada 21 Mac 1921. Kerajaan soviet yang baharu melaksanakan dasar seperti penghapusan hak istimewa golongan bangsawan, pemisahan gereja dengan kerajaan, penggubalan undang-undang untuk melindungi kebebasan bersuara dan berhimpun, pelaksanaan pendidikan percuma, perlindungan hak bahasa dan budaya untuk golongan minoriti, pemiliknegaraan industri, perumahan sosial, dan sebagainya. Penubuhan Republik Soviet Hungary mengundang kepanikan daripada Kuasa Entente. Perancis bersama dengan Romania, Czechoslovakia dan Yugoslavia menyerang Hungary dari semua arah. Republik Soviet Hungary hanya bertahan untuk 4 bulan dan terpaksa dibubarkan pada 1 Ogos 1919 kerana tidak dapat menangkis serangan hebat daripada tentera Kuasa Entente. Soviet Pekerja-pekerja Budapest yang cuba bertahan memilih sebuah kerajaan baharu, tetapi hanya wujud untuk beberapa hari sebelum dibubarkan apabila tentera Romania memasuki bandar Budapest pada 6 Ogos 1919.

Gerakan 4 Mei (1919)

Gerakan Budaya Baharu muncul di negara China pada pertengahan tahun 1910-an, dengan wujudnya golongan intelek seperti Chen Duxiu, Hu Shi dan Luxun. Majalah “Belia Baharu” (La Jeunesse) yang diterbitkan oleh Chen Duxiu mempromosikan konsep demokrasi dan sains, menjadi perintis kepada kebangkitan kesedaran sosial yang baharu. Semasa Persidangan Damai Paris pada tahun 1919, kuasa-kuasa Barat menyerahkan wilayah Shandong yang diduduki oleh Jerman sebelum itu kepada Jepun, mencetuskan gerakan massa anti-imperialis dan anti-feudal yang diterajui oleh pelajar-pelajar. Pada 4 Mei 1919, ribuan pelajar berhimpun di Beijing untuk membantah penyerahan konsesi Jerman di Shandong kepada Jepun, kemudiannya penangkapan pelajar-pelajar yang berprotes menjadikan gelombang kebangkitan rakyat merebak di seluruh negara dengan gerakan massa besar-besaran yang melibatkan aksi demonstrasi jalanan, boikot kelas dan mogok kerja. Kerajaan Beiyang terpaksa membebaskan pelajar-pelajar yang ditahan dan memecat pegawai diplomat yang hadir dalam Persidangan Damai Paris. Perwakilan negara China di Paris akhirnya menolak untuk menandatangani Perjanjian Versailles.

Mogok Umum Winnipeg (1919)

Pada bulan April 1919, Kesatuan Sekerja Logam dan Kesatuan Sekerja Pembinaan di bandar Winnipeg, Kanada, mengadakan mogok untuk menuntut pengiktirafan kesatuan dan hak rundingan kolektif. Atas semangat solidariti pekerja, anggota-anggota Kongres Buruh dan Sekerja Kanada (TLC) mengundi untuk menganjurkan mogok bagi memberi sokongan. Pada 15 Mei 1919, hampir seluruh warga pekerja di bandar Winnipeg telah bermogok. Lebih kurang 30,000 orang pekerja yang bekerja dalam sektor awam dan sektor swasta bermogok untuk tempoh selama 6 minggu. Pada 21 Jun 1919, polis yang dikerahkan oleh Datuk Bandar Winnipeg menyerang secara keras perhimpunan pekerja-pekerja yang bermogok dalam peristiwa “Hari Sabtu Berdarah”. Walaupun mogok umum ini tidak berjaya, tetapi secara jangka panjang, ia menyumbang kepada pembangunan gerakan pekerja yang lebih kuat dan perkembangan politik demokratik sosial di Kanada.

Perang Kemerdekaan Turki (1919-1923)

Setelah Empayar Uthmaniyah dikalahkan dalam Perang Dunia I, tanah jajahannya diagihkan oleh Kuasa Entente yang menang dalam peperangan. Pada bulan Jun 1919, pegawai tentera yang berfahaman nasionalis seperti Mustafa Kemal Atatürk mengemukakan “Pekeliling Amasya” yang mengisytihar bahawa kemerdekaan negara Turki berada dalam bahaya. Gerakan Nasional Turki mencecah kemuncak dengan penubuhan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki pada tahun 1920. Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki memansuhkan Kesultanan Uthmaniyah pada bulan November 1922. Selepas terlibat dalam Perang Turki-Armenia (1920) di bahagian Timur, Perang Perancis-Turki (1918-1921) di Selatan, Perang Greece-Turki (1919-1922) di Barat, dan juga menumpaskan kuasa-kuasa setiaraja di beberapa buah bandar, golongan revolusioner Turki berjaya memaksa Kuasa Entente melepaskan Perjanjian Sèvres yang ditandatangan bersama Empayar Uthmaniyah. Perjanjian Lausanne yang ditandatangani pada 23 Julai 1923 antara Kerajaan Turki dengan Kuasa Entente, dengan Kuasa Entente bersetuju untuk berundur keluar dari Anatolia dan Thrace Timur. Republik Turki diisytiharkan secara rasminya pada 29 Oktober 1923. Kerajaan Republik Turki yang baharu di bawah kepimpinan Kemal Atatürk melaksanakan siri pembaharuan besar untuk menghapuskan sistem lama yang ditinggalkan oleh Empayar Uthmaniyah, dan mentransformasi Republik Turki kepada sebuah negara bangsa moden yang sekular berasaskan ideologi Kemalisme.

Biennio Rosso (1919-1920)

Selepas Perang Dunia I, negara Itali dilanda krisis sosial yang semakin hebat, khususnya di wilayah utaranya, sehingga mencetuskan gelombang gerakan pendudukan kilang oleh pekerja-pekerja. Di bandar Turin, banyak kilang diambilalih oleh pekerja-pekerja dan Majlis-majlis Kilang ditubuhkan. Sebanyak 1,871 mogok direkodkan di Itali pada tahun 1919, dengan penyertaan seramai 554,000 orang. Pada 4 Julai 1919, mogok besar-besaran diadakan di seluruh negara Itali untuk menuntut penurunan harga makanan. Pekerja-pekerja di banyak buah bandar menubuhkan “soviet makanan”. Pada 20-21 Julai 1919, mogok umum diadakan untuk bersolidariti dengan Revolusi Rusia. Sebanyak 2,070 mogok berlaku di seluruh Itali pada tahun 1920, dengan penyertaan seramai 2,314,000 orang. Pada bulan April 1920, pekerja-pekerja logam, khususnya di kilang Fiat, bermogok untuk menuntut pengiktirafan majlis kilang mereka. Pada bulan Ogos dan September 1920, pekerja-pekerja logam yang bersenjata di Milan dan Turin menduduki kilang mereka sebagai respon terhadap tindakan majikan yang menghalang mereka daripada memasuki kilang. Lebih kurang 600,000 orang pekerja mengambil bahagian dalam aksi pendudukan kilang. Sementara itu, petani-petani juga melancarkan gerakan menduduki tanah. Lebih kurang 500,000 orang terlibat dalam rusuhan di kawasan luar bandar pada tahun 1919, dan angka ini mencecah 1 juta pada tahun 1920. Gerakan ini mula merosot pada tahun 1921, sementara golongan majikan dan fasis bertindakbalas secara ganas terhadap golongan kiri dan gerakan pekerja.

Pemberontakan Silesia (1919-1921)

Warga Poland di wilayah Silesia Hulu melancarkan pemberontakan sebanyak 3 kali pada tahun 1919-1921, untuk memperjuangkan pemisahan wilayah tersebut daripada pemerintahan Jerman dan menyertai Republik Poland Kedua yang baru ditubuhkan pada masa itu. Pada 15 Ogos 1919, pengawal sempadan Jerman membunuh 10 orang awam dalam satu pertikaian buruh di lombong Mysłowice, mencetuskan protes pekerja-pekerja lombong berbangsa Poland di Silesia, dengan lebih kurang 140,000 orang pekerja bermogok. Kerajaan Republik Weimar mengerahkan tentera untuk mematahkan mogok. Pemberontakan Silesia Pertama ditumpaskan pada 26 Ogos 1919, dengan lebih kurang 2,500 orang warga berbangsa Poland dihukum gantung atau tembak. Pada 19 hingga 25 Ogos 1920, Pemberontakan Silesia Kedua tercetus apabila golongan pro-Jerman menyerang orang berbangsa Poland di Silesia Hulu. Pemberontak ini diredakan selepas campurtangan tentera luar dan rundingan pelbagai pihak.  Pemberontakan Silesia Ketiga tercetus pada 2 Mei 1921 di bawah pimpinan Wojciech Korfanty. Tentera pemberontak menguasai banyak kawasan di Silesia Hulu. Di bawah campurtangan tentera kuasa besar, pemberontak dan Jerman mencapai persetujuan gencatan senjata.

Mogok Pekerja Keluli 1919

Lebih 350,000 orang pekerja keluli mula bermogok di seluruh negara Amerika Syarikat pada 22 September 1922, untuk menuntut gaji lebih tinggi, kerja 8 jam sehari dan pengiktirafan kesatuan sekerja. Mogok yang dianjurkan oleh Persatuan Gabungan Pekerja-pekerja Besi, Keluli dan Timah (AA) ini menemui kegagalan dan tamat pada 8 Januari 1920.

Mogok Lombong Arang Batu 1919

Kesatuan United Mine Workers yang dipimpin oleh John L. Lewis melancarkan mogok pekerja lombong arang batu pada 1 November 1919, dengan penyertaan 400,000 orang pekerja di seluruh Amerika Syarikat. Presiden Woodrow Wilson mendapat satu injunksi mahkamah untuk menghalang mogok, dan Lewis yang patuh padanya dengan memberitahu pada akar umbi kesatuan bahawa “kita tidak boleh melawan Kerajaan”. Pemogok-pemogok tidak mempedulikan Lewis dan meneruskan mmogok sehingga satu persetujuan dicapai dengan Kerajaan pada 10 Disember 1919 untuk menamatkan mogok.

Mogok Umum Berlin 1920

Mogok besar-besaran oleh pekerja-pekerja di Berlin berjaya menewaskan kudeta oleh golongan nasionalis pelampau kanan yang cuba menjatuhkan Kerajaan Republik Weimar di Jerman pada bulan Mac 1920.

Pemberontakan Ruhr (1920)

Bermula dengan mogok umum di wilayah Ruhr, Jerman, pada 13 Mac 1920, yang bertujuan untuk mempertahankan Kerajaan Republik Weimar daripada cubaan kudeta golongan nasionalis pelampau kanan, aksi protes pekerja kemudiannya berkembang menjadi pemberontakan pekerja untuk mewujudkan “pemerintahan proletariat”. Pekerja-pekerja yang berhaluan kiri menubuhkan “Tentera Merah Ruhr”. Pemberontakan pekerja ini ditewaskan oleh Tentera Jerman dan kumpulan bersenjata berhaluan kanan pada bulan April 1920, dengan lebih kurang 1,000 orang pekerja dibunuh secara kejam oleh pihak berkuasa.  

Pemberontakan Iraq (1920)

Rakyat Iraq mula mengadakan demonstrasi di Baghdad pada bulan Mei 1920, untuk membantah pendudukan British di Iraq. Pada bulan Jun 1920, tercetus pemberontakan bersenjata oleh rakyat Iraq terhadap kekuasaan British. Masyarakat Sunni dan Syiah telah bersatu tanpa mengira mazhab dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Iraq daripada pemerintahan British dan pembentukan sebuah kerajaan Arab. Masyarakat Kurdi di Utara Iraq juga melancarkan pemberontakan terhadap kekuasaan British untuk memperjuangkan kemerdekaan. Kerajaan British mengerahkan tentera dari tempat lain, termasuk menghantar tentera udara, untuk menghancurkan pemberontakan ini. Pemberontakan di kebanyakan tempat ditewaskan pada bulan Oktober 1920, tetapi masih terdapat penentangan yang berlaku sehingga tahun 1922. Pemberontakan ini walaupun tidak berjaya, tetapi telah memaksa Kerajaan British untuk mengubahsuai strateginya di Iraq, dengan memberikan kuasa autonomi yang lebih besar kepada Iraq.

Gerakan Tidak Bekerjasama (1920-1922)

Berikutan pembunuhan beramai-ramai di Jallianwala Bagh, Amritsar, Punjab, pada 13 April 1919, rakyat India melancarkan Gerakan Tidak Bekerjasama dari bulan September 1920 hingga Februari 1922, di bawah pimpinan Mahatma Gandhi. Gerakan ini bertujuan untuk menentang pemerintahan British dengan cara yang bukan keganasan. Gandhi menyeru pada rakyat India supaya jangan membeli barangan British, menggunakan barangan kraftangan tempatan, jangan membayar cukai, jangan belajar di sekolah kerajaan, jangan pergi ke mahkamah, jangan menjadi penjawat awam, dan sebagainya. Gerakan ini mendapat sokongan daripada jutaan rakyat dan menggegarkan pemerintahan British. Selepas berlakunya peristiwa pertempuran ganas antara polis dengan demonstran pada 5 Februari 1922 di pekan Chauri Chaura di Uttar Pradesh, Gandhi menamatkan gerakan ini dengan alasan tidak mahu pemberontakan bukan keganasan ini bertukar menjadi konflik keganasan yang meragut nyawa orang awam. Gandhi ditangkap pada bulan Mac 1922 dan dihukum penjara selama 6 tahun kerana menerbitkan bahan-bahan bersifat menghasut.

Pemberontakan Husino (1920)

7,000 orang pekerja lombong dari Tuzla, Breza dan Zenica, di wilayah tengah Bosnia yang diperintah oleh Negara Beraja Yugoslavia pada masa itu, menyertai aksi mogok di kampung Husina yang terletak di Tuzla. Pekerja-pekerja lombong menuntut kenaikan gaji sebanyak 30-45% untuk menghadapi inflasi yang teruk. Kerajaan tempatan mengerahkan tentera dan polis untuk memaksa pekerja-pekerja supaya kembali bekerja. Pekerja-pekerja melawan balik dan tercetus pertempuran. 7 orang pekerja terbunuh dan lebih 400 orang pekerja ditahan.

Mogok Umum Romania 1920

Lebih 400,000 orang pekerja industri mengambil bahagian dalam mogok besar-besaran di seluruh negara Romania pada 20-28 Oktober 1920. Tuntutan pekerja termasuk pengiktirafan jawatankuasa pekerja kilang, penyahtenteraan syarikat perindustrian, pemansuhan darurat, penghapusan penapisan dan penggubalan undang-undang baharu berkenaan pertikaian buruh. Kerajaan Romania mengerahkan tentera untuk mematahkan mogok ini dan ramai pemimpin pekerja dihukum penjara.

Perang Rif (1921-1926)

Masyarakat suku kaum Berber di wilayah pergunungan Rif di utara Maghribi yang dipimpin oleh Abd al-Karim memberontak terhadap tentera penjajah Sepanyol dan menubuhkan Republik Rif. Tentera Rif pada awalnya Berjaya menewaskan tentera Sepanyol dengan menggunakan taktik perang gerila dan merampas senjata tentera Sepanyol. Perancis turut mencampurtangan pada tahun 1925 dengan pengerahan jumlah tentera yang besar. Abd al-Karim menyerah diri kepada Perancis pada tahun 1926 dan dibuang negeri ke pulau Réunion. Republik Rif dibubarkan oleh tentera Sepanyol dan Perancis.

Pemberontakan Kronstadt (1921)

Ketika berlakunya Perang Saudara Rusia (1917-1923), kelasi-kelasi, askar-askar dan orang awam di Kronstadt, Pulau Kotlin, yang terletak tidak jauh dari Petrograd, memberontak untuk menentang Kerajaan Bolshevik. Pemberontak menuntut kebebasan bersuara, pilihanraya soviet yang baharu, hak untuk berhimpun, pembebasan tahanan politik (golongan sosialis bukan Bolshevik, pekerja, petani, askar dan kelasi yang datang daripada kelas pekerja), penghapusan kawalan politik Bolshevik terhadap tentera, dan sebagainya. Kerajaan Soviet Rusia mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan di Kronstadt selepas berunding dengan pemberontak untuk seketika. Pemberontakan ini merupakan salah satu faktor Kerajaan Soviet Rusia menggantikan dasar ekonomi “Komunisme Perang” dengan “Dasar Ekonomi Baharu”.

Revolusi Mongolia 1921

Mongolia Luar mencapai kemerdekaan pada tahun 1911 selepas kejatuhan Dinasti Qing. Pada tahun 1917 selepas Revolusi Rusia, Republik China cuba menguasai semula Mongolia Luar dengan menghantar tentera untuk ditempatkan di Mongolia Luar. Kerajaan Mongolia Luar menandatangani satu perjanjian yang menghapusan kuasa autonomi Mongolia pada tahun 1919. Parti Rakyat Mongolia ditubuhkan pada bulan Jun 1920 di bawah bantuan Kerajaan Soviet Rusia. Tentera Putih Rusia menawan ibu negara Mongolia, Khüree (Ulaanbaatar sekarang), dan memulihkan Kerajaan Bogd Khan. Parti Rakyat Mongolia melancarkan revolusi dengan bantuan Tentera Merah Rusia. Pada 18 Mac 1921, Tentera Rakyat Mongolia menewaskan tentera China dan menawan Kyakhta. Pada bulan Mei 1921, gabungan Tentera Rakyat Mongolia dan Tentera Merah Rusia menewaskan Tentera Putih Rusia. Tentera revolusioner memasuki bandar Khüree pada 6 Julai 1921, dan Parti Rakyat Mongolia mengisytihar kemerdekaan Mongolia pada 11 Julai 1921. Parti Rakyat Mongolia menubuhkan kerajaan baharu tetapi mengekalkan Bogd Khan sebagai Ketua Negara atas nama. Selepas Bodg Khan meninggal dunia, sistem raja berperlembagaan dihapuskan dan Republik Rakyat Mongolia diisytihar pada tahun 1924.

Pemberontakan Malabar (1921)

Golongan Mappila (salah satu komuniti Muslim di Kerala) di wilayah Malabar di Selatan India mula melakukan pemerontakan dan rusuhan untuk menentang golongan tuan tanah Hindu di situ. Pada bulan Ogos 1921, oleh sebab penindasan secara keras oleh pihak berkuasa British terhadap Gerakan Khilafat di Malabar yang menimbulkan kemarahan golongan Muslim tempatan, maka tercetusnya pemberontakan yang menentang Kerajaan penjajah British dan tuan tanah Hindu. Orang Mappila menyerang dan menduduki bangunan seperti balai polis, pejabat kerajaan dan mahkamah. Kerajaan British menumpaskan pemberontakan ini dengan cara kuku besi, melalui pengisytiharan darurat dan pengerahan tentera ke kawasan yang berlaku rusuhan.

Pertempuran Gunung Blair (1921)

Pekerja-pekerja lombong di Daerah Logan, Virginia Barat, Amerika Syarikat, yang diorganisasi oleh kesatuan pekerja United Mine Workers of America, mengadakan perarakan besar-besaran menuju ke bandar Logan, untuk menentang eksploitasi pekerja dan penindasan terhadap kesatuan oleh pemilik lombong arang batu. Sheriff yang anti-kesatuan mengerahkan polis dan askar upahan untuk mendirikan sekatan demi menghalang kemaraan pekerja-pekerja lombong. Pertempuran berlaku selama 5 hari, antara 10,000 orang pekerja lombong arang batu dengan penguatkuasa dan samseng upahan majikan. Tentera Amerika Syarikat turut mencampurtangan atas arahan Presiden untuk mematahkan pemberontakan pekerja ini. Seramai 100 orang pekerja dibunuh dan ramai lagi ditahan akibat daripada penindasan pasukan bersenjata yang pro-majikan.

Mogok Pelaut Hong Kong (1922)

Pada 12 Januari 1922, setelah pihak majikan syarikat perkapalan menolak tuntutan pekerja untuk menaikkan gaji sebanyak 40%, Kesatuan Pelaut China melancarkan mogok besar-besaran dengan penyertaan 30,000 orang. Mogok ini merebak dengan cepatnya dan melumpuhkan pengangkutan laut di Hong Kong. Kerajaan penjajah British di Hong Kong mengarahkan pembubaran Kesatuan Pelaut Hong Kong secara paksa, tetapi menimbulkan simpati pekerja-pekerja lain terhadap pelaut dan mengadakan mogok umum. Jumlah pekerja yang bermogok mencecah 100,000 orang dan melumpuhkan seluruh bandar Hong Kong. Pada 4 Mac 1921, pasukan keselamatan British melepaskan tembakan ke atas ribuan pekerja bermogok yang berjalan kaki pulang ke Guangzhou melalui Shatin, sehingga membunuh 6 orang dan mencetuskan protes yang lebih hebat. Atas tekanan yang hebat, Kerajaan British mengadakan rundingan bersama dan mencapai persetujuan untuk penyelesaian konflik. Pihak majikan tunduk kepada tuntutan pekerja, dengan bersetuju untuk menaikkan gaji sebanyak 15-30%, sementara Kerajaan Hong Kong bersetuju untuk membenarkan semula operasi kesatuan pekerja, membebaskan tahanan dan membayar pampasan kepada mangsa-mangsa Tragedi Pembunuhan Shatin. Mogok hebat yang berlarutan selama 56 hari ini berakhir pada 8 Mac 1922 dengan kemenangan untuk pelaut-pelaut Hong Kong.

Mogok Hebat Landasan Keretapi (1922)

Pekerja-pekerja landasan keretapi seluruh negara Amerika Syarikat melancarkan mogok besar-besaran pada 1 Julai 1922, untuk membantah syarikat keretapi yang mengurangkan gaji pekerja. 7 daripada 16 kesatuan pekerja keretapi yang wujud pada masa itu terlibat dalam penganjuran mogok ini. Seramai 400,000 orang pekerja menyertai mogok ini. Syarikat keretapi mengupah pengganti mogok untuk mengisi tempat kerja yang dikosongkan, sementara Kerajaan mengerahkan Pengawal Nasional untuk mematahkan aksi mogok. Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam penindasan terhadap aksi mogok. Mogok ini berterusan sehingga bulan Ogos 1922 sebelum ditewaskan.

Mogok Pekerja Lombong Anyuan dan Landasan Zhuping (1922)

Kelab Pekerja Lombong Anyuan dan Landasan Keretapi Zhuping ditubuhkan pada bulan Mei 1922 di wilayah Jiangxi, China. Pada bulan September 1922, pihak pentadbiran lombong dan landasan keretapi enggan membayar gaji yang tertunggak lama dan cuba membubarkan Kelab Pekerja. Pada 14 September 1922, pekerja-pekerja lombong Anyuan melancarkan mogok untuk menuntut pengiktirafan Kelab Pekerja dan kenaikan gaji. Pihak pentadbiran lombong bersubahat dengan panglima perang tempatan untuk cuba mematahkan mogok ini. Lebih 10,000 orang pekerja yang bermogok melawan balik dan memaksa pihak pentadbiran lombong bersetuju dengan kebanyakan tuntutan pekerja. Namun, Kelab Pekerja berkenaan dibubarkan secara paksa oleh pihak berkuasa pada bulan September 1925.

Mogok Umum Itali (1922)

Pekerja-pekerja mengadakan mogok besar-besaran pada bulan Oktober 1922, demi menentang tindakan rampasan kuasa oleh Benito Mussolini melalui aksi “Perarakan ke Rom”, tetapi gagal akibat penindasan oleh golongan fasis.

Mogok Erqi (1923)

Pada 1 Februari 1923, Persekutuan Kesatuan Pekerja Landasan Keretapi Beijing-Hankou mengadakan kongres penubuhannya di bandar Zhengzhou. Pada 4 Februari 1923, lebih 20,000 pekerja di Landasan Keretapi Beijing-Hankou mengadakan mogok besar-besaran sehingga melumpuhkan laluan keretapi sepanjang lebih 2,000 km. Pada 7 Februari 1923, panglima tentera Beiyang daripada puak Zhili, Wu Peifu, mengerahkan tentera dan polis untuk mematahkan mogok pekerja secara keras. Pemimpin pekerja bermogok seperti Shi Yang dan Lin Xiangqian ditangkap, kemudiannya dihukum mati oleh pihak berkuasa. 

Pemberontakan Adwan (1923)

Perbalahan antara suku kaum Bani Sakher dan Adwan (kedua-duanya orang Badwi), membawa kepada pemberontakan suku Adwan di bawah pimpinan Sultan al-Adwan untuk menentang pemerintahan kerajaan naungan British dan Emir Abdullah I di Transjordan. Pemberontakan yang mengangkat slogan “Jordan untuk orang Jordan” ini ditumpaskan dengan cepatnya oleh pihak British yang mengerahkan tentera udaranya, dan Sultan al-Adwan bersama anaknya melarikan diri ke Syria.

Pemberontakan Khost (1924-1925)

Pada bulan Mac 1924, protes di bandar Khost yang berlarutan untuk beberapa bulan berkembang menjadi pemberontakan secara terbuka terhadap Kerajaan Afghanistan. Suku Mangal daripada kaum Pashtun memberontak di Wilayah Selatan, untuk menentang dasar-dasar pemodenan yang dilakukan oleh Raja Amanullah. Pemberontakan ini kemudian disertai oleh suku kaum Pashtun lain seperti Alikhel, Sulaimankhel, Jaji, Jadran dan Ahmadzai. Pemberontakan yang meragut nyawa seramai 14,000 orang ini berakhir pada bulan Januari 1925 dengan golongan pemberontak ditumpaskan.

Pemberontakan Sheikh Said (1925)

Di bawah kepimpinan Sheikh Said dan sekumpulan bekas askar Uthmaniyah yang dikenali sebagai “Hamidiye”, beberapa suku kaum Kurdi memberontak untuk menentang pemerintahan Republik Turki. Pemberontakan ini ditumpaskan oleh tentera Turki, dengan Sheikh Said ditangkap dan dihukum mati.

Gerakan 30 Mei (1925)

Penembakan oleh pasukan keselamatan Jepun terhadap pekerja-pekerja kilang kapas yang bermogok, mencetuskan protes jalanan di kawasan Petempatan Antarabangsa Shanghai pada 30 Mei 1925, disertai oleh ribuan pekerja, pelajar dan orang awam. Polis Perbandaran Shanghai di kawasan penguasaan British di Shangai melepaskan tembakan terhadap demonstran dan membunuh 13 orang. Pada 1 Jun 1925, pekerja-pekerja, pelajar-pelajar dan peniaga-peniaga melancarkan mogok besar-besaran yang berlarutan sekurang-kurangnya sebulan, di samping demonstrasi diadakan secara sporadik. Majlis Perbandaran Shanghai mengisytihar darurat dan menutup universiti di kawasan konsesi antarabangsa. Lebih 200,000 orang pekerja terlibat dalam mogok kerja, sementara lebih 50,000 orang pelajar memboikot kelas. Gelombang mogok yang anti-imperialis ini merebak ke tempat lain di negara China. Pada 11 Jun 1925, tentera British melepaskan tembakan terhadap demonstrasi di bandar Hankou dan mencetuskan lagi kemarahan rakyat China. Dewan Peniaga Shanghai yang mula-mulanya bermogok niaga menamatkan mogok pada 23 Jun 1925 secara sendiri. Mogok di Shanghai mula mereda pada bulan Ogos 1925 selepas golongan kapitalis luar bersetuju untuk mengiktiraf kesatuan pekerja, meningkatkan gaji, tidak memberhentikan pekerja tanpa sebab dan sebagainya.

Mogok Canton-Hong Kong (1925-1926)

Demi menyokong Gerakan 30 Mei yang anti-imperialis di Shanggai, pekerja-pekerja di Guangzhou dan Hong Kong melancarkan mogok besar-besaran pada bulan Jun 1925. Kesatuan-kesatuan pekerja di Hong Kong mengemukakan tuntutan kepada kerajaan penjajah British, termasuk penarikan balik tentera asing di Tanah Besar China, perlindungan hak untuk berhimpun, berpersatuan, bersuara dan sebagainya. Pekerja-pekerja yang bermogok pulang ke tempat berlainan di Guangdong tanpa menghiraukan halangan dan ancaman golongan penjajah. Pada 21 Jun 1925, pekerja-pekerja di Guangzhou mula bermogok. Pada 23 Jun 1925, tentera British dan Perancis di Shaji, Guangzhou, melepaskan tembakan terhadap pekerja-pekerja yang berdemonstrasi dan membunuh lebih 50 orang. Pada akhir bulan Jun 1925, jumlah pekerja yang bermogok di Guangdong dan Hong Kong mencecah 250,000 orang. Pada 6 Julai 1925, pekerja-pekerja mogok menubuhkan “Jawatankuasa Mogok Guangdong-Hong Kong” dan membentuk pasukan peronda pekerja bermogok. Makanan dilarang untuk diangkut keluar dari Hong Kong dan barangan yang melalui Hong Kong dilarang masuk, ekonomi Hong Kong dilumpuhkan. Pada musim panas tahun 1926, kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Kerajaan Kuomintang untuk melawan panglima perang Beiyang telah mengalihkan perhatian ramai orang dan mogok kerja di Selatan juga mula mereda. Jawatankuasa Mogok dibubarkan pada 10 Oktober 1926 dan mogok ditamatkan. Mogok ini berlarutan selama 1 tahun dan 4 bulan. 

Revolusi Julai Ecuador (1925)

Gonzalo Córdova yang mewakili kepentingan oligarki perbankan dan pertanian di kawasan pesisiran pantai menjadi Presiden Ecuador pada tahun 1924 selepas pilihanraya yang wujudnya penyelewengan. Oleh sebab gelombang kemarahan rakyat dan krisis ekonomi yang berterusan, sekumpulan pegawai tentera muda menubuhkan sebuah gabungan dan melancarkan rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada bulan Julai 1925 untuk menjatuhkan rejim Córdova.

Pemberontakan Syria Besar (1925-1927)

Perancis menguasai Syria sebagai jajahan Mandatnya sejak tamat Perang Dunia I. Pada 23 Ogos 1925, Sultan Pasha al-Atrash, seorang pemimpin masyarakat Duruzi, mengisytihar revolusi untuk menentang Perancis. Pemberontakan yang tercetus di bahagian selatan Syria ini merebak dengan cepatnya ke Damascus, Homs, Hama, Tanah Tinggi Golan dan Selatan Lubnan. Perancis mengerahkan tentera tambahan dari Maghribi dan Senegal untuk mematahkan pemberontakan ini. Tentera Perancis menguasai semula semua tempat yang ditawan pemberontak pada tahun 1927.

Mogok Umum United Kingdom 1926

Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) di United Kingdom mengadakan mogok umum pada 3 hingga 12 Mei 1926, untuk mendesak Kerajaan Britain supaya mengelakkan pengurangan gaji dan kemerosotan keadaan kerja bagi pekerja-pekerja lombong arang batu. Lebih 1.7 juta orang pekerja terlibat dalam mogok selama 9 hari ini. Mogok ini hampir menyebabkan kejatuhan kerajaan kelas kapitalis di United Kingdom, tetapi pemimpin TUC berundur pada saat-saat genting dan menyebabkan mogok yang hebat ini menemui kegagalan.

Pemberontakan Indonesia 1926

Pada bulan Mei 1925, Komunis Internasional (Comintern) mengarahkan Parti Komunis Indonesia (PKI) membentuk fron bersatu anti-imperialis dengan organisasi nasionalis yang bukan komunis. Golongan yang radikal dalam PKI pula menyeru untuk menjatuhkan kerajaan penjajah Belanda dengan cara revolusi. PKI pada awalnya merancang untuk memulakan revolusi di Padang, Sumatera, tetapi kerajaan penjajah Belanda mula menyekat perkembangan kuasa kiri dengan membatalkan hak kebebasan berhimpun dan menangkap ahli-ahli PKI. Perpecahan pendapat dalam kalangan kepimpinan PKI tentang revolusi menangguhkan rancangan revolusi. Pada bulan November 1926, pemberontakan tercetus di Batavia (Jakarta sekarang), tetapi dipatahkan dalam tempoh dua hari sahaja. Pemberontakan yang serupa juga berlaku di Padang, Banten dan Surabaya. Revolusi ini ditewaskan dalam tempoh beberapa minggu dengan ramai orang ditahan. Kerajaan Hindia Timur Belanda mengharamkan PKI pada tahun 1927.

Pemberontakan Nanchang (1927)

Berikutan peristiwa pembunuhan beramai-ramai terhadap anggota parti komunis oleh Kuomintang pada bulan April 1927, Barisan Bersatu Pertama yang dibentuk antara Parti Komunis China dengan Kuomintang mengalami perpecahan. Tentera di bandar Nanchang di bawah pimpinan He Long dan Zhou Enlai melancarkan pemberontakan pada 1 Ogos 1927 untuk menentang Kuomintang dan cuba menguasai bandar tersebut. Tentera Parti Komunis China menguasai Nanchang untuk 3 hari sebelum berundur akibat daripada serangan tentera Kuomintang. Pemberontakan ini menandakan permulaan Perang Kuomintang-Komunis Pertama (1927-1937).

Pemberontakan Menuai Musim Luruh (1927)

Anggota-anggota Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong melancarkan pemberontakan di wilayah Hunan dan Jiangxi, untuk menentang pemerintahan Kuomintang. Soviet Hunan ditubuhkan tetapi hanya bertahan untuk 2 bulan sebelum ditewaskan oleh tentera Kuomintang. Tentera pemberontak Parti Komunis China berundur ke kawasan pergunungan Jinggang. 

Pemberontakan Ararat (1927-1930)

Pada bulan Oktober 1927, masyarakat Kurdi di wilayah Ağrı di bahagian timur Turki yang dipimpin oleh Ihsan Nuri memberontak menentang pemerintahan Turki dan mengisytiharkan penubuhan “Republik Ararat”. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Turki pada tahun 1930.

Pemberontakan Sandino (1927-1933)

Tentera Amerika Syarikat mula menduduki Nicaragua pada tahun 1912. Pada tahun 1927, Augusto César Sandino melancarkan pemberontakan dan menjalankan perang gerila terhadap kerajaan Nicaragua yang konservatif. Tentera pemberontak juga menentang tentera Amerika Syarikat. Pemberontakan Sandino memaksa tentera Amerika Syarikat berundur keluar dari Nicaragua pada tahun 1933.

Pemberontakan Guangzhou (1927)

Anggota-anggota Parti Komunis China melancarkan pemberontakan di bandar Guangzhou pada 11 Disember 1927 untuk menentang pemerintahan Kuomintang. Pemberontak menubuhkan Kerajaan Soviet Guangzhou, tetapi ditewaskan pada 13 Disember 1927.

Pemberontakan Bhagat Singh (1928-1931)

Persatuan Republikan Sosialis Hindustan (HSRA) ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Chandrasekhar Azad, Bhagat Singh, Sukhdev Thapar and beberapa orang lagi. Bhagat Singh memimpin satu pemberontakan terhadap pemerintahan British di India pada tahun 1928. Bhagat Singh ditangkap pada tahun 1929 dan dihukum mati pada tahun 1931. 

Perang Wanita (1929-1930)

Protes tercetus apabila ribuan wanita masyarakat suku kaum Igbo dari wilayah Bende, Umuahia dan tempat lain di Timur Nigeria menjelajah ke pekan Oloko untuk membantah golongan Ketua Waran yang dilantik oleh pihak penjajah British, kerana tindakan mereka yang menyekat penglibatan wanita dalam kerajaan. Protes ini turut disertai oleh wanita daripada suku kaum yang lain seperti Ibibio, Adoni, Orgoni, Bonny dan Opobo. Sebanyak 16 buah mahkamah masyarakat orang asal diserang, dan ramai Ketua Waran terpaksa meletak jawatan. Kerajaan penjajah British memansuhkan sistem Ketua Waran pada tahun 1930, dan melantik wanita ke dalam sistem mahkamah orang asal.

Revolusi Brazil 1930

Selepas calon Pakatan Liberal, Getúlio Vargas, gagal memenangi Pilihanraya Presiden Brazil pada 1 Mac 1930, golongan elit politik di negeri Minas Gerais, Paraíba dan Rio Grande do Sul bergabung untuk melancarkan rampasan kuasa yang menggulingkan Presiden Brazil pada masa itu, Washington Luís, pada 24 Oktober 1930 sambil menghalang perlantikan presiden baharu Júlio Prestes yang dipilih. Rampasan kuasa ini membolehkan Vargas memimpin kerajaan baharu dan menandakan pengakhiran pemerintahan “Republik Lama”.

Pemberontakan Yên Bái (1930)

Askar-askar Vietnam daripada tentera penjajah Perancis memberontak pada 10 Februari 1930 dengan sokongan daripada ahli-ahli Parti Nasionalis Vietnam (VNQDĐ) yang menceroboh kem tentera di Yên Bái yang terletak di timur laut Vietnam. Pemberontakan ini dipatahkan dalam tempoh 24 jam oleh pihak penjajah Perancis. Pemimpin utama VNQDĐ ditangkap, dibicarakan dan dihukum mati.

Perarakan Garam (1930)

Mahatma Gandhi dan penyokongnya melancarkan “Satyagraha Garam” (penentangan tanpa menggunakan kekerasan) dengan perarakan selama 24 hari dari 12 Mac hingga 6 April 1930 di Gujarat, untuk menolak cukai garam yang diperkenalkan oleh kerajaan penjajah British dan membantah monopoli British dalam perniagaan garam. Aksi ini mencetuskan ketidakpatuhan sivil massa di seluruh India dengan jutaan orang melanggar undang-undang garam dengan membuat garam sendiri atau membeli garam yang dikatakan haram di sisi undang-undang. Ghandi ditangkap pada awal bulan Mei 1930, sementara aksi perarakan di Dharasana dipukul secara keras oleh askar British. Satyagraha menentang cukai garam berlarutan hampir setahun sehingga Ghandi dibebaskan dari penjara. Lebih 60,000 orang dipenjarakan kerana terlibat dalam Satyagraha Garam.

Revolusi Pendukung Perlembagaan (1932)

Selepas 4 orang pelajar yang berprotes dibunuh oleh tentera kerajaan Brazil pada bulan Mei 1932, tercetusnya satu gerakan dipanggil MMDC (daripada huruf pertama 4 orang pelajar yang dibunuh, iaitu Martins, Miragaia, Dráusio dan Camargo). Rakyat di negeri São Paulo memberontak pada 9 Julai 1932 dengan tujuan mendesak kerajaan Brazil pimpinan Getúlio Vargas supaya mematuhi Perlembagaan, tetapi berkembang menjadi pemberontakan untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan Brazil. Walaupun pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera Brazil, sebahagian tuntutan gerakan ini ditunaikan oleh Vargas kemudiannya seperti perlantikan Gabenor negeri yang bukan pegawai tentera, pilihanraya untuk Perhimpunan Perlembagaan dan penggubalan Perlembagaan baharu pada tahun 1934.

Pemberontakan Petani Salvador 1932

Masyarakat orang asli dan petani di wilayah-wilayah barat El Salvador yang dipimpin oleh Farabundo Martí melancarkan pemberontakan pada 22 Januari 1932, untuk menentang kerajaan diktator Maximiliano Hernández Martínez yang berkuasa melalui kudeta. Tentera Kerajaan menggunakan kekerasan yang hebat untuk mematahkan pemberontakan ini dan membunuh ramai orang. Dianggarkan seramai 10,000 hingga 40,000 orang dibunuh, termasuk Farabundo Martí.

Revolusi Siam 1932

Sekumpulan pegawai tentera dan orang awam yang membentuk Parti Rakyat (Khana Ratsadon), parti politik pertama dalam sejarah Thailand, melancarkan rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 24 Jun 1932, menamatkan sistem pemerintahan raja mutlak di Siam, dan menggantikannya dengan sistem demokrasi raja berperlembagaan. Rampasan kuasa ini juga melahirkan Perlembagaan Thailand yang pertama.

Revolusi Trujillo (1932)

Pakatan Revolusioner Popular Amerika – Parti Aprista Peru, sebuah parti yang mendukung fahaman anti-imperialisme, Pan-Amerikanisme, solidariti antarabangsa dan nasionalisme ekonomi, yang dipimpin oleh Víctor Raúl Haya de la Torre, ditubuhkan pada tahun 1924. Pada bulan Julai 1932, Manuel Barreto, seorang anggota Aprista, melancarkan pemberontakan di bandar Trujillo untuk menentang Presiden Luis Miguel Sánchez Cerro yang berkuasa secara kuku besi. Pemberontakan ditewaskan oleh kerajaan Peru.

Mogok Umum Portugal 1934

Kesatuan-kesatuan pekerja di Portugal mengadakan aksi mogok dan demonstrasi di seluruh negara itu pada 18 Januari 1934, untuk membantah perintah Kerajaan Estado Novo pimpinan António Salazar yang mengharamkan kesatuan sekerja, rundingan kolektif dan mogok.

Pemberontakan Februari (1934)

Parti Pekerja Demokratik Sosial Austria (SDAPÖ) menubuhkan pasukan separa tentera “Liga Pertahanan Republik” (Republikanischer Schutzbund) pada tahun 1923 untuk melindungi aktiviti SDAPÖ daripada ancaman puak kanan. Kerajaan berhaluan kanan pimpinan Parti Sosial Kristian menggantungkan parlimen Austria, di samping mengharamkan Republikanischer Schutzbund dan Parti Komunis Austria (KPÖ) serta mogok pekerja. Pada 12 Februari 1934, tindakan Heimwehr, pasukan separa tentera golongan nasionalis kanan, yang cuba menyita premis SDAPÖ, mencetuskan penentangan dan pemberontakan Republikanischer Schutzbund. Pertempuran antara golongan kiri yang memberontak dengan golongan kanan berlaku di bandar seperti Linz, Vienna, Graz, Bruck an der Mur, Judenburg, Wiener Neustadt dan Steyr. Pertempuran berlarutan selama 4 hari sebelum ditumpaskan oleh tentera Austria.

Mogok Pekerja Lombong Asturias 1934

Golongan sosialis dan anarkis di Asturias melancarkan mogok pada 4 Oktober 1934 untuk menentang kemasukan parti berhaluan kanan, Konfederasi Kanan Autonomi Sepanyol (CEDA), ke dalam Kerajaan Sepanyol. Pekerja-pekerja lombong di Asturias menduduki bandar Oviedo, ibu kota wilayah itu. Pemberontakan ini bertahan untuk selama 2 minggu, tetapi ditumpaskan oleh tentera yang dipimpin oleh pegawai berhaluan kanan seperti Francisco Franco. Mogok ini merupakan sebahagian daripada “Revolusi 1934”, iaitu gelombang mogok revolusioner yang melanda Sepanyol dari 5 hingga 19 Oktober 1943.

Peristiwa 6 Oktober (1934)

Pada 6 Oktober 1934, Lluís Companys selaku Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Catalonia mengisytiharkan penubuhan Negara Catalonia, sebagai reaksi kepada kemasukan golongan konservatif ke dalam Kerajaan Sepanyol. Mogok umum turut diadakan di Catalonia pada hari itu. Kerajaan Sepanyol mengisytihar darurat secara serta-merta dan mengerahkan tentera untuk menyerang bangunan Kerajaan Catalonia sehingga memaksa Companys menyerah diri pada 7 Oktober 1934.

Mogok Auto-Lite (1934)

American Federation of Labor (AFL) dan American Workers Party (AWP) mengadakan mogok pada 12 April hingga 3 Jun 1934, untuk menuntut hak berkesatuan daripada syarikat pengeluar palam pencucuh elektrik Auto-Lite di bandar Toledo, negeri Ohio, Amerika Syarikat. Pada 23 Mei 1934, tercetusnya pertempuran selama 5 hari antara 10,000 orang pemogok dengan Pengawal Nasional Ohio, dan menyebabkan 2 orang pemogok mati. Mogok berakhir dengan kesatuan sekerja diiktiraf oleh pihak majikan dan pekerja yang dibuang kerja sebelum itu dipulihkan kerja. 

Mogok Kawasan Dermaga Pantai Barat (1934)

Pekerja-pekerja pelabuhan dan pelaut-pelaut di pelabuhan-pelabuhan sepanjang Pantai Barat Amerika Syarikat mengadakan mogok besar-besaran untuk menuntut hak penubuhan kesatuan sekerja, pada 9 Mei hingga 31 Julai 1934. Pada 5 Julai 1934, berlakunya peristiwa “Hari Khamis Berdarah” apabila polis di San Francisco menyerang pemogok-pemogok secara ganas dan 2 orang pekerja mati pada hari itu. Kesatuan-kesatuan pekerja di San Francisco mengadakan mogok selama 4 hari bermula pada 16 Julai 1934, dengan penglibatan lebih kurang 150,000 orang pekerja. Aksi mogok yang berlarutan selama 83 hari ini membolehkan pekerja-pekerja di semua pelabuhan di Pantai Barat Amerika Syarikat dapat membentuk kesatuan. 

Mogok Umum Minneapolis 1934

Kesatuan Teamster mengadakan mogok pada 16 Mei hingga 22 Ogos 1934, untuk memperjuangkan hak berkesatuan daripada syarikat-syarikat pengangkutan trak yang beroperasi di Minneapolis, Amerika Syarikat. Liga Komunis Amerika memainkan peranan penting dalam penganjuran aksi mogok ini. Pada 20 Julai 1934, berlakunya peristiwa “Hari Jumaat Berdarah”, apabila polis menembak pemogok dan membunuh 2 orang. Mogok berakhir dengan pengiktirafan kesatuan pekerja.

Pemberontakan Syiah Iraq (1935-1936)

Oleh sebab suku-suku Syiah di kawasan tengah Euphrates tidak berpuas hati dengan peminggiran golongan Syiah dalam Kerajaan Iraq yang didominasi golongan Sunni, tambahan pula dengan pemimpin utama Syiah dikecualikan daripada pilihanraya parlimen Iraq pada tahun 1934, rusuhan mula berlaku pada bulan Januari 1935, kemudiannya mencetuskan siri pemberontakan golongan Syiah yang menentang pemerintahan Bani Hashim di Iraq. Kerajaan Iraq mengerahkan tentera untuk mematahkan secara kejam pemberontakan Syiah ini.

Pemberontakan Yazidi 1935

Orang Yazidi di kawasan pergunungan Sinjar memberontak pada bulan Oktober 1935, untuk menentang sistem pengerahan paksa untuk menyertai tentera yang diperkenalkan oleh Kerajaan Iraq. Kerajaan Iraq mengisytihar darurat untuk seluruh kawasan pergunungan Sinjar dan menghantar tentera untuk menumpaskan pemberontakan ini.

Mogok Umum Syria 1936

Berikutan tindakan pihak berkuasa Perancis menutup pejabat Blok Nasional, parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan Syria daripada kekuasaan Perancis, dan menangkap dua orang pemimpin nasionalis daripada parti itu, Blok Nasional melancarkan mogok pada 20 Januari 1936, untuk membantah dasar-dasar yang diamalkan oleh Kerajaan Mandat Perancis di Syria dan Lubnan. Aksi mogok ini telah melumpuhkan seluruh Syria untuk hampir 2 bulan, dan memaksa pihak Perancis untuk mengadakan rundingan dengan Blok Nasional yang menghasilkan Perjanjian Kemerdekaan Perancis-Syria pada bulan September 1936.

Revolusi Februari (1936)

Satu kudeta tentera berlaku pada 17 Februari 1936 dan membolehkan kolonel Rafael Franco yang dibuang negeri sebelum itu kembali ke Paraguay untuk berkuasa. Rampasan kuasa ini menamatkan pemerintahan Parti Liberal yang penuh dengan kekecohan. Kerajaan Franco melaksanakan banyak pembaharuan, termasuk reformasi tanah dan reformasi buruh. Namun, Franco digulingkan dalam satu kudeta oleh golongan kanan dalam tentera pada tahun 1937. 

Pemberontakan Arab Palestin 1936-1939

Masyarakat Arab di Mandat Palestin yang dikuasai British, memberontak untuk menuntut kemerdekaan Palestin dan penghapusan dasar yang membolehkan penghijrahan besar-besaran orang Yahudi ke Palestin. Pemberontakan tercetus berikutan pembunuhan Izz ad-Din al-Qassam, seorang tokoh nasionalis Arab yang anti-Zionis, oleh pihak British pada tahun 1935, dan pengisytiharan oleh Amin al-Husseini, Mufti Besar Jerusalem pada masa itu, bahawa 16 Mei 1936 disambut sebagai “Hari Palestin” serta seruan untuk mogok umum. Fasa pertama pemberontakan melibatkan aksi mogok dan protes politik di kawasan bandar. Mogok besar-besaran mula tercetus di bandar Nablus pada bulan April 1936. Orang Arab di Haifa, Jenin, Tulkarm dan Jerusalem turut menubuhkan jawatankuasa mogok. Kerajaan British menggunakan tekanan politik-ekonomi, diplomasi antarabangsa (melibatkan pemerintah Iraq, Arab Saudi, Transjordan dan Yaman), kompromi politik dengan pemimpin masyarakat Arab dan tindakan keras untuk menewaskan gelombang mogok ini. Aksi mogok ini berlarutan sehingga bulan Oktober 1936, diikuti dengan fasa kedua pemberontakan yang melibatkan gerakan penentangan secara keganasan daripada golongan petani. Pemberontakan ini dipatahkan secara kejam oleh Tentera British dan Pasukan Polis Palestin yang menggunakan kaedah yang represif. 

“Sosialisme Tentera” Bolivia (1936-1939)

Kolonel David Toro menjadi Presiden Bolivia selepas kudeta tentera yang dipimpin oleh Major Germán Busch menggulingkan kerajaan pimpinan José Luis Tejada pada bulan Mei 1936. David Toro memulakan era pembaharuan di Bolivia yang dikenali sebagai “Sosialisme Ketenteraan”, dengan langkah-langkah seperti pemiliknegaraan semua pegangan harta syarikat Standard Oil di Bolivia dan penggubalan undang-undang buruh yang progresif. Germán Busch yang disokong oleh pegawai tentera yang lebih radikal merampas kuasa pada tahun 1937, dan menggubal perlembagaan baharu pada tahun 1938, yang menekankan keutamaan harta awam berbanding harta persendirian, di samping mendukung campurtangan kerajaan dalam hubungan sosial dan ekonomi. Busch cuba mencabar pemilik lombong tetapi tidak berjaya. Busch membunuh diri pada tahun 1939 selepas mendapati gagal membawa perubahan.

Revolusi Sepanyol (1936)

Selepas golongan Republikan menang dalam pilihanraya tempatan di Sepanyol pada tahun 1931, Raja Alfonso XIII melarikan diri ke luar negara, dan kerajaan sementara menubuhkan Republik Sepanyol Kedua (1931-1939). Pemimpin tentera berhaluan kanan, Francisco Franco, melancarkan kudeta pada 17 Julai 1936 dan mencetuskan Perang Saudara Sepanyol (1936-1939). Ketika tercetusnya Perang Saudara, golongan kiri di Sepanyol melancarkan revolusi. Golongan pekerja telah menguasai ekonomi Sepanyol ketika revolusi dengan pelaksanaan dasar sosialis dan anarkis, khususnya di Catalonia, Aragon, Andalusia dan Velencia. 75% ekonomi di Catalonia dikawal oleh pekerja. Kilang-kilang diuruskan oleh jawatankuasa pekerja, tanah pertaniah dikawal oleh komun, malah hotel, kedai gunting rambut, restoran dan sebagainya juga dikolektifkan dan diuruskan sepenuhnya oleh pekerja. Lebih 10 juta orang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Revolusi Sepanyol. Revolusi ini berakhir selepas golongan Republikan ditewaskan dalam Perang Saudara Sepanyol.

Pemberontakan Dersim (1937-1938)

Masyarakat Kurdi di wilayah Dersim melancarkan pemberontakan pada bulan Mac 1937, di bawah kepimpinan Seyid Riza, seorang pemimpin bangsa Zaza Alevi, untuk menentang pemerintahan Kerajaaan Turki. Kerajaan Turki mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan ini. Seyid Riza ditangkap semasa menghadiri rundingan damai dan kemudiannya dihukum mati. Pemberontakan ini ditumpaskan dan lebih 13,000 orang Kurdi yang kebanyakannya orang awam dibunuh oleh tentera Turki.

Mogok Kajang (1937)

Kesatuan Pekerja-pekerja Getah (RWU) Selangor dan Negeri Sembilan ditubuhkan dan diikuti dengan pembentukan Jawatankuasa Mogok Kajang pada bulan Mac 1937. Pada 7 Mac 1937, Jawatankuasa Mogok Kajang mengemukakan 19 tuntutan pekerja ladang kepada pihak majikan Ladang Bangi, Ladang Connemara dan Ladang Rinching. Tuntutan pekerja termasuklah kadar gaji minimum tetap $1 sehari ataupun kenaikan gaji sebanyak 50%, penambahbaikan keadaan perumahan, rehat kerja pada cuti umum, faedah kesihatan yang dibayar oleh majikan dan sebagainya. Pekerja-pekerja ladang getah di Selatan Selangor melancarkan mogok apabila pihak majikan enggan melaksanakan tuntutan pekerja. Aksi mogok ini mencapai kemuncak pada 22 Mac 1937, dengan lebih kurang 20,000 orang pekerja ladang di Selangor dan Negeri Sembilan bermogok. Pihak berkuasa bertindak dengan menangkap pemimpin-pemimpin pekerja.

Mogok Batu Arang (1937)

Pekerja-pekerja lombong di pekan Batu Arang, Selangor, mengadakan aksi mogok pada 24-27 Mac 1937. Lebih kurang 6,000 orang pekerja menyertai mogok untuk membantah gaji rendah dan keadaan kerja yang teruk. Pekerja-pekerja menuntut kenaikan gaji sebanyak 50%, kerja 8 jam sehari, pampasan untuk pekerja yang cedera, peruntukan pejabat kepada kesatuan pekerja, larangan untuk majikan memberhentikan pekerja sewenang-wenang dan pembebasan pekerja yang ditahan polis. Pekerja-pekerja menduduki kawasan lombong dan menubuhkan majlis pekerja. Kerajaan penjajah British di Malaya mengerahkan polis untuk mematahkan aksi mogok ini, menyebabkan 2 orang dibunuh dan 116 orang ditahan.

Perang Menentang Jepun (1937-1945)

Jepun menceroboh bahagian Timur Laut China dan menubuhkan kerajaan boneka di situ pada tahun 1931. Pada 7 Julai 1937, pihak Jepun menggunakan Peristiwa Jambatan Marco Polo di Beijing untuk mengisytihar perang terhadap China dan melancarkan pencerobohan secara menyeluruh. Kuomintang dan Parti Komunis China yang terlibat dalam perang saudara sebelum itu berdamai dan menubuhkan Barisan Bersatu Kedua untuk menentang Jepun. Penentangan rakyat China terhadap pencerobohan Jepun berlarutan selama 8 tahun sehingga pihak Jepun menyerah kalah tanpa syarat pada tahun 1945.

Pemberontakan Cochinchina 1940

Parti Komunis Indochina melancarkan pemberontakan bersenjata di Selatan Vietnam pada bulan November 1940, untuk menentang pendudukan kuasa penjajah Perancis dan Jepun pada masa itu, namun ditewaskan tidak lama kemudian.

Mogok Februari (1941)

Ketika Perang Dunia II, di Belanda yang diduduki oleh Jerman Nazi, Parti Komunis Belanda yang diharamkan pada masa itu melancarkan mogok besar-besaran pada 25 Februari 1941, untuk menentang tindakan pihak Jerman Nazi yang mengamalkan dasar anti-Yahudi dan menindas orang Yahudi di Belanda. Mogok dimulakan di bandar Amsterdam, dan merebak ke bandar yang lain. Seramai 300,000 orang menyertai mogok pada 26 Februari 1941. Polis Jerman mematahkan kebanyakan aksi mogok pada 27 Februari 1941. Mogok ini merupakan aksi protes menentang Nazi yang pertama di Eropah yang diduduki Jerman Nazi, dan satu-satunya protes massa menentang penindasan terhadap orang Yahudi pada masa itu yang dianjurkan oleh orang bukan Yahudi.

Mogok Klang 1941

Pekerja-pekerja ladang di Daerah Klang, Selangor, mengadakan siri aksi mogok pada bulan Februari hingga Mei 1941, dengan membawa tuntutan seperti gaji yang samarata tanpa mengira kaum, penyingkiran kakitangan pengurusan ladang yang menindas pekerja, memberhentikan gangguan seksual, penutupan kedai todi, pendidikan bagi anak pekerja, kebebasan bersuara, hak untuk membentuk kesatuan dan sebagainya. Pihak majikan bersama dengan kerajaan penjajah British menggunakan pelbagai tindakan keras, termasuk penahanan pemimpin pekerja, untuk mematahkan gelombang mogok ini.

Perang Pembebasan Rakyat Yugoslavia (1941-1945)

Kuasa Paksi yang diketuai oleh Jerman Nazi menakluk Yugoslavia pada bulan April 1941. Tentera Pembebasan Nasional Yugoslavia yang diorganisasikan oleh Parti Komunis Yugoslavia, dengan Josip Broz Tito sebagai komander, merupakan gerakan penentangan yang utama yang melancarkan perang gerila sebagai perjuangan melawan pendudukan Kuasa Paksi. Kemenangan pejuang-pejuang Partisan Yugoslavia terhadap Kuasa Paksa, membawa kepada penghapusan pemerintahan monarki Serbia di Yugoslavia dan pembentukan Republik Rakyat Persekutuan Yugoslavia pada tahun 1945.

Gerakan Penentangan Greece (1941-1944)

Pencerobohan dan pendudukan Kuasa Paksi (Jerman Nazi dan sekutunya seperti Itali dan Bulgaria) di Greece, mencetuskan gerakan penentangan di Greece. Parti Komunis Greece bersama dengan golongan berhaluan kiri yang lain menubuhkan Fron Pembebasan Nasional (EAM) pada bulan September 1941. EAM menjadi organisasi utama dalam Gerakan Penentangan Greece. EAM menubuhkan Tentera Pembebasan Rakyat Greece (ELAS) pada tahun 1942 untuk melancarkan perang gerila. Gerakan penentangan di Greece juga melibatkan gerakan protes massa di kawasan bandar. Pada 25 Mac 1942, pelajar-pelajar yang cuba meletakkan lingkaran bunga di Tugu Askar yang Tidak Dikenali di Athens bertempur dengan pasukan Carabinieri Itali. Pada 12-14 April 1942, pekerja-pekerja pos dan telekomunikasi mengadakan mogok, dan merebak ke seluruh negara, sehingga memaksa kerajaan boneka Kuasa Paksi tunduk kepada tuntutan pekerja. Pada bulan Februari 1943, gelombang mogok dan demonstrasi melumpuhkan bandar Athens. EAM berjaya menguasai kebanyakan kawasan di Greece pada penghujung tahun 1944.

Pemberontakan Hukbalahap (1942-1954)

Semasa pendudukan Jepun di Filipina, Parti Komunis Filipina menubuhkan Tentera Rakyat Menentang Jepun (Hukbo ng Bayan Laban sa Hapon, atau dikenali sebagai Hukbalahap) yang terdiri daripada kebanyakannya petani, untuk melawan tentera Jepun di Luzon Tengah. Selepas tamatnya Perang Dunia II, Hukbalahap memberontak terhadap Kerajaan Filipina pimpinan Presiden Manuel Roxas, dan berlarutan sehingga ditewaskan pada tahun 1954 semasa Ramon Magsaysay menjadi Presiden Filipina. 

Mogok Umum Luxembourg 1942

Luxembourg diceroboh dan diduduki oleh Jerman Nazi pada bulan Mei 1940. Kerajaan boneka yang ditubuhkan oleh Jerman Nazi melaksanakan dasar Jermanisasi terhadap rakyat Luxembourg dan juga pengerahan paksa anak muda ke dalam tentera. Pekerja-pekerja Luxembourg mengadakan mogok besar-besaran pada 31 Ogos 1942, bermula dari pekan Wiltz dan merebak ke seluruh negara Luxembourg. Seluruh Luxembourg dilumpuhkan oleh aksi mogok ini. Pihak berkuasa bertindak ganas untuk mematahkan mogok ini, dengan 21 orang pemogok dihukum mati.

Pemberontakan Ghetto Warsaw (1943)

Penduduk di petempatan orang Yahudi di Warsaw, Poland, yang menentang pemindahan orang Yahudi di situ ke kem penumpuan oleh pihak berkuasa Jerman Nazi yang menduduki bandar itu, melancarkan pemberontakan pada 19 April 1943. Pemberontakan ini digerakkan oleh Organisasi Pertempuran Yahudi (ŻOB) yang berhaluan kiri dan Kesatuan Ketenteraan Yahudi (ŻZW) yang berhaluan kanan. Pihak Jerman Nazi mengarahkan pembakaran kawasan petempatan orang Yahudi di Warsaw dan menghancurkan pemberontakan ini secara kejam. Seramai 13,000 orang Yahudi mati dengan separuh daripada mereka dibakar secara hidup atau mati lemas akibat wasap.

Gerakan Penentangan Itali (1943-1945)

Selepas Benito Mussolini dijatuhkan daripada kekuasaannya, tentera Jerman menyelamatkannya dan menubuhkan sebuah negara Fasis baharu di Utara Itali. Parti Komunis Itali yang menentang kekuasaan Fasis sejak tahun 1920-an, bergabung dengan parti-parti politik yang lain untuk membentuk Jawatankuasa Pembebasan Nasional (Comitato di Liberazione Nazionale, CLN). CLN menyusun perjuangan bersenjata untuk melawan tentera Jerman Nazi dan kerajaan bonekanya. Partisan Itali melancarkan pemberontakan di kawasan yang dikuasai tentera Jerman dan menubuhkan kerajaan-kerajaan republik partisan di seluruh wilayah pergunungan pada tahun 1944, tetapi dihancurkan oleh tentera Jerman pada akhir tahun itu. Pada bulan April 1945, CLN melancarkan pemberontakan besar-besaran, bersama-sama dengan kemaraan tentera Pihak Berikat. Di Turin dan Milan, tercetusnya mogok umum dan kemudiannya pemberontakan bersenjata yang membebaskan bandar-bandar itu daripada kekuasaan Fasis pada 25 April 1945.

Pemberontakan Warsaw (1944)

Gerakan penentangan bawah tanah Poland yang diterajui oleh Tentera Tanahair (Armia Krajowa) melancarkan pemberontakan pada 1 Ogos 1944 untuk membebaskan Warsaw daripada pendudukan Jerman Nazi. Pemberontakan yang berlarutan selama 63 hari tanpa sokongan luar daripada Pihak Berikat ini akhirnya ditumpaskan oleh tentera Jerman. Pihak Jerman melakukan pemusnahan ke atas bandar Warsaw selepas itu.

Pemberontakan Paris (1944)

Pekerja-pekerja di Paris melancarkan mogok pada 15 Ogos 1944 untuk menentang pendudukan tentera Jerman Nazi di Perancis. Aksi mogok memuncak pada 18 Ogos 1944 dengan berlakunya mogok umum seluruh bandar Paris. Pada 19 Ogos 1944, Pasukan Dalaman Perancis yang dipimpin oleh anggota parti komunis, Henri Rol-Tanguy, melancarkan pemberontakan bersenjata dan bertempur dengan tentera Jerman di dalam bandar Paris. Tentera Pihak Berikat turut mara ke bandar Paris berikutan pemberontakan ini. Pada 25 Ogos 1944, tentera Jerman Nazi di Paris menyerah kalah.

Pemberontakan Nasional Slovak (1944)

Gerakan Penentangan Slovak melancarkan pemberontakan bersenjata di Banská Bystrica pada 29 Ogos 1944, untuk melawan tentera Jerman yang menduduki wilayah Slovakia dan menggulingkan kerajaan boneka yang disokong oleh Jerman Nazi. Walaupun pemberontakan ini ditumpaskan oleh tentera Jerman, tetapi perjuangan gerila masih berterusan sehingga Tentera Soviet, Tentera Czechoslovakia dan Tentera Romania membebaskan Slovakia daripada kekuasaan Fasis pada tahun 1945.

Pemberontakan Rakyat 9 September (1944)

Fron Tanahair (OF), gerakan penentangan Bulgaria yang diterajui oleh Parti Komunis Bulgaria, melancarkan pemberontakan pada 9 September 1944 serentak dengan kemaraan Tentera Merah Soviet dan merampas kuasa daripada kerajaan yang bersekutu dengan Kuasa Paksi. Kerajaan baharu mengisytihar perang ke atas Kuasa Paksi. Republik Rakyat Bulgaria ditubuhkan pada tahun 1946.

Revolusi Guatemala (1944-1954)

Gerakan pro-demokrasi yang dipimpin oleh pelajar universiti dan organisasi buruh di Guatemala, mengadakan aksi protes dan mogok umum pada bulan Jun 1944, sehingga memaksa diktator Jorge Ubico meletak jawatan sebagai Presiden Guatemala. Pengganti Ubico, Juan Federico Ponce Vaides, masih meneruskan dasar-dasar yang menindas. Pada 19 Oktober 1944, sekumpulan pegawai tenteta liberal yang dipimpin oleh Francisco Javier Arana dan Jacobo Árbenz Guzmán melancarkan kudeta untuk menggulingkan kerajaan Ponce Vaides dan memanggil untuk mengadakan pilihanraya terbuka. Guatemala memasuki era “Musim Bunga Sepuluh Tahun” selepas “Revolusi Oktober”, dengan kebebasan bersuara terjamin. Juan José Arévalo, seorang profesor falsafah yang progresif, mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya tahun 1944 dan menjadi Presiden Guatemala pertama yang dipilih secara demokratik. Arévalo melaksanakan program pembaharuan sosial yang sederhana. Arévalo digantikan oleh Jacobo Árbenz pada tahun 1951 yang menang besar dalam pilihanraya tahun 1950. Árbenz melaksanakan reformasi tanah yang mengambilalih tanah yang tidak diusahakan oleh tuan tanah besar untuk diagihkan kepada pekerja pertanian yang miskin. Dasar Árbenz telah menggugat kepentingan United Fruit Company. Kerajaan Amerika Syarikat melancarkan kudeta pada tahun 1954 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Árbenz dan menggantikannya dengan pemerintahan kediktatoran tentera.

Pembebasan Albania (1944)

Gerakan Pembebasan Nasional (LANÇ) yang diterajui oleh Parti Komunis Albania ditubuhkan pada tahun 1942, untuk menentang pendudukan Kuasa Paksi di Albania. Partisan komunis menewaskan tentera Jerman dan menguasai seluruh Albania pada tahun 1944. Kerajaan Demokratik Albania ditubuhkan pada 20 Oktober 1944, dengan pemimpin parti komunis, Enver Hoxha, sebagai Perdana Menteri. Republik Sosialis Rakyat Albania ditubuhkan pada 10 Januari 1946.

Pemberontakan Prague (1945)

Gerakan Penentangan Czech melancarkan pemberontakan di Prague pada 5 Mei 1945, sebagai cubaan untuk membebaskan bandar Prague daripada pendudukan tentera Jerman Nazi di situ. Pemberontak Czech mempersetujui gencatan senjata dengan tentera Jerman pada 8 Mei 1945. Pertempuran masih berlaku sehingga 9 Mei 1945, apabila Tentera Merah Soviet memasuki bandar Prague dan membebaskan bandar itu sepenuhnya.

Revolusi Ogos (1945)

Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, Viet Minh (Liga Kemerdekaan Vietnam) yang dipimpin oleh Ho Chi Minh melancarkan pemberontakan yang dirancang untuk masa yang lama. “Jawatankuasa Revolusioner Rakyat” menguasai kebanyakan kampung dan bandar di seluruh negara Vietnam. Việt Minh mengambilalih penguasaan terhadap bandar Hanoi pada 19 Ogos 1945. Ho Chi Minh mengisytihar penubuhan Republik Demokratik Vietnam di Hanoi pada 2 September 1945.

Revolusi Nasional Indonesia (1945-1949)

Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia II, di bawah desakan organisasi yang radikal, pemimpin gerakan nasionalis Indonesia, Sukarno dan Mohammad Hatta, mengisytihar kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945 dan mencetuskan Revolusi Nasional Indonesia. Belanda yang mahu merampas semula tanah jajahannya melancarkan perang ke atas Republik Indonesia. Perang Kemerdekaan Indonesia berakhir apabila Belanda bersetuju untuk mengiktiraf kemerdekaan Indonesia pada penghujung tahun 1949. Pergolakan selama 4 tahun ini juga melibatkan pemberontakan rakyat tempatan terhadap golongan bangsawan dan konflik bersenjata yang berselerak, misalnya pemberontakan Fron Demokrasi Rakyat yang mengisytihar “Republik Soviet Indonesia” pada 18 September 1948 di bandar Madiun, Jawa Timur, tetapi ditewaskan oleh Tentera Nasional Indonesia. Revolusi Nasional Indonesia berjaya menamatkan penjajahan Belanda di Hindia Timur, kecuali New Guinea Belanda. Revolusi ini juga mengubah hubungan feudal dalam masyarakat Indonesia.

Gelombang Mogok Amerika Syarikat 1945-1946

Selepas tamatnya Perang Dunia II, kejatuhan gaji menyebabkan siri mogok besar-besaran di Amerika Syarikat, dengan lebih 5 juta orang pekerja terlibat dalam mogok yang berlainan, termasuk mogok pekerja filem (Mac-Oktober 1945), pekerja minyak (Oktober 1945), pekerja United Auto Workers (November 1945 – Mac 1946), pekerja elektrik (Januari 1946) dan sebagainya. Kongres Amerika Syairkat meluluskan Akta Perhubungan Pengurusan Buruh 1947 untuk menyekat kuasa dan aktiviti kesatuan pekerja.

Kudeta Venezuela 1945

Sekumpulan tentera yang memberontak dan gerakan rakyat yang dipimpin oleh Acción Democratica (AD), sebuah parti politik demokratik sosial, menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Isaías Medina Angarita dalam satu kudeta pada 18 Oktober 1945. Rómulo Betancourt yang mengambilalih jawatan Presiden telah melancarkan pembaharuan demokratik termasuk pelaksanaan pengundian sejagat, refomasi sosial dan memastikan separuh daripada keuntungan syarikat minyak asing dinikmati oleh Venezuela. Tempoh selama 3 tahun ini dikenali sebagai “El Trienio Adeco”. Pillihanraya untuk Perhimpunan Perlembagaan Venezuela diadakan pada tahun 1946, dan Pilihanraya Presiden secara demokratik yang pertama di Venezuela berlangsung pada tahun 1947. 

Pemberontakan Tentera Laut Diraja India (1946)

Kelasi-kelasi India dalam Tentera Laut Diraja India melancarkan mogok pada 18 Februari 1946 di pelabuhan Bombay, India, pada asalnya memprotes terhadap keadaan hidup yang teruk, kemudiannya berkembang menjadi pemberontakan yang merebak ke tempat lain di India British, dari Karachi ke Calcutta, dengan lebih 20,000 orang kelasi di atas 78 buah kapal dan 20 pangkalan tentera laut terlibat dalam aksi pemberontakan. Pemberontak juga menentang diskriminasi kaum yang diamalkan oleh pegawai British. Tentera British dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan ini. Pemberontakan ini hanya mendapat sokongan daripada Parti Komunis India, manakala Kongres Nasional India dan Liga Muslim mengecam tindakan pemberontakan ini.

Gerakan Tebhaga (1946-1947)

Kisan Sabha (organisasi fron petani yang digerakkan oleh Parti Komunis India) melancarkan Gerakan Tebhaga di Bengal, India, untuk menuntut hasil tanaman petani yang diserahkan kepada tuan tanah dikurangkan daripada separuh kepada satu pertiga. Tekanan daripada gerakan ini menyebabkan Liga Muslim yang mentadbir wilayah Bengal memperkenalkan Akta Bargadari yang mengehadkan nisbah hasil tanaman yang diberikan kepada tuan tanah kepada satu pertiga, tetapi akta tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Pemberontakan Telangana (1946-1951)

Petani-petani di wilayah Telangana, negeri Hyderabad, India, melancarkan pemberontakan pada tahun 1946 di bawah organisasi Parti Komunis India, untuk menentang golongan tuan tanah di wilayah tersebut dan juga Kerajaan Negeri Keputeraan Hyderabad. Lebih 3,000 buah kampung diambilalih oleh pemberontak daripada tuan tanah feudal, dan 1 juta ekar tanah pertanian diagihkan kepada petani-petani tanpa tanah. Pemberontakan ini menyebabkan kejatuhan Kerajaan Nizam di Negeri Hyderabad. Selepas digabungkan ke dalam Kesatuan India, Hyderabad dicantumkan dengan Negeri Andhra untuk membentuk Negeri Andhra Pradesh. 

Pemberontakan Punnapra-Vayalar (1946) 

Anggota-anggota Parti Komunis India memberontak di wilayah Travancore untuk melawan kerajaan pimpinan C. P. Ramaswami Iyer di situ, tetapi dipatahkan secara kejam oleh Kerajaan Travancore dengan anggaran lebih 1,000 orang dibunuh.

Mogok Pekerja Lombong Afrika 1946

Lebih 60,000 orang pekerja lombong di Witwatersrand, Afrika Selatan, melancarkan mogok pada 12 Ogos 1946 kerana enggan meneruskan kerja dengan gaji yang sedia ada. Mogok ini berterusan lebih kurang seminggu dan dipatahkan secara kejam oleh polis dengan 9 orang terbunuh.

Pemberontakan Wanita Abeokuta (1946-1948)

Kesatuan Wanita Abeokuta (AWU) yang dipimpin oleh Funmilayo Ransome-Kuti melancarkan aksi protes untuk menentang percukaian tidak adil yang dikenakan oleh kerajaan penjajah British di Nigeria. AWU berjuang menentang pemerintahan penjajah yang menjejaskan peranan ekonomi golongan wanita, di samping mencabar struktur patriarki. Gelombang protes ini berjaya memaksa pihak berkuasa untuk menghapuskan cukai terhadap wanita dan membolehkan 4 orang wanita ditawarkan posisi dalam kerajaan tempatan.  

Peristiwa 28 Februari (1947)

Selepas Perang Dunia II, Pihak Berikat yang menang dalam perang menyerahkan pentadbiran pulau Taiwan kepada Kerajaan Kuomintang di China. Namun, penduduk tempatan di Taiwan tidak berpuas hati dengan Kerajaan Kuomintang yang represif dan korup, termasuk penyitaan harta rakyat sewenang-wenangnya, salah tadbir urus ekonomi dan sekatan daripada penyertaan politik. Satu kejadian berdarah penyitaan rokok seludup, mencetuskan protes rakyat Taipei pada 28 Februari 1947. Anggota tentera melepaskan tembakan terhadap demonstran yang berhimpun di hadapan bangunan kerajaan, dan mencetuskan pemberontakan rakyat yang merebak ke seluruh Taiwan. Kerajaan Kuomintang mengerahkan tentera untuk menghancurkan pemberontakan ini dengan cara yang ganas dengan ramai orang dibunuh. Undang-undang darurat diperkenalkan di Taiwan dan berlarutan untuk 38 tahun. Peristiwa ini menyemaikan benih untuk gerakan kemerdekaan di Taiwan.

Pemberontakan Malagasy (1947-1949)

Golongan nasionalis Malagasy melancarkan pemberontakan bersenjata pada 29 Mac 1947 untuk menentang pemerintahan penjajah Perancis di Madagascar. Kerajaan Perancis mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar untuk mematahkan pemberontakan ini. Ramai warga Malagasy yang memperjuangkan kemerdekaan dibunuh secara kejam oleh tentera Perancis. Pemberontakan ini ditewaskan sepenuhnya pada bulan Februari 1949.

Pemberontakan Poonch 1947

Bekas askar Tenteta India British yang dipimpin oleh Sardar Muhammad Ibrahim Khan melancarkan pemberontakan di daerah Poonch, untuk menentang pemerintahan Maharaja Hari Singh di Jammu dan Kashmir. Sardar Ibrahim Khan kemudiannya memujuk kerajaan Pakistan untuk menyokong pemberontakan ini. Pakistan melancarkan serangan terhadap Jammu dan Kashmir, sehingga mencetuskan Perang Kashmir Pertama (1947-1949) antara Pakistan dan India. Sebuah kerajaan sementara Azad Kashmir ditubuhkan pada 24 Oktober 1947 dengan Sardar Ibrahim Khan sebagai Presiden. Azad Kashmir menjadi sebahagian daripada wilayah yang dikuasai Pakistan sejak itu.

Revolusi Kaki Telanjang (1947)

Parti Revolusioner Febrerista (PRF) yang pada awalnya bekerjasama dengan Parti Colorado yang berhaluan kanan dan diktator Higinio Morínigo pada tahun 1946, keluar daripada kerajaan campuran pada bulan Januari 1947. PRF membentuk gabungan dengan Parti Liberal dan Parti Komunis Paraguay. Pemimpin PRF melancarkan pemberontakan pada bulan Mac 1947 untuk menentang rejim pemerintahan Morínigo dan mencetuskan Perang Saudara Paraguay. Pemberontakan ini ditewaskan oleh tentera Paraguay pada bulan Ogos 1947.

Hartal Se-Malaya (1947)

Semasa pihak penjajah British berunding dengan golongan bangsawan yang konservatif untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, gerakan kiri di Tanah Melayu mengadakan protes, dan membentuk gabungan politik merentasi kaum yang pertama, iaitu Pusat Tenaga Rakyat – Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu (PUTERA-AMCJA). PUTERA-AMCJA mengemukakan Perlembagaan Rakyat. Untuk mendesak pihak penjajah British supaya menerima Perlembagaan Rakyat, PUTERA-AMCJA melancarkan aksi hartal pada 20 Oktober 1947 yang melumpuhkan seluruh Tanah Melayu dan menggegarkan Empayar British pada masa itu.

Pemberontakan Al-Wathbah (1948)

Raja Iraq mengadakan rundingan rahsia dengan pihak British pada tahun 1947 untuk menjadikan semula Iraq sebagai negara di bawah naungan Britain. Tindakan ini menimbulkan ketidakpuasan hati banyak parti politik di Iraq, dan mencetuskan gelombang protes massa pada tahun 1948. Parti Komunis Iraq terlibat dalam menganjurkan banyak aksi protes yang disertai oleh pelajar, pekerja dan warga miskin bandar. Protes pada bulan Januari 1948 dipatahkan secara keras oleh polis, tetapi lebih banyak demonstrasi dan mogok tercetus pada musim bunga tahun itu. Namun, gelombang protes dipadamkan pada bulan Mei 1948 apabila Kerajaan Iraq mengisytihar darurat berikutan tercetusnya Perang Arab-Israel Pertama (1958-1949).

El Bogotazo (1948) dan La Violencia (1948-1958)

Pembunuhan Jorge Eliécer Gaitán (1903-1948), pemimpin Parti Liberal Colombia yang sepatutnya menjadi calon dalam Pilihanraya Presiden 1949, yang berlaku pada 9 April 1948, mencetuskan rusuhan besar-besaran selama 10 jam di Bogotá, Colombia. Selepas peristiwa rusuhan Bogotazo ini, pemberontakan rakyat yang membantah pemerintahan kediktatoran Parti Konservatif berkembang menjadi perang saudara yang dikenali sebagai La Violencia yang berlarutan selama 10 tahun. Perang saudara ini tamat apabila pembentukan Fron Nasional antara Parti Konservatif dan Parti Liberal untuk menggantikan pemerintahan kediktatoran tentera Gustavo Rojas Pinilla pada tahun 1958.

Darurat Tanah Melayu (1948-1960)

Untuk menghancurkan gerakan kiri yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu sepenuhnya, pihak penjajah British mengisytihar Darurat pada 18 Jun 1948, berikutan peristiwa pembunuhan 3 orang pengurus ladang di Sungai Siput, Perak. Pihak penjajah British mengharamkan Parti Komunis Malaya (PKM) dan parti-parti berhaluan kiri lain yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, begitu juga dengan kesatuan-kesatuan sekerja yang radikal. PKM berundur ke kawasan luar bandar dan menubuhkan Tentera Pembebasan Rakyat Malaya pada bulan Januari 1949. Tentera Pembebasan Rakyat Malaya melancarkan perang gerila yang dipanggil “Perang Pembebasan Nasional Anti-British”. Rundingan Baling pada tahun 1955 gagal mencapai perjanjian untuk menamatkan perang kerana pihak penjajah tidak mahu membenarkan PKM melibatkan diri dalam proses politik demokrasi di Malaya. Pemberontakan PKM telah mempercepatkan proses untuk Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Konflik bersenjata masih berterusan sehingga Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani pada tahun 1989.

Pemberontakan Jeju (1948-1949)

Penduduk-penduduk Pulau Jeju yang membantah pemisahan Semenanjung Korea mengadakan protes pada 1 Mac 1947, tetapi ditindas secara kejam oleh pihak berkuasa di bawah Pemerintahan Tentera Darat Amerika Syarikat di Korea pada masa itu. Parti Pekerja Korea Selatan menganjurkan mogok besar-besaran di Jeju pada bulan Februari 1948. Pada 3 April 1948, Parti Pekerja Korea Selatan melancarkan pemberontakan bersenjata di Pulau Jeju. Kerajaan Korea Selatan pimpinan Syngman Rhee yang baru berkuasa pada masa itu dan disokong oleh Amerika Syarikat, menggunakan kekerasan yang melampau untuk mematahkan pemberontakan ini, sehingga 30,000-60,000 orang penduduk Jeju mati terkorban.

Pemberontakan Madiun 1948

Fron Demokrasi Rakyat (FDR) yang terdiri daripada ahli-ahli Parti Komunis Indonesia (PKI) melakukan pemberontakan terhadap pimpinan Sukarno-Hatta di Republik Indonesia dan mengisytihar “Republik Soviet Indonesia” di bandar Madiun, Jawa Timur, pada 18 September 1948. Pemberontakan ini dipatahkan oleh kuasa-kuasa Republikan dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Bersambung di Kronologi Revolusi Dunia (Bahagian 3)

3 thoughts on “Kronologi Revolusi Dunia (Bahagian 2)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *