Reformasi ialah pengubahsuaian atau pembaharuan ke atas sistem yang sedia ada. Revolusi ialah perubahan secara total yang mengubah dan menggantikan satu sistem dengan satu lagi sistem yang berbeza pada dasarnya.
Reformisme dalam gerakan perjuangan sosialis ialah fahaman yang menganggap bahawa perubahan sosial boleh dilakukan secara beransur-ansur dengan melalui penambahbaikan atau pembaharuan dalam struktur masyarakat kapitalis yang sedia ada sehingga membawa kepada perubahan yang asas ke atas sistem ekonomi dan struktur politik masyarakat. Reformisme adalah bertentangan dengan sosialisme yang revolusioner, iaitu fahaman yang berpendirian bahawa perubahan fundamental ke atas struktur masyarakat hanya dapat dicapai dengan melakukan revolusi.
Politik yang bersifat reformis ialah “seni yang mungkin” (art of the possible), iaitu melakukan perubahan dalam batasan kerangka sistem yang sedia ada; manakala revolusi ialah “seni yang tidak mungkin” (art of the impossible), iaitu menjadikan perkara yang tidak mungkin itu mungkin berlaku. Politik kiri yang revolusioner tidak mentafsir politik hanya sekadar seni yang mungkin (iaitu menyesuaikan diri seboleh mungkin dengan realiti masyarakat kelas tanpa mengubah struktur masyarakat), tetapi mengajukan dasar perjuangan yang berusaha untuk mewujudkan keadaan yang mengubah realiti, tanpa melepaskan tanggapan yang realistik dan tidak menafikan realiti itu. Seperti kata Ernesto Che Guevara, “Marilah kita bersikap realistik! Menuntut yang tidak mungkin!”
Walau bagaimanapun, fahaman reformisme dan perjuangan menuntut reformasi ialah dua perkara yang berbeza.
Pendirian ultra-kiri yang membantah segala perjuangan menuntut reformasi (pembahahuran) pernah/sentiasa wujud dalam gerakan pekerja dan sebahagian kecil orang dalam kelas pekerja, sebagai reaksi kepada golongan oportunis yang reformis dalam gerakan kelas pekerja.
Golongan reformis percaya bahawa sistem kapitalis boleh dihilangkan secara beransur-ansur dengan pembaharuan secara berperingkat, maka golongan reformis tiada keinginan untuk membangunkan kesedaran kelas yang radikal untuk perubahan secara total. Namun, penglibatan kelas pekerja dalam perjuangan menuntut reformasi di depan mata, boleh melatih perintis perjuangan kelas, dan mewujudkan ruang untuk gerakan pekerja terus berkembang, mempersiapkan kelas pekerja untuk perjuangan revolusi yang lebih hebat pada masa kelak.
Reformasi atau pembaharuan ke atas sistem sedia ada, seperti mengurangkan masa kerja sehari, hak mengundi untuk semua warganegara dan sebagainya, boleh membuka ruang yang lebih meluas untuk perkembangan gerakan pekerja dan organisasi revolusioner. Dengan masa kerja sehari yang lebih pendek (tanpa pengurangan gaji) ataupun peningkatan gaji (membolehkan pekerja tidak perlu lagi kerja lebih masa), akan mewujudkan lebih banyak “masa lapang” untuk pekerja melakukan perkara yang dapat membangunkan pengetahuan diri dan memikir tentang jalan keluar untuk membebaskan diri daripadan penindasan kelas.
Satu lagi contoh reformasi, menuntut lebih kebebasan untuk berpolitik (seperti hak mengundi, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan…), sememangnya tidak akan mendatangkan perubahan secara menyeluruh kepada sistem pemerintahan yang sedia ada, tetapi dengan ruangan kebebasan demokratik yang lebih luas dan sekatan yang berkurangan, gerakan rakyat dan organisasi revolusioner akan dapat berkembang dengan lebih pesat tanpa perlunya menghadapi penindasan dan tekanan yang amat hebat seperti semasa zaman pemerintahan autoritarian yang kuku besi (walaupun penindasan yang hebat tetap akan berlaku apabila kekuatan kelas yang tertindas itu mampu gugat kelas pemerintah). Oleh itu, reformasi boleh membantu mewujudkan syarat-syarat untuk membangunkan kuasa-kuasa yang revolusioner.
Menafikan segala perjuangan untuk reformasi, bermakna sanggup membiarkan keadaan kelas pekerja menjadi semakin teruk tanpa melakukan apa-apa tindakan yang konkrit, malah hanya sekadar menunggu sehingga keadaan sampai ke satu tahap yang “masak”, dan sistem kapitalis akan digulingkan dengan serangan sekali gus melalui usaha bersepadu. Sikap begini ialah angan-angan kosong dan bersifat reaksioner. Ia ialah angan-angan kosong kerana golongan “revolusioner” yang bersikap sebegini terlupa bahawa: sekiranya kelas pekerja tiadanya keupayaan untuk mempertahankan taraf hidupnya, kerjanya dan hak asasinya, maka mereka akan kehilangan semangat untuk berjuang, dan amat mustahil adanya kekuatan untuk menewaskan kelas kapitalis moden yang menguasai kekayaan masyarakat dan berpengalaman politik. Ia bersifat reaksioner kerana sikap sebegini sebenarnya telah membantu kapitalis: sekiranya pekerja menerima secara pasif bahawa dirinya menjadi hamba yang tidak berkemampuan (untuk melakukan walaupun sedikit reformasi), kelas kapitalis akan dapat terus mengaut keuntungan dan melindungi kepentingan mereka melalui gaji rendah, pengangguran besar-besaran, pengharaman kesatuan sekerja dan sebagainya.
Pembebasan kelas pekerja dan penumpasan sistem kapitalis merupakan hasil daripada perkembangan sebegini: kekuatan organisasi kelas pekerja semakin meningkat, perpaduan dalam kalangan kelas yang diperintah semakin kukuh, dan keyakinan diri kelas pekerja juga semakin meningkat. Perubahan secara subjektif ini tidak boleh hanya terjadi dengan sekadar kerja-kerja propaganda ataupun pendidikan secara penulisan (seperti penyebaran risalah dan penerbitan akhbar). Perkembangan sebegini hanya boleh diwujudkan dengan adanya kejayaan yang tercapai dalam perjuangan kelas pada masa kini, dan selalunya perjuangan ini ialah perjuangan yang menuntut reformasi dalam memperbaiki kehidupan harian.
Reformisme bukannya wujud secara semulajadi dalam perjuangan menuntut reformasi atau hasil daripada kejayaan perjuangan ini. Reformisme timbul apabila organisasi perintis kelas pekerja yang sepatutnya membina kesedaran kelas dan mengatur perjuangan kelas itu telah meninggalkan tanggungjawabnya sebagai sebuah organisasi yang revolusioner, iaitu tidak lagi mendidik kelas yang tertindas untuk menggulingkan sistem kapitalis, tidak lagi memerangi pengaruh pemikiran kelas borjuasi dalam kalangan kelas pekerja, tidak lagi melakukan perjuangan massa yang anti-kapitalis di luar kerangka sistem demokrasi borjuasi berparlimen dan melangkaui tahap reformasi.
Oleh yang demikian, golongan yang revolusioner patut bekerja dalam kesatuan sekerja dan gerakan sosial yang lebih meluas sekiranya perlu, bukannya untuk melemahkan kesatuan sekerja dan gerakan sosial, tetapi adalah untuk memperkuatkan lagi kesatuan sekerja dan gerakan massa dalam perjuangan.
Semenangnya kesatuan sekerja pada kebiasaannya tidak mempunyai kebolehan yang secukup untuk bersiap sedia atau mengorganisasi perjuangan revolusioner. Ini kerana revolusi itu bukan matlamat dan fungsi kesatuan sekerja. Namun begitu, fungsi kesatuan sekerja untuk mempertahankan kepentingan kelas pekerja secara harian dan menangkis penindasan golongan pemodal adalah sesuatu yang amat diperlukan. Malah, pada zaman apabila sistem kapitalis semakin merosot pun, perjuangan kelas harian sebegini juga tidak akan lesap. Jika tiadanya kesatuan sekerja atau organisasi buruh yang kuat untuk menggabungkan lapisan-lapisan yang maju dalam kelas pekerja, golongan majikan akan berpeluang besar untuk menang dalam pertembungan kelas harian. Kekalahan kelas dalam perjuangan harian boleh menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan diri dalam kalangan kelas pekerja tentang keupayaan mereka untuk melakukan perubahan, sehingga menjejaskan perkembangan kesedaran kelas dalam diri massa pekerja.
Begitu juga, golongan revolusioner juga patut melibatkan diri malah menerajui perjuangan demokratik (walaupun bersifat menuntut reformasi). Walaupun dalam kebanyakan keadaan, gerakan memperjuangkan demokrasi (misalnya perjuangan untuk pilihanraya yang adil, kebebasan bersuara dan sebagainya) diterajui oleh golongan borjuasi liberal, tetapi tidak bermakna organisasi revolusioner kelas pekerja patut menjauhkan diri daripadanya. Ini kerana golongan borjuasi liberal hanya memperjuangkan ruang demokrasi yang dapat menjaga kepentingan mereka sahaja, dan tidak akan melangkah ke lebih depan lagi dengan menuntut ruang demokrasi yang jauh lebih luas untuk kelas bawahan yang tertindas (jika tiadanya tekanan dari bawah). Oleh itu, adalah penting untuk golongan revolusioner terus membawa perjuangan demokrasi ke tahap yang lebih tinggi, iaitu demokrasi pekerja atau demokrasi sosialis.
Golongan revolusioner seharusnya melibatkan diri dalam perjuangan menuntut reformasi dengan penuh ikhlas dan akan cuba sedaya upaya untuk membina kesedaran kelas serta kekuatan massa rakyat dalam proses itu, supaya kejayaan dalam perjuangan menuntut reformasi itu akan membuka ruang untuk memajukan lagi perjuangan rakyat menuju perubahan sistem, iaitu revolusi. Seorang revolusioner juga akan memainkan peranannya secara optimum sebagai anggota kesatuan sekerja yang komited, dengan sentiasa berusaha memastikan kesatuan sekerja dan anggotanya berpegang teguh pada matlamat perjuangan dan mengamalkan bentuk organisasi perjuangan yang paling bersesuaian dengan kepentingan kelas pekerja.
Golongan revolusioner tidak akan mengetepikan usaha menyebarkan idea-idea revolusi sosialis walaupun melibatkan diri dengan bersungguh-sungguhnya dalam perjuangan menuntut reformasi.
Adalah menjadi hakikat bahawa jika tiadanya revolusi yang membawa perubahan secara total, apa-apa hasil kemenangan dalam perjuangan menuntut reformasi tidak akan berkekalan dan boleh dirampas semula bila-bila masa apabila imbangan kuasa tidak berpihak kepada kelas yang diperintah. Segala persoalan penting yang berkaitan dengan kelas pekerja dan melibatkan pertentangan kelas, tidak mungkin akan selesai dengan sepenuhnya tanpa adanya revolusi.
Golongan birokrat dalam kesatuan sekerja ataupun pemimpin liberal dalam masyarakat sivil, yang semakin hari semakin bersebati dengan struktur negara kapitalis, akan menggunakan “pendamaian kelas” dan “ketenteraman masyarakat” untuk menggantikan misi asal kesatuan sekerja atau organisasi masyarakat sivil yang memperjuangkan kepentingan kelas yang tertindas. Tindakan sebegini akan melemahkan kesatuan sekerja dan gerakan rakyat. Oleh itu, menuntut demokrasi dalam kesatuan sekerja / gerakan rakyat / organisasi masyarakat, adalah penting untuk memastikan kesatuan sekerja dan perjuangan rakyat tidak terpesong atau diculik oleh golongan elit yang berkepentingan sempit.
Reformasi menyediakan asas (peningkatan taraf hidup dan ruang politik) untuk revolusi, manakala revolusi akan mengekalkan segala pencapaian reformasi, malah memperluas dan memperdalamkannya ke tahap yang lebih tinggi.
Golongan reformis akan memperjuangkan perubahan jangka masa pendek dan kebiasaannya tidak dapat menyempurnakan matlamat reformasi, sementara revolusioner akan berusaha sepenuhnya menyempurnakan reformasi demi membawa revolusi untuk jangka masa yang panjang.