20191101 - chile Susana Hildago - 73381342_10156651317586966_7083857739327209472_n
Rakyat Chile berprotes di Santiago pada 25 Oktober 2019 (foto oleh Susana Hildago)

Bulan Oktober 2019 yang lalu, merupakan bulan yang penuh dengan gelombang kebangkitan rakyat di merata tempat di dunia. Dari Catalonia ke Haiti, dari Lubnan ke Chile dan Ecuador, rakyat turun ke jalanan dalam jumlah yang besar untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap ketidakadilan dan memperjuangkan masa hadapan yang lebih baik. Sama ada perjuangan untuk menentang keganasan jentera negara, ataupun melawan dasar ekonomi neoliberal yang membiak ketidaksamarataan masyarakat, rakyat yang berprotes di jalanan telah menunjukkan keberanian dan kesungguhan mereka untuk mencabar kekuasaan kelas pemerintah di negara masing-masing, malah juga menggugat susunan kapitalis global yang menjahanamkan rakyat bawahan selama ini.

Mari kita melihat sepintas lalu beberapa kebangkitan rakyat di merata dunia untuk sebulan yang lalu ini:

Catalonia

20191101 - barcelona - 73497932_2626820307368017_268802800257859584_n.jpg

Hukuman berat yang dijatuhkan ke atas 9 orang pemimpin politik Catalonia yang terlibat dalam penganjuran referendum kemerdekaan pada dua tahun yang lepas, telah mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat terbaru yang hebat di wilayah Catalonia, Sepanyol. 9 orang pemimpin politik Catalonia tersebut dijatuhkan hukuman penjara selama 9 hingga 13 tahun.

Protes mula tercetus pada 14 Oktober 2019 sejurus selepas pengumuman hukuman, dengan ribuan demonstran berhimpun di Lapangan Terbang Barcelona sehingga menyebabkan lapangan terbang tersebut terpaksa ditutup. Polis cuba menyuraikan demonstran dengan kekerasan dan menangkap ramai orang.

Pada 18 Oktober 2019, seluruh bandaraya Barcelona dilumpuhkan oleh aksi mogok dan protes jalanan. Perlawanan bola sepak antara FC Barcelona dan Real Madrid CF terpaksa ditangguhkan pada masa itu kerana mogok.

Gerakan menuntut kemerdekaan di Catalonia berkembang dengan pesat untuk beberapa tahun kebelakangani ini, tetapi mendapat tamparan hebat apabila Kerajaan Pusat Sepanyol menggunakan segala bentuk keganasan untuk mematahkan usaha referendum kemerdekaan pada tahun 2017. Momentum gerakan kemerdekaan di Catalonia merosot sejak ramai pemimpin pro-kemerdekaan ditahan ataupun melarikan diri ke luar negara berikutan penindasan terhadap usaha referendum kemerdekaan. Namun, hukuman berat terhadap pemimpin Catalonia baru-baru ini, menghidupkan semula semangat perjuangan rakyat Catalonia dalam gerakan “Tsunami Demokratik”. Bukannya semua rakyat yang berprotes menyokong sepenuhnya kemerdekaan Catalonia, tetapi mereka marah terhadap penindasan kekuasaan Kerajaan Pusat terhadap aktivis Catalonia yang memperjuangkan penentuan nasib sendiri.

Chile

20191101 - chile AP Rodrigo Abd - 11643212-3x2-700x467.jpg
(foto oleh Rodrigo Abd/AP)

Bermula dengan aksi protes anak muda untuk membantah kenaikan tambang pengangkutan metro di bandaraya Santiago, ibu negara Chile, ia dengan cepatnya berkembang menjadi kebangkitan rakyat menentang dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan ketidaksamarataan sosial yang semakin teruk di negara Chile.

Berikutan pertempuran sengit antara demonstran dengan polis, dan sabotaj terhadap stesen metro, Presiden Chile Sebastián Piñera mengisytihar darurat, tetapi gagal menghalang rakyat daripada terus mengadakan aksi protes.

Pada 25 Oktober 2019, lebih 1 juta orang berprotes di Santiago dan menuntut perletakan jawatan Presiden Piñera. Ini boleh dikatakan aksi protes yang terbesar dalam sejarah Chile.

Presiden Piñera mengumumkan pada 23 Oktober 2019 bahawa kerajaan Chile akan melakukan pembaharuan terhadap pendidikan, kesihatan dan sistem pencen, sebagai cubaan untuk meredakan keadaan. Kemudiannya pada 28 Oktober 2019, Presiden Piñera memecat semua anggota kabinet menterinya. Namun, tindakan ini masih tidak berguna untuk mengambil hati rakyat, kerana massa yang berprotes menuntut perletakan jawatannya dan perubahan menyeluruh kepada sistem sosio-ekonomi di negara itu. Kerajaan Chile juga membatalkan Persidangan Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadualkan untuk diadakan di negara itu pada 16-17 November 2019.

Sekurang-kurangnya 19 orang telah mati dengan kebanyakannya akibat daripada tindakan ganas polis, sementara lebih 2,500 orang cedera, dan ribuan lagi ditangkap oleh pihak berkuasa.

Negara Chile merupakan “perintis” kepada pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal selepas kudeta tentera yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat pada tahun 1973 yang membolehkan diktator Augusto Pinochet. Dasar neoliberal masih diteruskan selepas Chile beralih semula kepada demokrasi pada tahun 1990, dan Chile merupakan negara kaya di Amerika Latin dengan masyarakat yang paling tidak samarata. Kebangkitan rakyat terbaru di Chile merupakan satu pemberontakan terhadap dasar neoliberal yang ditinggalkan oleh kediktatoran Pinochet.

Ecuador

20191101 - ecuador-final1-1024x574.jpg

Gelombang protes tercetus pada 3 Oktober 2019, untuk menentang langkah-langkah “penjimatan” yang diumumkan oleh Presiden Lenín Moreno, termasuk pembatalan subsidi bahan api. Langkah-langkah penjimatan tersebut dibuat berdasarkan perjanjian Kerajaan pimpinan Presiden Moreno dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan dana daripada institusi kewangan antarabangsa tersebut.

Presiden Moreno mengisytihar darurat tetapi gagal membendung aksi protes. Sebagai respon kepada darurat yang diisytihar kerajaan dan penindasan secara ganas oleh pihak berkuasa terhadap demonstran, Konfederasi Bangsa-Bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE) mengisytiharkan “keadaan berkecuali” (iaitu darurat masyarakat orang asal Ecuador sendiri) untuk wilayah masyarakat orang asal. Masyarakat orang asal Ecuador memainkan peranan penting dalam mobilisasi untuk protes, di samping pekerja-pekerja pengangkutan yang mendapat impak paling teruk akibat pembatalan subsidi bahan api. Protes menjadi begitu hebat sehingga Presiden Moreno terpaksa memindahkan kerajaannya dari ibu negara, Quito, ke bandar Guayaquil, pada 8 Oktober 2019.

Kerajaan Ecuador mencapai persetujuan dengan CONAIE pada 13 Oktober 2019, di mana subsidi bahan api dikembalikan. Walaupun tuntutan yang dibawa dalam protes rakyat telah dimenangi, Kerajaan Ecuador telah meneruskan penindasan terhadap golongan pembangkang yang menyokong bekas Presiden Rafael Correa.

Haiti

20191101 - Haiti7315c9dfd55b48d81146558430fbe3690827a4d7.jpg

Sejak bulan Julai 2018, rakyat Haiti yang marah dengan korupsi yang berleluasa di bawah pentadbiran Presiden Jovenel Moïse di samping semakin tertekan dengan masalah kekurangan bekalan bahan api, kekurangan air minuman selamat, kemusnahan alam sekitar dan kenaikan harga barangan, sudah pun mula mengadakan aksi protes secara kerap untuk untuk membantah dasar kerajaan yang bersifat neoliberal yang dikenakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Gelombang protes terbaru tercetus sejak bulan September, apabila masalah kekurangan bekalan bahan api semakin serius. Aksi protes hampir setiap hari untuk beberapa minggu yang lalu ini di Port-au-Prince dan bandar-bandar lain di Haiti, telah mengganggu rangkaian pengangkutan dan menyebabkan penutupan perniagaan dan sekolah. Hampir seluruh negara di rantau Caribbean dengan penduduk sejumlah 11 juta ini dilumpuhkan kerana protes. Setakat ini, sekurang-kurangnya 35 orang telah mati akibat dalam pertempuran dengan polis dan keganasan yang lain.

Demonstran di jalanan Haiti menuntut perletakan jawatan Presiden, tetapi Jovenel Moïse masih enggan berbuat demikian.

Hong Kong

29191101 - Hong Kong - Viola Kam - United Social Press - hrome_2019-10-01_15-01-31.jpg
(foto oleh Viola Kam/United Social Press)

Bandaraya Hong Kong telah dilanda gelombang protes yang hebat sejak bulan Jun 2019, apabila tercetus aksi massa yang hebat untuk membantah rang undang-undang ekstradisi yang penuh dengan kontroversi. Keganasan polis yang teruk terhadap demonstran telah menimbulkan kemarahan ramai orang. Walaupun rang undang-undang ekstradisi ditarik balik pada 4 September 2019, tetapi sudah tidak dapat lagi meredakan kemarahan rakyat terhadap pelbagai kepincangan yang wujud dalam Kerajaan Hong Kong. Insiden keganasan semakin berleluasa, sama ada keganasan polis ataupun pertempuran antara demonstran anti-kerajaan dengan penyokong kerajaan atau pro-Beijing.

Demonstrasi besar-besaran pada 1 Oktober 2019, sempena dengan ulangtahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China, menyaksikan antara keganasan yang paling teruk termasuk penggunaan peluru hidup oleh polis terhadap demonstran. Ketua Eksekutif Hong Kong Lam Cheng Yuet-ngor menggunakan Ordinan Peraturan-peraturan Darurat yang digubal pada tahun 1922 semasa penjajahan British untuk memperkenalkan undang-undang anti-topeng pada 4 Oktober 2019. Pelaksanaan undang-undang anti-topeng yang menghalang orang awam menutup muka mereka, mencetuskan kemarahan yang lebih hebat lagi di kalangan demonstran.

Gelombang protes terbaru di Hong Kong yang sudah berlarutan lebih 4 bulan ini, merupakan manifestasi kebimbangan rakyat Hong Kong terhadap campurtangan Kerajaan Pusat Beijing terhadap Wilayah Pentadbiran Khas yang sepatutnya menikmati autonomi politik yang meluas ini, di samping kekecewaan terhadap penghakisan ruang kebebasan yang semakin hebat. Walaupun ramai antara mereka yang berprotes terpengaruh dengan pemikiran liberal dari Dunia Barat, tetapi ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Hong Kong, khususnya anak-anak muda, wujud juga kerana ketidakjaminan hidup akibat daripada sistem ekonomi kapitalis yang neoliberal.

Indonesia

20190924 - Suara KPBI 70626924_927561807610628_1444410292057407488_n

Pelajar-pelajar Indonesia bermobilisasi dan berprotes sejak 23 September 2019, dengan slogan #ReformasiDikorupsi, untuk menyatakan bantahan mereka terhadap penggubalan beberapa rang undang-undang yang bakal menyekat ruang demokrasi dan menghakis kesejahteraan rakyat Indonesia.

Gelombang protes terbaru ini boleh dikatakan gerakan pelajar Indonesia yang terbesar sejak tahun 1998. 5 orang telah mati kerana protes ini.

Iraq

20191101 - 75418225_2560283640718327_3282175043659890688_n.jpg

Gelombang protes tercetus di Iraq mulai 1 Oktober 2019 untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah korupsi, pengangguran dan perkhidmatan awam yang teruk.

Oleh sebab tekanan daripada protes rakyat, Kerajaan Iraq pimpinan Adil Abdul-Mahdi mengumumkan beberapa dasar pembaharuan, termasuk pencen untuk semua keluarga tanpa pendapatan, pengagihan plot kediaman kepada golongan miskin, pinjaman kepada orang muda, dan peruntukan 50% untuk anak muda tempatan dalam semua kontrak kerajaan pada masa depan. Namun, pengumuman pembaharuan ini masih tidak sepadan dengan hasrat rakyat Iraq yang inginkan perubahan yang menyeluruh.

Aksi protes bersambung pada 24 Oktober 2019 untuk pusingan terbaru selepas reda seketika sejak 8 Oktober 2019. Kedua-dua pusingan aksi protes dilayan dengan tindakan kekerasan daripada pasukan keselamatan, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 250 orang sudah terbunuh setakat ini.

Lubnan

20191101- Lebanon - HAS150-1020_2019_124733.jpg

Gelombang protes melanda Lubnan mulai 17 Oktober 2019. Bermula daripada ketidakpuasan hati terhadap pengenalan cukai yang membebankan rakyat, termasuk cukai regresif terhadap panggilan protokol suara-melalui-internet (VoIP), protes berkembang menjadi kebangkitan rakyat terhadap gejala korupsi dan cara kerajaan yang bermasalah dalam mengendalikan ekonomi negara Lubnan.

Walaupun Kerajaan Lubnan mengumumkan penarikan balik cukai yang dicadangkan, tetapi protes masih berterusan dan berkembang menjadi gerakan massa bukan-sektarian yang menentang seluruh kelas elit politik pemerintah. Pengumuman “pembaharuan” oleh kerajaan, seperti pemotongan gaji untuk kebanyakan pegawai tinggi kerajaan dan ahli politik serta program kebajikan untuk golongan miskin dan penganggur, masih tidak dapat membendung penularan kemarahan rakyat.

Pada 27 Oktober 2019, hampir 170,000 orang mengambil bahagian dalam aksi membentuk rantai manusia sepanjang 170km dari Tripoli di utara sehingga ke Tyre di selatan negara Lubnan.

Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri mengumumkan perletakan jawatannya pada 29 Oktober 2019, menandakan kemenangan penting untuk gerakan protes rakyat Lubnan. Namun, negara Lubnan masih menghadapi masa hadapan yang tidak menentu.

Sudan

20191101 - Sudan Mohamed Nureldin Abdallah reuters.jpg
(foto oleh Mohamed Nureldin Abdallah)

Protes jalanan kembali menjadi kerap sejak pertengahan bulan September 2019 kerana tuntutan rakyat untuk keadilan dan kebertanggungjawaban masih lebih ditunaikan.

Pada 12 September 2019, ribuan rakyat Sudan mengadakan demonstrasi jalanan untuk menuntut supaya Majlis Kedaulatan Sudan memecat ketua hakim dan peguam negara yang dianggap mempunyai hubungan rapat dengan rejim Omar al-Bashir yang telah dijatuhkan sebelum ini. Kemudiannya tercetus aksi-aksi protes berkenaan dengan isu pembunuhan orang awam oleh Pasukan Sokongan Rapid (RSF), perlombongan emas yang menggunakan sianida dan merkuri, perbicaraan terhadap aktivis pro-demokrasi dan sebagainya.

Pada 21 Oktober 2019, puluhan ribu orang rakyat Sudan berdemonstrasi di jalanan dengan tuntutan membubarkan Parti Kongres Nasional (NCP), parti yang menguasai politik Sudan semasa zaman pemerintahan kediktatoran Omar al-Bashir, dan juga mendapatkan keadilan untuk mangsa-mangsa pembunuhan beramai-ramai di Khartoum pada 3 Jun 2019.

Sudan telah melalui satu gelombang kebangkitan rakyat selama 8 bulan, dari bulan Disember 2018 hingga Ogos 2019, yang menyaksikan penggulingan kerajaan diktator dan permulaan proses transisi ke demokrasi. Kerajaan pimpinan diktator Omar al-Bashir dijatuhkan pada 11 April 2019 dalam satu kudeta berikutan protes rakyat yang hebat. Majlis Tentera Peralihan (TMC) yang menggantikan Omar al-Bashir telah melakukan pembunuhan beramai-ramai pada 3 Jun 2019 di Khartoum terhadap demonstran pro-demokrasi yang berkhemah di jalanan. Di samping itu, pasukan keselamatan di bawah arahan TMC juga terlibat dalam beberapa peristiwa keganasan terhadap demonstran yang lain. Selepas rundingan yang berpanjangan, TMC mencapai persetujuan dengan “Deklarasi Kuasa Kebebasan dan Perubahan” (DFCF) yang mewakili gerakan protes yang menjatuhkan Omar al-Bashir, untuk memulakan proses berjangkamasa 39 bulan untuk menjalani peralihan institusi negara dan prosedur mengembalikan demokrasi di Sudan.

One thought on “Oktober bergelora: Gelombang protes berterusan demi keadilan sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *