20190605 - sudansudan-repression.jpgAmat jelas sekali bahawa pihak tentera Sudan bukannya sekutu yang boleh dipercayai dalam memperjuangkan demokrasi di negara yang menjatuhkan seorang diktator baru-baru ini.

Pada 3 Jun 2019, tentera Sudan telah menyerbu sebuah tapak protes di Khartoum, ibu negara Sudan, dan melepaskan tembakan ke atas demonstran yang tidak bersenjata sehingga membunuh sekurang-kurangnya 30 orang.

Majlis Tentera Peralihan (TMC) yang diketuai Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, telah memutuskan untuk membatalkan semua perjanjiannya dengan gabungan pembangkang utama sebelum ini. Pihak tentera merancang untuk mengadakan pilihanraya dalam tempoh 9 bulan. Pihak pembangkang telah menolak rancangan pihak tentera ini, selepas serangan ganas pasukan keselamatan terhadap mereka yang berprotes di Khartoum. Mereka bimbang bahawa rancangan yang diumumkan oleh Majlis Tentera Peralihan akan membolehkan pihak tentera terus menguasai dan mempengaruhi perjalanan pilihanraya. Gerakan pro-demokrasi yang diterajui oleh Persatuan Profesional Sudan (SPA) telah menggesa Majlis Tentera Peralihan untuk menyerahkan kuasa pemerintahan secara serta-merta kepada sebuah kerajaan peralihan yang dipimpin oleh orang awam.

Pada pertengahan bulan Mei lalu, Majlis Tentera Peralihan telah mencapai beberapa persetujuan dengan wakil-wakil gabungan pembangkang yang bergelar “Deklarasi Kuasa Kebebasan dan Perubahan” (DFCF) dalam satu proses rundingan. DFCF mewakili gerakan protes yang menjatuhkan Omar al-Bashir pada bulan April 2019. Antara persetujuan yang tercapai adalah, pembentukan satu kerajaan peralihan bersama untuk tempoh 3 tahun sebelum mengadakan pilihanraya, dan penubuhan sebuah dewan perundangan yang terdiri daripada 300 orang anggota dengan dua pertiga daripadanya adalah anggota daripada gabungan pembangkang. Namun, pihak tentera dan gabungan pembangkang tidak dapat mencapai persetujuan dalam beberapa perkara, termasuk Majlis Kedaulatan, di mana pihak tentera enggan membenarkan penguasaan orang awam dalam badan tersebut. Majlis Kedaulatan mempunyai kuasa untuk mengisytihar perang atau membuat keputuan tentang penyertaan dalam operasi ketenteraan bersama dengan negara lain. DFCF tidak bersetuju dengan dominasi pihak tentera dalam Majlis Kedaulatan, kerana ia berpandangan bahawa Sudan perlu mengubah dasar luarnya demi kepentingan sebenar rakyat Sudan, bukannya dipengaruhi oleh kepentingan negara luar. Misalnya, negara Sudan pada masa kini masih menyokong gabungan ketenteraan yang dipimpin Arab Saudi dan disokong Amerika Syarikat dalam melancarkan perang di Yaman.

Sejak rundingan antara pihak tentera dan gabungan pembangkang gagal diteruskan, sebahagian daripada pihak tentera telah cuba menyuraikan demonstrasi rakyat di jalanan.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai terhadap demonstran pro-demokrasi di ibu negara Sudan merupakan tindakan menyekat momentum kebangkitan rakyat Sudan.

20190605 - sudanAP_19013635286512

Gelombang protes di negara Sudan yang tercetus mulai bulan Disember 2018, menjatuhkan pemerintah diktator Omar al-Bashir pada 11 April 2019. Pihak tentera terpaksa menyingkirkan Omar al-Bashir sebagai Presiden untuk memastikan gelombang protes itu tidak menjadi “di luar kawalan” dan mengubah sistem secara keseluruhan. Ahmed Awad Ibn Auf, jeneral tentera yang merupakan Naib Presiden Sudan ketika Omar al-Bashir menjadi Presiden, mengisytiharkan dirinya sebagai ketua negara secara de facto, tetapi meletak jawatannya sehari selepas itu dan menyerahkan kuasanya kepada Abdel Fattah al-Burhan untuk memimpin Majlis Tentera Peralihan, hasil daripada desakan massa yang berprotes.

Abdel Fattah al-Burhan pada awalnya untuk menonjolkan dirinya bersimpati dengan mereka yang berprotes di jalanan, tetapi realitinya adalah pihak tentera Sudan yang merupakan sebahagian daripada sistem pemerintahan yang penuh bermasalah itu hanya cuba melindungi kepentingan kelas pemerintah dan berusaha untuk menenangkan keadaan bagi memastikan kebangkitan rakyat itu tidak mengubah struktur masyarakat secara total.

Sebelum pihak tentera Sudan melancarkan serangan terhadap demonstran yang pro-demokrasi, pemimpin tentera Abdel Fattah al-Burhan telah mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir. Ketiga-tiga kuasa di Dunia Arab yang anti-demokrasi ini cuba mengukuhkan pengaruh mereka terhadap Sudan selepas kejatuhan Omar al-Bashir. Adalah tidak hairan bahawa kuasa autokratik yang reaksioner seperti Arab Saudi mendukung penindasan secara ganas terhadap gerakan pro-demokrasi di Sudan.

Persatuan Profesional Sudan dan kumpulan-kumpulan pembangkang yang pro-demokrasi telah meneruskan protes jalanan selepas kejatuhan Omar Al-Bashir untuk menuntut pada Majlis Tentera Peralihan supaya berundur serta-merta supaya membolehkan pembentukan kerajaan transisi yang dipimpin orang awam dan melaksanakan pembaharuan sosial yang sepatutnya.

Penunjuk perasaan yang pro-demokrasi telah mengadakan aksi mogok dua hari pada 28-29 Mei 2019. Pihak tentera yang berkuasa enggan mendengar tuntutan pemogok, sebaliknya menuduh bahawa gerakan protes telah diresapi unsur-unsur yang “anti-Sudan”.

Kezaliman terhadap gerakan pro-demokrasi yang dilakukan oleh pihak tentera Sudan baru-baru ini, telah membongkarkan wajah sebenar pimpinan tentera dan ancaman terhadap usaha perjuangan demokrasi di Sudan adalah amat hebat. Situasi di Sudan semakin tegang dengan pihak tentera yang mendapat sokongan daripada kuasa anti-demokratik seperti Arab Saudi, UAE dan Mesir berpendirian tegas untuk menjaga kepentingan kelas pemerintah dan sanggup menggunakan kekerasan untuk menghancurkan protes yang menggugat kuasa mereka.

Jurucakap Persatuan Profesional Sudan Mohammed Yousef al-Mustafa berkata, “Kami tiada pilihan kecuali meneruskan protes dan ketidakpatuhan sivil sehingga kejatuhan Majlis Tentera Peralihan.” Persatuan Profesional Sudan juga menyeru pada masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan tentera, dan mendesak untuk pihak tentera menyerahkan kuasa kepada kerajaan pimpinan orang awam.

20190605 - sudan3264

Bacaan tambahan: Kebangkitan Dunia Arab 2.0? – Jangan percaya pada elit kelas pemerintah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s