Sejak 17 Oktober 2019, Lubnan dilanda gelombang protes yang terbesar dalam 14 tahun kebelakangan ini yang telah melumpuhkan negara tersebut.
Protes yang bermula daripada ketidakpuasan hati terhadap pengenalan cukai yang membebankan rakyat, telah berkembang menjadi tunjuk perasaan kemarahan yang hebat terhadap gejala korupsi dan cara kerajaan yang bermasalah dalam mengendalikan ekonomi negara Lubnan.
Kerajaan Lubnan cuba mengenakan cukai yang kontroversi, termasuk caj harian 20 sen (ataupun $6 sebulan) terhadap panggilan protokol suara-melalui-internet (VoIP) melalui aplikasi mudah alih seperti WhatsApp dan Facebook CallApp, dan juga kenaikan cukai terhadap barangan tembakau. Pengumuman tersebut dibuat pada 16 Oktober 2019. Namun, tidak lama kemudian, Kerajaan Lubnan telah menarik balik pelaksanaan cukai-cukai tersebut berikutan pencetusan protes baru-baru ini. Akan tetapi, rakyat yang berdemonstrasi masih meneruskan aksi di jalanan, kerana punca kemarahan mereka jauh daripada sekadar dasar percukaian yang membebankan. Rakyat Lubnan tidak dapat lagi berdiam diri terhadap krisis ekonomi dan politik yang semakin serius di negara itu.
Demonstran membanjiri jalanan di bandar-bandar utama Lubnan, menyatakan kemarahan mereka terhadap pemimpin kerajaan yang gagal melaksanakan pembaharuan yang mengagihkan kekayaan negara secara adil. Pemimpin Kerajaan Lubnan bukan sahaja enggan melaksanakan dasar pembaharuan masyarakat yang semestinya akan menyetuh poket kekayaan kelas pemerintah, malah sebaliknya mengambil keputusan untuk memperkenalkan percukaian yang hanya akan meningkatkan kos sara hidup untuk rakyat miskin.
Demonstrasi yang terbesar berlangsung di Beirut, ibu negara Lubnan, setiap hari sejak 17 Oktober 2019. Ribuan orang berhimpun di Dataran Riad al-Solh di pusat bandar Beirut, berdekatan dengan ibupejabat kerajaan. Demonstran juga menyekat jalanraya keluar masuk bandar tersebut, sementara jalan yang menuju ke lapangan terbang turut disekat. Demonstran melaungkan slogan-slogan seperti menyeru untuk menumpaskan rejim pemerintah, memanggil untuk revolusi dan mengecam “pencuri” yang menggadaikan kepentingan rakyat. Demonstrasi juga diadakan di bandar-bandar lain, seperti Tripoli, Sidon dan Tyre. Demonstran menggesa perletakan jawatan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Saad Hariri atas kegagalannya dalam pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan membasmi korupsi. Pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk menyuraikan protes secara keras sehingga mencederakan ramai orang.
Walaupun aksi demonstrasi bukannya sesuatu yang jarang berlaku di Lubnan, tetapi saiz demonstran yang beraksi secara berterusan selama beberapa hari baru-baru ini, adalah sesuatu yang belum lagi disaksikan sejak gelombang aksi protes yang dikenali sebagai “Revolusi Cedar” pada tahun 2005. Revolusi Cedar pada 14 tahun lalu tercetus berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan Rafik Hariri, dan berjaya mendesak pengunduran tentera Syria dari Lubnan yang mencampurtangan urusan negara Lubnan selama 15 tahun sejak tamatnya Perang Saudara Lubnan (1975-1990). Revolusi Cedar yang menjatuhkan kerajaan Lubnan yang pro-Syria pada tahun 2005, sepatutnya membuka tirai baru kepada pentadbiran oleh pegawai tempatan yang lebih bebas untuk menguruskan hal ehwal negara, tetapi apa yang berlaku adalah korupsi dan nepotisme yang berleluasa melanda semua institusi negara, di samping jurang antara golongan elit yang kaya dengan rakyat umum semakin melebar.
Gelombang protes yang terbaru ini berpunca daripada dasar Kerajaan Lubnan yang memangsakan lagi rakyat biasa dalam cubaannya untuk menangani krisis ekonomi dalam negara. Lubnan sedang menanggung hutang sejumlah USD 86 bilion, yang bersamaan dengan lebih kurang 150% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara itu, dan jumlah ini sedang meningkat. Simpanan bank pusat Lubnan telah merosot sebanyak 30% pada tahun yang lepas dan matawang tempatan susut nilai dengan hebatnya berbanding dollar AS pada beberapa bulan kebelakangan ini. Pada bulan Julai 2019, parlimen Lubnan meluluskan belanjawan “penjimatan” untuk mengurangkan defisit negara, yang termasuk langkah-langkah anti-rakyat seperti mengurangkan gaji, memotong pencen untuk kakitangan kerajaan, meningkatkan cukai tambah nilai dan sebagainya. Langkah-langkah “penjimatan” yang membebankan semua sektor masyarakat (dengan golongan miskin paling terkesan) ini dilaksanakan bagi tujuan mendapatkan “bantuan” antarabangsa sejumlah USD 11 bilion yang dijanjikan oleh “penderma-penderma” dalam persidangan ekonomi CEDRE yang diadakan di Paris pada bulan April 2018.
Sementara itu, kadar pengangguran di Lubnan sudah mencapai tahap hampir 30%, dan kadar pengangguran di kalangan anak muda lebih tinggi lagi. Setiap hari, rakyat Lubnan menghadapi masalah gangguan bekalan elektrik, gangguan bekalan air dan sampah busuk yang tidak dikutip.
Parti-parti politik dan organisasi-organisasi yang berhaluan kiri, termasuk Parti Komunis Lubnan dan Persekutuan Nasional Kesatuan-kesatuan Pekerja dan Buruh di Lubnan (FENASOL), telah memobilisasi untuk menyokong protes terbaru ini. Sementara itu, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, pula berkata bahawa beliau tidak bersetuju dengan perletakan jawatan kerajaan.
Parti Komunis Lubnan mengecam respon daripada kerajaan yang represif terhadap protes rakyat, di samping menyeru pada rakyat Lubnan untuk terus memobilisasi dalam perjuangan menentang korupsi dan krisis ekonomi. FENASOL mengumumkan bahawa kesatuan-kesatuan pekerja di Lubnan akan berjuang secara habis-habisan demi mempertahankan hak rakyat untuk kehidupan yang bermaruah. FENASOL menegaskan bahawa “rakyat mahukan kehidupan selesa, kerja, kesihatan, pendidikan, perlindungan hari tua dan akses kepada perkhidmatan awam seperti elektrik, air dan komunikasi. Ini adalah kebangkitan rakyat kita di Lubnan.” FENASOL juga mengkritik model ekonomi yang berasaskan eksploitasi dan pengekstrakan kekayaan daripada rakyat miskin dan kelas pekerja, sementara golongan berkuasa yang memusnahkan ekonomi pula dapat mengelakkan diri daripada tanggungjawab mereka.
Kebangkitan rakyat Lubnan telah menjadi sebahagian daripada gelombang rakyat menentang dasar ekonomi neoliberal yang terbaru di peringkat antarabangsa.
3 thoughts on “Lubnan: Rakyat bangkit lawan dasar ekonomi yang menindas”