20191006 - _109109379_4682e2ac-87b5-4081-af4e-3433fda3aba9.jpg

Pada 1 Oktober 2019, gelombang protes yang baru tercetus di ibu negara Iraq, Baghdad, dan juga beberapa wilayah di negara itu, apabila ribuan rakyat turun ke jalanan untuk berdemonstrasi menentang kerajaan Adil Abdul-Mahdi yang gagal melindungi kesejahteraan rakyat. Rakyat yang berprotes marah dengan keadaan pengangguran yang serius, korupsi agensi kerajaan yang berleluasa dan kualiti perkhidmatan asas yang teruk.

Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan peluru hidup untuk menyuraikan demonstrasi. Pertempuran antara demonstran dengan polis tercetus di tempat yang berlainan. Setelah beberapa hari protes, ramai orang mati termasuk dibunuh oleh penembak hendap yang tidak diketahui identiti. Menurut suruhanjaya hak asasi manusia parlimen Iraq, sehingga 6 Oktober 2019, sekurang-kurangnya 99 orang telah mati dan hampir 4,000 orang cedera sejak protes tercetus di Baghdad pada 1 Oktober 2019. Sementara itu, lebih 500 orang demonstran telah ditangkap, dan ramai antara mereka masih ditahan.

Kerajaan Iraq telah mengeluarkan perintah kurung di Baghdad dan beberapa buah bandar di selatan negara itu. Pihak berkuasa juga mengenakan sekatan terhadap internet yang mengganggu 75% daripada akses internet di Iraq. Pasukan keselamatan tambahan dikerahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.

Gelombang protes yang melanda seluruh negara Iraq ini merupakan salah satu yang terbesar di negara tersebut untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada tahun 2003, negara tersebut telah terhumban dalam perang yang berterusan. Selepas tentera AS mengundur dari Iraq, situasi konflik keganasan di Iraq masih tidak kehabis-habisan. Kemunculan ISIS dan perluasan penguasaannya di wilayah utara Iraq pada sekitar tahun 2014 mengundang konflik bersenjata yang serius sehingga ia ditewaskan pada tahun 2017. Walaupun Iraq telah mengadakan pilihanraya dari semasa ke semasa, tetapi tiada sebuah kerajaan yang ditubuhkan itu berjaya mengembalikan kestabilan kepada negara yang penuh dengan gelora konflik ini.

Protes yang serupa juga tercetus di selatan Iraq, termasuk bandar Basra. Tuntutan yang dibangkitkan oleh demonstran merangkumni perletakan jawatan perdana menteri sehingga pembaharuan sistem pentadbiran. Terdapat juga ramai demonstran yang tidak berpuas hati dengan campurtangan tentera dan pengaruh politik Iran di Iraq.

Mobilisasi untuk protes baru-baru ini, nampaknya tiada kepimpinan yang jelas, dengan ramai orang bermobilisasi melalui penggunaan media sosial.

Negara Iraq yang mempunyai penduduk berjumlah lebih kurang 38 juta, walaupun kaya dengan sumber minyak, tetapi sedang menghadapi masalah untuk mewujudkan pekerjaan bagi anak-anak muda yang ramainya mendapat pendidikan tahap universiti. Majoriti rakyat Iraq sekarang berumur 30 tahun ke bawah, namun kadar pengangguran di kalangan anak muda mencecah 25%. Kadar kemiskinan di Iraq juga meningkat ke paras melebihi 23% sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Banyak infrastruktur asas Iraq telah dihancurkan ketika perang yang berlarutan untuk bertahun-tahun lamanya. Kerajaan Iraq yang saling bertukar tangan beberapa kali sejak tahun 2003, hanya menumpukan perhatian pada isu “keselamatan” sehingga mengabaikan pembinaan semula negara yang penuh bermasalah ini. Korupsi di kalangan pemimpin politik dan agensi kerajaan agak berleluasa. Dianggarkan lebih USD 450 bilion dana awam telah disalahguna sejak tahun 2004, satu jumlah yang mampu memperbaiki kehidupan rakyat secara signifikan sekiranya digunakan secara berhemah.

Semua parti politik utama di Iraq, termasuk Pakatan Saairun yang dipimpin oleh Muqtada al-Sadr, telah menyuarakan sokongan mereka terhadap tuntutan-tuntutan yang dibangkitkan oleh demonstran dan menggesa untuk mengadakan satu sesi khas di parlimen Iraq bagi membincangkan tuntutan-tuntutan tersebut. Parti Komunis Iraq ialah salah satu parti komponen dalam Pakatan Saairun dan mempunyai 2 orang ahli parlimen dalam Majlis Perwakilan Iraq.

Perdana Menteri Adil Abdul-Mahdi menyatakan bahawa kerajaan akan memberi respon kepada tuntutan demonstran tetapi telah memberi amaran bahawa “tiada penyelesaian ajaib” untuk masalah di Iraq. Adil Abdul-Mahdi juga menyokong tindakan pasukan keselamatan dengan mengatakan mereka mematuhi “standard antarabangsa” dalam menangani demonstran. Namun, kerajaan Iraq perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan nyawa rakyat Iraq untuk beberapa hari yang lepas akibat daripada keganasan pihak berkuasa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyeru untuk menghentikan “kehilangan nyawa yang tidak masuk akal” di Iraq.

4 thoughts on “Iraq: Gelombang protes menentang pengangguran, korupsi dan kemerosotan perkhidmatan awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *