20191009 - indigenas-hacia-quito-2.jpg

Gelombang kebangkitan rakyat menentang dasar ekonomi neoliberal di Ecuador semakin hebat, sehingga Presiden Ecuador Lenín Moreno mengumumkan pada 7 Oktober 2019 bahawa kerajaannya dipindah keluar dari ibu negara, Quito, ke bandar Guayaquil yang terletak di kawasan pantai di bahagian barat negara tersebut. Sementara itu, ribuan rakyat pula mara ke bandar Quito untuk menyertai aksi protes besar-besaran yang sedang berlangsung di situ.

Moreno telah mengisytihar darurat pada 3 Oktober 2019 untuk menghadapi protes besar-besaran yang menentang dasarnya yang menjejaskan kehidupan rakyat bawahan. Pengisytiharan darurat memberikan kuasa yang meluas kepada presiden untuk membuat apa-apa sahaja, termasuk memindahkan pusat pentadbiran dari ibu negara ke bandar lain. Dalam erti kata lain, aksi protes yang hebat di bandar Quito telah memaksa Moreno melarikan diri dari ibu negara!

“Perpindahan” pusat pentadbiran negara Ecuador ini berlaku ketika ribuan rakyat daripada masyarakat orang asal berhimpun di bandar Quito untuk menentang “pembaharuan” Morena yang bersifat neoliberal. Ramai lagi orang dari tempat yang berlainan di Ecuador dalam perjalanan mereka ke ibu negara. Penglibatan masyarakat orang asal dalam protes mempunyai makna yang signifikan, kerana protes yang diterajui masyarakat orang asal Ecuador sebelum ini pernah menjatuhkan tiga orang presiden sebelum Rafael Correa menjadi presiden pada tahun 2007-2017.

Organisasi orang asal bersama-sama dengan kesatuan sekerja, gerakan sosial dan organisasi petani telah berarak ke Istana Candolet, iaitu tempat terletaknya pusat pentadbiran kerajaan di Quito. Polis dan tentera menggunakan keganasan yang ekstrim dalam cubaan untuk menyuraikan demonstran di Quito. Gas pemedih mata dan peluru getah, malah peluru hidup, turut digunakan oleh polis dan tentera Ecuador untuk mematahkan aksi protes. Dalam tempoh masa hampir seminggu selepas tercetusnya demonstrasi besar-besaran, sekurang-kurangnya 477 orang telah ditangkap. 3 orang demonstran telah mati, manakala sekurang-kurangnya 100 orang cedera, akibat daripada keganasan pihak berkuasa.

20191009 - Rodrigo Buendía -AFP via Getty Image
(Foto oleh Rodrigo Buendía/AFP)

Moreno mengumumkan langkah-langkah “penjimatan” (austerity) pada 1 Oktober 2019, berdasarkan perjanjiannya dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan pinjaman wang sebanyak USD 4.2 bilion daripada institusi kewangan tersebut. Antara langkah yang hendak dilaksanakan adalah penghapusan subsidi petroleum dan diesel yang sudah wujud selama 3 dekad, dengan tindakan tersebut tanpa apa-apa alternatif untuk mengurangkan beban hidup rakyat sudah pastinya akan mendatangkan kesengsaraan yang teruk kepada masyarakat bawahan. Kerajaan pimpinan Moreno juga mengenakan sekatan terhadap pembayaran pendahuluan cukai pendapatan dan merangcang untuk beberapa “pembaharuan” undang-undang buruh yang bakal menghakis hak pekerja, termasuk mengurangkan separuh masa cuti untuk pekerja sektor awam, dan pekerja akan mendapat ganjaran kurang 20% apabila kontrak kerja sementara diperbaharui. Penghapusan subsidi bahan api menyebabkan peningkatan 123% harga bahan api dengan serta-merta.

Berikutan pengumuman Moreno tentang dasar neoliberal yang terbarunya, gerakan sosial, kesatuan sekerja, organisasi petani, komuniti nelayan, pertubuhan kejiranan, organisasi pelajar, organisasi masyarakat orang asal dan organisasi politik yang progresif, telah mengadakan demonstrasi di seluruh negara untuk menentang langkah-langkah “pembaharuan” ekonomi yang dibawa oleh boneka IMF. Protes yang menyekat lebuhraya dan jalan utama telah melumpuhkan hampir semua aktiviti pentadbiran dan ekonomi di Ecuador.

Moreno mendakwa presiden sebelumnya Rafael Correa ialah dalang di sebalik protes terbaru ini untuk merampas kuasa. Correa menafikan dakwaan tersebut. Moreno dipilih sebagai Presiden dalam pilihanraya pada tahun 2017, dengan janjinya untuk meneruskan dasar yang dibawa oleh Correa. Namun, Moreno menunjukkan belangnya selepas menang dan mengkhianati perjuangan yang diterajui oleh Correa sebelum ini. Morena telah berpaling tadah untuk mendampingi kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan institusi kewangan antarabangsa, di samping mengamalkan dasar neoliberal yang menekan rakyat, seperti pengurangan perbelanjaan awam, liberalisasi perdagangan, pengfleksibelan undang-undang buruh dan sebagainya.

Sebagai respon terhadap Darurat yang diisytihar oleh Moreno dan penindasan secara keras oleh pasukan keselamatan ke atas protes rakyat, Konfederasi Bangsa-Bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE), salah sebuah organisasi masyarakat yang terbesar di Ecuador, telah mengisytiharkan “keadaan berkecuali” untuk wilayah masyarakat orang asal pada 5 Oktober 2019. CONAIE memberi amaran bahawa ia akan menggunakan sistem keadilan masyarakat orang asal terhadap pegawai-pegawai tentera dan polis yang memasuki wilayah orang asal untuk mematahkan protes mereka.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan kerajaan-kerajaan berhaluan kanan di Amerika Latin yang bersekutu dengan kuasa imperialis Barat telah menunjukkan hipokrasi mereka apabila berdepan dengan gelombang protes yang hebat di Ecuador. Kerajaan-kerajaan yang sama ini amat ghairah dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Nicolás Maduro di Venezuela yang mengamalkan dasar yang bertentangan dengan kepentingan mereka, tetapi berdiam diri ataupun terus mengekalkan sokongan terhadap Moreno yang ditentang kuat oleh rakyat Ecuador sendiri. Yang paling kelakar adalah pemimpin pembangkang Venezuela berhaluan kanan Juan Guaidó yang menggelar dirinya sebagai “presiden sementara”, menyampaikan mesej solidaritinya kepada Moreno, dengan dakwaan bahawa kumpulan yang dibiayai oleh Maduro sedang mengambil kesempatan untuk merampas kestabilan negara Ecuador, sedangkan puak berhaluan kanan di Venezuela telah menggunakan pelbagai cara yang keji untuk menimbulkan kekacauan di Venezuela untuk menjatuhkan kerajaan Maduro.

Rakyat Ecuador pernah merasai keperitan di bawah dasar neoliberal dan menjatuhkan kerajaan yang anti-rakyat sebelum ini. Mereka memang tidak mahu dasar neoliberal yang memiskinkan rakyat terus mengganas di negara mereka. Rakyat Ecuador akan terus bermobilisasi untuk menentang kerajaan boneka IMF yang dipimpin Lenín Moreno sekarang ini.

3 thoughts on “Ecuador: Presiden terpaksa pindah pusat pentadbiran negara kerana protes semakin hebat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *