20191019 - _109293006_2e190a2f-c7b4-43ce-acc6-cf49a3df2a1b

Kemarahan rakyat Chile terhadap kenaikan kos sara hidup meletus menjadi gelombang protes yang terbaru. Kerajaan Chile mengisytihar darurat pada hari ini (19 Oktober 2019) di ibu negara itu, Santiago, berikutan protes rakyat membantah kenaikan harga tambang metro menjadi semakin hebat dan berlakunya perbuatan vandalisme yang berleluasa.

Darurat di Santiago yang diisytihar oleh Presiden Chile Sebastián Piñera yang boleh berkuatkuasa selama 15 hari, memberi kuasa tambahan kepada kerajaan untuk menyekat kebebasan rakyat untuk bergerak dan hak untuk berhimpun. Pemandangan kereta perisai tentera merayau di di jalanan bandar Santiago, merupakan sesuatu yang tidak pernah dilihat sejak lewat tahun 1980-an selepas kejatuhan pemerintahan diktator Augusto Pinochet.

20191019 -_109293008_5cd0a17e-9aec-4efe-8d5a-3056f20985be

Demonstrasi membantah kenaikan tambang pengangkutan metro bermula pada minggu yang lalu ini dengan protes diadakan di stesen-stesen metro bawah tanah di bandar Santiago. Tambang metro telah dinaikkan sebanyak 30 peso (bersamaan lebih kurang RM2.15) baru-baru ini. Pelajar-pelajar yang berprotes telah melompat melepasi pagar masuk ke metro secara beramai-ramai, dan ada yang untuk menghentikan keretapi di platform metro. Kerajaan mengerahkan pasukan keselamatan khas untuk mematahkan protes dan mencetuskan pertempuran antara demonstran dengan pihak berkuasa.

Protes terbaru di Chile merupakan manifestasi kemarahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan, termasuk kos kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan awam.  Pertubuhan pelajar Chile yang anti-penswastaan telah bangkit semula dalam protes terbaru ini. Persekutuan pelajar Chile telah menyeru untuk mengadakan mogok. Chile pernah dilanda protes pelajar besar-besaran pada tahun 2011-2013 yang memperjuangkan sistem pendidikan awam dan menentang pendidikan tinggi yang bermotifkan keuntungan swasta.

20191019 - _109293014_1041d668-f0bb-4d2a-9f4b-881ec861712a

Selain daripada kemarahan terhadap keadaan sosio-ekonomi yang tidak adil untuk rakyat bawahan, ramai juga tidak berpuas hati dengan pasukan polis nasional Chile yang dikerumuni dengan skandal korupsi dan keganasan terhadap orang awam. Tindakan ganas polis dalam menangani protes telah dikecam ramai orang.

Sebastián Piñera yang menyandang jawatan Presiden Chile untuk kali kedua sejak tahun 2018 (kali pertamanya pada tahun 2010-2014), ialah seorang hartawan yang berpegang pada politik berhaluan kanan. Piñera yang merupakan penyokong kepada diktator Augusto Pinochet, telah mengamalkan dasar sosio-ekonomi yang neoliberal, termasuk menganggap pendidikan sebagai komoditi yang boleh menjana keuntungan. Negara Chile boleh dianggap agak aman dan tenteram di kalangan negara Amerika Selatan sejak peralihan ke demokrasi pada tahun 1990, namun tidak dapat imun daripada protes besar-besaran yang menentang dasar neoliberal.  Selagi kerajaan masih melaksanakan dasar yang menjejaskan kehidupan rakyat biasa, sudah pastinya perjuangan di jalanan akan berterusan.

5 thoughts on “Chile: Kenaikan tambang metro cetuskan kemarahan rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *