20191015 - 1571047452_313835_1571067458_noticia_normal_recorte1

Mahkamah Agung Sepanyol menjatuhkan hukuman berat terhadap 9 orang pemimpin gerakan kemerdekaan Catalonia yang disabit kesalahan “menghasut”, “perbuatan ingkar” dan “salah guna dana awam”. 9 orang pemimpin Catalonia yang disabit kesalahan tersebut masing-masing dihukum penjara dari 9 hingga 13 tahun. Sementara itu, 3 orang lagi pemimpin yang disabit kesalahan perbuatan ingkar dikenakan denda.

Pertuduhan dan sabitan kesalahan ini berkaitan dengan penglibatan mereka dalam menganjurkan referendum kemerdekaan di Catalonia pada tahun 2017 yang mendapat sambutan hebat daripada rakyat Catalonia.

Oriol Junqueras, mantan Naib Presiden Wilayah Autonomi Catalonia, merupakan pemimpin politik Catalonia yang tertinggi disabit kesalahan, dan beliau ialah salah seorang yang mendapat hukuman paling berat, iaitu penjara selama 13 tahun. Sebelum dihukum penjara, Junqueras telah menjalani tahanan pencegahan selama 711 hari sejak 2 November 2017.

Pemimpin Catalonia lain yang disabit kesalahan ialah:

  • Carme Forcadell (mantan Speaker Parlimen Catalonia; penjara 11.5 tahun),
  • Jordi Turull (mantan Menteri Kepresidenan Catalonia dan jurucakap Kerajaan Catalonia; penjara 12 tahun),
  • Joaquim Forn (mantan Menteri Dalam Negeri Catalonia; penjara 10.5 tahun),
  • Raül Romeva (mantan Menteri Hubungan Luar Negeri Catalonia; penjara 12 tahun),
  • Dolors Bassa (mantan Menteri Buruh dan Hal Ehwal Sosial Catalonia; penjara 12 tahun),
  • Josep Rull (Mantan Menteri Wilayah Catalonia; penjara 10.5 tahun),
  • Jordi Sànchez (pemimpin Perhimpunan Nasional Catalonia, ANC, sebuah organisasi masyarakat yang menuntut kemerdekaan Catalonia; penjara 9 tahun),
  • Jordi Cuixart (pemimpin Òmnium Cultural, sebuah organisasi bahasa dan kebudayaan yang memperjuangkan hak untuk menentukan nasib sendiri Catalonia; penjara 9 tahun),
  • Meritxell Borràs (mantan Menteri Tadbir Urus Catalonia; dilucutkan kelayakan politik selama 20 bulan dan denda €60,000),
  • Carles Mundó (mantan Menteri Kehakiman Catalonia; dilucutkan kelayakan politik selama 20 bulan dan denda €60,000), dan
  • Santi Vila (mantan Menteri Perniagaan Catalonia; dilucutkan kelayakan politik selama 20 bulan dan denda €60,000).

Walau bagaimanapun, panel yang terdiri daripada 7 orang hakim membebaskan orang kena tuduh daripada satu lagi tuduhan yang lebih serius, iaitu “pemberontakan” (bersamaan dengan kudeta yang melibatkan keganasan) dengan hukuman penjara sehingga 25 tahun.

Selepas keputusan mahkamah ini, hakim Sepanyol juga mengeluarkan waran tangkap baru terhadap Carles Puigdemont, mantan Presiden Catalonia yang melarikan diri ke Belgium untuk mengelakkan diri daripada ditangkap dan didakwa di Sepanyol sejak bulan November 2017.

Sejurus selepas keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman berat terhadap pemimpin kemerdekaan Catalonia, jalanan di bandar Barcelona dan bandar-bandar utama lain di Catalonia telah dibanjiri oleh demonstran. Kebanyakan rakyat Catalonia, sama ada menyokong pemisahan Catalonia dari Sepanyol atau tidak, telah menganggap pertuduhan dan hukuman berat ini sesuatu yang melampau. Adanya orang menjerit slogan, “Ini bukannya keadilan, ini adalah balas dendam!” Ramai rakyat Catalonia menganggap tindakan Kerajaan Pusat Sepanyol ini satu bentuk balas dendam terhadap rakyat Catalonia yang cuba menentukan nasib mereka secara demokratik dua tahun dahulu.

Untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap nasib pemimpin kemerdekaan Catalonia yang dipenjarakan, para demonstran melakukan sekatan di beberapa lebuhraya, sementara perkhidmatan landasan keretapi kelajuan tinggi dari Barcelona ke Girona turut terganggu kerana tindakan sabotaj terhadap landasan. Demonstran turut menduduki Lapangan Terbang Antarabangsa Barcelona, sehingga menyebabkan lebih 100 penerbangan terpaksa dibatalkan pada 14 Oktober 2019. Pertembungan antara polis dengan demonstran berlaku dengan polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan massa yang berprotes.

20191015 - _109232510_mediaitem109232509

Kelab bola sepak terkenal di dunia, FC Barcelona, dan juga Persekutuan Bolasepak Catalonia, turut mengecam hukuman pemenjaraan terhadap pemimpin kemerdekaan Catalonia, dan menggesa untuk mengadakan “dialog dan rundingan” bagi menyelesaikan masalah yang berpanjangan ini. Persekutuan Bolasepak Catalonia juga menggantung semua permainan bola sepak di wilayah Catalonia untuk menyatakan solidariti kepada pemimpin Catalonia yang dimangsakan oleh kerajaan pusat.

Mungkin kerana demonstrasi menyambut “Hari Kebangsaan Catalonia” (la Diada) pada 11 September tahun ini menyaksikan penyertaan yang jauh lebih kecil (dengan 600 ribu orang berdemonstrasi berbanding lebih 1 juta tahun-tahun sebelum ini), pemimpin Kerajaan Sepanyol yang berpusat di Madrid, ingat bahawa pendakwaan dan hukuman terhadap pemimpin kemerdekaan Catalonia boleh menyekat perjuangan menuntut kemerdekaan di wilayah yang sering bertembung dengan kuasa kerajaan pusat ini. Walaupun kuasa pemerintahan pusat sudah bertukar tangan daripada Parti Rakyat (PP) yang berhaluan kanan kepada Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) yang berhaluan kiri-tengah, tetapi nampaknya pemimpin kerajaan pusat Sepanyol masih memegang posisi yang konsisten dalam menindas hak rakyat Catalonia untuk menentukan nasib mereka sendiri. Namun, hukuman berat terhadap pemimpin kemerdekaan Catalonia ini pastinya akan mencetuskan gelombang bantahan yang terbaru terhadap tindakan kerajaan pusat yang anti-demokratik ini.

Referendum Kemerdekaan 2017

Kerajaan Catalonia yang dikuasai oleh golongan pro-kemerdekaan telah mengadakan satu referendum pada 1 Oktober 2017. Walaupun Kerajaan Pusat Sepanyol yang dipimpin oleh Mariano Rajoy pada masa itu menggunakan pelbagai cara yang keras untuk melarang referendum, termasuk mengerahkan polis dari luar Catalonia untuk menutup pusat-pusat mengundi dan menghalang secara fizikal orang ramai daripada membuang undi, masih terdapatnya lebih 2 juta orang rakyat Catalonia membuang undi pada hari itu untuk menentukan nasib mereka. Peristiwa ini mencetuskan krisis politik yang paling serius di Sepanyol dalam tempoh 40 tahun selepas proses transisi ke demokrasi.

Parlimen Catalonia meluluskan resolusi pada 27 Oktober 2017 untuk mengisytihar kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol dan pembentukan Republik Catalonia yang merdeka. Sejam selepas perisytiharan kemerdekaan Catalonia, Perdana Menteri Sepanyol ketika itu Mariano Rajoy terus memecat Kerajaan Catalonia, membubarkan Parlimen Catalonia, dan memanggil untuk pilihanraya awal wilayah Catalonia. Peguam Negara Sepanyol mengemukakan pendakwaan terhadap Carles Puigdemont selaku Presiden Catalonia ketika itu dan pemimpin Catalonia yang lain. Puigdemont dan 5 orang menterinya melarikan diri ke Belgium. Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menggantungkan perisytiharan kemerdekaan Catalonia pada 31 Oktober 2017. Selepas itu, ramai pemimpin kemerdekaan Catalonia ditangkap dan didakwa.

Kerajaan Pusat Sepanyol mengambilalih pemerintahan Catalonia selama 7 bulan dari bulan Oktober 2017 hingga Mei 2018. Dalam pilihanraya wilayah Catalonia pada 21 Disember 2017, 3 buah parti politik pro-kemerdekaan (JuntsxCat, ERC–CatSí dan CUP) masih mengekalkan majoriti dalam Parlimen Catalonia dengan perbezaan kerusi yang sempit, iaitu memenangi 70 daripada 135 kerusi, dan peratusan undi 47.5%. Kerajaan Catalonia yang dibentuk oleh parti-parti pro-kemerdekaan, dengan Quim Torra sebagai Presiden, pada awalnya cuba memasukkan pemimpin yang ditahan tetapi ditolak oleh Kerajaan Pusat dengan enggan meluluskan perlantikan Torra sebagai Presiden Catalonia. Pemerintahan langsung Madrid terhadap Catalonia hanya dicabut selepas kerajaan Catalonia dibentuk tanpa pemimpin politik yang berada dalam tahanan.

Latar belakang sejarah perjuangan kemerdekaan Catalonia

Catalonia ialah salah satu daripada 17 buah wilayah autonomi (comunidad autónoma) di negara Sepanyol. Jumlah penduduk di Catalonia sekarang ini lebih 7.5 juta orang, 15% daripada jumlah penduduk Sepanyol. Catalonia merupakan wilayah yang paling maju dari segi ekonomi di Sepanyol, dengan ekonominya membentuk 20% ekonomi Sepanyol.

Wilayah ini menjadi pusat perindustrian Sepanyol sejak penghujung abad ke-19. Catalonia ialah sebahagian daripada Negara Beraja Aragon dari abad ke-12 sehingga abad ke-18. Kerajaan Aragon dan Kerajaan Castile membentuk kesatuan dengan raja yang sama pada abad ke-15, membolehkan pembentukan Negara Beraja Sepanyol. Pada awal abad ke-18, oleh sebab dinasti kerabat diraja Habsburg Sepanyol tiadanya zuriat untuk mewarisi takhta raja, kerabat diraja Bourbon dari Perancis dan kerabat diraja Habsburg dari Austria merebut untuk menguasai takhta raja Sepanyol sehingga mencetuskan “Perang Warisan Sepanyol” (1701-1714). Selepas pertempuran “Pengepungan Barcelona” selama 14 bulan, Barcelona yang pada awalnya dikuasai tentera Catalonia ditawan oleh tentera yang menyokong kerabat diraja Bourbon pada 11 September 1714. 11 September disambut sebagai “Hari Kebangsaan” oleh Gerakan Kemerdekaan Catalonia untuk memperingati pejuang-pejuang Catalonia yang tumpas dalam usaha mempertahankan ibu kota wilayah tersebut.

Raja pertama dinasti diraja Bourbon Sepanyol, Philip V, telah memansuhkan kuasa autonomi Catalonia dan mengharamkan Bahasa Catalonia. Semangat nasionalis Catalonia mula bercambah di bawah pengaruh gerakan romatiksime dan Revolusi Gemilang Sepanyol 1868 (pemerintahan Ratu Isabella II dan penubuhan kerajaan sementara yang terdiri daripada gabungan liberal, moderat dan republikan yang tidak kekal lama). Proses perkembangan ekonomi perindustrian mendorong lagi pembangunan fahaman nasionalis Catalonia.

Parti Kiri Republikan Catalonia (ERC) menang dalam pilihanraya wilayah Catalonia pada tahun 1931. ERC memperjuangkan pembentukan negara Catalonia merdeka yang bergabung dalam Persekutuan Sepanyol, tetapi di bawah tekanan Kerajaan Republik Sepanyol Kedua ketika itu (1931-19139), pemimpin ERC berkompromi dan menerima cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Wilayah Autonomi Catalonia. Catalonia menjadi pusat revolusi dan kubu kuat menentang kuasa nasionalis Sepanyol kanan semasa Perang Saudara Sepanyol (1936-1939). Selepas kekuasaan diktator Francisco Franco menang dalam Perang Saudara Sepanyol, Kerajaan Pusat membatalkan hak autonomi Catalonia dan mengharamkan sekali lagi penggunaan Bahasa Catalonia. Ramai pejuang nasionalis Catalonia dan golongan kiri ditindas di bawah pemerintahan diktator Franco. Selepas pemerintahan diktator Franco ditamatkan, di bawah proses pembaharuan demokratik sejak tahun 1970-an, autonomi Catalonia dipulihkan dan Bahasa Catalonia juga diiktiraf sebagai bahasa rasmi di wilayah Catalonia.

Pada 18 Jun 2006, Catalonia mengadakan referendum untuk memperluaskan kuasa autonomi. 78.07% daripada pengundi yang mengundi pada masa itu menyokong “Statut Autonomi Catalonia”. Parti Rakyat yang berhaluan kanan, membantah perluasan kuasa autonomi Catalonia, dan mencabar kesahan Statut Autonomi di mahkamah. Mahkamah Perlembagaan Sepanyol memutuskan pada bulan Jun 2010 bahawa 14 daripada 277 perkara dalam Statut Autonomi Catalonia bercanggah dengan Perlembagaan Sepanyol, sementara 27 perkara lagi perlukan “penafsiran” yang terbatas.  Keputusan mahkamah tersebut mencetuskan protes besar-besaran di bandar Barcelona pada 10 Julai 2010, dengan 1 juta orang berdemonstrasi membantah sekatan Kerajaan Pusat terhadap kuasa autonomi Catalonia.

Sentimen pemisahan menjadi lebih hebat lagi apabila Sepanyol terjerumus dalam ekonomi krisis yang serius pada tahun 2008. Kerajaan Pusat Sepanyol memperkenalkan dasar penjimatan untuk menyelamatkan kepentingan korporat, tetapi memangsakan rakyat biasa. Kerajaan Pusat di Madrid cuba menggunakan langkah-langkah yang memusatkan semula kuasanya untuk menyelamatkan ekonomi kapitalis Sepanyol, termasuk mengurangkan perbelanjaan awam untuk kerajaan wilayah autonomi. Pada bulan Mei 2011, tercetusnya gerakan “Indignados” yang membantah dasar penjimatan kerajaan, dan Catalonia menjadi barisan hadapan gerakan massa anti-penjimatan yang hebat.

Pada 11 September 2012, lebih 1.5 juta orang berdemonstrasi di Barcelona untuk menyambut “Hari Kebangsaan Catalonia”, dengan tuntutan kepada Kerajaan Catalonia supaya memulakan proses politik untuk kemerdekaan. Perkembangan pesat gerakan kemerdekaan Catalonia beberapa yang lalu ini menimbulkan kerisauan golongan kanan dalam Kerajaan Pusat Sepanyol, dan cuba menggunakan pelbagai cara untuk menghalang rakyat Catalonia untuk menentukan nasib mereka sendiri. Namun, tindakan yang keras terhadap perjuangan kemerdekaan Catalonia tidak akan berhasil kerana pasti akan mencetuskan penentangan yang lebih hebat.

2 thoughts on “Sepanyol: Pemimpin Catalonia dikenakan hukuman berat kerana buat referendum untuk kemerdekaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *