20191102 - 74268896_10156232211340683_4317368556925747200_n

Parti Kiri (Die Linke) baru-baru ini mendapat pencapaian terbaiknya dalam sejarah pilihanraya di negeri Thüringen, negeri kelima kecil dari segi jumlah penduduk daripada 16 buah negeri di Jerman, tetapi keputusan pilihanraya tersebut juga menyaksikan peningkatan kekuatan elektoral parti pelampau kanan di Jerman yang amat merunsingkan.

Pilihanraya untuk Parlimen Negeri (Landtag) Thüringen, negeri yang terletak di bahagian tengah Jerman, telah diadakan pada 27 Oktober 2019. Dalam keputusan awal pilihanraya, Parti Kiri muncul sebagai parti yang terbesar dari segi perolehan undi, dengan berjaya meraih sebanyak 343,736 undi, atau bersamaan dengan 31.0% undi yang dibuang. Parti Kiri menguasai 29 daripada 90 kerusi dalam Parlimen Negeri Thüringen. Undi yang dimenangi Parti Kiri telah meningkat sebanyak 2.8 titik peratusan berbanding pilihanraya negeri itu pada tahun 2014.

Parti Kiri merupakan salah sebuah parti dalam kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” yang memerintah Thüringen sejak pilihanraya negeri itu pada tahun 2014 sehingga pilihanraya terbaru ini. Parti Kiri mendapat 28.2% undi pada tahun 2014, menduduki tangga kedua dari segi perolehan undi dan kerusi, tetapi berjaya membentuk kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau”, bersama dengan Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) dan Parti Hijau (Bündnis 90/Die Grünen). Pemimpin Parti Kiri, Bodo Ramelow, dilantik sebagai Presiden Menteri Thüringen berikutan pembentukan kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” pada bulan Disember 2014, menjadikannya ketua kerajaan negeri yang pertama daripada Parti Kiri. Dalam pilihanraya kali ini, Parti Kiri muncul sebagai parti terbesar dari segi perolehan undi dan kerusi, mencipta pencapaian terbaiknya dalam pilihanraya negeri dan pertama kali untuknya menjadi parti paling kuat dalam pilihanraya negeri sejak penyatuan semula Jerman pada tahun 1990. Parti Kiri memang mempunyai sokongan yang agak kuat dan stabil di Thüringen sejak dahulu lagi, kerana Thüringen merupakan sebahagian daripada Jerman Timur ini mempunyai asas sokongan masyarakat untuk politik kiri yang dibawa oleh Parti Kiri.

Keputusan pilihanraya negeri Thüringen boleh dikatakan memberi sedikit kelegaan dan suntikan semangat kepada Parti Kiri, yang telah mengalami kemerosotan sokongan undi dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Persembahan Parti Kiri dalam Pilihanraya Parlimen Eropah pada bulan Mei 2019 amat mengecewakan, dengan hanya mendapat 5.5% undi, berkurangan sebanyak 1.9 titik peratusan dan mendapat hanya 5 daripada 96 kerusi Parlimen Eropah untuk Jerman.

Walaupun undi sokongan kepada Parti Kiri pimpinan Bodo Ramelow di Thüringen telah meningkat, tetapi sokongan kepada dua parti yang merupakan rakan gabungan kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” sebelum ini telah merosot dengan hebatnya. Ini menyebabkan gabungan “Merah-Merah-Hijau” telah kehilangan majoritinya dalam Parlimen Negeri Thüringen.

SPD hanya memperoleh 8.2% undi, merosot sebanyak 4.2 titik peratusan, dan mendapat 8 kerusi; sementara Parti Hijau pula memperoleh 5.3% undi, merosok sebanyak 0.5 titik peratusan, dan memenangi 5 kerusi.

Yang lebih membimbangkan lagi adalah, peningkatan sokongan yang mendadak untuk parti pelampau kanan, Alternatif untuk Jerman (AfD). AfD mendapat 23.4% undi, meningkat sebanyak 12.8 titik peratusan berbanding pilihanraya negeri yang lalu. Ini telah menjadikan AfD parti kedua besar dalam Parlimen Negeri Thüringen, dan menghantar satu isyarat amaran yang mencemaskan kepada politik Jerman. AfD ialah parti bersifat populis kanan yang semakin mendapat sokongan daripada pengundi yang kecewa dengan sistem sedia ada sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan mempermainkan politik perkauman, islamofobia, anti-semitisme dan xenofobia. Sebahagian anggota AfD mempunyai hubungan rapat dengan gerakan neo-Nazi. Peningkatan sokongan undi kepada AfD telah mengundang kerisauan yang amat serius di kalangan masyarakat Muslim dan Yahudi di Jerman.

Kesatuan Demokratik Kristian (CDU), parti konservatif berhaluan kanan yang memerintah di peringkat Persekutuan, mengalami kekalahan yang teruk, dengan hanya mendapat 21.8% undi, kejatuhan undi sebanyak 11.7 titik peratusan berbanding pilihanraya negeri 2014, menjadikannya hanya parti ketiga besar di dalam Parlimen Negeri Thüringen. CDU merupakan parti yang memenangi paling banyak kerusi dalam pilihanraya negeri lalu. Barangkali kebanyakan undi kepada CDU sebelum ini telah beralih kepada AfD.

Parti Demokratik Bebas (FDP) mendapat undi yang mencukupi 5% untuk layak memenangi kerusi dalam Parlimen Negeri Thüringen.

Dengan CDU dan FDP menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan Parti Kiri, dan semua parti telah menolak untuk bekerjasama dengan AfD, sekiranya keputusan akhir yang diumumkan pada 7 November 2019 sama dengan keputusan awal ini, maka akan wujudnya parlimen tergantung dengan tiada mana-mana gabungan parti politik yang sedia ada menguasai majoriti kerusi. Parti Kiri mungkin akan mentadbir dengan kerajaan campuran minoriti yang pasti akan menghadapi rintangan yang hebat daripada parti-parti berhaluan kanan. Bagaimana kerajaan baru di Thüringen akan dibentuk masih tidak jelas lagi.

20191102 - 78.352.054
Bodo Ramelow

Kerajaan campuran “Merah-Merah-Hijau” di yang dipimpin oleh Bodo Ramelow sebelum ini, hanya menguasai majoriti yang agak nipis, dengan platform politik berhaluan kiri-tengah yang membawa cadangan untuk pembaharuan politik dan pelaburan dalam infrastruktur. Selama 5 tahun pentadbiran di bawah pimpinan Ramelow, prestasi ekonomi Thüringen agak memuaskan secara perbandingan dengan negeri lain di Jerman, dan kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa janji pilihanrayanya. Pertumbuhan ekonomi negeri Thüringen berada di atas paras purata negara Jerman. Kebanyakan pengundi yang disoal selidik berasa kehidupan mereka bertambah baik atau sekurang-kurangnya kekal sama selepas Ramelow mengambilalih pentadbiran negeri. Malah, satu perempat daripada pengundi AfD yang ditanya dalam tinjauan pendapat mengatakan bahawa Ramelow telah menjalankan tugasnya dengan baik.

Kerajaan campuran di negeri Thüringen yang diterajui Parti Kiri di bawah pimpinan Ramelow sebelum ini, telah mengamalkan dasar demokratik sosial yang sederhana dalam erti kata terbaik. Kerajaan pimpinan Ramelow telah meluluskan undang-undang yang menjamin semua keluarga di negeri itu mendapat perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang percuma untuk 2 tahun, mengupah ratusan guru baru, memperluaskan akses internet kelajuan tinggi, dan menambahkan subsidi pengangkutan awam untuk pelajar. Kerajaan Ramelow juga berjaya meningkatkan dana kepada kerajaan-kerajaan tempatan di negeri itu.

Kejayaan Parti Kiri di Thüringen telah memberi rangsangan kepada aliran yang lebih pragmatik dalam parti tersebut untuk mereplikasi gabungan “merah-merah-hijau” di negeri yang lain, malah di peringkat nasional. Persoalan tentang bagaimana parti sosialis patut menyertai kerajaan campuran dalam sistem demokrasi borjuis telah hangat dibahaskan sejak penubuhan Parti Kiri. Dengan trend dasar “penjimatan” (austerity) yang berleluasa dan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah, sehingga mengurangkan ruang untuk perkembangan sistem negara kebajikan, penyertaan Parti Kiri dalam mana-mana gabungan parti politik yang melibatkan kompromi politik pastinya akan menghadapi pelbagai cabaran.

Sebelum ini, Parti Kiri mula membentuk gabungan dengan parti lain di beberapa negeri di bahagian Timur Jerman, dengan kebanyakan masanya menjadi rakan kerjasama junior kepada SPD. Namun, semua kerjasama dengan SPD sebelum ini menyebabkan kekalahan teruk untuk Parti Kiri dalam pilihanraya seterusnya. Selepas kejayaan di Thüringen pada tahun 2014, formula eksperimen untuk gabungan “Merah-Merah-Hijau” dipraktikkan di Berlin sejak tahun 2016, dengan gabungan yang dipimpin oleh SPD di situ telah melaksanakan beberapa pembaharuan yang penting untuk rakyat biasa, termasuk pembekuan kadar sewa sementara untuk 5 tahun. Gabungan “Merah-Merah-Hijau” yang ketiga juga dibentuk di Bremen beberapa bulan yang lalu.

Dengan prestasi pilihanraya yang amat mengecewakan untuk Parti Kiri di peringkat Persekutuan beberapa tahun kebelakangan ini, tidak hairan untuk penyokong Parti Kiri melihat pada contoh di Thüringen untuk mendapatkan ilham. Namun, kemungkinan untuk gabungan “Merah-Merah-Hijau” mengambilalih kuasa di peringkat Persekutuan Jerman masih sukar dibayangkan, khususnya pada ketika perluasan sokongan untuk AfD yang merisaukan. Lebih-lebih lagi, gabungan “Merah-Merah-Hijau” di Thüringen sekarang sudah hilang kelebihan majoriti untuk memerintah, dan pesaing yang terbesarnya dalam Parlimen Negeri Thüringen untuk 5 tahun akan datang ini adalah puak pelampau kanan. Di peringkat nasioal, Parti Kiri masih menghadapi cabaran untuk membina sokongan elektoral yang cukup luas, termasuk di kalangan anak muda.

Satu lagi cabaran yang amat hebat yang perlu dihadapi oleh Parti Kiri adalah kebangkitan kuasa pelampau kanan yang diwakili oleh AfD. Seperti parti populis kanan yang lain di Eropah, AfD telah mengambil kesempatan krisis ekonomi dan kegagalan parti-parti pemerintah yang tradisional dalam melindungi standard kehidupan rakyat biasa, melancarkan politik yang dipenuhi dengan retorik perkauman dan nasionalis yang sempit. Sokongan kepada AfD yang semakin meningkat, khususnya di kalangan pengundi muda, telah membunyikan isyarat amaran kecemasan yang perlu diberi perhatian serius. Perluasan pengaruh kuasa pelampau kanan seperti AfD sedang membawa ancaman yang berbahaya kepada demokrasi masyarakat Jerman, malah juga di peringkat Eropah.

2 thoughts on “Jerman: Kiri menang dalam pilihanraya Thüringen tapi ancaman pelampau kanan sangat hebat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *