20191008 - web1_9122407-12852042ce96469fa6cbaf991a9f9dad.jpg

Haiti sedang dilanda gelombang protes. Ribuan rakyat turun ke jalanan di seluruh negara yang terletak di bahagian barat pulau Hispaniola di rantau Caribbean ini, untuk menuntut perletakan jawatan Presiden Jovenel Moïse. Sejak bulan Julai tahun lalu (2018), rakyat Haiti sudah mula mengadakan aksi protes secara kerap untuk membantah dasar kerajaan pimpinan Jovenel Moïse yang bersifat neoliberal dan anti-rakyat. Rakyat Haiti marah dengan korupsi yang berleluasa di bawah pentadbiran Jovenel Moïse, di samping semakin tertekan dengan masalah kekurangan bekalan bahan api dan kenaikan harga barangan.

Kerajaan Haiti telah bertindakbalas dengan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan protes. Menurut badan hak asasi manusia yang memantau di lapangan, seramai 19 orang telah mati dan lebih 200 orang cedera kerana penindasan polis yang ganas.

Pada 4 Oktober 2019, ribuan orang rakyat Haiti berprotes dalam salah satu mobilisasi yang terbesar untuk setahun yang lepas. Demonstran berarak ke ibupejabat Pertubungan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Haiti yang terletak di sebelah Lapangan Terbang Antarabangsa Toussaint Louverture di bandar Port-au-Prince. Datuk bandar Port-au-Prince Ralph Youri Chevry turut menyertai aksi protes yang mendesak perletakan jawatan Jovenel Moïse sebagai Presiden Haiti.

Mereka yang berprotes mengecam PBB, Amerika Syarikat (AS) dan “Kumpulan Teras” yang memberi sokongan kepada kerajaan Jovenel Moïse. “Kumpulan Teras” terdiri daripada Timbalan Wakil Khas Setiausaha Agung PBB, duta-duta dari Jerman Brazil, Kanada, Perancis dan AS, serta wakil daripada Sepanyol, Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) dan Kesatuan Eropah (EU), menjadikannya mewakili kepentingan negara-negara imperialis di Utara Global.

Walaupun demonstran beraksi secara aman, tetapi pihak berkuasa telah menempatkan pasukan keselamatan dalam jumlah yang besar di ibupejabat PBB dan lapangan terbang, dan pihak polis menembak gas pemedih mata secara rambang ke arah orang ramai yang berhimpun.

Jovenel Moïse menang dalam pilihanraya Presiden Haiti pada bulan November 2016 yang dikatakan penuh dengan penyelewengan. Jovenel Moïse mendapat sokongan pada daripada kuasa imperialis AS. Kuasa imperialis AS pernah menyokong rampasan kuasa pada tahun 1991 dan 2004, kedua-duanya menjatuhkan Jean-Bertrand Aristide yang cuba membawa pembaharuan yang mengancam kepentingan golongan oligarki dan imperialis AS. Kerajaan yang memerintah Haiti, negara yang ditubuhkan berikutan pemberontakan hamba berkulit hitam pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, telah dipengaruhi oleh kepentingan AS untuk beberapa dekad yang lalu.

20191008 - HAITI-PROTESTS - Reuters
(foto oleh Reuters)

Dalam setahun yang lalu, rakyat Haiti telah bangkit dan bermobilisasi untuk menentang korupsi yang berleluasa dalam sistem politik, pelaksanaan dasar neoliberal yang dikenakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan kesetiaan kerajaan Haiti terhadap kepentingan imperialis AS di rantau Carribean. Gelombang protes yang terbaru ini dicetuskan oleh krisis kekurangan bahan api yang menjejaskan semua sektor masyarakat. Akses kepada barangan asas dan pengangkutan menerima impak hebat daripada krisis kekurangan bahan api ini, Kekurangan bahan api juga digunakan sebagai alasan oleh kerajaan Jovenel Moïse untuk menaikkan harga bahan api di Haiti. Namun begitu, wartawan daripada Radio Ibo mendedahkan selepas lawatannya ke sebuah terminal pelabuhan bahawa terdapat 140,000 tong petroleum disimpan secara sengaja dan negara Haiti tidak kehabisan bahan api sebenarnya.

Kerajaan Haiti juga terlibat dalam skandal penyelewengan wang sebanyak USD3.8 bilion daripada dana Petrocaribe yang diberikan oleh Venezuela kepada negara Haiti untuk membiayai beberapa skim sosial.

Haiti merupakan negara yang paling miskin dan paling tidak samarata di rantau Amerika latin dan Caribbean. Kadar pengangguran di Haiti pada takat ini setinggi lebih 70%. Banyak masalah yang mendalam ini diburukkan lagi dengan berlakunya bencana gempa bumi, pendudukan tentera asing, serangan dasar neoliberal yang dibawa oleh institusi kewangan antarabangsa dan rasisme di semua peringkat terhadap negara Caribbean ini.

Protes rakyat Haiti yang menentang kerajaan Jovenel Moïse ini menyaksikan penglibatan masyarakat berbagai sektor, dengan motivasi politik yang berbeza. Setahun yang lalu, pada bulan Ogos 2018, gerakan rakyat, organisasi masyarakat dan parti berhaluan kiri di Haiti telah mengadakan “Forum Patriotik” untuk menggabungkan kekuatan pelbagai sektor masyarakat untuk mencabar kekuasaan pemerintah dan menghadapi krisis di Haiti. Gerakan rakyat yang progresif di Haiti telah menyatakan sejak awal lagi bahawa pengunduran Jovenel Moïse sebagai Presiden Haiti, walaupun sesuatu yang perlu, tetapi masih tidak mencukupi. Perubahan struktur diperlukan untuk membebaskan rakyat Haiti daripada krisis mendalam, dan ini hanya akan dapat dicapai melalui organisasi dan mobilisasi rakyat dari bbawah. Forum Patriotik menyeru penubuhan sebuah kerajaan peralihan untuk tempoh 3 tahun, sekiranya Jovenel Moïse meletak jawatan, untuk menangani kecemasan kelaparan, penderitaan dan pengangguran yang menjejaskan lebih 80% rakyat pada ketika ini, di samping melakukan pembaharuan institusi negara bersesuaian dengan keperluan rakyat.

Rakyat Haiti bertekad untuk meneruskan mobilisasi di jalanan dan bersedia menentang kezaliman polis, sehingga perubahan yang sebenar wujud. Rakyat Haiti juga menolak semua institusi antarabangsa yang selama ini bersekongkol dalam menyokong rejim yang korup yang mewujudkan masalah sosial, ekonomi dan politik yang mendalam di Haiti hari ini.

Haiti Protests
(foto oleh Rebecca Blackwell /AP / MANILA BULLETIN)

4 thoughts on “Haiti: Rakyat terus bangkit menentang rejim neoliberal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *