1. Pengenalan
  2. Revolusi Perindustrian
  3. Kelas pekerja pada abad ke-19
  4. Asal usul politik radikal gerakan pekerja moden
  5. Luddite
  6. Pemberontakan Canut
  7. Pemberontakan Penenun Silesia
  8. Gerakan Piagam Rakyat
  9. Mogok Umum 1842
  10. Dari Liga Komunis ke Internasional Pertama
  11. Kerja 8 jam sehari
  12. Peristiwa Haymarket
  13. Kesatuan sekerja
  14. Mogok Mogok Umum Catalonia 1855, Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877, Mogok Wallonia 1886, Mogok Besar Pekerja Kereta Api Barat Daya 1886, Mogok Pekerja Kilang Mancis Wanita London 1888, Mogok Pekerja Kilang Mancis Wanita Kristiania 1889, Gelombang Mogok Australia 1890-an, Mogok Umum New Orleans 1892, Mogok Pekerja Lombong Britain 1893, Mogok Pullman, Mogok Pekerja Coeur d’Alene, mogok pekerja terawal di India, mogok pekerja terawal di China, mogok pekerja terawal di Jepun, Mogok Pekerja Carmaux, Mogok Umum Belgium 1893
  15. Parti kelas pekerjaAmerika Syarikat, Britain, Jerman, Austria, Belgium, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, negara-negara Nordik, Australia
  16. Internasional Kedua
  17. Koperasi pekerja
  18. Pengajaran dan inspirasi daripada gerakan pekerja abad ke-19

Di sebalik pembangunan pesat ekonomi kapitalis di dunia, wujudnya eksploitasi terhadap golongan pekerja yang menyumbangkan tenaga dan masa, malah nyawa mereka, dalam penciptaan kekayaan masyarakat moden. Golongan pekerja merupakan tulang belakang kepada ekonomi masyarakat moden. Tanpa pekerja, tiadanya pembangunan masyarakat. Mereka menghasilkan kekayaan masyarakat, membekalkan keperluan kepada semua orang dan menjamin kelangsungan kehidupan masyarakat. Namun, golongan pekerja sering tidak mendapat ganjaran yang sepatutnya untuk tenaga buruh yang disumbangkan oleh mereka, malah terus dieksploitasi dan ditindas.

Golongan pekerja, sebagai sebuah kelas sosial yang muncul dalam sistem sosioekonomi kapitalis, telah menjadi penggerak kepada perubahan masyarakat dalam kapitalisme, bukan sekadar melalui sumbangan tenaga buruh mereka untuk kemajuan ekonomi itu sahaja, tetapi melalui penentangan kelas pekerja terhadap eksploitasi itu yang boleh menjadi pemacu kepada pembaharuan dan transformasi masyarakat. Perjuangan kelas pekerja itu boleh melangkaui kapitalisme jika ia disusun dalam organisasi perjuangan yang berkesan dan berpandukan idea-idea revolusioner yang bersifat pembebasan.

Kilang pembuatan flaks di Leeds, daerah Yorkshire Barat, England, pada tahun 1840-an. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Revolusi Perindustrian

Kapitalisme ialah sistem sosioekonomi yang bercirikan pengeluaran barangan secara besar-besaran melalui eksploitasi tenaga buruh untuk membolehkan golongan pemodal (kapitalis) mengaut keuntungan yang boleh dilaburkan semula sebagai modal. Pengumpulan modal yang berterusan merupakan asas kepada kelangsungan kapitalisme.

Kapitalisme agraria (iaitu kapitalisme yang berasaskan pertanian) yang melibatkan pembukaan ladang besar melalui perampasan tanah di kawasan luar bandar serta pengasingan golongan petani daripada sumber pengeluaran, dan kapitalisme perdagangan yang melibatkan pengangkutan barangan merentasi sempadan negara serta penerokaan laluan perdagangan baharu, merupakan dua bentuk kapitalisme yang awal. Sistem kapitalis awal itu telah dipacukan oleh proses yang dikenali sebagai “pengumpulan primitif”, yang melibatkan perluasan kolonial dan penjarahan sumber alam untuk membekalkan bahan mentah dengan harga murah kepada proses pengeluaran barangan yang dijual di pasaran. Proses pengumpulan primitif itu tidak berlaku secara aman, sebaliknya melalui keganasan sistematik terhadap masyarakat orang asal di tanah jajahan dan perhambaan jutaan orang yang diangkut merentasi Lautan Atlantik. Pembangunan ekonomi kapitalis berkembang lebih pesat lagi mulai penghujung abad ke-18 apabila berlakunya “Revolusi Perindustrian”.

Revolusi Pertanian Kedua yang mula berlaku di England pada pertengahan abad ke-17 dengan pembangunan teknik pertanian yang lebih maju (seperti penggiliran tanaman, pembiakbakaan terpilih untuk ternakan dan penggunaan bajak yang lebih berkesan dalam penggemburan tanah) telah meningkatkan hasil pengeluaran pertanian secara ketara. Perampasan tanah melalui pendekatan “pemagaran” (enclosure) telah membolehkan pemusatan pemilikan tanah dalam tangan segelintir kecil tuan tanah yang kaya, dan memacukan lagi perkembangan kapitalisme agraria. Peningkatan besar dalam hasil pengeluaran pertanian itu mendorong pertumbuhan penduduk dan merangsang perdagangan. Penduduk-penduduk di kawasan desa yang kehilangan tanah kerana proses “pemagaran” terpaksa berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari rezeki, maka menjadi tenaga kerja “bebas” yang boleh diupah dengan mudah dan murah untuk bekerja dalam perusahaan kraf di kawasan bandar. Jumlah makanan yang mencukupi untuk populasi keseluruhan dan tenaga kerja “bebas” yang semakin besar bilangannya, tambahan pula dengan perubahan radikal dalam hubungan kemasyarakatan kerana revolusi borjuis yang menghancurkan sistem feudal lama, menyediakan asas kepada Revolusi Perindustrian.

Mesin penenun tangan pada abad ke-18. (ilustrasi: Hogarth, 1747)

Revolusi Perindustrian ialah peringkat kapitalisme yang “lebih maju”, dengan berlakunya peralihan daripada ekonomi yang berasaskan pertanian dan pertukangan kraf kecil kepada ekonomi yang berasaskan perindustrian perkilangan berskala besar. Revolusi Perindustrian merupakan revolusi teknologi yang memperkenalkan enjin berkuasa stim, mesin baharu yang membolehkan mekanisasi dalam pengeluaran, penggunaan bahan kimia, kaedah metalurgi baharu, sistem kilang yang menggunakan mesin secara meluas, pengangkutan kereta api dan sebagainya. Enjin stim atau enjin wap, telah menjadi mesin penggerak yang penting untuk Revolusi Perindustrian, dengan menggerakkan rumah pam, kilang, kereta api dan kapal.

Revolusi Perindustrian telah menyusun semula corak penggunaan tenaga buruh dan kaedah pengeluaran ekonomi. Ia membolehkan pengeluaran barangan secara besar-besaran untuk menjana keuntungan yang lebih besar bagi golongan pemodal. Revolusi Perindustrian mengubah hubungan pengeluaran ekonomi secara ketara, maka turut mengubah hubungan kelas dalam masyarakat kapitalis. Revolusi Perindustrian telah membawa perubahan yang paling menyeluruh kepada kehidupan masyarakat manusia sejak Revolusi Pertanian Pertama yang berlaku kira-kira 10,000 tahun sebelum itu.

Revolusi Perindustrian Pertama, yang berlaku dari tahun 1760-an hingga 1840-an, telah membolehkan pembangunan sistem ekonomi kapitalis yang lebih pesat di Eropah Barat serentak dengan gelombang revolusi demokratik borjuis yang melanda negara-negara Eropah dan tanah jajahan Eropah di rantau Amerika pada masa itu. Revolusi demokratik borjuis merupakan revolusi politik yang menggantikan pemerintahan raja berkuasa mutlak dengan “pemerintahan rakyat” (demokrasi) berperlembagaan yang melindungi kepentingan kelas borjuis baharu; sementara Revolusi Perindustrian merupakan revolusi ekonomi yang menggantikan pengeluaran pertukangan kraf berskala kecil dengan pengeluaran kilang bermesin berskala besar.

Mesin penenun berkuasa mekanikal pada tahun 1830-an (ilustrasi:  T. Allom / J. Tingle, 1835)

Revolusi Perindustrian Pertama bermula di negara Britain, dan merebak ke tanah besar Eropah dan Amerika Syarikat menjelang tahun 1840-an. Perusahaan tekstil menjadi sektor pertama yang menggunakan kaedah pengeluaran moden yang melibatkan mekanisasi proses pembuatan. Dengan pertumbuhan sektor perusahaan tekstil yang pesat, keperluan untuk bahan mentah seperti kapas telah dipenuhi dengan perluasan tanah jajahan dan ekonomi perladangan yang menggunakan tenaga buruh hamba di rantau Amerika. Modal yang dipegang oleh golongan kapitalis dilaburkan dalam perindustrian yang menguntungkan, maka meningkatkan lagi kadar pengumpulan modal, sekali gus memacukan lagi pengembangan ekonomi kapitalis.

Revolusi Perindustrian Kedua berlaku pada tahun 1870 hingga 1914, sebagai kesinambungan daripada Revolusi Perindustrian Pertama. Revolusi Perindustrian Pertama secara dasarnya dipacukan oleh kuasa air, enjin stim, arang batu dan besi; sementara Revolusi Perindustrian Kedua digerakkan oleh kuasa elektrik, keluli, bahan kimia buatan dan petroleum. Revolusi Perindustrian Kedua membawa kemajuan penting dalam pembuatan kilang dan membolehkan penggunaan sistem teknologi moden secara meluas, seperti telegraf, landasan kereta api, bekalan air minuman bersih dan sistem pembentungan moden. Perluasan landasan kereta api dan talian telegraf telah membolehkan pergerakan manusia dan penyebaran maklumat yang lebih cepat.

Kilang pembuatan flaks di Leeds, daerah Yorkshire Barat, England, sekitar tahun 1843. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Revolusi Perindustrian ialah titik perubahan penting dalam sejarah masyarakat manusia. Ia menyaksikan peralihan dalam pengeluaran ekonomi daripada buruh manual (penggunaan tenaga fizikal badan manusia) kepada mekanisasi (penggunaan mesin). Ia bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi mencetuskan transformasi susunan masyarakat. Revolusi Perindustrian telah menyediakan asas kepada susunan masyarakat yang melindungi “hak” harta milik persendirian kapitalis. Dalam erti kata lain, Revolusi Perindustrian membantu dalam membentuk masyarakat kapitalis yang lebih lengkap, matang, kompleks dan tersusun. Undang-undang digubal untuk melindungi kepentingan ekonomi golongan pemodal. Pasukan tentera dan polis ditugaskan untuk menjaga “keselamatan” harta milik kapitalis daripada ancaman perjuangan kelas.

Oleh sebab Britain merupakan negara yang paling awal mengalami transformasi kapitalis dan Revolusi Perindustrian, ia paling awal menjadi negara maju dari segi pembangunan ekonomi kapitalis. Britain menguasai perdagangan dunia melalui pembentukan empayar kolonial dengan tanah jajahan yang meluas di Amerika Utara, Caribbean, Afrika dan Asia. Britain telah menjadi contoh yang cuba ditiru oleh negara-negara yang hendak menjadi kuasa besar sepertinya.

Pada tahun 1814, iaitu setahun sebelum Britain dan sekutunya di Eropah menewaskan tentera Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte dalam Pertempuran Waterloo, kerajaan Prusia menghantar seorang pegawai dan pemeriksa kilang yang bernama Johann Georg May ke Britain untuk mengkaji model perindustrian di situ. Selepas melawat Manchester, sebuah bandar yang terletak di bahagian barat laut England, Johann Georg May yang kagum dengan kemajuan perindustrian di Britain menulis, “Manchester terkenal di seluruh dunia sebagai pusat pembuatan kain kapas. Terdapat beratus-ratus buah kilang… yang menjulang tinggi hingga lima dan enam tingkat. Cerobong-cerobong besar di sisi bangunan-bangunan ini mengeluarkan asap hitam arang batu, dan ini memberitahu kita bahawa enjin stim yang berkuasa telah digunakan. Gumpalan asap dapat dilihat dari jauh. Rumah-rumah telah dihitamkannya.”

Kilang kapas di Manchester sekitar tahun 1820. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Manchester boleh dikatakan sebagai bandar perindustrian yang pertama di dunia, dan ia merupakan mercu tanda Revolusi Perindustrian. Dalam tempoh kurang daripada tiga dekad, antara tahun 1773 dan 1801, jumlah penduduk di bandar itu meningkat sebanyak tiga kali ganda, daripada kira-kira 23,000 orang kepada kira-kira 70,000 orang. Menjelang tahun 1851, jumlah penduduk di Manchester mencecah lebih 300,000 orang. Pertumbuhan pesat penduduk di bandar perindustrian itu boleh terjadi kerana penghijrahan penduduk-penduduk kawasan luar bandar ke situ untuk bekerja di dalam kilang-kilang yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan semasa zaman Revolusi Perindustrian. Terdapat sebanyak 33 buah kilang tekstil di Manchester pada tahun 1799, dan angka itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 86 buah menjelang tahun 1816. Jumlah kilang tekstil kapas di Manchester mencecah kemuncaknya pada tahun 1853 dengan 108 buah kilang.

Tiga batang sungai yang mengalir melalui bandar Manchester membekalkan kuasa air dan rangkaian pengangkutan kepada perusahaan tekstil di situ. Rangkaian terusan, dok dan gudang membolehkan perkembangan fasa pertama Revolusi Perindustrian di Manchester pada penghujung abad ke-18. Kuasa stim dan kereta api pula memberi sokongan kepada perkembangan fasa kedua Revolusi Perindustrian pada awal abad ke-19. Kilang pertama yang menggunakan enjin stim di Manchester mula beroperasi pada tahun 1790. Landasan kereta api antara bandar yang pertama di dunia siap dibina pada tahun 1830, untuk menghubungkan Manchester dengan Liverpool, sebuah bandar pelabuhan di bahagian barat laut England. Manchester boleh dikatakan sebagai petunjuk penting kepada Revolusi Perindustrian yang mengubah landskap ekonomi dan trajektori sejarah dunia.

Manchester pada tahun 1870. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Britain boleh menjadi negara pertama di dunia yang mengalami Revolusi Perindustrian kerana dinamik kelas sosial yang terbentuk hasil daripada Revolusi Inggeris. Revolusi Inggeris pada abad ke-17 telah menamatkan pemerintahan raja berkuasa mutlak di situ, bersama-sama dengan kekuasaan golongan tuan tanah feudal dan golongan uskup yang menyokong feudalisme, menggantikannya dengan sistem raja berperlembagaan yang dikawal oleh sebuah parlimen yang didominasi oleh golongan borjuis. Revolusi borjuis di England membolehkan perluasan perladangan komersial, perdagangan luar negara dan pembinaan empayar kolonial.

Kekayaan masyarakat yang diekstrak melalui eksploitasi terhadap tenaga buruh, termasuk hamba-hamba di tanah jajahan, telah mengalir ke bandar-bandar pelabuhan penting di Britain seperti London, Bristol dan Liverpool. Bristol merupakan bandar kedua besar di England pada tahun 1750, dengan jumlah penduduk sebanyak 45,000 orang. Ia dipenuhi dengan limbungan kapal, gudang dan deretan rumah bandar mewah yang dimiliki oleh golongan pedagang. Bristol menjadi sebuah bandar yang kaya kerana perhambaan di tanah jajahan Inggeris dan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik.

Pengumpulan modal komersial dalam jumlah yang besar hasil daripada revolusi borjuis di Britain bukan sekadar memperkayakan golongan gentri, golongan pedagang dan golongan pemilik bank yang merupakan kelas pemerintah baharu di negara itu. Kekayaan itu juga “melimpah” kepada golongan ahli sains dan golongan jurutera yang mempunyai daya cipta untuk meneroka kemungkinan baharu bagi penciptaan kekayaan selanjutnya. Perubahan kuantitatif yang melibatkan pertumbuhan kekayaan komersial yang semakin bertimbunan besar itu mencecah titik perubahan kualitatif yang mewujudkan dinamik baharu untuk pertumbuhan perindustrian yang didorong oleh inovasi dan pelaburan. Enjin stim moden dicipta sebagai alat penjimat tenaga buruh dan meningkatkan lagi produktiviti.

Pemandangan bandar Manchester yang penuh dengan kilang-kilang berasap pada tahun 1852. (ilustrasi: William Wyld, 1852)

Pada pertengahan abad ke-18, Manchester masih merupakan sebuah bandar yang dipenuhi dengan bengkel-bengkel kecil, dengan golongan pekerja mahir menggunakan alat pemintal atau alat penenun tangan untuk menghasilkan produk tekstil. Sistem kilang, yang muncul dengan pelaburan daripada golongan borjuis yang menginginkan keuntungan lebih besar, telah menawarkan ekonomi berskala besar. Pengeluaran besar-besaran yang berasaskan kuasa mekanikal, mesin yang menjimat buruh dan tenaga kerja separa mahir yang murah, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak, telah membolehkan peningkatan besar dalam produktiviti buruh dan hasil pengeluaran barangan.

Tekanan persaingan daripada sistem kilang itu menurunkan upah pekerja mahir yang menggunakan alat penenun tangan, di samping mengurangkan keuntungan peniaga yang bergantung pada sistem bengkel lama. Oleh itu, semakin ramai tukang penenun tangan kehilangan kerja dan terpaksa menjadi pekerja yang dibayar upah rendah di dalam kilang-kilang besar. Golongan peniaga juga mengalihkan pelaburan mereka kepada kilang yang menggunakan enjin stim. Jadi, menjelang penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, Manchester telah berubah daripada sebuah bandar yang dipenuhi dengan bengkel kecil kepada sebuah bandar yang dipenuhi dengan kilang tekstil dan petempatan pekerja yang padat. Pemandangan kaki langit bandar itu telah didominasi oleh kilang-kilang yang melepaskan asap yang mencemar udara.

Revolusi Perindustrian juga membawa kepada urbanisasi yang hebat, dengan semakin ramai orang yang tidak mempunyai tanah dan kerja di kawasan desa berhijrah ke bandar untuk bekerja di dalam kilang-kilang di situ. Hanya 15% daripada jumlah penduduk di Britain tinggal di kawasan bandar pada tahun 1750, tetapi ia meningkat kepada 50% menjelang tahun 1850, dan mencecah 85% menjelang tahun 1900. Walaupun kekayaan yang dihasilkan semakin banyak di dalam bandar-bandar perindustrian, kehidupan majoriti penduduk di situ yang merupakan pekerja di dalam kilang besar adalah sangat teruk.

Kilang pengeluaran keluli di Ougrée, provinsi Liège, wilayah Wallonia, Belgium, pada abad ke-19. (ilustrasi: Constantin Meunier, ~1885/1890)

Belgium merupakan negara kedua di dunia dan negara pertama di tanah besar Eropah yang mengalami Revolusi Perindustrian, dengan memfokus pada pengeluaran besi, arang batu dan tekstil. Pada awal abad ke-19, perlombongan arang batu berkembang pesat di wilayah Wallonia yang terletak di bahagian selatan Belgium. Proses pembangunan perindustrian menjadi lebih pesat lagi selepas Belgium mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan Kerajaan Bersatu Belanda pada tahun 1830. Kilang-kilang perindustrian berat dengan relau bagas dibina di kawasan perlombongan arang batu di sekitar Liège dan Charleroi. Kawasan yang kaya dengan arang batu dan membangun kepada pusat perindustrian berat di wilayah Wallonia, Belgium, dikenali sebagai “Sillon industriel” (Jalur Perindustrian), yang merangkumi bandar-bandar perindustrian seperti Charleroi, Dour, Huy, La Louvière, Liège, Mons, Namur dan Verviers. Landasan kereta api yang pertama di tanah besar Eropah, yang siap dibina pada tahun 1835, telah menghubungkan Brussel, ibu negara Belgium, dengan Mechelen yang terletak kira-kira 20 km di utara Brussel.

Menjelang tahun 1820-an, ratusan buah kilang sudah didirikan di kawasan Ruhr yang terletak di wilayah Westfalen yang merupakan sebahagian daripada Konfederasi Jerman (1815-1866) pada masa itu. Kilang-kilang yang digerakkan oleh kuasa air di situ mengeluarkan tekstil, kayu, kepingan bumbung dan besi melalui proses pembuatan yang menggunakan mesin-mesin. Namun, pembangunan ekonomi agak tidak seimbang antara wilayah-wilayah Jerman semasa zaman Konfederasi Jerman kerana perpecahan politik sesama negeri-negeri Jerman. Walau bagaimanapun, selepas negara Jerman mencapai penyatuan pada tahun 1871, pembangunan ekonomi kapitalis di situ berkembang pesat dengan pembinaan rangkaian kereta api yang meluas dan pertumbuhan sektor perindustrian yang pesat. Otto von Bismarck (1815-1898), Ketua Menteri Prusia dan Canselor Jerman Bersatu yang pertama, mengamalkan dasar ekonomi yang melindungi perindustrian berat di negara itu dan mendukung ekonomi monopoli yang diterajui kerajaan untuk membangunkan kekuatan ekonomi perindustrian yang membolehkan negara Jerman menjadi sebuah kuasa besar yang mampu menggugat kepentingan imperialis British menjelang penghujung abad ke-19.  

Menjelang awal abad ke-19, apabila Eropah Barat sudah muncul sebagai ekonomi perindustrian maju, Amerika Syarikat masih merupakan sebuah ekonomi yang berasaskan pertanian dan pengekstrakan sumber alam. Samuel Slater (1768-1835), seorang usahawan yang berasal dari England, telah menghafal reka bentuk mesin kilang tekstil di Britain semasa menjadi perantis di dalam kilang tekstil dan memperkenalkan teknologi itu di Amerika Syarikat selepas dia berhijrah ke situ pada tahun 1790-an. Samuel Slater yang dianggap sebagai “pengkhianat” di Britain telah mendapat gelaran “Bapa Revolusi Perindustrian Amerika”. Francis Cabot Lowell (1775-1817), seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat, juga mencuri teknologi mesin penenun British dengan menghafal semua cara kerja mesin moden itu pada tahun 1810-an, dan kemudiannya membawa balik idea itu ke Amerika Syarikat.

Sambutan penyempurnaan kerja pembinaan Landasan Kereta Api Rentas Benua Pertama pada tahun 1869. (foto: Andrew J. Russell)

Perang 1812 antara Amerika Syarikat dan Britain yang tercetus kerana percanggahan kepentingan ekonomi kelas pemerintah negara masing-masing, telah memaksa Amerika Syarikat untuk melaksanakan pembangunan perindustrian yang lebih agresif untuk mengurangkan import dari Britain. Revolusi Perindustrian di Amerika Syarikat memasuki fasa baharu selepas tamatnya Perang Saudara Amerika (1861-1865), dengan negara Amerika Syarikat “disatukan semula” dan kemunculan tenaga buruh “bebas” yang lebih banyak kerana penghapusan perhambaan di negara itu. Zaman pertumbuhan ekonomi yang pesat seiring dengan Revolusi Perindustrian Kedua di Amerika Syarikat, dari tahun 1870-an hingga 1890-an, dikenali sebagai “Zaman Bersalut Emas” (Gilded Age). Ia menyaksikan pembangunan yang pesat dalam rangkaian pengangkutan kereta api, kilang pembuatan dan perlombongan, terutamanya di bahagian utara dan barat Amerika Syarikat. Antara tahun 1860 dan 1880, jarak landasan kereta api di Amerika Syarikat meningkat sebanyak tiga kali ganda. Landasan Kereta Api Rentas Benua Pertama (yang pada asalnya dikenali sebagai “Landasan Kereta Api Pasifik”), yang menyambungkan rangkaian landasan kereta api di bahagian timur Amerika Syarikat dengan Teluk San Francisco di Pantai Barat Amerika Syarikat, mula beroperasi pada tahun 1869. Amerika Syarikat menjadi negara perindustrian utama di dunia menjelang penghujung abad ke-19.

Jepun merupakan negara yang paling awal mengalami Revolusi Perindustrian di rantau Asia. Revolusi Perindustrian di Jepun bermula sekitar tahun 1870, selepas “Pemulihan Meiji”, iaitu sebuah revolusi borjuis dari atas yang menyaksikan siri pembaharuan dan pemodenan masyarakat di bawah pemerintahan Maharaja Meiji. Walaupun Pemulihan Meiji diterajui oleh golongan konservatif, mereka yang mendukung pemulihan kuasa pemerintahan maharaja itu juga menginginkan sebuah pemerintahan yang seragam di seluruh negara Jepun supaya membolehkan negara itu setaraf dengan negara-negara lain di dunia, terutamanya negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat yang sudah muncul sebagai ekonomi perindustrian moden yang maju. Oleh itu, golongan pemerintah Jepun memerlukan pembangunan yang menjadikan Jepun sebuah negara bangsa moden dan ekonomi perindustrian kapitalis yang maju.

Pembukaan perkhidmatan kereta api yang pertama di Jepun semasa Zaman Meiji. (ilustrasi: Utagawa Hiroshige III, 1872)

Golongan pemerintah Jepun pada zaman Meiji berhasrat untuk meniru pemodenan masyarakat di Dunia Barat. Oleh itu, kerajaan Jepun mempergiatkan usaha membina landasan kereta api, menaik taraf jalan raya dan melancarkan reformasi tanah yang bertujuan untuk pembangunan selanjutnya. Kerajaan Jepun juga memperkenalkan sistem pendidikan Barat untuk golongan anak muda, menghantar ribuan orang pelajar ke Amerika Syarikat dan Eropah, serta mengupah lebih 3,000 orang pengajar dari Dunia Barat untuk mengajar pengetahuan yang diperlukan dalam proses pemodenan seperti sains, matematik, teknologi dan bahasa asing. Landasan kereta api yang pertama di Jepun mula beroperasi pada tahun 1872, menghubungkan stesen Shinbashi di Tokyo dengan stesen Sakuragichō di Yokohama yang terletak kira-kira 30 km di selatan. Bank Jepun, yang ditubuhkan pada tahun 1882, menggunakan cukai yang dikutip oleh kerajaan untuk membiayai kilang-kilang keluli dan tekstil di negara itu. Dasar perindustrian yang diterajui oleh kerajaan itu membolehkan Jepun muncul sebagai sebuah kuasa besar moden dengan cepat.  

Revolusi Perindustrian memperkenalkan mesin moden dan mekanisasi pengeluaran yang menggantikan tenaga kerja pertukangan kraf tangan, tetapi ia tidak menggantikan tenaga buruh manusia sepenuhnya. Mesin-mesin di kilang masih memerlukan tenaga buruh manusia untuk mengendalikannya. Golongan tukang kecil kehilangan rezeki kerana kemunculan perindustrian pembuatan berskala besar. Namun, mereka yang kehilangan kerja kerana kehancuran sistem pengeluaran pertukangan kecil itu diupah sebagai pekerja yang bekerja di dalam kilang-kilang perindustrian moden. Di dalam kilang-kilang perindustrian moden itu, pengagihan kerja semakin terperinci untuk meningkatkan produktiviti, tetapi pada masa yang sama pekerja-pekerja yang bekerja di situ semakin diasingkan daripada hasil kerja mereka, daripada proses kerja itu sendiri, daripada rakan sekerja mereka, dan daripada kemanusiaan diri mereka sendiri.

Revolusi Perindustrian membolehkan penghasilan kekayaan masyarakat yang luar biasa. Namun, kekayaan yang dihasilkan itu tidak diagihkan secara setara, malah yang kaya menjadi lebih kaya, sementara yang miskin menjadi lebih miskin. Di bawah kerangka masyarakat kapitalis, hasil daripada Revolusi Perindustrian digunakan untuk mengekalkan susunan masyarakat kelas. Revolusi Perindustrian turut membawa kepada pertumbuhan pesat sebuah kelas sosial yang baharu yang tertumpu di kawasan bandar, iaitu kelas pekerja moden.

Kawasan perlombongan arang batu di Black Country, yang terletak di barat Birmingham., daerah Midlands Barat, England, pada tahun 1870-an. (ilustrasi: Samuel Griffiths, 1873)

Kelas pekerja pada abad ke-19

Dalam masyarakat pra-kapitalis, kelas sosial yang melakukan perburuhan biasanya mempunyai penguasaan yang lebih besar terhadap sumber-sumber pengeluaran walaupun mereka tidak semesti memilikinya. Misalnya, golongan petani pada zaman feudal, adanya yang memiliki tanah yang diusahakan oleh mereka walaupun keluasannya adalah kecil, adanya yang merupakan anggota kolektif kampung yang mengusahakan sebidang tanah milik bersama, maka mereka boleh mengakses secara langsung tanah pertanian, hutan dan bajak yang merupakan asas mata pencarian mereka. Golongan tukang kecil pada Zaman Pertengahan menghasilkan barangan kraf tangan mereka di dalam bengkel-bengkel milik mereka sendiri, dengan menggunakan peralatan milik mereka sendiri, dan menganggotai perseikatan tukang yang mentadbir secara sendiri, termasuk mempunyai autonomi untuk menentukan pendapatan mereka daripada hasil pertukangan kraf yang dijual itu.  

Kelas kapitalis yang terawal pada zaman moden boleh dikatakan muncul daripada lapisan atas golongan bawahan pada Zaman Pertengahan. Golongan petani yang kaya menjadi golongan usahawan pertanian yang mengusahakan ekonomi kapitalis agraria. Golongan tukang yang paling berjaya menjadi golongan pedagang besar. Revolusi borjuis biasanya digerakkan oleh golongan “kelas menengah” yang sederhana pada zaman pra-kapitalis untuk menjatuhkan pemerintahan kelas bangsawan yang bersifat feudal. Peningkatan dalam hasil pengeluaran dan perluasan pasaran telah meningkatkan peluang untuk menjadi kaya bagi mereka yang memiliki modal. Mereka yang mampu untuk melabur dalam peningkatan hasil ladang atau bengkel yang baharu, sudah pasti memperoleh kelebihan dari segi daya saing. Dengan itu, jurang kelas antara golongan pemodal (yang terdiri daripada golongan pedagang dan petani terkaya) dan golongan pekerja miskin semakin melebar.

Polis berkuda menyerang golongan penganggur yang berprotes di Tompkins Square Park, Bandar Raya New York, pada 13 Januari 1874. (ilustrasi: Matt Morgan, 1874)

Pengumpulan modal menjadi semakin pesat lagi, terutamanya mulai penghujung abad ke-17, pada awalnya mengambil bentuk kapitalisme perdagangan dan sistem pengeluaran yang “menyumberkan luar” kerja pembuatan kepada isi rumah individu yang tinggal berselerak. Golongan tukang kecil terus bekerja di rumah atau bengkel milik sendiri masing-masing, tetapi mereka tidak lagi mengeluarkan barangan mengikut rentak sendiri, sebaliknya perlu memenuhi tempahan daripada golongan kapitalis perdagangan.

Sistem kilang yang diperkenalkan semasa Revolusi Perindustrian telah mengubah keadaan itu sepenuhnya. Pembangunan perindustrian yang pesat membolehkan pengumpulan modal yang lebih cepat dan hebat. Pengeluaran besar-besaran dengan mesin yang disokong dengan penggunaan enjin berkuasa stim dan rangkaian landasan kereta api yang meluas, terus menghancurkan sistem pengeluaran yang berasaskan pertukangan kraf tangan.

Revolusi Perindustrian telah memberi kesan yang mendalam kepada proses perburuhan. Sebelum Revolusi Perindustrian, sektor pembuatan beroperasi dengan pembahagian buruh manual sesama tukang-tukang kecil yang mahir. Dalam ekonomi yang berasaskan pertukangan kecil, pekerja-pekerja bawahan diupah untuk bekerja di dalam bengkel-bengkel kecil. Pekerja-pekerja upahan itu boleh mempelajari pengetahuan dan kemahiran untuk menghasilkan sesuatu barangan semasa bekerja di dalam bengkel pertukangan. Kebanyakan pekerja upahan di bengkel pertukangan cuba mengikuti jejak langkah golongan borjuis kecil yang tinggal dan bekerja secara bersama dengan mereka. Ramai dalam kalangan pekerja-pekerja bengkel itu bercita-cita untuk menjadi borjuis kecil yang memiliki harta persendirian dan membuka bengkel milik mereka sendiri. Oleh itu, pekerja upahan sebelum Revolusi Perindustrian boleh dikatakan belum membentuk sebuah kelas sosial tersendiri yang jelas dengan identiti politiknya. Dalam konteks semasa Revolusi Perancis, bersama-sama golongan pemilik harta kecil dan tukang kecil, golongan pekerja upahan merupakan sebahagian daripada golongan sans-culotte yang membentuk massa revolusioner pada masa itu.

Pekerja-pekerja wanita dan buruh kanak-kanak yang bekerja di dalam sebuah kilang mancis di London, Britain, pada tahun 1870-an. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Selepas mesin diperkenalkan dalam proses pengeluaran, pembahagian kerja adalah berasaskan pengendalian mesin itu. Akibatnya, kemahiran dan pengetahuan pekerja telah “dihilangkan”, dengan itu pekerja hanya ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja yang diseragamkan dan berulang-ulang di dalam kilang yang dilengkapi dengan mesin-mesin. Pekerja-pekerja itu menjadi sekadar sebahagian daripada sistem kilang itu, seolah-olah peranti atau komponen mesin yang boleh ditukar ganti atau dipakai buang.

Pembentukan kelas pekerja moden sentiasa merupakan satu proses yang penuh keganasan. Kelas pekerja moden itu tidak muncul secara tiba-tiba dan meluru ke dalam kilang untuk bekerja di situ secara sukarela. Mereka datang daripada golongan petani miskin yang kehilangan tanah dan golongan tukang kecil yang kehilangan mata pencarian. Golongan petani miskin berpegang teguh kepada tanah mereka yang menjadi sumber kehidupan mereka; sementara golongan tukang kecil sentiasa menghargai kebebasan dan maruah yang diperoleh daripada kerja pertukangan kraf mereka. Untuk mewujudkan golongan pekerja perindustrian, maka perlu memisahkan pengeluar itu daripada sumber-sumber pengeluaran. Oleh itu, golongan petani dirampas tanah mereka dalam proses “pemagaran”, dan terpaksa berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari nafkah dengan bekerja sebagai buruh upahan; golongan tukang kecil dirampas rezeki mereka akibat lambakan barangan daripada kilang bermesin yang berharga lebih murah daripada barangan kraf tangan yang dihasilkan oleh mereka, dan terpaksa bekerja sebagai buruh upahan yang tidak perlu lagi menggunakan kemahiran kraf mereka. Sejarah kapitalisme itu sentiasa merupakan sejarah mengenai perampasan, pengusiran, pemiskinan, penurunan taraf hidup dan penindasan terhadap golongan kelas bawahan.

Pengenalan mesin dalam proses pengeluaran telah mengubah hubungan antara modal dan buruh. Penggunaan mesin itu menyeragamkan pengeluaran, mempercepatkan kadar pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran. Penggunaan mesin juga mengurangkan permintaan buruh untuk kuantiti kerja yang sama, tetapi golongan pemodal masih memerlukan banyak tenaga kerja di kilang-kilang milik mereka untuk meningkatkan lagi kadar pengeluaran yang dapat menambahkan keuntungan mereka. Pertumbuhan penduduk yang pesat dan semakin ramai penduduk dari kawasan luar bandar yang berpindah ke kawasan bandar kerana mereka kehilangan akses kepada tanah (akibat perampasan tanah untuk pertanian komersial), telah menyediakan “simpanan” tenaga kerja yang besar sehingga membolehkan golongan pemodal untuk mengekalkan tawaran gaji pada kadar yang rendah. Golongan pekerja yang memerlukan upah untuk terus hidup itu terpaksa menghadapi masalah seperti gaji yang lebih rendah, masa kerja yang lebih panjang dan keadaan tempat kerja yang lebih teruk.

Kartun yang menggambarkan keadaan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja yang diupah oleh Syarikat Pullman, sebuah syarikat yang mengeluarkan gerabak kereta api. Dalam gambar kartun ini, George Pullman, pemilik Syarikat Pullman, sedang menghimpit pekerja dengan upah rendah dan sewa tinggi untuk unit kediaman di pekan syarikatnya. (sumber: Chicago Labor Newspaper, 7 Julai 1894)

Dengan semakin ramai orang menjadi pekerja upahan di dalam kilang-kilang besar di kawasan bandar, wujudnya asas kepada pembentukan sebuah kelas sosial yang “baharu”, iaitu kelas pekerja moden atau golongan proletar. Golongan proletar atau “proletariat” ialah pekerja-pekerja yang bekerja untuk menerima upah. Mereka tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran. Mereka menjual “tenaga kerja” atau keupayaan mereka untuk bekerja kepada golongan pemodal atau kapitalis supaya dapat dibayar upah. Mereka bergantung kepada upah yang dibayar sebagai pertukaran penggunaan tenaga kerja mereka itu untuk terus hidup. Istilah “proletar” berasal daripada perkataan bahasa Latin “proletarius” yang bermaksud “golongan yang menghasilkan zuriat”.

Golongan proletar merupakan tenaga kerja utama dalam penjanaan kekayaan masyarakat perindustrian moden. Mereka bukan sahaja menjana kekayaan yang diagihkan kepada mereka dalam bentuk upah, tetapi turut menjana keuntungan yang diambil oleh golongan pemodal yang hidup mewah dan dilaburkan semula sebagai modal yang boleh menjana lebih banyak lagi keuntungan. Golongan proletar atau kelas pekerja dieksploitasi untuk memperkayakan golongan kapitalis dan mengekalkan sistem ekonomi kapitalis yang eksploitatif itu.

Golongan pekerja yang dieksploitasi secara teruk itu langsung tidak mempunyai hak asasi. Walaupun perhambaan mutlak sudah dihapuskan, kehidupan golongan pekerja yang “bebas” itu tidak semestinya lebih baik berbanding golongan hamba abdi, kerana mereka masih terperangkap dalam satu lagi bentuk eksploitasi baharu yang mirip perhambaan, iaitu “perhambaan upah”.

Buruh kanak-kanak yang bekerja di lombong arang batu di Britain semasa Zaman Victoria. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada peringkat awal Revolusi Perindustrian, golongan pemodal yang memiliki kilang dan mengupah pekerja itu memegang kuasa yang besar. Golongan pemodal boleh memecat pekerja sesuka hati tanpa perlu membayar apa-apa pampasan. Walaupun sesetengah negara perindustrian sudah mengamalkan sistem demokrasi berperwakilan, tiadanya wakil rakyat dalam badan perundangan untuk mewakili suara kelas pekerja, malah ramai daripada golongan pekerja masih tidak mempunyai hak mengundi. Oleh itu, hampir tiadanya undang-undang yang melindungi pekerja, sebaliknya undang-undang digubal untuk melindungi kepentingan golongan majikan. Penganiayaan terhadap pekerja adalah sesuatu yang biasa dan berleluasa.

Walaupun Revolusi Perindustrian mendatangkan kemajuan besar kepada masyarakat kerana menghasilkan kekayaan yang jauh lebih besar berbanding zaman sebelumnya, ramai orang yang menyumbang tenaga buruh mereka dalam Revolusi Perindustrian itu tidak menikmati hasil kekayaan itu, sebaliknya hidup dalam keadaan yang teruk. Kesan buruk Revolusi Perindustrian itu dapat diperhatikan oleh seorang anak muda Jerman pada tahun 1840-an, bernama Friedrich Engels (1820-1895), yang dihantar oleh bapanya untuk bertugas di kilang milik keluarganya di Manchester.

Friedrich Engels (1820-1895)

Berasaskan pengalamannya di Manchester, bandar perindustrian yang penting di Britain, Friedrich Engels menulis dalam bukunya The Condition of the Working Class in England (1845), “Kita harus mengakui bahawa 350,000 orang pekerja di Manchester dan kawasan sekitarnya, hampir semua tinggal di dalam rumah-rumah kecil yang daif, lembap dan kotor, dengan jalan-jalan sekeliling biasanya berada dalam keadaan yang amat teruk dan kotor, dibina tanpa sedikit pun mengambil kira tentang pengudaraan, dengan hanya mempertimbangkan keuntungan yang diperoleh oleh kontraktor. Pendek kata, kita harus mengakui bahawa di tempat kediaman para pekerja di Manchester, tiadanya kebersihan, tiadanya kemudahan, dan oleh itu tidak mungkin wujudnya kehidupan keluarga yang selesa; bahawa di tempat kediaman seperti itu hanya orang yang merosot secara fizikal, yang telah dirampas segala sifat kemanusiaan, terhina, dan direndahkan dari segi moral dan fizikal sehingga ke tahap binatang, barulah boleh berasa selesa dan seperti di rumah sendiri.”

Keadaan kilang di mana golongan pekerja itu bekerja memang teruk, dengan persekitaran tempat kerja yang gelap, bising, kotor dan bahaya. Pekerja-pekerja tidak mempunyai hak untuk menentukan jam kerja, gaji dan keadaan tempat kerja mereka. Kebanyakan pekerja perlu bekerja selama 12 jam sehari, malah ada yang perlu bekerja sehingga 16 jam sehari. Mereka hanya diberi satu hari rehat seminggu, malah adanya yang langsung tiada hari rehat. Masa untuk makan tengah hari dan makan malam juga sangat singkat. Mereka tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi, apatah lagi masa untuk berekreasi atau bersama keluarga mereka. Apabila pekerja-pekerja balik ke tempat tinggal mereka di bandar, keadaannya tidak semestinya lebih baik berbanding di tempat kerja, seperti yang diperhatikan oleh Engels.

Pekerja-pekerja yang kembali bekerja tiba di stesen kereta api. (ilustrasi: Käthe Kollwitz)

Walaupun banyak kekayaan dijana daripada kerja yang dilakukan oleh golongan pekerja, gaji yang diterima oleh mereka masih rendah dan tidak mencukupi untuk hidup bermaruah. Malah, kanak-kanak juga diupah untuk bekerja di dalam lombong-lombong arang batu dan kilang-kilang.

Berbeza dengan sistem pekerjaan bengkel kecil yang didominasi oleh tenaga buruh lelaki, ramai wanita diupah sebagai pekerja dalam sistem kilang. Bagi sesetengah golongan wanita, penglibatan dalam dunia kerja sebagai buruh upahan boleh mewujudkan kemandirian, mobiliti sosial dan taraf hidup yang lebih baik; tetapi bagi kebanyakan golongan pekerja wanita, pekerjaan dalam sektor perindustrian pada abad ke-19 adalah mimpi ngeri yang penuh dengan kesusahan hidup. Lebih-lebih lagi, kebanyakan wanita tidak mempunyai hak politik, sosial atau ekonomi di luar rumah. Jadi, golongan pekerja wanita sering diupah untuk melakukan pekerjaan yang berkemahiran rendah dan dibayar dengan gaji rendah. Kadar gaji yang diterima oleh pekerja wanita adalah lebih rendah berbanding pekerja lelaki untuk kerja yang sama. Selain itu, pekerja wanita masih perlu memasak, melakukan kerja rumah dan menjaga kanak-kanak selepas menghabiskan jam kerja yang panjang di luar rumah mereka. Harus disedari juga bahawa buruh wanita yang tidak dibayar di rumah itu membolehkan golongan lelaki untuk bekerja di luar. Dalam erti kata lain, eksploitasi yang dihadapi oleh golongan pekerja wanita adalah berlipat ganda berbanding golongan pekerja lelaki.

Dua orang pekerja duduk bersembang tentang politik. (ilustrasi: Hermann Kauffmann, 1841)

Pertumbuhan ekonomi perindustrian yang pesat di bawah kapitalisme telah mewujudkan jurang kelas yang semakin melebar. Jurang itu adalah antara kelas pemodal (atau borjuis) dan kelas pekerja (atau proletar), dari segi pendapatan, kekayaan dan kekuasaan dalam menentukan bagaimana masyarakat itu berfungsi. Kelas pekerja menghasilkan kekayaan masyarakat dengan menaburkan titisan peluh mereka, tetapi sebahagian besar kekayaan itu diambil begitu sahaja oleh golongan kapitalis, dan kelas pekerja sendiri terus hidup dalam kesengsaraan. Jika golongan hamba yang terikat dengan rantai perhambaan itu boleh bangkit memberontak untuk memperjuangkan pembebasan daripada perhambaan, tidak mungkin golongan pekerja moden yang “bebas” itu tidak dapat bangkit untuk memperjuangkan pembebasan yang sebenar.

Berbeza dengan golongan petani pada zaman feudal yang tinggal berselerak di kawasan desa, atau golongan hamba abdi yang diasingkan di dalam ladang-ladang yang berasingan di kawasan yang agak terpencil, golongan pekerja perindustrian moden itu dihimpunkan secara beramai-ramai di dalam kilang-kilang yang besar dan kawasan petempatan setinggan yang penuh sesak di bandar. Mereka semakin hari semakin menjadi sebuah kuasa politik yang lebih mudah berorganisasi kerana jarak fizikal yang dekat itu.

Pekerja-pekerja berkumpul di kedai minum. (ilustrasi: Mihály Munkácsy, 1895)

Kesusahan hidup sudah pasti menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan kelas pekerja yang tertumpu di kawasan bandar itu, dan ketidakpuasan hati terhadap eksploitasi yang berterusan itu boleh diolah menjadi kuasa penggerak perjuangan kelas pekerja. Apabila kelas pekerja mengorganisasi diri mereka untuk melawan penindasan di tempat kerja, mereka menjelma kepada “penggali kubur” sistem sosioekonomi kapitalis yang eksploitatif itu.

Penumpuan golongan pekerja di kilang yang sempit dan tempat tinggal di bandar yang penuh sesak, telah menyediakan ruang yang memudahkan pembentukan organisasi pekerja dan menyatukan pekerja-pekerja dalam usaha memperjuangkan hak mereka. Kelas pekerja mempunyai kekuatan kolektif untuk memajukan perjuangan mereka, bukan sekadar menentang eksploitasi dan penindasan, tetapi melangkah lebih jauh ke hadapan lagi untuk mentransformasi susunan masyarakat. Perjuangan kelas pekerja berkecenderungan menghala ke arah penghapusan pemilikan harta persendirian, yang dapat mewujudkan prasyarat untuk kesamarataan sosioekonomi dan demokrasi politik yang gagal dicapai oleh revolusi demokratik borjuis seperti Revolusi Perancis.

Asal usul politik radikal gerakan pekerja moden

Revolusi Perancis telah digerakkan dan dimajukan dari bawah oleh gerakan rakyat yang turut melibatkan golongan pekerja. Revolusi yang hebat itu telah menyemarakkan harapan untuk pembaharuan demokratik dan sosial yang meluas lagi menyeluruh. Namun, selepas Reaksi Thermidor pada 27 Julai 1794, golongan radikal yang mengangkat aspirasi rakyat bawahan telah ditewaskan.

Gerakan radikal semasa Revolusi Perancis merupakan sebuah perikatan kelas yang penuh dengan kontradiksi. Pemimpin-pemimpin Jacobin mewakili golongan radikal yang merupakan minoriti kecil dalam kelas borjuis. Kebanyakan pemimpin Jacobin yang radikal itu merupakan golongan borjuis kecil di kawasan bandar, yang terdiri daripada golongan profesional, tukang mahir dan pedagang kecil. Golongan pekerja upahan masih belum menjadi sebuah kelas sosial yang jelas dengan identiti politiknya sendiri. Kebanyakan pekerja itu diupah untuk bekerja di bengkel-bengkel kecil yang dimiliki oleh golongan tukang mahir atau peniaga kecil. Ramai dalam kalangan pekerja-pekerja itu bercita-cita untuk menjadi pemilik harta kecil. Kebanyakan golongan pekerja itu mengikut jejak langkah golongan borjuis kecil yang tinggal dan bekerja bersama mereka. Golongan sans-culotte yang membentuk massa rakyat revolusioner yang radikal itu merupakan campuran golongan pemilik harta kecil (borjuis kecil) dan golongan pekerja upahan.

Golongan petani juga mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa. Petani-petani miskin dan pekerja-pekerja upahan di kawasan luar bandar (yang bekerja sebagai pekerja pertanian di ladang-ladang besar) biasanya menjadi sekadar pengikut kepada petani-petani yang lebih kaya (borjuis kecil di kawasan luar bandar) dalam perjuangan mereka untuk menentang sistem feudal. Penduduk-penduduk kampung yang revolusioner itu bersatu untuk menentang golongan tuan tanah besar dan pegawai-pegawai pemungut cukai. Tentera Revolusioner Perancis, dan kemudiannya tentera pimpinan Napoleon, boleh menjadi begitu kuat adalah kerana tentera itu dianggotai oleh askar-askar yang berasal daripada golongan petani yang bersedia untuk mempertahankan hasil revolusi yang dinikmati oleh mereka, terutamanya dari segi tanah dan pendapatan daripada hasil kerja di tanah. Golongan askar petani itu sanggup berjuang bermati-matian untuk menentang pemulihan kekuasaan golongan bangsawan.

Namun, hasil revolusi borjuis yang hebat itu adalah terhad. Revolusi Perancis menjanjikan “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan”, tetapi hasilnya adalah mengecewakan bagi ramai orang yang pernah mengambil bahagian dalam perjuangan revolusioner itu sehingga mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Oleh sebab ia kekal sebagai sebuah “revolusi borjuis” yang bermatlamat untuk mempertahankan sistem pemilikan harta persendirian, golongan yang tidak memiliki apa-apa harta (terutamanya tanah dan modal) telah diabaikan. Sama ada kesamarataan sosioekonomi mahupun demokrasi sejati adalah tidak serasi dengan sistem pemilikan harta persendirian.

Gerakan rakyat yang hebat telah dipatahkan oleh golongan pemerintah di Perancis yang berkuasa selepas Reaksi Thermidor. Namun, ia tidak dapat dihancurkan sepenuhnya. Revolusi Perancis telah meradikalisasikan seluruh generasi, dengan ribuan orang aktivis terus mendapat inspirasi daripada cita-cita revolusi itu selepas tahun 1794. Ramai orang mendapat ilham daripada kejayaannya dan membincangkan pengajaran daripada kegagalannya dengan penuh bersemangat. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menyempurnakan cita-cita revolusi yang belum tercapai.

François-Noël Babeuf (1760-1797), yang juga dikenali sebagai Gracchus Babeuf, bersama-sama dengan golongan Égaux yang terdiri daripada bekas anggota Jacobin yang berfahaman radikal, cuba menggulingkan pemerintahan Direktorat pasca Reaksi Thermidor dan menubuhkan “Republik Kesamarataan” melalui rampasan kuasa politik pada tahun 1796. Namun, komplot sekumpulan kecil aktivis yang radikal untuk merampas kuasa itu tidak boleh menggantikan gerakan massa yang revolusioner. Tindakan sekumpulan “pengganas” tidak boleh menjatuhkan sebuah kerajaan, apatah lagi ia dapat mengubah seluruh sistem masyarakat. Gracchus Babeuf ditangkap dan dihukum mati pada tahun 1797. Walau bagaimanapun, jika Revolusi 1789 mewakili pembaharuan untuk pembentukan sistem raja berperlembagaan yang liberal dan Revolusi 1792 mewakili perjuangan massa republikan yang radikal, maka “Revolusi 1796” mewakili aspirasi awal untuk revolusi sosialis yang memperjuangkan pembebasan kelas bawahan, kesamarataan sosioekonomi serta demokrasi sejati.

François-Noël “Gracchus” Babeuf (1760-1797) (ilustrasi: François Bonneville, 1794)

Gracchus Babeuf pernah menulis, “Harta milik persendirian adalah menjijikkan dalam prinsipnya dan membawa maut dalam kesannya.” “Alam semula jadi telah memberikan setiap orang hak untuk menikmati bahagian yang sama rata dalam semua harta benda,” begitu tulisnya poster dengan tajuk “Analisis Doktrin Babeuf” (Analyse de la Doctrine de Baboeuf), yang ditampal oleh golongan Égaux di sekitar Paris pada bulan April 1796. “Dalam masyarakat yang sebenar, tidak sepatutnya wujud orang kaya mahupun orang miskin… Matlamat revolusi ini adalah untuk memusnahkan ketidaksamarataan dan memulihkan kebahagiaan bersama.”

Pendekatan terhadap pemilikan harta persendirian dan visi untuk sebuah masyarakat tanpa kelas, merupakan isu utama yang membezakan dan memisahkan golongan sosialis kelas pekerja dengan golongan radikal borjuis kecil. Golongan revolusioner borjuis memperjuangkan hak untuk memiliki harta persendirian supaya dapat terus mengumpulkan kekayaan bagi diri sendiri; sementara golongan revolusioner proletar yang berpegang pada fahaman sosialis sentiasa memperjuangkan susunan sosioekonomi yang membolehkan perkongsian kekayaan secara sama rata sesama anggota-anggota masyarakat.

Idea tanpa gerakan ialah sesuatu yang tidak berdaya untuk membawa apa-apa perubahan. Gerakan tanpa idea pula ialah sesuatu yang tidak mempunyai hala tuju. Penggabungan Revolusi Perancis dan Revolusi Perindustrian, dalam apa yang dipanggil sebagai “revolusi berkembar”, boleh dikatakan sebagai penggabungan idea dan gerakan yang membolehkan perubahan masyarakat secara menyeluruh itu berkemungkinan. “Revolusi berkembar” (dual revolution) ialah istilah yang paling awal digunakan oleh seorang ahli sejarah British yang bernama Eric Hobsbawm (1917-2012) dalam bukunya The Age of Revolution: Europe 1789-1848 (1962). Revolusi Perancis menyediakan idea-idea yang radikal untuk transformasi masyarakat, sementara Revolusi Perindustrian menyediakan asas kebendaan dan massa pekerja yang dihimpunkan dalam jumlah yang besar di kawasan bandar untuk menggerakkan perjuangan masyarakat yang lebih hebat kesannya.

Luddite

Penggunaan teknologi baharu boleh meningkatkan produktiviti dan memudahkan proses pengeluaran. Teknologi baharu yang mengurangkan kerja manual sepatutnya meringankan beban kerja golongan pekerja dan memudahkan mereka dalam menyempurnakan kerja mereka. Namun, apa yang sering berlaku dalam kapitalisme adalah bertentangan. Sering kali pengenalan teknologi baharu dalam proses pengeluaran bermakna pengurangan kuasa tawar-menawar pekerja, malah boleh membawa kepada kehilangan kerja. Golongan pemodal menggunakan teknologi baharu untuk mengurangkan kos pengeluaran, supaya boleh terus menekan gaji yang dibayar kepada pekerja pada paras yang rendah.

Terdapat lebih 200,000 orang bekerja sebagai pekerja penenun tangan di kilang-kilang tekstil di Britain pada tahun 1812. Namun, dengan semakin banyak kilang tekstil menggunakan mesin penenun yang berkuasa mekanikal, tambahan pula dengan kemasukan pekerja baharu (terutamanya pekerja imigran dari Ireland) dalam jumlah yang besar ke dalam sektor penenunan kain, golongan pekerja penenun tangan menghadapi masalah penurunan upah yang ketara, malah kehilangan kerja.

Ned Ludd, “pemimpin” gerakan Luddite. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Golongan penenun tangan tidak berdiam diri, sebaliknya menubuhkan sebuah gerakan rahsia untuk melakukan perjuangan bermati-matian demi mempertahankan rezeki mereka. Anggota-anggota kumpulan rahsia itu mendapat inspirasi daripada Ned Ludd, seorang penenun legenda yang dikatakan pernah merosakkan dua buah mesin penenun kain pada tahun 1799 untuk melepaskan kemarahannya. Oleh itu, gerakan penentangan penenun tangan di Britain pada tahun 1810-an juga dikenali sebagai gerakan Luddite. Golongan Luddite menggunakan nama samaran Ned Ludd (kadang-kadang juga dikenali sebagai Kapten Ludd, Jeneral Ludd atau Raja Ludd) dalam surat tuntutan mereka yang ditujukan kepada golongan pemilik kilang dan pegawai kerajaan.

Golongan Luddite melancarkan serbuan ke atas kilang-kilang yang menggunakan mesin penenun berkuasa mekanikal untuk merosakkan mesin-mesin di situ. Gerakan Luddite bermula dengan aksi pemusnahan mesin yang pertama pada 11 Mac 1811 di daerah Nottinghamshire yang terletak di bahagian tengah England. Dalam tempoh dua minggu, lebih seratus buah mesin dirosakkan di kilang-kilang di daerah Nottinghamshire. Pihak berkuasa Nottingham menerbitkan sebuah risalah pada penghujung bulan Mac 1811 yang menawarkan ganjaran sebanyak £50 kepada sesiapa yang memberikan maklumat tentang golongan Luddite, dan menggambarkan golongan Luddite yang merosakkan mesin itu sebagai “orang yang berfikiran jahat” yang telah berhimpun untuk merusuh.

Gelombang aksi serbuan terhadap kilang bermesin itu reda buat seketika menjelang penghujung bulan April 1811, tetapi bermula semula pada 4 November 1811 di daerah Nottinghamshire lagi. Pada tahun berikutnya, gerakan Luddite yang merosakkan mesin-mesin penenun berkuasa mekanikal itu telah merebak ke daerah-daerah lain seperti Yorkshire, Lancashire, Derbyshire dan Leicestershire. Golongan Luddite biasanya memakai topeng dan beraksi pada waktu malam. Mereka tidak merosakkan mesin-mesin dalam kilang itu secara pukul rata atau secara rawak, tetapi memilih jenis mesin tertentu yang dianggap boleh mengancam kepentingan golongan tukang mahir di sesuatu tempat.

Anggota gerakan Luddite sedang beraksi untuk merosakkan mesin penenun mekanikal. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Istilah “Luddite” kini sering digunakan untuk menggambarkan individu atau kumpulan yang membantah teknologi baharu. Namun, golongan Luddite itu bukan golongan reaksioner yang semata-mata menolak pembaharuan atau anti-teknologi. Mereka sebenarnya tidak membenci semua mesin itu. Golongan Luddite terdiri daripada tukang-tukang mahir yang menentang pengambilalihan proses pengeluaran oleh golongan kapitalis perindustrian yang bakal menjejaskan kesejahteraan komuniti mereka, melucutkan kemahiran mereka, melemahkan kuasa tawar-menawar kolektif mereka dan menurunkan taraf pekerja mahir kepada peranti yang boleh ditukar ganti seperti mesin itu. Mereka membantah tindakan golongan majikan yang menekan upah mereka pada paras yang rendah dengan mesin-mesin baharu untuk memaksimumkan keuntungan.

Gerakan Luddite boleh dikatakan sebagai petanda kemunculan kesedaran kelas yang awal dalam kalangan golongan pekerja untuk menentang kesan-kesan buruk kapitalisme perindustrian. Tindakan pemusnahan mesin yang dilakukan oleh golongan Luddite itu merupakan respons yang rasional dan bersasar terhadap hubungan pengeluaran kapitalis yang eksploitatif yang menjejaskan kehidupan buruh mahir. Dalam erti kata lain, gerakan Luddite ialah perjuangan pekerja mahir untuk menentang pelucutan kemahiran, pengurangan upah dan pengangguran.

Banyak kumpulan Luddite sangat teratur dalam organisasi mereka dan menggunakan aksi merosakkan mesin itu sebagai salah satu pendekatan untuk mencapai matlamat politik tertentu. Selain melakukan serbuan ke atas kilang, golongan Luddite juga menyelaraskan aksi demonstrasi dan mengirimkan surat tuntutan kepada golongan pemilik kilang serta pegawai-pegawai kerajaan. Dalam surat yang ditujukan kepada pihak berwajib, golongan Luddite menjelaskan sebab-sebab mereka merosakkan mesin dan mengugut untuk melakukan aksi selanjutnya jika mesin-mesin yang “menjengkelkan” itu masih digunakan. Sesetengah golongan Luddite juga mengemukakan tuntutan seperti pengiktirafan perwakilan pekerja dalam rundingan, peningkatan upah dan penghapusan buruh kanak-kanak.

Pada 11 November 1811, seorang anggota gerakan Luddite dari pekan Arnold yang bernama John Westley ditembak mati di Bulwell, daerah Nottinghamshire. Kematiannya mencetuskan banyak aksi pemusnahan mesin di daerah itu. Pihak berkuasa tempatan mengerahkan pasukan tentera dan militia untuk memulihkan ketenteraman di situ, tetapi kurang berkesan.

Menjelang tahun 1812, ekonomi Britain mengalami krisis yang mendalam, dengan kadar pengangguran yang tinggi dan inflasi yang teruk. Pada masa itu, kerajaan British sudah membelanjakan banyak wang dalam peperangannya dengan Napoleon, sementara menghadapi sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Napoleon. Gerakan Luddite telah membentuk sebahagian penting perjuangan masyarakat yang menentang kerajaan British pada masa itu. Namun, golongan kelas atasan dan kelas menengah menyokong kerajaan British dalam tindakannya yang menggunakan tentera untuk mematahkan semua rusuhan kelas pekerja, terutamanya gerakan Luddite.

Pada bulan Februari 1812, Parlimen British meluluskan undang-undang yang menjadikan tindakan merosakkan mesin penenun itu sebagai kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati. Namun, penggubalan undang-undang yang keras itu tidak dapat menghentikan sepenuhnya aksi golongan Luddite. Pada bulan April 1812, golongan Luddite bertembung dengan pasukan tentera kerajaan apabila mereka cuba menyerbu kilang di Middleton dan Westhoughton, kedua-duanya terletak di daerah Lancashire. Pada 11 April 1812, di Liversedge, daerah Yorkshire Barat, kira-kira 200 orang Luddite cuba melakukan serangan untuk memusnahkan mesin-mesin di sebuah kilang di situ, tetapi dipatahkan oleh askar-askar dan orang suruhan majikan yang bersembunyi di situ, dengan 2 orang Luddite terbunuh.

Pada 28 April 1812, sekumpulan empat orang Luddite, yang diketuai oleh George Mellor, menyerang hendap dan menembak mati seorang pemilik kilang, di Huddersfield, daerah Yorkshire Barat. George Mellor, seorang pekerja tekstil yang mahir di Huddersfield, merupakan salah seorang pemimpin Luddite yang utama di daerah Yorkshire. Dia ditangkap pada bulan Oktober 1812, begitu juga dengan rakan-rakannya.

Kerajaan British mengambil langkah-langkah yang keras untuk mematahkan gerakan Luddite. Perbicaraan besar-besaran diadakan di York, daerah Yorkshire Utara, pada bulan Januari 1813, dengan lebih 60 orang yang dikaitkan dengan aktiviti Luddite didakwa di mahkamah, termasuk George Mellor. Walaupun sebahagian daripada orang yang didakwa itu memang anggota Luddite, ramai orang tidak mempunyai hubungan langsung dengan gerakan itu. Oleh itu, sebahagian kes telah digugurkan kerana bukti yang tidak mencukupi, dan 30 orang telah dibebaskan. Walau bagaimanapun, kerajaan British hendak menggunakan perbicaraan itu sebagai perbicaraan pertunjukan untuk menghalang golongan Luddite lain daripada meneruskan aktiviti mereka yang menjejaskan kepentingan golongan kapitalis. Bagi mereka yang disabit kesalahan, hukuman berat telah dikenakan, termasuk pembuangan negeri ke jajahan tahanan atau hukuman mati. George Mellor dan 13 orang lagi Luddite yang disabit kesalahan digantung sampai mati. Aksi golongan Luddite masih berlaku secara sporadik dalam beberapa tahun selepas itu, tetapi terus ditangani oleh pihak berkuasa dengan kekerasan.

Jeremiah Brandreth (1785-1817), yang juga dikenali sebagai “Kapten Nottingham”, ialah seorang pekerja pembuat stoking yang kehilangan kerja dan memimpin Pemberontakan Pentrich di daerah Derbyshire, wilayah Midlands Timur, England, pada tahun 1817. (ilustrasi: George Cruikshank)

Pada 9 Jun 1817, Jeremiah Brandreth (1785-1817), seorang pekerja tekstil yang menganggur dan berkemungkinan bekas anggota Luddite, melancarkan pemberontakan bersenjata di sekitar Pentrich, sebuah kampung di daerah Derbyshire. Namun, pemberontakan itu dipatahkan oleh pihak berkuasa dalam satu hari. Jeremiah Brandreth dan dua orang lagi pemimpin pemberontak dihukum mati, sementara golongan pemberontak lain yang dibuang negeri ke jajahan tahanan di Australia.

Golongan pekerja di kawasan luar bandar juga pernah melakukan aksi pemusnahan mesin. Pada tahun 1830, pekerja-pekerja pertanian di England Selatan dan England Timur memberontak untuk memprotes terhadap mekanisasi pertanian dan keadaan kerja yang teruk. Golongan pekerja merosakkan mesin pengirik sebagai bantahan terhadap sistem perburuhan yang memiskinkan dan merampas rezeki mereka. Siri pemberontakan itu dikenali sebagai “Rusuhan Swing”, kerana mereka yang terlibat dalam aksi pemberontakan itu menggunakan nama samaran “Kapten Swing” dalam surat-surat ugutan yang ditujukan kepada pihak berkuasa. “Swing” (berayun) itu besar kemungkinan merujuk kepada kayu berayun yang digunakan dalam pengirikan tangan. Seperti cara menangani gerakan Luddite, pihak berkuasa British juga menggunakan pendekatan yang keras, dengan mereka yang ditangkap dalam “Rusuhan Swing” itu didakwa dengan tuduhan membakar secara sengaja, merompak, merusuh, memecahkan mesin dan menyerang. Mereka yang disabit kesalahan itu dikenakan hukuman penjara, pembuangan negeri ke jajahan tahanan atau hukuman mati.

Potret “Kapten Swing”. (ilustrasi: Orlando Hodgson, 1830)

Pemberontakan Canut

Friedrich Engels pernah mengatakan bahawa “kebangkitan kelas pekerja yang pertama” berlaku pada tahun 1831 di Lyon. Lyon ialah sebuah bandar yang terletak di bahagian tengah timur negara Perancis, di barat laut Banjaran Alp Perancis, di kuala sungai yang mempertemukan Sungai Rhône dan Sungai Saône, kira-kira 391 km di tenggara Paris. Menjelang abad ke-15, semasa Zaman Renaissance, bandar itu sudah menjadi pusat perdagangan yang utama di Perancis. Raja Charles VII dari Perancis yang memerintah pada masa itu memberikan hak kepada bandar Lyon untuk menganjurkan beberapa buah ekspo perdagangan bebas cukai. Banyak barangan telah dibawa ke situ untuk dijual, termasuk sutera yang dibawa masuk dari Itali. Lyon boleh dikatakan terletak di hujung barat Jalan Sutera, iaitu rangkaian laluan perdagangan yang menghubungkan benua Eropah dengan tanah besar China sejak tahun 130 SM semasa zaman Dinasti Han Barat (202 SM – 9 M).

Untuk membendung pengaliran keluar dana yang disebabkan oleh permintaan terhadap sutera daripada golongan elit kelas atasan Perancis yang tidak dapat dipuaskan itu, kerajaan Perancis pernah cuba mewujudkan perindustrian sutera di Lyon pada abad ke-15, tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1536, Étienne Turquet dan Barthélemy Naris, dua orang pedagang dari wilayah Piemonte yang terletak di bahagian barat laut Itali, dibenarkan oleh Raja François I dari Perancis untuk membangunkan perusahaan sutera di Lyon dan alat penenun sutera yang pertama dibawa masuk ke bandar itu.

Pada tahun 1540, Raja François I dari Perancis memberikan monopoli kepada Lyon untuk mengimport sutera mentah, maka menjadikan Lyon sebagai pusat pemprosesan dan perdagangan sutera yang utama. Ribuan orang pekerja diupah untuk bekerja di bengkel-bengkel penenunan sutera. Menjelang abad ke-18, pengeluaran sutera merupakan tonggak ekonomi Lyon, dengan 28,000 orang didaftarkan sebagai pekerja sutera pada tahun 1788. Bersama-sama dengan pembangunan perusahaan sutera yang pesat, pertukaran budaya, kemajuan teknologi dan malah penyebaran idea-idea baharu, telah menyemarakkan revolusi borjuis di Eropah menjelang penghujung abad ke-18.

Pemandangan dalaman sebuah bengkel penenun sutera, yang dikenali sebagai canut, di Lyon, pada awal abad ke-19. (ilustrasi: Jules Férat / Frederick William Moller, 1877)

Perindustrian sutera di Lyon terjejas buat seketika semasa tercetusnya Revolusi Perancis 1789. Namun, kapasiti pengeluaran perindustrian sutera dibangunkan semula semasa pemerintahan Maharaja Napoleon I, dengan kemasukan pelabur-pelabur asing dan pengenalan teknologi baharu. Mesin penenun Jacquard, yang dicipta pada tahun 1801, memangkinkan lagi pembangunan perindustrian sutera di Lyon.

Golongan tukang penenun kain sutera yang mahir di Lyon dikenali sebagai canut. Pada tahun 1831, terdapat kira-kira 8,000 orang canut di Lyon. Mereka mempunyai bengkel sendiri dan memiliki antara 2 hingga 6 buah mesin penenun di bengkel masing-masing. Mereka dibayar oleh golongan pemodal, yang dikenali sebagai grande fabrique (pengilang besar), mengikut kuantiti kain sutera yang ditempah. Golongan canut mengupah kira-kira 30,000 orang perantis yang dibayar upah harian. Golongan perantis itu biasanya tinggal bersama golongan canut yang menyediakan tempat kediaman dan makanan kepada mereka. Oleh itu, golongan canut dan golongan perantis berkongsi taraf kehidupan yang serupa. Perubahan dalam susunan perindustrian sutera kerana kemunculan hubungan pengeluaran kapitalis dan penggunaan mesin penenun mekanikal baharu, telah menjadikan golongan canut semakin hari semakin serupa dengan kelas pekerja, bersama-sama golongan perantis yang bekerja dengan mereka. Kebanyakan golongan canut tinggal di kawasan kejiranan Croix-Rousse yang terletak di bahagian utara bandar Lyon.

Oleh sebab perkembangan hubungan pengeluaran kapitalis yang semakin ketara dalam perusahaan sutera di Lyon, hubungan kelas di bandar Lyon juga menjelma ke dalam bentuk pertentangan antara kelas borjuis (yang terdiri daripada golongan pemodal grande fabrique) dan kelas proletar (yang terdiri daripada golongan canut dan perantis mereka). Hubungan antara golongan pemodal dan golongan canut sentiasa tegang kerana kepentingan ekonomi mereka yang sering bercanggahan. Sebelum itu, golongan tukang penenun mahir dapat menguasai pengeluaran dan penjualan hasil kraf mereka secara sendiri, tetapi kemunculan hubungan perindustrian yang baharu dan kemajuan teknologi telah mengubah seluruh bentuk pengeluaran kain sutera itu. Mesin penenun baharu mengeluarkan kain dengan lebih cepat dan pelaburan dalam bentuk pinjaman kepada tukang-tukang mahir menyaksikan perluasan yang cepat dalam pengeluaran dan keuntungan lumayan bagi golongan pemodal, tetapi kehidupan golongan canut yang merupakan tukang mahir itu tidak bertambah baik, sebaliknya dieksploitasi hampir sama seperti pekerja upahan yang lain.

Pemberontakan Canut Pertama pada tahun 1831. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada tahun 1831, keadaan ekonomi yang merudum telah mengurangkan permintaan produk sutera secara drastik. Kesannya adalah ramai tukang penenun mahir terpaksa menggulung tikar, sekali gus mengakibatkan pekerja-pekerja yang diupah oleh mereka kehilangan kerja. Pada masa itu, negara Perancis baru mengalami Revolusi Julai pada tahun 1830 yang menggantikan pemerintahan Raja Charles X daripada dinasti Bourbon dengan pemerintahan “Raja Rakyat Perancis” Louis Philippe I. Namun, golongan canut masih menghadapi masalah keadaan kerja yang teruk dan jam kerja yang panjang. Golongan canut terpaksa bekerja selama 14-18 jam, malah sehingga 20 jam sehari, untuk mendapatkan bayaran daripada hasil kerja mereka yang hampir tidak cukup untuk terus hidup.

Pada 18 Oktober 1831, golongan canut meminta Louis Bouvier-Dumolart, prefek atau ketua pegawai pentadbir wilayah Rhône, untuk membantu mereka dalam perundingan dengan golongan pemodal. Golongan canut menuntut upah minimum atau harga lantai tetap bagi setiap helai kain sutera yang dihasilkan, supaya menghentikan penurunan harga kain sutera. Pada 25 Oktober 1831, ribuan orang canut berarak secara teratur dari kawasan kejiranan kelas pekerja di Croix-Rousse ke pusat bandar Lyon. Bouvier-Dumolart berucap di hadapan orang ramai untuk meyakinkan mereka supaya pulang ke rumah secara aman dan bersetuju untuk memperkenalkan harga tetap. Conseil de prud’hommes (mahkamah buruh) telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan pelaksanaan tarif harga tetap itu.

Namun begitu, sebanyak 104 orang pengilang enggan membayar mengikut kadar tetap yang dipersetujui itu atas alasan ia bertentangan dengan “kebebasan keusahawanan”. Keengganan golongan pemodal untuk menerima tarif harga tetap dianggap sebagai penghinaan besar kepada golongan canut. Rundingan menemui jalan buntu, dengan golongan pemodal menolak pengenaan tarif, sementara tekanan daripada golongan canut untuk pelaksanaannya semakin hebat. Pada 10 November 1831, Bouvier-Dumolart menarik balik janji asalnya dan mengalihkan sokongannya kepada golongan pemodal yang menolak tuntutan golongan canut untuk upah minimum. Golongan pemodal menutup gudang-gudang mereka untuk mengelak daripada membayar tarif yang dikenakan. Tindakan itu telah menimbulkan kemarahan golongan canut. Golongan pekerja menubuhkan sebuah organisasi separa tentera yang dikenali sebagai “Sukarelawan Rhône” (Les volontaires du Rhône).

Pada 21 November 1831, ratusan orang penenun sutera berhimpun di kawasan kejiranan Croix-Rousse. Mereka memaksa beberapa orang penenun kain yang masih bekerja pada masa itu untuk menutup bengkel mereka. Golongan canut yang berhimpun itu berarak menuju ke arah pusat pentadbiran bandar Lyon. Pasukan Pengawal Kebangsaan yang dianggotai oleh golongan kelas menengah cuba menghalang kemaraan golongan canut tetapi gagal. Golongan canut membaling batu ke arah Pengawal Kebangsaan. Dengan konfrontasi semakin sengit, Pengawal Kebangsaan melepaskan tembakan dan membunuh beberapa orang canut. Golongan canut terpaksa berundur buat sementara ke kawasan kejiranan kelas pekerja di Croix-Rousse, tetapi kembali dengan sokongan yang lebih besar, dengan ribuan orang berarak di belakang sepanduk besar yang tertulis perkataan “vivre en travaillant, ou mourir en combattant” (hidup dengan bekerja atau mati berjuang). Dengan itu, tercetusnya apa yang dikenali sebagai Pemberontakan Canut Pertama.

Golongan canut yang memberontak di kawasan kejiranan Croix-Rousse, Lyon, Perancis, pada bulan November 1831. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Benteng-benteng jalanan telah didirikan dan golongan pemberontak pekerja itu mengibarkan bendera hitam. Bendera hitam itu melambangkan berkabung untuk mereka yang terkorban, kelaparan dan keinginan untuk memperjuangkan kebebasan bagi golongan pekerja yang memberontak. Bendera hitam kemudiannya menjadi simbol kepada anarkisme, salah satu aliran politik gerakan pekerja yang menentang segala bentuk hierarki kekuasaan dan mendukung sebuah masyarakat tanpa negara yang berasaskan kerjasama secara sukarela, saling bantu-membantu serta demokrasi langsung dalam proses membuat keputusan.  

Golongan canut terus menyerbu dan menguasai pusat bandar Lyon. Louis Bouvier-Dumolart dan komander Pengawal Kebangsaan ditahan oleh golongan canut yang memberontak itu. Dengan sebahagian besar anggota Pengawal Kebangsaan berada dalam keadaan keliru dan kucar-kacir, pasukan Pengawal Kebangsaan yang masih setia pada pihak berkuasa dikepung sepenuhnya di kawasan Hôtel de Ville, iaitu dewan bandar raya Lyon. Pemberontakan golongan canut merebak dengan cepatnya ke kawasan-kawasan lain di bandar Lyon, dengan kumpulan militia pekerja dibentuk dan unit-unit Pengawal Kebangsaan di kawasan kejiranan pekerja yang dianggotai oleh para penenun terus menyertai pemberontakan.

Pertempuran di Pont Morand, sebatang jambatan yang melintasi Sungai Rhône di Lyon, Perancis, pada 22 November 1831. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 22 November 1831, golongan canut yang memberontak di Lyon menawan berek polis dan merampas senjata yang disimpan di dalam gudang senjata. Pasukan Pengawal Kebangsaan yang masih tinggal di Hôtel de Ville berundur keluar dari Lyon. Golongan canut berjaya menguasai bandar Lyon, dan itu merupakan kali pertama dalam sejarah sebuah bandar raya moden dikuasai oleh kelas pekerja! Pertempuran sehari sebelum itu telah menyebabkan kematian 275 orang, dengan 75 orang daripada pihak kerajaan dan 200 orang warga awam, sementara 263 orang cedera.

Golongan canut yang menguasai bandar Lyon mengambil langkah-langkah untuk memperkukuhkan kawalan mereka terhadap bandar itu, dengan pasukan militia meronda di kawasan bandar dan memulihkan ketenteraman di situ. Pihak berkuasa cuba memasuki semula bandar Lyon pada 22 November 1831 dengan pasukan tentera dari Trévoux yang terletak berdekatan, tetapi dipatahkan oleh pekerja-pekerja di kawasan kejiranan Croix-Rousse.

Pertempuran di Place des Bernardines, Lyon, Perancis, semasa Pemberontakan Canut Pertama pada tahun 1831. (ilustrasi: Bardoz, 1831)

Namun, pada masa itu, pemimpin-pemimpin pekerja yang menduduki Hôtel de Ville Lyon itu tidak begitu pasti tentang tindakan politik selanjutnya. Beberapa orang republikan dalam kalangan golongan pemberontak mencadangkan supaya menggunakan momentum perjuangan itu untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerajaan sementara. Pada 24 November 1831, jawatankuasa kerajaan sementara itu mengeluarkan proklamasi yang berbunyi,

Wahai warga Lyon! Pegawai-pegawai kerajaan yang pengkhianat telah kehilangan hak mereka untuk mendapatkan kepercayaan orang awam; sebuah penghadang badan telah didirikan antara kita dan mereka. Oleh itu, sebarang pengaturan sepatutnya mustahil. Lyon, yang dibebaskan secara gemilang oleh anak-anaknya yang berani, harus mempunyai pegawai-pegawai kerajaan pilihannya; pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mencemari darah saudara mereka.

Mereka yang telah mempertahankan kita akan menamakan pegawai-pegawai untuk mempengerusikan semua badan bagi perwakilan bandar dan jabatan Rhône.

Lyon akan mempunyai jawatankuasa atau perhimpunan agung utama; keperluan rakyat wilayah akhirnya akan didengari dan pengawal warga bandar baharu akan ditubuhkan. Penipuan kerajaan tidak akan lagi dikenakan ke atas kita…

Hidup kebebasan!

Walaupun Pemberontakan Canut 1831 mengalami pempolitikan yang cepat, golongan pekerja secara amnya masih tidak mempunyai organisasi politik yang disertai oleh massa pekerja. Golongan republikan hanya mempunyai satu atau dua sel di dalam bandar Lyon, dan dianggotai oleh golongan intelek dan profesional kelas menengah. Mereka boleh dikatakan sebagai sayap radikal golongan borjuis, dan berpendirian haluan kiri dalam hal ehwal kemasyarakatan, dengan cuba mempertahankan golongan miskin dan mendukung perjuangan golongan canut. Mereka telah memainkan peranan yang penting dalam kepimpinan Sukarelawan Rhône.

Pemberontakan Canut di bandar kedua terbesar di Perancis pada masa itu telah menimbulkan kerisauan besar dalam kalangan golongan pemerintah Monarki Julai di Paris. Raja Louis Philippe I menghantar sebuah tentera dengan 20,000 orang askar dan 150 buah meriam untuk menduduki semula bandar Lyon. Louis Bouvier-Dumolart, yang dibebaskan selepas keadaan di Lyon menjadi tenang, telah memujuk golongan tukang penenun yang lebih moderat untuk membentuk sebuah majlis supaya memperkukuhkan ketenteraman di bandar itu, maka melemahkan pengaruh golongan yang lebih radikal. Majlis yang dianggotai oleh golongan moderat itu memutuskan untuk menyerah semula kuasa pentadbiran kepada golongan elit borjuis.

Pada 3 Disember 1831, tentera kerajaan yang dipimpin oleh Putera Mahkota Ferdinand Philippe dan Menteri Perang Jean-de-Dieu Soult memasuki bandar Lyon tanpa sebarang tentangan daripada golongan canut, maka menandakan tamatnya pemberontakan itu. Pihak berkuasa terus mengambil langkah-langkah untuk memadamkan semangat revolusioner golongan canut. Kira-kira 90 orang pekerja ditangkap, tetapi pihak berkuasa juga mengumumkan pengampunan kepada kebanyakan pekerja yang terlibat dalam pemberontakan. Harga tetap bagi barangan sutera dimansuhkan, pegawai pentadbir dipecat, Pengawal Kebangsaan di situ dibubarkan, dan tentera dalam jumlah yang besar ditempatkan di bandar itu. Kerajaan juga membina semula tembok yang memisahkan kawasan kejiranan kelas pekerja di Croix-Rousse dengan pusat bandar Lyon, tambahan pula dengan kubu-kubu pertahanan yang lebih kukuh. Orang awam di Lyon dilucutkan senjata mereka secara sistematik, sementara sesetengah canut didaftarkan ke dalam tentera, dengan ramai pekerja yang bukan berasal dari situ diusir keluar dari Lyon.

Namun begitu, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kebanyakan anggota pasukan Sukarelawan Rhône, atas kebimbangan bahawa ia akan mencetuskan tindak balas ganas, kerana kumpulan itu masih mendapat sokongan kuat dalam kalangan golongan pekerja. Terdapat kira-kira 800 orang canut yang masih menganggotai unit separa tentera itu. Memori tentang Pemberontakan Canut 1831 dalam kalangan golongan canut yang radikal tidak mungkin hilang begitu sahaja. Oleh itu, walaupun langkah-langkah telah diambil untuk meredakan keadaan, ketegangan hubungan antara kelas-kelas sosial juga tidak hilang begitu sahaja.

Golongan borjuis yang digegarkan oleh Pemberontakan Canut 1831 telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan pertahanan bandar supaya melindungi kepentingan mereka. Walaupun Pengawal Kebangsaan dibubarkan buat sementara waktu, ia ditubuhkan semula dengan penyertaan golongan kelas menengah yang lebih setia pada golongan borjuis. Pengawal Kebangsaan yang ditubuhkan semula itu diberikan lebih banyak kuasa kepolisan.

Pertempuran semasa Pemberontakan Canut Kedua pada tahun 1834. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Golongan tukang mahir dalam kalangan golongan canut berhasrat untuk menubuhkan koperasi yang membolehkan mereka berpisah sepenuhnya daripada golongan pemodal besar dan Grande Fabrique. Perjuangan untuk upah dan kontrak yang lebih baik masih berterusan. Persatuan-persatuan pekerja yang bersifat kebajikan sebelum itu semakin berubah menjadi organisasi pekerja yang memperjuangkan kepentingan mereka. Golongan republikan di Paris juga menghantar wakil mereka ke Lyon untuk membantu dalam menubuhkan sebuah rangkaian pertubuhan rahsia yang agak besar, dan sering bekerjasama secara rapat dengan persatuan-persatuan pekerja penenun sutera. Golongan republikan amat kecewa dengan pemerintahan Monarki Julai yang semakin cenderung kepada politik konservatif, tetapi Pemberontakan Jun 1832 di Paris yang diterajui oleh golongan republikan telah dipatahkan secara ganas oleh pihak berkuasa dan golongan pemerintah Perancis cuba menyekat aktiviti mereka dengan lebih lanjut lagi.

Pertumbuhan persatuan pekerja yang pesat selepas Pemberontakan Canut 1831 menyediakan kemudahan yang penting kepada golongan canut dalam perjuangan mereka yang menentang golongan pemodal. Pada bulan Julai 1833, berlakunya siri mogok pekerja yang menuntut peningkatan kadar upah. Anggota-anggota persatuan pekerja pergi dari sebuah bengkel ke bengkel lain, untuk memujuk golongan canut di situ supaya berhenti daripada bekerja. Namun, pemimpin-pemimpin mogok itu ditangkap, dan pihak berkuasa terus mengenakan sekatan terhadap persatuan-persatuan pekerja itu. Gelombang revolusi di Perancis selama beberapa dekad sebelum itu telah memenangi hak untuk kebebasan berpersatuan bagi rakyat negara itu, tetapi pertumbuhan persatuan pekerja di Lyon pula menakutkan golongan borjuis sehingga mereka sanggup menggunakan pendekatan yang lebih keras untuk membendung gelombang kesedaran kelas pekerja yang mengancam kepentingan pemodal.

Walau bagaimanapun, kesedaran kelas yang semakin meningkat dan solidariti sesama golongan canut telah berkembang hasil daripada perjuangan kelas itu sendiri. Organisasi dan kaedah perjuangan yang dibangunkan oleh mereka itu merupakan hasil langsung daripada perjuangan mereka untuk menentang kelas borjuis.  

Pada penghujung tahun 1833, prospek dan keadaan ekonomi yang baik telah membawa kepada pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian sutera di Lyon. Terdapat banyak tempahan produk sutera dari Amerika Syarikat, dan upah pekerja penenun juga meningkat. Oleh itu, kerajaan Perancis beranggapan bahawa tidak mungkin berlakunya sekali lagi pemberontakan pekerja di Lyon.

Pada bulan Februari 1834, golongan pemodal di Lyon berpendapat bahawa upah pekerja sudah meningkat terlalu tinggi, dan mereka cuba mengurangkan kadar upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja penenun sutera. Pada 12 Februari 1834, golongan canut yang menyertai sebuah persatuan pekerja mengundi untuk mengadakan mogok dengan tuntutan membantah penurunan kadar upah. Sebuah Majlis Eksekutif telah ditubuhkan dan dianggotai oleh 33 orang canut yang dipilih oleh persatuan-persatuan pekerja untuk menyelaraskan aksi mogok itu. Majlis Eksekutif menyeru bahawa semua pekerja harus berdiri bersama dalam perjuangan mogok itu, dan tiada sesiapa pun boleh dibeli dengan sogokan oleh mana-mana majikan yang hendak memecahkan mogok itu. Majlis Eksekutif juga menyeru untuk solidariti kelas, dengan tukang-tukang penenun mahir menyertai aksi mogok pekerja bawahan.

Pada 14 Februari 1834, kira-kira 60,000 orang pekerja penenun sutera, tanpa mengira lelaki atau wanita, mengadakan aksi mogok di Lyon. Aksi itu boleh dikatakan sebagai mogok umum seluruh bandar yang pertama dalam sejarah dunia. Semua bengkel telah ditutup, tiada sebuah mesin penenun yang beroperasi. Teater juga ditutup dan sambutan perayaan tahunan yang sepatutnya diadakan pada hari itu juga dibatalkan. Sesetengah pemodal yang terkejut dengan aksi mogok itu mengunci gudang mereka dan melarikan diri dari bandar itu.

Majlis Eksekutif yang mewakili golongan pekerja dan pihak berkuasa yang mewakili golongan pemodal saling bertukar mesej tetapi tiada apa-apa persetujuan dapat dicapai. Akhbar-akhbar borjuis menerbitkan rencana-rencana yang mengecam golongan canut, sementara akhbar-akhbar pro-pekerja menyiarkan mesej-mesej solidariti dan laporan tentang aksi mogok. Pertentangan antara kelas-kelas sosial adalah begitu jelas.

Pertempuran di Pont Morand semasa Pemberontakan Canut Pertama pada tahun 1831. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Terdapat perpecahan dalam kalangan golongan borjuis. Sesetengah golongan borjuis, yang ingin mengelakkan konflik kelas yang boleh memusnahkan kepentingan perniagaan mereka, menyeru untuk mencapai persetujuan dengan golongan pekerja yang bermogok. Di satu pihak lagi, sesetengah golongan borjuis pula mengambil pendirian yang tegas dan enggan berkompromi dengan golongan canut. Golongan borjuis yang berkeras kepala itu menganggap bahawa tuntutan golongan canut itu sudah keterlaluan dan tidak mahu membuka ruang kepada lebih banyak lagi tuntutan yang memanfaatkan golongan pekerja, malah mereka hendak menghancurkan organisasi pekerja dan melemahkan kuasa tawar-menawar golongan canut supaya mereka dapat terus mengeksploitasi golongan pekerja.  

Walaupun aksi mogok besar-besaran oleh golongan canut itu menggegarkan bandar Lyon, gerakan pekerja yang masih mentah itu menghadapi banyak tekanan, termasuk kekurangan makanan. Pada 19 Februari 1834, kira-kira 300 orang wanita berarak di jalanan Lyon untuk meminta makanan. Pada hari yang sama, seorang pedagang pula membuka semula gudangnya di bawah perlindungan pasukan pengawal bandar, walaupun pekerja-pekerja masih tidak datang bekerja. Majlis Eksekutif kemudian mengeluarkan rayuan kepada lapisan kelas pekerja untuk mendapatkan bantuan dari segi makanan dan kewangan. Malah, mereka mengirimkan utusan ke bandar-bandar lain untuk mengumpulkan dana bagi pekerja-pekerja yang bermogok. Namun, dengan tidak dapat melihat apa-apa kemajuan dalam aksi mereka, persatuan-persatuan pekerja mengadakan pengundian yang memberikan keputusan untuk kembali bekerja pada 21 Februari 1834.

Walaupun aksi mogok telah ditamatkan, pihak berkuasa menangkap 13 orang pekerja yang dianggap sebagai ketua pemimpin aksi mogok. Perbicaraan terhadap pekerja-pekerja yang ditangkap itu bermula pada 5 April 1834, dengan Dewan Bangsawan (iaitu dewan atas Parlimen Perancis pada masa itu) bersidang pada masa yang sama untuk meluluskan undang-undang yang meningkatkan penindasan terhadap kumpulan-kumpulan republikan.

Pada 6 April 1834, seramai 10,000 orang pekerja menghadiri upacara pengebumian seorang pekerja penenun sutera yang aktif dalam salah sebuah persatuan pekerja. Pada 8 April 1834, persatuan-persatuan pekerja menyeru untuk mengadakan mogok umum pada hari perbicaraan seterusnya. Mereka juga memutuskan untuk bersedia membalas sebarang serangan daripada pihak polis dan tentera.

Pada 9 April 1834, golongan canut berhimpun di hadapan bangunan mahkamah Lyon untuk menunggu keputusan perbicaraan terhadap pemimpin-pemimpin pekerja yang ditangkap. Perhimpunan juga diadakan di beberapa lagi tempat di bandar Lyon. Di Place Saint-Jean, sebuah dataran pejalan kaki yang terletak di tebing barat Sungai Saône, seorang aktivis republikan yang mengedarkan risalah ditangkap oleh askar-askar yang berjaga di situ. Orang ramai meluru untuk melindungi aktivis itu dan berjaya menyelamatkannya daripada ditangkap. Risalah yang sama telah ditampal di atas dinding pintu masuk dataran itu dan pekerja-pekerja membina sebuah benteng untuk menghalang askar-askar daripada menurunkannya. Askar-askar yang cuba menurunkan risalah itu menghadapi tentangan daripada pekerja-pekerja yang membaling batu ke arah mereka. Pasukan tentera menembak mati seorang yang berada di situ.

Di Place des Jacobins, sebuah dataran yang terletak di tebing timur Sungai Saône dengan jarak kira-kira 700 meter dari Place Saint-Jean, sekumpulan kecil askar dikepung oleh sekumpulan besar canut yang sedang berprotes. Pasukan tentera itu melepaskan tembakan ke arah demonstran. Seorang pekerja ditembak mati dan seorang lagi ditikam mati dengan bayonet. Tembakan juga kedengaran di kawasan kejiranan kelas pekerja di Croix-Rousse. Golongan pekerja yang tinggal di situ bertindak pantas untuk mendirikan benteng-benteng jalanan, maka menandakan permulaan Pemberontakan Canut Kedua.

Dianggarkan kira-kira 6,000 orang pekerja menyertai Pemberontakan Canut Kedua yang tercetus pada 9 April 1834. Dalam proklamasi yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin pemberontak, mereka tidak menggunakan tarikh “9 April 1834”, sebaliknya menggunakan tarikh “22 Germinal, Tahun XLII” daripada Kalendar Republikan Perancis.

Pemberontakan Canut Kedua di Lyon, Perancis, pada tahun 1834 dipatahkan secara ganas oleh pihak berkuasa. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Golongan canut dan penyokong-penyokong mereka membina benteng jalanan di beberapa buah dataran untuk menghalang kemaraan tentera. Mereka bertempur dengan pasukan tentera yang cuba mengalihkan benteng-benteng jalanan itu. Golongan pekerja juga menyerbu berek polis untuk merampas senjata yang disimpan di situ, seperti yang pernah dilakukan semasa Pemberontakan Canut Pertama pada tahun 1831. Namun, ramai yang menyertai aksi demonstrasi pada waktu pagi 9 April 1834 telah bersurai tidak lama kemudian, pulang ke rumah masing-masing dan tidak terlibat langsung dalam aksi pemberontakan itu.

Adolphe Thiers (1797-1877), Menteri Dalam Negeri pada masa itu, menggunakan taktik yang dia bakal menggunakannya semula beberapa dekad kemudian pada tahun 1871 untuk menewaskan Komun Paris, iaitu berundur dari pusat bandar terlebih dahulu, membiarkannya jatuh dalam tangan golongan pemberontak selama dua hari, kemudian mengepungnya dengan tentera dalam jumlah yang lebih besar, dan menawan semula pusat bandar itu. Pihak tentera cuba mengasingkan golongan pemberontak di beberapa kawasan tertentu dan menyekat pergerakan serta keupayaan mereka untuk berkomunikasi. Pasukan tentera telah dikerahkan untuk menguasai semua bangunan awam yang utama, serta jambatan-jambatan dan jalan-jalan penting di dalam bandar, untuk menghalang sebarang pergerakan antara daerah-daerah di dalam bandar itu.

Pemberontakan Canut Kedua di Lyon pada bulan April 1834. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Walaupun golongan canut yang memberontak itu bertempur dengan penuh keberanian dan kegigihan, pasukan tentera yang dikerahkan untuk melindungi kepentingan kelas borjuis berjaya dalam melaksanakan strategi menyekat dan mengawal. Golongan canut yang memberontak itu disekat dan diasingkan di lokasi-lokasi yang sangat spesifik, maka membolehkan pasukan tentera bergerak dan menambah bekalan dengan mudah.

Pada 10 April 1834, pertempuran yang lebih sengit tercetus antara golongan canut dan tentera kerajaan. Lebih banyak tentera bantuan telah tiba di Lyon untuk mematahkan pemberontakan di situ. Golongan canut yang memberontak berjaya menguasai beberapa buah gereja di kawasan yang merupakan kubu kuat mereka. Di kawasan kejiranan Vaise yang terletak di bahagian barat laut bandar Lyon, sekumpulan pemberontak berjaya memutuskan talian telegraf yang menyambungkan bandar itu kepada Paris, maka menghalang penyampaian maklumat tentang pergerakan tentera kerajaan. Golongan pemberontak di kawasan La Guillotière cuba menghalang tentera bantuan yang dikerahkan dari bandar Grenoble tetapi tidak berjaya selepas memberikan penentangan yang kuat. Golongan pemberontak berjaya menawan sebuah berek tentera di Villeurbanne, sebuah pekan yang terletak berdekatan dengan bandar Lyon. Sekali lagi, bendera hitam yang kemudian menjadi simbol anarkisme itu dikibarkan di beberapa kawasan yang dikuasai oleh golongan pemberontak canut.

Golongan pemberontak canut di sebuah benteng jalanan pada bulan April 1834. (ilustrasi: Claude Bonnefond, 1834)

Pada 11 April 1834, tentera kerajaan membedil kawasan Croix-Rousse dengan artileri untuk mematahkan golongan pemberontak yang bertahan di situ. Pada masa yang sama, pemberontakan turut tercetus di Saint-Étienne dan Vienne, dua buah bandar yang terletak berdekatan dengan Lyon, tetapi pemberontakan itu dipatahkan tidak lama kemudian. Pada 12 April 1834, tentera kerajaan menawan kawasan La Guillotière selepas memusnahkan banyak rumah dengan pembedilan artileri. Golongan canut yang memberontak menggunakan taktik gerila dan penembak hendap untuk melambatkan pergerakan pasukan tentera kerajaan, tetapi tidak mampu menghalang kemaraan tentera itu. Semakin banyak benteng jalanan yang didirikan oleh golongan pemberontak dimusnahkan dan golongan pemberontak terpaksa berundur ke kawasan kejiranan masing-masing.

Menjelang 15 April 1834, tentera kerajaan menguasai semula seluruh bandar Lyon dan Pemberontakan Canut Kedua dipatahkan sepenuhnya. Seramai 12,000 orang askar telah dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan itu. Dianggarkan sekurang-kurangnya 200 orang pekerja mati terbunuh dalam pemberontakan itu, dan kira-kira 600 orang cedera, sementara kira-kira 130 orang anggota tentera kerajaan terbunuh. Secara keseluruhannya, kira-kira 269,000 butir peluru telah ditembak, dan 1,729 butir peluru meriam dilepaskan ke arah kedudukan golongan pemberontak. Lebih 500 orang pemberontak telah ditangkap. Pada bulan April 1835, 163 orang pemberontak yang ditahan itu dibicarakan, dengan kebanyakannya dijatuhkan hukuman penjara berpanjangan atau dibuang negeri.

Selepas Pemberontakan Canut Kedua pada tahun 1834, golongan pemodal cuba mencegah satu lagi pemberontakan dengan memindahkan bengkel mereka ke kawasan luar bandar. Namun, ia masih tidak dapat menghalang Pemberontakan Canut Ketiga pada tahun 1848, iaitu tahun di mana seluruh benua Eropah dilanda gelombang revolusi yang hebat.

Voraces, sebuah persatuan pekerja yang dianggotai oleh golongan canut dari kawasan Croix-Rousse di Lyon, mula muncul pada tahun 1846. Anggota-anggota Voraces yang berfahaman politik republikan berkumpul di kedai-kedai minuman untuk berkongsi pandangan mereka. Pada 24 Februari 1848, apabila tercetusnya pemberontakan rakyat yang hebat di Paris, Raja Louis Philippe I berundur dari takhtanya, maka menandakan kejatuhan pemerintahan Monarki Julai, dan Republik Perancis Kedua ditubuhkan. Pada 24-29 Februari 1848, anggota-anggota Voraces menyerbu bengkel-bengkel tekstil di Lyon, mengambil alih kawasan Croix-Rousse yang merupakan kubu kuat mereka, dan mengibarkan bendera merah.

Anggota-anggota Voraces berarak di jalanan Lyon pada 15 Mac 1848 untuk meraikan kemenangan Republik. (ilustrasi: Gilbert Randon)

Golongan pemberontak di Croix-Rousse turut disertai oleh golongan pekerja imigran yang datang dari Savoie yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Sardinia pada masa itu. Golongan pemberontak itu kemudiannya membangunkan idea untuk menyerang Savoie dan menubuhkan sebuah republik di situ. Pada 29 Mac 1848, seramai 1,500 orang, dengan satu pertiganya merupakan warga Savoie yang tinggal di Lyon, bertolak dari bandar itu untuk melancarkan usaha menawan Savoie. Kumpulan yang diterajui oleh Voraces itu melepasi laluan gunung Col du Chat pada 2 April 1848 dan menawan Chambéry pada 3 April 1848. Mereka menduduki sebuah istana kubu serta dewan perbandaran, dan mengumumkan penubuhan sebuah republik. Namun, republik itu hanya bertahan selama 2 hari sahaja sebelum ia ditewaskan oleh golongan setia raja di Savoie.

Pada 15 Jun 1849, selepas mendengar khabar angin tentang pemberontakan golongan republikan di Paris, anggota-anggota Voraces di Lyon cuba melancarkan satu lagi pemberontakan. Namun, golongan pemberontak yang terhad di kawasan Croix-Rousse itu terus dipatahkan oleh tentera kerajaan.

Golongan canut yang memberontak di Lyon pada tahun 1830-an merupakan golongan kelas pekerja yang mendahului zaman mereka dalam perjuangan kelas. Pemberontakan Canut merupakan kali pertama dalam sejarah perjuangan masyarakat sebuah gerakan dengan kesedaran kelas pekerja cuba menjatuhkan sistem kapitalis, walaupun ia terhad dalam lingkungan sebuah bandar.

Selain pemberontakan pekerja tekstil, pekerja-pekerja lombong di Perancis juga pernah melakukan perjuangan yang hebat. Pada tahun 1833, pekerja-pekerja lombong yang diupah oleh syarikat perlombongan Compagnie des mines d’Anzin untuk bekerja di lombong arang batu yang terletak di wilayah Nord-Pas-de-Calais, bahagian utara Perancis, melancarkan aksi mogok yang dikenali sebagai “Rusuhan Empat Sen” untuk membantah pemotongan upah sebanyak 4 sen pada masa itu. Pekerja-pekerja lombong yang bermogok itu bertahan selama 4 hari sebelum aksi itu dipatahkan oleh askar-askar yang dipanggil oleh syarikat perlombongan. Mogok itu gagal mencapai matlamatnya. Pemimpin-pemimpin mogok dibicarakan dan dihukum atas pertuduhan berkonspirasi untuk memberontak. Namun, oleh sebab akhbar-akhbar yang melaporkan perbicaraan itu turut mendedahkan keadaan pekerja lombong yang teruk, pihak syarikat perlombongan akhirnya mengalah dalam isu pemotongan upah itu.

Pemberontakan Penenun Silesia

Silesia ialah sebuah wilayah yang terletak di Eropah Tengah, dengan sebahagian besar wilayah itu berada di dalam lingkungan negara Poland hari ini sementara sebahagian kecil wilayah itu berada di dalam Republik Czech dan Jerman hari ini. Wilayah itu mula dikuasai oleh Kerajaan Prusia berikutan Perang Silesia Pertama (1740-1742) yang menyaksikan kemenangan Prusia terhadap kerajaan Monarki Habsburg. Selepas tamatnya Perang Napoleon (1803-1815), Kerajaan Prusia menubuhkan Provinsi Silesia (1815-1919).

Penenun-penenun Silesia. (ilustrasi: Karl Hübner, 1844)

Menjelang abad ke-17, Silesia sudah menjadi sebuah pusat perusahaan penenunan tangan tradisional, terutamanya dalam pengeluaran linen. Linen ialah tekstil yang dibuat daripada serat tumbuhan rami atau flaks. Perindustrian tekstil di seluruh Eropah telah mengalami perubahan yang besar menjelang awal abad ke-19 apabila Revolusi Perindustrian mula berkembang di situ. Silesia juga tidak dapat berkecuali daripada pengaruh Revolusi Perindustrian. Penggunaan mesin penenun mekanikal yang jauh lebih efisien daripada alat penenun tangan telah mengurangkan permintaan terhadap barangan tenunan tangan.

Perindustrian di Silesia mengalami keadaan yang teruk selepas tahun 1815. Dasar perdagangan bebas yang diamalkan oleh Prusia dan penggunaan mesin-mesin mekanikal oleh pesaing-pesaing dari British telah menjejaskan daya saing golongan penenun linen di Silesia. Keadaan diburukkan lagi selepas Rusia mengenakan embargo ke atas import dari Prusia dan perindustrian linen di Silesia mula memperkenalkan mekanisasi. Perusahaan kraf tangan tradisional pupus sama sekali di beberapa buah bandar, mengakibatkan ramai penenun linen kehilangan mata pencarian mereka.

Dengan mekanisasi semakin berleluasa, ramai penenun tangan terpaksa bergelut untuk bersaing dengan tekstil yang dikeluarkan oleh kilang-kilang besar dengan kuantiti yang lebih besar dan harga yang lebih rendah. Golongan penenun tangan yang masih bekerja di bengkel-bengkel kecil terpaksa menerima upah yang lebih rendah, selalunya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan asas harian. Kemelesetan ekonomi pada tahun 1840-an telah mendatangkan kemiskinan yang berleluasa dan ketidakpuasan hati yang semakin hebat dalam kalangan golongan penenun kain.

Karikatur yang menggambarkan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat di wilayah Silesia dan “bantuan” kerajaan dalam bentuk penindasan. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama, 1848)

Pada bulan Januari dan April 1844, golongan penenun kain di Langenbielau (juga dikenali sebagai Bielawa) dan Peterswaldau (juga dikenali sebagai Pieszyce), dua buah bandar yang terletak di Silesia Hilir (di bahagian barat daya Poland hari ini), menyerahkan petisyen kepada kerajaan dengan tuntutan supaya kerajaan mencampur tangan dalam penetapan upah kerja dalam industri tekstil. Golongan penenun kain mengharapkan pihak berkuasa mencegah golongan pedagang tempatan daripada terus mengurangkan upah yang dibayar kepada penenun-penenun untuk hasil kerja mereka. Namun, kerajaan gagal memberi respons kepada rungutan penenun-penenun itu. Kemarahan golongan penenun terhadap golongan pedagang yang merupakan pemilik kilang tekstil itu semakin membara sehingga mencetuskan rusuhan.

Pada 3 Jun 1844, golongan penenun berhimpun di hadapan rumah sebuah keluarga pedagang kaya di Peterswaldau. Keluarga pedagang kaya itu terkenal dengan pengumpulan kekayaan yang cepat dan eksploitasi yang teruk terhadap penenun-penenun tempatan. Golongan penenun yang berhimpun itu menyanyikan lagu dan melaungkan slogan yang menyindir pedagang kaya itu sebagai syaitan yang memangsakan orang miskin. Seorang penenun yang berprotes itu dipukul oleh orang suruhan pedagang kaya dan diserahkan kepada pihak polis. Peristiwa itu mencetuskan mobilisasi yang lebih meluas dalam kalangan penduduk tempatan.

Pada 4 Jun 1844, golongan penenun berhimpun lagi dengan jumlah yang lebih besar. Mereka menuntut pembebasan tahanan, peningkatan upah dan “hadiah” daripada pemilik kilang untuk menebus penderitaan yang dialami oleh golongan penenun. Tuntutan untuk pemberian hadiah itu merupakan tradisi protes golongan tukang mahir pada masa itu. Namun, pedagang kaya yang merupakan pemilik kilang itu enggan memenuhi apa-apa tuntutan daripada golongan penenun. Justeru, mereka yang berhimpun untuk berprotes itu mula menyerang rumah kediaman pedagang kaya, sehingga keluarga pedagang kaya itu terpaksa melarikan diri ke Breslau. Golongan demonstran juga menyerang gudang dan kilang, memusnahkan bandela kapas, benang, buku-buku akaun dan dokumen-dokumen lain serta mesin-mesin di dalam kilang. Namun, rumah dan harta seorang pedagang yang terletak berdekatan di situ tidak diserang, kerana dia melayan penenun-penenun dengan lebih berperikemanusiaan. Adalah jelas bahawa golongan penenun tidak merusuh secara membuta-tuli, sebaliknya menyasarkan golongan pedagang yang zalim.

Pemberontakan penenun merebak dengan cepatnya ke pekan-pekan lain di wilayah Silesia. Pada 5 Jun 1844, ribuan orang berhimpun di Langenbielau. Pasukan tentera melepaskan tembakan ke arah golongan demonstran dan membunuh 11 orang. Golongan demonstran bertindak balas dengan menyerang askar-askar di situ dan memaksa pasukan tentera itu berundur buat seketika. Pada 6 Jun 1844, dengan lebih banyak pasukan tentera dan artileri tiba dari tempat lain, pihak berkuasa akhirnya mematahkan sepenuhnya pemberontakan penenun di situ. Beberapa orang pemimpin pemberontak ditangkap dan dipenjarakan.

Pemberontakan penenun di Silesia menggegarkan seluruh rantau Eropah Tengah. Ia mengetengahkan pertentangan yang semakin hebat antara golongan pekerja dan golongan pemodal dalam kapitalisme perindustrian. Semakin ramai orang memberi perhatian kepada nasib kelas pekerja yang dieksploitasi teruk di bawah sistem kapitalis. Akhbar-akhbar menerbitkan banyak rencana yang mengemukakan analisis dan penyelesaian kepada masalah sosial. Kebimbangan terhadap masalah kemiskinan kelas pekerja dan seruan untuk pembaharuan demi memperbaiki kehidupan golongan pekerja telah menanam benih untuk gelombang Revolusi 1848.

Poster pada tahun 1897 untuk drama pementasan “Die Weber” (Penenun) yang ditulis oleh Gerhart Hauptmann mengenai Pemberontakan Penenun Silesia 1844. (ilustrasi: Emil Orlik)

Pemberontakan penenun Silesia juga memberi inspirasi kepada kesusasteraan dan kesenian. Heinrich Heine (1797-1856), seorang wartawan dan penyair Jerman yang terkenal, menulis sebuah puisi yang bertajuk “Die schlesischen Weber” (Penenun Silesia) dan diterbitkan pada 10 Julai 1844 dalam akhbar Vorwärts! (Maju Ke Hadapan!). Puisi itu mengecam eksploitasi yang dialami oleh golongan penenun dan mengkritik pihak berkuasa di samping menuntut perubahan politik. Mahkamah Agung Diraja Prusia terus mengharamkan puisi itu.

Gerakan Piagam Rakyat

Zaman Victoria, iaitu sepanjang tempoh pemerintahan Ratu Victoria (1819-1901) selama 63 tahun dari tahun 1837 hingga 1901, menyaksikan negara Britain muncul sebagai negara perindustrian yang paling maju di dunia. Kemajuan ekonomi kapitalis perindustrian itu juga menjadikan negara Britain kuasa imperialis terbesar di dunia pada masa itu. Pada masa yang sama, golongan pekerja di Britain juga berkembang pesat dari segi jumlah mereka. Mengikut bancian pada tahun 1851, 45.6% tenaga kerja di England dan Wales bekerja dalam sektor perindustrian pada masa itu.

Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18 telah membawa impak yang hebat kepada Britain. Tulisan oleh Thomas Paine (1736-1809) yang mempertahankan prinsip-prinsip Revolusi Perancis, Rights of Man (1791), telah mendapat sambutan yang hebat di negara Britain, termasuk dalam kalangan kelas pekerja British yang celik huruf. Lebih 200,000 naskhah buku itu dijual di Britain menjelang tahun 1793. Ia telah mendorong rakyat British untuk memperjuangkan hak dan kebebasan mereka. Banyak organisasi pekerja yang ditubuhkan pada masa itu telah mempromosikan pengedaran buku itu secara aktif. Organisasi-organisasi yang bersifat agak radikal, seperti Persatuan untuk Maklumat Perlembagaan (Society for Constitutional Information) yang ditubuhkan pada tahun 1780, Persatuan Perlembagaan Sheffield (Sheffield Constitutional Society) yang ditubuhkan pada tahun 1791 dan Persatuan Surat-Menyurat London (London Corresponding Society) yang ditubuhkan pada tahun 1792, boleh dikatakan sebagai ekspresi awal kelas pekerja di Britain untuk menuntut pembaharuan parlimen yang membolehkan mereka mengambil bahagian dalam politik negara.

John Thelwall, penceramah daripada Persatuan Surat-Menyurat London, menyampaikan ucapan di khalayak umum. (ilustrasi: James Gillray, 1795)

Siri pemberontakan anak kapal yang berlaku pada tahun 1797 telah mengganggu seluruh Tentera Laut Diraja British, sementara pemberontakan di Ireland yang diterajui oleh Persatuan Warga Ireland Bersatu (Society of United Irishmen) pada tahun 1798 telah mencabar kekuasaan pemerintahan pusat di England secara ketara walaupun pemberontakan itu dipatahkan. Pergolakan itu menandakan kebangkitan kesedaran politik baharu hasil daripada pengaruh Revolusi Perancis untuk pembaharuan masyarakat yang lebih radikal. Walaupun siri pemberontakan itu dipatahkan secara keras, usaha perjuangan rakyat pada tahun 1790-an telah mewujudkan tradisi radikal yang berkaitan rapat dengan kebangkitan perjuangan kelas pekerja pada awal abad ke-19.

Revolusi Perindustrian di Britain mewujudkan sebuah kelas yang baharu, iaitu kelas proletar yang merupakan pekerja-pekerja upahan yang tertumpu di kilang-kilang dan bandar-bandar yang semakin berkembang.

John Thelwall (1764-1834), seorang tokoh radikal British yang merupakan salah seorang pengasas bersama London Corresponding Society, menulis pada tahun 1796, “Monopoli dan pengumpulan modal yang mengerikan ke dalam tangan segelintir kecil orang sendiri membawa benih penawar dalam jumlah yang besar… Apa-apa sahaja yang memaksa manusia berhimpun bersama, walaupun ia mungkin menjana beberapa keburukan, adalah baik untuk penyebaran pengetahuan, dan akhirnya mendorong kebebasan manusia. Oleh itu, setiap bengkel dan kilang yang besar ialah sejenis masyarakat politik, yang tidak boleh dibungkam oleh mana-mana akta parlimen, dan tidak boleh dibubarkan oleh mana-mana majistret.”

John Thelwall (1764-1834) (ilustrasi: John Hazlitt)

Tidak seperti golongan sans-culotte dalam Revolusi Perancis, yang sama ada sudah memiliki harta persendirian atau bercita-cita untuk memiliki harta persendirian, golongan proletar yang diwujudkan dalam Revolusi Perindustrian hanya boleh membebaskan diri mereka melalui pemilikan kolektif terhadap sumber-sumber pengeluaran dalam ekonomi perindustrian. Enjin stim, lombong arang batu, tongkang pengangkut barang dan kilang tekstil yang menjadi asas ekonomi perindustrian itu tidak boleh dipecahbahagikan seperti lot tanah untuk pertanian. Jika golongan pekerja itu dapat menggulingkan majikan mereka, maka mereka boleh menguruskan tempat kerja mereka sebagai koperasi yang dimiliki secara bersama.

Oleh itu, golongan proletar merupakan sebuah kelas sosial yang bersifat kolektif dalam setiap aspek. Perjuangan kelas pekerja sentiasa mencabar sistem pemilikan harta persendirian, malah menghapuskannya sebagai langkah penting untuk mewujudkan prasyarat bagi kesamarataan sosioekonomi dan demokrasi politik yang gagal dicapai dalam revolusi borjuis seperti Revolusi Perancis.

Namun, kerajaan British yang amat takut pada Revolusi Perancis itu merebak ke wilayahnya telah mengambil langkah-langkah untuk membendung kebangkitan gerakan massa yang melibatkan golongan pekerja. Menjelang penghujung abad ke-18, golongan pekerja mahir mula bergabung untuk cuba memperbaiki keadaan kerja mereka, maka membawa kepada pembentukan kesatuan-kesatuan sekerja yang awal, dan trend itu memang menggerunkan kelas pemerintah British. Pada tahun 1799, Parlimen British meluluskan “Akta Penggabungan” (Combination Act), iaitu undang-undang yang melarang pekerja-pekerja British daripada menubuhkan kesatuan sekerja dan menjalankan rundingan bersama.

Walau bagaimanapun, golongan pekerja sebagai sebuah kelas sosial yang memuncul pada masa itu telah memulakan perjuangan mereka demi kehidupan yang lebih baik. Perjuangan kelas pekerja British yang awal mengambil pelbagai bentuk. Terdapat gerakan Luddite yang merosakkan mesin-mesin untuk menolak ancaman pelucutan kemahiran, pengurangan upah dan pengangguran. Terdapat juga aksi demonstrasi yang disertai golongan pekerja untuk menuntut reformasi politik, termasuk memperluaskan hak mengundi kepada lebih ramai orang. Golongan pekerja upahan yang menjual tenaga buruh mereka kepada kilang-kilang pada masa itu masih tidak mempunyai hak mengundi kerana wujudnya pelbagai halangan untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi, termasuk syarat kelayakan pemilikan harta persendirian yang ketat.

Sebahagian daripada mural mozaik yang direka oleh Kenneth Budd dan dihasilkan pada tahun 1978 untuk memperingati Pemberontakan Newport 1839. Mural yang terletak di sebuah laluan pejalan kaki tertutup di bandar Newport itu telah dimusnahkan oleh Majlis Perbandaran Newport pada tahun 2013.

Walaupun Britain muncul sebagai pemenang dalam Perang Gabungan Ketujuh (1815), dengan menewaskan tentera Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte dalam Pertempuran Waterloo pada 18 Jun 1815, negara itu mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk selepas peperangan. Masyarakat British menghadapi masalah pengangguran kronik dan kenaikan harga makanan asas kerana pengurangan dalam hasil tanaman akibat keabnormalan iklim yang teruk pada tahun 1816. Kesusahan hidup yang dialami oleh golongan pekerja di Britain pada masa itu telah menimbulkan keinginan untuk menuntut pembaharuan politik yang membolehkan mereka menentukan nasib sendiri.

Pada tahun 1810-an, hanya kira-kira 11% daripada lelaki dewasa di Britain mempunyai hak mengundi. Golongan wanita langsung tidak mempunyai hak mengundi. Bandar-bandar besar dengan populasi kelas pekerja yang besar tidak mempunyai ahli parlimen yang mewakili suara penduduk di situ, sementara sesetengah tempat yang kurang penduduk pula mempunyai ahli parlimen sendiri. Manchester dengan jumlah penduduk lebih 182,000 orang pada masa itu tidak mempunyai seorang pun ahli parlimen yang mewakilinya; sementara Cornwall, dengan saiz penduduk yang hampir sama, iaitu kira-kira 190,000 orang penduduk, diwakili oleh 42 orang ahli parlimen di Dewan Rakyat. Dewan Rakyat di Britain pada masa itu tidak mewakili “rakyat”, ia hanya mewakili segelintir kecil kaum lelaki yang kaya.

Dengan tiadanya perwakilan dalam Parlimen, golongan pekerja yang hidup dalam keadaan penuh sesak dan kotor di bandar-bandar besar tidak mempunyai suara dalam badan perundangan untuk mengetengahkan masalah mereka dan mempengaruhi dasar kerajaan. Ahli-ahli politik yang radikal mencadangkan reformasi parlimen sebagai penyelesaian kepada masalah ketiadaan perwakilan bagi kebanyakan rakyat. Mereka menganjurkan kempen besar-besaran dan mengutip tandatangan untuk petisyen yang menuntut hak mengundi bagi semua lelaki dewasa. Petisyen yang mendapat ratusan ribu tandatangan diserahkan kepada Dewan Rakyat, tetapi badan perundangan yang didominasi oleh orang kaya itu terus menolaknya.  

Pihak berkuasa bertindak ganas untuk menangkap pemidato yang berucap dalam perhimpunan besar-besaran di Dataran St Peter, Manchester, Britain, pada 16 Ogos 1819. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 10 Mac 1817, kira-kira 5,000 orang berhimpun di Dataran St Peter, yang terletak di pusat bandar Manchester, untuk melancarkan satu perarakan menuju ke London dan menyerahkan petisyen yang menuntut reformasi parlimen. Aksi itu dikenali sebagai “Perarakan Selimut”, kerana peserta-peserta aksi membawa selimut bersama mereka untuk digunakan semasa tidur dalam perjalanan. Hanya beberapa ratus orang yang mengambil bahagian dalam aksi perarakan menuju London, dan bersurai selepas pihak berkuasa mengancam untuk menggunakan Akta Rusuhan 1715. Pemimpin-pemimpin aksi itu ditahan selama beberapa bulan tanpa pendakwaan.

Apabila kemelesetan ekonomi melanda sekali lagi pada awal tahun 1819, aktivis-aktivis politik yang radikal mula memobilisasi orang ramai untuk menuntut pembaharuan parlimen. Gerakan itu agak kuat di bahagian barat laut England. Kesatuan Patriotik Manchester (Manchester Patriotic Union), yang ditubuhkan oleh golongan radikal dalam akhbar Manchester Observer, menganjurkan sebuah perhimpunan besar-besaran pada bulan Ogos 1819, dengan menjemput Henry Hunt (1773-1835), seorang pemidato radikal yang terkenal pada masa itu, sebagai salah seorang penceramah.

Pembantaian Peterloo pada 16 Ogos 1819. (ilustrasi: Richard Carlile, 1819)

Seramai 60,000 orang berhimpun di Dataran St Peter di Manchester pada 16 Ogos 1819. Sebaik sahaja perhimpunan itu bermula, pasukan tentera yang dikerahkan oleh pihak berkuasa ke situ bertindak keras untuk menangkap Henry Hunt dan beberapa orang lain yang bersamanya di atas pentas. Pasukan tentera menyerang orang ramai yang berhimpun di situ dengan menggunakan pedang. 18 orang terbunuh dalam serangan keganasan pihak berkuasa British itu, sementara 400-700 orang cedera. Peristiwa berdarah itu dikenali sebagai “Pembantaian Peterloo”.

Selepas peristiwa Pembantaian Peterloo, kerajaan British mengambil tindakan yang keras untuk mematahkan gerakan menuntut reformasi parlimen, termasuk pemenjaraan pemimpin-pemimpin radikal dengan pertuduhan menghasut.

Karikatur yang menggambarkan serangan terhadap orang ramai yang berhimpun di Dataran St. Peter, Manchester, Britain, pada 16 Ogos 1819. (ilustrasi: George Cruikshank)

Pada bulan April 1820, golongan radikal di Scotland melancarkan aksi mogok untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya dan kerajaan yang lebih responsif. Pada 3 April 1820, kira-kira 60,000 orang pekerja, dengan kebanyakannya merupakan pekerja penenun tekstil di bahagian tengah Scotland, berhenti daripada melakukan kerja mereka. Mogok itu berterusan selama seminggu. Sekumpulan kecil golongan radikal cuba berarak ke kilang besi Syarikat Carron, yang terletak di Falkirk, daerah Stirlingshire, untuk merampas senjata di situ, tetapi dihalang oleh pasukan tentera di Bonnymuir. Sekumpulan lagi golongan radikal dari Strathaven, yang terletak di daerah Lanarkshire, di bawah kepimpinan James Wilson (1760-1820), seorang penenun dari Strathaven, telah diserang pihak berkuasa secara mengejut. James Wilson didakwa mengkhianati negara dan dijatuhkan hukuman mati di Glasgow. John Baird (1790-1820) dan Andrew Hardie (???-1820), dua orang pemimpin radikal yang ditahan oleh pihak berkuasa di Bonnymuir, juga dihukum mati. Sebelum dihukum mati, Andrew Hardie berkata, “Saya mati sebagai seorang martir demi kebenaran dan keadilan!” Pemberontakan di Scotland pada tahun 1820 itu dikenali sebagai “Perang Radikal”.

Terdapat beberapa cubaan untuk menubuhkan persekutuan kesatuan sekerja di peringkat kebangsaan di Britain pada tahun 1820-an. Persatuan untuk Perlindungan Buruh Kebangsaan (National Association for the Protection of Labour) ditubuhkan pada bulan Julai 1830, dengan John Doherty (1798–1854) sebagai setiausaha pertama persatuan itu. Walaupun National Association for the Protection of Labour pada awalnya dapat menggabungkan kira-kira 150 buah kesatuan sekerja, dengan keanggotaannya tersebar di daerah-daerah seperti Lancashire, Cheshire, Derby, Nottingham, dan Leicester, persatuan itu semakin kehilangan pengaruh menjelang pertengahan tahun 1832 kerana perpecahan kesatuan-kesatuan sekerja yang bergabung dalamnya. Walau bagaimanapun, peranan persatuan itu sebagai persekutuan kesatuan sekerja kebangsaan diambil alih tidak lama kemudian oleh beberapa buah kesatuan sekerja umum yang lain, terutamanya Kesatuan Pembina Operatif (Operative Builders’ Union).

Operative Builders’ Union yang ditubuhkan pada tahun 1831 mempunyai kira-kira 6,000 orang ahli pada awal tahun 1833, tetapi jumlah itu bertambah sehingga kira-kira 40,000 orang menjelang penghujung tahun yang sama, dengan kekuatan organisasinya tertumpu di London, Birmingham, Manchester, Liverpool dan Newcastle.

Robert Owen (1771-1858), seorang sosialis utopia dan pelopor gerakan koperasi. (ilustrasi: William Henry Brooke, 1834)

Pada tahun 1833, Robert Owen (1771-1858), seorang pemilik kilang tekstil yang juga merupakan seorang sosialis utopia, mencadangkan pembentukan sebuah sistem pengeluaran koperasi yang berasaskan perseikatan buruh. Cadangan Owen itu mendapat sokongan daripada Operative Builders’ Union yang menyeru agar Perseikatan Kebangsaan Agung ditubuhkan untuk menyatukan seluruh organisasi buruh pembinaan. Pada bulan Februari 1834, sebuah persidangan diadakan di London dan hasilnya ialah penubuhan Kesatuan Sekerja Bersepadu Kebangsaan Agung (Grand National Consolidated Trades Union, singkatan GNCTU). Pada ketika GNCTU ditubuhkan, berlakunya permogokan pekerja di Derby, Leeds dan Oldham. Namun, sebahagian pemimpin GNCTU tidak menyokong tindakan mogok yang militan. GNCTU hanya berfungsi selama beberapa bulan sahaja sebelum dibubarkan kerana perbalahan dalaman mengenai pendekatan yang perlu diambil untuk memajukan perjuangan pekerja berikutan gelombang mogok pekerja dipatahkan.

Di Tolpuddle, sebuah kampung yang terletak di daerah Dorset, England Barat Daya, 6 orang pekerja pertanian di situ cuba menubuhkan sebuah persatuan persahabatan dan berhasrat untuk bersekutu dengan GNCTU. Kumpulan itu dipimpin oleh George Loveless (1797-1874), seorang pendakwah mazhab Methodisme, dan berprotes terhadap pengurangan upah pekerja pertanian. Pihak berkuasa British menggunakan undang-undang yang melarang pengambilan sumpah rahsia untuk menangkap dan mendakwa 6 orang itu pada tahun 1834. Keenam-enam orang disabit kesalahan oleh mahkamah dan dihukum pembuangan negeri ke Australia.

“Martir Tolpuddle”. (ilustrasi: Jason Wilsher-Mills, 2015)

Penghukuman terhadap 6 orang yang dikenali sebagai “Martir Tolpuddle” itu mendapat perhatian orang ramai dan sebuah kempen yang menuntut pembebasan mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 800,000 tandatangan. Pada 21 April 1834, kira-kira 100,000 orang berhimpun di pusat bandar London untuk bersolidariti bersama Martir Tolpuddle. 6 orang Martir Tolpuddle kemudiannya mendapat pengampunan pada bulan Mac 1836.

William Lovett (1800-1877), seorang tukang perabot yang mendukung fahaman sosialis utopia yang dibawa oleh Robert Owen, merupakan salah seorang aktivis yang menggerakkan kempen pembebasan Martir Tolpuddle. Pada bulan Jun 1836, William Lovett bersama-sama beberapa orang radikal, seperti Francis Place (1771-1854), Henry Hetherington (1792-1849) dan James Watson (1799-1874), menubuhkan Persatuan Pekerja London (London Working Men’s Association, singkatan LWMA) untuk memperjuangkan hak mengundi sejagat bagi semua lelaki dewasa. LWMA boleh dikatakan sebagai pengganti GNCTU untuk membawa perjuangan kelas pekerja British ke hadapan. Namun, LWMA hanya berkempen dalam kalangan tukang-tukang mahir dan mengabaikan pekerja-pekerja kilang yang tidak mahir dalam jumlah yang lebih besar.

William Lovett (1800-1877)

Kesatuan Politik Birmingham (Birmingham Political Union, singkatan BPU) yang ditubuhkan pada tahun 1829 oleh Thomas Attwood (1783-1856), seorang jurubank yang pernah membangunkan idea-idea pembaharuan mata wang dan membantah monopoli Syarikat Hindia Timur Inggeris dalam perdagangan asing, telah mendesak untuk memperluaskan hak mengundi kepada lapisan masyarakat yang lebih luas, termasuk kelas pekerja. BPU, yang dianggotai oleh kedua-dua golongan kelas menengah dan golongan kelas pekerja, memainkan peranan penting dalam penggubalan Akta Pembaharuan 1832 (Reform Act 1832). BPU berkempen agar bandar-bandar besar (seperti Birmingham) diwakili secara langsung dalam Parlimen. Pada bulan Mei 1832, BPU menganjurkan sebuah perhimpunan yang dihadiri oleh 200,000 orang, dan akhirnya berjaya mendesak Parlimen British untuk meluluskan Akta Pembaharuan 1832 yang memperluaskan hak mengundi. Berikutan penggubalan Akta Pembaharuan 1832, Thomas Attwood dipilih sebagai salah seorang ahli parlimen yang mewakili Birmingham pada tahun 1832, dan BPU menjadi tidak aktif lagi.

Namun begitu, Akta Pembaharuan 1832 yang diluluskan oleh Parlimen British untuk mereformasi sistem pilihan raya di England dan Wales hanya memperluaskan hak mengundi kepada golongan lelaki kelas menengah yang memiliki harta. Ramai orang, terutamanya golongan pekerja yang semakin meningkat bilangannya, masih tidak mempunyai hak mengundi kerana mereka tidak memiliki apa-apa harta. Kegagalan memperluaskan hak mengundi kepada lapisan masyarakat yang lebih luas itu mencetuskan ketidakpuasan hati golongan radikal yang menganggapnya sebagai pengkhianatan ahli-ahli politik borjuis kelas menengah terhadap kelas pekerja.

George Julian Harney (1817-1897)

Pada tahun 1837, 6 orang ahli parlimen dan 6 orang wakil pekerja, termasuk William Lovett daripada LWMA, menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk merangka tuntutan-tuntutan pembaharuan politik. Pada tahun yang sama, Persatuan Demokratik London Timur (East London Democratic Association, singkatan ELDA), yang lebih radikal berbanding LWMA, ditubuhkan oleh George Julian Harney (1817-1897), Allen Davenport (1775-1846) dan beberapa orang yang lain. Berbeza dengan LWMA yang dianggap mengamalkan pendekatan elitis, ELDA berhasrat untuk merekrut anggota daripada golongan kelas pekerja yang lebih luas. Pada bulan April 1838, ELDA menukar namanya kepada Persatuan Demokratik London (London Democratic Association, singkatan LDA).

Thomas Attwood juga menghidupkan semula BPU pada tahun 1837 untuk memperjuangkan pembaharuan sistem pilihan raya. Feargus O’Connor (1795-1855), seorang ahli politik radikal dari Ireland, mengasaskan akhbar Northern Star pada 18 November 1837 untuk menyebarkan idea-idea tentang pembaharuan politik.

Feargus O’Connor (1795-1855)

Pada tahun 1838, LWMA mengemukakan “Piagam Rakyat” (People’s Charter) yang menyenaraikan 6 tuntutan utama:

  • Hak mengundi sejagat bagi lelaki – Hak mengundi kepada setiap orang lelaki yang berumur 21 tahun dan ke atas, dengan minda yang waras dan tidak menjalani hukuman kerana disabit kesalahan jenayah;
  • Undi rahsia untuk melindungi pengundi semasa menggunakan hak mengundinya;
  • Hapuskan syarat kelayakan harta untuk ahli-ahli parlimen supaya membolehkan pengundi-pengundi di setiap kawasan pilihan raya dapat memilih sesiapa sahaja yang menjadi pilihan mereka;
  • Bayaran kepada ahli-ahli parlimen, untuk membolehkan golongan tukang, golongan pekerja atau mereka yang berpendapatan rendah mampu melepaskan mata pencarian mereka untuk menjadi wakil rakyat sepenuh masa yang menjaga kepentingan negara;
  • Saiz kawasan pilihan raya yang sama, untuk memastikan bilangan ahli perwakilan adalah berkadar dengan bilangan pengundi;
  • Pilihan raya parlimen diadakan setiap tahun.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Kesatuan Politik Birmingham pada 16 Mei 1831, dihadiri oleh kira-kira 200,000 orang. (ilustrasi: Benjamin Haydon)

Gerakan Piagam Rakyat (Chartism) dilancarkan pada tahun 1838 melalui siri perhimpunan besar-besaran, dengan 200,000 orang berhimpun di Birmingham, 200,000 orang di Glasgow, 10,000 orang di Carlisle, 80,000 orang di Newcastle, 250,000 orang di Leeds dan 300,000 orang di Manchester. Dengan itu, lahirnya sebuah gerakan massa yang hebat.

Gerakan Piagam Rakyat mendapat sokongan kuat di wilayah-wilayah seperti England Utara, Midlands Timur, Midlands Barat dan Wales Selatan, di mana tertumpunya golongan kelas pekerja yang sentiasa terdedah kepada krisis ekonomi kapitalis. Gerakan Piagam Rakyat merupakan gerakan kelas pekerja British yang hebat, dengan peserta-pesertanya memperjuangkan pembaharuan politik demi memperbaiki kehidupan ekonomi mereka. Ia menggabungkan tuntutan ekonomi dengan tuntutan politik, maka menunjukkan kebangkitan kesedaran kelas dalam kalangan golongan pekerja pada masa itu.

Dalam perhimpunan besar-besaran yang diadakan pada 24 September 1838 di Tanah Lapang Kersal, yang terletak berdekatan Salford, daerah Lancashire, Joseph Rayner Stephens (1805-1879), seorang bekas pendakwah Methodisme yang berpendirian politik radikal, menyatakan bahawa Gerakan Piagam Rakyat itu adalah mengenai “persoalan pisau dan garpu, roti dan keju”. Kenyataan itu menekankan bahawa Gerakan Piagam Rakyat itu bukan sekadar memperjuangkan pembaharuan politik yang abstrak, tetapi pada asasnya mengenai kelangsungan kehidupan ekonomi, upah yang adil dan keadaan hidup yang lebih baik bagi golongan pekerja.

Konvensyen Kebangsaan Gerakan Piagam Rakyat di London pada 4 Februari 1839. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Konvensyen Kebangsaan Gerakan Piagam Rakyat yang pertama diadakan pada 4 Februari 1839 di London, untuk menyelaraskan gerak kerja penyampaian petisyen yang pertama bagi gerakan itu. Hanya segelintir kecil peserta Konvensyen Gerakan Piagam Rakyat itu mempunyai ilusi bahawa Parlimen British akan menerima enam tuntutan Piagam Rakyat. Kebanyakan perwakilan yang menghadiri Konvensyen itu menumpukan perbincangan kepada usaha yang boleh dilakukan melangkaui penyerahan petisyen.

Henry Vincent (1813-1878), seorang pemimpin Gerakan Piagam Rakyat yang terkenal dengan kemahiran pidatonya, melancarkan akhbar Western Vindicator pada bulan Februari 1839, sebagai salah sebuah organ penyebaran pemikiran Chartism. Namun, Henry Vincent ditangkap oleh pihak berkuasa pada bulan Mei 1839 atas pertuduhan membuat kenyataan menghasut dalam perhimpunan.

Perhimpunan golongan pendukung Piagam Rakyat. (ilustrasi: Harry Rutherford)

Petisyen pertama Gerakan Piagam Rakyat berjaya mengumpul sebanyak 1,280,000 tandatangan. Golongan wanita juga menurunkan tandatangan mereka, walaupun tuntutan Piagam Rakyat itu tidak merangkumi hak mengundi bagi wanita. Pada 14 Jun 1839, petisyen dengan enam tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya itu diserahkan kepada Parlimen British, melalui Thomas Attwood selaku Ahli Parlimen yang mewakili Birmingham.

Pada 4 Julai 1839, kawasan Bull Ring, yang terletak di Birmingham, bertukar menjadi medan pertempuran apabila pihak berkuasa melarang golongan pendukung Piagam Rakyat daripada berhimpun di situ. Peristiwa itu dikenali sebagai “Rusuhan Bull Ring”. Berikutan peristiwa itu, William Lovett, yang merupakan setiausaha Konvensyen Piagam Rakyat pada masa itu, ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa.

Pertempuran antara golongan pendukung Piagam Rakyat dan pihak berkuasa di jalanan. (ilustrasi: Alfred Pearse, 1886)

Pada 12 Julai 1839, Thomas Attwood mengusulkan dalam Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan petisyen Piagam Rakyat, tetapi usulnya ditolak oleh Dewan Rakyat yang dikuasai oleh ahli perwakilan kelas borjuis, dengan 235 undi tolak berbanding 46 undi sokong.

Pada 4 November 1839, kira-kira 4,000 orang penyokong Gerakan Piagam Rakyat, di bawah kepimpinan John Frost (1784-1877), berarak di Wales Selatan untuk menuju ke Newport, yang terletak di daerah Monmouthshire, Wales. Semasa dalam perjalanan, sesetengah golongan pendukung Piagam Rakyat ditangkap oleh polis dan ditahan di Hotel Westgate yang terletak di pusat bandar Newport. Golongan pendukung Piagam Rakyat dari kawasan perindustrian di luar Newport, termasuk ramai pekerja lombong arang batu, bergegas ke Newport untuk menuntut pembebasan rakan-rakan seperjuangan mereka. Pihak berkuasa mengerahkan polis dan tentera untuk mematahkan golongan pendukung Piagam Rakyat yang dianggap memberontak itu. Pasukan tentera melepaskan tembakan dan membunuh kira-kira 10-24 orang pendukung Piagam Rakyat, sementara mencederakan lebih 50 orang. Tiga orang pemimpin Pemberontakan Newport, iaitu John Frost, Zephaniah Williams (1795-1874) dan William Jones (1809-1873), dituduh mengkhianati negara dan dijatuhkan hukuman mati. Namun, hukuman mereka telah diringankan kepada pembuangan negeri selepas satu kempen petisyen besar-besaran yang diadakan di seluruh negara Britain.

Pemberontakan Newport, di daerah Monmouthshire, Wales, pada 4 November 1839. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Gerakan Piagam Rakyat yang mengalami pukulan hebat pada tahun 1839-1840 itu pulih tidak lama kemudian. Dengan ramai pemimpin Gerakan Piagam Rakyat ditahan atau dibuang negeri, golongan pendukung Piagam Rakyat menyusun semula kumpulan-kumpulan Gerakan Piagam Rakyat ke dalam sebuah badan kebangsaan. Perwakilan yang hadir dalam Konvensyen Manchester yang diadakan pada 20 Julai 1840 mengundi untuk menggabungkan semua organisasi tempatan ke dalam sebuah pertubuhan kebangsaan, iaitu Persatuan Piagam Kebangsaan (National Charter Association, singkatan NCA). NCA mempunyai sebuah majlis eksekutif nasional dan ahli-ahli perwakilan yang dipilih oleh ahli-ahlinya, sementara mengenakan yuran keahlian. Penubuhan NCA membuka jalan kepada sebuah organisasi kelas pekerja yang lebih tersusun, dan menjadikannya salah sebuah parti politik massa yang pertama di dunia yang mempunyai keanggotaan kelas pekerja yang besar.

Salah satu keutamaan NCA selepas penubuhannya ialah meneruskan kempen untuk menuntut pengampuan bagi pemimpin-pemimpin Pemberontakan Newport. NCA juga menuntut pembebasan aktivis-aktivis Gerakan Piagam Rakyat yang ditahan dan dibuang negeri sebelum itu. Gerakan Piagam Rakyat berjaya mengumpulkan sebanyak lebih 1.3 juta tandatangan yang menuntut pembebasan dan pengampunan mereka yang terlibat dalam gerakan itu. Jumlah tandatangan petisyen pada tahun 1841 adalah lebih banyak berbanding Petisyen Piagam Rakyat yang pertama pada tahun 1839. Thomas Slingsby Duncombe (1796-1861), Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Finsbury, menyampaikan petisyen itu kepada Parlimen British pada 25 Mei 1841.

Muka hadapan kad keahlian Persatuan Piagam Kebangsaan (NCA) pada tahun 1843.

Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada bulan Jun-Julai 1841, Parti Konservatif yang dipimpin oleh Robert Peel (1788-1850) menewaskan Parti Whig yang dipimpin oleh William Lamb (1779-1848). Robert Peel menggantikan William Lamb sebagai Perdana Menteri Britain pada bulan Ogos 1841. Dengan kerajaan baharu mengambil alih kuasa, NCA memutuskan pada bulan Oktober 1841 untuk melancarkan petisyen Piagam Rakyat yang kedua.

Selain enam tuntutan utama yang dikemukakan dalam petisyen pertama, petisyen kedua juga memasukkan tuntutan-tuntutan lain seperti:

  • Pemansuhan Akta Kesatuan dengan Ireland (satu usaha untuk mendapat sokongan daripada golongan nasionalis Ireland yang menentang kekuasaan Inggeris);
  • Pemansuhan Akta Miskin Baharu (New Poor Law), yang menafikan hak golongan miskin untuk terus hidup, seperti tidak lagi membantu orang miskin di luar “rumah kerja” (workhouse), sementara orang miskin yang tinggal di rumah kerja perlu melakukan kerja yang bergaji rendah dan disekat kebebasan bergerak;
  • Kebebasan untuk berhimpun;
  • Pembubaran Gereja Anglikan;
  • Pengampunan kepada mereka yang ditahan kerana Pemberontakan Newport;
  • Pemotongan kos pembiayaan monarki, tentera dan polis;
  • Pengurangan jam kerja.
Perhimpunan Gerakan Piagam Rakyat di London pada tahun 1848. (ilustrasi: Robert Wilson)

Konvensyen perwakilan Scotland yang diadakan pada bulan Januari 1842 memutuskan untuk tidak menyokong kandungan petisyen yang dikemukakan oleh Majlis Eksekutif NCA, dan menyarankan rakyat Scotland untuk hanya menerima tuntutan-tuntutan asal dalam petisyen pertama.

Konvensyen Kebangsaan Gerakan Piagam Rakyat yang kedua diadakan di London pada 12 April 1842. Pada masa itu, keanggotaan NCA telah mencecah 50,000 orang dan merangkumi 401 buah lokaliti. Petisyen Piagam Rakyat yang kedua berjaya mengumpulkan kira-kira 3.3 juta tandatangan dan diserahkan kepada Parlimen British pada 2 Mei 1842. Helaian tandatangan dijahit ke dalam gulungan sepanjang 6 batu (kira-kira 9.7 km) dan seberat lebih 300 kg. Namun, sekali lagi petisyen untuk memperluaskan hak mengundi itu ditolak oleh Dewan Rakyat yang didominasi oleh perwakilan kelas borjuis dengan 287 undi tolak berbanding 49 undi sokong.

Perarakan penyerahan petisyen Piagam Rakyat di London pada tahun 1842. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Mogok Umum 1842

Menjelang tahun 1842, hasil daripada Revolusi Perindustrian yang membawa kepada pertumbuhan pesat kelas pekerja perindustrian, terdapat kira-kira 350,000 orang pekerja tekstil, 120,000 orang pekerja lombong dan 400,000 orang pekerja logam di negara Britain pada masa itu. Kebanyakan pekerja itu tertumpu di daerah-daerah di bahagian barat dan utara England yang kaya dengan arang batu seperti Cheshire, Lancashire, Staffordshire dan Yorkshire. Berbeza dengan majikan-majikan mereka yang hidup mewah kerana kekayaan besar yang dihasilkan daripada Revolusi Perindustrian, pekerja-pekerja perindustrian itu terpaksa menghadapi keadaan tempat kerja yang teruk, upah yang tidak menentu dan ketiadaan keterjaminan kerja. Pekerja-pekerja perindustrian yang hidup dan bekerja dalam keadaan susah itu tidak mempunyai perwakilan yang dapat menyuarakan keluhan dan tuntutan mereka secara langsung dalam Parlimen yang dikuasai oleh golongan borjuis yang mengeksploitasi tenaga mereka. Oleh itu, pekerja-pekerja perindustrian itu menjadi penyokong kuat Gerakan Piagam Rakyat dengan harapan kejayaan gerakan itu dapat membolehkan suara kelas pekerja didengari dalam Parlimen dan mempengaruhi dasar kerajaan.

Pada awal tahun 1840-an, negara Britain mengalami kemelesetan ekonomi yang agak serius. Harga barangan keperluan asas seperti makanan melambung tinggi, sedangkan upah pekerja ditekan pada paras yang rendah, malah dikurangkan lebih lanjut lagi. Untuk menyelamatkan keuntungan mereka, golongan kapitalis yang merupakan pemilik kilang memotong upah pekerja beberapa kali antara tahun 1840 dan bulan Jun 1842, dengan kadar pengurangan gaji mencecah 25%. Setiap kali pemotongan upah pasti mencetuskan aksi protes dan mogok yang berselerak, tetapi trend pengurangan upah masih berterusan. Pengangguran juga semakin berleluasa.

Perhimpunan golongan pendukung Piagam Rakyat di Todmorden, daerah Yorkshire Barat, England, pada tahun 1842. (ilustrasi: Alfred Walter Bayes)

Golongan pekerja yang sudah tidak berpuas hati dengan kehidupan ekonomi mereka yang semakin teruk itu, menjadi lebih marah lagi apabila petisyen Piagam Rakyat yang kedua ditolak oleh Parlimen British. Kemarahan itu menjelma ke dalam aksi mogok besar-besaran yang menggegarkan seluruh negara Britain.

Pada 18 Julai 1842, pekerja-pekerja lombong arang batu di Hanley, daerah Staffordshire, berhimpun dan bersumpah untuk tidak menyambung semula kerja sehingga upah mereka dinaikkan dan keadaan kerja diperbaiki. Dengan aksi mogok itu merebak ke tapak-tapak lombong arang batu yang lain di Staffordshire, pekerja-pekerja lombong yang bermogok itu meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa “tiada apa-apa selain Piagam Rakyat yang boleh memberikan kita upah harian yang adil untuk kerja harian yang adil”. Mereka menyokong tuntutan-tuntutan Piagam Rakyat sementara menegaskan tuntutan-tuntutan mereka mengenai kenaikan upah. Pekerja-pekerja lombong di Staffordshire kemudiannya berarak dari pekan ke pekan untuk menyebarkan aksi mogok.

Di bahagian tenggara daerah Lancashire, pekerja-pekerja kilang kapas di Ashton dan Stalybridge menjadi marah apabila pihak majikan mengeluarkan notis mengenai pengurangan upah sebanyak 25%. Sebuah perhimpunan diadakan di Ashton pada 26 Julai 1842 dan diikuti dengan perhimpunan-perhimpunan di tempat lain. Golongan pendukung Piagam Rakyat mengambil kesempatan untuk memanggil mobilisasi besar-besaran.

Pada 7 Ogos 1842, pekerja-pekerja dari Ashton dan Stalybridge mengadakan perhimpunan besar-besaran untuk memberi sokongan kepada mobilisasi besar-besaran yang dirancang pada hari keesokannya. Mereka juga meluluskan resolusi yang menyatakan sokongan kepada Piagam Rakyat.

Pemogok-pemogok berdemonstrasi di Manchester semasa Mogok Umum 1842. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 8 Ogos 1842, pekerja-pekerja berhimpun beramai-ramai di Ashton dan Stalybridge sebelum berarak ke bandar-bandar lain untuk menyeru pekerja-pekerja lain turut bermogok bersama mereka. Golongan pekerja berarak secara aman dan teratur. Pertempuran hanya berlaku apabila pihak polis dan pengurus kilang cuba menghalang mereka di pintu masuk kilang. Pada 9 Ogos 1842, gelombang mogok sampai di Manchester, bandar perindustrian yang paling penting di England. 20,000 orang pekerja berarak secara aman di jalanan bandar Manchester.

Gelombang mogok menular dengan cepat di bandar-bandar di sekeliling Manchester. Pekerja-pekerja yang bermogok menutup setiap kilang dalam lingkungan 80 km dari pusat bandar Manchester. Untuk menghentikan operasi kilang serta-merta, pekerja-pekerja yang bermogok itu sama ada mencabut palam atau menolak palam masuk ke dalam dandang stim. Oleh itu, mogok umum yang pertama di Britain itu juga dikenali sebagai “Rusuhan Plot Palam”.

Pekerja-pekerja daripada setiap sektor perusahaan menganjurkan persidangan di setiap bandar untuk membincangkan hala tuju perjuangan mogok itu. Pemimpin-pemimpin mogok di peringkat tempatan menubuhkan jawatankuasa mogok untuk berunding dengan pihak majikan dan menguruskan keperluan harian pekerja-pekerja yang bermogok.

Kelas pemerintah menggunakan akhbar untuk menggambarkan pekerja-pekerja yang bermogok itu sebagai perusuh yang kotor, jahat dan mengkhianati negara. Pada 13 Ogos 1842, kerajaan British mengerahkan pasukan tentera ke daerah Lancashire, sementara Ratu Victoria mengeluarkan titah yang mengisytihar bahawa mogok itu menyalahi undang-undang dan menawarkan ganjaran sebanyak £50 kepada setiap orang pekerja yang kembali bekerja. Walaupun ganjaran £50 itu sangat besar bagi sesetengah pekerja yang menerima upah £5 sebulan, hanya sedikit pekerja yang terpikat dengan sogokan pihak berkuasa dan berhenti daripada bermogok.

Pada 12 Ogos 1842, pekerja-pekerja kilang kapas di Preston, daerah Lancashire, melancarkan aksi mogok. Pada 13 Ogos 1842, pihak berkuasa Preston mengerahkan pasukan tentera untuk menyuraikan perhimpunan pekerja dengan menggunakan kekerasan. Pasukan tentera melepaskan tembakan ke arah pekerja-pekerja yang berdemonstrasi dan membunuh 4 orang demonstran.

Pada 15 Ogos 1842, wakil-wakil daripada jawatankuasa mogok tempatan bersidang di Manchester. Persidangan pekerja itu mengundi untuk menyokong Piagam Rakyat dan memulihkan kadar upah ke paras sebelum pemotongan upah pada tahun 1840.

Gelombang mogok terus merebak ke bandar-bandar lain, sehingga Dundee di pantai timur Scotland dan daerah Cornwall di England Barat Daya. Pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan aksi demonstrasi pekerja. Pasukan tentera melepaskan tembakan ke arah demonstran di beberapa buah bandar pada 15 dan 16 Ogos 1842. Oleh sebab tidak mempunyai tenaga manusia yang mencukupi untuk “penguatkuasaan undang-undang”, sesetengah pihak berkuasa tempatan mengerahkan konstabel khas yang terdiri daripada golongan kelas menengah, tetapi ramai konstabel itu bersimpati dengan golongan pekerja dan enggan melawan mereka.

Pada 16 Ogos 1842, NCA mengeluarkan kenyataan rasmi yang menyokong aksi mogok besar-besaran, maka menjadikannya mogok kebangsaan. Jaringan organisasi NCA di seluruh negara Britain membantu dalam menyebarkan aksi mogok itu lebih lanjut lagi. Pada hari yang sama, ribuan orang yang kebanyakannya berarak dengan berkaki ayam di Halifax, Yorkshire Barat, enggan bersurai sehingga diserang oleh pasukan berkuda dan 6 orang demonstran terbunuh.

Pertembungan pemogok-pemogok dengan pihak berkuasa di kawasan Salterhebble, Halifax, daerah Yorkshire Barat, pafa bulan Ogos 1842. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Perhimpunan besar-besaran juga diadakan di London, tetapi pihak berkuasa mengerahkan polis dan tentera untuk menyuraikan perhimpunan itu. Menjelang 20 Ogos 1842, ramai pemimpin pekerja dan aktivis Gerakan Piagam Rakyat ditahan, maka melemahkan penyelarasan aksi mogok di peringkat kebangsaan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pekerja, dengan jumlah mencecah 500,000 orang, meneruskan aksi mogok sehingga penghujung bulan Ogos 1842. Ramai pekerja terpaksa kembali bekerja kerana mereka memerlukan upah untuk membeli makanan. Pekerja-pekerja tekstil di Manchester bertahan paling lama dan hanya kembali bekerja pada penghujung bulan September 1842.

Walaupun tuntutan politik untuk penerimaan Piagam Rakyat itu tidak tercapai, hampir semua kilang membatalkan rancangan untuk memotong upah pekerja, dan banyak kilang memulihkan kadar gaji kepada paras tahun 1840.

Sekurang-kurangnya 1,500 orang yang berkaitan dengan Mogok Umum 1842 ditangkap dan didakwa di mahkamah. 79 orang dijatuhkan hukuman pembuangan negeri.

Parlimen British kemudiannya meluluskan Akta Kilang 1844 (Factory Act 1844) yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan pekerja tetapi masih tidak mencukupi, dengan peruntukan seperti berikut:

  • Kerja 12 jam sehari juga terpakai untuk wanita dan remaja, dengan waktu rehat satu jam setengah untuk makan, dan kerja 9 jam pada hari Ahad;
  • Kanak-kanak berumur 9-13 tahun boleh bekerja sehingga 9 jam sehari dengan rehat makan tengah hari;
  • Penjagaan masa kerja hendaklah menggunakan jam awam yang diluluskan oleh pegawai pemeriksa kilang;
  • Kanak-kanak dan wanita tidak dibenarkan untuk membersihkan mesin yang sedang bergerak;
  • Kematian di tempat kerja harus dilaporkan kepada seorang pakar bedah dan disiasat, dan hasil siasatan harus dilaporkan kepada pegawai pemeriksa kilang;
  • Pemilik kilang harus mencuci kilang dengan kapur setiap 14 bulan;
  • Nama dan alamat pegawai pemeriksa kilang, pakar bedah yang bertauliah, masa bermula dan tamat kerja, serta waktu makan, harus dipaparkan di dalam kilang;
Kanak-kanak yang bekerja di dalam kilang tekstil pada tahun 1830-an. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama, 1835)

Dengan Gerakan Piagam Rakyat menerima pukulan hebat selepas kebangkitan kelas pekerja pada tahun 1842 dipatahkan, sesetengah pemimpin gerakan itu mengalihkan fokus mereka daripada tindakan politik kepada usaha untuk membolehkan pekerja-pekerja memiliki tanah supaya memperoleh hak mengundi. Feargus O’Connor dan penyokong-penyokongnya menubuhkan Chartist Co-operative Land Society pada tahun 1845, yang kemudiannya ditukar nama kepada Syarikat Tanah Kebangsaan (National Land Company). Syarikat itu mengumpulkan dana daripada penjualan saham dan menggunakannya untuk membeli tanah yang kemudiannya dibahagikan kepada lot kecil yang berkeluasan 2-4 ekar. Pekerja-pekerja yang membeli saham syarikat itu berpeluang untuk memiliki lot tanah yang dipecahkan. Namun, rancangan itu ternyata menyimpang daripada matlamat asal Gerakan Piagam Rakyat yang hendak menghapuskan syarat kelayakan pengundi yang berasaskan pemilikan harta.

Pada tahun 1848, apabila gelombang revolusi yang hebat melanda seluruh Eropah, gerakan Piagam Rakyat bangkit buat kali ketiga, tetapi kekuatannya sudah agak lemah. Berita tentang Revolusi Februari di Perancis telah merangsang golongan pendukung Piagam Rakyat untuk bertindak. Protes tercetus di Manchester, Glasgow dan Dublin pada bulan Mac 1848.

Tokoh-tokoh Gerakan Piagam Rakyat yang radikal seperti James Watson, Henry Hetherington dan Richard Moore (1810-1878) menubuhkan Kesatuan Piagam London (London Charter Union) pada 22 Mac 1848, yang kemudiannya ditukar nama kepada Kesatuan Piagam Rakyat (People’s Charter Union, singkatan PCU) pada 5 April 1848. PCU menegaskan komitmen sepenuh dalam menegakkan 6 tuntutan asal Piagam Rakyat.

Perhimpunan Gerakan Piagam Rakyat di Kennington Common, London, Britain, pada 10 April 1848. (foto: William Edward Kilburn)

Petisyen ketiga untuk Piagam Rakyat hanya dapat mengumpul sebanyak 1,975,000 tandatangan, satu jumlah yang lebih kecil berbanding dua petisyen sebelumnya. Perhimpunan diadakan pada 10 April 1848 di Kennington Common, sebuah kawasan lapang di London, untuk mendukung petisyen itu. Kira-kira 50,000 orang menyertai perhimpunan itu. Kerajaan British mengerahkan pasukan polis dan tentera dalam jumlah yang besar, sehingga memaksa pemimpin-pemimpin Gerakan Piagam Rakyat untuk membatalkan perarakan menuju ke Parlimen. Petisyen itu dihantar dengan tiga buah kereta kuda ke Parlimen. Feargus O’Connor, Ahli Parlimen yang mewakili Nottingham pada masa itu, menyerahkan petisyen itu kepada Dewan Rakyat British, tetapi seperti yang dijangkakan, ia ditolak buat kali ketiga.

Gerakan Piagam Rakyat akhirnya menemui kegagalan. Gerakan itu mencapai kemuncaknya pada ketika negara Britain mengalami kemelesetan ekonomi. Pekerja-pekerja yang menghadapi kesusahan akibat kemelesetan ekonomi menjadi tulang belakang kepada gerakan itu. Namun, apabila ekonomi bertambah baik dengan pengangguran berkurangan dan upah meningkat, demonstrasi pekerja juga berkurangan. Selepas tahun 1848, ekonomi British memasuki satu tempoh kemakmuran yang agak panjang, maka pertentangan kelas menjadi tidak begitu ketara.

Golongan pekerja di Britain pada tahun 1840-an masih berada di peringkat awal pembangunan kesedaran kelas. Kebanyakan pemimpin Gerakan Piagam Rakyat merupakan tukang mahir dan bukannya pekerja bawahan. Oleh itu, ramai dalam kalangan pemimpin Gerakan Piagam Rakyat lebih cenderung kepada mendukung “kuasa moral” dalam memperjuangkan Piagam Rakyat. Walau bagaimanapun, penggabungan tuntutan politik dan tuntutan ekonomi sepanjang Gerakan Piagam Rakyat merupakan manifestasi kebangkitan kesedaran kelas dalam kalangan golongan pekerja.

Perhimpunan Gerakan Piagam Rakyat di Kennington Common, London, Britain, pada 10 April 1848. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Wujudnya perpecahan antara gerakan yang diterajui oleh golongan borjuis kecil di pusat bandar London dan gerakan pekerja yang lebih radikal di kawasan perindustrian di bahagian utara England. Golongan yang lebih radikal itu mengambil pendekatan yang lebih drastik seperti aksi mogok dan pemberontakan. Walaupun sudah terbentuknya organisasi politik kelas pekerja yang dianggotai oleh massa pekerja, oleh sebab masih tidak mempunyai program perjuangan kelas pekerja yang jelas, tambahan pula dengan penindasan oleh pihak berkuasa, kebanyakan organisasi politik kelas pekerja yang muncul dalam Gerakan Piagam Rakyat tidak bertahan lama. Walaupun mempunyai pelbagai kelemahan dan kekurangan, Gerakan Piagam Rakyat menyaksikan penampilan kelas pekerja sebagai sebuah kelas baharu yang revolusioner dalam pentas sejarah. Ia juga menunjukkan bahawa perjuangan untuk demokrasi politik tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan kelas pekerja untuk keadilan sosioekonomi.

Walaupun Gerakan Piagam Rakyat tidak dapat mencapai matlamat pembaharuan sistem pilihan raya di Britain dalam jangka masa pendek, ia telah mendatangkan kesan jangka masa panjang yang akhirnya membawa kepada hak mengundi sejagat. Semua tuntutan dalam Piagam Rakyat 1838, kecuali satu (iaitu pilihan raya parlimen setiap tahun), telah berjaya direalisasikan pada tahun 1918 dengan penggubalan Akta Perwakilan Rakyat 1918 (Representation of the People Act 1918).

Bank England dalam keadaan berjaga-jaga semasa perhimpunan besar-besaran Gerakan Piagam Rakyat di London pada 10 April 1848. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Dari Liga Komunis ke Internasional Pertama

Perjuangan kelas pekerja sering tercetus secara spontan apabila golongan pekerja sudah tidak dapat lagi menerima eksploitasi dan keadaan kerja yang teruk. Namun, dengan penyebaran idea-idea politik yang radikal, perjuangan kelas pekerja menjadi semakin teratur dari segi organisasi, orientasi dan strategi. Perjuangan ekonomi kelas pekerja untuk memperbaiki keadaan kerja mereka juga sering berhubung kait dengan perjuangan politik untuk mengubah dasar dan sistem pemerintahan.

Gerakan pekerja pada awalnya dipengaruhi oleh fahaman sosialis utopia seperti yang dibawa oleh Robert Owen, Charles Fourier dan Henri de Saint-Simon. Salah satu aliran utama dalam gerakan perjuangan kelas pekerja pada awal abad ke-19 ialah mereka yang mendukung pemikiran Pierre-Joseph Proudhon (1809-1865). Pierre-Joseph Proudhon merupakan orang pertama yang menggelar dirinya sebagai “anarkis”, maka ramai orang menganggapnya sebagai “Bapa Anarkisme”. Proudhon menganggap anarki itu sebagai keadaan masyarakat yang tidak lagi mempunyai tuan dan pemerintah. Proudhon membangunkan teori mutualisme yang mendukung kawalan pekerja terhadap sumber-sumber pengeluaran, persekutuan bebas antara pengeluar-pengeluar dan demokrasi industri (iaitu sistem yang melibatkan pekerja dalam proses membuat keputusan, dan perkongsian tanggungjawab serta kuasa di tempat kerja).

Pierre-Joseph Proudhon (1809-1865) (ilustrasi: Gustave Courbet, 1865)

Golongan Proudhoniste berpandangan bahawa pembebasan pekerja dan masyarakat tanpa kelas boleh tercapai dengan mengabaikan kuasa negara sama sekali. Golongan Proudhoniste menganggap negara sebagai institusi yang menindas dan harus diabaikan, bukannya untuk ditawan, dan mereka juga menolak sebarang bentuk organisasi yang memusatkan kuasa. Oleh itu, golongan Proudhoniste tidak menumpukan perhatian kepada usaha merampas kuasa negara, tetapi memfokus pada pembinaan koperasi pekerja dan persatuan sukarelawan sebagai alternatif kepada kapitalisme yang eksploitatif dan menindas. Walau bagaimanapun, golongan Proudhoniste mempertahankan pemilikan tanah persendirian dalam kalangan golongan petani. Golongan Proudhoniste juga menolak tindakan politik, mogok pekerja, kesatuan sekerja dan pengkolektifan sumber-sumber pengeluaran.

Golongan Proudhoniste menganggap mutualiti (iaitu saling bantu-membantu atau kebersamaan) sebagai sintesis antara harta milik persendirian dan sistem pemilikan kolektif. Prinsip timbal balik yang dipegang oleh golongan mutualis menyediakan asas kepada pembentukan institusi-institusi seperti bantuan bersama (iaitu pertukaran sumber dan perkhidmatan secara sukarela untuk manfaat bersama dalam kalangan anggota komuniti), kredit bersama (di mana pemiutang dan penghutang merupakan kumpulan orang yang sama dalam memberi pinjaman dan meminjam wang antara satu sama lain) dan insurans bersama (iaitu sistem perlindungan kewangan yang dimiliki sepenuhnya oleh pemegang polisi insurans).

Ada juga segelintir kecil golongan elit politik berhaluan kiri di Perancis yang dipengaruhi oleh fahaman radikal yang ditinggalkan oleh Gracchus Babeuf. Aliran kiri itu dikenali sebagai Neo-Babouvisme. Salah seorang penyebar fahaman Neo-Babouvisme ialah Philippe Buonarroti (1761-1837), salah seorang yang pernah terlibat dalam komplot Gracchus Babeuf untuk merampas kuasa pada tahun 1796. Tulisan Philippe Buonarroti telah mempengaruhi ramai revolusioner Perancis pada tahun 1830-an dan 1840-an, termasuk Théodore Dézamy (1808-1850), Albert Laponneraye (1808-1849), Jean-Jacques Pillot (1808-1877) dan Richard Lahautière (1813-1882). Golongan Neo-Babouviste merupakan sayap kiri ekstrem gerakan republikan Neo-Jacobin. Mereka pernah mengambil bahagian dalam Revolusi 1848 dan Komun Paris 1871.

Louis Auguste Blanqui (1805–1881)

Louis Auguste Blanqui (1805–1881), seorang revolusioner kiri Perancis yang mendukung komunisme, bersama-sama pengikut-pengikutnya, yang dikenali sebagai golongan Blanquiste, sering bersekutu dengan golongan Neo-Babouviste. Louis Auguste Blanqui percaya bahawa revolusi sosialis boleh dilakukan melalui perampasan kuasa negara oleh sebuah kumpulan kecil aktivis revolusioner berdedikasi yang tersusun secara berdisiplin, ketat dan rahsia. Kumpulan revolusioner profesional itu boleh menggunakan kuasa negara yang dirampasnya itu untuk melaksanakan pembaharuan yang membangunkan sosialisme. Dalam erti kata lain, golongan Blanquiste tidak berminat dalam membina organisasi massa gerakan pekerja yang tersusun dari bawah.

Hasrat dan azam untuk membina organisasi massa gerakan pekerja dari bawah untuk perjuangan pembebasan masyarakat itu datang daripada golongan aktivis revolusioner yang kemudiannya dikenali sebagai Marxis, iaitu mereka yang dipengaruhi oleh pemikiran Karl Marx (1818-1883) dan rakan seperjuangannya, Friedrich Engels. Marx dan Engels mula bekerjasama pada tahun 1844 untuk membangunkan idea-idea dan aktivisme revolusioner sosialis mereka. Mereka menubuhkan Jawatankuasa Surat-Menyurat Komunis (Kommunistisches Korrespondenz-Komitee) pada tahun 1846 dengan tujuan mengorganisasikan golongan sosialis di negara-negara yang berbeza ke dalam sebuah parti proletar yang revolusioner.

Jawatankuasa Surat-Menyurat Komunis yang pertama ditubuhkan pada tahun 1846 di Brussel, Belgium, dengan anggota-anggota awalnya terdiri daripada Karl Marx, Wilhelm Wolff (1809-1864), Ferdinand Wolff (1812-1895), Joseph Weydemeyer (1818-1866) dan Edgar von Westphalen (1819-1890). Pada tahun yang sama, jawatankuasa yang serupa ditubuhkan di London dan Paris. Anggota-anggotanya di London terdiri daripada Karl Schapper (1812-1870) dan Joseph Moll (1813-1849). Karl Schapper dan Joseph Moll merupakan anggota Liga Keadilan (Bund der Gerechten). Liga Keadilan yang kebanyakan anggotanya merupakan golongan tukang imigran Jerman itu ditubuhkan pada tahun 1836, dan pada awalnya dipimpin oleh Wilhelm Weitling (1808-1871), seorang tukang jahit dan sosialis utopia dari Jerman. Namun, kepimpinan Wilhelm Weitling semakin dipinggirkan apabila anggota-anggotanya lebih dipengaruhi oleh pemikiran Marx.

Karl Marx (1818-1883)

Karl Marx dan Friedrich Engels menyertai Liga Keadilan pada awal tahun 1847 di bawah pemujukan Karl Schapper, kemudiannya diikuti oleh anggota-anggota lain dalam Jawatankuasa Surat-Menyurat Komunis. Pada bulan Jun 1847, Liga Keadilan mengadakan kongres di London dan memutuskan untuk menyusun semula organisasinya. Friedrich Engels, yang hadir dalam kongres itu sebagai wakil dari Paris, berjaya meyakinkan wakil-wakil lain untuk menukar moto organisasi itu daripada “Semua Orang Bersahabat” kepada slogan yang diperkenalkan oleh Karl Marx, iaitu “Pekerja Sedunia, Bersatulah!”. Dalam kongres itu juga, Liga Keadilan menukar namanya kepada Liga Komunis (Bund der Kommunisten).

Perkara 1 Perlembagaan Liga Komunis yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels menyatakan, “Matlamat liga ini ialah penggulingan golongan borjuis, pembentukan pemerintahan golongan proletar, penghapusan masyarakat borjuis lama yang berasaskan permusuhan kelas, dan penubuhan sebuah masyarakat tanpa kelas serta tanpa harta milik persendirian.”

Marx dan Engels menerbitkan akhbar harian “Neue Rheinische Zeitung” di Cologne semasa Revolusi 1848-1849. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Kongres Liga Komunis yang Kedua mula diadakan pada penghujung bulan November 1847 di London. Karl Marx dan Friedrich Engels turut hadir dalam kongres itu. Karl Schapper dipilih sebagai pengerusi kongres, dan Friedrich Engels dipilih sebagai setiausaha. Marx dan Engels ditugaskan oleh perwakilan kongres itu untuk menulis manifesto bagi Liga Komunis. Manifesto Komunis diterbitkan di London pada 21 Februari 1848, sehari sebelum tercetusnya Revolusi Februari di Paris yang membawa kepada pembentukan Republik Perancis Kedua (1848-1852) yang merupakan pembuka tirai kepada gelombang Revolusi 1848.  

Anggota-anggota Liga Komunis telah mengambil bahagian secara aktif dalam Revolusi 1848, tetapi Liga Komunis tidak dapat berfungsi secara berkesan sebagai sebuah organisasi perjuangan kelas pekerja. Ia masih merupakan sebuah organisasi yang hanya dianggotai oleh sekumpulan kecil golongan intelek sosialis, bukannya sebuah organisasi massa yang mampu bermobilisasi dalam jumlah besar. Walau bagaimanapun, anggota-anggota Liga Komunis, terutamanya Stephan Born (1824-1898), seorang pengatur huruf surat khabar, menubuhkan Persaudaraan Pekerja Jerman Umum (Allgemeine Deutsche Arbeiterverbrüderung), sebuah organisasi revolusioner kelas pekerja yang menyatukan beberapa buah persatuan pekerja yang lebih kecil di Jerman semasa Revolusi 1848-1849.

Stephan Born (1824-1898)

Semasa Revolusi 1848-1849, Karl Marx menerbitkan Neue Rheinische Zeitung di Cologne, sementara Friedrich Engels menyertai pemberontakan bersenjata di wilayah Baden untuk menentang kerajaan Prusia. Namun, selepas Revolusi 1848-1849 menemui kegagalan, Karl Marx diusir keluar dari Jerman oleh kerajaan Prusia pada bulan Mei 1849, sementara Friedrich Engels terpaksa melarikan diri berikutan pemberontakan di Baden dipatahkan. Marx hidup dalam buangan di London sejak itu, dan Engels berpindah balik ke Manchester untuk menguruskan kilang keluarganya.

Pada tahun 1852, 11 orang anggota Liga Komunis di Cologne dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan menyertai sebuah “parti yang rahsia dan subversif” dan terlibat dalam Revolusi 1848 di bandar itu. 7 orang dijatuhkan hukuman penjara sehingga 6 tahun. Selepas peristiwa itu, Liga Komunis dibubarkan. Namun, ia telah menanam benih untuk membina organisasi perjuangan kelas pekerja antarabangsa.

Perbicaraan Komunis Cologne pada tahun 1852. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Sebelum penubuhan Liga Komunis, pada tahun 1845, George Julian Harney, seorang pemimpin Gerakan Piagam Rakyat yang berpendirian lebih radikal dan berhaluan kiri, bersama-sama Ernest Charles Jones (1819-1869), pengarang akhbar Northern Star, dan golongan pelarian politik yang berfahaman radikal dari pelbagai negara di Eropah, menubuhkan Demokrat Persaudaraan (Fraternal Democrats, singkatan FD) di London. FD mengamalkan program internasionalisme pekerja, di samping menentang rasisme dan xenofobia yang dianggapnya sebagai alat untuk kelas pemerintah memecah-belahkan kelas pekerja. FD menekankan kepentingan bersama kelas pekerja yang merentasi sempadan negara dan menyeru pekerja-pekerja untuk bersatu demi melawan pemerintah mereka. FD merupakan pertubuhan demokratik antarabangsa yang pertama dengan ciri-ciri perwakilan kelas pekerja, tetapi ia tidak dapat berkembang luas ke negara-negara lain. FD dibubarkan pada tahun 1854, dan peranannya diambil alih oleh Persatuan Antarabangsa (International Association, singkatan IA) yang ditubuhkan oleh Ernest Charles Jones.

Untuk mewujudkan jalinan hubungan dengan golongan demokrat di negara-negara Eropah yang lain, golongan pendukung Piagam Rakyat di Britain yang dipimpin oleh Ernest Charles Jones menganjurkan sebuah mesyuarat pada bulan Februari 1855 bersempena dengan sambutan ulang tahun Revolusi Februari 1848, dan menubuhkan Jawatankuasa Antarabangsa (International Committee, singkatan IC). IC ditubuhkan untuk menghimpunkan perwakilan dari Britain, Jerman, Itali, Perancis, Poland dan Sepanyol, dengan hasrat menyatukan golongan revolusioner dari negara-negara berbeza itu ke dalam sebuah pertubuhan politik antarabangsa.  

Anggota-anggota IC mengadakan sebuah mesyuarat pada 10 Ogos 1856 dan memutuskan untuk menubuhkan IA, sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa yang berdedikasi untuk menghapuskan stratifikasi kelas melalui revolusi sosial. IA berjaya menghimpunkan organisasi-organisasi seperti Commune révolutionnaire dari Perancis yang dipimpin oleh Félix Pyat (1810-1889), Persatuan Pendidikan Pekerja Jerman (Deutscher Arbeiterbildungsverein) yang dipimpin oleh Karl Schapper, National Charter Association (NCA) dari Britain yang dipimpin oleh Ernest Charles Jones, dan Persatuan Revolusioner Poland (Gromada Rewolucyjna Polska) yang dipimpin oleh Ludwik Oborski (1787–1873). IA pernah menganjurkan acara sambutan yang memperingati peristiwa revolusi yang penting. IA dibubarkan pada tahun 1861 selepas kebanyakan anggotanya mengalihkan tumpuan mereka kepada perkara-perkara lain di negara masing-masing.  

Karl Schapper (1812-1870)

Walau bagaimanapun, usaha membangunkan gerakan kelas pekerja merentasi sempadan negara tidak pernah terhenti. Krisis ekonomi dan krisis politik yang melanda Eropah pada penghujung tahun 1850-an dan awal 1860-an telah membangkitkan semula gerakan pekerja di situ.

Di Britain, munculnya generasi baharu pemimpin kesatuan sekerja yang dikenali sebagai “Junta”. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang kerap bermesyuarat di London itu mendukung penglibatan politik yang lebih besar dan solidariti bersama perjuangan di negara-negara lain. Mereka pernah menganjurkan aksi solidariti seperti menyokong perjuangan Giuseppe Garibaldi (1807-1882) untuk kemerdekaan Itali, membantah penindasan kerajaan Rusia terhadap Pemberontakan Januari 1863 di Poland dan menyokong pihak Kesatuan dalam Perang Saudara Amerika.

Di Perancis, golongan pekerja yang dipengaruhi oleh fahaman Proudhonisme cuba membangunkan kuasa politik yang dapat mewakili kepentingan kelas mereka. Pada tahun 1864, Henri Tolain (1828-1897), seorang aktivis politik yang dipengaruhi oleh fahaman Proudhonisme, menulis sebuah teks yang ditandatangani oleh 60 orang pekerja, maka dikenali sebagai “Manifesto Enam Puluh”. Manifesto Enam Puluh yang mempertahankan kepentingan kelas pekerja itu menyeru untuk perwakilan politik yang bebas bagi golongan pekerja, pengesahan mogok di sisi undang-undang dan pembentukan persatuan saling bantu-membantu kelas pekerja.

Henri Tolain (1828-1897)

Pada tahun 1862, Napoleon III mensubsidi sebuah delegasi pemimpin kesatuan sekerja untuk menghadiri Pameran Sedunia yang diadakan di London, dengan tujuan mengkaji barangan, ciptaan dan proses perindustrian di Britain. Henri Tolain merupakan salah seorang peserta dalam delegasi itu. Di London, Henri Tolain bertemu dengan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja British, termasuk George Odger (1813-1877), seorang pemimpin Persatuan Gabungan Tukang Kasut dan Setiausaha Majlis Kesatuan Sekerja London (London Trades Council) pada masa itu. Susulan daripada pertemuan itu, pada bulan Julai 1863, Henry Tolain dan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dari Perancis, yang kebanyakannya merupakan Proudhoniste, menghadiri sebuah perjumpaan solidariti bersama pemberontakan Poland yang dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja British di Dewan St. James, London. Dalam perjumpaan itu, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dari Perancis dan Britain mula berbincang tentang masalah sosioekonomi yang sama-sama dihadapi oleh mereka, dan keperluan solidariti antarabangsa sesama kelas pekerja untuk menangani persoalan sosioekonomi itu.

Perbincangan antara pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dari Perancis dan Britain diteruskan dalam beberapa bulan berikutnya, dan mereka merancang untuk mengadakan sebuah perhimpunan pada bulan September 1864 dengan hasrat menubuhkan sebuah kesatuan pekerja antarabangsa. Sebab utama pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja British mendukung penubuhan sebuah kesatuan pekerja antarabangsa, bukannya untuk melakukan apa-apa perubahan revolusioner, tetapi lebih kepada mengharapkan organisasi itu dapat mencegah pengimportan buruh murah dari tanah besar Eropah semasa golongan pekerja British bermogok.

George Odger (1813–1877), Presiden pertama untuk Internasional Pertama.

Pada 28 September 1864, perhimpunan yang dirancang itu mula diadakan di Dewan St. Martin, London, dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang, dan menghimpunkan perwakilan daripada spektrum politik kiri yang agak luas. Mereka yang hadir termasuk pengikut-pengikut Robert Owen dari Britain, golongan Proudhoniste dari Perancis, golongan Blanquiste dari Perancis, golongan nasionalis Ireland, golongan nasionalis Poland, pendukung-pendukung fahaman republikan nasionalis yang dibawa oleh Giuseppe Mazzini (1805-1872) dan golongan sosialis Jerman. Karl Marx yang sudah hidup dalam buangan bersama keluarganya di London selama 15 tahun pada masa itu, turut dijemput untuk hadir ke perhimpunan di Dewan St. Martin.

Mereka yang berhimpun di Dewan St. Martin mempunyai pandangan yang sangat berbeza mengenai tanggapan tentang persoalan sosioekonomi yang dihadapi oleh kelas pekerja dan penyelesaian untuk persoalan sosioekonomi itu. Namun, mereka mempunyai musuh yang sama, iaitu kelas pemerintah kapitalis yang hendak mengekalkan status quo yang mengeksploitasi dan menindas kelas pekerja. Oleh itu, walaupun berbeza pandangan dalam banyak perkara, perwakilan yang hadir dalam perhimpunan di Dewan St. Martin bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Kesatuan Pekerja Antarabangsa (International Workingmen’s Association, singkatan IWA), yang juga dikenali kemudian sebagai Internasional Pertama. Perhimpunan itu juga memutuskan bahawa jawatankuasa pusat IWA, yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Agung, harus berpangkalan di London.

Penubuhan Kesatuan Pekerja Antarabangsa, atau dikenali kemudian sebagai Internasional Pertama, di Dewan St. Martin, London, pada 28 September 1864. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh 21 orang ditubuhkan untuk merangka perlembagaan dan program Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Anggota-anggota jawatankuasa itu termasuk pemimpin kesatuan sekerja British seperti George Odger, William Randal Cremer (1828-1908) dan George Howell (1833-1910); wakil Perancis seperti Henri Tolain, Eugène Dupont (1831-1881), Eugène Varlin (1839-1871) dan Charles Limousin (1840-1909); dan Adolfo Luigi Wolff yang merupakan seorang revolusioner Itali yang berkhidmat sebagai setiausaha Giuseppe Mazzini, serta Karl Marx. Karl Marx dijemput oleh Johann Eccarius (1818-1889), seorang tukang jahit dari Jerman yang pernah menyertai Liga Komunis, untuk menyertai jawatankuasa itu.

Karl Marx menawarkan rumahnya di London kepada jawatankuasa itu untuk bermesyuarat. Marx tidak mahu golongan pengikut Mazzini seperti Luigi Wolff mendominasi Kesatuan Pekerja Antarabangsa, kerana golongan pengikut Mazzini lebih menekankan kerjasama kelas demi penyatuan bangsa dan menolak doktrin perjuangan kelas. Selepas draf dokumen oleh golongan pengikut Mazzini dan pengikut Owen ditolak, draf dokumen oleh ditulis oleh Marx diterima sebulat suara pada 1 November 1864.

Marx telah merangka dua buah dokumen asas bagi Kesatuan Pekerja Antarabangsa, iaitu Ucapan Perasmian Kesatuan Pekerja Antarabangsa dan Peraturan-Peraturan Am Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Teks Ucapan Perasmian Kesatuan Pekerja Antarabangsa menganalisis keadaan kelas pekerja sejak tahun 1848, dengan menonjolkan perbezaan ketara antara pertumbuhan ekonomi kapitalis yang luar biasa dan kesengsaraan kehidupan kelas pekerja yang berterusan. Ucapan Perasmian itu meratapi kemusnahan gerakan kelas pekerja yang baharu lahir pada tahun 1848-1849, dan memuji usaha sesetengah pembaharuan pada tahun 1850-an yang memperbaiki keadaan pekerja.

Marx juga menyelit kritikannya terhadap golongan anarkis mutualis yang mendukung pendekatan koperasi bukan konfrontasi. Marx menulis dalam Ucapan Perasmian, “Pengalaman daripada tempoh dari tahun 1848 hingga 1864 telah membuktikan tanpa keraguan bahawa walaupun buruh koperasi itu sangat baik secara prinsipnya dan berguna secara praktiknya, jika dikekalkan dalam lingkungan sempit usaha terpencil pekerja-pekerja persendirian, tidak akan dapat menghentikan pertumbuhan monopoli yang berkembang secara geometri, membebaskan massa, mahupun meringankan beban penderitaan mereka secara ketara.” Marx berpandangan bahawa koperasi itu dialu-alukan oleh golongan pemerintah kapitalis kerana ia mengalihkan perhatian golongan pekerja daripada usaha membina kekuatan revolusioner untuk mencabar sistem kapitalis. Bagi Marx, revolusi sosial berlaku melalui perampasan kuasa politik. Dia menulis, “Oleh itu, untuk menawan kuasa politik telah menjadi tugas besar kelas pekerja.” Ucapan Perasmian itu berakhir dengan slogan yang mirip dengan ayat terakhir Manifesto Komunis, “Golongan proletar semua negara, bersatu!”

Pembebasan kelas pekerja harus dilakukan oleh kelas pekerja sendiri,” begitu tulisnya Peraturan-Peraturan Am Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang turut dirangka oleh Karl Marx. Bagi Marx, perjuangan pembebasan kelas pekerja tidak boleh bergantung pada kelas-kelas yang lain, sama ada golongan bangsawan yang mesra pekerja ataupun golongan borjuis liberal yang murah hati. Hanya kelas pekerja dapat membebaskan diri mereka dengan usaha perjuangan mereka sendiri. “Perjuangan untuk pembebasan kelas pekerja bukannya perjuangan untuk keistimewaan dan monopoli kelas, tetapi untuk hak dan kewajipan yang sama rata, dan penghapusan segala pemerintahan kelas.”

“Penundukan ekonomi golongan buruh kepada pemonopoli sumber-sumber buruh – iaitu, sumber kehidupan – merupakan asas kepada segala bentuk perhambaan, segala kesengsaraan masyarakat, kemerosotan mental dan kebergantungan politik.” Marx juga menulis lagi. “Oleh itu, pembebasan ekonomi kelas pekerja ialah matlamat utama yang harus dipatuhi oleh setiap gerakan politik sebagai alat untuk mencapainya.” Bagi Marx, adalah jelas bahawa persoalan sosioekonomi harus sentiasa diutamakan, dan pembaharuan politik yang sekadar menggubal perlembagaan yang memberikan hak-hak politik itu tidak mencukupi untuk menangani persoalan sosioekonomi. Namun, kuasa politik merupakan komponen penting untuk menyelesaikan persoalan sosioekonomi.

Perwakilan yang menghadiri Kongres Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Pertama yang diadakan di Geneva, Switzerland, pada 3-8 September 1866.

Walau bagaimanapun, Kesatuan Pekerja Antarabangsa membuka pintunya kepada penyertaan kesatuan pekerja yang sebanyak mungkin. Majlis Agung yang berpangkalan di London berfungsi sebagai badan perhubungan dan penyelarasan aktiviti Kesatuan Pekerja Antarabangsa, bukannya sebuah badan eksekutif berpusat yang mengeluarkan arahan dari atas kepada anggota-anggotanya di negara-negara berbeza. “Walaupun bersatu dalam ikatan kerjasama persaudaraan yang berkekalan, persatuan-persatuan pekerja yang menyertai Kesatuan Antarabangsa akan mengekalkan organisasi sedia ada mereka secara utuh,” begitu tulisnya Peraturan-Peraturan Am Kesatuan Pekerja Antarabangsa.

Penubuhan Kesatuan Pekerja Antarabangsa boleh dikatakan sebagai peristiwa penting dalam gerakan kelas pekerja, gerakan sosialis dan gerakan anarkis. Namun, oleh sebab spektrum politik dalam kalangan anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa agak luas, maka perbezaan pandangan juga agak ketara dalam persoalan mengenai hala tuju dan peranan organisasi itu, sehingga sering mencetuskan perbalahan dalaman. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja British hanya berhasrat untuk menjadikan Kesatuan Pekerja Antarabangsa sebagai sebuah gerakan reformis, sementara golongan radikal dari tanah besar Eropah pula menuntut revolusi sepenuhnya. Golongan revolusioner profesional yang mendukung idea-idea Louis Auguste Blanqui hendak menjadikannya sebuah organisasi perintis yang beroperasi secara rahsia, sementara Karl Marx dan penyokong-penyokongnya hendak menjadikannya sebuah organisasi yang mampu menerajui gerakan massa pekerja secara terbuka. Sesetengah orang mendukung aktiviti kesatuan sekerja sebagai fokus untuk tindakan langsung, sementara ramai yang berpegang pada fahaman anarkis yang menolak kesatuan sekerja dan menekankan kepentingan kolektif milik pekerja. Sebahagian orang berpandangan bahawa gerakan pekerja antarabangsa tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa arahan langsung daripada sebuah jawatankuasa pusat; sementara sebahagian orang lagi berpandangan bahawa organisasi itu harus dibina dari bawah dan bukannya melalui arahan dari atas. Sesetengah orang hendak menubuhkan parti politik dan menyertai pilihan raya parlimen; sementara sesetengah orang hendak membina struktur alternatif sendiri dan menolak politik pilihan raya yang sedia ada. Sesetengah orang percaya pada keperluan mengambil alih kuasa negara; sementara sesetengah orang lagi berpendapat bahawa negara itu akan lenyap jika ia diabaikan oleh massa pekerja.

Friedrich Engels (kiri) dan Karl Marx (kanan) dalam Kongres Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Kelima yang diadakan di Den Haag, Belanda, pada 2-7 September 1872. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada awalnya, golongan Proudhoniste dari Perancis agak berpengaruh dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Pendirian golongan Proudhoniste yang menolak pendekatan pengambilalihan kuasa negara dan membantah sebarang bentuk organisasi yang memusatkan kuasa, adalah bertentangan dengan sesetengah anggota dalam Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa, terutamanya Karl Marx, yang hendak menjadikan organisasi itu sebuah parti politik pekerja yang mampu mengambil alih kuasa politik.  

Dalam Kongres Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Pertama yang diadakan pada 3-8 September 1866 di Geneva, Switzerland, juga dikenali sebagai Kongres Geneva, para perwakilan meluluskan resolusi yang berasaskan cadangan daripada Karl Marx, termasuk menegaskan semula kepentingan kesatuan sekerja, mendukung tuntutan kerja 8 jam sehari, menuntut penghapusan buruh kanak-kanak dan mengiktiraf keperluan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.

Dalam Kongres Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Kedua yang diadakan pada 2-8 September 1867 di Lausanne, Switzerland, juga dikenali sebagai Kongres Lausanne, para perwakilan membahaskan persoalan mengenai pemilikan harta, dan meluluskan resolusi yang menyokong pemilikan negara terhadap pengangkutan dan pasaran pertukaran mata wang untuk memecahkan penguasaan syarikat-syarikat besar terhadap institusi-institusi itu. Kongres Lausanne juga meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa “pembebasan sosial pekerja adalah tidak boleh dipisahkan daripada pembebasan politik mereka”.

Dalam Kongres Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Ketiga yang diadakan pada bulan September 1868 di Brussel, Belgium, juga dikenali sebagai Kongres Brussel, para perwakilan meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa lombong, kuari, landasan kereta api dan tanah pertanian harus dijadikan harta milik bersama masyarakat. Golongan kolektivis yang memperjuangkan pemilikan bersama itu dipimpin oleh César De Paepe (1841-1890), seorang doktor yang berasal dari Belgium.

Sejak awal lagi, Karl Marx dan Friedrich Engels terlibat secara aktif dalam perbahasan untuk kejelasan politik dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa dengan hasrat mengorientasikannya ke arah usaha perjuangan pembebasan diri kelas pekerja. Hanya segelintir kecil dalam kalangan perwakilan dari Jerman dan Belgium mendukung idea-idea komunis yang dibawa oleh Marx dan Engels semasa Kongres Geneva pada tahun 1866. Pengaruh golongan kolektivis, yang termasuk golongan komunis, bertambah dalam Kongres Lausanne pada tahun 1867 dan berjaya meluluskan usul yang memiliknegarakan sumber-sumber pengeluaran dalam Kongres Brussel pada tahun 1868. Namun, golongan Proudhoniste yang dipimpin oleh Henri Tolain masih menentang pemilikan sosial terhadap tanah.

Perwakilan yang menghadiri Kongres Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Keempat yang diadakan di Basel, Switzerland, pada 6-12 September 1869.

Golongan Proudhoniste atau golongan mutualis akhirnya ditewaskan dalam Kongres Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Keempat yang diadakan pada 6-12 September 1869 di Basel, Switzerland, juga dikenali sebagai Kongres Basel, apabila para perwakilan meluluskan resolusi yang menghapuskan pemilikan persendirian terhadap tanah dan menjadikan tanah itu harta bersama. Resolusi yang dibawa oleh golongan kolektivis (yang dipimpin oleh Marx) itu dapat diluluskan kerana ia mendapat sokongan daripada golongan anarkis kolektivis yang diterajui oleh Mikhail Bakunin (1814-1876).

Mikhail Bakunin, seorang revolusioner anarkis dari Rusia, mula menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa pada tahun 1868. Walaupun Bakunin dan penyokong-penyokongnya bersetuju dengan golongan komunis pimpinan Karl Marx tentang keperluan untuk pemilikan kolektif terhadap harta, mereka mempunyai perbezaan pandangan yang besar dalam persoalan mengenai negara dan tindakan politik. Bakunin mendukung penghapusan negara dan segala bentuk kekuasaan politik sepenuhnya, kerana dia menganggap negara itu adalah bersifat menindas secara semula jadi. Bakunin menolak konsep “pemerintahan proletar” atau “negara pekerja” yang dibawa oleh golongan komunis, kerana ia dianggap akan menjelma ke dalam bentuk tirani yang baharu. Bakunin juga berpandangan bahawa perubahan masyarakat tidak boleh dilakukan melalui tindakan politik yang tersusun dan diterajui oleh sebuah organisasi yang teratur, tetapi melalui naluri revolusioner massa secara spontan.

Mikhail Bakunin (1814-1876)

Pada bulan 1868, Mikhail Bakunin bersama 79 orang anarkis menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Perikatan Demokrasi Sosialis Antarabangsa (Alliance Internationale de la Démocratie Socialiste, singkatan AIDS). AIDS cuba memohon untuk menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa sebagai sebuah badan bersekutu, tetapi permohonan itu ditolak oleh Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa pada bulan Disember 1868, atas alasan organisasi antarabangsa lain tidak boleh menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang sudah memainkan peranan sebagai sebuah organisasi antarabangsa. Walaupun AIDS dibubarkan secara rasminya tidak lama kemudian pada bulan Mac 1869, cabang-cabangnya diterima sebagai cawangan biasa dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa, dan jaringan rahsia AIDS itu masih terus berfungsi dengan tujuan mengembangkan pengaruh idea-idea anarkis kolektivis dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa.

Dalam Kongres Basel pada tahun 1869, walaupun resolusi mengenai pemilikan bersama terhadap tanah itu dapat diluluskan kerana kedua-dua golongan penyokong Marx dan Bakunin mengambil pendirian di pihak yang sama, perbezaan pandangan timbul dalam persoalan mengenai hak  pewarisan harta. Bakunin mendukung penghapusan serta-merta dan sepenuhnya hak pewarisan harta sebagai prasyarat untuk perubahan sosial; sementara Marx berhujah bahawa penghapusan hak pewarisan merupakan hasil daripada penghapusan harta milik persendirian, bukannya punca, dan mencadangkan langkah-langkah peralihan seperti meningkatkan cukai pewarisan harta. Usul Bakunin mengenai hak pewarisan harta mendapat 32 undi sokong, 23 undi tolak dan 13 undi berkecuali, dengan itu gagal mencapai undian majoriti dalam kalangan delegasi Kongres. Usul Marx yang dibawa melalui Majlis Agung pula ditewaskan dengan 19 undi sokong, 37 undi tolak dan 6 undi berkecuali. Keputusan pengundian itu dianggap sebagai kemenangan Bakunin dan penyokong-penyokongnya walaupun usulnya tidak dapat diluluskan.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Eugène Varlin (1838-1871), seorang anggota Internasional Pertama, selepas ditangkap berikutan penumpasan Komun Paris secara ganas, di Montmartre, Paris, pada 28 Mei 1871.  (ilustrasi: Maximilien Luce, ~1918)

Kekuatan Kesatuan Pekerja Antarabangsa mencapai kemuncaknya selepas Kongres Basel. Jumlah keahlian Kesatuan Pekerja Antarabangsa dianggarkan mencecah hampir 450,000 orang menjelang tahun 1870. Cabang-cabang Kesatuan Pekerja Antarabangsa terlibat dalam gelombang mogok pekerja yang melanda Eropah pada masa itu, dengan menawarkan sokongan kewangan dan organisasi kepada pekerja-pekerja yang bermogok. Oleh itu, Kesatuan Pekerja Antarabangsa semakin mendapat sambutan dalam kalangan kelas pekerja di Eropah.

Apabila tercetusnya Perang Perancis-Prusia pada bulan Julai 1870, Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa mengeluarkan kenyataan yang mengecam perang itu sebagai “perang dinasti”, dan menyeru golongan pekerja di Perancis dan Jerman untuk menentang kerajaan mereka masing-masing. Walaupun Kesatuan Pekerja Antarabangsa tidak menerajui pemberontakan rakyat Paris yang membawa kepada pembentukan Komun Paris pada bulan Mac 1871, anggota-anggotanya di Paris telah memainkan peranan yang penting dalam Komun Paris. Kira-kira satu pertiga daripada anggota-anggota Majlis Komun Paris merupakan anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa, termasuk Charles Beslay (1795-1878), Eugène Pottier (1816-1887), Eugène Varlin (1838-1871), Benoît Malon (1841-1893) dan Leó Frankel (1844-1896). Eugène Pottier menulis lirik lagu “L’Internationale” selepas Komun Paris dipatahkan oleh kerajaan Perancis pada bulan Mei 1871, dan lagu itu kemudiannya menjadi lagu perjuangan yang sering dinyanyikan oleh golongan anarkis, golongan demokrat sosial, golongan sosialis serta golongan komunis. Eugène Varlin dibunuh selepas dia ditangkap oleh tentera kerajaan Perancis pada 28 Mei 1871. Anggota-anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa merupakan golongan minoriti dalam Majlis Komun yang mendukung pembaharuan sosioekonomi dan membantah golongan majoriti Neo-Jacobin-Blanquiste yang memfokus pada langkah-langkah politik serta ketenteraan.

Pengumuman keputusan pilihan raya Komun Paris di Hôtel de Ville pada 28 Mac 1871. (ilustrasi: Auguste Lamy, 1871)

Selepas Komun Paris ditumpaskan secara ganas oleh kerajaan borjuis Perancis, Karl Marx menulis sebuah risalah bagi pihak Kesatuan Pekerja Antarabangsa, dengan judul “Perang Saudara di Perancis”, yang diterbitkan pada bulan Jun 1871. Dalam tulisan itu, Karl Marx menyatakan bahawa Komun Paris merupakan contoh “kediktatoran proletariat” (ataupun “pemerintahan kelas pekerja”) yang pertama dalam sejarah, dan “pelopor agung untuk sebuah masyarakat baharu”.

Namun, apabila Kesatuan Pekerja Antarabangsa lantang bersuara dengan nada yang radikal untuk mempertahankan Komun Paris, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja British menjadi lebih konservatif. Mereka ditakuti dengan serangan kerajaan borjuis ke atas Komun Paris yang revolusioner dan penyokong-penyokong Komun Paris, terutamanya anggota-anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Mereka menjauhi diri daripada Kesatuan Pekerja Antarabangsa, malah ada yang terus menarik diri. Gerakan pekerja Perancis dilumpuhkan sepenuhnya selepas penumpasan Komun Paris. Gerakan kelas pekerja di Jerman pula mengalami penindasan daripada pihak berkuasa dengan beberapa orang pemimpin dipenjarakan kerana membantah Perang Perancis-Prusia. Walau bagaimanapun, Kesatuan Pekerja Antarabangsa telah memberi bantuan, dari segi kewangan dan sumber, kepada golongan revolusioner yang melarikan diri dari Perancis selepas kejatuhan Komun Paris.

Perpecahan dalaman Kesatuan Pekerja Antarabangsa menjadi semakin ketara berikutan kejatuhan Komun Paris, terutamanya berkisar pada konflik ideologi antara Karl Marx dan Mikhail Bakunin. Pengalaman Komun Paris itu memperkukuhkan pandangan Marx tentang keperluan untuk mewujudkan sebuah parti politik kelas pekerja yang bebas untuk menawan kuasa negara.

Persidangan khas Kesatuan Pekerja Antarabangsa, yang diadakan di London pada 17-23 September 1871, meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa kelas pekerja harus menubuhkan sebuah parti politik yang berbeza daripada semua parti politik lama yang dikuasai oleh kelas pemilik harta. Resolusi itu ditolak oleh golongan anarkis yang dipimpin oleh Mikhail Bakunin. Golongan anarkis juga tidak berpuas hati dengan resolusi itu diluluskan dalam sebuah persidangan jawatankuasa yang tertutup dan bukannya dalam kongres terbuka. Golongan anarkis menubuhkan Persekutuan Jura (Fédération jurassienne) yang mengecam doktrin “autoritarian” yang kononnya ditegakkan oleh Marx dan menyeru untuk menggantikan Majlis Agung yang memusatkan kuasa dengan sebuah persekutuan bebas kumpulan-kumpulan berautonomi.

Terdapat sekumpulan orang mengejek dan menghina golongan Marxis di luar tempat persidangan Kongres Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Kelima yang diadakan di Den Haag, Belanda, pada bulan September 1872. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 2-7 September 1872, Kongres Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Kelima diadakan di Den Haag, Belanda, maka dikenali sebagai Kongres Den Haag. Ia merupakan kongres terbuka pertama Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang diadakan selepas Perang Perancis-Prusia. Mikhail Bakunin sendiri tidak menghadiri kongres itu, tetapi sekutu rapatnya James Guillaume (1844-1916), seorang anarkis dari Switzerland, berada di situ. Majoriti perwakilan dalam kongres itu berpendirian sehaluan dengan Karl Marx. Kongres Den Haag mengesahkan resolusi yang diluluskan dalam Persidangan London mengenai tindakan politik, iaitu “pembentukan kelas pekerja ke dalam sebuah parti politik adalah amat diperlukan untuk memastikan kejayaan revolusi sosial dan matlamat utamanya – penghapusan kelas”.

Golongan anarkis yang merupakan minoriti dalam kongres itu cuba menyekat kelulusan usul-usul yang tidak dipersetujui mereka. Mereka yang menyokong Marx mengundi untuk memecat golongan anarkis daripada Kesatuan Pekerja Antarabangsa, termasuk Bakunin yang tidak hadir dalam kongres itu. Sebagai tindak balas, cabang-cabang Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang dikuasai oleh golongan anarkis bertungkus lumus untuk menganjurkan kongres yang bersidang di Saint-Imier, Switzerland, pada 15-16 September 1872, dan menyatakan bahawa merekalah merupakan Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang sebenar, dikenali sebagai Internasional Anti-Autoritarian. Dengan itu, Kesatuan Pekerja Antarabangsa berpecah kepada dua, tetapi kedua-duanya tidak bertahan lama.

Kongres Den Haag telah mengundi untuk memindahkan ibu pejabat Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa dari London ke Bandar Raya New York. Walaupun golongan penyokong Marx berjaya menguasai Kesatuan Pekerja Antarabangsa, seluruh organisasi telah dilemahkan secara ketara kerana perpecahan hebat itu. Majlis Agung yang dipimpin oleh Friedrich Sorge (1828-1906), seorang tokoh sosialis Jerman yang berhijrah ke New York selepas diusir oleh kerajaan-kerajaan di Eropah, kehilangan pengaruhnya dengan cepat. Di Jerman, golongan kiri mengalihkan perhatian mereka kepada usaha membina organisasi Parti Demokratik Sosial Jerman yang ditubuhkan pada tahun 1875. Di Britain, kebanyakan pemimpin kesatuan sekerja beralih ke arah reformisme liberal.

Carlo Cafiero (1846-1892), pemimpin cabang Itali bagi Internasional Pertama yang mengalihkan pendiriannya daripada Marxisme kepada anarkisme dan menyertai Kongres Saint-Imier pada bulan September 1872 yang menubuhkan Internasional Anti-Autoritarian.

Kongres Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Keenam diadakan di Geneva, Switzerland, pada 7-13 September 1873, tetapi kehadirannya amat mengecewakan dan para perwakilan juga kehilangan semangat untuk menggerakkan Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Dalam Kongres Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang Ketujuh yang diadakan di Philadelphia, Amerika Syarikat, pada 15 Julai 1876, para perwakilan mengundi untuk membubarkan pertubuhan itu.

Internasional Anti-Autoritarian yang ditubuhkan oleh penyokong-penyokong Bakunin pula tidak aktif kerana golongan anarkis yang menganggotainya menumpukan perhatian mereka kepada isu-isu tempatan di negara masing-masing. Walaupun Internasional Anti-Autoritarian mengadakan kongresnya di Geneva pada tahun 1873, di Brussel pada tahun 1874, di Bern pada tahun 1876 dan di Verviers pada tahun 1877, ia tidak lagi berfungsi selepas tahun 1877. Dengan itu, cubaan pertama untuk menggabungkan semua kekuatan kelas pekerja di Eropah di bawah sebuah panji yang sama akhirnya menemui kegagalan.

Kerja 8 jam sehari

Mengurangkan jam kerja sehari tanpa mengurangkan upah harian merupakan salah satu tuntutan ekonomi yang utama bagi gerakan kelas pekerja pada abad ke-19. Mengurangkan jam kerja itu tidak mengubah sifat eksploitatif sistem kapitalis. Pekerja yang mempunyai lebih banyak masa berehat dalam sehari bermakna dia akan mempunyai lebih banyak tenaga untuk bekerja pada hari keesokannya, maka dapat meningkatkan produktiviti buruhnya tanpa menjejaskan kesihatannya. Oleh itu, pengurangan jam kerja sehari hanya satu tuntutan reformis yang agak moderat. Walaupun begitu, ia memerlukan perjuangan yang hebat untuk merealisasikan tuntutan pengurangan jam kerja sehari itu. Walaupun pengurangan jam kerja sehari itu sesuatu yang bersifat reformis, ia boleh memberi kesan positif yang penting kepada peningkatan taraf hidup pekerja dan mewujudkan keadaan baharu untuk memajukan perjuangan pembebasan pekerja.

Robert Owen merupakan salah seorang tokoh sosialis yang paling awal mengajukan idea pengurangan jam kerja sehari. Pada tahun 1810, Robert Owen mengemukakan tuntutan kerja 10 jam sehari. Oleh sebab Owen merupakan seorang pemilik kilang, dia turut melaksanakan sistem kerja 10 jam sehari bagi pekerja-pekerja yang diupahnya di kilang tekstil di New Lanark, daerah Lanarkshire, yang terletak kira-kira 40 km di tenggara Glasgow, Scotland, Britain. Menjelang tahun 1817, Owen mengubah suai matlamatnya kepada kerja 8 jam sehari. Owen mengemukakan slogan “kerja 8 jam, rekreasi 8 jam, rehat 8 jam”. Slogan itu kemudian menjadi laungan pekerja yang popular dalam perjuangan menuntut pengurangan jam kerja.

Hasil daripada desakan gerakan pekerja di Britain, Akta Kilang 1833 yang diluluskan oleh Parlimen British telah melarang pengupahan buruh kanak-kanak berumur kurang daripada 9 tahun (kecuali kilang sutera) dan mengehadkan jam kerja sehari bagi kanak-kanak yang bekerja di dalam kilang, tetapi sangat mengecewakan mereka yang memperjuangkan pelarangan sepenuhnya penggunaan buruh kanak-kanak dan pengurangan jam kerja sehari. Akta itu menetapkan bahawa kanak-kanak berumur 9-13 tahun hanya boleh bekerja selama 8 jam sehari, dan mereka yang berumur 14-18 tahun boleh bekerja maksimum 12 jam sehari. Akta Kilang 1833 merupakan satu penghinaan kepada golongan pekerja di Britain. Oleh itu, selain tuntutan politik untuk memperluaskan hak mengundi dalam kalangan lelaki dewasa, pemimpin-pemimpin pekerja yang menganjurkan Gerakan Piagam Rakyat di Britain juga menuntut pengurangan jam kerja sehari dan peningkatan upah pekerja.

Samuel Duncan Parnell (1810-1890) (foto: Henry Charles Clarke Wright, Jun 1890)

Samuel Duncan Parnell (1810-1890), seorang tukang kayu yang berasal dari London dan berpindah pada tahun 1840 ke New Zealand, yang merupakan sebahagian daripada Jajahan New South Wales di bawah Empayar British pada masa itu, mengemukakan syarat bahawa dia tidak akan bekerja lebih 8 jam sehari apabila dia diupah untuk membina sebuah kedai bagi seorang pedagang yang bernama George Hunter (1788-1843), yang bakal menjadi datuk bandar Wellington. George Hunter pada awalnya teragak-agak untuk menerima syarat, tetapi Samuel Duncan Parnell berkata, “Kita diberikan dua puluh empat jam sehari; lapan jam daripadanya harus bekerja, lapan jam untuk tidur, dan baki lapan jam lagi untuk rekreasi serta untuk manusia melakukan sedikit perkara yang mereka inginkan untuk diri mereka sendiri. Saya bersedia untuk mula bekerja hari esok pagi pada pukul lapan, tetapi ia mestilah dengan syarat-syarat ini atau tidak sama sekali.” Kenyataan itu adalah sehaluan dengan slogan Robert Owen “kerja 8 jam, rekreasi 8 jam, rehat 8 jam”. Oleh sebab kekurangan pekerja mahir di New Zealand pada masa itu, George Hunter terpaksa menerima syarat yang dikemukakan oleh Samuel Duncan Parnell.

Samuel Duncan Parnell bukan sekadar berjaya merundingkan syarat kerja 8 jam sehari bagi dirinya sendiri. Dia memberitahu semua migran baharu yang sampai di Wellington supaya jangan bekerja lebih daripada 8 jam sehari. Sebuah perjumpaan tukang-tukang kayu yang diadakan di Wellington pada bulan Oktober 1840 memutuskan bahawa semua pekerja hanya perlu bekerja 8 jam sehari, dalam tempoh dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, sementara sesiapa yang menerima jam kerja lebih panjang daripadanya akan dibuang ke dalam pelabuhan.

Di Auckland, hasil daripada kempen pekerja yang dipimpin oleh William Griffin (1811-1870), seorang pelukis yang pernah menyertai Gerakan Piagam Rakyat di Britain sebelum berhijrah ke New Zealand, kerja 8 jam sehari bagi pekerja-pekerja pembinaan berkuat kuasa mulai 1 September 1857. Dengan itu, amalan kerja 8 jam mula menjadi kebiasaan di New Zealand, dan usaha pihak berkuasa untuk mengenakan jam kerja yang lebih panjang sentiasa ditentang oleh golongan pekerja yang bersedia untuk bermogok.

Perarakan untuk kerja 8 jam sehari oleh pekerja-pekerja lombong di Wyalong, Jajahan New South Wales, Australia, pada penghujung tahun 1890-an.

Di Australia, sebuah lagi tanah jajahan British di bahagian selatan Lautan Pasifik, berlakunya “kerubut emas” atau “demam emas” di situ mulai tahun 1851, dengan ramai pelombong berpindah dari merata tempat ke kawasan-kawasan Australia yang ditemui emas. Australia pada awalnya hanya sebuah jajahan tahanan bagi Empayar British, tetapi kemasukan migran dalam jumlah yang besar kerana kerubut emas telah mengubah demografi tanah jajahan itu secara ketara. Sesetengah pekerja yang berhijrah dari Britain ke Australia pernah menyertai Gerakan Piagam Rakyat, maka menjadi perintis kepada perjuangan pekerja di Australia untuk memperbaiki keadaan tempat kerja dan kehidupan pekerja.

Bandar-bandar seperti Sydney, ibu kota Jajahan New South Wales, telah mengalami pertumbuhan penduduk yang cepat kerana kerubut emas pada awal tahun 1850-an. Banyak bangunan dibina di bandar-bandar itu, tetapi permintaan untuk buruh mahir dalam sektor pembinaan adalah tinggi. Pada 18 Ogos 1855, Persatuan Tukang Batu di Sydney mengemukakan ultimatum kepada golongan majikan di situ yang menyatakan bahawa tukang-tukang batu yang bekerja dalam sektor pembinaan hanya akan bekerja selama 8 jam sehari selepas tempoh enam bulan.

Tukang-tukang batu yang bekerja di tapak pembinaan dua buah bangunan gereja di Sydney memutuskan untuk tidak menunggu sehingga enam bulan, dan mereka terus melancarkan aksi mogok yang akhirnya memaksa pihak majikan mereka untuk bersetuju dengan pelaksanaan kerja 8 jam sehari. Mereka meraikan kejayaan itu dengan menganjurkan sebuah majlis makan malam pada 1 Oktober 1855 yang jatuh pada hari Isnin. Sejak itu, hari Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun disambut sebagai Hari Buruh di negeri New South Wales, Australia.

Apabila ultimatum enam bulan yang dikeluarkan oleh Persatuan Tukang Batu tamat pada bulan Februari 1856, golongan majikan yang belum melaksanakan kerja 8 jam sehari itu enggan berbuat demikian. Pekerja-pekerja di tapak pembinaan sebuah kilang bir melancarkan mogok yang berlarutan selama dua minggu, dan akhirnya berjaya memaksa pihak majikan untuk melaksanakan kerja 8 jam sehari mulai awal bulan Mac 1856, tetapi upah harian mereka telah dikurangkan seiring dengan pengurangan jam kerja sehari.

Tuntutan untuk kerja 8 jam juga dibawa oleh golongan pekerja pembinaan di Melbourne, ibu kota Jajahan Victoria yang terletak di selatan New South Wales. Kesatuan-kesatuan sekerja di situ lebih militan berbanding Sydney. Pada 21 April 1856, tukang-tukang batu yang bekerja di tapak pembinaan Universiti Melbourne berpakat untuk bermogok, dan berarak secara beramai-ramai ke Bangunan Parlimen Victoria bersama-sama dengan pekerja-pekerja pembinaan yang lain untuk menyampaikan tuntutan mereka, iaitu kerja 8 jam sehari.

Sepanduk dengan tulisan “Kerja 8 Jam, Rekreasi 8 Jam, Rehat 8 Jam” yang digantung di Melbourne, Jajahan Victoria, Australia, pada tahun 1856.

Gerakan menuntut kerja 8 jam sehari di Melbourne dipimpin oleh Thomas Walter Vine (1796-1882), James Stephens (1821-1889) dan James Gilvray Galloway (1828-1860). Mereka merupakan pendukung Gerakan Piagam Rakyat di Britain sebelum berhijrah ke Australia. Thomas Walter Vine ialah seorang tukang kayu yang pernah menyertai Tentera Laut Diraja British dan mengambil bahagian dalam operasi menyekat perdagangan hamba. Thomas Walter Vine menganjurkan perjumpaan tukang-tukang kayu di Melbourne dan meluluskan usul yang menyokong tukang-tukang batu dalam tuntutan mereka untuk pelaksanaan kerja 8 jam sehari. Thomas Walter Vine juga memainkan peranan dalam menubuhkan Persatuan Progresif Tukang Kayu dan Tukang Sambung Kayu Melbourne. James Stephens ialah seorang tukang batu yang berasal dari Wales dan pernah menyertai Pemberontakan Newport pada tahun 1839. James Gilvray Galloway pula merupakan seorang tukang batu yang berasal dari Scotland.

Aksi mogok besar-besaran pada bulan April 1856 itu berjaya memaksa kerajaan Victoria untuk bersetuju bahawa pekerja-pekerja yang diupah dalam kerja pembinaan harus menikmati kerja 8 jam sehari tanpa pengurangan upah harian. Tukang-tukang batu dan pekerja-pekerja lain di Melbourne meraikan kejayaan itu dengan bercuti sehari dan mengadakan perarakan jalanan pada 12 Mei 1856, yang jatuh pada hari Isnin. Menjelang tahun 1860, sistem kerja 8 jam sehari dan 48 jam seminggu telah diamalkan secara meluas di Jajahan Victoria. Pada tahun 1874, kontrak kerajaan Victoria untuk kerja pembinaan menetapkan 8 jam sebagai hari kerja yang sah. Akan tetapi, masih terdapat ramai pekerja di luar sektor pembinaan, termasuk wanita dan kanak-kanak, tidak menikmati hak kerja 8 jam sehari. Walau bagaimanapun, kejayaan perjuangan pekerja pembinaan di Melbourne memberi dorongan kepada pekerja-pekerja lain di Australia untuk terus berorganisasi dalam usaha menuntut pelaksanaan kerja 8 jam bagi semua pekerja. Pada tahun 1916, iaitu 60 tahun selepas pekerja-pekerja pembinaan di Melbourne memenangi kerja 8 jam sehari, Akta Lapan Jam diluluskan di Victoria dan New South Wales, maka semua pekerja di kedua-dua buah negeri itu menikmati hak kerja 8 jam sehari.

Monumen Hari Kerja Lapan Jam di Melbourne, negeri Victoria, Australia.

Kerja 8 jam sehari merupakan salah satu kejayaan besar gerakan kelas pekerja di Australia pada abad ke-19. Perjuangan itu menunjukkan bahawa golongan pekerja boleh memperbaiki keadaan tempat kerja dan kualiti kehidupan mereka, jika mereka dapat berorganisasi dan bermobilisasi secara berkesan. Gerakan kesatuan sekerja Australia bertumbuh daripada usaha kempen kerja 8 jam sehari.

Di Amerika Syarikat, tukang-tukang kayu di Philadelphia, negeri Pennsylvania, bermogok pada tahun 1791 untuk menuntut pengurangan jam kerja kepada 10 jam sehari dan bayaran tambahan bagi kerja lebih masa. Walaupun tuntutan golongan tukang kayu itu tidak tercapai, pengurangan jam kerja sehari telah menjadi tuntutan umum dalam kalangan pekerja-pekerja di Amerika Syarikat menjelang tahun 1830-an.

Tukang-tukang kayu di Boston, negeri Massachusetts, bermogok pada tahun 1825 dan 1832, untuk menuntut kerja 10 jam sehari. Namun, aksi mogok itu gagal mengurangkan jam kerja sehari. Pada tahun 1835, tukang-tukang kayu di Boston bermogok sekali lagi untuk menuntut kerja 10 jam sehari, dan aksi mogok mereka turut disertai oleh tukang-tukang batu dan pekerja-pekerja pemahat batu. Pekerja-pekerja yang bermogok itu memilih Seth Luther (1795-1863), seorang tukang kayu yang berasal dari Providence, negeri Rhode Island, dan dua orang lagi pekerja sebagai pemimpin mereka. Pekerja-pekerja Boston menerbitkan surat pekeliling yang menyatakan tuntutan mereka pada 8 Mei 1835.

“Kami telah terlalu lama tertakluk di bawah sistem yang menjijikkan, zalim, tidak adil dan tirani yang mekanik yang beroperasi untuk menghabiskan tenaga fizikal dan mentalnya dengan kerja keras yang berlebihan, sehingga dia tidak mempunyai keinginan selain makan dan tidur, dan dalam banyak keadaan dia tidak mempunyai tenaga untuk melakukan kedua-duanya akibat kelemahan yang melampau,” begitu tulisnya surat pekeliling pekerja Boston. “Kami mempunyai hak, dan kami mempunyai kewajipan yang harus dilaksanakan sebagai Warganegara Amerika dan anggota masyarakat, yang melarang kami daripada menghabiskan lebih daripada Sepuluh Jam untuk kerja sehari. Kami tidak boleh, dan kami tidak akan lagi menjadi hamba kepada kerakusan yang tidak berperikemanusiaan, tidak pernah puas dan tidak berbelas kasihan. Kami telah mengambil pendirian yang teguh dan tegas, untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap hak-hak tersebut untuk membolehkan kami melaksanakan tanggungjawab kami kepada Tuhan, Negara kita dan diri kita sendiri.”

Semasa menjalankan permogokan, pekerja-pekerja Boston menghantar sebuah rombongan untuk meminta bantuan daripada pekerja-pekerja di bandar-bandar lain. Walaupun mogok tukang pembinaan di Boston akhirnya menemui kegagalan, surat pekeliling yang diedarkannya telah memberi motivasi kepada pekerja-pekerja di Philadelphia, negeri Pennsylvania, untuk melancarkan mogok mereka sendiri.

Pada bulan Jun 1835, pekerja-pekerja di Philadelphia melancarkan mogok umum yang pertama di Amerika Utara. Kira-kira 20,000 orang pekerja yang bermogok menuntut kerja 10 jam sehari dan peningkatan upah. Aksi mogok umum itu dimulakan oleh golongan pekerja imigran Ireland yang bekerja sebagai pengangkut arang batu di dermaga arang batu sepanjang Sungai Schuylkill. Pekerja-pekerja pengangkut arang batu yang bermogok itu mendapat inspirasi daripada aksi mogok di Boston. Tidak lama kemudian, mogok itu turut disertai oleh pekerja-pekerja daripada sektor-sektor lain, termasuk tukang kulit, tukang percetakan, tukang kayu, tukang batu, tukang penurap bata, tukang cat, tukang pembuat roti dan pekerja perbandaran. Tuntutan utama yang dikemukakan oleh pekerja-pekerja yang bermogok ialah: dari jam 6 pagi hingga jam 6 petang, 10 jam untuk bekerja, dan 2 jam untuk makan. Seluruh bandar Philadelphia lumpuh kerana aksi mogok pekerja yang hebat itu.

Kain rentang yang digunakan semasa Mogok Umum Philadelphia 1835 untuk menuntut kerja 10 jam sehari,  jam 6 pagi hingga jam 6 petang, dengan 2 jam rehat. (grafik: Van Schoick, J. A.; Journeymen House Carpenters’ Association of Philadelphia)

Pada 6 Jun 1835, sebuah perjumpaan besar yang disertai oleh golongan pekerja, peguam, doktor dan beberapa orang peniaga di Philadelphia, meluluskan resolusi yang memberi sokongan penuh kepada tuntutan pekerja. Mereka juga menyokong peningkatan upah bagi pekerja wanita dan memboikot mana-mana pedagang arang batu yang mengenakan pekerja-pekerja upahannya bekerja lebih daripada 10 jam sehari. Pada 22 Jun 1835, pihak berkuasa bandar Philadelphia melaksanakan sistem kerja 10 jam sehari dan meningkatkan upah pekerja.

Berita tentang kejayaan Mogok Umum Philadelphia 1835 disebarkan kepada bandar-bandar lain di Amerika Syarikat dan memberi rangsangan kepada pekerja-pekerja lain. Pada bulan Ogos 1836, sebuah jawatankuasa mekanik di limbungan tentera laut di Philadelphia menulis sepucuk surat kepada Andrew Jackson (1767-1845), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, dengan rayuan supaya sistem kerja 10 jam itu diperluaskan ke seluruh negara Amerika Syarikat.

Pada 24 Oktober 1836, Persatuan Tukang Kayu Philadelphia menganjurkan konvensyen kebangsaan tukang kayu yang bertemakan kempen menuntut kerja 10 jam sehari. Pada 31 Mac 1840, Martin Van Buren (1782-1862), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, mengeluarkan perintah eksekutif yang menetapkan kerja 10 jam sehari untuk semua projek kerajaan.

Menjelang tahun 1864, kerja 8 jam sehari telah menjadi tuntutan utama yang diperjuangkan oleh gerakan pekerja di Chicago, negeri Illinois, Amerika Syarikat. Pada awal tahun 1867, Perhimpunan Agung Illinois, iaitu badan perundangan negeri itu, meluluskan sebuah undang-undang yang mendukung kerja 8 jam sehari, tetapi ia mempunyai banyak kelemahan sehingga sebahagian besar peruntukan undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Pada 1 Mei 1867, pekerja-pekerja di Chicago melancarkan aksi mogok yang melumpuhkan ekonomi seluruh bandar itu selama seminggu. Namun, aksi mogok itu gagal dalam mencapai matlamat pelaksanaan kerja 8 jam sehari.

Kesatuan Pekerja Antarabangsa, atau Internasional Pertama yang ditubuhkan pada tahun 1864, menyatakan sokongannya kepada tuntutan kerja 8 jam sehari dalam Kongres Pertama yang diadakan pada tahun 1866. Dalam cadangan yang dikemukakan kepada Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa, Karl Marx menulis bahawa mengehadkan jam kerja sehari merupakan “syarat awal yang tanpanya semua percubaan selanjutnya untuk penambahbaikan dan pembebasan mesti gagal”.

“Ia diperlukan untuk memulihkan kesihatan dan tenaga fizikal kelas pekerja, iaitu golongan besar dalam setiap negara, dan menjamin bagi mereka kemungkinan untuk pembangunan intelek, pergaulan sosial dan tindakan sosial serta politik,” ulas Karl Marx. “Kami mencadangkan kerja 8 jam sebagai had hari bekerja yang sah di sisi undang-undang. Pengehadan ini secara amnya dituntut oleh pekerja-pekerja Amerika Syarikat. Pengundian Kongres ini akan mengangkatnya sebagai platform bersama kelas pekerja di seluruh dunia.”

“Corak pengeluaran kapitalis (yang pada asasnya pengeluaran nilai lebihan dan penyerapan buruh lebihan), melalui pemanjangan hari bekerja, bukan sahaja menghasilkan kemerosotan tenaga buruh manusia dengan merompak daripadanya keadaan pembangunan dan fungsi yang normal, dari segi moral dan fizikal. Ia juga menghasilkan keletihan dan kematian pramatang tenaga buruh itu sendiri. Ia memanjangkan masa pengeluaran buruh dalam sesuatu tempoh tertentu dengan memendekkan jangka hayatnya yang sebenar,” tulis Karl Marx dalam Das Kapital Jilid I (1867). Dalam erti kata lain, mengurangkan jam kerja sehari boleh membantu dalam melanjutkan jangka hayat pekerja.

Selepas perhambaan dihapuskan di Amerika Syarikat berikutan kemenangan pihak Kesatuan dalam Perang Saudara Amerika (1861-1865), gerakan pekerja Amerika Syarikat dapat diperluaskan ke lebih banyak tempat lagi di negara itu. Gerakan pekerja Amerika Syarikat juga memperhebatkan lagi usaha menuntut kerja 8 jam sehari. Organisasi-organisasi yang memperjuangkan kerja 8 jam sehari ditubuhkan di banyak tempat, dan dikenali sebagai Liga Lapan Jam (Eight-Hour League), untuk memperjuangkan pelaksanaan pembaharuan itu di peringkat bandar dan negeri masing-masing. Akhbar-akhbar yang mendukung perjuangan pekerja juga mula muncul di seluruh negara Amerika Syarikat. Kesatuan-kesatuan sekerja mengadakan konvensyen peringkat negeri, dan mengetengahkan tuntutan untuk mengurangkan jam kerja sehari tanpa mengurangkan upah harian.

Poster daripada Industrial Workers of the World (IWW) yang berkempen untuk kerja 8 jam pada tahun 1912.

Pada 20 Ogos 1866, dalam konvensyen penubuhan Kesatuan Buruh Kebangsaan (National Labor Union, singkatan NLU), persekutuan kesatuan sekerja yang pertama di Amerika Syarikat, yang diadakan di Baltimore, negeri Maryland, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang hadir meluluskan resolusi yang berbunyi, “Keperluan yang pertama dan terbesar pada masa kini, untuk membebaskan buruh negara ini daripada perhambaan kapitalis, ialah penggubalan sebuah undang-undang yang menetapkan 8 jam sebagai hari bekerja biasa di semua negeri dalam kesatuan Amerika. Kami bertekad untuk mengerahkan segala kekuatan kami sehingga hasil yang mulia ini tercapai.” Konvensyen itu juga memutuskan untuk mendukung tindakan politik yang berkaitan dengan usaha pelaksanaan kerja 8 jam sehari, di samping menyokong pemilihan wakil rakyat yang berjanji untuk mempertahankan dan mewakili kepentingan kelas pekerja perindustrian.

Pada 25 Jun 1868, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang kerja 8 jam sehari untuk pekerja-pekerja kerajaan persekutuan, tetapi mempunyai banyak perbatasan. Undang-undang itu menetapkan kerja 8 jam sehari untuk pekerja buruh kasar dan mekanik yang diupah oleh Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat. Andrew Johnson (1808-1875), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, cuba menggunakan kuasa vetonya untuk menolak undang-undang itu, tetapi undang-undang itu masih diluluskan selepas vetonya ditolak.

Pada 19 Mei 1869, Ulysses S. Grant (1822-1885), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu yang pernah menjadi ketua komander Tentera Kesatuan yang memenangi Perang Saudara Amerika pada tahun 1865, mengeluarkan proklamasi yang mengarahkan bahawa gaji yang dibayar kepada pekerja-pekerja yang diupah oleh kerajaan persekutuan tidak boleh dikurangkan apabila hari bekerja mereka dikurangkan kepada 8 jam. Namun begitu, masih terdapat banyak jabatan kerajaan yang mengurangkan upah harian apabila mengurangkan jam kerja sehari, dan tidak mempedulikan arahan Presiden yang tidak membenarkan pengurangan gaji.

Pada tahun 1870-an, jaringan Liga Lapan Jam menganjurkan pelbagai perhimpunan dan perarakan untuk menuntut kerja 8 jam sehari. Tuntutan untuk mengurangkan jam kerja sehari juga dibawa oleh golongan pekerja di Kanada. Tukang-tukang kayu di Hamilton, provinsi Ontario, Kanada, berjaya memperoleh kerja 9 jam sehari pada tahun 1872.

Pada tahun 1870, Dewan Perundangan Negeri New York meluluskan undang-undang yang menetapkan kerja 8 jam sehari bagi pekerja-pekerja yang diupah oleh kerajaan negeri atau kerajaan tempatan, tetapi tidak dikuatkuasakan secara tegas dan ia tidak merangkumi pekerja-pekerja dalam sektor swasta.

Pada awal bulan Mei 1872, pekerja-pekerja pembinaan di Bandar Raya New York mula mengadakan aksi mogok untuk menuntut kerja 8 jam sehari. Pekerja-pekerja pembuat perabot juga bermogok tidak lama kemudian. Oleh sebab kekurangan pekerja pada masa itu, sesetengah majikan agak cepat bersetuju dengan tuntutan pekerja yang bermogok. Perkembangan itu mendorong lebih ramai lagi pekerja untuk menyertai aksi mogok. Menjelang 25 Mei 1872, adalah dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 25,000 orang pekerja bermogok di Bandar Raya New York. Pada 10 Jun 1872, kira-kira 20,000 orang pekerja berarak di jalanan Bandar Raya New York dengan tuntutan kerja 8 jam sehari. Pada penghujung bulan Jun 1872, jumlah pekerja yang menyertai mogok di Bandar Raya New York mencecah lebih 100,000 orang.

Perarakan pekerja-pekerja yang bermogok untuk menuntut kerja 8 jam sehari di Bandar Raya New York, Amerika Syarikat, pada 10 Jun 1872. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Aksi mogok di Bandar Raya New York pada awalnya berjaya memenangi kerja 8 jam sehari bagi beberapa jenis pekerjaan, termasuk tukang penurap bata, tukang kayu, tukang batu, tukang cat, tukang plaster, tukang paip dan tukang pemahat batu. Namun, golongan pengilang besar enggan berkompromi, malah mengerahkan pasukan polis untuk mengawal pintu masuk kilang. Akhbar yang pro-majikan juga menerbitkan rencana yang memfitnah golongan pemogok sebagai orang yang menggunakan keganasan dan dipergunakan oleh penghasut kesatuan sekerja serta komunis.

Selepas sesetengah pekerja yang bermogok mula kembali bekerja, pihak berkuasa Bandar Raya New York melancarkan serangan terhadap golongan pekerja yang masih bermogok. Pasukan polis menyuraikan piket pekerja secara keras dan menyerang pekerja-pekerja dengan belantan. Golongan majikan juga meningkatkan usaha mereka dalam memecahkan kesatuan sekerja. Kebanyakan majikan membatalkan janji mereka untuk melaksanakan kerja 8 jam. Walaupun mogok pekerja di Bandar Raya New York pada tahun 1872 menemui kegagalan, ia mewujudkan duluan penting untuk aksi mogok yang menuntut kerja 8 jam sehari.

Perarakan menuntut kerja 8 jam sehari di Bandar Raya New York pada tahun 1872. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Peristiwa Haymarket

NLU dibubarkan selepas mengadakan konvensyennya yang terakhir pada tahun 1873, kerana kebanyakan anggotanya yang hanya mahu menumpukan usaha mereka dalam perjuangan ekonomi telah mengalihkan sokongan kepada “Kesatria Buruh” (Knights of Labor). Knights of Labor ditubuhkan pada tahun 1869 oleh Uriah Smith Stephens (1831-1882), seorang tukang jahit yang berasal dari Philadelphia, bersama-sama beberapa orang lagi. Knights of Labor ialah sebuah kesatuan yang terbuka kepada penyertaan semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan, kepercayaan dan warna kulit. Uriah Smith Stephens pada asalnya hendak mengorganisasi Knights of Labor sebagai sebuah pertubuhan rahsia.

Knights of Labor menjadi lebih tersusun apabila Terence Vincent Powderly (1849-1924) dipilih sebagai Ketua Agung Pekerja (Grand Master Workman), iaitu pemimpin utama kesatuan itu, pada tahun 1879 berikutan peletakan jawatan Uriah Smith Stephens yang tidak bersetuju dengan keputusan Perhimpunan Agung Knights of Labor yang menjadikan organisasi itu diketahui umum. Pemimpin-pemimpin Knights of Labor menolak fahaman sosialis dan anarkis yang lebih radikal, tetapi mereka mendukung gerakan menuntut kerja 8 jam sehari. Keanggotaan Knights of Labor mencecah 28,000 orang pada tahun 1880, dan meningkat kepada 100,000 orang pada tahun 1884. Menjelang tahun 1886, Knights of Labor mempunyai anggota seramai hampir 800,000 orang, bersamaan kira-kira 20% daripada jumlah pekerja di Amerika Syarikat. Di bandar Chicago sahaja, keanggotaan Knights of Labor mencecah kira-kira 27,000 orang pada tahun 1886.

Terence Powderly (1849-1924), pemimpin Knights of Labor.

Chicago, bandar terbesar di negeri Illinois, mula menjadi sebuah pusat perindustrian utama di Amerika Syarikat pada tahun 1860-an. Oleh itu, bandar itu juga menjadi pusat perjuangan kelas pekerja untuk keadaan kerja yang lebih baik. Namun, golongan majikan pula sering bertindak balas dengan langkah-langkah anti-kesatuan sekerja, seperti memecat pekerja yang menyertai kesatuan sekerja, menyenaraihitamkan ahli kesatuan sekerja, mengupah pengganti pemogok untuk memecahkan mogok pekerja, melakukan sekatan kerja terhadap pekerja, mengupah samseng untuk melindungi kepentingan majikan, dan mempergunakan ketegangan hubungan etnik untuk memecah-belahkan pekerja.

Gerakan sosialis dan anarkis agak berpengaruh di Chicago pada tahun 1880-an, dengan penyokong-penyokong mereka terdiri daripada pekerja-pekerja imigran dan pembaca-pembaca akhbar bahasa Jerman Arbeiter-Zeitung (Akhbar Pekerja) yang dikarang oleh Paul Grottkau (1846-1898) dan August Spies (1855-1887), imigran yang berasal dari Jerman. Arbeiter-Zeitung yang diasaskan pada tahun 1877 merupakan akhbar kelas pekerja yang pertama di Chicago. Pada tahun 1884, Albert Parsons (1848-1887), seorang aktivis buruh yang pernah menyertai Liga Lapan Jam Chicago, mengasaskan sebuah akhbar anarkis mingguan yang bernama The Alarm (Penggera).

Persekutuan Kesatuan-Kesatuan Sekerja dan Buruh yang Tersusun (Federation of Organized Trades and Labor Unions, singkatan FOTLU) yang ditubuhkan pada tahun 1881 di Pittsburgh, negeri Pennsylvania, meluluskan resolusi yang mendukung kerja 8 jam sehari dalam konvensyen penubuhannya. Konvensyen kebangsaan FOTLU yang diadakan pada bulan Oktober 1884 di Chicago meluluskan secara sebulat suara resolusi yang menetapkan 1 Mei 1886 sebagai tarikh pelaksanaan kerja 8 jam sehari di sisi undang-undang. FOTLU juga menyeru kesatuan-kesatuan sekerja untuk mengadakan aksi mogok pada 1 Mei 1886. Kepimpinan pusat Knights of Labor enggan menyokong seruan aksi mogok, tetapi banyak organisasi tempatan Knights of Labor, seperti di Chicago, Cincinnati dan Milwaukee, memutuskan untuk menyokong aksi mogok itu.   

Pada 1 Mei 1886, ratusan ribu orang pekerja di seluruh Amerika Syarikat mengadakan mogok dan berdemonstrasi di jalanan, dengan seruan seperti “kerja 8 jam sehari tanpa potongan upah” dan “8 jam untuk kerja, 8 jam untuk rehat, 8 jam untuk diri sendiri”. Dianggarkan kira-kira 300,000 hingga 500,000 orang pekerja bermogok di seluruh Amerika Syarikat. Kira-kira 10,000 orang pekerja berdemonstrasi di Bandar Raya New York, 11,000 orang di Detroit, dan 10,000 orang lagi di Milwaukee. Di Chicago, dianggarkan seramai 30,000 hingga 40,000 orang pekerja bermogok, dan jumlah yang berdemonstrasi di jalanan pula mencecah 80,000 orang.

Pekerja-pekerja di Chicago bermogok secara teratur dan tanpa keganasan. Aksi permogokan berterusan untuk beberapa hari. Pada 3 Mei 1886, dalam perhimpunan di luar sebuah kilang yang terletak di kawasan West Side, Chicago, August Spies menyeru pada pekerja-pekerja yang bermogok untuk bersatu dan menyokong kesatuan sekerja mereka supaya menjayakan perjuangan pekerja. Apabila loceng tamat hari kerja berbunyi di kilang itu, pekerja-pekerja yang bermogok bergegas ke pintu masuk kilang untuk berkonfrontasi dengan golongan pengganti pemogok yang diupah oleh pihak majikan. August Spies cuba menenangkan keadaan, tetapi pihak polis yang berjaga di situ terus melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Sekurang-kurangnya 2 orang pekerja ditembak mati dalam keadaan huru-hara.

Golongan anarkis di Chicago yang marah dengan tindakan ganas polis itu terus mencetak dan mengedarkan risalah yang menyeru untuk mengadakan sebuah perhimpunan di Dataran Haymarket, iaitu sebuah pusat komersial di bandar Chicago, pada hari keesokannya. Lebih 20,000 salinan risalah telah diedarkan.

Risalah dalam dua bahasa (bahasa Inggeris dan bahasa Jerman) yang memberitahu tentang perhimpunan untuk menyokong pekerja-pekerja yang bermogok pada 4 Mei 1886.

Pada 4 Mei 1886, ribuan orang berhimpun di Dataran Haymarket untuk membantah keganasan polis dan menegaskan tuntutan pekerja mengenai kerja 8 jam sehari. August Spies dan Albert Parsons berucap dalam perhimpunan itu pada waktu malam. Albert Parsons berpidato selama hampir sejam sebelum memberi laluan kepada Samuel Fielden (1847-1922), seorang paderi Methodis yang berasal dari England.

Sebaik sahaja Samuel Fielden selesai berucap, pasukan polis mula menggunakan kekerasan untuk menyuraikan orang ramai yang berhimpun di Dataran Haymarket. Dalam keadaan yang kecoh, tiba-tiba sebutir bom buatan sendiri dilontarkan ke arah polis dan meletup. Pihak polis terus melepaskan tembakan ke arah golongan demonstran. Terdapat demonstran yang membawa senjata telah membalas tembakan ke arah polis. Seramai 7 orang polis terbunuh, sementara sekurang-kurangnya 4 orang pekerja terbunuh, dan lebih 70 orang cedera. Pihak berkuasa dan media massa arus perdana memanggil peristiwa berdarah itu sebagai “Rusuhan Haymarket”.

Bom meletup semasa perhimpunan pekerja di Dataran Haymarket, Chicago, pada 4 Mei 1886. (ilustrasi: Thure de Thulstrup, 1886)

Pada 5 Mei 1886, militia kerajaan di Milwaukee, negeri Wisconsin, melepaskan tembakan ke arah pekerja-pekerja yang bermogok untuk kerja 8 jam sehari di situ dan membunuh 7 orang, termasuk seorang budak yang berumur 13 tahun.

Selepas Peristiwa Haymarket, pihak berkuasa yang bersekongkol dengan golongan kapitalis melakukan penindasan yang hebat terhadap kesatuan-kesatuan sekerja yang menuntut kerja 8 jam sehari. Pasukan polis Chicago menggeledah tempat-tempat aktiviti kesatuan sekerja dan menangkap ramai orang yang dikaitkan dengan Peristiwa Haymarket. Akhbar-akhbar arus perdana mendakwa bahawa golongan penghasut anarkis yang mencetuskan rusuhan di Chicago. Knights of Labor dan kesatuan-kesatuan sekerja yang lebih moderat dengan cepatnya memisahkan diri mereka daripada gerakan anarkis dan mengeluarkan kenyataan yang membantah penggunaan taktik keganasan dalam perjuangan kelas pekerja.

7 orang aktivis buruh yang ditangkap oleh pihak polis telah didakwa di mahkamah, termasuk August Spies dan Samuel Fielden. Albert Parsons, yang dapat mengelakkan diri daripada ditangkap polis pada awalnya, menyerah diri untuk bersolidariti bersama rakan-rakannya yang didakwa. Daripada 8 orang yang didakwa, hanya 2 orang berada di Haymarket pada ketika bom meletup, iaitu August Spies dan Samuel Fielden. Orang yang sebenarnya melontarkan bom di Haymarket itu tidak pernah didakwa di mahkamah.

7 orang yang dijatuhkan hukuman mati kerana Peristiwa Haymarket: (baris atas dari kiri) Albert Parsons, Samuel Fielden, Louis Lingg, (tengah-tengah) August Spies, (baris bawah dari kiri) Michael Schwab, George Engel, dan Adolph Fischer. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Mahkamah, yang dipengerusikan oleh seorang hakim yang menunjukkan permusuhan secara terbuka terhadap defendan-defendan, memutuskan 8 orang defendan itu bersalah, dengan 7 orang dihukum mati. Hanya Oscar Neebe (1850-1916) yang dapat melepaskan diri daripada hukuman mati dan dia dihukum penjara selama 15 tahun. Daripada 7 orang yang dikenakan hukuman mati, Samuel Fielden dan Michael Schwab (1853-1898) mendapat pengurangan hukuman kepada penjara seumur hidup. Louis Lingg (1864-1887), seorang tukang kayu yang berasal dari Jerman dan berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1885, membunuh diri sehari sebelum menjalani hukuman mati. 4 orang lain yang menjalani hukuman gantung sampai mati pada 11 November 1887 ialah Albert Parsons, August Spies, George Engel (1836-1887) dan Adolph Fischer (1858-1887). Neebe, Fielden dan Schwab mendapat pengampunan daripada Gabenor Illinois pada tahun 1893, selepas dipenjarakan selama 6 tahun.

Walaupun aksi mogok untuk kerja 8 jam sehari pada 1 Mei 1886 berakhir dengan tragedi berdarah, perjuangan kelas pekerja demi hak dan kesejahteraan mereka tidak pernah lenyap. Tarikh 1 Mei disambut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa pada hari ini. Tuntutan untuk kerja 8 jam sehari, atau kerja 48 jam seminggu, terus diperjuangkan dan tercapai di banyak tempat menjelang awal abad ke-20.

Perbicaraan terhadap 8 orang yang didakwa berkaitan dengan Peristiwa Haymarket di Chicago pada tahun 1886. (ilustrasi: Louis Gasselin)

Apabila Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ditubuhkan pada tahun 1919 sebagai agensi di bawah Liga Bangsa-Bangsa pada masa itu untuk menetapkan piawaian perburuhan antarabangsa, isu pertama yang dibincangkan oleh agensi antarabangsa itu ialah kerja 8 jam sehari. Konvensyen No. 1 ILO, iaitu Konvensyen Jam Kerja (Industri), telah menghadkan jam kerja kepada 8 jam sehari dan 48 jam seminggu, bagi sektor-sektor perusahaan seperti perlombongan, pembinaan, pembuatan dan pengangkutan. Jam kerja sehari dapat dikurangkan lagi di banyak negara hasil daripada perjuangan pekerja yang berterusan.

Kesatuan sekerja

Pekerja-pekerja perindustrian moden diupah untuk bekerja beramai-ramai di dalam kilang-kilang besar. Mereka tinggal di kawasan perumahan yang padat di bandar. Keadaan itu membolehkan golongan pekerja perindustrian moden mudah untuk dihimpunkan, maka mempunyai potensi besar untuk dibangunkan ke dalam gerakan massa yang teratur.

Pekerja-pekerja yang dieksploitasi teruk di bawah sistem ekonomi kapitalis berpotensi untuk bangkit melawan demi hak dan kesejahteraan mereka. Namun, penentangan pekerja secara bersendirian dan terasing biasanya tidak akan membuahkan hasil, malah mudah dipatahkan oleh pihak majikan yang memiliki modal besar. Oleh itu, organisasi pekerja menjadi alat penting untuk menghimpunkan kekuatan massa pekerja supaya memperjuangkan nasib pekerja secara kolektif.

Kesatuan sekerja, atau kesatuan buruh, ialah organisasi pekerja yang ditubuhkan untuk melindungi dan memajukan kesejahteraan hidup pekerja, seperti gaji yang lebih baik, jam kerja yang lebih pendek, keterjaminan kerja, penambahbaikan keadaan tempat kerja, penambahbaikan piawaian keselamatan tempat kerja dan penggubalan peraturan yang melindungi pekerja. Kesatuan sekerja memainkan peranan sebagai badan yang mewakili golongan pekerja dalam perundingan bersama (collective bargaining) dengan pihak majikan, untuk merundingkan kadar gaji, hak dan kebajikan pekerja. Perjanjian bersama (collective agreement) yang ditandatangani oleh kesatuan sekerja dan pihak majikan, hasil daripada perundingan bersama, merupakan kontrak terikat di sisi undang-undang yang mengawal selia keadaan kerja dan menjamin kebajikan pekerja. Kesatuan sekerja yang radikal boleh menjadi instrumen perjuangan yang penting dalam usaha pembebasan diri pekerja.

Terdapat beberapa bentuk kesatuan sekerja:

  • Kesatuan kraf (craft union): Kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja daripada jenis pekerjaan yang sama. Misalnya dalam sektor pembinaan, tukang kayu menganggotai Kesatuan Tukang Kayu, tukang batu menganggotai Kesatuan Tukang Batu, dan tukang cat menganggotai Kesatuan Tukang Cat.
  • Kesatuan perindustrian (industrial union): Kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja daripada sektor perusahaan yang sama, tanpa mengira jenis pekerjaan mereka dalam sektor itu. Misalnya dalam sektor pembinaan, semua tukang kayu, tukang batu dan tukang cat boleh menyertai Kesatuan Pekerja Pembinaan yang mengamalkan model kesatuan perindustrian. Kesatuan perindustrian membolehkan pekerja-pekerja dalam sesuatu sektor perusahaan itu mempunyai kuasa rundingan yang lebih besar dan lebih berkesan dalam mengadakan aksi mogok.
  • Kesatuan umum (general union): Kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja daripada semua sektor perusahaan dan tanpa mengira jenis pekerjaan mereka. Kesatuan umum memudahkan lagi solidariti merentasi sektor perusahaan.
Perarakan kelasi pada abad ke-19. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Kesatuan sekerja biasanya mempunyai perlembagaan bertulis yang menggariskan matlamat dan tatacara urus tadbir organisasi itu. Kesatuan sekerja boleh merundingkan perjanjian bersama dengan pihak majikan yang mengikat semua pihak, malah dalam sesetengah keadaan termasuk juga pekerja-pekerja bukan anggota kesatuan. Kesatuan sekerja boleh menjadi wakil kepada pekerja jika berlakunya pertikaian perusahaan yang melibatkan pekerja dan majikan. Di tempat yang wujudnya mekanisme perundingan “tiga pihak” (tripartisme) untuk menentukan dasar-dasar mengenai ekonomi dan perburuhan, kesatuan sekerja yang mewakili pihak pekerja itu boleh duduk bersama-sama pihak majikan yang diwakili oleh pertubuhan majikan dan pihak kerajaan yang biasanya diwakili oleh jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perburuhan.

Pada zaman pra-kapitalisme, wujudnya perseikatan tukang (trade guild), atau persatuan tukang, yang bertujuan untuk mentadbir urus komuniti pertukangan dan menyelia amalan pertukangan di sesuatu tempat demi melindungi kepentingan bersama golongan tukang. Perseikatan tukang biasanya menghimpunkan golongan tukang daripada kraf yang sama, seperti pertukangan kayu, pertukangan batu, pertukangan logam, pertukangan jahit dan sebagainya. Perseikatan tukang memainkan peranan dalam mengawal selia perniagaan pertukangan, menentukan kadar upah kerja, mengehadkan persaingan yang tidak sihat, menjaga kualiti kraf pertukangan yang dihasilkan dan melindungi kepentingan ekonomi anggota-anggotanya. Oleh itu, perseikatan tukang yang tersusun dengan baik boleh memonopoli sesuatu perusahaan di sesebuah tempat. Perseikatan tukang juga boleh dikatakan sebagai moyang kesatuan sekerja moden.

Kemunculan corak pengeluaran kapitalis perindustrian semakin menghakis peranan monopoli perseikatan tukang dalam pengeluaran sesuatu barangan. Peranan pengawalseliaan upah oleh perseikatan tukang di England telah dirampas seawal zaman pemerintahan Ratu Elizabeth I (1533-1603), apabila Parlimen Inggeris menggubal undang-undang perantis, seperti Statut Tukang Mahir 1563 (Statute of Artificers 1563). Undang-undang yang digubal sebagai respons kepada petisyen oleh golongan penenun yang menuntut upah yang lebih tinggi itu bertujuan untuk memastikan golongan pekerja mendapat upah yang setimpal dan mampu sara hidup.

Menjelang penghujung abad ke-18, dengan berlakunya Revolusi Perindustrian, semakin ramai tenaga kerja berhijrah dari kawasan pertanian luar bandar ke kawasan bandar perindustrian. Untuk menghadapi masalah di tempat kerja, seperti jam kerja yang lama (12-16 jam sehari), keadaan kerja yang berbahaya dan penggunaan buruh kanak-kanak, golongan pekerja mula menubuhkan organisasi-organisasi yang membela nasib mereka. Mereka menubuhkan “persatuan saling bantu-membantu” atau “persatuan persaudaraan” untuk cuba merundingkan syarat pekerjaan secara bersama dan memberi bantuan kepada anggota-anggota yang sakit atau cedera kerana kerja.  

Walaupun proklamasi yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth I pada tahun 1574 menghapuskan secara rasminya amalan perhambaan tani di England, kebanyakan orang masih merupakan petani penyewa di ladang-ladang milik golongan tuan tanah bangsawan. Petani-petani penyewa yang tidak dapat menjalani kehidupan mereka kerana perampasan tanah milik bersama oleh golongan tuan tanah besar, terpaksa berpindah ke kawasan bandar dan menjadi tenaga buruh upahan di kilang-kilang. Sejak abad ke-18, tenaga buruh upahan itu mula bergabung dan berpakat untuk menuntut peningkatan upah daripada pihak pemilik kilang. Kesatuan-kesatuan sekerja yang awal itu agak kecil dari segi keanggotaan dan terasing daripada kesatuan-kesatuan sekerja jenis pekerjaan yang lain atau di kawasan lain. Walau bagaimanapun, jika tuntutan mereka tidak dipenuhi oleh pihak majikan, kesatuan-kesatuan pekerja itu akan bermogok, mengadakan perundingan bersama dengan pihak majikan, dan menyerahkan petisyen kepada parlimen untuk mendesak penguatkuasaan undang-undang perantis zaman Ratu Elizabeth I.

Kesatuan-kesatuan sekerja yang awal sering bergerak secara rahsia kerana menghadapi sekatan dan penindasan daripada pihak berkuasa. Aksi mogok dan protes yang dilakukan oleh golongan pekerja biasanya menggunakan kaedah yang mensabotaj proses pengeluaran atau merosakkan mesin. Golongan kelas pemerintah menganggap kesatuan-kesatuan sekerja sebagai kumpulan yang berkomplot untuk menimbulkan kekacauan dan menjatuhkan pemerintahan mereka. Parlimen British meluluskan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Penggabungan (Combination Act) pada tahun 1799 dan 1800 untuk melarang pekerja-pekerja di Britain daripada menubuhkan kesatuan sekerja dan mengadakan perundingan bersama. Walau bagaimanapun, pekerja-pekerja yang bertekad untuk membela nasib mereka tetap meneruskan usaha membina organisasi pekerja yang dapat mempertahankan kepentingan kelas pekerja.

Thomas Spence (1750-1814) (ilustrasi: Thomas Bewick)

Pada tahun 1801, Thomas Spence (1750-1814), seorang radikal Inggeris, bersama-sama rakan-rakannya menubuhkan sebuah organisasi sosialis radikal yang pro-pekerja, dengan nama Persatuan Filantropis Spencean (Society of Spencean Philanthropists). Thomas Spence mendukung pemilikan bersama terhadap tanah, dan penyusunan semula negara England ke dalam sebuah kerajaan persekutuan yang berasaskan komun setempat yang dipilih secara demokratik. Persatuan itu agak kecil organisasinya dan bergerak secara rahsia. Thomas Spence pernah dipenjarakan atas pertuduhan menghasut. Akta Mesyuarat Hasutan 1817 (Seditious Meetings Act 1817) yang diluluskan oleh Parlimen British secara jelasnya menyasarkan dan mengharamkan Persatuan Filantropis Spencean serta mana-mana persatuan yang mendukung “perampasan dan pembahagian tanah”.

Menjelang tahun 1810-an, wujudnya usaha untuk menggabungkan pekerja-pekerja daripada pelbagai pekerjaan dalam organisasi buruh yang sama. Kesatuan Pertukangan Umum (General Union of Trades) yang ditubuhkan pada tahun 1818 di Manchester, boleh dikatakan sebagai cubaan terawal untuk membina organisasi buruh sedemikian. Kesatuan itu juga menggunakan nama “Persatuan Filantropi” untuk menyembunyikan matlamat sebenar organisasi itu pada ketika kesatuan sekerja masih diharamkan di Britain.

John Gast (1772-1837), seorang tukang pembina kapal yang aktif dalam mengorganisasi kesatuan sekerja sejak tahun 1790-an, mendukung usaha untuk menubuhkan sebuah kesatuan kebangsaan yang menyatukan pekerja-pekerja daripada pelbagai bidang pekerjaan, dan kesatuan itu dikenali sebagai Philanthropic Hercules. Dia juga menubuhkan Jawatankuasa Kelas Berguna (Committee of the Useful Classes) pada tahun 1822 sebagai usaha untuk menyatukan pekerja-pekerja dalam organisasi yang boleh memperjuangkan hak mereka.

Sebagai respons kepada kebangkitan perjuangan pekerja pada awal abad ke-19 dan kempen pembaharuan yang dimulakan pada tahun 1819 oleh Francis Place, seorang bekas tukang jahit yang pernah menyertai Persatuan Surat-Menyurat London, Parlimen British memansuhkan Akta Penggabungan 1800 pada tahun 1824 dan kesatuan sekerja dibenarkan sejak itu. Namun, Akta Penggabungan Pekerja 1825 (Combinations of Workmen Act 1825) yang diluluskan oleh parlimen yang sama telah melarang kesatuan sekerja daripada menjalankan perundingan bersama untuk syarat-syarat kerja yang lebih baik, kecuali peningkatan upah dan had jam kerja. Akta Penggabungan Pekerja 1825 juga menyekat hak pekerja untuk bermogok. Walau bagaimanapun, ia membuka sedikit ruang kepada pengorganisasian kesatuan sekerja.

John Doherty (1798–1854)

Persatuan untuk Perlindungan Buruh Kebangsaan (National Association for the Protection of Labour) yang ditubuhkan pada tahun 1830, oleh John Doherty, seorang pemintal kapas dan aktivis kesatuan buruh yang berasal dari Ireland, berjaya menggabungkan kira-kira 150 buah kesatuan sekerja, yang kebanyakannya berkaitan dengan perindustrian tekstil, tetapi juga terdapat kesatuan sekerja daripada pekerjaan seperti mekanik, tukang besi dan sebagainya. Keanggotaan National Association for the Protection of Labour bertambah seramai 10,000-20,000 orang dalam tempoh setahun, dan mencecah 100,000 orang pada kemuncaknya. Untuk menyebarkan kesedaran kelas pekerja, kesatuan itu menerbitkan akhbar mingguan Voice of the People (Suara Rakyat), untuk menyatukan kelas pekerja dalam sebuah ikatan kesatuan yang sama. Namun begitu, National Association for the Protection of Labour semakin kehilangan pengaruh menjelang pertengahan tahun 1832, kerana perpecahan dalam kepimpinannya.

Hasil daripada saranan Robert Owen, Kesatuan Sekerja Bersepadu Kebangsaan Agung (Grand National Consolidated Trades Union, singkatan GNCTU) ditubuhkan pada bulan Julai 1834, dan mendapat sokongan daripada golongan sosialis pelbagai aliran. Namun, GNCTU dibubarkan beberapa bulan kemudian kerana perpecahan pandangan tentang pendekatan yang harus diambil untuk menyusun gerakan pekerja di Britain.

Bendera merah dikibarkan dalam Pemberontakan Merthyr pada tahun 1831. (ilustrasi: Hablot Knight Browne, 1887)

Pada bulan Mei 1831, pekerja-pekerja lombong arang batu dan pekerja-pekerja kilang besi berprotes di jalanan bandar Merthyr Tydfil, yang terletak di bahagian selatan Wales, untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap pengurangan upah dan pengangguran. Protes pekerja yang menuntut pembaharuan itu merebak ke pekan-pekan perindustrian dan kampung-kampung berdekatan menjelang penghujung bulan Mei 1831, sehingga seluruh wilayah itu berada dalam keadaan pemberontakan. Bendera merah yang melambangkan pemberontakan pekerja dikibarkan buat pertama kali. Golongan pekerja yang memberontak berjaya menguasai sepenuhnya Merthyr Tydfil pada awal bulan Jun 1831. Mereka mampu melakukan sedemikian kerana wujudnya tahap organisasi yang tertentu dalam kalangan pekerja-pekerja yang memberontak.

Namun, Pemberontakan Merthyr dipatahkan oleh pihak berkuasa secara ganas, dengan kira-kira 24 orang pekerja dibunuh. 26 orang ditangkap dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan terlibat dalam pemberontakan politik. Beberapa orang dijatuhkan hukuman penjara, sementara orang yang lain dibuang negeri ke jajahan tahanan Australia. Dua orang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, iaitu Lewsyn yr Heliwr (1793-1847) atas pertuduhan merompak dan Dic Penderyn (1808-1831) atas pertuduhan menikam seorang askar. Hukuman Lewsyn yr Heliwr diringankan kemudian kepada penjara seumur hidup dan pembuangan negeri ke Australia selepas seorang pegawai polis memberi keterangan bahawa Lewsyn yr Heliwr telah cuba melindunginya daripada serangan. Pemberontakan Merthyr merupakan pendahulu kepada Pemberontakan Newport oleh golongan pendukung Piagam Rakyat 8 tahun kemudian.

Dic Penderyn (1808-1831) yang dihukum mati itu dianggap oleh ramai warga Wales sebagai martir Pemberontakan Merthyr 1831. (ilustrasi: Dewi Bowen)

Dari tahun 1838 hingga 1848, organisasi-organisasi pekerja di Britain telah memberi tumpuan kepada Gerakan Piagam Rakyat yang memperjuangkan perluasan hak mengundi kepada semua lelaki di negara itu. Gerakan itu mendapat sokongan besar di kawasan-kawasan tumpuan golongan pekerja dan dalam kalangan kesatuan-kesatuan sekerja. Banyak kesatuan sekerja mengambil bahagian dalam Mogok Umum 1842. Walaupun Gerakan Piagam Rakyat tidak berjaya dalam merealisasikan tuntutannya serta-merta, ia telah memberi pengalaman organisasi dan mobilisasi yang amat bernilai kepada kepimpinan kesatuan sekerja.

Lebih banyak kesatuan sekerja yang berkekalan ditubuhkan di Britain mulai tahun 1850-an. Kesatuan-kesatuan sekerja itu lebih tersusun dari segi organisasi tetapi kebanyakan kepimpinannya kurang radikal. Kesatuan-kesatuan sekerja itu juga berusaha untuk membentuk gabungan antara kesatuan-kesatuan sekerja. Pada tahun 1858, Majlis Kesatuan Sekerja Sheffield (Sheffield Trades Council) dan Majlis Kesatuan Sekerja Bersatu Glasgow (Glasgow United Trades Council) ditubuhkan. Pada tahun 1859, Majlis Kesatuan Sekerja Edinburgh (Edinburgh Trades Council) ditubuhkan.

Lambang Persatuan Tukang Penurap Bata Operatif yang terlibat dalam Mogok Pekerja Pembinaan London 1859. (ilustrasi: Arthur Waudby)

Apabila pekerja-pekerja pembinaan di London mengadakan aksi mogok pada tahun 1859, ia memerlukan penyelarasan yang berterusan, dan perkara itu hanya boleh dilakukan dengan pembentukan sebuah majlis kesatuan sekerja. Oleh itu, walaupun mogok pekerja pembinaan London pada tahun 1859 tidak mengubah keadaan kerja pada masa itu, ia telah membawa kepada penubuhan Majlis Kesatuan Sekerja London (London Trades Council) pada 18 Mei 1860. Menjelang tahun 1862, Majlis Kesatuan London mempunyai jumlah anggota berbayar yuran seramai 11,300 orang.

Majlis Kesatuan Sekerja London pada awalnya telah menjadi pusat menggerakkan banyak kempen peringkat nasional. Pemimpin-pemimpin awal Majlis Kesatuan Sekerja London juga dikenali sebagai “Junta”. Antara pemimpin-pemimpin penting Majlis Kesatuan Sekerja London ialah George Odger dan George Howell yang kemudiannya terlibat dalam pembentukan Kesatuan Pekerja Antarabangsa pada tahun 1864.

Akhbar The Bee-Hive (bermaksud “Sarang Lebah”), yang diasaskan oleh George Potter (1832-1893) pada tahun 1861, telah dijadikan jurnal rasmi Majlis Kesatuan Sekerja London. Rencana-rencana yang diterbitkan dalam The Bee-Hive menyokong tindakan mogok dan bentuk organisasi yang kemudiannya dikenali sebagai “Kesatuan Sekerja Model Baharu” (New Model Trade Union).

Kesatuan Sekerja Model Baharu biasanya merupakan kesatuan kraf yang mengehadkan keanggotaannya kepada jenis pekerjaan tertentu. Golongan pekerja yang menyertai kesatuan sekerja itu biasanya merupakan tukang atau pekerja mahir yang dibayar dengan upah yang lebih tinggi, maka kesatuan sekerja itu boleh mengenakan yuran keahlian yang lebih tinggi. Kepimpinan kesatuan sekerja itu juga cenderung kepada mengambil pendirian yang lebih reformis, dengan lebih menekankan pendidikan pekerja dan perundingan dengan majikan, bukannya tindakan langsung seperti mogok.

Antara contoh Kesatuan Sekerja Model Baharu ialah Persatuan Persahabatan Pekerja Faundri Besi (Friendly Society of Iron Founders) yang ditubuhkan pada tahun 1809, Persatuan Tukang Penurap Bata Operatif (Operative Bricklayers’ Society) yang ditubuhkan pada tahun 1818, Persatuan Gabungan Jurutera (Amalgamated Society of Engineers) yang ditubuhkan pada tahun 1851, Persatuan Gabungan Tukang Kayu dan Tukang Penyambung Kayu (Amalgamated Society of Carpenters and Joiners) yang ditubuhkan pada tahun 1860, Persatuan Tukang Paip Operatif Bersatu Britain Raya dan Ireland (United Operative Plumbers’ Association of Great Britain and Ireland) yang ditubuhkan pada tahun 1865, dan Persatuan Gabungan Penghias Rumah dan Tukang Cat (Amalgamated Society of House Decorators and Painters) yang ditubuhkan pada tahun 1866.

Laporan tentang “Keganasan Sheffield” dalam akhbar tabloid The Illustrated Police News pada tahun 1867.

Majlis Kesatuan Sekerja London telah meneruskan usaha Gerakan Piagam Rakyat, iaitu berkempen untuk memperluaskan hak mengundi kepada golongan pekerja lelaki, di samping berkempen untuk memperbaiki keadaan tempat kerja, dan penggubalan Akta Perdamaian dan Timbang Tara untuk menyelesaikan pertikaian perusahaan. Ia juga menyokong kempen Majlis Kesatuan Sekerja Glasgow untuk menentang Akta Tuan dan Pekerja (Master and Servant Act) yang berat sebelah kepada pihak majikan. Majlis Kesatuan Sekerja London menyokong United Kingdom Alliance of Organised Trades, yang ditubuhkan pada tahun 1866 di Sheffield, dengan tujuan menyatukan kesatuan-kesatuan sekerja di seluruh negara Britain. Namun, usaha United Kingdom Alliance of Organised Trades dijejaskan oleh siri peristiwa yang dikenali sebagai “Keganasan Sheffield” (Sheffield Outrages).

Keganasan Sheffield ialah siri insiden pembunuhan, peletupan bom dan tindakan intimidasi lain terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kesatuan sekerja di Sheffield pada tahun 1866-1867. Kerajaan British menubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai Kesatuan Sekerja untuk menyiasat peristiwa itu. Suruhanjaya Diraja itu menyimpulkan bahawa William Broadhead (1815-1879), Setiausaha Agung Kesatuan Pengisar Gergaji dan Bendahari United Kingdom Alliance of Organised Trades, bertanggungjawab dalam mengarahkan siri serangan keganasan itu.

William Broadhead (1815-1879)

Walaupun Suruhanjaya Diraja mengenai Kesatuan Sekerja yang ditubuhkan untuk menyiasat Keganasan Sheffield itu agak memusuhi kesatuan sekerja, sesetengah anggota suruhanjaya itu bersimpati dengan perjuangan kesatuan sekerja dan mengemukakan laporan minoriti yang mencadangkan supaya mengiktiraf kesatuan sekerja.

Pada tahun 1868, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dari seluruh negara Britain bersidang di Manchester dan menubuhkan Kongres Kesatuan Sekerja (Trades Union Congress, singkatan TUC). Persidangan pertama TUC itu meluluskan resolusi yang menyatakan bahawa “adalah wajar untuk kesatuan-kesatuan sekerja di United Kingdom mengadakan kongres tahunan, bagi tujuan membawa kesatuan-kesatuan sekerja ke dalam perikatan yang lebih rapat, dan mengambil tindakan dalam semua perkara Parlimen yang berkaitan dengan kepentingan umum kelas pekerja”.

Hasil daripada usaha TUC berkempen untuk menerima laporan minoriti daripada anggota-anggota Suruhanjaya Diraja mengenai Kesatuan Sekerja, Parlimen British meluluskan Akta Kesatuan Sekerja 1871 (Trade Union Act 1871) yang memperluaskan hak kesatuan sekerja, terutamanya kesatuan sekerja diberikan hak untuk bermogok.

Di Amerika Syarikat, gerakan kesatuan sekerja sudah lahir tidak lama selepas negara itu mencapai kemerdekaan daripada Britain. Pada tahun 1794, tukang-tukang kasut di Philadelphia menubuhkan Persatuan Persekutuan Tukang Kasut (Federal Society of Journeymen Cordwainers), yang boleh dikatakan sebagai kesatuan sekerja yang terawal di Amerika Syarikat.  

Logo Persaudaraan Jurutera Lokomotif dan Pekerja Kereta Api yang ditubuhkan pada tahun 1863.

Pada awal abad ke-19, usaha pekerja-pekerja Amerika Syarikat berpakat untuk menuntut kenaikan upah dan pengurangan jam kerja telah disekat oleh pihak majikan dengan pendakwaan mahkamah atas pertuduhan “konspirasi jenayah”. Walau bagaimanapun, kesatuan sekerja tempatan berkembang dengan pesat di bandar-bandar utama. Pembangunan perindustrian telah mengumpulkan pekerja-pekerja di dalam kilang-kilang besar, maka menyediakan tapak yang subur untuk pertumbuhan kesatuan sekerja. Kilang-kilang besar yang mengupah pekerja-pekerja dengan jenis kemahiran yang berbeza di bawah bumbung yang sama, telah mewujudkan ruang untuk pembentukan perikatan antara kesatuan-kesatuan kraf yang mewakili jenis kemahiran yang berbeza.

Selepas Perang Saudara Amerika (1861-1865) dan penghapusan perhambaan di Amerika Syarikat, perindustrian berkembang dengan pesat di negara itu, maka mewujudkan keperluan besar untuk pengupahan tenaga buruh yang mahir dan tidak mahir. Kesatuan sekerja juga bertumbuh lebih pesat lagi. Namun, keanggotaan kesatuan sekerja di Amerika Syarikat pada masa itu kebanyakannya merupakan pekerja-pekerja mahir kulit putih.

Isaac Myers (1835-1891), seorang pemimpin kesatuan sekerja yang berkulit hitam.

Pekerja-pekerja mahir yang dibayar upah lebih tinggi berkemampuan untuk membayar yuran kesatuan sekerja dan menyumbang kepada dana mogok. Mereka agak keberatan untuk mengorganisasi pekerja-pekerja imigran yang tidak mahir, yang berasal dari Ireland dan Itali. Mereka juga mengecualikan pekerja-pekerja kulit hitam dan pekerja-pekerja wanita daripada kesatuan sekerja mereka. Pekerja-pekerja kulit hitam sering dibayar dengan upah yang lebih rendah, dan pekerja-pekerja kulit putih sering bimbang bahawa mereka akan digantikan oleh tenaga buruh murah kulit hitam itu.

Oleh itu, pekerja-pekerja kulit hitam dan pekerja-pekerja wanita mengorganisasi kesatuan sekerja mereka sendiri. Persatuan Tukang Jahit Wanita Bersatu New York (United Tailoresses Society of New York), yang ditubuhkan pada tahun 1825, merupakan kesatuan sekerja pertama yang disertai oleh wanita sahaja. Persatuan Tukang Jahit Wanita Bersatu New York pernah menganjurkan aksi mogok pada tahun 1825 dan 1831, dengan tuntutan meningkatkan upah dan memperbaiki keadaan kerja.

Kesatuan Kebangsaan Pembuat Cerut Amerika (National Union of Cigar Makers of America), yang ditubuhkan di New York pada tahun 1864, menjadi kesatuan sekerja kebangsaan pertama di Amerika Syarikat yang menerima keanggotaan wanita dan warga kulit hitam, apabila ia berbuat demikian pada tahun 1867.  Kesatuan sekerja itu juga menukar namanya kepada Kesatuan Antarabangsa Tukang Pembuat Cerut Amerika (Journeymen Cigar Makers’ International Union of America, singkatan CMIU) pada tahun 1867.

Label yang dilekat pada kotak cerut buatan pekerja yang merupakan anggota Kesatuan Antarabangsa Tukang Pembuat Cerut Amerika (CMIU).

Rangkaian landasan kereta api bertumbuh dengan pesat semasa dan selepas Perang Amerika Saudara. Landasan Rentas Benua Pertama yang dibina antara tahun 1863 dan 1869 telah menghubungkan negeri California di Pantai Barat Amerika Syarikat dengan rangkaian landasan kereta api di bahagian timur Amerika Syarikat. Perkembangan sistem pengangkutan kereta api yang pesat itu turut membawa kepada pertumbuhan pesat kesatuan sekerja dalam sektor itu. Persaudaraan Jurutera Lokomotif (Brotherhood of Locomotive Engineers) yang ditubuhkan pada tahun 1863 di bandar Marshall, negeri Michigan, merupakan kesatuan sekerja yang pertama untuk mengorganisasi pekerja-pekerja kereta api di Amerika Syarikat. Persaudaraan Jurutera Lokomotif, bersama-sama dengan Persatuan Konduktor Kereta Api (Order of Railway Conductors) yang ditubuhkan pada tahun 1868, Persaudaraan Jurubakar Lokomotif (Brotherhood of Locomotive Firemen) yang ditubuhkan pada tahun 1873 dan Persaudaraan Pekerja Brek Kereta Api (Brotherhood of Railroad Brakemen) yang ditubuhkan pada tahun 1883, digelar sebagai Empat Kesatuan Besar (Big Four) yang terawal bagi pekerja-pekerja kereta api.

Kesatuan Buruh Kebangsaan (NLU) yang ditubuhkan pada tahun 1866 merupakan persekutuan kesatuan sekerja kebangsaan yang pertama di Amerika Syarikat, tetapi ia dibubarkan pada tahun 1877. Pada masa itu, pekerja kulit hitam telah dikecualikan daripada beberapa kesatuan sekerja yang sedia ada, termasuk kesatuan-kesatuan sekerja yang bergabung dalam NLU. Wujudnya rasa benci dan ketidakpercayaan sesama pekerja-pekerja berkulit putih dan pekerja-pekerja kulit hitam. Pekerja-pekerja kulit hitam sering diupah sebagai pengganti pemogok, maka tidak disenangi oleh kesatuan sekerja yang didominasi warga kulit putih; tetapi warga kulit putih juga sering diupah sebagai pengganti pemogok apabila pekerja-pekerja kulit hitam bermogok. Walau bagaimanapun, William H. Sylvis (1828-1869), Presiden NLU yang dipilih dalam kongresnya yang diadakan di Bandar Raya New York pada bulan Ogos 1868, pernah berkata bahawa tidak patut wujudnya perbezaan kaum atau kewarganegaraan dalam kalangan anggota kesatuan sekerja.

William H. Sylvis (1828–1869)

Beberapa orang wakil pekerja kulit hitam telah dijemput untuk menghadiri kongres NLU pada tahun 1869, termasuk Isaac Myers (1835-1891), seorang pekerja pemakal dan pemimpin kesatuan sekerja kulit hitam. Dalam konvensyen itu, Isaac Myers bercakap tentang keperluan untuk solidariti, dengan pekerja-pekerja kulit putih dan pekerja-pekerja kulit hitam harus bersatu dalam memperjuangkan upah yang lebih tinggi dan taraf hidup yang selesa. Namun, masih terdapat banyak kesatuan sekerja kulit putih enggan membenarkan pekerja kulit hitam untuk menyertai organisasi mereka.

Oleh itu, dalam sebuah lagi konvensyen buruh yang diadakan pada bulan Disember 1869 dan dihadiri oleh 214 orang wakil pekerja, Kesatuan Buruh Kebangsaan Warga Kulit Berwarna (Colored National Labor Union, CNLU) ditubuhkan, dengan matlamat mengorganisasi pekerja-pekerja kulit hitam secara kolektif di peringkat nasional dan memperbaiki keadaan kerja serta kualiti kehidupan pekerja-pekerja kulit hitam. Isaac Myers dipilih sebagai Presiden CNLU yang pertama. Frederick Douglass (1818-1892), seorang aktivis hak sivil dan abolisionis yang terkenal, dipilih sebagai Presiden CNLU pada tahun 1872 untuk menggantikan Isaac Myers.

Konvensyen Kesatuan Buruh Kebangsaan Warga Kulit Berwarna (CNLU) yang di adakan di Washington, D.C. pada tahun 1869. (ilustrasi: Theodore Russel Davis)

Order of the Knights of St. Crispin, sebuah kesatuan tukang kasut yang ditubuhkan di Milwaukee, negeri Wisconsin, pada tahun 1867, mempunyai keanggotaan seramai 50,000 orang menjelang tahun 1870, dengan kebanyakannya tertumpu di Timur Laut Amerika Syarikat. Ia merupakan kesatuan sekerja yang terbesar di Amerika Syarikat pada masa itu. Namun, kesatuan itu tidak teratur organisasinya dan pengaruhnya semakin merosot menjelang tahun 1874. Kesatuan sekerja itu membantah penggunaan mesin baharu dan cuba menghalang buruh migran daripada memasuki bidang pekerjaan mereka. Terdapat usaha untuk mengaktifkan semula Order of the Knights of St. Crispin pada tahun 1875 di Lynn, negeri Massachusetts, dan berjaya mematahkan cubaan golongan majikan di situ yang memaksa pekerja-pekerja untuk menandatangani ikrar yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyertai kesatuan sekerja.

Oleh sebab Order of the Knights of St. Crispin hanya menerima keanggotaan lelaki, golongan tukang kasut wanita menubuhkan Daughters of St. Crispin di Lynn, negeri Massachusetts, pada tahun 1869. Konvensyen Daughters of St. Crispin yang diadakan pada tahun 1870 meluluskan secara sebulat suara resolusi yang menuntut upah yang sama rata untuk kerja yang sama tanpa mengira jantina.

Logo Knights of Labor.

Knights of Labor yang ditubuhkan pada tahun 1869 berkembang menjadi organisasi buruh yang terbesar di Amerika Syarikat menjelang tahun 1880-an. Knights of Labor mendukung penyatuan semua pekerja tanpa mengira warna kulit, jantina dan kewarganegaraan. Organisasi Knights of Labor terjejas dengan ketara selepas Peristiwa Haymarket pada tahun 1886, kerana menerima pelbagai tohmahan dan serangan. Kebanyakan anggotanya meninggalkan Knights of Labor dan menyertai kesatuan sekerja yang hanya memperjuangkan tuntutan yang khusus bagi kumpulan pekerja tertentu.

Persekutuan Kesatuan-Kesatuan Sekerja dan Buruh yang Tersusun (FOTLU) yang ditubuhkan pada tahun 1881 berfungsi sebagai sebuah persekutuan yang menggabungkan kesatuan-kesatuan sekerja yang berbeza. Ia tidak mengambil keahlian secara langsung. Salah seorang pemimpin kesatuan sekerja yang memainkan peranan penting dalam menubuhkan FOTLU ialah Samuel Gompers (1850-1924), pemimpin utama Kesatuan Antarabangsa Tukang Pembuat Cerut Amerika (CMIU). FOTLU merupakan pesaing utama kepada Knights of Labor pada tahun 1880-an. Matlamat perjuangan FOTLU yang asal ialah mendorong pembentukan kesatuan sekerja dan mewujudkan undang-undang yang melindungi pekerja, seperti larangan buruh kanak-kanak dan kerja 8 jam sehari. Namun, FOTLU juga mengambil pendirian yang agak rasis, seperti memusuhi pekerja-pekerja dari China dan pekerja-pekerja imigran yang lain yang diupah sebagai pekerja kontrak.

Logo Persekutuan Buruh Amerika (AFL) sekitar tahun 1900.

Pada bulan Disember 1886, kesatuan-kesatuan sekerja yang berpecah keluar daripada Knights of Labor dan kesatuan-kesatuan yang bergabung dalam FOTLU mengadakan konvensyen di Columbus, negeri Ohio, dan menubuhkan Persekutuan Buruh Amerika (American Federation of Labor, singkatan AFL). Samuel Gompers dipilih sebagai Presiden AFL yang pertama. Di bawah kepimpinan Samuel Gompers, AFL menggantikan Knights of Labor sebagai persekutuan kesatuan sekerja yang terbesar di Amerika Syarikat menjelang penghujung abad ke-19. AFL membezakan dirinya daripada Knights of Labor dengan menekankan autonomi setiap kesatuan sekerja yang bergabung dalamnya dan mengehadkan keanggotaan kesatuan sekerja kepada pekerja yang menerima upah sahaja.

Namun, AFL mempunyai kelemahan yang ketara. Walaupun Samuel Gompers pada awalnya mendukung penerimaan pekerja-pekerja separa mahir dan tidak mahir, dia mendapat tentangan hebat daripada kesatuan-kesatuan kraf yang bergabung dalam AFL. Kesatuan-kesatuan sekerja yang bergabung dalam AFL kebanyakannya dianggotai oleh pekerja-pekerja mahir. Walaupun AFL sepatutnya mengamalkan dasar egalitarian berhubung pekerja kulit hitam, ia masih mendiskriminasi golongan kulit hitam. Secara amnya, pekerja-pekerja tidak mahir, warga kulit hitam, warga Hispanik dan wanita masih tidak diterima ke dalam kesatuan-kesatuan sekerja di bawah AFL. Kepimpinan awal AFL menganggap golongan wanita sebagai ancaman terhadap pekerjaan yang dipegang oleh golongan lelaki, kerana pekerja wanita dibayar dengan upah yang lebih rendah. Kepimpinan kesatuan sekerja yang terperangkap dalam minda patriarki gagal memahami isu itu daripada perspektif kesamarataan gender, sebaliknya menyalahkan golongan pekerja wanita yang juga dieksploitasi oleh pihak majikan. Menjelang tahun 1890-an, AFL hanya menumpukan usahanya dalam mengorganisasi pekerja-pekerja mahir dan ia menjadi sebuah organisasi yang didominasi oleh golongan lelaki kulit putih.

Samuel Gompers (1850-1924), Presiden AFL dari tahun 1886 hingga 1924.

Seperti pendahulunya FOTLU, AFL juga mengambil pendirian rasis dan xenofobia yang memusuhi golongan pekerja imigran dari China. AFL menyokong pelaksanaan Akta Penyisihan Cina (Chinese Exclusion Act) yang digubal pada tahun 1882 untuk menyekat kemasukan buruh migran dari China, kononnya untuk melindungi kepentingan pekerja tempatan.

Persekutuan Pelombong Barat (Western Federation of Miners, singkatan WFM) yang ditubuhkan pada bulan Mei 1893, walaupun pernah bergabung dalam AFL buat seketika pada tahun 1896, telah menjadi pesaing utama kepada AFL dengan mengambil pendekatan yang lebih militan dalam memperjuangkan hak pekerja. WFM juga cuba membina persekutuan kesatuan sekerja yang berasingan, dengan menubuhkan Kesatuan Buruh Barat (Western Labor Union, singkatan WLU) pada tahun 1898, dengan hasrat mengorganisasi semua pekerja di Barat Amerika Syarikat. WLU menukar namanya kepada Kesatuan Buruh Amerika (American Labor Union, singkatan ALU) pada tahun 1902. ALU kemudiannya mengambil bahagian dalam penubuhan Industrial Workers of the World (IWW) pada tahun 1905. IWW mengambil pendekatan yang menggabungkan kesatuan umum dengan kesatuan industri untuk mewujudkan kesatuan pekerja yang revolusioner. Namun, WFM menjadi lebih konservatif selepas tahun 1903 dan menjauhi diri daripada IWW yang radikal.

Logo Kesatuan Buruh Amerika (ALU) pada tahun 1905.

Kesatuan kraf yang memberi tumpuan kepada perjuangan untuk melindungi kepentingan golongan pekerja mahir, biasanya menjadikan kesatuan sekerja itu sebuah organisasi yang eksklusif untuk satu lapisan pekerja sahaja. Lapisan pekerja yang dilindungi oleh kesatuan kraf itu mempunyai gaji yang lebih tinggi dan keadaan kerja yang lebih baik berbanding lapisan-lapisan pekerja yang lebih luas, terutamanya pekerja-pekerja separa mahir dan pekerja-pekerja tidak mahir yang membentuk sebahagian besar kelas pekerja. Keadaan sebegitu mewujudkan apa yang dikenali sebagai “aristokrasi buruh” (labour aristocracy) atau “golongan bangsawan buruh”.

Oleh sebab keadaan mereka yang lebih baik, golongan bangsawan buruh itu lebih cenderung untuk mengekalkan status quo dan menghalang golongan pekerja separa mahir dan tidak mahir daripada menyertai kesatuan sekerja yang didominasi oleh mereka. Malah, golongan bangsawan buruh itu juga mungkin bersekutu dengan kelas borjuis untuk memastikan kelangsungan sistem ekonomi kapitalis, bukannya mendukung perjuangan kelas pekerja untuk menghapuskan sistem kapitalis yang eksploitatif. Oleh itu, kesatuan sekerja yang dikuasai oleh golongan bangsawan buruh itu mengambil pendirian yang konservatif, malah reaksioner, dalam perjuangan untuk pembebasan kelas pekerja. Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sebegitu sentiasa mengelakkan diri mereka daripada perjuangan yang militan, seperti mogok pekerja, kerana mereka bimbang bahawa aksi mogok itu akan menjejaskan kedudukan kesatuan sekerja itu sebagai “jambatan” antara pekerja dan majikan.

Namun begitu, kejayaan kesatuan sekerja yang memperjuangkan keadaan kerja yang lebih baik itu telah mendorong lebih ramai pekerja untuk menyertai gerakan pekerja, sama ada menyertai kesatuan sekerja yang sedia ada, ataupun menubuhkan kesatuan sekerja baharu, dan melakukan perjuangan yang militan jika perlu. Gelombang mogok yang tercetus di Britain pada penghujung tahun 1880-an, yang digerakkan oleh pekerja-pekerja bawahan, telah membawa kepada pembangunan Gerakan Kesatuan Sekerja Baharu (New Unionism).

Ben Tillett (1860-1943)

Ben Tillett (1860-1943), seorang pemimpin kesatuan pekerja pelabuhan yang terlibat dalam mogok pekerja dok di London pada tahun 1889, merupakan salah seorang perintis Gerakan Sekerja Baharu di Britain. Kesatuan Pekerja Dok, Dermaga, Tebing Sungai dan Umum (Dock, Wharf, Riverside and General Labourers’ Union, singkatan DWRGLU) yang ditubuhkannya mempunyai ahli seramai 30,000 orang, dan berjaya memperjuangkan gaji serta keadaan kerja yang lebih baik. Pemimpin-pemimpin penting yang lain dalam Gerakan Kesatuan Sekerja Baharu itu termasuk Tom Mann (1856-1941), Will Thorne (1857-1946), John Elliot Burns (1858-1943) dan James Larkin (1874-1947).

Kesatuan-kesatuan sekerja baharu yang ditubuhkan di Britain pada penghujung abad ke-19 berbeza dengan kesatuan-kesatuan kraf yang lama dalam beberapa aspek. Kesatuan-kesatuan sekerja baharu itu lebih inklusif berbanding kesatuan-kesatuan kraf, dengan mengambil keahlian daripada lapisan pekerja yang lebih luas, termasuk pekerja separa mahir dan pekerja tidak mahir. Kesatuan-kesatuan sekerja baharu itu mengenakan kadar yuran keahlian yang lebih rendah, maka membolehkan lebih ramai pekerja yang bergaji rendah untuk menyertainya. Sesetengah kesatuan sekerja baharu juga berhasrat untuk menjadi kesatuan umum yang merangkumi semua pekerja lain yang bukan daripada sektor perusahaan yang sama. Kesatuan-kesatuan sekerja baharu itu juga lebih militan dan lebih bersedia untuk melakukan aksi mogok, tidak seperti kesatuan-kesatuan kraf lama yang mengambil pendekatan yang lebih cenderung untuk berdamai dengan pihak majikan.

Pada tahun 1874, Liga Perlindungan dan Kebajikan Wanita (Women’s Protective and Provident League, singkatan WPPL) ditubuhkan di Britain untuk mempromosi penyertaan wanita dalam kesatuan sekerja. Salah seorang pengasasnya ialah Emma Paterson (1848-1886), seorang aktivis feminis yang turut memperjuangkan hak mengundi bagi wanita. Pada tahun 1875, Emma Paterson dan Edith Simcox (1844-1901) menjadi perwakilan wanita yang pertama hadir dalam persidangan TUC. Selepas Emma Paterson meninggal dunia, kepimpinan WPPL diambil alih oleh Emilia Dilke (1840-1904). Pada tahun 1890, WPPL bertukar nama kepada Liga Kesatuan Sekerja Wanita (Women’s Trade Union League). Pada tahun 1921, Liga Kesatuan Sekerja Wanita bergabung menjadi sayap wanita TUC.

Emilia Dilke (1840-1904) (ilustrasi: Hubert von Herkomer, 1887)

Di Perancis, walaupun mengalami revolusi sosial yang hebat sejak tahun 1789, Undang-undang Le Chapelier yang diluluskan oleh Perhimpunan Kebangsaan pada tahun 1791, semasa fasa pertama Revolusi Perancis, telah mengharamkan perseikatan tukang, maka turut mengharamkan segala bentuk kesatuan sekerja, dan menafikan hak untuk bermogok. Undang-undang itu ditentang hebat oleh golongan sans-culotte pada masa itu. Undang-undang Le Chapelier hanya dibatalkan pada tahun 1864 oleh Undang-undang Ollivier yang memulihkan hak untuk berpersatuan dan hak untuk bermogok. Namun, gerakan pekerja dan golongan kiri yang radikal mengalami pukulan yang teruk berikutan penumpasan Komun Paris pada tahun 1871. Organisasi-organisasi buruh terpaksa bergerak secara rahsia atau berselindung di bawah nama lain. Penubuhan kesatuan sekerja hanya dibenarkan pada tahun 1884 dengan kelulusan Undang-undang Waldeck-Rousseau.

Dengan pengharaman kesatuan sekerja dibatalkan di Perancis pada tahun 1884, golongan pekerja dapat bergerak secara terbuka dan menubuhkan kesatuan sekerja untuk memperjuangkan hak mereka. Pada tahun 1875, iaitu sebelum penggubalan Undang-undang Waldeck-Rousseau, pekerja-pekerja di Paris pernah menyerahkan petisyen kepada majlis perbandaran Paris dengan tuntutan menubuhkan sebuah Majlis Buruh (Bourse du Travail), tetapi ditolak oleh pihak berkuasa. Selepas penggubalan Undang-undang Waldeck-Rousseau, Majlis Buruh yang pertama di Paris berjaya ditubuhkan pada tahun 1887. Menjelang tahun 1892, sudah terdapat 14 buah Majlis Buruh di Perancis. Pada bulan Februari 1892, Persekutuan Majlis Buruh (Fédération des Bourses du Travail) ditubuhkan di Saint-Étienne.

Logo Konfederasi Buruh Umum (CGT)

Pada 11 Oktober 1886, Persekutuan Kesatuan Sekerja Kebangsaan (Fédération Nationale des Syndicats) ditubuhkan di Lyon. Persekutuan Kesatuan Sekerja Kebangsaan didominasi oleh golongan sosialis. Pada bulan September 1895, Persekutuan Kesatuan Sekerja Kebangsaan bergabung dengan Persekutuan Majlis Buruh untuk menubuhkan Konfederasi Buruh Umum (Confédération Générale du Travail, singkatan CGT) di Limoges. CGT merupakan salah satu daripada lima buah konfederasi kesatuan sekerja yang utama di Perancis hari ini.

Di Konfederasi Jerman (1815-1866), Persatuan Pendidikan Pekerja (Arbeiterbildungsverein) mula ditubuhkan pada tahun 1830-an dan 1840-an. Sesetengah persatuan pendidikan pekerja ditubuhkan oleh golongan borjuis liberal, sementara sesetengah ditubuhkan oleh golongan pekerja sendiri, untuk mempelajari pengetahuan am dan ilmu baharu. Persatuan-persatuan pendidikan pekerja itu menyediakan asas kepada pembangunan kesatuan sekerja dan gerakan pekerja di Jerman.

Persatuan Pekerja Jerman Umum (Allgemeiner Deutscher Arbeiter-Verein, singkatan ADAV) ditubuhkan pada 23 Mei 1863 di Leipzig, oleh Ferdinand Lassalle (1825-1864), seorang aktivis sosialis, bersama 12 orang perwakilan dari bandar-bandar utama di Konfederasi Jerman. Selain daripada menjadi sebuah organisasi pekerja, ADAV merupakan parti politik kelas pekerja yang pertama di Jerman. August Bebel (1840-1913), seorang aktivis sosialis yang terlibat dalam persatuan pendidikan pekerja pada masa itu, bersama-sama mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian ADAV yang pro-kerajaan Prusia, menubuhkan Liga Persatuan Pekerja Jerman (Vereinstag Deutscher Arbeitervereine, singkatan VDAV) di Frankfurt pada bulan Jun 1863. VDAV pada asalnya merupakan sebuah organisasi payung besar yang menghimpunkan persatuan pendidikan pekerja dalam gerakan demokratik liberal.

Pada tahun 1868, Kongres Agung Pekerja Jerman yang diadakan di Berlin memutuskan untuk menubuhkan 12 buah persatuan pekerja berpusat mengikut jenis pekerjaan, dengan hasrat membentuk Kongres Pekerja Seluruh Jerman. Namun, usaha menyatukan gerakan pekerja Jerman itu tidak berjaya kerana perpecahan dalam kalangan kepimpinan pekerja Jerman. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 1877, terdapat 23 buah kesatuan sekerja di negara Jerman, dengan jumlah keahliannya kira-kira 50,000 orang.

Semasa zaman pentadbiran Canselor Otto von Bismarck (1815-1898), dari tahun 1871 hingga 1890, Reichstag (iaitu Parlimen Jerman) meluluskan Undang-undang Anti-Sosialis pada tahun 1878. Undang-undang represif itu mengharamkan pertubuhan sosialis dan kesatuan sekerja. Undang-undang Anti-Sosialis dimansuhkan selepas Otto von Bismarck kehilangan kuasa pada tahun 1890.

Persatuan Bebas Kesatuan Sekerja Jerman (Freie Vereinigung deutscher Gewerkschaften, singkatan FVdG), yang ditubuhkan di Halle pada tahun 1897, merupakan persekutuan payung besar utama yang menggabungkan kesatuan-kesatuan sekerja di seluruh negara Jerman pada masa itu. FVdG mengambil pendirian yang agak radikal, termasuk mendukung penggunaan mogok besar-besaran sebagai senjata untuk memajukan perjuangan kelas pekerja dan mengkritik golongan sosialis yang terlalu menumpukan perhatian dalam politik berparlimen.

Bangunan asal Dewan Kesatuan Sekerja Melbourne yang siap dibina pada tahun 1859.

Di Australia, pada tahun 1856, beberapa minggu selepas golongan tukang batu di Melbourne memenangi kerja 8 jam sehari, mereka memutuskan untuk menubuhkan Dewan Kesatuan Sekerja Melbourne dengan bangunan sendiri supaya semua kesatuan sekerja mempunyai tempat berkumpul dan beraktiviti. Jawatankuasa Dewan Kesatuan Sekerja Melbourne menerima geran tanah daripada kerajaan Victoria untuk membina bangunan mereka sendiri, dan dana pembinaan bangunan dikutip daripada anggota-anggota kesatuan sekerja yang menyertai perarakan memperingati kejayaan perjuangan kerja 8 jam sehari setiap tahun. Bangunan Dewan Kesatuan Sekerja Melbourne, yang dibina oleh pekerja-pekerja Melbourne sendiri itu, siap dibina pada tahun 1859, dan menjadi pusat gerakan pekerja di wilayah Victoria.

Pada tahun 1871, 8 buah kesatuan sekerja di Sydney menubuhkan Majlis Kesatuan Sekerja dan Buruh Sydney. Bangunan Dewan Kesatuan Sydney mula dibina pada tahun 1888. Menjelang tahun 1891, 21.5% daripada semua pekerja di Jajahan New South Wales merupakan anggota kesatuan sekerja.

Di wilayah Australia Selatan, gerakan pekerja di situ menubuhkan Liga Buruh Australia Selatan pada tahun 1874. Majlis Kesatuan Sekerja dan Buruh Bersatu Australia Selatan ditubuhkan pada tahun 1884, dengan penyertaan daripada 13 buah kesatuan sekerja, untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja dan memperjuangkan hak pekerja.

Di Jajahan Queensland, sebuah mesyuarat yang disertai oleh pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja di situ pada 18 Ogos 1885 memutuskan untuk menubuhkan Majlis Kesatuan Sekerja dan Buruh Queensland yang mula beroperasi pada 1 September 1885. Setahun kemudian, pada tahun 1886, organisasi buruh yang baharu itu mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Queensland yang menggubal Akta Kesatuan Sekerja Queensland untuk membenarkan aktiviti-aktiviti kesatuan sekerja di jajahan itu.

Pekerja-pekerja Kanada berdemonstrasi pada tahun 1872 untuk menuntut kerja 9 jam sehari. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Di Kanada, persekutuan kesatuan sekerja yang pertama di situ, Perhimpunan Kesatuan Sekerja Toronto (Toronto Trades Assembly) ditubuhkan pada tahun 1871, dengan John Hewitt (1843-1911) daripada Kesatuan Antarabangsa Pembuat Tong Amerika Utara (Coopers’ International Union of North America, singkatan CIU) menjadi presiden yang pertama. Ia menggabungkan beberapa buah kesatuan sekerja yang mewakili pelbagai jenis pekerjaan, termasuk pembuat tong, pembuat roti, tukang kasut, pembuat cerut dan pembuat acuan. Perhimpunan Kesatuan Sekerja Toronto terlibat dalam menganjurkan gerakan menuntut kerja 9 jam sehari, dan menganjurkan demonstrasi pekerja besar-besaran yang pertama di Kanada pada 15 April 1872. Kesatuan Buruh Kanada (Canadian Labour Union, singkatan CLU) yang ditubuhkan pada 23 September 1873, merupakan cubaan pertama untuk menubuhkan sebuah persekutuan kesatuan sekerja kebangsaan di Kanada, tetapi ia hanya disertai oleh kesatuan-kesatuan sekerja di provinsi Ontario. CLU memperjuangkan jam kerja sehari yang lebih pendek, larangan terhadap penggunaan buruh banduan oleh majikan swasta, larangan pengupahan buruh kanak-kanak di bawah umur 19 tahun, hak pekerja mendapat balik upah yang tidak berbayar daripada majikan yang muflis, penguatkuasaan piawaian minimum sanitasi dan pengudaraan di kilang, penubuhan sebuah biro statistik kerajaan untuk memberi maklumat mengenai upah serta keadaan kerja, pendidikan yang dibiayai oleh kerajaan, dan perwakilan buruh secara langsung dalam badan perundangan serta kerajaan perbandaran. Namun, kemelesetan ekonomi pada tahun 1873 telah memberi kesan buruk kepada gerakan pekerja yang baharu bertumbuh di Kanada pada masa itu, dengan ramai pekerja kehilangan kerja, dan dengan itu keahlian dalam kebanyakan kesatuan sekerja merosot secara ketara sehingga terpaksa ditutup. CLU terbubar pada tahun 1878.

Majlis Kesatuan Sekerja dan Buruh Toronto ditubuhkan pada tahun 1881 sebagai badan yang menyelaraskan aktiviti kesatuan sekerja di bandar itu. Badan-badan yang serupa turut ditubuhkan di Montreal, Vancouver, Brantford, Ottawa dan bandar-bandar lain. Badan-badan itu bergabung pada tahun 1886 untuk membentuk Kongres Kesatuan Sekerja dan Buruh Kanada (Trades and Labor Congress of Canada, singkatan TLC). TLC berkempen untuk upah yang terjamin, perundangan yang melindungi pekerja, pampasan yang adil bagi pekerja, penggubalan peraturan kebersihan di kilang dan kerja 8 jam sehari. TLC juga membantu dalam mendesak penggubalan undang-undang kilang di provinsi Ontario, Quebec, Manitoba dan Nova Scotia. TLC menyokong tindakan kerajaan Parti Liberal pada tahun 1900 yang menubuhkan Jabatan Buruh Persekutuan, dengan sistem perundingan untuk menyelesaikan pertikaian buruh.

August Palm (1849-1922)

Di Sweden, kesatuan-kesatuan buruh tempatan mula ditubuhkan pada tahun 1870-an. Pada 6 November 1881, August Palm (1849-1922), seorang tukang jahit yang juga merupakan seorang aktivis sosialis, menyampaikan ucapan di Malmö dengan seruan yang mendorong penubuhan organisasi-organisasi pekerja. Pada tahun 1886, kesatuan sekerja kebangsaan yang pertama di Sweden, Persatuan Jurutipografi Sweden (Svenska Typografförbundet) ditubuhkan. Sebuah lagi kesatuan sekerja yang serupa, Kesatuan Posmen Sweden (Svenska Postmannaförbundet) juga ditubuhkan tidak lama kemudian pada tahun yang sama. Pada 7 Ogos 1898, Konfederasi Kesatuan Sekerja Sweden (Landsorganisationen i Sverige, singkatan LO) ditubuhkan.

Di Belgium, kesatuan-kesatuan sekerja terawal yang direkodkan ialah Persatuan Tipografi Bebas (Vrije Typografische Vereniging) dan Kesatuan Filantropi Tukang Topi (Union Philanthropique des Chapeliers), yang kedua-duanya ditubuhkan pada tahun 1842 di Brussel. Kesatuan Filantropi Tukang Topi merupakan penyambung warisan sebuah perikatan tukang lama yang berusia kira-kira empat abad. Dua buah kesatuan sekerja di Ghent boleh dijejaki sejarah seawal tahun 1857. Jumlah kesatuan sekerja di negara itu meningkat secara ketara antara tahun 1867 dan 1869, hasil daripada kempen propaganda yang dilakukan di negara itu oleh Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang pernah mengadakan kongresnya di Brussel pada tahun 1868. Namun, jumlah kesatuan sekerja merosot secara ketara selepas Belgium turut dilanda krisis ekonomi yang teruk pada tahun 1873. Selepas gerakan kesatuan sekerja pulih semula pada tahun 1880-an, persekutuan-persekutuan kesatuan sekerja kebangsaan yang ditubuhkan masih sangat lemah. Pada tahun 1886, Parti Buruh Belgium yang ditubuhkan oleh aktivis-aktivis kesatuan sekerja setahun sebelum itu, menubuhkan Suruhanjaya Kesatuan Sekerja (Commission syndicale) untuk berfungsi sebagai persekutuan kesatuan sekerja kebangsaan yang menyatukan kesatuan-kesatuan sekerja di Belgium di bawah panji sosialis. Suruhanjaya Kesatuan Sekerja disusun semula pada tahun 1937 untuk membentuk Konfederasi Buruh Umum Belgium (bahasa Belanda: Belgisch Vakverbond; bahasa Perancis Confédération Générale du Travail de Belgique; singkatan BVV-CGTB). Selepas tamatnya Perang Dunia II, BVV-CGTB bergabung dengan dua buah lagi kesatuan buruh kebangsaan untuk menubuhkan Persekutuan Buruh Umum Belgium (bahasa Perancis: Fédération Générale du Travail de Belgique; bahasa Belanda: Algemeen Belgisch Vakverbond; singkatan FGTB-ABVV) pada tahun 1945.

Di Belanda, kesatuan-kesatuan jurutipografi tempatan, yang ditubuhkan sejak tahun 1830, boleh dikatakan sebagai persatuan kebajikan yang memberi bantuan kepada ahli-ahli yang memerlukannya dan menjalin hubungan persaudaraan dalam kalangan ahlinya. Kesatuan Jurutipografi Umum Belanda (Algemene Nederlandse Typografen Bond, singkatan ANTB), yang ditubuhkan pada tahun 1866, menjadi kesatuan sekerja kebangsaan yang terawal di Belanda, dan menandakan peralihan daripada sistem perseikatan tukang lama kepada kesatuan sekerja moden yang memperjuangkan kepentingan bersama golongan pekerja, seperti kenaikan upah dan penambahbaikan keadaan kerja. Kesatuan Pekerja Umum Belanda (Algemeen Nederlandsch Werklieden-Verbond, singkatan ANWV) yang ditubuhkan pada tahun 1871 oleh beberapa buah kesatuan sekerja di Amsterdam, Rotterdam dan Utrecht, merupakan salah sebuah persekutuan sekerja yang terawal di Belanda. Beberapa tahun kemudian, ANWV berpecah dalam kalangan golongan konservatif dan golongan sosialis yang menganggotainya. Sekretariat Buruh Kebangsaan (Nationaal Arbeids-Secretariaat, singkatan NAS), yang ditubuhkan pada tahun 1893, merupakan hasil daripada penggabungan Liga Demokratik Sosial (Sociaal-Democratische Bond, SDB), sebuah parti politik sosialis, bersama-sama 7 buah kesatuan sekerja, termasuk ANTB dan Kesatuan Sekerja Umum Belanda bagi Industri Pemprosesan Tembakau (Algemene Nederlandse Bedrijfsbond voor de Tabakverwerking Industrie, singkatan ANBTI). Persekutuan Kesatuan Sekerja Belanda (Nederlands Verbond van Vakverenigingen, singkatan NVV) ditubuhkan pada tahun 1906, dan dipimpin oleh Henri Polak (1868-1943), pengasas serta presiden Kesatuan Umum Pekerja Belian Belanda (Algemene Nederlandse Diamantbewerkersbond, singkatan ANDB).

Di Sepanyol, gerakan pekerja mula muncul pada tahun 1830-an di Catalonia, wilayah yang paling awal mengalami Revolusi Perindustrian. Persatuan Penenun Barcelona (Asociación de Tejedores de Barcelona) yang ditubuhkan pada tahun 1840 sebagai persatuan persahabatan bantuan bersama, merupakan kesatuan sekerja yang terawal di Sepanyol. Pada 18-26 Jun 1870, 89 orang wakil daripada persatuan-persatuan pekerja di Barcelona mengadakan Kongres Pekerja Sepanyol yang Pertama di Barcelona, dan menubuhkan Persekutuan Serantau Sepanyol bagi Kesatuan Pekerja Antarabangsa (La Federación Regional Española de la Asociación Internacional de Trabajadores, singkatan FRE-AIT), iaitu cabang Internasional Pertama di Sepanyol. Pada 12 Ogos 1888, Kesatuan Pekerja Umum (Unión General de Trabajadores, singkatan UGT) ditubuhkan di Mataró, wilayah Catalonia, dengan Antonio García Quejido (1856-1927), seorang jurutipografi yang juga merupakan seorang sosialis, dipilih sebagai Presiden UGT yang pertama.

Antonio García Quejido (1856-1927)

Menurut Rosa Luxemburg (1871-1919), seorang tokoh revolusioner Poland-Jerman, kesatuan sekerja tidak mampu mentransformasi mod pengeluaran kapitalis. Rosa Luxemburg menyamakan perjuangan kesatuan sekerja itu dengan “kerja keras Sisyphos”, iaitu watak dalam mitos Yunani yang dihukum untuk menolak seketul batu ke atas bukit berulang kali tanpa berhenti untuk selama-lamanya. Oleh itu, kepentingan kesatuan sekerja itu bukannya untuk menghapuskan pemilikan borjuis ke atas modal, tetapi ia merupakan badan yang menyatukan pekerja-pekerja dan membolehkan mereka untuk menyedari bahawa mereka merupakan sebahagian daripada sebuah kelas. Kesatuan sekerja itu memperjuangkan pembaharuan untuk memperbaiki kehidupan pekerja. Melalui perjuangan untuk pembaharuan itu, walaupun tidak mengubah asas hubungan kapitalis, pekerja-pekerja masih dapat menyedari kuasa kelas mereka secara kolektif.

“Selain daripada matlamat asal kesatuan-kesatuan sekerja, kini mereka harus belajar untuk bertindak secara sedar sebagai pusat-pusat pengorganisasian kelas pekerja dalam kepentingan yang lebih luas demi pembebasan sepenuhnya,” begitu tulisnya Karl Marx dalam saranan kepada perwakilan Majlis Agung Sementara Kesatuan Pekerja Antarabangsa pada tahun 1866. “Kesatuan-kesatuan sekerja harus menyokong setiap gerakan sosial dan gerakan politik yang menuju ke arah itu. Dengan menganggap diri mereka dan bertindak sebagai jaguh serta wakil seluruh kelas pekerja, mereka wajib untuk menarik golongan pekerja yang tidak menyertai kesatuan sekerja ke dalam barisan mereka. Mereka harus memberi perhatian yang teliti kepada kepentingan pekerja yang dibayar upah paling rendah, seperti pekerja pertanian, yang tidak mampu melakukan penentangan secara teratur akibat keadaan yang luar biasa. Mereka harus meyakinkan seluruh masyarakat bahawa usaha mereka, jauh daripada bersifat sempit dan mementingkan diri sendiri, bertujuan untuk pembebasan jutaan rakyat yang tertindas.”

Pekerja-pekerja yang bermogok bersemuka dengan kapitalis. (ilustrasi: Robert Koehler, 1886)

Mogok

Kesatuan sekerja boleh mengadakan perundingan bersama dengan pihak majikan untuk merundingkan syarat-syarat kerja yang lebih baik demi kesejahteraan pekerja. Namun, jika perundingan bersama itu tidak berjaya atau tidak memihak kepada pihak pekerja, kesatuan sekerja boleh memperjuangkan tuntutannya melalui tindakan langsung. Tindakan langsung ialah pendekatan perjuangan yang boleh menyebabkan kerugian sebenar kepada pihak majikan supaya memaksanya untuk menerima tuntutan yang dibawa oleh golongan pekerja. Tindakan langsung oleh golongan pekerja boleh mengambil pelbagai bentuk, termasuk duduk bantah, pelambatan dalam melakukan kerja, sabotaj ekonomi, pendudukan kilang dan mogok.

Mogok ialah tindakan pekerja berhenti daripada melakukan kerja secara beramai-ramai. Seluruh operasi kilang boleh diberhentikan kerana pekerja-pekerja bermogok. Jika aksi mogok dilakukan oleh pekerja-pekerja di tempat-tempat kerja yang berlainan di sesebuah bandar, ia boleh melumpuhkan bandar itu. Mogok ialah senjata perjuangan kelas pekerja yang paling berkesan dan paling digeruni oleh pihak majikan. Mogok merupakan cara yang berkesan untuk membina kesedaran kelas, menzahirkan kuasa sebenar kelas pekerja dan memajukan perjuangan pembebasan kelas pekerja.

Aksi mogok bukan sekadar pekerja-pekerja itu meluahkan perasaan tidak puas hati atau keluhan mereka terhadap keadaan sedia ada, tetapi untuk mengemukakan tuntutan mengenai penambahbaikan keadaan kerja, perlindungan kebajikan pekerja, pertahanan hak pekerja dan penegakan keadilan. Mogok pekerja memerlukan usaha organisasi yang teratur. Oleh itu, biasanya aksi mogok dianjurkan oleh kesatuan sekerja.

Polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan pekerja-pekerja pembuat mancis yang berprotes di London pada tahun 1871. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Keputusan sesebuah kesatuan sekerja untuk menganjurkan aksi mogok biasanya dibuat melalui pengundian secara demokratik dalam kalangan ahli kesatuan sekerja, atau diputuskan oleh kepimpinan kesatuan sekerja. Namun, terdapat juga aksi mogok yang dilakukan oleh pekerja-pekerja yang berkesatuan tanpa kelulusan atau sokongan kepimpinan kesatuan sekerja. Aksi mogok yang “tidak rasmi” sebegitu dikenali sebagai “mogok kucing liar”. Mogok kucing liar biasanya berlaku di tempat di mana kesatuan sekerja dilarang atau kepimpinan kesatuan sekerja gagal berfungsi secara berkesan.

William Benbow (1787-1864), seorang pendakwah yang berpemikiran radikal di England, boleh dikatakan sebagai orang terawal yang memperkenalkan idea mogok umum. Pada tahun 1830-an, semasa tercetusnya Gerakan Piagam Rakyat, William Benbow menyeru untuk mengadakan “hari cuti kebangsaan besar”, iaitu seluruh kelas pekerja berhenti daripada melakukan kerja mereka, untuk menjayakan gerakan pekerja yang memperjuangkan pembaharuan politik. Mogok umum ialah aksi mogok yang disertai oleh semua atau sebahagian besar tenaga kerja di dalam sebuah bandar, wilayah atau negara.

Depot kereta api di Pittsburgh, negeri Pennsylvania, dibakar semasa Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877. (ilustrasi: M.B. Leiser, 1877)

Sama ada mempunyai kesatuan sekerja atau tidak, pekerja-pekerja biasanya akan menubuhkan jawatankuasa mogok semasa melakukan aksi mogok. Jawatankuasa mogok itu memainkan peranan penting dalam merangka strategi aksi mogok, menyelaraskan aktiviti-aktiviti sepanjang mogok, menguruskan kewangan, menyebarkan maklumat, mewakili pihak pekerja dalam perundingan dan sebagainya.

Sebuah aksi mogok dapat bertahan lebih lama jika ia mempunyai dana mogok yang dikumpul terlebih dahulu. Dana mogok itu boleh digunakan untuk membayar segala perbelanjaan semasa aksi mogok, seperti memperoleh keperluan asas bagi pekerja-pekerja yang bermogok dan membayar pampasan ganti upah kepada pekerja-pekerja yang bermogok. Jika aksi mogok itu merupakan mogok umum atau mogok seluruh bandar, dana mogok diperlukan untuk perbelanjaan menguruskan hal ehwal harian bandar itu apabila ia dilumpuhkan oleh aksi mogok umum.

Jawatankuasa mogok yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja semasa melakukan aksi mogok boleh menjadi embrio kepada badan pemerintahan kelas pekerja. Jika jawatankuasa mogok itu dapat mengamalkan demokrasi langsung dengan penglibatan pekerja yang terbanyak dan menguasai alat pengeluaran di kilang, ia sudah menjadi prototaip pemerintahan proletar di peringkat kilang. Aksi mogok itu juga bagaikan sekolah yang melatih golongan pekerja untuk mengambil alih kuasa dan menentukan nasib mereka secara demokratik.  

Pekerja-pekerja yang bermogok berkonfrontasi dengan pekerja-pekerja yang tidak bermogok. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Selepas berlakunya Revolusi Perindustrian, dengan semakin ramai orang bekerja di kilang-kilang besar tetapi dalam keadaan kerja yang teruk, mogok pekerja merupakan sesuatu yang sering berlaku. Aksi mogok juga berlaku di lombong-lombong dan ladang-ladang. Aksi mogok biasanya berkaitan dengan tuntutan ekonomi seperti kenaikan upah dan pengurangan jam kerja, tetapi ia juga boleh digunakan untuk memperjuangkan tuntutan politik, seperti mendesak kerajaan untuk menggubal undang-undang atau dasar supaya melindungi hak pekerja. Salah satu contoh mogok politik ialah Mogok Umum 1842 di Britain untuk menyokong Piagam Rakyat.

Aksi mogok juga sering memaksa kerajaan untuk mencampur tangan, sama ada hasil daripada desakan pihak kesatuan sekerja atau pihak majikan. Namun, kerajaan yang mencampur tangan itu jarang sekali bersifat neutral, kerana kerajaan yang dikuasai oleh kelas kapitalis biasanya memihak kepada golongan kapitalis. Oleh itu, kebanyakan mogok pada abad ke-19 dianggap sebagai aktiviti haram yang sering dilayan dengan keganasan negara. Walau bagaimanapun, hasil daripada perjuangan pekerja yang berterusan, semakin banyak negara mula mengiktiraf hak pekerja untuk bermogok menjelang awal abad ke-20.

Selain menggunakan keganasan negara, pihak majikan juga sering kali mengupah “pengganti pemogok” (strikebreaker) untuk mematahkan aksi mogok. Pengganti pemogok itu boleh diupah dalam kalangan pekerja-pekerja yang sedia ada atau orang lain dari luar supaya tempat kerja itu boleh terus berfungsi semasa pekerja-pekerjanya bermogok.

Pekerja-pekerja am yang bermogok di Milan, Itali, menyerbu arked beli-belah Galleria Vittorio Emanuele II. (ilustrasi: Achille Beltrame)

Penenun-penenun kain di kawasan Spitalfields, yang terletak di bahagian timur London, bermogok malah merusuh pada tahun 1765, 1769 dan 1773, sehingga memaksa Parlimen British membenarkan hakim di kawasan itu untuk menetapkan kadar upah bagi penenun-penenun kain. Tindakan langsung penenun-penenun kain itu merupakan antara aksi mogok terawal yang berlaku semasa era Revolusi Perindustrian di Britain.

Di Scotland, pernah berlakunya mogok penenun di Calton, daerah Lanarkshire, pada tahun 1787, dua tahun sebelum tercetusnya Revolusi Perancis. Golongan penenun kain di Calton pada masa itu menghadapi masalah pengurangan kadar upah kerana mekanisasi dan lambakan tenaga kerja. Oleh itu, mereka bermogok untuk menuntut kenaikan upah. Golongan pemogok berarak di jalanan Glasgow. Pada 3 September 1787, pihak berkuasa mengerahkan pasukan tentera untuk menyuraikan golongan pemogok dan menembak mati 6 orang penenun. Dengan itu, penenun-penenun Calton menjadi martir kelas pekerja yang terawal di Scotland.

Pembantaian terhadap penenun-penenun Calton pada tahun 1787. (ilustrasi: Ken Currie. 1987)

Penenun-penenun di Glasgow, Scotland, pernah bermogok sekitar tahun 1805 untuk menuntut penguatkuasaan undang-undang lama zaman Ratu Elizabeth I yang memberi kuasa kepada majistret untuk menetapkan upah tukang bagi menampung kos sara hidup, tetapi pemimpin-pemimpin mogok ditangkap oleh pihak berkuasa.

Pada tahun 1808, Parlimen British menolak petisyen daripada golongan penenun yang menuntut penggubalan Rang Undang-Undang Upah Minimum. Tindakan golongan pemerintah itu mencetuskan mogok penenun kain di daerah Lancashire, England Barat Laut, pada bulan Mei 1808. Aksi mogok itu membolehkan golongan penenun menerima kenaikan upah sebanyak 20%. Golongan penenun di Scotland mengadakan mogok pada tahun 1812 untuk memperjuangkan upah minimum, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa apabila pemimpin-pemimpin mogok di Glasgow ditangkap dan dikenakan hukuman penjara antara 4 hingga 8 bulan.

Tukang penenun di Scotland.

Mogok pekerja Scotland pada bulan April 1820 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya dan kerajaan yang lebih responsif bertukar menjadi pemberontakan yang dikenali sebagai “Perang Radikal”, dengan beberapa orang pemimpin mogok dijatuhkan hukuman mati.

Pada bulan Mei 1824, pekerja-pekerja wanita di sebuah kilang tekstil di Pawtucket, negeri Rhode Island, Amerika Syarikat, bermogok untuk membantah tindakan pemilik kilang yang hendak memanjangkan jam kerja sehari dan mengurangkan upah pekerja. Aksi mogok itu turut disokong oleh pekerja-pekerja lain di Pawtucket. Mogok itu boleh dikatakan mogok pekerja yang pertama di Amerika Syarikat.

Pada bulan Februari 1831, kira-kira 1,600 orang pekerja wanita yang menganggotai Persatuan Tukang Jahit Wanita Bersatu New York bermogok untuk menuntut upah adil yang setimpal dengan kerja mereka. Walaupun mogok itu tidak berjaya membawa perubahan serta-merta, ia telah meletakkan asas kepada gerakan pekerja Amerika Syarikat dan memberi inspirasi kepada aksi-aksi mogok pekerja wanita pada abad ke-19.

Pada tahun 1833, pekerja-pekerja lombong di Anzin, Perancis, melancarkan aksi mogok untuk membantah pemotongan upah sebanyak 4 sen, tetapi dipatahkan oleh pasukan tentera yang dipanggil oleh syarikat perlombongan. Aksi mogok itu juga dikenali sebagai “Rusuhan Empat Sen”.

Terdapat banyak aksi mogok yang diadakan di Amerika Syarikat pada tahun 1820-an dan 1830-an untuk memperjuangkan pengurangan jam kerja sehari. Golongan tukang kayu di Boston, negeri Massachusetts, mengadakan mogok pada tahun 1825 dan 1832, untuk menuntut pengurangan jam kerja kepada 10 jam sehari. Pada bulan Jun 1827, kira-kira 600 orang tukang kayu di Philadelphia, negeri Massachusetts, bermogok untuk menuntut supaya melaksanakan sistem kerja 10 jam sehari di seluruh bandar itu. Mogok Umum Philadelphia pada bulan Jun 1835, yang menuntut kerja 10 jam sehari dan peningkatan upah, merupakan mogok umum seluruh bandar yang pertama di Amerika Syarikat dan Amerika Utara.

Pada tahun 1835, lebih 2,000 orang pekerja dari 20 buah kilang tekstil di Paterson, negeri New Jersey, Amerika Syarikat, bermogok untuk menuntut pengurangan jam kerja sehari dari 13 jam setengah kepada 11 jam. Kebanyakan pekerja yang bermogok itu merupakan kanak-kanak perempuan, dan ramai yang berketurunan Ireland. Pekerja-pekerja lain di Paterson dan bandar-bandar yang berdekatan memberi sokongan kepada pekerja-pekerja yang bermogok, maka membolehkan mogok itu berlarutan selama 2 minggu. Walaupun pihak majikan enggan berunding dengan pekerja-pekerja yang bermogok, mereka mengumumkan pengurangan jam kerja sehari kepada 12 jam pada hari biasa dan 9 jam pada hari Sabtu. Ramai pemimpin pekerja yang bermogok dan keluarga mereka disenaraihitamkan oleh majikan-majikan di Paterson selepas mogok itu ditamatkan.

Mogok Umum 1842 merebak ke Halifax, daerah Yorkshire Barat, England. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Mogok Umum 1842 di Britain, yang bermula daripada aksi mogok pekerja lombong arang batu di daerah Staffordshire pada tahun 1842 untuk membantah upah rendah, merebak ke bandar-bandar perindustrian dan lombong-lombong arang batu lain di seluruh negara itu. Pekerja-pekerja yang bermogok itu juga mendukung Piagam Rakyat yang menuntut perluasan hak mengundi. Mogok umum yang melibatkan lebih 500,000 orang pekerja itu merupakan kemuncak Gerakan Piagam Rakyat.

Pekerja-pekerja penenun di Preston, daerah Lancashire, England Barat Laut, mengadakan mogok yang berlarutan selama lebih 7 bulan, dari bulan September 1853 hingga bulan Mei 1854. Pekerja-pekerja penenun di Preston menuntut kenaikan upah kerja sebanyak 10%. Pada 22 Ogos 1853, pekerja-pekerja penenun Preston mengadakan perjumpaan dan memutuskan sebulat suara bahawa mereka akan bermogok jika pihak pemilik kilang menolak tuntutan mereka. Pada penghujung bulan Ogos 1853, golongan pemilik kilang di Preston memutuskan untuk menolak tuntutan kenaikan upah yang dikemukakan oleh golongan pekerja penenun.

Pekerja-pekerja yang bermogok di Preston, daerah Lancashire, England, berhimpun untuk mendengar ucapan daripada George Cowell, seorang tukang penenun dan pemimpin pekerja di situ. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pekerja-pekerja penenun Preston yang bermogok mengadakan perhimpunan harian di kawasan lapang, di mana pekerja-pekerja berbincang tentang ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak pemilik kilang. Wakil-wakil pekerja dari seluruh negara juga hadir ke situ untuk memberikan ucapan yang menyuarakan sokongan kepada pekerja-pekerja penenun di Preston.

Terdapat usaha daripada golongan kelas menengah di Preston yang cuba mengaturkan perjumpaan antara pihak pemilik kilang dan pekerja-pekerja penenun supaya mencari perdamaian bagi pertikaian perusahaan itu, tetapi pihak pemilik kilang enggan mengambil bahagian dalam perundingan damai. Malah, golongan pemilik kilang mengupah pengganti pemogok yang datang dari daerah lain untuk meneruskan operasi kilang mereka semasa permogokan pekerja.

Pekerja-pekerja penenun yang bermogok di Preston cuba menghalang kemasukan pengganti pemogok dengan mengadakan protes di stesen kereta api. Namun, pihak polis mengiringi pengganti pemogok dari stesen kereta api ke kilang. Oleh itu, golongan pekerja yang bermogok menghantar delegasi ke seluruh negara untuk memujuk pekerja-pekerja lain supaya jangan datang ke Preston sebagai pengganti pemogok. Beberapa orang delegasi pekerja ditangkap oleh pihak berkuasa atas pertuduhan berkonspirasi. Namun, terdapat juga kejayaan dalam usaha pemujukan itu, termasuk sekumpulan imigran dari Ireland yang diupah sebagai pengganti pemogok memutuskan untuk pulang ke Ireland sebelum tiba di Preston.

Dengan dana mogok semakin berkurangan, jawatankuasa yang memimpin aksi mogok pekerja penenun Preston itu mengisytihar penamatan mogok pada 1 Mei 1854. Sebahagian besar pekerja penenun kembali bekerja tidak lama kemudian, tetapi ribuan orang pekerja kehilangan kerja selepas tamatnya mogok.

Mogok Preston 1853-1854. (ilustrasi: William Rainey, ~1909)

Mogok Preston 1853-1854 akhirnya menemui kegagalan kerana tuntutan kenaikan upah 10% itu tidak tercapai. Kira-kira 20,000 orang pekerja penenun menyertai aksi mogok itu. Seluruh industri tekstil di bandar Preston dilumpuhkan semasa mogok pekerja.

Di Sepanyol, golongan liberal berpecah kepada dua aliran utama pada abad ke-19, iaitu Parti Moderat (1834-1874) yang berhaluan kanan dan Parti Progresif (1834-1874) yang berhaluan kiri. Tempoh Parti Moderat berkuasa di Sepanyol, dari tahun 1844 hingga 1854, dikenali sebagai “Dekad Moderat” (Década Moderada). Golongan Progresif merampas kuasa pada tahun 1854 dengan sokongan daripada kerajaan British dan Perancis, dikenali sebagai “Revolusi 1854”, dan menubuhkan kerajaan baharu yang dipimpin oleh Baldomero Espartero (1793-1879) yang bersekutu dengan Parti Progresif. Pemerintahan Parti Progresif selama dua tahun selepas Revolusi 1854 dikenali sebagai “Dua Tahun Progresif” (Bienio Progresista). Ramai pekerja di Catalonia berjuang bagi pihak Parti Progresif semasa Revolusi 1854. Golongan pekerja di Catalonia mengharapkan kerajaan Progresif yang baharu itu dapat melindungi hak mereka.

Golongan pekerja di Catalonia telah mengorganisasi pelbagai persatuan pekerja dan persatuan bantuan bersama, dengan 30 buah persatuan membentuk sebuah “majlis pusat”. Organisasi-organisasi pekerja itu bermobilisasi untuk menentang mekanisasi dalam perusahaan tekstil pada tahun 1854. Pekerja-pekerja tekstil di Barcelona bermogok untuk menuntut pengharaman mesin penenun automatik yang mengakibatkan pengangguran pekerja. Mereka juga melakukan aksi sabotaj yang merosakkan mesin penenun automatik seperti golongan Luddite. Tindakan langsung oleh golongan pekerja Catalonia itu berjaya memaksa kerajaan untuk melarang penggunaan mesin penenun automatik.

Kerajaan Progresif yang berkuasa di Sepanyol selepas Revolusi 1854 pada awalnya membenarkan persatuan-persatuan pekerja, malah memuji mereka atas sokongan mereka kepada perjuangan liberal. Namun, oleh sebab tekanan daripada golongan moderat, pihak berkuasa Sepanyol mula menyekat kesatuan buruh. Pada bulan Februari 1855, pihak berkuasa menangkap sekumpulan pekerja penenun yang cuba mengorganisasi pekerja di kilang-kilang di Barcelona. Pada bulan Mei 1855, kerajaan membatalkan larangan penggunaan mesin penenun automatik. Ramai pekerja Catalonia, yang mengharapkan kerajaan Progresif itu mengiktiraf hak untuk kebebasan berhimpun dan menegakkan hak pekerja, terasa dikhianati oleh tindakan kerajaan yang anti-pekerja itu.

Josep Barceló Cassadó (1824-1855), seorang penenun dan pemimpin pekerja yang agak berpengaruh di Catalonia pada masa itu, ditangkap oleh pihak berkuasa dan dihukum mati pada 6 Jun 1855. Tidak lama kemudian, persatuan pekerja diharamkan sama sekali, perjanjian bersama yang sudah wujud pun dibatalkan, dan beberapa orang pemimpin pekerja yang terkenal dipenjarakan, dengan sesetengah orang dibuang negeri ke Kuba.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Josep Barceló. (ilustrasi: Josep Ortega y Espinós)

Untuk membantah penghukuman mati Josep Barceló dan pengharaman persatuan pekerja, organisasi-organisasi pekerja menyeru untuk mengadakan aksi mogok pada bulan Julai 1855. Mereka mengemukakan deklarasi pada 2 Julai 1855 dengan tuntutan-tuntuan termasuk hak untuk kebebasan berpersatuan, jam kerja yang tetap, panel timbang tara campuran, menghentikan amalan pemecatan pekerja sesuka hati dan hak pekerja untuk menyertai militia kebangsaan. Ribuan pekerja di Barcelona dan kawasan-kawasan sekitarnya menyertai aksi mogok.

Aksi mogok itu berlangsung secara aman, dan pekerja-pekerja berdemonstrasi di jalanan dengan membawa sepanduk yang tertulis slogan “Persatuan atau Mati! Roti dan Kerja!”. Dua orang pengurus di sebuah kilang di kawasan Sants, yang terletak di bahagian selatan Barcelona, diserang oleh pekerja-pekerja yang bermogok, dengan seorang pengurus terbunuh dan seorang lagi cedera parah.

Pada 4 Julai 1855, pekerja-pekerja yang bermogok di Catalonia menghantar sebuah delegasi ke Madrid untuk berunding dengan Baldomero Espartero, Perdana Menteri Sepanyol pada masa itu. Namun, Baldomero Espartero enggan menerima tuntutan pekerja sehingga aksi mogok dibatalkan. Sebaliknya, Espartero menghantar utusan khas terus ke Barcelona untuk mendesak supaya pekerja-pekerja berhenti daripada bermogok, sebagai pertukaran untuk penubuhan panel timbang tara campuran. Espartero juga menghantar pasukan tentera untuk menyokong pihak berkuasa Catalonia.

Pada 9 Julai 1855, pasukan tentera kerajaan menguasai seluruh bandar Barcelona dan melakukan penangkapan besar-besaran terhadap pekerja-pekerja yang bermogok. Pada 10 Julai 1855, dengan pihak berkuasa masih menyerang secara ganas dan dana mogok semakin berkurangan, pekerja-pekerja di Catalonia bersetuju untuk menghentikan aksi mogok sebagai pertukaran dengan janji kerajaan yang akan menubuhkan panel timbang tara campuran. Pada 12 Julai 1855, Mogok Umum Catalonia ditamatkan. Susulan daripada mogok umum itu, Cortes Generales (iaitu Parlimen Sepanyol) menggubal Rang Undang-Undang Industri Pembuatan, yang membolehkan penubuhan panel timbang tara campuran tetapi gagal memberikan perwakilan pekerja yang sewajarnya dalam panel timbang tara campuran. Rang undang-undang itu juga mengharamkan kesatuan sekerja. Namun, rang undang-undang itu ditarik balik kerana mendapat tentangan daripada kedua-dua pihak pekerja dan majikan.

Walaupun Mogok Umum Catalonia 1855 menemui kegagalan dan penindasan terhadap organisasi pekerja masih berterusan, golongan pekerja di Sepanyol tidak pernah berputus asa dalam membina organisasi buruh mereka. Sebuah akhbar pekerja, El Eco de la Clase Obrera (Suara Kelas Pekerja), yang diasaskan oleh Ramon Simó i Badia (??-1872), seorang jurutaip dan aktivis buruh yang berasal dari Catalonia, mula diterbitkan di Madrid pada bulan Ogos 1855. Sebuah manifesto yang dikemukakan oleh akhbar itu dengan sokongan tandatangan daripada lebih 30,000 orang diserahkan kepada Cortes Generales, dengan tuntutan hak untuk kebebasan berpersatuan.

Dalam keadaan kesatuan sekerja diharamkan, pekerja-pekerja Sepanyol masih berorganisasi secara bersembunyi. Revolusi Gemilang, yang berlaku pada bulan September 1868 dan membawa kepada “Enam Tahun Demokratik” (Sexenio Democrático), membuka ruang kepada perkembangan organisasi-organisasi pekerja yang terbuka. Kongres Pekerja Barcelona yang diadakan pada tahun 1868 disertai oleh perwakilan daripada 61 buah persatuan pekerja. Gerakan pekerja terus berkembang di Sepanyol, terutamanya Catalonia, dengan banyak mogok umum berlaku di wilayah itu pada awal abad ke-20.

Pekerja-pekerja pembinaan di London mula menganjurkan kempen menuntut kerja 9 jam sehari pada tahun 1858. Kempen itu diterajui oleh George Potter, seorang tukang kayu yang aktif mengorganisasi kesatuan sekerja. Pihak majikan enggan menerima petisyen yang dikemukakan oleh golongan pekerja, malah memecat pemimpin pekerja yang menyerahkan petisyen itu. Pekerja-pekerja pembinaan London melancarkan mogok pada bulan Julai 1859. Pihak majikan bertindak balas pula dengan memangsakan anggota-anggota kesatuan sekerja. Kira-kira 24,000 orang pekerja dilarang daripada memasuki tempat kerja, dan pihak majikan hanya menerima pekerja-pekerja yang sudah menandatangani dokumen yang mengisytihar dirinya bukan ahli kesatuan sekerja. Hanya sedikit pekerja yang menandatangani dokumen yang menafikan keahlian kesatuan sekerja itu. Walaupun Mogok Pekerja Pembinaan London 1859 akhirnya menemui kegagalan pada bulan Disember 1859, dengan tuntutan pekerja tidak tercapai, ia telah memberi dorongan kepada pekerja-pekerja British untuk menubuhkan kesatuan sekerja kebangsaan baharu yang dikenali sebagai Kesatuan Sekerja Model Baharu.  

Mogok pekerja pembuat kasut di Lynn, negeri Massachusetts, Amerika Syarikat, pada 17 Mac 1860. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 22 Februari 1860, kira-kira 3,000 orang pekerja pembuat kasut bermogok di Lynn, negeri Massachusetts, Amerika Syarikat. Dalam tempoh seminggu, aksi mogok merebak ke 25 buah bandar di wilayah New England, termasuk bandar-bandar di negeri seperti Maine, Massachusetts dan New Hampshire. Kira-kira 20,000 orang pekerja pembuat kasut bermogok di seluruh New England. Ramai pekerja menyuarakan sokongan mereka kepada pekerja-pekerja pembuat kasut yang bermogok, dengan menganjurkan perarakan. Golongan wanita memainkan peranan yang penting dalam mogok itu. Kira-kira 6,000 orang berarak di pusat bandar Lynn pada 8 Mac 1860 dengan membawa sepanduk yang tertulis, “Wanita Amerika tidak akan menjadi hamba: Berikan kami pampasan yang adil dan kami akan bekerja dengan penuh bersemangat.” Abraham Lincoln (1809-1865), calon Parti Republikan yang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun itu, turut menyuarakan sokongannya kepada aksi mogok itu. Mogok Pekerja Pembuat Kasut New England 1860 ditamatkan pada 10 April 1860 apabila 30 orang majikan menandatangani persetujuan untuk menaikkan upah pekerja. Mogok itu merupakan mogok terbesar di Amerika Syarikat sebelum Perang Saudara Amerika. Alonzo Granville Draper (1835-1865), salah seorang pemimpin mogok di New England, kemudiannya menjadi seorang jeneral dalam Tentera Kesatuan semasa Perang Saudara Amerika.

Pada tahun 1864, Kate Mullany (1845-1906), seorang pekerja imigran dari Ireland yang berusia 19 tahun pada masa itu, bersama dengan rakan sekerjanya, Esther Keegan dan Sarah McQuillan, menubuhkan Kesatuan Sekerja Dobi Kolar (Collar Laundry Union) di Troy, negeri New York, Amerika Syarikat. Kesatuan sekerja yang semua anggotanya merupakan wanita itu ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib pekerja pencuci kain yang menghadapi masalah seperti upah rendah, jam kerja yang panjang dan keadaan tempat kerja yang tidak selamat. Pada 23 Februari 1864, 300 orang anggota kesatuan sekerja pencuci kain itu bermogok. Selepas 6 hari, pihak pemilik dobi bersetuju untuk menaikkan upah pekerja sebanyak 25%. Pada tahun 1868, dalam Kongres Buruh Kebangsaan yang diadakan di Bandar Raya New York, Kate Mullany dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kesatuan Buruh Kebangsaan (NLU), menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan pemimpin kesatuan buruh di peringkat kebangsaan di Amerika Syarikat.

Grafik yang memperingati Kesatuan Sekerja Dobi Kolar.

Selepas tamatnya Perang Saudara Amerika, dengan ekonomi perindustrian moden berkembang lebih pesat lagi di Amerika Syarikat, aksi mogok untuk memperjuangkan hak pekerja menjadi lebih kerap lagi. Pada bulan Julai 1865, iaitu tidak sampai dua bulan tamatnya Perang Saudara Amerika, kira-kira 2,000 orang pekerja lombong besi di Semenanjung Hulu Michigan bermogok dan berarak ke bandar Marquette, negeri Michigan, untuk membantah pengurangan upah. Namun, mogok itu dipatahkan oleh pasukan tentera yang dikerahkan ke situ.

Projek pembinaan Landasan Rentas Benua Pertama yang bermula pada tahun 1863 menghadapi masalah kelambatan dalam penyiapan kerja pada awalnya kerana kekurangan tenaga buruh. Syarikat pembinaan landasan kereta api itu, Central Pacific Railroad, hanya dapat mengambil beberapa ratus orang pekerja kulit putih, tetapi ramai meninggalkan kerja itu jika terdapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Oleh itu, syarikat Central Pacific Railroad mula membawa masuk pekerja-pekerja imigran dari China pada tahun 1864. Jumlah tenaga kerja warga Cina mencecah lebih 11,000 orang menjelang bulan Februari 1867, bersamaan kira-kira 90% daripada jumlah pekerja yang diupah oleh syarikat pembinaan landasan kereta api pada masa itu. Namun, pekerja-pekerja Cina itu diasingkan di dalam kem penempatan pekerja, dibayar upah yang lebih rendah untuk jam kerja yang lebih panjang, dan terpaksa membeli keperluan asas dengan wang sendiri sedangkan pekerja-pekerja kulit putih dibekalkan keperluan asas oleh syarikat.

Landasan Kereta Api Rentas Benua Pertama di Amerika Syarikat dibina oleh pekerja-pekerja imigran dari China yang mempertaruhkan nyawa mereka. (ilustrasi: J.K., 1963)

Pada 19 Jun 1867, berlakunya insiden letupan besar di tapak pembinaan terowong berdekatan dengan Cisco, negeri California, yang membunuh 6 orang, iaitu 5 orang pekerja Cina dan seorang pekerja kulit putih. Peristiwa itu mencetuskan kemarahan pekerja-pekerja Cina yang mempertaruhkan nyawa mereka dalam kerja pembinaan landasan kereta api tetapi diberi layanan yang teruk. Pada 24 Jun 1867, kira-kira 3,000 orang pekerja Cina yang bekerja di landasan kereta api sepanjang 30 batu (bersamaan kira-kira 48 km), dari Cisco ke Truckee, melancarkan aksi mogok. Pekerja-pekerja Cina yang bermogok itu menuntut peningkatan upah kepada kadar yang sama dengan pekerja kulit putih, pengurangan masa kerja daripada 11 jam sehari kepada 10 jam sehari, dan pengurangan tempoh masa syif kerja di terowong yang berbahaya. Mogok pekerja Cina itu menjejaskan kemajuan pembinaan Landasan Rentas Benua Pertama.

Namun, pihak syarikat Central Pacific Railroad mengambil pendirian tegas untuk tidak menerima tuntutan pekerja, sebaliknya cuba mematahkan tindakan mogok itu. Pihak syarikat Central Pacific Railroad dan kontraktor buruh memutuskan bekalan asas kepada pekerja-pekerja Cina yang bermogok untuk mematahkan semangat mereka. Selepas seminggu, dengan pekerja-pekerja Cina yang bermogok itu menghadapi kebuluran, wujudnya perpecahan dalam kalangan pemogok, dengan sesetengah orang cuba berunding dengan pihak majikan, sesetengah orang berpendirian tegas untuk meneruskan aksi mogok, dan sesetengah lagi bersedia untuk mengalah. Aksi mogok itu ditamatkan pada 1 Julai 1867, dan pekerja-pekerja yang bermogok itu kembali bekerja. Namun begitu, pihak syarikat Central Pacific Railroad tidak pernah dapat mengenal pasti pemimpin mogok itu. Syarikat Central Pacific Railroad juga secara senyap-senyap menaikkan kadar upah pekerja-pekerja Cina yang berpengalaman dalam tempoh beberapa bulan kemudian. Walaupun mogok pekerja Cina itu tidak berjaya, ia telah menunjukkan kepada pihak majikan di Amerika Syarikat bahawa pekerja-pekerja imigran dari China tidak boleh dibuli sewenang-wenangnya.

Pada tahun 1870, pekerja-pekerja kilang kasut yang diorganisasi oleh kesatuan tukang kasut, Order of the Knights of St. Crispin, mengadakan aksi mogok terhadap majikan mereka di North Adams, negeri Massachusetts, Amerika Syarikat. Mogok itu dipatahkan apabila penyelia kilang kasut memecat pekerja-pekerja berketurunan Ireland yang bermogok dan menggantikan mereka dengan pekerja-pekerja Cina yang dibawa masuk dari California. Peristiwa itu menimbulkan perasaan memusuhi pekerja-pekerja imigran China dalam kalangan pekerja kulit putih, yang kebanyakannya juga berketurunan imigran. 12 tahun kemudian, Kongres Amerika Syarikat menggubal Akta Penyisihan Cina 1882 (Chinese Exclusion Act of 1882) yang melarang kemasukan semua pekerja imigran Cina, dan ia merupakan undang-undang anti-imigran yang pertama dalam sejarah Amerika Syarikat. Perpecahan dalam kalangan pekerja yang disebabkan oleh sentimen perkauman dan xenofobia, semestinya melemahkan kekuatan gerakan pekerja.

Perakan pekerja di Bandar Raya New York pada 5 September 1882. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Mogok pekerja di Bandar Raya New York pada tahun 1872, yang merupakan salah satu mogok seluruh bandar yang pertama untuk menuntut kerja 8 jam sehari di Amerika Syarikat, telah disertai oleh lebih 100,000 orang pekerja daripada pelbagai pekerjaan, dari sektor pembinaan hingga sektor pembuatan. Walaupun mogok itu berjaya memperoleh kerja 8 jam sehari bagi ramai pekerja, ia dipatahkan selepas pihak polis mengambil tindakan keras terhadap pekerja-pekerja yang bermogok dan pihak majikan menggunakan taktik-taktik kotor untuk memecahkan kesatuan sekerja.

Pada 25 Mac 1872, Kesatuan Pekerja Tipografi Toronto (Toronto Typographical Union, singkatan TTU) melancarkan mogok pekerja percetakan di Toronto, provinsi Ontario, Kanada. Mogok itu diadakan selepas pihak majikan menolak tuntutan untuk kerja 9 jam sehari yang dikemukakan oleh TTU dan pekerja-pekerja percetakan. Mogok itu juga mendapat sokongan daripada Perhimpunan Kesatuan Sekerja Toronto. Pada 15 April 1872, penyokong-penyokong mogok pekerja percetakan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Queen’s Park, sebuah taman yang terletak di pusat bandar Toronto. Pada 16 April 1872, 23 orang aktivis TTU ditangkap oleh pihak berkuasa dan didakwa dengan pertuduhan jenayah berkonspirasi. Pada 3 September 1872, kesatuan-kesatuan sekerja di Ottawa menganjurkan perarakan yang disertai oleh kira-kira 10,000 orang. Hasil daripada desakan gerakan kesatuan sekerja, John A. Macdonald (1815-1891), Perdana Menteri Kanada pada masa itu, berjanji untuk memansuhkan undang-undang yang digunakan untuk mendakwa pekerja-pekerja percetakan di Toronto. Parlimen Kanada menggubal Akta Kesatuan Sekerja 1872 yang membenarkan aktiviti-aktiviti kesatuan di sisi undang-undang.  

Pada tahun 1873, kira-kira 7,500 orang pekerja lombong arang batu di Lembah Mahoning, Lembah Shenango dan Lembah Tuscarawas, yang terletak di bahagian timur laut negeri Ohio dan bahagian barat laut negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat, mengadakan aksi mogok untuk membantah pengurangan upah. Aksi mogok di Lembah Tuscarawas berlarutan selama 6 bulan, sementara mogok di Lembah Mahoning berterusan selama 4 bulan setengah. Pihak majikan menggunakan pengganti pemogok yang terdiri daripada pekerja-pekerja imigran Itali Selatan untuk mematahkan aksi mogok itu, dan memaksa pekerja-pekerja lombong yang bermogok itu kembali bekerja tanpa mencapai tuntutan mereka.

“Hari Jumaat Hitam” pada 9 Mei 1873 yang menyaksikan kejatuhan harga saham yang teruk di Bursa Saham Vienna, seterusnya mencetuskan krisis kewangan Panik 1873. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Krisis kewangan pada tahun 1873, yang disebabkan oleh ledakan gelembung spekulasi kereta api, telah mencetuskan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika Utara pada tahun 1870-an. Golongan kapitalis berebut-rebut untuk memecat pekerja-pekerja atau mengurangkan upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja, sudah pasti mencetuskan penentangan daripada golongan pekerja melalui aksi mogok. Oleh itu, tercetusnya gelombang mogok pekerja berikutan krisis kewangan yang dikenali sebagai “Panik 1873”.

Pada tahun 1877, syarikat kereta api Baltimore and Ohio Railroad (B&O) memotong upah pekerjanya sebanyak 3 kali dalam tempoh setahun, sehingga mencetuskan Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877 di Amerika Syarikat. Pada 14 Julai 1877, pekerja-pekerja kereta api di Martinsburg, negeri Virginia Barat, melancarkan mogok dengan enggan membenarkan sebarang kereta api bertolak dari stesen kereta api Martinsburg, melainkan pihak majikan membatalkan pemotongan upah. Gabenor negeri Virginia Barat mengerahkan pasukan militia untuk menggerakkan kereta api, tetapi mencetuskan peristiwa tembak-menembak yang membunuh seorang pekerja yang bermogok. Kerajaan negeri Virginia Barat kemudiannya meminta bantuan daripada pasukan tentera persekutuan.

Pekerja-pekerja yang bermogok menyekat pergerakan kereta api di Martinsburg, negeri Virginia Barat, Amerika Syarikat, semasa Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Namun begitu, aksi mogok pekerja kereta api yang bermula di Virginia Barat, merebak dengan cepatnya ke negeri-negeri lain, seperti Maryland, New York, Pennsylvania, Illinois dan Missouri. Pada 16 Julai 1877, pekerja-pekerja kereta api yang diupah oleh syarikat B&O di Baltimore, negeri Maryland, mula bermogok dan menghentikan trafik landasan kereta api di situ. Pada hari yang sama, ratusan orang pekerja sektor pembuatan di Baltimore juga melancarkan mogok untuk menuntut peningkatan upah sebanyak 10%. Pada 20 Julai 1877, pasukan polis dan Pengawal Kebangsaan Maryland bertempur dengan ribuan orang demonstran yang berprotes di Baltimore. Rutherford B. Hayes (1822-1893), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, menghantar pasukan tentera persekutuan ke Baltimore. Pihak berkuasa “memulihkan ketenteraman” di Baltimore pada 22 Julai 1877, tetapi dianggarkan 10 hingga 22 orang awam terbunuh, dan lebih 150 orang cedera. Ramai orang ditangkap.

Pada 19 Julai 1877, pekerja-pekerja kereta api di Pittsburgh, negeri Pennsylvania, melancarkan mogok dan menghentikan pergerakan kereta api di sepanjang laluan Landasan Kereta Api Pennsylvania. Pada 21-22 Julai 1877, pasukan Pengawal Kebangsaan yang dikerahkan ke Pittsburgh melepaskan tembakan ke arah golongan demonstran dan mencetuskan rusuhan, dengan 61 orang (53 orang demonstran dan 8 orang askar) terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak. Sebanyak 39 buah bangunan, 104 buah lokomotif, lebih 46 buah gerabak penumpang dan lebih 1,200 buah gerabak pengangkut barang dimusnahkan dalam rusuhan dan kebakaran di Pittsburgh. Pada 23 Julai 1877, pasukan militia yang dikerahkan ke Reading, negeri Pennsylvania, untuk mematahkan mogok pekerja kereta api di situ, bertempur dengan para pemogok, dan membunuh kira-kira 10 hingga 16 orang awam.

Pasukan Pengawal Kebangsaan Maryland dikerahkan untuk mematahkan aksi mogok pekerja di Baltimore pada 20 Julai 1877. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 23 Julai 1877, pekerja-pekerja yang diupah oleh syarikat Delaware, Lackawanna and Western Railroad di Scranton, negeri Pennsylvania, mengemukakan tuntutan supaya upah mereka dipulihkan kepada kadar sebelum pemotongan sebanyak 10% yang baru dikenakan. Pada 24 Julai 1877, pekerja-pekerja kereta api di Scranton melancarkan mogok, dan pada hari yang sama, kira-kira 1,000 orang pekerja kilang besi yang diupah oleh Lackawanna Iron and Coal Company di Scranton juga mengadakan aksi mogok untuk membantah pengurangan upah di tempat kerja mereka. Menjelang 25 Julai 1877, bandar Scranton dilumpuhkan oleh mogok umum. Pekerja-pekerja lombong di situ juga bermogok untuk menuntut kenaikan upah. Pada 1 Ogos 1877, sekumpulan demonstran menyerang datuk bandar Scranton dan bertempur dengan pasukan militia tempatan, menyebabkan 4 orang terbunuh dan ramai cedera. Pasukan Pengawal Kebangsaan Pennsylvania dan tentera persekutuan dikerahkan ke Scranton, dan darurat diisytihar di bandar itu.

Pada 25 Julai 1877, kira-kira 1,000 orang, dengan kebanyakannya merupakan pekerja lombong arang batu, menyerbu depot kereta api di Shamokin, negeri Pennsylvania, kerana tidak berpuas hati dengan upah rendah. Datuk bandar Shamokin mengerahkan pasukan militia untuk mematahkan pemberontakan pekerja di situ dan membunuh 2 orang.

Depot kereta api di Pittsburgh, negeri Pennsylvania, dibakar semasa Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877. (ilustrasi: M.B. Leiser, 1877)

Di Chicago, negeri Illinois, perhimpunan yang diadakan oleh pekerja-pekerja daripada beberapa buah syarikat kereta api pada 22 Julai 1877 memutuskan untuk melancarkan mogok. Beberapa hari berturut-turut kemudian, perhimpunan besar-besaran diadakan di seluruh bandar Chicago. Demonstrasi yang dianjurkan oleh Parti Pekerja (Workingmen’s Party) disertai oleh kira-kira 20,000 orang. Pertempuran tercetus apabila pihak berkuasa cuba menyuraikan perhimpunan pekerja itu. Apabila demonstrasi pekerja dipatahkan pada 26 Julai 1877, kira-kira 14 hingga 30 orang demonstran terbunuh.

Pada 21 Julai 1877, pekerja-pekerja kereta api di St. Louis Timur, negeri Illinois, menghentikan semua pergerakan kereta api di situ. Pekerja-pekerja di bandar bersebelahan yang terletak di seberang Sungai Mississippi, iaitu St. Louis, negeri Missouri, turut bersolidariti dengan pekerja-pekerja yang bermogok di St. Louis Timur. Pada 22 Julai 1877, pekerja-pekerja di St. Louis melancarkan mogok umum, untuk memperjuangkan kerja 8 jam sehari dan larangan penggunaan buruh kanak-kanak. Aksi mogok umum di St. Louis diorganisasikan oleh Parti Pekerja dan kesatuan Knights of Labor. Kerajaan mengerahkan pasukan tentera dan polis khas untuk mematahkan aksi mogok di kedua-dua belah Sungai Mississippi. Pihak berkuasa membunuh sekurang-kurangnya 18 orang pekerja dalam pertempuran di bandar St. Louis, dan menangkap kira-kira 70 orang pemogok.

Pihak berkuasa bertindak ganas untuk mematahkan Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877. (ilustrasi: James Dabney McCabe, 1877)

Apabila berita tentang Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877 yang berlaku di bahagian timur Amerika Syarikat sampai di Pantai Barat Amerika Syarikat, syarikat Central Pacific Railroad membatalkan rancangannya untuk memotong upah sebanyak 10%, tetapi ia masih tidak dapat mencegah pemberontakan pekerja di situ. Di San Francisco, negeri California, Parti Pekerja memanggil untuk mengadakan perhimpunan pada 23 Julai 1877, dan kira-kira 10,000 orang menyertai perhimpunan itu. Walaupun pihak penganjur perhimpunan cuba menyasarkan syarikat monopoli kereta api, ia bertukar menjadi rusuhan kaum yang menyasarkan penduduk etnik Cina di San Francisco. Rusuhan yang berlaku pada 23-25 Julai 1877 menyebabkan 4 orang terbunuh dan banyak harta benda yang dipunyai oleh golongan imigran Cina di bandar itu dirosakkan. Aktiviti-aktiviti anti-Cina masih berterusan selepas ketenteraman dipulihkan di San Francisco. Sekali lagi, sentimen perkauman yang memecah-belahkan golongan pekerja melemahkan malah menggagalkan perjuangan pekerja itu sendiri.

Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877 kehilangan momentumnya selepas pasukan tentera persekutuan dikerahkan dari bandar ke bandar. Pasukan tentera persekutuan dari Selatan Amerika Syarikat yang pernah digunakan dalam usaha “Pembinaan Semula” susulan Perang Saudara Amerika juga dikerahkan ke bandar-bandar untuk menyuraikan pekerja-pekerja yang bermogok. Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877 dipatahkan sepenuhnya selepas 52 hari. Dianggarkan kira-kira 100,000 orang mengambil bahagian dalam perjuangan mogok yang hebat itu. Kira-kira 100 orang terbunuh dalam pematahan mogok itu.

Berkemungkinan besar mendapat inspirasi daripada Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877, pada bulan Oktober 1877, lebih 10,000 orang pekerja pembuat cerut di Bandar Raya New York meninggalkan tempat kerja mereka untuk bermogok. Pekerja-pekerja pembuat cerut yang bermogok itu menuntut upah yang lebih baik, jam kerja yang lebih pendek dan keadaan tempat kerja yang lebih baik. Mogok pekerja pembuat cerut New York itu mendapat sokongan daripada Kesatuan Antarabangsa Tukang Pembuat Cerut Amerika (CMIU). Mogok itu berlarutan selama 4 bulan, dan ditamatkan pada bulan Februari 1878, selepas mendapat upah yang lebih tinggi, pengurangan jam kerja dan sedikit penambahbaikan keadaan tempat kerja.

Pada 19 Julai 1881, pekerja-pekerja pencuci kain di Atlanta, negeri Georgia, Amerika Syarikat, melancarkan aksi mogok untuk menuntut peningkatan upah. Mereka juga menuntut bayaran upah asas yang seragam bagi kerja mereka (iaitu AS$1 bagi setiap dua belas paun cucian) dan autonomi kerja yang lebih besar. Pekerja-pekerja pencuci kain yang bermogok itu merupakan wanita kulit hitam yang bergabung dalam Persatuan Pencuci. Pihak berkuasa Atlanta dan golongan peniaga kulit putih di situ menggunakan pelbagai cara untuk mematahkan mogok itu. Ramai pemogok ditangkap atau dikenakan denda oleh pihak berkuasa. Terdapat tuan tanah yang menaikkan kadar sewa rumah pemogok. Namun begitu, mogok pekerja pencuci kain itu memberi rangsangan kepada pekerja-pekerja lain di Atlanta untuk turut memperjuangkan hak mereka. Pelayan kulit hitam di hotel bermogok untuk menuntut kenaikan gaji. Pada awal bulan Ogos 1881, 500 orang wanita yang bermogok berhimpun di Gereja Baptis Wheat Street, dan kemudiannya mengeluarkan ultimatum kepada datuk bandar bahawa mereka sudi membayar yuran lesen AS$25 sebagai perlindungan supaya mereka dapat mengawal kerja-kerja pencucian kain di bandar itu, dan mereka akan meneruskan mogok jika tuntutan mereka tidak diterima. Pihak berkuasa bandar Atlanta akhirnya bersetuju untuk membenarkan pekerja pencuci kain itu mendapat autonomi yang lebih besar dan kadar upah yang lebih tinggi, sebagai pertukaran untuk yuran lesen AS$25.

Belgium, negara pertama di tanah besar Eropah yang mengalami Revolusi Perindustrian, menyaksikan pertumbuhan ekonomi kapitalis yang pesat di negara itu pada abad ke-19. Namun, Belgium juga pernah mengalami beberapa krisis ekonomi sepanjang tempoh itu, termasuklah menjelang tahun 1880-an. Golongan pekerja yang menerima upah rendah dan hidup dalam keadaan teruk tidak mempunyai apa-apa perlindungan sosial, dan mereka sering kali menjadi mangsa yang terkesan paling teruk semasa krisis ekonomi. Pada 17 Mac 1886, golongan anarkis di Liège, wilayah Wallonia, melekat poster-poster di bandar itu untuk menyeru pekerja-pekerja supaya berhimpun di Place Saint-Lambert, sebuah dataran di pusat bandar Liège, pada 18 Mac 1886 untuk menyambut ulang tahun Komun Paris yang ke-15. Datuk bandar Liège membenarkan perhimpunan itu kerana dia beranggapan bahawa bilangan anarkis itu sangat kecil dan perhimpunan yang dipanggil oleh mereka juga akan kecil.

Namun, apa yang tidak dijangkakan oleh datuk bandar Liège dan golongan anarkis itu sendiri, ribuan orang, termasuk pekerja dan anak muda yang menganggur, menyertai perhimpunan yang diadakan pada 18 Mac 1886. Kira-kira 3,000 orang berarak di jalanan Liège tetapi diganggu oleh pasukan keselamatan yang dikerahkan oleh pihak berkuasa, maka mencetuskan pertempuran jalanan. Lebih 40 orang ditangkap, termasuk Édouard Wagener, seorang tokoh anarkis yang pernah menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Semua orang yang ditangkap itu dijatuhkan hukuman penjara antara 4 hingga 16 bulan.

Golongan pemgok membakar sebuah kilang kaca dan rumah pemilik kilang semasa aksi mogok di Charleroi, provinsi Hainaut, wilayah Wallonia, Belgium, pada tahun 1886. (ilustrasi: Auguste Gérardin, 1886)

Pada 19 Mac 1886, pekerja-pekerja lombong arang batu di Jemeppe-sur-Meuse, yang berdekatan dengan Liège, melancarkan aksi mogok untuk menuntut kenaikan upah. Pada 20 Mac 1886, mogok pekerja merebak ke bandar-bandar lain di provinsi Liège, seperti Seraing, Flémalle dan Saint-Nicolas. Pihak berkuasa mendapatkan bantuan pasukan keselamatan dari tempat lain untuk mematahkan mogok di provinsi Liège. Walaupun ketenteraman dapat dipulihkan di Liège menjelang 25 Mac 1886, gelombang mogok menular pula ke provinsi Hainaut yang juga terletak di wilayah Wallonia.

Pada 25 Mac 1886, pekerja-pekerja lombong arang batu di Charleroi, provinsi Hainaut, bermogok untuk menuntut pembayaran upah tertunggak dan peningkatan upah. Pada 26 Mac 1886, semua lombong arang batu di sekitar kawasan Charleroi telah berhenti operasi. Pekerja-pekerja yang bermogok beredar dari satu tempat ke tempat lain untuk menutup operasi lombong dan kilang sepanjang perjalanan. Peralatan di lombong dan kilang turut dirosakkan. Kilang kaca yang menggunakan automasi dalam pengeluarannya dibakar dan dimusnahkan oleh pekerja-pekerja yang bermogok. Pasukan tentera yang dikerahkan ke situ melepaskan tembakan ke arah para demonstran tanpa memberi amaran. Menjelang 29 Mac 1886, aksi mogok di Charleroi dipatahkan sepenuhnya, dengan lebih 20 orang demonstran dibunuh dan ratusan orang cedera.

Pasukan tentera melepaskan tembakan ke arah golongan demonstran selepas sebuah kilang dibakar di Roux, provinsi Hainaut, wilayah Wallonia, Belgium, pada tahun 1886. (ilustrasi: Louis Tinayre, 1886)

Selepas mogok pekerja di Wallonia dipatahkan, 27 orang yang dianggap sebagai pemimpin mogok telah didakwa di mahkamah tinggi di Mons. Mereka yang didakwa termasuk Alfred Defuisseaux (1843-1901), seorang aktivis sosialis yang menerbitkan buku berjudul Le Catéchisme du Peuple (Soal Jawab Rakyat) pada tahun 1886 untuk menyeru orang ramai supaya bangkit menentang kelas pemerintah dan lebih 500,000 naskhah buku itu berjaya dijual. Alfred Defuisseaux dapat melarikan diri ke Perancis sebelum dijatuhkan hukuman penjara. Perbicaraan itu pula mencetuskan kontroversi apabila didapati bahawa anggota badan perisikan kerajaan telah menyusup ke dalam kumpulan radikal untuk bertindak sebagai ejen provokasi. Walaupun mogok pekerja di Wallonia dipatahkan, ia telah mendesak Parlimen Belgium untuk menggubal undang-undang buruh yang melindungi pekerja.

Pada 1 Mac 1886, pekerja-pekerja kereta api di 5 buah negeri di bahagian barat daya Amerika Syarikat melancarkan aksi mogok untuk menentang syarikat Union Pacific Railroad dan Missouri Pacific Railroad. Dalam tempoh seminggu, lebih 200,000 orang bermogok di negeri Arkansas, Illinois, Kansas, Missouri dan Texas, sehingga melumpuhkan perkhidmatan pengangkutan kereta api di 5 buah negeri itu. Pencetus aksi mogok itu ialah seorang ahli kesatuan Knights of Labor dipecat hanya kerana menghadiri mesyuarat kesatuan sekerja pada waktu kerja.

Aksi mogok itu diterajui oleh Knights of Labor. Namun, Persaudaraan Jurutera Lokomotif dan Pekerja Kereta Api (Brotherhood of Locomotive Engineers and Trainmen), salah sebuah kesatuan sekerja kereta api yang utama, enggan menyokong aksi mogok itu, dan anggota-anggotanya masih terus bekerja. Persaingan antara kesatuan-kesatuan sekerja itu nampaknya telah melemahkan kekuatan pekerja dalam mengadakan mogok. Pihak syarikat pula mengupah pengganti pemogok untuk memecahkan mogok itu.

Mogok Besar Pekerja Kereta Api Barat Daya 1886 melibatkan lebih 200,000 orang pekerja. (ilustrasi: G. J. Nebinger)

Pada 9 April 1886, di St. Louis Timur, negeri Illinois, di mana kira-kira 80 orang pekerja penukar landasan kereta api bermogok terhadap syarikat Louisville and Nashville Railroad, tercetusnya pertempuran antara golongan demonstran dengan pengawal-pengawal yang mengawal sebuah kereta api pengangkut barang. Pengawal-pengawal itu melepaskan tembakan ke arah orang ramai, dan membunuh 6 orang. Golongan demonstran bertindak balas dengan membakar perkarangan landasan kereta api.

Selepas beberapa peristiwa pertempuran, pihak syarikat kereta api meminta bantuan ketenteraan daripada gabenor-gabenor negeri yang terlibat. Pada 8 April 1886, seorang pemogok ditembak mati oleh seorang pekerja penukar landasan yang bukan ahli kesatuan di St. Louis. Pada 26 April 1886, satu tindakan sabotaj menyebabkan sebuah kereta api pengangkut barang tergelincir dari landasan berhampiran dengan daerah Wyandotte, negeri Kansas, dan dua orang pekerja yang tidak bermogok tertimbus dalam lumpur di sungai. 6 orang anggota Knights of Labor didakwa kerana insiden itu. Dengan peristiwa keganasan semakin merebak, pendapat umum pula semakin tidak berpihak kepada pekerja-pekerja yang bermogok. Serangan fizikal oleh ejen-ejen upahan majikan juga menakutkan ribuan pekerja sehingga terpaksa kembali bekerja. Mogok Besar Pekerja Kereta Api Barat Daya 1886 dibatalkan secara rasminya pada 4 Mei 1886, pada hari yang sama berlakunya Peristiwa Haymarket.

1 Mei 1886 menyaksikan aksi mogok dan demonstrasi besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat untuk menuntut pelaksanaan kerja 8 jam sehari, tetapi berakhir dengan Peristiwa Haymarket yang melibatkan pertumpahan darah pekerja.

Pekerja-pekerja yang bermogok bertempur dengan pengganti pemogok di sebuah depot kereta api di Chicago, semasa Mogok Pekerja Kereta Api Burlington 1888. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Kegagalan Mogok Besar Pekerja Kereta Api Barat Daya 1886, Peristiwa Haymarket dan mogok pekerja ladang tebu gula di negeri Louisiana yang berakhir dengan pembunuhan sekurang-kurangnya 35 orang pekerja kulit hitam pada bulan November 1887, telah memberi tamparan yang hebat kepada Knights of Labor. Konflik dalaman tercetus antara puak-puak yang berbeza dalam Knights of Labor pula melumpuhkan organisasi itu. Menjelang tahun 1890, keanggotaan Knights of Labor merosot sebanyak 90%.

Pada 27 Februari 1888, pekerja-pekerja kereta api di Burlington, negeri Iowa, Amerika Syarikat, melancarkan mogok terhadap syarikat Chicago, Burlington and Quincy Railroad (CB&Q) untuk menuntut kenaikan gaji, hak kekananan pekerja lama dan pelaksanaan prosedur pengendalian aduan. Aksi mogok itu diterajui oleh Persaudaraan Jurutera Lokomotif dan Pekerja Kereta Api (yang tidak menyokong Mogok Besar Pekerja Kereta Api Barat Daya 1886 sebelum itu), Persaudaraan Jurubakar Lokomotif (Brotherhood of Locomotive Firemen) dan Persatuan Bantuan Bersama Pekerja Penukar Landasan Amerika Utara (Switchmen’s Mutual Aid Association of North America). Pihak pengurusan syarikat kereta api menolak untuk mengadakan rundingan bersama, sebaliknya membelanjakan kos yang tinggi untuk mengupah pengganti pemogok. Mogok itu menemui kegagalan selepas sebulan apabila pihak syarikat menggantikan semua pekerja yang bermogok, tetapi ia masih berterusan di beberapa tempat selama 10 bulan.

Pekerja-pekerja kilang mancis di London yang bermogok pada tahun 1888. Beberapa orang menunjukkan tanda-tanda awal nekrosis rahang yang diakibatkan oleh pendedahan kepada fosforus di tempat kerja.

Pada bulan Julai 1888, pekerja-pekerja wanita dan perempuan remaja yang bekerja di kilang mancis Bryant & May di London, Britain, mengadakan aksi mogok. Pekerja-pekerja yang bermogok pada asalnya membantah pemecatan seorang pekerja selepas dia menolak arahan daripada pihak pengurusan syarikat untuk menandatangani surat yang membidas sebuah rencana dalam akhbar mengenai keadaan kerja yang teruk di kilang itu. Kira-kira 1,400 orang pekerja bermogok. Apabila pihak pengurusan syarikat berjanji untuk mengambil semula pekerja yang dipecat itu, pekerja-pekerja yang bermogok itu meneruskan tindakan perusahaan mereka untuk menuntut supaya menghentikan pemotongan upah yang tidak adil dan memperbaiki keadaan tempat kerja. Salah seorang pemimpin pemogok ialah Sarah Chapman (1862-1945) yang diupah sebagai pekerja pembuat mancis sejak umur 19 tahun bersama ibu dan kakaknya.

Annie Besant (1847-1933), seorang aktivis hak wanita yang menulis rencana mengenai keadaan kerja yang teruk di kilang Bryant & May, telah memberi sokongan kepada pekerja-pekerja yang bermogok, termasuk membantu dalam perundingan dengan pihak majikan. Pekerja-pekerja yang bermogok itu berjaya merundingkan penghapusan pemotongan upah yang tidak adil, dan mereka boleh makan di bilik yang berasingan daripada tempat kerja supaya makanan mereka tidak dicemari oleh fosforus. Hasil daripada kejayaan mogok pekerja pembuat mancis wanita itu, Kesatuan Pekerja Pembuat Mancis Wanita (Union of Women Matchmakers) ditubuhkan pada tahun yang sama, dan kemudiannya ditukar nama kepada Kesatuan Pekerja Pembuat Mancis (Matchmakers’ Union). Kesatuan sekerja itu merupakan kesatuan sekerja wanita yang terbesar di Britain pada masa itu, dan penubuhannya merangsang gelombang pengorganisasian kolektif dalam kalangan pekerja-pekerja perindustrian.

Sarah Chapman (1862-1945), pemimpin mogok pekerja pembuat mancis wanita di London pada tahun 1888.

Pada bulan Mei 1889, hampir 100,000 orang pekerja lombong arang batu di Lembah Ruhr, yang terletak di bahagian barat Jerman, mengadakan aksi mogok. Mereka menuntut kenaikan upah dan kerja 8 jam sehari. Dengan pihak majikan berdegil untuk tidak menerima tuntutan pekerja, sesetengah pekerja menyerahkan petisyen kepada Wilhelm II, Maharaja Jerman pada masa itu, untuk meminta campur tangannya dalam menyelesaikan masalah mereka. Maharaja Wilhelm II menganggapnya sebagai satu peluang baik untuk memperkukuhkan kekuasaannya, dan dia memberi tekanan kepada pihak majikan supaya merundingkan penyelesaian dengan pekerja-pekerja lombong. Tindakan itu mendedahkan perselisihan faham antara Maharaja Wilhelm II dan Canselor Otto von Bismarck, yang hendak mempergunakan mogok itu sebagai alasan untuk menggubal lebih banyak undang-undang anti-sosialis melalui Reichstag (iaitu Parlimen Jerman). Walaupun pihak majikan terpaksa mempersetujui tuntutan yang dikemukakan oleh pekerja-pekerja yang bermogok, mereka tidak mematuhi syarat-syarat persetujuan itu dan pekerja-pekerja lombong juga gagal memperoleh apa-apa konsesi yang berkekalan. Walau bagaimanapun, aksi mogok itu memberi dorongan kepada perkembangan gerakan pekerja Jerman di Lembah Ruhr. Konflik antara golongan pekerja lombong dan golongan pemilik lombong berterusan untuk dua dekad berikutnya.

Pada 17 Ogos 1888, kira-kira 800 orang pekerja pembinaan landasan kereta api laluan Ofotbanen, yang terletak di bahagian utara Norway, melancarkan aksi mogok untuk menuntut kenaikan upah. Mogok itu ditamatkan pada 23 Ogos 1888, selepas pihak majikan bersetuju dengan tuntutan pekerja. Namun, kemenangan pekerja pembinaan landasan kereta api di Norway itu tidak kekal lama, kerana syarikat yang membina landasan kereta api itu muflis pada tahun 1889 dan semua pekerja kehilangan kerja mereka.

Pada 23 Oktober 1889, pekerja-pekerja kilang mancis di bandar Kristiania (iaitu Oslo hari ini), Norway, memulakan aksi mogok secara spontan. Aksi mogok itu tercetus kerana pihak majikan mengurangkan upah pekerja sebanyak 20% secara tiba-tiba. Semua pekerja yang bermogok itu adalah wanita yang bekerja di kilang mancis Bryan dan Grønvold. Oscar Nissen (1843-1911) dan Carl Jeppesen (1858-1930), dua orang pengarang akhbar Social-Demokraten yang merupakan organ Parti Buruh Norway pada masa itu, membantu dalam menganjurkan mesyuarat pekerja dan menubuhkan jawatankuasa mogok. Jawatankuasa mogok menuntut kenaikan upah, kerja 12 jam sehari dan pemansuhan sistem denda. Pada 28 Oktober 1889, pekerja-pekerja membentuk kesatuan sekerja mereka sendiri, iaitu Persatuan Pekerja Mancis Wanita. Fernanda Nissen (1862-1920), seorang wartawan dan pengkritik teater, telah dipilih sebagai pengerusi yang pertama bagi kesatuan itu.

Fernanda Nissen (1862-1920)

Aksi mogok pekerja kilang mancis di Kristiania itu mendapat liputan yang meluas dalam akhbar dan menerima sokongan besar daripada masyarakat umum, termasuk tokoh-tokoh penting seperti Bjørnstjerne Bjørnson (1832-1910) yang merupakan sasterawan terkenal di Norway dan Ragna Nielsen (1845-1924) yang merupakan tokoh pendidikan penting di Norway. Pada 24 November 1889, lebih 10,000 orang berdemonstrasi di jalanan Kristiania untuk menggesa kerajaan supaya memberi perhatian kepada tuntutan pekerja mengenai perlindungan daripada aktiviti perindustrian yang berbahaya kepada kesihatan. Namun, aksi mogok pekerja kilang mancis yang berlarutan beberapa minggu itu ditamatkan pada 13 Disember 1889 dengan hanya memperoleh janji daripada pihak majikan untuk menaikkan upah pada tahun akan datang dan sistem denda yang lebih ringan sedikit. Walau bagaimanapun, mogok pekerja wanita itu telah menyedarkan orang ramai tentang keadaan teruk di banyak kilang pada masa itu, dan ia juga memberi rangsangan kepada gerakan pekerja seterusnya.

Pada 14 Ogos 1889, pekerja-pekerja dok di London melancarkan aksi mogok, dengan penyertaan kira-kira 75,000 orang pekerja dok dan melumpuhkan Pelabuhan London. Pekerja-pekerja dok London menerima sumbangan dana daripada pekerja-pekerja Australia untuk menampung kos makanan semasa mengadakan mogok. Pekerja-pekerja dok yang bermogok itu berjaya mendapat kenaikan upah yang dituntut mereka.

Dua minggu selepas aksi mogok pekerja dok, 10,000 orang tukang jahit di London Timur bermogok untuk menuntut kenaikan upah dan penambahbaikan keadaan kerja. Tukang-tukang jahit yang bermogok itu juga mendapat sumbangan kewangan daripada pekerja-pekerja dok yang mempunyai lebihan dana yang disumbangkan oleh pekerja-pekerja Australia. Mogok tukang jahit itu akhirnya berjaya memaksa pihak majikan bersetuju dengan tuntutan-tuntutan kesatuan sekerja.

Mogok pekerja dok di London pada tahun 1889. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Kejayaan beberapa aksi mogok di Britain pada penghujung tahun 1880-an telah membangkitkan semula gerakan kesatuan sekerja dalam kalangan pelaut, pekerja pelabuhan dan pekerja tidak mahir yang lain. Selepas kejayaan Mogok Pekerja Dok London 1889, pekerja-pekerja dok di Southampton menubuhkan cabang Kesatuan Pekerja Dok, Dermaga, Tebing Sungai dan Umum (DWRGLU) pada tahun yang sama. Oleh sebab terdapat syarikat perkapalan yang enggan meningkatkan upah pekerja dok di Southampton, dan enggan mengiktiraf DWRGLU dan Kesatuan Kebangsaan Pelaut (National Union of Seamen), pekerja-pekerja dok di Southampton melancarkan mogok pada 7 September 1890. Pengganti pemogok yang dibawa dari Portsmouth yang tiba di stesen kereta api terus diserang oleh golongan pemogok. Namun, aksi mogok itu ditamatkan pada 15 September 1890 selepas pemimpin-pemimpin kedua-dua kesatuan pekerja dok dan pelaut yang berpusat di London menyatakan bahawa mereka tidak mengiktiraf mogok itu dan tidak akan menyalurkan dana kesatuan kepada golongan pemogok. Keputusan kepimpinan kesatuan sekerja di London itu mencetuskan ketidakpuasan hati yang hebat dalam kalangan pekerja dok di Southampton. Oleh itu, pekerja-pekerja di Southampton kemudiannya menubuhkan Majlis Kesatuan Sekerja Southampton untuk menyelaraskan tindakan kesatuan sekerja di situ dan tidak bergantung kepada kepimpinan pusat di London.

Di Australia, dengan gerakan kesatuan sekerja yang berasaskan kesatuan kraf semakin berkembang pesat di bandar-bandar utama menjelang penghujung abad ke-19, pekerja-pekerja tidak mahir dan pekerja-pekerja di kawasan luar bandar juga mula berorganisasi untuk memperjuangkan nasib mereka. Oleh itu, jajahan-jajahan Australia digegarkan oleh beberapa mogok besar-besaran pada tahun 1890-an. Pada 15 Ogos 1890, Persatuan Pegawai Marin Merkantil (Mercantile Marine Officers’ Association, singkatan MMOA) melancarkan mogok selepas perundingan dengan pihak pemilik kapal stim mengenai upah dan syarat-syarat kerja menemui kegagalan. Aksi mogok itu merebak dengan cepat dalam kalangan pelaut, pekerja dermaga dan pekerja relau gas. Pekerja-pekerja lombong arang batu di beberapa tempat di Australia, malah di New Zealand, juga bermogok kerana menolak untuk menggali arang batu untuk kapal-kapal yang bukan dikendalikan oleh ahli-ahli kesatuan sekerja. Menjelang bulan September 1890, kira-kira 28,500 orang pekerja maritim bermogok di Australia. Kerajaan New South Wales dan Victoria mengerahkan pasukan tentera untuk mematahkan pemogok-pemogok yang berdemonstrasi. Mogok Pekerja Maritim 1890 akhirnya gagal dan ditamatkan pada bulan November 1890, kerana kekurangan dana untuk meneruskan mogok dan pihak majikan mengupah ramai pengganti pemogok.

Pada bulan Julai 1890, Kesatuan Pekerja Pengetam Bulu Biri-Biri Gabungan Australasia (Amalgamated Shearers’ Union of Australasia) mengemukakan manifesto dengan seruan memboikot bulu biri-biri yang diketam oleh pekerja bukan ahli kesatuan sekerja. Menjelang penghujung tahun 1890, keahlian berdaftar Kesatuan Pekerja Pengetam Bulu Biri-Biri Queensland (Queensland Shearers Union) telah mencecah 3,721 orang. Apabila pengurus ladang di Stesen Logan Downs, yang terletak di bahagian tengah Queensland, mengarahkan pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri untuk menandatangani sebuah kontrak yang mengurangkan kuasa kesatuan sekerja, pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri di situ melancarkan mogok pada bulan Januari 1891 dengan tuntutan untuk melindungi hak pekerja. Mogok itu merebak dengan cepat. Dari bulan Februari hingga Mei 1891, seluruh bahagian tengah Queensland berada di ambang perang saudara. Pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri yang bermogok mendirikan kem mogok di luar ladang-ladang yang menggunakan tenaga kerja bukan ahli kesatuan.

Kem mogok pekerja pengetam bulu biri-biri di Hughenden, bahagian tengah Queensland, Australia, pada tahun 1891.

Pada bulan Mac 1891, pekerja-pekerja pengangkutan juga bermogok untuk bersolidariti dengan pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri di Queensland. Pihak berkuasa mengerahkan pasukan tentera untuk melindungi tenaga buruh bukan ahli kesatuan dan menangkap pemimpin-pemimpin pemogok. Ahli-ahli kesatuan sekerja membalas dengan serbuan ke atas ladang biri-biri, mengganggu pekerja-pekerja bukan ahli kesatuan dan melakukan tindakan sabotaj. Pada 1 Mei 1891, kira-kira 1,300 orang pemogok berarak di Barcaldine, Queensland Barat Tengah, bersempena dengan Hari Pekerja Antarabangsa. Namun, menjelang bulan Mei 1891, golongan pemogok menghadapi masalah kekurangan dana dan bekalan untuk meneruskan aksi mogok. 13 orang pemimpin kesatuan didakwa di mahkamah dengan pertuduhan menghasut dan berkonspirasi. Mereka dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun. Antara mereka yang dipenjarakan itu, tiga orang kemudiannya dipilih sebagai ahli parlimen negeri, dengan William Hamilton (1858-1920) dipilih ke dalam Dewan Perundangan Queensland, sementara George Taylor (1861-1935) dan Julian Stuart (1866-1929) dipilih ke dalam Dewan Perundangan Australia Barat.

Di Broken Hill, sebuah bandar perlombongan yang terletak di kawasan pedalaman di bahagian hujung barat New South Wales, aksi mogok pekerja lombong di situ yang pertama tercetus pada tahun 1889 dan berlarutan selama seminggu. Semasa mogok itu, Briged Wanita (Women’s Brigade) ditubuhkan untuk menangkap dan menghalau pekerja-pekerja yang bukan ahli kesatuan sekerja. Lombong yang mengeluarkan perak dan plumbum di Broken Hill ditutup semasa Mogok Pekerja Maritim 1890 kerana penutupan dermaga menghalang bekalan daripada sampai ke Broken Hill. Pada tahun 1892, syarikat-syarikat perlombongan yang beroperasi di Broken Hill cuba menambahkan keuntungan melalui pengupahan pekerja kontrak. Tindakan itu mencetuskan Mogok Pekerja Broken Hill 1892.

Kira-kira 6,000 orang pekerja lombong di Broken Hill mengadakan perjumpaan pada 3 Julai 1892 dan melancarkan aksi mogok. Untuk membuka semula lombong yang berhenti operasi kerana mogok pekerja, syarikat perlombongan mengupah pengganti pemogok untuk dihantar ke Broken Hill dan meminta bantuan daripada pihak polis. Pada 25 Ogos 1892, kira-kira 10,000 orang, termasuk Briged Wanita yang bersenjatakan kayu dan penyapu, berhimpun untuk “menyambut” ketibaan pengganti pemogok yang dibawa masuk ke Broken Hill. Pada 10 September 1892, apabila rombongan pertama pengganti pemogok yang diangkut oleh kereta api tiba di Broken Hill, mereka “disambut” oleh penentangan keras daripada penduduk-penduduk tempatan. Pasukan polis dikerahkan untuk mematahkan golongan pemogok yang cuba menghalang pengganti pemogok itu. 7 orang pemimpin mogok ditangkap atas pertuduhan berkonspirasi dan menghasut rusuhan. Semua pemimpin mogok yang didakwa itu dijatuhkan hukuman penjara, termasuk William John Ferguson (1859-1935) dan Richard Sleath (1863-1922), yang masing-masing dihukum penjara 2 tahun.

Pada bulan Mei 1894, pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri di Queensland melancarkan mogok apabila golongan pemilik ladang ternakan biri-biri di situ mengurangkan kadar upah dan mengupah tenaga kerja bukan ahli kesatuan sekerja. Aksi mogok itu dipanggil oleh Kesatuan Pekerja Gabungan Queensland (Amalgamated Workers Union of Queensland) untuk mempertahankan upah yang adil bagi pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri. Mogok itu juga menular ke Jajahan New South Wales. Pada 27 Ogos 1894, kira-kira 150 orang pemogok menaiki sebuah kapal stim yang mengangkut tenaga buruh bukan ahli kesatuan sekerja, mengusir keluar semua penumpang di atas kapal itu, dan kemudian membakar serta menenggelamkan kapal itu.

Pada bulan September 1894, pekerja-pekerja pengetam bulu biri-biri yang bermogok melepaskan tembakan ke udara dan membakar kandang di Stesen Dagworth, sebuah ladang ternakan biri-biri yang terletak di Queensland Barat Tengah. Pemilik ladang itu dan 3 orang anggota polis cuba mengejar seorang pekerja pengetam bulu biri-biri yang bernama Samuel Hoffmeister, tetapi Samuel Hoffmeister melepaskan tembakan untuk membunuh diri. Menjelang bulan Oktober 1894, dengan kerajaan Queensland memperketatkan kawalan dengan pasukan polis untuk melindungi ladang-ladang ternakan yang menggunakan tenaga buruh kontrak, Kesatuan Pekerja Gabungan Queensland memutuskan untuk membatalkan mogok itu.

Pada awal tahun 1892, pekerja-pekerja konduktor trem di New Orleans, negeri Louisiana, berjaya memperoleh jam kerja sehari yang lebih pendek dan pelaksanaan sistem “union shop” yang menjadikan semua pekerja yang diupah itu ahli kesatuan sekerja. Kejayaan itu mendorong ramai pekerja di New Orleans untuk mendapatkan bantuan daripada Persekutuan Buruh Amerika (AFL) dalam penubuhan kesatuan sekerja yang baharu. Menjelang penghujung musim panas tahun 1892, sebanyak 49 buah kesatuan sekerja di New Orleans bergabung dalam AFL. Kesatuan-kesatuan sekerja itu menubuhkan sebuah majlis kesatuan sekerja berpusat yang dikenali sebagai Majlis Gabungan Pekerja (Workingmen’s Amalgamated Council) dan mewakili lebih 30,000 orang pekerja di bandar itu. Tiga buah kesatuan sekerja yang dianggotai pekerja-pekerja pelbagai kaum, iaitu Kesatuan Pemandu Pengangkutan Barang (Teamsters), Kesatuan Penimbang Barang (Scalesmen) dan Kesatuan Pembungkus Barang (Packers), membentuk apa yang kemudiannya dikenali sebagai “Perikatan Tiga” (Triple Alliance). Ramai dalam kalangan ahli kesatuan sekerja Perikatan Tiga itu merupakan warga kulit hitam.

Pada 24 Oktober 1892, kira-kira 3,000 orang ahli kesatuan sekerja daripada Perikatan Tiga bermogok untuk menuntut pelaksanaan kerja 10 jam sehari, bayaran kerja lebih masa dan sistem “union shop” yang memberi keutamaan kepada ahli kesatuan sekerja. Aksi mogok itu disokong oleh Majlis Gabungan Pekerja. Golongan majikan cuba menggunakan sentimen perkauman untuk memecah-belahkan golongan pekerja dan mendorong masyarakat awam untuk menentang golongan pemogok. Lembaga Perdagangan New Orleans mengumumkan bahawa ia akan menandatangani kontrak yang bersetuju dengan tuntutan pekerja, tetapi hanya dengan Kesatuan Penimbang Barang dan Kesatuan Pembungkus Barang yang didominasi oleh pekerja kulit putih. Lembaga Perdagangan New Orleans enggan menandatangani sebarang kontrak dengan Kesatuan Pemandu Pengangkutan Barang yang didominasi oleh pekerja kulit hitam. Pihak majikan juga menggunakan akhbar untuk menyebarkan persepsi negatif terhadap golongan pemogok berkulit hitam. Pekerja-pekerja yang bermogok itu bertegas untuk tidak berpecah mengikut garis perkauman. Majoriti besar ahli Kesatuan Penimbang Barang dan Kesatuan Pembungkus Barang menyokong resolusi yang menegaskan komitmen mereka untuk bermogok sehingga pihak majikan menandatangani kontrak dengan Kesatuan Pemandu Pengangkutan Barang berdasarkan syarat yang sama seperti yang ditawarkan kepada dua buah kesatuan sekerja yang lain.

Pada masa yang sama, pekerja-pekerja daripada kesatuan sekerja yang lain mula menyeru untuk mengadakan mogok umum yang bersolidariti dengan perjuangan Perikatan Tiga. Pada 8 November 1892, ahli-ahli daripada 46 buah kesatuan sekerja yang lain di New Orleans melancarkan mogok secara bersama. Kesatuan-kesatuan sekerja itu juga mengemukakan tuntutan kepada majikan masing-masing, termasuk pengiktirafan kesatuan sekerja dan pelaksanaan sistem “union shop”. Kira-kira 30,000 orang pekerja yang berkesatuan, bersamaan separuh daripada jumlah tenaga kerja di bandar New Orleans, menyertai mogok itu. Aksi mogok umum itu melumpuhkan seluruh bandar New Orleans. Pada 9 November 1892, akhbar yang pro-majikan di New Orleans memperhebatkan propaganda yang cuba menimbulkan kebencian kaum, dengan mengatakan bahawa pemogok kulit hitam hendak “mengambil alih seluruh bandar” dan wanita serta kanak-kanak telah diganggu oleh pemogok kulit hitam. Namun, taktik kotor akhbar pro-majikan itu gagal, kerana pekerja-pekerja melakukan permogokan secara aman dan teratur. Pekerja-pekerja yang bermogok itu juga kekal bersatu tanpa mengira warna kulit.

Pekerja-pekerja berhimpun di hadapan ibu pejabat jawatankuasa mogok semasa Mogok Umum New Orleans 1892. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Oleh sebab gagal mematahkan mogok pekerja di New Orleans, pihak majikan bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian yang menyebabkan mogok itu melalui proses penimbangtaraan terikat, walaupun mereka enggan berbuat demikian pada awalnya. Selepas rundingan selama 48 jam, pada 12 November 1892, pihak majikan bersetuju untuk melaksanakan kerja 10 jam sehari dan bayaran kerja lebih masa, tetapi masih tidak memberi pengiktirafan kepada kesatuan-kesatuan sekerja Perikatan Tiga dan tidak melaksanakan sistem “union shop”. Kesatuan-kesatuan sekerja yang lain juga memenangi pengurangan jam kerja sehari dan upah yang lebih tinggi.

Mogok Umum New Orleans 1892 ditamatkan selepas kesatuan-kesatuan sekerja memperoleh sebahagian besar tuntutan asal. Ia telah memperkuatkan gerakan pekerja di New Orleans, dengan menyatukan pekerja mahir dan pekerja tidak mahir tanpa mengira kaum. Keahlian dalam kebanyakan kesatuan sekerja di situ bertambah secara ketara selepas mogok itu. Mogok umum itu juga menunjukkan bahawa pekerja kulit hitam dan pekerja kulit putih boleh mengekalkan solidariti yang kukuh di sebuah negeri Selatan Amerika Syarikat yang hanya menghapuskan perhambaan terhadap warga kulit hitam 27 tahun sebelum itu.

Pekerja-pekerja lombong yang bermogok di Darnall, daerah Yorkshire Selatan, pada tahun 1893.

Di Britain, selepas pemilik lombong arang batu menolak tuntutan daripada Persatuan Pelombong Yorkshire untuk meningkatkan upah pekerja lombong, beberapa persidangan diadakan oleh wakil-wakil pekerja untuk membincangkan kemungkinan pembentukan sebuah kesatuan sekerja kebangsaan bagi pekerja lombong di Britain. Dalam sebuah persidangan yang diadakan di Newport, Wales Selatan, pada bulan November 1889, Persekutuan Pelombong Britain Raya (Miners’ Federation of Great Britain, singkatan MFGB) ditubuhkan. Benjamin Pickard (1842-1904) daripada Persatuan Pelombong Yorkshire dipilih sebagai Presiden MFGB yang pertama, sementara Sam Woods (1846-1915) daripada Persekutuan Pelombong Lancashire dan Cheshire dipilih sebagai Naib Presiden.

Apabila harga arang batu mula jatuh pada awal tahun 1890-an, dengan harapan mengurangkan lebihan stok arang batu, MFGB mengarahkan semua ahlinya untuk mengambil cuti selama seminggu pada 12 Mac 1892, tetapi mendapat tentangan daripada banyak pemilik lombong. Pada masa yang sama, apabila Persatuan Pelombong Durham (DMA) menolak cadangan daripada pemilik lombong di Daerah Durham untuk mengurangkan upah sebanyak 10%, pekerja-pekerja lombong di situ dihalang daripada bekerja. Kesatuan sekerja DMA ditewaskan, dan pekerja-pekerja lombong di Durham kembali bekerja selepas 12 minggu dengan upah mereka dipotong sebanyak 10% seperti yang dicadangkan oleh pemilik pelombong. Oleh itu, DMA memutuskan untuk bergabung dengan MFGB yang berjaya mengekalkan kadar upah yang diterima oleh ahli-ahlinya.

Pada 30 Jun 1893, pemilik-pemilik lombong mengumumkan pengurangan upah sebanyak 25%, dan ia dibantah sekeras-kerasnya oleh MFGB. Pekerja-pekerja lombong yang merupakan ahli MFGB mula bermogok pada bulan Julai 1893. Seramai 300,000 orang pekerja lombong menyertai Mogok Pekerja Lombong Britain 1893, yang merebak di daerah-daerah seperti Bristol, Cheshire, Derbyshire Selatan, Gloucestershire, Lancashire, Leicestershire, Monmouthshire, Nottinghamshire, Staffordshire, Stirlingshire, Wales Utara, Warwickshire, Worcestershire dan Yorkshire. Keadaan adalah tegang sepanjang bulan Ogos 1893, dan pada awal bulan September 1893, tercetusnya pertempuran yang serius antara pekerja-pekerja lombong yang bermogok dan pengganti pemogok di Yorkshire. Pasukan tentera dikerahkan untuk mematahkan pekerja-pekerja yang bermogok. Pada 7 September 1893, dua orang pekerja lombong dibunuh oleh pasukan tentera di Featherstone, daerah Yorkshire Barat.

Pihak berkuasa cuba mematahkan mogok pekerja lombong secara keras. (ilustrasi: Bernardo Rico, 1893)

Sebahagian pekerja lombong mula kembali bekerja pada bulan Oktober 1893. Pada awal bulan November 1893, pihak pemilik lombong menawarkan bahawa mereka hanya bercadang untuk mengurangkan upah sebanyak 15%, bukan lagi 25%. MFGB menolak tawaran itu, mengekalkan tuntutannya untuk tiada pemotongan upah dan mendukung penubuhan sebuah lembaga perdamaian untuk menyelesaikan pertikaian buruh pada masa hadapan. Dalam satu perundingan yang dianjurkan pada pertengahan bulan November 1893, pihak pemilik lombong bersetuju untuk penubuhan sebuah lembaga perdamaian, membenarkan pekerja kembali bekerja tanpa pemotongan upah, dan berjanji untuk tidak memotong upah sehingga 1 Februari 1894. Pekerja-pekerja lombong kembali bekerja pada 17 November 1893. Kedua-dua pihak kesatuan sekerja dan pihak pemilik lombong kemudiannya mencapai persetujuan pada bulan Julai 1894 untuk pengurangan upah sebanyak 10%, dengan tiada lagi pengurangan upah selanjutnya.

Kesatuan Kereta Api Amerika (American Railway Union, singkatan ARU) yang ditubuhkan di Chicago pada bulan Februari 1893, untuk menggabungkan semua pekerja dalam sektor pengangkutan kereta api tanpa mengira jenis pekerjaan, merupakan salah sebuah kesatuan industri yang terawal di Amerika Syarikat. Eugene V. Debs (1855-1926), pengarang jurnal rasmi kesatuan sekerja Brotherhood of Locomotive Firemen, dipilih sebagai Presiden ARU.

Eugene Victor Debs (1855-1926)

Pihak pengurusan syarikat kereta api Great Northern Railway memulakan pemotongan upah bagi pekerja-pekerjanya pada bulan Ogos 1893, dan membuat pemotongan upah yang lebih lanjut pada bulan Januari dan Mac 1894. ARU yang membantah tindakan pemotongan upah itu menganjurkan aksi mogok yang melibatkan pekerja-pekerja daripada semua jenis pekerjaan di sepanjang landasan kereta api pada bulan April 1894. Pertikaian tentang tindakan pemotongan upah itu dibawa kepada sebuah lembaga penimbang tara. Lembaga penimbang tara yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dari negeri Minnesota membuat keputusan yang berpihak kepada pekerja-pekerja kereta api. Aksi mogok pekerja-pekerja kereta api Great Northern Railway yang berlarutan selama 18 hari itu berjaya memaksa pihak majikan untuk mengembalikan upah pekerja kepada kadar asal.

Didorong oleh kejayaan mogok pekerja Great Northern Railway, pekerja-pekerja kereta api di laluan landasan yang lain turut beria-ia untuk memperjuangkan tuntutan mereka melalui aksi mogok. Eugene V. Debs dan pemimpin-pemimpin kesatuan ARU pada masa itu bimbang tentang aksi mogok yang terlalu cepat berlaku, kerana kesatuan itu memerlukan masa untuk menyusun semula organisasinya dan memulihkan keupayaan kewangannya sebelum melibatkan diri dalam sebuah lagi aksi mogok. Namun begitu, aksi mogok tetap berlaku dengan cepatnya.

Gambar yang menunjukkan pekerja-pekerja di kilang Pullman pulang dari tempat kerja, disiarkan dalam sebuah risalah yang diterbitkan pada tahun 1893 untuk meraikan dasar-dasar perburuhan George Pullman yang bersifat paternalistik. Setahun kemudian, pekerja-pekerja Pullman mengadakan aksi mogok yang hebat.

Pada 11 Mei 1894, pekerja-pekerja yang diupah oleh Pullman Company, sebuah syarikat pembuat gerabak kereta api, melancarkan mogok kucing liar terhadap majikan mereka. Pihak syarikat Pullman mengurangkan upah kira-kira 4,000 orang pekerjanya sebanyak 20% hingga 30% atas alasan penurunan dalam jualan. Namun, ia tidak mengurangkan kadar sewa rumah dan harga barangan yang dijual di dalam kedai di pekan syarikat itu. Syarikat Pullman telah membina sebuah pekan yang bernama Pullman di kawasan yang berdekatan dengan Chicago sejak tahun 1880-an untuk menempatkan pekerja-pekerjanya. Pekerja-pekerja cuba mengadu kepada pemilik syarikat, George Pullman (1831-1897), tetapi George Pullman enggan mempertimbangkan permintaan pekerja, malah memecat pekerja-pekerja yang berprotes. Oleh itu, pekerja-pekerja syarikat Pullman bermogok untuk membantah penganiayaan terhadap pekerja itu. Kerajaan Amerika Syarikat mengerahkan tentera untuk mematahkan mogok pekerja Pullman.

Kira-kira 35% daripada pekerja-pekerja syarikat Pullman telah menyertai ARU. Dengan pihak syarikat Pullman enggan berkompromi dengan pekerja-pekerja yang bermogok, ARU melancarkan kempen memboikot syarikat Pullman pada 26 Jun 1894. Melalui kempen boikot itu, ahli-ahli kesatuan ARU tidak mengendalikan kereta api yang mempunyai gerabak buatan syarikat Pullman. Dalam tempoh 4 hari sahaja, kira-kira 125,000 orang pekerja di 29 batang landasan kereta api bermogok dan enggan mengendalikan kereta api yang menggunakan gerabak buatan syarikat Pullman. Pihak syarikat kereta api bertindak balas dengan mengupah pengganti pemogok. Ramai orang yang diambil sebagai pengganti pemogok itu merupakan warga kulit hitam, dan dengan itu mewujudkan ketegangan hubungan kaum yang menjejaskan kekuatan kesatuan sekerja. Konflik yang tercetus antara golongan pemogok dan pengganti pemogok sering bertukar menjadi pertembungan ganas, dan pasukan tentera kerajaan dikerahkan untuk “memulihkan ketenteraman”.

Pekerja-pekerja yang bermogok berhimpun di luar bangunan syarikat Pullman di Chicago, dengan pasukan Pengawal Kebangsaan Illinois berkawal di situ.

Pihak berkuasa mendapatkan perintah injunksi mahkamah yang melarang pemimpin-pemimpin ARU daripada “memaksa atau menggalakkan” mana-mana pekerja kereta api daripada “menolak atau gagal untuk melaksanakan sebarang tugas mereka”. Eugene V. Debs dan pemimpin-pemimpin ARU enggan mematuhi perintah injunksi itu.

Grover Cleveland (1837-1908), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, mengerahkan tentera persekutuan ke Chicago untuk menguatkuasakan perintah injunksi. Tindakan kerajaan itu menimbulkan kemarahan pekerja-pekerja yang bermogok. Golongan pemogok memberhentikan kereta api, merosakkan alat penukar landasan dan membakar gerabak kereta api. Pada 6 Julai 1894, ratusan gerabak kereta api dibakar. Pada 7 Julai 1894, sekumpulan pemogok menghalang askar-askar yang mengiringi sebuah kereta api yang melalui kawasan pusat bandar Chicago, dan mencetuskan pertempuran. Aksi mogok pekerja kereta api yang hebat itu akhirnya dipatahkan oleh pasukan tentera yang menggunakan keganasan. Secara keseluruhannya, lebih 30 orang pemogok terbunuh, termasuk 13 orang di Chicago. Kira-kira 57 orang pemogok cedera, sementara ribuan orang pekerja disenaraihitamkan oleh pihak majikan. Dianggarkan kerosakan harta benda kerana aksi mogok itu mencecah AS$80 juta.

Mogok Pullman 1894. (ilustrasi: Walker)

Mogok Pullman 1894 yang berlarutan selama 2 bulan itu telah melumpuhkan kebanyakan laluan kereta api di sebelah barat Detroit, dan melibatkan lebih 250,000 orang pekerja di 27 buah negeri di Amerika Syarikat. Pematahan mogok yang hebat itu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada gerakan buruh di Amerika Syarikat. Ia merupakan kali pertama perintah injunksi mahkamah digunakan untuk memecahkan aksi mogok di Amerika Syarikat. Semasa aksi mogok itu masih berlangsung, Kongres Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang yang mengiktiraf setiap hari Isnin pertama bulan September sebagai “Hari Buruh”, dan Presiden Grover Cleveland menandatangani rang undang-undang itu untuk menjadi undang-undang sah pada 28 Jun 1894, sebagai tanda isyarat perdamaian terhadap gerakan buruh Amerika Syarikat, dengan niat meredakan keadaan yang membara pada masa itu.

Kira-kira 700 orang pekerja telah ditangkap. Eugene V. Debs dan beberapa orang pemimpin ARU juga ditangkap. Eugene V. Debs didakwa di mahkamah atas pertuduhan berkonspirasi untuk menghalang penghantaran pos dan melanggar perintah mahkamah. Eugene V. Debs bercakap di mahkamah, “Pada pandangan saya, jika bukan kerana penentangan terhadap keadaan yang menghina, kecenderungan seluruh tamadun kita akan menuju ke arah kemerosotan; selepas beberapa ketika, kita akan sampai ke tahap di mana tiada lagi penentangan, dan perhambaan akan muncul.”

7 daripada 8 orang pemimpin Kesatuan Kereta Api Amerika (ARU) yang dipenjarakan kerana sabitan yang berkaitan dengan Mogok Pullman 1894: (berdiri, dari kiri) George W. Howard, Martin J. Elliott, Sylvester Keliher; (duduk, dari kiri) William E. Burns, James Hogan, Roy M. Goodwin, Eugene V. Debs. (Tiada dalam gambar) L. W. Rogers.

Eugene V. Debs dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan. Eugene V. Debs bukan lagi seorang sosialis semasa Mogok Pullman 1894. Semasa berada di penjara di Woodstock, negeri Illinois, Eugene V. Debs menerima banyak surat, risalah dan buku yang dikirimkan oleh golongan sosialis di seluruh negara Amerika Syarikat. Oleh itu, Eugene V. Debs berpeluang untuk membaca dan mempelajari lebih mendalam tentang sosialisme, sehingga akhirnya membolehkan dia menjadi seorang tokoh sosialis yang penting dalam sejarah Amerika Syarikat.

Kemelesetan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 1893, yang dikenali sebagai Panik 1893, telah menjejaskan perusahaan perlombongan arang batu di negara itu. Golongan pemilik lombong mengurangkan upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja mereka untuk menyelamatkan keuntungan mereka. Pada 21 April 1894, Kesatuan Pekerja Lombong Bersatu (United Mine Workers, UMW) melancarkan mogok dengan tuntutan mengembalikan kadar upah kepada paras seperti pada 1 Mei 1893. UMW menyeru pekerja-pekerja di seluruh perusahaan perlombongan arang batu bitumin untuk bermogok. Lebih 180,000 orang pekerja lombong di negeri Colorado, Illinois, Ohio, Pennsylvania dan Virginia Barat mengambil bahagian dalam aksi mogok itu. Di negeri Illinois sahaja, seramai lebih 25,000 orang pekerja lombong bermogok, sementara hanya tinggal kira-kira 600 orang pekerja masih bekerja. Namun, pihak pemilik lombong enggan memulihkan kadar upah kepada paras asal.

Cripple Creek, negeri Colorado, Amerika Syarikat, berada dalam darurat apabila pekerja-pekerja lombong di situ bermogok. pada tahun 1894

Semasa Mogok Pekerja Lombong Arang Batu Bitumin 1894, tercetusnya pertembungan ganas di beberapa tempat, sama ada antara pemogok dan pengusaha lombong, atau antara pekerja yang bermogok dan pekerja yang tidak bermogok. Pada 23 Mei 1894, kira-kira 1,500 orang pemogok di Uniontown, negeri Pennsylvania, diserang oleh pengawal bersenjata yang menggunakan karbin dan mesingan, sehingga 5 orang dibunuh dan 8 orang cedera. Pada 24-25 Mei, berlakunya kejadian tembak-menembak antara pemogok-pemogok dan pegawai-pegawai syerif di La Salle, negeri Illinois. Pada 13 Jun 1894, pekerja-pekerja lombong yang bermogok di Maclainesville, negeri Ohio, bertempur dengan pasukan Pengawal Kebangsaan, dengan menggunakan kayu dan batu. Di negeri Iowa, pasukan Pengawal Kebangsaan dikerahkan untuk memberi perlindungan kepada pekerja-pekerja lombong yang tidak menyertai aksi mogok. Aksi mogok yang berlarutan selama 8 minggu itu menemui kegagalan, dan hampir semua pekerja lombong terpaksa kembali bekerja pada penghujung bulan Jun 1894 tanpa mencapai tuntutan mereka.

Pada bulan Ogos 1897, apabila pemilik lombong arang batu antrasit di Lattimer, negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat, memberhentikan sebahagian pekerjanya, memotong upah pekerja yang masih tertinggal dan menaikkan yuran yang perlu dibayar oleh pekerja yang menghuni di kawasan pekan syarikat, hampir 2,000 orang pekerja di situ melancarkan mogok. Pekerja-pekerja yang bermogok itu menyertai Kesatuan Pekerja Lombong Bersatu (UMW), dan hampir semua tapak lombong di wilayah itu tertutup apabila aksi mogok merebak. Gelombang pertama aksi mogok itu ditamatkan seminggu kemudian, selepas pihak syarikat bersetuju untuk membayar kerja lebih masa, menaikkan upah ke paras purata wilayah, membenarkan pekerja lombong untuk berjumpa doktor apabila cedera dan tidak lagi memaksa pekerja lombong untuk tinggal di rumah milik syarikat dengan bayaran sewa. Gelombang kedua aksi mogok bermula dua hari kemudian apabila pekerja-pekerja loji pengasingan arang batu di kampung berdekatan bermogok untuk kenaikan upah, dan memaksa pihak syarikat bersetuju dengan kenaikan upah dalam tempoh tiga hari sahaja.

Pekerja-pekerja lombong di Lattimer bermogok lagi pada 3 September 1897, dengan kira-kira 3,000 orang pekerja berarak ke 4 buah lombong dan menghentikan operasi lombong itu. Dalam tempoh 5 hari, kira-kira 8,000 hingga 10,000 orang pekerja lombong menyertai aksi mogok. Pihak pemilik lombong meminta bantuan daripada pegawai syerif daerah itu. Pada 10 September 1897, apabila kira-kira 400 orang pemogok yang tidak bersenjata berarak ke sebuah lombong di Lattimer, pihak berkuasa yang cuba menyuraikan demonstran itu melepaskan tembakan dan membunuh sekurang-kurangnya 19 orang pekerja lombong, yang kebanyakannya pekerja imigran beretnik Slav dan Jerman.

Asap letupan sebuah loji di Bunker Hill boleh dilihat dari pekan Wardner, negeri Idaho, semasa aksi mogok pekerja lombong di Coeur d’Alene pada tahun 1892. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada tahun 1892, pekerja-pekerja lombong perak di wilayah perlombongan Coeur d’Alene, di bahagian utara negeri Idaho, Amerika Syarikat, yang juga dikenali sebagai “Lembah Perak” (Silver Valley), melancarkan mogok untuk membantah pengurangan upah dan penambahan jam kerja sehari. Pekerja-pekerja lombong itu menuntut “upah sara hidup” untuk semua pekerja, tanpa mengira pekerja mahir atau pekerja tidak mahir. Pihak pemilik lombong perak cuba mengupah pengganti pemogok dari tempat lain, tetapi kereta api yang mengangkut pengganti pemogok itu “disambut” oleh pemogok-pemogok yang memberi amaran supaya jangan bekerja semasa mogok. Pihak pemilik lombong perak kemudiannya mengupah ejen daripada syarikat penyiasat pensendirian untuk menyusup ke dalam kesatuan sekerja dan memberi laporan tentang aktiviti mogok. Ramai ejen perisikan pergi menyertai pekerja-pekerja yang bermogok. Apabila pekerja-pekerja yang bermogok mendapati organisasi mereka disusupi ejen perisikan, tercetusnya konfrontasi yang lebih hebat. 3 orang pemogok terbunuh dalam pertempuran. Gabenor negeri Idaho mengisytihar darurat dan mengerahkan Pengawal Kebangsaan untuk menduduki kawasan itu di samping mematahkan mogok itu.

Mogok Pekerja Coeur d’Alene 1892 telah membawa kepada penubuhan Persekutuan Pelombong Barat (WFM), sebuah kesatuan sekerja militan, pada 15 Mei 1893 semasa sebuah konvensyen kesatuan sekerja yang diadakan di Butte, negeri Montana. WFM menggabungkan beberapa buah kesatuan pekerja lombong, yang mewakili pekerja-pekerja lombong tembaga di negeri Montana, pekerja-pekerja lombong perak dan plumbum di negeri Idaho, pekerja-pekerja lombong emas di negeri Colorado dan pekerja-pekerja lombong batu keras di negeri Dakota Selatan serta Utah.

Selepas penubuhannya, WFM telah memainkan peranan utama dalam mengorganisasi beberapa aksi mogok, seperti mogok pekerja lombong emas di Cripple Creek, negeri Colorado, pada tahun 1894, dan mogok pekerja lombong perak di Leadville, negeri Colorado, pada tahun 1896-1897.

Semasa tercetusnya Mogok Pullman 1894, pertempuran ganas turut berlaku di Coeur d’Alene, dengan ahli-ahli kesatuan sekerja menyerang pekerja-pekerja yang bukan ahli kesatuan sekerja. Gabenor negeri Idaho memanggil pasukan tentera persekutuan atas alasan mencegah gangguan perkhidmatan kereta api, dan Coeur d’Alene berada di bawah pendudukan tentera sekali lagi selama dua bulan.

Loji yang dimusnahkan semasa mogok pekerja lombong Coeur d’Alene pada tahun 1899.

Kira-kira 5 tahun kemudian, pada bulan April 1899, pihak pengurusan syarikat Bunker Hill Mining Company yang mengusahakan lombong di Wardner, yang terletak di dalam wilayah perlombongan Coeur d’Alene, memecat 17 orang pekerja yang dipercayai merupakan ahli kesatuan sekerja. Pekerja-pekerja lombong di Wardner terus melancarkan mogok. Aksi mogok itu disokong oleh kesatuan sekerja WFM. Pada 29 April 1899, kira-kira 250 orang pekerja lombong merampas sebuah kereta api dan membawanya ke sebuah loji milik Bunker Hill Mining Company di Wardner. Mereka kemudiannya meletupkan loji itu dengan 3,000 paun dinamit.

Selepas kejadian itu, Gabenor negeri Idaho mengisytihar darurat di wilayah perlombongan Coeur d’Alene, dan meminta kerajaan persekutuan Amerika Syarikat untuk mengerahkan pasukan tentera ke situ. Pada bulan Mei 1899, lebih 1,000 orang pekerja lombong ditangkap dan ditahan tanpa bicara di dalam “kandang lembu” (struktur sementara yang sebenarnya tidak cukup untuk menempatkan lembu) yang dikelilingi dengan pagar dawai berduri. Sebahagian besar pekerja yang ditahan itu dibebaskan dalam tempoh dua minggu, sementara ratusan orang pekerja masih ditahan tanpa pendakwaan di dalam penjara sementara itu selama beberapa bulan. Menjelang bulan Oktober 1899, masih terdapat 65 orang yang ditahan, dan tahanan yang terakhir dibebaskan pada bulan Disember 1899. Peristiwa konfrontasi buruh di Coeur d’Alene pada tahun 1899 merupakan salah satu penindasan yang paling keras dan zalim terhadap gerakan kesatuan buruh dalam sejarah Amerika Syarikat.

“Kandang lembu” yang didirikan untuk mengurung pekerja-pekerja yang ditangkap kerana terlibat dalam mogok di Coeur d’Alene pada tahun 1899.

Pada penghujung abad ke-19, budak penjual surat khabar (yang dikenali sebagai newsboy) merupakan sejenis pekerjaan yang penting untuk pengedaran surat khabar di Amerika Syarikat. Kebanyakan budak penjual surat khabar itu berasal daripada keluarga imigran yang miskin, dan mereka menjual surat khabar pada waktu petang serta malam selepas pulang dari sekolah. Budak-budak penjual surat khabar membeli surat khabar itu dengan harga 50 sen untuk 100 naskhah, dan menjual surat khabar itu dengan 1 sen untuk setiap naskhah, bermakna mereka hanya mendapat keuntungan setengah sen bagi setiap naskhah surat khabar yang dapat dijual. Budak-budak penjual surat khabar di Bandar Raya New York, Amerika Syarikat, pernah bermogok pada tahun 1886, 1887, 1889 dan 1899 terhadap syarikat penerbit akhbar yang menaikkan harga jualan surat khabar kepada mereka.  

Pada tahun 1898, apabila berlakunya Perang Sepanyol-Amerika, jualan surat khabar menjadi sangat laris, dan beberapa syarikat penerbit meningkatkan kos jualan 100 naskhah daripada 50 sen kepada 60 sen. Selepas tamatnya Perang Sepanyol-Amerika, banyak syarikat penerbit mengurangkan semula kos itu kepada 50 sen, kecuali akhbar The Evening World yang dimiliki oleh Joseph Pulitzer (1847-1911) dan New York Evening Journal yang dimiliki oleh William Randolph Hearst (1863-1951). Pada 18 Julai 1899, sekumpulan budak penjual surat khabar di bandar Long Island, negeri New York, Amerika Syarikat, menerbalikkan sebuah gerabak yang menjual akhbar. Sehari kemudian, pada 19 Julai 1899, budak-budak penjual surat khabar berhimpun di Taman Dewan Bandar Raya New York dan mengisytihar pelancaran mogok terhadap semua akhbar yang diterbitkan oleh syarikat milik Joseph Pulitzer dan William Randolph Hearst. Pada 20 Julai 1899, budak-budak penjual surat khabar di Manhattan dan Brooklyn turut bermogok.

Budak-budak penjual surat khabar di Bandar Raya New York pada tahun 1910. (foto: Lewis Hine)

Budak-budak penjual surat khabar yang bermogok itu menyerang orang yang menjual akhbar yang diboikot oleh mereka. Pihak syarikat pemilik akhbar cuba membayar orang dewasa untuk menjual surat khabar dan menjanjikan perlindungan polis, tetapi pemogok-pemogok sentiasa dapat mengalihkan perhatian pegawai polis supaya mereka boleh menyerang pengganti pemogok itu. Budak-budak penjual surat khabar juga mengedarkan risalah dan menampal poster di seluruh Bandar Raya New York, dengan seruan kepada orang ramai supaya jangan membeli surat khabar New York World dan New York Journal.

Pada 24 Julai 1899, budak-budak penjual surat khabar mengadakan perhimpunan besar-besaran, dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang budak penjual surat khabar dari Manhattan, 2,000 orang budak penjual surat khabar dari Brooklyn dan ratusan orang dari kawasan yang lain di Bandar Raya New York. Aksi mogok itu dilemahkan selepas tersebarnya khabar angin bahawa dua orang pemimpin utama mogok itu telah menerima sogokan daripada pihak syarikat penerbit akhbar dan mengkhianati perjuangan mogok itu. Sebuah perarakan besar-besaran yang dirancang juga digagalkan selepas pihak berkuasa tidak mengeluarkan permit. Pada 1 Ogos 1899, kedua-dua syarikat penerbit New York World dan New York Journal menawarkan kompromi bahawa kos akhbar yang dijual kepada budak penjual surat khabar masih kekal pada kadar 60 sen untuk 100 naskhah, tetapi mereka akan membeli balik semua surat khabar yang tidak terjual. Budak-budak penjual surat khabar bersetuju dengan kompromi itu dan menamatkan aksi mogok pada hari keesokannya.  

Apabila melangkah masuk ke abad ke-20, dengan ekonomi kapitalis di Amerika Syarikat menjadi lebih maju lagi, pertentangan kelas antara pekerja dan kapitalis bukan sahaja kekal, malah menjadi lebih hebat lagi, dengan menyaksikan lebih banyak aksi mogok yang hebat. Lanjutan daripada perjuangan gerakan buruh yang belum selesai pada abad ke-19, aksi mogok menjadi lebih kerap lagi di Amerika Syarikat pada abad ke-20. Antara perjuangan mogok yang penting di Amerika Syarikat pada awal abad ke-20, sebelum Perang Dunia II, ialah Mogok Pekerja Lombong Arang Batu Antrasit 1902 di negeri Pennsylvania yang melibatkan lebih 100,000 orang pekerja, Mogok Pekerja Trem San Francisco 1907 di negeri California yang melibatkan kira-kira 10,000 orang pekerja daripada pelbagai sektor, Mogok Pekerja Tekstil Lawrence 1912 di negeri Massachusetts yang disertai oleh kira-kira 30,000 orang pekerja, Perang Kawasan Perlombongan Arang Batu Colorado pada tahun 1913-1914 yang melibatkan kira-kira 12,000 orang pekerja, Gelombang Mogok Pekerja Amerika Syarikat 1919 yang melibatkan kira-kira 4 juta orang pekerja, Mogok Besar Pekerja Keluli 1919 di seluruh negara Amerika Syarikat yang melibatkan 365,000 orang pekerja, Mogok Pelombong UMW 1922 di seluruh negara Amerika Syarikat yang melibatkan kira-kira 610,000 orang pekerja, Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1922 yang disertai oleh kira-kira 400,000 orang pekerja, Mogok Pekerja Tekstil 1934 di Pantai Timur Amerika Syarikat yang melibatkan kira-kira 400,000 orang pekerja, Mogok Pekerja Pelabuhan Pantai Barat 1934 yang disertai oleh kira-kira 35,000 orang pekerja maritim, Mogok Duduk Bantah Flint 1936 di kilang pembuat kereta General Motors di negeri Michigan yang melibatkan lebih 136,000 orang pekerja, dan Mogok Pekerja Keluli “Kecil” 1937 di seluruh negara Amerika Syarikat yang disertai oleh lebih 67,000 orang pekerja.

Perhimpunan pekerja keluli yang bermogok di Cleveland, negeri Ohio, Amerika Syarikat, pada 1 Oktober 1919 ketika negara itu dilanda gelombang mogok pekerja yang hebat.

Pada tahun 1898, pekerja-pekerja lombong arang batu di wilayah Wales Selatan, Britain, melancarkan aksi mogok untuk membantah sistem skala gelongsor yang menentukan kadar upah pekerja berdasarkan harga arang batu semasa. Mogok itu kemudiannya bertukar menjadi sekatan masuk kerja yang dikenakan oleh pihak pemilik lombong dan berlarutan selama 6 bulan. Mogok itu menemui kegagalan dan sistem skala gelongsor itu diteruskan. Kegagalan mogok itu kerana kelemahan dan kekurangan penyelarasan dalam kalangan pemimpin mogok menyebabkan pekerja-pekerja lombong di Wales menyedari tentang kepentingan pembentukan sebuah organisasi yang lebih kukuh. Oleh itu, 10 buah kesatuan pekerja lombong tempatan di wilayah Wales Selatan menubuhkan Persekutuan Pelombong Wales Selatan (South Wales Miners’ Federation, SWMF) pada 24 Oktober 1898. SWMF berjaya mentransformasikan Wales Selatan daripada wilayah perlombongan utama di Britain yang mempunyai keanggotaan kesatuan sekerja paling rendah (dengan hanya 18% pekerja berkesatuan pada tahun 1897) kepada wilayah dengan kadar keanggotaan kesatuan yang tertinggi di Britain (iaitu mencecah 87% pekerja berkesatuan menjelang tahun 1900). SWMF kemudiannya muncul sebagai salah sebuah kesatuan sekerja yang paling kuat dan penting di Britain.

India mula dijajah oleh kuasa imperialis British apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris mendirikan pusat perdagangan di Madras (iaitu Chennai, ibu negeri Tamil Nadu di bahagian tenggara India hari ini), Bombay (iaitu Mumbai, ibu negeri Maharashtra di bahagian barat India hari ini) dan Calcutta (iaitu Kolkata, ibu negeri Bengal Barat di bahagian timur India hari ini) pada abad ke-17, diikuti dengan pemerintahan Syarikat Hindia Timur Inggeris di wilayah-wilayah subbenua India pada abad ke-18, dan kemudiannya pembentukan pemerintahan langsung kerajaan Mahkota British di India pada tahun 1858. Pemerintahan kolonial British ke atas subbenua India telah menyerapkan wilayah-wilayah di situ ke dalam kapitalisme, bukannya menjadikan India sebuah ekonomi kapitalis yang maju seperti Britain, tetapi menjadikannya sekadar tempat pengekstrakan buruh murah untuk memajukan ekonomi kapitalis British sendiri.

Ekonomi kapitalis yang dibangunkan di India semasa penjajahan British dicirikan dengan dominasi sepenuhnya modal kolonial ke atas tanah jajahan itu dan kemunculan sebuah kelas komprador baharu (yang berfungsi sebagai ejen kepada kuasa imperialis kolonial untuk berurusan dalam ekonomi tempatan). Kapitalisme perindustrian di India yang diperkenalkan oleh British bermula dengan pembinaan landasan kereta api yang menghubungkan Bombay dengan Thane, yang terletak kira-kira 34 km di utara Bombay; kemudiannya diikuti dengan pembangunan perusahaan arang batu di kawasan perlombongan di wilayah Bengal dan Bihar. Pada masa yang sama, perladangan teh diwujudkan di wilayah Assam yang terletak di bahagian timur laut India. Kelas pekerja India yang terawal terdiri daripada golongan petani miskin yang tiada tanah dan golongan buruh pertanian yang terikat dengan kontrak, dengan kebanyakannya datang daripada lapisan masyarakat kasta rendah yang tertindas, seperti golongan Dalit. Buruh wanita dan kanak-kanak juga digunakan secara berleluasa dengan layanan yang teruk.

Perjuangan mogok yang terawal oleh pekerja-pekerja perindustrian moden di India boleh dijejaki seawal tahun 1862. Pada bulan Mac 1862, kira-kira 1,200 orang pekerja kereta api di Howrah, wilayah Kepresidenan Bengal, melancarkan mogok untuk menuntut kerja 8 jam sehari. Pada tahun 1877, pekerja-pekerja kilang tekstil di Nagpur, wilayah Kepresidenan Bombay, melancarkan mogok untuk menuntut kenaikan upah. Pada tahun 1881, pekerja-pekerja di kilang pengeluar jut (iaitu bahan mentah untuk membuat guni), di Ghusuri, wilayah Kepresidenan Bengal, bermogok dua kali untuk membantah pengurangan upah. Dari tahun 1882 hingga 1890, terdapat sekurang-kurangnya 25 aksi mogok yang agak besar di wilayah Kepresidenan Bombay dan Kepresidenan Madras. Pada tahun 1885, pekerja-pekerja kilang jut di Budge Budge, yang terletak berdekatan dengan Kolkata, bermogok selama 6 hari, dan pada tahun 1889, pekerja-pekerja yang sama bermogok selama 8 hari.

Narayan Meghaji Lokhande (1848-1897)

Dengan perindustrian kolonial semakin berkembang, kelas pekerja perindustrian yang baharu muncul itu sering bangkit secara spontan untuk menentang eksploitasi yang melampau. Aksi protes dan mogok itu biasanya untuk menentang beban kerja yang keterlaluan, upah rendah, jam kerja yang panjang dan tahap keselamatan tempat kerja yang teruk. Walaupun pekerja-pekerja di India pada masa itu belum lagi diorganisasikan ke dalam kesatuan sekerja, terdapat sesetengah golongan intelek yang prihatin pada nasib pekerja mula memperjuangkan pembaharuan untuk kebajikan pekerja daripada perspektif humanis dan filantropi. Pada tahun 1874, Shasipada Banerjee (1840-1924), seorang aktivis sosial progresif di Bengal, mengasaskan sebuah akhbar yang bernama Bharat Sramajivi (Pekerja India), dengan edarannya mencecah 15,000 naskhah pada kemuncaknya. Shasipada Banerjee juga menubuhkan sekolah malam di Baranagar, yang terletak berdekatan dengan Kolkata, untuk membolehkan pekerja-pekerja mengakses pendidikan asas. Pada tahun 1880, Narayan Meghaji Lokhande (1848-1897), seorang aktivis sosial yang dianggap sebagai “Bapa Gerakan Kesatuan Sekerja” di India, mengambil alih pengurusan akhbar Dinbandhu yang diterbitkan di Bombay, untuk menyebarkan pandangan yang mendukung penambahbaikan keadaan kerja di kilang tekstil. Pada tahun 1884, N.M. Lokhande mengemukakan piagam pekerja tekstil yang mengandungi tuntutan-tuntutan pekerja seperti cuti pada hari Ahad, waktu rehat selama setengah jam pada waktu petang dan pembayaran upah selewat-lewatnya pada hari ke-15 setiap bulan. Piagam tuntutan pekerja itu mendapat tandatangan daripada kira-kira 5,500 orang pekerja, dan diserahkan kepada sebuah suruhanjaya yang dilantik oleh kerajaan kolonial British.

Walaupun pihak berkuasa kolonial British di India menggubal undang-undang yang memberikan sedikit hak minimum kepada pekerja pada penghujung abad ke-19, pihak pemerintahan kolonial British dan golongan kapitalis komprador India tidak pernah serius dalam melaksanakannya. Kesedaran kelas pekerja di India dibangunkan melalui konflik berkembar yang saling berkaitan secara organik, iaitu dengan pemerintahan kolonial British dan golongan kapitalis komprador India. Kemunculan perjuangan pekerja perindustrian secara spontan di India pada abad ke-19, merupakan pendahulu kepada perluasan perjuangan kelas pekerja yang lebih hebat di tanah jajahan British itu pada abad ke-20, dengan gerakan kesatuan sekerja yang lebih tersusun dan pembentukan peranan kelas pekerja dalam persoalan-persoalan politik yang penting mengenai masa hadapan India.

Di China, golongan pekerja moden mula muncul apabila kuasa imperialis Eropah memaksa kerajaan Dinasti Qing (1636-1912) untuk membuka pintu kepada kemasukan modal secara besar-besaran melalui pembukaan “pelabuhan persetiaan” pada abad ke-19, di bandar-bandar seperti Guangzhou, Hankou (sebahagian daripada Wuhan hari ini), Shanghai, Tianjin dan Xiamen. Golongan kapitalis komprador di China mengeksploitasi pekerja-pekerja di situ dengan jam kerja yang panjang, upah kerja yang rendah dan keadaan kerja yang tidak selamat. Perjuangan kelas pekerja yang awal di negara China sering berkaitan dengan penentangan terhadap eksploitasi oleh golongan kapitalis yang berkaitan rapat dengan kuasa imperialis dan kelas pemerintah lama Dinasti Qing. Perjuangan kelas pekerja yang awal di China, melibatkan perjuangan menentang feudalisme, imperialisme dan kapitalisme.

Aksi mogok pekerja China boleh dijejaki seawal tahun 1868, apabila pekerja-pekerja di kilang pembuat kapal Yesong, yang dimiliki oleh kapitalis Inggeris di Shanghai, melancarkan mogok untuk membantah tindakan majikan yang menurunkan upah mereka. Pada bulan Julai 1882, pekerja-pekerja lombong arang batu di pekan Kaiping (terletak di Tangshan, wilayah Hebei, hari ini) bermogok untuk menuntut upah yang adil dan menentang penindasan terhadap pekerja.

Semasa berlakunya Perang China-Perancis (1883-1885), pada 3 September 1884, pekerja-pekerja limbungan kapal China di Hong Kong, yang merupakan tanah jajahan British pada masa itu, enggan melakukan kerja-kerja pembaikan untuk kapal perang Perancis yang berlabuh di situ, dan melancarkan aksi mogok. Pekerja-pekerja yang bermogok malah membakar sebuah kapal perang Perancis yang berlabuh di Hong Kong. Pada 3 Oktober 1884, pekerja-pekerja China di Hong Kong mengadakan demonstrasi besar-besaran, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial yang menggunakan keganasan. Seorang pekerja ditembak mati dan ramai orang ditangkap. Aksi mogok pekerja-pekerja Hong Kong yang berlarutan selama 35 hari itu melumpuhkan ekonomi bandar itu dan memaksa pihak berkuasa kolonial British untuk membebaskan pekerja-pekerja yang ditangkap, di samping menisytihar bahawa ia tidak akan mencampur tangan dalam tindakan pekerja yang enggan memunggah barangan buatan Perancis.

Pada bulan Januari 1891, pekerja-pekerja di kilang penenun kain di Shanghai, di bawah kepimpinan seorang mekanik yang bernama Zhang Guiqing, mengadakan mogok untuk membantah cara pengurusan yang zalim dan eksploitasi di situ, tetapi kerajaan Dinasti Qing mematahkan mogok itu secara ganas dan membunuh Zhang Guiqing yang baru berumur 29 tahun pada masa itu.

Kilang kain kapas Ewo di Shanghai, yang dimiliki oleh syarikat Jardine Matheson, mula beroperasi pada tahun 1897.

Pada bulan September 1898, pekerja-pekerja di kilang-kilang kain kapas, yang dimiliki oleh kapitalis British dan Jerman di Shanghai, bermogok untuk membantah perubahan sistem upah harian kepada sistem upah mengikut hasil kerja dan sistem pengupahan kontrak. Pada bulan Jun 1899, oleh sebab kilang kain kapas Ewo yang dimiliki oleh kapitalis Inggeris mengurangkan upah pekerja sebanyak 20%, pekerja-pekerja di situ mengadakan aksi mogok.

Sebahagian besar perjuangan mogok yang awal di China semasa zaman pemerintahan Dinasti Qing merupakan penentangan secara spontan dan berasingan terhadap eksploitasi oleh golongan majikan, sama ada kapitalis dari luar negara, kapitalis komprador atau kapitalis tempatan yang disokong oleh kerajaan Dinasti Qing. Pekerja-pekerja pada masa itu masih belum membangunkan kesedaran kelas yang jelas tentang hala tuju perjuangan kelas pekerja dan keperluan untuk berorganisasi dalam gerakan yang lebih tersusun. Oleh itu, kebanyakan perjuangan awal kelas pekerja China itu berakhir dengan kegagalan. Tambahan pula, pihak berkuasa sering menggunakan kekerasan untuk mematahkan perjuangan mogok pekerja itu. Walau bagaimanapun, semangat perjuangan kelas pekerja itu tetap berterusan.

Di Jepun, selepas bermulanya Revolusi Perindustrian, pekerja-pekerja yang diupah dalam perusahaan tekstil mengalami eksploitasi yang amat teruk. Pekerja-pekerja kilang wanita, malah kanak-kanak, dipaksa untuk bekerja sepanjang waktu malam. Kebanyakan pekerja itu berasal dari kawasan perkampungan yang miskin. Ejen pengambilan kerja menggunakan kata-kata manis dan pembohongan untuk memujuk golongan wanita di kampung untuk bekerja di kilang yang “moden”. Apabila masuk ke dalam kilang, pekerja-pekerja wanita itu sering menghadapi penganiayaan dan hukuman fizikal, seperti diseksa dengan air mendidih dan ditinggalkan dalam salji pada musim sejuk. Sesetengah pemilik kilang hanya membayar upah sekali dalam tempoh setahun kepada pekerja-pekerja wanita yang diupah mereka untuk mencegah pekerja-pekerja wanita itu daripada melarikan diri. Golongan pemilik kilang juga sering memotong upah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas, dan mengenakan denda terhadap mana-mana pekerja yang menyuarakan ketidakpuasan hati. Pekerja-pekerja wanita itu hidup bagaikan banduan di dalam penjara. Mereka dihimpit di dalam bilik asrama yang kecil lagi sempit atau di dalam bilik stor, dan dilarang untuk keluar dari kilang, dengan pengawal sentiasa mengawasi mereka. Golongan pengurus kilang juga tidak memberi perhatian kepada pekerja-pekerja wanita yang jatuh sakit, malah mati, akibat kerja berlebihan dan keadaan tempat kerja yang teruk.

Pada bulan Jun 1886, lebih 100 orang pekerja wanita kilang sutera Amamiya di wilayah Yamanashi, yang terletak di bahagian tengah Pulau Honshu, melancarkan mogok yang pertama di Jepun. Mereka bermogok kerana marah terhadap tindakan majikan yang memanjangkan jam kerja sehari dan memotong upah. Pemogok-pemogok wanita itu mendirikan benteng untuk mempertahankan diri mereka di dalam sebuah kuil yang berdekatan dengan kilang itu. Hasil daripada keberanian pekerja-pekerja wanita yang bermogok itu, mereka berjaya mendapat konsesi daripada pihak pengurusan yang panik dengan mogok itu, dan memperoleh penyelesaian yang agak adil. Mogok pekerja wanita di kilang Amamiya itu memberi dorongan kepada pekerja-pekerja lain di Jepun untuk turut bangkit menentang majikan mereka, di kilang-kilang dan lombong-lombong besar.

Pada bulan Februari 1890, kira-kira 200 orang tukang batu di Tokyo, Jepun, melancarkan mogok selama 12 hari, dengan tuntutan kepada pihak majikan untuk menghentikan penggunaan buruh murah. Seperti pendirian yang diambil oleh kebanyakan kesatuan kraf di Eropah dan Amerika Utara, tukang-tukang batu yang merupakan pekerja mahir itu menganggap pekerja-pekerja tidak mahir yang dibayar upah lebih rendah itu sebagai ancaman kepada keterjaminan kerja dan kuasa perundingan mereka. Oleh sebab tidak wujud lagi organisasi pekerja yang sebenar pada masa itu, mereka masih belum dapat membangunkan kesedaran kelas yang menyedari tentang kepentingan solidariti kelas pekerja tanpa mengira tahap kemahiran dan latar belakang. Kesatuan sekerja moden yang pertama di Jepun, iaitu Kesatuan Pekerja Besi, hanya ditubuhkan pada 1 Disember 1897 di Tokyo.

Lembangan arang batu Carmaux-Albi terletak di jabatan Tarn, bahagian selatan Perancis, antara bandar Carmaux di utara dan Albi di selatan. Aktiviti perlombongan di situ bermula pada pertengahan abad ke-18 dengan penubuhan Compagnie Minière de Carmaux (Syarikat Perlombongan Carmaux). Keadaan kerja di situ adalah teruk, dengan pekerja-pekerja lombong mengalami masalah seperti ancaman letupan, kesesakan nafas, anemia dan tuberkulosis. Pekerja-pekerja lombong mungkin memperoleh upah yang lebih tinggi apabila harga pasaran arang batu meningkat, tetapi tidak setara dengan peningkatan keuntungan syarikat perlombongan. Lebih-lebih lagi, pekerja-pekerja boleh kehilangan kerja jika permintaan terhadap arang batu merudum.

Tapak perlombongan di Carmaux, jabatan Tarn, Perancis.

Pekerja-pekerja lombong di Carmaux hampir bermogok pada awal tahun 1892, untuk menuntut kenaikan upah, tetapi kemarahan pekerja itu dapat diredakan melalui perundingan. Pada bulan Mei 1892, Jean-Baptiste Calvignac (1854-1934), seorang yang diupah sebagai jurupasang di lombong Carmaux dan bergiat aktif dalam kesatuan sekerja, dipilih sebagai datuk bandar Carmaux. Pada 2 Ogos 1892, syarikat perlombongan memecat Jean-Baptiste Calvignac atas alasan dia sering tidak hadir kerja kerana perlu melaksanakan tugasan datuk bandar. Tindakan pemecatan Jean-Baptiste Calvignac itu mencetuskan kemarahan pekerja-pekerja lombong Carmaux. Pekerja-pekerja lombong mengadakan sebuah perjumpaan pada 15 Ogos 1892, dan melancarkan aksi mogok pada hari keesokannya. Aksi mogok itu berlarutan selama 10 minggu, dan disertai oleh kira-kira 2,350 daripada 3,000 orang pekerja lombong di situ.

Dengan aksi mogok berterusan, pekerja-pekerja lombong yang bermogok itu menghadapi masalah kekurangan makanan, sementara syarikat perlombongan mengerahkan pengganti pemogok, malah mengupah ejen provokasi yang menghasut tindakan ganas yang boleh memburukkan nama pekerja-pekerja lombong, dalam cubaan mematahkan mogok itu. Namun begitu, aksi mogok itu mendapat simpati dan sokongan daripada ahli-ahli politik berhaluan kiri di Perancis. Jean Jaurès (1859-1914), seorang wartawan dan ahli politik Republikan Moderat, turut menyokong mogok Carmaux, malah dipengaruhi oleh aksi mogok itu untuk mengalihkan pendiriannya ke arah sosialis. Ahli-ahli politik yang menyokong aksi mogok itu mengatakan bahawa ia merupakan usaha untuk mempertahankan kebebasan politik pengundi-pengundi di Carmaux.

Hasil daripada tekanan politik yang hebat, Émile Loubet (1838-1929), Perdana Menteri Perancis pada masa itu, bersetuju untuk menjadi penimbang tara bagi menyelesaikan pertikaian perusahaan itu. Émile Loubet mengumumkan keputusannya pada 26 Oktober 1892, di mana Jean-Baptiste Calvignac akan diupah semula dan diberikan cuti sepanjang tempohnya menjadi datuk bandar, sementara semua pekerja yang bermogok akan dipulihkan kerja kecuali mereka yang telah disabit kesalahan merusuh. Keputusan itu dibantah oleh ahli-ahli politik berhaluan kiri seperti Georges Clemenceau (1841-1929), kerana ia sangat memihak kepada pihak majikan. Georges Clemenceau pergi ke Carmaux dan merundingkan kompromi di mana pengurus yang memecat Jean-Baptiste Calvignac itu dipindahkan ke tapak lombong yang lain dan pemogok-pemogok yang disabit kesalahan akan dibebaskan serta dipulihkan kerja. Keputusan kompromi itu tercapai pada 30 Oktober 1892 dan diterima oleh pekerja-pekerja yang bermogok. Pekerja-pekerja lombong yang bermogok kembali bekerja pada 3 November 1892. Jean Jaurès yang lantang bersuara menyokong aksi mogok itu dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan Perancis yang mewakili jabatan Tarn pada bulan Januari 1893.

Pekerja-pekerja lombong di Carmaux, jabatan Tarn, Perancis, bermogok pada tahun 1892. (ilustrasi: Alfred Philippe Roll)

Émile Henry (1872-1894), seorang anarkis yang memerhatikan perkembangan aksi mogok Carmaux, tidak berpuas hati dengan kesudahan mogok itu kerana pekerja-pekerja lombong masih menghadapi nasib eksploitasi yang sama, maka dia memutuskan untuk menggunakan keganasan. Pada 8 November 1892, Émile Henry meletakkan sebutir bom di pejabat Syarikat Perlombongan Carmaux di Paris. Selepas bom itu ditemui dan dibawa ke sebuah balai polis, ia meletup dan membunuh 5 orang anggota polis di situ. Émile Henry melakukan satu lagi serangan keganasan pada 12 Februari 1894, untuk membalas dendam terhadap penghukuman mati dua orang anarkis, dengan melontar sebutir bom di Café Terminus di Paris, yang menyebabkan seorang terbunuh dan 17 orang cedera. Émile Henry terus ditangkap dan kemudiannya dihukum mati pada 21 Mei 1894.

Tiga tahun selepas kejayaan mogok pekerja lombong di Carmaux, pada tahun 1895, tercetusnya satu lagi mogok, bukan di lombong arang batu, tetapi di kilang kaca yang berdekatan dengan lombong arang batu. Mogok itu tercetus kerana seorang wakil kesatuan sekerja diberhentikan kerja pada 31 Julai 1895, kerana dia menghadiri kongres pekerja pembuat kaca di Marseille. Pihak pengurusan kilang bertindak balas dengan menutup kilang itu, sehingga menyebabkan 1,200 orang pekerja kehilangan kerja. Pihak majikan kemudiannya mengumumkan bahawa selepas kilang itu dibuka semula, dia berhak untuk menentukan siapa yang akan diupah semula, dan anggota kesatuan sekerja tidak akan diupah semula.

Aksi mogok pekerja pembuat kaca di Carmaux mendapat sokongan daripada golongan sosialis daripada pelbagai aliran. Mereka melancarkan kempen pengumpulan dana dengan hasrat menubuhkan sebuah kilang kaca yang diuruskan secara kendiri oleh pekerja-pekerja yang kehilangan kerja. Jean Jaurès, Ahli Dewan Perwakilan Perancis yang mewakili jabatan Tarn pada masa itu, juga menyokong aktiviti pengumpulan dana itu, dan berkata, “Kita harus hidup. Kamu juga harus hidup… Di sini akan adanya sebuah kilang kaca untuk pekerja-pekerja pembuat kaca yang diusir oleh majikan yang menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dan kelaparan supaya mereka mempunyai tempat berlindung.” Di bawah bantuan dalam dan luar negara Perancis, golongan sosialis itu berjaya mengumpulkan dana yang dipecahkan kepada 5,000 bahagian syer dengan setiap syer bernilai 100 franc. Terdapat seorang penderma menyumbangkan 10,000 franc untuk membeli tanah.

Pihak majikan cuba mengupah pengganti pemogok untuk menggagalkan aksi mogok pekerja. Pihak berkuasa mengerahkan pasukan polis tentera, gendarmerie, ke situ untuk “menjaga keselamatan”. Beberapa orang anggota jawatankuasa mogok ditangkap dan didakwa dengan pelbagai pertuduhan, seperti “menghalang kebebasan untuk bekerja”. Malah, terdapat seorang pekerja ditahan atas pertuduhan cuba menyerang majikan dengan pistol, tetapi dilepaskan 20 hari kemudian kerana tiada bukti yang kukuh.

Pekerja-pekerja yang tidak dipulihkan kerja mereka di kilang kaca Carmaux itu mewujudkan kilang kaca yang diuruskan secara kendiri oleh pekerja di Albi. Kilang kaca yang diuruskan pekerja secara kendiri itu mula beroperasi pada bulan Oktober 1896. Kilang itu menjadi koperasi pekerja pada tahun 1931.

Para pemogok berarak di jalanan. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Di Belgium, tuntutan untuk melaksanakan hak mengundi sejagat bagi semua lelaki dewasa telah dikemukakan sejak tahun 1840-an, tetapi enggan dilaksanakan oleh golongan pemerintah kapitalis di negara itu. Sehingga tahun 1893, undang-undang mengenai pilihan raya di Belgium telah mengehadkan hak mengundi kepada lelaki yang memiliki harta. Parti Buruh Belgium, yang ditubuhkan pada tahun 1885, langsung tidak memenangi satu kerusi pun dalam Dewan Perwakilan Belgium, kerana kebanyakan penyokongnya yang merupakan kelas pekerja itu langsung tiada hak mengundi.

Pada awal tahun 1890-an, berlakunya aksi mogok secara sporadik, dalam kalangan pekerja lombong dan pekerja lain, terutamanya di kawasan perlombongan seperti Liège, Charleroi dan Borinage. Pada tahun 1890, Parti Buruh Belgium pernah menyeru untuk memperluaskan aksi mogok, tetapi membatalkan seruan itu selepas Dewan Perwakilan Belgium bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan reformasi pilihan raya yang memperluaskan hak mengundi.

Pada 11 April 1893, ahli-ahli parlimen daripada Parti Katolik dan Parti Liberal berganding bahu dalam Dewan Perwakilan Belgium untuk menolak cadangan yang memperluaskan hak mengundi. Hasil daripada desakan pekerja-pekerja yang marah, pemimpin-pemimpin Parti Buruh Belgium bersetuju untuk mengadakan mogok umum. Pada 12 April 1893, pekerja-pekerja di Belgium mula bermogok. Pihak berkuasa bertindak dengan menangkap pemimpin-pemimpin Parti Buruh Belgium, termasuk Jean Volders (1855-1896) dan Émile Vandervelde (1866-1938). Namun, mogok itu merebak dengan cepatnya ke seluruh negara Belgium. Pekerja-pekerja yang bermogok bertempur dengan pihak berkuasa di jalanan, dan ramai orang cedera.

Pada 14 April 1893, kira-kira 15,000 orang pekerja lombong bermogok di kawasan perlombongan yang berdekatan dengan Mons, ibu kota provinsi Hainaut yang terletak di wilayah Wallonia. 65 buah kilang di Verviers, provinsi Liège, wilayah Wallonia, tutup sepenuhnya kerana pekerja-pekerja di situ bermogok. Pekerja-pekerja yang bermogok itu berdemonstrasi di jalanan di seluruh Belgium. Pada 15 April 1893, pekerja-pekerja yang bermogok mendirikan benteng jalanan. Ramai orang dicederakan oleh pihak polis yang menggunakan kekerasan untuk menyuraikan demonstran.

Pasukan Pengawal Sivik melepaskan tembakan ke arah golongan pemogok di kawasan yang berdekatan dengan Mons, pada 17 April 1893. (ilustrasi: H.Meyer, 1893)

Pada 17 April 1893, pertempuran sengit berlaku di Antwerp dan Mons. Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 13 orang pekerja yang bermogok terbunuh, dengan 7 orang pekerja terbunuh di Mons. Dianggarkan kira-kira 200,000 orang pekerja menyertai aksi mogok di seluruh negara Belgium.

Oleh sebab takut tentang mogok umum itu bertukar menjadi revolusi politik yang boleh menjatuhkan kekuasaan golongan pemerintah sedia ada, Paul Janson (1840-1913), ahli parlimen daripada Parti Liberal, mengundang pemimpin-pemimpin Parti Buruh Belgium, seperti Jean Volders, Émile Vandervelde dan Louis Bertran (1856-1943), untuk mengadakan rundingan di dalam bangunan parlimen. Dalam rundingan itu, pemimpin-pemimpin Parti Buruh Belgium berkata bahawa mereka akan membatalkan mogok jika Parlimen Belgium menghapuskan sistem pengundian yang berasaskan pemilikan harta.

Mogok Umum Belgium 1893 ditamatkan pada 18 April 1893, dengan hasilnya pembaharuan sistem pilihan raya diperkenalkan dan meningkatkan bilangan pengundi yang layak sebanyak 10 kali ganda. Namun, pembaharuan itu masih separuh masak, kerana ia menggunakan sistem undi plural, di mana sesetengah orang mempunyai undi yang lebih banyak daripada orang lain. Walaupun semua warganegara lelaki dewasa mempunyai hak mengundi, mereka yang berpendidikan tinggi atau memiliki keluasan tanah yang besar mempunyai beberapa undi, sementara mereka yang miskin hanya mempunyai satu undi.  

Mogok Umum Belgium 1893. (ilustrasi: Eugène Laermans, 1893)

Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum Belgium yang diadakan pada tahun 1894 dengan sistem pengundian baharu, Parti Buruh Belgium berjaya meraih 301,940 undi (bersamaan 16.3% undian sah) dan memenangi 27 daripada 152 kerusi dalam Dewan Perwakilan Belgium.

Untuk terus memperjuangkan pelaksanaan hak mengundi sejagat yang sebenar, gerakan pekerja di Belgium mengadakan satu lagi mogok umum pada 10-20 April 1902 untuk menuntut penghapusan sistem pengundian plural, tetapi gagal mencapai matlamatnya, walaupun penyertaan pekerja dalam mogok umum itu mencecah 350,000 orang. Namun, pekerja-pekerja di Belgium tidak berputus asa. Mereka mengadakan mogok umum yang lebih teratur lagi pada 14-24 April 1913, dengan penyertaan kira-kira 400,000 orang pekerja dan akhirnya kerajaan bersetuju untuk melakukan pembaharuan pilihan raya yang memansuhkan sistem pengundian plural. Pelaksanaan pembaharuan itu tertangguh kerana Perang Dunia I dan pendudukan tentera Jerman di Belgium, tetapi ia akhirnya direalisasikan pada tahun 1919.

Pekerja-pekerja yang bermogok disuraikan secara ganas oleh pasukan berkuda semasa Mogok Umum Belgium 1902. (ilustrasi: Henri Meunier)

Dalam keadaan revolusioner, sebuah aksi mogok yang memperjuangkan tuntutan ekonomi seperti makanan, kenaikan upah dan pengurangan jam kerja, boleh berkembang menjadi perjuangan politik yang mencabar kekuasaan kelas pemerintah. Mogok yang menggabungkan perjuangan ekonomi (yang biasanya diterajui oleh kesatuan sekerja) dan perjuangan politik (yang biasanya diterajui oleh parti politik) boleh menjadi penggerak revolusi sosial yang hebat. Rosa Luxemburg, seorang tokoh revolusioner sosialis Poland-Jerman, berpandangan bahawa mogok pekerja yang bersifat politik merupakan senjata utama yang dinamik dalam perjuangan kelas pekerja menentang kapitalisme.

“Mogok massa hanyalah bentuk perjuangan revolusioner. Setiap perubahan dalam hubungan antara kuasa-kuasa yang bertentangan, dalam perkembangan parti dan dalam pembahagian kelas, dalam kedudukan kontra-revolusi – semua ini serta-merta mempengaruhi aksi mogok dalam seribu cara yang tidak kelihatan dan sukar dikawal. Namun begitu, aksi mogok sendiri tidak pernah terhenti walau sekejap pun. Ia hanya mengubah bentuknya, dimensinya, dan pengaruhnya. Ia merupakan denyutan nadi revolusi yang hidup, dan pada masa yang sama roda penggerak yang paling berkuasa. Pendek kata, mogok massa… bukanlah kaedah licik yang ditemui melalui penaakulan halus untuk tujuan menjadikan perjuangan proletar lebih berkesan, tetapi kaedah pergerakan massa proletar, bentuk nyata perjuangan proletar dalam revolusi,” begitu tulisnya Rosa Luxemburg apabila dia memberi pandangan tentang aksi mogok massa yang diadakan semasa Revolusi Rusia 1905, dalam risalahnya yang bertajuk “Mogok Massa, Parti dan Kesatuan Sekerja” (Massenstreik, Partei und Gewerkschaften) yang diterbitkan pada tahun 1906.

Rosa Luxemburg (1871-1919)

“Mogok massa ialah bentuk semula jadi dan mengikut gerak hati yang pertama bagi setiap perjuangan revolusioner proletar yang hebat, dan semakin berkembangnya pertentangan antara modal dan buruh, semakin berkesan dan menentulah mogok massa itu. Bentuk utama revolusi borjuis sebelum ini, iaitu pertempuran di benteng jalanan, konflik terbuka dengan kuasa negara yang bersenjata, dalam revolusi hari ini hanyalah titik kemuncak, hanyalah detik seketika dalam seluruh proses perjuangan massa proletar,” ulas Rosa Luxemburg. “Mogok massa ialah… bentuk sejagat perjuangan kelas proletar yang terhasil daripada peringkat pembangunan kapitalis dan hubungan kelas pada masa kini.”

Parti kelas pekerja

Jika kesatuan buruh ialah sayap gerakan massa bagi perjuangan kelas pekerja, maka sayap politik bagi perjuangan kelas pekerja sudah pastinya merupakan parti politik kelas pekerja. Parti politik kelas pekerja ialah organisasi yang mewakili kepentingan kelas pekerja dalam perjuangan politik. Parti politik kelas pekerja bukan sahaja memberi perhatian kepada perjuangan ekonomi yang berkaitan dengan kesejahteraan kelas pekerja, seperti yang sudah boleh dilakukan oleh kesatuan pekerja, malah ia juga menumpukan usaha dalam perjuangan politik yang membolehkan kelas pekerja mengambil alih kuasa politik.

Perhimpunan golongan sosialis. (ilustrasi: Auguste Gérardin, 1885)

Parti kelas pekerja boleh memajukan usaha perjuangan pembebasan pekerja melalui tindakan politik. Tindakan politik itu merangkumi penglibatan dalam pilihan raya, kempen politik untuk mendesak perubahan dasar kerajaan, aksi demonstrasi jalanan, kempen memboikot sesuatu untuk memberi tekanan politik, keingkaran awam, mogok massa dan sebagainya.

Parti politik kelas pekerja biasanya mengambil nama seperti parti pekerja, parti buruh, parti demokratik sosial, parti sosialis, parti komunis dan sebagainya. Parti politik kelas pekerja yang sebenar seharusnya memperjuangkan pembebasan pekerja daripada belenggu sistem kapitalis. Agenda utama perjuangan sesebuah parti politik kelas pekerja seharusnya memfokus kepada usaha mentransformasi sistem politik dan sosioekonomi ke arah yang memanfaatkan golongan pekerja yang menyumbang tenaga mereka kepada pembangunan masyarakat, bukannya melindungi kepentingan minoriti kelas pemilik modal.

Golongan sosialis yang reformis menganggap parti kelas pekerja itu sebagai wadah untuk melibatkan diri dalam demokrasi borjuis, seperti mengambil bahagian dalam pilihan raya dan memenangi kerusi dalam parlimen. Golongan reformis beranggapan bahawa perubahan menuju sosialisme boleh dicapai secara berperingkat dan beransur-ansur dengan cara melakukan pembaharuan atau reformasi dalam kerangka sistem kapitalis dengan memenangi lebih banyak kerusi dalam parlimen dan membentuk kerajaan yang diterajui oleh parti kelas pekerja tanpa mengubah asas sistem kapitalis itu.

Golongan sosialis yang revolusioner pula menganggap parti kelas pekerja sebagai perintis dalam perjuangan kelas pekerja untuk pembebasan bersama, dan ia merupakan sebahagian penting yang tidak dapat dipisahkan daripada gerakan massa pekerja. Parti kelas pekerja memainkan peranan penting dalam mengorganisasi golongan pekerja ke dalam sebuah kuasa politik yang berkesan, mengaturkan perjuangan kelas pekerja, membangunkan kesedaran kelas dalam kalangan pekerja dan membolehkan kelas pekerja mengambil alih kuasa pemerintahan sebagai batu loncatan menuju pembebasan sebenar.

Karl Marx berbual dengan pekerja-pekerja Perancis pada tahun 1844. (ilustrasi: Hans Mocznay, 1961)

Parti kelas pekerja sentiasa berusaha untuk mengorganisasi dan memobilisasi pekerja demi memperjuangkan kesejahteraan bersama masyarakat. Parti kelas pekerja yang revolusioner merupakan penggerak penting dalam memajukan perjuangan pekerja, bukan sahaja untuk memperjuangkan pembaharuan yang memperbaiki kehidupan kelas pekerja dalam kapitalisme, tetapi lebih penting lagi, untuk membolehkan kelas pekerja mengambil alih kuasa politik dan mewujudkan pemerintahan proletar, seterusnya membina sebuah masyarakat sosialis yang bebas daripada segala bentuk eksploitasi terhadap umat manusia.

“Golongan Komunis tidak membentuk sebuah parti berasingan yang bertentangan dengan parti-parti kelas pekerja lain. Mereka tidak mempunyai kepentingan yang berasingan dan terpisah daripada kepentingan golongan proletar secara keseluruhan,” begitu tulisnya Karl Marx dan Friedrich Engels dalam Manifesto Komunis yang diterbitkan pada tahun 1848. “Matlamat terdekat golongan Komunis adalah sama seperti semua parti proletar yang lain: pembentukan golongan proletar ke dalam sebuah kelas, menggulingkan pemerintahan borjuis, dan penaklukan kuasa politik oleh golongan proletar.”

Karl Marx dan Friedrich Engels berbincang dengan anggota-anggota Liga Komunis. (ilustrasi: A Venetsian, 1961)

“Hubungan parti pekerja revolusioner dengan golongan demokrat borjuis kecil ialah begini: ia bekerjasama dengan mereka untuk menentang parti yang hendak digulingkan mereka; ia menentang mereka apabila mereka hendak mengukuhkan kedudukan mereka sendiri,” begitu tulisnya Karl Marx dan Friedrich Engels dalam saranan mereka kepada Jawatankuasa Pusat Liga Komunis pada tahun 1850. “Daripada merendahkan diri mereka ke tahap sekadar kumpulan sorak yang bertepuk tangan, golongan pekerja, dan yang terutamanya Liga ini, harus berusaha untuk menubuhkan sebuah organisasi parti pekerja yang bebas, baik secara rahsia mahupun secara terbuka, dan bersama-sama dengan golongan demokrat rasmi, Liga ini harus menyasarkan untuk menjadikan setiap komunnya sebagai pusat dan nukleus persatuan-persatuan pekerja, di mana kedudukan dan kepentingan golongan proletar boleh dibincangkan secara bebas daripada pengaruh borjuis.”

“Parti kelas pekerja kini berfungsi sebagai sebuah parti politik di kebanyakan negara, dan bukanlah tugas kita untuk merosakkannya dengan menyebarkan pandangan untuk berkecuali. Pengalaman hidup yang nyata, penindasan politik oleh kerajaan yang sedia ada memaksa pekerja-pekerja untuk melibatkan diri mereka dalam politik sama ada mereka sudi atau tidak, sama ada demi matlamat politik atau matlamat sosial,” kata Karl Marx semasa menyampaikan ucapan dalam persidangan Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang diadakan di London pada 21 September 1871. “Walau bagaimanapun, politik kita haruslah politik kelas pekerja. Parti pekerja tidak boleh sama sekali menjadi pengikut kepada mana-mana parti borjuis; ia harus dan mempunyai matlamatnya serta dasarnya sendiri.

Karl Marx berucap dalam persidangan Kongres Pekerja Antarabangsa di London. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Dalam gerakan pekerja pada abad ke-19 untuk meningkatkan kadar upah, mengurangkan jam kerja sehari dan memperluaskan hak mengundi, lahirnya organisasi-organisasi politik kelas pekerja yang awal, seperti Liga Komunis pada penghujung tahun 1840-an dan parti-parti pekerja yang berkembang pesat menjelang penghujung abad itu. Organisasi-organisasi politik kelas pekerja yang awal, seperti organisasi-organisasi yang terlibat dalam Gerakan Piagam Rakyat, telah memainkan peranan penting dalam usaha membolehkan kelas pekerja memperoleh hak mengundi. Dengan semakin ramai pekerja dapat mengundi, malah dicalonkan dalam pilihan raya, parti-parti pekerja yang ditubuhkan dalam perjuangan kelas pekerja itu juga berpeluang untuk mewakili suara kelas pekerja dalam parlimen yang didominasi oleh wakil kelas borjuis. Oleh itu, juga wujudnya perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan golongan sosialis tentang strategi parti kelas pekerja, sama ada kekal menumpukan perhatian dalam membina gerakan pekerja di luar parlimen atau mengalihkan usaha kepada memenangi kerusi di dalam parlimen demi memajukan perjuangan kelas pekerja.

Walau bagaimanapun, golongan sosialis merupakan golongan demokrat yang paling radikal. Golongan sosialis yang berhaluan kiri dan radikal telah menerajui banyak perjuangan demokratik untuk membolehkan rakyat terbanyak menikmati hak demokratik yang asas, yang sebelum itu hanya dinikmati oleh segelintir kecil orang dalam kelas pemerintah kapitalis di bawah demokrasi borjuis. Pekerja bawahan, warga kulit hitam yang merupakan bekas hamba, wanita dan ramai lagi orang yang tidak mempunyai hak mengundi sehingga abad ke-19 malah awal abad ke-20, sekarang ini sudah dapat mengundi, hasil daripada perjuangan pekerja yang hebat pada masa lampau.

Amerika Syarikat

Pada 25 Oktober 1857, kira-kira 30 orang imigran Jerman mengadakan satu mesyuarat di Bandar Raya New York, dan menubuhkan Kelab Komunis New York (New York Communist Club). Antara warga imigran Jerman yang terlibat dalam penubuhan Kelab Komunis New York ialah Friedrich Sorge (1828-1906), Abraham Jacobi (1830-1919) dan Albert Komp (1845-1910).

Friedrich Sorge (1828-1906)

Friedrich Sorge pernah mengambil bahagian dalam Revolusi 1848 semasa dia berumur 19 tahun, dengan menyertai kumpulan revolusioner di negeri Sachsen, Baden dan Pfalz. Friedrich Sorge dijatuhkan hukuman mati tanpa kehadirannya atas peranannya dalam Revolusi 1848, tetapi dia sempat melarikan diri dari Konfederasi Jerman. Friedrich Sorge pada asalnya mencari perlindungan di Switzerland pada bulan Jun 1849, tetapi diusir dan terpaksa berpindah ke Belgium pada tahun 1851; diusir pula dari Belgium pada tahun 1852 dan berpindah ke London, kemudiannya pergi ke New York, Amerika Syarikat, pada tahun yang sama. Abraham Jacobi juga pernah menyertai Revolusi 1848, dan merupakan salah seorang anggota Liga Komunis yang didakwa di mahkamah Cologne pada tahun 1852 tetapi dia dapat melepaskan diri daripada pertuduhan. Walaupun begitu, Abraham Jacobi masih dipenjarakan di wilayah Westfalen atas sabitan kesalahan menghina raja, tetapi dia berjaya melarikan diri dari penjara dengan bantuan seorang pengawal penjara pada tahun 1853, dan melarikan diri ke England, tinggal seketika di rumah Karl Marx dan Friedrich Engels, sebelum berpindah ke Bandar Raya New York di mana dia bekerja sebagai seorang doktor di situ. Albert Komp pula ialah seorang pelukis yang berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1864.

Kelab Komunis New York merupakan satu-satunya organisasi sosialis di Amerika Syarikat yang membenarkan penyertaan warga kulit hitam sebelum Perang Saudara Amerika. Ramai dalam kalangan anggota Kelab Komunis New York menyertai Tentera Kesatuan dalam Perang Saudara Amerika (1861-1865). Selepas tamatnya Perang Saudara Amerika, Friedrich Sorge menjadi pendukung utama pandangan politik revolusioner Karl Marx di Amerika Syarikat. Pada tahun 1867, Kelab Komunis New York menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa, iaitu Internasional Pertama.

Pada bulan Disember 1869, Friedrich Sorge terlibat dalam penubuhan “Seksyen No. 1 New York” bagi Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Pada bulan Disember 1870, Jawatankuasa Pusat Kesatuan Pekerja Antarabangsa Amerika Utara ditubuhkan. Pada bulan September 1871, Seksyen 1 New York menganjurkan sebuah demonstrasi yang disertai oleh kira-kira 20,000 orang pekerja, untuk menyatakan sokongan kepada Komun Paris dan menuntut kerja 8 jam sehari. Menjelang penghujung tahun 1871, Kesatuan Pekerja Antarabangsa di Amerika Syarikat mempunyai kira-kira 35 buah seksyen, yang bergiat di bandar-bandar seperti Bandar Raya New York, Newark, New Orleans, Philadelphia, Springfield, St. Louis dan sebagainya. Friedrich Sorge dilantik sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa selepas Kongres Den Haag, yang diadakan pada bulan September 1872 dan menyaksikan perpecahan antara golongan penyokong Marx dan golongan penyokong Bakunin itu, memutuskan untuk memindahkan ibu pejabat Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa dari London ke Bandar Raya New York.

Pada tahun 1874, penyokong-penyokong fahaman Ferdinand Lassalle (yang juga dikenali sebagai Lassallean) di Amerika Syarikat yang berpecah daripada Kesatuan Pekerja Antarabangsa, bersama-sama dengan pemimpin kesatuan sekerja seperti Adolph Strasser (1843-1939) daripada Kesatuan Antarabangsa Tukang Pembuat Cerut Amerika (CMIU) dan Peter J. McGuire (1852-1906) daripada Persaudaraan Bersatu Tukang Kayu dan Tukang Penyambung Kayu Amerika (United Brotherhood of Carpenters and Joiners of America, singkatan UBC), menubuhkan Parti Pekerja Demokratik Sosial (Social-Democratic Workingmen’s Party of North America, singkatan SDWP). SDWP mengatakan bahawa ia mempunyai 1,500 orang ahli, dengan kebanyakannya merupakan imigran dari Jerman yang tinggal di Bandar Raya New York. SDWP boleh dikatakan sebagai parti sosialis yang terawal di Amerika Syarikat.

Adolph Strasser (1843-1939)

Pada 15 Julai 1876, 11 orang anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa atau Internasional Pertama, termasuk Friedrich Sorge, bersidang di Philadelphia, negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat. Mereka yang hadir dalam persidangan itu memutuskan untuk membubarkan Majlis Agung Kesatuan Pekerja Antarabangsa.

Beberapa hari kemudian, pada 19 Julai 1876, anggota-anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang dibubarkan itu, termasuk Friedrich Sorge, bersama-sama wakil daripada 3 buah kumpulan Lassallean, iaitu SDWP, Parti Pekerja Illinois dan Persatuan Pekerja Politikal Sosial Cincinnati, mengadakan konvensyen perpaduan untuk menubuhkan Parti Pekerja Amerika Syarikat (Workingmen’s Party of the United States, singkatan WPUS). Philip Van Patten (1852-1918) dipilih sebagai Setiausaha Perhubungan yang bertanggungjawab ke atas operasi harian WPUS. Apabila Mogok Besar Pekerja Kereta Api 1877 sampai di St. Louis Timur, negeri Illinois, pada bulan Julai 1877, cabang WPUS di bandar yang bersebelahan, iaitu St. Louis, negeri Missouri, mengorganisasi sekumpulan kira-kira 500 orang untuk menyeberangi Sungai Mississippi sebagai aksi solidariti bersama hampir 1,000 orang pekerja yang bermogok di St. Louis Timur.

Kebanyakan ahli WPUS merupakan pekerja-pekerja imigran yang dipengaruhi oleh pelbagai aliran pemikiran, terutamanya idea-idea yang dibawa oleh Karl Marx dan Ferdinand Lassalle. Penyokong-penyokong Lassalle menganggap penubuhan parti politik sosialis itu bertujuan untuk memperjuangkan agenda sosialis secara berperingkat melalui proses pilihan raya; sementara penyokong-penyokong Marx menentang pendekatan reformis dan menganggap parti sosialis itu sebagai wadah organisasi pekerja untuk menyebarkan kesedaran kelas yang membolehkan kelas pekerja mengambil alih kuasa negara melalui revolusi.

Menjelang tahun 1877, golongan Lassallean telah mendominasi kepimpinan WPUS. Golongan Lassallean menganggap negara itu sebuah institusi yang neutral dan abadi di atas masyarakat kelas, di mana ia boleh ditawan oleh golongan pekerja melalui pilihan raya yang mengamalkan pengundian sejagat untuk membina sosialisme, dan bukannya melalui gerakan kesatuan sekerja. Golongan Lassallean juga berpandangan bahawa bantuan negara untuk pembentukan koperasi pekerja boleh membuka jalan ke arah sosialisme. Pada 26-31 Disember 1877, WPUS mengadakan konvensyen kebangsaan yang pertama di Newark, negeri New Jersey, dan dihadiri oleh 38 orang delegasi. Konvensyen itu memutuskan untuk menukar nama parti itu kepada Parti Buruh Sosialis (Socialist Labor Party, singkatan SLP).

Lambang Parti Buruh Sosialis (SLP) di Amerika Syarikat.

SLP memperoleh pencapaian yang agak menggalakkan dalam pilihan raya pada tahun 1878 dan 1879, dengan dua orang ahlinya dipilih sebagai ahli majlis perbandaran di St. Louis, 4 orang ahlinya dipilih sebagai ahli majlis perbandaran di Chicago, 3 orang ahlinya dipilih ke dalam Dewan Perwakilan Negeri Illinois, seorang ahlinya dipilih ke dalam Senat Negeri Illinois dan 3 orang lagi ahlinya dipilih ke dalam Perhimpunan Agung Negeri Missouri. Ernst Schmidt (1830-1900), calon SLP yang merupakan seorang doktor yang pernah menyertai Revolusi 1848 di Jerman dan berkhidmat dalam Tentera Kesatuan semasa Perang Saudara Amerika, berjaya meraih sebanyak 20.39% undian dalam Pilihan Raya Datuk Bandar Chicago pada tahun 1879 walaupun dia kalah.

Namun begitu, ahli-ahli SLP yang hendak memberi lebih banyak fokus dalam pengorganisasian pekerja dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti yang terlalu menumpukan tenaga dalam politik pilihan raya, berpecah daripada SLP dan menubuhkan Kesatuan Buruh Antarabangsa (International Labor Union, singkatan ILU) pada tahun 1878. Kongres Kesatuan Buruh Antarabangsa yang Pertama diadakan di Paterson, negeri New Jersey, pada bulan Disember 1878. Pemimpin-pemimpin utama Kesatuan Buruh Antarabangsa termasuklah Friedrich Sorge, Albert Parsons, Ira Steward (1831-1883), George Gunton (1845-1919), Joseph Patrick McDonnell (1846-1906) dan George A. Schilling (1850-1936).

Albert Richard Parsons (1848-1887)

Pada tahun 1880-an, dengan gerakan anarkis semakin berkembang di Amerika Syarikat, wujudnya perbahasan yang hebat antara golongan sosialis yang berorientasikan pilihan raya dan golongan anarkis yang berorientasikan tindakan langsung. Pada bulan Oktober 1881, golongan anarkis yang sehaluan dengan Persatuan Rakyat Pekerja Antarabangsa (International Working People’s Association, singkatan IWPA), sebuah organisasi politik anarkis antarabangsa yang juga dikenali sebagai Internasional Hitam, menganjurkan Kongres Revolusioner Sosial di Chicago, untuk menyusun semula golongan anarkis dan sosialis revolusioner yang berpecah keluar daripada SLP, dan kemudiannya menubuhkan Parti Buruh Sosialis Revolusioner (Revolutionary Socialist Labor Party) sebagai cabang IWPA di Amerika Syarikat. Sebahagian besar sayap kiri SLP telah ditarik untuk menyertai IWPA, termasuk Albert Parsons dan August Spies, dua orang tokoh anarkis-sosialis yang kemudiannya dihukum mati kerana Peristiwa Haymarket pada tahun 1886.

Pada tahun 1886, selepas berlakunya Peristiwa Haymarket, 115 buah kesatuan buruh dan parti pekerja, termasuk SLP dan Knights of Labor, menubuhkan sebuah perikatan di Bandar Raya New York yang dikenali sebagai Parti Buruh Bersatu (United Labor Party, singkatan ULP). Pemimpin-pemimpin ULP kemudiannya menghubungi Henry George (1839-1897), seorang ahli ekonomi yang mendukung idea cukai tunggal ke atas nilai tanah, untuk memujuknya bertanding sebagai calon ULP dalam Pilihan Raya Datuk Bandar New York 1886. Henry George berjaya meraih sebanyak 68,110 undi (bersamaan 31.01% undian sah) dalam pilihan raya datuk bandar itu, menduduki tempat kedua dengan undinya lebih banyak berbanding calon Parti Republikan, Theodore Roosevelt (1858-1919) yang bakal menjadi Presiden Amerika Syarikat 14 tahun kemudian. Namun, ULP tidak bertahan lama kerana perpecahan antara penyokong-penyokong Henry George dan golongan sosialis dalam parti itu.

Pada tahun 1889, berlakunya perpecahan dalam SLP, dengan golongan Lassallean yang dipimpin oleh Wilhelm Rosenberg (1850-1930), seorang guru dan pengarang lakon yang berasal dari Jerman, menubuhkan Persekutuan Demokratik Sosial (Social Democratic Federation, singkatan SDF).

SLP mendapat nafas baharu apabila Daniel De Leon (1852-1914), seorang yang berfahaman Marxis, menyertai parti itu pada tahun 1890 dan kemudiannya menjadi pengarang organ parti itu, The Weekly People, pada tahun 1891. Di bawah kepimpinan Daniel De Leon, SLP mengambil pendekatan melawan kapitalisme melalui dua saluran, iaitu kesatuan sekerja dalam perjuangan ekonomi dan kempen pilihan raya dalam perjuangan politik. SLP meletakkan calon dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat buat pertama kali pada tahun 1892, tetapi calonnya Simon Wing (1826-1910) hanya meraih 21,173 undi (bersamaan 0.18% undian sah).

Daniel De Leon (1852-1914)

Eugene V. Debs, Presiden Kesatuan Kereta Api Amerika (ARU), pada asalnya merupakan pendukung kuat Parti Rakyat (juga dikenali sebagai Parti Populis), sebuah parti berhaluan kiri, sejak penubuhannya pada tahun 1892. Selepas dipenjarakan berikutan Mogok Pullman 1894, Eugene V. Debs semakin dipengaruhi oleh idea-idea sosialis daripada pembacaannya semasa berada di penjara selama 6 bulan. Pada tahun 1896, Eugene V. Debs menyokong William Jennings Bryan (1860-1925), calon Parti Demokratik yang terkenal dengan retorik populisnya dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, kerana Eugene V. Debs menganggap kempen pilihan raya Bryan itu merupakan peluang untuk menyatukan kelas pekerja Amerika Syarikat dalam usaha menentang kekuasaan korporat besar. Selepas William Jennings Bryan kalah dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1896, Eugene V. Debs semakin yakin bahawa perubahan yang diperlukan oleh kelas pekerja Amerika Syarikat tidak boleh dicapai oleh mana-mana satu daripada dua parti politik utama di negara itu.

Pada 1 Januari 1897, Eugene V. Debs mengisytihar dirinya seorang sosialis dalam sebuah surat terbuka kepada ahli-ahli ARU. “Isunya ialah Sosialisme lawan Kapitalisme. Saya menyokong Sosialisme kerana saya menyokong kemanusiaan,” kata Eugene V. Debs. “Kita sudah terlalu lama dikutuk dengan pemerintahan emas. Wang bukanlah asas ketamadunan yang sesuai. Masanya sudah tiba untuk menjana semula masyarakat – kita sedang berada di ambang perubahan sejagat.”

Pada bulan Jun 1897, dalam konvensyen ARU yang diadakan di Chicago, Eugene V. Debs dan ahli-ahli ARU memutuskan untuk menggabungkan ARU dengan penyokong-penyokong gerakan sosialis yang lain supaya menubuhkan sebuah organisasi politik yang baharu, yang dikenali sebagai Demokrasi Sosial Amerika (Social Democracy of America, singkatan SDA).

Logo Demokrasi Sosial Amerika (SDA).

Salah sebuah kumpulan yang bergabung untuk menubuhkan SDA, ialah golongan sosialis Amerika-Jerman dari rantau Barat Tengah Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Victor Berger (1860-1929), seorang wartawan yang berasal dari Austria dan aktif dalam gerakan sosialis di Milwaukee, negeri Wisconsin. Victor Berger merupakan salah seorang yang mempengaruhi Eugene V. Debs sehingga dia menjadi sosialis. Victor Berger menjadi pengarang kepada akhbar sosialis Milwaukee Arbeiter-Zeitung (Akhbar Pekerja Milwaukee) pada tahun 1892 dan menukar namanya kepada Vorwärts! (Mara Ke Hadapan!).

Turut bergabung dalam SDA ialah SDF yang dipimpin oleh Wilhelm Rosenberg dan Persaudaraan Komanwel Koperasi (Brotherhood of the Cooperative Commonwealth, singkatan BCC). Anggota-anggota BCC merupakan golongan sosialis utopia yang berhasrat untuk menubuhkan komuniti terancang sebagai cara mewujudkan sebuah masyarakat sosialis. Oleh itu, wujudnya perbezaan pandangan yang agak ketara dalam kalangan ahli SDA, antara mereka yang hendak mengambil alih kerajaan melalui pilihan raya untuk memperkenalkan pembaharuan sosialis dan mereka yang hendak menubuhkan koloni-koloni komuniti sosialis di sebuah negeri untuk membina sosialisme dengan contoh praktikal supaya dapat memperluaskannya kemudian ke seluruh negara.

Mereka yang mendukung pembinaan koloni sosialis itu merupakan majoriti dalam SDA, sementara mereka yang mendukung tindakan politik itu merupakan minoriti. Dalam konvensyen SDA yang diadakan di Chicago pada bulan Jun 1898, golongan minoriti, yang mendukung tindakan politik dan dipimpin oleh Victor Berger, berpecah keluar dan mengadakan konvensyen mereka sendiri untuk menubuhkan Parti Demokratik Sosial Amerika (Social Democratic Party of America, SDP). Pemimpin-pemimpin lain yang menyertai SDP termasuk Eugene V. Debs, Jesse Cox (1843–1902), Frederic Heath (1864-1954) dan Seymour Stedman (1871-1948).

Reka bentuk butang pin Parti Demokratik Sosial Amerika (SDP) sekitar tahun 1900.

Selain SDP yang ditubuhkan di Chicago, terdapat sebuah lagi organisasi yang juga mengambil nama Parti Demokratik Sosial Amerika. Organisasi itu ditubuhkan oleh golongan Lassallean yang berpecah keluar daripada SLP kerana percanggahan pandangan dengan kepimpinan Daniel De Leon. Parti Demokratik Sosial Amerika yang kedua itu berpangkalan di Springfield, negeri Massachusetts.

Pada 29 Julai 1901, dalam Konvensyen Perpaduan Sosialis yang diadakan di Indianapolis, negeri Indiana, kedua-dua Parti Demokratik Sosial Amerika, sebuah berpangkalan di Chicago dan sebuah lagi di Springfield, bergabung untuk menubuhkan Parti Sosialis Amerika (Socialist Party of America, singkatan SPA).

Eugenue V. Debs menyampaikan ucapan di Canton, negeri Ohio, Amerika Syarikat, pada tahun 1918. Dia ditangkap tidak lama kemudian atas pertuduhan menghasut.

Eugene V. Debs, yang merupakan pemimpin utama SPA, pernah bertanding sebanyak 5 kali dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Dia bertanding pada tahun 1900 sebagai calon SDP dan meraih hanya 87,945 undi (bersamaan 0.63% undian sah). Selepas penubuhan SPA, Eugene V. Debs bertanding sebagai calon SPA pada tahun 1904 dan meraih sebanyak 402,810 undi (bersamaan 2.98% undian sah), menduduki tangga ketiga selepas dua orang calon parti utama. Pada tahun 1908 pula, Eugene V. Debs memperoleh sebanyak 420,852 undi (bersamaan 2.83% undian sah). Keputusan terbaik untuk Eugene V. Debs sebagai calon SPA dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat ialah pada tahun 1912, di mana dia meraih sebanyak 901,551 undi (bersamaan 5.99% undian sah). Walaupun Eugene V. Debs dipenjarakan pada tahun 1918 di bawah Akta Hasutan yang digubal pada tahun yang sama kerana dia menggalakkan anak muda untuk mengelak daripada dikerahkan ke dalam tentera, dia dinamakan sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1920, dan berjaya meraih sebanyak 914,191 undi (bersamaan 3.41% undian sah).

Terdapat dua orang tokoh sosialis daripada SPA pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, iaitu Victor Berger yang mewakili daerah kongres ke-5 Wisconsin dan Meyer London (1871-1956) yang mewakili daerah kongres ke-12 New York. Selain itu, puluhan ahli SPA pernah dipilih sebagai ahli dewan perundingan negeri, dan lebih 100 orang dipilih sebagai datuk bandar. Pada tahun 1972-1973, SPA berpecah kepada 3 buah organisasi: Social Democrats, USA (SDUSA); Socialist Party of the United States of America (SPUSA); dan Democratic Socialist Organizing Committee (DSOC). DSOC kemudiannya bergabung dengan New American Movement pada tahun 1983 untuk menubuhkan Democratic Socialists of America (DSA).

Britain

Walaupun matlamat pembaharuan politik yang diperjuangkan oleh Gerakan Piagam Rakyat (Chartism) pada tahun 1830-an dan 1840-an tidak tercapai serta-merta, pembaharuan politik itu masih berlaku secara beransur-ansur dengan tekanan daripada perkembangan gerakan kelas pekerja di Britain. Kelas pemerintah British memang menyedari bahawa seluruh sistem kapitalis itu boleh dihancurkan oleh pemberontakan kelas pekerja yang hebat jika mereka berdegil untuk tidak melaksanakan pembaharuan yang dapat meredakan ketidakpuasan hati kelas pekerja semasa.

Penyokong-penyokong Gerakan Piagam Rakyat berdemonstrasi di London pada tahun 1848. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Karl Marx dan Friedrich Engels mula menetap di England pada tahun 1849 selepas Revolusi 1848-1849 di negeri-negeri Jerman menemui kegagalan. Walaupun Marx dan Engels berpengaruh dalam kalangan kumpulan imigran Jerman yang kecil, pemikiran Marx tidak begitu berpengaruh dalam kalangan gerakan kelas pekerja di Britain pada awalnya. Pemikiran kiri yang lebih berpengaruh di Britain pada pertengahan abad ke-19 termasuklah Owenisme (idea-idea sosialis utopia yang dibawa oleh Robert Owen), sosialisme Kristian dan aliran politik massa yang radikal dalam Gerakan Piagam Rakyat.

Pada tahun 1863, John Townshend (1831-1899), seorang bangsawan dan ahli parlimen daripada Parti Liberal yang menyokong gerakan pembaharuan politik di Britain, menubuhkan Liga Sejagat untuk Peningkatan Tahap Kebendaan Kelas Rajin Bekerja (Universal League for the Material Elevation of the Industrious Classes) untuk memperjuangkan perkara-perkara seperti pengurangan jam kerja sehari, perluasan hak mengundi kepada golongan pekerja, pembangunan persaudaraan pekerja antarabangsa dan peningkatan peluang pendidikan. John Bedford Leno (1826-1894), seorang aktivis Gerakan Piagam Rakyat pada tahun 1840-an, menjadi Pengerusi bagi organisasi itu. Anggota-anggota organisasi itu kemudiannya memberi tumpuan kepada tuntutan hak mengundi sejagat bagi semua lelaki, dan menubuhkan Liga Pembaharuan (Reform League) pada 23 Februari 1865.

Liga Pembaharuan turut disertai oleh pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja yang menganggotai Kesatuan Pekerja Antarabangsa (iaitu Internasional Pertama) seperti George Howell, George Odger dan William Randal Cremer. Liga Pembaharuan bekerjasama dengan Kesatuan Pembaharuan Kebangsaan (National Reform Union, singkatan NRU) yang dianggotai oleh golongan elit liberal kelas menengah dan berpendirian lebih moderat, untuk menyokong Rang Undang-Undang Pembaharuan 1866. Selepas Rang Undang-Undang Pembaharuan 1866 digagalkan, Liga Pembaharuan menganjurkan siri demonstrasi di seluruh negara untuk menuntut perluasan hak mengundi. Hasil daripada desakan massa yang hebat, Parlimen British meluluskan Akta Pembaharuan 1867 (Reform Act 1867) yang memberikan hak mengundi buat pertama kali kepada sebahagian golongan lelaki kelas menengah di England dan Wales, dengan memperluaskan hak mengundi daripada tuan tanah yang mempunyai harta tanah pegangan kekal melebihi nilai tertentu kepada pemegang pajakan dan penyewa harta tanah. Akta Pembaharuan 1867 membolehkan tambahan kira-kira 2 juta orang lelaki yang tiada hak mengundi sebelum itu untuk mengundi, dengan separuhnya merupakan golongan pekerja. Namun, masih ramai lagi pekerja British tidak mempunyai hak mengundi.

Pada bulan November 1869, aktivis-aktivis kesatuan sekerja British menubuhkan Liga Perwakilan Buruh (Labour Representation League, singkatan LRL) dengan matlamat mendaftarkan pekerja-pekerja yang layak mengundi dan berusaha untuk membolehkan pekerja-pekerja dipilih ke dalam Parlimen British.

Dengan hak mengundi diperluaskan kepada sebahagian golongan pekerja lelaki, sesetengah organisasi tempatan Parti Liberal mula menerima dan menyokong calon-calon daripada gerakan pekerja yang ingin mewakili kelas pekerja dalam Parlimen British sementara kekal menyokong Parti Liberal. Oleh itu, wujudnya perikatan politik yang dikenali sebagai Liberal-Buruh (Liberal-Labour, singkatan Lib-Lab). George Odger, tokoh pemimpin kesatuan sekerja British yang penting dan Presiden yang pertama bagi Kesatuan Pekerja Antarabangsa, menjadi calon Lib-Lab yang pertama apabila dia bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen Southwark pada tahun 1870. Namun, George Odger yang meraih sebanyak 4,382 undi (bersamaan 36.4% undian sah) dalam pilihan raya kecil itu ditewaskan oleh calon Parti Konservatif dengan perbezaan 304 undi sahaja dalam pertandingan tiga penjuru di mana Parti Liberal juga meletakkan calonnya sendiri.

Dalam Pilihan Raya Umum British pada tahun 1874, dengan Parti Liberal bersetuju untuk tidak meletakkan calon di kawasan yang ditandingi oleh dua orang calon Lib-Lab, Alexander Macdonald (1821-1881) dan Thomas Burt (1837-1922), kedua-duanya pemimpin Persekutuan Pelombong Britain Raya (MFGB), maka membolehkan mereka menjadi pekerja lombong yang terawal dapat dipilih sebagai wakil rakyat ke dalam Parlimen Britain.

James Bronterre O’Brien (1804-1864)

Pada tahun 1874, sekumpulan tukang mahir yang dipengaruhi oleh pemikiran James Bronterre O’Brien (1804-1864), seorang tokoh Gerakan Piagam Rakyat dari Ireland yang radikal, menubuhkan Persatuan Demokratik dan Perikatan Sekerja (Democratic and Trades Alliance Association), sebuah kelab politik yang radikal. Anggota-anggota persatuan itu termasuk John Bedford Leno, Johann Eccarius (1818-1889), Robert George Gammage (1821-1888), Maltman Barry (1842-1909) dan Charles Murray (??-1889). Pada tahun 1875, kelab itu bertukar nama kepada Liga Hak Mengundi Lelaki (Manhood Suffrage League). Pada tahun 1877, Maltman Barry, yang merupakan setiausaha Liga Hak Mengundi Lelaki pada masa itu, lantang bersuara untuk menyokong kempen Parti Konservatif yang mendesak kerajaan British untuk mencampur tangan dalam Perang Rusia-Turki (1877-1878). Kebanyakan anggota kelab itu membantah tindakan Maltman Barry, dan organisasi itu pun berhenti operasinya menjelang penghujung tahun itu. Namun begitu, apabila kelab itu dihidupkan semula pada awal tahun 1880-an, ia mengambil pendirian yang memihak kepada sosialisme.

Akta Perwakilan Rakyat 1884 (Representation of the People Act 1884), yang juga dikenali sebagai Akta Pembaharuan Ketiga, membolehkan semua warga lelaki yang membayar sewa tahunan £10 dan semua orang yang memiliki tanah yang bernilai sekurang-kurangnya £10 berhak untuk mengundi. Ia telah meningkatkan jumlah pengundi di Britain daripada kira-kira 3 juta orang pada tahun 1880 kepada kira-kira 5.7 juta orang pada tahun 1885.

Pada tahun 1883, Thomas Davidson (1840-1900), seorang ahli falsafah yang berasal dari Scotland, menubuhkan Persaudaraan Kehidupan Baharu (Fellowship of the New Life). Organisasi itu berhasrat untuk mengubah masyarakat ke arah yang lebih sejahtera dengan mewujudkan teladan kehidupan sederhana yang berasaskan etika dan humanisme. Namun, apabila sebahagian anggota organisasi itu hendak melibatkan diri mereka dalam proses politik untuk membantu perubahan masyarakat itu, mereka memutuskan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang berasingan. Oleh itu, pada 4 Januari 1884, Persatuan Fabian (Fabian Society) ditubuhkan di London. Walaupun Fellowship of the New Life dibubarkan pada tahun 1899, Persatuan Fabian pula terus berkembang menjadi sebuah persatuan akademik yang membawa idea-idea sosialis reformis, yang berusaha untuk membawa perubahan secara beransur-ansur melalui pembaharuan demokratik.

Henry Mayers Hyndman (1842-1921)

Henry Mayers Hyndman (1842-1921), seorang wartawan yang pada asalnya berfahaman konservatif tetapi semakin tertarik dengan idea-idea sosialis selepas membaca Manifesto Komunis dalam terjemahan bahasa Perancis, menubuhkan Persekutuan Demokrasi (Democratic Federation) pada tahun 1881, dan menukar namanya kepada Persekutuan Demokrasi Sosial (Social Democratic Federation, singkatan SDF) pada tahun 1884. Walaupun Friedrich Engels enggan menyokong organisasi itu, Eleanor Marx (1855-1898), iaitu anak bongsu Karl Marx, telah menyertai SDF dan dipilih ke dalam jawatankuasa eksekutif SDF. Tokoh-tokoh kiri lain yang menyertai SDF termasuklah William Morris (1834-1896), Edward Aveling (1849-1898), Ernest Belfort Bax (1854-1926), James MacDonald (1857-1938), George Lansbury (1859-1940) dan James Connolly (1868-1916). James Connolly ialah seorang anak imigran dari Ireland yang lahir di Scotland dan kemudiannya menjadi tokoh republikan sosialis yang memperjuangkan kemerdekaan Ireland. Ramai pemimpin awal SDF, seperti James MacDonald, pernah menyertai Liga Hak Mengundi Lelaki sebelum itu. SDF mengemukakan tuntutan-tuntutan progresif seperti kerja 48 jam seminggu, penghapusan buruh kanak-kanak, pendidikan sekular yang wajib dan percuma, kesamarataan hak untuk wanita, dan pemiliknegaraan sumber-sumber pengeluaran oleh negara demokratik.

Walaupun SDF boleh dikatakan sebagai parti sosialis yang pertama di Britain, ia mengalami perpecahan tidak lama selepas penubuhannya. Pada bulan Disember 1884, sekumpulan anggota SDF cuba menyingkirkan Henry Hyndman daripada kepimpinan parti itu dalam mesyuarat Majlis Eksekutif SDF. Mereka yang menentang Henry Hyndman itu termasuk William Morris, Ernest Belfort Bax, Eleanor Marx dan Edward Aveling. Resolusi yang mengecam Henry Hyndman diluluskan dengan 10 undi sokong dan 8 undi tolak.

Logo Persekutuan Demokrasi Sosial (SDF).

10 orang ahli yang menentang Henry Hyndman itu kemudiannya meletak jawatan dan menubuhkan sebuah organisasi baharu, Liga Sosialis (Socialist League), pada bulan Januari 1885. Pada bulan Februari 1885, Liga Sosialis mula menerbitkan akhbarnya sendiri yang bernama The Commonweal. Akhbar yang dikarang oleh William Morris itu pada awalnya diterbitkan secara bulanan, dan tidak lama kemudian diterbitkan secara mingguan.

Liga Sosialis telah dianggotai oleh golongan kiri daripada pelbagai aliran, termasuk sosialis Kristian, sosialis Fabian, anarkis dan Marxis. Liga Sosialis pada awalnya terlibat dalam usaha memperjuangkan kebebasan bersuara di London. Pada masa itu, Polis Metropolitan London melarang golongan sosialis daripada berkempen secara terbuka di jalanan, sedangkan organisasi-organisasi keagamaan dibenarkan untuk mendakwah di jalanan. Anggota-anggota Liga Sosialis dan SDF terus menyampaikan ucapan mereka secara terbuka, walaupun dikenakan denda oleh pihak berkuasa. Tindakan mereka mendapat perhatian umum sehingga pihak berkuasa berhenti daripada mengganggu mereka lagi.

Pada tahun 1887, keanggotaan Liga Sosialis berpecah kepada tiga kumpulan yang berbeza ideologi, iaitu anarkis, sosialis yang berorientasikan parlimen dan sosialis yang anti-parlimen. Apabila golongan anarkis mula mendominasi dalam Liga Sosialis, kebanyakan anggota sosialis mula meninggalkan organisasi itu. Pada bulan Ogos 1887, cabang London bagi Liga Sosialis, yang termasuk Eleanor Marx dan Edward Aveling, berpecah daripada Liga Sosialis dan menubuhkan Persatuan Sosialis Bloomsbury (Bloomsbury Socialist Society). Ramai dalam kalangan anggota sosialis berorientasikan parlimen menyertai semula SDF, sementara mereka yang tidak bersetuju dengan SDF yang terlalu memfokus pada perjuangan parlimen itu melibatkan diri mereka dalam Gerakan Kesatuan Sekerja Baharu yang pesat berkembang pada masa itu.

Eleanor Marx (1855-1898)

Cunninghame Graham (1852-1936), seorang wartawan dan ahli politik sosialis Scotland, memenangi kerusi parlimen Lanarkshire Barat Laut dalam Pilihan Raya Umum British 1886 sebagai calon Lib-Lab. Keir Hardie (1856-1915), seorang pemimpin kesatuan sekerja Scotland, bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan parlimen Lanarkshire Tengah pada bulan April 1888 sebagai calon Buruh Bebas tetapi menemui kegagalan. Keir Hardie kemudiannya bersama Cunninghame Graham menubuhkan Parti Buruh Scotland (Scottish Labour Party, singkatan SLP) pada bulan Ogos 1888, dengan Cunninghame Graham sebagai Presiden dan Keir Hardie sebagai Setiausaha. Dengan itu, Cunninghame Graham menjadi ahli parlimen sosialis yang pertama di Britain. Namun, Cunninghame Graham kalah dalam Pilihan Raya Umum 1892 sebagai calon Parti Buruh Scotland di kawasan parlimen Glasgow Camlachie.

Pada bulan Ogos 1891, sebuah mesyuarat di Edinburgh yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai kesatuan sekerja dan organisasi buruh memutuskan untuk menyokong calon daripada gerakan buruh yang bebas daripada kedua-dua Parti Konservatif dan Parti Liberal. Dengan itu, mereka menubuhkan Parti Buruh Majlis Kesatuan Sekerja Bersatu Scotland (Scottish United Trades Councils Labour Party). Keir Hardie juga hadir dalam mesyuarat penubuhan parti itu.

Cunninghame Graham (1852-1936)

Pada bulan Julai 1892, Keir Hardie memenangi kerusi parlimen Selatan West Ham dalam Pilihan Raya Umum British 1892 sebagai calon buruh bebas. Dalam pilihan raya umum yang sama, dua orang lagi pemimpin kesatuan sekerja, John Burns (1858-1943) dan Havelock Wilson (1859-1929), masing-masing memenangi kerusi parlimen Battersea dan Middlesbrough, sebagai calon buruh bebas tanpa sokongan daripada Parti Liberal.

Pada bulan Januari 1893, dalam sebuah persidangan yang diadakan di Bradford, daerah Yorkshire Barat, England, dan dihadiri oleh kira-kira 130 orang perwakilan daripada pelbagai kesatuan sekerja serta organisasi politik sosialis, Parti Buruh Bebas (Independent Labour Party, singkatan ILP) ditubuhkan, dan Keir Hardie dipilih sebagai Pengerusi yang pertama bagi parti itu. Persatuan Sosialis Bloomsbury yang dipimpin oleh Edward Aveling dan Eleanor Marx, Parti Buruh Scotland yang dipimpin oleh Keir Hardie dan Parti Buruh Majlis Kesatuan Sekerja Bersatu Scotland yang dipimpin oleh Robert Chisholm Robertson (1861-1930) terus bergabung dalam ILP. Abang Robert Chisholm Robertson merupakan penyelia lombong di bawah Charles Brooke, Raja Putih Sarawak; sementara Robert Chisholm Robertson sendiri merupakan aktivis kesatuan pekerja lombong.

Logo Parti Buruh Bebas (ILP).

Walaupun ILP ditubuhkan dengan cita-cita tinggi untuk memenangi lebih banyak kerusi parlimen bagi perwakilan gerakan buruh, ia menerima tamparan hebat dua tahun kemudian. ILP meletakkan 28 orang calon dalam Pilihan Raya Umum British 1895, tetapi gagal memenangi apa-apa kerusi. Keir Hardie gagal mempertahankan kerusinya di Selatan West Ham apabila kalah kepada calon Parti Konservatif dalam pertandingan satu lawan satu. John Burns dan Havelock Wilson pula mempertahankan kerusi mereka sebagai calon Lib-Lab.

Pada bulan Februari 1900, Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) menganjurkan sebuah persidangan di London, dengan kehadiran perwakilan daripada kesatuan sekerja dan organisasi berhaluan kiri dengan spektrum yang luas, untuk membincangkan usaha menghimpunkan gerakan pekerja di Britain ke dalam sebuah badan tunggal yang akan menaja calon-calon pilihan raya yang mewakili kelas pekerja. Keir Hardie dan Ramsay MacDonald (1866-1937) daripada ILP juga hadir dalam persidangan itu. Wakil daripada SDF dan Persatuan Fabian turut hadir. Usul daripada Keir Hardie untuk menubuhkan “sebuah kumpulan Buruh yang tersendiri di Parlimen, yang mempunyai whip mereka sendiri, dan bersetuju tentang dasar mereka yang harus bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang pada ketika itu mungkin terlibat dalam memajukan perundingan demi kepentingan langsung golongan buruh”, telah diluluskan oleh perwakilan yang hadir dalam persidangan itu. Dengan itu, Jawatankuasa Perwakilan Buruh (Labour Representation Committee, singkatan LRC) ditubuhkan. Ramsay MacDonald dilantik sebagai setiausaha LRC.

Keir Hardie (1856-1915)

LRC meletakkan 15 orang calon dalam Pilihan Raya Umum British 1900 dan memenangi 2 kerusi, dengan Keir Hardie menang di kawasan parlimen Merthyr Tydfil dan Richard Bell (1859-1930) menang di kawasan parlimen Derby. Dalam Pilihan Raya Umum British 1906, hasil daripada perjanjian rahsia yang tidak rasmi antara Ramsay MacDonald yang mewakili LRC dan Herbert Gladstone (1854-1930) selaku Ketua Whip Parti Liberal pada masa itu untuk mengelakkan pertindihan calon-calon kedua-dua pihak di sesebuah kawasan pilihan raya yang boleh memecahkan undi anti-Konservatif, LRC yang meletakkan 50 orang calon pada masa itu berjaya memenangi sebanyak 29 kerusi parlimen.

Pada 15 Februari 1906, ahli-ahli parlimen daripada LRC memutuskan untuk menggunakan nama Parti Buruh (Labour Party) secara rasminya. Keir Hardie dipilih sebagai Pengerusi Kumpulan Parlimen Parti Buruh yang pertama. Pada tahun 1922, Parti Buruh memintas Parti Liberal untuk menjadi parti pembangkang utama di Parlimen yang menentang Parti Konservatif. Pada tahun 1924, Parti Buruh berjaya membentuk kerajaan buat pertama kalinya, tetapi sebagai sebuah kerajaan minoriti dengan Ramsay MacDonald sebagai Perdana Menteri British yang pertama daripada Parti Buruh, dan ia hanya bertahan kira-kira 9 bulan. Walau bagaimanapun, Parti Buruh muncul sebagai parti politik utama di Britain sejak itu. Parti Buruh pada kebanyakan masanya mengambil posisi haluan kiri tengah dalam spektrum politik kiri-kanan.

Jerman

Persatuan Pekerja Jerman Umum (ADAV) yang ditubuhkan pada tahun 1863 boleh dikatakan sebagai parti massa kelas pekerja yang pertama di Jerman, malah di dunia. Pengasas ADAV, Ferdinand Lassalle, merupakan seorang aktivis sosialis yang pernah dipenjarakan kerana melibatkan diri dalam Revolusi 1848-1849 di wilayah Rhein di bawah Kerajaan Prusia. Berbeza dengan Karl Marx dan Friedrich Engels yang mengambil pendirian revolusioner dalam perjuangan kelas pekerja, Ferdinand Lassalle mengambil pendekatan yang lebih bersifat reformis. Lassalle juga terkenal dengan penciptaan istilah “Hukum Besi Upah” (Ehernes Lohngesetz), iaitu teori ekonomi yang mengatakan bahawa upah pekerja sentiasa cenderung kekal pada tahap minimum yang sekadar cukup untuk sara hidup dalam sistem kapitalis.

Ferdinand Lassalle (1825-1864)

Pada awal tahun 1860-an, Ferdinand Lassalle mula berkempen secara terbuka untuk menubuhkan sebuah parti politik yang bebas bagi kelas pekerja, dan membawa kepada pembentukan ADAV pada tahun 1863. ADAV memperjuangkan hak mengundi sejagat bagi kelas pekerja, dan berpegang pada fahaman bahawa sosialisme boleh dicapai melalui koperasi pekerja yang disokong oleh kerajaan. Strategi politik yang diambil oleh Ferdinand Lassalle ialah memfokus pada politik pilihan raya dan bekerjasama dengan kerajaan Prusia. Malah, Ferdinand Lassalle pernah cuba melakukan rundingan rahsia dengan Otto von Bismarck, Perdana Menteri Prusia pada masa itu, untuk membentuk perikatan antara gerakan pekerja dan kerajaan Prusia yang konservatif untuk memperoleh pelaksanaan hak mengundi sejagat di samping menentang golongan borjuis liberal. Hubungan Lassalle dengan Bismarck telah mempengaruhi Bismarck yang memerintah secara kuku besi itu, sehingga Bismarck kemudiannya mengamalkan dasar “sosialisme negara” atau negara kebajikan kapitalis-nasionalis, seperti pelaksanaan pencen warga tua, insurans kemalangan tempat kerja dan sistem insurans kesihatan sosial.

Ferdinand Lassalle mati secara tiba-tiba pada bulan Ogos 1864 kerana ditembak semasa dia mengambil bahagian dalam sebuah pertarungan duel. Johann Baptist von Schweitzer (1833-1875) yang menggantikan Lassalle sebagai pemimpin utama ADAV meneruskan dasar Lassalle untuk sebuah organisasi yang berpusat dengan pendirian nasionalis dan mengamalkan taktik pro-kerajaan. Pada 27 Disember 1864, ADAV menganjurkan kongresnya yang pertama di bandar Düsseldorf. Karl Marx pada awalnya mengharapkan ADAV akan memutuskan dalam kongres itu untuk menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa yang baharu ditubuhkan pada masa itu, tetapi kongres itu langsung tidak membincangkan penyertaan dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa.

Wilhelm Liebknecht (1826-1900), seorang wartawan radikal yang pernah menyertai Revolusi 1848 di Baden dan merupakan penyokong setia Karl Marx, turut menyertai ADAV semasa ia ditubuhkan pada tahun 1863. Namun, tidak lama kemudian, Wilhelm Liebknecht menjadi pengkritik dalaman ADAV yang utama terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh Ferdinand Lassalle, terutamanya corak kepimpinan Lassalle yang bersifat kediktatoran dan pendirian Lassalle yang menyokong kerajaan Prusia dalam persoalan penyatuan Jerman.

Wilhelm Liebknecht (1826-1900)

Dalam Persoalan Jerman, golongan Lassallean mendukung pendirian untuk penyatuan negeri-negeri Jerman di bawah sebuah negara “Jerman Kecil” (Kleindeutschland) yang dipimpin oleh Kerajaan Prusia dan tidak memasukkan Austria, dan menolak untuk bekerjasama dengan kelas menengah liberal dalam usaha penyatuan Jerman. Wilhelm Liebknecht pula mendukung pendirian untuk pembentukan sebuah republik “Jerman Besar” (Großdeutschland) yang termasuk Austria, dan golongan sosialis patut menjalin kerjasama secara taktikal serta sementara dengan gerakan demokratik liberal untuk menentang golongan bangsawan Prusia.

Wilhelm Liebknecht meninggalkan ADAV dan menyertai Liga Persatuan Pekerja Jerman (VDAV) yang ditubuhkan pada tahun 1863. VDAV pada asalnya memfokus kepada pendidikan pekerja dan bersekutu dengan golongan borjuis yang progresif. Penyertaan Wilhelm Liebknecht dalam VDAV telah membawa hala tujunya ke aras prinsip-prinsip Marxis. Wilhelm Liebknecht dan pemimpin utama VDAV, August Bebel, menjadi sekutu yang rapat. Wilhelm Liebknecht diusir dari Prusia pada tahun 1865, dan dia berpindah ke Leipzig yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Sachsen. Menjelang tahun 1866, dengan semakin ramai golongan liberal berdamai dengan kerajaan Prusia dan semakin ramai pekerja meragui politik liberal borjuis, August Bebel mula mendukung pendirian untuk menubuhkan sebuah parti kelas pekerja yang bebas. Pada bulan Ogos 1866, Wilhelm Liebknecht dan August Bebel menubuhkan Parti Rakyat Sachsen (Sächsische Volkspartei) di Chemnitz, sebagai cabang Parti Rakyat Jerman (Deutsche Volkspartei) yang diterajui oleh golongan liberal kelas menengah. Berbeza dengan parti induknya, Parti Rakyat Sachsen ialah sebuah parti demokratik radikal berhaluan kiri yang berusaha untuk menyatukan kelas pekerja dan kelas menengah rendah dalam sebuah gabungan besar yang menentang hegemoni Prusia. Parti Rakyat Sachsen mendukung pembentukan Jerman Besar yang demokratik, kebebasan bergerak untuk pekerja di dalam negeri-negeri Jerman dan penghapusan keistimewaan feudal.

5 orang tokoh penting dalam gerakan sosialis di Jerman pada abad ke-19: (baris atas dari kiri) August Bebel dan Wilhelm Liebknecht daripada SDAP; (tengah-tengah) Karl Marx sebagai tokoh pemikir utama; (baris bawah dari kanan) Carl Wilhelm Tölcke dan Ferdinand Lassalle daripada ADAV. Carl Wilhelm Tölcke (1817-1893) mempunyai gelaran “Bapa Demokrasi Sosial Westfalen”.

Dalam Pilihan Raya Reichstag Konfederasi Jerman Utara yang diadakan pada bulan Februari 1867, Parti Rakyat Sachsen berjaya memenangi 2 kerusi. August Bebel merupakan salah seorang anggota Parti Rakyat Sachsen yang dipilih ke dalam Reichstag (iaitu Parlimen) Konfederasi Jerman Utara, mewakili kawasan parlimen Glauchau-Meerane.

Selepas Perlembagaan Konfederasi Jerman Utara berkuat kuasa pada bulan Julai 1867, sebuah lagi Pilihan Raya diadakan pada bulan Ogos 1867, dan Parti Rakyat Sachsen memenangi 3 kerusi, dengan August Bebel dipilih semula ke dalam Reichstag sementara Wilhelm Liebknecht dipilih untuk mewakili kawasan parlimen Stollberg-Schneeberg. ADAV juga memenangi 2 kerusi dalam pilihan raya itu. Persatuan Pekerja Jerman Umum Lassallean (Lassallescher Allgemeiner Deutscher Arbeiterverein, singkatan LADAV), sebuah parti serpihan ADAV yang ditubuhkan oleh Sophie von Hatzfeldt (1805-1881) dan Emil Försterling (1827-1872) pada bulan Jun 1867, turut memenangi sebuah kerusi dalam pilihan raya pada bulan Ogos 1867. Namun, Emil Försterling yang dipilih untuk mewakili kawasan parlimen Chemnitz meletak jawatannya pada bulan April 1870, dan LADAV juga tidak lagi berfungsi selepas itu.

Pada 7-9 Ogos 1869, aktivis-aktivis VDAV dan ahli-ahli ADAV yang menentang kepimpinan Johann Baptist von Schweitzer, mengadakan sebuah kongres perpaduan di Eisenach, yang terletak di wilayah Thüringen di bawah pemerintahan negeri Sachsen-Weimar-Eisenach. Dalam kongres itu, Parti Pekerja Demokratik Sosial Jerman (Sozialdemokratische Arbeiterpartei Deutschlands, singkatan SDAP) ditubuhkan di bawah kepimpinan Wilhelm Liebknecht dan August Bebel. Parti Rakyat Sachsen juga terus bergabung ke dalam SDAP.

Program Eisenach, kenyataan penubuhan parti yang dirangka oleh Wilhelm Liebknecht dan August Bebel, menyeru untuk perubahan radikal terhadap status quo, pendemokrasian secara asas, penghapusan keistimewaan kelas, pembebasan ekonomi bagi pekerja, pembentukan sebuah “negara rakyat bebas” (freier Volksstaat) dan pilihan raya dengan hak mengundi sejagat bagi semua peringkat kerajaan. Program Eisenach juga mengisytihar SDAP sebagai cabang Kesatuan Pekerja Antarabangsa dan mewujudkan struktur organisasi yang demokratik. SDAP menerbitkan akhbar parti di Leipzig, yang dikenali pada awalnya sebagai Demokratisches Wochenblatt (Mingguan Demokrat) dan kemudiannya Der Volksstaat (Negara Rakyat).

August Bebel (1840-1913)

Sebagai ahli perwakilan dalam Reichstag Konfederasi Jerman Utara, Wilhelm Liebknecht dan August Bebel menentang Perang Perancis-Prusia (1870-1871) yang dianggap sebagai perang dinasti antara kerajaan-kerajaan monarki. Hanya ahli perwakilan SDAP dalam Reichstag yang berkecuali dalam pengundian untuk kredit perang. Selepas Napoleon III ditewaskan dan ditawan dalam Pertempuran Sedan pada awal bulan September 1870, Wilhelm Liebknecht dan August Bebel mengundi untuk menolak kredit perang yang selanjutnya serta menyuarakan bantahan terhadap pengilhakan wilayah Alsace-Lorraine. Apabila Otto von Bismarck bersiap sedia untuk mengisytiharkan penubuhan Empayar Jerman, Wilhelm Liebknecht membalas dengan slogan “Tiada seorang atau satu sen pun akan menyumbang kepada sistem ini!”. Oleh sebab menentang perang dan dituduh berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, Wilhelm Liebknecht, August Bebel dan seorang lagi anggota SDAP, Adolf Hepner (1846-1923), ditangkap pada bulan Disember 1871. Mereka dibicarakan di Leipzig pada bulan Mac 1872 atas pertuduhan menderhaka terhadap negara. Adolf Hepner dilepaskan daripada pertuduhan, tetapi Wilhelm Liebknecht dan August Bebel dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun. Walau bagaimanapun, Wilhelm Liebknecht dan August Bebel menggunakan perbicaraan itu untuk mempromosikan pandangan sosialis mereka dan meraih simpati bagi perjuangan sosialis.

SDAP sentiasa bersaing dengan ADAV dalam mendapatkan sokongan kelas pekerja. Namun begitu, SDAP dan ADAV menganjurkan sebuah kongres perpaduan pada 22-27 Mei 1875 di Gotha, wilayah Thüringen. Hasil daripada kongres perpaduan itu, SDAP dan ADAV bergabung untuk menubuhkan Parti Pekerja Sosialis Jerman (Sozialistische Arbeiterpartei Deutschlands, singkatan SAPD). SAPD mengemukakan platform partinya yang dikenali sebagai Program Gotha, dengan tuntutan-tuntutan seperti hak mengundi sejagat, cukai pendapatan progresif, kebebasan berpersatuan, penggantian tentera tetap dengan militia rakyat, pendidikan sejagat yang percuma, pengehadan jam kerja sehari, pengharaman buruh kanak-kanak, larangan kerja pada hari Ahad dan penggubalan undang-undang yang melindungi nyawa serta kesihatan pekerja.

Program Gotha, yang berkompromi dengan fahaman Lassallean yang dibawa dalam ADAV, menyatakan bahawa parti itu akan “berusaha, melalui semua cara yang sah di sisi undang-undang, untuk mewujudkan sebuah negara bebas dan masyarakat sosialis, memecahkan hukum besi upah melalui pemansuhan sistem buruh upahan, penghapusan eksploitasi dalam setiap bentuk, dan penyingkiran semua ketidaksamarataan sosial dan politik”. Program Gotha juga menuntut penubuhan koperasi pengeluar sosialis dengan sokongan kerajaan negara di bawah kawalan demokratik rakyat pekerja. “Koperasi-koperasi pengeluar ditubuhkan untuk perindustrian dan pertanian pada skala sedemikian rupa sehingga ia membangunkan organisasi sosialis seluruh buruh,” begitu tulisnya Program Gotha.

Poster yang menggambarkan Ferdinand Lassalle memusnahkan anak lembu emas yang melambangkan pemujaan terhadap kapitalisme. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama, ~1870)

Penekanan idea-idea Lassallean dalam Program Gotha telah mendapat kritikan keras daripada Karl Marx yang tinggal di London pada masa itu. Dalam Kritikan terhadap Program Gotha (1876), Karl Marx mengecam program itu kekurangan analisis revolusioner yang berasaskan kelas, terlalu mengangkat idea-idea demokratik borjuis dan berkompromi dengan kuasa negara. Marx menggariskan prinsip-prinsip pengagihan yang akan terpakai dalam “fasa pertama masyarakat komunis”, iaitu sebuah masyarakat baharu yang masih mempunyai saki-baki masyarakat lama dalam segala aspek. Marx menggunakan istilah “sosialisme” dan “komunisme” saling berganti sepanjang tulisan itu, yang membawa maksud serupa. Bagi Marx, dalam fasa masyarakat komunis yang lebih rendah itu, setiap pengeluar (iaitu pekerja) menerima daripada masyarakat apa yang setimpal dengan tenaga yang disumbangkannya, berasaskan jumlah masa sebenar orang itu bekerja, dan prinsip itu adalah berbeza daripada kaedah penentuan nilai melalui masa buruh yang diperlukan secara sosial di bawah kapitalisme.

“Dalam fasa masyarakat komunis yang lebih tinggi, selepas lenyapnya penundukan individu seperti hamba kepada pembahagian buruh, dan dengan itu juga pertentangan antara buruh mental dan buruh fizikal; selepas buruh menjadi bukan sahaja cara untuk meneruskan kehidupan, tetapi keperluan yang terutama dalam kehidupan; selepas kuasa-kuasa produktif juga meningkat seiring dengan pembangunan individu, dan semua sumber kekayaan kerjasama mengalir dengan lebih banyak – hanya pada ketika itulah ufuk sempit hak borjuis boleh dilintasi secara keseluruhannya dan masyarakat barulah dapat mengukir pada panji-panjinya: Dari sesiapa mengikut keupayaannya, kepada sesiapa mengikut keperluannya!

Marx berpandangan bahawa Program Gotha hanya mengemukakan slogan demokratik lama yang sudah biasa didengari, seperti hak mengundi sejagat, demokrasi langsung, hak rakyat dan militia rakyat. Dia berhujah bahawa tuntutan-tuntutan itu sudah direalisasikan di dalam republik-republik borjuis yang progresif dan bukannya matlamat revolusi itu sendiri.

Marx juga berhujah bahawa seruan untuk sebuah “negara bebas” ialah konsesi yang silap kepada demokrasi borjuis, kerana negara sentiasa merupakan alat untuk pemerintahan kelas. Bagi Marx, republik demokratik bukannya matlamat terakhir sosialisme, tetapi hanya bentuk politik peralihan untuk pemerintahan proletar (atau kediktatoran proletariat). “Antara masyarakat kapitalis dan masyarakat komunis terdapatnya tempoh transformasi revolusioner daripada yang satu kepada yang satu lagi,” tulis Karl Marx. “Sejajar dengan ini juga satu tempoh peralihan politik di mana negara tidak boleh menjadi apa-apa selain kediktatoran proletariat yang revolusioner.”

Walaupun Wilhelm Liebknecht dan August Bebel bersetuju dengan kritikan yang dikemukakan oleh Karl Marx, mereka berpendapat bahawa perpaduan sosialis itu merupakan keutamaan yang paling terdesak bagi gerakan sosialis Jerman pada masa itu. Oleh itu, Kritikan terhadap Program Gotha tidak diterbitkan dan tidak diketahui oleh ahli-ahli parti itu sehingga tahun 1891, apabila ia diterbitkan dalam jurnal teori parti, Die Neue Zeit (Zaman Baharu).

Edisi pertama akhbar Der Sozialdemokrat, organ parti SAPD, yang mula diterbitkan pada tahun 1879.

SAPD mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Reichstag pada tahun 1877 dan memenangi 13 daripada 397 kerusi dalam Reichstag, dengan meraih lebih 490,000 undi (bersamaan 9.14% undian sah). Selepas berlakunya dua percubaan pembunuhan yang gagal terhadap Maharaja Wilhelm I oleh golongan anarkis, Canselor Otto von Bismarck cuba mengaitkan serangan itu dengan SAPD, dengan niat untuk melemahkan sokongan politiknya dan memperkukuhkan kedudukan parti-parti konservatif. Bismarck juga membubarkan Reichstag untuk mengadakan pilihan raya baharu. SAPD masih dapat meraih lebih 430,000 undi (7.59% undian sah) dan memenangi 9 kerusi. Namun, Reichstag penggal baharu itu meluluskan Undang-Undang Anti-Sosialis yang dibawa oleh Bismarck pada bulan Oktober 1878. Undang-undang yang represif itu terus mengharamkan SAPD dan organisasi-organisasi yang bersekutu dengannya, termasuk kesatuan-kesatuan sekerja yang berhaluan kiri. Ramai ahli parti diusir dari bandar di mana mereka tinggal atau terpaksa berpindah ke luar negara. Ahli-ahli parlimen SAPD masih dapat mengekalkan kerusi mereka tetapi sebagai ahli perwakilan bebas.

Walaupun telah diharamkan, SAPD tidak berhenti daripada berorganisasi. Akhbar parti, Der Sozialdemokrat (Demokrat Sosial), dicetak di Zurich, Switzerland, dan kemudiannya di London, Britain, sebelum diseludup masuk ke Jerman dan diedarkan kepada orang ramai. SAPD mengadakan persidangan atau kongresnya di negara-negara jiran, seperti Switzerland dan Denmark. Namun, wujudnya perpecahan dalaman SAPD semasa ia diharamkan di bawah Undang-Undang Anti-Sosialis. Sekumpulan golongan radikal, yang cenderung kepada anarkisme dan dipimpin oleh Johann Most (1846-1906) yang pernah memenangi kerusi parlimen Chemnitz pada tahun 1874, mendukung perubahan dasar kepada revolusi yang menggunakan keganasan. Pada masa yang sama, wujudnya aliran moderat dalam parti yang mendukung pendekatan yang lebih reformis. Dalam kongres parti yang diadakan secara rahsia pada tahun 1880 di Wyden, Switzerland, Johann Most dipecat daripada parti. Wilhelm Liebknecht memainkan peranan sebagai pendamai dalam parti untuk mencegah perpecahan antara golongan radikal dan golongan moderat, dengan hasrat memastikan perpaduan parti itu dapat dikekalkan dalam keadaan yang tertekan.

Johann Most (1846-1906)

Undang-undang Anti-Sosialis yang digubal pada tahun 1878 itu pada asalnya mempunyai had tempoh selama dua dan setengah tahun, tetapi ia dilanjutkan sebanyak 4 kali oleh Reichstag. Apabila tarikh tamat tempoh Undang-Undang Anti-Sosialis menghampiri pada tahun 1890, Bismarck hendak menjadikannya akta kekal atau memasukkan langkah-langkah represifnya ke dalam kanun jenayah. Namun, usaha memperbaharui Undang-Undang Anti-Sosialis itu pada bulan Januari 1890 menemui kegagalan dalam Reichstag dengan 169 undi tolak berbanding 98 undi sokong. SAPD yang ahli-ahlinya bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Reichstag pada bulan Februari 1890, berjaya meraih lebih 1.4 juta undi (19.7% undian sah), hampir dua kali ganda berbanding kira-kira 763,000 undi (10.1% undian sah) yang diperolehnya pada tahun 1887, dan menjadi parti politik (walaupun diharamkan) yang memperoleh undi popular terbanyak, walaupun hanya memenangi 35 daripada 397 kerusi (8.8%) dalam Reichstag. Bismarck sendiri pula dipaksa oleh Maharaja Wilhelm II yang tidak sehaluan dengannya untuk meletak jawatan Canselor pada bulan Mac 1890. Oleh itu, Undang-Undang Anti-Sosialis itu terbatal pada 30 September 1890 selepas tamat tempohnya.

Selepas pembatalan Undang-Undang Anti-Sosialis, SAPD mengadakan kongresnya di Jerman buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun, di Halle, negeri Sachsen, pada bulan Oktober 1890. Dalam kongres itu, SAPD menukar namanya kepada Parti Demokratik Sosial Jerman (Sozialdemokratische Partei Deutschlands, singkatan SPD). Sejak itu, SPD terus berkembang menjadi parti utama dalam arena politik Jerman.

Kongres SPD yang diadakan di Erfurt, Thüringen, pada bulan Oktober 1891, meluluskan Program Erfurt, sebagai platform baharu parti yang menggantikan Program Gotha. Program Erfurt yang dirangka di bawah kepimpinan politik Wilhelm Liebknecht dan August Bebel, dengan Karl Kautsky (1854-1938) sebagai penulis utamanya, secara rasminya menjadikan SPD sebuah parti politik yang berlandaskan ideologi Marxisme.

Karl Kautsky (1854-1938)

“Perjuangan kelas pekerja menentang eksploitasi kapitalis semestinya merupakan perjuangan politik. Tanpa hak politik, kelas pekerja tidak dapat meneruskan perjuangan ekonominya dan membangunkan organisasi ekonominya. Ia tidak dapat membawa kepada pemindahan sumber-sumber pengeluaran kepada pemilikan komuniti tanpa memperoleh kuasa terlebih dahulu. Adalah menjadi tugas utama Parti Demokratik Sosial untuk membentuk perjuangan kelas pekerja kepada perjuangan yang sedar dan bersatu serta menunjukkan keperluan yang sememangnya terkandung dalam matlamatnya,” begitu tulisnya Program Erfurt. “Parti Demokratik Sosial Jerman tidak memperjuangkan keistimewaan kelas dan hak kelas yang baharu, tetapi untuk penghapusan pemerintahan kelas dan penghapusan kelas itu sendiri, untuk hak yang sama rata dan tanggungjawab yang sama rata bagi semua orang, tanpa mengira seks atau status kelahiran. Berasaskan pandangan ini, ia melawan bukan sahaja eksploitasi dan penindasan terhadap pekerja upahan dalam masyarakat hari ini, tetapi setiap bentuk eksploitasi dan penindasan, sama ada yang ditujukan terhadap sesuatu kelas, parti, seks atau kaum.”

Program Erfurt juga mengemukakan tuntutan-tuntutan segera yang boleh dilaksanakan dalam kerangka kapitalis sedia ada, termasuk:

  • Hak mengundi sejagat dengan undi rahsia bagi semua warganegara berumur 20 tahun ke atas, termasuk wanita;
  • Sistem perwakilan berkadar;
  • Perundangan langsung oleh rakyat melalui inisiatif dan referendum;
  • Penentuan nasib sendiri dan kerajaan sendiri di negeri dan komuniti;
  • Cukai pendapatan dan cukai harta yang kadarnya meningkat secara progresif;
  • Pendidikan percuma, bahan pendidikan yang percuma dan makanan percuma di sekolah rendah;
  • Perubatan percuma, termasuk perkhidmatan perbidanan dan ubat-ubatan;
  • Pengebumian percuma;
  • Bantuan guaman percuma;
  • Kerja 8 jam sehari;
  • Perluasan sistem insurans sosial dengan perwakilan kelas pekerja dalam tadbir urusnya;
  • Jaminan hak untuk berorganisasi;
  • Larangan buruh kanak-kanak di bawah umur 14 tahun.
Ahli-ahli parlimen Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) yang berada dalam Reichstag pada tahun 1889: (duduk dari kiri) Georg Schumacher, Friedrich Harm, August Bebel, Heinrich Meister, Karl Frohme; (berdiri dari kiri) Johann Heinrich Wilhelm Dietz, August Kühn, Wilhelm Liebknecht, Karl Grillenberger, Paul Singer.

Dengan SPD menjadi parti yang paling popular di Jerman dan berjaya memenangi semakin banyak kerusi dalam Reichstag menjelang penghujung abad ke-19, munculnya aliran pemikiran sosialisme evolusioner yang berpandangan bahawa sosialisme boleh dicapai secara beransur-ansur serta secara berperingkat melalui jalan berparlimen, dengan semakin ramai ahli perwakilan sosialis dipilih ke dalam parlimen dan mengambil alih kuasa pemerintahan negara dalam kerangka demokrasi borjuis. Pandangan reformis itu dibawa oleh Eduard Bernstein (1850-1932).

Apabila tercetusnya Perang Dunia I pada tahun 1914, majoriti kepimpinan SPD mengambil pendirian yang menyokong penyertaan kerajaan Jerman dalam peperangan imperialis itu, dan mewujudkan perpecahan dalam gerakan sosialis di Jerman. Golongan minoriti dalam SPD, seperti Karl Liebknecht (1871-1919), anak Wilhelm Liebknecht yang juga merupakan ahli perwakilan dalam Reichstag pada tahun 1912-1918, tegas membantah pendirian kepimpinan SPD yang pro-perang dan menubuhkan Liga Spartacus (Spartakusbund) pada tahun 1914. Karl Liebknecht dan ahli-ahli SPD yang anti-perang, seperti Rosa Luxemburg (1871-1919), dipecat daripada SPD pada tahun 1916, dan dipenjarakan kerana menerajui demonstrasi anti-perang. Ahli-ahli SPD yang keluar daripada parti kerana membantah perang itu menubuhkan Parti Demokratik Sosial Bebas Jerman (Unabhängige Sozialdemokratische Partei Deutschlands, singkatan USPD) pada tahun 1917. USPD turut disertai oleh anggota-anggota Liga Spartacus seperti Karl Liebknecht dan Rosa Luxemburg. Anggota-anggota Liga Spartacus kemudiannya menubuhkan Parti Komunis Jerman (Kommunistische Partei Deutschlands, singkatan KPD) pada bulan Disember 1918 semasa berlakunya Revolusi Jerman 1918-1919.

SPD mula membentuk kerajaan selepas Revolusi Jerman pada bulan November 1918, dengan Friedrich Ebert (1871-1925), pemimpin utama SPD yang menggantikan August Bebel pada tahun 1913, dilantik sebagai Canselor dan mengetuai Majlis Perwakilan Rakyat. Friedrich Ebert menyokong pihak tentera Jerman dalam mematahkan Pemberontakan Spartacus pada bulan Januari 1919, yang melibatkan pembunuhan Karl Liebknecht dan Rosa Luxemburg.

Friedrich Ebert (1871-1925)

Kedua-dua SPD dan KPD diharamkan semasa Parti Nazi berkuasa pada tahun 1933-1945. Selepas Perang Dunia II, SPD dibenarkan untuk ditubuhkan di Jerman Barat pada tahun 1945, sementara SPD di Jerman Timur dipaksa untuk bergabung dengan KPD untuk membentuk Parti Perpaduan Sosialis Jerman (Sozialistische Einheitspartei Deutschlands, singkatan SED) yang menjadi satu-satunya parti pemerintah di situ sehingga tahun 1989. SPD merupakan parti politik utama di Jerman Barat (1949-1990) dan Jerman yang bersatu semula pada tahun 1990, tetapi sudah lama meninggalkan program politik Marxis yang digariskan dalam Program Erfurt, dengan mengamalkan dasar-dasar yang reformis. SED yang kehilangan kuasa selepas kejatuhan Tembok Berlin digantikan oleh Parti Sosialisme Demokratik (Partei des Demokratischen Sozialismus, PDS) pada tahun 1989, dan PDS kemudiannya bergabung dengan sebahagian golongan sayap kiri yang meninggalkan SPD untuk menubuhkan Die Linke (Kiri) pada tahun 2007.

Austria

Gerakan sosialis di Austria sudah mula berkembang sejak pertengahan abad ke-19, dan berhubung kait secara rapat dengan perkembangan gerakan sosialis Jerman kerana Empayar Austria merupakan sebahagian daripada Konfederasi Jerman (1815-1866). Terdapat usaha untuk menyatukan organisasi-organisasi sosialis daripada pelbagai aliran ke dalam sebuah parti yang bersatu, Parti Pekerja Demokratik Sosialis Austria, pada tahun 1874, tetapi menemui kegagalan sejak awal lagi kerana perbalahan yang tidak habis-habisan dalam kalangan sosialis yang berbeza aliran itu.

Victor Adler (1852-1918)

Pada tahun 1888, hasil daripada usaha Victor Adler (1852-1918), seorang tokoh sosialis yang moderat tetapi berkarisma, wakil-wakil daripada pelbagai gerakan pekerja bersidang di Hainfeld, daerah Lilienfeld yang terletak di bahagian timur Austria, pada bulan Disember 1888, dan menubuhkan Parti Pekerja Demokratik Sosial Austria (Sozialdemokratische Arbeiterpartei Österreichs, SDAPÖ) pada 1 Januari 1889. Akhbar parti itu, Arbeiter-Zeitung (Akhbar Pekerja) mula diterbitkan pada 12 Julai 1889 dengan Victor Adler sebagai ketua pengarang.

Program Brünner, yang diterima dalam kongres SDAPÖ yang diadakan pada bulan September 1899 di Brünn (iaitu Brno, yang terletak di Wilayah Moravia Selatan, Republik Czech hari ini), menuntut penyusunan semula Empayar Austria-Hungary kepada sebuah negara persekutuan demokratik yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang berautonomi sebagai solusi kepada persoalan bangsa dan bahasa di dalam negara multinasional itu.

SDAPÖ membangunkan aliran pemikiran yang dikenali sebagai Austromarxisme, yang berusaha untuk mewujudkan sintesis antara demokrasi sosial yang dibawa oleh SPD di Jerman dan sosialisme revolusioner yang diterajui oleh Bolshevik di Rusia pada masa itu. Tokoh pemikir Austromarxis yang utama termasuk Victor Adler, Karl Renner (1870-1950), Max Adler (1873-1937), Rudolf Hilferding (1877-1941) dan Otto Bauer (1881-1938). Golongan Austromarxis berpandangan bahawa kesedaran kelas dalam kalangan kelas pekerja boleh dicapai secara lebih organik melalui pengekalan autonomi bangsa, berbeza dengan perspektif internasionalis.

Karl Renner (1870-1950)

SDAPÖ mula memenangi kerusi dalam Majlis Imperial (iaitu badan perundangan Austria) pada tahun 1897, dengan meraih sebanyak 245,000 undi (23.13% undian sah) dan memperoleh 15 daripada 425 kerusi dalam Dewan Perwakilan. Selepas tamatnya Perang Dunia I, SDAPÖ menjadi parti terbesar dalam Perhimpunan Kebangsaan Perlembagaan berikutan pilihan raya pada bulan Februari 1919, dengan meraih lebih 1.2 juta undi (40.76% undian sah) dan memenangi 72 daripada 170 kerusi.

SDAPÖ menguasai kerajaan perbandaran Vienna pada tahun 1919-1934, dan bandar itu dikenali sebagai “Vienna Merah”. Kerajaan perbandaran SDAPÖ di Vienna Merah membangunkan dasar yang bercita-cita tinggi, termasuk pembinaan 60,000 unit perumahan sosial komunal, perkhidmatan perubatan percuma dan pengenaan cukai progresif. Golongan kiri radikal dalam gerakan pekerja Austria pula menubuhkan Parti Komunis Austria (Kommunistische Partei Österreichs, KPÖ) pada tahun 1918.

Karl-Marx-Hof (Halaman Karl Marx), ialah perumahan awam yang dibina pada tahun 1927-1930, semasa zaman “Vienna Merah”.

SDAPÖ dan KPÖ diharamkan selepas golongan pelampau kanan fasis mengambil alih kuasa di Austria pada tahun 1933. SDAPÖ dan KPÖ cuba melakukan penentangan bersenjata pada tahun 1934, tetapi dipatahkan dengan cepatnya. Selepas tamatnya Perang Dunia II, SDAPÖ ditubuhkan semula sebagai Parti Sosialis Austria (Sozialistische Partei Österreichs, singkatan SPÖ). Pada tahun 1991, SPÖ menukar namanya kepada Parti Demokratik Sosial Austria (Sozialdemokratische Partei Österreichs, singkatan yang sama SPÖ). SPÖ merupakan salah satu daripada dua buah parti politik utama di Austria sejak tahun 1945.

Belgium

Pada bulan April 1885, 112 orang aktivis pekerja yang mewakili 59 buah kesatuan sekerja mengadakan mesyuarat di sebuah bilik di kafe De Zwaan (Angsa), yang terletak di Grand-Place, dataran pusat bandar Brussel, ibu negara Belgium. Tempat mesyuarat itu sama dengan tempat di mana Karl Marx duduk untuk menulis Manifesto Komunis dari bulan Disember 1847 hingga Januari 1848, dan Kesatuan Pekerja Antarabangsa, atau Internasional Pertama, mengadakan kongresnya yang ketiga pada tahun 1868. Dalam mesyuarat itu, peserta-peserta yang kebanyakannya berfahaman sosialis itu memutuskan untuk menubuhkan Parti Buruh Belgium (bahasa Belanda: Belgische Werkliedenpartij; bahasa Perancis: Parti Ouvrier Belge; singkatan BWP-POB).

Jean Volders (1855-1896)

Antara tokoh sosialis yang hadir dalam mesyuarat penubuhan Parti Buruh Belgium ialah César De Paepe (1841-1890), Jean Volders (1855-1896), Louis Bertrand (1856-1943) dan Edward Anseele (1856-1938). César De Paepe pernah menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa dan merupakan pemimpin utama golongan kolektivis yang bertembung dengan golongan Proudhoniste dalam Kongres Brussel pada tahun 1868. Jean Volders, seorang tokoh sosialis di Brussel, pernah menganjurkan aksi demonstrasi republikan yang disertai oleh kira-kira 3,000 orang pada 23 September 1884 dan mengganggu sambutan ulang tahun Revolusi Belgium dengan menyanyi lagu revolusioner Perancis, La Marseillaise dan La Carmagnole, tetapi kemudiannya ditangkap bersama-sama Louis Bertrand, seorang lagi aktivis politik republikan. Edward Anseele pula ialah seorang wartawan yang berasal dari Ghent dan menubuhkan sebuah kedai roti berbentuk koperasi, Vooruit (Mara Ke Hadapan), sebagai usahanya untuk mewujudkan pengimbang kepada perniagaan kapitalis.

Parti Buruh Belgium telah memainkan peranan penting dalam Mogok Umum Belgium 1893, walaupun pemimpin-pemimpinnya pada awalnya teragak-agak untuk melancarkan aksi mogok itu. Hasil daripada Mogok Umum Belgium 1893, kerajaan Belgium melakukan pembaharuan politik yang memperluaskan hak mengundi kepada golongan pekerja tetapi menggunakan sistem undi plural. Dengan pembaharuan politik itu, Parti Buruh Belgium dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Belgium pada tahun 1894.

Louis Bertrand (1856-1943)

Untuk menawarkan program politiknya kepada para pengundi kelas pekerja yang dapat mengundi buat pertama kalinya, kongres Parti Buruh Belgium yang diadakan di Quaregnon, provinsi Hainaut, Wallonia, pada bulan Mac 1894, meluluskan manifesto politik yang dikenali sebagai Piagam Quaregnon. Piagam Quaregnon yang sebahagian besarnya dirangka oleh Emile Vandervelde (1866-1938) telah membentuk doktrin politik asas bagi gerakan sosialis di Belgium sehingga tahun 1979.

“Pekerja-pekerja hanya boleh mengharapkan pembebasan mereka sepenuhnya melalui penghapusan kelas-kelas dan penyusunan semula masyarakat secara menyeluruh. Transformasi ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada golongan proletar, tetapi juga kepada seluruh umat manusia; walau bagaimanapun, oleh sebab ia bertentangan dengan kepentingan langsung kelas pemerintah, pembebasan pekerja haruslah secara terutamanya usaha pekerja-pekerja sendiri,” begitu tulisnya Piagam Quaregnon. “Sosialisme harus berusaha untuk pembebasan material, moral dan politik golongan pekerja. Walau bagaimanapun, pembebasan material haruslah dijadikan matlamat utama, kerana pemusatan modal dalam tangan sesetengah kelas sudah menentukan asas kepada semua bentuk penguasaan yang lain.”

Emile Vandervelde (1866-1938)

Piagam Quaregnon mengemukakan tuntutan-tuntutan seperti hak mengundi sejagat tanpa mengira jantina, perwakilan berkadar, pembiayaan kos pilihan raya oleh pihak berkuasa, pendidikan percuma, pemansuhan undang-undang yang menyekat kebebasan, pemansuhan tentera tetap, pengiktirafan hak kesatuan sekerja, upah minimum, pengehadan jam kerja maksimum sehari, cukai khas ke atas tanah yang tidak dibangunkan serta rumah yang tidak disewa, dan banyak lagi.

Parti Buruh Belgium bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum pada tahun 1894, dengan meraih sebanyak 18.36% undian dan memenangi 27 daripada 152 kerusi dalam Dewan Perwakilan. Pada tahun 1919, Parti Buruh Belgium meraih 36.62% undian dan memenangi 70 daripada 186 kerusi dalam Dewan Perwakilan, buat pertama kali menafikan majoriti yang dikuasai oleh Parti Katolik sejak tahun 1884, serta memaksa Parti Katolik untuk menubuhkan kerajaan campuran yang mempunyai menteri kabinet daripada Parti Buruh Belgium. Parti Buruh Belgium menggunakan peluang penyertaannya dalam kerajaan campuran itu untuk memperkenalkan pembaharuan penting, seperti pemansuhan akta yang melarang piket, kerja 8 jam sehari, pencen warga tua, cukai harta warisan dan cukai pendapatan yang progresif.

Logo Parti Buruh Belgium.

Parti Buruh Belgium dibubarkan selepas pencerobohan Jerman Nazi ke atas Belgium pada tahun 1940. Selepas tamatnya Perang Dunia II, bekas anggota Parti Buruh Belgium menubuhkan Parti Sosialis Belgium (bahasa Perancis: Parti Socialiste Belge; bahasa Belanda: Belgische Socialistische Partij; PSB-BSP) pada tahun 1945. Namun, apabila isu bahasa menjadi begitu ketara sehingga memecah-belahkan masyarakat Belgium, pada tahun 1978, Parti Sosialis Belgium juga berpecah kepada dua entiti baharu yang masing-masing juga memanggil dirinya sebagai parti sosialis, tetapi dalam bahasa yang berbeza. Parti sosialis di Komuniti Flanders dikenali sebagai Socialistische Partij (SP) sehingga tahun 2001, Socialistische Partij Anders (SP.A) dari tahun 2001 hingga 2021, dan ditukar nama lagi pada tahun 2021 kepada Vooruit (Maju Ke Hadapan). Parti sosialis di Komuniti Perancis pula dikenali sebagai Parti socialiste (PS).

Perancis

Perancis mempunyai tradisi politik kiri yang boleh dijejaki asal usulnya sebelum Revolusi Perancis 1789. Golongan sosialis utopia seperti Charles Fourier dan Henri de Saint-Simon boleh dikatakan sebagai perintis gerakan sosialis di Perancis. Gracchus Babeuf cuba melakukan revolusi sosialis dengan pendekatan perampasan kuasa politik oleh sekumpulan kecil aktivis radikal, tetapi cubaannya pada tahun 1796 menemui kegagalan. Mutualisme anarkis, yang diamalkan oleh golongan canut yang melakukan pemberontakan pada tahun 1830-an dan kemudiannya diterajui oleh Pierre-Joseph Proudhon, menjadi aliran kiri yang utama di Perancis mulai tahun 1840-an. Golongan Proudhoniste dari Perancis agak berpengaruh dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa (iaitu Internasional Pertama) pada peringkat awalnya.

Mogok pekerja di Paris dengan polis berkawal di hadapan sebuah tapak pembinaan. (ilustrasi: P.H.G.V. Michel / Henri Meyer, 1898)

Gerakan pekerja yang radikal dan golongan sosialis mengalami pukulan hebat apabila Pemberontakan Jun pada tahun 1848 dipatahkan secara ganas oleh kerajaan Republik Perancis Kedua. Golongan sosialis memainkan peranan penting dalam perjuangan revolusioner yang melahirkan Komun Paris pada tahun 1871. Golongan sosialis mengalami pukulan hebat sekali lagi apabila Komun Paris ditumpaskan secara ganas oleh golongan pemerintah kapitalis Perancis. Selepas Komun Paris ditewaskan, ramai pemimpin sosialis dibunuh atau hidup dalam buangan di luar negara.

Gerakan sosialis berpecah kepada beberapa aliran pada tahun 1870-an, termasuk Proudhonisme, Marxisme, reformisme, Blanquisme dan anarkisme. Golongan Proudhoniste menolak kolektivisme dan penggunaan tindakan ganas untuk melakukan revolusi sosialis.

Jules Guesde (1845-1922)

Golongan Marxis di Perancis dipimpin oleh Paul Lafargue (1842-1911) dan Jules Guesde (1845-1922). Paul Lafargue ialah seorang aktivis yang lahir di Kuba dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Perancis. Paul Lafargue menjadi menantu Karl Marx selepas dia berkahwin dengan Laura Marx pada tahun 1868. Paul Lafargue terkenal dengan karyanya Hak untuk Menjadi Malas (Le Droit à la Paresse) yang diterbitkan pada tahun 1883. Jules Guesde, dengan nama asalnya Jules Bazile, ialah seorang wartawan yang lantang membantah Perang Perancis-Prusia dan menyokong Komun Paris 1871. Dia terpaksa mencari perlindungan di Geneva, Switzerland, pada tahun 1871, untuk mengelakkan dirinya daripada pendakwaan mahkamah yang berkaitan dengan tulisannya yang mempertahankan Komun Paris. Selepas Jules Guesde pulang ke Paris pada tahun 1876, dia mula menjadi pendukung Marxisme yang utama di Perancis. Golongan Marxis di Perancis, yang juga dikenali sebagai golongan Guesdiste kerana kepimpinan Jules Guesde, menolak reformisme dan penglibatan dalam kerajaan borjuis. Golongan Guesdiste juga menolak revolusi serta-merta sehingga keadaan untuk menjayakan revolusi sosialis itu adalah matang. Oleh itu, golongan Guesdiste lebih menumpukan usaha dalam mendidik dan mengorganisasi golongan pekerja secara sistematik untuk mempersiapkan diri kelas pekerja supaya dapat menjatuhkan kapitalisme pada masa akan datang apabila keadaan sudah matang.

Golongan reformis di Perancis, juga dikenali sebagai golongan Possibiliste atau Broussiste, dipimpin oleh Paul Brousse (1844-1912) dan Jean Allemane (1843-1935). Paul Brousse pernah menyertai golongan anarkis kolektivis dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa dan Internasional Anti-Autoritarian, tetapi kemudian mendukung pembaharuan sosial melalui sosialisme perbandaran, iaitu menggunakan penguasaan ke atas sesebuah kerajaan tempatan untuk melaksanakan dasar sosialis. Paul Brousse mengajukan pandangan bahawa golongan sosialis harus berusaha ke arah mencapai matlamat yang “berkemungkinan” secara konkrit dari semasa ke semasa, sementara sentiasa bersedia untuk merebut peluang revolusi pada masa hadapan. Jean Allemane ialah seorang aktivis buruh dan pernah menyertai pemberontakan yang menubuhkan Komun Paris pada tahun 1871.

Paul Brousse (1844-1912)

Louis Auguste Blanqui, pemimpin golongan Blanquiste, telah dipenjarakan sebelum tercetusnya Revolusi Komun Paris pada tahun 1871 dan hanya dibebaskan pada tahun 1879. Golongan Blanquiste yang menyambung tradisi Jacobin yang radikal itu mendukung tindakan perampasan kuasa secara ganas oleh sekumpulan kecil revolusioner yang berdedikasi dalam revolusi untuk mewujudkan sebuah sistem sosialis baharu.

Golongan anarkis di Perancis yang kebanyakannya dipengaruhi oleh Mikhail Bakunin pula menganggap diri mereka sebagai komunis libertarian. Golongan anarkis yang mendukung prinsip-prinsip kolektivisme itu memperjuangkan penghapusan segala bentuk penindasan negara.

Sebuah delegasi pekerja Perancis telah menghadiri Pameran Sedunia di Philadelphia, Amerika Syarikat, pada tahun 1876, dan mereka mendapati pekerja-pekerja di Amerika Syarikat mempunyai kebebasan yang lebih besar dalam berorganisasi dan mempertahankan hak pekerja melalui kesatuan sekerja. Selepas delegasi itu pulang ke Perancis, terdapat seruan untuk menganjurkan sebuah kongres pekerja. Seruan itu disokong oleh kesatuan-kesatuan sekerja di Paris dan mereka menubuhkan sebuah jawatankuasa penganjur. Golongan republikan borjuis, yang bimbang tentang kemungkinan Republik Perancis Ketiga dijatuhkan oleh golongan monarkis yang masih sangat berpengaruh pada masa itu, telah memberikan sokongan kepada usaha organisasi pekerja itu dengan harapan mewujudkan sokongan massa untuk dapat memperkukuhkan rejim republikan.

Hasil daripada usaha organisasi pekerja itu, Kongres Pekerja Perancis yang Pertama diadakan di Paris pada 2-10 Oktober 1876. Ia merupakan perhimpunan gerakan pekerja di Perancis yang pertama selepas penumpasan Komun Paris 1871 dan menandakan penghidupan semula gerakan pekerja Perancis. Kira-kira 360 orang perwakilan yang mewakili 94 buah organisasi pekerja serta dua buah kesatuan pekerja serantau dari Lyon dan Bordeaux, telah hadir dalam kongres itu. Mereka yang menghadiri kongres itu membincangkan beberapa isu penting, termasuk kebebasan kesatuan sekerja, pembaharuan terhadap mahkamah buruh dan perwakilan pekerja dalam parlimen. Kongres itu juga menyeru untuk pelaksanaan kerja 8 jam sehari, penghapusan kerja waktu malam di kilang dan upah yang sama rata bagi pekerja wanita. Namun, Kongres yang didominasi oleh golongan Proudhoniste itu menolak perjuangan revolusioner.

Kongres Pekerja Perancis yang Kedua diadakan di Lyon dari 28 Januari hingga 8 Februari 1878. Kongres itu membincangkan isu-isu seperti mengurangkan jam kerja sehari, pencen warga tua dan koperasi, dengan kebanyakan perwakilan menganggap koperasi sebagai satu-satunya jalan untuk membebaskan kelas pekerja daripada eksploitasi. Terdapat juga perwakilan yang mengemukakan usul yang bersifat kolektif, iaitu golongan pekerja harus mengambil alih pemilikan sumber dan alat pengeluaran.

Kongres Pekerja Perancis yang Ketiga diadakan di Marseille pada 20-31 Oktober 1879. Berbeza dengan dua kongres sebelum itu, Kongres Pekerja Perancis yang Ketiga didominasi oleh golongan kolektivis yang terdiri daripada golongan Guesdiste dan golongan Possibiliste. Golongan kolektivis menolak usaha untuk membentuk koperasi, kerana mereka menganggap ia sebagai pendekatan borjuis kecil dan kapitalisme yang terselindung. Golongan sosialis yang hadir dalam kongres itu menolak Proudhonisme dan anarkisme, yang dianggap hanya membenarkan rejim kapitalis sedia ada untuk terus wujud. Kongres itu memutuskan bahawa golongan proletar harus mengasingkan diri daripada semua parti borjuis dan menubuhkan sebuah parti baharu. Kongres itu juga meluluskan usul yang menyatakan bahawa wanita harus mempunyai hak yang sama rata seperti lelaki.

Hasil daripada Kongres Pekerja Perancis yang Ketiga, Persekutuan Parti Pekerja Sosialis Perancis (Fédération du Parti des Travailleurs Socialistes de France, singkatan FPTSF) ditubuhkan, dan menjadi parti sosialis yang pertama di Perancis. Kongres Pekerja Perancis yang Keempat yang diadakan di Le Havre pada 16-22 November 1880, meluluskan Program Parti Pekerja yang dirangka oleh Karl Marx dan Jules Guesde. Program Parti Pekerja yang juga dikenali sebagai Program Le Havre itu mendukung idea-idea kolektivis dan menggariskan prinsip-prinsip asas bagi organisasi parti FPTSF. Program Le Havre mengemukakan tuntutan-tuntutan seperti pemansuhan undang-undang yang menyekat kebebasan sivil, pembatalan hutang awam, penghapusan tentera tetap, kerja 8 jam sehari, pengharaman buruh kanak-kanak di bawah umur 14 tahun, upah sama rata bagi semua pekerja tanpa mengira jantina, pemiliknegaraan sumber-sumber pengeluaran dan percukaian progresif. Program Le Havre menegaskan keperluan untuk menubuhkan parti kelas pekerja yang menggerakkan perjuangan revolusioner.

Édouard Vaillant (1840-1915)

Golongan Proudhoniste membantah Program Le Havre dan tidak lagi terlibat dalam FPTSF. Golongan Blanquiste, yang dipimpin oleh Édouard Vaillant (1840-1915) dan tidak bersetuju dengan pendekatan reformis yang melibatkan diri dalam pilihan raya, berpecah keluar daripada FPTSF dan menubuhkan Jawatankuasa Revolusioner Pusat (Comité Révolutionnaire Central, singkatan CRC) pada bulan Jun 1881. Selepas FPTSF hanya meraih sebanyak 1.15% undian dan gagal memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis pada tahun 1881, perbalahan antara golongan Possibiliste yang merupakan majoriti dalam FPTSF dan golongan yang lain dalam parti menjadi lebih ketara lagi.

Pada tahun 1882, Jules Guesde dan Paul Lafargue meninggalkan FPTSF kerana mereka menganggap parti itu sudah menjadi terlalu moderat dan reformis. Jules Guesde dan Paul Lafargue menubuhkan Parti Pekerja Perancis (Parti Ouvrier Français, singkatan POF) yang mendukung Marxisme. FPTSF yang didominasi oleh golongan Possibiliste menukar namanya kepada Persekutuan Pekerja Sosialis Perancis (Fédération des Travailleurs Socialistes de France, FTSF), di bawah kepimpinan Paul Brousse yang mendukung pembaharuan secara berperingkat dan beransur-ansur. Oleh itu, FTSF menjadi sebuah parti sosialis reformis.

FTSF mencapai kejayaan pilihan raya yang terawal pada tahun 1885, dengan dua orang calon FTSF dipilih di jabatan Seine sebagai Ahli Dewan Perwakilan. Terdapat 60 orang yang dilabelkan sebagai sosialis yang menang dalam Pilihan Raya Parlimen pada tahun 1885, dengan kebanyakannya bukan anggota mana-mana parti dan mendukung pembaharuan yang moderat. Dalam Pilihan Raya Bandar Raya Paris yang diadakan pada tahun 1887, FTSF memenangi beberapa kerusi ahli majlis bandar raya Paris, termasuk Paul Brousse. Pada tahun 1888, Paul Brousse dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Bandar Raya Paris dengan sokongan daripada golongan republikan radikal.

Jean Allemane (1843-1935)

Jean Allemane dan sesetengah anggota FTSF yang tidak bersetuju dengan pendekatan FTSF yang terlalu menumpukan tenaga dalam memenangi kerusi dalam pilihan raya, berpecah keluar daripada FTSF dan menubuhkan Parti Pekerja Sosialis Revolusioner (Parti Ouvrier Socialiste Révolutionnaire, singkatan POSR) pada tahun 1890. POSR mendukung mogok umum yang revolusioner. Jean Allemane percaya pada sindikalisme, iaitu sosialisme yang diterajui oleh gerakan buruh, di mana kelas pekerja yang bersatu dalam kesatuan sekerja boleh menjatuhkan kapitalisme melalui aksi mogok dan bentuk tindakan langsung yang lain supaya golongan pekerja boleh menguasai sumber-sumber pengeluaran serta ekonomi secara umum melalui pemilikan sosial. Mereka yang mendukung fahaman sindikalisme revolusioner di Perancis kemudiannya juga dikenali sebagai golongan Allemaniste. Dalam POSR, wujudnya sebuah gerakan sosialis intelek yang diterajui oleh Lucien Herr (1864-1926), seorang pustakawan di universiti École Normale Supérieure di Paris, yang mengutamakan pendidikan rakyat.

Parti Pekerja Perancis yang dipimpin oleh Jules Guesde mencapai kejayaan yang menggalakkan dalam pilihan raya tempatan pada tahun 1892, dengan memenangi kerusi di bandar-bandar seperti Commentry, Montluçon, Narbonne, Roubaix dan sebagainya. Parti Pekerja Perancis kemudiannya berjaya memenangi 5 kerusi Dewan Perwakilan dalam Pilihan Raya Parlimen 1893, dengan Jules Guesde dipilih di jabatan Nord, Antide Boyer (1850-1918) dipilih di Bouches-du-Rhône, René Chauvin (1860-1936) dipilih di jabatan Seine, Antoine Jourde (1848-1923) dipilih di jabatan Gironde dan Charles Sauvanet (1851-1939) dipilih di jabatan Allier. Kemenangan dalam pilihan raya itu menyebabkan sebahagian anggota Parti Pekerja Perancis mula percaya bahawa sosialisme mungkin boleh direalisasikan melalui pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Parlimen pada tahun 1898, walaupun Jules Guesde dan René Chauvin gagal mempertahankan kerusi mereka, Parti Pekerja Perancis masih berjaya memenangi sekurang-kurangnya 12 kerusi dalam Dewan Perwakilan Rakyat.

Pada tahun 1896, sebahagian anggota POSR meninggalkan parti itu dan menubuhkan Perikatan Komunis Revolusioner (Alliance Communiste Révolutionnaire, singkatan ACR). Pemimpin ACR ialah Arthur Groussier (1863-1957), seorang aktivis kesatuan sekerja yang pernah menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Pekerja Logam dan salah seorang calon POSR yang dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan pada tahun 1893. Pada tahun 1897, ACR menyertai CRC yang dipimpin oleh Édouard Vaillant. Pada tahun 1898, CRC yang diperkukuhkan organisasinya dengan penyertaan ACR menukar namanya kepada Parti Sosialis Revolusioner (Parti Socialiste Révolutionnaire, PSR). PSR merupakan parti politik Marxis yang kedua terbesar di Perancis selepas Parti Pekerja Perancis pada masa itu.

Walaupun wujudnya beberapa buah parti politik sosialis yang berbeza, golongan sosialis yang dipilih ke dalam Dewan Perwakilan Perancis duduk dalam kelompok yang sama pada tahun 1880-an dan 1890-an. Terdapat juga ramai ahli perwakilan sosialis dalam Dewan Perwakilan Perancis yang tidak menyertai mana-mana parti sosialis, sama ada FTSF yang dikuasai oleh golongan Possibiliste, POSR yang diterajui oleh golongan Allemaniste, Parti Pekerja Perancis yang didominasi oleh golongan Guesdiste atau PSR yang menggabungkan golongan Blanquiste dan golongan Marxis. Ahli-ahli perwakilan sosialis yang bebas itu termasuk Alexandre Millerand (1859-1943) dan Jean Jaurès (1859-1914).

Alexandre Millerand (1859-1943)

Alexandre Millerand dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan yang mewakili jabatan Seine pada tahun 1885 dan tergolong dalam ahli perwakilan sosialis radikal. Dia merupakan ketua pengarang La Petite République (Republik Kecil), sebuah akhbar harian republikan kiri yang menerbitkan banyak tulisan sosialis, dari tahun 1893 hingga 1896. Alexandre Millerand mendukung pemilikan kolektif terhadap sumber-sumber pengeluaran dan penggabungan gerakan pekerja antarabangsa.

Jean Jaurès yang juga dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan pada tahun 1885, sebagai wakil dari jabatan Tarn yang terletak di Perancis Selatan, pada awalnya duduk bersama ahli-ahli perwakilan daripada golongan Republikan Moderat, menentang golongan radikal yang dipimpin oleh Georges Clemenceau (1841-1929) dan golongan sosialis. Namun, Jean Jaurès kemudiannya mengubah pendirian politiknya ke arah sosialis yang moderat. Jean Jaurès juga pernah menjadi pengarang akhbar La Petite République dan menukar nama akhbar itu kepada La Petite République Socialiste (Republik Kecil Sosialis) pada tahun 1898.

Jean Jaurès (1859-1914)

Apabila tercetusnya Peristiwa Dreyfus, sebuah skandal politik di Perancis pada tahun 1890-an yang melibatkan Kapten Alfred Dreyfus, seorang pegawai tentera Perancis yang berketurunan Yahudi, disabitkan secara salah atas pertuduhan mengkhianati negara kerana menyampaikan rahsia tentera Perancis kepada Kedutaan Jerman di Paris, masyarakat Perancis mengalami perpecahan yang mendalam dan mewujudkan krisis politik yang membawa kepada penjajaran semula politik Perancis. Pada masa itu, Jean Jaurès, sebagai seorang pemimpin sosialis yang bebas, menjadi salah seorang tokoh politik yang gigih mempertahankan Kapten Dreyfus dan Republik Perancis daripada serangan golongan nasionalis, golongan penganut faham ketenteraan dan golongan monarkis.

Pada bulan Jun 1899, apabila Pierre Waldeck-Rousseau (1846-1904), seorang tokoh politik Republikan Moderat, dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis, dia mengundang Alexandre Millerand untuk menyertai “Kerajaan Pertahanan Republikan” yang diterajuinya sebagai Menteri Perdagangan. Keputusan Alexandre Millerand untuk menerima jawatan menteri dalam kabinet bersama Jeneral Gaston de Galliffet, seorang pegawai tentera yang pernah mengetuai sebuah briged dalam pematahan Komun Paris 1871 secara ganas, telah mencetuskan kontroversi yang hebat dan perpecahan dalam kalangan golongan sosialis di Perancis.

Golongan sosialis reformis seperti Jean Jaurès mempertahankan keputusan penyertaan Alexandre Millerand dalam kabinet itu sebagai langkah yang diperlukan pada saat-saat genting untuk menyelamatkan Republik daripada ancaman golongan reaksioner berhaluan kanan. Golongan sosialis revolusioner yang dipimpin oleh Jules Guesde pula mengecam tindakan Alexandre Millerand sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan kelas, dan menegaskan bahawa golongan sosialis tidak patut bersekutu dengan golongan demokrat borjuis.

Perpecahan dalam gerakan sosialis di Perancis pada penghujung abad ke-19 membawa kepada penubuhan dua buah parti sosialis di negara itu pada tahun 1902:

  • Persekutuan Pekerja Sosialis Perancis (FTSF) yang diterajui oleh golongan Possibiliste di bawah kepimpinan Paul Brousse, Parti Pekerja Sosialis Revolusioner (POSR) yang dipimpin oleh Jean Allemane dan sesetengah ahli politik sosialis bebas seperti Jean Jaurès menubuhkan Parti Socialiste Français (PSF) dalam kongres yang diadakan di Tours pada bulan Mac 1902. PSF yang reformis itu dipimpin oleh Jean Jaurès. PSF menyokong penggabungan dengan golongan kiri bukan sosialis dalam Blok Kiri (Bloc des Gauches).
  • Parti Pekerja Perancis (POF) yang dipimpin oleh Jules Guesde dan Parti Sosialis Revolusioner (PSR) yang dipimpin oleh Édouard Vaillant menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Perpaduan Sosialis Revolusioner (Unité Socialiste Révolutionnaire, singkatan USR) pada bulan November 1901, kemudiannya dinamakan semula sebagai Parti Socialiste de France (PSdF) pada bulan September 1902 dalam kongres yang diadakan di Commentry. PSdF yang revolusioner itu dipimpin oleh Jules Guesde. PSdF menolak untuk menyertai Blok Kiri yang turut merangkumi golongan kiri bukan sosialis.

(Nota: Terjemahan nama kedua-dua PSF dan PSdF dalam bahasa Melayu adalah sama, iaitu “Parti Sosialis Perancis”.)

Walau bagaimanapun, di bawah desakan Internasional Kedua, PSF dan PSdF bergabung dalam kongres perpaduan yang diadakan di Paris pada bulan April 1905 untuk menubuhkan Seksyen Perancis bagi Internasional Pekerja (Section Française de l’Internationale ouvrière, singkatan SFIO). Walaupun SFIO menyahpusatkan organisasinya, dengan organisasi-organisasi parti di peringkat tempatan mempunyai autonomi yang besar, Jean Jaurès selaku presiden kumpulan parlimen parti itu muncul sebagai pemimpin utama yang sebenar. L’Humanité, sebuah akhbar harian yang diasaskan oleh Jean Jaurès, telah dijadikan organ de facto SFIO.

Simbol Seksyen Perancis bagi Internasional Pekerja (SFIO).

Golongan sosialis yang tidak menyertai SFIO, seperti Alexandre Millerand, Paul Painlevé (1863-1933) dan René Viviani (1863-1925), menubuhkan Parti Republikan-Sosialis (Parti Républicain-Socialiste, singkatan PRS).

SFIO berjaya meraih lebih 877,000 undi (bersamaan 10% undian sah) dan memenangi 54 daripada 585 kerusi Dewan Perwakilan dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis pada tahun 1906. Dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis pada tahun 1914, SFIO meraih lebih 1.4 juta undi (bersamaan 16.8% undian sah) dan memenangi 102 daripada 602 kerusi dalam Dewan Perwakilan, menjadikannya parti ketiga terbesar dalam Dewan Perwakilan. Namun begitu, SFIO tidak menyertai kerajaan Blok Kiri pada masa itu.

Apabila munculnya krisis antarabangsa pada tahun 1914 yang kemudiannya mencetuskan Perang Dunia I, keanggotaan SFIO telah berpecah kepada golongan internasionalis yang menentang peperangan dan golongan yang cenderung kepada patriotisme. Jean Jaurès, pemimpin utama SFIO yang lantang bersuara membantah perang, dibunuh oleh golongan nasionalis pada 31 Julai 1914, sekali gus melemahkan sayap anti-perang dalam SFIO dan kepimpinannya cenderung kepada menyokong kerajaan perpaduan nasional semasa peperangan. Perpecahan dalam SFIO menjadi lebih ketara lagi apabila tercetusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada bulan November 1917.  

Dalam Kongres SFIO yang ke-18, yang diadakan di Tours pada bulan Disember 1920, majoriti ahli SFIO mengundi untuk menyertai Internasional Komunis, atau Internasional Ketiga, dan menubuhkan Seksyen Perancis bagi Internasional Komunis (Section Française de l’Internationale Communiste, singkatan SFIC), dengan Ludovic-Oscar Frossard (1889-1946) sebagai Setiausaha Agung SFIC yang pertama. Pemimpin-pemimpin yang menyokong pembentukan SFIC termasuk Marcel Cachin (1869-1958), Fernand Loriot (1870-1932), Boris Souvarine (1895-1984). Ho Chi Minh (1890-1960), seorang revolusioner yang berasal dari Vietnam yang merupakan tanah jajahan Perancis pada masa itu dan salah seorang ahli perwakilan yang hadir dalam Kongres Tours, turut menyokong pembentukan SFIC. SFIC kemudiannya mengambil nama Parti Komunis – Seksyen Perancis bagi Internasional Komunis (Parti Communiste-Section française de l’Internationale Communiste, singkatan PC-SFIC). Apabila Internasional Komunis dibubarkan pada tahun 1943, PC-SFIC menukar namanya kepada Parti Komunis Perancis (Parti Communiste Français, singkatan PCF). PCF pernah muncul sebagai parti terbesar dalam Perhimpunan Kebangsaan Perancis pada tahun 1940-an dan 1950-an selepas Perang Dunia II.

Golongan minoriti dalam SFIO, yang dipimpin oleh Léon Blum (1872-1950), yang menolak penyertaan dalam Internasional Komunis, dan disokong oleh kebanyakan ahli sosialis daripada Dewan Perwakilan Perancis, termasuk Jean Longuet (1876-1938) dan Paul Faure (1878-1960), mengekalkan organisasi SFIO. SFIO menjadi parti politik terbesar buat pertama kali dalam Dewan Perwakilan Perancis pada tahun 1932, dengan meraih undi terbanyak (lebih 1.9 juta undi, bersamaan 20.5% undian sah) dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis pada tahun itu dan memenangi 132 daripada 607 kerusi Dewan Perwakilan. Pada tahun 1969, SFIO bergabung dengan beberapa buah organisasi lain dan disusun semula untuk membentuk Parti Sosialis (Parti Socialiste, singkatan PS).

Itali

Pada tahun 1870-an, Mikhail Bakunin, seorang anarkis yang berasal dari Rusia, merancang untuk melancarkan pemberontakan bersenjata di Bologna, wilayah Emilia, Itali, bersama-sama dengan penyokong-penyokongnya di Itali, Carlo Cafiero (1846-1892), Andrea Costa (1851-1910) dan Errico Malatesta (1853-1932). Andrea Costa dan Carlo Cafiero menubuhkan Jawatankuasa Revolusi Sosial Itali (Comitato Italiano per la Rivoluzione Sociale, singkatan CIRS) untuk melaksanakan pemberontakan yang dirancang itu. Namun, kerajaan Itali mendapat makluman daripada golongan petani yang menolak tindakan anarkis itu, dan melakukan penangkapan terhadap Andrea Costa dan beberapa orang lagi pada bulan Ogos 1874 sebelum pemberontakan itu dapat dilancarkan. Mikhail Bakunin pula melarikan diri dari Itali dengan menyamar dirinya seorang paderi.

Andrea Costa (1851-1910)

Andrea Costa dibebaskan selepas dipenjarakan selama 18 bulan. Dia mula menilai semula ideologinya selepas kegagalan pemberontakan pada tahun 1874, sehingga dia tidak lagi percaya pada pendekatan perjuangan revolusioner melalui konspirasi dan pemberontakan bersenjata, sebaliknya dia mula mendukung idea perubahan secara beransur-ansur.

Pada bulan Mei 1880, Andrea Costa mengasaskan Rivista Internazionale del Socialismo (Jurnal Sosialisme Antarabangsa), tetapi berhenti daripada penerbitan beberapa bulan kemudian. Pada bulan April 1881, Andrea Costa mengasaskan akhbar mingguan Avanti! (Maju ke Hadapan!), dengan hasrat mempromosi idea untuk menubuhkan sebuah parti sosialis. Pada 24 Julai 1881, dalam sebuah persidangan yang dianjurkan oleh Andrea Costa di Rimini, wilayah Romagna, Parti Sosialis Revolusioner Romagna (Partito Socialista Rivoluzionario di Romagna, singkatan PSRR) ditubuhkan. Parti itu menggabungkan unsur-unsur sosialisme evolusioner dan sosialisme revolusioner, dengan memfokuskan usaha terdekat dalam menyokong calon-calon sosialis dalam pilihan raya sambil mengangkat idea revolusi sosial melalui pembentukan pemerintahan proletar.

PSRR ditentang hebat oleh golongan anarkis Itali, termasuk rakan seperjuangannya dahulu, Carlo Cafiero, yang mengecam tindakan Andrea Costa itu sebagai pengkhianatan terhadap sosialisme revolusioner. Namun, serangan golongan anarkis terhadap Andrea Costa mendorong majoriti anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa di Itali untuk menyertai PSRR.

Dalam Pilihan Raya Umum Itali 1882, Andrea Costa dipilih sebagai wakil Ravenna dalam Dewan Perwakilan Itali, menjadikannya ahli parlimen sosialis yang pertama di Itali. Semasa menjadi ahli parlimen, Andrea Costa mendesak untuk penggubalan undang-undang yang melindungi hak pekerja dan menentang kolonialisme Itali. Selain menggunakan parlimen sebagai platform untuk mengemukakan idea-idea sosialis, Andrea Costa masih menyokong perjuangan di luar parlimen, seperti aksi mogok. Pada bulan 1884, dalam kongresnya yang diadakan di Forlì, wilayah Romagna, PSRR menukar namanya kepada Parti Sosialis Revolusioner Itali (Partito Socialista Rivoluzionario Italiano, singkatan PSRI), dengan hasrat menjadikan parti itu sebuah parti seluruh negara Itali.

Pada 17 Mei 1882, Parti Pekerja Itali (Partito Operaio Italiano, singkatan POI) ditubuhkan di Milan, wilayah Lombardia, hasil daripada inisiatif kelab pekerja tempatan dan majalah La Plebe (Rakyat Biasa) yang diasaskan oleh Enrico Bignami (1844-1921) pada tahun 1868 dengan Osvaldo Gnocchi Viani (1837-1917) sebagai ketua pengarang sejak tahun 1876. POI yang dipimpin oleh Giuseppe Croce (1853-1915) dan Costantino Lazzari (1857-1927) mengambil pendirian sosialis reformis yang moderat.

Anna Kuliscioff (1857-1925)

Filippo Turati (1857-1932), seorang peguam dan penyair yang menyokong penubuhan POI, sendiri menubuhkan Liga Sosialis Milan (Lega Socialista Milanese) pada tahun 1889. Filippo Turati dipengaruhi secara politik oleh kekasihnya Anna Kuliscioff (1857-1925), seorang revolusioner feminis yang berasal dari Rusia dan pada asalnya seorang anarkis tetapi beralih kepada menjadi seorang militan sosialis Marxis.

Pada 14 Ogos 1892, beberapa buah organisasi pekerja dan parti politik, seperti POI, PSRI dan Liga Sosialis Milan, bersidang di Genoa, wilayah Liguria, untuk menubuhkan Parti Pekerja Itali (Partito dei Lavoratori Italiani). Parti baharu itu disusun mengikut model Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD). Pada 8 September 1893, dalam kongresnya yang kedua, parti itu menukar nama kepada Parti Pekerja Sosialis Itali (Partito Socialista dei Lavoratori Italiani). Dalam kongresnya yang ketiga, yang diadakan pada 13 Januari 1895 di Parma, wilayah Emilia, parti itu menukar nama sekali lagi kepada Parti Sosialis Itali (Partito Socialista Italiano, singkatan PSI), dan Filippo Turati dipilih sebagai Setiausaha Parti.

Filippo Turati (1857-1932)

PSI bertanding buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Itali pada tahun 1895, dan berjaya memenangi 15 daripada 508 kerusi Dewan Perwakilan dengan meraih lebih 82,000 undi (6.8% undian sah). PSI muncul sebagai parti terbesar dalam Parlimen pada tahun 1919 apabila memenangi 156 daripada 508 kerusi dalam Dewan Perwakilan dengan meraih lebih 1.8 juta undi (32.3% undian sah).

Dalam kongres PSI yang diadakan di Livorno, wilayah Toscana, pada tahun 1921, golongan sayap kiri dalam parti itu, termasuk Amadeo Bordiga (1889-1970) dan Antonio Gramsci (1891-1937), berpecah keluar dan menubuhkan Parti Komunis Itali (Partito Comunista Italiano, singkatan PCI). Pada tahun 1922, PSI mengalami satu lagi perpecahan, apabila golongan sayap reformis, yang dipimpin oleh Filippo Turati dan Giacomo Matteotti (1885-1924), dipecat daripada parti itu dan menubuhkan Parti Sosialis Bersatu (Partito Socialista Unitario, singkatan PSU). Selepas golongan fasis berkuasa di Itali pada tahun 1924, PSI dan parti-parti politik lain diharamkan pada tahun 1926.

Selepas Perang Dunia II, PSI dan PCI menjadi parti politik utama di Itali selama beberapa dekad. PSI dibubarkan pada tahun 1994 selepas mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum. PCI pula dibubarkan pada tahun 1991 dan digantikan dengan Parti Demokratik Kiri (Partito Democratico della Sinistra, singkatan PDS), sementara golongan bekas ahli PCI yang enggan menyertai PDS menubuhkan Parti Penubuhan Semula Komunis (Partito della Rifondazione Comunista, singkatan PRC).

Di wilayah Sicilia, sebuah pulau yang terletak di bahagian tengah Laut Mediterranean dan digabungkan ke dalam Itali sejak tahun 1860 hasil daripada usaha perjuangan Risorgimento (Penyatuan Itali), telah dilanda gelombang gerakan rakyat yang memperjuangkan demokrasi dan sosialisme pada tahun 1890-an. Gerakan itu menyaksikan pembentukan organisasi politik pekerja di pelbagai tempat di Sicilia yang dikenali sebagai Liga Pekerja Sicilia (Fasci Siciliani dei Lavoratori), atau dengan nama yang lebih ringkas Fasci Siciliani, dan Fascio untuk kata nama tunggal. Gerakan Fasci Siciliani terdiri daripada persekutuan persatuan-persatuan rakyat yang dibangunkan dalam kalangan pekerja ladang, petani penyewa tanah, petani pawah kecil, tukang, ahli intelek dan pekerja perindustrian. Gerakan itu mendapat sokongan daripada golongan yang paling miskin dan paling dieksploitasi di Pulau Sicilia, dengan menyalurkan ketidakpuasan hati dan kekecewaan mereka ke dalam sebuah program politik yang berasaskan aspirasi demokrasi dan sosialis. Ia dicetuskan kerana krisis ekonomi yang mendalam di Sicilia sejak penghujung tahun 1880-an, dengan kelas pemilik tanah yang mendominasi kuasa di situ mengalihkan sebahagian besar beban ekonomi ke atas golongan petani dan masyarakat bawahan melalui pengenaan sewa yang lebih tinggi dan cukai tempatan yang bersifat diskriminasi, sehingga mengakibatkan lebih ramai orang terjebak dalam kemiskinan melampau dan kebuluran.

Giuseppe De Felice Giuffrida (1859-1920)

Organisasi Fascio yang terawal ditubuhkan pada 18 Mac 1889 di Messina, yang terletak di hujung timur laut Pulau Sicilia. Namun, Fascio itu tidak aktif selepas pengasasnya, Nicola Petrina (1861-1908) ditahan pada bulan Julai 1889 dan hanya dibebaskan pada tahun 1892. Fascio Siciliani rasmi yang pertama ditubuhkan oleh Giuseppe De Felice Giuffrida (1859-1920), seorang wartawan yang aktif mengorganisasi pekerja, pada 1 Mei 1891 di Catania, yang terletak di pantai timur Pulau Sicilia.

Rosario Garibaldi Bosco (1866-1936), seorang akauntan yang merupakan aktivis sosialis dan terlibat dalam persatuan pekerja, menubuhkan Fascio di Palermo, ibu kota wilayah Sicilia yang terletak di bahagian barat laut pulau itu, pada 29 Jun 1892. Sejak itu, bilangan organisasi Fasci Siciliani bertambah secara ketara, dari 24 buah Fascio pada penghujung tahun 1892 kepada 177 buah Fascio menjelang penghujung tahun 1893, dengan jumlah keanggotaan melebihi 200,000 orang. Hampir setiap bandar dan pekan di seluruh Pulau Sicilia mempunyai Fascio sendiri, termasuk Fascio di Piana dei Greci (di utara Palermo) yang dipimpin oleh Nicola Barbato (1856-1923), Fascio di Corleone (di barat Palermo) yang dipimpin oleh Bernardino Verro (1866-1915), Fascio di Santo Stefano Quisquina (di selatan Palermo) yang dipimpin oleh Lorenzo Panepinto (1865-1911), Fascio di Trapani (di bahagian barat Pulau Sicilia) yang dipimpin oleh Giacomo Montalto (1864-1934), Fascio di Siracusa (di pantai tenggara Pulau Sicilia) yang dipimpin oleh Luigi Leone (1858-1938) dan Fascio di Caltanissetta (bahagian tengah Pulau Sicilia) yang dipimpin oleh Agostino Lo Piano Pomar (1871-1927). Gerakan Fasci Siciliani bermula di bandar, tetapi turut merebak ke kawasan luar bandar dan berkembang menjadi sebuah gerakan massa yang militan.

Bernardino Verro (1866-1915)

Garibaldi Bosco menjadi seorang sosialis kerana pengaruh daripada Napoleone Colajanni (1847-1921), seorang penulis yang digelar sebagai “Bapa Sosialisme Sicilia” walaupun dia melepaskan pegangan politik sosialis dan kembali mendukung republikanisme pada tahun 1894. Selepas kembali daripada kongres penubuhan Parti Pekerja Itali (yang kemudiannya bertukar nama kepada PSI) yang diadakan pada bulan Ogos 1892, Garibaldi Bosco mula menyingkirkan golongan anarkis, golongan pendukung fahaman republikan nasionalis Mazzini dan golongan bukan sosialis yang lain daripada Fascio di Palermo. Berbeza dengan Garibaldi Bosco, Giuseppe De Felice Giuffrida, yang menjadi satu-satunya ahli parlimen sosialis dari Sicilia yang dipilih ke dalam Dewan Perwakilan Itali semasa Pilihan Raya Umum 1892, menegaskan bahawa Fascio di Catania sentiasa terbuka kepada semua golongan kiri radikal dengan hasrat membina sebuah barisan demokratik yang bersatu. Oleh itu, wujudnya banyak pertelagahan antara Fascio di Palermo dan Fascio di Catania.

Pada 20 Januari 1893, petani-petani di Caltavuturo, yang terletak kira-kira 70 km di timur Palermo, menduduki tanah komunal seluas 250 hektar di situ dan mula mencangkul tanah, sebagai tanda protes untuk memperjuangkan reformasi tanah. Sekumpulan petani dalam kira-kira 500 orang berarak ke dewan perbandaran untuk meminta supaya berjumpa dengan datuk bandar tetapi tidak berjaya. Apabila kumpulan demonstran itu kembali untuk bertemu dengan petani-petani lain yang masih menduduki tanah itu, mereka dihalang oleh pihak berkuasa. Pasukan tentera dan polis yang menyuraikan para demonstran itu melepaskan tembakan, sehingga membunuh 13 orang dan mencederakan ramai orang lagi. Pada ketika itu, gerakan Fasci Siciliani bukan lagi sebuah gerakan yang hanya dibawa oleh golongan pekerja dan golongan tukang di bandar, tetapi golongan petani di kawasan luar bandar telah menjadi kuasa penggerak utama kepada organisasi massa itu. Berlakunya banyak aksi mogok di bandar-bandar dan lombong-lombong, sementara golongan petani di kawasan luar bandar turut mengemukakan tuntutan mereka.

Rosario Garibaldi Bosco (1866-1936)

Pada 21-22 Mei 1893, sebuah kongres gerakan Fasci Siciliani diadakan di Palermo dan dihadiri oleh 500 orang perwakilan daripada hampir 90 buah Fascio. Kongres itu memilih sebuah Jawatankuasa Pusat yang terdiri daripada 9 orang, termasuk Rosario Garibaldi Bosco dan Giuseppe De Felice Giuffrida. Kongres itu memutuskan bahawa semua Fascio wajib menyertai Parti Pekerja Itali.

Pada 31 Julai 1893, sebuah persidangan petani diadakan di Corleone. Peserta-peserta persidangan itu merangka model kontrak bersama untuk pekerja-pekerja pertanian, petani-petani pawah dan petani-petani penyewa tanah yang bakal ditujukan kepada golongan pemilik tanah. Apabila terdapat pemilik tanah yang enggan berunding, golongan buruh di kawasan luar bandar itu terus melancarkan mogok. Sebahagian besar bahagian barat Sicilia dilanda mogok pada tahun 1893. Pada bulan Oktober 1893, pihak berkuasa cuba mencampur tangan, dan sesetengah pemilik tanah dipujuk untuk menerima syarat-syarat yang dikemukakan oleh massa rakyat. Menjelang penghujung tahun 1893, hasil daripada aksi mogok yang diadakan, pekerja-pekerja kereta api di Catania dan Palermo, bersama-sama pekerja-pekerja lombong di wilayah seperti Caltanissetta, Enna dan Agrigento, memperoleh upah yang lebih tinggi atau keadaan kerja yang diperbaiki.

Gerakan Fasci Siciliani. (ilustrasi: Lorenzo Zampirollo, 1993)

Pada bulan Oktober 1893, sebuah kongres pelombong diadakan di Grotte, provinsi Agrigento yang terletak di bahagian barat daya Pulau Sicilia, dan dihadiri oleh kira-kira 1,500 orang, termasuk pekerja-pekerja dan pengeluar-pengeluar kecil di lombong-lombong sulfur. Golongan pekerja lombong menuntut usia minimum bagi mereka yang bekerja di dalam lombong ditingkatkan kepada 14 tahun, pengurangan jam kerja sehari dan penetapan upah minimum. Golongan pengeluar kecil pula menuntut pelaksanaan langkah-langkah untuk mencegah eksploitasi oleh golongan pemilik lombong besar.

Pihak berkuasa Itali mula menangkap pemimpin-pemimpin gerakan Fasci Siciliani dari semasa ke semasa pada bulan Mei 1893, dan mengerahkan pasukan tentera ke Sicilia. Menjelang musim luruh tahun 1893, kepimpinan Fasci Siciliani boleh dikatakan sudah tidak dapat mengawal gerakan massa yang semakin memuncak itu. Golongan petani menduduki tanah kosong, sementara golongan pekerja berprotes di jalanan untuk menuntut jaminan pekerjaan serta menentang pegawai kerajaan yang korup. Pejabat pengutipan cukai dibakar oleh golongan demonstran yang marah. Pertembungan antara golongan demonstran dan pasukan polis serta tentera semakin kerap. Pada bulan Disember 1893, seramai 92 orang petani terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa. Ramai lagi orang terkorban dalam pelbagai insiden keganasan. Golongan pemilik tanah dan golongan elit di Sicilia amat bimbang bahawa pergolakan itu menjelma ke dalam revolusi yang boleh menjatuhkan kekuasaan mereka, maka mereka meminta campur tangan daripada kerajaan pusat Itali.  

Francesco Crispi (1818-1901), seorang tokoh yang penting dalam penyatuan Itali, dilantik sebagai Perdana Menteri Itali buat kali kedua pada bulan Disember 1893. Francesco Crispi pada asalnya seorang demokrat liberal, tetapi semakin mengambil pendekatan yang autoritarian dan mengagumi corak pentadbiran Otto von Bismarck di Jerman menjelang penggal keduanya sebagai Perdana Menteri Itali. Pada 3 Januari 1894, Francesco Crispi mengisytihar darurat di seluruh wilayah Sicilia. Puluhan ribu orang askar dikerahkan ke Sicilia untuk memulihkan pemerintahan lama di situ. Pihak berkuasa menggunakan keganasan yang melampau untuk mematahkan gerakan Fasci Siciliani, termasuk penghukuman bunuh tanpa perbicaraan. Fasci Siciliani diharamkan. Ramai demonstran dibunuh dan dicederakan oleh pihak berkuasa. Ribuan anggota Fasci Siciliani dipenjarakan atau dibuang wilayah. Kira-kira 1,000 orang dihantar ke kepulauan jajahan tahanan tanpa perbicaraan. Semua organisasi kelas pekerja dan koperasi dibubarkan. Kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan digantung. Kerajaan juga mengambil kesempatan untuk “menyemak semula” senarai pengundi, dengan contohnya di Catania, 5,000 daripada 9,000 orang pengundi di situ digugurkan nama mereka.

Gerakan Fasci Siciliani dipatahkan secara keras oleh pihak berkuasa Itali. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Geng Mafia turut digunakan oleh golongan pemilik tanah di Sicilia untuk mematahkan gerakan Fasci Siciliani, dan kesannya ialah perluasan pengaruh Mafia di Pulau Sicilia menjelang penghujung abad ke-19. Golongan anarkis dan golongan republikan di wilayah Lunigiana, yang terletak di bahagian utara Itali, melancarkan pemberontakan untuk bersolidariti bersama gerakan Fasci Siciliani, tetapi terus dipatahkan.

Antara pemimpin-pemimpin Fasci Siciliani yang ditangkap, Giuseppe De Felice Giuffrida dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun, sementara Garibaldi Bosco dan Nicola Barbato masing-masing dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun. Walaupun berada di dalam penjara dan senarai pengundi telah “disemak semula”, Giuseppe De Felice Giuffrida dan Garibaldi Bosco masih dipilih sebagai Ahli Dewan Perwakilan Itali dalam Pilihan Raya Umum 1895.

Penindasan yang ganas terhadap gerakan Fasci Siciliani sedikit sebanyak telah memakan diri kerajaan Itali. Laporan media mengenai ucapan yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin Fasci Siciliani semasa perbicaraan mereka dalam tribunal tentera telah meraih simpati daripada masyarakat umum, terutamanya rakyat Itali Utara yang dipengaruhi oleh tradisi liberal. Untuk menyelamatkan kredibiliti kerajaannya, Francesco Crispi memperkenalkan sebuah rang undang-undang pada bulan Julai 1894 yang bertujuan untuk mengambil alih tanah ladang besar dan tanah yang tidak diusahakan supaya diagihkan semula dalam pegangan bersaiz medium kepada golongan petani kecil melalui pajakan jangka panjang, tetapi ia gagal dilaksanakan kerana tentangan daripada golongan pemilik tanah di Sicilia.

Walau bagaimanapun, selepas Antonio Starrabba (1839-1908), seorang bangsawan yang merupakan pemimpin golongan pemilik tanah Sicilia, menggantikan Francesco Crispi sebagai Perdana Menteri pada tahun 1896, dia memberi pengampunan kepada ramai anggota Fasci Siciliani dan membebaskan mereka dari penjara, termasuk Giuseppe De Felice Giuffrida, Garibaldi Bosco dan Nicola Barbato. Namun, Antonio Starrabba memberi amaran jelas bahawa dia tidak akan membenarkan penubuhan semula Fasci Siciliani. Kerajaan Itali kemudiannya memperkenalkan beberapa pembaharuan, termasuk skim perlindungan pekerja dan pencen, yang boleh dikatakan sebagai hasil daripada perjuangan Fasci Siciliani yang dipatahkan itu.

Nicola Barbato (1856-1923)

Ramai pemimpin Fasci Siciliani terlibat dalam usaha pembentukan PSI, tetapi penindasan oleh kerajaan terhadap Fasci Siciliani menyebabkan PSI yang baharu ditubuhkan pada tahun 1895 itu menjauhkan dirinya daripada gerakan itu. Walau bagaimanapun, Fasci Siciliani menjadi inspirasi kepada perkembangan gerakan sosialis di Itali selepasnya.   

Belanda

Gerakan sosialis moden mula berkembang di Belanda pada tahun 1860-an, dengan sokongan daripada golongan sosialis yang bergabung dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa (iaitu Internasional Pertama). Kesatuan Pekerja Belanda (Nederlandsch Werklieden Verbond) ditubuhkan dalam sebuah persidangan di Amsterdam pada 30 Ogos 1869, sebagai cabang Kesatuan Pekerja Antarabangsa di Belanda.

Willem Ansing (1837-1900)

Namun begitu, kebanyakan kesatuan sekerja di Belanda bergabung dalam Kesatuan Pekerja Umum Belanda (ANWV) yang ditubuhkan pada tahun 1871 oleh golongan liberal dan golongan Protestan yang hendak melawan pengaruh Cabang Belanda Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Sesetengah anggota Cabang Belanda Kesatuan Pekerja Antarabangsa menyertai ANWV dengan hasrat meradikalisasikan organisasi itu. Pada tahun 1878, sekumpulan pekerja yang dipimpin oleh Willem Ansing (1837-1900), seorang tukang besi yang merupakan anggota Kesatuan Pekerja Antarabangsa dan pemimpin kesatuan tukang besi De Volharding, meninggalkan ANWV untuk menubuhkan Persatuan Demokratik Sosial (Sociaal-Democratische Vereeniging, singkatan SDV). SDV mempunyai cawangan di bandar-bandar utama Belanda, seperti Amsterdam, Den Haag, Haarlem dan Rotterdam.

Pada bulan April 1881, Liga Demokratik Sosial (Sociaal-Democratische Bond, singkatan SDB) ditubuhkan oleh anggota-anggota SDV dan beberapa organisasi sosialis tempatan. Program SDB adalah berlandaskan prinsip-prinsip Marxis dan mendukung perjuangan revolusioner proletar. Pada awalnya SDB menyokong perjuangan untuk hak mengundi sejagat dan menyertai Liga untuk Hak Mengundi Sejagat (Bond voor Algemeen Kies- en Stemrecht, singkatan BAKS) yang ditubuhkan pada tahun 1882.

Ferdinand Domela Nieuwenhuis (1846-1919)

Ferdinand Domela Nieuwenhuis (1846-1919), seorang bekas paderi Lutheran, dipilih sebagai Setiausaha Agung SDB pada tahun 1882. Domela Nieuwenhuis juga merupakan pengarang Recht voor Allen (Keadilan untuk Semua), sebuah majalah demokratik sosial yang diterbitkan sejak tahun 1879 dan kemudiannya dijadikan sebagai organ parti SDB. Pada tahun 1886, Domela Nieuwenhuis didakwa dengan pertuduhan menghina raja dan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun.

Dalam Pilihan Raya Umum Belanda 1888, Domela Nieuwenhuis dipilih ke dalam Dewan Perwakilan Belanda, sebagai ahli parlimen yang mewakili kawasan parlimen Schoterland, yang terletak di provinsi Friesland di bahagian utara Belanda. Dengan itu, SDB menjadi parti sosialis pertama yang memenangi kerusi dalam Dewan Perwakilan Belanda, dan Domela Nieuwenhuis merupakan ahli parlimen sosialis yang pertama di Belanda. Semasa berada di dalam parlimen, Domela Nieuwenhuis memperjuangkan beberapa pembaharuan sosial, termasuk kerja 8 jam sehari, sistem keselamatan sosial di bawah pengurusan kendiri oleh pekerja, kemerdekaan tanah jajahan Belanda (seperti Hindia Timur Belanda, iaitu Indonesia hari ini) dan projek kejuruteraan hidraulik penambakan Zuiderzee untuk melindungi tanah rendah Belanda daripada banjir. Namun, kebanyakan cadangannya dalam Dewan Perwakilan ditolak atau diabaikan oleh ahli-ahli parlimen borjuis yang lain. Selepas dia gagal mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum Belanda 1891, Domela Nieuwenhuis mula menolak sepenuhnya reformisme dan politik berparlimen, dengan beralih kepada sosialisme revolusioner.

Pieter Jelles Troelstra (1860-1930)

Dalam persidangan parti SDB yang diadakan di Groningen pada tahun 1893, majoriti perwakilan mengundi untuk berhenti daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya. Golongan minoriti yang dipimpin oleh Pieter Jelles Troelstra (1860-1930), seorang peguam, yang tidak bersetuju dengan keputusan itu kemudiannya meninggalkan SDB untuk menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Pekerja Demokratik Sosial (Sociaal-Democratische Arbeiderspartij, singkatan SDAP). SDAP yang ditubuhkan di Zwolle, provinsi Overijssel, pada 26 Ogos 1894, mengambil pendirian politik yang serupa dengan SPD di Jerman yang dipimpin oleh Wilhelm Liebknecht dan August Bebel, iaitu mengambil langkah-langkah yang lebih reformis sambil mengekalkan prinsip-prinsip revolusi sosialis. Turut menyertai SDAP ialah Henri Polak, pemimpin gerakan kesatuan sekerja Belanda yang utama pada masa itu.

SDB telah diharamkan oleh mahkamah Belanda pada tahun 1893 atas pertuduhan parti itu mendukung cara-cara yang menyalahi undang-undang untuk mencapai matlamatnya. Berhadapan dengan pengharaman itu, SDB menukar namanya kepada Liga Sosialis (Socialistenbond, singkatan SB). Pada tahun 1896, sayap radikal dalam SB, yang dipimpin oleh Domela Nieuwenhuis yang semakin mendukung fahaman anarkisme sosial, meninggalkan parti itu dan meneruskan perjuangan mereka dengan pendekatan tindakan langsung anarkis. Domela Nieuwenhuis mengasaskan akhbar De Vrije Socialist (Sosialis Bebas), untuk mempromosikan idea-idea sosialis libertarian.

Herman Gorter (1864-1927)

Dalam Pilihan Raya Umum Belanda 1897, SDAP buat pertama kali memenangi 2 kerusi dalam Dewan Perwakilan Belanda, dengan Pieter Jelles Troelstra dipilih sebagai wakil kawasan parlimen Tietjerksteradeel yang terletak di provinsi Friesland. Sebagai parti sosialis yang utama pada masa itu, SDAP berjaya menarik tokoh-tokoh terkenal di negara itu untuk menyertainya, termasuk Pieter Lodewijk Tak (1848-1907), Herman Gorter (1864-1927), Herman Heijermans (1864-1924) dan Henriette Roland Holst (1869-1952). Selepas Pilihan Raya Umum Belanda 1913 yang menyaksikan SDAP memenangi 18 daripada 100 kerusi parlimen dan merupakan parti ketiga terbesar dalam Dewan Perwakilan, SDAP menjadi salah sebuah parti politik utama dalam parlimen. Pada tahun 1919, SDAP memperoleh kemenangan yang menggalakkan dalam pilihan raya tempatan, dengan kerajaan perbandaran yang disokong oleh sosialis ditubuhkan di banyak buah bandar di Belanda. Menjelang tahun 1919, banyak tuntutan yang dibawa oleh golongan sosialis (seperti hak mengundi sejagat, kerja 8 jam sehari dan pencen warga tua) telah dilaksanakan.

Pada tahun 1907, Jan Ceton (1875-1943), David Wijnkoop (1876-1941) dan Willem van Ravesteyn (1876-1970), anggota SDAP yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan SDAP yang semakin mengambil pendekatan reformis dan berorientasikan perjuangan dalam parlimen, mengasaskan akhbar De Tribune untuk menerbitkan kritikan mereka. Dalam kongres SDAP yang diadakan di Deventer, provinsi Overijssel, pada tahun 1909, kepimpinan SDAP meminta supaya mereka menghentikan penerbitan De Tribune atau dipecat daripada parti. Jan Ceton, David Wijnkoop dan Willem van Ravesteyn enggan berbuat demikian, maka mereka meninggalkan SDAP untuk menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Demokratik Sosial (Sociaal-Democratische Partij, singkatan SDP). Turut meninggalkan SDAP untuk menyertai SDP, termasuklah Herman Gorter dan Gerrit Mannoury (1867-1956). SDP mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Belanda 1918 dan memenangi 2 kerusi. Pada bulan November 1918, dalam kongres SDP yang diadakan di Leiden, provinsi Holland Selatan, parti itu menukar namanya kepada Parti Komunis Belanda (Communistische Partij Nederland, singkatan CPN).

Anton Pannekoek (1873-1960)

Pada tahun 1918, Sekretariat Pekerja Kebangsaan (NAS), yang sudah dikuasai oleh golongan sindikalis pada masa itu, menubuhkan Parti Sosialis (Socialistische Partij, singkatan SP), dengan Harm Kolthek (1872-1946) sebagai Setiausaha. SP menang 1 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Belanda 1918, tetapi ia dibubarkan pada tahun 1928. Pada tahun 1921, golongan komunis kiri dalam SDAP, seperti Herman Gorter dan Anton Pannekoek (1873-1960) meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Pekerja Komunis Belanda (Kommunistische Arbeiders-Partij Nederland, singkatan KAPN). KAPN mendukung fahaman komunisme majlis (radencommunisme), iaitu aliran pemikiran komunis kiri yang menyokong majlis pekerja dan demokrasi majlis. Pada tahun 1929, golongan bekas anggota KAPN yang dipimpin oleh Henk Sneevliet (1883-1942) dan golongan bekas anggota SP yang sudah dibubarkan pada masa itu, bergabung untuk menubuhkan Parti Sosialis Revolusioner (Revolutionair Socialistische Partij, singkatan RSP). RSP kemudiannya bergabung dengan Parti Sosialis Bebas (Onafhankelijke Socialistische Partij, singkatan OSP) pada tahun 1935 untuk menubuhkan Parti Pekerja Sosialis Revolusioner (Revolutionair-Socialistische Arbeiderspartij, singkatan RSAP). RSAP dibubarkan pada tahun 1940 semasa pencerobohan Jerman Nazi ke atas Belanda.

Selepas tamatnya Perang Dunia II, pada tahun 1945, SDAP terlibat dalam pembentukan Gerakan Rakyat Belanda (Nederlandse Volksbeweging), sebuah gerakan pembaharuan politik yang cuba mengatasi perpecahan politik di Belanda yang sudah wujud pada zaman pra-Perang Dunia II. Hasil daripadanya, SDAP bergabung dengan Liga Demokratik Liberal (VDB) yang berfahaman liberal sosial dan Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) yang berfahaman Protestan progresif, untuk menubuhkan Parti Buruh (Partij van de Arbeid, PvdA) pada tahun 1946. PvdA yang berhaluan kiri tengah merupakan salah sebuah parti politik utama di Belanda sepanjang separuh kedua abad ke-20. CPN pula bergabung dengan dua buah parti progresif yang lain pada tahun 1990 untuk menubuhkan GroenLinks (Kiri Hijau). Bekas anggota CPN yang tidak bersetuju dengan penggabungan ke dalam GroenLinks pula menubuhkan Parti Komunis Baharu Belanda (Nieuwe Communistische Partij Nederland, singkatan NCPN) pada tahun 1992.

Sepanyol

Semasa berlakunya Revolusi 1848, golongan sayap kiri dalam Parti Progresif (Partido Progresista), sebuah parti pembangkang liberal di Sepanyol, mengagumi Revolusi Februari yang membawa kepada pembentukan Republik Perancis Kedua. Mereka mula mendukung tuntutan politik yang lebih radikal lagi seperti republikanisme dan sosialisme. Sayap kiri dalam Parti Progresif itu berpecah keluar pada tahun 1849 untuk menubuhkan Parti Demokratik Progresif (Partido Progresista Demócrata), atau lebih dikenali sebagai Parti Demokratik (Partido Democrático). Parti Demokratik menggabungkan golongan liberal radikal dan golongan sosialis moderat yang kebanyakannya berfahaman sosialis utopia.

Giuseppe Fanelli (1827-1877), seorang anarkis dari Itali, dihantar oleh Mikhail Bakunin ke Barcelona pada bulan Oktober 1868 untuk menyebarkan idea-idea anarkisme dan merekrut aktivis-aktivis buruh di situ untuk menyertai Kesatuan Pekerja Antarabangsa. Hasil daripada usaha itu, Kongres Pekerja Sepanyol yang Pertama diadakan di Barcelona pada bulan Jun 1870, dan menubuhkan Persekutuan Serantau Sepanyol bagi Kesatuan Pekerja Antarabangsa (FRE-AIT) yang merupakan cabang Internasional Pertama di Sepanyol. Turut hadir dalam Kongres Pekerja Barcelona itu ialah Pablo Iglesias Posse (1850-1925), seorang pekerja pengatur huruf.  

Pablo Iglesias Posse (1850-1925)

Oleh sebab perpecahan antara golongan anarkis dan golongan Marxis dalam Kesatuan Pekerja Antarabangsa, pada bulan Jun 1872, golongan Marxis dipecat daripada FRE-AIT yang didominasi oleh golongan anarkis. Golongan Marxis di Madrid, termasuk Pablo Iglesias dan Francisco Mora Méndez (1842-1924), seorang tukang kasut dan pemuzik, menubuhkan sebuah organisasi yang dikenali sebagai Persekutuan Madrid Baharu (Nueva Federación Madrileña). Pada bulan Januari 1874, selepas berlakunya rampasan kuasa tentera yang mengembalikan pemerintahan golongan konservatif di Sepanyol, FRE-AIT diharamkan.

Pada 2 Mei 1879, dalam sebuah mesyuarat rahsia yang diadakan di Madrid dan dihadiri oleh 25 orang sosialis, termasuk Pablo Iglesias dan Francisco Mora, Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (Partido Socialista Obrero Español, singkatan PSOE) ditubuhkan. Pada 20 Julai 1879, sebuah perhimpunan yang dihadiri oleh 40 orang anggota PSOE meluluskan program pertama untuk parti baharu itu.

PSOE bercita-cita untuk menyatukan golongan pekerja perindustrian di Sepanyol di bawah ideologi Marxis. Namun, PSOE menghadapi kesukaran dalam mengembangkan organisasi pada awalnya. Organisasi awal PSOE tertumpu di kawasan segi tiga Madrid-Vizcaya-Asturias, dan mempunyai hanya sedikit pengaruh di wilayah Catalonia, pusat perindustrian terbesar di Sepanyol, kerana gerakan pekerja di situ lebih dipengaruhi oleh golongan anarkis.  

Pekerja-pekerja yang bermogok di Vizcaya, wilayah Basque. (ilustrasi: Vicente Cutanda y Toraya, 1892)

Pada tahun 1886, Pablo Iglesias mengasaskan El Socialista, akhbar yang berfungsi sebagai organ PSOE. Pada tahun 1888, PSOE mengadakan kongresnya yang pertama di Barcelona. Pada tahun yang sama, Pablo Iglesias menubuhkan Kesatuan Umum Pekerja (UGT), yang boleh dianggap sebagai sayap gerakan buruh PSOE. Pada tahun 1905, Pablo Iglesias dipilih ke dalam Majlis Bandar Raya Madrid.

PSOE mula bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1907 tetapi gagal memenangi apa-apa kerusi. Pada tahun 1910, PSOE menyertai pilihan raya umum melalui Perikatan Republikan-Sosialis dan memenangi satu kerusi dalam Kongres Perwakilan, dengan Pablo Iglesias menjadi ahli parlimen sosialis yang pertama di Sepanyol.

PSOE dan UGT pernah menerajui perjuangan mogok umum pada bulan Ogos 1917, dengan beberapa orang pemimpin dihukum penjara selepas mogok umum itu dipatahkan. Selepas penubuhan Republik Sepanyol Kedua pada tahun 1931, PSOE terlibat dalam pembentukan kerajaan sementara. Pada bulan Jun 1931, PSOE memenangi 115 daripada 470 kerusi dalam Cortes Perlembagaan, menjadikannya parti terbesar dalam badan perundangan kebangsaan Sepanyol buat pertama kalinya.

PSOE telah diharamkan semasa pemerintahan kediktatoran Francisco Franco, dan hanya kembali bergerak secara terbuka selepas demokrasi dipulihkan pada tahun 1977. Sejak itu, PSOE, yang mengamalkan dasar reformis dan mengambil posisi kiri tengah dalam spektrum politik kiri-kanan, menjadi parti politik utama di Sepanyol dan banyak kali menang dalam pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan.

Negara-negara Nordik

Di Denmark, pada 15 Oktober 1871, Louis Pio (1841-1894), seorang wartawan, bersama-sama dengan Harald Brix (1841-1881) dan Paul Geleff (1842-1928), menubuhkan Persatuan Pekerja Antarabangsa Denmark (Internationale Arbejderforening for Danmark) sebagai cabang Kesatuan Pekerja Antarabangsa di negara itu. Dalam tempoh enam bulan sahaja, organisasi itu berjaya memperoleh keanggotaan yang mencecah 5,000 orang. Pada 5 Mei 1872, Louis Pio menganjurkan sebuah perhimpunan pekerja di Copenhagen untuk menuntut penambahbaikan keadaan kerja, tetapi perhimpunan itu dilarang oleh pihak berkuasa dan mencetuskan konfrontasi. Louis Pio, Harald Brix dan Paul Geleff ditangkap. Louis Pio dihukum penjara selama 5 tahun, tetapi dia masih menulis rencana dan menyeludupnya keluar dari penjara untuk dicetak dalam Socialisten, sebuah akhbar mingguan sosialis yang diasaskannya pada tahun 1871. Mereka yang dipenjarakan itu telah dibebaskan lebih awal pada tahun 1875, dan organisasi sosialis itu mula mengalihkan strateginya ke arah politik berparlimen.

Louis Pio (1841-1894)

Pada bulan Jun 1876, golongan sosialis di Denmark mengadakan kongres pertama mereka di Copenhagen dan menubuhkan Parti Buruh Demokratik Sosial (Socialdemokratiske Arbejderparti), di samping meluluskan program parti yang pertama. Pada tahun 1878, parti itu mengambil nama rasminya sebagai Persekutuan Demokratik Sosial (Socialdemokratisk Forbund).

Pada tahun 1884, Persekutuan Demokratik Sosial bertanding buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum Denmark dan memenangi 2 kerusi dalam Folketing (iaitu Parlimen Denmark). Parti itu muncul sebagai parti terbesar dalam Folketing buat pertama kalinya pada tahun 1913 selepas meraih lebih 107,000 undi (29.6% undian sah) dan memenangi 32 daripada 114 kerusi Folketing. Sejak itu, Persekutuan Demokratik Sosial, yang mengambil pendekatan sosialis evolusioner dan reformis, menjadi parti politik yang utama di Denmark. Pada tahun 1965, parti itu menukar namanya kepada Demokrasi Sosial di Denmark (Socialdemokratiet i Danmark). Dalam kongres parti pada tahun 2002, ia menukar nama kepada Demokrat Sosial (Socialdemokraterne), tetapi ditukar semula kepada Demokrasi Sosial (Socialdemokratiet) pada tahun 2016.

Di Sweden, pada 23 April 1889, Parti Pekerja Demokratik Sosial Sweden (Sveriges Socialdemokratiska Arbetareparti, singkatan SAP) ditubuhkan. Hjalmar Branting (1860-1925), salah seorang pengasas SAP, menjadi ahli parlimen sosialis yang pertama di Sweden apabila SAP memenangi kerusi yang pertamanya dalam Riksdag (iaitu Parlimen Sweden) semasa Pilihan Raya Umum Sweden 1896. SAP, yang juga dikenali ramai sebagai Demokrat Sosial (Socialdemokraterna), mula menjadi parti politik utama di Sweden pada awal tahun 1900, dan muncul sebagai parti terbesar dalam Riksdag buat pertama kali pada tahun 1917, selepas meraih lebih 228,000 undi (31.1% undian sah) dan memenangi 86 daripada 230 kerusi parlimen. Dari tahun 1930-an hingga 1990-an, SAP sentiasa memenangi lebih 40% undian dalam pilihan raya umum, dan membentuk kerajaan berturut-turut dari tahun 1932 hingga 1976. Model negara kebajikan demokratik sosial yang diamalkan di Sweden merupakan hasil daripada pemerintahan SAP yang berpanjangan di negara itu.

Hjalmar Branting (1860-1925)

Pada tahun 1917, SAP mengalami perpecahan kerana persoalan mengenai Revolusi Rusia dan kerjasama dengan Parti Gabungan Liberal. Golongan yang menyokong Revolusi Bolshevik di Rusia dan menentang kerjasama dengan Parti Gabungan Liberal menubuhkan Parti Kiri Demokratik Sosial Sweden (Sveriges Socialdemokratiska Vänsterparti, singkatan SSV). Pada tahun 1921, SSV menyertai Internasional Komunis dan menukar namanya kepada Parti Komunis Sweden (Sveriges Kommunistiska Parti, singkatan SKP). Anggota-anggota SSV yang tidak bersetuju dengan penyertaan dalam Internasional Komunis disingkirkan daripada SKP dan mereka menubuhkan semula SSV, tetapi bergabung dengan SAP dua tahun kemudian. Zeth Höglund (1884-1956), pemimpin utama SSV dan SKP, meninggalkan SKP pada tahun 1924 kerana tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam Internasional Komunis selepas Vladimir Lenin meninggal dunia, dan menubuhkan parti komunis sendiri yang dikenali sebagai Sverges Kommunistiska Parti, tetapi juga bergabung ke dalam SAP dua tahun kemudian. SKP berpecah lagi pada tahun 1929, dengan golongan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan golongan Stalinis dipecat daripada Internasional Ketiga, dan menubuhkan parti komunis mereka sendiri, yang kemudiannya bertukar nama kepada Parti Sosialis (Socialistiska Partiet) pada tahun 1934, tetapi dibubarkan pada tahun 1948. Pada tahun 1967, SKP menukar namanya kepada Parti Kiri – Komunis (Vänsterpartiet Kommunisterna, singkatan VPK). Pada tahun 1990, VPK menukar namanya kepada Parti Kiri (Vänsterpartiet, singkatan V).

Di Norway, Christian Holtermann Knudsen (1845-1929), seorang jurutipografi yang merupakan aktivis kesatuan sekerja, mengasaskan akhbar Vort Arbeide (Kerja Kita) pada tahun 1884, sebagai lidah gerakan pekerja Norway yang diterajui oleh Jawatankuasa Pusat Kesatuan Sekerja (Fagforeningernes Centralkomité). Pada 22 Ogos 1887, dalam satu perhimpunan di Arendal, yang terletak di bahagian selatan Norway, Parti Buruh Norway Bersatu (Det Forenede Norske Arbeiderparti) ditubuhkan dan Anders Andersen (1846-1931), seorang pekerja kilang papan, dipilih sebagai pengerusi bagi parti baharu itu. Parti itu kemudiannya menukar nama kepada Parti Buruh Norway (Det Norske Arbeiderparti, DNA). Parti Buruh Norway mula bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1894, tetapi gagal memenangi apa-apa kerusi. Namun, selepas hak mengundi sejagat dilaksanakan untuk semua lelaki pada tahun 1898, sesuatu yang diperjuangkan oleh Parti Buruh Norway sejak penubuhannya, parti itu mula memenangi kerusi dalam Storting (iaitu Parlimen Norway) pada tahun 1903.

Christian Holtermann Knudsen (1845-1929)

Parti Buruh Norway mengalami perpecahan pada tahun 1921 kerana keputusannya untuk menyertai Internasional Komunis, dan ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan itu menubuhkan Parti Buruh Demokratik Sosial Norway (Norges Socialdemokratiske Arbeiderparti). Namun begitu, Parti Buruh Norway meninggalkan Internasional Komunis pada tahun 1923, dan golongan minoriti dalam parti itu menubuhkan Parti Komunis Norway (Norges Kommunistiske Parti, singkatan NKP). Parti Buruh Demokratik Sosial Norway bergabung semula ke dalam Parti Buruh Norway pada tahun 1927. NKP menjadi parti politik kecil dengan pengaruh yang sangat sedikit sejak penghujung tahun 1940-an. Pada awal tahun 1930-an, Parti Buruh Norway meninggalkan perjuangan revolusioner dan mengambil jalan reformis.

Parti Buruh Norway menjadi parti politik yang terbesar dalam Storting pada tahun 1927, dengan meraih lebih 368,000 undi (26.8% undian sah) dan memenangi 59 daripada 150 kerusi parlimen. Parti Buruh Norway membentuk kerajaan buat pertama kali pada tahun 1928, dengan Christopher Hornsrud (1859-1960) sebagai Perdana Menteri Norway yang menerajui sebuah kerajaan minoriti, tetapi hanya bertahan selama 2 minggu. Walau bagaimanapun, sejak tahun 1927, Parti Buruh Norway sentiasa menjadi parti terbesar dalam Storting dan sering membentuk kerajaan bersama parti-parti lain. Pada tahun 2011, parti itu menukar nama rasminya kepada Parti Buruh (Arbeiderpartiet, singkatan A).

Di Finland, Parti Pekerja Finland (Suomen Työväenpuolue) ditubuhkan pada tahun 1899. Kongresnya yang pertama diadakan pada bulan Julai 1899 di Turku, yang terletak di wilayah Finland Barat Daya. Parti itu menukar nama kepada Parti Demokratik Sosial Finland (Suomen Sosialidemokraattinen Puolue, singkatan SDP) dalam kongresnya yang kedua pada tahun 1903 di Forssa, wilayah Kanta-Häme. Program Forssa yang diterima dalam kongres kedua itu mengandungi tuntutan-tuntutan yang radikal seperti hak mengundi sejagat, demokrasi langsung, pendidikan percuma, sistem kesihatan awam, penghapusan perkhidmatan tentera wajib, pelaksanaan cukai pendapatan yang progresif, bantuan guaman percuma, kesamarataan gender di sisi undang-undang dan larangan alkohol.

Peserta-peserta yang menghadiri kongres penubuhan Parti Pekerja Finland di Turku pada tahun 1899.

SDP tidak dapat memasuki parlimen sehingga hak mengundi sejagat diperkenalkan pada tahun 1907. Dalam Pilihan Raya Parlimen Finland 1907, SDP terus menjadi parti terbesar dalam parlimen dengan meraih hampir 330,000 undi (37% undian sah) dan memenangi 80 daripada 200 kerusi parlimen. Anggota-anggota SDP pernah mengisytihar penubuhan Republik Pekerja Sosialis Finland (Suomen Sosialistinen Työväentasavalta) pada tahun 1918, tetapi usaha revolusioner itu dipatahkan oleh golongan reaksioner.

Anggota-anggota SDP yang hidup dalam buangan selepas kegagalan Revolusi Finland 1918 menubuhkan Parti Komunis Finland (Suomen Kommunistinen Puolue, singkatan SKP) pada tahun yang sama, tetapi SKP diharamkan di Finland sehingga tahun 1944. SKP menubuhkan Liga Demokratik Rakyat Finland (Suomen Kansan Demokraattinen Liitto, singkatan SKDL), yang menggabungkan golongan kiri yang tidak menyertai SDP, dan mengambil bahagian dalam pilihan raya serta beberapa kali membentuk kerajaan campuran dengan SDP. Selepas kejatuhan Tembok Berlin, sebahagian besar anggota SKP bersama-sama anggota-anggota lain dalam SKDL menubuhkan Perikatan Kiri (Vasemmistoliitto, singkatan Vas). SDP yang merupakan parti politik utama di Finland sejak tahun 1907, dan banyak kali membentuk kerajaan sejak tahun 1930-an, telah memainkan peranan yang penting dalam membina sistem negara kebajikan di negara itu.

Perpustakaan pekerja yang diwujudkan di kem mogok di Barcaldine, bahagian tengah Queensland, Australia, semasa Mogok Pekerja Pengetam Bulu Biri-Biri 1891.

Australia

Di Australia, selepas gelombang mogok pada tahun 1890-an dipatahkan satu demi satu, gerakan pekerja mengalami tamparan yang hebat dan semangat perjuangan pekerja itu turut terjejas. Sesetengah pemimpin kesatuan sekerja berhijrah ke Paraguay di Amerika Selatan untuk menyertai penempatan sosialis utopia yang dikenali sebagai New Australia. Sebahagian aktivis dalam gerakan pekerja yang tidak lagi menaruh harapan dalam tindakan langsung, mengalihkan perhatian mereka kepada mencari solusi politik melalui demokrasi berparlimen.

Di Jajahan Australia Selatan, Majlis Kesatuan Sekerja dan Buruh Bersatu menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan raya pada bulan Januari 1891, dan menamakannya sebagai Parti Buruh Bersatu Australia Selatan (United Labor Party of South Australia), dengan John McPherson (1860-1897) sebagai setiausaha. Calon-calon daripada Parti Buruh Bersatu Australia Selatan berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil, dengan John McPherson menang dalam pilihan raya kecil untuk kerusi Adelaide Timur dalam Dewan Perhimpunan Australia Selatan pada bulan Januari 1892. Parti Buruh Bersatu Australia Selatan kemudiannya memenangi 10 daripada 54 kerusi dalam Pilihan Raya Jajahan Australia Selatan pada tahun 1893.

John McPherson (1860-1897)

Di Jajahan New South Wales, aktivis-aktivis kesatuan sekerja menubuhkan Liga Pilihan Raya Buruh New South Wales (Labor Electoral League of New South Wales) untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Dewan Perundangan New South Wales pada tahun 1891 dan memenangi 35 daripada 141 kerusi.

Di Jajahan Victoria, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja dan golongan progresif di situ menubuhkan Liga Politik Progresif (Progressive Political League) pada tahun 1891. Ia kemudian bertukar nama kepada Parti Buruh dan Liberal Bersatu Victoria (United Labor and Liberal Party of Victoria) pada tahun 1894, Parti Buruh Bersatu (United Labor Party) pada tahun 1896 dan Majlis Buruh Politik Victoria (Political Labor Council of Victoria) pada tahun 1901.

Selepas Mogok Pekerja Pengetam Bulu Biri-Biri 1891 menemui kegagalan, pada 9 September 1892, pekerja-pekerja ladang penternakan berhimpun di bawah “Pokok Ilmu” (Tree of Knowledge), sebatang pokok getah hantu yang tumbuh di Barcaldine, Queensland, dan mengemukakan manifesto untuk menubuhkan Parti Buruh Queensland. Parti Buruh berjaya memenangi 16 daripada 72 kerusi dalam Pilihan Raya Jajahan Queensland pada tahun 1893. Pada 1 Disember 1899, Anderson Dawson (1863-1910) mengambil kesempatan perpecahan dalam kalangan ahli-ahli politik konservatif untuk menubuhkan kerajaan minoriti yang diterajui oleh Parti Buruh di Queensland, menjadikannya parti pekerja pertama di dunia yang memerintah sebuah wilayah. Namun, kerajaan Parti Buruh pimpinan Anderson Dawson itu hanya bertahan selama seminggu dan disingkirkan selepas golongan konservatif dalam Dewan Perundangan Queensland bersatu semula.

“Pokok Ilmu” di Barcaldine, Queensland, Australia.

Selepas 6 buah jajahan British berkerajaan sendiri di Australia bersekutu untuk menubuhkan Komanwel Australia pada tahun 1901, Parti Buruh di setiap negeri turut bertanding dalam Pilihan Raya Persekutuan Australia pada tahun 1901, dan memenangi 15 daripada 75 kerusi dalam Dewan Perwakilan, kemudiannya bertambah satu kerusi lagi apabila seorang ahli parlimen yang menang sebagai calon bebas turut menyertai kaukus Parti Buruh. Dengan itu, lahirnya Parti Buruh Australia (Australian Labor Party, singkatan ALP), parti politik tertua di Australia. Namun, ALP yang merupakan salah satu daripada dua buah parti politik utama di Australia pada hari ini mengamalkan dasar yang lebih pro-kapitalis dan bukannya pro-pekerja.

Internasional Kedua

Walaupun Kesatuan Pekerja Antarabangsa, atau Internasional Pertama, telah dibubarkan secara rasminya pada tahun 1876 selepas perpecahan dalaman yang hebat dalam organisasi itu pada tahun 1872, ia telah mewujudkan duluan bahawa organisasi pekerja yang merentasi sempadan negara untuk perjuangan revolusioner kelas pekerja secara bersama adalah berkemungkinan. Oleh itu, wujudnya usaha untuk menghidupkan semula Kesatuan Pekerja Antarabangsa ataupun menubuhkan organisasi antarabangsa baharu yang mewarisi semangat Internasional Pertama itu.

Pada 9-16 September 1877, Kongres Sosialis Sejagat diadakan di Ghent, Belgium, dan dihadiri oleh 42 orang perwakilan dari negara-negara seperti Belgium, Britain, Hungary, Itali, Jerman, Perancis, Rusia dan Sepanyol. Turut hadir ialah Wilhelm Liebknecht daripada SPD di Jerman, Andrea Costa dari Itali, Leó Frankel dari Hungary yang pernah mengambil bahagian dalam Komun Paris 1871, dan Pyotr Alexeyevich Kropotkin (1842-1921) yang merupakan seorang anarkis dari Rusia. Namun, kongres itu sekali lagi mendedahkan perpecahan dalam gerakan pekerja Eropah yang mendalam dan sukar didamaikan, terutamanya antara golongan Marxis dan golongan anarkis. Jadi, usaha untuk menghidupkan semula Internasional Pertama nampaknya mustahil jika hendak menghimpunkan kedua-dua golongan itu di bawah payung yang sama. Salah satu usul utama mengenai tindakan politik, yang dibawa oleh Filip Coenen (1841-1892), perwakilan dari Antwerp yang merupakan seorang tukang kasut dan penggerak sosialis di wilayah Flanders, bersama Louis Bertrand, perwakilan dari Brussel yang merupakan seorang wartawan, diluluskan dengan 22 undi sokong dan 8 undi tolak, berbunyi, “Memandangkan pembebasan sosial tidak dapat dipisahkan daripada pembebasan politik, kongres mengisytihar bahawa proletariat, yang disusun sebagai sebuah parti tersendiri yang bertentangan dengan semua parti lain yang dibentuk oleh kelas-kelas pemilik harta, harus menggunakan segala kaedah politik yang cenderung untuk membawa kepada pembebasan sosial semua anggotanya.”

Leó Frankel (1844-1896)

Susulan daripada itu, pada tahun 1880, Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) menyokong seruan daripada golongan sosialis Belgium untuk menganjurkan sebuah kongres sosialis antarabangsa yang tidak merangkumi golongan anarkis. SPD bersama-sama golongan sosialis Belgium, Parti Pekerja Perancis dan golongan demokrat sosial Switzerland, mengambil bahagian dalam kerja-kerja persiapan untuk kongres itu, dengan hasrat menubuhkan Internasional Sosialis yang baharu. Pada 2-12 Oktober 1881, Kongres Sosialis Antarabangsa diadakan di Chur, wilayah Graubünden yang terletak di bahagian timur Switzerland. Persidangan itu dihadiri oleh golongan sosialis yang kebanyakannya dipengaruhi oleh fahaman Marxis. Mereka yang hadir dalam Kongres Chur itu berpandangan bahawa masa belum cukup matang lagi untuk menubuhkan semula sebuah Internasional, dan pembentukan parti-parti peringkat kebangsaan yang kuat serta tersusun dengan baik adalah penting untuk penghidupan semula Internasional. Dalam beberapa tahun berikutnya, parti-parti pekerja atau parti-parti sosialis mula ditubuhkan dan berkembang pesat, seperti Parti Pekerja Itali (POI) yang ditubuhkan pada tahun 1882, Parti Buruh Belgium (POB-BWP) yang ditubuhkan pada tahun 1885 dan Parti Pekerja Demokratik Sosial Austria (SDAPÖ) yang ditubuhkan pada tahun 1889.

Dengan gerakan menuntut kerja 8 jam sehari semakin berkembang pada tahun 1880-an, golongan sosialis Perancis menganjurkan kongres pekerja antarabangsa pada tahun 1883 dan 1886 untuk menghimpunkan gerakan pekerja di Eropah demi memperjuangkan pembaharuan dalam piawaian buruh. Pada tahun 1889, Pameran Sedunia (Exposition Universelle) diadakan di Paris untuk menyambut ulang tahun ke-100 Revolusi Perancis. Acara antarabangsa itu mewujudkan peluang untuk menganjurkan sebuah kongres sosialis antarabangsa di Paris. Namun, oleh sebab perpecahan dalam gerakan sosialis Perancis, dua buah kongres sosialis antarabangsa diadakan di Paris pada masa yang sama.

Menara Eiffel dibina untuk menyambut Pameran Sedunia di Paris pada tahun 1889. (ilustrasi: Georges Garen)

Golongan Possibiliste di Perancis, yang dipimpin oleh Paul Brousse, bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) di Britain, untuk menganjurkan sebuah kongres sosialis antarabangsa; sementara golongan Marxis di Perancis, yang dipimpin oleh Jules Guesde, bekerjasama dengan golongan Marxis daripada SPD termasuk Wilhelm Liebknecht, untuk mengadakan kongres sosialis antarabangsa yang satu lagi.

Wilhelm Liebknecht dan golongan sosialis lain di luar Perancis mengharapkan sebuah kongres yang bersatu, tetapi kedua-dua kumpulan sosialis di Perancis berdegil untuk mengadakan kongres yang berasingan. Oleh itu, terdapat perwakilan yang berulang alik antara dua persidangan itu, sementara golongan anarkis yang tidak dijemput ke kedua-dua kongres itu pula cuba mengganggu perjalanan persidangan.

Kongres Sosialis Antarabangsa yang dianjurkan oleh golongan Marxis mula bersidang pada 14 Julai 1889, tepat pada hari menyambut ulang tahun ke-100 peristiwa Serbuan Bastille. Kongres itu boleh dianggap sebagai kongres penubuhan Internasional Kedua. Kongres yang dianjurkan oleh golongan Marxis itu dihadiri oleh hampir 400 orang perwakilan dari 20 buah negara. Ramai tokoh sosialis yang penting di Eropah hadir dalam kongres itu. Sebaliknya, kongres yang dianjurkan oleh golongan Possibiliste didominasi oleh perwakilan dari Perancis dan hanya beberapa orang tokoh yang terkenal hadir, seperti Henry Hyndman daripada Persekutuan Demokrasi Sosial (SDF) dari Britain.

William Morris (1834-1896)

Selain Jules Guesde dan Wilhelm Liebknecht, tokoh-tokoh sosialis terkenal yang hadir dalam kongres anjuran golongan Marxis itu termasuk Édouard Vaillant daripada Jawatankuasa Revolusioner Pusat (CRC) dari Perancis, Edward Anseele yang mewakili Parti Buruh Belgium, August Bebel daripada SPD dari Jerman, Victor Adler daripada SDAPÖ dari Austria, Pablo Iglesias yang mewakili Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE), Ferdinand Domela Nieuwenhuis daripada Liga Demokratik Sosial (SDB) dari Belanda, Leó Frankel yang mewakili Parti Pekerja Umum Hungary (Magyarországi Általános Munkáspárt, singkatan MÁMP), Cunninghame Graham yang merupakan Presiden Parti Buruh Scotland (SLP) di Britain, Keir Hardie yang mewakili Kesatuan Pelombong Ayrshire yang juga merupakan pengasas Parti Buruh Scotland, William Morris yang mewakili Liga Sosialis dari Britain, Eleanor Marx daripada Liga Sosialis dari Britain, Paul Lafargue yang mewakili Parti Pekerja Perancis (POF) dan Georgi Plekhanov (1856-1918) yang mewakili kumpulan Marxis “Pembebasan Buruh” (Освобождение труда) dari Rusia.

Kedua-dua kongres itu memulakan persidangan dengan perbincangan mengenai penyatuan dengan kongres yang satu lagi. Dalam kongres anjuran golongan Possibiliste, John Burns, pemimpin kesatuan sekerja yang mewakili Persekutuan Demokrasi Sosial (SDF), bersama-sama Amilcare Cipriani (1844-1918), seorang sosialis dari Itali yang pernah menyertai Komun Paris 1871, menyokong penyatuan tanpa syarat dengan kongres yang satu lagi, tetapi dibantah oleh Henry Hyndman, yang juga mewakili SDF, dan majoriti perwakilan dalam kongres anjuran golongan Possibiliste. Henry Hyndman mempersoalkan sama ada golongan Marxis itu betul-betul mewakili organisasi pekerja atau hanya diri mereka sendiri. Kongres anjuran golongan Possibiliste itu memutuskan bahawa mereka boleh bersatu dengan kongres yang satu lagi dengan syarat harus mengesahkan perwakilan Marxis itu mendapat mandat daripada organisasi-organisasi pekerja yang sebenar, dan perwakilan dari Itali dipertanggungjawabkan untuk berunding dengan kongres anjuran golongan Marxis.

Amilcare Cipriani (1843-1918)

Dalam kongres anjuran golongan Marxis pula, terdapat golongan yang menyokong untuk menerima apa-apa syarat yang dikemukakan oleh kongres yang satu lagi untuk bersatu, tetapi terdapat juga golongan yang menolak penyatuan dengan kongres yang satu lagi. William Morris dan anggota-anggota Liga Sosialis, yang mempunyai sejarah lama berkonflik dengan Henry Hyndman, mengatakan bahawa kongres anjuran golongan Possibiliste itu bukannya kongres sosialis dan internasionalis kerana ia mengecualikan perwakilan dari Jerman. Golongan Guesdiste dari Perancis juga membantah penyatuan dengan golongan Possibiliste. Wilhelm Liebknecht mencadangkan usul bahawa penyatuan hanya boleh diterima atas dasar tanpa syarat, dan usul itu diluluskan dengan undian majoriti besar. Dengan kongres anjuran golongan Possibiliste tegas dengan syarat pengesahan mandat, sementara golongan Marxis tidak bersetuju dengan penetapan syarat untuk penyatuan, maka rundingan perpaduan itu akhirnya menemui kegagalan.

Kongres anjuran golongan Possibiliste meluluskan resolusi-resolusi yang antaranya mengenai hak mengundi sejagat, perundangan buruh antarabangsa dan pendekatan untuk mewujudkan hubungan berkekalan antara organisasi sosialis dan kumpulan pekerja.

Kongres anjuran golongan Marxis juga meluluskan resolusi-resolusi mengenai perundangan buruh antarabangsa, seperti penetapan kerja 8 jam sehari, pengharaman buruh kanak-kanak di bawah umur 14 tahun, larangan kerja waktu malam, dan sebagainya. Kongres itu juga meluluskan resolusi yang menuntut penghapusan tentera tetap dan menggantikannya dengan “persenjataan rakyat secara umum”.

Raymond Lavigne (1851-1930), seorang pemimpin Parti Pekerja Perancis (POF) dan pengikut setia Jules Guesde, mencadangkan resolusi untuk mengadakan demonstrasi serentak di peringkat antarabangsa pada 1 Mei 1890, dengan tujuan mendesak kerajaan masing-masing supaya menetapkan peraturan kerja maksimum 8 jam sehari. Resolusi itu juga selaras dengan seruan Persekutuan Buruh Amerika (AFL) yang dibuat dalam kongresnya di St. Louis pada bulan Disember 1888. Dengan itu, 1 Mei setiap tahun disambut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa. Resolusi kongres Internasional Kedua mengenai aksi demonstrasi pada 1 Mei 1890 telah disambut baik oleh kesatuan-kesatuan buruh dan parti-parti pekerja di banyak negara, dengan aksi mogok dan mobilisasi massa diadakan pada hari itu, menandakan solidariti pekerja antarabangsa untuk merealisasikan kerja 8 jam sehari, penambahbaikan keadaan kerja dan sebagainya demi pembebasan pekerja.

Imej solidariti buruh yang menggambarkan pekerja-pekerja dari 5 buah benua yang berpenduduk (Afrika, Asia, Amerika, Australia dan Eropah) bersatu padu di bawah satu malaikat yang mewakili “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan” (slogan Revolusi Perancis). (ilustrasi: Walter Crane, 1889)

“Buat masa ini, tugas kami ialah mempertahankan bersama kamu perjuangan sosialisme antarabangsa, menyebarkan ajaran Demokrasi Sosial dalam kalangan pekerja-pekerja Rusia dengan segala cara dan memimpin mereka dalam menyerbu kubu kuat autokrasi,” kata Georgi Plekhanov, tokoh Marxis Rusia, dalam kongres sosialis anjuran golongan Marxis itu. “Gerakan revolusioner di Rusia akan berjaya hanya sebagai gerakan kelas pekerja atau jika tidak, ia tidak akan berjaya sama sekali.”

Kongres anjuran golongan Marxis pada 14-19 Julai 1889 itu bukan sahaja dihadiri oleh golongan Marxis, terdapat juga ramai perwakilan yang merupakan golongan Blanquiste, golongan anarkis dan golongan revolusioner bukan Marxis yang lain. Walau bagaimanapun, dengan dominasi golongan Marxis dalam kongres sosialis itu, ia menandakan kebangkitan Marxisme sebagai aliran ideologi yang berpengaruh dalam gerakan pekerja antarabangsa menjelang penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pertentangan antara golongan sosialis, termasuk golongan Marxis, dengan golongan anarkis masih sangat ketara pada tahun 1890-an selepas pembentukan Internasional Kedua. Golongan anarkis yang mendukung pendekatan “propaganda melalui tindakan” (propaganda of the deed) yang menganggap serangan keganasan sebagai cara untuk memangkinkan revolusi sosial, termasuk pembunuhan dan serangan bom, telah menarik perhatian masyarakat umum pada tahun 1890-an. Walaupun sesetengah golongan sosialis bersimpati dengan tindakan langsung yang dilakukan oleh golongan anarkis itu, parti-parti pekerja yang mendukung fahaman Marxis menganggap strategi propaganda melalui tindakan itu sebagai ancaman, kerana ia bukan sahaja mengundang penindasan kerajaan, malah juga mengalihkan tumpuan serta tenaga perjuangan kelas daripada mobilisasi massa pekerja dan tindakan politik yang terancang. Dalam erti kata lain, golongan Marxis menganggap strategi perjuangan anarkis itu membawa kesan yang bertentangan dengan revolusi sosial dan memudaratkan usaha pembebasan kelas pekerja.

Oleh itu, persoalan mengenai penyertaan golongan anarkis dalam Internasional Kedua telah menjadi tumpuan perbahasan dalam beberapa kongresnya yang terawal. Kongres Buruh Sosialis Antarabangsa yang diadakan di Brussel, Belgium, pada bulan Ogos 1891, merupakan kongres yang kedua bagi Internasional Kedua. Pihak penganjur hanya menjemput parti-parti pekerja dan organisasi-organisasi yang mengiktiraf keperluan untuk tindakan politik, dan mengecualikan golongan anarkis secara rasminya. Namun, golongan yang menyokong perjuangan anarkis masih hadir dalam kongres itu, termasuk Ferdinand Domela Nieuwenhuis dari Belanda. Domela Nieuwenhuis mencadangkan untuk mengadakan mogok umum sekiranya terdapat sebarang perisytiharan perang, tetapi kurang mendapat sambutan. Sebaliknya, resolusi yang dibawa oleh Édouard Vaillant dan Wilhelm Liebknecht untuk memberi penekanan kepada taktik politik berparlimen dan penglibatan parti sosialis dalam pilihan raya mendapat sokongan majoriti. Kongres Brussel juga meluluskan resolusi yang mengisytihar secara rasminya 1 Mei sebagai Hari Pekerja Antarabangsa.

“Kalungan Bunga untuk Hari Buruh 1895”. (ilustrasi: Walter Crane)

Dalam Kongres Pekerja Sosialis Antarabangsa yang diadakan di Zurich, Switzerland, pada bulan Ogos 1893, golongan anarkis dikecualikan sepenuhnya daripada menyertainya. Terdapat sekumpulan anarkis Jerman cuba menyertai kongres itu tetapi ditolak oleh majoriti perwakilan yang hadir pada masa itu. August Bebel menyampaikan ucapan yang mengecam golongan anarkis, dan sebuah usul diluluskan untuk mengehadkan penyertaan kongres itu kepada organisasi-organisasi yang menerima “tindakan politik” (iaitu menggunakan hak politik dan jentera perundangan untuk memajukan kepentingan kelas pekerja serta membolehkan kelas pekerja mengambil alih kuasa politik). Rosa Luxemburg, yang mewakili golongan sosialis Poland, juga ditolak penyertaannya dalam Kongres Zurich kerana bantahan daripada Parti Demokrat Sosial Poland Galicia. Friedrich Engels dipilih sebagai Presiden Kehormat bagi Kongres Zurich, dan dia menyampaikan ucapan penutup. Seramai 410 orang perwakilan dari 22 buah negara menghadiri Kongres Zurich.

Selain meluluskan usul yang menyingkirkan penyertaan golongan anarkis, Kongres Zurich juga meluluskan usul-usul seperti penganjuran kempen menuntut kerja 8 jam sehari, hak mengundi bagi wanita, sokongan kepada pekerja-pekerja lombong British yang bermogok, persoalan agraria dan keadaan golongan petani di seluruh Eropah, pembentukan kesatuan sekerja, dan sebagainya. Kongres Zurich memutuskan untuk menubuhkan Persekutuan Pekerja Logam Antarabangsa (International Metalworkers’ Federation, singkatan IMF), sebuah persekutuan kesatuan sekerja yang menyatukan semua pekerja dalam sektor kerja logam di seluruh dunia sehingga hari ini.

Antara mereka yang menghadiri Kongres Ketiga Internasional Kedua yang diadakan di Zurich, Switzerland, pada tahun 1893. Dari kiri ke kanan: Simon Ferdinand (menantu August Bebel), Frieda Simon (anak August Bebel), Clara Zetkin, Friedrich Engels, Julie Bebel (isteri August Bebel), August Bebel, Ernst Satter, Regina Bernstein (isteri Eduard Bernstein) dan Eduard Bernstein.

Kongres Pekerja Sosialis dan Kesatuan Sekerja Antarabangsa yang diadakan dari 26 Julai hingga 1 Ogos 1896, di London, merupakan kongres keempat bagi Internasional Kedua. Sekali lagi, golongan anarkis yang cuba menyertai kongres itu dinafikan status perwakilan mereka, dan mereka cuba mengganggu perjalanan persidangan di luar dewan persidangan. Selepas perbahasan yang berpanjangan, Kongres London memutuskan untuk menegakkan resolusi yang sudah dibuat dalam Kongres Zurich mengenai kriteria mendukung tindakan politik itu, maka menyingkirkan sepenuhnya penyertaan golongan anarkis daripada Internasional Kedua.

Terdapat lebih ramai perwakilan dari lebih banyak negara hadir dalam Kongres London, tetapi satu-satunya negara di luar Eropah yang mempunyai perwakilan ialah Amerika Syarikat. Sejumlah 782 orang perwakilan hadir dalam Kongres London, dengan Britain sebagai tuan rumah yang mempunyai 475 orang perwakilan. Ramai perwakilan dari Britain merupakan anggota Persatuan Fabian, menandakan permulaan kecenderungan Internasional Kedua ke arah reformis pada tahun-tahun kemudiannya.

Persoalan mengenai kolonialisme dan perjuangan bangsa-bangsa tertindas untuk menentukan nasib sendiri telah dibincangkan secara meluas dalam Kongres London. Kebanyakan kepimpinan dalam Internasional Kedua cenderung kepada pendirian Marxis tradisional yang menyokong sebarang revolusi progresif, walaupun ia merupakan revolusi borjuis. Resolusi-resolusi telah diluluskan untuk menyatakan sokongan Internasional Kedua kepada perjuangan kemerdekaan di Kuba, Makedonia dan Armenia. Selain itu, Kongres London juga meluluskan resolusi-resolusi mengenai persoalan perindustrian, persoalan agraria, tindakan politik, pendidikan untuk meningkatkan kesedaran kelas, pendirian kelas pekerja terhadap faham ketenteraan dan pengorganisasian demokrasi sosial yang selanjutnya.

Vladimir Lenin (1870-1924)

Kongres Sosialis Antarabangsa yang kelima diadakan di Paris pada 23-27 September 1900. Terdapat peningkatan dalam jumlah perwakilan dari negara-negara Eropah Timur seperti Poland dan Rusia, mencerminkan pertumbuhan gerakan sosialis revolusioner di negara-negara yang kurang maju. Vladimir Lenin (1870-1924) hadir ke kongres Internasional Kedua buat pertama kali sebagai wakil dari Rusia. Parti Buruh Demokratik Sosial Rusia yang baharu ditubuhkan pada masa itu dan menyertai kongres Internasional Kedua itu mengalami perpecahan tidak lama kemudian kerana perbezaan pandangan tentang pelbagai isu berkaitan dengan strategi perjuangan revolusioner di Empayar Rusia. Dua kumpulan yang utama yang terbentuk daripada perpecahan itu ialah Menshevik yang dipimpin oleh Julius Martov (1873-1923) dan Bolshevik yang dipimpin oleh Vladimir Lenin.

Kongres Paris memutuskan untuk menubuhkan Biro Sosialis Antarabangsa sebagai organisasi tetap bagi Internasional Kedua, yang akan bersidang secara berkala antara kongres. Sebuah sekretariat tetap bagi Biro Sosialis Antarabangsa juga ditubuhkan dan berpangkalan di Brussel. Dengan adanya sebuah badan tetap yang menyelaraskan aktiviti gerakan sosialis antarabangsa, ataupun sekurang-kurangnya di Eropah, nama untuk kongres antarabangsa yang diadakan setiap 2-4 tahun itu juga diseragamkan sebagai Kongres Sosialis Antarabangsa.  

(ilustrasi: Walter Crane, 1894)

Walaupun tiada lagi “gangguan” daripada golongan anarkis sejak Kongres London pada tahun 1896, Internasional Kedua bukannya sebuah organisasi antarabangsa yang disertai oleh sebuah aliran sosialis sahaja. Oleh itu, wujudnya perbahasan yang hangat mengenai pelbagai persoalan yang dihadapi oleh gerakan sosialis pada masa itu, terutamanya dalam persoalan tentang strategi perjuangan untuk memajukan usaha pembebasan kelas pekerja.

Menjelang penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, dengan hak mengundi diperluaskan kepada golongan pekerja, hasil daripada perjuangan gerakan pekerja itu sendiri, semakin ramai wakil rakyat sosialis dipilih ke dalam parlimen yang didominasi oleh perwakilan kelas borjuis. Perkembangan itu menyumbang kepada pertumbuhan pesat pemikiran reformis dalam gerakan sosialis Marxis. Sehingga penghujung abad ke-19, golongan sosialis yang berpegang pada doktrin Marxisme sentiasa menegakkan kepentingan perjuangan kelas dan revolusi sosial untuk mewujudkan sosialisme daripada penumpasan kapitalisme. Golongan reformis pula secara amnya percaya bahawa peralihan ke arah masyarakat sosialis boleh dicapai secara beransur-ansur melalui pembaharuan terhadap sistem kapitalis yang sedia ada apabila golongan sosialis mengambil alih kuasa politik dengan menyertai pilihan raya demokratik borjuis.

Die Neue Zeit yang diterbitkan pada tahun 1901.

Eduard Bernstein merupakan salah seorang tokoh pemikir dalam Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) yang mengemukakan kritikan tajam terhadap Marxisme, dan mencabar sosialisme revolusioner dengan sosialisme evolusioner, dalam siri rencana yang diterbitkan dalam jurnal teori parti SPD, Die Neue Zeit. Eduard Bernstein berhujah bahawa kebanyakan ramalan Marx telah terbukti salah pada masa itu, kerana kapitalisme nampaknya tidak berada di ambang keruntuhan, golongan kelas menengah tidak hilang, dan kelas pekerja juga tidak tenggelam dalam kesengsaraan yang semakin teruk. Eduard Bernstein menolak pandangan bahawa kapitalisme pasti akan runtuh melalui krisis ekonomi yang semakin teruk. Dia berhujah bahawa pembangunan sistem kredit, kartel dan pasaran dunia yang lebih teratur telah menjadikan kapitalisme itu lebih jinak, lebih fleksibel dan boleh diubah suai, maka kontradiksi-kontradiksi dalam kapitalisme tidak akan menjadi lebih tajam dan krisis ekonomi yang teruk semakin kurang berkemungkinan. Menurut Eduard Bernstein, memandangkan kapitalisme tidak akan runtuh, dan demokrasi sedang dikembangkan, maka jalan menuju sosialisme bukannya revolusi, tetapi reformasi secara beransur-ansur, aman dan berparlimen. Oleh itu, Bernstein mencadangkan kepada SPD untuk membuang dogma revolusi radikal, dan menjadikannya sebuah parti reformis demokratik sosial. “Bagi saya, apa yang secara umum dipanggil matlamat akhir sosialisme itu tidak bermakna apa-apa, tetapi gerakan ialah segala-galanya,” kata Eduard Bernstein.

Idea-idea reformis yang dikemukakan oleh Eduard Bernstein mendapat tentangan hebat daripada golongan Marxis ortodoks dalam SPD, terutamanya Karl Kautsky, yang merupakan ahli teori utama dalam SPD pada masa itu. Karl Kautsky mengecam pandangan revisionis Bernstein yang membuang unsur-unsur penting doktrin Marxis mengenai perjuangan kelas dan revolusi yang tidak dapat dielakkan. Karl Kautsky berpandangan bahawa walaupun kapitalisme tidak runtuh secara mekanikal, kontradiksi-kontradiksinya semakin tajam, terutamanya dengan kemunculan dominasi modal kewangan dan kartel, yang boleh meningkatkan penderitaan masyarakat. Kautsky berhujah bahawa walaupun keadaan material pekerja sudah bertambah baik, bahagian kekayaan negara yang diperoleh mereka telah merosot dan serangan politik oleh kelas pemerintah sudah pasti akan meningkatkan pertentangan kelas, maka perjuangan kelas tetap berterusan. Karl Kautsky juga berpandangan bahawa pendekatan reformis yang dicadangkan oleh Bernstein itu merampas perspektif yang revolusioner daripada kelas pekerja, maka melemahkan gerakan sosialis. Walaupun Kautsky tidak menolak jalan berparlimen dan reformasi, dia menegaskan bahawa perjuangan berparlimen dan reformasi itu harus berkhidmat kepada matlamat akhir untuk menjatuhkan kapitalisme. Pendirian Karl Kautsky mendapat sokongan daripada August Bebel dan kepimpinan parti yang lain dalam SPD yang hendak mengekalkan identiti revolusioner parti itu.

Muka surat hadapan risalah “Pembaharuan Sosial atau Revolusi?” yang ditulis oleh Rosa Luxemburg.

Rosa Luxemburg juga mengambil bahagian dalam perbahasan tentang reformisme dan revolusi, dengan menulis risalah pada tahun 1899 yang berjudul “Pembaharuan Sosial atau Revolusi?” (Sozialreform oder Revolution?). Dalam tulisan yang membidas pandangan Bernstein itu, Rosa Luxemburg berhujah bahawa sistem kredit bukan sahaja jauh daripada mengelakkan krisis kapitalis, sebaliknya memperdalamkan krisis itu. Rosa Luxemburg menyimpulkan bahawa Eduard Bernstein bukannya sekadar berhujah untuk cara yang lebih realistik dalam mencapai sosialisme, tetapi dia telah menolak prospek untuk mencapai sosialisme.

“Itulah sebabnya orang yang menyatakan diri mereka menyokong kaedah pembaharuan perundangan sebagai pengganti kepada penaklukan kuasa politik dan revolusi sosial, sebenarnya tidak memilih jalan yang lebih tenang, lebih damai dan lebih perlahan untuk menuju matlamat yang sama, tetapi memilih matlamat yang berbeza. Daripada mengambil pendirian untuk menubuhkan sebuah masyarakat yang baharu, mereka mengambil pendirian untuk mengubah suai permukaan masyarakat lama. Jika kita mengikuti fahaman politik revisionisme, kita akan mendapat kesimpulan yang sama seperti yang dicapai apabila kita mengikuti teori ekonomi revisionisme. Program kita menjadi bukan lagi merealisasikan sosialisme, tetapi pembaharuan kapitalisme; bukan lagi penghapusan sistem buruh upah tetapi hanya pengurangan eksploitasi, iaitu penghapusan penyalahgunaan kapitalisme dan bukannya penghapusan kapitalisme itu sendiri,” ulas Rosa Luxemburg. Namun, Rosa Luxemburg tidak menafikan kepentingan perjuangan untuk pembaharuan, malah dia mengatakan perjuangan itu adalah teras kepada perjuangan sosialis. Rosa Luxemburg menulis, “Demokrasi adalah amat diperlukan, bukan kerana ia menjadikan penaklukan kuasa politik oleh proletariat itu tidak diperlukan lagi, tetapi kerana ia menjadikan penaklukan kuasa ini adalah kedua-duanya diperlukan dan bermungkinan.”

Dalam Kongres Sosialis Antarabangsa yang Kelima di Paris pada tahun 1900, persoalan mengenai reformisme dan revolusi telah menjadi salah satu tumpuan perbahasan, lebih-lebih lagi dengan penyertaan Alexandre Millerand dalam kerajaan Perancis yang turut dianggotai oleh orang yang menindas Komun Paris. Jules Guesde cuba membawa resolusi yang mengecam tindakan Alexandre Millerand yang menyertai kerajaan borjuis. Namun, Karl Kautsky mencadangkan resolusi yang cuba berkompromi dengan realiti dan ia diluluskan. Resolusi itu menyatakan bahawa penyertaan sosialis dalam kerajaan borjuis bukannya sesuatu yang normal tetapi sekadar langkah peralihan dan kecemasan yang luar biasa. Oleh itu, tindakan Alexandre Millerand yang menyertai kerajaan borjuis itu bukannya persoalan prinsip tetapi sekadar taktik sementara jika ia mempunyai mandat daripada partinya. Namun, isu penyertaan dalam kerajaan borjuis oleh Alexandre Millerand telah memecahkan gerakan sosialis di Perancis, dan membawa kepada pembentukan dua buah parti sosialis: PSF yang reformis dan PSdF yang revolusioner.

Perwakilan yang menghadiri Kongres Sosialis Antarabangsa Keenam di Amsterdam pada tahun 1904.

Perbahasan mengenai reformisme dan revolusi memuncak dalam Kongres Sosialis Antarabangsa Keenam yang diadakan di Amsterdam, Belanda, pada bulan Ogos 1904. Pada masa itu, SPD telah meluluskan resolusi dalam kongresnya di Dresden pada tahun 1903 yang mengecam revisionisme dan segala cubaan menyembunyikan konflik kelas yang sedia wujud untuk bekerjasama dengan parti-parti borjuis.

Semasa mempertahankan strategi reformis yang diambil oleh PSF, Jean Jaurès berhujah bahawa walaupun SPD mempunyai sokongan berjuta-juta orang pengundi (3 juta undi dalam Pilihan Raya Reichstag pada tahun 1903), ia gagal menggunakan kuasa politik yang sebenar dalam sistem autokratik Empayar Jerman oleh sebab doktrin revolusioner SPD yang terlalu kaku; sebaliknya golongan sosialis di Perancis boleh bersekutu dengan golongan demokrat borjuis untuk mempertahankan kebebasan sivil dan menggerakkan kemajuan sosial.

August Bebel daripada SPD menegaskan pendirian Marxis ortodoks bahawa gerakan kelas pekerja tidak boleh bekerjasama dengan musuh kelas mereka. August Bebel berhujah bahawa republik hanyalah “negara kelas” seperti negara di bawah pemerintahan monarki, dan satu-satunya tugas golongan sosialis ialah mempersiapkan kelas pekerja untuk mengambil alih kuasa pada masa akan datang. Kongres Amsterdam meluluskan resolusi yang dibawa oleh SPD.

Sesi persidangan dalam Kongres Sosialis Antarabangsa Keenam di Amsterdam pada tahun 1904, dengan sepanduk besar dalam bahasa Belanda yang tertulis “Golongan proletar sedunia, bersatulah!”.

Walau bagaimanapun, Kongres Amsterdam pada tahun 1904 meluluskan resolusi yang menyeru golongan sosialis Perancis untuk bersatu. Hasil daripada tekanan Biro Sosialis Antarabangsa, dua buah parti sosialis di Perancis itu bergabung pada tahun 1905 untuk membentuk Seksyen Perancis bagi Internasional Pekerja (SFIO) yang berasaskan prinsip-prinsip Marxis ortodoks yang dibawa oleh SPD.

Selain itu, Internasional Kedua juga berhadapan dengan persoalan mengenai nasionalisme, kolonialisme dan ancaman perang imperialis. Dalam Kongres Sosialis Antarabangsa Ketujuh yang diadakan di  Stuttgart, Jerman, pada bulan Ogos 1907, kolonialisme menjadi salah satu topik utama yang dibincangkan. Terdapat sekumpulan minoriti, yang terdiri daripada golongan reformis dari Britain, Belanda dan Jerman, seperti Henri van Kol (1852-1925) daripada SDAP Belanda dan Eduard David (1863-1930) daripada SPD Jerman, berhujah bahawa tanah jajahan merupakan realiti yang tidak boleh diubah, malah masyarakat orang asal di tanah jajahan boleh “dididik” dan “ditamadunkan” dalam proses penjajahan; maka golongan sosialis harus membangunkan “dasar kolonial sosialis” untuk mendorong pembaharuan dan melindungi kesejahteraan penduduk-penduduk masyarakat orang asal di tanah jajahan, bukannya hanya menuntut penghapusan semua kolonialisme. Pendirian yang pro-imperialis dan pro-kolonialis itu ditentang oleh golongan Marxis ortodoks yang masih merupakan majoriti dalam Internasional Kedua, termasuk Karl Kautsky. Oleh itu, Kongres Stuttgart menolak usul mengenai “dasar kolonial sosialis”, dan meluluskan resolusi yang mengecam kolonialisme sebagai sebahagian yang kekal dalam sistem eksploitasi kapitalis. Kongres Stuttgart juga menolak usul yang hendak melarang imigrasi pekerja-pekerja dari negara-negara mundur, seperti China, ke Eropah.

Rosa Luxemburg berucap dalam satu perhimpunan semasa Kongres Sosialis Antarabangsa di Stuttgart pada tahun 1907.

Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa yang Pertama juga diadakan serentak dengan Kongres Stuttgart, di dalam bangunan yang sama. Kongres Stuttgart menyokong tuntutan yang dikemukakan dalam Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa mengenai hak mengundi sejagat untuk wanita.

Perjuangan menentang faham ketenteraan dan peperangan juga menjadi tumpuan Internasional Kedua. Dalam Kongres Amsterdam pada tahun 1904, yang diadakan pada ketika tercetusnya Perang Rusia-Jepun, pembukaannya menampilkan salam berjabat tangan secara simbolik antara Georgi Plekhanov dari Rusia dan Sen Katayama (1859-1933) dari Jepun, melambangkan ketekadan golongan sosialis dalam usaha menentang perang imperialis. Sen Katayama pernah menubuhkan Parti Demokratik Sosial, parti sosialis yang pertama di Jepun, pada tahun 1901, tetapi parti itu terus diharamkan oleh kerajaan Jepun sehari kemudian.

Perwakilan yang menghadiri Kongres Sosialis Antarabangsa Ketujuh di Stuttgart pada tahun 1907.

Sejak tahun 1905, Kongres Sosialis Antarabangsa telah dipenuhi dengan perbahasan tentang bagaimana melaksanakan prinsip-prinsip anti-perang. Dalam Kongres Stuttgart pada tahun 1907, terdapat 4 pendirian tentang bagaimana menentang peperangan:

  • Jules Guesde dan golongan Marxis di Perancis berpandangan bahawa tidak perlu mengambil tindakan yang khusus, kerana proses perjuangan kelas itu sendiri akan menghapuskan perang pada akhirnya.
  • Gustave Hervé (1871-1944), yang mewakili golongan paling radikal dalam SFIO dari Perancis, mendukung aksi mogok dalam kalangan anggota tentera dan pemberontakan sebagai respons terhadap sebarang peperangan.
  • August Bebel dan kepimpinan SPD dari Jerman mendukung usaha memberi tekanan dalam parlimen dan menegaskan seruan untuk menggantikan tentera tetap dengan militia rakyat kebangsaan.
  • Jean Jaurès dan Édouard Vaillant mencadangkan dasar yang lebih aktif, termasuk menggunakan mogok massa untuk menentang peperangan.

Resolusi yang diluluskan dalam Kongres Stuttgart 1907, dengan pindaan pada saat-saat akhir oleh Rosa Luxemburg dan Vladimir Lenin, mengisytihar bahawa sekiranya perang tercetus, adalah tanggungjawab golongan sosialis untuk mencampur tangan supaya menamatkannya secepat mungkin, dan berusaha dengan segala kekuatan mereka untuk membangkitkan rakyat dengan menggunakan krisis ekonomi dan krisis politik yang diwujudkan oleh perang itu, dan dengan itu mempercepatkan penumpasan pemerintahan kelas kapitalis. Resolusi itu menjadi pernyataan asas bagi pendirian golongan kiri radikal mengenai perang.

Kongres Sosialis Antarabangsa Kelapan di Copenhagen pada tahun 1910.

Kongres Sosialis Antarabangsa Kelapan diadakan di Copenhagen, Denmark, pada bulan Ogos 1910. Dalam Persidangan Wanita Sosialis yang Kedua yang diadakan sebelum pembukaan Kongres Copenhagen, perwakilan dari Jerman, termasuk Clara Zetkin (1857-1933), Paula Thiede (1870-1919), Käte Duncker (1871-1953), mencadangkan untuk meraikan sambutan “Hari Wanita Pekerja” setiap tahun. Cadangan itu mendapat inspirasi daripada sambutan Hari Wanita yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Amerika (SPA) pada tahun 1909 dan 1910. Cadangan yang diluluskan oleh Persidangan Wanita Sosialis Kedua itu disambut dengan aksi demonstrasi menyambut Hari Wanita Antarabangsa di seluruh Eropah pada tahun 1911, dan kemudiannya 8 Mac setiap tahun diraikan sebagai Hari Wanita Antarabangsa.

Dalam Kongres Copenhagen pada tahun 1910, isu peperangan menjadi tumpuan sekali lagi kerana persaingan senjata tentera laut antara Britain dan Jerman yang semakin hebat pada masa itu. Keir Hardie yang daripada Parti Buruh di Britain dan Édouard Vaillant daripada SFIO di Perancis mencadangkan resolusi untuk memanggil mogok umum, terutamanya dalam sektor industri pembekalan senjata, sebagai cara yang paling berkesan untuk mencegah peperangan. Selepas perbahasan yang tidak dapat mencapai keputusan muktamad, perkara itu dirujuk kepada Biro Sosialis Antarabangsa untuk kajian selanjutnya dengan harapan ia akan dimuktamadkan dalam Kongres Sosialis Antarabangsa seterusnya yang dirancang untuk diadakan di Vienna, Austria, pada tahun 1914. Namun, gerakan sosialis yang bergabung dalam Internasional Kedua mengalami perpecahan yang hebat menjelang tahun 1914 apabila tercetusnya Perang Dunia I (1914-1918).

Lakaran yang menggambarkan peristiwa pembunuhan Jean Jaurès. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Jean Jaurès dibunuh di Paris pada 31 Julai 1914 oleh seorang nasionalis yang fanatik. Kematian Jean Jaurès, sebagai seorang pemimpin anti-perang yang paling berkarisma, memberi pukulan hebat kepada gerakan sosialis di Perancis dan Internasional Kedua. Atas nama patriotisme, sebahagian besar pemimpin SFIO, termasuk Édouard Vaillant yang berpendirian anti-perang sebelum itu, menyokong Union Sacrée (Kesatuan Suci), iaitu perdamaian politik di Republik Perancis Ketiga di mana golongan kiri bersetuju untuk tidak menentang kerajaan atau tidak menganjurkan sebarang mogok pekerja semasa Perang Dunia I. Di Jerman, kumpulan parlimen SPD, yang merupakan parti terbesar dalam Reichstag pada masa itu, mengundi sebulat suara untuk menyokong kredit perang. Kepimpinan sosialis di Austria, Belgium dan Britain juga menyokong kerajaan masing-masing dalam Perang Dunia I. Dengan itu, terkuburnya semangat internasionalisme yang diangkat oleh Internasional Kedua, dan menandakan pengakhiran hayat persekutuan sosialis antarabangsa itu.

Golongan sosialis yang anti-perang mengadakan persidangan di Zimmerwald, Switzerland, pada 5-8 September 1915. Persidangan Zimmerwald mengemukakan manifesto yang mengecam perang, menyalahkan kerajaan-kerajaan kapitalis yang reaksioner dan menyeru perpaduan kelas serta keamanan tanpa pengilhakan wilayah atau pampasan perang. Persidangan Zimmerwald disusuli dengan dua lagi persidangan, di Kienthal, Switzerland, pada tahun 1916 dan di Stockholm, Sweden pada tahun 1917. Mereka yang menyokong siri persidangan sosialis anti-perang itu dikenali sebagai Gerakan Zimmerwald, yang menandakan permulaan perpecahan antara golongan sosialis revolusioner dan golongan sosialis reformis.  

Vladimir Lenin, salah seorang tokoh sosialis revolusioner, tidak bersetuju dengan keputusan majoriti dalam Persidangan Zimmerwald yang mengangkat keamanan sebagai matlamat yang paling utama. Sebaliknya, Lenin menggesa untuk mengubah pertempuran di medan perang itu kepada revolusi sosialis, dan meletakkan asas bagi sebuah Internasional yang baharu. Saranan Lenin itu kemudiannya direalisasikan dalam Revolusi Oktober di Rusia pada tahun 1917 dan pembentukan Internasional Komunis pada tahun 1919.

Selepas tamatnya Perang Dunia I, cubaan untuk menghidupkan semula Internasional Kedua dalam persidangan di Bern, Switzerland, pada bulan Februari 1919, menemui kegagalan kerana banyak parti sosialis enggan menyertai semula sebuah organisasi antarabangsa yang sudah kehilangan kewibawaannya. Internasional Kedua digantikan oleh Internasional Buruh dan Sosialis (1923-1940), yang ditubuhkan hasil daripada penggabungan Internasional Berne dan Kesatuan Kerja Parti Sosialis Antarabangsa (1921-1923), dan Internasional Komunis (1919-1943). Internasional Sosialis (Socialist International, singkatan SI) yang ditubuhkan pada tahun 1951 untuk menggabungkan parti-parti kiri reformis boleh dianggap sebagai penyambung warisan Internasional Buruh dan Sosialis.

Seorang pekerja kereta api di stesen Marano, Venezia, Itali, menyelamatkan seorang rakan sekerja yang jatuh di atas landasan kereta api. (ilustrasi: Achille Beltrame)

Koperasi pekerja

Selain kesatuan buruh yang berfungsi sebagai badan yang mempertahankan hak sosial serta hak ekonomi pekerja, dan parti pekerja yang berfungsi sebagai badan yang memperjuangkan kepentingan kelas pekerja secara politik, terdapat satu lagi teras yang penting dalam gerakan pekerja, iaitu koperasi pekerja. Koperasi boleh menggantikan pemilikan persendirian kapitalis terhadap sumber pengeluaran dan ekonomi, maka menawarkan alternatif model ekonomi yang melangkaui kapitalisme.

Koperasi ialah penggabungan sekumpulan orang secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi bersama anggota-anggotanya dari aspek ekonomi, sosial dan budaya, melalui sebuah perusahaan yang dimiliki secara bersama dan dikawal secara demokratik. Koperasi boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti koperasi pengguna, koperasi pengeluar dan koperasi pekerja.

Koperasi pengguna ialah perusahaan yang dimiliki dan diuruskan oleh pengguna-pengguna yang menggunakan barangan atau perkhidmatan yang dibekalkan oleh koperasi itu; koperasi pengeluar, seperti koperasi petani, ialah perusahaan yang mana pengeluar-pengeluar mengumpulkan hasil pengeluaran mereka untuk manfaat bersama anggota-anggota koperasi; koperasi pekerja pula merupakan perusahaan yang dimiliki dan diuruskan oleh pekerja-pekerja yang bekerja dalam perusahaan itu.

Pada tahun 1761, 16 orang penenun di kampung Fenwick, daerah Ayrshire Timur, Scotland, menubuhkan Persatuan Penenun Fenwick (Fenwick Weavers’ Society). Pada masa itu, perusahaan tekstil sudah mula mengalami mekanisasi dan golongan penenun dipaksa untuk menerima upah pada kadar yang lebih rendah. Penenun-penenun di Fenwick menubuhkan persatuan itu dengan tujuan membantu sesama diri mereka dan merundingkan harga upah yang lebih adil bagi kerja mereka. Mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri, termasuk bersikap jujur sesama sendiri, melakukan kerja secara tekun dan menetapkan harga yang adil. Pada tahun 1769, Persatuan Penenun Fenwick memperluaskan skopnya untuk memberi manfaat kepada komuniti di sekitarnya. Anggota-anggotanya bersetuju untuk menggunakan dana yang dikumpulkan oleh persatuan itu untuk membeli makanan secara pukal, kemudiannya menjual secara runcit kepada anggota-anggota persatuan dan mereka yang bukan anggota persatuan pada harga diskaun, dengan keuntungannya dibahagikan secara sama rata dalam kalangan anggota persatuan. Dengan itu, Persatuan Penenun Fenwick boleh dianggap sebagai koperasi pengguna yang terawal dalam rekod sejarah.

Robert Owen, seorang sosialis utopia yang berasal dari Wales dan juga merupakan seorang pemilik kilang tekstil, boleh dianggap sebagai perintis gerakan koperasi. Robert Owen sentiasa cuba memperbaiki keadaan kerja di dalam kilangnya dan mendukung pembinaan komuniti sosialis yang eksperimental. Pada tahun 1810, Robert Owen mula mengaplikasikan idea-idea sosialis utopia di kilang tekstil miliknya di New Lanark, Scotland. Dia membuka kedai koperasi yang pertama di situ. Didorong oleh kejayaan di New Lanark, Robert Owen membangunkan idea untuk menubuhkan perkampungan koperasi, di mana pekerja-pekerja dapat membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dengan menanam makanan mereka sendiri, membuat pakaian mereka sendiri dan mentadbir urus komuniti mereka sendiri. Robert Owen cuba menubuhkan komuniti sosialis utopia di New Harmony, negeri Indiana, Amerika Syarikat, pada tahun 1820-an, tetapi menemui kegagalan.

Golongan pengikut Owen yang tidak mengambil bahagian dalam pembinaan komuniti utopia itu, biasanya bergiat aktif dalam tiga institusi yang bertindih, iaitu kedai koperasi, pusat pertukaran buruh dan kesatuan sekerja. Pusat pertukaran buruh atau bursa buruh (labour exchange) yang dibangunkan oleh Robert Owen merupakan sejenis sistem ekonomi koperatif yang cuba menghapuskan motif keuntungan kapitalis dengan membolehkan pekerja-pekerja menukar barangan secara langsung berasaskan jumlah masa buruh yang diperlukan untuk mengeluarkannya. Pusat Pertukaran Buruh Kesaksamaan Kebangsaan (National Equitable Labour Exchange), yang diasaskan oleh Robert Owen pada tahun 1832, memperkenalkan sejenis mata wang khas yang berasaskan masa kerja, “Nota Buruh” (Labour Notes) yang serupa dengan wang kertas bank, untuk diberikan kepada pekerja-pekerja berasaskan masa kerja mereka dan ia boleh digunakan untuk “membeli” barangan lain di pusat pertukaran itu yang dinilai mengikut piawaian masa kerja yang sama. Idea Robert Owen mengenai pertukaran buruh itu terus memberi inspirasi kepada usaha mewujudkan model ekonomi alternatif yang serupa.

“Nota Buruh” yang dikeluarkan oleh Pusat Pertukaran Buruh Kesaksamaan Kebangsaan.

Pada tahun 1827, William King (1786-1865), seorang doktor yang dipengaruhi oleh idea-idea Robert Owen, membuka sebuah kedai koperasi di Brighton, daerah Sussex Timur, England. Pada tahun 1828, William King mengasaskan akhbar The Co-operator untuk menyebarkan idea-idea tentang koperasi. Walaupun penerbitan The Co-operator hanya berterusan selama dua tahun, pengedarannya yang agak luas di Britain telah membantu dalam mendidik dan menyatukan mereka yang hendak melibatkan diri dalam gerakan koperasi.

Pada tahun 1844, untuk menghadapi mekanisasi dalam pengeluaran yang mengakibatkan semakin ramai tukang mahir menjadi miskin, sekumpulan tukang di Rochdale, daerah Manchester Raya, wilayah England Barat Laut, menubuhkan Persatuan Perintis Saksama Rochdale (Rochdale Society of Equitable Pioneers) untuk membuka kedai milik bersama yang menjual barangan makanan pada harga yang mampu dibeli oleh mereka sendiri. Persatuan Perintis Saksama Rochdale menggariskan Prinsip Rochdale, yang kemudiannya dibangunkan kepada prinsip asas koperasi di seluruh dunia.

13 orang pengasas Persatuan Perintis Saksama Rochdale yang masih hidup pada tahun 1865.

Prinsip Rochdale merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Keanggotaan secara sukarela dan terbuka: Koperasi merupakan organisasi sukarelawan, terbuka kepada semua orang yang menggunakan perkhidmatannya dan sudi memikul tanggungjawab sebagai seorang anggota koperasi, tanpa mengira gender, kaum, status sosial, pegangan politik atau kepercayaan agama.
  • Kawalan demokratik oleh anggota: Koperasi merupakan organisasi yang dikawal oleh anggota-anggotanya secara demokratik. Anggota-anggota koperasi mengambil bahagian secara aktif dalam menentukan dasar dan membuat keputusan. Mereka yang dipilih sebagai perwakilan atau badan pengurusan bertanggungjawab sepenuhnya kepada anggota-anggota. Anggota-anggota koperasi di peringkat asas seharusnya mempunyai hak mengundi yang sama rata, iaitu “seorang ahli, satu undi”. Peringkat-peringkat lain dalam koperasi juga harus disusun secara demokratik.
  • Penglibatan ekonomi oleh anggota: Anggota-anggota koperasi menyumbang secara saksama dan mengawal secara demokratik modal koperasi mereka. Keuntungan yang diperoleh harus diagihkan secara saksama, atau digunakan untuk pembangunan koperasi dan menyokong aktiviti-aktiviti yang dipersetujui oleh anggota-anggota.
  • Autonomi dan kebebasan: Koperasi ialah organisasi bantuan diri yang berautonomi. Jika koperasi itu membuat perjanjian dengan organisasi lain, termasuk kerajaan, atau mengumpulkan modal daripada sumber luar, ia harus dilakukan dengan syarat menjamin kawalan demokratik oleh anggota-anggotanya dan mengekalkan autonominya.
  • Pendidikan, latihan dan maklumat: Koperasi memberi pendidikan dan latihan kepada anggota-anggotanya, supaya mereka boleh menyumbang secara berkesan kepada pembangunan koperasi. Koperasi harus memaklumkan kepada masyarakat umum tentang kepentingan dan manfaat koperasi.
  • Kerjasama antara koperasi: Koperasi patut memperkuatkan gerakan koperasi dengan bekerjasama melalui struktur-struktur tempatan, nasional, serantau dan antarabangsa.
  • Prihatin terhadap komuniti: Koperasi harus berusaha untuk memastikan pembangunan mampan dalam komuniti melalui dasar-dasar yang diluluskan oleh ahli-ahlinya.

Golongan mutualis, seperti Pierre-Joseph Proudhon, mempunyai visi untuk sebuah masyarakat koperatif yang berfungsi melalui pertukaran yang adil dan tanpa sebarang kekuasaan politik. Golongan mutualis menganggap koperasi pekerja dan persatuan buruh sukarela sebagai alternatif kepada ekonomi kapitalis yang eksploitatif dan kawalan negara terhadap ekonomi. Bagi golongan mutualis, koperasi membolehkan pekerja-pekerja menguruskan sumber-sumber pengeluaran secara kolektif sambil berurusan dalam pasaran yang bebas dan adil.

Koperasi yang diorganisasi dan dikendalikan dengan baik bukan sahaja dapat memanfaatkan anggota-anggotanya, malah boleh menjadi contoh yang mencabar ideologi dan logik kapitalis. Koperasi pekerja, sama ada sebuah kedai, kilang atau ladang, yang dikuasai oleh pekerja, diuruskan oleh pekerja dan hasilnya dikongsikan secara saksama dalam kalangan pekerja yang mengusahakannya, membuktikan bahawa ekonomi boleh berfungsi tanpa kapitalis. Koperasi pekerja boleh mewujudkan ruang untuk membangunkan demokrasi ekonomi, di mana proses pengeluaran dan pengagihan itu adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan masyarakat, bukannya keuntungan syarikat korporat. Koperasi pekerja yang mengamalkan demokrasi ekonomi boleh melangkaui logik kapitalis yang berasaskan eksploitasi buruh dan pemaksimuman keuntungan.  

Koperasi pekerja menyingkirkan kapitalis daripada proses pengeluaran dan pengagihan. Dengan itu, golongan pekerja yang memiliki secara bersama koperasi itu juga memiliki secara bersama nilai lebihan yang dijana daripada operasinya, maka menghapuskan eksploitasi yang wujud dalam hubungan pengeluaran kapitalis yang berasaskan buruh upah. Dalam sesebuah koperasi, pekerja-pekerja boleh mengawal proses kerja itu sendiri. Kawalan secara kolektif dan demokratik ke atas proses pengeluaran boleh mengurangkan alienasi atau pengasingan, dan membolehkan pekerja-pekerja untuk menggunakan keupayaan intelek serta kreativiti mereka demi kesejahteraan bersama mereka. Pekerja dalam koperasi yang sebenar bukan lagi dianggap sebagai peranti yang boleh ditukar ganti. Koperasi yang berfungsi dalam masyarakat kapitalis juga boleh menjadi ruang kepada pekerja untuk mempelajari cara menguruskan ekonomi sebelum mereka merampas kuasa politik dan menubuhkan pemerintahan proletar.

Namun begitu, koperasi pekerja itu sendiri tidak boleh membawa kepada pembebasan pekerja. Lebih-lebih lagi, koperasi yang berfungsi dalam persekitaran ekonomi kapitalis itu tidak dapat membebaskan diri sepenuhnya daripada logik kapitalis, malah berkemungkinan menjadi seperti entiti kapitalis yang lain. Apabila koperasi yang menekankan solidariti sesama anggota itu terlibat dalam urus niaga pasaran “bebas” kapitalis, koperasi itu mungkin perlu beroperasi seperti sebuah syarikat korporat kapitalis untuk memastikan ia tidak disingkirkan dalam persaingan yang agresif. Apabila koperasi itu mengamalkan pendekatan yang kompetitif demi kelangsungannya dalam pasaran kapitalis, amalan itu sudah tentu bercanggahan dengan nilai demokratik dalamannya. Jika sesebuah koperasi mula mengupah pekerja upahan yang bukan ahli, maka koperasi itu sendiri menjadi kelas yang mengeksploitasi dan ia berubah sifatnya kepada sekadar sebuah syarikat kapitalis yang dimiliki pemegang saham. Tambahan pula, pekerja-pekerja yang selesa dengan penyertaan mereka dalam koperasi mungkin dialihkan perhatian mereka kepada perjuangan kelas yang masih diperlukan untuk menjatuhkan kapitalisme dan membawa pembebasan yang sebenar.

(ilustrasi: Walter Crane)

“Kami mengiktiraf gerakan koperasi sebagai salah satu kuasa perubahan dalam masyarakat masa kini yang berasaskan pertentangan kelas. Sumbangannya yang besar ialah ia menunjukkan secara praktikal bahawa sistem pemiskinan dan despotik yang menundukkan buruh kepada modal pada masa ini boleh digantikan dengan sistem republik dan berkebajikan yang berasaskan persatuan pengeluar yang bebas dan sama rata,” begitu tulisnya Karl Marx dalam saranan kepada perwakilan Majlis Agung Sementara Kesatuan Pekerja Antarabangsa pada tahun 1866. “Namun begitu, oleh sebab terbatas kepada bentuk-bentuk kerdil di mana hanya mampu dibangunkan oleh hamba-hamba upahan individu yang sudi menyumbangkan usaha persendirian mereka, sistem koperasi tidak akan dapat mentransformasikan masyarakat kapitalis. Untuk menukarkan pengeluaran sosial kepada sebuah sistem perburuhan bebas dan koperatif yang besar dan harmoni, perubahan sosial secara umum diperlukan. Perubahan keadaan masyarakat secara umum tidak akan dapat direalisasikan kecuali melalui pemindahan kuasa-kuasa masyarakat yang tersusun, yakni kuasa negara, daripada tangan kapitalis dan tuan tanah kepada pengeluar-pengeluar sendiri.”

“Kami mengesyorkan kepada pekerja-pekerja supaya menyertai koperasi pengeluar dan bukannya koperasi pengguna. Koperasi pengguna hanya menyentuh permukaan sistem ekonomi semasa, sementara koperasi pengeluar menyerang asasnya,” ujar Karl Marx selanjutnya. “Kami mengesyorkan kepada semua persatuan koperasi supaya menyalurkan sebahagian daripada pendapatan bersama mereka ke dalam sebuah dana untuk menyebarkan prinsip-prinsip mereka melalui teladan dan petunjuk, dalam erti kata lain, menggalakkan penubuhan koperasi melalui pengajaran dan penerangan. Untuk mengelakkan koperasi daripada merosot menjadi syarikat saham bersama kelas menengah yang biasa (sociétés par actions), semua pekerja yang diambil bekerja, sama ada pemegang saham atau tidak, hendaklah berkongsi pendapatan secara sama rata. Sebagai langkah sementara semata-mata, kita bersedia untuk membenarkan pemegang saham menerima kadar faedah yang rendah.”

Program Gotha yang dikemukakan pada tahun 1875 sebagai platform parti yang terawal bagi Parti Pekerja Sosialis Jerman (SAPD) dan kemudiannya Parti Demokratik Sosial (SPD) bertulis, “Untuk menyediakan jalan ke arah penyelesaian persoalan sosial, Parti Pekerja Sosialis Jerman menuntut penubuhan koperasi pengeluaran sosialis dengan bantuan negara di bawah kawalan demokratik rakyat. Koperasi pengeluaran itu hendaklah ditubuhkan pada skala yang sedemikian rupa, baik dalam sektor perindustrian mahupun pertanian, supaya daripadanya melahirkan organisasi sosialis yang menyelaras seluruh tenaga kerja.” Idea menubuhkan koperasi pekerja dengan bantuan negara ialah sesuatu yang dibawa oleh Ferdinand Lassalle dan penyokong-penyokongnya.

Karl Marx mengkritik tuntutan mengenai koperasi pengeluaran sosialis dalam Program Gotha itu yang meminta bantuan daripada bantuan kerajaan negara untuk menubuhkan koperasi, bukannya ditubuhkan oleh pekerja sendiri. “Golongan pekerja ingin mewujudkan syarat-syarat untuk pengeluaran koperatif pada skala sosial, dan yang pertama sekali pada skala nasional di negara mereka sendiri, hanya bermaksud bahawa mereka sedang berusaha untuk merevolusikan keadaan pengeluaran semasa, dan ini langsung tidak ada kaitan dengan penubuhan koperasi dengan bantuan negara,” begitu tulisnya Karl Marx dalam Kritikan terhadap Program Gotha. “Namun, setakat mana koperasi yang wujud pada masa ini, ia bernilai hanya kerana ia merupakan ciptaan bebas pekerja sendiri dan bukannya di bawah lindungan sama ada kerajaan atau borjuasi.”

(ilustrasi: Walter Crane, 1907)

Koperasi boleh menawarkan model organisasi ekonomi yang melangkaui logik kapitalis, tetapi tanpa perjuangan kelas yang digerakkan oleh kelas pekerja melalui organisasi sosial seperti kesatuan buruh yang militan dan organisasi politik seperti parti pekerja yang revolusioner, kelas pekerja masih tidak dapat membebaskan diri daripada eksploitasi kapitalis yang sistemik.

Koperasi tidak boleh disamakan dengan sosialisme, tetapi ia boleh berfungsi sebagai satu peringkat peralihan daripada organisasi ekonomi kapitalis yang eksploitatif kepada demokrasi ekonomi yang membolehkan kelas pekerja membebaskan diri daripada eksploitasi dan menguasai pengeluaran itu sendiri. Koperasi membuktikan bahawa golongan pekerja sendiri boleh menguruskan ekonomi itu secara kendiri. Koperasi boleh memberi petunjuk kepada kelas pekerja tentang bagaimana mengusahakan pengeluaran dan pengagihan ekonomi apabila kelas pekerja berjaya menakluki kuasa negara satu hari nanti.

Koperasi perlu bergabung dengan usaha perjuangan gerakan pekerja untuk mengambil alih kuasa politik, barulah dapat memainkan peranan kritikal dalam proses pembebasan kelas pekerja.

(ilustrasi: Mike Alewitz, 2014)

Pengajaran dan inspirasi daripada gerakan pekerja abad ke-19

Gerakan pekerja moden berkembang daripada realiti masyarakat kapitalis yang penuh dengan eksploitasi dan penindasan. Gerakan pekerja moden yang paling awal muncul di negara-negara Eropah yang paling awal mengalami Revolusi Perindustrian. Ia kemudian berkembang ke negara-negara lain yang lebih lambat mengalami proses peralihan kepada ekonomi kapitalis moden, termasuklah tanah-tanah jajahan kuasa imperialis Eropah di Asia dan Afrika. Gerakan pekerja di Asia dan Afrika berkembang pesat menjelang abad ke-20, dan kebanyakannya berlaku serentak dengan perjuangan pembebasan nasional yang hebat pada masa itu. Gerakan pekerja pada abad ke-20 dan ke-21 kebanyakannya mendapat inspirasi daripada gerakan pekerja pada abad ke-19, dan bertumbuh di atas pencapaian gerakan pekerja pada abad ke-19.

Pengalaman perjuangan gerakan pekerja pada abad ke-19, yang kebanyakannya tertumpu di negara-negara yang sudah membangunkan sektor perindustrian, telah menawarkan banyak pengajaran dan inspirasi kepada gerakan pekerja selepasnya. Gerakan pekerja, yang berorganisasi dalam bentuk kesatuan sekerja, koperasi pekerja dan parti pekerja, telah menunjukkan bahawa adalah penting untuk golongan pekerja bersatu dalam organisasi supaya dapat melakukan perjuangan secara teratur. Pelbagai pendekatan perjuangan, daripada demonstrasi jalanan ke aksi mogok, daripada tindakan langsung ke pemberontakan massa, telah menunjukkan taktik-taktik yang boleh digunakan oleh golongan pekerja dalam perjuangan mereka. Sama ada taktik itu berjaya atau tidak, ia sangat bergantung pada keadaan objektif semasa dan kekuatan organisasi pekerja itu sendiri.

(ilustrasi: Dan Manrique Arias, 1997)

Gerakan pekerja yang disertai oleh golongan pekerja dalam jumlah yang besar, sudah pastinya menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dari luar atau dalaman. Cabaran dari luar itu termasuklah penindasan oleh pihak berkuasa, pengupahan pengganti pemogok untuk mematahkan aksi mogok, kemelesetan ekonomi yang mengakibatkan pengangguran besar-besaran dan sebagainya. Cabaran dalaman itu pula melibatkan perbezaan pandangan dalam kalangan kelas pekerja mengenai perkara-perkara seperti corak pengorganisasian, budaya organisasi, hala tuju perjuangan, strategi perjuangan dan taktik perjuangan. Cabaran dari luar dapat diatasi, walaupun mungkin masih mencabar, dengan adanya organisasi yang kukuh. Cabaran dalaman pula memerlukan usaha membina demokrasi dalaman organisasi, mewujudkan mekanisme demokratik dalam mengendalikan perbezaan pandangan, membangunkan kesedaran kelas yang jelas, memupuk kepercayaan sesama anggota, memberi sokongan bersama kepada anggota, dan sebagainya. Tiada satu formula yang standard untuk kejayaan gerakan pekerja, tetapi setiap gerakan pekerja yang lampau, sama ada berjaya atau gagal, boleh memberikan pengajaran dan petunjuk kepada gerakan pekerja seterusnya.

Salah satu cabaran besar yang dihadapi oleh gerakan pekerja pada abad ke-19, yang masih berterusan sehingga abad ke-21, ialah isu perkauman. Daripada pengalaman gerakan pekerja pada abad ke-19, perjuangan pekerja boleh dipecahkan oleh sentimen perkauman yang ditimbulkan dan dipermainkan oleh kelas pemerintah. Misalnya, di Amerika Syarikat, pekerja-pekerja kulit hitam diupah sebagai pengganti pemogok apabila kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja kulit putih bermogok, boleh menimbulkan kebencian kaum terhadap warga kulit hitam yang sudah pun dimangsakan semasa wujudnya sistem perhambaan. Dengan itu, solidariti pekerja dilemahkan dan ia memudahkan golongan kapitalis untuk mematahkan aksi mogok, malah menghancurkan gerakan pekerja. Begitu juga dengan kemasukan pekerja imigran, pekerja-pekerja tempatan atau pekerja-pekerja keturunan migran yang datang lebih awal sering menganggap pekerja-pekerja imigran yang baharu masuk itu sebagai ancaman yang merampas pekerjaan mereka dan mengurangkan gaji mereka. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab gerakan pekerja yang sedar untuk menghapuskan sentimen perkauman itu, melalui proses pendidikan politik dan pengorganisasian yang berterusan. Solidariti pekerja merentasi warna kulit boleh diatasi apabila pekerja-pekerja bergabung tenaga tanpa mengira warna kulit dalam perjuangan bersama untuk pembebasan pekerja yang sebenar.

(ilustrasi: Walter Crane, 1891)

Gerakan pekerja pada abad ke-19 telah meninggalkan warisan penting kepada gerakan pekerja selepasnya, dari abad ke-20 hingga abad ke-21. Banyak pencapaian dan pembaharuan yang dapat dinikmati oleh golongan pekerja di banyak negara hari ini, seperti hak mengundi sejagat, hak berkesatuan, hak untuk perundingan bersama, jam kerja sehari yang lebih pendek, hari rehat pada hujung minggu, kesamarataan gender, pencen warga emas, insurans kemalangan tempat kerja, keselamatan tempat kerja, kesihatan awam yang percuma, pendidikan percuma dan sebagainya, merupakan hasil daripada usaha perjuangan yang dimulakan oleh gerakan pekerja pada abad ke-19.

Setiap pembaharuan yang dicapai, walaupun bersifat reformis dan tidak mengubah asas hubungan kelas dalam masyarakat kapitalis, ia masih boleh membuka ruang baharu kepada kelas pekerja untuk terus berorganisasi dan memajukan perjuangan mereka. Mengurangkan jam kerja sehari masih tidak mengubah sifat asas kerja di bawah kapitalisme yang eksploitatif, tetapi pekerja-pekerja yang mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri juga bermakna mereka mempunyai lebih banyak masa untuk berorganisasi supaya mengubah nasib mereka secara kolektif dalam gerakan pekerja. Oleh itu, setiap pembaharuan yang dicapai, boleh menjadi asas baharu untuk membawa perjuangan pekerja ke peringkat yang lebih tinggi. Setiap perjuangan kelas pekerja yang hebat, juga boleh menjadi inspirasi kepada perjuangan kelas pekerja seterusnya.

Gerakan pekerja merupakan kuasa penting dalam menggerakkan perubahan masyarakat ke arah yang lebih sejahtera, berperikemanusiaan, bebas, demokratik, sama rata, adil dan saksama. Setiap kemajuan sosial yang penting pada hari ini, merupakan hasil daripada gerakan perjuangan kelas pekerja yang hebat pada satu ketika dahulu. Setiap kemajuan sosial yang belum dicapai hari ini, merupakan perjuangan kelas pekerja yang belum selesai dan perlu diteruskan. Selagi masih wujudnya sistem sosioekonomi yang mengeksploitasi tenaga kerja, perjuangan kelas pekerja pasti akan berterusan…

(ilustrasi: Maureen Scott, 1975 / People’s History Museum)

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *