20191108 West_and_East_Germans_at_the_Brandenburg_Gate_in_1989.jpg

30 tahun dahulu, pada 9 November 1989, ribuan rakyat Jerman Timur melintasi Tembok Berlin untuk memasuki kawasan Jerman Barat di bandar Berlin, menjadi satu pemandangan bersejarah yang dianggap sebagai tanda berakhirnya Perang Dingin.

Blok Barat yang diketuai oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat menyifatkan kejatuhan Tembok Berlin sebagai kemenangan untuk “Dunia Bebas” yang dikuasai imperialis Barat. Kejatuhan Tembok Berlin dianggap sebagai kemenangan untuk kapitalisme pasaran bebas dan “demokrasi liberal” yang menewaskan “komunisme”. Namun, aspirasi rakyat Jerman Timur untuk pembaharuan masyarakat yang jauh lebih progresif dan bersifat pembebasan berbanding apa yang ditawarkan oleh kapitalisme “Dunia Bebas” tidak dapat direalisasikan oleh elit politik yang berkuasa selepas negara Jerman disatukan semula berikutan kejatuhan Tembok Berlin.

Kejatuhan Tembok Berlin pada 30 tahun dahulu, bukannya permulaan era baru untuk rakyat Jerman Timur menikmati udara kebebasan, tetapi menandakan pengakhiran satu proses revolusi politik yang baru sahaja dimulakan pada ketika itu…

20191108-berlin-wall.jpg

Tembok Berlin dan dua negara Jerman

Negara Jerman dipecahkan kepada dua buah negara yang berasingan selepas Perang Dunia II. Kuasa Barat (Amerika Syarikat, Britain dan Perancis) yang menduduki Bahagian Barat Jerman menubuhkan Republik Persekutuan Jerman pada tahun 1949, atau lebih dikenali sebagai Jerman Barat; sementara itu, Republik Demokratik Jerman ditubuhkan di Bahagian Timur, atau lebih dikenali sebagai Jerman Timur. Jerman Timur merupakan negara satelit untuk Kesatuan Soviet. Kewujudan dua buah negara Jerman menandakan pertembungan dua blok kuasa besar semasa Perang Dingin, iaitu antara Blok Barat yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan Blok Timur yang diketuai oleh Kesatuan Soviet.

Republik Demokratik Jerman atau Jerman Timur, diperintah oleh Parti Bersatu Sosialis Jerman (Sozialistische Einheitspartei Deutschlands, SED) sejak penubuhannya dalam sistem satu-parti Stalinis, walaupun parti-parti lain dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam proses politik melalui satu gabungan meluas yang digelar Fron Nasional Republik Demokratik Jerman. SED yang berfahaman Stalinis dianggap sebagai ejen kepada Parti Komunis Kesatuan Soviet. Walaupun Jerman Timur perlu membayar pampasan perang kepada Kesatuan Soviet, ia masih menjadi ekonomi yang paling berjaya di kalangan negara Blok Timur selepas Kesatuan Soviet. Salah satu masalah utama yang dihadapi oleh Jerman Timur adalah penghijarahan rakyatnya ke Jerman Barat, maka menyebabkan Kerajaan Jerman Timur mengambil langkah-langkah untuk memperketatkan sempadannya bagi menghalang rakyatnya daripada melarikan diri. Ramai warga Jerman Timur mati dibunuh askar pengawal atau perangkap seperti periuk api kerana cuba melepasi sempadan Jerman Timur untuk ke Barat.

Tembok Berlin yang sepanjang 155 km mengelilingi Berlin Barat, dibina pada tahun 1961 oleh Kerajaan Jerman Timur untuk mengasingkan Berlin Barat, sebuah enklaf politik di dalam Jerman Timur yang dikuasai Blok Barat dan menjadi sebahagian daripada Jerman Barat pada masa itu. Bersama dengan Sempadan Dalaman Jerman yang dipagarkan sepanjang 1,393 km yang menjajar dari Laut Baltik ke Czechoslovakia, Tembok Berlin merupakan manifestasi “Tirai Besi” secara fizikal yang memisahkan Blok Timur dengan Blok Barat semasa zaman Perang Dingin.

Pada bulan Jun 1953, aksi mogok oleh pekerja-pekerja pembinaan di Berlin Timur pada masa itu dengan cepatnya bertukar menjadi pemberontakan besar-besaran terhadap Kerajaan pimpinan SED, tetapi dipatahkan secara ganas oleh tentera Kesatuan Soviet yang menduduki Jerman Timur.

20191108 - 1000.jpeg

Gelombang perubahan melanda Blok Timur 

Pada awal tahun 1989, tiada orang menjangkakan bahawa perubahan kuasa boleh berlaku di dalam Jerman Timur, sama ada mereka daripada Blok Timur atau Blok Barat. Erich Hornecker, pimpinan tertinggi Jerman Timur yang menyandang jawatan Setiausaha Agung SED dan Pengerusi Majlis Negara pada masa itu, mengatakan pada bulan Januari 1989, “Tembok ini akan terus wujud dalam masa lima puluh malah seratus tahun lagi sekiranya punca untuk kewujudannya masih tidak dapat diselesaikan.” Namun, situasi telah berubah secara mendadak beberapa bulan kemudian.

Penghujung tahun 1980-an telah menyaksikan gelombang kebangkitan rakyat yang hebat melanda negara-negara yang diperintah oleh parti komunis yang bersifat Stalinis. Di Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev melancarkan dasar Glasnost (keterbukaan) pada tahun 1986, dan menekankan keperluan untuk Perestroika (penstrukturan semula untuk ekonomi dan politik), membuka ruang kepada perbincangan tentang pembaharuan dalam masyarakat di Blok Timur. Namun, pembaharuan yang dibawa oleh golongan birokrat Stalinis dari atas, adalah terhad dan visi pembaharuan ekonomi mereka dipengaruhi dengan fahaman “keterbukaan” kepada ekonomi kapitalis. Pembukaan ruang politik di Kesatuan Soviet telah menggalakkan golongan reformis di Poland dan Hungary untuk melakukan pembaharuan. Di Poland, parti pemerintah pada masa itu, Parti Pekerja Bersatu Poland (PZPR), telah bersetuju untuk menamatkan monopolinya terhadap kuasa pemerintahan dan mengadakan rundingan dengan Solidarność, sebuah kesatuan pekerja bebas yang tidak dikawal oleh parti pemerintah; dan pilihanraya bebas diadakan di Poland pada bulan Jun 1989. Di Hungary, peralihan kuasa kepada kerajaan yang bukan didominasi parti komunis juga berlaku dengan parti pemerintah, Parti Pekerja Sosialis Hungary (MSzMP), mengadakan rundingan dengan kuasa bukan komunis yang baru pada masa itu dan merobohkan pagar sempadan dengan Austria yang sepanjang 240 km. Namun, kepimpinan parti Stalinis yang berkeras kepala seperti di Jerman Timur, Bulgaria, Czechoslovakia dan Romania, tidak mengendahkan seruan untuk perubahan pada awalnya, tetapi peristiwa kebangkitan rakyat pada tahun 1989 telah mengubah keadaan secara drastik. Di negara China pula, kebangkitan massa rakyat yang hebat pada bulan April hingga Jun 1989 telah berakhir dengan peristiwa tragedi berdarah.

Pada musim panas tahun 1989, puluhan ribu rakyat Jerman telah meninggalkan negara mereka untuk melarikan diri ke Jerman Barat, kebanyakannya melalui sempadan Hungary ke Austria yang baru dibuka pada masa itu. Kumpulan politik pembangkang seperti “Forum Baru” (Neues Forum) semakin mendapat sokongan hebat di kalangan rakyat. Bermula dengan bandar Leipzig sejak bulan September 1989, semakin ramai orang menyertai aksi “Demonstrasi Hari Isnin” yang diadakan di bandar-bandar di seluruh Jerman Timur.

Pada 7 Oktober 1989, ketika Republik Demokratik Jerman menyambut ulangtahun ke-40 penubuhannya, pemimpin-pemimpin SED cuba berpura-pura seperti semuanya masih “normal” dengan perbarisan ketenteraannya yang terakhir. Ribuan rakyat Jerman Timur berdemonstrasi pada hari itu tetapi ramai dilayan dengan keganasan oleh pasukan keselamatan.

Gelombang kebangkitan rakyat Jerman Timur yang semakin hebat menyebabkan Politbiro SED memaksa Erich Honecker untuk meletak jawatannya pada 18 Oktober 1989, iaitu 11 hari selepas sambutan ulangtahun penubuhan Republik Demokratik Jerman yang “meriah”, dan digantikan oleh Egon Krenz sebagai Setiausaha Agung. Dalam ucapan sulungnya sebagai pemimpin kerajaan, Krenz menggunakan istilah Die Wende (titik perubahan atau peralihan), dan menjanjikan pembaharuan politik. Krenz kemudiannya mengarahkan pemberhentian semua tindakan polis terhadap demonstran dan membuka semula sempadan dengan Czechoslovakia yang ditutup sebelum itu.

Gelombang demonstrasi semakin hebat di seluruh negara Jerman Timur telah mewujudkan harapan untuk pembaharuan yang menyeluruh kepada sistem pemerintahan yang dikuasai oleh parti Stalinis untuk masyarakat sosialis yang amat berbeza sekali. Akan tetapi, pembukaan lintasan Tembok Berlin pada 9 November 1989, walaupun dianggap sebagai satu detik sejarah yang penting, sebenarnya telah mencairkan perjuangan untuk satu alternatif yang jauh lebih radikal.

20191108 - _109226289_leipzig-body-getty.jpg

Usaha untuk Sosialisme yang berbeza ditinggalkan

Ramai orang menganggap kejatuhan Tembok Berlin sebagai “Titik Perubahan” (Die Wende) untuk lembaran sejarah baru yang akhirnya menyaksikan penyatuan semula negara Jerman, tetapi bagi golongan Kiri dan mereka yang memperjuangkan pembebasan masyarakat yang sebenar, peristiwa pembukaan sempadan Jerman Timur yang memuncak dengan kejatuhan Tembok Berlin, menandakan berakhirnya cubaan kuasa rakyat dari bawah untuk memulakan proses perubahan yang sebenar di dalam Jerman Timur untuk Sosialisme Demokratik, satu alternatif yang berkemungkinan kepada kedua-dua model Stalinis dan pemulihan sistem kapitalis.

Gerakan protes rakyat yang hebat sebelum 9 November 1989 telah merosot selepas kejatuhan Tembok Berlin, dan semangat perjuangan untuk pembebasan dicairkan ke dalam suasana politik nasionalis yang menumpukan perhatian kepada penyatuan semula negara Jerman. Pembaharuan terhadap sistem politik yang diperjuangkan di dalam Jerman Timur telah diketepikan, apabila kebanyakan warga Jerman Timur terikut-ikut dengan tuntutan untuk penggabungan secara licin ke dalam sistem politik Jerman Barat, satu sistem yang langsung tidak terbuka kepada perubahan yang sebenar.

Aspirasi pada asalnya yang memobilisasi ratusan ribu rakyat Jerman Timur di jalanan sebelum 9 November 1989, tiada kaitan dengan penyatuan semula Jerman secara serta-merta. Mobilisasi rakyat kebanyakannya digerakkan oleh tuntutan untuk “Sosialisme Demokratik” atau sosialisme yang sebenar, di samping mengamalkan dasar perestroika dan glasnost yang sepatutnya memberi nafas baru kepada sosialisme di Jerman Timur. Demonstran yang bermobilisasi di jalanan juga menuntut penghapusan pemerintahan mutlak SED, pilihanraya yang demokratik, pengiktirafan di sisi undang-undang untuk gerakan hak sivil yang bertumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, penilaian terhadap sejarah bersifat dogmatik yang ditulis oleh golongan berkuasa sebelum itu, pembubaran Kementerian Keselamatan Negara (yang juga dikenali sebagai Stasi) dan menghapuskan pemantauan oleh polis rahsia terhadap orang awam. Rakyat Jerman Timur yang aktif bermobilisasi sebelum 9 November 1989 telah mengemukakan cadangan yang penuh kreatif dan berwarna-warni untuk memperbaharui dan memajukan Republik Demokratik Jerman, bukan menghapuskannya dengan bergabung dengan Jerman Barat.

20191108 - Bundesarchiv_Bild_183-1989-1104-437,_Berlin,_Demonstration_am_4._November.jpg
Demonstrasi Alexanderplatz pada 4 November 1989.

Suara pembaharuan sosialis yang radikal di Alexanderplatz

Hari ini kebanyakan orang hanya memperingati peristiwa kejatuhan Tembok Berlin di Jerman pada 9 November 1989 sebagai satu detik sejarah yang penting, tetapi sudah lupa tentang gerakan massa yang hebat sebelum hari itu dan visi politik berbeza yang dikemukakan oleh rakyat Jerman Timur untuk memperjuangkan pembebasan sebenar dan sosialisme demokratik.

5 hari sebelum kejatuhan Tembok Berlin, iaitu pada 4 November 1989, antara 500,000 hingga 1 juta orang turun ke jalanan dan membanjiri Alexanderplatz, sebuah dataran awam di pusat bandar Berlin Timur, untuk menyuarakan tuntutan mereka untuk Jerman Timur yang bersifat sosialis demokratik. Demonstrasi Alexanderplatz ialah aksi perhimpunan rakyat secara spontan yang terbesar dalam sejarah Jerman Timur.

Sepanduk-sepanduk yang ditunjukkan dalam demonstrasi Alexanderplatz tertulis slogan seperti, “Perubahan tanpa jika dan tapi!”, “Tiada lagi hak istimewa – Kita adalah rakyat!”, “Hak istimewa untuk semua!”, “Ya Sosialisme, tidak Egon (Krenz)!”, “Melawan sosialisme monopoli – Untuk sosialisme demokratik!”, “Demokrasi – Bukan huru-hara!”, “Demokrasi untuk SED!”, “Waktu bermain bersama untuk kanak-kanak sihat dan kurang upaya – Alihkan halangan!”, “Akhbar bebas untuk rakyat bebas!” dan sebagainya, mempamerkan keingingan rakyat Jerman Timur untuk alternatif sosialis yang berbeza.

Ramai orang daripada latar belakang yang berbeza berucap di atas pentas kecil di Alexanderplatz yang dikelilingi oleh lautan demonstran, Stefan Heym, penulis sosialis yang terkenal di Jerman Timur, berkata dalam perhimpunan di Alexanderplatz: “Kita mengatasi kebungkaman kita dalam minggu-minggu kebelakangan ini dan sekarang sedang belajar untuk berjalan secara tegak. Dan itu, kawan-kawan, di Jerman, di mana semua revolusi sehingga sekarang telah berlaku kesilapan dan di mana rakyat selalunya ditundukkan, di bawah Kaiser, di bawah Nazi, dan kemudiannya juga sama… Sosialisme – bukannya Stalinis, tetapi sosialisme yang sebenar – adalah yang akhirnya kita mahu bina untuk manfaat kita dan manfaat untuk semua orang di Jerman, sosialisme ini adalah mustahil tanpa demokrasi. Namun, demokrasi, satu kata bahasa Greece, bermakna pemerintahan rakyat.”

Stefan Heym juga berkata, “Namun untuk bersuara, bersuara secara bebas, untuk berjalan, berjalan secara tegak – itu adalah tidak mencukupi. Marilah kita juga belajar untuk mentadbir. Kuasa tidak terletak dalam tangan seseorang individu, atau sebuah kumpulan kecil, atau sebuah aparat, atau sebuah parti… Semua orang perlu mengambil bahagian dalam kuasa ini. Dan sesiapa yang menggunakannya, dan di mana-mana pun, harus tertakluk kepada kawalan rakyat.”

Jan Joseph Leifers, seorang pelakon yang terkenal, berucap di Alexanderplatz, “Struktur yang sedia wujud, struktur asas yang sentiasa diwarisi itu tidak membenarkan pembaharuan. Itulah sebabnya mereka perlu dihancurkan. Kita perlu membangunkan struktur baru untuk sosialisme demokratik. Dan itu bermakna, bagi saya, yang antara lain pembahagian kuasa antara majoriti dan minoriti.”

20191108 - jan liefers.jpg
Jan Joseph Leifers berucap dalam demonstrasi Alexanderplatz

Semangat yang ditunjukkan pada 4 November 1989 di Alexanderplatz, adalah kebangkitan demokratik yang sebenar, yang melangkaui impian sekadar penyatuan semula Jerman, yang membawa visi sosialisme yang radikal tetapi tidak direalisasikan berikutan kejatuhan Tembok Berlin.

Revolusi diculik

Keghairahan rakyat untuk pembaharuan Republik Demokratik Jerman dan kesedaran demokratik yang baru muncul pada bulan Oktober-November 1989, melesap dengan cepatnya selepas kejatuhan Tembok Berlin. Walaupun aktivis pembangkang (di mana ramainya berfahamanan haluan kiri) dapat memobilisasi rakyat dalam jumlah yang besar untuk seketika, tetapi nampaknya tidak memainkan peranan penting dalam penyatuan semula dan membiarkan elit politik dari Jerman Barat untuk menguasai proses politik tersebut. Barangkali “personaliti autoritarian” yang dibangunkan dalam masyarakat Jerman seperti yang dikatakan oleh Erich Fromm, iaitu ketidakmampuan untuk menangani prospek untuk kebebasan sebenar dan tanggungjawab diri, telah menghalang penglibatan protagonis yang menggerakkan aksi yang begitu hebat sebelum kejatuhan Tembok Berlin, sehingga menyerahkan nasib mereka kepada elit politik yang tiada minat langsung untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar bersifat pembebasan.

Golongan politik konservatif dan liberal mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya Volkskammer (parlimen Jerman Timur) pada 18 Mac 1990, iaitu pilihanraya pertama di Jerman Timur yang tidak dikawal oleh kerajaan yang memerintah, sekali gus menunjukkan imbangan kuasa sudahpun menyebelahi puak yang bukan inginkan pembaharuan yang sebenar tetapi hanya sekadar mencantumkan semula Jerman Timur dengan Jerman Barat di bawah sistem kapitalis yang sama.

Pada 3 Oktober 1990, Republik Demokratik Jerman secara rasmikan diilhakkan ke dalam Republik Persekutuan Jerman. Penyatuan semula Jerman, bermakna bukan sahaja Jerman Timur menggunakan matawang Jerman Barat (Deutsche Mark dan kemudiannya tukar kepada Euro pada tahun 2002), tetapi juga mengamalkan semua undang-undang dan dasar sosio-ekonomi dari Jerman Barat. Ribuan syarikat di Jerman Timur diswastakan dalam tempoh beberapa tahun selepas kejatuhan Tembok Berlin, menyebabkan jutaan orang hilang kerja, dan jutaan lagi berhijrah keluar untuk mencari kerja dengan gaji yang lebih tinggi.

20191108 - 1024px-1989-11-04-alexanderplatz-RalfR.jpg

Impian sosialisme demokratik yang perlu diteruskan

30 tahun selepas kejatuhan Tembok Berlin, walaupun negara Jerman yang bersatu telah berkembang menjadi sebuah negara yang kuat dalam Kesatuan Eropah, tetapi masih jauh daripada impian pembebasan yang diingini ramai, khususnya rakyat di Jerman Timur.

Naratif rasmi di Jerman untuk 30 tahun yang lalu adalah penyatuan semula adalah kisah kejayaan Jerman yang hebat. Namun, pembahagian antara Timur dan Barat di Jerman menjadi semakin hebat untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Bahagian Timur Jerman yang sebelum ini sebahagian daripada Republik Demokratik Jerman, masih mundur berbanding Bahagian Barat Jerman dari berbagai aspek. Keluaran Dalam Negeri Kasar per kapita di Timur adalah 20% lebih rendah berbanding Barat, sementara gaji di Timur adalah 15% lebih rendah. Ramai warga Jerman Timur yang pernah melalui zaman Republik Demokratik Jerman merindui pekerjaan penuh dan kebajikan sosial yang dinikmati pada ketika itu tetapi dihakis teruk dalam 30 tahun kebelakangan ini selepas penyatuan semula Jerman.

Yang lebih merunsingkan adalah, ketidaksamarataan antara Timur dan Barat di Jerman, telah menjadi salah satu faktor kepada perkembangan pengaruh kuasa pelampau kanan seperti Alternatif untuk Jerman (AfD), yang mendapat banyak undi dan memenangi banyak kerusi dalam pilihanraya di negeri-negeri di Timur, seperti Sachsen, Brandenburg dan Thüringen. Fahaman politik pelampau kanan yang mendapat sokongan besar di Bahagian Timur Jerman hari ini telah membangkitkan satu persoalan: apa terjadi kepada keberanian, kreativiti dan semangat optimis yang ditunjukkan oleh warga Jerman Timur pada tahun 1989? Ternyata intipati revolusi rakyat Jerman Timur pada tahun 1989 telah dicairkan, bukan sahaja dalam proses pencantuman Jerman Timur ke dalam Republik Persekutuan Jerman, tetapi selama 30 tahun sistem politik dan sosio-ekonomi yang didominasi oleh kelas kapitalis yang memerintah.

Rakyat Jerman Timur telah terlepas satu peluang 30 tahun dahulu untuk mewujudkan sebuah Republik Demokratik Jerman yang diperbaharui dan berbeza. Dalam keadaan dunia dilanda krisis sistem kapitalis yang mendalam dan perluasan pengaruh politik pelampau kanan yang semakin membimbangkan, semangat untuk membina sosialisme demokratik seperti yang ditunjukkan di Alexanderplatz pada 4 November 1989, adalah sesuatu yang patut diimbas kembali dan dijadikan ilham untuk meneruskan perjuangan pembebasan masyarakat.

20191108 - DrJuogEWwAAhmTv.jpg
Demonstrasi Alexanderplatz pada 4 November 1989.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s