oleh Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat (MJK) Kesatuan Perkhidmatan Pembersihan Hospital-Hospital Kerajaan

Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat (MJK) Kesatuan Perkhidmatan Pembersihan Hospital-Hospital Kerajaan hari ini (9 Jun 2026) secara rasminya telah menyerahkan satu Memorandum Desakan dan Tuntutan kepada YAB Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Langkah ini diambil bagi menuntut keadilan serta pembelaan mutlak berhubung isu penindasan, keselamatan, dan maruah pekerja wanita peringkat bawahan daripada ancaman keganasan di tempat kerja yang berlaku di Hospital Seri Manjung.

Tindakan mengadakan piket aman di perkarangan hospital terpaksa dilakukan kerana insiden gangguan keselamatan tersebut berlaku di dalam premis hospital itu sendiri, yang menempatkan pejabat Pengarah Hospital dan majikan Edgenta UEMS Sdn Bhd. Pekerja mempunyai hak perlembagaan untuk mengadakan piket secara aman, dan pihak polis sendiri hadir memantau keadaan tanpa sebarang masalah.

Oleh itu, Kesatuan amat kesal dengan rentetan kenyataan media secara unilateral (sepihak) yang dikeluarkan oleh Exco Sumber Manusia Perak, YB A. Sivanesan, yang dilihat berat sebelah, mengecewakan, dan cuba memperkecilkan aduan rasmi pekerja serta pihak Kesatuan.

Sehubungan dengan itu, Kesatuan mempertegaskan lima (5) tuntutan utama seperti berikut:

1.Menasihati YB A. Sivanesan agar menghentikan serta-merta kenyataan media yang bersifat pramatang dan dilihat memihak kepada majikan korporat tanpa meneliti keseluruhan fakta kes.

2. Mengarahkan beliau menarik balik kenyataan bahawa kes ini “tiada unsur jenayah” dan telah “selesai”. Kesatuan menegaskan tindakan beliau melampaui batas kerana pihak pengadu SEHINGGA HARI INI BELUM menerima sebarang makluman Tiada Tindakan Lanjut (NFA) daripada polis.

Pada 19 Mei 2026, pihak polis memaklumkan denda akan dikenakan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Seterusnya pada 25 Mei 2026, semasa polis merakamkan kenyataan lanjutan pengadu, mereka mengesahkan tindakan undang-undang akan diambil. Bagaimana mungkin pada 26 Mei 2026, YB A. Sivanesan boleh mendahului undang-undang dengan mendakwa “tiada unsur jenayah”? Beliau bukan pegawai polis atau pihak pendakwaan untuk menutup kes ini!

3.Mendesak beliau memohon maaf secara terbuka kepada kepimpinan dan ahli-ahli Kesatuan berhubung dakwaan berniat jahat berkaitan penyelewengan dana politik yang merupakan satu fitnah bagi mencemarkan reputasi Kesatuan.

4.Mengarahkan beliau menghentikan sebarang bentuk tekanan atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai usaha menyekat hak kebebasan berpersatuan. Pada saat hanya ada sekitar 6% sahaja tenaga kerja berkesatuan di Malaysia, tindakan sepihak seorang Exco Sumber Manusia yang mempersoalkan notis piket kepada polis (sedangkan beliau bukan polis) adalah sangat mengecewakan dan merencat usaha murni kerajaan dalam memperkukuh gerakan kesatuan sekerja.

5.Mempersoalkan asas kenyataan beliau bahawa Hospital Seri Manjung “tiada kaitan langsung” dengan pekerja perkhidmatan sokongan. Memandangkan ini adalah konsesi rasmi Kerajaan Persekutuan kepada UEM Edgenta UEMS Sdn Bhd di dalam premis hospital kerajaan, adakah kenyataan beliau itu merupakan pendirian rasmi KKM atau sekadar pandangan peribadi beliau selaku Exco? Sedangkan YB Khairy Jamaluddin semasa menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dahulu secara konsisten mengiktiraf kewujudan, sumbangan, dan hubungan langsung (nexus) kebajikan pekerja pembersihan hospital ini dalam sistem sokongan kesihatan awam nasional.

Kesatuan sentiasa akan mempertahankan keselamatan dan maruah pekerja wanita barisan hadapan. Kami amat berharap YAB Menteri Besar Perak dapat memahami aspirasi kami, bertindak adil sebagai payung pelindung kepada golongan pekerja miskin, dan mengambil tindakan yang sewajarnya demi menegakkan keadilan sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *