Hispaniola ialah sebuah pulau yang terletak di Laut Caribbean, di antara pulau Kuba (di sebelah baratnya) dan pulau Puerto Rico (di sebelah timurnya), dengan keluasannya lebih besar sedikit daripada negeri Sabah di Malaysia. Ia merupakan sebahagian daripada Antilles Besar, iaitu kelompok pulau-pulau besar di Laut Caribbean.

Christopher Columbus, seorang penjelajah dari Itali yang ditaja oleh kerajaan Sepanyol untuk menjelajah merentasi Lautan Atlantik demi meneroka laluan perdagangan baharu antara Eropah dan Asia, mendarat di atas bumi Hemisfera Barat buat pertama kalinya pada 12 Oktober 1492 di sebuah pulau kecil yang terletak di Kepulauan Bahamas, yang dipanggilnya pada masa itu sebagai “San Salvador”. Rombongan Columbus disambut dengan mesra oleh masyarakat orang asal di situ. Columbus memanggil orang asal di situ sebagai “indios” kerana dia tersalah anggap bahawa rombongan pelayarannya sudah sampai di India yang terletak di rantau Asia. Oleh sebab kesilapan pemahaman Columbus tentang jarak permukaan bumi itu, kepulauan Caribbean yang terletak di Hemisfera Barat kemudiannya juga dikenali sebagai “Hindia Barat”.

Pendaratan Christopher Columbus di Hispaniola pada tahun 1492 disambut mesra oleh penduduk-penduduk asal di situ. (ilustrasi: Theodor de Bry, 1594)

Penduduk-penduduk orang asal di San Salvador yang ramah mesra itu memberitahu pada Columbus bahawa adanya sebuah pulau yang jauh lebih besar dan kaya dengan “logam kekuningan”. Mereka menunjukkan arah ke pulau itu untuk Colombus. “Logam kekuningan”, iaitu emas yang dicari-cari oleh golongan penjelajah Eropah seperti Columbus itu, merupakan alat pertukaran yang penting dalam perdagangan komoditi dan pengumpulan kekayaan pada ketika kapitalisme pedagang sudah muncul sebagai kuasa ekonomi yang penting di Eropah. Pada masa itu, emas diperlukan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi wang syiling, yang mendorong pembangunan ekonomi mata wang kapitalis yang awal. Ia memberikan kuasa yang besar kepada kelas pemerintah Eropah. “Emas adalah yang paling berharga dalam semua komoditi,” begitu tulisnya Columbus dalam suratnya kepada Raja Fernando II dari Aragón dan Ratu Isabel I dari Castilla pada tahun 1503. “Emas merupakan harta, dan sesiapa yang memegangnya memiliki semua yang diperlukannya di dunia, serta cara untuk menyelamatkan jiwa-jiwa daripada api penyucian, dan memulihkan mereka kepada kenikmatan syurga.”

Pada 6 Disember 1492, Columbus dan orang-orangnya mendarat di pantai utara Pulau Hispaniola. Kedatangan mereka juga disambut dengan mesranya oleh masyarakat orang asal di situ yang dikenali sebagai Taíno. Malah, masyarakat orang asal Taíno telah membantu Columbus apabila salah sebuah kapalnya karam, dengan tiada apa-apa harta benda di atasnya dicuri. Masyarakat orang asal Taíno memanggil pulau yang dihuni oleh mereka itu sebagai “Haiti” yang bermaksud “tanah pergunungan tinggi”.

Namun, apa yang tidak dapat dijangka oleh masyarakat orang asal di situ adalah, pulau yang dikenali sebagai “Hispaniola” oleh orang Eropah itu, dan malah seluruh Hemisfera Barat, bakal dilanda malapetaka buatan manusia yang dahsyat akibat daripada perluasan kuasa imperialis kolonial Eropah yang datang bersama penjelajahan Columbus.

Kedudukan Hispaniola di Hemisfera Barat. (sumber: Wikipedia)
Peta yang menunjukkan ciri-ciri fizikal Pulau Hispaniola. (sumber: Encyclopædia Britannica)

Penjajahan di Hispaniola

Setahun selepas pendaratan pertama Christopher Columbus yang disambut mesra oleh masyarakat orang asal tempatan, Columbus kembali ke Hispaniola pada bulan November 1493 dengan membawa 1,300 orang untuk mendirikan petempatan berkekalan di atas pulau itu. Columbus pada asalnya menamakan pulau itu sebagai “Insula Hispania” dalam Bahasa Latin dan “La Isla Española” dalam Bahasa Sepanyol, di mana kedua-duanya bermaksud “Pulau Sepanyol”, juga dikenali kemudian sebagai “Hispaniola” dalam banyak penulisan Bahasa Inggeris. Dengan itu, Pulau Hispaniola diilhakkan oleh Sepanyol, kuasa Eropah yang paling maju pada masa itu, dan bermulanya penjajahan kuasa imperialis Eropah di rantau Caribbean serta Hemisfera Barat.

Kerajaan Sepanyol menubuhkan pemerintahan kolonial pertamanya di Amerika yang dikenali sebagai “Kekaptenan Jeneral Santo Domingo”, di atas Pulau Hispaniola. Oleh itu, Hispaniola juga dikenali sebagai “Santo Domingo”.

Golongan penjajah Sepanyol menganggap diri mereka sebagai “penaung” kepada masyarakat orang asal yang “mundur” di situ. Selain membawa masuk agama Katolik Rom untuk mengkristiankan masyarakat orang asal di situ, golongan penjajah Sepanyol juga membawa masuk amalan buruh paksaan, pembunuhan, perogolan, penyakit berjangkit yang tidak pernah wujud sebelum itu dan kebuluran buatan manusia (dengan pemusnahan tanah pertanian untuk memutuskan bekalan makanan kepada mereka yang menentang golongan penjajah) sehingga meragut nyawa orang asal dalam jumlah yang besar. Akibatnya, jumlah penduduk orang asal di rantau Caribbean merosot dengan ketara dalam tempoh masa yang agak singkat.

Golongan penjajah Sepanyol mengenakan rejim buruh paksaan dan perhambaan terhadap orang asal Taíno, dengan memaksa mereka bekerja di dalam lombong emas dan ladang. Pengeluaran makanan dan tenaga buruh masyarakat Taíno dialihkan untuk memenuhi kepentingan golongan penjajah, maka menghancurkan sistem ekonomi sara diri yang diamalkan sebelum kedatangan penjajah Eropah. Dasar yang diamalkan oleh pemerintahan kolonial Sepanyol mendatangkan kesan buruk kepada kadar kelahiran dan kadar kematian populasi Taíno di situ sepanjang suku pertama abad ke-16. Wabak penyakit cacar yang pertama di Amerika tercetus di Hispaniola pada tahun 1507, turut meragut nyawa banyak penduduk orang asal Taíno. Populasi orang asal Taíno boleh dikatakan hampir “pupus” menjelang pertengahan abad ke-16.

Hamba-hamba yang cuba melawan tuan hamba Sepanyol, tetapi ditangkap dan digantung sampai mati di atas pokok. (ilustrasi: Theodor de Bry)

Kepupusan masyarakat orang asal di rantau Caribbean kerana dasar penjajahan Eropah yang tidak berperikemanusiaan, mengakibatkan kekurangan tenaga buruh untuk bekerja demi kepentingan ekonomi penjajah di situ. Jadi, ia membawa kepada satu lagi dasar penjajahan yang tidak berperikemanusiaan, iaitu pembawaan masuk hamba dari benua Afrika di seberang Lautan Atlantik. Perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik dan penggunaan tenaga kerja hamba di Hindia Barat, memberi “sumbangan” yang ketara kepada kemajuan kuasa imperialis Eropah yang menjajah rantau itu.

Keadaan kerja yang teruk, eksploitasi yang berlebihan, diskriminasi, penganiayaan dan penindasan yang dialami oleh tenaga buruh hamba di bawah sistem penjajahan, boleh mencetuskan pemberontakan golongan hamba. Pemberontakan hamba yang terawal di Hispaniola atau Santo Domingo tercetus pada 25 Disember 1521, iaitu ketika sambutan Hari Natal. Ia juga merupakan pemberontakan hamba yang paling awal di Amerika. Pemberontakan ini bermula di ladang gula yang dimiliki oleh Diego Columbus, anak Christopher Columbus yang juga merupakan gabenor jajahan Santo Domingo. Pemberontakan hamba pada tahun 1521 dipatahkan oleh kerajaan penjajah Sepanyol. Beberapa hari selepas pemberontakan itu, pihak berkuasa penjajah Sepanyol memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat dan keras (seperti menyekat pergerakan fizikal golongan hamba, melarang golongan hamba daripada membawa senjata, mewajibkan golongan tuan hamba untuk menyimpan daftar hamba dan mengenakan hukuman berat yang termasuk penyeksaan fizikal serta hukuman mati) untuk mencegah pemberontakan hamba.

(tangkap layar video “The Struggle for Freedom in La Española”, 2021)

Perancis, yang turut muncul sebagai kuasa imperialis kolonial mulai abad ke-16, juga memanjangkan cengkaman kekuasaannya di Hispaniola pada abad ke-17. Pada tahun 1625, golongan penjajah Perancis mula membina petempatan awal di Pulau Tortuga, sebuah pulau kecil yang terletak di luar pesisiran pantai barat laut Hispaniola. Walaupun pernah dimusnahkan beberapa kali oleh kerajaan Sepanyol, golongan penjajah Perancis terus membina semula petempatan di situ. Petempatan Perancis yang rasmi di Tortuga ditubuhkan pada tahun 1659 di bawah perintah Raja Louis XIV daripada Dinasti Bourbon.

Dalam Perjanjian Damai Ryswick yang ditandatangani pada tahun 1697 untuk menamatkan “Perang Sembilan Tahun” (1688-1697), antara Perancis dan “Perikatan Besar” (yang terdiri daripada England, Belanda, Empayar Rom Suci, Savoy dan Sepanyol untuk menentang perluasan kuasa Perancis), kerajaan Sepanyol secara rasminya mengiktiraf penguasaan Perancis ke atas Pulau Tortuga dan bahagian barat Hispaniola (yang membentuk satu pertiga daripada seluruh keluasan pulau itu). Bahagian barat pulau Hispaniola yang dikuasai oleh Perancis dikenali sebagai “Saint-Domingue”. Keluasan wilayah Saint-Domingue hampir sama dengan gabungan keluasan negeri Kelantan dan Terengganu hari ini.

Peta Saint-Domingue. (kartografi: Jacques-Nicolas Bellin / Joseph T. Scott)

Perhambaan di Saint-Domingue

Saint-Domingue telah menjadi tanah jajahan Perancis di Hindia Barat yang paling produktif, paling kaya dan paling makmur pada abad ke-18. Pembangunan ekonomi dan pertumbuhan bilangan penduduk di Saint-Domingue adalah jauh lebih hebat berbanding Santo Domingo, bahagian barat pulau Hispaniola yang merupakan tanah jajahan yang kurang kaya dan tidak begitu penting bagi Sepanyol.

Menjelang pertengahan abad ke-18, Saint-Domingue merupakan tempat pengeluar gula yang utama di dunia. Nilai hasil keluaran yang diangkut dari Saint-Domingue ke Perancis, hampir sama dengan semua hasil keluaran yang diangkut dari Tiga Belas Jajahan di Amerika Utara ke Britain. Oleh itu, Saint-Domingue mendapat gelaran “Mutiara Antilles”.

Kekayaan dan kemakmuran di Saint-Domingue hanya dinikmati oleh golongan penjajah yang memiliki ladang-ladang di situ dan golongan pemerintah Perancis di seberang Lautan Atlantik, termasuk golongan kapitalis komersial di bandar-bandar pelabuhan seperti Nantes dan Bordeaux. Tenaga buruh yang menyumbang kepada penciptaan kekayaan dan kemakmuran di Saint-Domingue, bukan sahaja tidak menikmati hasil buruh mereka yang sewajarnya, malah terus ditindas dan dieksploitasi di bawah sistem perhambaan yang zalim. Kekayaan dan kemakmuran di Saint-Domingue dibina di atas asas perhambaan terhadap tenaga buruh hamba yang dibawa masuk dari benua Afrika merentasi Lautan Atlantik.

Hamba-hamba di atas kapal yang mengangkut hamba. (ilustrasi: Luciana Mc Namara)

Sebahagian besar pembangunan ekonomi penjajahan dan perhambaan di Hindia Barat dikaitkan dengan permintaan orang Eropah untuk gula. Golongan penjajah yang merampas tanah di Hindia Barat itu menjadi pemilik ladang yang menanam tebu sebagai tanaman komoditi untuk mengeluarkan gula. Jajahan Perancis di Sanit-Domingue juga mempunyai ladang kopi, koko dan indigo yang agak meluas. Ekonomi perladangan di tanah jajahan memerlukan banyak tenaga buruh. Oleh sebab masyarakat orang asal sudah hampir pupus di atas Pulau Hispaniola, golongan penjajah Eropah membawa masuk hamba dari Afrika untuk mengeksploitasi tenaga kerja mereka sebanyak mungkin.

Golongan hamba kebanyakannya datang daripada tawanan perang dan warga biasa yang diculik oleh golongan pedagang hamba. Terdapat juga orang dijadikan hamba oleh golongan pedagang manusia kerana dikenakan hukuman atau terikat dengan hutang yang tidak dapat dijelaskan. Hamba-hamba menjadi sumber tenaga kerja yang murah bagi golongan penjajah Eropah di Hemisfera Barat. Oleh itu, perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik berkembang pesat apabila kuasa-kuasa Eropah giat melakukan penjajahan di Amerika.

Perdagangan hamba pada abad ke-18. (ilustrasi: George Morland)

Perancis menduduki tangga ketiga dalam perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik, selepas Portugal dan Britain. Kira-kira 1.38 juta orang hamba dari Afrika diangkut oleh kapal-kapal Perancis dalam tempoh dua abad sepanjang zaman perdagangan hamba Atlantik, dengan kira-kira 1.16 juta orang masih hidup semasa tiba di Hindia Barat Perancis. Sebahagian besar golongan hamba yang diangkut oleh kapal-kapal Perancis, iaitu kira-kira 773,000 orang, dibawa ke Saint-Domingue, sementara 217,000 orang dibawa ke Martinque dan 73,000 orang ke Guadeloupe.

Nantes, sebuah bandar yang terletak di bahagian barat Perancis, mula menjadi pelabuhan penting dalam perdagangan hamba pada awal abad ke-18. Kapal-kapal pedagang hamba belayar dari situ ke Afrika Barat untuk membeli hamba-hamba; hamba-hamba dihimpitkan ke dalam kapal-kapal itu dan diangkut menyeberangi Lautan Atlantik untuk dijual di Hindia Barat Perancis; kemudiannya kapal-kapal itu kembali ke pelabuhan Nantes dengan membawa gula dan barangan mewah lain yang dikeluarkan oleh tenaga buruh hamba di Hindia Barat Perancis. Sepanjang abad ke-18, 43% daripada perdagangan hamba oleh Perancis dikaitkan dengan Nantes, di mana pedagang-pedagang dari Nantes menjual kira-kira 550,000 orang hamba di Hindia Barat.

Peta menunjukkan kedudukan Saint-Domingue di rantau Caribbean dan Perancis di benua Eropah. (sumber: Wikipedia)

Pendapatan dan cukai daripada pengeluaran gula yang berasaskan tenaga buruh hamba itu menjadi sumber kewangan yang utama kepada kerajaan Perancis. Dalam erti kata lain, perhambaan di seberang Lautan Atlantik di rantau Caribbean telah menyumbang kepada kemajuan ekonomi Perancis yang terletak di benua Eropah. Pada tahun 1780-an, Saint-Domingue mengeluarkan 40% gula dan 60% kopi yang digunakan di Eropah. Menjelang tahun 1780, jajahan Saint-Domingue, yang terletak kira-kira 7,000 km dari tanah besar Perancis, menyumbang kepada dua pertiga daripada perdagangan luar negeri Perancis dan merupakan pasaran tunggal yang terbesar untuk perdagangan hamba Atlantik. Satu pertiga daripada hamba yang diperdagangkan merentasi Lautan Atlantik dibawa ke Saint-Domingue. Pada masa itu, jumlah hamba di Saint-Domingue sudah mencecah kira-kira 500,000 orang, menjadikannya tanah jajahan Eropah dengan populasi hamba yang terbanyak di seluruh rantau Amerika. Perhambaan menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan ekonomi dan kegemilangan negara Perancis pada zaman Ancien Régime. Boleh dikatakan bahawa seluruh struktur masyarakat Perancis pada masa itu berdiri di atas asas eksploitasi terhadap tenaga buruh 500,000 orang hamba di Saint-Domingue.

Perhambaan ialah bentuk perburuhan yang paling eksploitatif dan paling tidak berperikemanusiaan. Perhambaan adalah berasaskan pemaksaan secara terang-terangan dan ganas terhadap tenaga buruh. Seseorang hamba itu langsung tiada kebebasan, malah dia langsung tidak dianggap sebagai manusia yang berjiwa. Hamba dianggap sebagai “harta benda” yang dimiliki sepenuhnya oleh tuan hamba, dengan tenaga kerja dan hasil perburuhan diperah daripadanya untuk dimiliki sepenuh oleh tuan hamba.

Sebuah kapal yang mengangkut hamba tiba di Cap-Français, Saint-Domingue. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama, 1773)

Walaupun ekonomi kapitalis moden nampaknya lebih cenderung menggunakan tenaga buruh yang “bebas” (iaitu pekerja yang tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran, kecuali tenaga kerjanya sendiri yang “bebas” dijual kepada pemilik modal yang membayar upah kepadanya), pada hakikatnya kapitalisme itu sering dibina, dibangunkan dan diperluaskan melalui pendekatan eksploitasi buruh yang melampau, termasuklah perhambaan.

Perhambaan merupakan pendekatan yang biasa digunakan dalam pengumpulan primitif, iaitu proses di mana modal dikumpulkan secara besar-besaran untuk memulakan dan membangunkan ekonomi kapitalis. Tenaga buruh hamba yang dieksploitasi dengan teruknya di tanah jajahan telah menghasilkan kekayaan dan bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membangunkan dan memajukan sistem pengeluaran kapitalis perindustrian di negara induk. 

Perhambaan langsung ialah paksi kepada perindustrian borjuis seperti jentera, kredit dan sebagainya,” begitu tulisnya Karl Marx dalam karya politiknya “Kemiskinan Falsafah” yang diterbitkan pada tahun 1847 semasa dia hidup dalam buangan di Brussel. “Tanpa perhambaan, anda tidak mempunyai kapas; tanpa kapas, anda tidak mempunyai industri moden. Perhambaanlah yang memberikan nilai kepada tanah jajahan; tanah jajahanlah yang mencipta perdagangan dunia, dan perdagangan dunialah yang menjadi prasyarat kepada industri berskala besar. Oleh itu, perhambaan ialah kategori ekonomi yang paling penting.

Golongan hamba yang terlibat dalam pengeluaran gula dan aktiviti ekonomi lain di Saint-Domingue hidup dalam keadaan yang amat teruk. Mereka sering diserang penyakit berjangkit, seperti malaria dan demam kuning, dengan kadar kematian yang tinggi. Sekurang-kurangnya 50% daripada hamba-hamba yang dibawa masuk dari Afrika mati dalam tempoh satu tahun kerana demam kuning. Golongan peladang kolonial yang menggunakan buruh hamba itu cuba memerah sebanyak mungkin tenaga kerja daripada hamba-hamba dengan membekalkan mereka keperluan asas yang paling minimum, selagi hamba-hamba itu belum lagi mati akibat penyakit berjangkit. Hamba-hamba yang mati itu bagaikan mesin rosak yang boleh dibuang begitu sahaja, sementara golongan peladang kolonial mengisikan kekosongan tenaga buruh itu dengan hamba-hamba baharu dari Afrika yang juga akan mati tidak lama kemudian, ataupun anak-anak hamba yang dilahirkan di situ.

Hamba-hamba wanita menghadapi penindasan yang lebih teruk lagi berbanding hamba-hamba lelaki. Hamba-hamba wanita dibawa masuk ke tanah jajahan, bukan sahaja dipaksa untuk bekerja di ladang seperti hamba-hamba lelaki yang lain dan melakukan kerja-kerja rumah untuk golongan tuan tanah, malah mereka sering dipaksa untuk melahirkan anak-anak supaya menambahkan populasi hamba yang boleh terus dieksploitasi. Hamba-hamba wanita juga sering mengalami keganasan seksual, termasuk dirogol oleh golongan tuan hamba atau mandur di ladang-ladang.

Perhambaan di tanah jajahan yang dilakukan oleh golongan penjajah dari Eropah, juga berasaskan fahaman rasis yang menganggap bahawa penduduk kulit hitam di Afrika adalah bertaraf lebih rendah berbanding penduduk kulit putih di Eropah, maka mereka boleh diperhambakan dan golongan hamba tidak layak menikmati kebebasan. Fahaman rasis dalam kalangan golongan peladang kolonial kulit putih di Saint-Domingue telah membawa kepada amalan diskriminasi dan keganasan yang dahsyat kepada golongan hamba kulit hitam di situ.

Keadaan hidup yang susah, eksploitasi yang teruk, diskriminasi yang rasis, keganasan yang berterusan dan penindasan yang zalim, menjadi bahan api kepada kemarahan golongan hamba yang terpendam seperti gunung api yang hanya menunggu masanya untuk meletup…

Golongan hamba memberontak di Saint-Domingue pada tahun 1791. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Demografik di Saint-Domingue

Penduduk-penduduk di Saint-Domingue pada abad ke-18 boleh dibahagikan secara kasarnya kepada tiga kategori utama mengikut warna kulit mereka:

  • Orang kulit putih bebas
  • Orang kulit berwarna bebas
  • Hamba kulit hitam

Orang kulit putih bebas ialah golongan peladang kolonial yang berasal dari Eropah. Mereka merupakan pemilik ladang di tanah jajahan dan tuan kepada hamba-hamba yang bekerja di ladang-ladang mereka. Pada awal abad ke-18, kira-kira 40% penduduk di Saint-Domingue adalah orang kulit putih bebas. Menjelang tahun 1790, terdapat kira-kira 30,000 orang kulit putih bebas di Saint-Domingue, membentuk hanya 5% daripada jumlah penduduk di situ. Nisbah peladang kolonial kulit putih di Saint-Domingue pada penghujung abad ke-18 adalah jauh lebih kecil berbanding mana-mana tanah jajahan Eropah di Amerika Utara.

Kumpulan orang kulit putih bebas di Saint-Domingue dibahagikan pula kepada dua kelas: grand blanc (“orang kulit putih besar” atau bangsawan kulit putih) dan petit blanc (“orang kulit putih kecil” atau orang awam kulit putih). Golongan grand blanc merupakan kumpulan masyarakat yang paling berkuasa dan menguasai kebanyakan harta di Saint-Domingue. Golongan grand blanc ialah pemilik ladang besar dan kelas pemerintah sebenar di Saint-Domingue. Golongan petit blanc pula merupakan orang kulit putih yang bukannya pemilik ladang besar, tetapi mereka memiliki harta kecil, adanya yang mungkin memiliki beberapa orang hamba, di samping mempunyai hak seperti warga Perancis yang lain.

Sekumpulan wanita orang kulit berwarna bebas. (ilustrasi: Agostino Brunias)

Terdapat sekumpulan masyarakat yang dikenali sebagai “orang kulit berwarna bebas” (gens de couleur libres). Golongan ini terdiri daripada orang campuran etnik, affranchi (bekas hamba dari Afrika) dan orang kulit hitam yang dilahirkan bebas. Kebanyakan orang campuran etnik merupakan keturunan orang Perancis yang berkahwin dengan orang asal atau hamba dari Afrika, dan kemudiannya berkahwin dalam kalangan anggota komuniti campuran kaum. Golongan ini juga sering dikenali sebagai “mulatto” (mulâtre dalam Bahasa Perancis, milat dalam Bahasa Kreol Haiti). Terdapat hanya 3% penduduk di Saint-Domingue merupakan orang kulit berwarna bebas pada awal abad ke-18, dan nisbah ini hanya meningkat kepada 5% menjelang tahun 1790, dengan jumlahnya kira-kira 28,000 orang. Pada penghujung abad ke-18, kebanyakan orang kulit berwarna bebas dilahirkan di Saint-Domingue dan datang daripada keluarga orang kulit berwarna yang sudah bebas untuk beberapa generasi. Berbanding dengan tanah jajahan Eropah yang lain di Amerika, orang kulit berwarna bebas di tanah jajahan Perancis mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menjadi celik huruf dan memiliki harta persendirian. Sesetengah orang kulit berwarna bebas menjadi agak kaya, malah adanya yang merupakan tuan hamba.

Hamba-hamba kulit hitam sedang menari. (ilustrasi: Agostino Brunias, 1779)

Kumpulan masyarakat yang paling besar di Saint-Domingue sepanjang abad ke-18 ialah golongan hamba. Pada awal abad ke-18, kira-kira 56% penduduk di Saint-Domingue adalah hamba; menjelang tahun 1790, bilangan hamba di Saint-Domingue mencecah 500,000 orang, membentuk 90% daripada jumlah penduduk di situ.

Daripada jumlah 500,000 orang hamba di Saint-Domingue pada penghujung abad ke-18, hampir 95% merupakan hamba kulit hitam, sementara 5% merupakan hamba berketurunan mulatto (campuran etnik). 60% hamba adalah lelaki, sementara 40% merupakan wanita. Dua pertiga daripada golongan hamba merupakan mereka yang dibawa masuk dari Afrika, sementara satu pertiga lagi merupakan keturunan hamba yang lahir di situ.

Hamba-hamba sedang bermain lawan kayu. (ilustrasi: Agostino Brunias, 1779)

Pada tahun 1685, Raja Louis XIV dari Perancis meluluskan “Code Noir” (Kanun Hitam), sebuah dekri yang menetapkan syarat-syarat untuk perhambaan di dalam empayar kolonial Perancis dan menjadi panduan untuk perhambaan di tanah jajahan Perancis. Code Noir mengehadkan aktiviti orang kulit berwarna bebas, mewajibkan semua hamba di seluruh empayar kolonial Perancis untuk menukar agama mereka kepada Katolik, menggariskan hukuman yang dikenakan terhadap hamba-hamba, dan mengarahkan pengusiran semua orang Yahudi keluar dari tanah jajahan Perancis. Code Noir ialah undang-undang kolonial yang rasis untuk mengekalkan kekuasaan golongan penjajah kulit putih dari Eropah. Walaupun ia mengharamkan hukuman paling teruk yang boleh dijatuhkan oleh golongan tuan hamba terhadap hamba-hamba mereka dan membawa kepada peningkatan dalam bilangan warga bebas, golongan hamba masih mendapat layanan buruk daripada golongan tuan hamba dan terus dizalimi.

Kelas-kelas sosial di Saint-Domingue

Tanah jajahan Perancis di rantau Caribbean, termasuk Saint-Domingue, mengekalkan struktur hierarki masyarakat kelas yang tegar, walaupun terdapat perbezaan dari segi komposisinya berbanding masyarakat kelas di Eropah. Struktur hierarki kelas di Saint-Domingue juga bersilang dengan pembahagian etnik di situ. Kelas-kelas sosial yang utama di Saint-Domingue pada penghujung abad ke-18 terdiri daripada beberapa kategori utama:

Birokrasi Perancis

  • Golongan birokrat Perancis di Saint-Domingue terdiri daripada golongan bangsawan yang berasal dari negara induk dan datang ke situ dengan satu tujuan, iaitu mentadbir urus tanah jajahan seberang laut bagi pihak kelas pemerintah di negara induk.
  • Birokrasi Perancis di Saint-Domingue diketuai oleh Gabenor-Jeneral dan Intendan. Mereka mempunyai penguasaan politik sepenuhnya ke atas tanah jajahan.
  • Birokrasi Perancis mewakili kekuasaan Raja Perancis, maka mempunyai apa yang serupa dengan kuasa mutlak dalam memutuskan segala hal ehwal mengenai tanah jajahan.
  • Biroraksi Perancis mempunyai kuasa untuk menangkap orang tanpa waran, memecat jawatan ahli-ahli majlis penasihat tempatan, merampas harta, menaikkan cukai dan sebagai. Dalam erti kata lain, mereka boleh melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak mereka.
  • Birokrasi Perancis tidak disenangi oleh golongan peladang kolonial yang tertakluk di bawah kekuasaannya.  
  • Birokrasi Perancis sentiasa hendak memastikan bahawa penguasaan negara Perancis ke atas tanah jajahannya itu terjamin.

Grand blanc

  • Golongan grand blanc ialah golongan peladang kolonial kulit putih yang paling kaya dan paling berpengaruh dari segi ekonomi di Saint-Domingue.
  • Golongan grand blanc terdiri daripada pemilik ladang, pedagang besar dan ejen borjuis maritim yang kaya. Mereka juga merupakan tuan hamba.
  • Kebanyakan golongan grand blanc hendak mengaut keuntungan sebanyak mungkin supaya mereka boleh bersara dalam keadaan yang mewah atau sekurang-kurangnya boleh menghabiskan masa beberapa bulan di Paris untuk menikmati “kemewahan tamadun”.
  • Golongan grand blanc mahu memiliki kuasa yang lebih besar dalam hal ehwal politik dan ekonomi di Saint Domingue, dan mereka berasa kepentingan mereka telah disekat oleh dasar merkantil yang diamalkan oleh kelas pemerintah di negara induk Perancis.
  • Golongan grand blanc cuba mengekalkan status quo perhambaan di Saint-Domingue, sementara terus mengumpul kekayaan mereka.
  • Golongan grand blanc memperjuangkan kebebasan mereka daripada cengkaman birokrasi Perancis. Mereka menuntut “autonomi kolonial” yang membolehkan mereka untuk mentadbir secara sendiri, khususnya dalam urusan ekonomi. Mereka mahukan “kebebasan ekonomi” supaya boleh melakukan aktiviti jual beli sesuka hati mereka. Mereka cenderung kepada “perdagangan bebas” yang membolehkan mereka berdagang dengan negara-negara lain, maka tidak berpuas hati dengan dasar merkantil yang mengehadkan mereka kepada hanya dapat berdagang dengan negara induk Perancis.
Seorang lelaki petit blanc yang berkahwin dengan seorang hamba wanita kulit hitam. (ilustrasi: Julien Vallou de Villeneuve)

Petit blanc

  • Golongan petit blanc ialah golongan orang kulit putih yang miskin dan kurang berpendidikan tetapi datang ke Saint-Domingue untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Mereka berhijrah ke tanah jajahan kerana kekurangan mobiliti sosial bagi mereka di negara induk.
  • Golongan petit blanc tidak berpuas hati dengan birokrasi Perancis dan golongan grand blanc. Mereka juga tidak senang dengan sebahagian besar golongan orang kulit berwarna bebas yang telah mengatasi mereka dari segi kekayaan.
  • Apabila idea-idea Revolusi Perancis disebarkan merentasi Lautan Atlantik, golongan petit blanc juga menuntut kesamarataan politik dan kewarganegaraan aktif. Mereka menginginkan pengagihan kekayaan yang sama rata, tetapi masih mahu mengekalkan status quo perkauman dan perhambaan.
  • Golongan petit blanc bergabung dengan golongan grand blanc apabila pemberontakan hamba tercetus di Saint-Domingue, kerana kepercayaan rasis mereka yang memandang rendah pada hamba kulit hitam dan orang kulit berwarna.
Thomas-Alexandre Dumas (1762-1806), seorang mulatto dari Saint-Domingue yang menjadi jeneral dalam tentera Perancis yang berperang dalam Perang Revolusi Perancis. (ilustrasi: Guillaume Guillon-Lethière)

Mulatto

  • Golongan mulatto ialah mereka yang berketurunan campuran etnik orang kulit putih dan orang kulit hitam.
  • Mereka tidak disenangi oleh birokrasi Perancis dan golongan peladang kolonial kulit putih.
  • Golongan mulatto menghadapi pelbagai diskriminasi daripada pihak berkuasa kolonial kulit putih.
  • Mereka dipaksa untuk berkhidmat selama 3 tahun di bawah pegawai pemerintah kulit putih dalam pasukan polis yang ditubuhkan untuk menangkap hamba-hamba yang melarikan diri.
  • Walau bagaimanapun, golongan mulatto dibenarkan untuk memiliki harta sendiri tanpa had, maka membolehkan mereka untuk mengumpul kekayaan, sehingga adanya sesetengah golongan mulatto menjadi lebih kaya berbanding golongan petit blanc.
  • Golongan mulatto yang bebas tidak berpihak pada sama ada golongan hamba kulit hitam ataupun golongan peladang kolonial kulit putih, malah sering bertentangan dan berkonflik dengan kedua-dua kumpulan itu.
  • Di tanah jajahan yang diselubungi sentimen perkauman yang tebal, golongan mulatto menganggap diri mereka bertaraf lebih tinggi berbanding golongan petit blanc, hamba dan orang kulit hitam yang bebas. Namun, di sebalik kebanggaan perkauman mereka itu, golongan mulatto masih mendapati diri mereka dimangsakan di bawah susunan pemerintahan kolonial kulit putih kerana warna kulit mereka.
  • Golongan mulatto memperjuangkan kesamarataan kaum untuk semua warga bebas.
Seorang wanita kulit hitam bebas dan anaknya. (ilustrasi: Agostino Brunias, 1775)

Orang kulit hitam bebas

  • Sebahagian kecil golongan hamba yang dapat mengumpul wang mencukupi untuk membeli kebebasan diri mereka daripada tuan hamba mereka, menjadi orang kulit hitam bebas yang dikenali sebagai “affranchi” dan menjadi sebahagian daripada orang kulit berwarna bebas.
  • Terdapat juga golongan hamba yang membebaskan diri mereka dengan melarikan diri dari ladang-ladang. Golongan ini dikenali sebagai “Maroon”.
  • Golongan Maroon kadang-kadang mempunyai pemimpin yang dapat mengumpulkan mereka untuk melancarkan pemberontakan kecil terhadap golongan peladang kolonial.
  • Walaupun wujudnya permusuhan antara kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza, golongan orang kulit hitam yang bebas sering bergabung dengan mereka yang masih diperhambakan dan menyokong perjuangan hamba untuk melawan tuan hamba.
  • Seperti golongan mulatto, orang kulit hitam bebas juga memperjuangkan kesamarataan kaum, dengan sebahagiannya juga mendukung usaha pembebasan hamba.

Potret seorang hamba wanita. (ilustrasi: François Beaucourt,1786)

Hamba

  • Golongan hamba ialah kumpulan masyarakat dengan bilangan populasi yang terbesar di Saint-Domingue.
  • Golongan hamba ialah lapisan masyarakat yang paling dieksploitasi dan paling ditindas di Saint-Domingue.
  • Kebanyakan hamba kulit hitam datang dari rantau Afrika Barat dan Afrika Tengah.
  • Golongan hamba terpaksa bekerja untuk tempoh masa yang panjang, 16 hingga 18 jam sehari, tanpa bayaran upah, dan dilayan dengan teruk seperti haiwan, malah sering dihukum dengan penyeksaan.
  • Jangka hayat hamba yang pendek oleh sebab keadaan hidup mereka yang teruk, tambahan pula dengan keperluan tenaga buruh yang besar di ladang-ladang, golongan peladang kolonial terus membawa masuk hamba dari Afrika untuk memenuhi permintaan tenaga buruh paksaan di situ. Menjelang tahun 1787, Saint-Domingue mengimport lebih 40,000 orang hamba setahun, meningkat dengan ketara berbanding 1764 di mana pengimportan hamba antara 10,000 dan 15,000 orang setahun.
  • Golongan hamba memperjuangkan pembebasan diri mereka daripada perhambaan, sama ada melalui cara seperti melarikan diri atau pemberontakan secara terbuka.

Golongan Maroon, iaitu hamba-hamba kulit hitam yang membebaskan diri mereka dengan cara melarikan diri dari ladang-ladang, kebanyakannya berselindung di kawasan pergunungan di pedalaman. Golongan peladang kolonial kulit putih mengupah pemburu upahan untuk menangkap golongan Maroon dan memperhambakan semula mereka. Golongan Maroon yang tidak ditangkap itu membentuk komuniti mereka sendiri yang terletak jauh dari petempatan kolonial. Komuniti Maroon menjalankan aktiviti pertanian berskala kecil dan perburuan untuk kelangsungan hidup mereka.

Patung “Maroon yang tidak dikenali” yang diukir oleh Albert Mangonès didirikan pada tahun 1967 di pusat bandar Port-au-Prince. (sumber: Wikipedia)

Golongan Maroon sering melakukan serbuan mengejut terhadap ladang-ladang kolonial untuk merampas bekalan yang diperlukan mereka, seperti makanan, peralatan dan senjata. Serbuan ini dikenali sebagai “mawonag”. Adanya juga serangan terhadap ladang itu bertujuan untuk membebaskan hamba-hamba di situ. Untuk mematahkan serbuan daripada golongan Maroon, pihak berkuasa kolonial Perancis pernah menganjurkan beberapa ekspedisi ketenteraan untuk memburu golongan Maroon.

François Mackandal, seorang hamba yang melarikan diri ke kawasan pergunungan pada pertengahan abad ke-18, telah menjadi pemimpin Maroon yang menerajui banyak serangan terhadap ladang-ladang pada waktu malam, membakar ladang-ladang dan membunuh pemilik-pemilik ladang kulit putih. François Mackandal menghasilkan racun dengan menggunakan tumbuhan herba, kemudian mengedarkan racun itu kepada hamba-hamba kulit hitam untuk membubuhkannya ke dalam makanan dan minuman yang disajikan kepada golongan pemilik ladang kulit putih. Gerakan yang diterajui oleh François Mackandal amat digeruni golongan peladang kolonial kulit putih. François Mackandal ditangkap dan dihukum mati dengan cara dibakar di atas sebatang tiang di pusat bandar Port-au-Prince pada tahun 1758. Namun, François Mackandal menjadi lagenda yang kekal hidup dalam jiwa golongan hamba kulit hitam dan terus memberi inspirasi kepada pemberontakan hamba selepasnya.

François Mackandal di atas wang syiling 20 gourde Haiti.

Impak Revolusi Perancis 1789 sampai di Saint-Domingue

Golongan peladang kolonial kulit putih di Saint-Domingue menjadi kaya melalui eksploitasi tenaga buruh hamba yang berterusan. Namun, seperti golongan peneroka kolonial di Tiga Belas Jajahan yang memperjuangkan kemerdekaan daripada pemerintahan British, golongan peladang kolonial di Saint-Domingue juga tidak berpuas hati terhadap dasar merkantil dan peraturan perdagangan yang dikenakan oleh kerajaan pusat Perancis. Golongan peladang kolonial di Saint-Domingue menganggap bahawa kekayaan yang dikumpulkan di tanah jajahan itu merupakan hasil daripada usaha mereka sendiri. Dasar merkantil yang ditetapkan oleh kerajaan Perancis untuk melindungi kepentingan ekonomi negara induk itu telah menghalang golongan peladang kolonial daripada berdagang dengan negara-negara asing dan tanah-tanah jajahan lain di rantau Caribbean, maka menyekat peluang perniagaan dan bertentangan dengan kepentingan golongan peladang kolonial yang hendak mengumpul lebih banyak kekayaan. Oleh itu, mereka juga mengemukakan tuntutan mereka untuk “kebebasan”, lebih-lebih lagi wujudnya agitasi yang serupa daripada golongan kelas menengah yang kaya di negara induk Perancis pada tahun 1789.

Sebelum tercetusnya Revolusi Perancis, pada tahun 1788, golongan mulatto menyerahkan satu petisyen kepada Perhimpunan Wilayah Saint-Domingue untuk menuntut hak politik bagi orang kulit berwarna bebas. Golongan peladang kolonial kulit putih juga menyerahkan petisyen yang serupa untuk memperjuangkan kepentingan mereka sendiri. Golongan petit blanc pula menyerang golongan grand blanc dan golongan mulatto. Golongan peladang kolonial kulit putih pada masa itu sudah mula risau tentang kemungkinan golongan hamba memberontak dan memusnahkan kepentingan mereka. Hubungan antara kumpulan-kumpulan sosial yang berbeza di Saint-Domingue memang amat tegang pada masa itu.

Peta menunjukkan bandar-bandar utama di Haiti hari ini. Cap-Haïtien dikenali sebagai Cap-Français semasa zaman penjajahan Perancis. (sumber: Encyclopædia Britannica)

Apabila berita tentang Serbuan Bastille tersebar merentasi Lautan Atlantik, golongan peladang kolonial kulit putih di Saint-Domingue melihatnya sebagai satu peluang untuk menuntut kemerdekaan daripada Perancis, seperti yang pernah dilakukan oleh golongan peneroka kolonial di Tiga Belas Jajahan yang memperjuangkan kemerdekaan Amerika Syarikat.

Revolusi Perancis 1789 tercetus apabila golongan majoriti dalam États Généraux mengisytihar penubuhan Perhimpunan Kebangsaan dan melakukan pembaharuan yang radikal terhadap undang-undang Perancis untuk menghapuskan feudalisme. Revolusi Perancis 1789 pada awalnya disambut baik secara meluas oleh penduduk-penduduk di Saint-Domingue, dan kemudiannya memberi kesan mendalam kepada trajektori sejarah di tanah jajahan itu.

Pada 26 Ogos 1789, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan Perancis meluluskan “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” dengan pernyataan bahawa semua orang adalah bebas dan sama rata. Namun begitu, “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” tidak menyatakan dengan jelasnya sama ada kebebasan dan kesamarataan yang dimaksudkannya itu turut terpakai kepada golongan wanita, hamba dan penduduk di tanah jajahan.

Golongan peladang kolonial kulit putih yang kaya berhasrat untuk menguasai seluruh Saint-Domingue dan mewujudkan aturan perdagangan yang dapat mengkayakan lagi mereka serta memperkukuhkan kedudukan dominasi mereka. Golongan peladang kolonial kulit putih tiada niat untuk mengaplikasi slogan “kebebasan” dan “kesamarataan” kepada golongan mulatto dan golongan hamba kulit hitam. Apabila keadaan Saint-Domingue menjadi semakin tidak stabil berikutan Revolusi Perancis 1789, dengan kemarau yang teruk dan bilangan hamba yang melarikan diri dari ladang-ladang milik mereka semakin meningkat, golongan peladang kolonial kulit putih semakin ganas terhadap golongan orang kulit hitam bebas, mulatto dan orang kulit putih yang bersimpati dengan orang kulit berwarna.

Vincent Ogé (1757-1791)

Golongan mulatto juga hendak mewujudkan susunan yang menjamin kesamarataan sosial dan politik untuk diri mereka, maka merayu kepada kerajaan pusat Perancis untuk mencampur tangan. 10 hari sebelum Serbuan Bastille, pada awal bulan Julai 1789, Perhimpunan Kebangsaan Perancis mengundi untuk memperuntukkan kerusi kepada 6 orang perwakilan dari Saint-Domingue. Di Paris, sekumpulan orang mulatto kaya, yang dipimpin oleh Julien Raimond (1744-1801) dan Vincent Ogé (1757-1791), mengemukakan petisyen kepada ahli-ahli perwakilan dari Saint-Domingue dengan seruan supaya menyokong tuntutan golongan mulatto untuk memperoleh hak sivil dan politik yang sepenuhnya. Namun, ahli-ahli perwakilan Saint-Domingue yang semuanya terdiri daripada peladang kolonial kulit putih tidak mempedulikan tuntutan golongan mulatto.

Melalui usaha oleh “Persatuan Sahabat Warga Kulit Hitam” (Société des amis des Noirs) yang turut dianggotai oleh Julien Raimond dan Vincent Ogé, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan meluluskan dekri pada 8 Mac 1790 yang memberikan tanah jajahan hak untuk menubuhkan perhimpunan kolonial yang mempunyai kuasa perundangan yang penuh, dan membenarkan semua warga bebas di tanah jajahan untuk menyertai kerajaan tempatan itu. Walaupun ia tidak menyebut tentang orang kulit berwarna atau mulatto, secara de facto ia telah memberi hak sivil sepenuh kepada orang kulit berwarna bebas.

Namun begitu, golongan peladang kolonial kulit putih di Saint-Domingue enggan menerima dekri itu dan tidak berhasrat untuk memberikan hak politik yang sama rata kepada golongan mulatto, malah mengisytihar bahawa sesiapa yang cuba menghasut untuk mencabar kepentingan golongan peladang kolonial kulit putih adalah melakukan jenayah terhadap negara. Golongan peladang kolonial kulit putih menubuhkan perhimpunan kolonial mereka sendiri yang dikenali sebagai “Perhimpunan Saint-Marc”. Tiadanya seorang pun ahli perwakilan daripada komuniti mulatto atau orang kulit hitam bebas yang dipilih untuk duduk bersidang dalam Perhimpunan Saint-Marc.

Pada bulan Mei 1790, Perhimpunan Saint-Marc yang mewakili kepentingan golongan peladang kolonial kulit putih itu berusaha untuk menyekat pelaksanaan dekri yang memberikan hak politik yang sama rata kepada golongan mulatto. Perhimpunan Saint-Marc juga menggubal undang-undang perlembagaannya sendiri yang memberi lebih banyak autonomi kepada tanah jajahan itu. Perhimpunan Saint-Marc kemudian memutuskan untuk membuka pelabuhan di Saint-Domingue kepada pedagang-pedagang asing yang bukan dari Perancis, maka melanggar dasar merkantil Perancis yang masih berkuat kuasa pada masa itu. Ini mewujudkan pertembungan ganas antara penyokong-penyokong Perhimpunan Saint-Marc yang mewakili kepentingan golongan grand blanc dan pihak pentadbir kolonial yang mewakili kepentingan negara induk. Pada 12 Oktober 1790, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan Perancis mengundi untuk membubarkan Perhimpunan Kolonial Saint-Marc. Gabenor Saint-Domingue mengerahkan tentera untuk membubarkan Perhimpunan Saint-Marc secara paksaan.

Vincent Ogé dan aktivis-aktivis mulatto lain kecewa dengan kegagalan penguatkuasaan sepenuhnya dekri 8 Mac 1790 yang diluluskan oleh Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan, maka mula cuba menghasut golongan mulatto untuk memberontak terhadap golongan peladang kolonial kulit putih. Vincent Ogé kemudiannya menjelajah pulang ke Saint-Domingue untuk menuntut kepada pihak pentadbir kolonial di situ supaya melaksanakan dekri Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan yang memberikan hak sama rata kepada golongan mulatto.

Selepas sampai di Saint-Domingue pada bulan Oktober 1790, Vincent Ogé mengemukakan petisyen kepada Antoine de Thomassin de Peynier, Gabenor-Jeneral Saint-Domingue pada masa itu, tetapi tuntutannya ditolak, malah disuruh untuk menghentikan aktivismenya. Oleh itu, Vincent Ogé terus menghasut golongan mulatto di Saint-Domingue untuk memberontak terhadap pihak pentadbir birokrat Perancis di situ.

Jean-Baptiste Chavannes (1748-1791) (ilustrasi: J. Verschueren)

Vincent Ogé bersama-sama dengan Jean-Baptiste Chavannes (1748-1791), seorang askar yang pernah bertempur bagi pihak Tentera Kontinental Amerika Syarikat dalam Perang Revolusi Amerika, mengumpulkan kira-kira 1,000 orang untuk menyerang Cap-Français (Cap-Haïtien yang terletak di pantai utara Haiti hari ini). Namun, golongan pemberontak mulatto enggan membebaskan hamba-hamba yang dimiliki mereka ataupun mencabar sistem perhambaan di Saint-Domingue. Oleh itu, pemberontakan golongan mulatto yang dipimpin oleh Vincent Ogé tidak mendapat sambutan daripada golongan hamba kulit hitam. Serangan pemberontak mulatto dipatahkan oleh pasukan militia peladang kulit putih dan sukarelawan orang kulit hitam. Selepas pemberontakan menemui kegagalan, golongan pemberontak mulatto melarikan diri ke bahagian pulau Hispaniola yang diduduki oleh Sepanyol pada masa itu, tetapi ditangkap dan diserahkan balik kepada pihak berkuasa Perancis. Vincent Ogé dan Jean-Baptiste Chavannes dihukum mati pada bulan Februari 1791.

Penghukuman mati Vincent Ogé telah meningkatkan lagi ketegangan antara golongan peladang kolonial kulit putih dan golongan orang kulit berwarna di Saint-Domingue. Walaupun Vincent Ogé tidak memperjuangkan penghapusan perhambaan, aktivisme politiknya dan penghukuman matinya yang ganas itu menyemarakkan lagi semangat golongan hamba untuk bangkit memberontak.

Menjelang tahun 1791, golongan hamba kulit hitam di seluruh Saint-Domingue semakin resah dan tidak tenang. Pada bulan April 1791, tercetusnya pemberontakan hamba di Dataran Cul-de-Sac yang terletak di bahagian tenggara Saint-Domingue, melibatkan kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang hamba. Golongan hamba bermobilisasi di sekitar Mirebalais, Arcahaye, Petite-Rivière, Verettes dan Saint Marc. Golongan hamba yang memberontak di Cul-de-Sac melucutkan senjata mereka dan pulang ke ladang-ladang masing-masing pada bulan Mei 1791. Di bahagian barat, golongan pemberontak hamba menyerah diri sebagai syarat pertukaran untuk kebebasan pemimpin mereka. Di bahagian selatan, golongan hamba enggan berundur dan terus menuntut kebebasan. Pada masa itu, golongan hamba masih belum lagi memperjuangkan pembebasan untuk semua hamba, sebaliknya lebih kepada menuntut kebebasan untuk pemimpin mereka, hari rehat tambahan setiap minggu dan pemansuhan hukuman sebatan. Namun begitu, golongan peladang kolonial kulit putih enggan berunding sama sekali dengan golongan hamba.

Hasil daripada tekanan yang diberikan oleh golongan yang mendukung kesamarataan kaum, seperti Henri Grégoire (1750-1831) dan sebagainya, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan Perancis mengeluarkan dekri pada 15 Mei 1791 yang memberikan hak politik kepada semua warga kulit hitam bebas dan mulatto yang dilahirkan daripada ibu bapa yang bebas. Walaupun dekri itu hanya memberikan hak yang terhad kepada warga kulit hitam bebas dalam jumlah beberapa ratus orang sahaja di Saint-Domingue, golongan peladang kolonial kulit putih yang rasis itu sudah berasa marah dan tegas membantah pelaksanaannya.

Pemberontakan hamba di Saint-Domingue pada tahun 1791. (ilustrasi: Aaron Martinet / Alphonse-Charles Masson, 1833)

Pada bulan Jun 1791, golongan hamba di kawasan Dataran Cul-de-Sac mula meninggal ladang-ladang dalam jumlah yang besar untuk melarikan diri daripada penindasan. Golongan hamba juga mengadakan perhimpunan yang lebih kerap di dalam kawasan hutan untuk merancang pemberontakan yang lebih besar. Apabila golongan peladang kolonial cuba menyuraikan perhimpunan hamba itu, golongan hamba melawan balik. Golongan peladang kolonial menangkap dan menghukum mati pemimpin-pemimpin hamba yang terlibat.

Golongan peladang kolonial meningkatkan pengawasan mereka terhadap golongan hamba, meronda pada waktu malam dan menggeledah pondok hamba untuk mencari senjata yang disembunyikan. Walau bagaimanapun, golongan hamba masih dapat berkomunikasi sesama mereka dan merancang bersama hamba-hamba di daerah lain untuk pemberontakan yang lebih besar.

Upacara keagamaan Vodou di Bois Caïman. (ilustrasi: Andre Normil, 1990)

Dari upacara Vodou kepada pemberontakan hamba kulit hitam

Dalam satu upacara keagamaan Vodou yang diadakan pada 14 Ogos 1791 di Bois Caïman, sebuah hutan yang berdekatan dengan Cap-Français, dua orang pendeta Vodou, Dutty Boukman dan Cécile Fatiman, memberikan isyarat kepada golongan hamba kulit hitam untuk memberontak. Dutty Boukman (1767-1791), ialah seorang pemimpin hamba yang berasal dari Senegambia, Afrika Barat, dan seorang Oungan (pendeta lelaki dalam agama Vodou); sementara Cécile Fatiman (1771-1883) ialah seorang mulatto dengan ibunya seorang hamba dari Afrika dan Mambo (pendeta wanita dalam agama Vodou).

Vodou ialah agama yang dibangunkan dalam kalangan warga kulit hitam di Haiti yang menggabungkan unsur-unsur keagamaan dari Afrika dan Katolik Rom. Upacara keagamaan Vodou merupakan aktiviti perhimpunan sosial yang disertai oleh golongan hamba, maka ia menjadi ruang kepada golongan hamba untuk berorganisasi.

Cécile Fatiman (1771-1883) 

Upacara keagamaan Vodou yang diadakan secara sulit di Bois Caïman, telah disertai oleh perwakilan hamba dari ladang-ladang yang berhampiran. Perhimpunan itu menjadi mesyuarat untuk golongan hamba kulit hitam merancang pemberontakan terhadap golongan peladang kolonial kulit putih yang kaya di kawasan tanah rata utara Saint-Domingue. Dutty Boukman dan Cécile Fatiman menyampaikan pesanan kepada mereka yang menghadiri upacara Vodou itu bahawa pemberontakan hamba itu akan dipimpin oleh Georges Biassou (1741-1801), Jeannot Bullet (???-1791) dan Jean-François Papillon (???-1800-an).

Dalam doa yang disampaikan di Bois Caïman pada 14 Ogos 1791, Dutty Boukman berkata demikian,

“Tuhan yang mencipta bumi; yang mencipta matahari yang memberikan kita cahaya. Tuhan yang mengangkat lautan; yang membuatkan guruh bergemuruh. Tuhan kita yang mempunyai telinga untuk mendengar. Engkau yang bersembunyi di dalam awan; yang memerhatikan kami dari tempat di mana engkau berada. Engkau melihat semua bahawa orang kulit putih telah menjadikan kami sengsara. Tuhan orang kulit putih menyuruhnya untuk melakukan jenayah. Tetapi tuhan dalam diri kita ingin melakukan kebaikan. Tuhan kita, yang begitu baik, yang begitu adil, Dia mengarahkan kita untuk membalas kesalahan kita. Dialah yang mengarahkan senjata kita dan membawa kita kepada kemenangan. Dialah yang akan membantu kita. Kita semua harus membuang imej tuhan orang kulit putih yang begitu zalim. Dengarlah pada suara untuk kebebasan yang berbicara dalam hati kita semua!

Dutty Boukman (1767-1791)

Seminggu kemudian, pada 21 Ogos 1791, golongan hamba berhimpun sekali lagi di Bois Caïman untuk upacara keagamaan Vodou yang sulit. Ribut tropika melanda pada masa yang sama, dengan kilat dan petir dianggap sebagai petanda yang baik untuk bangkit melawan. Pada malam itu juga, golongan hamba di Saint-Domingue mula membunuh tuan hamba mereka dan bangkit memberontak! Ini menandakan bermulanya Revolusi Haiti.

Dalam tempoh 10 hari sahaja, golongan pemberontak hamba telah menguasai seluruh bahagian utara Saint-Domingue. Golongan hamba yang sudah terpendam perasaan marah mereka begitu lama itu membalas dendam terhadap tuan hamba mereka dengan cara yang ganas. Keganasan dan penindasan yang berpanjangan terhadap golongan hamba, telah menanam kebencian yang hebat dalam kalangan hamba-hamba kulit hitam terhadap semua orang kulit putih. Pemberontakan hamba di Saint-Domingue ditandai dengan keganasan yang melampau sejak awal lagi.

Hamba-hamba berkulit hitam membunuh golongan tuan hamba. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Dalam tempoh beberapa minggu sahaja, bilangan hamba yang menyertai pemberontakan di bahagian utara Saint-Domingue telah mencecah 100,00 orang. Dalam tempoh dua bulan selepas itu, keganasan semakin meningkat. Golongan hamba membunuh kira-kira 4,000 orang peladang kolonial kulit putih, di samping memusnahkan lebih 180 buah ladang gula dan ratusan ladang kopi serta indigo yang dimiliki oleh golongan grand blanc.

Di bahagian selatan Saint-Domingue, pemberontakan tercetus pada bulan September 1791, dengan 13,000 orang pemberontak hamba yang dipimpin oleh Romaine-la-Prophétesse menyerbu ladang-ladang untuk membebaskan hamba-hamba dan merampas bekalan di situ. Romaine-la-Prophétesse, seorang warga kulit hitam bebas yang merupakan pemilik ladang kopi, pada awalnya bimbang tentang ancaman kumpulan bersenjata yang dihimpunkan oleh pemilik ladang grand blanc yang berdekatannya, maka juga mengumpulkan penyokong-penyokongnya yang termasuk warga kulit hitam bebas dan sesetengah petit blanc yang miskin di Trou Coffy. Romaine-la-Prophétesse memusnahkan ladang-ladang milik grand blanc dan membebaskan ribuan orang hamba yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada tentera pemberontakannya. Golongan pemberontak hamba di selatan yang dipimpin oleh Romaine-la-Prophétesse menduduki Léogâne dan Jacmel.

Pada bulan September 1791, golongan peladang kolonial kulit putih menyusun semula militia mereka sendiri dan menyerang balik golongan hamba, dengan membunuh kira-kira 15,000 orang warga kulit hitam. Pada 26 September 1791, bandar Cap-Français musnah dibakar oleh golongan pemberontak hamba.

Cap-Français dibakar apabila tercetusnya pemberontakan hamba. (ilustrasi: Jean-Louis Boquet)

Dutty Boukman, salah seorang pemimpin asal pemberontakan hamba pada bulan Ogos 1791, dibunuh oleh pihak berkuasa kolonial Perancis pada 7 November 1791.

Walaupun memperjuangkan kebebasan daripada perhambaan, golongan pemberontak hamba pada awalnya tidak menuntut kemerdekaan Saint-Domingue daripada Perancis. Kebanyakan pemimpin pemberontak itu menganggap mereka berjuang untuk Raja Perancis yang dipercayai telah mengeluarkan dekri yang membebaskan hamba tetapi diketepikan oleh pihak pentadbiran kolonial. Oleh itu, mereka menuntut hak mereka sebagai rakyat bebas Perancis yang telah diberikan oleh Raja Perancis.

Sebagai respon kepada pemberontakan hamba di Saint-Domingue, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan Perancis yang masih dikuasai oleh golongan monarkis-perlembagaan konservatif itu membatalkan hak warga kulit hitam bebas dan mulatto pada 24 September 1791, tetapi tindakan itu hanya menyemarakkan lagi api penentangan golongan mulatto dan warga kulit hitam bebas.

Golongan mulatto di bahagian selatan Saint-Domingue melancarkan pemberontakan bersenjata, dengan sebahagiannya bekerjasama dengan golongan hamba kulit hitam, untuk melawan golongan peladang kolonial kulit putih dan pihak berkuasa birokrat Perancis. Golongan pemberontak menyerang Port-au-Prince, ibu kota Saint-Domingue, pada bulan November 1791, memotong bekalan air dan menyekat akses bekalan makanan sebelum ditewaskan oleh tentera Perancis.

Menjelang tahun 1792, golongan pemberontak hamba telah menguasai satu pertiga daripada seluruh wilayah Saint-Domingue. Namun, pada bulan Mac 1792, gabungan tentera Perancis, golongan peladang kolonial kulit putih dan warga hitam bebas yang konservatif telah mematahkan pemberontakan di selatan yang dipimpin oleh Romaine-la-Prophétesse. Salah satu punca kekalahan pemberontakan hamba di selatan itu adalah André Rigaud (1761-1811), seorang pemimpin revolusioner mulatto yang merupakan pengganti kepada Vincent Ogé dan bertapak di Port-au-Prince, enggan bersekutu dengan massa pemberontak yang dipimpin oleh Romaine-la-Prophétesse, kerana takut pada massa hamba yang radikal.

Kerajaan pusat Perancis menyedari bahawa situasi pada masa itu adalah mengerikan bagi kelas pemerintah di Saint-Domingue. Pada 4 April 1792, Perhimpunan Perundangan Perancis berkompromi dengan memberikan hak sivil dan politik kepada orang kulit berwarna bebas di tanah jajahannya, tetapi pada masa yang sama mengerahkan 6,000 orang askar ke Saint-Domingue. Perhimpunan Perundangan Perancis pada masa itu bertekad untuk mematahkan pemberontakan hamba kulit hitam di Saint-Domingue.

Léger-Félicité Sonthonax (1763-1813), Étienne Polverel (1740-1795) dan Jean-Antoine Ailhaud (1749-1828) yang dihantar oleh kerajaan pusat di Paris ke Saint-Domingue sebagai Suruhanjaya Awam pada tahun 1792, pada awalnya mengumumkan bahawa mereka tidak berniat untuk menghapuskan perhambaan, tetapi datang untuk memastikan semua warga bebas di situ menikmati hak yang sama rata tanpa mengira warna kulit. Kedatangan Suruhanjaya Awam yang ditugaskan untuk melaksanakan dekri 4 April 1792 tentang kesamarataan hak bagi warga bebas, tidak disenangi oleh golongan peladang kolonial kulit putih. Golongan peladang kolonial kulit putih semakin memusuhi Revolusi Perancis dan menyertai puak Royalis yang kontra-revolusi untuk menentang pihak berkuasa Perancis.  

Britain dan Sepanyol memasuki gelanggang pertarungan kuasa di Saint-Domingue

Selepas golongan Girondin berkuasa di Paris berikutan Pemberontakan 10 Ogos 1792, Revolusi Perancis memasuki fasa baharu, begitu juga dengan pergolakan revolusi di Saint-Domingue. Sebagai reaksi kepada pelaksanaan hukuman mati Raja Louis XVI pada 21 Januari 1793, Sepanyol dan Portugal menyertai Gabungan Anti-Perancis untuk berperang dengan Perancis. Britain pula mengusir keluar Duta Perancis. Sebagai respon, Perancis mengisytihar perang ke atas Britain dan Belanda pada 1 Februari 1793.

Cap-Français dibakar lagi pada bulan Jun 1793. (ilustrasi: Jean-Baptiste Chapuy)

Golongan grand blanc yang tidak berpuas hati pada Léger-Félicité Sonthonax, pesuruhjaya awam yang memegang jawatan Gabenor-Jeneral Saint-Domingue pada masa itu, meminta pada kerajaan British untuk mengambil alih tanah jajahan itu daripada Perancis, dengan hasrat bahawa pihak British akan mengekalkan perhambaan di situ. Kerajaan British pada masa itu juga bimbang bahawa kejayaan pemberontakan hamba di Saint-Domingue akan memberi inspirasi kepada pemberontakan hamba di jajahan-jajahannya di rantau Caribbean. Lebih-lebih lagi, mengambil alih tanah jajahan Perancis yang terkaya itu sudah pasti akan memperkukuhkan kedudukan Britain dalam persaingan geopolitiknya dengan Perancis. Oleh itu, kerajaan British menandatangani persetujuan dengan perwakilan golongan grand blanc yang menjanjikan untuk memulihkan Ancien Régime, perhambaan dan diskriminasi terhadap golongan mulatto.

Tentera British dari Jamaica mendarat di Saint-Domingue pada bulan September 1793, dan memulakan pendudukan ke atas bahagian barat dan selatan Saint-Domingue. Sepanyol yang menguasai bahagian timur Pulau Hispaniola, juga melancarkan serangan ketenteraan ke atas Saint-Domingue pada bulan Julai 1793. Pada ketika itu, Revolusi Perancis memasuki fasa paling radikalnya apabila Pemberontakan 31 Mei – 2 Jun 1793 oleh golongan sans-culotte menjatuhkan kekuasaan golongan Girondin dan mengangkat golongan Jacobin-Montagne ke tampuk kekuasaan tertinggi di Paris.

Tentera British yang menceroboh Saint-Domingue pada awalnya adalah terlalu kecil bilangan anggotanya untuk menawan seluruh tanah jajahan itu. Tentera British hanya mampu menguasai beberapa buah kawasan kecil di persisiran pantai. Lebih-lebih lagi, banyak askar British mati kerana penyakit berjangkit seperti demam kuning, maka melemahkan lagi semangat tentera British. Oleh itu, golongan peladang kolonial kulit putih yang mengharapkan tentera British untuk mempertahankan kepentingan mereka itu amat berkecewa. Walau bagaimanapun, apabila kerajaan British menghantar ekspedisi ketenteraan dalam jumlah yang lebih besar, tentera British dapat menguasai lebih banyak kawasan, termasuk menawan Port-au-Prince pada bulan Jun 1794. Pendudukan tentera British di Saint-Domingue hanya bertahan selama 5 tahun.

Georges Biassou (1741-1801), salah seorang pemimpin awal pemberontakan hamba Saint-Domingue 1791. (ilustrasi: Juan López Cancelada)

Golongan pemberontak hamba kulit hitam pada asalnya bersekutu dengan Sepanyol dalam usaha melawan pihak berkuasa Perancis yang masih mengekalkan sistem perhambaan. Pemimpin-pemimpin pemberontak hamba seperti Georges Biassou dan Jean-François Papillon bersekutu secara rasminya dengan Sepanyol mulai bulan Mei 1793, selepas mereka ditawarkan tanah dan pengiktirafan kebebasan pemberontak hamba serta keluarga mereka. Toussaint Louverture (1744-1803), seorang bekas hamba yang berasal dari Cap-Français dan juga merupakan salah seorang pemimpin pemberontak, juga bersekutu dengan Sepanyol pada awalnya. Tentera Sepanyol yang dikerahkan dari Santo Domingo berjaya menakluki bahagian utara Saint-Domingue dengan bantuan tentera pemberontak hamba kulit hitam.

Penghapusan perhambaan

Berhadapan dengan ancaman hebat daripada Britain, Sepanyol dan golongan Royalis Perancis di Saint-Domingue (yang terdiri daripada golongan peladang kolonial kulit putih, khususnya grand blanc), pesuruhjaya-pesuruhjaya awam Perancis yang ditugaskan di Saint-Domingue, Léger-Félicité Sonthonax dan Étienne Polverel, kedua-duanya merupakan anggota Jacobin, mula menawarkan kebebasan kepada golongan hamba yang bersetuju untuk bertempur bersama-sama pihak kerajaan Republik Perancis. Kemudiannya di bawah tekanan massa yang hebat, mereka secara beransur-ansur membebaskan semua hamba di Saint-Domingue.

Léger-Félicité Sonthonax (1763-1813)

Léger-Félicité Sonthonax mengisytiharkan penghapusan perhambaan di bahagian utara Saint-Domingue pada 29 Ogos 1793; sementara Étienne Polverel mengumumkan penghapusan perhambaan di bahagian barat dan selatan pada 31 Oktober 1793. Sonthonax kemudiannya menghantar 3 orang wakil dari Saint-Domingue ke Paris pada bulan Januari 1794, untuk mendapatkan sokongan Konvensyen Kebangsaan dalam usaha pembebasan hamba.

Pada 4 Februari 1794, Konvensyen Kebangsaan Perancis yang didominasi oleh golongan Jacobin-Montagne pada masa itu mengundi untuk meluluskan dekri yang menghapuskan perhambaan di semua tanah jajahan Perancis. Konvensyen Kebangsaan juga memberikan hak sivil dan politik kepada semua lelaki kulit hitam di tanah jajahan. Jika bukannya pemberontakan hamba yang hebat, prinsip asas yang dibawa dalam Revolusi Perancis, “Liberté, Égalité, Fraternité” (“Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan”), tidak mungkin dapat direalisasikan di tanah jajahannya.

Georges Danton (1759-1794), salah seorang tokoh revolusioner Perancis yang hadir dalam persidangan Konvensyen Kebangsaan pada masa itu, berkata, “Wahai perwakilan rakyat Perancis, sehingga sekarang dekri-dekri kebebasan kita adalah mementingkan diri sendiri, dan hanya untuk diri kita sahaja. Namun, pada hari ini, kita mengisytiharkannya kepada alam semesta, dan generasi-generasi akan datang bakal bermegah dengan dekri ini; kita mengisytiharkan kebebasan sejagat… Kita berusaha untuk generasi-generasi masa hadapan; marilah kita melancarkan kebebasan ke dalam tanah jajahan; orang Inggeris sudah mati hari ini.” Ucapan Danton ini mencerminkan kebanggaan golongan revolusioner Perancis tentang kemenangan moral Perancis terhadap Britain dalam persoalan penghapusan perhambaan.

Tindakan penghapusan perhambaan oleh kerajaan Perancis terbukti berguna apabila ia berjaya memujuk sebahagian pemimpin pemberontak hamba untuk bertukar pendirian dan bersekutu dengannya, terutamanya Toussaint Louverture, pemimpin pemberontak hamba yang terbukti agak berwibawa dan berkesan dalam memajukan perjuangan revolusioner. Perubahan ini menandakan pembentukan perikatan antara dua revolusi yang hebat pada penghujung abad ke-18, iaitu Revolusi Perancis dan Revolusi Haiti.

Sepanyol diusir keluar

Pada bulan Mei 1794, Toussaint Louverture yang bersekutu dengan Sepanyol sebelum itu menukar pendiriannya dengan menyertai pihak Perancis. Tentera pemberontak hamba yang dipimpin oleh Toussaint Louverture melancarkan serangan secara mengejut terhadap tentera Sepanyol dan tentera pemberontak hamba lain yang masih bersekutu dengan Sepanyol.

Golongan pemberontak hamba yang bersekutu dengan Perancis berjaya mengusir keluar tentera Sepanyol dalam tempoh yang singkat. Tentera pemberontak hamba pimpinan Toussaint Louverture juga menewaskan tentera pemberontak hamba di bawah kepimpinan lain, seperti Georges Biassou dan Jean-François Papillon, yang masih bersekutu dengan Sepanyol.

Toussaint Louverture mengambil pendekatan yang berdamai dengan semua kumpulan etnik termasuk orang kulit putih. Dia menegaskan bahawa perjuangannya adalah untuk pembebasan hamba kulit hitam, dan bukannya untuk menuntut kemerdekaan daripada Perancis. Toussaint Louverture menyeru pada warga kulit putih yang masih hidup, termasuk bekas tuan hamba, untuk terus tinggal di situ dan bekerjasama dengannya dalam membina semula Saint-Domingue.

André Rigaud (1761-1811)

Di bahagian selatan Saint-Domingue, tentera campuran etnik yang bersekutu dengan Perancis dan dipimpin oleh André Rigaud telah menyekat kemaraan tentera British, dengan menawan Léogâne dan memaksa tentera British untuk berundur balik ke Port-au-Prince. Dalam tahun 1794 sahaja, sekurang-kurangnya 12,000 orang askar British mati dengan kebanyakannya oleh sebab penyakit demam kuning. André Rigaud cuba merampas semula Port-au-Prince daripada tentera British tetapi gagal. Walau bagaimanapun, André Rigaud berjaya menawan Tiburon di bahagian barat daya pada bulan Disember 1794.

Pada 22 Julai 1795, Perjanjian Damai Basel ditandatangani antara Perancis dan Sepanyol, dengan Sepanyol bersetuju untuk menyerahkan seluruh wilayah Santo Domingo yang dikuasainya kepada Perancis. Sepanyol membubarkan tentera warga kulit hitam yang bersekutu dengannya. Pemimpin-pemimpin pemberontak hamba kulit hitam yang bersekutu dengan Sepanyol, termasuk Jean-François Papillon dan Georges Biassou, meninggalkan Saint-Domingue tidak lama kemudian. Mereka pada awalnya tiba di Kuba, tetapi tidak dibenarkan masuk ke situ kerana pihak pemerintah kolonial Sepanyol di Kuba takut bahawa kehadiran mereka akan mencetuskan pemberontakan hamba besar-besaran di situ seperti yang berlaku di Saint-Domingue. Jean-François Papillon akhirnya berlayar ke Sepanyol, sementara Georges Biassou pergi ke Florida yang juga dikuasai oleh Sepanyol pada masa itu. Kebanyakan anggota tentera pemberontak hamba yang pernah bersekutu dengan Sepanyol tetapi tidak meninggalkan Saint-Domingue telah menyertai pasukan tentera yang dipimpin oleh Toussaint Louverture.

Pada 26 Oktober 1795, sebuah jawatankuasa 5-orang yang dikenali sebagai Direktorat menggantikan Konvensyen Kebangsaan sebagai badan pemerintahan utama di Perancis. Direktorat menghantar rombongan pesuruhjaya awam yang baharu ke Saint-Domingue untuk memastikan kekuasaan Perancis masih terlindung di situ. Namun, Toussaint Louverture sudah muncul sebagai pemimpin yang paling berpengaruh dan berkuasa sebenar di bahagian utara Saint-Domingue pada masa itu.

Toussaint Louverture semakin berkuasa

Sepanjang tahun 1795 dan 1796, Toussaint Louverture berusaha untuk memulihkan aktiviti ekonomi dan menjaga keamanan di kawasan yang dikuasainya. Toussaint Louverture percaya bahawa kebebasan jangka masa panjang untuk rakyat di Saint-Domingue bergantung pada daya maju ekonomi di situ. Toussaint Louverture cuba menggunakan kaedah yang menggabungkan pemujukan dan pemaksaan untuk memastikan golongan bekas hamba kembali ke ladang-ladang sebagai pekerja upahan yang bebas. Pekerja-pekerja yang bekerja di ladang-ladang sering mengadakan protes untuk membantah keadaan tempat kerja yang teruk dan kekurangan kebebasan sebenar. Pekerja-pekerja yang merupakan bekas hamba bimbang tentang pemulihan perhambaan. Kebanyakan golongan bekas hamba berharap untuk mendapatkan tanah pertanian kecil milik mereka sendiri dan bekerja sendiri di atasnya, bukannya diupah untuk bekerja di dalam ladang-ladang milik orang lain, di mana keadaan ladang masih tidak banyak berbeza berbanding sebelum penghapusan perhambaan.

Toussaint Louverture memeriksa tenteranya. (ilustrasi: John Kay, 1805)

Toussaint Louverture cuba menyerang tentera British, tetapi tidak dapat menyingkirkan mereka keluar dari Saint-Domingue. Oleh itu, Toussaint Louverture menggunakan taktik perang gerila untuk menyekat kemaraaan tentera British.

Étienne Maynaud de Bizefranc de Laveaux, Gabenor-Jeneral yang dilantik oleh kerajaan Perancis pada masa itu dan berpangkalan di Cap-Français, bekerjasama rapat dengan Toussaint Louverture. Laveaux membebaskan tahanan warga kulit hitam dan cuba mengawal golongan mulatto yang dianggap sudah menyalahgunakan hak mereka.

Sesetengah golongan mulatto yang dipengaruhi oleh fahaman rasis terhadap warga kulit hitam, terasa diancam oleh dasar pentadbiran Laveaux dan hubungan rapatnya dengan Toussaint Louverture. Oleh itu, mereka mengumpulkan tentera untuk melancarkan rampasan kuasa terhadap Gabenor-Jeneral Laveaux pada 20 Mac 1796. Laveaux dan orang-orang suruhannya ditahan di dalam penjara oleh golongan mulatto yang menentangnya. Namun, seminggu kemudian, Toussaint Louverture berarak dengan tenteranya ke Cap-Français untuk membebaskan Laveaux dan mengusir keluar golongan mulatto yang memberontak. Peristiwa ini menunjukkan peralihan ketara dalam imbangan kuasa di Saint-Domingue dan pengukuhan kedudukan Toussaint Louverture yang mendapat sokongan besar daripada massa warga kulit hitam. Untuk membalas budi Toussaint Louverture, Laveaux melantik Tossant Louverture sebagai Leftenan-Jeneral Saint-Domingue.

Pada 11 Mei 1796, tiga orang pesuruhjaya awam yang dilantik oleh Direktorat Perancis tiba di Saint-Domingue. Salah seorang pesuruhjaya awam yang dihantar itu ialah Léger-Félicité Sonthonax yang pernah memainkan peranan penting dalam memansuhkan perhambaan di Saint-Domingue. Pada awalnya, Sonthonax menjalin hubungan yang positif dengan Toussaint Louverture, dan melantik Toussaint Louverture sebagai jeneral. Namun, hubungan mereka semakin tegang apabila Toussaint Louverture cuba memperkukuhkan lagi kedudukannya sementara Sonthonax juga semakin popular dalam kalangan penduduk-penduduk Saint-Domingue oleh sebab pendirian tegasnya dalam mendukung kesamarataan kaum.

Pada tahun 1797, Toussaint Louverture mengatur kepulangan Sonthonax ke Perancis sebagai salah seorang ahli perwakilan yang dipilih dari Saint-Domingue. Apabila Sonthonax enggan berbuat demikian, Toussaint Louverture memaksa Sonthonax di bawah pengiring bersenjata untuk menaiki kapal yang belayar ke Perancis pada bulan Ogos 1797. Dengan itu, Toussaint Louverture berjaya menyingkirkan salah seorang pesaing politik utamanya pada masa itu.

Selepas kepulangan Sonthonax ke Perancis, Toussaint Louverture menjadi pemerintah sebenar di bahagian utara Saint-Domingue. Di bahagian selatan pula, Jeneral André Rigaud yang menolak kekuasaan pesuruhjaya awam dari Perancis menjadi pemerintah sebenar. Kedua-dua orang jeneral di utara dan selatan itu terus memberi tekanan kepada tentera British yang masih menduduki sebahagian kawasan Saint-Domingue.

Pada tahun 1798, Toussaint Louverture mengadakan rundingan dengan pihak British yang sudah dilemahkan kedudukannya di Saint-Domingue, dan mencapai persetujuan dengan pegawai tinggi tentera British, Thomas Maitland, di mana pihak British akan mengundurkan tenteranya dari bahagian barat Saint-Domingue sementara pihak Toussaint Louverture memberi pengampunan umum kepada golongan kontra-revolusioner Perancis yang bersekutu dengan Britain. Port-au-Prince dikembalikan kepada pemerintahan Perancis pada bulan Mei 1798.

Toussaint Louverture berunding dengan Thomas Maitland untuk pengunduran tentera British keluar dari Saint-Domingue. (ilustrasi: François Grenier de Saint-Martin / Jean-François Villain, 1821)

Pada 31 Ogos 1798, Toussaint Louverture dan Thomas Maitland menandatangani persetujuan bahawa tentera British mengundur keluar dari semua kawasan di Saint-Domingue, dan sebagai pertukarannya, Toussaint Louverture berjanji untuk tidak menyokong sebarang pemberontakan hamba di Jamaica yang dikuasai oleh Britain. Tentera British berundur keluar sepenuhnya dari Saint-Domingue pada penghujung tahun 1798. André Rigaud mengambil alih pekan Jérémie di barat daya Saint-Domingue yang diduduki oleh pihak British sebelum itu apabila tentera British berundur keluar.

Gabriel Hédouville, pesuruhjaya yang dilantik oleh Perancis dan tiba di Saint-Domingue pada bulan Mac 1798, cuba menangkap Moïse Hyacinthe, anak saudara angkat Toussaint Louverture, kerana dia enggan melucutkan senjata. Namun, Moïse Hyacinthe berjaya melarikan diri dan menyeru warga kulit hitam untuk memberontak terhadap pihak berkuasa kolonial Perancis. Toussaint Louverture mengarahkan orang kanannya, Jean-Jacques Dessalines (1758-1806), bersama-sama tenteranya supaya berarak ke Cap-Français untuk menangkap Gabriel Hédouville. Hédouville terpaksa meninggalkan Saint-Domingue dan pulang ke Perancis pada bulan Oktober 1789.

“Perang Pisau” dan penyatuan Hispaniola di bawah naungan Perancis

Selepas pengunduran tentera British, Toussaint Loverture memperkukuhkan dan menyusun semula tenteranya di utara untuk bersedia menghadapi ancaman daripada André Rigaud di selatan. Pada masa itu, banyak orang dalam kalangan golongan mulatto di seluruh Saint-Domingue telah menyertai tentera pimpinan André Rigaud di selatan.

Pada bulan Jun 1799, André Rigaud melancarkan serangan ke atas Petit-Goâve dan Grand-Goâve, maka mencetuskan “Perang Pisau” (1799-1800). Pasukan tentera pimpinan André Rigaud yang terdiri daripada kebanyakannya golongan mulatto itu membunuh ramai orang kulit hitam dan orang kulit putih. André Rigaud juga menghasut pemberontakan di bahagian utara, di bandar-bandar seperti Cap-Français, Port-de-Paix dan Môle-Saint-Nicolas. Toussaint Louverture merespon dengan mematahkan pemberontakan di utara dengan cepatnya. Pegawai-pegawainya, Henri Christophe dan Jean-Jacques Dessalines, mengenakan hukuman mati secara besar-besaran terhadap mereka disyaki terlibat dalam pemberontakan.

Walaupun kerajaan Amerika Syarikat tidak begitu senang dengan Toussaint Louverture, Tentera Laut Amerika Syarikat telah bersetuju untuk memberi sokongan kepada tentera Toussaint Louverture, kerana hubungan rapat André Rigaud dengan Perancis memberi ancaman kepada kepentingan perdagangan Amerika Syarikat.

Tentera Toussaint Louverture menyerang dan menawan bandar Jacmel pada bulan Mac 1800. André Rigaud yang ditewaskan itu melarikan diri keluar dari Saint-Domingue. Toussaint Louverture mengisytihar pengampunan umum pada bulan Julai 1800. Namun, jeneral di bawah kepimpinannya, Jean-Jacques Dessalines, tidak mempedulikan perintah pengampunan itu, malah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penyokong-penyokong André Rigaud.

Pada bulan Disember 1800, Toussaint Louverture mengarahkan pencerobohan tentera ke dalam wilayah Santo Domingo di bahagian timur Pulau Hispaniola. Walaupun Sepanyol telah bersetuju untuk menyerahkan Santo Domingo kepada Perancis selepas Perjanjian Damai Basel pada tahun 1795, jajahan itu masih dikuasai oleh pihak pentadbiran kolonial Sepanyol pada masa itu. Toussaint Louverture menceroboh Santo Domingo atas nama mengambil alih tanah jajahan itu bagi pihak Perancis.

Semasa tentera Toussaint Louverture berarak masuk ke wilayah Santo Domingo, golongan buruh kulit hitam di bahagian utara wilayah itu bangkit memberontak untuk menyokong Toussaint Louverture. Moïse Hyacinthe pula berarak ke bahagian selatan dengan tentera sebanyak 10,000 orang. Gabenor Santo Domingo yang dilantik oleh Sepanyol pada masa itu menyerah kalah sebulan kemudian pada bulan Januari 1801.

Selepas menakluki Santo Domingo, Toussaint Louverture meletakkannya di bawah undang-undang Perancis dan menghapuskan perhambaan. Dengan itu, Toussaint Louverture menguasai seluruh Pulau Hispaniola. Pada bulan Julai 1801, Toussaint Louverture mengemukakan sebuah perlembagaan baharu untuk Saint-Domingue yang mengisytihar dirinya sebagai Gabenor-Jeneral seumur hidup. Walaupun perlembagaan Toussaint Louverture masih menganggap Saint-Domingue sebagai sebuah jajajah di bawah Perancis, Toussaint Louverture telah menyeru untuk autonomi warga kulit hitam dan sebuah negara warga kulit hitam yang berdaulat.

Pada bulan Oktober 1801, tercetusnya pemberontakan massa di bahagian utara Saint-Domingue untuk menentang rejim Toussaint Louverture. Golongan pemberontak mendukung pengagihan semula tanah kepada pekerja-pekerja dan mengecam tindakan Toussaint Louverture yang mengeksploitasi tenaga buruh massa untuk kepentingan Perancis. Pemberontakan ini dipimpin oleh Moïse Hyacinthe, anak saudara angkat Toussaint Louverture yang menyokong golongan buruh kulit hitam. Pemberontakan ini dipatahkan oleh Toussaint Louverture, dengan bantuan daripada Henri Christophe dan Jean-Jacques Dessalines. Kira-kira 1,000 orang pemberontak dibunuh. Moïse Hyacinthe ditahan, dibicarakan tanpa diberi peluang membela diri dan dihukum mati secara penembakan.

Golongan pemberontak hamba kulit hitam bertempur dengan tentera Perancis yang dihantar oleh Napoleon ke Saint-Domingue. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Napoleon cuba kembalikan perhambaan di Saint-Domingue

Semasa berlakunya “Perang Pisau” di Saint-Domingue, Napoleon Bonaparte merampas kuasa di Perancis pada 9 November 1799 dalam kudeta 18 Brumaire. Sebelum Napoleon mengambil alih kuasa pemerintahan, Republik Perancis yang lahir daripada gelombang revolusi yang hebat itu sudah beralih ke politik berhaluan kanan berikutan Reaksi Thermidor pada 27 Julai 1794, iaitu 5 bulan selepas Konvensyen Kebangsaan yang dikuasai oleh golongan Jacobin yang radikal memansuhkan perhambaan di semua tanah jajahan Perancis. Perampasan kuasa oleh Napoleon hanya memperkukuhkan kuasa politik berhaluan kanan dengan matlamat melindungi kepentingan kuasa imperialis Perancis. Pada ketika Napoleon bersiap sedia untuk menobatkan dirinya sebagai Maharaja Perancis yang pertama, dia juga merancang untuk memulihkan perhambaan di empayar kolonial itu.

Dengan menganggap Toussaint Louverture sebagai ancaman kepada kepentingan kuasa imperialis Perancis, Napoleon mengerahkan ekspedisi ketenteraan dengan 20,000 orang askar ke Saint-Domingue pada bulan Disember 1801 untuk memulihkan kekuasaan kolonial Perancis dan juga mengembalikan perhambaan di situ. Tentera Perancis yang dikerahkan untuk menceroboh Saint-Domingue itu diketuai oleh Charles Leclerc, adik ipar Napoleon. Tentera Perancis itu turut disertai pemimpin-pemimpin tentera mulatto yang melarikan diri sebelum itu, seperti André Rigaud dan Alexandre Pétion (1770-1818).

Apabila tentera Perancis tiba di Cap-Français pada 2 Februari 1802, Charles Leclerc mengarahkan Henri Christophe (1767-1820), ketua komander tentera di situ untuk menyerahkan bandar itu kepada pihak Perancis. Namun, Henri Christophe membalas Leclerc dengan surat yang bertulis, “Kamu hanya akan memasuki bandar Cap, selepas melihatnya dibakar menjadi abu. Dan walaupun di atas abu ini, aku akan melawan kau.” Tentera Perancis cuba menawan Cap-Français, tetapi tentera bekas hamba yang enggan menyerah diri itu membakar bandar itu.

Leclerc menghantar surat kepada Toussaint Louverture dengan janji bahawa pihak Perancis akan melindungi hartanya dan tidak akan mengganggu kebebasan warga Saint-Domingue, dengan niat memujuknya untuk menyerah diri. Namun, apabila Toussaint Louverture tidak tampil menghadap pihak Perancis, Leclerc mengisytihar pada 17 Februari 1802 bahawa Toussaint Louverture dan Henri Christophe merupakan penjenayah yang diburu oleh pihak berkuasa Perancis.

Pertempuran Ravine-à-Couleuvre pada 23 Februari 1802. (ilustrasi: Karl Girardet / Jean Outhwaite)

Toussaint Louverture menggunakan taktik “bumi hangus” untuk melawan tentera penceroboh Perancis. Jean-Jacques Dessalines, jeneral di bawah arahan Toussaint Louverture, menyerang bandar Léogâne yang terletak di bahagian tenggara Saint-Domingue, dan membunuh semua warga kulit putih di situ. Dessalines menimbunkan mayat-mayat yang reput secara terbuka untuk mengintimidasi tentera Perancis yang tiba di bandar yang dimusnahkan itu.

Leclerc mengarahkan empat divisyen tentera Perancis untuk mara ke Gonaives di bahagian utara di mana terletaknya pangkalan utama tentera Toussaint Louverture. Salah sebuah divisyen tentera Perancis diketuai oleh Donatien de Rochambeau, seorang jeneral berfahaman rasis ketuanan orang kulit putih yang mendukung perhambaan dan membenci pada rakyat Saint-Domingue yang menuntut kebebasan. Toussaint Louverture cuba menghalang kemaraan Rochambeau di Ravine-à-Couleuvre, sebuah galur yang sempit di kawasan pergunungan. Dalam Pertempuran Ravine-à-Couleuvre yang berlaku pada 23 Februari 1802, pasukan tentera yang dipimpin oleh Toussaint Louverture menentang tentera Perancis dengan bersungguh-sungguh, tetapi terpaksa berundur selepas mengalami pengorbanan nyawa askar yang besar.

Pertempuran Crête-à-Pierrot pada bulan Mac 1802. (ilustrasi: Auguste Raffet / Ernest Hébert, 1839)

Dalam Pertempuran Crête-à-Pierrot pada dari 4 hingga 24 Mac 1802, tentera Perancis yang diketuai oleh Leclerc menyerang sebuah kubu di lembah Sungai Artibonite yang dipertahankan oleh tentera yang dipimpin oleh Jean-Jacques Dessalines. Tentera Dessalines meninggalkan kubu itu selepas mengalami kehilangan nyawa anggota yang besar, tetapi tentera Perancis juga mengalami kematian yang hebat. Semasa tentera Perancis membedil kubu itu dengan tembakan meriam, tentera bekas hamba yang bertahan di situ membalas dengan nyanyian lagu-lagu Revolusi Perancis, dengan seruan meraikan hak kebebasan dan kesamarataan untuk semua orang. Tindakan perang psikologi itu menyebabkan ramai askar Perancis tertanya-tanya kenapa mereka bertempur dengan rakyat Saint-Domingue yang hanya menuntut hak-hak yang dijanjikan oleh Revolusi Perancis untuk menjadikan semua orang bebas.

Selepas Pertempuran Crête-à-Pierrot, penyokong-penyokong Toussaint Louverture kembali menggunakan taktik perang gerila untuk menggantikan kaedah perang konvensional. Apabila tibanya musim hujan dan nyamuk mula membiak di dalam air bertakung, wabak demam kuning yang menular itu telah meragut nyawa ribuan orang askar Perancis.

Walaupun tentera Perancis nampaknya dilemahkan oleh serangan wabak penyakit, situasi berubah secara tiba-tiba apabila Henri Christophe, yang dipujuk untuk mempercayai bahawa Leclerc tidak akan memulihkan perhambaan dan jawatan jeneralnya dalam tentera Perancis akan dikekalkan, berpaling padah kepada pihak Perancis. Jean-Jacques Dessalines juga berbuat demikian tidak lama kemudian. Pihak Perancis cuba memujuk Toussaint Louverture dengan janji bahawa dia akan bebas jika dia bersetuju untuk mengintegrasikan tentera yang dipimpinnya itu ke dalam tentera Perancis.

Pada 6 Mei 1802, Toussaint Louverture pergi ke Cap-Français dan berunding dengan pihak Perancis, untuk mendapatkan pengampunan bagi dirinya dan jeneral-jeneral yang masih belum menyerah diri. Leclerc berjanji pada Toussaint Louverture bahawa perhambaan tidak akan dipulihkan di Saint-Domingue, warga kulit hitam boleh menjadi pegawai dalam tentera Perancis, dan tentera pemberontak di Saint-Domingue dibenarkan untuk berintegrasi ke dalam tentera Perancis. Toussaint Louverture juga dijanjikan sebuah ladang di Ennery yang terletak di bahagian tengah Saint-Domingue.

Toussaint Louverture di dalam penjara Perancis. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Namun, tidak lama kemudian, Toussaint Louverture mendapati dirinya telah ditipu, apabila dia ditangkap oleh pihak berkuasa Perancis pada 7 Jun 1802 dan dihantar dengan kapal ke Perancis. Apabila menaiki kapal yang menghantarnya ke Perancis, Toussaint Louverture memberi amaran kepada orang yang menahannya bahawa golongan pemberontak tidak akan mengulangi kesilapannya, dengan berkata, “Dengan menggulingkan aku, kamu hanya telah menebang batang pokok kebebasan di Saint-Domingue; ia akan bertumbuh semula dari akarnya, kerana ia adalah banyak dan ia adalah mendalam.”

Toussaint Louverture dipenjarakan di Fort-de-Joux yang terletak di Doubs, bahagian timur Perancis. Toussaint Louverture mati di dalam penjara pada 7 April 1803.

Penumpasan Toussaint Louverture hanya mendatangkan “keamanan” yang sementara kepada pihak berkuasa kolonial Perancis di Saint-Domingue. Gerakan penentangan muncul semula di bahagian selatan Saint-Domingue pada bulan Julai 1802, dengan objektif untuk mengusir keluar penjajah Perancis. Golongan bekas hamba kulit hitam dan golongan mulatto amat gusar tentang tindakan pihak berkuasa kolonial yang berniat untuk memulihkan perhambaan. Cubaan Leclerc untuk melucutkan senjata dan menindas golongan buruh, mencetuskan gelombang pemberontakan baharu, dengan ramai orang menyertai pasukan gerila bekas hamba di kawasan pergunungan.

Pihak berkuasa kolonial Perancis membunuh golongan pemberontak kulit hitam dengan pelbagai cara yang kejam. (ilustrasi: Marcus Rainsford)

Pihak berkuasa Perancis melaksanakan hukuman mati secara besar-besaran terhadap penduduk-penduduk Saint-Domingue yang melawannya, dengan menggunakan kaedah skuad penembak, gantung sampai mati dan menenggelamkan orang yang diletakkan dalam beg. Malah, Donatien de Rochambeau, jeneral Perancis yang menggantikan Charles Leclerc (yang mati pada bulan November 1802 kerana demam kuning yang turut membunuh ramai askarnya) sebagai ketua komander tentera ekspedisi Perancis di Saint-Domingue, membangunkan kaedah “bilik gas” yang pertama, di mana dia mengumpulkan tahanan-tahanan perang kulit hitam di dalam ruang tertutup kapal kargo dan membakar sulfur untuk melepaskan sulfur dioksida yang melemaskan mereka di dalamnya. Donatien de Rochambeau juga mengimport kira-kira 15,000 ekor anjing ganas dari luar untuk dilatih supaya menyerang golongan orang kulit hitam dan golongan mulatto. Taktik zalim yang digunakan oleh Donatien de Rochambeau untuk membunuh golongan yang mencabar kekuasaan pemerintahan kolonial Perancis, yang serupa dengan “genosid”, telah “menyatukan” golongan orang kulit hitam dan golongan mulatto dalam perjuangan menentang penjajahan Perancis.

Apabila mendapati bahawa pihak berkuasa kolonial Perancis masih berniat untuk memulihkan perhambaan di Saint-Domingue, seperti yang telah dilakukannya di Guadeloupe, Jean-Jacques Dessalines berpaling padah lagi pada bulan Oktober 1802 dan menyambung perjuangan yang ditinggalkan oleh Toussaint Louverture. Alexandre Pétion, pemimpin tentera mulatto yang pernah bersekutu dengan André Rigaud dan berpihak kepada Perancis sebelum itu, juga bertukar pendiriannya dan bersekutu dengan Jean-Jacques Dessalines untuk melawan pihak kolonial Perancis. Revolusi Haiti memasuki fasa kritikal yang baharu, dengan golongan pemberontak yang terdiri daripada bekas hamba kulit hitam dan mulatto memperjuangkan pembebasan sepenuhnya daripada cengkaman kuasa imperialis kolonial Perancis.

Tentera pemberontak Haiti bertempur dengan askar-askar Poland yang berkhidmat untuk pihak Perancis. (ilustrasi: January Suchodolski, 1845)

Perang Kemerdekaan Haiti

Tentera yang dipimpin oleh Jean-Jacques Dessalines dikenali sebagai “Tentera Pribumi” (Armée Indigène), walaupun masyarakat pribumi Taíno tidak lagi wujud di Saint-Domingue apabila tercetusnya Revolusi Haiti. Dessalines menggunakan istilah itu untuk membezakan golongan pemberontak daripada golongan peladang kolonial kulit putih, supaya menyatukan golongan orang kulit hitam dan golongan mulatto dalam satu matlamat bersama, iaitu mengusir keluar orang Perancis.

Selain merupakan seorang pemimpin tentera yang agak cekap dalam peperangan, Jean-Jacques Dessalines juga setanding dengan Donatien de Rochambeau dalam menggunakan keganasan yang melampau terhadap musuh-musuhnya. Apabila Rochambeau menggantung mati 500 orang warga kulit hitam di Cap-Français, Dessalines membalas dengan membunuh 500 orang kulit putih dan melekatkan kepala mereka di atas tombak yang dipacak mengelilingi bandar Cap-Français, supaya orang Perancis boleh lihat apa yang akan dilakukannya terhadap mereka.

Penularan wabak demam kuning telah meragut nyawa banyak anggota tentera Perancis. Menjelang bulan Julai 1802, tentera Perancis telah kehilangan kira-kira 10,000 orang askarnya kerana demam kuning.

Pada tahun 1802 juga, Napoleon telah menghantar Legion Poland yang terdiri daripada 5,800 orang askar ke Saint-Domingue untuk mematahkan pemberontakan hamba di situ. Askar-askar dari Poland itu pada asalnya diberitahu bahawa mereka dihantar untuk mematahkan pemberontakan banduan, tetapi apabila tiba di situ, mereka mendapati bahawa apa yang berlaku adalah golongan hamba memberontak untuk memperjuangkan kebebasan mereka daripada golongan tuan hamba yang berasal dari Perancis. Pada masa itu, warga Poland sendiri sedang berjuang untuk membebaskan diri mereka daripada Rusia, Prusia dan Austria yang menduduki tanah air mereka. Oleh itu, ramai dalam kalangan askar-aksar Legion Poland mengagumi pejuang-pejuang pemberontak hamba di Saint-Domingue, sehingga ada yang berpaling padah dan menyertai golongan pemberontak Saint-Domingue. Penyertaan askar-askar Poland itu memainkan peranan yang ketara dalam menjayakan Revolusi Haiti. Sokongan askar-askar Poland kepada perjuangan revolusioner di Saint-Domingue menunjukkan solidariti antara dua bangsa yang dipisahkan oleh Lautan Atlantik dalam perjuangan bersama untuk menuntut pembebasan. Jean-Jacques Dessalines menggelar orang Poland sebagai “Negro dari Eropah”.

Britain yang tidak berpuas hati dengan kekalahannya pada Perancis dalam Perang Gabungan Kedua (1798-1802) dan semakin marah dengan tindakan Napoleon yang menyusun semula sistem kekuasaan antarabangsa di Eropah pada masa itu, melancarkan lagi perang ke atas Perancis pada bulan Mei 1803. Oleh itu, Britain yang sudah berundur keluar dari Saint-Domingue pada tahun 1798 itu bersekutu dengan tentera pemberontak di Saint-Domingue untuk melemahkan kekuasaan Perancis di rantau Caribbean. Tentera Laut British menghantar sebuah skuadron dari Jamaica ke kawasan perairan Saint-Domingue untuk memutuskan komunikasi antara pos-pos kawalan Perancis dan menawan kapal-kapal perang Perancis yang berpangkalan di situ.

Sekatan yang dikenakan oleh Tentera Laut British terhadap Saint-Domingue bukan sahaja memutuskan tentera Perancis daripada bantuan ketenteraan dan bekalan dari Perancis, ia juga membekalkan persenjataan kepada Tentera Pribumi di situ.

Tentera Laut British mengenakan sekatan laut ke atas Saint-Domingue dan bertempur dengan kapal perang Perancis. (ilustrasi: Louis-Philippe Crépin, 1819)

Menjelang musim panas tahun 1803, Tentera Pribumi yang dipimpin oleh Jean-Jacques Dessalines hampir menguasai seluruh Saint-Domingue. Di bahagian utara Saint-Domingue, tentera Perancis diasingkan di Cap-Français dan Môle-Saint-Nicolas, dua buah bandar pelabuhan yang utama, dan beberapa buah petempatan lebih kecil yang disalurkan bekalan oleh tentera laut Perancis yang berpangkalan di Cap-Français.

Tentera Perancis berundur keluar dari Jérémie di bahagian selatan pada bulan Ogos 1803. Tentera Perancis juga berundur keluar dari Port-au-Prince pada bulan Oktober 1803 apabila Donatien de Rochambeau memutuskan untuk menumpukan tentera Perancis yang masih tinggal itu di Cap-Français di bahagian utara. Jean-Jacques Dessalines dengan tenteranya yang berarak masuk ke Port-au-Prince disambut oleh 100 orang warga kulit putih yang masih tinggal di situ, tetapi untuk membalas dendam terhadap layanan buruk yang diberikan oleh orang Perancis semasa dia masih seorang hamba, Dessalines mengarahkan untuk menggantung mati kesemua 100 orang warga kulit putih itu. Tentera pemberontak juga mengambil alih Les Cayes di bahagian selatan pada bulan Oktober 1803.

Pertempuran Vertières pada 18 November 1803. (ilustrasi: Ulrick Jean-Pierre)

Dalam Pertempuran Vertières yang berlaku pada 18 November 1803 di kawasan berdekatan dengan Cap-Français, Tentera Pribumi yang dipimpin oleh Jean-Jacques Dessalines menumpaskan tentera kolonial Perancis yang masih tinggal. Memandangkan pemerintahan kolonial Perancis tidak mungkin lagi dapat bertahan, Donatien de Rochambeau bersetuju untuk gencatan senjata dan mengundurkan tentera Perancis keluar dari Saint-Domingue.

Tentera Perancis yang masih tinggal di Môle-Saint-Nicolas berundur keluar pada 28 November 1803. Jean-Jacques Dessalines yang memimpin 8,000 orang tentera pemberontak mengambil alih Cap-Français pada 30 November 1803 dan menamakan semula bandar itu kepada Cap-Haïtien.

Bermula dari Napoleon mengerahkan tentera Perancis untuk mengekalkan penjajahan dan memulihkan perhambaan di Saint-Domingue pada penghujung tahun 1801 sehingga tentera Perancis berundur keluar dari situ, kira-kira 50,000 orang anggota tentera Perancis mati terkorban. Pengunduran keluar tentera Perancis dari Saint-Domingue, bermakna kuasa imperialis Perancis kehilangan tanah jajahannya yang paling penting dan paling kaya di rantau Caribbean.

Terbitan Perisytiharan Kemerdekaan Haiti 1804

Kelahiran republik warga kulit hitam yang pertama

Pada 1 Januari 1804, di bandar Gonaïves yang terletak di bahagian utara Saint-Domingue, Jean-Jacques Dessalines mengisytiharkan kemerdekaan Saint-Domingue secara rasminya daripada pemerintahan kolonial Perancis, dan menamakan negara baharu itu sebagai “Haiti”, nama asal yang digunakan oleh masyarakat orang asal Taíno ke atas Pulau Hispaniola.

Revolusi Haiti, yang berlarutan selama lebih 12 tahun dari tahun 1791 hingga 1804, merupakan satu-satunya pemberontakan hamba yang berjaya dalam sejarah. Sebelum itu, adalah sukar untuk membayangkan bahawa golongan hamba kulit hitam yang sering tunduk dengan perasaan takut di hadapan tuan hamba kulit putih itu mampu mengubah nasib mereka dengan menjelma ke dalam sebuah bangsa yang berorganisasi untuk memperjuangkan pembebasan dan menewaskan kuasa-kuasa Eropah yang paling kuat pada masa itu (iaitu Sepanyol, Britain dan Perancis). Ini merupakan perjuangan revolusioner yang penuh epik dan mengagumkan.

Revolusi Haiti melahirkan sebuah negara baharu yang bebas daripada perhambaan. Haiti menjadi negara berdaulat pertama yang diasaskan oleh golongan bekas hamba kulit hitam, dan negara moden kedua di Hemisfera Barat yang mencapai kemerdekaan daripada kuasa imperialis Eropah, selepas Amerika Syarikat. Haiti juga merupakan negara berdaulat pertama di Amerika yang menghapuskan perhambaan secara berkekalan, enam dekad lebih awal berbanding Amerika Syarikat.

Kemerdekaan Haiti datang dengan pengorbanan yang besar, dengan kira-kira 200,000 orang Haiti mati antara tahun 1791 dan 1803 dalam perjuangan menuntut pembebasan diri daripada perhambaan dan penjajahan imperialis Perancis. Berbeza dengan tentera Eropah (Perancis dan Britain) yang majoritinya mati kerana demam kuning, kebanyakan orang Haiti mati kerana keganasan pihak pemerintah kolonial Eropah.

“Adalah tidak cukup untuk menghalau orang gasar yang menumpahkan darah ke atas tanah kita selama dua abad; adalah tidak cukup untuk menyekat puak-puak yang sentiasa berubah yang satu demi satu mempersendakan bayangan kebebasan yang digantung oleh Perancis di hadapan anda,” begitu tulisnya Perisytiharan Kemerdekaan Haiti. “Kita harus, dengan tindakan kekuasaan nasional yang terakhir, memastikan empayar kebebasan kekal di bumi kelahiran kita selama-lamanya; kita harus membuang sebarang harapan untuk memperhambakan semula diri kita daripada kerajaan yang tidak berperikemanusiaan yang selama ini mengekalkan kita dalam kehinaan yang paling memalukan. Akhirnya, kita harus hidup merdeka atau mati.”

“Kemerdekaan atau kematian… biarlah kata-kata suci ini menyatukan kita dan menjadi isyarat pertempuran dan penyatuan semula kita.” – Perisytiharan Kemerdekaan Haiti (1804)

Bendera Haiti (1803-1804)

Kebebasan atau kematian” (liberté ou la mort) ialah tulisan yang tertera di atas bendera yang dikibarkan oleh golongan revolusioner Haiti. Bendera kebangsaan Haiti yang paling awal diwujudkan pada 18 Mei 1803 di Arcahaie yang terletak kira-kira 80 km ke utara Port-au-Prince, semasa pertemuan antara pemimpin-pemimpin tentera pemberontak yang menentang kuasa penjajah Perancis. Dalam pertemuan itu, pemimpin-pemimpin tentera daripada golongan bekas hamba kulit hitam dan golongan mulatto mewujudkan perikatan untuk melawan musuh bersama mereka (iaitu tentera kolonial Perancis), dan menyokong Jean-Jacques Dessalines sebagai pemimpin revolusi. Jean-Jacques Dessalines mengoyak keluar bahagian putih di tengah-tengah bendera Perancis yang mempunyai tiga jalur berwarna, dan meminta anak perempuan angkatnya, Catherine Flon, untuk menjahit dua jalur yang tertinggal itu ke dalam sehelai bendera. Dengan warna putih yang dianggap mewakili golongan penjajah kulit putih itu disingkirkan, warna biru di atas bendera Haiti yang baharu itu mewakili warga kulit hitam, sementara warna merah mewakili golongan mulatto dan orang kulit berwarna yang lain.

Toussaint Louverture (1743-1803) (ilustrasi: Alexandre-François-Louis de Girardin)

Toussaint Louverture

Walaupun tidak sempat melihat kejayaan Revolusi Haiti yang muktamad dan pembentukan negara baharu yang dikuasai oleh golongan bekas hamba kulit hitam, peranan yang dimainkan oleh Toussaint Louverture yang mati hampir 9 bulan sebelum kemerdekaan Haiti itu memang tidak boleh dinafikan.

Toussaint Louverture (1743-1803) ialah tokoh revolusioner yang paling terkenal dalam Revolusi Haiti. Dia dilahirkan sebagai seorang hamba di sebuah ladang gula. Dia mendapat kebebasan daripada perhambaan pada umur 30 tahun dan mula mengumpul kekayaan dirinya, malah pernah memiliki hamba sendiri. Dengan pendidikan yang tidak begitu banyak, Toussaint Louverture mampu belajar tentang idea-idea untuk pembebasan dan bagaimana mencapainya melalui penglibatannya dalam pemberontakan hamba yang tercetus pada tahun 1791. Toussaint Louverture bukannya pemimpin pemberontakan hamba yang paling awal di Haiti, tetapi dia muncul sebagai pemimpin revolusioner yang paling berpengaruh dalam tempoh satu dekad selepasnya.

“Saudara-saudara dan rakan-rakan sekalian, saya Toussaint Louverture; mungkin nama saya sudah anda kenali,” kata Toussaint Louverture di hadapan warga kulit hitam di Kem Turel pada 29 Ogos 1793. “Saya telah mula membalas dendam. Saya mahu Kebebasan dan Kesamarataan memerintah di Saint-Domingue. Saya sedang berusaha untuk merealisasikannya. Bersatulah dengan kami, saudara-saudara sekalian, dan berjuang bersama kami untuk matlamat yang sama.”

Toussaint Louverture di medan perang. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Toussaint Louverture terbukti seorang pemimpin pemberontakan yang mampu mengarahkan perjuangan untuk menuju kejayaan. Toussaint Louverture memahami bahawa kuasa-kuasa besar Eropah mempunyai kepentingan masing-masing dan perikatan antara kuasa-kuasa besar sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Sepanjang penglibatannya dalam revolusi, Toussaint Louverture bersekutu dengan kuasa-kuasa besar Eropah yang berbeza pada masa yang berbeza, bergantung pada keadaan sama ada kerjasama itu memanfaatkan matlamat perjuangannya atau tidak.

Toussaint Louverture memiliki kuasa politik yang besar di Saint-Domingue mulai tahun 1797, menjadikannya pemerintah yang sebenar di situ. Dalam tempoh empat tahun selepas itu, Toussaint Louverture berjaya menyingkirkan semua tentera asing yang menceroboh Saint-Domingue, di samping mematahkan pergolakan politik dalaman. Toussaint Louverture mencabar kekuasaan Napoleon dengan mengisytihar dirinya sebagai Gabenor-Jeneral seumur hidup pada tahun 1801.

Selepas menguasai Santo Domingo, dan menjelang ulang tahun ke-7 penghapusan perhambaan oleh kerajaan Perancis, Toussaint Louverture menubuhkan sebuah perhimpunan perlembagaan pada 4 Februari 1801 untuk merangka perlembagaan baharu bagi seluruh Pulau Hispaniola yang berada di bawah naungan Perancis pada masa itu. Perwakilan untuk perhimpunan perlembagaan itu dipilih pada bulan Mac 1801 dan selesai merangka perlembagaan bagi Saint-Domingue pada bulan Mei 1801. Toussaint Louverture meratifikasi perlembagaan baharu itu pada 7 Julai 1801.

Satu lagi lukisan yang menampilkan Toussaint Louverture. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Perhimpunan perlembagaan yang merangka Perlembagaan 1801 itu terdiri daripada 7 orang warga kulit putih dan 3 orang mulatto. Selain mengesahkan kekuasaan Toussaint Louverture, Perlembagaan 1801 yang boleh dikatakan sebagai penjelmaan pemikiran Toussaint Louverture dalam bentuk undang-undang itu memansuhkan perhambaan. Perkara 3 dalam Perlembagaan 1801 menyatakan dengan jelas, “Tidak boleh wujudnya hamba di wilayah ini; perhambaan telah dihapuskan selama-lamanya. Semua orang dilahirkan bebas, hidup dan mati di sini dengan bebas sebagai warga Perancis.”

Perlembagaan 1801 tidak mengisytiharkan kemerdekaan Saint-Domingue, dengan Perkara 1 Perlembagaan itu menyatakan bahawa Saint-Domingue dan pulau-pulau yang berdekatan sebagai sebuah tanah jajahan yang merupakan sebahagian daripada Empayar Perancis. Oleh sebab Toussaint Louverture ialah seorang penganut agama Katolik Rom yang setia dan tidak menggalakkan agama Vodou yang diamalkan oleh kebanyakan golongan warga kulit hitam di Haiti, Perkara 6 Perlembagaan 1801 mengiktiraf Katolik sebagai satu-satunya agama rasmi di Saint-Domingue. Selain itu, Perlembagaan 1801 juga memperkenalkan amalan konservatif yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem kekeluargaan patriarki, seperti Perkara 10 yang melarang penceraian pasangan yang sudah berkahwin.

Perkara 28 Perlembagaan 1801 menjadikan Toussaint Louverture sebagai Gabenor Saint-Domingue untuk seumur hidupnya, dan Perkara 30 memberikan kuasa kepada Toussaint Louverture untuk memilih orang yang menggantikan jawatan itu selepas kematiannya, walaupun Perkara 29 menyatakan bahawa jawatan Gabenor selepasnya ditentukan setiap 5 tahun dengan orang yang dilantik itu boleh meneruskan dengan penggal 5 tahun lagi jika menjalankan pentadbiran yang baik. Yang anehnya, pendekatan untuk menjadikan dirinya sebagai pemerintah seumur hidup dalam Perlembagaan 1801, merupakan cadangan yang diberikan kepada Toussaint Louverture oleh Alexander Hamilton, tokoh Revolusi Amerika yang paling konservatif, semasa dia membantu perhimpunan perlembagaan Saint-Domingue untuk merangka perlembagaan baharu bagi tanah jajahan itu.

Semasa Toussaint Louverture berkuasa di Saint-Domingue, sistem kerajaan disusun semula, mahkamah keadilan ditubuhkan dan sekolah-sekolah awam dibina. Ini telah membawa pembaharuan sosial yang mengubah imbangan kuasa antara kelas-kelas sosial di Saint-Domingue, maka menyediakan asas kepada kemerdekaan Haiti tidak lama kemudian.

Visi asal Toussaint Louverture bukannya sebuah negara Haiti yang merdeka, tetapi lebih kepada membebaskan golongan hamba kulit hitam di Saint-Domingue daripada perhambaan, dan membina semula ekonomi perladangan di situ melalui buruh upahan yang bebas daripada perhambaan. Toussaint Louverture boleh dikatakan sebagai seorang pejuang revolusioner borjuis yang mengilhamkan sebuah ekonomi kapitalis moden yang dibina di atas asas buruh “bebas” yang tiada lagi perhambaan terhadap warga kulit hitam. Toussaint Louverture menganggap bahawa Saint-Domingue yang bebas daripada perhambaan itu masih akan merupakan tanah jajahan Perancis, tetapi warga bebas di situ dapat mengubah nasib mereka berdasarkan prinsip-prinsip sejagat yang diperjuangkan dalam Revolusi Perancis. Toussaint Louverture boleh dikatakan sebagai seorang Jacobin kulit hitam.

Namun, apa yang tidak disedari oleh Toussaint Louverture adalah, hasil Revolusi Perancis telah diculik oleh golongan berhaluan kanan melalui Reaksi Thermidor yang menjatuhkan pemerintahan Jacobin diikuti dengan kudeta 18 Brumaire yang membolehkan Napoleon berkuasa. Golongan berhaluan kanan di Perancis hanya mahu mengekalkan kekuasaan imperialis kolonial, malah sanggup memulihkan perhambaan yang dihapuskan itu demi kepentingan imperialis kolonial. Akhirnya, Toussaint Louverture ditipu dan dikhianati oleh pihak berkuasa kolonial Perancis, sehingga mati di dalam penjara Perancis.

Toussaint Louverture mati di dalam penjara Perancis. (ilustrasi: François Grenier de Saint-Martin / Jean-François Villain, 1821)

Walau bagaimanapun, kepimpinan Toussaint Louverture memainkan peranan ketara dalam memajukan Revolusi Haiti dan meletakkan Haiti di kedudukan di mana kemerdekaan adalah berkemungkinan. Toussaint Louverture memahami tentang keadaan perpecahan kaum dalam kalangan rakyat Haiti. Dia percaya bahawa Saint-Domingue hanya dapat dimajukan dengan perpaduan rakyat merentasi batasan kaum. Dia juga sedar tentang kesan buruk perhambaan terhadap rakyat majoriti di Haiti. Oleh itu, Toussaint Louverture memperjuangkan pembebasan hamba dan kesamarataan kaum, supaya rakyat berbilang kaum di Haiti dapat hidup secara bersama dan memajukan masyarakat di situ.

Toussaint Louverture juga memahami tentang keinginan ekonomi kuasa-kuasa imperialis di rantau Caribbean, dan dia cuba menggunakan dinamik geopolitik itu untuk mewujudkan atau memutuskan perikatan dengan mana-mana kuasa besar mengikut keadaan demi mencapai matlamat politiknya.  

Toussaint Louverture telah mencipta keadaan yang membawa kelebihan kepada pemimpin-pemimpin tentera revolusioner yang menggantikannya, termasuk Jean-Jacques Dessalines dan Henri Christophe, untuk menguasai sepenuhnya seluruh Haiti, malah mengisytihar kemerdekaan daripada kuasa penjajah Eropah.

Jean-Jacques Dessalines (1758-1806) (ilustrasi: Louis Rigaud)

Jean-Jacques Dessalines

Sebagai pengganti kepada Toussaint Louverture, Jean-Jacques Dessalines (1758-1806) merupakan seorang lagi pemimpin yang paling penting dalam Revolusi Haiti.

Jean-Jacques Dessalines pada awalnya menyertai pemberontakan hamba di bahagian utara Saint-Domingue yang dipimpin oleh Jean François Papillon dan Georges Biassou. Dessalines pernah menjadi leftenan dalam tentera pimpinan Papillon dan mengikutnya ke Santo Domingo untuk menyertai tentera Sepanyol. Dessalines bertemu dengan Toussaint Louverture yang turut bersekutu dengan Sepanyol pada ketika itu dan bertempur bersama-samanya untuk melawan pihak berkuasa Perancis di Saint-Domingue. Apabila Toussaint Louverture bertukar pendiriannya untuk meninggalkan tentera Sepanyol dan bersekutu dengan Perancis, Dessalines mengikut jejaknya dan menjadi ketua leftenan kepada tentera pimpinan Toussaint Louverture. Menjelang tahun 1799, apabila Toussaint Louverture sudah menjadi orang yang paling berkuasa di Saint-Domingue, Dessalines juga dinaikkan pangkat kepada Brigedier Jeneral.

Selepas Toussaint Louverture ditumpaskan dan mendapati bahawa pihak kolonial Perancis berniat untuk memulihkan perhambaan, Dessalines menyambung perjuangan Toussaint Louverture dengan menghimpunkan semula golongan pemberontak hamba dan membina perikatan dengan golongan mulatto untuk mengusir keluar golongan penjajah Perancis.

Golongan pemberontak Haiti menghukum mati penjajah Perancis untuk membalas dendam kezaliman yang dilakukan oleh pihak berkuasa kolonial terhadap mereka. (ilustrasi: Marcus Raindford, 1805)

Jean-Jacques Dessalines memang terkenal dengan keganasan yang digunakannya semasa Revolusi Haiti. Selepas mengisytihar kemerdekaan Haiti, Dessalines yang melantik dirinya sebagai Gabenor-Jeneral seumur hidup (seperti yang pernah dilakukan oleh Toussaint Louverture) memulakan kempen menghapuskan semua orang kulit putih yang masih tinggal di Haiti. Dessalines mengarahkan untuk membunuh semua orang kulit putih. Orang kulit putih yang bersimpati dan menyokong Revolusi Haiti pun tidak dapat melepaskan diri daripada keganasan pembersihan kaum itu. Orang Eropah yang selamat daripada pembunuhan beramai-ramai itu hanyalah mereka daripada Legion Poland yang bersekutu dengan Revolusi Haiti dan warga Jerman yang tidak pernah mengambil bahagian dalam perdagangan hamba.

Tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang kulit putih itu merupakan pembalasan dendam terhadap amalan perhambaan dan keganasan pihak penjajah kulit putih terhadap golongan hamba kulit hitam. Dessalines juga mengarahkan bahawa sesiapa yang disyaki berkonspirasi dengan tentera kolonial Perancis sebelum itu, termasuk hamba yang dibebaskan dan orang mulatto, boleh dianggap sebagai pengkhianat dan harus dibunuh. Dianggarkan antara 3,000 dan 7,000 orang dibunuh sepanjang tempoh dari bulan Februari hingga April 1804.

Jean-Jacques Dessalines terkenal dengan penggunaan keganasan melampau terhadap mereka yang dianggap sebagai musuh kepadanya. (ilustrasi: Manuel López López, 1806)

Jean-Jacques Dessalines melaksanakan pemerintahan kuku besi untuk mengekalkan kekuasaan baharunya. Atas kebimbangan bahawa tentera Perancis akan kembali menceroboh, Dessalines telah mengekalkan dan memperkukuhkan kekuasaan tentera Haiti. Walaupun Dessalines berjaya menewaskan tentera Perancis yang dihantar oleh Napoleon, dia telah mengikut jejak Napoleon dalam usaha memperkukuhkan kekuasaannya.

Hanya 4 bulan selepas Napoleon menggantikan Republik Pertama Perancis dengan Empayar Perancis, jeneral-jeneral Tentera Haiti mengisytihar Jean-Jacques Dessalines sebagai “Maharaja Haiti” pada 22 September 1804, maka menubuhkan “Empayar Haiti” (1804-1806). Malah, penobatan Jean-Jacques Dessalines sebagai Maharaja Haiti, dengan gelaran Jacques I, pada 6 Oktober 1804 di Cap-Haïtien, berlangsung hampir 2 bulan lebih awal berbanding penobatan Napoleon sebagai Maharaja Perancis.

Pada tahun 1805, Dessalines melancarkan serangan ketenteraan ke atas Santo Domingo, bahagian timur Pulau Hispaniola yang masih dikuasai oleh Perancis pada masa itu, dalam cubaannya untuk menguasai seluruh Pulau Hispaniola. Namun, tentera Haiti terpaksa berundur keluar dari Santo Domingo apabila kerajaan Perancis menghantar tentera laut yang lebih kuat sebagai bantuan.

Pertabalan Jean-Jacques Dessalines sebagai Maharaja Haiti pada 6 Oktober 1804. (ilustrasi: Dubroca / Juan López Cancelada / Francisco Moscardo Yedra)

Pemerintahan Dessalines menggubal perlembagaan Haiti yang pertama. Perlembagaan yang digubal pada tahun 1805 itu mengisytihar bahawa semua warga Haiti tanpa mengira warna kulit akan dikenali sebagai “orang kulit hitam”, sebagai usaha menghapuskan hierarki kaum yang wujud di Haiti sebelum itu dan menyatukan semua kaum demi perpaduan negara. Perlembagaan Haiti itu melarang orang kulit putih daripada memiliki harta atau tanah di negara Haiti.

Perkara 2 Perlembagaan Haiti 1805 menyatakan, “Perhambaan dihapuskan selama-lamanya,” maka menegaskan semula pemansuhan perhambaan secara berkekalan, di samping semua warga Haiti adalah bebas dan sama rata. Perkara 3 Perlembagaan Haiti 1805 menyatakan, “Warga negara Haiti adalah saudara di rumah; kesamarataan di mata undang-undang adalah diperakui secara tidak dapat disangkal, dan tidak boleh wujudnya sebarang gelaran, kelebihan atau keistimewaan, selain daripada yang semestinya hasil daripada pertimbangan dan ganjaran untuk perkhidmatan yang diberikan kepada kebebasan dan kemerdekaan.”

Perkara 4 Perlembagaan Haiti 1805 mengesahkan bahawa “undang-undang adalah sama untuk semua, sama ada ia menghukum atau melindung”. Perkara 6 pula menegaskan bahawa “harta adalah suci”, dan pelanggaran hak pemilikan harta harus dikenakan tindakan undang-undang yang serius, maka mencerminkan semangat revolusi borjuis yang sentiasa menegakkan hak pemilikan harta persendirian, seperti yang ditunjukkan juga dalam Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis.

Satu lagi lukisan potret Jean-Jacques Dessalines. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pemerintahan Dessalines sebagai Maharaja Haiti tidak bertahan lama. Pemimpin-pemimpin Revolusi Haiti lain yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya, termasuk Alexandre Pétion dan Henri Christophe, telah bersubahat untuk menjatuhkan kekuasaan Dessalines, dan warga Haiti mula memberontak di bahagian selatan negara itu pada bulan Ogos 1806. Dessalines dibunuh pada 17 Oktober 1806 semasa dia dalam perjalanan untuk mematahkan pemberontakan.

Haiti selepas revolusi

Selepas kematian Jean-Jacques Dessalines, Haiti berpecah kepada dua buah negara: “Negara Haiti” (1806-1811) di bahagian utara, dan “Republik Haiti” (1806-1820) di bahagian selatan. Negara Haiti diperintah oleh Henri Christophe, sementara Republik Haiti diperintah oleh Alexandre Pétion.

Henri Christophe (1767-1820) (ilustrasi: Johann Gottfried Eiffe)

Henri Christophe (1767-1820) yang memerintah Negara Haiti di utara dengan cara yang autoritarian sebagai Presiden pada asalnya, mengisytihar dirinya sebagai Raja Henry I pada tahun 1811, maka menubuhkan “Negara Beraja Haiti” (1811-1820). Pemerintahan Henri Christophe telah mewujudkan sistem semi-feudal untuk mengekalkan ekonomi perladangan di utara Haiti.

Alexandre Pétion (1770-1818) yang memerintah di selatan pula, mengamalkan pemerintahan yang lebih bersifat liberal dan bertoleransi. Oleh sebab bimbang tentang kerajaan yang dipimpin oleh golongan minoriti mulatto di selatan Haiti itu hilang sokongan massa, Alexandre Pétion melaksanakan reformasi tanah yang memecahkan tanah ladang kolonial dan mengagihkannya kepada golongan petani kecil demi mengurangkan ketegangan hubungan antara kelas-kelas sosial. Namun begitu, Alexandre Pétion menggantungkan badan perundangan dan menjadikan dirinya sebagai Presiden seumur hidup pada tahun 1816. Alexandre Pétion meninggal dunia tidak lama kemudian pada tahun 1818 kerana demam kuning. Alexandre Pétion digantikan oleh Jean-Pierre Boyer (1776-1850).

Alexandre Pétion (1770-1818) (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Oleh sebab pemerintahan Negara Beraja Haiti di utara yang semakin tidak popular, tambahan pula dengan tubuh badan yang sakit dan kebimbangan berlakunya rampasan kuasa, Henri Christophe membunuh diri pada tahun 1820. Anak Henri Christophe yang menggantikannya, Jacques-Victor Henry, turut dibunuh oleh golongan pemberontak 10 hari kemudian. Jean-Pierre Boyer dari selatan Haiti menggunakan kesempatan itu untuk menyatukan semula negara itu ke dalam Republik Haiti (1820-1849). Pada tahun 1822, Jean-Pierre Boyer melancarkan pencerobohan tentera ke atas Santo Domingo yang baharu mencapai kemerdekaan daripada Sepanyol pada masa itu, untuk menyatukan seluruh Pulau Hispaniola di bawah pemerintahan Republik Haiti. Pendudukan Haiti ke atas Santo Domingo bertahan selama 22 tahun, sehingga Republik Dominika mengisytihar kemerdekaan daripada Haiti pada tahun 1844 dan mencetuskan “Perang Kemerdekaan Dominika” (1844-1856).

Haiti yang merdeka telah melalui sejarah yang penuh bergelora sejak penubuhannya, kerana pergolakan politik dalaman, kemunculan pelbagai pemerintahan autoritarian dan campur tangan kuasa besar dari luar. Charles Rivière-Hérard (1788-1850) menjatuhkan pemerintahan Jean-Pierre Boyer pada tahun 1843, tetapi Hérard sendiri digulingkan pada tahun 1844. 5 tahun kemudian, Faustin Soulouque (1782-1867), Presiden ke-7 Republik Haiti, mengisytihar dirinya sebagai Maharaja dan menubuhkan Empayar Haiti Kedua (1849-1859). Faustin Soulouque pula dijatuhkan pada tahun 1859 dalam satu rampasan kuasa yang dipimpin oleh Jeneral Fabre Geffrard (1806-1878), dan Republik Haiti Kedua (1859-1957) ditubuhkan.

Jean-Pierre Boyer (1776-1850), Presiden ke-2 Republik Haiti. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Semasa zaman Republik Haiti Kedua, negara itu bukan sahaja terus dibelenggu dengan pelbagai pergolakan politik dan perampasan kuasa, malah kuasa imperialis Amerika Syarikat pernah mendudukinya secara langsung dari tahun 1915 hingga 1934, untuk melindungi kepentingan kapitalis Amerika Syarikat dan menguatkuasakan Doktrin Monroe yang mengekalkan dominasi imperialis Amerika Syarikat di Hemisfera Barat. Selepas François Duvalier (1907-1971) dipilih sebagai Presiden Haiti pada tahun 1957, dia memulakan pemerintahan autokratik Dinasti Duvalier yang zalim dan diteruskan oleh anaknya, Jean-Claude Duvalier (1951-2014). Pemerintahan Dinasti Duvalier dijatuhkan pada tahun 1986 selepas gelombang protes pro-demokrasi besar-besaran yang menyebabkan pihak tentera memaksa Jean-Claude Duvalier untuk meletak jawatan dan meninggalkan negara itu. Jean-Bertrand Aristide (1953-    ) yang dipilih secara demokratik sebagai Presiden dalam pilihan raya umum pada tahun 1990, dijatuhkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 1991 kerana dasar reformasinya menggugat kepentingan golongan elit di negara itu. Tentera Amerika Syarikat menceroboh Haiti pada tahun 1994, untuk membolehkan Aristide kembali berkuasa sebagai Presiden sehingga penggalnya tamat pada tahun 1996. Namun, Aristide yang dipilih sebagai Presiden sekali lagi dalam pilihan raya umum pada tahun 2000 telah digulingkan pada tahun 2004 dalam rampasan kuasa yang disokong oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Perancis, kerana dasarnya yang menggugat kepentingan golongan elit dan kuasa imperialis Barat. Haiti terjerumus lagi dalam krisis ekonomi, politik dan sosial yang serius sejak tahun 2018.

Jean-Jacques Dessalines mengoyak keluar jalur putih daripada bendera Perancis, dan meminta Catherine Flon untuk menjahit dua jalur yang tinggal itu ke dalam bendera Haiti. (ilustrasi: Madsen Mompremier)

Faktor-faktor kejayaan Revolusi Haiti

Berbalik kepada Revolusi Haiti yang melahirkan republik bekas hamba kulit hitam yang pertama di dunia. Perjuangan revolusioner yang bermula dengan perhimpunan keagamaan Vodou di Bois Caïman pada tahun 1791 dan berakhir dengan Perisytiharan Kemerdekaan Haiti pada 1 Januari 1804, merupakan episod yang penting dalam sejarah perjuangan pembebasan masyarakat sedunia. Perjuangan revolusioner di Haiti tidak mungkin berjaya tanpa pengorbanan besar daripada golongan pemberontak yang gigih dan berani berjuang untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Antara faktor-faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan Revolusi Haiti ialah:

  • Pengaruh Revolusi Perancis;
  • Keberanian, kegigihan, keazaman dan kesungguhan golongan hamba kulit hitam untuk memperjuangkan pembebasan diri mereka;
  • Perpecahan dalam kalangan kelas pemerintah;
  • Kuasa pemerintahan kolonial yang dilemahkan kerana pergolakan politik di negara induk;
  • Ruang yang diwujudkan daripada persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar di rantau Caribbean;
  • Keupayaan kepimpinan revolusioner.

Revolusi Haiti memang berkait rapat dengan Revolusi Perancis. Idea-idea politik yang revolusioner seperti kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan yang diperjuangkan dalam Revolusi Perancis, telah memberi inspirasi yang memberangsangkan kepada golongan hamba, golongan bekas hamba kulit hitam dan golongan mulatto di Haiti atau Saint-Domingue yang merupakan tanah jajahan Perancis di seberang Lautan Atlantik.

Golongan hamba kulit hitam di Saint-Domingue yang mengalami penindasan dan kezaliman yang berterusan di bawah pemerintahan kolonial Perancis memang mendahagakan pembebasan. Apabila hak asasi sejagat yang dijanjikan dalam Revolusi Perancis tidak direalisasikan sepenuhnya ke atas semua penduduk di semua wilayah yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Perancis, tuntutan-tuntutan untuk kebebasan dan kesamarataan menjadi semakin hebat lagi dalam kalangan rakyat yang paling tertindas, terutamanya golongan hamba kulit hitam di Saint-Domingue.

(Gambar hiasan daripada buku “Saint-Domingue, ou Histoire de Ses Révolutions”,  ~1815)

Apabila sebahagian daripada golongan bekas hamba di Saint-Domingue terdedah kepada idea-idea politik pembebasan yang dibawa dalam Revolusi Perancis, mereka terus menyebarkannya dalam kalangan komuniti mereka dan menggunakannya untuk menghasut golongan hamba yang lain supaya bangkit mencabar kekuasaan golongan peladang kolonial yang mengeksploitasi tenaga buruh hamba.

Revolusi Perancis merangsang Revolusi Haiti, tetapi Revolusi Haiti juga mempengaruhi Revolusi Perancis untuk mengambil pendekatan yang lebih radikal. Jika bukannya pemberontakan hamba di Saint-Domingue, kerajaan pusat Perancis di Paris tidak akan memutuskan untuk memansuhkan perhambaan pada tahun 1794 dan merealisasikan slogan “kebebasan dan kesamarataan” di tanah jajahannya.

Revolusi Haiti tercetus daripada pemberontakan hamba yang bersifat spontan dan berorganisasi. Pemberontakan hamba itu bersifat spontan kerana memang terpendamnya perasaan kemarahan yang hebat dalam diri golongan hamba yang sudah lama hidup di bawah sistem sosioekonomi yang eksploitatif dan represif. Keganasan terhadap golongan peladang kolonial kulit putih yang ditunjukkan oleh golongan pemberontak hamba kulit hitam merupakan manifestasi tindak balas terhadap keganasan kolonial yang pernah dialami oleh mereka. Kemarahan terhadap penindasan di bawah perhambaan itu mendorong golongan hamba untuk terus berjuang dengan berani dan bersungguh-sungguh, malah sanggup mengorbankan nyawa, demi membebaskan diri mereka dan generasi-generasi akan datang daripada belenggu perhambaan.

Golongan pemberontak juga mempunyai organisasi yang mampu membawa perjuangan mereka ke hadapan, walaupun organisasi pemberontak hamba pada masa itu berkemungkinan tidak mempunyai program perjuangan politik yang jelas dan sering bergantung pada visi pemimpin tertentu. Organisasi memastikan perjuangan itu boleh diteruskan dalam keadaan yang penuh cabaran, terutamanya dalam usaha menentang tentera kolonial yang lebih tersusun dan mempunyai kelengkapan yang lebih canggih. Organisasi juga mengekalkan dan mewariskan pengalaman perjuangan kepada orang-orang yang menyertainya kemudian.

Penciptaan bendera Haiti daripada pengoyakan bendera Perancis. (ilustrasi: Ulrick Jean-Pierre)

Nisbah populasi hamba yang tinggi di Saint-Domingue juga memberi kelebihan kuantitatif kepada golongan hamba yang memberontak. Pengorbanan nyawa oleh golongan pejuang revolusioner Haiti adalah amat besar. Angka kematian golongan pemberontak adalah jauh lebih besar berbanding golongan peladang kolonial dan tentera kolonial.

Perjuangan revolusioner Haiti juga amat sukar untuk mencapai kejayaan jika golongan pemerintah kolonial di Saint-Domingue masih kuat. Kekuasaan golongan pemerintah kolonial telah dilemahkan secara ketara kerana pergolakan politik yang tercetus dalam Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18. Cengkaman kekuasaan kolonial yang dilemahkan itu boleh diambil sebagai peluang untuk pembangunan perjuangan revolusioner.

Wujudnya juga perpecahan dalam kalangan golongan pemerintah di Saint-Domingue apabila kuasa pemerintahan kolonial yang berasal dari negara induk itu dilemahkan oleh gelombang revolusi yang memuncak di Perancis. Golongan grand blanc cuba menuntut autonomi yang lebih besar daripada Perancis, malah hendak mencapai kemerdekaan seperti yang dilakukan oleh golongan peneroka kolonial kulit putih dalam Revolusi Amerika. Golongan petit blanc, walaupun merupakan sebahagian daripada golongan peladang kolonial kulit putih, sering marah pada grand blanc yang menikmati lebih banyak keistimewaan, di samping tidak berpuas hati dengan golongan mulatto yang diberikan hak sama rata seperti orang kulit putih. Gologan mulatto yang kaya pula menuntut hak sama rata seperti golongan grand blanc demi memajukan kepentingan ekonomi mereka. Perpecahan dalam kalangan kelas pemerintah semestinya melemahkan lagi kekuasaan pemerintahan kolonial dan membuka ruang yang lebih besar kepada kelas yang diperintah untuk memajukan perjuangan revolusioner mereka.

Lukisan “Sumpah Nenek Moyang” (Le Serment des ancêtres) yang menggambarkan perikatan yang dibentuk antara Alexandre Pétion and Jean-Jacques Dessalines pada tahun 1802 untuk melawan tentera kolonial Perancis. (ilustrasi: Guillaume Guillon-Lethière, 1822)

Ruang untuk memajukan perjuangan revolusioner dibuka lebih luas lagi kerana persaingan geopolitik antara kuasa-kuasa besar yang mempunyai strategi percaturan demi kepentingan masing-masing. Sepanyol dan Britain, yang menganggap Perancis sebagai pesaing utama dalam penguasaan ke atas tanah jajahan di rantau Caribbean, memberi sokongan kepada Revolusi Haiti, memang bukannya kerana mereka mendukung pemansuhan perhambaan ataupun kemerdekaan sebuah republik warga kulit hitam. Mereka berbuat demikian untuk melemahkan kekuasaan Perancis dan memajukan kepentingan geopolitik mereka di rantau Caribbean. Namun, dengan memberi bantuan kepada golongan pemberontak di Saint-Domingue, ia menyumbang secara ketara kepada Revolusi Haiti untuk mencapai kemenangan mutlak.

Selain mempunyai kuasa besar sebagai sekutu yang sementara, golongan revolusioner Haiti mempunyai satu lagi sekutu dari “alam semula jadi”, iaitu wabak penyakit demam kuning. Wabak penyakit demam kuning telah meragut nyawa banyak anggota tentera kolonial sehingga melemahkan kekuatannya secara ketara, maka memberi “bantuan” yang kritikal kepada tentera revolusioner Haiti untuk menewaskan tentera kolonial.

Toussaint Louverture. (ilustrasi: Jacob Lawrence, 1986)

Kejayaan Revolusi Haiti juga tidak boleh dipisahkan daripada keupayaan kepimpinan yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh revolusioner seperti Toussaint Louverture, Jean-Jacques Dessalines, Henri Christophe dan Alexandre Pétion. Walaupun pemimpin-pemimpin revolusioner Haiti mempunyai kelemahan dan perbatasan masing-masing, mereka telah memainkan peranan yang kritikal pada masa yang berbeza dalam memajukan dan menjayakan perjuangan revolusioner rakyat Haiti untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman perhambaan dan pemerintahan kolonial Eropah.

Kejayaan Revolusi Haiti telah mematahkan cubaan Napoleon untuk mewujudkan Empayar Perancis di Hemisfera Barat. Revolusi Haiti juga memberi rangsangan dan inspirasi kepada pemberontakan hamba yang lain di Hemisfera Barat.

(ilustrasi: Francois Cauvin, 2021)

Wanita dalam Revolusi Haiti

Semasa tercetusnya pemberontakan hamba di Saint-Domingue pada tahun 1791, kira-kira 40% daripada golongan hamba di situ merupakan wanita. Golongan wanita memainkan peranan yang penting dalam Revolusi Haiti. Golongan wanita daripada semua lapisan masyarakat, termasuk hamba kulit hitam dan mulatto, telah melibatkan diri dalam Revolusi Haiti yang menjatuhkan pemerintahan kolonial Perancis dan menghapuskan perhambaan.

Golongan hamba wanita di Haiti pernah berorganisasi untuk mengadakan aksi mogok kerja demi menentang eksploitasi di ladang-ladang. Golongan hamba wanita kulit hitam mengalami penindasan yang lebih teruk berbanding golongan hamba lelaki. Selain menghadapi penganiayaan dan layanan buruk seperti hamba-hamba lelaki yang lain, golongan wanita yang diperhambakan juga sering dirogol dan didera secara seksual. Oleh sebab hamba dianggap sebagai harta milik tuan hamba, hamba-hamba wanita sering dianggap sebagai objek seks oleh tuan hamba.

Salah seorang mambo (pendeta wanita) dalam agama Vodou yang terkenal di Haiti ialah Cécile Fatiman. Bersama-sama dengan Dutty Boukman, Cécile Fatiman mengetuai upacara keagamaan Vodou di Bois Caïman pada bulan Ogos 1791 yang menghasut hamba-hamba untuk bangkit menentang perhambaan, sehingga mencetuskan Revolusi Haiti. Cécile Fatiman merupakan seorang mulatto dengan ibunya seorang hamba wanita kulit hitam dan bapanya seorang tuan hamba. Cécile Fatiman menggabungkan idea revolusioner Perancis mengenai “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan” dengan kepercayaan Vodou, dan menggunakannya untuk menghasut pemberontakan hamba di Haiti.

Golongan wanita turut mengangkat senjata dan menyertai tentera revolusioner Haiti yang anti-perhambaan serta anti-kolonial. Antara pemimpin-pemimpin tentera wanita yang terkenal dalam Revolusi Haiti termasuk Marie-Jeanne Lamartinière, Victoria Montou dan Sanité Bélair.

Marie-Jeanne Lamartinière di kubu Crête-à-Pierrot. (ilustrasi: Patricia Brintle, 2021)

Marie-Jeanne Lamartinière ialah seorang mulatto yang dilahirkan di Port-au-Prince dengan ibunya seorang hamba kulit hitam dan bapanya seorang tuan hamba. Suaminya, Louis Daure Lamartinière, merupakan seorang pegawai tentera di bawah kepimpinan Toussaint Louverture. Marie-Jeanne Lamartinière pernah berjuang bersama-sama suaminya dalam Pertempuran Crête-à-Pierrot pada bulan Mac 1802.

Victoria Montou (1739-1805), juga dikenali sebagai Adbaraya Toya, ialah seorang hamba dari Dahomey di Afrika Barat yang dibawa masuk ke Saint-Domingue dan pernah bekerja di dalam ladang yang sama dengan Jean-Jacques Dessalines. Victoria Montou pernah mengajar Dessaline untuk bertempur tanpa senjata dan melontar pisau. Victoria Montou sudah terlibat dalam beberapa pemberontakan hamba sebelum perancangan pemberontakan di Bois Caiman pada tahun 1791. Victoria Montou kemudiannya menyertai tentera pemberontak yang dipimpin oleh Dessaline. Selepas Dessalines menjadi Maharaja Haiti, dia memberikan gelaran “Duchesse” kepada Victoria Montou.

Sanité Bélair (1781-1802) (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Sanité Bélair (1781-1802) ialah seorang sarjan yang kemudiannya menjadi leftenan dalam tentera revolusioner yang dipimpin oleh Toussaint Louverture. Sanité Bélair terkenal dengan keberanian dan kecekapan kepimpinannya di medan perang. Dia ditangkap oleh tentera Perancis semasa pertempuran dan dihukum mati pada bulan Oktober 1802. Pada ketika menjalani hukuman mati, Sanité Bélair enggan ditutup matanya dengan kain, dan menjerit “Viv libète! A ba esclavaj!” (“Hidup kebebasan! Jatuhkan perhambaan!”) ketika berhadapan dengan muncung senapang.

Romaine-la-Prophétesse, seorang warga kulit hitam bebas yang merupakan pemilik ladang kopi tetapi memimpin pemberontakan hamba di selatan Saint-Domingue pada tahun 1791-1792, dipercayai merupakan seorang wanita transgender, kerana dia berpakaian dan bertingkah laku seperti seorang wanita.

Walaupun golongan wanita memainkan peranan penting dalam Revolusi Haiti, negara Haiti yang merdeka masih mewarisi banyak unsur patriarki yang mengeksploitasi dan menindas wanita. Pembebasan wanita dan kesamarataan gender tidak akan tercapai secara automatik daripada kejayaan perjuangan pembebasan nasional dan penghapusan perhambaan. Perjuangan ini harus diteruskan sehingga idea “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan”, yang didukung oleh Revolusi Perancis dan disambut oleh Revolusi Haiti itu, benar-benar direalisasikan untuk semua orang tanpa mengira warna kulit, gender dan orientasi seksual.

(ilustrasi: Ulrick Jean-Pierre)

Rintangan yang dihadapi oleh Haiti pasca-kemerdekaan di bawah bayangan imperialisme

Revolusi Haiti merupakan satu perjuangan hebat yang penuh dengan liku-liku dan cabaran. Kejayaannya dicapai kerana pengorbanan yang besar. Selain kehilangan nyawa dalam jumlah yang besar semasa revolusi, ekonomi Haiti juga hancur dengan teruknya kerana peperangan yang berpanjangan. Masyarakat Haiti secara keseluruhannya masih amat dipengaruhi oleh corak susunan yang diwujudkan semasa pemerintahan kolonial Perancis, termasuk budaya politik, ekonomi perladangan dan sistem patriarki yang mengekalkan kekuasaan golongan elit masyarakat. Lebih-lebih lagi, walaupun sudah merdeka, Haiti masih berada di bawah bayangan kekuasaan imperialis yang sentiasa berniat untuk menggondol kekayaannya dan menyekat pembangunan mandirinya.

Golongan pemerintah baharu di negara Haiti yang merdeka cuba membangunkan semula ekonomi di situ dengan memulihkan sektor perladangan tanpa menggunakan lagi tenaga buruh hamba. Sektor perladangan yang mengeluarkan komoditi untuk perdagangan kapitalis global merupakan tulang belakang kepada ekonomi Saint-Domingue semasa pemerintahan kolonial Eropah. Banyak ladang telah dimusnahkan atau ditinggalkan begitu sahaja akibat daripada peperangan semasa Revolusi Haiti. Kerajaan baharu di Haiti yang merdeka percaya bahawa pembangunan semula ekonomi perladangan dapat memajukan masyarakat yang baharu bebas daripada penjajahan dan perhambaan itu. Oleh sebab perbatasan dalam pemahaman tentang logik ekonomi kapitalis pada masa itu, pemimpin-pemimpin revolusioner di Haiti memang tidak dapat membangunkan alternatif yang melangkaui kapitalisme.

(ilustrasi: Marcus Raindford, 1805)

Oleh sebab sifat ekonomi perladangan (yang mengeluarkan komoditi untuk dijual dalam pasaran kapitalis) itu yang eksploitatif, walaupun tidak menggunakan lagi tenaga buruh hamba, tenaga buruh “bebas” yang diupah untuk bekerja di situ masih dieksploitasi, hanya pada kadar yang mungkin lebih baik sedikit berbanding di bawah sistem perhambaan. Oleh itu, cubaan oleh kerajaan Haiti untuk memulihkan ekonomi perladangan berskala besar sering menghadapi tentangan daripada golongan bekas hamba.

Kebanyakan rakyat Haiti pada masa itu lebih cenderung kepada melibatkan diri dalam pertanian sara diri yang berskala kecil, di mana ini sudah pasti akan mengurangkan hasil daripada eksport komoditi dan pengumpulan cukai. Reformasi tanah yang cuba dilakukan oleh Alexandre Pétion di selatan untuk mengagihkan tanah kepada petani-petani kecil memang disambut baik dan mengekalkan kestabilan politik di situ, tetapi pembangunan ekonomi di selatan Haiti adalah lebih lembab berbanding utara Haiti di bawah pemerintahan Henri Christophe yang lebih giat memulihkan ekonomi perladangan yang eksploitatif.

Sama ada berfahaman lebih liberal atau lebih autoritarian, pemimpin-pemimpin revolusioner Haiti mempunyai cita-cita untuk membangunkan Haiti kepada sebuah negara maju seperti negara yang pernah menjajahnya, iaitu Perancis. Jean-Jacques Dessalines mungkin menganggap dirinya seperti Napoleon yang bukan sahaja mempertahankan sebahagian besar Revolusi Perancis malah memperluaskan kekuasaan Perancis di peringkat antarabangsa, maka dia juga mengangkat dirinya sebagai “Maharaja” seperti yang dilakukan oleh Napoleon, dan menjadikan Haiti sebuah “empayar”. Namun, “Empayar Haiti” hanyalah sekadar nama dan dalam realitinya jauh ketinggalan di belakang berbanding Empayar Perancis yang memang merupakan kuasa imperialis sebenar. Cubaan perluasan kuasa “Empayar Haiti” ke bahagian timur Pulau Hispaniola pada tahun 1805, yang masih dikuasai oleh Perancis pada masa itu, tidak membuahkan apa-apa hasil. Sememangnya Empayar Haiti dan Empayar Perancis bukannya berada di tahap yang sama, malah dipisahkan oleh jurang kekuasaan yang besar.

(ilustrasi: Jacob Lawrence, 1996)

Lebih-lebih lagi, kuasa-kuasa besar di dunia yang rasis pada masa itu, termasuk Perancis, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat, yang tergugat dengan kejayaan revolusi yang diterajui oleh golongan hamba kulit hitam di Haiti, enggan mengiktiraf kemerdekaan Haiti, malah mengasingkan negara yang baharu merdeka itu secara diplomatik dan ekonomi. Pelaburan asing di Haiti telah disekat oleh kuasa-kuasa besar. Sekatan terhadap perdagangan Haiti dengan dunia luar telah menjejaskan lagi ekonominya yang bergantung pada eksport komoditi seperti gula dan kopi.

Hanya 21 tahun selepas penjajah Perancis diusir keluar dari Haiti, barulah negara Perancis di bawah pemerintahan Raja Charles X pada masa itu mengiktiraf kemerdekaan Haiti, tetapi dengan syarat yang bersifat menghukum. Kerajaan Perancis menuntut bayaran “ganti rugi” sebanyak 150 juta franc daripada Republik Haiti untuk kehilangan hamba dan tanah jajahannya. Kerajaan Republik Haiti di bawah kepimpinan Jean-Pierre Boyer terpaksa bersetuju dengan tuntutan Perancis, kerana kapal-kapal perang Perancis sudah bersiap sedia untuk menyerang Haiti pada masa itu jika kerajaan Haiti tidak bersetuju dengan syarat yang menghukumnya itu. Tambahan pula, kerajaan Haiti terdesak untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan Perancis supaya memecahkan pengasingan ekonominya. Haiti juga dipaksa untuk memberi diskaun kepada barangan eksport ke Perancis. Sebuah negara imperialis yang sudah menjajah sebuah negara lain dan menjarah kekayaan di situ hampir dua abad, sekarang ini menuntut pula “ganti rugi” kerana negara yang dijajahnya berjaya mencapai kemerdekaan. Ini merupakan salah satu perompakan yang terbesar dalam sejarah. Ini juga pembalasan dendam oleh kuasa imperialis yang enggan mengakui kezalimannya.

Haiti dipaksa untuk mengambil pinjaman daripada bank-bank Perancis dan Amerika Syarikat untuk membayar “ganti rugi” kepada kerajaan Perancis, maka ini mewujudkan hutang berganda. Walaupun bayaran “ganti rugi” itu dikurangkan kemudian, Haiti hanya habis membayar “ganti rugi” yang dituntut oleh Perancis itu pada tahun 1883 dan menjelaskan bayaran kepada pemiutang pada tahun 1947. Hutang yang dikenakan secara paksaan itu telah menjejaskan lagi keupayaan Haiti dalam membangunkan ekonominya.

Kerajaan Perancis memaksa kerajaan Republik Haiti yang dipimpin oleh Presiden Jean-Pierre Boyer untuk membayar “ganti rugi” dalam jumlah yang yang besar kepada Perancis. (Sumber: Victor Duruy, Histoire populaire contemporaine de la France, 1864)

Walaupun sama-sama mencapai kemerdekaan daripada kuasa imperialis Eropah dan pernah mengiktiraf pemerintahan autonomi di bawah Toussaint Louverture pada awalnya, Amerika Syarikat enggan mengiktiraf kemerdekaan Haiti. Thomas Jefferson, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu yang juga merupakan seorang tuan hamba, menolak untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan Haiti, malah mengenakan embargo ekonomi ke atas Haiti. Amerika Syarikat hanya mengiktiraf Haiti sebagai sebuah negara berdaulat pada tahun 1862, iaitu semasa Abraham Lincoln menjadi Presiden Amerika Syarikat dan tercetusnya Perang Saudara Amerika (1861-1865) yang berkisar pada persoalan perhambaan.

Kuasa-kuasa imperialis kolonial juga menafikan akses Haiti kepada Revolusi Perindustrian pada abad ke-19, maka menjejaskan usaha Haiti untuk membangun ke dalam sebuah ekonomi moden. Oleh itu, Haiti terus menjadi sebuah negara pinggiran yang membekalkan bahan mentah kepada negara perindustrian maju dalam pembahagian kerja di bawah sistem ekonomi kapitalis global yang tidak setara.

Kekurangan pembangunan ekonomi di Haiti pula sering mengundang masalah politik dalaman yang menjejaskan kestabilan masyarakat di negara itu, malah memberi alasan kepada campur tangan kuasa imperialis asing, terutamanya Amerika Syarikat. Selepas mengiktiraf kedaulatan Haiti, kerajaan Amerika Syarikat, semasa Andrew Johnson menjadi Presiden pada tahun 1868, pernah bercadang untuk mengilhakkan seluruh Pulau Hispaniola (termasuk Haiti) untuk melindungi kepentingan strategiknya di rantau Caribbean. Walaupun rancangan Andrew Johnson untuk mengilhakkan Hispaniola itu tidak dilaksanakan, Amerika Syarikat sering mengerahkan kapal perangnya ke perairan Haiti, malah menceroboh dan menduduki negara itu dengan tenteranya secara langsung pada tahun 1915-1934. Negara Haiti sentiasa berada di bawah bayangan kuasa imperialis Amerika Syarikat sehingga hari ini.

Perjuangan mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial tidak berakhir dengan pengusiran keluar golongan penjajah. Rakyat Haiti yang mencapai kemerdekaan perlu berulang kali berdiri teguh untuk melawan ancaman fizikal dan ekonomi daripada golongan penindas imperialis. Sejak kemerdekaannya pada tahun 1804, Haiti sering dianiayai, diabaikan, dilemahkan dan disingkirkan daripada urusan antarabangsa oleh kuasa-kuasa besar dunia yang rasis. Kuasa-kuasa imperialis yang rasis jelasnya tidak dapat bertoleransi dengan sebuah negara berdaulat yang didirikan oleh golongan bekas hamba kulit hitam. Namun, rakyat Haiti masih bertahan, bukan kerana adanya sokongan daripada Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan sebagainya, tetapi berasaskan semangat mereka untuk mempertahankan kebebasan daripada perhambaan dan penjajahan, seperti yang ditunjukkan dalam Revolusi Haiti pada tahun 1791-1804.

(ilustrasi: Ulrick Jean-Pierre)

Tetap menjadi lambang pembebasan rakyat tertindas

Walaupun Haiti yang merdeka itu mengalami pelbagai rintangan dan masalah sehingga hari ini, adalah tidak boleh menafikan bahawa Revolusi Haiti merupakan salah sebuah perjuangan pembebasan masyarakat yang paling hebat dalam sejarah manusia. Revolusi Haiti boleh dikatakan sebagai pemberontakan hamba yang paling besar selepas Pemberontakan Spartacus, dan paling hebat dalam sejarah dunia.

Revolusi Haiti ialah lambang kepada perjuangan anti-perhambaan dan anti-kolonial. Revolusi Haiti meninggalkan warisan yang terus memberi inspirasi kepada segala perjuangan di seluruh dunia demi mencapai kebebasan, kesamarataan dan keadilan. Revolusi Haiti membuktikan bahawa rakyat yang tertindas mempunyai keupayaan untuk bangkit melawan dan mencipta sebuah masyarakat yang bebas daripada penindasan.

Revolusi Haiti menjadi sebahagian yang penting dalam gelombang Revolusi Atlantik yang melanda benua di kedua-kedua hujung Lautan Atlantik pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19. Gelombang Revolusi Atlantik (yang juga termasuk Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis) merupakan revolusi-revolusi borjuis yang mempengaruhi satu sama lain dalam usaha merealisasikan idea-idea Zaman Pencerahan yang menekankan kerasionalan, hak semula jadi, kebebasan, kesamarataan, keadilan sosial dan kedaulatan rakyat.

(ilustrasi: Jacob Lawrence, 1988)

Hasil Revolusi Haiti tidak terhad kepada bahagian barat Pulau Hispaniola dan pulau-pulau sekitarnya sahaja. Hasil Revolusi Haiti melangkaui negara Haiti yang merdeka. Revolusi Haiti juga menonjolkan semangat internationalis yang mendukung perjuangan pembebasan di merata tempat. Ia telah mempengaruhi pemberontakan hamba lain di Amerika Syarikat dan rantau Carribean.

Walaupun sering mengalami kesusahan ekonomi selepas mencapai kemerdekaan, idea-idea tentang kebebasan dan anti-penjajahan kekal sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kesedaran rakyat Haiti. Pemimpin-pemimpin awal Haiti yang merdeka, seperti Jean-Jacques Dessalines, Henri Christophe, Alexandre Pétion dan Jean-Pierre Boyer, mengalu-alukan warga kulit hitam dari Amerika Syarika untuk berhijrah ke Haiti dan menjadi warganegara yang bebas di situ. Jean-Jacques Dessalines pernah memberi bantuan kepada hamba-hamba di Martinique dan Guadeloupe supaya mereka boleh memulakan pemberontakan mereka sendiri. Alexandre Pétion pernah memberi perlindungan kepada hamba-hamba Jamaica daripada diperhambakan semula, selepas mereka melarikan diri dari ladang mereka dan mendarat di Jérémie.

(ilustrasi: Jacob Lawrence, 1997)

Kejayaan Revolusi Haiti bukan sekadar memberi inspirasi kepada gerakan perjuangan kemerdekaan di Amerika Latin untuk menjatuhkan pemerintahan kolonial Eropah, malah pernah memberi sokongan yang konkrit kepada perjuangan pembebasan di situ. Pada tahun 1815, Alexandre Pétion memberi perlindungan kepada Simón Bolívar, pemimpin pejuang kemerdekaan dari Venezuela. Selepas Simón Bolívar berjanji untuk membebaskan semua hamba di wilayah-wilayah yang ditawannya, Alexandre Pétion memberikan bantuan kewangan, bekalan ketenteraan dan askar kepada Simón Bolívar. Bantuan yang diberikan oleh Haiti kepada Simón Bolívar memainkan peranan menentu dalam kejayaannya membebaskan wilayah-wilayah Amerika Selatan daripada penjajahan Sepanyol yang kemudiannya membentuk Gran Colombia (1819-1831).

Benito Sylvain, seorang warga Haiti yang menjadi pembantu ketenteraan kepada Maharaja Menelik II dari Habsyah, telah membantu Empayar Habsyah untuk menewaskan tentera Itali dalam Pertempuran Adwa pada tahun 1896. Pada masa itu, Habsyah (atau Ethiopia) dan Liberia merupakan dua buah negara merdeka yang tertinggal di benua Afrika yang bebas daripada pemerintahan kolonial Eropah. Benito Sylvain juga membantu dalam menganjurkan Persidangan Pan-Afrika yang pertama di London pada tahun 1900, dengan dirinya mewakili kedua-dua negara Habsyah dan Haiti, dengan tujuan menyelaraskan usaha bersama rakyat Afrika dalam melindungi hak mereka daripada eksploitasi dan penindasan kolonial. Ini merupakan satu contoh semangat internasionalis yang diwarisi daripada Revolusi Haiti.

(ilustrasi: Jacob Lawrence, 1995)

Semangat perjuangan anti-perhambaan dan anti-kolonial yang dibawa oleh Revolusi Haiti, terus bergema dalam semua perjuangan pembebasan masyarakat yang mengikut jejak langkahnya. Semangat dan bayangan Revolusi Haiti sentiasa dapat dijumpai dalam perjuangan pembebasan nasional di Dunia Ketiga serta perjuangan rakyat bawahan yang melawan eksploitasi.

Di benua Amerika yang masih dijajah oleh kuasa imperialis yang berasal dari Semenanjung Iberia pada awal abad ke-19, semangat Revolusi Haiti telah diteruskan oleh golongan pejuang pembebasan dari Mexico di utara hingga Chile dan Argentina di hujung selatan benua itu. Simón Bolívar yang pernah mendapat perlindungan di Haiti, malah mendapat bantuan daripadanya, menjadi salah seorang tokoh revolusioner penting yang melanjutkan semangat Revolusi Haiti di rantau Amerika Latin…

(ilustrasi: Andre Normil, 1960-an)

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *