
Revolusi Perancis yang tercetus pada tahun 1789 membawa kepada penghapusan feudalisme dan pembentukan sistem raja berperlembagaan di Perancis, kemudiannya penghapusan sistem monarki pada tahun 1792 dan penubuhan Republik Perancis Pertama (1792-1804), tetapi berakhir dengan Reaksi Thermidor pada tahun 1794 yang disusuli dengan rampasan kuasa “18 Brumaire” pada tahun 1799 oleh Napoleon Bonaparte (1769-1821), seorang jeneral yang memainkan peranan penting dalam Perang Revolusi Perancis (1792-1802). Napoleon Bonaparte yang memperkukuhkan kuasa pemerintahannya sebagai diktator itu kemudian mengangkat dirinya sebagai Maharaja Perancis yang pertama, dengan gelaran Napoleon I, pada tahun 1804.
Pemerintahan Napoleon Bonaparte adalah berasaskan perampasan hasil kejayaan Revolusi Perancis. Walaupun Napoleon Bonaparte mengekalkan sesetengah peninggalan Revolusi Perancis, dia telah memperkukuhkan kekuasaannya dengan pendekatan yang reaksioner, autokratik dan autoritarian. Napoleon Bonaparte telah memajukan sebahagian pembaharuan revolusioner yang bertujuan untuk memodenkan negara Perancis, termasuk penggubalan “Kanun Napoleon” (Code Napoléon) ataupun “Kanun Sivil Perancis” (Code Civil des Français) yang menegakkan prinsip-prinsip Revolusi Perancis seperti kesamarataan di sisi undang-undang, perlindungan hak harta, kebebasan beragama, meritokrasi dalam pelantikan jawatan perkhidmatan awam, undang-undang jenayah yang dikodifikasikan dan sebagainya. Namun, pada masa yang sama, pemerintahannya yang autokratik telah menyingkirkan unsur-unsur demokrasi radikal dan liberalisme yang terdapat dalam Revolusi Perancis, yang mana Napoleon telah memusatkan kuasa dalam tangannya dan mewujudkan semula banyak struktur hierarki tradisional.
Dengan cita-cita imperialis Napoleon yang hendak mendominasi benua Eropah malah wilayah-wilayah jajahan Eropah di seberang laut, Perang Napoleon (1803-1815) bukan lagi peperangan yang dilancarkan ke atas kuasa-kuasa besar Eropah lain untuk mempertahankan Revolusi Perancis dan membebaskan masyarakat Eropah daripada susunan lama yang dikenali sebagai Ancien Régime (“Rejim Kuno”), sebaliknya hanya merupakan usaha yang ganas dan berdarah untuk memperluaskan kekuasaan imperialis Perancis, di samping memajukan kepentingan kelas pemerintah borjuis yang baharu di Perancis. Watak pemerintah autoritarian yang berkuasa dengan berdiri di atas asas revolusi seperti Napoleon Bonaparte itu bukannya sesuatu yang unik dan hanya wujud dalam Revolusi Perancis, kerana sebelumnya sudah ada seorang yang bernama Oliver Cromwell semasa Revolusi Inggeris (tetapi Cromwell menolak untuk diangkat sebagai raja), malah kita akan dapat menyaksikan kemunculan watak yang serupa (tetapi mungkin dengan wajah ataupun kosmetik ideologi yang berbeza), sebagai “Pemimpin Agung”, dalam banyak revolusi yang hebat sepanjang sejarah perjuangan kelas di dunia.

Kejatuhan Napoleon dan pemulihan Bourbon
Napoleon pada asalnya mampu menggunakan kekuasaan tentera Perancis untuk menewaskan kuasa-kuasa besar lain di Eropah di medan perang. Empayar Perancis Pertama (1804-1815) mengilhakkan wilayah-wilayah di Negeri-negeri Pamah dan bahagian barat Jerman di bawah pemerintahan langsung Maharaja Napoleon I, sementara menubuhkan negara-negara satelit (atau negara-negara boneka) di bahagian-bahagian lain di Jerman, Itali, Poland dan sebagainya. Salah satu kesan Perang Napoleon yang besar terhadap imbangan geopolitik di Eropah adalah pembubaran Empayar Rom Suci (962-1806) selepas tentera Perancis menewaskan tentera gabungan Austria-Rusia dalam Pertempuran Austerlitz pada 2 Disember 1805.
Namun, kemenangan di medan perang dan pendudukan tentera Perancis tidak dapat berkekalan apabila sumber-sumber ketenteraan terus dihabiskan untuk memenuhi cita-cita imperialis yang tidak kehabisan itu. Napoleon I mengarahkan tenteranya untuk menceroboh Portugal pada bulan November 1807 kerana kerajaan Portugis enggan menyertai sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Perancis terhadap Britain. Tentera Perancis mara melalui wilayah-wilayah negara Sepanyol untuk menceroboh Portugal. Pada bulan Mei 1808, di Bayonne yang terletak di bahagian barat daya Perancis, Napoleon memaksa dua orang Raja Sepanyol, Carlos IV dan anaknya Fernando VII, untuk melepaskan takhta Sepanyol kepada Joseph Bonaparte, abang kepada Napoleon Bonaparte. Tindakan itu mencetuskan Perang Semenanjung (1808-1814) di mana kekuatan ketenteraan Perancis dihakis secara berterusan untuk 6 tahun berikutnya kerana mendapat tentangan yang hebat daripada rakyat Sepanyol yang mengangkat senjata untuk mempertahankan tanah air mereka dan juga campur tangan tentera British di Semenanjung Iberia. Pencerobohan tentera Perancis pimpinan Napoleon ke atas Rusia pada tahun 1812 pula mengalami bencana dahsyat yang mengorbankan kebanyakan tentera Perancis yang dikerahkan untuk kempen ketenteraan itu.
Selepas pencerobohan Perancis ke atas Rusia pada tahun 1812, Austria, Prusia, Rusia, Britain, Sweden, Portugal, Sepanyol, Sardinia, Sicilia dan beberapa buah negeri Jerman membentuk sebuah gabungan anti-Perancis yang mencetuskan Perang Gabungan Keenam (1812-1814). Walaupun tentera Perancis mendapat kemenangan dalam Pertempuran Lützen pada 2 Mei 1813, Pertempuran Bautzen pada 20-21 Mei 1813, Pertempuran Dresden pada 26-27 Ogos 1813, Pertempuran Hanau pada 30-31 Oktober 1813 dan banyak lagi pertempuran, ia ditewaskan secara besar-besaran dalam Pertempuran Leipzig pada 16-19 Oktober 1813. Tentera gabungan Rusia, Austria, Prusia dan sekutu-sekutu mereka berjaya mengusir tentera Napoleon keluar dari Jerman pada tahun 1813, dan menyeberangi Sungai Rhine untuk menceroboh Perancis pada tahun 1814. Tentera British, Portugis dan Sepanyol juga melintasi Banjaran Pirenia, iaitu sempadan semula jadi Sepanyol-Perancis, untuk menceroboh Perancis pada tahun 1814.

Selepas tentera Perancis ditewaskan oleh gabungan tentera Rusia, Austria dan Prusia dalam Pertempuran Paris pada 30-31 Mac 1814, Napoleon dipaksa untuk berundur dari takhta Maharaja Perancis dengan penandatanganan Perjanjian Fontainebleau pada bulan April 1814. Napoleon dibuang negeri ke Pulau Elba yang terletak di luar pantai wilayah Toscana di pantai barat Itali Tengah. Di bawah sokongan kuasa-kuasa besar yang membentuk Gabungan Keenam, Louis XVIII, adik kepada Raja Louis XVI yang dipancung kepalanya dengan gilotin pada tahun 1793 semasa Revolusi Perancis, diangkat sebagai Raja Perancis yang baharu, maka menandakan pemulihan pemerintahan Dinasti Bourbon di Perancis. Perjanjian Paris yang ditandatangani pada 30 Mei 1814 antara Perancis dan kuasa-kuasa besar dalam Gabungan Keenam menandakan tamatnya Perang Gabungan Keenam. Kerajaan Perancis dapat mengekalkan wilayah yang dikuasainya sebelum 1 Januari 1792.
Selepas Napoleon Bonaparte berundur dari takhta Maharaja Perancis dan pemulihan pemerintahan Dinasti Bourbon di Perancis pada bulan April 1814, empat kuasa besar dalam Gabungan Anti-Perancis, iaitu Empayar Austria, Prusia, Empayar Rusia dan Britain Raya, menganjurkan siri persidangan antarabangsa yang dikenali sebagai “Kongres Vienna” dari 1 November 1814 hingga 8 Jun 1815 untuk melukis semula peta politik benua Eropah demi memulihkan keseimbangan kuasa dan mengagihkan semula kepentingan sesama kuasa-kuasa besar Eropah itu. Golongan pemerintah yang konservatif di benua Eropah pada masa itu juga hendak mematahkan sebarang kebangkitan masyarakat yang dipengaruhi oleh fahaman liberalisme dan nasionalisme yang mengancam struktur pemerintahan lama di situ.

Dalam Kongres Vienna, Austria diwakili oleh Klemens von Metternich, seorang bangsawan Jerman yang merupakan Menteri Luar Negeri Empayar Austria pada masa itu yang akan menjadi Canselor Austria (iaitu ketua kerajaan Austria) pada tahun 1821 dan merupakan pengerusi kepada Kongres Vienna; Prusia diwakili oleh Karl August von Hardenberg, Perdana Menteri Prusia pada masa itu, sementara Raja Friedrich Wilhelm III memainkan peranan penting di belakang tabir; Rusia diwakili oleh proksi Maharaja Aleksandr I daripada Dinasti Romanov; Britain pula diwakili pada asalnya oleh Robert Stewart atau lebih dikenali sebagai Lord Castlereagh, Setiausaha Luar Negeri Britain pada masa itu, kemudiannya digantikan oleh Arthur Wellesley, atau lebih dikenali sebagai Duke Wellington Pertama, seorang jeneral tentera British yang pernah terlibat dalam Perang Semenanjung. Walaupun Perancis dikalahkan dalam Perang Gabungan Keenam, ia telah dianggap sebagai kuasa besar yang “kelima” dalam Kongres Vienna dan diwakili oleh Charles Maurice de Talleyrand-Périgord (1754-1838), Menteri Luar Negeri Perancis yang merundingkan Perjanjian Paris 1814 bagi pihak Raja Louis XVIII.
Semasa Kongres Vienna masih berlangsung, Napoleon Bonaparte melepaskan diri dari Pulau Elba dan pulang ke Perancis pada bulan Mac 1815. Raja Louis XVIII melarikan diri dari Paris pada 20 Mac 1815, dan Napoleon kembali berkuasa sebagai Maharaja Perancis. Namun, pengembalian kuasa pemerintahan Perancis ke dalam tangan Napoleon itu hanya bertahan seketika, iaitu 110 hari sahaja, di mana tempoh itu dikenali dalam sejarah sebagai “Seratus Hari” (Les Cent-Jours). Tentera Perancis pimpinan Napoleon yang kembali berkuasa itu ditewaskan oleh tentera Gabungan Ketujuh pimpinan Duke Wellington Pertama dari Britain dan Gebhard Leberecht von Blücher dari Prusia dalam Pertempuran Waterloo pada 18 Jun 1815. Napoleon berundur dari takhta Maharaja Perancis sekali lagi pada 22 Jun 1815 dengan menamakan Napoleon II, anaknya yang baru berumur 4 tahun pada masa itu, sebagai Maharaja baharu, tetapi hanya untuk tiga hari sebelum kerajaan sementara di Paris menjatuhkannya dengan perisytiharan pada 26 Jun 1815 yang menyatakan bahawa semua undang-undang berfungsi “atas nama rakyat Perancis”. Raja Louis XVIII kembali ke Paris pada 7 Julai 1815 dan pemerintahan Dinasti Bourbon dipulihkan buat kali kedua. Napoleon Bonaparte yang cuba melarikan diri ke Amerika Syarikat ditahan oleh pihak British pada 15 Julai 1815 dan dibuang negeri sekali lagi, dengan kali ini ke Pulau Saint Helena yang terletak di tengah-tengah Lautan Atlantik, dan dia akhirnya mati di situ pada tahun 1821.

Antara kuasa-kuasa besar yang mengambil bahagian dalam Kongres Vienna, Austria, Prusia dan Rusia, tiga buah kuasa besar yang masih mengamalkan sistem pemerintahan monarki berkuasa mutlak, menubuhkan “Perikatan Suci” (Heilige Allianz) yang berasaskan fahaman monarkisme dan anti-sekularisme, dengan tujuan menyekat penyebaran fahaman liberalisme, demokrasi, nasionalisme sivil dan republikanisme seperti yang pernah yang dibawa dalam Revolusi Perancis. Selepas tamatnya Perang Napoleon, benua Eropah boleh dikatakan sudah memasuki zaman reaksioner yang konservatif, tetapi masih tidak kurangnya gelombang penentangan masyarakat sama ada secara tersembunyi atau secara terbuka terhadap susunan sosiopolitik yang konservatif.
Pergolakan politik hebat berikutan Revolusi Perancis yang tercetus pada tahun 1789 telah menjatuhkan pemerintahan Dinasti Bourbon pada tahun 1792, dengan Raja Louis XVI daripada Dinasti Bourbon dipancung kepalanya pada tahun 1793. Pemulihan pemerintahan monarki Dinasti Bourbon pada tahun 1814 dengan adik Raja XVI yang dipancung kepada itu menjadi raja Perancis, dan sekali lagi pada tahun 1815 selepas “Seratus Hari”, kelihatan seolah-olahnya politik di Perancis telah mengalami putaran 360 darjah, iaitu kembali kepada titik asal selepas pergolakan hebat selama dua dekad. Namun, pemerintahan Dinasti Bourbon tidak mungkin dapat kembali kepada keadaan asalnya. Memang betul pemerintahan Dinasti Bourbon dipulihkan, tetapi Ancien Régime yang dijatuhkan dalam Revolusi Perancis itu tidak boleh dikembalikan lagi.
Kerajaan Dinasti Bourbon yang dipulihkan itu mengamalkan dasar sistem raja berperlembagaan separuh masak yang mengehadkan sebahagian kuasa raja. Walaupun konservatif dalam fahaman politiknya, Raja Perancis yang baharu itu, Louis XVIII, telah menerima kebanyakan pembaharuan yang dilaksanakan semasa Republik Perancis Pertama (1792-1804) dan Empayar Perancis Pertama (1804-1814). Raja Louis XVIII tidak cuba mengambil balik harta dan tanah yang dirampas daripada golongan bangsawan yang melarikan diri ke luar negara semasa Revolusi Perancis. Feudalisme yang dihapuskan dalam Revolusi Perancis 1789 itu tidak dikembalikan.

Di bawah permintaan Kongres Vienna sebagai syarat untuk pengiktirafan pemerintahan monarki Dinasti Bourbon yang dipulihkan, Raja Louis XVIII mengemukakan “Piagam 1814”, sebuah dokumen perlembagaan yang menggariskan kuasa-kuasa raja dan badan perundangan dwidewan. Piagam 1814 mengandungi prinsip-prinsip yang melindungi hak kebebasan sivil, seperti kebebasan akhbar, kesamarataan di sisi undang-undang, hak untuk proses kehakiman yang adil, toleransi agama, perlindungan harta persendirian dan pemansuhan kerahan tentera secara paksaan. Kewujudan prinsip-prinsip pembaharuan liberal dalam Piagam 1814, bersama-sama dengan pengekalan Kanun Napoleon, merupakan hasil Revolusi Perancis yang dikekalkan selepas pemulihan Dinasti Bourbon.
Walau bagaimanapun, kuasa raja masih agak besar dalam pemerintahan Dinasti Bourbon yang dipulihkan, di mana raja mempunyai kuasa untuk melantik pegawai awam, mengeluarkan ordinan, memerintah tentera, mengisytihar perang dan mewujudkan perjanjian antarabangsa. Raja mempunyai hak tunggal untuk membentangkan draf undang-undang kepada parlimen, dan hak untuk meluluskan atau menolak undang-undang yang diluluskan oleh parlimen. Raja berkuasa untuk memanggil dan menggantungkan sesi parlimen, di samping berhak untuk membubarkan Dewan Perwakilan (iaitu dewan bawah parlimen) dan memanggil pilihan raya baharu. Raja juga berkuasa untuk melantik ahli-ahli dalam Dewan Bangsawan (Chambre des Pairs, iaitu dewan atas parlimen seperti Dewan Pertuanan di Britain). Dalam erti kata lain, pemerintahan Bourbon yang dipulihkan di Perancis masih cuba mengembalikan sistem monarki berkuasa mutlak (absolutisme) dan menyekat pembangunan sistem raja berperlembagaan.
Suasana politik di Perancis selepas pemulihan pemerintahan Dinasti Bourbon adalah kompleks, dengan golongan pemerintah yang berkuasa itu berpegang pada fahaman politik reaksioner absolutis yang konservatif, pada masa yang sama perlu melindungi kepentingan kelas borjuis yang menguasai ekonomi perdagangan, perindustrian dan perbankan yang pesat membangun. Kelas borjuis yang semakin berpengaruh dan berkuasa itu memang tidak mahu mengembalikan susunan Ancien Régime yang didominasi oleh raja berkuasa mutlak, bangsawan dan uskup gereja. Sementara itu, pelbagai pemikiran politik baharu yang muncul dan dibangunkan semasa Revolusi Perancis sudah bertapak dalam minda rakyat, sekurang-kurangnya dalam kalangan golongan intelek kelas menengah dan elit atasan yang berpemikiran lebih terbuka.

Selepas pemerintahan Dinasti Bourbon dipulihkan semula pada tahun 1815, gelombang “Keganasan Putih Kedua” (Terreur Blanche de 1815) menyaksikan mereka yang disyaki bersimpati pada Revolusi Perancis (termasuk golongan bekas Jacobin), golongan republikan, penyokong-penyokong Napoleon Bonaparte dan sebagainya ditindas dan dianiayai, malah adanya yang dibunuh atau dihukum mati selepas penghakiman mahkamah tentera yang tergesa-gesa. Keganasan Putih mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat buat sementara waktu, dengan golongan liberal dan golongan moderat yang berhak untuk mengundi telah memilih calon-calon ultra-royalis dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis pada bulan Ogos 1815. Hanya kira-kira 0.3% daripada sejumlah lebih 30 juta orang warga Perancis berhak untuk mengundi semasa pemerintahan Dinasti Bourbon yang dipulihkan, di mana pengundi-pengundi merupakan golongan lelaki daripada lapisan masyarakat atasan yang memiliki harta dan agak kaya.
Walaupun ekonomi perindustrian masih dalam peringkat pembangunan awalan, kemunculan kilang-kilang perindustrian moden bermakna pembentukan satu kelas sosial yang baharu, iaitu kelas pekerja atau golongan proletar, menjadi sebahagian daripada massa rakyat bawahan yang masih hidup susah dan mempunyai potensi bermobilisasi dalam jumlah yang besar untuk perubahan, seperti golongan sans-culotte yang pernah memainkan peranan penting semasa Revolusi Perancis. Pengembangan institusi-institusi pendidikan awam, seperti universiti-universiti dan sekolah-sekolah, hasil daripada Revolusi Perancis dan keperluan pemerintahan Napoleon untuk membekalkan kakitangan-kakitangan awam kepada pelbagai institusi kerajaan dalam Empayar Perancis Pertama, telah diteruskan oleh kerajaan Dinasti Bourbon yang dipulihkan, dan menjadi saluran kepada golongan intelek muda untuk mempelajari fahaman-fahaman politik baharu. Kontradiksi-kontradiksi yang wujud dalam pelbagai aspek semasa pemerintahan Dinasti Bourbon yang dipulihkan, menyediakan resipi kepada pergolakan politik revolusioner yang seterusnya di Perancis, malah seluruh Eropah.

Semenanjung Iberia 1820: Dua revolusi yang liberal
Semenanjung Iberia diduduki oleh tentera Perancis apabila Maharaja Napoleon I melancarkan pencerobohan ke atas Portugal pada bulan November 1807 dan kemudiannya merampas takhta raja Sepanyol daripada Dinasti Bourbon di situ pada bulan Mei 1808. Namun, selepas terjerumus dalam peperangan selama lebih 5 tahun dengan kegagalan mematahkan penentangan terhadap pendudukan tentera Perancis di Sepanyol, dan kekalahan kepada tentera gabungan British-Portugal-Sepanyol di medan perang, Perjanjian Valençay ditandatangani pada bulan Disember 1813, dengan Napoleon I bersetuju untuk mengiktiraf Fernando VII yang ditahannya sejak tahun 1808 sebagai Raja Sepanyol. Selepas diserahkan kepada tentera Sepanyol pada bulan Mac 1814, Raja Fernando VII pulang ke Madrid untuk mengambil semula kuasa pemerintahannya, tetapi keadaan politik di Sepanyol telah mengalami perubahan yang besar semasa Perang Semenanjung (1808-1814).
Sebelum berlakunya Perang Semenanjung, kerajaan Sepanyol mengamalkan pemerintahan raja berkuasa mutlak. Apabila Fernando VII dan ayahnya, Carlos IV, dipaksa untuk berundur dari takhta pada tahun 1808, junta-junta ditubuhkan di tanah besar Sepanyol atas nama Raja Fernando VII untuk memperjuangkan kemerdekaan negara Sepanyol daripada kekuasaan Perancis. Sementara itu, junta-junta juga ditubuhkan di wilayah-wilayah jajahan Sepanyol di Amerika atas nama Raja Fernando VII tetapi menjadi pencetus kepada gelombang gerakan perjuangan kemerdekaan yang hebat di Amerika Latin. Cortes de Cádiz yang ditubuhkan pada tahun 1810 sebagai badan perundangan yang mewakili kedaulatan Sepanyol semasa Perang Semenanjung, telah didominasi oleh ahli-ahli perwakilan yang berfahaman liberal. Perlembagaan 1812 yang dirangka oleh Cortes de Cádiz boleh dikatakan salah sebuah perlembagaan yang paling liberal pada zaman itu, di mana ia mengesahkan kedaulatan negara, pengasingan kuasa, kebebasan akhbar, kebebasan ekonomi, pemansuhan hak-hak keistimewaan bangsawan, dan pembentukan sistem raja berperlembagaan dengan demokrasi berparlimen. Perlembagaan 1812 juga membenarkan hak mengundi sejagat kaum lelaki dengan beberapa pengecualian melalui sistem pilihan raya secara tidak langsung yang kompleks.

Sebelum kembali ke Sepanyol, Raja Fernando VII pernah memberi jaminan bahawa dia akan memerintah berasaskan Perlembagaan 1812 yang liberal, tetapi setelah mendapat dorongan daripada golongan konservatif dan pihak Gereja Katolik, dia terus menolak Perlembagaan 1812. Pada bulan Mei 1814, Raja Fernando VII mengarahkan pembatalan Perlembagaan 1812 dan penangkapan pemimpin-pemimpin liberal yang menggubal Perlembagaan 1812. Dengan itu, pemerintahan autokratik raja berkuasa mutlak dikembalikan di Sepanyol pada tahun 1814. Namun begitu, pemerintahan Raja Fernando VII adalah tidak stabil, kerana sering dicabar oleh golongan yang pernah mempertaruhkan nyawa mereka dalam Perang Semenanjung untuk mempertahankan Sepanyol atas namanya.
Pernah tercetusnya beberapa pemberontakan askar yang bersimpati pada golongan liberal selepas pemulihan pemerintahan Bourbon di Sepanyol. Pada bulan September 1814, Jeneral Francisco Espoz y Mina (1781-1836), seorang pemimpin gerila semasa Perang Semenanjung, cuba melancarkan pemberontakan askar di Pamplona, yang terletak di bahagian utara Sepanyol, tetapi menemui kegagalan, dan Espoz y Mina terpaksa hidup dalam buangan. Juan Díaz Porlier (1788-1815), seorang komander tentera semasa Perang Semenanjung, memberontak pada bulan September 1815 di La Coruña, yang terletak di bahagian barat laut Sepanyol, tetapi digagalkan dan Porlier dihukum mati. Pada bulan April 1817, Brigadier Jeneral Luis de Lacy (1775-1817), seorang pegawai tentera kanan yang memainkan peranan penting semasa Perang Semenanjung, bersama-sama Francisco Milans del Bosch (1769-1834), merancang untuk memberontak di Barcelona, yang terletak di pantai timur laut Sepanyol, tetapi rancangan mereka terbongkar, dengan Luis de Lacy ditangkap dan dihukum mati pada bulan Julai 1817, sementara Milans del Bosch sempat melarikan diri. Satu lagi pemberontakan askar pernah berlaku di Valencia, yang terletak di pantai timur Sepanyol, pada tahun 1818 tetapi juga gagal.

Pada penghujung tahun 1819, Raja Fernando VII mengumpulkan tentera dalam jumlah yang besar untuk dihantar ke benua Amerika di seberang Lautan Atlantik untuk mematahkan gelombang perjuangan kemerdekaan di situ. Selepas semua askar yang sepatutnya dihantar ke Amerika Latin itu tiba di bandar Cádiz, yang terletak di bahagian barat daya Sepanyol, Rafael del Riego (1784-1823), seorang lagi veteran Perang Semenanjung yang berfahaman liberal dan komander Batalion Asturias pada masa itu, melancarkan pemberontakan askar pada 1 Januari 1820. Riego menuntut untuk mengembalikan Perlembagaan 1812.
Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Riego berarak melalui bandar-bandar di wilayah Andalusia dengan harapan menyemarakkan pemberontakan rakyat untuk menentang absolutisme (iaitu sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak), tetapi kurang mendapat sambutan daripada penduduk-penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, satu lagi pemberontakan tercetus di wilayah Galicia yang terletak di bahagian barat laut Sepanyol, dan merebak dengan cepatnya ke seluruh negara Sepanyol.

Semasa gelombang revolusi liberal merebak di Sepanyol, Jeneral Francisco Ballesteros (1770-1833), seorang pemimpin tentera yang bersimpati dengan golongan liberal dan pernah dilantik sebagai Menteri Perang pada tahun 1815 tetapi hanya seketika sebelum dipecat kerana fahaman liberalnya, dipanggil untuk kembali ke Madrid dan memimpin tentera di situ. Pada 7 Mac 1820, askar-askar di bawah perintah Francisco Ballesteros mengelilingi istana diraja di Madrid. Tiga hari kemudian, pada 10 Mac 1820, Raja Fernando VII yang digugat oleh revolusi liberal dan cuba meredakan keadaan itu telah bersetuju untuk memulihkan Perlembagaan 1812. Raja Fernando VII kemudiannya diletakkan di bawah tahanan rumah.
Revolusi Liberal di Sepanyol yang bermula daripada pemberontakan askar di Cádiz yang dipimpin oleh Rafael del Riego, berjaya mewujudkan pemerintahan liberal selama tiga tahun di Sepanyol, yang dikenali sebagai “Trienio Liberal” (Tiga Tahun Liberal).
Kerajaan sementara yang ditubuhkan untuk menggantikan pemerintahan berkuasa mutlak sebagai badan eksekutif, diketuai oleh Luis María de Borbón y Vallabriga, ketua uskup Toledo yang dilantik sebagai Presiden, sementara Francisco Ballesteros dilantik sebagai Naib Presiden kerajaan sementara. Pilihan raya untuk Cortes Generales (iaitu badan perundangan Sepanyol) diadakan pada bulan April-Mei 1820, dengan kebanyakan ahli perwakilan yang dipilih itu merupakan golongan liberal yang moderat.

Kerajaan liberal yang ditubuhkan di Sepanyol selepas Revolusi 1820 ternyata tidak kukuh kerana perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan mereka yang berkuasa pada masa itu. Golongan liberal yang lebih radikal cuba memberontak untuk menghapuskan sistem monarki sama sekali, tetapi mereka dipatahkan pada tahun 1821, maka mengasingkan sokongan golongan radikal daripada kerajaan liberal.
Usaha kerajaan liberal di Madrid untuk menyusun semula pentadbiran wilayah yang bertujuan untuk mengurangkan autonomi wilayah yang menjadi ciri birokrasi Sepanyol semasa pemerintahan raja berkuasa mutlak, telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan elit tempatan di sesetengah wilayah. Dasar kerajaan liberal yang cuba mengehadkan kekuasaan Gereja Katolik pula mewujudkan hubungan tegang dengan golongan agamawan yang konservatif. Usaha untuk membangunkan ekonomi perindustrian pula menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan kesatuan-kesatuan pertukangan lama.
Pada 7 Julai 1822, tentera yang dipimpin oleh Jeneral Francisco Ballesteros berjaya menumpaskan pemberontakan Pengawal Diraja di Madrid yang diarahkan oleh Raja Fernando VII untuk merampas kuasa, maka berjaya mempertahankan Perlembagaan 1812 dan kerajaan liberal di Madrid buat sementara waktu. Namun begitu, perang saudara tercetus di wilayah-wilayah seperti Castilla, Toledo dan Andalusia apabila golongan penyokong Raja Fernando VII memberontak terhadap kerajaan liberal di Madrid.
Pilihan raya untuk Cortes Generales yang diadakan pada bulan Oktober-Disember 1822 telah menyaksikan banyak ahli perwakilan liberal yang lebih radikal dipilih ke dalam parlimen.

Oleh sebab tidak senang dengan revolusi liberal di Sepanyol, dalam Kongres Verona yang diadakan pada tahun 1822, “Perikatan Suci” (Austria, Prusia dan Rusia) memberi kuasa kepada Perancis untuk mencampur tangan supaya mematahkan kerajaan liberal di Sepanyol. Raja Louis XVIII dari Perancis mengerahkan tenteranya untuk melintasi Banjaran Perenia pada bulan April 1823. Disebabkan perpecahan dalaman yang ketara, tentera Sepanyol tidak dapat menyusun penentangan yang berkesan terhadap tentera Perancis yang lebih teratur. Tentera Perancis kemudiannya menawan Cádiz dan Madrid, di samping mengembalikan Fernando VII sebagai raja berkuasa mutlak. Rafael del Riego, pemimpin yang mencetuskan pemberontakan askar di Cádiz pada tahun 1820, ditahan oleh golongan penyokong raja berkuasa mutlak pada bulan September 1823 dan dibunuh pada bulan November 1823.
Pada 1 Oktober 1823, Raja Fernando VII yang kembali berkuasa mutlak memulakan kempen penindasan terhadap mereka yang menyokong kerajaan berperlembagaan liberal. Dengan itu, Sepanyol memasuki zaman yang dikenali sebagai “Década Ominosa” (“Dekad yang Mencemaskan”, 1823-1833). Perlembagaan 1812 dimansuhkan sekali lagi oleh raja yang berkuasa mutlak. Apabila Raja Fernando VII mula menindas golongan liberal, Francisco Ballesteros sempat melarikan diri ke Cádiz, di mana dia menaiki sebuah kapal British yang belayar ke Perancis, dan dia hidup dalam buangan di Paris sejak itu.

Revolusi Trienio Liberal tidak terhad di dalam negara Sepanyol, tetapi juga menular ke negara jiran yang terletak di sebelah baratnya, iaitu Portugal.
Apabila tentera Perancis menceroboh Portugal pada tahun 1807, kerabat diraja Portugis melarikan diri ke Brazil, iaitu wilayah jajahan Portugis yang terkaya pada masa itu di seberang Lautan Atlantik. Raja João VI dari Portugal terus memerintah empayar Portugis yang merentasi Lautan Atlantik itu dari Brazil untuk selama 13 tahun. Selepas tentera Perancis ditewaskan dalam Perang Semenanjung pada tahun 1814, Raja João VI yang sudah selesa dengan pemerintahannya di Brazil enggan pulang ke negara induk Portugal. Walaupun tentera Portugis mengambil bahagian dalam Perang Semenanjung bersama-sama tentera British dan Sepanyol untuk mengusir keluar tentera Perancis, Tanah Besar Portugal menjadi negara di bawah naungan kekuasaan tentera British selepas perang; sementara itu, raja yang memerintahnya selesa duduk di seberang Lautan Atlantik, seolah-olah tidak mempedulikan rakyat di negara induknya.
Hak keistimewaan dalam perdagangan yang diberikan kepada pihak British sebagai pertukaran untuk mendapatkan bantuan ketenteraan British dalam Perang Semenanjung, di mana barangan British diberikan jaminan status yang diutamakan untuk memasuki Portugal, telah menjejaskan aktiviti komersial di bandar-bandar seperti Porto dan Lisbon. Bandar Porto yang mempunyai golongan borjuis yang dinamik dan tradisi liberal yang kukuh, menjadi pusat pencetusan Revolusi Liberal di Portugal.
Terdapat sebahagian pegawai tentera dan anggota Freemason (sebuah organisasi persaudaraan dengan kebanyakan anggotanya berfahaman liberal) cuba mewujudkan sebuah gerakan rahsia dengan objektif mengembangkan liberalisme, menamatkan kawalan British terhadap Portugal dan memperjuangkan kemerdekaan tanah air mereka. Akan tetapi, gerakan tersebut dibongkarkan dan banyak orang yang berkaitan ditangkap, dengan 12 orang dihukum mati pada bulan Oktober 1817.

Manuel Fernandes Tomás (1771-1822), seorang majistret di Porto yang berfahaman liberal, bersama-sama dengan tokoh-tokoh liberal lain seperti José Ferreira Borges (1786-1838) dan José da Silva Carvalho (1782-1856), menubuhkan sebuah organisasi rahsia di Porto pada bulan Januari 1818 dengan hasrat menentang sistem raja berkuasa mutlak dan memperjuangkan liberalisme di Portugal.
Apabila negara jirannya Sepanyol dilanda gelombang revolusi liberal mulai bulan Januari 1820, golongan liberal di Portugal turut bangkit pada bulan Ogos 1820. Golongan liberal di Porto yang dipimpin oleh Manuel Fernandes Tomás bersama-sama dengan askar-askar yang ditempatkan di situ memberontak pada 24 Ogos 1820. Pemberontakan menular dengan cepatnya ke bandar-bandar lain di Portugal. Pada 15 September 1820, pegawai-pegawai tentera berpangkat rendah yang dipimpin oleh Leftenan Aurélio José de Moraes memberontak di Lisbon, menjatuhkan Pemangku Raja di situ dan menubuhkan kerajaan sementara.
Golongan revolusioner menubuhkan “Junta Sementara Pemerintahan Tertinggi Kerajaan” (Junta Provisional do Governo Supremo do Reino), dengan Brigadier António da Silveira Pinto da Fonseca (1770-1858), seorang pegawai tentera yang pernah terlibat dalam Perang Semenanjung, sebagai Presiden Junta, dan Kolonel Sebastião Drago Valente de Brito Cabreira (1763-1833) sebagai Naib Presiden.

Junta Sementara mengemukakan “Manifesto kepada Warga Portugis”, yang ditulis oleh Manuel Fernandes Tomás, untuk memaklumkan objektif golongan revolusioner kepada rakyat umum di seluruh negara. Golongan revolusioner menuntut supaya sidang Cortes (Parlimen) diadakan untuk menggubal sebuah perlembagaan negara demi mewujudkan sistem raja berperlembagaan, di samping menggesa Raja Portugis yang tinggal di Brazil itu pulang ke Tanah Besar Portugal demi “memulihkan maruah metropolis (iaitu Tanah Besar Portugal)”. Golongan revolusioner juga menuntut supaya perdagangan eksklusif Tanah Besar Portugal dengan Brazil dipulihkan, dan status Brazil dikembalikan kepada wilayah jajahan.
Junta Sementara menganjurkan pilihan raya Cortes Perlembagaan pada bulan Disember 1820, dengan majoriti ahli perwakilian yang dipilih merupakan golongan profesional (majistret, peguam dan profesor). “Perlembagaan Portugal 1822” yang diluluskan oleh Cortes pada 23 September 1822 mendapat ilham daripada model Perlembagaan Sepanyol 1812 yang liberal.

Oleh sebab desakan hebat daripada Cortes yang dikuasai oleh golongan liberal, Raja João VI terpaksa pulang dari Brazil ke Tanah Besar Portugal pada tahun 1821. Dengan desakan semakin hebat daripada Cortes untuk menjadikan Brazil sebagai sebuah wilayah jajahan di bawah kekuasaan kerajaan di Tanah Besar Portugal, bukan lagi sebagai sebuah entiti yang setara dengan kerajaan di Tanah Besar Portugal seperti dalam “Kerajaan Bersatu Portugal, Brazil dan Algarve”, golongan elit di Brazil, termasuk Putera Pedro (anak kepada Raja João VI), membangunkan idea untuk memisahkan Brazil daripada Empayar Portugis, maka mencetuskan Perang Kemerdekaan Brazil (1822-1825).
Apabila kuasa-kuasa besar absolutis dalam Perikatan Suci memberi kuasa kepada Perancis untuk menceroboh Sepanyol supaya menjatuhkan kerajaan liberal di situ dan memulihkan kuasa mutlak Raja Fernando VII dari Sepanyol, golongan penyokong raja berkuasa mutlak di Portugal yang tidak senang dengan Revolusi Liberal 1820 itu turut terdorong untuk menjatuhkan pemerintahan liberal. Pada 23 Mei 1823, Putera Miguel, anak kepada Raja João VI dari Portugal dan adik kepada Maharaja Pedro I dari Brazil, memberontak untuk menentang kerajaan berperlembagaan. Dengan kebimbangan bahawa Putera Miguel akan memaksanya untuk turun dari takhta, Raja João VI memutuskan untuk mengambil alih kepimpinan pemberontakan terhadap kerajaan berperlembagaan itu sendiri.
Dengan rejim monarki berkuasa mutlak dipulihkan, Cortes dibubarkan dan banyak ahli politik liberal terpaksa hidup dalam buangan. Namun begitu, Raja João VI menyekat golongan ultra-reaksioner yang diterajui oleh isterinya Ratu Carlota Joaquina daripada mengambil alih kuasa. Putera Miguel memberontak lagi pada bulan April 1824 tetapi gagal, dan dia terpaksa melarikan diri ke Vienna. Portugal mengiktiraf kemerdekaan Brazil pada tahun 1825.

Apabila Raja João VI meninggal dunia pada tahun 1826, anaknya Pedro I dari Brazil mewarisi takhta raja Portugal hanya selama kurang daripada 2 bulan sebagai Raja Pedro IV dari Portugal, dan mengeluarkan Piagam Perlembagaan, sebelum dia melepaskan takhta kepada anak perempuannya Ratu Maria II. Namun, Miguel, seorang lagi anak kepada Raja João VI dan adik kepada Pedro I dari Brazil, merampas kuasa takhta diraja Portugal pada tahun 1828, dengan gelaran Raja Miguel I, dan mengamalkan pemerintahan absolutis. Pedro I dari Brazil melancarkan Perang Liberal (1828-1834) untuk mengembalikan anak perempuannya Maria II kepada takhta diraja Portugal. Perang Liberal berakhir dengan Miguel I ditewaskan, Maria II dikembalikan takhtanya, dan Piagam Perlembagaan dipulihkan, maka menandakan Portugal memasuki zaman monarki berperlembagaan yang separuh masak.
Benih Risorgimento di Itali pada tahun 1820
Semenanjung Itali merupakan sebuah negara yang bersatu semasa zaman Rom Purba dan pemerintahan Ostrogoth (493-553), tetapi mula berpecah pada tahun 568 apabila wilayahnya menjadi perebutan antara Kerajaan Longobardi yang ditubuhkan oleh suku kaum Jermanik dan Empayar Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Bizantium. Selepas ditawan oleh Empayar Carolingia, gelaran Raja Itali digabungkan dengan Mahkota Maharaja Rom Suci, tetapi Maharaja Rom Suci merupakan seorang warga asing yang berbahasa Jerman dan tidak berminat untuk mentadbir Itali, maka mewujudkan vakum kekuasaan di situ. Sejak itu, negara-negara kota mula dibangunkan di bahagian utara Itali; bahagian selatan Itali ditadbir oleh Kerajaan Sicilia yang berpusat di Palermo atau Kerajaan Napoli yang berpusat di bandar Napoli; bahagian tengah pula terletak di bawah pemerintahan berdaulat Paus daripada Gereja Katolik Rom. Pada abad ke-15 dan ke-16, Itali menjadi medan pertempuran untuk perang-perang proksi antara kuasa-kuasa besar Eropah pada masa itu, seperti Empayar Rom Suci (yang termasuk Austria), Sepanyol dan Perancis.
Pada penghujung abad ke-18, Austria menjadi kuasa asing yang mendominasi Itali. Apabila tercetusnya Perang Revolusi Perancis (1792-1802) dan Perang Napoleon (1803-1815), tentera Perancis menceroboh Itali dan mewujudkan negara-negara satelit Perancis seperti Kerajaan Etruria (1801-1807) yang menduduki sebahagian besar wilayah Toscana di bahagian tengah Itali, Kerajaan Itali (1805-1814) di bahagian utara Itali (dengan Napoleon Bonaparte sendiri sebagai raja) dan Kerajaan Napoli (1806-1815) di bahagian selatan Itali (dengan abang dan ipar Napoleon sebagai raja). Pemerintahan Perancis di Itali telah menghancurkan struktur feudal yang lama di situ dan memperkenalkan idea-idea liberal moden kepada masyarakat Itali, maka ia menyediakan sumber ideologi kepada pembangunan gerakan penyatuan Itali, yang dikenali sebagai Risorgimento (Kebangkitan Semula), selepas kejatuhan Empayar Perancis Pertama.

Kesan daripada pemerintahan Napoleon, munculnya gerakan bawah tanah berfahaman liberal yang dikenali sebagai Carbonari. Carbonari, bermaksud “pembakar arang” dalam Bahasa Itali, bergerak secara rahsia dengan tempat pertemuan mereka dipanggil “baracca” (pondok), anggota-anggotanya memanggil anggota-anggota lain sebagai “cugini” (sepupu) dan orang luar yang bukan anggota mereka pula dikenali sebagai “pagani”. Gerakan Carbonari pada awalnya muncul untuk menentang pendudukan Perancis, tetapi selepas pemerintahan Napoleon dijatuhkan dan rejim-rejim monarki berkuasa mutlak lama kembali berkuasa di Itali, ia berkembang menjadi sebuah pertubuhan revolusioner nasionalis yang menentang pengaruh kuasa Empayar Habsburg Austria di Itali.
Carbonari berhasrat untuk menubuhkan sebuah pemerintahan raja berperlembagaan atau republik di seluruh Itali, di samping mempertahankan hak-hak rakyat biasa daripada segala bentuk kekuasaan mutlak. Anggota-anggota Carbonari bercadang untuk melakukan pemberontakan bersenjata demi mencapai matlamat mereka. Rejim-rejim monarki berkuasa mutlak di Itali sering menggunakan kekerasan untuk mematahkan pandangan liberal yang dibawa oleh Carbonari.

Niccolò Fontani)
Apabila tercetusnya pemberontakan liberal di Cádiz, Sepanyol, pada awal tahun 1820, golongan Carbonari juga mendapat ilham untuk melakukan pemberontakan yang mendesak penggubalan perlembagaan liberal di Itali, terutamanya bahagian selatan Itali (termasuk Pulau Sicilia) yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Dua Sicilia (1816-1861) daripada Dinasti Bourbon pada masa itu. Bilangan keanggotaan Carbonari meningkat secara mendadak pada tahun 1820 hasil daripada usaha perekrutan yang hebat. Salah seorang pemimpin yang terlibat usaha menyusun gerakan Carbonari ialah Jeneral Guglielmo Pepe (1783-1855), seorang pegawai tinggi tentera yang pernah berkhidmat dengan Kerajaan Napoli semasa pemerintahan Napoleon.
Pada bulan Jun 1820, tercetusnya pemberontakan di Palermo, yang terletak di bahagian barat laut Pulau Sicilia. Golongan pemberontak yang dipimpin oleh Giuseppe Alliata di Villafranca (1784-1844), seorang ahli politik yang pernah menjadi presiden Dewan Bangsawan (Camera dei pari) dan Menteri Luar kerajaan berperlembagaan pada tahun 1812 semasa pemangku raja Francesco I di Sicilia pada masa itu menerima pakai Perlembagaan Sicilia 1812 yang liberal untuk menghadapi pemberontakan di situ dan ancaman kemaraan tentera Napoleon. Golongan pemberontak di Palermo merampas senapang dari gedung senjata bandar itu dan menubuhkan sebuah kerajaan sementara yang dipengerusikan oleh Giovanni Luigi Moncada, Putera Paternò yang merupakan bangsawan tempatan. Parlimen Sicilia bersidang pada bulan Julai 1820 dan Perlembagaan Sicilia 1812 dipulihkan.

Pada 1 Julai 1820, golongan Carbonari melancarkan pemberontakan tentera di Nola, wilayah Campania di mana terletaknya Napoli, ibu negara Kerajaan Dua Sicilia. Pemberontakan itu dipimpin oleh Michele Morelli (1792-1822) dan Giuseppe Silvati (1791-1822), dua orang anggota Carbonari dan pegawai tentera yang pernah berkhidmat dalam tentera pimpinan Guglielmo Pepe, bersama-sama dengan Luigi Minichini (1783-1861), seorang paderi. Dua hari kemudian, tentera pemberontak yang dipimpin oleh Morelli, Silvati dan Minichini memasuki bandar Avellino. Pada 4 Julai 1820, golongan Carbonari mengemukakan tuntutan mereka: mengisytiharkan sebuah perlembagaan (yang berasaskan model Perlembagaan Sepanyol 1812), mengadakan persidangan parlimen dan menghentikan penindasan politik. Namun, apabila golongan Carbonari menyerahkan kuasa kepada kepimpinan tentera Jeneral Guglielmo Pepe, Luigi Minichini yang tidak bersetuju dengan tindakan tunduk kepada hierarki tentera pulang ke Nola untuk terus menghasut pemberontakan rakyat.
Di bawah tekanan yang hebat daripada pemberontakan Carbonari, Raja Ferdinando I dari Dua Sicilia bersetuju untuk menggubal sebuah perlembagaan pada 6 Julai 1820. Jeneral Guglielmo Pepe yang memimpin 14,000 orang Carbonari memasuki bandar Napoli pada 9 Julai 1820 dan disambut meriah oleh penduduk-penduduk tempatan. Guglielmo Pepe mengisytihar kesetiaannya kepada raja, Tuhan dan perlembagaan. Revolusi liberal di Kerajaan Dua Sicilia nampaknya berjaya tanpa pertumpahan darah, tetapi hanya buat sementara waktu. Tidak lama kemudian, golongan Carbonari berpecah dalam persoalan hala tuju kerajaan berperlembagaan baharu di Napoli, maka melemahkan gerakan revolusioner, lebih-lebih lagi golongan konservatif yang reaksioner tidak akan membiarkan kerajaan berperlembagaan yang liberal itu terus wujud begitu sahaja.

Perikatan Suci yang takut bahawa revolusi yang diterajui oleh Carbonari itu memutuskan untuk mengerahkan tentera dari Empayar Austria pada tahun 1821 untuk mematahkan revolusi di Napoli dan memulihkan kekuasaan mutlak Raja Ferdinando I. Pada 24 Mac 1821, tentera Austria mengiringi Raja Ferdinando I untuk memasuki bandar Napoli dan membubarkan parlimen yang baharu ditubuhkan itu. Raja Ferdinando I juga membatalkan perlembagaan dan mengarahkan penangkapan terhadap semua orang yang terlibat dalam pemberontakan Carbonari. Ramai anggota Carbonari dan golongan liberal dipenjarakan, sementara Guglielmo Pepe terpaksa hidup dalam buangan. Michele Morelli dan Giuseppe Silvati dihukum gantung sampai mati pada bulan September 1822.
Kerajaan berperlembagaan di Pulau Sicilia pernah meminta kerajaan revolusioner di Napoli pada bulan Julai 1820 untuk memulihkan status Kerajaan Sicilia, tetapi ditolak oleh kerajaan yang berpusat di Napoli, malah kerajaan Napoli mengerahkan lebih banyak tentera untuk ditempatkan di Pulau Sicilia. Kerajaan berperlembagaan di Napoli menawan semula Sicilia pada bulan November 1820, tetapi ia sendiri ditumpaskan oleh tentera Austria yang dihantar untuk memulihkan pemerintahan monarki berkuasa mutlak.
Di Piedmont-Sardinia (Piemonte-Sardegna), hasil daripada desakan Carbonari, golongan bangsawan yang liberal di Turin memaksa Raja Vittorio Emanuele I daripada Dinasti Savoia untuk berundur dari takhta, mewujudkan pemerintahan raja berperlembagaan, dan melaksanakan beberapa pembaharuan liberal di situ buat sementara waktu pada bulan Mac 1821. Namun, Raja Carlo Felice yang menggantikan Raja Vittorio Emanuele I di Sardinia juga meminta campur tangan Austria untuk mematahkan pembaharuan liberal di situ. Kerajaan baharu yang liberal di Piedmont-Sardinia hanya bertahan dua bulan sebelum dijatuhkan di bawah campur tangan kekuasaan reaksioner Empayar Austria.

Revolusi lain pada tahun 1820-an
Di pinggiran benua Eropah, golongan revolusioner di Greece yang dikuasai oleh Empayar Uthmaniyah sejak pertengahan abad ke-15 juga dipengaruhi oleh idea-idea baharu Zaman Pencerahan dan gelombang revolusi di Eropah yang menular sejak penghujung abad ke-18. Golongan revolusioner Greece yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasionalis seperti Theodoros Kolokotronis (1770-1843), Alexander Ypsilantis (1792-1828), Kyriakoulis Mavromichalis (1765-1822), Panagiotis Karatzas (1776-1824), Georgios Karaiskakis (1782-1827), Athanasios Diakos (1788-1821), Markos Botsaris (1790-1823), Alexandros Mavrokordatos (1791-1865) dan banyak lagi, melancarkan pemberontakan di merata tempat untuk menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah yang sudah berlarutan hampir 400 tahun di Greece pada masa itu, maka mencetuskan Perang Kemerdekaan Greece (1821-1829). Golongan pemberontak menubuhkan Pentadbiran Sementara Greece (1822-1827), kemudiannya dipanggil Negara Yunani (1827-1832), yang mana kedua-duanya juga dikenali sebagai Republik Yunani Pertama (1822-1832). Haiti, yang ditubuhkan hasil daripada perjuangan pembebasan revolusioner hebat, menjadi negara yang pertama mengiktiraf kemerdekaan Greece pada tahun 1822.
Walaupun Empayar Uthmaniyah cuba mematahkan golongan pemberontak Greece dengan keganasan yang melampau, golongan revolusioner Greece tetap gigih dan teguh dalam perjuangan mereka. Demi memajukan kepentingan geopolitik masing-masing, tiga buah kuasa besar Eropah yang utama pada masa itu, Britain, Perancis dan Rusia, memutuskan untuk mencampur tangan dan mengerahkan tentera laut ke Greece pada tahun 1827 untuk membantu golongan revolusioner Greece dalam peperangan menentang tentera Empayar Uthmaniyah. Tentera laut gabungan Uthmaniyah-Mesir ditewaskan oleh tentera laut gabungan tiga kuasa besar Eropah (Britain-Perancis-Rusia) dalam Pertempuran Navarino di Laut Ionia pada 20 Oktober 1827, memberi dorongan hebat kepada usaha Perang Kemerdekaan Greece. Perang Rusia-Turki Kesembilan (1828-1829) yang berlaku di rantau Balkan dan Kaukasus menyaksikan kemenangan tentera Rusia; sementara Ekspedisi Morea (1828-1833) yang dilancarkan oleh tentera Perancis ke atas Peloponnesos di bahagian selatan Greece juga memaksa pengunduran tentera Mesir dan menewaskan tentera Uthmaniyah di situ. Selepas Pertempuran Petra pada 12 September 1829 yang menyaksikan kemenangan tentera Greece, peperangan boleh dikatakan sudah berakhir, dan disusuli dengan proses rundingan untuk menentukan masa hadapan negara Greece yang merdeka.

Britain, Perancis dan Rusia mengiktiraf kemerdekaan negara Greece dalam Protokol London yang ditandatangani pada 3 Februari 1830. Namun, semasa Persidangan London 1832, tanpa berunding dengan pihak Greece, kuasa-kuasa besar Eropah memutuskan bahawa negara Greece yang merdeka harus merupakan sebuah pemerintahan monarki, dengan seorang putera daripada kerabat diraja di Bayern (yang terletak di bahagian tenggara Jerman hari ini) ditawarkan takhta raja Greece. Empayar Uthmaniyah mengiktiraf kemerdekaan Negara Beraja Greece (1832-1924) dalam Perjanjian Konstantinopel yang ditandatangani pada 30 Ogos 1832. Selepas perjuangan lebih satu dekad, Greece mencapai kemerdekaan dengan sebuah pemerintahan monarki yang tidak diminta oleh rakyat Greece dan berada di bawah bayangan kuasa imperialis Eropah.
Di Empayar Rusia, salah sebuah negara anggota “Perikatan Suci” dan kubu kuat fahaman monarkis konservatif pada abad ke-19, juga tidak dapat berkecuali daripada pengaruh gelombang revolusi liberal yang dicetuskan di hujung barat benua Eropah dan merupakan lanjutan daripada Revolusi Perancis yang hebat. Semasa pemerintahan Tsar Aleksandr I, sekumpulan pegawai tentera muda Rusia yang dipengaruhi oleh fahaman liberal menubuhkan “Kesatuan Penyelamatan” pada tahun 1816, sebuah pertubuhan politik rahsia yang hendak memperjuangkan sistem perlembagaan. Kesatuan Penyelamatan disusun semula sebagai “Kesatuan Kesejahteraan” pada tahun 1818. Namun, Kesatuan Kesejahteraan berpecah pada tahun 1821 kepada “Kesatuan Selatan” yang republikan di bawah kepimpinan Kolonel Pavel Pestel (1793-1826) dan “Kesatuan Utara” yang berpegang pada fahaman monarki-perlembagaan di bawah kepimpinan Nikita Muravyov (1796-1843).

Apabila Tsar Aleksandr I meninggal dunia pada 1 Disember 1825, adiknya Nikolai I mengambil alih takhta Tsar, tetapi dibantah oleh sebahagian pegawai tentera yang sudah menyatakan kesetiaan pada Demang Besar Konstantin, seorang lagi adik kepada Aleksandr I dan abang kepada Nikolai I tetapi menolak takhta lebih awal sebelum itu tanpa mengheboh-hebohkan, maka mencetuskan kekeliruan tentang pewarisan takhta Tsar Rusia. Kesatuan Utara yang dipimpin oleh golongan liberal seperti Nikita Muravyov, Kondraty Ryleyev (1795-1826), Yevgeny Obolensky (1796-1865) dan Sergei Petrovich Trubetskoy (1790-1860), merancang untuk menggantikan rejim autokratik di Rusia dengan sebuah pemerintahan raja berperlembagaan.
Pada 26 Disember 1825, kira-kira 3,000 orang askar yang dipimpin oleh Kesatuan Utara memasuki Dataran Senat di Saint Petersburg, ibu negara Empayar Rusia pada masa itu, untuk menghalang upacara angkat sumpah kesetiaan tentera kepada Tsar baharu. Tentera yang memberontak itu bertembung dengan tentera yang setia pada Tsar Nikolai I di luar bangunan Senat. Selepas Jeneral Mikhail Miloradovich, Gabenor Jeneral Saint Petersburg pada masa itu yang setia pada Tsar Nikolai I, ditembak dari belakang oleh Pyotr Kakhovsky (1799-1826), seorang anggota Kesatuan Utara, dan kemudiannya ditikam dengan bayonet oleh Yevgeny Obolensky, tentera yang setia pada Tsar Nikolai I melepaskan tembakan dengan pembedilan meriam untuk mematahkan golongan pemberontak. Peristiwa ini dikenali sebagai “Pemberontakan Disembris”.

Selepas Pemberontakan Disembris dipatahkan, kerajaan Tsar Rusia melakukan penangkapan besar-besaran terhadap golongan Disembris, termasuk anggota Kesatuan Selatan yang lebih radikal tetapi tidak terlibat secara langsung dalam pemberontakan pada 26 Disember 1825. Ramai orang yang disyaki terlibat dalam Pemberontakan Disembris dipenjarakan atau dibuang negeri ke Siberia. 5 orang pemimpin Disembris, termasuk Pavel Pestel yang sebenarnya sudah ditahan beberapa hari sebelum tercetusnya pemberontakan, dihukum mati pada tahun 1826. Walaupun hanya percikan api sekelip mata, Pemberontakan Disembris menjadi sumber inspirasi kepada gerakan revolusioner di Rusia selepasnya.
Pemerintahan Raja Charles X dari Perancis
Semasa pemerintahan Raja Louis XVIII, golongan pembangkang liberal dapat memenangi agak banyak kerusi dalam Dewan Perwakilan dan menjadi pengimbang kepada golongan ultra-royalis yang reaksioner. Raja Louis XVIII dari Perancis meninggal dunia pada tahun 1824 dan digantikan oleh Charles X, yang merupakan adik kepada kedua-dua Louis XVI (yang dipancung kepala itu) dan Louis XVIII. Berbeza dengan Raja Louis XVIII yang lebih moderat dan cuba mengimbangi pertarungan konservatif-liberal semasa pemerintahannya, Raja Charles X merupakan seorang ultra-royalis tegar yang hendak memulihkan pemerintahan monarki berkuasa mutlak sepenuhnya. Sebelum itu, golongan ultra-royalis juga menguasai hampir semua kerusi dalam Dewan Perwakilan selepas pilihan raya yang diadakan pada awal tahun 1824. Jadi, golongan ultra-royalis yang konservatif mendominasi institusi politik Perancis pada ketika Charles X mengambil alih takhta raja Perancis.
Namun, dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas mengambil alih takhta raja, warga Paris sudah semakin tidak berpuas hati pada Raja Charles X kerana dasar-dasar yang diperkenalkannya, seperti undang-undang yang mengenakan hukuman mati terhadap perbuatan yang dianggap menghina agama Katolik (walaupun hukuman mati tidak pernah dilaksanakan selepas undang-undang itu berkuat kuasa) dan peruntukan ganti rugi kewangan kepada golongan pemilik harta yang harta mereka dirampas semasa Revolusi 1789 atau zaman pemerintahan Empayar Perancis Pertama.

Raja Charles X cuba menyekat suara kritikan terhadapnya dengan memperkenalkan undang-undang yang memperketatkan penapisan terhadap suratkhabar, tetapi cadangan yang dianggap tidak popular itu ditolak oleh Dewan Bangsawan dan Dewan Perwakilan, walaupun kedua-duanya masih dikuasai oleh golongan konservatif. Oleh itu, Raja Charles X menjadi tidak senang dengan kewujudan badan perundangan yang tidak menurut segala kehendaknya.
Pada bulan April 1827, apabila Raja Charles X meninjau Pengawal Kebangsaan (Garde Nationale) di Champ de Mars, sebuah ruang hijau terbuka di Paris, dia disambut dengan sikap dingin daripada anggota Pengawal Kebangsaan dan orang ramai di situ, malah ramai penonton di situ enggan menanggalkan topi mereka sebagai tanda penghormatan kepada raja mereka. Pengawal Kebangsaan merupakan kumpulan militia yang ditubuhkan selepas Serbuan Bastille semasa Revolusi Perancis 1789, pada asalnya sebagai “pengawal borjuis”, untuk menjaga ketenteraman masyarakat. Pengawal Kebangsaan masih dikekalkan selepas pemulihan Bourbon kerana ia merupakan penghubung penting antara golongan pemerintah dan rakyat biasa di Perancis. Pengawal Kebangsaan biasanya dianggotai oleh golongan kelas menengah yang berpegang pada semangat Revolusi 1789 dan nasionalisme patriotik Perancis, tetapi ramai dalam kalangan anggota Pengawal Kebangsaan tidak begitu puas hati dengan dasar reaksioner pemerintahan Raja Charles X. Raja Charles X yang terasa dirinya dihina itu mengarahkan supaya Pengawal Kebangsaan Paris dibubarkan. Tindakan itu bagaikan serangan terhadap maruah anggota Pengawal Kebangsaan Paris yang bersenjata, maka menyemarakkan api pemberontakan yang akan menelan rejimnya tidak lama kemudian. Anggota-anggota Pengawal Kebangsaan yang dibubarkan itu pulang ke rumah mereka dengan senapang mereka yang disimpan di situ sehingga digunakan semula tiga tahun kemudian.
Dalam pilihan raya yang diadakan pada bulan November 1827, golongan pembangkang liberal menang banyak kerusi dalam Dewan Perwakilan sehingga kerajaan tidak mempunyai majoriti dalam Dewan Perwakilan. Jean-Baptiste Sylvère Gaye de Martignac, seorang ahli politik yang beralih daripada ultra-royalis kepada royalis moderat, dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Joseph de Villèle, seorang pemimpin ultra-royalis yang sudah memegang jawatan itu selama 6 tahun. Kabinet yang dipimpin oleh Martignac bekerjasama dengan Dewan Perwakilan untuk memperkenalkan dasar-dasar yang tidak disukai oleh Raja Charles X, seperti melonggarkan undang-undang yang menyekat kebebasan akhbar, maka memberi kelebihan kepada mereka yang mengkritik Raja Charles X. Namun, selepas rang undang-undang yang dibawa oleh Martignac ditolak oleh Dewan Perwakilan pada bulan April 1829, Raja Charles X menggunakan kesempatan itu untuk memecat Martignac dan melantik Jules Armand de Polignac, seorang ultra-royalis tegar, sebagai Perdana Menteri baharu.

Pada 16 Mac 1830, Dewan Perwakilan meluluskan usul tidak percaya terhadap kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Jules de Polignac. Usul itu dikenali sebagai “Ucapan 221” (Adresse des 221), kerana 221 orang ahli perlimen mengundi untuk menyokong, sementara 181 orang menolak. Namun, respon Raja Charles X terhadap “Ucapan 221” itu adalah dia terus membubarkan Dewan Perwakilan dan mengadakan pilihan raya pada bulan Julai 1830 dengan harapan dia dapat menyingkirkan ahli-ahli parlimen liberal daripada Dewan Perwakilan.
“Tolonglah dirimu sendiri dan syurga akan tolongmu”
Oleh sebab pemerintahan reaksioner Raja Charles X yang cuba mengembalikan kuasa mutlak bagi dirinya itu semakin menghakis ruang kebebasan sivil yang diwujudkan berikutan Revolusi Perancis 1789, golongan liberal menubuhkan organisasi politik mereka sendiri untuk mendapatkan sokongan pengundi-pengundi (yang terdiri daripada golongan pemilik harta) dalam usaha mereka menentang dasar-dasar reaksioner konservatif yang dibawa oleh Raja Charles X. Salah sebuah organisasi politik liberal yang utama ialah “Aide-toi, le ciel t’aidera” (bermaksud “Tolonglah dirimu sendiri dan syurga akan tolongmu”). Aide-toi pada awalnya menyebarkan idea-ideanya melalui akhbar Le Globe, kemudian Le National.

Mereka yang mengasaskan Aide-toi dan menjadi anggota aktif pertubuhan itu kebanyakannya merupakan golongan monarkis liberal yang dikenali sebagai Doctrinaires. Doctrinaires cuba mendamaikan sistem monarki dengan Revolusi Perancis dan kuasa pemerintah dengan kebebasan rakyat. Walaupun Doctrinaires mendukung sistem raja berperlembagaan, mereka juga menyokong dasar mengehadkan hak mengundi kepada segelintir rakyat sahaja dengan undang-undang pilihan raya yang ketat (di mana hanya kira-kira 100,000 orang warga Perancis lelaki yang berharta berhak untuk mengundi). Doctrinaires dipimpin Pierre Paul Royer-Collard (1763-1845), ahli Dewan Perwakilan sejak tahun 1815 dan merupakan Presiden Dewan Perwakilan apabila dia menyampaikan “Ucapan 221” kepada Raja Charles X pada bulan Mac 1830.
Selepas Raja Charles X membubarkan Dewan Perwakilan pada bulan Mei 1830, Aide-toi menumpukan usaha dalam mobilisasi dan pendidikan pengundi, untuk memastikan kesemua 221 orang yang menyokong “Ucapan 221” itu dipilih semula ke dalam Dewan Perwakilan. Mereka mengumpulkan dana dan menganjurkan jamuan untuk calon-calon liberal. Mereka juga menganjurkan sesi latihan kepada pengundi-pengundi mengenai peraturan mengundi untuk mengelakkan diri mereka daripada kehilangan kelayakan mengundi. Aide-toi juga menerbitkan buku panduan mengenai peraturan pilihan raya dan mengedarkannya secara percuma kepada orang awam.
Golongan liberal yang mendominasi politik arus perdana di Perancis pada masa itu bukannya golongan republikan yang radikal, tetapi kebanyakannya merupakan golongan monarkis-perlembagaan yang hendak mengembalikan sistem raja berperlembagaan yang dilahirkan selepas Revolusi 1789. Mereka takut pada Revolusi 1792 yang lebih radikal dan menjatuhkan monarki, tetapi mereka perlukan sokongan massa yang lebih radikal untuk menjayakan usaha mereka.

Terdapat beberapa orang tokoh liberal yang memainkan peranan penting dalam pergolakan politik di Perancis pada tahun 1830, termasuk:
- Jacques Laffitte (1767-1844), seorang jurubank yang sangat kaya dan pernah memegang jawatan gabenor Bank Perancis (Banque de France) pada tahun 1814. Laffitte, yang merupakan anak kepada seorang tukang kayu, berjaya menaiki tangga kerjaya dalam sektor perbankan semasa Revolusi Perancis. Laffitte mula mengumpulkan kekayaannya selepas tahun 1799, di mana dia menyokong Napoleon Bonaparte dalam kudeta “18 Brumaire”. Dia boleh dikatakan “contoh terbaik” bahawa seorang warga biasa boleh menjadi kaya dan berpengaruh hasil daripada revolusi borjuis. Apabila pemerintahan Dinasti Bourbon dipulihkan, Laffitte merupakan sebahagian daripada golongan borjuis kaya yang diserap ke dalam rejim pemerintahan Bourbon yang dipulihkan itu. Namun, Laffitte sentiasa mendapati kepentingan perbankannya diancam oleh menteri-menteri konservatif yang tidak mahu memberikan kontrak kerajaan kepadanya. Laffitte dipilih ke dalam Dewan Perwakilan buat kali pertamanya pada tahun 1815 dan menjadi sebahagian daripada golongan pembangkang liberal. Dia gagal dipilih ke dalam Dewan Perwakilan pada tahun 1824 apabila golongan konservatif menang besar, tetapi kembali ke dalam Dewan Perwakilan pada tahun 1827 apabila golongan pembangkang liberal menang banyak kerusi. Laffitte menyumbangkan banyak masa, tenaga dan paling penting wangnya dalam usaha pembangkang liberal untuk memperjuangkan sistem raja berperlembagaan. Rumah Laffitte menjadi markas puak Orléaniste dalam pemberontakan yang bakal berlaku pada penghujung bulan Julai 1830.
- François Guizot (1787-1874), seorang yang dilahirkan dalam keluarga borjuis yang beragama Protestan dan bapanya dibunuh pada tahun 1794 ketika dia berumur 6 tahun semasa zaman “Pemerintahan Ganas” oleh golongan Jacobin. Semasa zaman Empayar Perancis Pertama, Guizot terkenal dengan penulisannya tentang sejarah dan kesusasteraan. Bersama dengan François Mignet (1796-1884), seorang wartawan dan sejarahwan yang mengkaji Revolusi Perancis, Guizot memperkenalkan konsep “revolusi borjuis” (yang kemudiannya diperhalusi oleh tokoh pemikir kiri seperti Karl Marx). Selepas pemulihan Dinasti Bourbon, Guizot pernah berkhidmat dalam kerajaan untuk seketika. Guizot merupakan salah seorang pengasas Le Courrier français, sebuah jurnal liberal, pada tahun 1819, untuk menyebarkan ideanya tentang monarkisme liberal, di samping berdebat dengan golongan ultra-royalis yang berhaluan kanan dan golongan republikan radikal yang berhaluan kiri. Guizot juga menjadi salah seorang pemimpin intelek Doctrinaires. Guizot memainkan peranan penting dalam membangunkan ideologi moderat atau sentris yang dikenali sebagai juste milieu (jalan tengah), iaitu jalan tengah antara absolutisme (monarki berkuasa mutlak) dan kerajaan popular (republik demokratik). Dengan pergolakan pada penghujung 1820-an yang menyaksikan kerajaan semakin mencondong ke arah absolutisme, Guizot percaya bahawa adalah perlu untuk menyingkirkan Raja Charles X demi menyelamatkan sistem monarki di Perancis.
- Adolphe Thiers (1797-1877), seorang sejarahwan yang lahir selepas Revolusi Perancis dan tidak pernah mengalami fasa revolusi yang paling bergelora. Thiers mendapat bimbingan politik daripada tokoh-tokoh politik veteran, khususnya Charles Maurice de Talleyrand-Périgord, seorang ahli politik yang memainkan peranan utama dalam Kongres Vienna 1814-1815 dan pernah mengambil bahagian dalam Revolusi Perancis 1789 (sebagai ahli perwakilan Darjat Pertama dalam États Généraux kerana dia seorang uskup pada masa itu) serta berkhidmat sebagai menteri di bawah beberapa buah kerajaan Perancis (seperti Direktorat, Konsulat, Empayar Perancis dan Dinasti Bourbon yang dipulihkan). Tulisannya, Histoire de la Révolution française (Sejarah Revolusi Perancis) dalam 10 jilid yang diterbitkan pada tahun 1823-1827, mendapat sambutan yang menggalakkan dan menjadikannya terkenal dalam masyarakat Perancis. Tulisan Thiers tentang sejarah Revolusi Perancis membantu dalam membentuk kerangka naratif dominan yang menganggap bahawa Revolusi 1789 (yang mewujudkan sistem raja berperlembagaan) adalah revolusi yang baik sementara Revolusi 1792 (yang menggantikan pemerintahan monarki dengan republik) adalah revolusi yang jahat. Thiers memuji prinsip-prinsip Zaman Pencerahan yang dibawa oleh golongan bangsawan liberal sementara mengutuk golongan radikal seperti Maximilien Robespierre sebagai ekstremis yang memusnahkan segalanya.
- Gilbert du Motier, Marquis de Lafayette (1757-1834), seorang tokoh veteran Revolusi Perancis yang disanjungi ramai pada masa itu. Marquis de Lafayette, yang lahir sebagai seorang bangsawan tetapi dipengaruhi oleh pemikiran Zaman Pencerahan, pernah menyertai Perang Revolusi Amerika dan menjadi seorang komander dalam Tentera Kontinental yang bertempur dengan tentera British. Lafayette dipilih sebagai ahli perwakilan Darjat Kedua dalam États Généraux 1789, menjadi salah seorang pemimpin monarkis-perlembagaan yang penting dalam Revolusi Perancis 1789. Selepas Serbuan Bastille pada 14 Julai 1789, Lafayette dilantik sebagai ketua komander Pengawal Kebangsaan. Apabila Raja Louis XVI cuba melarikan diri dari Perancis pada bulan Jun 1791 tetapi ditangkap, Lafayette dan Pengawal Kebangsaan yang dipimpinnya mengiringi Raja Louis XVI untuk pulang ke Paris. Pada bulan Julai 1791, Lafayette mengarahkan Pengawal Kebangsaan untuk melepaskan tembakan ke atas para demonstran di Champ de Mars yang menuntut pemansuhan monarki. Selepas pemerintahan monarki dijatuhkan dalam pemberontakan Paris pada 10 Ogos 1792, Lafayette cuba pergi ke Amerika Syarikat tetapi ditangkap oleh kerajaan Austria. Penahanannya di bawah kerajaan Austria boleh dikatakan menyelamatkan nyawanya daripada Pemerintahan Ganas yang menyusuli pada tahun 1793-1794. Lafayette dibebaskan pada tahun 1799, tetapi tidak lagi terlibat dalam politik. Selepas Napoleon Bonaparte ditewaskan dalam Pertempuran Waterloo, Lafayette menyeru Napoleon untuk berundur dari takhtanya. Selepas Napoleon berundur dari takhta maharaja, Lafayette mengaturkan perjalanan untuk Napoleon melarikan diri ke Amerika Syarikat tetapi disekat oleh pihak British. Lafayette dipilih sebagai ahli parlimen dalam Dewan Perwakilan pada tahun 1827. Dia lantang bersuara membantah tindakan Raja Charles X yang menyekat kebebasan sivil dan menapis akhbar.
- Louis Philippe d’Orléans (1773-1850), seorang anggota kerabat diraja yang mewarisi gelaran Duc d’Orléans daripada bapanya Philippe d’Orléans (1747-1793) atau juga dikenali sebagai Philippe Égalité yang menyokong Revolusi Perancis 1789. Kerabat diraja Orléans ialah cabang kepada Dinasti Bourbon tetapi berpegang pada fahaman yang lebih liberal. Louis Philippe merupakan adik sepupu kepada Raja Charles X. Louis Philippe pernah berkhidmat sebagai pegawai dalam tentera Perancis semasa Perang Revolusi Perancis. Louis Philippe berasa kecewa apabila bapanya, Philippe Égalité, mengundi dalam Konvensyen Kebangsaan untuk menghukum mati Raja Louis XVI pada tahun 1793. Namun, apabila Louis Philippe disyaki terlibat dalam plot Charles François Dumouriez untuk berpaling tadah kepada Austria yang merupakan musuh Perancis pada masa itu, bapanya Philippe Égalité dihukum mati dan Louis Philippe terpaksa hidup dalam buangan di luar negara selama 21 tahun. Louis Philippe pulang ke Perancis pada tahun 1814 selepas abang sepupunya Louis XVIII menjadi Raja Perancis. Louis Philippe bersimpati dengan golongan pembangkang liberal dan membantah dasar absolutis yang cuba dibawa oleh golongan ultra-royalis.

Kebanyakan sumber kewangan kepada golongan pembangkang liberal dibekalkan oleh Jacques Laffitte yang merupakan seorang jurubank yang kaya; sementara sumber ideologi dibekalkan oleh François Guizot. Lafayette dianggap sebagai penyambung Revolusi Perancis 1789 yang cuba dipertahankan oleh golongan liberal dan monarkis-perlembagaan, menjadikannya tokoh yang dapat menyatukan semua pihak yang menentang absolutisme pada tahun 1830. Louis Philippe d’Orléans pula dianggap oleh golongan elit monarkis liberal sebagai calon raja untuk menggantikan Raja Charles X demi mempertahankan hasil Revolusi 1789 dan menyelamatkan sistem monarki di Perancis.
Ordinan Julai
Dalam pilihan raya yang diadakan pada bulan Julai 1830, golongan ultra-royalis yang menyokong Perdana Menteri Jules Armand de Polignac mengalami kekalahan yang teruk. Hasil daripada usaha kempen yang berjaya, golongan pembangkang liberal bukan sahaja dapat mempertahankan 221 kerusi, malah memenangi lebih banyak kerusi dalam Dewan Perwakilan.

Pada 25 Julai 1830, untuk mematahkan kemaraan politik golongan pembangkang liberal dan memperkukuhkan kuasa monarki, Raja Charles X, dengan sokongan daripada Perdana Menterinya Jules de Polignac, mengeluarkan empat ordinan, yang dikenali sebagai “Ordinan Julai”, untuk mengarahkan bahawa: Dewan Perwakilan yang baharu dipilih itu dibubarkan; pilihan raya baharu akan diadakan pada bulan September 1830; undang-undang pilihan raya baharu akan diperkenalkan (di mana hanya 25% daripada pembayar cukai yang teratas berhak untuk mengundi, maka merampas hak mengundi daripada golongan kelas menengah borjuis); dan menggantungkan kebebasan akhbar (di mana pencetak akhbar perlu memohon permit yang diperbaharui setiap 3 bulan dan kerajaan boleh menutup mana-mana akhbar pada bila-bila masa). Tindakan Raja Charles X dan kerajaan pimpinan Polignac itu bertentangan dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Piagam 1814, maka dianggap sebagai satu cubaan merampas kuasa untuk memulihkan pemerintahan raja berkuasa mutlak.
Apabila Ordinan Julai diterbitkan pada 26 Julai 1830 dalam Le Moniteur, sebuah akhbar konservatif yang utama di Paris, ia mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk-penduduk Paris. Pada masa itu, beberapa akhbar sudah menghentikan percetakan untuk mematuhi undang-undang baharu yang represif itu. Namun, kira-kira 50 orang wartawan berhimpun di ibu pejabat Le National, sebuah akhbar liberal yang diasaskan pada bulan Januari 1830 oleh Adolphe Thiers, François Mignet, Armand Carrel (1800-1836) dan Auguste Sautelet (1800-1830). Mereka menandatangani surat protes dan berikrar bahawa suratkhabar mereka akan terus beroperasi.

Apabila polis menyerbu pejabat akhbar dan merampas suratkhabar yang diharamkan, mereka disambut oleh orang ramai yang marah dan menjerit slogan seperti “À bas les Bourbons!” (“Tumbangkan Bourbon!”) dan “Vive la Charte!” (“Hidup Piagam!”).
Sebagai protes terhadap Ordinan Julai yang merampas hak mereka untuk mengundi, golongan peniaga menutup premis-premis perniagaan dan kilang-kilang mereka. Pekerja-pekerja yang tidak dapat pergi kerja, tambahan pula dengan golongan penganggur yang sudah meningkat bilangannya pada masa itu, tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan kecuali berprotes di jalanan. Orang ramai mula berkumpul di tempat awam pada 26 Julai 1830.

Golongan elit pembangkang liberal yang diancam oleh Ordinan Julai pada masa itu hanya mahu kerajaan menarik balik undang-undang yang menyekat kebebasan mereka itu. Mereka tidak mahu mencetuskan revolusi untuk menjatuhkan seluruh kerajaan, seperti yang pernah berlaku pada tahun 1789 dan 1792. Pada awalnya, mereka tidak membayangkan bahawa mereka dapat menggulingkan rejim pemerintahan Raja Charles X, tetapi sekadar berharap untuk menggantikan Perdana Menteri Jules de Polignac yang ultra-royalis itu.
Sekumpulan wartawan liberal yang dipimpin oleh Adolphe Thiers dan puluhan orang ahli Dewan Perwakilan, termasuk François Guizot, berkumpul di rumah Casimir Pierre Périer (1777-1832), seorang elit borjuis dan salah seorang ahli Dewan Perwakilan yang menandatangani “Ucapan 221”, untuk membincangkan usaha melawan Ordinan Julai tanpa mencetuskan revolusi yang ganas. Pada ketika golongan elit borjuis yang berkumpul di rumah Périer itu cuba mengelakkan revolusi, sebuah revolusi sudah tercetus di jalanan Paris apabila tembakan yang pertama untuk revolusi dilepaskan di jalanan Paris. Massa rakyat bawahan yang semakin tidak berpuas hati dengan keadaan semasa bangkit memberontak dan menggegarkan Perancis.

Revolusi Julai: “Tiga Hari yang Mulia”
Pada 27 Julai 1830, massa rakyat yang terdiri daripada golongan pekerja yang tidak pergi bekerja kerana tempat kerja mereka ditutup, golongan penganggur, pelajar-pelajar yang berpemikiran radikal, golongan peniaga yang menutup kedai-kedai mereka dan sebagainya, berhimpun di jalanan Paris untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan Charles X dan Polignac.
Semasa pasukan polis cuba menyuraikan orang ramai yang berhimpun di hadapan Palais-Royal (iaitu istana diraja), mereka melepaskan tembakan ke arah para demonstran dan menumpahkan darah yang pertama untuk Revolusi 1830 dengan 21 orang warga awam dibunuh. Para demonstran berarak dengan mayat demonstran yang ditembak mati dan menjerit slogan menjatuhkan kerajaan. Rusuhan di Paris berlarutan sehingga waktu malam pada hari itu.
Warga Paris yang marah dengan tindakan kerajaan yang cuba mematahkan aksi protes itu mula membina penghadang atau benteng (barricade) untuk menyekat jalan-jalan di bandar itu. Walaupun benteng jalanan pernah didirikan sekali-sekala di Paris sebelum itu, termasuk hanya beberapa kali semasa Revolusi Perancis 1789, ia didirikan secara berleluasa dan menjadi lambang pemberontakan rakyat yang begitu menyerlah dalam Revolusi 1830. Sejak itu, benteng jalanan menjadi sinonim kepada pemberontakan rakyat bandar.

Pada 28 Julai 1830, sekumpulan warga Paris yang marah berhimpun di hadapan Hôtel de Ville (iaitu dewan bandar raya Paris). Oleh sebab pertahanan di Hôtel de Ville yang lemah, para demonstran dapat memasuki Hôtel de Ville dan menduduki bangunan itu. Mereka yang menduduki Hôtel de Ville menaikkan bendera tiga warna (biru, putih dan merah) yang merupakan simbol Revolusi Perancis tetapi tidak digunakan lagi selama 15 tahun sejak pemulihan Dinasti Bourbon (yang menggunakan bendera berwarna putih sebagai lambang monarki).
Raja Charles X mengarahkan Auguste de Marmont, Major-Jeneral Pengawal Diraja (Garde Royale) yang bertugas pada masa itu, untuk mematahkan apa yang dianggap sebagai rusuhan di Paris. Walaupun Marmont seorang yang liberal dan membantah dasar kerajaan pimpinan Polignac, dia masih setia pada Raja Charles X kerana dia percaya itu tugasnya. Marmont cuba menempatkan tentera yang diarahkannya di laluan jalan dan jambatan yang penting di Paris untuk melindungi bangunan-bangunan penting seperti Palais-Royal dan Hôtel de Ville. Namun, Marmont kekurangan anggota tentera dan sokongan bekalan untuk melaksanakan rancangannya. Sebahagian anggota tentera yang goyah meninggalkan pasukan mereka begitu sahaja, maka melemahkan lagi kekuatan tentera yang masih setia pada raja di Paris.

Pasukan tentera yang dihantar oleh Marmont untuk menduduki Place Joachim-du-Bellay, sebuah dataran di pusat bandar Paris, dikepung oleh warga Paris yang menyerang dari bangunan-bangunan di sekelilingnya. Warga Paris mendirikan benteng jalanan dengan serta-merta untuk memerangkap pasukan tentera itu. Pasukan tentera yang dihantar untuk menduduki Hôtel de Ville berjaya mengambil alih bangunan itu selepas menghadapi penentangan yang hebat. Pasukan tentera yang dihantar untuk menduduki Place de la Bastille (dataran di mana terletaknya Penjara Bastille sebelum itu) pula terperangkap di jalan-jalan yang penuh dengan benteng jalanan.
Sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh golongan elit liberal, dengan anggotanya terdiri daripada pemimpin-pemimpin seperti Jacques Laffitte, Casimir Pierre Périer, Étienne Maurice Gérard (1773-1852), Georges Mouton (1770-1838) dan sebagainya, menandatangani sebuah petisyen dengan tuntutan supaya Ordinan Julai dibatalkan. Petisyen itu tidak mengecam Raja Charles X, tetapi mengkritik Menteri-menteri di bawahnya. Satu rombongan kecil yang diketuai oleh Jacques Laffitte pergi ke Istana Tuileries untuk merundingkan gencatan senjata dengan Auguste de Marmont demi menghentikan pertumpahan darah di Paris. Namun, Marmont mengatakan bahawa warga Paris perlu meletakkan senjata mereka terlebih dahulu sebelum mencapai apa-apa persetujuan untuk perdamaian. Perdana Menteri Jules de Polignac pula enggan berjumpa dengan rombongan perwakilan liberal itu. Ini menyebabkan pemimpin-pemimpin liberal seperti Jacques Laffitte semakin yakin bahawa dengan tiadanya respon daripada Raja Charles X untuk membatalkan Ordinan Julai, maka matlamat akhir perjuangan mereka adalah perubahan rejim. Dengan itu, Jacques Laffitte menjadikan rumahnya sebagai markas untuk perang terhadap Dinasti Bourbon yang harus digantikan dengan cabangnya yang liberal, Dinasti Orléans.

Memandangkan keadaan di ibu negara Perancis semakin tidak dapat dikawal, Marmont menghantar satu mesej kepada Raja Charles X yang mengatakan bahawa apa yang berlaku bukan lagi rusuhan tetapi revolusi, maka menasihati Raja Charles X supaya berunding dengan golongan pembangkang liberal dan membatalkan Ordinan Julai. Akan tetapi, Polignac pula menghantar mesej kepada Raja Charles X yang mengatakan bahawa tidak apa-apa yang perlu dibimbangi.
Menjelang 29 Julai 1830, lebih 4,000 buah benteng jalanan telah didirikan di dalam bandar Paris, dan semakin banyak bangunan dinaikkan bendera tiga warna yang melambangkan Revolusi Perancis. Dalam erti kata lain, warga Paris yang memberontak itu sudah menguasai ibu negara Perancis. Golongan revolusioner berjaya menawan bangunan-bangunan penting seperti Istana Tuileries, Istana Louvre dan Hôtel de Ville.

Tiga hari yang bergelora di Paris, dari 27 hingga 29 Julai 1830, digelar sebagai “Trois Glorieuses” (Tiga Hari yang Mulia). Warga Paris yang memberontak itu menang, dan Raja Charles X yang hendak memperkukuhkan kuasanya itu ditewaskan. Kira-kira 150 orang anggota tentera dan 500 orang warga Paris (termasuk pelajar, pekerja dan anggota Pengawal Kebangsaan) mati terkorban dalam tiga hari itu. Raja Charles X akhirnya memecat Jules de Polignac daripada jawatan Perdana Menteri dan membatalkan Ordinan Julai pada 30 Julai 1830, tetapi tindakan itu sudah terlambat untuk menyelamatkan pemerintahannya.
Dalam “Tiga Hari yang Mulia” itu, sebenarnya terdapat dua revolusi yang berlaku serentak. Salah satunya ialah penentangan oleh golongan borjuis (yang terdiri daripada ahli parlimen pembangkang liberal dan wartawan) yang benci pada absolutisme Dinasti Bourbon tetapi juga takut pada revolusi popular yang radikal; sementara satu lagi ialah pemberontakan massa secara spontan yang disertai oleh lapisan-lapisan masyarakat menengah-bawahan yang membentuk golongan sans-culotte sebelum itu, termasuk pelajar-pelajar, pekedai-pekedai kecil, tukang-tukang kraf, pekerja-pekerja percetakan dan golongan veteran tentera, yang menginginkan perubahan yang lebih radikal. Golongan elit borjuis yang liberal cuba melakukan revolusi mereka dengan mulut dalam ruangan perbahasan dan penerbitan tulisan mereka; sementara massa yang radikal memperjuangkan revolusi mereka dengan mempertaruhkan nyawa mereka dalam pertempuran di jalanan Paris sepanjang “Tiga Hari yang Mulia”.

Walaupun kekuatan massa yang radikal menjadi penentu kepada kejayaan Revolusi Julai di Perancis, golongan liberal seperti Jacques Laffitte yang hendak membawa perubahan rejim itu berusaha untuk memastikan Revolusi Julai tidak menjadi revolusi republikan. Jacques Laffitte mempergunakan sentimen ketakutan terhadap “republik” (yang bersinonim dengan “keganasan” pada masa itu) dalam kalangan elit borjuis untuk mendapatkan sokongan kepada rancangannya yang menggantikan pemerintahan Dinasti Bourbon dengan Dinasti Orléans.
Selepas golongan revolusioner menawan semula Hôtel de Ville pada 29 Julai 1830, golongan elit liberal memasuki bangunan itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan sementara supaya mereka dapat mengambil alih kawalan berpusat ke atas revolusi yang dinyahpusatkan itu, dan mengemudi revolusi ke arah yang tidak begitu radikal. Anggota-anggota kerajaan sementara yang baharu ditubuhkan itu termasuk François Guizot dan Casimir Pierre Périer. Mereka juga melantik Marquis de Lafayette sebagai ketua komander Pengawal Kebangsaan yang dihidupkan semula oleh golongan pemberontak semasa “Tiga Hari yang Mulia”, untuk menjaga ketenteraman awam. Ini memberi keyakinan kepada kerajaan sementara yang didominasi oleh golongan monarkis-liberal kerana Pengawal Kebangsaan yang dianggotai oleh golongan borjuis kelas menengah itu dianggap lebih boleh dipercayai berbanding golongan pejuang jalanan yang datang daripada kelas bawahan. Lafayette mengeluarkan arahan am kepada semua pegawai Pengawal Kebangsaan supaya mereka kembali untuk berjuang demi bendera tiga warna.
Oleh sebab Lafayette menjadi agak popular sebagai wira rakyat dalam Revolusi Julai dan merupakan ketua komander Pengawal Kebangsaan, Dewan Perwakilan yang didominasi oleh golongan liberal bersedia untuk mengisytiharkan Lafayette sebagai pemerintah Perancis yang baharu, tetapi Lafayette menolaknya dan menyatakan sokongannya untuk Louis Philippe d’Orléans menjadi raja baharu dengan syarat kebebasan sivil akan terus terjamin. Lafayette berpandangan bahawa rakyat Perancis harus diperintah di bawah “takhta popular yang dikelilingi oleh institusi-institusi republik”.

“Raja Rakyat”
Raja Charles X melarikan diri dari istana kediamannya di Château de Saint-Cloud pada 31 Julai 1830, sementara Louis Philippe d’Orléans pulang ke Paris selepas dipujuk oleh golongan liberal untuk mengambil alih kuasa sebagai Leftenan Jeneral Kerajaan Perancis.
Apabila Louis Philippe d’Orléans yang memakai baju seragam Pengawal Kebangsaan tiba di Hôtel de Ville, dia disambut oleh Marquis de Lafayette. Pada masa itu, orang ramai yang berhimpun di hadapan bangunan Hôtel de Ville tidak begitu mengalu-alukan Louis Philippe d’Orléans, kerana dia seorang anggota kerabat diraja cabang Bourbon. Lafayette membawa sebatang bendera tiga warna dan memimpin Louis Philippe d’Orléans ke balkoni Hôtel de Ville. Mereka berdua berpelukan dan mengangkat tinggi bendera tiga warna untuk membangkitkan semangat orang ramai yang berhimpun di hadapan Hôtel de Ville. Dengan itu, Lafayette menggunakan reputasinya untuk menjamin kedudukan Louis Philippe d’Orléans sebagai pemerintah Perancis yang baharu.

Memandangkan sudah kehilangan kuasa sepenuhnya, Raja Charles X akhirnya berundur dari takhta diraja Perancis pada 2 Ogos 1830. Dia melepaskan takhta raja kepada cucunya Henri d’Artois, Duc de Bordeaux yang baru berumur tidak sampai 10 tahun pada masa itu, tetapi dia tidak pernah diiktiraf kerana Dewan Perwakilan yang didominasi oleh golongan monarkis-perlembagaan memutuskan bahawa takhta diraja harus diserahkan kepada Louis Philippe d’Orléans.
Dewan Perwakilan yang bersidang selepas Revolusi Julai 1830 menyemak semula Piagam 1814, dan meluluskan dokumen perlembagaan yang dikenali sebagai Piagam 1830. Dalam pengundian di Dewan Perwakilan pada 7 Ogos 1830, 219 orang ahli perwakilan mengundi untuk menyokong piagam yang disemak semula, sementara 33 orang mengundi untuk menolaknya dan 150 orang tidak hadir. Antara perkara-perkara penting yang terkandung dalam Piagam 1830 ialah:
- Piagam itu adalah dikenakan ke atas raja oleh negara, bukannya kurniaan daripada raja;
- Syarat kelayakan harta untuk pengundi dilonggarkan, maka melipatgandakan bilangan pengundi (walaupun peratusannya masih sangat sedikit berbanding seluruh penduduk Perancis);
- Kuasa luar biasa hanya diberikan kepada raja pada masa darurat yang ekstrem;
- Kuasa untuk merangka undang-undang diberikan kepada ahli-ahli Dewan Perwakilan;
- Ahli-ahli Dewan Perwakilan mempunyai kuasa untuk memecat menteri-menteri kerajaan;
- Perwarisan perwakilan dalam Dewan Bangsawan dimansuhkan;
- Agama Katolik bukan lagi agama negara;
- Penapisan akhbar dihapuskan;
- Bendera tiga warna yang mewakili semangat Revolusi Perancis menggantikan bendera putih Dinasti Bourbon sebagai bendera kebangsaan Perancis.

Pada 9 Ogos 1830, Louis Philippe d’Orléans diisytihar sebagai raja, bukannya sebagai Raja Perancis (Roi de France), tetapi sebagai “Raja Rakyat Perancis” (Roi des Français), dengan gelaran Louis Philippe I. Dengan itu, Louis Philippe juga diberi nama samaran “Raja Rakyat” (Roi Citoyen). Oleh sebab ditubuhkan hasil daripada Revolusi Julai, pemerintahan Raja Louis Philippe I juga dikenali dalam sejarah sebagai “Monarki Julai” (1830-1848).
Revolusi Julai menyaksikan sebuah pemerintahan raja berperlembagaan yang reaksioner digantikan oleh sebuah pemerintahan raja berperlembagaan yang liberal, pemerintahan Dinasti Bourbon digantikan oleh pemerintahan sebuah cabang Dinasti Bourbon, iaitu Dinasti Orléans. Golongan penyokong Dinasti Bourbon dalam buangan dikenali sebagai Légitimiste, sementara golongan penyokong Monarki Julai daripada Dinasti Orléans dikenali sebagai Orléaniste. Terdapat satu lagi kumpulan yang menyokong ahli keluarga Bonaparte yang pernah memerintah Empayar Perancis Pertama untuk kembali berkuasa tetapi masih belum lagi dapat merampas semula kuasa pada masa itu, dikenali sebagai Bonapartiste.
Kuasa-kuasa besar lain di Eropah, seperti Britain, Austria, Prusia dan Rusia, tidak begitu senang hati dengan perubahan rejim di negara Perancis, kerana pemerintahan Bourbon yang dipulihkan itu diangkat ke tampuk kekuasaan oleh kuasa-kuasa besar itu untuk mewujudkan semula keseimbangan kuasa yang didominasi oleh golongan konservatif. Namun, kebanyakan kuasa besar itu masih mengiktiraf kerajaan baharu di Perancis dengan ketua negaranya Louis Philippe I sebagai Raja Rakyat Perancis, kerana adalah lebih baik daripada mengiktiraf sebuah pemerintahan raja berperlembagaan yang liberal di Perancis berbanding melihat negara Perancis terus dilanda satu lagi revolusi republikan yang hebat seperti yang pernah berlaku pada tahun 1792, lebih-lebih lagi Raja Louis Philippe I dan kerajaan baharunya tidak mempunyai cita-cita imperialis seperti Napoleon Bonaparte untuk mendominasi benua Eropah. Namun, konflik peperangan yang cuba dielakkan oleh kuasa-kuasa besar Eropah itu tetap berlaku akibat daripada Revolusi Julai, bukannya secara langsung dengan Perancis, tetapi di negara jirannya.

Revolusi Belgium
Setiap revolusi yang hebat di sesuatu tempat boleh membangkitkan revolusi di tempat lain. Revolusi Julai di Perancis pada tahun 1830 tidak berkecuali. Hampir sebulan selepas Revolusi Julai, di negara jiran Perancis, di Negeri-negeri Pamah yang dikenali sebagai Kerajaan Bersatu Belanda (Verenigd Koninkrijk der Nederlanden) pada masa itu, satu revolusi yang hebat melahirkan sebuah negara merdeka baharu yang dikenali sebagai Belgium!
Wilayah-wilayah di selatan Kerajaan Bersatu Belanda pada tahun 1830, yang membentuk Belgium hari ini, merupakan tempat di mana paling awal tercetusnya gerakan Pemberontakan Belanda pada tahun 1566 yang membawa kepada “Perang Lapan Puluh Tahun” (1568-1648) dan pembentukan Republik Belanda (1581-1795) di bahagian utara Negeri-negeri Pamah yang bebas daripada pemerintahan Sepanyol Habsburg. Wilayah-wilayah di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah masih berada di bawah pemerintahan Sepanyol Habsburg selepas Perang Lapan Puluh Tahun. Dalam Perjanjian Rastatt yang ditandatangani pada bulan Mac 1714 untuk menamatkan Perang Warisan Sepanyol (1701-1714) yang kebanyakan pertempurannya berlaku di Belgium, wilayah-wilayah di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah (Belgium dan Luxembourg hari ini) yang dikuasai oleh kerajaan Sepanyol diserahkan kepada kerajaan Habsburg dari Austria, maka wilayah-wilayah itu dikenali sebagai Belanda Austria (1714-1797).

Pernah berlakunya pemberontakan bersenjata di Belanda Austria pada tahun 1789-1790, yang dikenali sebagai Revolusi Brabant, untuk menentang pembaharuan liberal yang diperkenalkan oleh Maharaja Joseph II dari Empayar Rom Suci yang dianggap mengancam Gereja Katolik dan institusi-institusi tradisional yang dikuasai oleh golongan elit tempatan. Walaupun Revolusi Brabant berlaku pada masa yang sama dengan Revolusi Perancis, ia bukannya memperjuangkan idea-idea Zaman Pencerahan tetapi menentangnya. Revolusi Brabant menggulingkan pemerintahan Habsburg buat sementara waktu dan menubuhkan Negeri-negeri Belgium Bersatu (1790), tetapi kerajaan Austria mematahkannya pada penghujung tahun 1790. Pada masa yang sama, Revolusi Liège (di mana Liège merupakan sebahagian daripada Belgium hari ini), yang mendapat inspirasi daripada Revolusi Perancis, menjatuhkan pemerintahan Keuskupan-Putera Liège di bawah naungan Empayar Rom Suci dan menubuhkan Republik Liège (1789-1791), tiga tahun sebelum Perancis menjadi republik. Namun, tentera Austria memulihkan pemerintahan Keuskupan-Putera Liège pada tahun 1791.
Semasa Perang Gabungan Pertama (1792-1797), Tentera Revolusioner Perancis menawan Belanda Austria pada tahun 1794, mengilhakkan wilayah itu dan mengintegrasikannya ke dalam Republik Perancis pada tahun 1795. Keuskupan-Putera Liège juga diilhakkan oleh Perancis pada tahun 1795. Selepas Napoleon Bonaparte ditewaskan dalam Pertempuran Waterloo (di mana Waterloo terletak di Belgium hari ini) pada 18 Jun 1815, kuasa-kuasa besar yang bersidang dalam Kongres Vienna memutuskan untuk menggabungkan wilayah-wilayah bekas Belanda Austria, wilayah bekas Keuskupan-Putera Liège dan wilayah-wilayah bekas Republik Belanda (yang juga dikuasai oleh Perancis semasa Perang Napoleon) ke dalam Kerajaan Bersatu Belanda, yang berfungsi sebagai sebuah negara penampan yang merdeka untuk menangkis sebarang pencerobohan ketenteraan Perancis. Kerajaan Bersatu Belanda diperintah oleh Raja Willem I daripada kerabat diraja Orange-Nassau yang mempunyai kuasa perlembagaan yang hampir tidak terhad.

Kerajaan Bersatu Belanda pada masa itu menghadapi masalah demografik yang agak rumit. Di bahagian utara negara itu (iaitu Belanda hari ini), kebanyakan penduduknya bertutur dalam Bahasa Belanda dan beragama Protestan, dengan politik dan ekonomi di situ berorientasikan perdagangan, perniagaan dan perbankan; di bahagian selatan (iaitu Belgium hari ini) pula, penduduk-penduduk di wilayah Wallonia (yang terletak di bahagian selatan Belgium) yang membentuk 40% jumlah penduduk di situ kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Perancis dan beragama Katolik, sementara penduduk-penduduk di wilayah Flanders (yang terletak di bahagian utara Belgium) yang membentuk 60% jumlah penduduk di situ yang kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Belanda (dialek tempatan Flanders) tetapi juga beragama Katolik (maka berbeza dengan penduduk-penduduk berbahasa Belanda dan beragama Protestan di wilayah jiran mereka di utara).
Walaupun dalam sebuah negara yang sama, wilayah-wilayah di bahagian selatan Kerajaan Bersatu Belanda kekurangan kuasa autonomi untuk menentukan nasib mereka seperti wilayah-wilayah di bahagian utara. Kebanyakan institusi kekuasaan berpusat di bahagian utara, maka meminggirkan kepentingan warga Belgium di bahagian selatan. Dasar-dasar yang diamalkan oleh Raja Willem I juga lebih berpihak pada penduduk-penduduk yang berbahasa Belanda dan beragama Protestan, maka meminggirkan penduduk-penduduk yang berbahasa Perancis dan beragama Katolik. Hutang kerajaan di bahagian utara yang jauh lebih besar berbanding bahagian selatan juga perlu ditanggung oleh penduduk-penduduk di bahagian selatan dengan percukaian yang membebankan.

Perlembagaan Kerajaan Bersatu Belanda menumpukan kuasa dalam tangan raja dan menteri-menteri yang dilantiknya yang memerintah seluruh negara dari Amsterdam yang terletak di utara. Perlembagaan itu diluluskan pada tahun 1815 melalui pengundian ratifikasi dalam perhimpunan perwakilan di kedua-dua bahagian utara dan selatan, di mana perhimpunan wilayah-wilayah utara meluluskannya dengan majoriti besar sementara perhimpunan wilayah-wilayah selatan menolaknya dengan undi 796 undi tolak dan 527 undi sokong.
Sepanjang tempoh 15 tahun di bawah pemerintahannya, Raja Willem I dari Belanda amat jelas menunjukkan kepada penduduk-penduduk di Belanda Selatan (iaitu Belgium) bahawa mereka diperintah oleh kerajaan dari Amsterdam dan bukannya mengambil bahagian dalam kerajaan. Walaupun penduduk-penduduk di Belgium membentuk 62% daripada jumlah penduduk di seluruh Kerajaan Bersatu Belanda, mereka hanya mempunyai 50% kerusi dalam Dewan Perwakilan, iaitu dewan rendah kepada Staten-Generaal (iaitu parlimen). Walaupun perlembagaan menyatakan kebebasan beragama, dalam realitinya golongan penganut Katolik tidak dapat mencapai kedudukan yang tinggi dalam tangga kekuasaan politik, dengan tiadanya penganut Katolik dilantik sebagai menteri dan pegawai tinggi tentera.

Usaha Raja Willem I untuk memodenkan ekonomi Kerajaan Bersatu Belanda yang melibatkan pembangunan sektor pembuatan industri berskala besar dan perlombongan arang batu di Belgium, telah memusnahkan ekonomi tradisional di situ sedangkan keuntungan daripada proses perindustrian itu mengalir ke dalam tangan golongan kapitalis yang berpusat di bahagian utara. Belgium, atau lebih khususnya wilayah Wallonia di bahagian selatan Belgium dengan majoriti penduduk berbahasa Perancis, merupakan negara kedua di Eropah yang mengalami Revolusi Perindustrian selepas Britain, maka juga membawa kepada kemunculan kelas pekerja moden yang dieksploitasi di bawah sistem ekonomi kapitalis yang berlandaskan logik pengumpulan modal.
Walaupun Raja Willem I tidak berhasrat untuk memaksa wilayah-wilayah dengan majoriti penduduk berbahasa Perancis itu belajar Bahasa Belanda, dia telah memperkenalkan dasar untuk menjadikan Bahasa Belanda sebagai satu-satunya bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran, kehakiman dan undang-undang di wilayah Flanders dengan majoriti penduduk berbahasa Belanda. Tindakan itu mendapat tentangan daripada golongan elit atasan yang sudah biasa dengan Bahasa Perancis dan golongan berbahasa dialek Flanders yang tidak bertutur dalam bahasa baku Belanda. Golongan Katolik, sama ada yang berbahasa Belanda atau Perancis, semuanya tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan yang menggantikan pendidikan Katolik dengan pendidikan Protestan di sekolah dan universiti.

Oleh sebab dasar pemerintahan yang mencondong kepada kepentingan elit kapitalis di bahagian utara, penduduk-penduduk di Belgium tidak menganggap Raja Willem I sebagai raja mereka. Ketidapuasan hati rakyat di Belgium semakin meningkat menjelang penghujung tahun 1820-an. Terdapat dua aliran penentangan terhadap pemerintahan Belanda di Belgium: salah satunya datang daripada golongan elit Katolik yang hendak mempertahankan kepentingan tradisional mereka daripada ancaman pemodenan Protestan; sementara satu lagi datang daripada golongan liberal yang tidak berpuas hati dengan keadaan di mana rakyat Belgium dipinggirkan dan segala keuntungan yang dijana di Belgium itu disedut oleh Amsterdam di utara. Walaupun berbeza dalam ideologi, golongan elit yang menentang dasar Raja Willem I itu bersatu dalam usaha memperjuangkan kesamarataan perwakilan dalam kerajaan kebangsaan Belanda dan kuasa pentadbiran yang lebih besar bagi kerajaan tempatan. Hanya segelintir kecil orang yang menuntut kemerdekaan Belgium pada awalnya, sementara ada sebahagian orang yang berpendapat bahawa Belgium harus diilhakkan semula ke dalam Perancis.
Apabila berita tentang Revolusi Perancis sampai di Negeri-negeri Pamah, golongan liberal dan penganut Katolik di Belgium yang dinafikan kuasa dalam pentadbiran negara Kerajaan Bersatu Belanda mendapat inspirasi bahawa mereka juga boleh meniru apa yang dilakukan oleh rakyat Perancis, iaitu bangkit menjatuhkan sebuah pemerintahan monarki yang represif.

Pada 25 Ogos 1830, sebuah pertunjukan opera yang bertajuk “La muette de Portici” (“Gadis bisu dari Portici”) dipersembahkan di Teater Diraja La Monnaie, Brussel, ibu negara bersama Kerajaan Bersatu Belanda pada masa itu yang terletak di bahagian tengah Belgium. Opera yang mengandungi unsur patriotik itu berasaskan kisah pemberontakan rakyat pada tahun 1647 yang dipimpin Masaniello (1620-1647) untuk melawan pemerintahan Sepanyol di Napoli. Selepas babak yang berakhir dengan nyanyian patriotik “Amour sacré de la patrie” (“Cinta tanah air yang suci”), ramai penonton meninggalkan dewan teater dengan penuh bersemangat, melaungkan slogan patriotik dan menyertai aksi protes jalanan di situ. Peristiwa itu dikenali sebagai “Malam Opera”.
Pertempuran yang tercetus antara golongan demonstran dan pihak berkuasa di pusat bandar Brussel merebak ke kawasan komuniti pekerja industri yang mempunyai ketidakpuasan hati mereka sendiri. Golongan pekerja merosakkan mesin dan kedai. Golongan demonstran dan aktivis-aktivis politik merebut kesempatan itu untuk mengambil alih bangunan-bangunan kerajaan yang penting. Dengan itu, seluruh bandar Brussel jatuh ke dalam tangan golongan pemberontak.

Raja Willem I mengarahkan anaknya, Putera Willem, untuk menangani krisis di Brussel. Golongan pemberontak yang menguasai Brussel itu memberitahu pada Putera Willem bahawa cara untuk mengekalkan negara Belanda itu bersatu adalah mewujudkan pemisahan pentadbiran antara bahagian utara dan bahagian selatan. Putera Willem menyampaikan tuntutan itu kepada Raja Willem I, tetapi ditolak terus. Raja Willem I menghantar 8,000 orang anggota tentera Belanda di bawah kepimpinan seorang lagi anaknya, Putera Frederik, untuk mematahkan pemberontakan di Brussel. Selepas pertempuran jalanan yang hebat pada 23-26 September 1830, tentera Belanda gagal menawan semula bandar Brussel. Selepas pengunduran tentera Belanda dari Brussel, golongan pemberontak di situ menubuhkan Kerajaan Sementara, dengan pemimpin liberal Charles Latour Rogier (1800-1885) sebagai Pengerusi.
Dengan tuntutan untuk autonomi wilayah dalam Kerajaan Bersatu Belanda itu ditolak oleh pihak pemerintah di Amsterdam, Kerajaan Sementara di Brussel mengeluarkan Perisytiharan Kemerdekaan Belgium pada 4 Oktober 1830. Kerajaan Sementara kemudiannya mengadakan pilihan raya untuk memilih perwakilan Kongres Kebangsaan Belgium. Pada 3 November 1830, kira-kira 30,000 orang pengundi memilih 200 orang ahli perwakilan ke dalam Kongres Kebangsaan Belgium, dengan tugas merangka sebuah perlembagaan baharu bagi Belgium.

Oleh sebab pemberontakan di Belgium diterajui oleh golongan liberal yang kebanyakannya berbahasa Perancis dan ia berlaku tidak lama selepas Revolusi Julai di Perancis, kuasa-kuasa besar lain di Eropah bimbang bahawa Perancis mungkin akan mengilhakkan semula Belgium. Perancis yang baharu melalui perubahan rejim itu pula melihat pergolakan di Belgium mungkin dipergunakan oleh kuasa-kuasa besar lain untuk mengancam kepentingannya. Dalam Persidangan London yang diadakan pada 20 Disember 1830, perwakilan dari lima kuasa besar Eropah (Austria, Britain, Prusia, Rusia dan Perancis) bersetuju untuk mengekalkan keamanan dan imbangan kuasa yang wujud selepas Perang Napoleon, maka mengambil pendirian tidak mencampur tangan dalam pergolakan di Kerajaan Bersatu Belanda, dan bersedia untuk mengiktiraf kemerdekaan Belgium.
Selepas perbahasan antara ahli-ahli perwakilan yang berbeza pandangan, Kongres Kebangsaan Belgium memutuskan bahawa negara Belgium yang merdeka akan mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang diperintah oleh seorang monarki popular, seperti Monarki Julai di Perancis. Perlembagaan Belgium diluluskan pada 7 Februari 1831, namun masih belum lagi adanya calon yang bakal diangkat sebagai raja pada masa itu. Kongres Kebangsaan Belgium menolak sebarang calon daripada kerabat diraja Orange-Nassau yang memerintah Belanda, sementara kuasa-kuasa besar di Eropah selain Perancis tidak mahu anak Louis Philippe I dinobatkan sebagai Raja Belgium. Akhirnya hampir semua orang bersetuju untuk mencalonkan Leopold dari Saxe-Coburg, sebuah wilayah kecil di Jerman, untuk mengambil takhta raja di Belgium. Pada 21 Julai 1831, Raja Leopold I mengangkat sumpah untuk menjadi “Raja Warga Belgium”, bukannya Raja Belgium, selaras dengan semangat monarki popular (atau “raja rakyat”) yang terkandung dalam Perlembagaan Belgium.

Raja Willem I dari Belanda, yang sangat tidak berpuas hati dengan kemerdekaan Belgium dan pengiktirafan Belgium oleh kuasa-kuasa besar Eropah, mengerahkan tentera sebanyak 50,000 orang untuk melancarkan serangan ke atas Belgium pada 2-12 Ogos 1831, dikenali sebagai “Kempen Sepuluh Hari”. Oleh sebab kekuatan tentera Belgium memang tidak setanding dengan tentera Belanda dalam bilangan yang lebih besar, tentera Belanda berjaya menguasai banyak kawasan di Belgium. Kerajaan Belgium meminta bantuan daripada kerajaan Perancis, maka Perancis menghantar tentera sebanyak 70,000 orang yang dipimpin oleh Étienne Maurice Gérard. Oleh sebab takut terjerumus dalam peperangan besar dengan Perancis dan tekanan daripada kerajaan British, kerajaan Belanda mengundurkan tenteranya dari Belgium, kecuali Kubu Antwerp, tanpa mencapai objektifnya untuk menawan semula Belgium yang baharu merdeka itu. Tentera Belanda yang menduduki Kubu Antwerp sekali-sekala membedil bandar Antwerp untuk 15 bulan selepas itu. Pada bulan November 1832, kerajaan Belgium menjemput tentera Perancis sekali lagi ke Belgium untuk menawan semula Kubu Antwerp. Raja Willem I masih berdegil untuk berpegang pada dasar “Satu Belanda” yang menganggap Belgium sebagai wilayah yang memberontak, sehingga kerajaan Belanda menandatangani Perjanjian London tahun 1839. Perjanjian London 1839 menjamin status keneutralan Belgium sehingga Jerman menceroboh Belgium pada tahun 1914.
Selepas mencapai kemerdekaan, kerajaan Belgium telah menumpukan usahanya dalam membangunkan ekonomi perindustrian moden. Walaupun Belgium merupakan negara neutral dan tidak mencampur tangan dalam urusan negara lain di Eropah, pembangunan ekonomi kapitalis yang pesat Belgium membolehkannya mula muncul sebagai sebuah kuasa imperialis kolonial menjelang penghujung abad ke-19. Raja Leopold II dari Belgium, anak kepada Leopold I, menguasai Congo yang terletak di Afrika Tengah sebagai pemerintah berkuasa mutlak mulai tahun 1885, di mana dia menggunakan keganasan yang melampau terhadap masyarakat orang asal Congo dan mengamalkan sistem ekonomi yang amat eksploitatif untuk menggondol kekayaan di situ. Selepas Raja Leopold II melepaskan pemerintahan berkuasa mutlaknya di Congo pada tahun 1908, kerajaan Belgium mengambil alih dan meneruskan pemerintahan kolonial di situ sehingga tahun 1960.

Revolusi di negeri-negeri Jerman
Selepas pemberontakan rakyat di Perancis pada bulan Julai dan di Belgium pada bulan Ogos, angin revolusi tahun 1830 turut melanda sebahagian negeri dalam Konfederasi Jerman menjelang bulan September 1830. Gerakan revolusioner yang tercetus di negeri-negeri Jerman pada masa itu membawa pelbagai tuntutan, termasuk penyelesaian masalah ekonomi, pemansuhan duti kastam, kebebasan sivil dan penggubalan perlembagaan.
Konfederasi Jerman (Deutscher Bund) ialah sebuah persekutuan longgar yang terdiri daripada 39 buah negeri berdaulat dengan majoriti penduduk berbahasa Jerman di rantau Eropah Tengah. Ia ditubuhkan oleh Kongres Vienna pada tahun 1815 untuk menggantikan Empayar Rom Suci yang dibubarkan pada tahun 1806 akibat daripada Perang Napoleon. Konfederasi Jerman juga merangkumi sebahagian wilayah dalam dua buah kuasa besar Eropah Tengah pada masa itu, iaitu Prusia dan Austria.

Selepas Revolusi Julai di Perancis yang menggantikan pemerintahan Dinasti Bourbon dengan pemerintahan raja berperlembagaan yang lebih liberal, di negeri-negeri Jerman yang mengalami pemulihan susunan masyarakat lama pasca Perang Napoleon atau belum lagi mempunyai perlembagaan pada masa itu, tercetusnya pemberontakan rakyat pada bulan September 1830.
Di negeri Perdemangan Brunswick (Herzogtum Braunschweig) yang terletak di bahagian barat laut Jerman, Karl II yang mewarisi gelaran Herzog Braunschweig sejak tahun 1815 semasa usia kecil dan mula mengambil alih kuasa kerajaan pada tahun 1823, cuba memintas persidangan dewan perwakilan untuk memperkukuhkan kedudukan pemerintahannya. Namun, kegagalan Karl II dalam mentadbir urus politik dan ekonomi di negeri Braunschweig mengundang ketidakpuasan hati rakyat. Apabila Braunschweig dilanda masalah hasil tuaian berkurangan pada tahun 1830, Karl II tidak mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah itu, sebaliknya meninggalkan Braunschweig untuk pergi ke Paris, di mana dia menyaksikan Revolusi Julai yang menjatuhkan Raja Charles X dari Perancis. Selepas Revolusi Julai, Karl II tergesa-gesa meninggalkan Paris dan pulang ke Braunschweig pada bulan Ogos 1830, di mana dia mengumumkan hasratnya untuk mematahkan segala kecenderungan revolusi dengan menggunakan kekerasan.
Pada 1 September 1830, sekumpulan perwakilan pegawai perbandaran menyerahkan petisyen kepada Karl II dengan cadangan untuk mengadakan persidangan parlimen negeri. Namun, Karl II enggan menerima cadangan itu, sebaliknya meningkatkan penempatan tentera dan pemasangan meriam di lokasi-lokasi penting di bandar Braunschweig. Pada 6 September 1830, penduduk-penduduk Braunschweig berdemonstrasi di hadapan bangunan teater di mana Karl II menonton persembahan pada masa itu. Apabila Karl II meninggalkan bangunan teater, golongan demonstran melemparkan batu ke arah kereta kuda yang mengangkutnya. Karl II mengarahkan tentera untuk mematahkan demonstrasi, tetapi mencetuskan rusuhan yang lebih hebat. Pada hari keesokannya, iaitu 7 September 1830, golongan demonstran dalam jumlah besar memecah masuk ke dalam istana di Braunschweig, malah membakar bangunan istana. Karl II melarikan diri dari negeri Braunschweig. Dewan Perwakilan Braunschweig memanggil Wilhelm, adik kepada Karl II, untuk mengambil alih tugasan pentadbiran sementara di Braunschweig. Wilhelm kemudiannya diisytihar sebagai Herzog Braunschweig pada 25 April 1831.

Di negeri Kerajaan Hannover (Königreich Hannover) yang bersebelahan dengan Braunschweig, selepas berita mengenai Revolusi Julai di Perancis disebarkan, aksi protes rakyat tercetus di Osterode dan Göttingen. Beberapa petisyen diserahkan dari seluruh negeri itu untuk menuntut perlembagaan berperwakilan bagi Hannover, kebebasan akhbar, pemansuhan amalan feudal dan penghapusan diskriminasi agama. Petisyen-petisyen rakyat itu dipanjangkan kepada Raja William IV, yang merupakan raja bagi Hannover dan Britain. Raja William IV baharu mengambil alih takhta raja kedua-dua negara pada masa itu. Kerajaan Hannover mengerahkan tentera untuk mematahkan protes rakyat pada bulan Oktober 1830. Berlaku juga rusuhan yang membantah cukai, duti kastam dan peningkatan harga makanan yang membebankan rakyat.
Pada bulan Disember 1830, profesor-profesor di bandar Göttingen menyatakan secara terbuka sokongan mereka kepada Revolusi Julai di Perancis. Tindakan itu mendorong pemberontakan pelajar yang disokong oleh penduduk-penduduk bandar Göttingen. Pada 25 Disember 1830, apabila pesuruhjaya polis Göttingen membawa pergi seorang tukang piuter yang ditangkap atas tuduhan mengganggu ketenteraman, penduduk-penduduk di situ berprotes dan mencetuskan apa yang dikenali sebagai “Revolusi Göttingen”. Namun, pemberontakan rakyat di Göttingen dipatahkan pada bulan Januari 1831 selepas kerajaan mengerahkan lebih 5,000 orang tentera ke situ.

Di negeri Kerajaan Sachsen (Königreich Sachsen) yang terletak di bahagian timur Jerman, pada bulan Jun 1830, sebelum berlakunya Revolusi Julai di Perancis, rusuhan sudah tercetus di bandar Leipzig. Pada ketika itu, penduduk-penduduk Leipzig berprotes kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang melarang orang yang berpakaian seragam pelajar, satu simbol liberalisme pada masa itu, daripada mengambil bahagian dalam perarakan menyambut ulang tahun ke-300 Pengakuan Augsburg. Pengakuan Augsburg ialah dokumen penting Reformasi Protestan Lutheran. Tiga bulan kemudian, hasil daripada pengaruh Revolusi Julai di Perancis, pada bulan September 1830, protes tercetus lagi di jalanan bandar Leipzig, untuk menyuara bantahan terhadap kerajaan Sachsen yang enggan melaksanakan pembaharuan liberal. Tindakan keras yang diambil oleh polis untuk mematahkan aksi protes itu mencetuskan penentangan hebat daripada golongan tukang kraf, pelajar, pekerja kilang dan perantis di Leipzig. Penentangan terhadap pihak berkuasa itu jauh lebih hebat berbanding bulan Jun 1830. Penduduk-penduduk bandar Leipzig menyerahkan petisyen kepada majlis perbandaran pada 4 September 1830, untuk menyuarakan bantahan terhadap pihak pentadbir bandar itu yang bertindak secara keras dan sewenang-wenangnya. Golongan demonstran juga menuntut perombakan semula sistem kepolisan dan pengurangan cukai.
Protes yang bermula dari Leipzig merebak tidak lama kemudian ke Dresden, bandar diraja Sachsen. Raja Anton dari Sachsen menggantikan menteri kabinet yang tidak popular dengan menteri yang lebih liberal. Oleh sebab tekanan hebat daripada orang awam, Raja Anton juga bersetuju untuk menjadikan anak saudaranya, Friedrich August, sebagai pemangku raja yang memerintah bersamanya, di samping menggubal sebuah perlembagaan baharu yang mewujudkan sistem raja berperlembagaan di Sachsen dan berkuat kuasa mulai bulan September 1831. Friedrich August juga memperkenalkan beberapa pembaharuan liberal, seperti penghapusan buruh paksaan untuk golongan petani, untuk meredakan kemarahan rakyat Sachsen.
Di negeri Perdemangan Besar Baden (Großherzogtum Baden) yang terletak di bahagian barat daya Jerman, apabila Karl Leopold Friedrich yang menunjukkan kecenderungan kepada liberalisme menjadi Demang Besar Baden pada bulan Mac 1830, penduduk-penduduk Baden mengharapkan Demang Besar baharu itu melakukan pembaharuan. Revolusi Julai di Perancis tidak mencetuskan pemberontakan rakyat di Baden, tetapi harapan rakyat untuk pembaharuan membolehkan golongan liberal menguasai kerusi majoriti di dewan perhimpunan dalam pilihan raya yang diadakan pada bulan Oktober 1830. Kabinet menteri yang liberal ditubuhkan. Ludwig Georg Winter (1778-1838), yang dilantik sebagai Menteri Dalaman pada tahun 1830 dan kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1833, memperkenalkan pembaharuan liberal dalam perlembagaan, undang-undang dan pendidikan, di samping berusaha membangunkan rangkaian kereta api untuk memajukan ekonomi di situ.
Di negeri Hesse yang terletak di bahagian barat Jerman, gelombang protes yang tercetus atas pengaruh Revolusi Julai di Perancis telah memaksa Wilhelm II, pemerintah Hesse pada masa itu, untuk memanggil persidangan parlimen dan mengemukakan perlembagaan yang liberal pada 6 Januari 1831.
Gerakan protes yang tercetus di negeri-negeri Jerman pada tahun 1830 tidak mendatangkan impak yang besar seperti Revolusi Julai di Perancis dan Revolusi Belgium. Pembaharuan yang sangat terhad dilakukan di beberapa buah negeri, dan kebanyakan negeri yang bergabung dalam Konfederasi Jerman masih mengamalkan pemerintahan konservatif yang reaksioner. Golongan revolusioner yang berfahaman liberal dan nasionalis (yang memperjuangkan penyatuan Jerman) masih dalam bilangan yang sangat kecil dan tidak mempunyai organisasi politik yang cukup mantap untuk mencabar kekuasaan konservatif. Dua buah kuasa besar yang bergabung dalam Konfederasi Jerman, Austria dan Prusia, didominasi oleh golongan konservatif yang tidak berminat untuk mencapai penyatuan bangsa Jerman. Malah, pada tahun 1834, Klemens von Metternich, Canselor Austria pada masa itu, memujuk semua negeri dalam Konfederasi Jerman supaya mematuhi sepenuhnya Dekri Karlsbad yang diperkenalkan pada tahun 1819 untuk mengharamkan organisasi yang membawa fahaman nasionalis-liberal, menyingkirkan profesor universiti yang liberal dan menyekat kebebasan akhbar. Dengan itu, gerakan liberal-nasionalis Jerman yang awal dipatahkan, tetapi pergolakan pada tahun 1830 telah menyemaikan benih kepada kebangkitan gerakan liberal dan nasionalis yang lebih hebat 18 tahun kemudian.

Poland: Pemberontakan November
Tidak lama selepas Revolusi Julai di Perancis dan perisytiharan kemerdekaan Belgium, satu lagi revolusi tercetus di Kongres Poland untuk menentang kekuasaan Empayar Rusia dan memperjuangkan kemerdekaan Poland yang sepenuh.
Dengan kemunculan Empayar Rusia (1721-1917) sebagai kuasa besar pada awal abad ke-18 yang mengancam kepentingan geopolitik Prusia dan Austria Habsburg, dua buah kuasa besar di Eropah Tengah pada masa itu, Friedrich II dari Prusia mengaturkan pembahagian kira-kira 30% daripada wilayah di dalam Komanwel Poland-Lithuania (1569-1795) pada tahun 1772 antara ketiga-tiga kuasa besar itu untuk “memulihkan” imbangan kuasa di rantau Eropah Tengah. Tentera Rusia sudah ditempatkan di situ sebelum pembahagian wilayah-wilayah Poland-Lithuania. Wilayah-wilayah di bahagian timur Poland-Lithuania (yang merupakan sebahagian daripada Belarus dan Ukraine hari ini) diambil alih oleh Rusia selepas Pembahagian Poland Pertama. Lebih separuh daripada wilayah yang tertinggal di Poland-Lithuania hilang lagi dalam Pembahagian Poland Kedua pada tahun 1793 berikutan Perang Poland-Rusia 1792, dengan wilayah-wilayah di dalam negara Ukraine dan Belarus hari ini (termasuk Kyiv dan Minsk) dirampas oleh Empayar Rusia.

Pada 24 Mac 1794, di Kraków yang terletak di bahagian selatan Poland, Tadeusz Kościuszko (1746-1817), seorang pegawai tentera Poland yang pernah menyertai Tentera Kontinental dalam Perang Revolusi Amerika, mengisytihar pemberontakan terhadap pendudukan tentera Rusia di Poland-Lithuania. Pada 17 April 1794, tercetus pemberontakan di Warsaw yang dipimpin oleh Jan Kiliński (1760-1819) untuk menentang pendudukan tentera Rusia di situ. Satu lagi pemberontakan yang dipimpin oleh Jakub Jasiński ( 1761-1794) pada 22 April 1794 berjaya mengusir tentera Rusia keluar dari Vilnius (ibu negara Lithuania hari ini). Kościuszko mengemukakan Proklamasi Połaniec pada 7 Mei 1794, di mana proklamasi itu menghapuskan sebahagian perhambaan tani di Poland, memberikan kebebasan sivil kepada semua petani dan memberikan golongan petani hak untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan dalam menentang penindasan oleh golongan bangsawan. Pemberontakan bersenjata juga tercetus di wilayah Poland yang dikuasai oleh Prusia. Namun, Pemberontakan Kościuszko ditewaskan oleh tentera Rusia dan Prusia pada bulan November 1794. Lebih teruk lagi, Rusia, Prusia dan Austria menggunakan kesempatan mematahkan Pemberontakan Kościuszko untuk mengilhakkan wilayah-wilayah Poland-Lithuania yang belum dibahagikan itu dalam Pembahagian Poland Ketiga pada tahun 1795.
Semasa Perang Napoleon, golongan Patriot Poland, seperti Jan Henryk Dąbrowski (1755-1818) yang pernah menyertai Pemberontakan Kościuszko, menyertai tentera Perancis untuk berperang dengan Rusia dan Austria dengan harapan membebaskan tanah air Poland. Napoleon Bonaparte menubuhkan Perdemangan Warsaw (1807-1815), sebuah negara separa merdeka yang meliputi bahagian tengah dan tenggara Poland hari ini. Selepas Napoleon ditewaskan pada tahun 1815, Kongres Vienna, yang hendak memulihkan imbangan kuasa sebelum Perang Napoleon di Eropah Tengah, mengekalkan pembahagian wilayah-wilayah Poland oleh Austria, Prusia dan Rusia. Austria mengilhakkan wilayah-wilayah di bahagian selatan Poland; Prusia menguasai Perdemangan Besar Posen (1815-1848), sebuah negara semi-autonomi di bahagian barat Poland. Perdemangan Warsaw digantikan dengan Negara Beraja Poland, yang juga dikenali sebagai Kongres Poland (1815-1915), sebuah negara semi-autonomi di bawah naungan kekuasaan Empayar Rusia.

Empayar Rusia mengamalkan dasar yang semakin represif di Kongres Poland. Tsar Aleksandr I membatalkan kebebasan akhbar di Poland dan memperkenalkan penapisan yang ketat terhadap bahan-bahan terbitan. Pihak berkuasa Rusia menggunakan polis rahsia untuk mematahkan organisasi-organisasi politik Poland yang dianggap sebagai ancaman kepada kekuasaannya. Tsar Aleksandr I tidak pernah dinobatkan secara rasmi sebagai Raja Poland, tetapi melantik adiknya Demang Besar Konstantin Pavlovich sebagai wizurai de facto di Kongres Poland. Tsar Nikolai I yang menggantikan Aleksandr I pada tahun 1825, dinobatkan secara rasmi sebagai Raja Poland pada tahun 1829, tetapi enggan bersumpah untuk mematuhi Perlembagaan Poland, sebaliknya terus mengehadkan kemerdekaan Kongres Poland. Jawatan-jawatan pentadbiran penting di Poland diambil alih oleh pegawai-pegawai yang berasal dari Rusia. Oleh itu, ketidakpuasan hati terhadap pihak berkuasa Rusia adalah amat besar dalam kalangan masyarakat Poland, terutamanya anggota-anggota tentera Poland.
Pada masa yang sama, oleh sebab pengaruh nasionalisme yang disebarkan semasa Perang Napoleon, fahaman nasionalis romantik turut dibangunkan dalam kalangan golongan intelek di Poland. Universiti Warsaw yang ditubuhkan pada tahun 1816, menjadi pusat penyebaran fahaman Romantisisme Poland pada tahun 1820-an. Romantisisme Poland tidak terbatas dalam bidang kesusasteraan dan kesenian, tetapi ia juga membentuk gerakan ideologi, falsafah dan politik untuk menyatakan idea-idea serta cara hidup masyarakat Poland yang ditundukkan di bawah pemerintahan kuasa asing yang represif dan bersifat diskriminasi. Adam Mickiewicz (1798-1855), seorang penyair yang berasal dari Zaosie (sebuah kampung yang terletak di bahagian barat daya Belarus hari ini), dalam sajak romantis yang ditulisnya pada tahun 1820, “Oda untuk Anak Muda” (Oda do młodości), menyeru pada golongan anak muda untuk bangkit menjatuhkan dunia lama dan mendirikan kehidupan baharu. Pertubuhan-pertubuhan rahsia dibentuk oleh golongan intelek di beberapa buah bandar untuk merancang pemberontakan, tetapi sentiasa menghadapi penindasan daripada pihak berkuasa yang menggunakan polis rahsia.

Apabila tercetusnya Revolusi Julai di Perancis dan Revolusi Belgium pada tahun 1830, sistem imbangan kuasa yang diwujudkan oleh Kongres Vienna jelas tergugat. Rakyat Poland mendapat inspirasi daripada gelombang revolusi itu, lebih-lebih lagi kejayaan perjuangan kemerdekaan Greece juga memberi rangsangan besar kepada rakyat Poland untuk meneruskan perjuangan pembebasan nasional mereka sendiri. Kerajaan Tsar Rusia bercadang untuk mengerahkan tentera Poland untuk mematahkan revolusi di Perancis dan Belgium, sesuatu tindakan yang melanggari Perlembagaan Poland dan menimbulkan kemarahan rakyat Poland, maka mencetuskan pemberontakan dalam kalangan tentera Poland.
Sekumpulan kadet tentera yang muda dari sekolah pegawai tentera di Warsaw yang dipimpin oleh Piotr Wysocki (1797-1875) memberontak pada 29 November 1830 dan menawan Istana Belweder, tempat tinggal Demang Besar Konstantin Pavlovich. Konstantin Pavlovich dapat melarikan diri dengan menyamar sebagai seorang perempuan. Golongan pemberontak kemudiannya menawan gedung senjata yang utama di Warsaw. Warga Poland yang bersenjata berjaya mengusir tentera Rusia keluar dari bandar Warsaw.

Pemberontakan kadet tentera di Warsaw mendapat sokongan daripada golongan bangsawan dan pelajar-pelajar di situ. Sebuah kerajaan sementara ditubuhkan untuk mengambil alih kuasa. Namun, golongan konservatif yang merajui kerajaan sementara teragak-agak untuk mencabar secara langsung kekuasaan Empayar Rusia dan cuba berunding dengan pihak berkuasa Rusia. Golongan radikal seperti Maurycy Mochnacki (1803-1834) menyeru agar melancarkan pemberontakan yang meluas di seluruh negara Poland. Pada 13 Disember 1830, Sejm (iaitu Parlimen Poland) mengisytihar “Pemberontakan Nasional” terhadap Rusia.
Pemberontakan merebak dengan cepat ke wilayah-wilayah lain di Kongres Poland, termasuk Lithuania, bahagian barat Belarus dan Ukraine Tebing Kanan (iaitu wilayah di tebing barat Sungai Dnieper). Pada 25 Januari 1831, Sejm Kongres Poland meluluskan akta untuk melucutkan takhta Raja Poland yang dipegang oleh Tsar Nikolai I. Pada 29 Julai 1831, Kerajaan Kebangsaan Poland ditubuhkan dengan Adam Jerzy Czartoryski (1770-1861) sebagai Presiden pertama. Golongan revolusioner nasionalis bukan sahaja memperjuangkan kemerdekaan Poland, tetapi juga hendak mengambil semula Lithuania, untuk mengembalikan wilayah Poland-Lithuania sebelum ia dibahagikan oleh kuasa-kuasa besar. Namun begitu, pemimpin-pemimpin yang konservatif dalam Kerajaan Kebangsaan Poland enggan memperluaskan asas sokongan sosial bagi usaha perjuangan kemerdekaan Poland dengan melaksanakan langkah-langkah pembaharuan sosial yang lebih radikal seperti reformasi tanah.

Kerajaan Tsar Rusia, yang enggan membiarkan kemerdekaan Poland, mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar untuk menyerang Poland. Walaupun tentera Poland berjuang dengan berani dan menewaskan tentera musuh berulang kali di medan pertempuran, oleh sebab tentera Rusia jauh lebih kuat dari segi bilangan anggota dan kelengkapan, tentera Poland akhirnya ditewaskan sepenuhnya pada bulan Oktober 1831.
Selepas menumpaskan pemberontakan di Poland, Tsar Nikolai I mengetatkan lagi cengkaman kekuasaan Rusia terhadap Poland, dengan Perlembagaan Poland dimansuhkan, Kongres Poland kehilangan status separa autonominya dan diperintah secara langsung oleh Empayar Rusia. Kerajaan Tsar Rusia juga menjadikan Warsaw sekadar pusat penempatan tentera Rusia, dan menutup Universiti Warsaw. Ribuan orang pejuang kemerdekaan dan aktivis politik Poland berhijrah ke Eropah Barat. Walaupun perjuangan kemerdekaan Poland pada tahun 1830-1831 dipatahkan, ia telah meninggalkan warisan berkekalan yang terus menyalakan semangat penentangan, menyumbang kepada pembentukan identiti nasional Poland, dan memberi inspirasi kepada generasi-generasi akan datang untuk terus memperjuangkan pembebasan negara itu.

Ustertag
Konfederasi Switzerland (1291-1798), sebuah gabungan longgar negeri-negeri kecil yang merdeka (dikenali sebagai “kanton”) di kawasan pergunungan Alp, diceroboh oleh tentera Perancis pada tahun 1798 semasa Perang Revolusi Perancis. Penaklukan Switzerland oleh tentera Perancis menamatkan pemerintahan Ancien Régime di situ dan menubuhkan Republik Helvetika (1798-1803), sebuah negara yang bersekutu dengan Perancis. Semasa pemerintahan Republik Helvetika, idea-idea mengenai kebebasan dan kesamarataan disebarkan secara meluas dalam kalangan penduduk Switzerland. Undang-undang berbeza untuk warga bandar dan petani luar bandar telah dihapuskan. Namun, golongan bangsawan tempatan dan penduduk-penduduk beragama Katolik di kanton-kanton yang lebih konservatif menentang pembaharuan dan pemusatan kuasa yang cuba dibawa oleh kerajaan Republik Helvetika, malah melancarkan pemberontakan bersenjata. Pada tahun 1803, Napoleon Bonaparte menggantikan Republik Helvetika dengan “Akta Pengantaraan”(Acte de Médiation), yang mewujudkan kompromi antara Ancien Régime dan republik moden. Akta Pengantaraan memulihkan sebahagian kedaulatan kanton-kanton dalam Konfederasi Switzerland.
Selepas Napoleon ditewaskan oleh Gabungan Anti-Perancis, Kongres Vienna memulihkan Konfederasi Switzerland yang merdeka dan mengiktiraf status keneutralannya yang kekal. Perlembagaan baharu yang diperkenalkan untuk Konfederasi Switzerland pada tahun 1814 adalah bersifat konservatif untuk melindungi kepentingan elit tempatan dan mengurangkan perwakilan dari kawasan-kawasan luar bandar dalam majlis-majlis kanton.

Namun, secara beransur-ansur, penduduk-penduduk luar bandar mula mendidik diri mereka sendiri. Atas inisiatif penduduk-penduduk luar bandar sendiri, sekolah-sekolah baharu dibina tanpa subsidi kerajaan, sementara persatuan-persatuan komuniti ditubuhkan. Sebuah gerakan pembangkang dibangunkan sekitar Paul Usteri (1768-1831), seorang doktor dan ahli botani yang pernah menjadi presiden majlis perundangan Republik Helvetika pada tahun 1801.
Mendapat inspirasi daripada Revolusi Julai di Perancis pada tahun 1830, gerakan revolusioner muncul di seluruh Switzerland dengan perhimpunan besar-besaran diadakan di beberapa buah kanton untuk menuntut perlembagaan baharu yang liberal bagi kanton-kanton masing-masing. Oleh sebab setiap kanton mempunyai perlembagaan sendiri, perhimpunan yang diadakan di setiap kanton membincangkan isu-isu yang berbeza, tetapi terdapat dua isu utama yang menonjol: melaraskan pengagihan kerusi dalam dewan perundangan tempatan dan Tagsatzung (iaitu dewan perundangan dan eksekutif Konfederasi Switzerland) untuk menangani masalah perwakilan berlebihan untuk ibu kota kanton dalan kerajaan; dan mewujudkan cara untuk meminda perlembagaan.
Perhimpunan rakyat yang pertama diadakan di Weinfelden, Kanton Thurgau, yang terletak di bahagian timur Switzerland, pada bulan Oktober 1830. Ini diikuti dengan perhimpunan di Wohlenschwil (di Kanton Aargau yang terletak di bahagian utara Switzerland) dan Sursee (di Kanton Lucerne yang terletak di bahagian tengah Switzerland) pada bulan November 1830. Mereka yang menghadiri perhimpunan itu berarak di jalanan sebelum bersidang dalam perhimpunan.
Pada masa yang sama, Ludwig Snell (1785-1854), seorang peguam yang berfahaman liberal radikal, menulis beberapa risalah untuk berhujah bahawa kanton di Switzerland harus menyantuni perubahan yang sedang melanda Eropah pada masa itu. Dalam tulisannya “Memorial von Küsnacht”, Ludwig Snell menunjukkan hala tuju untuk liberalisme di Kanton Zürich. Tidak lama selepas penerbitan risalah itu, kira-kira 100 orang bertemu di Stäfa, sebuah pekan di Kanton Zürich, dan memutuskan untuk mengadakan Tagung (perhimpunan perundingan) di Uster, sebuah bandar yang terletak di bahagian tengah Kanton Zürich.

Pada 22 November 1830, lebih 10,000 orang dari semua daerah di Kanton Zürich hadir dalam Tagung yang diadakan di Uster. Oleh sebab Gereja Uster yang pada awalnya digunakan sebagai tempat perhimpunan itu tidak mencukupi untuk menampung bilangan peserta yang begitu ramai, perhimpunan itu dipindahkan ke Bukit Zimiker yang berdekatan. Peserta-peserta mengemukakan pelbagai pandangan mengenai pembaharuan politik dan tuntutan untuk menyelesaikan masalah ekonomi. Keputusan perhimpunan itu ditentukan melalui pengundian secara terbuka oleh semua peserta. Peristiwa yang dianggap sebagai satu revolusi di Switzerland itu dikenali sebagai Ustertag.
Pada 6 Disember 1830, sebuah Majlis Agung dipilih dengan dua pertiga perwakilannya datang dari kawasan luar bandar di Kanton Zürich. Perlembagaan Kanton yang baharu mula berkuat kuasa pada bulan Mac 1831, dengan kandungannya menangani kebanyakan perkara yang dibangkitkan dalam Ustertag.
Perhimpunan diadakan juga di Kanton St. Gallen dan Kanton Solothurn pada bulan Disember 1830, dan perhimpunan terakhir diadakan di Münsingen, Kanton Bern, pada bulan Januari 1831. Berikutan aksi perarakan dan perhimpunan besar-besaran yang demokratik itu, kebanyakan kerajaan peringkat kanton tunduk pada tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh perhimpunan rakyat itu dan meminda perlembagaan masing-masing. Namun begitu, pelaksanaan perlembagaan liberal di kanton-kanton dengan majoriti penduduk Protestan, mencetuskan tindak balas daripada kanton-kanton dengan majoriti penduduk Katolik dan lebih konservatif, sehingga mencetuskan perang saudara, yang dikenali sebagai Perang Sonderbund, pada tahun 1847. Perang Sonderbund menyaksikan kemenangan golongan liberal dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan Switzerland pada tahun 1848.
Itali: Carbonari bangkit lagi
Walaupun usaha perjuangan revolusioner di Itali yang diterajui oleh Carbonari pada awal tahun 1820-an dipatahkan, semangat perjuangan Carbonari tidak pernah dipadamkan. Sesetengah anggota Carbonari mengambil bahagian dalam Revolusi Julai di Perancis pada tahun 1830. Kejayaan Revolusi Julai yang membawa kepada pembentukan pemerintahan yang lebih liberal di Perancis memberi harapan baharu kepada golongan Carbonari untuk melancarkan pemberontakan yang baharu, terutamanya di bahagian tengah dan utara Semenanjung Itali, seperti Negeri-negeri Paus dan Perdemangan Modena.

Di wilayah Perdemangan Modena yang terletak di bahagian barat laut Semenanjung Itali, golongan Carbonari di situ yang dipimpin oleh Ciro Menotti (1798-1831) cuba mendapat sokongan daripada Francesco IV, Demang Modena pada masa itu. Francesco IV bercita-cita untuk menjadi Raja Itali dan sering mengeluarkan kata-kata yang menggalakkan golongan revolusioner untuk memperjuangkan penyatuan Itali, tetapi Francesco IV sebenarnya bermain muslihat dua hala. Raja Louis Philippe I yang baharu berkuasa di Perancis pernah berjanji pada golongan revolusioner Itali seperti Ciro Menotti bahawa dia akan mencampur tangan sekiranya Austria cuba mencampur tangan di Itali dengan tenteranya. Namun, oleh sebab bimbang bahawa takhtanya digugat oleh ancaman kuasa-kuasa besar yang konservatif, Raja Louis Philippe I akhirnya tidak memberikan apa-apa sokongan kepada pemberontakan yang dirancang oleh Ciro Menotti.
Ciro Menotti melancarkan pemberontakan di Modena pada 3 Februari 1831 untuk menentang kekuasaan Austria, tetapi Demang Francesco IV tiba-tiba menarik balik sokongannya, malah mendapatkan bantuan daripada Austria dan sekutunya untuk mematahkan pemberontakan Carbonari. Ciro Menotti ditangkap dan dihukum mati.

Pada 5 Februari 1831, pemberontakan rakyat tercetus di Bologna, wilayah Romagna yang terletak di bahagian utara Itali. Golongan pemberontak di situ mengisytiharkan kemerdekaan Bologna, Ferrara, Ravenna dan Forlì daripada pemerintahan Negara Paus. Pemberontakan juga merebak ke wilayah Marche dan Umbria di bahagian tengah Itali. Golongan pemberontak yang mengambil alih kuasa di wilayah-wilayah itu mengisytiharkan penubuhan Wilayah Bersatu Itali (Province Unite Italiane). Pada 4 Mac 1831, Perhimpunan Sementara Wilayah Bersatu Itali yang bersidang di Bologna meluluskan perlembagaan yang liberal dan memilih anggota kerajaan sementara. Walaupun menguasai bandar-bandar penting seperti Bologna, Wilayah Bersatu Itali tidak mampu bertahan lama apabila berhadapan dengan campur tangan ketenteraan Austria yang dipanggil oleh Paus Gregorius XVI. Wilayah Bersatu Itali jatuh sepenuhnya apabila bandar Ancona di wilayah Marche ditawan oleh tentera Austria pada bulan April 1831. Pemberontakan juga tercetus di wilayah Perdemangan Parma, tetapi turut mengalami kegagalan kerana kekurangan sokongan dan kelemahan organisasi pemberontak. Golongan Carbonari terus ditindas oleh kuasa-kuasa konservatif yang reaksioner di Semenanjung Itali.
Giuseppe Mazzini (1805-1872), seorang anggota Carbonari yang hidup dalam buangan sejak tahun 1831, menulis kepada Carlo Alberto, Raja Sardinia pada masa itu, untuk memintanya supaya menyatukan Itali. Namun, selepas mendapati Carlo Alberto tidak mempedulikan permintaannya, Mazzini menubuhkan gerakan “Itali Muda” (La Giovine Italia) di Marseille, Perancis, untuk memperjuangkan pembentukan Republik Itali yang bersatu dengan cara pemberontakan di negeri-negeri Itali yang dikuasai oleh golongan reaksioner dan wilayah-wilayah yang diduduki oleh Empayar Austria. Itali Muda, yang mengemukakan slogan “Penyatuan, Kekuatan dan Kebebasan!” (Unione, forza e libertà!), berkembang dengan mantap dan menggantikan gerakan Carbonari dalam usaha perjuangan Penyatuan Itali yang juga dikenali sebagai Risorgimento.
Pemberontakan Jun 1832
Selepas pembentukan pemerintahan Monarki Julai yang berasaskan sistem raja berlembagaan, negara Perancis masih dibelenggu dengan pelbagai konflik, dan pembaharuan yang dijanjikan kepada massa rakyat yang menumpahkan darah mereka di jalanan semasa pemberontakan “Tiga Hari yang Mulia” itu masih belum direalisasikan. Pemerintahan Dinasti Orléan yang menggantikan pemerintahan Dinasti Bourbon itu nampaknya hanya lanjutan struktur kekuasaan yang konservatif, bukannya agen pembebasan yang revolusioner.

Golongan Légitimiste enggan mengiktiraf Raja Louis Philippe I sebagai raja yang sah dan masih berniat untuk memulihkan pemerintahan Dinasti Bourbon, tetapi tidak pernah berjaya. Golongan elit politik Orléaniste, yang berkuasa selepas Revolusi Julai, berpecah kepada dua puak utama: salah satu pihak ialah golongan monarkis liberal berhaluan kiri-tengah yang dipimpin oleh Jacques Laffitte dan Adolphe Thiers, dikenali sebagai “Parti Gerakan” (Parti du Mouvement); sementara satu pihak lagi ialah golongan konservatif berhaluan kanan-tengah yang dipimpin oleh Casimir Périer dan François Guizot, dikenali sebagai “Parti Penentangan” (Parti de la Résistance). Dasar pendirian Raja Louis Philippe I lebih dekat dengan golongan konservatif yang diterajui François Guizot, di samping berhubung rapat dengan golongan kapitalis perbankan, perindustian dan kewangan yang semakin mengembangkan pengaruh mereka pada masa itu. Oleh itu, Louis Philippe I dengan gelaran rasmi Raja Rakyat Perancis itu juga mendapat julukan sebagai “Raja Borjuis” (Roi bourgeois).
Golongan republikan pula kecewa dengan perubahan takhta diraja itu tidak mendatangkan pembaharuan masyarakat yang lebih radikal. Marquis de Lafayette yang menyokong golongan Orléaniste semasa Revolusi Julai itu pada asalnya percaya bahawa dia telah mendapatkan janji daripada Louis Philippe I untuk menjadikan rejim baharu itu “monarki yang dikelilingi oleh institusi-institusi republik”, tetapi janji itu tidak pernah ditunaikan. Kebanyakan golongan republikan yang berjuang di benteng jalanan semasa “Tiga Hari yang Mulia” tidak berpuas hati dengan rejim Monarki Julai yang enggan membawa negara Perancis ke arah yang lebih republikan. Pengorbanan pejuang-pejuang republikan semasa “Tiga Hari yang Mulia” telah dipergunakan oleh golongan Orléaniste untuk memperkukuhkan kekuasaan Monarki Julai yang seolah-olah menggantikan satu Dinasti Bourbon dengan Dinasti Bourbon yang lain. Oleh itu, golongan republikan terus menuntut pembentukan sistem republik dan pembinaan sebuah masyarakat di mana setiap orang hidup secara bebas serta sama rata. Golongan republikan menubuhkan organisasi-organisasi rahsia untuk merancang pemberontakan yang serupa dengan Revolusi Julai. Salah sebuah organisasi republikan yang paling penting ialah “Persatuan Hak Asasi Manusia” (Société des droits de l’homme) yang ditubuhkan semasa Revolusi Julai oleh mereka yang mendukung fahaman Jacobin.
Dari segi sosioekonomi, jurang antara yang kaya dan yang miskin semakin melebar, dengan golongan gelandangan di Paris semakin meningkat jumlahnya. Masalah kekurangan makanan dan peningkatan kos sara hidup menyebabkan kelas-kelas sosial bawahan semakin tidak berpuas hati. Pada bulan November 1831, pekerja-pekerja penenun sutera (yang dikenali sebagai canut) di bandar Lyon, yang tidak berpuas hati dengan keadaan kehidupan ekonomi teruk dan menuntut gaji lebih tinggi, melancarkan mogok dan aksi protes jalanan. Selepas dipukul oleh pihak berkuasa, pekerja-pekerja di Lyon melancarkan pemberontakan bersenjata dan menguasai bandar itu. Casimir Périer, Perdana Menteri Perancis pada masa itu yang merupakan pemimpin puak konservatif dalam kalangan golongan Orléaniste, menasihatkan Raja Louis Philippe untuk mengerahkan tentera supaya mematahkan pemberontakan pekerja di Lyon dengan cara keganasan. Pengerahan tentera oleh rejim Monarki Julai untuk mematahkan secara keras kebangkitan pekerja miskin demi melindungi kepentingan pemilik kilang yang kaya, jelas menunjukkan sifat sebenar “Raja Borjuis” Louis Philippe I.
Lebih-lebih lagi, Perancis dilanda wabak penyakit taun yang serius pada tahun 1832. Oleh sebab kegagalan kerajaan Perancis dalam menangani penularan wabak, banyak orang mati kerana penyakit taun, dengan 100,000 mati orang di seluruh Perancis, antaranya lebih 18,000 orang mati di Paris. Penyakit taun pada tahun 1832 turut meragut nyawa orang kenamaan seperti Casimir Périer, Perdana Menteri Perancis itu sendiri. Périer yang mati pada bulan Mei 1832 menerima upacara pengebumian negara, tetapi kematian seorang lagi tokoh kenamaan tidak lama selepasnya bakal menggegarkan bandar Paris.

Jean Maximilien Lamarque (1770-1832), seorang jeneral yang pernah terlibat dalam Perang Revolusi Perancis dan Perang Napoleon, turut meninggal dunia kerana penyakit taun pada 1 Jun 1832. Lamarque merupakan seorang tokoh yang agak popular dalam golongan republikan berhaluan kiri kerana pendiriannya yang berpihak pada prinsip-prinsip republikan, egalitarian dan demokrasi. Lamarque pernah dipilih ke dalam Dewan Perwakilan Perancis pada tahun 1828 dan menjadi salah seorang ahli pembangkang liberal yang menentang golongan pendukung Dinasti Bourbon. Upacara pengebumian Lamarque telah digunakan oleh golongan republikan sebagai kesempatan untuk melancarkan pemberontakan mereka.
Pada 5 Jun 1832, semasa perarakan pengebumian Lamarque di bandar Paris, Marquis de Lafayette menyampaikan ucapannya yang memuji Lamarque. Golongan republikan melaungkan slogan seperti “Jatuhkan Louis Philippe!” dan “Jatuhkan monarki!”, di samping mengibarkan bendera merah yang tertera tulisan “La Liberté ou la Mort”(Kebebasan atau Kematian). Marquis de Lafayette cuba menyeru pada para demonstran supaya bertenang, tetapi pemberontakan tetap tercetus. Para demonstran bertempur dengan tentera kerajaan di jalanan dan tembakan dilepaskan.
Kira-kira 3,000 orang pemberontak republikan menguasai kawasan-kawasan timur dan tengah Paris dengan mendirikan benteng jalanan. Golongan pemberontak republikan mengharapkan keadaan seperti Revolusi Julai akan timbul, dengan warga Paris yang lain turut menyertai pemberontakan, ahli-ahli parlimen pembangkang liberal menyokong tuntutan mereka dan anggota-anggota Pengawal Kebangsaan berpaling tadah untuk menyertai mereka, namun semua itu tidak berlaku! Oleh itu, pemberontakan itu gagal merebak lebih lanjut lagi ke kawasan lain.

Walaupun golongan pemberontak pada 5 Jun 1832 lebih bersedia dari segi perancangan, golongan pemerintah yang menguasai jentera kerajaan dan tentera juga belajar daripada pengajaran Revolusi Julai, dan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Raja Charles X. Apabila Raja Louis Philippe I mendapat tahu tentang pemberontakan di Paris, dia terus beredar dari istananya Château de Saint-Cloud ke Paris untuk memberi semangat kepada anggota-anggota Pengawal Kebangsaan supaya mereka terus taat setia padanya.
Dengan kekuatan yang jauh lebih kecil berbanding gabungan tentera kerajaan dan Pengawal Kebangsaan yang setia pada Monarki Julai, di samping ulang tayang keadaan Revolusi Julai itu tidak berlaku, golongan pemberontak republikan akhirnya ditewaskan pada 6 Jun 1832. 93 orang pemberontak dan 73 orang daripada pihak kerajaan terbunuh, sementara sejumlah lebih 600 orang cedera dalam pemberontakan yang hanya berlarutan sehari itu.

Pemberontakan republikan di Paris pada bulan Jun 1832 mungkin sudah dilupakan orang jika tidak wujudnya novel terkenal “Les Misérables”(Dunia Celaka) yang ditulis oleh Victor Hugo (1802-1885) dan diterbitkan pada tahun 1862, iaitu 30 tahun kemudian. Victor Hugo, seorang sasterawan terkenal yang masih muda pada masa itu, telah menjadi saksi kepada pemberontakan republikan di Paris pada 5 Jun 1832 dan menjadikan peristiwa yang tidak diketahui ramai orang itu sebagai kemuncak jalan ceritanya. “Les Misérables” pernah diadaptasi ke dalam bentuk pementasan drama, teater muzikal dan filem. Ramai orang, yang pernah dengar tentang “Les Misérables” tetapi tidak pernah membaca cerita, sering tersalah anggap bahawa cerita “Les Misérables” berlaku pada tempoh Revolusi 1789 atau Revolusi 1848 yang lebih diketahui umum, seperti ramai orang tersalah anggap lukisan terkenal “La Liberté guidant le peuple” (Kebebasan Memimpin Rakyat) oleh Eugène Delacroix (1798-1863) untuk memperingati Revolusi Julai pada tahun 1830 itu dengan Revolusi Perancis 1789.
Walaupun pengorbanan golongan radikal yang bertempur dalam Revolusi Julai pada tahun 1830 diculik oleh pemerintahan Dinasti Orléan dan pemberontakan republikan di Paris pada bulan Jun 1832 dipatahkan malah dilupakan ramai orang, semangat perjuangan rakyat Perancis untuk idea-idea republikan dan pembaharuan masyarakat tetap sukar dipadamkan. Bunga api, yang tertinggal daripada kegagalan Revolusi Julai pada tahun 1830 untuk memajukan institusi republik dan pematahan pemberontakan republikan pada tahun 1832, terus membara sehingga mencetuskan revolusi yang lebih hebat lagi pada tahun 1848.

Pengajaran daripada Revolusi 1830
Gelombang revolusi yang melanda pada tahun 1830 merupakan lanjutan momentum Revolusi Perancis 1789 yang belum selesai (malah nampaknya diterbalikkan dengan pemulihan Dinasti Bourbon walaupun Ancien Régime tidak dapat dikembalikan lagi) dalam suasana dominasi kekuasaan konservatif di seluruh benua Eropah. Dua aliran pemikiran yang saling bersilang, liberalisme dan nasionalisme, telah menjadi penggerak ideologi utama dalam gelombang revolusi pada tahun 1830.
Gelombang Revolusi 1830 merupakan respon rakyat terhadap pemerintahan monarki yang reaksioner, dengan rakyat yang memberontak itu menuntut kebebasan politik yang lebih besar dan hak untuk menentukan nasib sendiri bagi sesebuah bangsa. Gelombang revolusi yang dicetuskan oleh pergolakan hebat pada bulan Julai 1830 di Perancis itu, telah merebak ke negara-negara Eropah yang lain. Namun, hanya Revolusi Julai di Perancis, Revolusi Belgium dan Ustertag di Switzerland mencapai kejayaan yang ketara, manakala gerakan revolusioner di negara-negara lain seperti Poland dan Itali dipatahkan oleh kekuasaan konservatif.

Revolusi 1830 boleh dikatakan gelombang revolusi nationalis romatik yang membawa kepada pembentukan pemerintahan raja berperlembagaan yang dikenali sebagai “monarki popular” (atau “raja rakyat”), dengan Louis Philippe I menjadi “Raja rakyat Perancis” dan Leopold I menjadi “Raja warga Belgium”. Nasionalisme romantik merujuk pada ideologi nasionalis yang menekankan perpaduan bangsa yang berasaskan bahasa, kebudayaan, etnik, agama, tradisi, adat istiadat dan warisan sejarah yang dikongsi bersama. Nasionalisme romantik sering mengidealkan masa lalu sesebuah bangsa untuk memupuk identiti bangsa yang merdeka. Di Poland dan Itali, di mana revolusi itu tidak berjaya, ia meninggalkan warisan perjuangan nasional yang menjadi perintis kepada kemerdekaan kedua-dua negara itu.
Sebenarnya, terdapat dua revolusi yang berlaku serentak semasa Revolusi Julai di Perancis. Salah satunya ialah revolusi dalam kalangan golongan elit liberal monarkis-perlembagaan melalui perbahasan parlimen, petisyen dan ucapan yang penuh bersemangat, dengan tuntutan membawa pembaharuan liberal kepada sistem raja berperlembagaan. Yang satu lagi ialah revolusi di jalanan yang melibatkan pendirian benteng pertahanan jalanan dan pertempuran hebat dengan jentera keganasan negara, dengan tuntutan republikan yang lebih radikal. Kebangkitan massa rakyat yang bertempur di jalanan itulah yang menjatuhkan pemerintahan Dinasti Bourbon di Perancis. Namun, golongan elit liberal monarkis-perlembagaan, yang bimbang dengan tindakan revolusioner massa di jalanan itu di luar kawalan dan menjatuhkan keseluruhan sistem monarki, mengangkat Louis Philippe I yang nampaknya lebih liberal sebagai raja baharu untuk mematahkan momentum Revolusi Julai dan mencegah revolusi itu menuju ke arah yang lebih radikal.

Dalam erti kata lain, Revolusi Julai yang tercetus kerana kebangkitan massa rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan monarki Dinasti Bourbon itu diculik oleh golongan elit liberal monarkis-perlembagaan untuk menggantikan pemerintahan Dinasti Bourbon itu dengan sayap Dinasti Bourbon yang nampaknya lebih liberal. Walaupun terdapatnya pembaharuan semasa pemerintahan Monarki Julai, ia masih tidak memadai dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas dan demokratik.
Walaupun bilangan warga Perancis yang layak untuk mengundi telah dilipatgandakan semasa pemerintahan Monarki Julai yang melonggarkan syarat pemilikan harta untuk pengundi, peratusan rakyat yang layak untuk mengundi masih agak kecil. Sebelum Revolusi Julai, hanya kira-kira 100,000 orang daripada sejumlah 32 juta orang penduduk Perancis berhak untuk mengundi, iaitu kira-kira 0.3% daripada jumlah penduduk; selepas Revolusi Julai, bilangan pengundi yang layak meningkat kepada kira-kira 200,000 orang, walaupun dua kali ganda berbanding sebelum itu, ia hanya kira-kira 0.6% daripada jumlah penduduk. Hanya golongan lelaki yang memiliki harta layak untuk mengundi, maka majoriti pekerja, petani dan malah sesetengah golongan kelas menengah masih tidak layak mengundi. Lebih-lebih lagi, golongan wanita masih dinafikan hak untuk mengundi. Wanita di Perancis hanya dapat mengundi lebih satu abad kemudian pada tahun 1945 selepas Perang Dunia II.

Pembaharuan liberal merupakan tuntutan yang cuba dibawa oleh golongan elit yang menerajui gerakan revolusioner di kebanyakan tempat di Eropah pada tahun 1830. Liberalisme yang diperjuangkan oleh golongan revolusioner pada masa itu merupakan “liberalisme kelas menengah”. Tuntutan-tuntutan liberal daripada kelas menengah di Eropah pada masa itu termasuklah kerajaan berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, kebebasan sivil, kebebasan akhbar, demokrasi berparlimen, perluasan hak mengundi (tetapi masih tidak menyeluruh), perlindungan hak harta persendirian dan sebagainya. Demokrasi yang diperjuangkan oleh golongan elit liberal (seperti golongan Orléaniste di Perancis) pada masa itu merupakan demokrasi borjuis yang melindungi kepentingan kelas kapitalis daripada ancaman bangsawan lama. Mereka takut pada revolusi yang lebih radikal, seperti yang dibawa oleh golongan kelas menengah dan bawahan yang mendirikan bentang jalanan semasa “Tiga Hari yang Mulia”. Walau bagaimanapun, idea-idea untuk pembaharuan yang lebih radikal, seperti kesamarataan ekonomi dan perluasan kuasa politik kepada lapisan masyarakat yang lebih meluas, sudah bertumbuh dalam minda sesetengah golongan revolusioner. Hanya masa belum sampai lagi untuk tuntutan-tuntutan radikal itu direalisasikan melalui perjuangan massa yang lebih teratur dan hasilnya tidak diculik oleh golongan elit politik yang oportunis.
Gelombang revolusi pada tahun 1830 menunjukkan potensi kejayaan dan kelemahan pemberontakan revolusioner yang diterajui oleh golongan borjuis yang berfahaman liberal dan nasionalis. Walaupun revolusi yang diterajui oleh golongan elit borjuis liberal dan nasionalis itu boleh menyingkirkan sesetengah pemerintah yang reaksioner, kemungkinan besar ia hanya membentuk rejim baharu yang melindungi kepentingan kelas borjuis yang kaya, bukannya memajukan usaha pembaharuan demokratik yang lebih radikal atau membela nasib rakyat pekerja bawahan.
Walau bagaimanapun, gelombang revolusi pada tahun 1830 sekali lagi menunjukkan bahawa mobilisasi massa, terutamanya penggabungan massa daripada pelbagai lapisan masyarakat, boleh menjatuhkan sesebuah rejim yang tidak mendapat sokongan rakyat. Pemerintahan Bourbon yang dipulihkan di Perancis jatuh dalam tempoh tiga hari sahaja kerana kebangkitan kuasa rakyat yang ditunjukkan dalam aksi protes massa, penentangan bersenjata dan benteng-benteng jalanan yang didirikan di bandar Paris.

Gelombang pemberontakan rakyat yang melanda Perancis, Belgium, Poland, Itali dan sebahagian negeri dalam Konfederasi Jerman pada tahun 1830 mencerminkan kebangkitan nasionalisme sebagai ideologi politik dan kuasa revolusioner yang penting dalam menggerakkan perjuangan masyarakat. Perjuangan pembebasan nasional boleh menjadi penggerak penting kepada revolusi masyarakat.
Pemberontakan rakyat yang hebat tidak semestinya menjamin kejayaan revolusi, lebih-lebih lagi jika gerakan revolusioner perlu berhadapan dengan kuasa pemerintahan lama yang mempunyai kekuatan tentera dan jentera keganasan negara yang hebat. Di Perancis, oleh sebab kebanyakan pemimpin tentera enggan mematahkan revolusi, malah adanya Pengawal Kebangsaan yang masih berpegang teguh pada semangat patriotik nasionalis bertempur untuk pihak revolusioner, maka Revolusi Julai berjaya. Di Poland dan Itali, revolusi di situ terpaksa berhadapan dengan kerajaan reaksioner yang mempunyai kelebihan ketenteraan yang jauh lebih besar.

Gelombang revolusi pada tahun 1830 juga mendedahkan batasan revolusi yang dipimpin oleh kelas borjuis. Pembaharuan yang diperjuangkan oleh kelas borjuis yang kaya itu hanya untuk melindungi kepentingan sosioekonomi kapitalis perindustrian, perdagangan, komersial dan perbankan, bukannya membawa kesejahteraan kepada kelas bawahan yang menyumbangkan tenaga buruh dalam penjanaan keuntungan kapitalis. Oleh itu, selagi tiadanya kepimpinan kelas pekerja yang kuat untuk menerajui usaha perjuangan, revolusi borjuis sentiasa gagal membawa perubahan masyarakat yang sebenar, malah hanya melindungi kepentingan kelas pemerintah yang baharu. Namun, kelas pekerja masih baharu muncul pada awal abad ke-19, dan tiadanya lagi organisasi revolusioner yang disusun dengan tujuan jelas untuk membangunkan kuasa kelas pekerja pada masa itu.
Oleh sebab kebanyakan pemberontakan itu tercetus secara spontan dan tidak mempunyai kepimpinan revolusioner yang berpusat, jika pemberontakan itu berjaya pun, hasil kejayaannya sering diambil alih oleh kuasa yang lebih konservatif atau mereka yang tidak mahu mengubah sistem secara keseluruhan. Gerakan revolusioner memerlukan organisasi yang kuat, kepimpinan politik yang jelas dan strategi jangka masa panjang untuk mendapatkan kejayaan yang berkekalan. Tanpa organisasi revolusioner yang dapat bertahan dan berterusan, gerakan revolusioner boleh dipatahkan oleh kuasa kontra-revolusi yang lebih kuat. Ini adalah salah satu tugasan penting yang sentiasa perlu disempurnakan oleh mana-mana golongan revolusioner dalam mana-mana revolusi di dunia.

Satu revolusi memberi inspirasi kepada revolusi lain
Setiap revolusi boleh memberi inspirasi kepada revolusi yang lain. Revolusi Julai pada 1830 di Perancis merupakan lanjutan semangat revolusioner yang lahir dalam kebangkitan revolusioner yang hebat di negara itu empat dekad sebelum itu. Golongan elit liberal yang sebenarnya agak konservatif hanya mahu mengembalikan apa yang dicapai dalam Revolusi 1789, sementara golongan yang lebih radikal ingin melanjutkan apa yang dimulakan dalam Revolusi 1792. Revolusi Julai di Perancis juga memberi inspirasi kepada revolusi lain pada tahun yang sama, seperti yang tercetus di Belgium, Switzerland, Poland dan Itali.
Walaupun Revolusi 1830 tidak dapat mencapai perubahan yang benar-benar menghancurkan susunan kekuasaan yang konservatif di Eropah pada masa itu, ia telah menanam benih baharu dan terus memberi inspirasi kepada gelombang revolusi selepasnya. Revolusi 1830 merupakan raptai kepada gelombang revolusi yang lebih hebat di Eropah 18 tahun kemudian…
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========
Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia: