
oleh Suresh Balasubramaniam
Di Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) telah memulakan langkah untuk menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). RUUPIN ialah rangka kerja undang-undang untuk menyelaraskan pembangunan negara selaras dengan sasaran iklim global, iaitu mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
Namun, sebagai rakyat Malaysia, patutkah kita menerima langkah-langkah kosmetik seperti perdagangan karbon yang mungkin mengaburkan semangat sebenar pelepasan karbon sifar bersih? Atau adakah kita harus menuntut tindakan realistik yang akan memberikan manfaat kepada alam sekitar dan generasi akan datang?
Pelepasan sifar bersih bermaksud jumlah gas berbahaya yang dikeluarkan ke udara, seperti karbon dioksida, diseimbangkan dengan jumlah yang sama diserap dari udara. Ini boleh dilakukan dengan menanam lebih banyak pokok yang menyerap karbon. Perkara utama ialah untuk memastikan pencemaran udara tidak bertambah. Ini akan membantu dalam melambatkan pemanasan global dan melindungi planet daripada perubahan iklim yang melampau.
Perdagangan karbon pula seperti pasaran untuk pencemaran. Kerajaan akan menetapkan had pencemaran (seperti jumlah karbon dioksida yang boleh dilepaskan). Had pencemaran akan diukur bagi setiap industri melalui sejumlah “tiket”, yang membolehkan mereka terus mencemar alam sehingga “tiket” industri tersebut habis digunakan. Jika pencemaran daripada sebuah industri adalah kurang, ia boleh menjual “tiket” lebihannya kepada industri lain yang perlu terus mencemar alam. Dengan membeli lebih banyak “tiket”, industri secara asasnya boleh “membeli jalan keluar” tanpa menangani masalah sebenar pencemaran. Akibatnya, pencemaran sebenarnya tidak akan berkurang.
Jadi, apa masalah dengan RUUPIN? Yang pertama, usaha untuk menggubal undang-undang ini nampaknya telah diserahkan kepada satu entiti swasta, Deloitte Malaysia. Perlu dinyatakan di sini bahawa Deloitte PLT telah dikenakan penalti sebanyak RM2.2 juta pada tahun 2019 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana gagal melaporkan segera kepincangan Program Sukuk Murabahah melibatkan wang sebanyak RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB. Bukankah rangka kerja penting untuk masa depan negara ini perlu dikendalikan oleh sebuah entiti yang berintegriti dan telus?
Perdagangan karbon lawan cukai karbon
Yang kedua, RUUPIN nampaknya cenderung untuk menghalalkan perdagangan karbon. Pada bulan November 2024, Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan komen dan cadangan mengenai RUUPIN, menekankan keperluan pendekatan strategi iklim secara holistik berbanding mekanisme berasaskan pasaran.
Di bawah RUUPIN, perdagangan karbon lebih kepada memberikan laluan mudah kepada industri untuk mencemar, bukannya mengatasi masalah pencemaran di puncanya. Industri hanya perlu membeli “tiket” pencemaran. Selain itu, perdagangan karbon membenarkan syarikat untuk mendakwa diri mereka mesra alam dengan membeli hutan di negara kurang maju dan melabelkan itu sebagai pencapaian pelepasan sifar bersih.
RUUPIN cuba menghalalkan amalan ini dengan mencipta satu kitaran berbahaya di mana negara-negara kaya terus mencemarkan tanpa kawalan sambil menukarkan sumber semula jadi yang penting di negara kurang maju kepada aset yang boleh diperdagangkan. Ini bukannya penyelesaian isu alam sekitar yang realistik, malah juga mengeksploitasi ketidaksamaan global.
BAKO mendapat tahu daripada kawan-kawan Orang Asli di Bidor, Perak, bahawa sudah adanya wakil industri luar negara hadir berbincang untuk “mengajar” mereka tentang cara menjaga hutan. Ini adalah kerana industri ini akan terus mencemar alam sekitar dengan alasan ia telah memiliki/menjaga satu kawasan hutan di negara-negara Selatan Global.
Penentangan BAKO terhadap perdagangan karbon berdasarkan pada kepercayaan bahawa tindakan iklim yang sebenar memerlukan perubahan struktur dan bukannya penyesuaian pasaran. Salah satu pendekatan adalah melalui pengenalan cukai karbon, iaitu dasar yang memberikan kos yang boleh diramal kepada pencemar dan menjana pendapatan untuk inisiatif iklim negara. Pendekatan ini memastikan industri memberi keutamaan kepada pengurangan pelepasan sebenar. Pendapatan daripada cukai karbon boleh digunakan untuk membiayai projek tenaga boleh diperbaharui, pemulihan ekosistem, mewujudkan lebih banyak pekerjaan hijau, dan inisiatif-inisiatif mampan yang lain.
Apakah itu CCUS dan apa kaitannya dengan RUUPIN?
Yang ketiga ialah CCUS (Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon), satu teknologi canggih yang seolah-olah memberikan harapan tetapi kurang berjaya dalam realiti. CCUS merupakan salah satu tonggak utama RUUPIN yang mengalihkan perhatian daripada penyelesaian yang terbukti berjaya seperti tenaga boleh diperbaharui.
CCUS berfungsi dengan menangkap karbon dioksida sebelum ia dilepaskan ke udara dan menyimpannya di bawah tanah atau menggunakannya semula. Namun, teknologi ini masih baharu, sangat mahal, dan seringkali gagal mencapai hasil yang dijanjikan.
CCUS sering dikhabarkan sebagai “teknologi penyelamat”. Ia digambarkan sebagai satu penyelesaian futuristik yang boleh menyelamatkan Bumi dengan menangkap pelepasan karbon berbahaya sebelum ia sampai ke udara. Idea utamanya ialah industri boleh terus beroperasi seperti biasa sementara CCUS membersihkan pencemaran secara senyap, memberikan lebih banyak masa untuk industri beralih kepada tenaga yang lebih bersih.
Walaupun idea ini berbunyi bijak, tetapi cerita sebenarnya tidaklah sebegitu seindah. Jika anda mahu tahu bagaimana cerita CCUS akan berkisar, carilah sahaja di Google tentang projek-projek di bawah dan anda boleh membaca sendiri.
- Projek Penangkapan Karbon Boundary Dam (Kanada)
- Projek Gorgon Carbon Capture and Storage (Australia) oleh Chevron
- Kemudahan Pemprosesan Gas Shute Creek (Amerika Syarikat) oleh ExxonMobil
- Kebocoran Gas Aliso Canyon (Amerika Syarikat)
- Projek Penangkapan Karbon Petra Nova (Amerika Syarikat)
Syarikat tempatan PETRONAS sedang membelanjakan lebih RM3.5 bilion untuk projek CCUS di Bintulu, Sarawak, yang bertujuan untuk mengimbangi pelepasan karbon daripada pelantar minyaknya di kawasan tersebut. Walaupun Projek CCUS Kasawari ini akan mencipta peluang pekerjaan dan menyokong ekonomi, keputusan untuk melaburkan jumlah wang yang begitu besar dalam teknologi yang belum terbukti itu menimbulkan kebimbangan. Mengapa PETRONAS tidak memberi tumpuan kepada penyelesaian hijau yang lebih mantap seperti tenaga angin atau gelombang, yang boleh memberikan impak pengurangan pelepasan yang lebih lama dan boleh dipercayai?
Pembiayaan untuk CCUS dan kenderaan klektrik (EV) persendirian?
Yang keempat, fokus penubuhan Dana Iklim Kebangsaan, yang bertujuan untuk membantu Malaysia dalam mencapai matlamat iklimnya, perlu beralih. RUUPIN seharusnya mengutamakan pelaburan dalam teknologi dan inovasi yang benar-benar bersih, seperti tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, dan elektrifikasi pengangkutan awam. Perlu diingat bahawa CCUS atau kenderaan elektrik (EV) persendirian tidak sepatutnya menjadi fokus dana ini. Membiayai EV persendirian bukanlah cara terbaik untuk menangani pelepasan karbon atau mencipta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Perundingan awam dan adakah pandangan kritis yang lantang disisihkan?
Slaid pembentangan semasa sesi perundingan oleh Menteri NRES pada 7 Januari 2025 mendedahkan hasrat kerajaan untuk menjadikan perdagangan karbon dan CCUS sebagai teras kerangka RUUPIN. Ia menyatakan keperluan untuk mewujudkan undang-undang bagi mekanisme seperti perdagangan karbon dan ketelusan data. Walaupun pemain industri akan mendapat manfaat daripada mekanisme fleksibel seperti pasaran karbon sukarela, langkah ini akan lebih menguntungkan syarikat korporat berbanding komuniti. Perdagangan karbon berisiko menjejaskan kemajuan yang bermakna bagi Malaysia dengan membenarkan pendekatan “urusan-seperti-biasa”.
Daripada memberi tumpuan kepada penyelesaian sebenar, RUUPIN lebih menumpukan kepada perdagangan karbon dan ketelusan data, yang sepatutnya berjalan seiring dalam usaha menangani perubahan iklim. Perdagangan karbon membolehkan syarikat-syarikat membeli dan menjual “tiket” untuk mencemarkan alam sekitar, berdasarkan jumlah karbon yang dilepaskan oleh mereka ke udara. Namun, untuk sistem ini berfungsi dengan adil dan berkesan, ketelusan data adalah sangat penting, dan pembentangan pada 7 Januari 2025 memberi penekanan terhadap perkara ini. Maklum balas tentang cara menyediakan maklumat yang jelas, jujur dan mudah diakses mengenai jumlah pencemaran yang dihasilkan oleh setiap industri diberi keutamaan.
Walaupun BAKO telah memberikan komen dan cadangan kepada draf RUUPIN, BAKO dan beberapa kumpulan lain telah dikecualikan daripada sesi perundingan pada 7 Januari 2025. Kami tertanya-tanya sama ada pengecualian ini adalah usaha sengaja untuk mengetepikan penentangan kritis yang lantang terhadap perdagangan karbon. Pembentangan perundingan itu dilihat lebih memihak kepada industri besar berbanding organisasi akar umbi dan komuniti yang terpinggir.
Kesimpulan
Perdebatan mengenai RUUPIN menekankan kepentingan untuk membentuk rangka kerja iklim yang benar-benar menangani punca utama masalah alam sekitar. Walaupun perdagangan karbon dan CCUS dikatakan sebagai penyelesaian inovatif, namun ia berisiko kerana membenarkan industri untuk terus mencemar di bawah topeng kelestarian. Daripada bergantung pada mekanisme pasaran yang menguntungkan industri, Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada strategi yang terbukti seperti tenaga boleh diperbaharui, cukai karbon, dan revolusi struktur yang mengutamakan rakyat dan planet. Perdagangan karbon adalah cara untuk membiarkan industri untuk terus mencemarkan, tetapi di mata orang awam, ia digambarkan sebagai tindakan yang bermakna. Inilah yang dikatakan sebagai acah hijau (greenwashing).
==========
Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.