Dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan berlangsung tidak lama lagi. Walaupun kecewa dengan pembubaran Parlimen yang tergesa-gesa ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah bersedia untuk menghadapi PRU-15 ini dengan sasaran bertanding di beberapa kerusi.

Berikutan pembubaran Parlimen, Jawatankuasa Pusat PSM telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada 10 Oktober 2022 juga, untuk membincangkan beberapa perkara. Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM merangkap Pengarah Biro Pilihan Raya PSM, PSM kecewa bahawa Parlimen dibubarkan dalam tempoh masa kurang daripada 3 hari selepas pembentangan Bajet 2023.

“Ini ialah satu penghinaan kepada demokrasi parlimen kita,” begitu katanya Arutchelvan. “Pilihan raya umum pada masa ini juga akan membawa gangguan hebat kepada usaha dan sumber yang diperlukan untuk menghadapi kecemasan musim monsun.”

Mengkomen tentang soalan daripada pihak media mengenai kerusi yang akan ditandingi oleh PSM, Arutchelvan berkata, “Ini akan ditentukan sama ada kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) itu berjaya dibentuk atau tidak. Sejak pertemuan kami dengan jawatankuasa PH pada 30 September 2022, kami masih belum lagi mendengar apa-apa keputusan rasmi daripada jawatankuasa tersebut yang mengatakan bahawa mereka akan melaporkan kepada Majlis Presiden PH.”

“Namun begitu, PSM telah mengemukakan permintaan yang sangat munasabah dan minimum kepada PH. Selain bersetuju dengan penggunaan logo bersama, kami telah meminta untuk Pengerusi PSM, Dr. Jeyakumar Devaraj, bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput sementara kerusi-kerusi lain yang diminta ialah kerusi yang tidak disandang oleh mana-mana satu daripada empat parti komponen dalam PH.” Dr. Jeyakumar Devaraj pernah menyandang jawatan Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal dari tahun 2008 hingga 2018. PSM bertanding dengan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 2004, 2008 dan 2013 di Sungai Siput hasil daripada persetujuan kerjasama pilihan raya dengan parti pembangkang pada masa itu.

Arutchelvan juga mengatakan bahawa PSM akan mengadakan satu bengkel latihan untuk calon-calonnya yang berpotensi dan pengarah-pengarah kempen di kawasan-kawasan pilihan raya pada 15 Oktober 2022.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa pada 17 Oktober 2022, Gabungan Marhaen akan mengemukakan tuntutan-tuntutan masyarakat akar umbi yang ditujukan kepada semua parti politik yang akan bertanding dalam PRU-15.

One thought on “PSM hendak tanding di Sungai Siput dan beberapa lagi kerusi dalam PRU-15

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *