oleh Biro Kajian Dasar Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menganjurkan satu forum yang bertajuk “Bagaimana menjaga kebajikan rakyat dengan bajet defisit dan hutang RM1 trilion?” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 29 September 2022. Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, menerangkan bahawa dengan pengumuman Belanjawan semakin dekat, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan perniagaan mengemukakan cadangan-cadangan mereka dan permintaan untuk dana bagi program-program tertentu. Dr. Kumar telah menyenaraikan beberapa program yang dituntut oleh PSM dalam kempen “Rakyat Minta Lima” yang dilancarkan sejak tahun lalu.

Program yang dituntut oleh PSMAnggaran kos setahun
Pencen sejagat untuk mereka yang berumur 65 tahun ke atasRM12 bilion
Peningkatan dalam Belanjawan untuk Kementerian KesihatanRM8 bilion
Pembinaan 100,000 buah rumah PPR setahunRM8 bilion
Pengangkutan awam berasaskan bas di seluruh negaraRM5 bilion
Program untuk memulihkan / menaik taraf hutan, sungai dan sistem pembuangan sisa domestikRM5 bilion
Pendidikan tinggi yang percuma sehingga ijazah pertamaRM10 bilion

Dr. Kumar berkata bahawa jumlah kos yang dianggarkan untuk 6 program yang disenaraikan ini mencecah RM48 bilion. Beliau kemudian menerangkan bahawa anggaran perbelanjaan dalam Belanjawan 2022 ialah RM332 bilion berbanding anggaran pendapatan RM234 bilion, menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM98 bilion yang perlu ditampung oleh bon-bon terapung untuk jumlah wang itu. Beliau juga mengatakan bahawa hutang Kerajaan Persekutuan pada bulan Disember 2021 ialah pada tahap RM995 bilion, dan RM110 bilion daripada hutang itu akan matang dalam tahun 2022 dan perlu dibayar balik (dengan mengapungkan bon-bon baharu untuk jumlah wang itu).

Memandangkan hakikat bahawa jumlah bayaran khidmat hutang negara kita adalah lebih kurang RM43 bilion untuk tahun 2022 (satu angka yang lebih besar berbanding Belanjawan Kementerian Kesihatan yang berjumlah RM32 bilion!), maka adalah tidak hairan bahawa kerajaan enggan memberi komitmen kepada program-program perlindungan sosial yang baharu. Dr. Kumar berkata bahawa maka adalah sangat penting untuk masyarakat sivil juga mengalihkan pemikirannya kepada persoalan bagaimana pelbagai program dan projek yang kita tuntut itu boleh dibiayai. Ini merupakan fokus utama perbincangan dalam Forum pada 29 September 2022.   

Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Segambut.

Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Segambut, ialah ahli panel yang pertama dalam Forum ini. Beliau mengemukakan 2 idea utama. Beliau berkata bahawa terdapat banyak program kebajikan yang dijalankan oleh pelbagai kementerian. Hanya 10% daripadanya dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Oleh itu, terdapat banyak pertindihan dan pembaziran. Beliau mencadangkan supaya mewujudkan satu pangkalan data kebangsaan untuk semua penerima program kebajikan, supaya bantuan dapat disasarkan dengan lebih efisien. Perkara kedua yang dibangkitkan oleh Hannah Yeoh ialah hakikat bahawa perbelanjaan kerajaan sering meningkat secara ketara melalui cara kontrak disubkontrakkan kepada vendor-vendor lain. Ini juga membawa kepada banyak pembaziran. Daripada jumlah anggaran perbelanjaan RM332 bilion untuk tahun 2022, RM30.4 bilion dianggarkan untuk pembelian barangan dan perkhidmatan, sementara RM77.6 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan – jumlahnya RM108 bilion. Menurut Dato’ Hussamuddin Yaacub daripada Rasuah Busters, lebih kurang 30% daripada 2 kategori perbelanjaan ini dibazirkan kerana kenaikan harga yang berlebihan. Ini mencecah jumlah lebih kurang RM32 bilion untuk tahun 2022 – lebih daripada mencukupi untuk membiayai Skim Pencen Hari Tua, pelbagai program penghijauan alam sekitar dan pendidikan percuma sehingga peringkat tertiari.

Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM.

Dr. Kumar ialah ahli panel kedua yang berucap, dan dia menyentuh tentang keperluan untuk menangani masalah perlumbaan ke bawah dalam cukai korporat yang sedang diamalkan oleh negara-negara ASEAN sekarang ini. Beliau mengatakan bahawa cukai korporat di Malaysia ialah 40% daripada keuntungan syarikat pada tahun 1980-an. Namun, kadar cukai korporat telah menurun kepada 24% daripada keuntungan kerana Malaysia sedang bersaing dengan negara-negara jirannya di ASEAN untuk menarik pelaburan, kedua-dua pelaburan domestik dan pelaburan asing (FDI). Kadar cukai korporat Thailand ialah 20% daripada keuntungan syarikat sementara Singapura ialah pada kadar 17%. Dr. Kumar berkata bahawa jika Malaysia meningkatkan cukai korporatnya kepada 30% secara unilateral, adalah berkemungkinan bahawa pelaburan baharu akan berkurangan dan Malaysia akan gagal dalam mewujudkan pekerjaan yang mencukupi untuk orang muda yang memasuki pasaran pekerjaan. Oleh itu, penyelesaiannya adalah meningkatkan cukai korporat secara bersama-sama dengan negara-negara ASEAN yang lain. Beliau mencadangkan bahawa Malaysia patut mula berbincang dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk menerima satu skim untuk meningkatkan kadar cukai korporat mereka secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun akan datang supaya mencapai kadar cukai korporat sebanyak 30% daripada keuntungan syarikat. Dalam erti kata lain, Thailand perlu meningkatkan kadar cukai sebanyak 1% setiap tahun, sementara Malaysia perlu meningkatkan kadar cukai korporatnya sebanyak 0.6% setiap tahun. Peningkatan dalam kutipan cukai ini bukan sahaja membolehkan negara-negara ASEAN untuk memperkukuhkan perlindungan sosial bagi rakyat mereka, malah juga akan meningkatkan permintaan agregat, sekali gus menjana peluang baharu untuk perniagaan. Ini merupakan keadaan menang-menang untuk semua negara, tetapi ia memerlukan sedikit masa untuk merundingkan pendekatan sebegini.

Idea kedua yang dikemukakan oleh Dr. Kumar ialah kerajaan perlu mewajibkan rakyat yang hendak membeli kereta baharu untuk membeli permit. (Singapura melelong permit ini pada masa kini!) Harga permit ini perlu berkadar dengan saiz enjin kereta. Pada masa kini, lebih kurang 500,000 kereta baharu dibeli oleh warga Malaysia setiap tahun. Pada harga purata RM30,000 setiap permit, skim permit ini akan menjana pendapatan sebanyak RM15 bilion setahun. Jumlah ini lebih daripada mencukupi untuk memulakan program bercita-cita tinggi dalam membekalkan sistem pengangkutan awam berasaskan bas elektrik di seluruh negara dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui untuk membekalkan elektrik yang diperlukan oleh bas-bas ini. Program sebegini akan mempunyai banyak “kesan luaran” – pengurangan kesesakan lalu lintas di jalan raya kita dan pengurangan pembinaan jalan raya yang tidak habis-habisan, pengurangan dalam pelepasan gas rumah hijau, pengurangan dalam keperluan untuk membeli kereta, dan pembangunan dalam 2 perusahaan baharu, iaitu pembuatan bas elektrik dan pembangunan kemudahan tenaga boleh diperbaharui.

Idea ketiga yang dikemukakan oleh Dr. Kumar ialah “Pengewangan Hutang” (Debt Monetization). Ini melibatkan penjualan bon-bon kerajaan kepada Bank Negara pada kadar faedah yang sangat rendah (mungkin 0.1% berbanding dengan 4.3% yang kini kita bayar kepada pelabur-pelabur swasta yang membeli bon-bon kerajaan). Ini akan memberikan kerajaan dana tambangan untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial tanpa meningkatkan beban khidmat hutang. Namun begitu, Dr. Kumar memberi amaran bahawa modus pengumpulan dana ini harus digunakan secara bijak (mungkin dihadkan pada RM50 bilion pada mulanya) kerana ia mungkin akan memberi tekanan ke atas Ringgit Malaysia, disebabkan untuk setiap ringgit tambahan orang awam Malaysia membelanja, harga import naik sebanyak 30 sen. Peningkatan Ringgit Malaysia dalam pasaran kewangan antarabangsa akan cenderung untuk menekan kadar pertukaran ringgit. Ia mungkin juga mempunyai kesan dalam peningkatan kos peminjaman kerana pelabur-pelabur dalam bon-bon kerajaan Malaysia akan mengambil kira kemungkinan penyusutan nilai mata wang ringgit dan nilai pelaburan mereka turut menyusut. Dr. Kumar mencadangkan bahawa modus ini dikaji dan digunakan secara berhati-hati untuk meningkatkan dana bagi perlindungan sosial.

Dr. Muhammad Khalid, penyelidik dan penulis.

Dr. Muhammad Khalid, penyelidik dan penulis buku “The Colour of Inequality”, ialah ahli panel yang terakhir. Beliau menerangkan bahawa sistem subsidi yang tidak bersasar sekarang ini lebih memanfaatkan golongan T20 (20% terkaya dalam kalangan populasi Malaysia) berbanding golongan bawahan 40% (B40). Subsidi petrol dianggarkan sejumlah RM30 bilion untuk tahun 2022. Dr. Muhammad mengatakan bahawa golongan T20 yang cenderung untuk melakukan perjalanan lebih banyak dan juga menggunakan kereta besar mendapat manfaat yang tidak seimbang berbanding isi rumah yang lebih miskin. Beliau mencadangkan subsidi bersasar menggunakan pangkalan data yang kerajaan ada pada masa kini supaya subsidi dapat pergi hanya kepada keluarga yang lebih miskin. Misalnya, keluarga B60 (60% keluarga yang termiskin) boleh diberikan pemindahan wang tunai RM200 sebulan untuk membiayai kos petrol mereka tetapi harga pam petrol dibenarkan untuk mencerminkan harga pasaran – pada masa kini lebih kurang RM4 per liter. Langkah ini akan menyaksikan kerajaan membayar sebanyak RM12 bilion sebagai subsidi petrol kepada keluarga B60, di mana ia adalah jauh lebih rendah berbanding RM30 bilion yang akan dibelanjakan pada tahun ini – penjimatan sebanyak RM18 bilion.

Dr. Muhammad Khalid juga berkata bahawa cukai tidak patut dikurangkan. Namun, beliau menegaskan bahawa sektor yang lebih miskin tidak harus dikenakan cukai. Dalam erti kata lain, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak harus diperkenalkan semula kerana ia merupakan cukai yang regresif. Keluarga yang lebih miskin membayar kadar GST yang lebih tinggi kerana mereka membelanjakan semua pendapatan mereka sedangkan golongan T20 menyimpan atau melaburkan sebahagian besar daripada pendapatan mereka sekali gus mengurangkan kadar GST yang dibayar mereka.

Forum ini melontarkan 6 idea yang boleh diusahakan:

  • Satu pangkalan data kebangsaan untuk mengurangkan pertindihan dan juga memastikan semua orang yang memerlukan bantuan dimasukkan.
  • Pengurangan dalam pembaziran dan ketirisan (sekarang ini dianggarkan sebanyak RM32 bilion setahun).
  • Usaha di peringkat ASEAN untuk meningkatkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur – ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa.
  • Pengewangan hutang – dilakukan secara berhati-hati pada kadar RM30 bilion setahun.
  • Permit untuk membeli kereta – RM15 bilion setahun.
  • Subsidi bersasar – penjimatan sebanyak RM18 bilion daripada rasionalisasi subsidi petrol sahaja.

Berdasarkan idea-idea yang dilakarkan di atas, adalah jelas bahawa negara kita memang mempunyai pelbagai sumber dana yang boleh digunakan untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial. Apa yang kekurangan ialah visi politik dan kesungguhan politik untuk meneroka dan membangunkan dasar-dasar yang betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *