Pada penghujung tahun 2021 ini, marilah kita imbas kembali sepintas lalu sebahagian pergolakan politik dan sosio-ekonomi yang berlaku di dalam negara Malaysia sepanjang setahun yang lalu.

1. Pandemik COVID-19 berterusan

Negara Malaysia tidak dapat berkecuali daripada penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun yang lalu ini. Wabak COVID-19 yang mula merebak ke Malaysia sejak awal tahun 2020, telah berterusan sepanjang tahun 2021. Setakat ini, sudah lebih 2.7 juta kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul di Malaysia (antaranya lebih 2.6 juta kes sudah sembuh), dan meragut nyawa sebanyak 31,290 orang pesakit. Ini menjadikan negara Malaysia berada di tangga ketiga dari segi jumlah kes terkumpul dan angka kematian disebabkan COVID-19, berada di belakang Indonesia dan Filipina. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan semula di seluruh negara pada bulan Mei 2021 selepas jumlah kes jangkitan dan kematian harian COVID-19 semakin melonjak tinggi, dan kemudiannya ditingkatkan kepada “penutupan penuh” (total lockdown) mulai 1 Jun 2021, walaupun pelaksanaannya dikritik hanya “separuh masak”. PKP hanya dilonggarkan secara beransuran mulai bulan September 2021 selepas mencapai kadar pemvaksinan COVID-19 yang tinggi dalam kalangan populasi dewasa. Penularan wabak COVID-19 telah mendatangkan impak yang besar kepada kesihatan awam dan ekonomi negara Malaysia.

2. Darurat

Semasa Muhyiddin Yassin masih memegang jawatan Perdana Menteri, Darurat diisytihar pada 12 Januari 2021 atas alasan menangani wabak COVID-19, tetapi semua orang tahu bahawa ia hanyalah untuk Muhyiddin Yassin terus berkuasa dan menangguhkan kejatuhan kerajaan pimpinannya. Darurat tersebut tamat pada 1 Ogos 2021.

(foto: Vincent Thian/AP Photo)

3. Ismail Sabri gantikan Muhyiddin sebagai PM

Tekanan politik daripada pelbagai pihak dan pergelutan kuasa dalam Kerajaan Persekutuan akhirnya menyaksikan kejatuhan Kerajaan Perikatan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin. Muhyiddin meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021 selepas cubaannya untuk mendapat semula sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen menemui kegagalan. Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri ke-9 untuk memimpin sebuah kerajaan campuran yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah dan PN, dengan anggota kabinetnya tidak berbeza banyak dengan yang sebelum ini. Satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Ismail Sabri dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021 dengan persetujuan pilihanraya umum tidak akan diadakan sebelum 31 Julai 2022.

(foto: Lucas Yap)

4. Protes Lawan

Pengisytiharan Darurat oleh Kerajaan Persekutuan semasa Muhyiddin berkuasa sebagai Perdana Menteri, telah mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak. Sekretariat Solidariti Rakyat yang terdiri daripada beberapa organisasi rakyat dan parti politik telah menganjurkan pelbagai aksi protes untuk membantah kerajaan pimpinan Muhyiddin atas kegagalannya dalam menangani pelbagai masalah dalam negara. Walaupun menghadapi intimidasi daripada pihak berkuasa, hampir 2,000 orang turun berprotes pada 31 Julai 2021, dengan tuntutan Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, membuka sidang Parlimen yang penuh dan moratorium automatik dalam pembayaran balik pinjaman bank kepada rakyat jelata.

5. Hartal doktor kontrak

Ramai doktor turun berprotes dalam aksi di seluruh negara yang bergelar “Hartal Doktor Kontrak” pada 26 Julai 2021, walaupun menghadapi pelbagai tekanan dan ugutan daripada pihak atasan Kementerian Kesihatan. Doktor-doktor kontrak yang berprotes menuntut jaminan perlantikan tetap bagi para doktor kontrak, di samping gaji dan kebajikan yang samarata. Satu kempen protes atas talian yang bergelar “Kod Hitam” (Code Black) juga diadakan pada 1-12 Julai 2021 untuk menyatakan sokongan kepada tuntutan doktor-doktor kontrak untuk jaminan kerja.

6. Banjir

Hujan lebat yang berterusan di kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia pada bulan Disember 2021, mengakibatkan banjir yang teruk di kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Sekurang-kurangnya 46 orang mati terkorban dalam banjir kali ini. Kerajaan telah dikritik atas caranya menangani krisis banjir ini, termasuk kelambatan dalam merespon dan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa.

7. PRN Melaka dan Sarawak

Dua Pilihan Raya Negeri (PRN) telah diadakan dalam tahun 2021, dengan kedua-duanya menyaksikan kekalahan teruk bagi Pakatan Harapan (PH) yang pernah memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 2018. Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN Melaka, dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, walaupun peratusan undi yang diperolehnya hanya meningkat sedikit kepada 38.39%; PH hanya menang 5 kerusi; dan Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran di peringkat Persekutuan bersama BN dapat menang 2 kerusi. Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang besar dalam PRN Sarawak, dengan menawan 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan; Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi 4 kerusi; dan PH hanya memperoleh 2 kerusi.

8. Penyahwartaan dan pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyahwartakan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei 2021 dan hanya didedahkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada bulan Ogos 2021, mendapat bantahan hebat daripada masyarakat sivil, termasuk Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU). Selepas mendapat bantahan yang hebat, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan pada 8 September 2021 untuk mewartakan semula hutan simpan yang dinyahwartakan itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s