Kenyataan media oleh Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY)

Berkaitan tindak balas buruk terhadap banjir besar yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia ketika ini, Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) menuntut pada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mengutamakan ketahanan iklim bagi menangani isu kejadian cuaca ekstrim di negara kita dengan segera bersama dengan penyelesaian konkrit berpusatkan rakyat dan bukan penyelesaian palsu.

Laporan IPCC terbaharu menyatakan bahawa perubahan iklim “berleluasa, pesat dan semakin intensif” dan inilah yang kita lihat apa yang berlaku di Malaysia hari ini. Walau bagaimanapun, kita sangat tidak bersedia. Tidak melindungi rakyat dengan betul daripada kesan penuh bencana adalah pencabulan hak untuk hidup, kesihatan, makanan, air, tempat tinggal, persekitaran yang selamat dan sihat, dan mata pencarian.

Selain kesan daripada Taufan Rai, punca lain yang memburukkan lagi banjir di negara ini ialah:

  • Kehilangan berterusan kawasan tadahan air hujan akibat penebangan hutan oleh pembalakan (sama ada yang sah atau tidak sah);
  • Penyahwartaan hutan simpan dan penukaran kawasan itu kepada kawasan perladangan, perlombongan atau pembangunan bercampur;
  • Pembangunan yang dirancang dengan buruk tanpa penilaian kesan/risiko yang betul berhampiran hutan simpan yang menyebabkan pemecahan hutan;
  • Bandar yang telah dibina dengan kebolehtelapan yang rendah untuk menyerap hujan;
  • Perubahan dalam sistem pengurusan sungai daripada pembinaan terusan yang tidak dipantau dan kehilangan zon penampan dan garisan mundur akibat tekanan daripada industri pembangunan.

1. Kami tuntut supaya semua aktiviti di atas dihentikan segera.

2. Kami tuntut pada Kerajaan Malaysia untuk mengisytiharkan bencana ini sebagai “Bencana Negara” dan membenarkan penubuhan Suruhanjaya Khas untuk menyiasat secara rasmi bencana ini dan keberkesanan tindak balas sedia ada dan mengesyorkan pembaikan/pampasan kepada mereka yang terjejas akibat sebarang kecuaian daripada pihak kerajaan. Ahli Suruhanjaya Khas bebas ini mesti terdiri daripada saintis bebas dan pakar tempatan mengenai isu berkaitan banjir, wakil komuniti yang terjejas, NGO, pakar pengurusan pengurangan risiko bencana, ahli kesihatan profesional, dan pakar perancangan dan kemampanan bandar. Penemuan siasatan mesti dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen secepat mungkin pada tahun 2022, dan penerbitan itu boleh diakses oleh orang ramai.

3. Kami tuntut padaKerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mempercepatkan pembangunan Pelan Adaptasi Nasional (NAP) yang teguh dengan fokus pada daya tahan dengan sasaran yang jelas, perancangan senario masa depan dan peta pelaksanaan tindakan yang merangkumi semua kemungkinan (bukan sahaja kemungkinan yang dijangka) kesan krisis iklim secara holistik. Semua proses perundingan dengan kerajaan tempatan dan pihak berkepentingan bukan negeri mestilah telus, bermakna dan inklusif untuk memastikan pembinaan komponen daya tahan masyarakat yang merangkumi penempatan bandar dan luar bandar dan reka bentuk landskap, modal sosial, modal ekosistem, modal teknologi bandar dan luar bandar, dan kapasiti yang adaptif (yang menggabungkan DRRM).

4. Kami tuntut supaya Kerajaan Persekutuan menyegerakan Pelan Pengurangan Risiko Bencana Negara (DRRM) yang merangkumi permulaan latihan merentas sektor di seluruh negara dalam Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).

5. Kami tuntut penubuhan Unit Daya Tahan Komuniti berbilang pihak yang bebas untuk menyelia program seluruh negara untuk membina daya tahan masyarakat dalam semua faktor selain daripada pengurusan risiko bencana.

Kami juga berasa amat sedih dan kecewa dengan tindak balas yang perlahan dan tidak berkesan, tindakan menuding jari antara agensi dan kekurangan penyelarasan seluruh agensi kerajaan dalam menangani krisis banjir semasa ini. Kami juga sangat kecewa kerana kerajaan tidak mengakui krisis iklim sebagai satu KECEMASAN. Rakyat sudah sedar dan bersedia untuk peralihan yang adil, tetapi adakah pemimpin kita bersedia?

==========

Kenyataan ini turut disokong oleh organisasi-organisasi di bawah:

  1. Greenpeace Malaysia
  2. Malaysian Progressives in Australia (MPOZ)
  3. Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia – KAMY)
  4. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)
  5. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  6. Agora Society Malaysia
  7. AJ Rimba Collective
  8. Aliran
  9. Alliance of River Three
  10. Beach Cleanup
  11. Beach Cleanup Kedah
  12. Buku Jalanan Chow Kit
  13. CERAH – Anti Haze Action
  14. Dapur Jalanan Kuala Lumpur
  15. Disaster Management Basilica of St Anne
  16. Enlight Malaysia
  17. Gibbon Conservation Society
  18. IMAN Research
  19. Jaringan EkologI dan Iklim (JEDI)
  20. KotaKita
  21. Liga Rakyat Demokratik
  22. MyHutan
  23. National Association of Apex Clubs of Malaysia
  24. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
  25. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  26. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  27. ReformARTsi
  28. Say No To PJD Link
  29. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  30. SIUMAN (Rangkaian Solidariti Demokratik Pesakit Mental)
  31. Tindak Malaysia
  32. Undi Sabah
  33. Waroeng Baru
  34. Youth Build Nation (YBN)
  35. Youths United for Earth (YUFE)
  36. Youths.my

==========

Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) ialah sebuah gabungan yang dibentuk oleh organisasi-organisasi dan individu-individu yang prihatin pada isu perubahan iklim. GDIMY mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengisytihar Darurat Iklim, di samping melaksanakan pelan pelepasan gas rumah hijau rendah jangka panjang, pelan pembangunan berdaya tahan dan mampan yang menegakkan keadilan ekologi dan memperkasakan semua rakyat Malaysia untuk lebih berdaya tahan terhadap kesan krisis iklim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *