Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan Kongres Nasionalnya yang ke-23 secara atas talian pada 24 Oktober 2021. Kongres kali ini yang bertemakan “Tolak Politik Elit! PSM Membina Demokrasi Tulen Rakyat” telah dihadiri oleh lebih 100 orang perwakilan dari seluruh negara. Ini merupakan kali kedua PSM mengadakan kongres secara atas talian kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun 2020.

Semasa menyampaikan ucapan pembukaan Kongres PSM, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, berkata, “Kenapa kita tolak politik elit seperti dalam tema Kongres tahun ini? Ini kerana pada hari ini, kita adanya Pilihanraya Negeri di Melaka, pertukaran Perdana Menteri dan sebagainya, tetapi semuanya berlaku bukan atas permintaan rakyat tetapi oleh kerana kehendak elit politik. Kenapa kita hendak membawa demokrasi tulen rakyat? Ini kerana demokrasi yang sedia ada sudah dilacurkan, dan mandat rakyat tidak bermakna lagi.”

Arutchelvan memberi nasihat kepada ahli-ahli PSM supaya jangan hangat-hangat tahi ayam dalam perjuangan. “Apabila memulakan satu inisiatif, perlu cuba sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sebelum ia membuahkan hasil. Jangan cuba sekali dua, lepas itu letih dan sudah putus asa. Perubahan tidak akan berlaku dalam kerja jangka masa pendek. Jangan lancarkan sesuatu jika anda tidak bersedia untuk menjayakannya… Adalah tanggungjawab ahli parti bukan sekadar memberi atau melontarkan idea, tetapi harus bekerja keras dan memastikan idea-idea yang dikemukakan itu menjadi realiti. Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang pandai memberi idea yang dahsyat tetapi tiada pelaksanaan,” kata Arutchelvan.  

Arutchelvan juga meraikan kemunculan parti-parti politik baharu kebelakangan ini, seperti Parti MUDA, Parti Aspirasi Sains, Parti Pejuang dan Parti Kuasa Rakyat yang logonya mirip dengan tangan penumbuk dalam logo PSM, dengan mempelawa parti-parti ini untuk memperjuangkan agenda progresif secara bersama dan membawa perubahan dari bawah.  

Dalam ucaptamanya, Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, berkata, “KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) per kapita negara kita sekarang telah meningkat sebanyak 10 kali ganda berbanding tahun 1970, tetapi gaji sebenar pekerja tidak meningkat secara berkadar dengannya. Negara kita bertambah kaya, tetapi kekayaan itu tidak dikongsikan dengan pekerja, petani dan orang biasa yang menjana kekayaan itu. Kerajaan kapitalis yang merupakan jawatankuasa eksekutif untuk kelas pemerintah memang memainkan peranan mereka dengan baik untuk memastikan sebahagian besar daripada kekayaan masyarakat masih dikuasai oleh golongan yang terkaya. Selain itu, mereka juga meracuni minda rakyat dengan memecah-belahkan masyarakat mengikut etnik dan agama. Jadi, peranan parti kiri seperti PSM adalah bertentangan dengan apa yang sedang dilakukan oleh parti-parti borjuis. Parti borjuis mengelirukan rakyat, maka parti sosialis harus menerangkan kepada rakyat tentang apa masalah sebenar, apa punca sebenar kepada masalah, dan siapa kawan atau musuh kepada rakyat. Untuk tujuan ini, PSM telah melancarkan tiga kempen, iaitu Gerakan Marhaen, kempen Darurat Iklim dan kempen pemulihan ekonomi pasca COVID-19.”

“Peranan kita sebagai sebuah parti kiri adalah untuk menyatukan rakyat berbilang kaum dan membawa satu naratif yang alternatif berkaitan hala tuju negara kita,” ulas Dr. Jeyakumar. “Cita-cita kita sebagai sebuah parti kiri adalah besar, maka kita perlu melakukan kerja-kerja bercabaran besar untuk mencapai cita-cita ini.”

Dr. Jeyakumar juga memberi pesanan ahli PSM untuk berfikiran matang dan terbuka semasa perbincangan dalaman parti, bersikap terbuka dan saling menghormati kumpulan-kumpulan lain dalam jaringan yang disertai PSM demi membina gerakan masyarakat yang lebih mantap.

Semasa membentangkan laporannya, A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM, telah menyenaraikan beberapa usaha penting yang dilakukan oleh PSM sepanjang setahun yang lalu, termasuk aksi protes Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) untuk menuntut penghapusan sistem kontrak, perjuangan pekerja pembersihan hospital dalam menuntut bayaran kerja lebih masa (OT) yang tidak dibayar, membantah penindasan terhadap pekerja migran, kempen menyelamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, aksi sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, solidariti untuk perjuangan demokrasi di negara Asia Tenggara yang lain, perjuangan melawan pengusiran paksa, aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia, pelancaran cadangan Pelan Tindakan Pemulihan Nasional, Himpunan Marhaen, siri aktiviti bersempena ulangtahun ke-10 perjuangan pembebasan EO6 dan sebagainya.  

Sivarajan melaporkan bahawa keahlian PSM meningkat sebanyak 11% dalam setahun yang lalu, dan sekarang ini 25% daripada ahli PSM berumur di bawah 30 tahun. Ini memberi rangsangan kepada parti untuk bergerak maju ke hadapan.

Sivarajan berkata, “Misi aktivis sosialis adalah menggembleng kuasa-kuasa anti-neoliberal dan anti-kapitalis ke arah membentuk sebuah kuasa politik yang menggoncang kuasa politik (sama ada pemerintah atau pembangkang) yang hanya mengekalkan model ekonomi kapitalis yang menindas ini. Ini merupakan satu perjuangan dalam negara dan juga antarabangsa.”

Delegasi-delegasi PSM yang menghadiri Kongres Nasional kali ini juga membincangkan perancangan aktiviti parti untuk setahun akan datang dan resolusi Kongres. Resolusi yang dibincang dan diluluskan dalam Kongres kali ini merangkumi tuntutan seperti pelaksanaan segera skim bantuan tunai berasaskan konsep pendapatan asas kepada isi rumah 10% termiskin (B10), peningkatan gaji minimum, pelaksanaan Skim Jaminan Kerja, penghapusan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap, membantah pengusiran paksa terhadap petani, membantah diskriminasi di tempat kerja, penambahbaikan perkhidmatan kesihatan awam, pembinaan rumah murah yang berkualiti untuk rakyat biasa, pemansuhan undang-undang yang mendiskriminasi, pemansuhan undang-undang yang menindas rakyat, dan sebagainya.

Turut serta sebagai pemerhati atas talian semasa upacara pembukaan Kongres PSM, termasuk Dr. Morella Barreto López selaku Ketua Usaha Kedutaan Venezeula di Malaysia, Ahmad Jufliz selaku Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Koh Swee Yong selaku Setiausaha Agung PSM, Chee Yoke Ling daripada Third World Network, aktivis sosial Dobby Chew, Dr. Lim Chee Han daripada Agora Society, Azlan Awang daripada Gabungan Bantah CPTPP dan Danesh Prakash Chacko daripada Tindak Malaysia, di samping rakan seperjuangan antarabangsa dari Parti Rakyat Pekerja (PRP) Indonesia dan Potere al Popolo! Itali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *