Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengadakan kempen konvoi kereta pada 7 Mac 2021 bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa, dengan membawa tuntutan-tuntutan berkenaan dengan hak kesamarataan wanita.

Oleh sebab negara kita masih dibelenggui penularan wabak COVID-19, PSM telah menggunakan cara alternatif untuk menyambut hari yang penting ini dengan mengadakan konvoi kereta di sekitar Lembah Klang dan kawasan Ipoh untuk menyebarkan kesedaran hak kesamarataan wanita bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Rombongan konvoi di Lembah Klang yang diketuai oleh Bendahari Nasional PSM, Soh Sook Hwa, bergerak pada jam 8.30 pagi dari Ibupejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur. Rombongan konvoi ini telah disertai oleh 8 buah kereta yang terlekatnya dengan poster-poster dan sepanduk-sepanduk yang membawa tiga tuntutan utama PSM untuk Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, iaitu:

  1. Gubal Akta Gangguan Seksual
  2. Haramkan nikah di bawah umur
  3. Wujudkan Pendapatan Asas Sejagat (Universal Basic Income, UBI) untuk wanita.

Konvoi kereta bersempena Hari wanita Sedunia ini telah disertai oleh lebih kurang 20 orang aktivis dan orang awam yang berlainan latar belakang. Program ini juga diadakan dengan mengamalkan tatacara pengendalian piawai (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bermula dari Ibupejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur, konvoi kereta PSM ini telah melalui beberapa kawasan bandar seperti Dataran Merdeka, Pasar TTDI, Pasar SS2 dan Pasar Old Town Petaling Jaya. Sepanjang perjalanan konvoi tersebut, suasana dimeriahkan dengan laungan slogan tuntutan Hari Wanita Sedunia melalui pembesar suara yang disediakan. Ramai orang awam memberi sambutan yang baik sepanjang perjalanan konvoi, terutamanya di kawasan-kawasan pasar pagi, dengan mengambil gambar secara bersama dan menunjukkan ibu jari untuk memberi sokongan.

Konvoi kereta berakhir di Ibupejabat PSM dengan sidang media yang menyampaikan objektif dan tuntutan bagi Hari Wanita Sedunia 2021. Para peserta juga melaungkan slogan perjuangan sebagai penutup untuk aktiviti yang cukup bermakna ini.

(Laporan oleh Lucas Yap)

Konvoi PSM menyambut Hari Wanita Antarabangsa.
Peserta-peserta konvoi berkumpul di hadapan ibupejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur.
Ahli-ahli PSM di Perak juga mengadakan konvoi kereta di sekitar kawasan Ipoh untuk menyambut Hari Wanita Antarabangsa.

One thought on “PSM berkonvoi sambut Hari Wanita Antarabangsa 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *