Seorang pekerja pembersihan di Hospital Seri Manjung yang memfailkan tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan bayaran kerja lebih masa (OT) sejam setiap hari yang tidak dibayar, telah menang kesnya pada 11 Januari 2021 di Mahkamah Buruh Sitiawan.

Kemenangan kes tuntutan oleh pekerja ini menunjukkan bahawa tindakan majikannya, iaitu syarikat UEMS yang merupakan kontraktor swasta untuk perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan di Utara Pantai Barat Semenanjung (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), yang menambahkan masa kerja sebanyak 1 jam setiap hari tanpa bayaran OT itu adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Pekerja pembersihan berkenaan, S. Logiswaran, telah memfailkan kes untuk tuntutan OT tidak dibayar ini di Pejabat Tenaga Kerja Sitiawan pada 25 Ogos 2020.

Sebelum ini, majikannya Edgenta UEMS telah mengarahkan semua pekerja syif untuk bekerja satu jam tambahan setiap hari. Masa kerja syif pekerja-pekerja ini pada asalnya ialah 7am-3pm, 3pm-11pm dan 11pm-7am, iaitu 8 jam setiap hari. Namun, pihak syarikat Edgenta UEMS menambahkan masa kerja 1 jam setiap hari secara tiba-tiba tanpa persetujuan pekerja. Terdapat lebih kurang 60 orang pekerja pembersihan yang bertugas di Hospital Sri Manjung, dan antaranya separuh ialah pekerja syif. Salah seorang pekerja pembersihan, iaitu Logiswaran, yang tidak berpuas hati dengan tindakan majikan yang memaksa pekerja melakukan kerja OT tanpa bayaran ini telah memfailkan tuntutan bayaran gaji OT di Pejabat Tenaga Kerja untuk menegakkan haknya.

Akhirnya, Mahkamah Buruh Sitiawan memutuskan pada 11 Januari 2021 bahawa pekerja pembersihan tersebut berhak dibayar kerja OT sejam tambahan itu, dan mengarahkan syarikat Edgenta UEMS untuk membayar RM1,211 (iaitu kerja OT yang tidak dibayar dari bulan Februari 2020 hingga Ogos 2020) kepada pekerja tersebut dalam tempoh 14 hari.

Logiswaran berasa amat gembira dengan keputusan Mahkamah Buruh ini. Beliau berkata, “Kesatuan kami ada lagi banyak kes perlu lawan. Kami masih sangat susah. Saya berharap kemenangani kes ini boleh menguatkan lagi kesatuan kami.”

Logiswaran, atau juga dikenali sebagai Tharani, ialah ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM). Dia masih sentiasa menghadapi gangguan daripada pihak pengurusan kerana keanggotaannya dalam kesatuan.

V. Selvam, Pegawai Perhubungan Perusahaan yang mewakili kesatuan KPSPSHKSM, berkata, “Kes ini adalah mengenai tuntutan bayaran kerja lebih masa (OT) bagi kerja syif yang telah ditambah sewenang-wenangnya oleh majikan Edgenta UEMS, dari 8jam ke 9 jam setiap hari tanpa persetujuan pekerja. Dalam mana-mana kontrak pekerjaan antara majikan dan pekerja yang sedia ada, sebarang pertukaran terma dan syarat dalam kontrak tersebut, perlu adanya persetujuan kedua-dua pihak , iaitu majikan dan pekerja. Daripada keputusan kes ini, Makahmah Buruh dengan jelasnya telah menyatakan bahawa tindakan majikan Edgenta UEMS menambahkan waktu kerja sejam setiap hari tanpa persetujuan pekerja adalah salah!”

Masih adanya banyak kes yang difailkan oleh KPSPSHKSM. Menurut L. Danaletchumi, seorang lagi Pegawai Perhubungan Perusahaan KPSPSHKSM, terdapat lagi pekerja-pekerja di 7 buah hospital yang memfailkan kes tuntutan OT tidak dibayar yang serupa. Kemenangan kes di Sitiawan ini boleh memberikan keyakinan kepada kes-kes yang lain, dan juga memperkasakan pekerja-pekerja pembersihan hospital yang lain untuk memperjuangkan hak mereka.

“Kami memohon pada rakyat Malaysia supaya terus menyokong perjuangan pekerja-pekerja hospital yang juga merupakan petugas-petugas barisan hadapan ini,” kata Danaletchumi.

3 thoughts on “Pekerja pembersihan Hospital Seri Manjung menang kes tuntut OT tidak dibayar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *