PETALING JAYA, SELANGOR: Masyarakat sivil Malaysia yang prihatin pada 1,086 orang warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara Myanmar pada 23 Februari 2021 melalui kapal perang Tentera Laut Myanmar pada ketika rejim pemerintahan tentera Myanmar sedang membunuh rakyatnya di negara sendiri, telah menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan penghantaran pulang itu dan bersolidariti dengan warga Myanmar yang dihantar pulang itu dengan mengadakan satu aksi protes simbolik pada 5 Mac 2021.

1,086 pasang kasut dan selipar lama diletakkan di Tasik Taman Jaya, Petang Jaya, Selangor, pada 5 Mac 2021, untuk melambangkan jumlah orang lelaki, wanita dan kanak-kanak yang dihantar pulang ke negara Myanmar, walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Penghantaran pulang migran dari Myanmar ini tetap dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan proses penghantaran pulang berkenaan pada waktu pagi 23 Februari 2021.  

Aksi bantahan yang simbolik ini dianjurkan oleh kumpulan anak muda seperti Challenger Malaysia, MISI: Solidariti dan Pemuda Sosialis, dengan sokongan daripada pelbagai organisasi yang lain, termasuk Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Demokrat Kebangsaan, North South Initiative, Refuge for the Refugees, Beyond Borders, Tenaganita, Liberasi, Al-Hasan Volunteer Network dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Semua nyawa ini tidak boleh dikurangkan semata-mata kepada angka, sehingga terputus daripada realiti, jadi kita mesti melihat ruang yang mereka mungkin berdiri sekiranya mereka masih berada di sini. Walau bagaimanapun, ini tidak dapat menangkap imej kemanusiaan individu-individu ini; kasut-kasut ini tidak boleh menggambarkan siapa mereka sebagai seorang manusia: harapan mereka, impian mereka dan aspirasi mereka yang dimiliki oleh semua individu,” begitu katanya kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh organisasi-organisasi yang mengambil bahagian dalam aksi protes simbolik ini.

Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), terdapat pemohon suaka dalam kumpulan tersebut yang melarikan diri daripada kezaliman dan penindasan oleh kerajaan yang ingin melaksanakan dasar pembersihan etnik di Myanmar – suatu fakta yang dinafikan secara eksplisit oleh Jabatan Imigresen apabila mereka menyatakan bahawa tiadanya pemohon suaka dalam 1,086 orang yang dihantar pulang baru-baru ini. Namun begitu, pihak berkuasa Malaysia tetap menghantar mereka pulang dalam apa yang hanya boleh digambarkan sebagai “tindakan xenofobia yang tidak terkawal”.

(foto: Challenger Malaysia)

Organisasi-organisasi yang membantah penghantaran pulang 1,086 orang warga Myanmar pada ketika kerajaan tentera Myanmar sedang mengganas di negara itu, mengemukakan 4 tuntutan:

1. Tidak bekerjasama dengan kerajaan tentera (Tatmadaw) di Myanmar

Kerajaan Tatmadaw di Myanmar kini berkuasa secara tidak demokratik, melalui penggunaan kekerasan yang hebat dan bertentangan dengan kehendak rakyat Myanmar. Kerajaan Tatmadaw mengekalkan kuasa mereka melalui cara autoritarian yang sering melibatkan keganasan dan membawa maut. Kerajaan Malaysia tidak patut dilihat mengiktiraf kerajaan ini – sama ada melalui perjanjian dua hala atau kerjasama dalam sebarang bentuk – yang menunjukkan sokongan terhadap pemerintahan kerajaan Tamatdaw.

2. Akses terbuka kepada pusat tahanan imigresen diberikan kepada Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR)

Kerajaan Malaysia harus membenarkan UNHCR untuk mengakses pusat tahanan imigresen, supaya memastikan bahawa sama ada mereka yang ditahan merupakan golongan rentan kerana status mereka sebagai golongan minoriti yang dianiayai dan memberikan mereka perlindungan yang sepatutnya diberi di bawah instrumen hak manusia antarabangsa.

3. Moratorium bagi penghantaran pulang, hentikan penahanan migran yang arbitrari dan tidak menentu

Golongan migran hendaklah dilindungi daripada serbuan tanpa sebab, penangkapan, dan penahanan hanya oleh sebab status imigresen mereka. Amalan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah mencabul maruah mereka sebagai individu, serta mengakibatkan mereka untuk hidup dalam kesengsaraan dan mengalami penderaan secara fizikal dan/atau lisan.

Selain itu, mahkamah Malaysia juga digesa untuk memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, dan Kementerian Dalam Negeri, berkenaan dengan peranan mereka dalam tindakan penghantaran pulang ini, semasa perbicaraan yang akan berlangsung pada 9 Mac 2021.

4. Ketelusan sepenuhnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia

Jabatan Imigresen mesti mengumumkan data mengenai penahanan migran kepada pengetahuan awam dan mudah diakses – termasuk tetapi tidak terhad kepada bilangan tahanan, diasingkan mengikut jantina, kumpulan umur, dan kewarganegaraan; status pelarian; lokasi tempat di mana tahanan ditahan; tempoh masa penahanan yang dilaksanakan; sebab-sebab pelanjutan penahanan dan sebagainya.

“Kami juga menuntut penjelasan daripada Jabatan Imigresen mengenai sebab kenapa penghantaran pulang migran masih dijalankan pada 23 Februari 2021 walaupun terdapat perintah mahkamah yang melarangnya; kenapa pula baki 114 orang warga Myanmar tidak dihantar pulang, dan status semasa mereka,” tambah kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh organisasi masyarakat sivil.

“Kami yang bersama-sama menandatangani kenyataan bersama ini, membantah tindakan menghantar pulang warga Myanmar, dan menegaskan bahawa jenayah terhadap kemanusiaan ini tidak boleh diabaikan dan dilepas pandang begitu sahaja. Kita tidak boleh mengembalikan 1,086 orang, tetapi kami bertekad dan berazam untuk memastikan sejarah kezaliman ini tidak berulang lagi.”

2 thoughts on “Apabila hanya tinggal 1,086 pasang kasut…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s