CHEPOR, PERAK – 27 APRIL 2021: Sekumpulan petani yang bercucuk tanam di kawasan Chepor, Perak, menghadapi ancaman pengusiran pada hari ini apabila sebuah syarikat pemaju menceroboh masuk secara tiba-tiba ke tanah yang diusahakan mereka untuk melakukan kerja pengosongan tanah. Aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak, termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi PSM dan juga mantan Ahli Parlimen Sungai Siput) telah bergegas ke situ untuk menghalang pengusiran tersebut bersama-sama dengan petani-petani tempatan. Pengusiran telah diberhentikan sementara dan petani-petani yang terkesan sedang cuba berunding untuk mendapatkan penyelesaian yang adil.

8 orang petani yang mengusahakan tanah di Chepor telah menghadapi ancaman pengusiran paksa yang terbaru ini. Petani-petani ini telah mengusahakan aktiviti pertanian di tanah tersebut sejak zaman sebelum kemerdekaan. Sebuah syarikat pemaju, KM Majubina Sdn Bhd, yang mengatakannya sudah membeli tanah tersebut cuba mengusir petani-petani yang sedang mengusahakan tanah di situ. Semasa melakukan pencerobohan ke atas tanah pertanian yang masih diusahakan petani-petani tersebut, pihak syarikat mengatakan bahawa ia mempunyai perintah mahkamah yang dikeluarkan sejak tahun 2017 dan petani-petani di situ harus mengosongkan tanah dalam satu tempoh masa tertentu. Namun begitu, nama-nama defendan yang disenaraikan dalam perintah mahkamah tersebut bukannya petani-petani yang sedang mengusahakan tanah berkenaan, tetapi petani-petani yang bercucuk tanam di kawasan yang lain. Oleh itu, perintah mahkamah tersebut dikeluarkan secara ex parte (satu pihak sahaja) dengan petani-petani yang sebenarnya sedang mengusahakan tanah di situ tidak diberi peluang langsung untuk mengemukakan hujah-hujah mereka di dalam mahkamah.

Dr. Jeyakumar Devaraj (Ketiga dari kanan) sedang berunding dengan pihak polis untuk menghentikan pengusiran paksa terhadap petani-petani Chepor.

Selepas rundingan dengan pihak polis dan pemaju yang cuba memasuki tanah tersebut, operasi pengosongan tanah telah ditangguhkan sementara. Menurut Dr. Jeyakumar, wakil daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang hadir pada hari ini memaklumkan bahawa pihak kerajaan bercadang untuk menawarkan tanah sewa kepada 122 orang petani yang mengusahakan tanah di sekitar kawasan Chepor di suatu kawasan lain di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan, dengan keluasan tanah 2 ekar setiap orang petani dan disewa daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Namun, petani-petani yang terlibat masih belum lagi mendapat tahu tentang maklumat terperinci tentang tawaran tersebut, termasuk berapa sewa yang perlu dibayar, berapa lama tempoh sewaan dan lokasi tempat yang sebenar. Wakil PTG memberitahu bahawa pihak PTG akan memanggil satu perjumpaan dengan petani-petani pada 30 April 2021, dan membawa petani-petani untuk melawat kawasan yang ditawarkan itu pada 4 Mei 2021.

Petani-petani tidak berpuas hati kerana sekiranya pihak Kerajaan Negeri Perak sudah mempunyai perancangan sebelum ini untuk menempatkan semula mereka, sepatutnya diberitahu awal dan bukannya memaklumkan secara tiba-tiba pada saat tanah mereka sedang diancam pengosongan tanah.  Walau bagaimanapun, operasi pengosongan tanah telah diberhentikan sementara pada hari ini, dan petani-petani juga membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kuang.

PSM bersama-sama dengan Gabungan Petani dan Penternak Perak telah melancarkan satu kempen “Kekalkan Tanah untuk Pertanian” baru-baru ini, dengan tuntutan kepada kerajaan supaya mengekalkan kawasan-kawasan pertanian yang menghasilkan bahan-bahan makanan demi melindungi jaminan makanan rakyat Malaysia. PSM menggesa supaya undang-undang dipinda untuk melindungi petani-petani kecil daripada kehilangan tanah yang diusahakan mereka tanpa tanah gantian yang membolehkan mereka meneruskan aktiviti pertanian. Petani-petani kecil di Perak tidak meminta geran hak milik tanah kekal, tetapi hanya mahu diberikan pajakan tanah untuk tempoh 20 tahun supaya mereka mempunyai keyakinan bahawa pelaburan dalam usaha pertanian mereka itu tidak akan dimusnahkan begitu sahaja apabila tanah yang diusahakan mereka dirampas sewenang-wenang.  

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “Petani Chepor diancam pengusiran

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s