“Bahkan seluruh masyarakat, sebuah negara ataupun semua masyarakat yang wujud pada masa sama diambilkira sekali, bukannya pemilik bumi ini. Mereka hanya pemegangnya, penggunanya, dan seperti ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka perlu menyerahkannya kepada generasi akan datang dalam keadaan yang lebih baik.”

– Karl Marx, Das Kapital, Jilid III

(Rencana Khas Hari Bumi 2021)

Karbon ialah unsur kimia yang bernombor atom 6 dalam jadual berkala unsur kimia. Atom-atom karbon boleh mengikat sesama sendiri dalam pelbagai bentuk, mewujudkan pelbagai jenis alotrop karbon, seperti berlian, grafit, fulerena, grafena dan sebagainya. Karbon juga boleh membentuk sebatian dengan unsur-unsur kimia yang lain. Misalnya, apabila karbon bergabung dengan oksigen, ia boleh menghasilkan karbon monoksida (CO) atau karbon dioksida (CO2) dalam bentuk gas; sementara penggabungan karbon dengan hidrogen, membentuk hidrokarbon yang boleh digunakan sebagai bahan api untuk menjana tenaga haba. Karbon merupakan bahan asas kepada semua hidupan organik di dunia.

Pemendapan, pemampatan dan pemanasan hidupan organik yang mati di dalam kerak bumi untuk jangka masa berjuta-juta tahun lamanya, boleh membentuk bahan api fosil seperti arang batu, petroleum dan gas asli. Pembakaran bahan api fosil pula melepaskan gas-gas yang berkarbon, seperti karbon dioksida dan metana (CH4). Karbon dioksida amat penting bagi tumbuhan yang menjalani proses fotosintesis untuk terus hidup, tetapi juga merupakan “gas rumah hijau” yang boleh menyebabkan pemanasan bumi.

Kapitalisme ialah sistem sosio-ekonomi yang berasaskan pemilikan sumber-sumber pengeluaran masyarakat oleh golongan pemilik modal (ataupun dikenali sebagai kapitalis) dan berfungsi untuk mengejar keuntungan demi memenuhi keperluan pengumpulan modal secara berterusan. Golongan kapitalis sentiasa memaksimumkan keuntungan mereka melalui eksploitasi terhadap tenaga kerja dan sumber alam, mewujudkan asas kepada ketidakadilan masyarakat pada zaman moden. Sistem kapitalis mula muncul di Eropah pada abad ke-16 dan ke-17, dan dipacukan oleh Revolusi Perindustrian pada abad ke-18 dan ke-19, serta mengembangkan pengaruhnya ke seluruh pelusuk dunia melalui perluasan kuasa imperialis dan penjajahan ke atas negara-negara yang belum lagi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Apakah yang terjadi apabila karbon bertemu dengan kapitalisme dalam tempoh lebih kurang 300 tahun yang lalu? … Jawapannya ialah krisis iklim yang mengancam kehidupan masyarakat sedunia pada hari ini!

Sistem ekonomi yang ketagihkan bahan api fosil

Sistem ekonomi kapitalis yang digerakkan berdasarkan logik pengumpulan modal yang berterusan, sentiasa mengetagihkan bahan api fosil sejak kemunculannya.

Revolusi Perindustrian yang Pertama di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, menyaksikan penggunaan enjin wap yang semakin meluas di dalam kilang pengeluaran produk dan alat pengangkutan (khususnya keretapi) yang membawa produk industri. Enjin wap digerakkan oleh wap yang dihasilkan daripada pemanasan air yang menggunakan pembakaran arang batu, sejenis bahan api fosil. Kemudiannya Revolusi Perindustian yang Kedua pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, menyaksikan pula penggunaan ejin pembakaran dalam (yang digunakan dalam kereta) yang memerlukan minyak petroleum dan penjanaan tenaga elektrik melalui pembakaran bahan api fosil yang semakin berleluasa. Cerobong asap kilang yang mengeluarkan gas-gas yang toksik telah menjadi “lambang” kepada kemajuan di negara-negara kapitalis yang berada dalam fasa pembanguan perindustrian yang pesat pada masa itu.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa masyarakat dunia telah mengalami pembangunan yang pesat dari segi kebendaan dalam tempoh dua abad kebelakangan ini dengan perluasan ekonomi kapitalis di setiap sudut dunia. Namun, kemajuan yang hebat dari segi penciptaan kekayaan kebendaan ini tidak membawa kesejahteraan dan kehidupan yang baik untuk kebanyakan penduduk dunia secara automatik, sebaliknya mewujudkan pelbagai masalah ketidakadilan sosial dan ancaman kepada kehidupan masyarakat. Ini adalah disebabkan oleh percanggahan asas yang wujud dalam sistem sosio-ekonomi kapitalis itu sendiri, iaitu motif kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan korporat demi pengumpulan modal yang berterusan itu bertentangan dengan hasrat rakyat untuk kehidupan sejahtera yang berkekalan dan kelangsungan ekologi bumi yang mampan.

Ketagihan kapitalisme terhadap bahan api fosil adalah disebabkan oleh penggunaan bahan api fosil dalam penjanaan tenaga yang menggerakkan mesin-mesin dalam kilang dan pengangkutan itu boleh mempercepatkan proses pengumpulan modal melalui aktiviti perindustrian pesat yang mengeluarkan barangan pada skala besar-besaran. Di bawah motif memaksimumkan keuntungan, tujuan utama pengeluaran barangan bukan lagi untuk memenuhi keperluan manusia, tetapi barangan dihasilkan untuk dijual demi menjana keuntungan kepada pemilik modal.

Ekonomi kapitalis merupakan sejenis ekonomi yang melibatkan pengeluaran dan jual beli komoditi (barangan yang dihasilkan untuk dijual dalam pasaran) secara besar-besaran. Ekonomi kapitalis akan mengalami krisis sekiranya barangan yang dihasilkan tidak dapat dijual. Krisis ekonomi kapitalis sering berlaku apabila wujudnya keadaan pengeluaran berlebihan (overproduction) di mana modal yang dilaburkan tidak dapat menjana lagi keuntungan bagi pemilik modal kerana barangan yang dikeluarkan tidak dapat lagi dijual akibat tiadanya permintaan ataupun pengguna-pengguna tiada lagi wang yang mencukupi untuk membeli barangan dalam pasaran. Golongan pekerja pula terpaksa menjual tenaga kerja mereka kepada majikan yang mengupah mereka, supaya mendapatkan gaji yang membolehkan mereka untuk membeli barangan keperluan mereka.

Dalam keadaan apabila kita terus menjual supaya kita dapat terus membeli (sama ada untuk membeli barangan keperluan bagi golongan pekerja, ataupun membeli tenaga kerja dan input-input pengeluaran yang menghasilkan lebih banyak barangan yang menjana keuntungan bagi golongan pemodal), orang lain akan dipujuk untuk membeli barangan keluaran kita supaya kelangsungan hidup kita dapat dikekalkan. Oleh yang demikian, ini mewujudkan gejala pengeluaran barangan sebanyak boleh, tanpa mempedulikan sama ada barangan yang dihasilkan itu berguna atau tidak berguna, selagi ia dapat dijual untuk mengekalkan keupayaan kita membeli barangan yang lain dan juga terus menjana keuntungan bagi golongan pemilik modal.

“Keterdesakan” untuk mengeluarkan barangan secara besar-besaran hanya dapat dipenuhi dengan pembangunan perindustrian yang pesat dan meluas. Pembangunan perindustrian yang pesat dan meluas, memerlukan sumber bahan mentah dan sumber tenaga yang semakin banyak. Sumber tenaga yang dimaksudkan di sini termasuklah tenaga kerja yang dibeli daripada golongan pekerja (sama ada tenaga kerja fizikal ataupun tenaga kerja intelek) dan juga sumber tenaga yang menjanakan kuasa untuk menggerakkan mesin-mesin.

Eksploitasi yang berlebihan terhadap sumber-sumber alam untuk tujuan pengeluaran barangan besar-besaran boleh menghauskan sumber-sumber alam, malah menjejaskan keupayaan persekitaran bumi kita sebagai penampan semula jadi yang mampu membendung gangguan atau penyahstabilan ekologi. Proses pengeluaran dalam perindustrian berskala besar-besaran, melibatkan pengekstrakan sumber alam yang berlebihan, sementara juga melepaskan sisa-sisa buangan yang mencemar alam atau mengganggu keseimbangan ekologi. Selepas barangan pengeluaran perindustrian dihasilkan di sesuatu tempat, ia memerlukan pengangkutan untuk membawanya ke pasaran, khususnya dalam era perdagangan antarabangsa yang semakin pesat, dan ini memerlukan penggunaan sumber tenaga untuk menggerakkan pengangkutan yang membawa barangan itu sementara melepaskan gas buangan berkarbon (khususnya untuk pengangkutan yang menggunakan bahan api fosil). Apabila barangan dijual dalam pasaran dan dibeli oleh pengguna, ia mungkin menghasilkan bahan buangan atau menjadi sampah selepas habis digunakan, maka mewujudkan masalah pencemaran yang baharu. Sekiranya barangan yang dikeluarkan itu bukannya sesuatu yang benar-benar diperlukan ataupun dikeluarkan secara berlebihan, maka wujudnya pembaziran. Sistem ekonomi kapitalis memang menghasilkan banyak kekayaan (yang diagihkan secara amat tidak adil), tetapi juga menghasilkan pembaziran, kerana motif pemaksimuman keuntungannya.

Imperialisme karbon

Kapitalisme ialah sistem ekonomi yang mengembang paling pesat berbanding sistem ekonomi lain sebelumnya. Kecenderungan kapitalisme untuk mengembang dan memperluaskan capaiannya (untuk pasaran yang baharu, sumber bahan mentah yang baharu dan sumber tenaga kerja yang baharu) membawa kepada satu fenomena yang dikenali sebagai imperialisme.

Pada awal kemunculan sistem ekonomi kapitalis, kawasan luar bandar menjadi sumber yang membekalkan bahan mentah dan tenaga kerja kepada bandar-bandar yang menjadi pusat perindustrian. Warga petani kawasan luar bandar yang kehilangan tanah bercucuk tanam mereka kerana tanah pertanian itu dirampas dan dipagarkan untuk pembukaan ladang-ladang besar, terpaksa berhijrah ke kawasan bandar untuk menjadi pekerja yang menjual tenaga buruhnya secara “bebas” kepada pemilik modal yang membuka kilang. Kawasan luar bandar juga biasanya menjadi tapak pengekstrakan sumber alam yang digunakan sebagai bahan mentah untuk pengeluaran perindustrian, misalnya bahan galian yang dilombong dan tanaman kontan (seperti kapas, getah, kelapa sawit dan sebagainya) di dalam ladang berskala besar-besaran. Hubungan antara kawasan pinggiran (kawasan luar bandar) dan pusat ekonomi (kawasan bandar) sebegini boleh dikatakan “prototaip” kepada imperialisme dan kolonialisme.

Apabila kekuasaan kapitalis diperluaskan melalui imperialisme, wilayah-wilayah yang belum mengamalkan sistem ekonomi kapitalis diserapkan ke dalam sistem global ini melalui proses penjajahan ataupun pemaksaan pembukaan pintu ekonomi sesebuah wilayah kepada “perdagangan bebas”. Wilayah-wilayah yang “kurang maju” dari segi ekonomi kapitalis, menjadi tempat pengekstrakan pelbagai sumber untuk memacu kemajuan ekonomi di negara-negara yang “lebih maju”. Perluasan sistem kapitalis global melalui imperialisme, memperhebatkan eksploitasi terhadap tenaga buruh dan sumber alam. Sumber bahan api fosil, iaitu sumber yang penting untuk menjana kuasa bagi menggerakkan mesin-mesin di pusat-pusat perindustrian dan alat-alat pengangkutan yang mengangkut komoditi yang boleh menjana keuntungan kepada golongan kapitalis, turut menjadi perebutan antara kuasa-kuasa imperialis yang hendak memperkukuhkan dominasi kelas kapitalis negara masing-masing.

Sepanjang abad ke-19, dengan ekonomi kapitalis perindustrian berkembang pesat di negara-negara Eropah dan AS, arang batu menjadi sumber tenaga penting kepada “kejayaan” kuasa-kuasa besar yang juga merupakan negara-negara perindustrian maju. Perang Dunia I yang merupakan kemuncak konflik antara kuasa-kuasa imperialis di Eropah, membuka tirai kepada satu zaman baharu yang dipacukan oleh minyak petroleum. Kereta kebal yang pertama kalinya diperkenalkan ke dalam medan perang pada masa itu, digerakkan oleh enjin yang menggunakan minyak petroleum. Begitu juga dengan kapal perang dan pesawat tempur.

Semasa Perang Dunia II, Kerajaan AS menyalurkan wang yang berjumlah besar ke dalam sektor perindustrian yang berkaitan dengan minyak, untuk membantu dalam usaha peperangannya. 6 bilion daripada 7 bilion tong minyak mentah yang digunakan oleh tentera Pihak Bersekutu semasa Perang Dunia II datang dari telaga minyak di AS dan diproses oleh syarikat minyak AS. Kerajaan AS membina saluran paip minyak dan loji pemprosesan minyak yang dilengkapi dengan teknologi baharu pada ketika perang. Perusahaan pembuatan kereta di AS menghentikan pengeluaran kereta komersial semasa perang, tetapi mengeluarkan jip, trak, enjin pesawat, kereta kebal, kereta perisai, senapang mesin dan bom yang digunakan oleh tentera dalam peperangan, dengan bantuan subsidi berbilion-bilion dolar daripada Kerajaan AS. Peningkatan kapisiti pengeluaran ekonomi AS yang disokong dengan pembakaran minyak petroleum inilah menyediakan asas kepada dominasi ekonomi AS pasca Perang Dunia II.

Rancangan Marshall yang dilancarkan pada tahun 1948 oleh Kerajaan AS untuk membantu pemulihan ekonomi Eropah Barat, telah memperkukuhkan kekuasaan syarikat korporat AS di peringkat dunia. Kerajaan AS menyalurkan wang berbilion-bilion kepada negara-negara Eropah Barat supaya mereka boleh membeli minyak daripada syarikat AS untuk membangunkan semula ekonomi yang dipacukan bahan api fosil. Kerajaan AS juga menyalurkan subsidi untuk memperluaskan aktiviti syarikat-syarikat minyaknya di Arab Saudi supaya memenuhi keperluan sumber tenaga Eropah. Ini telah membawa peralihan daripada kebergantungan terhadap arang batu di Eropah kepada kebergantungan terhadap minyak petroleum, peralihan daripada sejenis bahan api fosil kepada sejenis bahan api fosil yang lain.

Pengeluaran minyak petroleum sedunia meningkat lebih daripada 700% dalam tempoh 1946-1973, untuk menjana tenaga kepada pembangunan ekonomi yang pesat di negara-negara maju, begitu juga dengan pelepasan karbon ke atmosfera bumi yang menyaksikan peningkatan secara mendadak. Kuasa-kuasa besar telah cuba memastikan mereka terus mendapat bekalan minyak mentah yang murah melalui pengenaan pengaruh politik ke atas negara-negara pengeluar minyak, termasuk sanggup menyokong rampasan kuasa yang anti-demokratik seperti yang pernah berlaku di Iran pada tahun 1953 dan di Indonesia pada tahun 1965. Kebergantungan kepada minyak petroleum merupakan salah satu faktor berlakunya Krisis Minyak 1973 yang menyaksikan peningkatan harga minyak secara mendadak berikutan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum Arab (OAPEC) mengenakan embargo minyak yang mensasarkan negara-negara yang dianggap menyokong Israel semasa Perang Yom Kippur, namun ini tidak menghalang ketagihan ekonomi kapitalis terhadap minyak. Produk petroleum juga digunakan secara meluas dalam sektor pertanian yang semakin dikuasai oleh syarikat korporat.

Negara AS sebagai jaguh kapitalisme sedunia, mendapat kekuatannya daripada kebergantungannya terhadap minyak petroleum. Sehingga hari ini, negara AS masih merupakan pengeluar minyak petroleum yang terbesar di dunia, dan juga pengguna minyak petroleum yang terbesar di dunia. Ketagihan kuasa imperialis AS terhadap bahan api fosil merupakan salah satu punca kepada ketidakstabilan di rantau yang mengeluarkan minyak petroleum, misalnya Timur Tengah.

Boleh dikatakan seluruh infrastruktur untuk kapitalisme global pada hari ini dibina dengan asas bahan api fosil. Oleh itu, berhijrah kepada sumber tenaga boleh diperbaharui (seperti tenaga solar, angin, hujan, ombak dan geoterma) adalah sesuatu yang memakan kos tinggi dan tidak berbaloi bagi golongan kapitalis yang hendak terus memaksimumkan keuntungan. Malah, syarikat-syarikat korporat yang terlibat dalam sektor industri bahan api fosil sanggup membelanjakan sebahagian kecil daripada kekayaan yang dikumpulnya (tetapi satu jumlah wang yang besar bagi kebanyakan orang) untuk memujuk dan mempengaruhi keputusan pembuat dasar kerajaan yang membantutkan usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

(foto: Mario Hoppmann)

Krisis iklim: Ancaman kepada umat manusia

Pelepasan karbon ke dalam atmosfera bumi kerana pembakaran bahan api fosil, menjadi punca utama kepada fenomena perubahan iklim yang sedang mengancam kehidupan masyarakat manusia sedunia.

Laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) pada tahun 2007 mengesahkan bahawa punca utama pembebasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan bumi datang daripada aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil. Gas rumah hijau termasuk karbon dioksida (CO2), metana (CH4), nitrus oksida (N2O), hidrofluorokarbon (HFC), perfluorokarbon (PFC) dan sulfur heksafluorida (SF6). IPCC yang ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dengan sokongan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), telah berusaha untuk membekalkan maklumat yang saintifik dan objektif mengenai perubahan iklim yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Menurut Laporan Khas mengenai Pemanasan Global 1.5°C yang diterbitkan oleh IPCC pada bulan Oktober 2018, mengehadkan peningkatan suhu purata dunia pada 1.5 °C adalah berkemungkinan tetapi memerlukan “pengurangan pelepasan yang mendalam” dan “perubahan yang cepat, meluas dan tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam semua aspek masyarakat”. Jika tidak berbuat demikian, penduduk dunia akan berdepan dengan lebih banyak lagi masalah cuaca yang melampau, peningkatan paras laut yang lebih cepat, peleburan ais laut di Artik yang lebih hebat, kepupusan terumbu karang dan kehilangan ekosistem yang sensitif pada perubahan suhu.

Perjanjian Iklim Paris 2015 yang dipersetujui oleh pemimpin-peminpin dunia, telah menetapkan sasaran untuk “menahan peningkatan suhu purata global rata-rata jauh di bawah 2°C melebihi tahap-tahap pra-industri serta mencari usaha-usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 °C melebihi tahap pra-industri”. Namun, sasaran pengurangan pelepasan karbon secara sukarela yang ditetapkan di bawah Perjanjian Paris ini, masih jauh tidak mencukupi untuk menangani ancaman krisis iklim yang semakin menjadi-jadi. Dunia kita pada hari ini sudah tidak mampu lagi menanggung sebarang kenaikan suhu, dan keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya tiada tindakan konkrit yang berkesan diambil segera. Karbon yang terkandung dalam bahan api fosil harus dikekalkan di bawah tanah dan tidak dilombong lagi untuk dibakar, sekiranya kita betul-betul serius dalam menangani krisis iklim.

Aksi protes anjuran Klima Action Malaysia (KAMY) di Kuala Lumpur pada 21 September 2019. (foto: Heng KC)

Keadilan iklim sekarang juga

Menangani krisis iklim bukan sekadar persoalan teknologi ataupun perubahan pada corak penggunaan individu sahaja, tetapi ia melibatkan persoalan mengenai keadilan sosial dan pembebasan masyarakat.

Antara sebab kenapa negara-negara maju di Eropah pada hari ini mampu mengurangkan pelepasan karbon dan mengawal industri yang mencemar alam, selain daripada perkembangan teknologi baharu dan kesungguhan politik pada kerajaan untuk melakukan pembaharuan (hasil daripada tekanan gerakan sosial), ia juga melibatkan penyumberan luar dan pemindahan banyak industri yang mencemar alam ke negara-negara di Dunia Ketiga. Ini merupakan manifestasi ketidakseimbangan agihan kuasa dan ketidakadilan yang wujud di peringkat dunia pada hari ini.

Tambahan pula, kita jangan lupa juga bahawa tahap kemajuan yang dicapai oleh negara-negara maju pada hari ini merupakan hasil daripada eksploitasi yang berpanjangan terhadap tanah-tanah jajahan semasa zaman kolonialisme (yang memiskinkan lagi tanah-tanah jajahan itu dan merosakkan ekologi alam semula jadi di situ). “Kemajuan” dan kekuatan negara-negara maju telah dikekalkan melalui ketidakseimbangan kuasa yang terus memangsakan negara-negara yang sedang membangun dalam susunan dunia hari ini yang masih dikuasai oleh kepentingan korporat. Oleh itu, adalah tidak adil untuk negara-negara maju memaksa negara-negara miskin supaya mengurangkan pelepasan karbon (yang mungkin akan menyekat proses pembangunan ekonomi di negara-negara itu) sekiranya tiada bantuan dan sokongan ikhlas yang sebenar daripada negara-negara maju kepada negara-negara miskin, sama ada segi sumbangan dana kewangan yang tanpa syarat ataupun pemindahan teknologi hijau ataupun pemansuhan hutang negara berkenaan.

Kita juga tidak akan dapat menangani krisis dunia tanpa menyedari percanggahan asas yang mewujudkan permasalahan pokoknya. Karbon itu ialah kewujudan yang semula jadi, tetapi apabila ia bertemu dengan kapitalisme yang merupakan sistem ekonomi buatan manusia yang berfungsi berlandaskan logik pengumpulan modal secara berterusan tanpa penghujungnya, ia mendatangkan krisis kepupusan kepada spesies manusia sendiri! Kita hanya dapat mengatasi krisis yang timbul daripada kapitalisme itu dengan melangkaui kerangka kapitalisme.

Usaha mengatasi krisis iklim pada hari ini, memerlukan penglibatan demokratik daripada masyarakat secara menyeluruh untuk bersuara dan mendesak kerajaan di negara masing-masing supaya melakukan perubahan dasar dan membangunkan kerjasama antarabangsa yang bertujuan untuk mengelakkan Bumi kita daripada terjerumus dalam bencana iklim yang lebih teruk lagi.

Perisytiharan Hak-hak Ibu Bumi Sejagat yang diterima dalam Persidangan Rakyat Sedunia mengenai Perubahan Iklim pada 22 April 2010 di Cochabamba, Bolivia, telah menyatakan dengan jelas bahawa kita semua ialah sebahagian daripada Ibu Bumi (Mother Earth), sebuah komuniti yang bernyawa dan tidak dapat dipisahkan, yang terdiri daripada makhluk-makhluk hidup yang saling berkaitan dan saling bergantung dengan takdir bersama. Perisytiharan tersebut menggariskan hak-hak semula jadi Ibu Bumi dan semua makhluk yang terkandung dalamnya, termasuk:

  • Hak untuk hidup dan wujud;
  • Hak untuk dihormati;
  • Hak untuk menjana semula kapasiti bio dan meneruskan kitaran dan proses pentingnya bebas daripada gangguan manusia;
  • Hak untuk mengekalkan identiti dan integritinya sebagai kewujudan yang berbeza, kawalselia-diri dan saling berkaitan;
  • Hak untuk air sebagai sumber kehidupan;
  • Hak untuk udara bersih;
  • Hak untuk kesihatan bersepadu;
  • Hak untuk bebas daripada pencemaran dan sisa buangan toksik atau radioaktif;
  • Hak untuk tidak membenarkan struktur genetiknya diubahsuai atau diganggu dengan cara yang mengancam integritinya atau fungsinya yang penting dan sihat;
  • Hak untuk pemulihan sepenuh dan segera sekiranya berlakunya pencabulan hak-hak Ibu Bumi oleh aktiviti-aktiviti manusia;
  • Hak untuk kesejahteraan dan hidup secara bebas daripada penyeksaan atau layanan yang zalim oleh manusia.

Untuk melindungi hak-hak yang dinyatakan dalam Perisytiharan Hak-hak Ibu Bumi Sejagat, dan menyelamatkan umat manusia sedunia daripada ancaman krisis iklim, kita perlu mewujudkan alternatif yang melangkaui logik kapitalis, dan mendesak semua kerajaan di muka bumi ini untuk melaksanakan dasar-dasar yang bersesuaian dengan tujuan ini. Ini hanya dapat dilakukan melalui organisasi dan mobilisasi gerakan rakyat dari bawah yang mencabar sistem kapitalis secara berterusan dan memperjuangkan sebuah masyarakat yang berlandaskan prinsip-prinsip yang menegakkan keharmonian antara masyarakat manusia dengan alam sekitar.

(foto: Khalid Mahmood)

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “Apabila karbon bertemu dengan kapitalisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *