Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, 11 Mei 2021

Saya menerima satu panggilan kecemasan daripada seorang kawan pada pagi ini (11 Mei 2021). Isterinya yang didapati positif dalam ujian swab hidung untuk COVID-19 pada 5 hari sebelum ini telah mengalami kesukaran bernafas yang teruk sejak semalaman. Dia mengalami demam dan batuk untuk lebih kurang 8 hari sebelum ini, lebih kurang seminggu selepas dia berkontak dengan seorang kawan yang dijangkiti COVID-19.

Makmal swasta yang menjalankan ujian COVID-19 untuknya telah mencatatkan semua maklumat peribadinya dan berkata bahawa mereka akan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun, kawan saya itu dan isterinya tidak dihubungi oleh sesiapa pun daripada KKM sehingga pagi tadi. Mereka telah cuba memastikan isterinya yang sakit itu berada di dalam biliknya, termasuk makan, mengambil vitamin D dan C yang banyak, serta memantau kadar denyutan nadinya dan tahap oksigennya dengan oksimeter nadi sebanyak tiga kali setiap hari.  

Namun begitu, keadaannya menjadi lebih teruk pagi tadi, di mana dia seolah-olah kelemasan, dan bacaan oksimeter nadinya menurun ke 90% sekejap-sekejap (tahap normal adalah dalam lingkungan 96-100%). Kawan saya telah menyewa sebuah alat pemekat oksigen sehari sebelum ini dan ianya dapat membantu, tetapi dia menjadi sangat bimbang pada pagi tadi. Beberapa buah hospital swasta yang dihubunginya berkata bahawa katil pesakit COVID-19 mereka sudah penuh dan tidak akan melayan permintaannya untuk kemasukan hospital.

Nasib baik saya masih mempunyai kenalan yang bekerja dalam sektor kerajaan, dan saya dapat membantunya untuk dimasukkan ke dalam Pusat Perubatan Universiti Malaya, di mana dia mula diberikan oksigen tambahan dan steroid, iaitu rawatan utama untuk mereka yang mempunyai simptom-simptom COVID-19 Peringkat 4.

Adalah dipercayai bahawa “kebinasaan lingkungan” kerana kereaktifan berlebihan sistem keimunan itu ialah punca utama kepada simptom-simptom yang menjadi semakin teruk dalam 15% kes COVID-19 yang didiagnosis secara klinikal di Malaysia. Itu sebabnya kenapa steroid diberikan – untuk meredakan sistem keimunan yang terlalu teruja yang mencetuskan penghasilan sitokin yang berlebihan dan mengganggu sistem penggumpalan badan kita. Dengan rawatan yang sesuai dan sedikit nasib baik, dia sepatutnya boleh mengatasinya.

Namun, adanya sesuatu yang tidak betul, bukan? Kenapa dia tidak dihubungi oleh pihak KKM dalam tempoh 5 hari selepas dia didiagnosis sebagai positif COVID-19 dalam ujian PCR? Adakah makmal swasta itu tidak menyampaikan maklumat itu, atau adakah KKM yang telah melakukan kesilapan? Walaupun sekiranya KKM tidak dapat memasukkan setiap kes jangkitan positif ke wad hospital, bukankah mereka harus mempunyai satu sistem di mana kakitangan kesihatan memanggil setiap kes yang berada di rumah sendiri untuk memeriksa simptom-simptom, menasihat tentang bagaimana memastikan ahli-ahli keluarga lain selamat dan menerangkan tentang ubat-ubatan asas yang boleh diambil oleh mereka, serta mungkin tentang cara penggunaan oksimeter di dalam rumah?

Ya, saya bersetuju bahawa KKM sedang menanggung beban yang berlebihan pada ketika ini – dengan pengurusan kes-kes yang sakit teruk, penjejakan kontak untuk kluster-kluster dan program vaksinasi. Saya akan menjadi orang yang terakhir untuk mengkritik petugas-petugas barisan hadapan KKM. Mereka sedang memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada kita, dan menanggung risiko yang besar untuk diri mereka. Tetapi bagaimana dengan mendapatkan sesetengah pegawai perubatan dan kakitangan kesihatan yang bersara untuk mengendalikan talian hotline bagi orang seperti isteri kawan saya yang sakit itu – menghubungi pesakit-pesekit berkenaan sekali setiap hari untuk memeriksa simptom-simptom dan memberi nasihat yang berkaitan mengikut sesuatu protokol? Sudah pasti ini dapat dilakukan dan pangkalan data diwujudkan supaya pegawai kanan KKM di peringkat Daerah dapat memantau semua kes yang dikendalikan di dalam rumah sendiri.

Saya berharap pihak berkuasa, KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), akan memberi perhatian kepada aspek pengurusan pandemik ini. Dengan katil hospital untuk pesakit tenat sudahpun penuh, akan wujudnya kelambatan dalam memasukkan pesakit ke dalam kemudahan COVID-19 di hospital. Satu mekanisme yang selamat harus diwujudkan untuk memantau kes-kes positif COVID-19 yang belum lagi dipindahkan ke hospital atau asrama COVID-19. Satu sistem pemantauan yang sesuai akan membantu kita dalam memastikan bahawa mereka yang mengalami keadaan merosot dan mereka yang tidak dapat mengamalkan pendekatan pengasingan yang sesuai di dalam rumah sendiri, akan dapat dimasukkan lebih awal ke dalam kemudahan COVID-19 yang disediakan. Kita mempunyai sumber-sumber untuk melakukan ini – doktor-doktor dalam sektor swasta, doktor-doktor bersara dan juga jururawat-jururawat. Kita perlukan KKM dan kerajaan untuk memulakan perkhidmatan ini secepat mungkin.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan seorang doktor pakar paru-paru yang bersara dan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *