Pada penghujung tahun 2025 dan menjelang ambang tahun baharu 2026 ini, marilah kita imbas kembali sepintas lalu sebahagian daripada aktiviti-aktiviti dan usaha-usaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam memperjuangkan isu-isu rakyat sepanjang satu tahun yang lalu ini.

1. Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam

PSM melancarkan kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” pada 13 Ogos 2025 dengan 4 tuntutan utama: 1. hentikan Skim Rakan KKM; 2. moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang; 3. tingkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 5% KDNK; 4. wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta. Ahli-ahli PSM giat mengadakan aktiviti pengedaran risalah dan pengumpulan tandatangan untuk kempen ini. Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen ini di sini.

2. Perjuangan penduduk Kampung Jalan Papan melawan pengusiran paksa

Komuniti peneroka bandar di Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor, telah menghadapi pengusiran paksa daripada pihak pemaju tanpa pelaksanaan janji rumah alternatif. Perobohan rumah secara paksa pada 10-14 November 2025 telah menyaksikan seramai 23 orang ditahan polis kerana mempertahankan rumah penduduk daripada dimusnahkan begitu sahaja, antaranya aktivis-aktivis PSM dan penduduk-penduduk kampung. Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan masih tegas memperjuangkan hak perumahan mereka dan menuntut pelaksanaan janji pembinaan rumah alternatif yang telah dibuat sekian lama tetapi tidak pernah ditunaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

3. Penternak lembu bantah pengusiran dari ladang SD Guthrie

Gabungan Penternak Marhaen Nasional berjuang untuk membantah pengusiran paksa terhadap penternak-penternak kecil yang mengusahakan aktiviti penternakan di kawasan ladang milik syarikat SD Guthrie Berhad. Dua orang penternak lembu ditahan polis pada 12 Februari 2025 apabila pihak berkuasa dan pihak pengurusan ladang menjalankan operasi menangkap lembu-lembu yang dipelihara mereka di dalam kawasan Ladang Sabak Bernam. Penternak-penternak pernah berprotes pada 22 Januari 2025 untuk membantah pengusiran paksa terhadap penternak-penternak di ladang milik syarikat SD Guthrie Berhad, dan menyerahkan sebuah lagi memorandum untuk meminta campur tangan Menteri Besar Selangor dalam menyelesaikan masalah ini pada 2 Oktober 2025.  

4. Pekerja ladang desak gubal akta untuk jamin perumahan pekerja ladang

Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) mengadakan aksi protes di hadapan Bangunan Parlimen pada 13 Ogos 2025 untuk menuntut penggubalan Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang supaya menjamin dan melindungi hak perumahan pekerja ladang. Selepas aksi tersebut, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, telah dipanggil oleh polis untuk disiasat pada 14 Ogos 2025. Seminggu kemudian, Arutchelvan hadir sekali lagi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 20 Ogos 2025 untuk “menyerah diri” selepas pihak polis memberitahu bahawa terdapat arahan untuk menangkapnya. Arutchelvan ditahan beberapa jam sebelum dibebaskan pada malam yang sama.

5. PSM bertanding dalam PRK Ayer Kuning

PSM bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi DUN Ayer Kuning di Perak yang diadakan pada 26 April 2025, dengan meletakkan Bawani KS, Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengerusi PSM Negeri Perak, sebagai calon. Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN yang dipertandingkan itu dengan majoriti yang lebih besar, tetapi peratusan mengundi adalah jauh lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Walaupun masih kalah dan tidak dapat mempertahankan wang deposit ketika berhadapan dengan dua gabungan politik besar, PSM telah memperoleh keputusan yang menggalakkan apabila Bawani hampir melipatgandakan sokongan undi berbanding PRU-15 dengan memenangi sebanyak 1,106 undi (bersamaan 6.1% undian yang sah). Bawani dan PSM telah mengetengahkan pelbagai isu semasa berkempen dalam PRK Ayer Kuning.

6. Bantah projek ladang hutan di Kledang Saiong

PSM terus mendukung usaha jaringan masyarakat sivil yang membantah projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Perak. Sebuah memorandum diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar pada 18 November 2025 dengan gesaan supaya menolak Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berkaitan projek hutan tersebut.

7. Bantah kunjungan Trump ke Malaysia

Aktivis-aktivis PSM menyertai aksi protes yang dianjurkan oleh masyarakat sivil pada 26 Oktober 2025 untuk membantah kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia bersempena persidangan kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). PSM mengecam keputusan Kerajaan Malaysia yang mengundang Trump ke Malaysia, yang jelas merupakan pengkhianatan terhadap segala usaha bersolidariti bersama Palestin dalam menentang genosid di Gaza oleh rejim Zionis Israel yang disokong oleh AS.

8. PSM gesa ke arah ASEAN yang makmur dan inklusif

PSM menyerahkan sebuah memorandum yang disokong oleh 55 buah organisasi masyarakat sivil kepada Pejabat Perdana Menteri pada 21 Januari 2025, dengan gesaan kepada Kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk memainkan peranan kepimpinan yang aktif dalam menyumbang kepada pembangunan ASEAN ke arah yang memanfaatkan semua penduduk di rantau Asia Tenggara.

9. PSM gesa pinda undang-undang saman fitnah untuk tangani saman ugutan yang mendiamkan suara membela hak asasi rakyat

PSM menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 19 Mei 2025, untuk menuntut pemindaan undang-undang berkaitan saman fitnah supaya ia tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat dalam mendedahkan penindasan oleh golongan berkuasa.

10. Bantah bank lelong rumah marhaen

PSM terus mempertahankan rumah rakyat marhaen daripada dilelongkan oleh bank sewenang-wenangnya. Antaranya, satu aksi protes diadakan di hadapan ibu pejabat AmBank pada 14 Mei 2025 yang akhirnya memastikan pihak AmBank bersetuju untuk menangguhkan lelongan rumah seorang peminjam yang tidak dapat membayar balik pinjaman perumahan kerana masalah kesihatan.

11. Aktivis pro-Palestin ditahan kerana bersolidariti dengan Flotila Sumud Global

Dua orang aktivis pro-Palestin yang berprotes di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2025 ditahan polis semasa mereka berdemonstrasi bersolidariti bersama Flotila Sumud Global yang sedang dipintas dan diserang oleh rejim Zionis Israel. Salah seorang aktivis yang ditahan ialah Kamal Aarif, ahli Pemuda Sosialis PSM dan anggota GEGAR. Dua orang aktivis yang ditahan itu dibebaskan pada malam yang sama.

12. Bantah RUU CCUS

PSM dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang prihatin pada isu alam sekitar berprotes pada 19 Mac 2025 untuk menggesa Dewan Negara supaya jangan terburu-buru dalam meluluskan Rang Undang-Undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (RUU CCUS) yang hanya membawa penyelesaian palsu kepada krisis iklim dan merugikan masyarakat.

13. Perjuangan petani Perak mempertahankan hak bercucuk tanam dan keterjaminan makanan rakyat

PSM terus mempertahankan hak petani kecil untuk bercucuk tanam demi melindungi punca rezeki pengeluar makanan kecil dan keterjaminan makanan rakyat. Beberapa kes pengusiran terhadap petani kecil di Perak masih berterusan di mahkamah, termasuk petani-petani di Kuala Bikam.

14. PSM sokong perarakan peguam untuk pertahankan kebebasan kehakiman

Aktivis-aktivis PSM hadir bersolidariti dalam aksi perarakan pada 14 Julai 2025 anjuran Badan Peguam Malaysia untuk mempertahankan kebebasan kehakiman yang disertai oleh kira-kira 1,200 orang peguam.

15. Persidangan Sosialisme 2025

PSM menganjurkan Persidangan Sosialisme di Kuala Lumpur pada 15-16 November 2025 untuk membincangkan topik-topik penting mengenai pergolakan politik antarabangsa dan usaha membina kuasa rakyat yang progresif. Persidangan ini turut disertai oleh ahli-ahli panel dari Afrika Selatan, Australia, Filipina, Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan Vietnam.

16. Aksi sambutan Hari Pekerja 2025

Kira-kira 1,500 orang turun berdemonstrasi di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2025 untuk menyambut Hari Pekerja Antarabangsa dengan tema “Pekerja Tiang Seri Negara – Naikkan Gaji, Bukan Bebanan”.

One thought on “Imbas kembali 2025: PSM dan perjuangan rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *