KUALA LUMPUR – 1 MEI 2025: Kira-kira 1,500 orang turun berdemonstrasi di jalanan ibu negara pada hari ini untuk mengetengahkan pelbagai tuntutan rakyat bersempena Hari Pekerja Antarabangsa. Aksi sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei ini telah mewarnai dan memeriahkan jalanan Kuala Lumpur dengan mesej-mesej yang disampaikan secara kreatif.

Peserta-peserta aksi sambutan Hari Pekerja berhimpun di Pasar Seni sebelum berarak ke Dataran Merdeka. Selain membawa plakad dan sepanduk yang memaparkan pelbagai tuntutan, suasana perarakan juga dimeriahkan dengan laungan slogan dan nyanyian lagu yang penuh bersemangat. Terdapat juga peserta-peserta aksi yang membawa patung gajah dan jentolak palsu untuk mengetengahkan isu kemusnahan alam sekitar oleh golongan korporat yang hanya mengutamakan keuntungan.

Selepas tiba di Dataran Merdeka, wakil daripada pelbagai sektor masyarakat menyampaikan ucapan mereka, di samping persembahan pembacaan puisi dan nyanyian lagu.

Peserta-peserta aksi sambutan Hari Pekerja melafazkan “Deklarasi 1 Mei 2025” yang mengemukakan tuntutan-tuntutan yang merangkumi 11 bidang, termasuk hak pekerja, kesihatan, perumahan, alam sekitar, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya. Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk peningkatan gaji minimum ke RM2,000 sebulan, pelaksanaan skim Jaminan Pendapatan Asas, pelaksanaan skim Pencen Warga Emas, penggubalan Akta Pekerja Gig, peningkatan belanjawan Kementerian Kesihatan daripada 2.3% KDNK kepada 5% KDNK dalam tempoh 10 tahun, pengurangan harga rumah, pemansuhan akta-akta zalim yang menyekat ruang demokrasi, pengiktirafan Wilayah Adat Orang Asli, pengisytiharan Darurat Iklim, pengiktirafan kerja penjagaan, dan sebagainya.

Deklarasi 1 Mei 2025 disokong oleh 64 buah organisasi, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gabungan Marhaen, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Borneo Komrad, Aliran, Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (GBBSEM), dan sebagainya.

Aksi sambutan Hari Pekerja ini berakhir dengan nyanyian lagu Internasionale yang melambangkan semangat perjuangan kelas pekerja.

Aksi sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei telah diadakan sejak tahun 1994 dengan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang berhimpun dan berarak untuk mengetengahkan isu-isu penting yang berkaitan dengan kehidupan rakyat biasa. Sambutan Hari Pekerja membawa semangat perjuangan rakyat untuk demokrasi sejati, kesaksamaan ekonomi dan keadilan sosial.

Berikut ialah koleksi foto aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia 2025 di Kuala Lumpur:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *