
KUALA LUMPUR – 19 MEI 2025: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pemindaan pada undang-undang berkaitan saman fitnah supaya ia tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat dalam mendedahkan penindasan oleh golongan berkuasa. Seruan ini dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada hari ini.
Mereka yang hadir semasa penyerahan memorandum mengenai penyalahgunaan undang-undang saman fitnah untuk menafikan kebebasan bersuara dan kebebasan media pada hari ini termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, M. Sivaranjani selaku Setiausaha Agung PSM, Rani Rasiah selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong memorandum ini dan beberapa orang mangsa saman ugutan. Ragunath Kesavan, salah seorang Pesuruhjaya SUHAKAM, telah hadir untuk mendengar pembentangan yang dikemukakan oleh wakil PSM dan wakil kumpulan masyarakat yang terjejas kerana saman ugutan.
“Sejak setahun kebelakangan ini, PSM telah berdepan dengan empat saman fitnah yang boleh dikatakan sebagai saman ugutan, atau dikenali sebagai SLAPP (litigasi strategik terhadap penyertaan awam),” kata S. Arutchelvan. “Saman ugutan itu jelas kelihatan bertujuan untuk menghukum, mengugut dan menakutkan aktivis parti, rakyat marhaen dan media yang mendedahkan ketidakadilan atau pencabulan hak asasi manusia.”

SLAPP merupakan satu taktik kotor yang digunakan oleh syarikat korporat atau ahli politik untuk mendiamkan kritikan rakyat di ruangan awam tentang kepincangan atau ketidakadilan yang dilakukan mereka. Melalui SLAPP, golongan kaya dan berkuasa memfailkan saman fitnah terhadap pengkritik mereka dengan niat membazirkan masa, tenaga dan kewangan supaya pengkritik itu berhenti mengkritik mereka, di samping menakut-takutkan orang lain supaya tidak lagi mengkritik mereka.
Empat saman ugutan yang sedang dihadapi PSM itu ialah:
- United Security Services Sdn Bhd, sebuah syarikat kontraktor kawalan keselamatan lantikan Kementerian Kesihatan yang membuang pekerja kerana mereka mengadu tentang masalah pengiraan bayaran gaji yang tidak betul kepada Jabatan Tenaga Kerja, memfailkan saman fitnah terhadap 4 orang pekerja kawalan keselamatan, wartawan dan Utusan Malaysia, kerana menyiarkan berita tentang pelanggaran hak pekerja yang dilakukannya.
- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, kerana kenyataannya yang mempertikaikan tindakan pihak PKNP menghina perintah mahkamah dalam kes pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil di kawasan Kanthan, Perak.
- Beaks Construction Sdn Bhd dan Suria Harmoni Resources Sdn Bhd, dua buah syarikat dengan CEO sama yang terlibat dalam kes penindasan terhadap pekerja-pekerja migran, memfailkan saman fitnah terhadap Malaysiakini, PSM dan Sivaranjani (Setiausaha Agung PSM), kerana mereka mendedahkan tindakan zalim syarikat itu terhadap pekerja-pekerja.
- A. Sivanesan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perak untuk Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, memfailkan saman fitnah terhadap M. Sugumaran, kerana mengkritik tindakannya yang tidak berlaku adil pada penternak-penternak lembu di kawasan ladang.
“Dalam keempat-empat kes ini, semua kenyataan defendan yang dikatakan ‘fitnah’ oleh plaintif adalah benar dari segi fakta, dan disuarakan melalui ruangan yang sah dan rasmi,” kata Rani Rasiah. “Bercakap dan menyuarakan apa yang benar adalah hak kebebasan bersuara yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.”
“Jika adanya kerosakan reputasi dan kerugian yang dialami oleh plaintif dalam keempat-empat kes ini, bukannya oleh sebab kenyataan yang dibuat oleh defenden itu tidak benar, sebaliknya adalah akibat pendedahan tentang penindasan yang dilakukan oleh plaintif itu sendiri,” ulas Rani Rasiah. “Penyalahgunaan saman fitnah itu merupakan intimidasi terhadap mereka yang cuba mendedahkan masalah rakyat kepada pengetahuan umum, maka boleh menjejaskan ruang demokrasi di negara kita.”

Dalam memorandum yang diserahkan kepada SUHAKAM, PSM mencadangkan supaya SUHAKAM membuat kajian dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk meminda undang-undang saman fitnah. Pindaan terhadap undang-undang saman fitnah itu adalah untuk menangani masalah penyalahgunaan saman fitnah sebagai saman ugutan (SLAPP). Antara peruntukan yang boleh dimasukkan dalam pindaan terhadap Akta Saman Fitnah ialah: defenden berhak membatalkan saman ugutan dengan memberi alasan-alasan kukuh; defenden yang berjaya membatalkan saman ugutan boleh menuntut kos guaman dan kos-kos lain daripada plaintif; defenden berhak untuk memfailkan saman terhadap orang yang membuat saman ugutan untuk kerugian kerana menyalahgunakan proses mahkamah.
PSM juga mencadangkan supaya rakyat biasa yang dikenakan saman ugutan diberikan sokongan guaman percuma melalui Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Selain itu, PSM mencadangkan kepada SUHAKAM untuk memantau kes-kes pencabulan hak asasi yang menggunakan saman ugutan, menganjurkan perbincangan mengenai isu ini dengan pihak-pihak berkepentingan (seperti media), dan mengadakan latihan mengenai SLAPP kepada hakim-hakim mahkamah.
Memorandum yang diserahkan oleh PSM turut disokong oleh kumpulan-kumpulan masyarakat sivil seperti Gabungan Marhaen, North South Initiative dan Tenaganita. (Baca di sini untuk isi kandungan memorandum.)