
KLANG, SELANGOR – 11 NOVEMBER 2025: Syarikat pemaju berdegil untuk merobohkan rumah-rumah di Kampung Jalan Papan sedangkan janji untuk rumah alternatif belum dilaksanakan. Kerajaan Negeri Selangor yang pernah menjanjikan pembinaan rumah alternatif pula terus membiarkan syarikat pemaju untuk merobohkan rumah-rumah penduduk Kampung Jalan Papan sebelum janjinya ditunaikan!
Sejak semalam (10 November 2025), syarikat pemaju Melati Ehsan yang mendapat perintah mahkamah telah memulakan operasi perobohan rumah di Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang Selangor. Pihak pemaju hendak merobohkan semua rumah di kawasan Kampung Jalan Papan, kecuali 44 buah rumah yang penghuninya mempunyai perintah penangguhan sementara kes mereka masih berjalan di mahkamah.
Kira-kira 20 buah rumah telah dirobohkan dalam operasi perobohanan rumah pada hari ini. Rumah yang masih dihuni oleh penduduk Kampung Jalan Papan turut dirobohkan. Seorang penduduk yang cuba mempertahankan rumah kediamannya daripada diroboh telah ditahan oleh polis.
Walaupun Kerajaan Negeri Selangor pernah “menegaskan” dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober 2025 oleh Borhan Aman Shah, EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, bahawa “kerja-kerja perobohan hendaklah dihadkan kepada rumah dan premis perniagaan yang kosong serta tidak mempunyai penghuni sahaja selaras dengan arahan dan semangat penyelesaian secara berhemah yang telah dipersetujui bersama melalui perundingan semua pihak berkepentingan”, nampaknya syarikat pemaju Melati Ehsan langsung tidak mempedulikan “semangat penyelesaian secara berhemah” yang dipersetujuinya.
“Kenapa pemaju tidak hormat Kerajaan Negeri Selangor?” M. Sivaranjani, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), mempersoalkan tindakan pemaju yang berdegil untuk merobohkan rumah Kampung Jalan Papan yang masih mempunyai penghuni. “Kerajaan Negeri Selangor pula nampaknya sudah mengkhianati rakyat!”
“Walaupun penduduk-penduduk masih tinggal di dalam rumah dan mereka tiada tempat lain untuk pergi, pihak pemaju masih memotong bekalan elektrik dan hendak merobohkan rumah mereka. Adakah ini janji Kerajaan MADANI?” tanya S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, yang hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan. “Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini berkata hanya akan meroboh rumah yang tiada penghuni, tetapi sekarang rumah yang ada penghuni pun hendak diroboh!”








Syarikat Melati Ehsan mengambil tindakan mahkamah untuk menghalau keluar penduduk-penduduk yang sudah lama tinggal di Kampung Jalan Papan. Pada 29 November 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan tuntutan pihak syarikat pemaju dan menolak tuntutan balas penduduk kampung sebagai defendan. Sebahagian penduduk kampung yang memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan mendapat penangguhan pelaksanaan pengusiran pada 24 Mac 2025, tetapi bukannya semua penduduk Kampung Jalan Papan yang menjadi penama dalam kes di mahkamah. Satu notis bailif untuk pengosongan rumah telah diserahkan kepada penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan pada 27 Oktober 2025, dengan penduduk-penduduk diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka sebelum 10 November 2025. Tindakan pengusiran paksa dan perobohan rumah ini dilakukan tanpa apa-apa jaminan untuk menunaikan janji pembinaan rumah bagi penduduk.
Sebelum ini, penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan telah mengemukakan tuntutan mereka kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampur tangan untuk menangguhkan perobohan rumah sebelum penempatan semula yang munasabah disediakan, mengadakan rundingan tiga pihak dan melaksanakan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang menjanjikan pembinaan rumah teres bagi penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan.
Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan juga menggesa Bank Negara untuk mencampur tangan kerana TPPT Sdn Bhd, syarikat yang menjual tanah kepada Melati Ehsan, merupakan anak syarikat Bank Negara yang sepatutnya menyediakan perumahan kepada penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan.
Baca selanjutnya tentang latar belakang isu perumahan Kampung Jalan Papan di sini.

3 thoughts on “Kampung Jalan Papan diroboh tanpa pelaksanaan janji rumah alternatif”