SHAH ALAM, SELANGOR – 22 JANUARI 2025: Kira-kira 150 orang penternak di negeri Selangor mengadakan aksi protes pada hari ini di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk membantah ancaman pengusiran paksa terhadap penternak-penternak di dalam ladang-ladang milik syarikat SD Guthrie Berhad.

Baru-baru ini, pada 19 Disember 2024, Rizam Ismail selaku EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Kerajaan Negeri Selangor, mengeluarkan satu kenyataan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan SD Guthrie, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk mengeluarkan notis rasmi  kepada penternak lembu yang menduduki tanah milik syarikat itu bagi memindahkan haiwan ternakan mereka di Sabak Bernam selewat-lewatnya 31 Januari 2025. Berikutan itu, pihak syarikat SD Guthrie telah mengeluarkan notis pada 31 Disember 2024 kepada semua penternak di ladang-ladang miliknya di negeri Selangor.

“Penternak-penternak lembu amat tidak berpuas hati dengan notis tersebut yang mengusir penternak-penternak yang merupakan penyumbang utama kepada jaminan makanan ternakan di Selangor,” kata Gandi CF, Penyelaras Jawatankuasa Penternak Marhaen Nasional. “Jika pengusiran ini diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama SD Guthrie, maka ia akan menjadi duluan yang pasti akan dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri lain untuk mengusir penternak-penternak sewenang-wenangnya. Jika perkara ini dibiarkan berterusan, sudah pasti keterjaminan makanan di negara kita akan dijejaskan lebih lanjut lagi.”

“Kami hendak memaklumkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor, penternak-penternak lembu dan kambing di kawasan-kawasan ladang merupakan anak-anak pekerja ladang yang telah membanting tulang di ladang-ladang berkenaan, dan sememangnya selama ini penternak-penternak diberi dorongan untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti penternakan sendiri di samping bekerja di dalam ladang, memandangkan gaji pekerja ladang adalah begitu rendah,” ulas Gandi. “Ada ramai dalam kalangan penternak-penternak ini merupakan anak-anak bekas pekerja ladang yang menyambung kegiatan penternakan yang dimulakan oleh keluarga mereka dua generasi yang lalu, dan mereka adalah generasi yang ketiga.”

“Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak, pernah menggalakkan aktiviti pertanian di kawasan ladang, dan selaras dengan itu, pihak pengurusan ladang juga membenarkan dan mendorong komuniti pekerja ladang untuk menjalankan aktiviti penternakan,” tambah Gandi. “Penternak-penternak berprotes pada hari ini untuk menyeru pada Menteri Besar Selangor supaya mencampur tangan dalam isu ini. Menteri Besar harus memikul tanggungjawab terhadap seluruh rakyat dan memahami nasib yang dihadapi oleh penternak-penternak kecil. Notis pengusiran paksa terhadap penternak-penternak kecil tidak patut dikeluarkan oleh sebuah kerajaan negeri yang prihatin pada nasib rakyat. Lebih-lebih lagi, ia bercanggah dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menambahkan pengeluaran makanan tempatan dan meningkatkan keterjaminan makanan di negara kita.”

Memorandum daripada penternak-penternak yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor, mengemukakan tuntutan-tuntutan berikut:

  • Kerajaan Negeri Selangor harus menarik balik arahan yang dikeluarkan kepada SD Guthrie untuk mengusir penternak-penternak;
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mencampur tangan dan mengarahkan pihak syarikat SD Guthrie untuk membatalkan notis pengusiran yang dikeluarkan kepada semua penternak di ladang-ladang miliknya di Selangor;
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mengeluarkan arahan kepada majlis tempatan untuk tidak membantu syarikat SD Guthrie dalam menangkap lembu-lembu ternakan di dalam kawasan ladang;
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mencontohi pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengharmonikan aktiviti-aktiviti penternakan dengan perladangan yang sudah wujud bersama sejak dua generasi yang lalu. Sejak tahun 2024, rundingan telah diadakan dengan kehadiran Mazlan Othman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Sekuriti Makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, dengan wujudnya pemahaman bahawa penternakan lembu tidak mengganggu malah boleh membawa faedah kepada hasil keluaran kelapa sawit bagi syarikat-syarikat perladangan.  

Sejak tahun 2019, penternak-penternak kecil di dalam kawasan ladang milik syarikat gergasi GLC sering menghadapi ancaman pengusiran paksa. Jawatankuasa Penternak Marhaen Nasional pernah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 September 2019 berkenaan notis larangan ternakan yang dikeluarkan oleh Sime Darby, dan kemudiannya satu lagi memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 25 April 2024.  

Jawatankuasa Penternak Marhaen Nasional menegaskan bahawa menghentikan pengusiran paksa terhadap penternak-penternak, bukan sahaja untuk menyelamatkan punca pendapatan mereka, malah juga penting untuk melindungi keterjaminan makanan di negara kita yang semakin terancam pada masa ini.

One thought on “Hentikan pengusiran paksa terhadap penternak di ladang SD Guthrie

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *