KUALA LUMPUR: Selepas satu aksi protes yang diadakan di hadapan ibu pejabat AmBank pada 14 Mei 2025, pihak AmBank bersetuju untuk menangguhkan lelongan rumah Komagan Devadas, seorang peminjam yang tidak dapat membayar balik pinjaman perumahan kerana masalah kesihatan.

Selepas 15 minit berprotes di hadapan ibu pejabat AmBank di Kuala Lumpur, wakil daripada AmBank telah mengadakan perbincangan dengan Komagan dan Karthiges Rajamanickam, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membantu Komagan dalam membuat permohonan penstrukturan semula bayaran ansuran berdasarkan kemampuan sebenarnya. Hasil daripada perbincangan itu, pihak bank bersetuju untuk menangguhkan proses lelong rumah Komagan sehingga permohonan tuntutan insurans gadai janji (MRTA) yang dikemukakan oleh Komagan mendapat keputusannya, dan menyediakan pelan bayaran semula yang lebih fleksibel. Pihak keluarga Komagan juga bersetuju untuk membuat satu bayaran kecil untuk pinjaman perumahan itu.

Komagan dan isterinya, Rany Parasuraman, merupakan peminjam bersama untuk pembelian sebuah rumah kediaman yang diduduki mereka di Taman Makmur, Sungai Siput (U), Perak. Selepas pembelian rumah itu, Komagan disahkan telah menghidapi penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Komagan sedang menerima pencen ilat daripada PERKESO tetapi jumlahnya hanya sedikit. Komagan perlu menerima rawatan dialisis untuk penyakit buah pinggangnya sebanyak tiga kali seminggu. Ini telah menjejaskan kemampuannya untuk bekerja, malah mengakibatkannya tidak mampu membayar balik pinjaman perumahan itu.

Komagan pada awalnya tidak diberitahu tentang kewujudan insurans MRTA walaupun dia layak untuk menerima pengecualian sehingga 50% daripada pembayaran balik pinjaman perumahannya. Selepas mendapat nasihat daripada Pusat Khidmat Rakyat PSM di Sungai Siput, Komagan mengemukakan tuntutan insurans MRTA. PSM Sungai Siput telah membantu Komagan dalam mengisi borang dan mendapatkan laporan perubatan daripada doktor yang sedang merawat penyakit kroniknya. Semua dokumen yang berkaitan telah dihantar kepada pihak AmBank Sungai Siput pada 14 Mac 2025 untuk diproses. Walaupun sudah dimaklumkan tentang tuntutan MRTA, pihak AmBank masih meneruskan proses mahkamah. Mahkamah Tinggi Taiping mengeluarkan perisytiharan jualan pada 25 Mac 2025 yang menetapkan bahawa rumah Komagan akan dilelong pada 21 Mei 2025.

Dengan kebimbangan kerana kehilangan rumah kediaman mereka, keluarga Komagan bersama PSM mengadakan protes di ibu pejabat AmBank dengan seruan supaya menangguhkan lelongan rumah sehingga keputusan MRTA dikeluarkan. Keluarga Komagan juga bersedia untuk menyambung semula pembayaran baki pinjaman perumahan selepas penstrukturan semula berikutan kelulusan tuntutan MRTA.

Keluarga Komagan berasa lega selepas mengetahui lelongan rumah mereka telah ditangguhkan. Turut hadir bersolidariti bersama keluarga Komagan Devadas semasa aksi protes ialah aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Karthiges Rajamanickam yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

“Kami tidak boleh membenarkan rakyat dihalau keluar dari rumah mereka hanya kerana sistem ekonomi yang tidak adil. Perumahan adalah hak asas manusia, bukan barang dagangan,” kata Karthiges Rajamanickam. “Kami menyeru agar kerajaan memperkenalkan dasar yang lebih tegas dalam melindungi pemilik rumah berpendapatan rendah, termasuk moratorium khas dan mekanisme sokongan kewangan untuk mereka yang berdepan dengan risiko kehilangan rumah.”

“Kejayaan hari ini adalah simbol solidariti dan bukti bahawa apabila rakyat bersatu, kezaliman sistem boleh ditentang dan diubah,” ulas Karthiges.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *